31 December 2011

Protes Syria memuncak.


6 Safar 1433H. [MOD] -PENUNJUK perasaan yang menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad berarak melalui jalan di Adlb, hari ini. Pasukan keselamatan Syria yang tidak gentar dengan kehadiran pemerhati Liga Arab, sekurang-kurangnya sudah membunuh 12 penunjuk perasaan dan lima orang anggota pasukan keselamatan itu juga terbunuh dalam kejadian ini. - Foto Reuters

Contohi tindakan saya, kata Phang kepada Shahrizat

6 Safar 1433H. [MOD] -

Bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Robert Phang hari ini menasihatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin supaya mencontohi tindakannya dan meletak jawatan apabila berdepan dengan tuduhan rasuah.

"Ketika saya berada dalam lembaga penasihat SPRM, saya telah
membangkitkan banyak penyelewengan terhadap bekas menteri besar Selangor, Datuk Dr Khir Toyo dan bekas pengerusi MAS, Tan Sri Tajudin Ramli, kemudian seorang penulis blog menuduh saya beri rasuah untuk kontrak kerajaan.

"Saya menawarkan diri untuk meletakkan jawatan daripada lembaga penasihat itu kerana SPRM perlu menjalankan siasatan.

"Saya tidak boleh berada dalam lembaga itu, atau orang akan kata saya cuba mempengaruhi siasatan," katanya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini, Phang berkata begitu juga yang sepatutnya dilakukan oleh Shahrizat dan Awang Adek, dengan meletak jawatan.

Katanya, kedua-dua mereka perlu berada di luar kerajaan sehingga dibersihkan daripada tuduhan tersebut, kerana kehadiran mereka boleh menjejaskan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysiakini/-

Tahun baru, azam baru, Malaysia Baru

6 Safar 1433H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2012 kepada seluruh anak muda khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Saya selaku pimpinan anak muda sudah tentu ingin menyampaikan insprasi anak muda di luar sana yang sebenarnya aset sebenar Negara kita. Pada hari ini bagi kami, sikap anak muda harus berani menegur siapa sahaja demi kebenaran dalam persekitaraan kehidupan harian mereka.

Bagi kami, anak muda adalah sebagai pengimbang sistem Negara kita samada di dalam pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Kita saban tahun dihidangkan di hadapan kita laporan Jabatan Audit Negara yang yang cukup dengan kelemahan dan ketirisan hasil Negara kita selama ini. Termasuk kronisma dan nepotisma dalam pemberi projek Negara sebagai satu penyakit yang membarah.

Negara yang selama ini mengharapkan Pergerakkan PemudaBarisan Nasional  (BN) dilihat gagal memimpin dan membela anak muda. Dan yang paling jelas bahawa Mahasiswa ditutup mulut mereka tanpa pembelaan sebenar daripada Pemuda BN. Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kebebasan akademik semangkin hari semangkin tiada penghujungnya.

Dan pada hari ini, kami menyeru agar anak muda adalan benteng terakhir agar semua kemelut dan barah yang selama ini membiak perlu kita sama-sama berusaha memastikan ianya dibersihkan sama sekali. Kami berharap anak muda dalam mengejar dan memburu nilai kehidupan agar jangan mengabaikan nilai Bangsa dan Agama sebagai asas pendinding kemajuan. Ayuh anak muda, kita bimbing Negara yang tercinta ini dengan ketelusan, maruah dan cita-cita sayangkan Agama dan Negara kita yang merdeka!
  
DR RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia).
 
 

Letupan bom kereta di Pakistan, 8 maut

6 Safar 1433H. [MOD] -

QUETTA 31 Dis. – Sekurang-kurangnya lapan penduduk Pakistan terbunuh dalam letupan bom kereta di barat daya bandar Quetta, semalam.

Kereta tersebut yang meletup di depan rumah anak bekas Menteri Persekutuan, Naseer Mengal, turut menyebabkan kira-kira 18 orang yang lain cedera.

Pihak polis bagaimanapun tidak pasti sama ada terdapat pemandu di dalam kereta tersebut atau kenderaan itu sengaja diletakkan di lokasi kejadian. – AFP

Puting beliung Thane landa tenggara India

6 Safar 1433H. [MOD] -

HYDERABAD 31 Dis. – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh apabila puting beliung yang membawa angin dengan kelajuan 140 kilometer sejam melanda kawasan pantai di tenggara India, semalam.

Timbalan Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA), Marri Shashidhar Reddy berkata, puting beliung Thane itu melanda kawasan pantai antara Cuddalore di Tamil Nadu dan kawasan Pondicherry pada awal pagi semalam.

"14 orang terkorban di Tamil Nadu manakala dua lagi di Pondicherry," katanya. – AFP

Pilihan raya kecil Myanmar awal April depan

6 Safar 1433H

YANGON 31 Dis. – Myanmar akan mengadakan pilihan raya kecil pada awal April depan, sekali gus membuka peluang kepada ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi untuk menduduki kerusi di Parlimen yang dikuasai pemerintahan tentera.

Seorang pengawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, pilihan raya tersebut akan diadakan pada 1 April tahun depan.

Suu Kyi, yang mendaftar partinya secara rasmi awal bulan ini, pernah menyatakan hasrat beliau untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut. – AFP