09 June 2012

Terselamat bom tak letup

19 Rejab 1433H. [MOD] -

TUMPAT - Seorang petani terselamat apabila bom dipercayai dari zaman Perang Dunia Kedua dijumpai dalam kawasan kebunnya, tidak meletup walaupun berada timbunan semak yang dibakar.

Mat Isa Hussin, 52, berkata, ketika kejadian dia bertindak menguis abu hasil dari semak yang dibakar menggunakan parang sebelum mendapati ia adalah besi buruk.

“Saya terus menyapu debu yang melekat di besi buruk itu dan terkejut mendapati ia sebutir bom,” katanya.

Susulan daripada itu katanya, dia terus bertindak segera keluar dari kawasan terbabit dan memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai penemuan bom tersebut.

Mat Isa berkata, ia merupakan pengalaman besar baginya kerana pertama kali berjumpa bom setelah setahun mengusahakan tanah terbabit.

“Saya juga tidak tahu adakah kawasan ini menjadi medan perang semasa pendudukan Jepun dulu, namun ia merupakan pengalaman yang baik untuk saya dan bersyukur dan bernasib baik bom itu tidak meletup ketika ia turut terbakar bersama semak samun yang dibersihkannya sejak kelmarin,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom jenis mortar yang masih aktif di lokasi tersebut.

"Bom mortar bersaiz 81 milimeter (mm) itu dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) kira-kira 11.45 pagi semalam di lokasi bom itu ditemui," katanya.

sinar harian/-

No comments: