28 December 2011

Nga terima ugutan bunuh, peluru melalui pos

3 Safar 1433H. [MOD] -


Ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming hari ini menerima sampul surat yang mengandungi ugutan bunuh dan sebutir peluru, yang dikirimkan ke rumah ibu bapanya di Ayer Tawar, Perak.

Sambil menggelar Nga sebagai "cina kurang ajar Yeop" dalam loghat tempatan, pengirimnya memberi "tiga pilihan", iaitu: Mampus cepat dengan peluru; Mampus lambat simbah dengan asid kat muka; dan Mampus lambat langgar dengan kereta, pakai kerusi roda.

"Ini amaran dari orang Melayu - jangan kurang ajar," bunyi surat tersebut,di mana peluru diletakkan dan dibalut dengan kertas tisu.

"Ini sudah melampau... tak boleh diterima langsung," kata Nga ketika dihubungi, sambil menambah bahawa ibu bapanya yang sudah tua, amat terkejut dengan kejadian itu.

"Kami dalam politik, kami boleh berdepan dengan tekanan sebegitu, tetapi tidak ahli keluarga kami," katanya.

Menurut Nga, sampul surat itu telah dikirim melalui pos dan ibu beliau yang menerimanya.

"Saya tinggal di Ipoh, saya telah menghantar seseorang untuk mengambil kandungannya dari ibu saya. Saya akan buat laporan polis selepas saya menerimanya, "katanya. MK/-

Geng Azlan tumpas

3 Safar 1433H. [MOD] -

GOMBAK - Taktik licik sindiket curi lori dikenali sebagai Geng Azlan berjaya ditumpaskan, selepas polis memberkas empat lelaki termasuk ketua kumpulan itu, serta merampas lapan lori bernilai RM200,000 dalam beberapa serbuan yang dibuat pada 19 hingga 24 Disember lalu di Tanjung Karang, Selangor dan Teluk Intan, Perak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, hasil maklumat yang diperoleh, pihaknya menahan seorang lelaki yang juga ketua kumpulan terbabit bernama Azlan di Tanjung Karang pada 19 Disember lalu.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya menahan dua lagi suspek lelaki bersama dua buah lori dalam dua serbuan di Tanjung Karang pada 21 Disember dan di Teluk Intan pada Jumaat lalu.

“Hasil soal siasat dibuat, kita berjaya tahan suspek keempat di kawasan sama iaitu di Teluk Intan dan merampas dua buah lori bersamanya.

“Siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada serbuan terakhir di sebuah ladang kelapa sawit di Teluk Intan dan sebanyak empat buah lori yang sudah diubah suai ditemui di kawasan itu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.

Rosly berkata, dalam operasi terbabit, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk mencuri lori iaitu wayar, playar, pemutar skru dan kunci pendua.

Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan menyasarkan lori-lori yang ditinggalkan pemilik di sekitar kawasan Gombak.

“Mereka akan curi lori, kemudian ubah suai untuk kegunaan ladang, sebelum menjualnya dengan harga serendah RM3,000 hingga mencecah RM6,000. Harga asal sebuah lori terbabit biasanya berjumlah RM80,000,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kumpulan suspek itu aktif menjalankan kegiatan haram terbabit sejak awal tahun ini.

Katanya, semua suspek berusia antara 27 hingga 30 tahun itu direman seminggu bermula 20 Disember lalu sehingga semalam mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau berkata, semua suspek terbabit semalam diserahkan untuk siasatan lanjut oleh IPD Sentul bersabit kes lain.

Sinar Harian

Haniza: Peruntukan RM2.71b Suatu Kebiadaban Demokrasi

3 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 DIS: Tindakan penyaluran dana berjumlah RM 2.71billion seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk pembangunan Selangor tanpa melalui kerajaan negeri jelas menunjukkan kebiadaban kerajaan persekutuan terhadap Selangor.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Haniza Talha berkata, kerajaan negeri merupakan kerajaan yang sah hasil dari pilihan rakyat melalui proses demokrasi dan sepatutnya kerajaan persekutuan menghormati dan bukannya mengenepikan kerajaan negeri.

"Saya nampak, kalau kerajaan negeri melakukan perkara ini menunjukkan mereka tidak menghormati dari segi hak demokrasi rakyat Selangor yang telah memilih kerajaan yang sah. Jadi kalau kerajaan persekutuan memilih agensi-agensi lain yang mengenepikan kerajaan negeri dari segi undang-undang yang sah, ini satu tindakan yang menghina proses pilihanraya dan pilihan yang telah dibuat rakyat.

"Perkara ini tidak berlaku seperti ini sebenarnya. Maknanya disini kerajaan persekutuan dengan terang-terang menujukkan perangainya yang biadap sedangkan pilihanraya dia juga yang buat.

Bila pilih kerajaan negeri yang sah, melalui proses yang sah, tapi dia tidak mengiktiraf. Ada tanda soal besar disitu sebenarnya dengan sikap kerajaan persekutuan yang mengenepikan kerajaan negeri yang sah," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Selcat.

Jelasnya, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) adalah untuk memastikan sisitem urus tadbir negeri berjalan lancar dengan mengikut lunas dan saluran yang betul.

Bidang kuasa Selcat berdasarkan peruntukan kuasa yang diberikan oleh Dewan Undangan Negeri. Untuk perkara ini adalah diluar bidang kuasa Selcat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin mendakwa jumlah peruntukkan yang diumumkan Najib adalah untuk digunakan oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang.

Bagi Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, beliau pula berpendapat, perkara ini merupakan tindakan salah guna kuasa yang tidak bertanggungjawab memandangkan ianya melibatkan penggunaan wang rakyat.

Ujar Haniza lagi, kerja-kerja pemantauan bukan terletak pada kerajaan negeri sebaliknya tanggungjawab badan bebas.

"Proses penyaluran peruntukkan ini dah salah. Dia tidak memberikan peruntukan kepada kerajaan negeri. Kenapa kerajaan negeri lain dia tidak buat macam tu?

"Ini menunjukkan kebodohan pimpinan kerajaan persekutuan. Jahilnya mereka tentang proses demokrasi dizahirkan sekarang. Mereka tidak memahami proses demokrasi. Kalau mereka mengiktiraf proses demokrasi, sepatutnya mereka mengiktiraf kerajaan yang dipilih," katanya ketika dihubungi TVSelangor.

tv selangor/-

Perlaksanaan SBPA proses kecilkan sektor awam?

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Disember: Cadangan Kerajaan BN untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini ditentang hebat oleh kakitangan kerajaan, diyakini mempunyai muslihat tertentu khususnya bagi mengurangkan agensi dan kakitangan sektor awam.

Keyakinan tersebut didasarkan kepada beberapa perkembangan semasa, apatah lagi sebelum SBPA dilaksanakan, langkah ke arah itu telah pun dibuat oleh kerajaan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, realiti itu antara lain terserlah apabila dirujuk kepada langkah penutupan Jabatan Perkhidmatan Pembentungan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) baru-baru ini.

Menurutnya, dengan langkah itu, kerajaan ternyata telah mengecilkan sektor awam dan mengurangkan kakitangan sektor awam, apabila kesemua kakitangan yang berada di bawah Indah Water Konsortium (IWK) akan diserapkan ke sebuah syarikat baru yang akan ditubuhkan, National Sewerage Services Company (Nasco) dan akan diswastakan sepenuhnya kemudiannya.

Katanya, sedangkan IWK itu berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan yang juga agensi kerajaan, tetapi apabila kakitangan-kakitangan terbabit diserapkan ke dalam Nasco nanti, mereka tidak lagi akan menjadi kakitangan kerajaan.

"Maklumat yang kami perolehi berhubung perkara itu pula, 98 peratus kakitangan IWK tidak bersetuju untuk diserapkan ke Nasco.

"Sebahagian besar daripada mereka itu adalah kakitangan di bahagian teknikal, para profesional yang berkepakaran tinggi termasuk engineer dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Punca kakitangan-kakitangan terbabit tidak bersetuju diserapkan ke dalam Nasco, menurut beliau, tidak lain kerana mereka tidak bersetuju dengan dasar kerajaan untuk menswastakan sektor awam.

"Jika selama ini mereka sudah berada di dalam sektor awam, kenapa pula mereka mesti menjadi kakitangan swasta? Sedangkan dengan penyerapan itu, mereka akan kehilangan pelbagai keistimewaan sebagai kakitangan sektor awam," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Walaupun sedar kakitangan sektor awam tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, Kerajaan BN tetap dengan keputusannya untuk menutup Jabatan Perkhidmatan Pembentungan, tanpa mempedulikan risiko yang akan ditanggung oleh rakyat.

"Pada hal dengan pembukaan Nasco itu nanti, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan khas sebanyak RM200 juta daripada wang Tabung Amanah Pembentungan," tegasnya.

Selain itu, hutang IWK sebanyak RM1.5 bilion daripada kerajaan akibat kerugian yang ditanggungnya selama ini akan turut dilupuskan oleh kerajaan.

"Lain-lain geran yang bernilai RM7 bilion juga akan diserahkan kepada Nasco nanti. Pada hal penutupan IWK dan digantikan dengan Nasco itu sebenarnya hanyalah proses ubah nama sahaja dan ia tidak lebih dari itu bagi manfaat rakyat," tambahnya.

Manakala kerugian yang ditanggung oleh IWK itu pula selama ini, tegas beliau, adalah berpunca dari pertindihan pengurusan di dalam badan itu sendiri, akibat kesilapan dasar Kerajaan BN sendiri.

Kakitangan IWK khususnya di bahagian teknikal sahaja yang tidak bersetuju dengan penyerapan ke dalam Nasco itu berjumlah tidak kurang 120 orang, manakala langkah kerajaan itu pula pasti akan mengurangkan kakitangan profesional yang berkepakaran tinggi di dalam sektor awam.

Harakah Daily

Twitter palsu: CheguBard disiasat polis

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard (gambar) telah ditahan oleh pihak polis semalam.

Beliau ditahan ekoran pihak polis menerima satu laporan yang telah dibuat oleh Umno Ampang petang semalam mengenai akaun twitter palsu menggunakan nama AMK Rembau, yang kononya mempunyai kaitan dengannya yang dikatakan telah menghina institusi raja.

CheguBard melalui twitternya menjelaskan dan bertegas bahawa akaun twitter tersebut tidak ada kena mengena dengan pihaknya, namun pihak polis tetap merampas telefon Blackberry dan juga laptop miliknya serta sebuah lagi laptop kepunyaan Keadilan Cabang Rambau.

Dalam pada itu, beliau dalam berkata tidak gentar dengan sebarang ugutan pihak tertentu malah akan terus membina kekuatan anak muda untuk menumbangkan Umno dan memberi fokus menggerakan SAMM sebagai platform terbaik untuk golongan anak muda berjuang.

Menurutnya lagi, SAMM baru sahaja selesai mengedar 30 ribu DVD mengandungi sebab-sebab kenapa Umno harus ditinggalkan.

Ianya sebagai membantu kempen nasional Asalkan Bukan Umno (ABU) yang juga telah melancar dan mengedar 25 ribu naskah risalah penjelasan isu 'cincin puaka' sebelumnya.

Sementara itu dalam satu kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan Rembau, Md Sani Mohd Shah pada 5 Julai yang lepas, beliau menjelaskan akaun twitter AMK Rembau, tidak ada kena mengena akaun twitter "AMK Rembau".

Beliau yakin akaun ini telah menyamar dengan menggunakan nama AMK Rembau secara sengaja mahu mengelirukan orang ramai dengan memburukkan nama. Akaun telah dipantau sejak kewujudannya, menggunakan perkataan lucah dan segala macam kenyataan yang tidak sesuai.

Harakah Daily

Lupus hutang pinjaman: Tahniah kerajaan Kedah

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas keputusan melupuskan hutang pinjaman pelajaran dalam kes-kes tertentu.

Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, inisatif kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah itu membuktikan bahawa mereka amat prihatin dan menyelami denyut nadi rakyat di negeri itu. Kepemimpinan negeri itu membuktikan bahawa mereka memegang tampuk kuasa bukan untuk kepentingan diri mereka sendiri, tetapi untuk kepentingan rakyat jelata.

Katanya, Umum mengetahui bahawa pendidikan adalah keperluan hidup yang mesti ditunaikan oleh kerajaan terhadap rakyatnya. Dengan pelajaran akan terbela kehidupan rakyat dan seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat daripada belenggu kemiskinan.

Pelajaran melahirkan masyarakat yang bertamadun, berakhlak mulia, disamping membina masyarakat dan negara yang maju dan berdaya saing. Insentif pelajaran daripada kerajaan kepada rakyat merupakan suatu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan rakyat dan negara.

"Kerajaan Kedah berjaya menempatkan diri antara negeri yang berjaya menunjukkan kesungguhan membantu rakyat. Dengan kedudukan ekonomi negeri yang stabil ditambah dengan perbelanjaan pentadbiran yang berhemah.

"Insentif-insentif khusus bagi membantu rakyat adalah tindakan yang tidak merugikan kerajaan tersebut, malah, pelbagai imbuhan dan insentif yang diberikan untuk rakyat mampu meningkatkan lagi hasil pendapatan negeri dengan keberkatan pentadbiran yang bersih, jujur dan telus," katanya.

Dengan inisatif tersebut tambahnya, ternyata aspek pelajaran diambil perhatian penting oleh kerajaan Kedah.

Ianya juga membuktikan bahawa kerajaan Kedah berusaha memastikan tiada rakyat yang keciciran pelajaran untuk jangka panjang.

"Meskipun pelupusan hutang pinjaman tidak dikuatkasakan kepada semua pihak, namun ia langkah yang amat baik sebagai permulaan," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut mengesyorkan kepada kerajaan negeri-negeri lain agar mengambil kerajaan Kedah sebagai contoh yang baik dalam usaha membantu rakyat.

"Sebaiknya semua kerajaan negeri berlumba-lumba dalam memberikan perkhidmatan dan kebajikan yang terbaik kepada rakyatnya sebagai balasan sokongan rakyat terhadap pemerintahan mereka," katanya.

Harakah Daily

Mahathir bukan cerdik sangat - Ku Li

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang ini United Malay National Party (UMNO) akan menerima kekalahan lagi.

Dari pemerhatian beliau pengundi bukan Melayu semakin menjauhkan dari Barisan Nasional atau lebih tepat lagi lari dari UMNO.

Beliau dakwa ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.

Ku Li, ahli parlimen Gua Musang semenjak 1974 dan juga bekas Menteri Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.

Mengikut Ku Li pentabiran sekarang ini selalu berdulak-dalik - flip flop - apabila mengajukan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi kerana banyak dasar-dasar ini tidak difikirkan secara masak terlebih dahulu.

"Mereka tidak peduli satu apa pun... tetapi mereka tidak ingin masuk penjara," Ku Li memberi kesimpulan terhadap pentabiran Najib Razak.

Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.

Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menerangkan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.

Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974 telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.

"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Krisis tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak ini hanya boleh diselesaikan jika Malaysia memiliki apa yang Ku Li namakan sebagai Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court.

Beliau berpendapat telah sampai masa Malaysia mewujudkan Mahkamah Perlembagaan khusus untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan perlembagaan seperti kedudukan Raja Raja Melayu, hak kebebasan rakyat , pilihanraya yang bebas atau tuntutan royalti minyak.

Kecekapan Ku Li ini sebagai pakar ekonomi dan Menteri Keewangan terbukti pada tahun 1979 apabila beliau telah berjaya mengambil alih kembali harta tanah Guthrie dalam apa yang dikenali sebagai 'the dawn raids'. Ketika itu Ku Li dilihat sebagai nasionalis ekonomi yang berjaya mengambil kembali harta negara yang telah dijarah oleh penjajah.

Mengikut lajenda politik Malaysia, Ku Li sepatut telah menang dalam pemilihan Presiden UMNO dalam tahun 1987 tetapi malangnya ketika pengiraan undi berjalan tetiba bilik menjadi gelap dan lampu leterik telah terpadam. Mahathir Muhamad telah berjaya menewaskan Ku Li dengan 43 undi apabila lampu terpasang kembali.

Ku Li tidak menimbulkan hal ini malah pertanyaan mengenai ' kes lampu padam' ini hanya akan dijawab dengan senyuman yang panjang. Ku Li enggan melintasi dilurah yang sama.

"Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya," dakwa beliau.

"Dia curi-lah. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman beliau yang terkumpul selama 5 tahun bersama Mahathir Muhamad sebagai menteri.

Bila ditanya tentang Anwar Ibrahim Ku Li menerangkan bahawa dia hanya mengetahui Anwar sebagai aktivis belia. Walau pun mereka berdua belajar di Malay College tetapi mereka agak jauh bertelingah zaman.

Mengikut surah Ku Li, kali pertama secara rasmi dia dengar nama Anwar ialah dari Putera Muhamad anak kepada Raja Feisal dari Saudi Arabia. Ketika itu Ku Li sedang menjawat Pengerusi Bank Islam OIC. Putera Raja ini bertanya kepada Ku Li apakah patut Anwar Ibrahim dan ABIM ini dibantu oleh dana Yayasan Feisal.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat. Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara."

Ku Li merumuskan bahawa pentabiran pimpinan Najib Razak kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam huru hara. Mengikut pandangan Ku Li , Najib Razak sebagai Presiden UMNO terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara berpusat memandang ke PWTC, Najib tidak melaku-kan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.

Apakah peranan yang masih boleh dimainkan oleh Putera raja dari Kelantan ini masih belum jelas. Ku Li dibesarkan di Istana dan dididik di Malay College — seharusnya menjadi kimia terbaik untuk memimpin negara ini. Ku Li dilihat sebagai sebagai ahli politik yang tidak membawa beban 'kerpai buruk'. Tetapi Ku Li juga adalah sosok yang berkontradiksi.

Ku Li tidak akan memboceng motosikal untuk berkempen jika jalan raya berasak asak. Ku Li juga tidak akan mengambil 'loud hailer' untuk menggumpulkan massa. Jauh sekali Ku Li untuk turun memasang poster atau memasang khemah atau turun berdemo.

Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah ialah putera raja. Mungkin inilah sosok yang digambarkan oleh Sir Frank Swetthenham 100 tahun dahulu : Gentleman Melayu Terakhir — The Last Perfect Malay Gentleman.

Harakah Daily

Banjir di Rompin: Tv 3 bohong!

3 Safar 1433H. [MOD] -

Selama ini orang ramai menganggap TV3 hanya berbohong dalam soal-soal politik pembangkang sahaja, rupa-rupanya dalam hal banjir pun mereka nak pekenakan penonton.

PAS Rompin hari ini menempelak siaran berita Buletin Utama TV 3 yang menyiarkan kononnya Tanjong Gemok, Rompin kini lumpuh disebabkan banjir sebagai penipuan besar.

Pengarah PAS Dun Tioman, Mohd Fadzli Ramli, berkata sebenarnya tidak ada langsung air di atas jalan di Tanjong Gemok (jeti untuk ke pulau Tioman) dan berita tersebut jelas menipu serta tidak bertanggungjawab.

“Dalam dua, tiga hari lepas pun air pasang dekat menara jam saja di situ, nampok beno nipunya...,” cekasnya dalam facebooknya.

Sementara pengomen-pengomen posting berkenaan kesal kerana “berita pasal banjir pun nak tipu jugak ker”.

Sementara yang lain mengatakan mungkin selama ini televisyen berkenaan berbohong dalam soal politik bagi menyokong Umno, tetapi mereka tidak faham bagaimana dalam hal banjir pun TV3 mahu menipu. Sedangkan cerita tidak benar itu boleh menimbulkan kekeliruan dan huru-hara.

selatan online/-

Sekutu al-Qaeda akui perancang serangan Baghdad

3 Safar 1433H. [MOD] -

BAGHDAD: Satu kumpulan bersekutu dengan pergerakan al-Qaeda di Iraq mengaku bertanggungjawab atas beberapa serangan yang menggegarkan Baghdad minggu lalu hingga mengorbankan 69 orang.

Serangan terancang pada Khamis lalu mensasarkan pasar, kedai runcit, kafe dan bangunan kerajaan di kebanyakan kejiranan penduduk Syiah.

Ia berlaku ketika krisis kepemimpinan meletus membawa kepada ketegangan hubungan antara Sunnah dan Syiah.

Ia adalah serangan besar-besaran pertama sejak tentera Amerika Syarikat melengkapkan pengunduran penuh dari Iraq bulan ini.

Pada masa sama, ia menambah keraguan mengenai keupayaan pasukan keselamatan Iraq untuk melindungi negara itu. Hampir 200 orang cedera dalam pengeboman itu.

Menurut Kumpulan Perisikan SITE, sebuah organisasi berpusat di Amerika yang memantau lalu lintas web kumpulan jihad, pengakuan itu dihantar lewat kelmarin dalam laman web militan.

Kumpulan Negara Islam Iraq menggelar serangan itu sebagai ‘pencerobohan hari Khamis,’ bertujuan menyokong penduduk Sunnah yang dipenjara dan membalas dendam terhadap mereka yang dipenggal kerajaan Syiah.

“Serangan khas dilancarkan bagi menyokong tahanan Sunnah di penjara ditadbir golongan murtad dan membalas dendam terhadap tahanan yang dipenggal,” kata kenyataan mereka.

Kumpulan itu juga berkata serangan berkenaan adalah bukti bahawa mereka ‘tahu di mana dan bila untuk menyerang dan mujahidin tidak akan berdiri dengan tangan mereka terikat berpunca daripada rancangan berasal dari Iran.’

Kenyataan itu merujuk kepada tuduhan pemimpin Sunnah bahawa kerajaan Syiah bersekongkol dengan negara jiran Syiah, Iran, musuh ketat Baghdad ketika di bawah pemerintahan rejim Saddam Hussein.

Washington dan sesetengah pegawai Iraq memberi amaran kemunculan semula militan Sunnah dan Syiah serta meningkatnya keganasan selepas pengunduran tentera Amerika. – AP

Seorang lagi bekas pegawai IIB dihadap ke mahkamah

3 Safar 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU 28 Dis. – Seorang bekas pengurusan kanan Iskandar Investment Berhad (IIB) didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas kesalahan mendedahkan maklumat harga anggaran bidaan sebuah projek kepada bakal penender tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 51 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin. – UTUSAN

Tiga Mati Dalam Kejadian Banjir Lahar Dingin Gunung Gamalama

3 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Hujan lebat yang berlarutan selama tiga jam di Ternate, Maluku Utara malam tadi menyebabkan bandar itu dilanda banjir lahar dingin dari sisa bahan volkanik gunung berapi Gamalama dan mengakibatkan tiga orang terkorban.

Mangsa yang terbunuh ialah dari sebuah keluarga di kawasan Desa Tobu, Ternate Utara, yang dihanyutkan arus deras, kata pihak berkuasa tempatan.

Dalam kejadian itu lima penduduk kampung juga cedera parah dan dirawat di hospital daerah sementara ribuan penduduk lagi terpaksa dipindahkan ke tempat selamat.

Desa Tubo merupakan kawasan paling teruk dilanda banjir lahar dingin itu dengan kira-kira 90 peratus rumah penduduk mengalami kerosakan teruk, bahkan ada rumah yang dihanyutkan arus.

Gunung Gamalama meletus pada 4 Dis lalu, namun letusan pada hari itu tidak mengakibatkan kerugian harta benda, cuma mengganggu jadual penerbangan komersil Manado-Ternate selama seminggu. - BERNAMA

Madrasah Salihiah: Majlis Fatwa lulus, dapat surau baru

3 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 28 Dis: Majlis Fatwa negeri Kedah telah membenarkan Madrasah Salihiah Kanchut dekat sini dirobohkan dan sebuah surau yang lebih besar akan dibina.

Surau baru itu bakal memuatkan jamaah sehingga 400 orang dan boleh jadi ia akan dijadikan tempat solat Jumaat.

"Berkemungkinan surau baru ini boleh digunakan untuk solat Jumaat," kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Azizan Abdul Razak.

Beliau membidas sikap sesetengah pihak khasnya Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang mempertikaikan langkah kerajaan negeri membenarkan surau itu diroboh.

Surau itu terpaksa dirobohkan untuk membolehkan projek Aman Central dibina di atasnya kerana ia bakal memberikan peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk.

"Saya tahu hukum-hakam..saya (juga) lulusan (Universiti Al Azhar) Mesir. Perkara ini juga telah dirujuk kepada Majlis Fatwa dan Mufti.

"Jangan cari publisiti murahanlah...selesai dulu kes lembu (NFC) RM250 juta tu dulu," kata Azizan membidas pemimpin Umno yang membangkit isu itu.

Kerajaan negeri juga, katanya, telah membayar pampasan bernilai RM1.48 juta kepada Majlis Agama Islam Kedah (Maik) sebagai pemegang amanah madrasah berdasarkan konsep 'istiddal' bagi membolehkannya mencari tapak baru yang lebih bermanafaat kepada umat Islam.

Harakah Daily

Jangan guna media arus perdana - Haron Din

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Datuk Dr Haron Din bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, agar semua pihak yang bertelagah tidak menggunakan media arus perdana.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khasnya dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan di rumahnya Isnin lepas.

Haron Din, timbalan Mursyidul Am PAS itu berkata, apa yang berlaku dalam PAS sekarang hanya sebutir pasir yang dijadikan sebuah busut dan diperbesarkan.

"Saya mahu semua pihak berhenti bercakap, jangan cakap apa-apa lagi," katanya.

Beliau juga mahu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali bermaf-maafan di antara satu sama lain.

"Saya amat gembira jika semua pihak yang terbabit meminta maaf secara terbuka," katanya.

(Wawancara penuh dalam Harakah Jumaat ini)

Harakah Daily

PAS Parit sedia rampas semua kerusi

3 Safar 1433H. [MOD] -

PARIT, 28 Dis: Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit mengisytiharkan kesediaan menewaskan Barisan Nasional dalam Pilihanaraya Umum ke 13 semasa Himpunan Anak Muda Parit (Himpit) hujung minggu lalu.

(Presiden PAS menyerahkan bendera PAS dan PKR tanda pemberian mandat untuk memperjuangkan Pakatan dalam pilihan raya nanti)

Himpit berjaya mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran mencecah 500 orang di Dewan Darul Mubarak, Kampung Selboh, Parit.

Himpit turut dihadiri oleh barisan penceramah anak muda yang bertenaga terdiri daripada Ketua Serikandi Keadilan Malaysia (Cik Siti Aisyah Sheikh Ismail), Ketua Ameerah Malaysia (Cik Fareedah Samad), AJK Cabang Keadilan Parit (En Mahathir Abdullah) dan Ketua Pemuda PAS Parit merangkap Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia (Ustaz Hakimi Mohd Nor).

Himpit turut menyaksikan penyerahan watikah jentera pilihanraya oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Ketua Pemuda PAS Parit dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Parit (Husin Abdullah).

Dalam ucapan Ustaz Hakimi, beliau telah mengajak para hadirin untuk sama-sama mengiktiraf Ustaz Ismi Muhammad Taib iaitu YDP PAS Kawasan Parit sebagai Ikon Anak Muda Parit.

Pegisytiharan ini telah dibuat dihadapan seluruh tetamu jemputan iaitu Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Perak (Ustaz Abu Bakar Hussain), Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak (Haji Razman Zakaria), Setiausaha PAS Perak (Ustaz Misbahul Munir Masduki) dan Ketua Penerangan PAS Perak (Ustaz Nuri Al Amin Endut).

Menurut Ustaz Hakimi yang ditemui selepas Himpit, beliau mengucapkan rasa syukur atas sambutan yang begitu menggalakkan daripada anak muda termasuk dengan kehadiran konvoi bermotor dari seluruh kawasan Parit.

Beliau juga menyatakan bahawa Himpit ini adalah petanda awal bahawa Pakatan Rakyat akan memenangi semua kerusi di Parlimen Parit, Dun Belanja serta Dun Bota dalam Pilihanraya Umum ke 13 ini.

Harakah Daily

Jawa Timur bersiap sedia hadapi letusan 3 gunung berapi

3 Safar 1433H. [MOD] -

JAKARTA 28 Dis. - Peningkatan status amaran untuk Gunung Ijen daripada waspada kepada siaga iaitu amaran tahap ketiga oleh pihak berkuasa baru-baru ini serta aktiviti volkanik yang semakin meningkat di Gunung Semeru dan Gunung Bromo, telah membuat pihak pentadbiran negeri Jawa Timur membuat persiapan awal menghadapi bencana letusan ketiga-tiga gunung berapi itu.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Timur telah bersiap siaga menghadapi bencana itu terutamanya bagi melindungi masyarakat yang tinggal di kawasan sekitar.

Wilayah Gunung Ijen meliputi kawasan Banyuwangi, Bondowoso dan Situbondo, wilayah Gunung Semeru meliputi Lumajang, Probolinggo dan Malang manakala wilayah Gunung Bromo meliputi Probolinggo, Pasuruan, dan Malang.

Ketua BPBD Jawa Timur, Siswanto berkata, perhatian masyarakat kini bertumpu kepada Gunung Ijen manakala semua daerah di sekitarnya telah mendirikan pusat siaga bencana seperti di daerah Situbondo, Bondowoso dan Banyuwangi sebagai persediaan bila Gunung Ijen meletus. - BERNAMA

PAS Sabah siap sedia hadapi kemungkinan banjir

3 Safar 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU, 28 Dis: Seluruh jentera pemuda PAS dan Unit Amal Sabah hari ini diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di beberapa kawasan rendah di seluruh daerah di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) berkata, pihaknya akan menempatkan petugas yang terdiri dikalangan petugas PAS dan Unit Amal di setiap bilik gerakan bagi kemudahan orang ramai yang menghadapi banjir.

"Kiita akan bersiap sedia. Bilik gerakan akan dibuka dengan jumlah kakitangan dan petugas yang mencukupi. Bantuan perlu sampai kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang kerap dilanda banjir untuk melakukan persiapan awal bagi mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini berlaku.

“Patuhi arahan pihak berkuasa. Pindah apabila diminta berbuat sedemikian. Simpan barangan berharga ditempat yang tinggi dan awasi anak-anak,” nasihat Julpikar.

Selain itu, pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar merancang pemanduan dan destinasi yang ingin ditujui berikutan cuaca yang tidak menentu.

Menurut Jabatan Meteorologi, hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka turun di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga Khamis ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan terlibat di Sabah ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Kota Belud dan Ranau manakala di Sarawak, keadaan sama dijangka terjadi di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan dan Serian.

Harakah Daily

Menilai tindakan ke atas Adam Adli

3 Safar 1433H. [MOD] -

Negara gempar dengan insiden 17 Disember, di mana seorang aktivis telah menurunkan bendera Perdana Menteri tatkala ratusan mahasiswa turun ke jalan raya bagi menjunjung prinsip kebebasan akademik.

Berkali-kali sahabat saya yang lain bertanya tentang isu ini, dan ini pendapat saya:

Pertama sekali saya ingin merakam tahniah di atas kejayaan mahasiswa yang berjaya membawa tuntutan mereka ke tengah untuk diberi perhatian yang lebih apabila berjaya menyerahkan dua memorandum – kepada Suhakam dan satu lagi kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri.

Kesudian Timbalan Menteri untuk turun dan bertemu mahasiswa juga harus dipuji dan dihargai. Saya secara peribadi mengagumi cara dan toleransi yang ditunjukkan beliau, selain peribadi beliau yang berakhlak, beretika dan sifar skandal.

Namun isu yang lebih penting di sini ialah tindakan Adam Adli yang menurunkan bendera Perdana Menteri sewaktu acara klimaks kepada program itu. Solidariti Mahasiswa Malaysia seperti yang dijangka telah menyokong sepenuhnya tindakan Adam dalam hal ini berdasarkan beberapa hujah.

Saya juga merasakan tidak ada masalah dengan tindakan itu. Hal ini kerana, bendera yang diturunkan langsung tidak dipijak,dikoyak atau diconteng. Bendera yang hanya diturunkan selama beberapa minit itu juga akhirnya dinaikkan semula ke tempat asalnya.

Kita boleh katakan tindakan Adam sebagai kurang ajar jika dia menurunkan bendera Malaysia yang menjadi lambang kebanggaan dan imej negara kita. Dalam hal ini, Adam tidak berbuat demikian.

Sebaliknya, Adam telah menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Menteri dan bendera tersebut langsung tidak melambangkan imej negara kita. Maka, soal biadab atau kurang ajar langsung tidak wujud dalam polemik ini.

Teguran buat Adam

Sebagai teman mahasiswa, ingin saya ambil kesempatan ini untuk menegur Adam Adli dalam beberapa perkara. Pertama, jika ingin melakukan acara simbolik seperti menurunkan bendera, pastikan beliau membawa sendiri bendera yang ingin digunakan dalam acara simbolik tersebut. Adalah kurang manis sebagai orang luar yang datang ke PWTC untuk menceroboh bendera kepunyaan mereka.

Saya sertakan di sini satu analogi. Sewaktu kita berdemo menentang keganasan zionis dalam beberapa episod demonstrasi sebelum ini, kita telah mengekspreskan kemarahan kita dengan membakar bendera negara Israel dan sekutu mereka, Amerika Syarikat.

Adakah para demonstran telah menurunkan bendera Amerika Syarikat yang terdapat di kedutaan mereka? Jawapannya tidak. Kita tidak menurunkan bendera yang ada di kedutaan Amerika Syarikat untuk acara simbolik membakar bendera sebaliknya membawa bendera Amerika Syarikat kepunyaan kita sendiri.

Itulah yang harus dilakukan Adam Adli agar tidak dilihat keterlaluan. Beliau perlu faham status PWTC yang merupakan ‘rumah’ UMNO. Apa yang dilakukan pada 17 Disember tempoh hari telah membuatkan beliau dilihat sebagai penceroboh dan bukannya orang yang menyatakan protes kepada kepimpinan sedia ada.

Teguran buat penyokong kerajaan

Sejurus selepas Adam Adli menurunkan bendera itu dan menaikkan bendera kebebasan akademik, maka ada pihak yang ingin menjuarai isu ini dengan kononnya menyatakan kemarahan kepada mahasiswa.

Saya langsung tidak peduli jika mereka ingin berasa marah atau apa sekali pun. Tetapi tindakan mereka yang mengugut dengan kekerasan langsung tidak mencerminkan keperibadian Melayu yang kononnya menjadi wadah perjuangan mereka selama berdekad-dekad. Sebaliknya, perangai mereka berani saya sifatkan sebagai samseng murahan dan terdesak untuk mencari perhatian !

Apakah wajar untuk seseorang yang tidak jelas jasanya kepada Melayu mengiktiraf diri mereka sendiri sebagai ‘panglima’? Apakah wajar individu-individu sebegini berniat untuk meludah mahasiswa? Apakah mahasiswa ini hanya sekadar sampah-sampah picisan untuk diludah sesuka hati?

Jika benar Adam Adli telah melakukan sesuatu yang mereka kurang senang, tegurlah beliau dengan kaedah yang berhikmah. Hal ini tidak perlu saya ajarkan di sini memandangkan mereka lebih senior dan sepatutnya tahu cara untuk menegur Adam dan kami adik-adik mahasiswa dengan pendekatan yang baik dan rasional.

Tetapi sayang, golongan ‘panglima ‘ ini lebih berminat menggunakan ‘ludah’ berbanding teguran yang membina dan bermanfaat.

Ingin saya tinggalkan satu soalan kepada mereka, di mana mereka tatkala warga luar berpesta menghina negara kita dan membakar bendera negara kita suatu masa dulu? Adakah sifat kejantanan dan kepahlawanan panglima-panglima ini hanya berkesan pada mahasiswa sahaja?

Moga semua pihak beroleh pengajaran daripada peristiwa 17 Diesember 2011. Moga semua berada dalam perlindungan , petunjuk dan rahmat Allah.

Harakah Daily

PAS sampaikan ucapan tahniah kepada Ikhwan Mesir

3 Safar 1433H. [MOD] -

KAHERAH, 28 Dis: PAS menyampaikan ucapan tahniah kepada Ikwanul Muslimin Mesir yang menang besar dalam pilihan raya umum negara itu baru-baru ini.

(Syed Azman [kanan] berbual dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed al-Badie’ di pejabatnya dekat Kaherah)

Ucapan itu disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agong PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad dalam kunjungan singkat ke Mesir baru-baru ini dan sempat bertemu serta bertukar maklumat dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed al-Badie’.

Pertemuan yang mewakili Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu adalah sempena kehadiran beliau sebagai anggota rombongan ahli pemerhati antarabangsa Pilihan raya Mesir di bawah seliaan PBB yang sedang berjalan sekarang.

Dalam pertemuan di pejabat baru Ikhwan yang tersergam indah itu, Dr Syed Azman telah menyampaikan ucapan tahniah seluruh kepimpinan PAS terutamanya Ustaz Hadi dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas kemenangan besar awal parti politik gabungan Ikhwan, ‘al-Hurriyat wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) atau Freedom and Justice Party (FJP).

FJP meraih majoriti kerusi di seluruh Mesir. Ini merupakan penanda awal terhadap perjuangan rakyat Mesir bagi membebaskan negara mereka daripada pemerintahan kuku besi bekas Presiden Mubarak.

Begitu juga dengan sokongan penuh PAS kepada seluruh kepimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang
sejak sekian lama telah diharamkan dan dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti politik oleh pemerintah Mubarak.

Menurut Dr Badie’, seluruh petugas Ikhwan Muslimin sedang sibuk mengadakan kempen di seluruh Mesir di bawah gabungan parti FJP dan sedang mengatur persiapan bagi meghadapi pilihan raya Presiden yang dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun 2012.

Suasana baru ini juga sedang dimanfaat oleh Ikhwan bagi membangunkan semula negara Mesir bersesuaian dengan ciri-ciri yang lebih bersifat demokratik.

(Laporan penuh dalam Harakah cetak Jumaat ini)

Harakah Daily

Nik Aziz kesal fitnah larang ambil wang RM500

3 Safar 1433H. [MOD] -

BACHOK, 28 Dis: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa dukacita terhadap spanduk yang mendakwa beliau melarang rakyat negeri ini mengambil wang RM500.

Katanya, sejak awal lagi beliau telah mengeluarkan kenyataan menyeru rakyat d negeri itu mengambil wang berkenaan.

"Saya dah cakap sebelum ni kan, ambillah wang RM100 ke RM500 ke RM1,000 ke, sebabnya tu duit kerajaan. Mereka berhak mengambilnya.

"Kain rentang tu dibuat oleh mereka yang kecewa dan tak ada modal untuk menyerang orang lain,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat hakisan pantai di Pantai Irama, dekat sini.

Hadir sama dalam lawatan itu anggota-anggota exco kerajaan negeri Datuk Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman dan Che Lah Md Nawi, Adun Perupok, Datuk Omar Mohamed dan lain lain pimpinan negeri.

Beliau mengulas spanduk yang dipasang di negeri itu kononnya beliau melarang rakyat negeri ini mengambil wang itu kerana ianya haram.

Di Terengganu juga timbul isu yang sama di mana tersebar berita kononnya wang itu haram diambil rakyat kerana ianya wang rasuah.

Namun seorang penceramah bebas berkata, ia haram kalau wang itu bertujuan rasuah agar mengundi BN tetapi kalau ia diambil dan tidak undi BN tidak ada masalah.

Pusat perlu bantu

Sementara itu, Nik Abdul Aziz dalam kunjungannya melihat hakisan pantai itu berharap Kerajaan Pusat berusaha menyelesaikan masaalah hakisan ombak kerana ianya boleh mengancam keselamatan penduduk.

"Pada masa yang sama kerajaan negeri melalui JPS juga akan membantu menyelesaikan masaalah ini,"ujarnya.

Harakah Daily

Najib takut bertindak bimbang Shahrizat dedah keburukan Umno

3 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 Dis: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bertindak ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil boleh menimbulkan pelbagai persepsi berhubung penyelewengan NFC membabitkan wang rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan Pusat.

Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata tidak ada sebab munasabah untuk Najib melengah-lengahkan tindakan sedangkan pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno sendiri menggesa Shahrizat diambil tindakan, lapor TVSelangor.

“Apakah Najib takut bertindak disebabkan bimbang Shahrizat mendedahkan pelbagai lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk keluarga Najib sendiri sekiranya beliau dipecat?.

“Apakah juga disebabkan ada pemimpin lain yang turut terlibat, Kalau tidak mengapa Najib masih membisu” kata beliau mencabar Najib bertindak menjawab segala persepsi yang ada bagi membersihkan imej kerajaan dimata rakyat.

“Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya mendepani masalah ini kerana beliau adalah ketuanya,” tegas Haniza yang juga Timbalan Speaker Dun Selangor.

Melihat kepada kepincangan yang dicetuskan oleh Shahrizat, Haniza menzahirkan rasa kecewa kerana tidakannya itu bukan sahaja mengkhianati wang rakyat, malah turut mengaibkan kaum wanita.

“Ia amat memalukan sebagai seorang ketua wanita dari satu organisasi yang besar pada masa yang sama mewakili kaum melayu terbabit dalam salah laku seperti ini,” katanya.

“Ini adalah pertama kali pemimpin wanita negara melakukan kesalahan secara terang-terangan,” jelas Hanzia ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat pemimpin yang terlibat dengan skandal akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

Namun begitu, Haniza berkata, ini tidak mungkin akan berlaku dalam kepimpinan Umno-BN.

Mengulas lanjut, Haniza berkata penyelewengan tersebut adalah dilema hebat dalam kepimpinan Umno kerana apa jua tindakan yang bakal diambil tetap akan menerima hukuman dan kritikan daripada rakyat.

“Luah mati emak, telan mati bapak. Bagaimana cara sekalipun, Umno tidak akan terlepas daripada diadili oleh rakyat dan tidakan mereka itu akan dilihat sebagai sebuah janji yang telah mengkhianati rakyat, ” kata beliau.

PKR sebelum ini mendakwa sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam ‘kucar-kacir’ seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

PKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

Harakah Daily

Status Isa Pengerusi KPF: Sekali lagi SKM dikunjungi

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) hari ini sekali lagi mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung perlantikan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang baru.

(Bangkit dan Anak menyerahkan aduan kepada pegawai SKM tentang status Isa di KPF)

Aduan kedua ini juga dibuat Presiden Bangkit, Abdul Rahman Ramli ekoran tidak berpuas hati dengan jawapan SKM yang diterima mereka terhadap aduan pertama mereka 18 Oktober lalu berhubung perkara sama.

Turut serta dalam penyerahan aduan kedua tersebut adalah Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman.

Dalam surat jawapan SKM bertarikh 10 November, Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia SKM, Haji Mat Deris Jusoh memaklumkan Isa belum lagi dilantik sebagai Pengerusi KPF.

Beliau juga merujuk kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang dilapor media 25 Oktober lalu bahawa Isa masih belum dilantik sebagai pengerusi KPF.

Dalam aduan kedua ini, Abdul Rahman mahu SKM menyatakan status sebenar Isa kerana didakwa berlaku kekeliruan dan percanggahan maklumat berkaitan perkara itu.

Menurutnya, percanggahan itu berkaitan maklumat bahawa Isa telah mendapat surat persetujuan menjadi pengerusi KPF pada 15 Ogos lalu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui setiausaha sulit kanannya Datuk Ab Aziz Kasim.

Dalam meyuarat khas Lembaga Pengarah Felda pada 25 Ogos pula, Isa telah membawa persetujuan tersebut untuk melantik dirinya sebagai Pengerusi KPF.

Aduan tersebut diserahkan kepada Ketua Unit Penguatkuasa SKM, Rossali Mursalin di pejabat suruhanjaya itu di Putra Place, Jalan Putra di sini.

Dalam aduan pertama dahulu, Bangkit turut memohon SKM membatalkan keputusan Mesyuarat Lembaga KPF pada 22 Jun lalu yang telah memuluskan keahlian Isa menjadi ahli koperasi.

Menurut mereka, keputusan tersebut melanggar Undang-undang Kecil KPF yang menyatakan hanya kakitangan Felda atau anak syarikat Felda yang berjawatan tetap sahaja yang layak menjadi anggota koperasi KPF, sedangkan jawatan Isa selaku Pengerusi Felda hanya berstatus kontrak.

Mereka juga memohon keahlian Isa dalam KPF dibatalkan serta-merta.

Tidak terikat dengan politik

Dalam pada itu, Mazlan Aliman yang turut bersama Bangkit ke SKM hari ini mahu suruhanjaya itu tidak terikat dengan agenda politik pihak tertentu dalam isu tersebut.

"Kalau mahu jadi agensi berwibawa, tolong hormat undang-undang dan koperasi pekebun kecil.

"Jangan terikat dengan orang politik," katanya sambil menggesa jawapan segera sebelum 5 Januari.

Jawpan SKM sebelum tarikh itu sangat penting kerana ada kaitan dengan saman pemula peneroka terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) yang difailkan baru baru ini.

Mereka juga memohon njunksi mahkamah bagi menghalang Mesyuarat Agung Perwakilan Khas KPF pada 5 Januari depan.

Harakah Daily

Keliru bacaan tarif

3 Safar 1433H. [MOD] -

BANDA KABA - DAP negeri semalam mempersoalkan sistem baru bacaan tarif elektrik yang diperkenal Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini yang dianggap mengelirukan pengguna.

Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata, terdapat beberapa aduan diterima daripada orang ramai mengenai kadar bayaran dikenakan lebih tinggi berbanding biasa.

Menurut Poay Tiong, kekeliruan timbul apabila ada bil yang dibaca pemeriksa meter secara manual, namun bulan berikutnya ia dibuat secara rambang menerusi kiriman pos.

Katanya, masalah timbul sebaik bil disemak pada bulan berikutnya apabila pengguna sering merasakan kadar dikenakan agak tinggi.

“Pengguna menyatakan aduan kerana bimbang mereka dikenakan bayaran lebih tinggi dan mengharapkan supaya TNB mengekalkan cara yang digunakan sebelum ini.

“Kita mahu TNB jelaskan adakah kaedah yang digunakan benar-benar praktikal dan tiada unsur yang mendatangkan kerugian buat pengguna,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, jurucakap TNB ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kaedah yang digunakan adalah lebih sistematik dan langsung tidak menganiaya pengguna.

Menurutnya, kaedah penghantaran bil menerusi sistem pos juga adalah cara digunakan negara lebih maju.

“Bagaimanapun, mungkin terdapat kesilapan dari segi bacaan disebabkan beberapa faktor.

“Oleh itu, kita minta pengguna dapat merujuk terus kepada pejabat TNB terdekat sekiranya terdapat sebarang kemusykilan,” katanya.

Menurut jurucakap itu lagi, TNB akan mengadakan sidang media bagi memperjelaskan kepada umum mengenai dakwaan wakil rakyat DAP itu.

Sinar Harian

Pegawai polis cedera ditetak

3 Safar 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang lelaki bertindak agresif menyerang pegawai polis berpangkat Inspektor dengan parang panjang sehingga cedera parah, ketika dalam satu serbuan polis di rumahnya, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, suspek berumur 45 tahun itu juga turut merosakkan sebuah kereta peronda polis dengan memecahkan cermin dan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000 hingga RM3,000.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari setelah sepasukan polis terdiri daripada dua pegawai dengan 10 anggota pergi ke rumah suspek di Kampung Alor Pudak, Yan untuk menyerahkan saman berhubung kes Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat.

“Kita sedaya upaya tidak menggunakan senjata api untuk menangkap suspek sebaliknya menggunakan kaedah tangkap biasa sahaja walaupun berlaku pergaduhan ketika serahan saman.

“Suspek berjaya ditahan dan kini berada di Balai Polis Yan. Sementara mangsa, 29, bertugas selama tiga tahun dalam PDRM dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya kepada media di pekarangan wad kecemasan HSB, di sini, semalam.

Ahmad berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan, atau Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

“Kita akan dakwa suspek dengan seksyen yang paling berat kerana melibatkan kes serius menyerang menggunakan senjata tajam dan boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.

“Bagaimanapun kita juga cuba dapatkan pengesahan doktor untuk mengesahkan lelaki berkenaan mempunyai masalah tekanan jiwa atau sebaliknya. Namun suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazali, mangsa, Muhamad Firdaus Zainal sampai di wad kecemasan HSB pada jam 3.25 petang dengan mengalami kecederaan di bahagian buku lali kiri serta dilaporkan stabil.

Menurut ibu suspek, anaknya mengalami masalah tekanan mental sejak empat tahun lalu dan bekerja membuat sawah.

“Semasa kejadian kami berdua di rumah, namun saya ketakutan melihat kehadiran ramai polis dan bertindak lari ke rumah jiran. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu,” katanya.

Sinar Harian

Lelaki tidak mengaku rompak

3 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di stesen minyak Seksyen 7 di sini, Ogos lalu.

Bagaimanapun, Mohd Naim Abdullah, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Mohd Naim didakwa melakukan rompakan itu bersama dua lagi rakannya yang masih bebas dengan bersenjatakan pisau di Stesen Shell Jalan Lazuar 7/29, Seksyen 7, di sini, kira-kira 6.48 pagi, 14 Ogos lalu.

Dalam rompakan itu, dia didakwa mengambil wang RM870.80 milik stesen minyak itu dan telefon bimbit serta tunai RM150 milik pekerja, Mohd Arman Khan.

Nilai kerugian dianggarkan RM1,400.

Mohd Naim berdepan tuduhan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimim 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abd Rahman memohon mahkamah memberikan ikat jamin RM10,000 dengan alasan Mohd Naim mempunyai rekod lampau membabitkan kes sama.

Mohamed Mokhzani membenarkan permohonan itu dan menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian

CPI mampu pulih jika Najib tegas

3 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara ini, mampu dipulihkan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memperketat penguatkuasaan dan pelaksanaan akta yang telah dibincangkan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anggota Jawatankuasa Khas SPRM, Salahuddin Ayub berkata, menerusi perbinca­ngan bersama SPRM, tindakan Perdana Menteri itu akan membantu mengimplementasikan semua akta yang sudah dipersetujui sebelum ini.

Menurutnya, jika Najib gagal dalam memberi arahan mempertingkatkan usaha kepada SPRM, penurunan yang diharapkan akan hanya sia-sia.

“Setelah Najib memberi arahan, pasti semua pihak memandang serius menangani isu ini dan akhirnya akan pulih sekali gus memuaskan.

“Tidak kira siapa pun, sama ada daripada parti kerajaan mahupun pembangkang, isu ini harus diberi penekanan. Semua pihak bertanggungjawab memastikan indeks ini menurun,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, CPI bukan isu politik kerana semua badan bertanggungjawab dan harus memainkan peranan.

“Laporan audit negara juga sangat penting sebagai kayu pengukur dalam menentukan CPI ini. Ia menjadi penyumbang kepada kadar naik dan turun CPI, ” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Anggota Jawatankuasa Khas SPRM, Tan Seng Giaw berkata, ukuran terhadap CPI sesebuah negara berbeza.

“Kita mengambil indeks ini sebagai ukuran kasar sahaja kerana tiada hasil penyelidikan yangmenunjukkan keputusan tepat dan sempurna.

“Sesuatu penyelidikan perlu mengambil kira semua aspek untuk meningkatkan imej negara,” katanya.

Beliau turut menyarankan aspek pekerjaan diberikan tumpuan bagi menangani gejala rasuah di negara ini.

“Jika semua rakyat faham apa yang boleh dan apa yang tidak saya percaya, CPI negara mampu pulih,” katanya.

Sinar Harian

Kereta dikerumuni harimau lapar

3 Safar 1433H. [MOD] -

SEJUMLAH pelancong yang menaiki sebuah bas menyaksikan beberapa ekor harimau Siberia cuba untuk menangkap seekor ayam mati (dalam bulatan) di Taman Hutan Harimau Siberia di Harbin, China semalam.

HARBIN, China - Sejumlah harimau mendekati sebuah kereta pacuan empat roda di Taman Hutan Harimau Siberia di sini, China semalam.

Kereta itu dinaiki oleh kakitangan yang menjaga harimau itu untuk melemparkan ayam mati kepada haiwan tersebut.

Sejumlah pelancong yang menaiki sebuah bas turut menyaksikan beberapa ekor harimau berebut untuk mendapatkan ayam yang dicampakkan ke arah haiwan tersebut.

Menurut laporan media, lebih 800 ekor harimau Siberia tinggal di taman tersebut yang menjadi pusat pembiakan haiwan yang terancam. - Reuters

ANAK buat aduan kedua isu pelantikan Isa Samad

3 Safar 1433H. [MOD] -

Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini mengemukakan satu lagi aduan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berhubung pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPFB).

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, aduan itu dibuat kerana badan yang dianggotai peneroka itu tidak berpuas hati dengan penjelasan SKM sebelum ini, berhubung pelantikan tersebut.

"Kita minta satu pendirian daripada SKM sama ada Isa benar-benar (menjadi) ahli koperasi Felda," katanya kepada pemberita selepas menghantar aduan berkenaan di pejabat SKM, Kuala Lumpur.

Penjelasan SKM berkenaan didakwa bercanggah dengan satu surat perdana menteri bertarikh 15 Ogos yang menyatakan bahawa Isa merupakan pengerusi KPFB.

Sedangkan, jawapan yang diberikan SKM dalam satu surat bertarikh 10 November lalu menunjukkan Isa belum disahkan sebagai pengerusi KPFB, kata Mazlan.

Malah, surat SKM itu juga tidak menyebut mengenai status keahlian bekas menteri besar Negeri Sembilan itu sebagai ahli KPF, kata Mazlan lagi.

Tambahnya, penjelasan itu perlu memandangkan pelantikan pengerusi KPF mempunyai kaitan dengan penyenaraian satu lagi anak syarikat Felda, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia.

malaysiakini/-

Agensi anti monopoli Itali saman Apple

3 Safar 1433H. [MOD] -

ROM 28 Dis. – Agensi anti monopoli Itali hari ini mengemukakan tuntutan saman berjumlah AS$1.2 juta (RM3.72 juta) terhadap syarikat teknologi terkenal Amerika Syarikat, Apple Inc. berhubung mengeluarkan maklumat yang mengelirukan pengguna.

“Tuntutan saman berjumlah AS$1.2 juta (RM3.72 juta) telah dikemukakan kepada Apple Inc. selepas mendapati syarikat tersebut bertanggungjawab mengamalkan amalan perniagaan yang tidak telus,” kata agensi terbabit.

Apple Inc. dilaporkan memberi maklumat yang tidak jelas berhubung bayaran tambahan yang dikenakan kepada pengguna selain tidak melaksanakan jaminan selama dua tahun atas produk syarikat tersebut. – AFP

Pemuda PAS bantah pindah kes murtad ke mahkamah sivil

3 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Pemuda PAS membantah keras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mahu membawa kesemua kes murtad ke mahkamah sivil dan bukan lagi Mahkamah Syariah seperti sebelum ini.

Ini berdasarkan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.

Media melaporkan, kesemua perbicaraan kes murtad akan dibawa ke mahkamah sivil dan bukan lagi mahkamah syariah selepas Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam diselaraskan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sebelum ini tidak ada penyelarasan kerana ada pesalah dibicarakan di mahkamah syariah dan ada di mahkamah sivil.

“Kes murtad nanti akan berada di bawah mahkamah sivil dan bukan mahkamah syariah kerana jika mahkamah syariah, keseluruhan masalah tidak dapat diselesaikan sebab apabila disebut murtad ia membabitkan pelbagai pihak termasuk bukan Islam.

“Jadi, saya minta supaya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mengatur pertemuan dengan majlis dan jabatan agama Islam negeri-negeri bagi memaklumkan kewujudan enakmen ini,” ujar Jamil Khir selepas mengadakan pertemuan bersama enam pertubuhan bukan kerajaan Islam di sini kelmarin.

"Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa terkejut kerana kerajaan membuat keputusan ini tanpa melihat kepada kesan kes ini terhadap umat Islam di negara ini serta merujuk kepada nasihat para ulama’ terlebih dahulu.

"Sepatutnya kes seperti ini dirujuk dahulu dengan semua pihak supaya tidak menimbulkan pertikaian dan bantahan di kemudian hari," kata Exco Dewan Pemuda PAS, Mohamad Firdaus Jaffar (gambar atas) dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Jerai berkata, DPP Malaysia melihat keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengenai isu ini amat merbahaya dan merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.

"DPP Malaysia mempersoalkan, jika ianya dilaksanakan nanti, bagaimanakah mahkamah sivil boleh memutuskan sesuatu hukuman yang berkait dengan syariat Islam sedangkan mahkamah sivil tiada kuasa memutuskan hal-hal yang berkait dengan undang-undang Islam?

"DPP Malaysia khuatir apakah hukuman kepada pesalah murtad nanti akan berdasarkan kepada hukuman Islam atau sebaliknya.

"Kalau demikian, apakah bidang kuasa mahkamah syariah sekiranya kes murtad juga akan dibicarakan di mahkamah sivil?" katanya.

DPP Malaysia berpandangan, kesan daripada keputusan ini adalah kuasa mahkamah syariah semakin mengecil dan kurang berperanan.

Mahkamah syariah hanya untuk mengendalikan kes-kes kecil seperti nikah, talak, harta pusaka dan lain-lain.

Manakala kes-kes besar seperti murtad, jenayah, dan lain-lain pula dirujuk kepada mahkamah sivil yang mempunyai peranan yang besar, katanya.

"Inilah sistem sekularisma yang masih diamalkan dinegara ini selama ini yang memisahkan antara perundangan menurut Islam dengan bukan Islam.

"Selain itu, hukuman terhadap pesalah murtad juga akan dipandang ringan, malah boleh dicabar oleh mereka yang bukan Islam," tegas beliau.

Apa yang amat dibimbangkan, katanya, adalah hukuman murtad boleh dipermain-mainkan oleh sesetengah pihak sehingga merendahkan kesucian Islam.

Oleh itu, DPP Malaysia mendesak supaya Datuk Seri Jamil Khir Baharom menarik semula usaha membawa undang-undang murtad ke mahkamah sivil.

"Beliau perlu ingat bahawa undang-undang pencegahan murtad seperti yang terkandung di dalam perundangan Islam yang sebenar adalah hukuman yang datangnya dari Allah SWT, bukan direka-reka oleh sesiapa pun.

"Mengubah hukum Islam yang terkandung didalam Al Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW, adalah suatu dosa yang besar dan boleh menyebabkan akidah seseorang itu tergelincir," katanya.

Harakah Daily

Taman tema 2 jam

3 Safar 1433H. [MOD] -

PONTIAN - Fenomena air pasang besar di Taman Negara Tanjung Piai, mengundang suasana pesta buat orang ramai dan penduduk tempatan untuk merasai keseronokannya bersama keluarga.

Sungguhpun kemeriahan hanya berlangsung sekitar dua jam ketika kemuncak air pasang bermula jam 12 tengah hari semalam, namun ia sudah cukup menarik perhatian orang ramai menikmatinya, bagaikan berada di taman tema.

Malah, ada dalam kalangan pengunjung itu ada membawa pelampung bersama mereka ke daratan penghujung di benua Asia ini. Kejadian yang berlaku tiga hari ketika air pasang besar itu, berjaya menarik ratusan pengunjung di sini.

Ketua Kampung Tanjung Piai, Rohaizat Abdul Hamid berkata, kejadian seperti itu jarang berlaku, terutamanya pada hujung tahun, dan penduduk tempatan khususnya sememangnya menantikan berlakunya kejadian pasang besar ini.

Katanya, kebanyakan penduduk dari sekitar taman negara itu seperti Kampung Serkat dan Kampung Tanjung Piai, sedia maklum menge­nainya yang mana air akan memenuhi kawasan halaman masuk ke taman negara setinggi paras buku lali.

“Walaupun air pasang besar dikaitkan dengan air kotor, selain turut membawa sampah sarap, namun keadaan itu tidak berlaku di sini.

“Sebaliknya air laut yang mengalir di sini, bersih dan sejuk memandangkan terdapat paya bakau di sekelilingnya,” katanya.


Langkah keselamatan diambil

Sementara itu, Pengurus Taman Negara Tanjung Piai, Khalid Zahrom berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kejadian itu dan telah menyediakan langkah keselamatan bagi pengunjung.

Katanya, pe­ngunjung yang hendak memasuki kawasan paya ba­kau di taman negara berkenaan, perlu melalui laluan terletak di sebelah pintu masuk utama di bahagian hadapan.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan yang lain turut dititikberatkan dan akan memaklumkan dari masa ke masa mengenai ketinggian air pasang di kawasan berkenaan.

“Pengunjung yang pertama kali menjejakkan kali Taman Negara Tanjung Piai ini teruja melihat dan seronok melihat orang ramai bermain air pasang yang mungkin tidak dapat dilihat di mana-mana tempat di negara ini,” katanya.

Malah katanya, kehadiran pelancong dan penduduk tempatan di taman negara itu cukup menggalakkan bagi tempoh tersebut.

“Biasanya apabila berlakunya air pasang, orang ramai akan menjauhkan diri kerana bimbang akan keselamatan, tetapi kami memberikan peluang mereka untuk bermain dengan pengawasan ibu bapa,” katanya.


Pengunjung seronok main air

Seorang pengunjung dari Sabah, Farah Mohd Raslim, 28, yang pertama kali menjejakkan kali ke Taman Negara Tanjung Piai yang cukup dikenali sebagai Penghujung Benua Asia ini, teruja dan seronok kerana dapat melihat pesta air pasang di sini.

“Ini adalah pengalaman pertama melihat orang ramai bermain air dan rasanya ianya perlu dijadikan tarikan baru kepada pelawat yang mahu datang ke taman negara ini,” katanya.

Siti Zubaidah Sharin, 29, berkata, kunjungannya ke taman negara ini bersama keluarga pada kali ini disifatkan sebagai ‘bertuah’ kerana dapat menyaksikan kejadian air pasang besar yang jarang berlaku.

Katanya, dia dan suami akan menjadi taman negara ini sebagai lokasi pilihan bersiar-siar bersama anak-anak pada masa lapang.

Sementara bagi Sudin Mohammad, 48, dia sememangnya sudah biasa dengan keadaan itu dan kesempatan itu digunakannya untuk bermain bersama anak-anak.

Sinar Harian

‘Toyol’ masjid kena cekup

3 Safar 1433H. [MOD] -

RAUB - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencuri wang milik salah seorang jemaah Masjid Tengku Abu Bakar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superin-tendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, seorang remaja berusia 19 tahun meletakkan begnya yang berisi dompet dan wang tunai RM200 di ruang solat wanita.

Menurutnya, lebih kurang jam 8.50 pagi itu, mangsa ke tandas sebelum masuk semula ke dalam masjid dan mendapati beg pakaiannya terbuka dan dompet telah tiada.

“Mangsa sempat bertanyakan beberapa individu yang berada di sekitar masjid dan pihak pengurusan masjid juga mendapat makluman awal berkaitan kes kecurian itu.

“Berdasarkan maklumat orang ramai, suspek berjaya ditahan di Perhentian Bas dekat Pusat Perdagangan Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Serendah, Selangor itu menyimpan wang RM200 dalam dompetnya.

Katanya, suspek bertindak mengeluarkan wang dan membuang dompet mangsa ke dalam salah sebuah pasu di masjid berkenaan.

“Suspek juga menunjukkan sendiri lokasi dompet mangsa yang dibuangnya dan ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif.

“Suspek pernah bekerja sambilan di sebuah kedai makanan dekat Bandar Raub dan difahamkan baru sahaja berhenti kerja,” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, pada malam sebelum kejadian, suspek dipercayai baru sahaja sampai dari Serendah dan tidur di masjid itu.

Katanya, suspek mendakwa melakukan perbuatan mencuri itu kerana ingin dijadikan tambang bas untuk pulang semula ke kampungnya di Serendah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati termasuk ketika berada dalam kawasan masjid atau surau supaya menjaga barangan berharga termasuk wang dan telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, tindakan suspek memulangkan semula dompet yang diambilnya dalam beg pakaian mangsa akhirnya memerangkap dirinya sendiri.

Imam Dua Masjid Tengku Abu Bakar, Abd Rahman Mohd Ali berkata, ketika kejadian beliau sedang memeriksa alat pembesar suara dalam masjid itu.

Menurutnya, pada masa itu dia terlihat seorang remaja lelaki mencampak dompet ke dalam sebuah pasu di penjuru masjid berhampiran tempat wuduk dan tandas wanita.

“Pada waktu itu saya menggunakan mikrofon untuk menguji sistem bunyinya dan sempat saya menjerit sebagai respons apabila melihat perbuatan remaja itu.

“Orang ramai juga keluar dari premis berdekatan dan sempat melihat kelibat suspek melarikan diri keluar dari kawasan masjid menuju ke bandar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Abd Rahman berkata, dia sempat menceritakan kepada anggota polis berdekatan tentang kejadian berkenaan dan menerangkan ciri-ciri fizikal remaja itu.

“Dalam masa singkat sahaja, polis dapat mengesan kedudukan lokasi suspek ketika itu dan berjaya memberkasnya,” katanya.

Sinar Harian

2012: Fajar untuk Negara Berkebajikan

3 Safar 1433H. [MOD] -

Tanpa sedar, masa begitu pantas berlalu. Segala hiruk-pikuk 2011 yang ditinggalkan kekal menjadi batas tauladan baik dan buruk dalam kelangsungan rentak hidup yang kian pantas.

Ketidaktentuan 2011

Tirai 2011 yang bakal berlabuh menyaksikan iklim ekonomi global ibarat turun dan naik permainan ‘roller coaster’ yang mengerikan. Ketidaktentuan (volatility) yang dipandu elemen ketakutan (fear) dan tamak (greed) menjerumuskan kuasa besar Amerika dan Eropah ke lembah kemelesetan dan kemelut hutang yang kian menjerut.

Iklim politik global pula tidak kurang mendebarkan, khususnya di Timur Tengah yang menyaksikan kebangkitan rakyat dan generasi muda berjaya menjatuhkan rejim kuku besi yang mengongkong kebebasan dan hak rakyat, di samping kebangkitan golongan buruh di Amerika dan Eropah yang tertindas dek kezaliman kapitalis dan sistem ekonomi yang tidak seimbang.

Lanskap ekonomi dan politik di Malaysia juga dilatari warna-warni yang rencam. Ekonomi 2011 dicatat berkembang pada tahap sederhana dan turut menyaksikan turun dan naik ‘roller coaster’ indeks KLCI yang mendebarkan bermula di paras 1,582 mata pada 2 Januari, mencecah paras tertinggi di 1,594 mata pada 8 Julai dan menjunam ke paras terendah di 1,331 mata pada 26 September.

Ringgit yang bermula kukuh apabila buat pertama kali mencecah paras 3.00 berbanding USD sejak diapungkan mula hilang rentak di penghujung tahun dan kembali menyusut ke paras 3.19 pada 15 Disember.

Harapan dan debaran 2012

Tirai 2012 yang bakal menyinsing menjanjikan 1001 harapan dan debaran untuk Malaysia. Kedudukan ekonomi domestik dijangka tidak seindah khabar.

Dayatahan ekonomi negara yang kadar hutangnya tinggi dilihat goyah dalam menempuh tempias kemelut hutang di Eropah dan kemelesetan permintaan di Amerika.

Pertumbuhan ekonomi 2012 diunjur pada kadar 4% - 5% manakala indeks inflasi dijangka meningkat pada kadar 4% menatijahkan kenaikan berterusan harga barang yang mencengkam
survival kehidupan rakyat pertengahan dan bawahan, baik di kota mahupun di luar bandar.

Kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur merupakan realiti yang tidak dapat dinafikan. Pendapatan isi rumah RM3,000 sekadar mencukupi untuk kehidupan asasi (basic living), kadar RM6,000 memberi sedikit keselesaan (decent living), manakala pendapatan lebih RM10,000 mampu memberi kemewahan (comfort living). Namun, 40% isi rumah di Malaysia berpendapatan bawah RM2,500 sebagaimana dilapor oleh UNDP’s Millennium Development Goals 2010 Report of Malaysia.

Debaran pastinya tertumpu pada tarikh PRU13 yang bakal diumum oleh PM Najib Tun Razak. Tidak sukar meramalkan PRU13 bakal menempa status pilihanraya paling sengit dalam sejarah politik negara ini selepas Tsunami 2008 yang menafikan 2/3 majoriti BN di parlimen.

Pengundi muda pemangkin kebangkitan

Robert Frost (1874-1963) ada mengungkapkan saranan untuk menempa perubahan di dalam syairnya yang popular, The Road Not Taken, “Dua denai yang tersimpang, dan aku.. aku memilih denai yang jarang ditempuhi, dan ia telah mengubah segalanya”.

Tahun 2012 bakal menjadi medan penentu kepada golongan muda melakar peta masa hadapan baru di Malaysia.

Melihat kepada peningkatan pengundi baru dan pengundi muda yang dianggarkan sekitar 50%
daripada jumlah pengundi berdaftar kali ini, keputusan penentu PRU13 jelas terletak di tangan 2 daripada 2 pengundi muda di saluran 3 dan 4 peti undi yang pastinya teruja untuk memilih pemimpin yang mampu membawa sinar baru di Malaysia.

Generasi muda dan golongan mahasiswa negara dilihat kian berani menzahirkan suara dan pendapat dek tempias percikan peluh teman-teman di Timur Tengah yang bangkit memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

Akses kepada internet dan laman sosial serta kepantasan jaringan maklumat di Facebook, Youtube, Twitter, Blackberry dan Whatsapp berjaya memecah tembok pemikiran dan
membudayakan suasana percambahan idea secara terbuka.

Persoalannya, apakah bentuk kehidupan berkebajikan yang diimpikan generasi muda sekarang?

Apakah gaya hidup anak muda yang suka berhibur dan berhubung akan terencat apabila bertukar sang penguasa di tampuk pemerintahan? Apakah aspirasi generasi pasca-merdeka dan gen-Y?
Perlu diyakini, dasar dan program pembangunan berkebajikan pastinya menguntungkan generasi
muda negara serta selari dengan aspirasi dan jiwa anak muda.

Negara berkebajikan secara prinsipnya merupakan sebuah kerajaan beramanah yang berpaksikan prinsip adil dan ehsan di dalam seluruh sistem pemerintahan yang membawa kepada pembinaan sebuah masyarakat yang berlumba-lumba melakukan kebaikan dan bekerjasama ke arah kejayaan.

Penumpuan akan diberi kepada agenda pembangunan seimbang di antara aspek fizikal dan spiritual di kalangan generasi muda. Tawaran dalam bentuk pendidikan berkualiti (bantuan pendidikan, mansuh PTPTN, mansuh AUKU, pengupayaan autonomi universiti, kebebasan mahasiswa), ekonomi saksama (pengukuhan perbankan islam, skim pembiayaan perniagaan, pemansuhan monopoli, penstrukturan subsidi, pemerkasaan FELDA), perkhidmatan kesihatan yang cekap (akses menyeluruh, kos minima), pembinaan institusi keluarga (rumah mampu milik, elaun khas suri rumah, hiburan mendidik), pengupayaan sektor pekerja (pembelajaran sepanjang hayat, elaun sara hidup) dan peningkatan kualiti pengangkutan awam bakal menatijahkan kehidupan yang lebih sejahtera.

Dana-dana pembangunan belia yang bernilai ratusan juta setiap tahun akan diurus secara saksama dan diagih mengikut merit tanpa mengira jalur politik atau kaum. Nyanyian dan konsert tiada salahnya jika tidak membinasakan diri dan keluarga.

Gaya hidup anak muda yang secara fitrahnya suka berhibur dan berhubung akan disuburkan dengan nilai-nilai pembinaan jatidiri demi kebaikan masyarakat seluruhnya.

Memetik ungkapan Pak Hamka, “Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan tidak berlaku zalim di atasnya”.

Islam itu sifatnya adil dan sempurna, amanah adalah kuncinya. “Dan (ada lagi) kurnia yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang hampir waktunya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (As-Saff: 13) 2012, fajar untuk negara berkebajikan, insyaAllah.

Harakah Daily

1,055 buah kereta Honda dimusnahkan

3 Safar 1433H. [MOD] -

BANGKOK – Pembuat kereta No.1 Jepun, Honda mula memusnahkan sebanyak 1,055 buah kereta buatannya di Thailand semalam.

Tindakan itu dilakukan bagi meyakinkan para pelanggan bahawa tiada kenderaan yang rosak akibat banjir di negara berkenaan dijual kepada mereka.

Honda dalam satu kenyataan memberitahu, proses memusnahkan semua kenderaan di kilang Honda di tengah wilayah Ayutthaya itu dijangka mengambil masa selama sebulan.

Kilang Honda terletak di Taman Industri Rojanam yang merupakan kawasan yang ditenggelami air pada awal Oktober lalu.

Bencana berkenaan menyebabkan pengeluaran kilang tersebut terpaksa dihentikan manakala gambar-gambar dari udara menunjukkan ratusan buah kereta Honda digenangi air berselut.

“Walaupun kami dapat memindahkan banyak kereta baharu ke kawasan selamat, sejumlah kereta yang ada di kilang ini rosak akibat banjir,” kata Timbalan Presiden Eksekutif Honda Automobile Thailand, Pitak Pruittisarikorn.

“Kami tidak menjual kereta yang rosak ini kepada pelanggan, menjual atau mengguna semula sebarang bahagian kenderaan tersebut,” tambahnya.

Kebanyakan kereta yang akan dimusnahkan merupakan model kereta sedan saiz pertengahan seperti Honda City, Honda Brio dan Honda Jazz.

Lebih 700 orang terkorban dalam banjir yang menjejaskan 65 daripada 77 wilayah yang terletak di kawasan rendah di Thailand sejak beberapa bulan lalu.

Banjir tersebut turut menyebabkan tujuh taman industri utama terpaksa ditutup sekali gus mengganggu rangkaian bekalan global. – AFP

Cahaya lampu bandar di Portugal dilihat di angkasa lepas

3 Safar 1433H. [MOD] -

FLORIDA -Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan imej cahaya lampu di bandar-bandar di Portugal dan Sepanyol yang dirakamkan dari angkasa lepas.

Seorang angkasawan merakamkan gambar itu dari Stesen Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) baru-baru ini.

Gambar itu menunjukkan kawasan yang dilimpahi cahaya lampu di bandar-bandar di Portugal dan Sepanyol. – AFP

Pas percaya dapat perangi rasuah

3 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Pas Perak menyifatkan amalan rasuah di negara ini hanya dapat dibanteras jika PR memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pesuruhjaya, Abu Bakar Hussain berkata, kes rasuah di negara ini cukup membimbangkan dan sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan gejala ini tidak pernah surut, bahkan sentiasa membuak-buak dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, pelbagai kempen dan strategi dilaksanakan khususnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun sehingga kini hanya kumpulan bawahan sahaja yang dikenakan hukuman, manakala kumpulan atasan seolah-olah kebal dari segala hukuman.

“Sebagai sebuah negara yang memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi negara dan majoriti rakyatnya pula beragama Islam, gejala yang menular dalam masyarakat kita hari ini cukup memalukan.

“Sepatutnya, kerajaan yang memerintah hari ini perlu lebih proaktif untuk membanteras gejala rasuah daripada terus menjadi barah kepada masyarakat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah beliau, kecuaian dan pengabaian dalam memelihara ajaran Islam dan tidak menjadikannya sebagai agenda utama dalam pentadbiran negara akan menyebabkan rasuah akan terus kekal bermaharajalela dan sukar diperangi.

“Satu-satunya cara untuk memerangi gejala rasuah ialah dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan bukannya menggunakan Islam hanya apabila tersepit sahaja” ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya duit yang berbilion yang tiris dan bocor kerana rasuah dapat dibendung serta digunakan untuk kegunaan manfaat rakyat, negara akan lebih maju lagi.

Sinar Harian

Silap pukul kerana gelap

3 Safar 1433H. [MOD] -

MARANG - Niat buruk membawa padah. Seorang penghidap HIV dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun setelah tersilap memukul rakannya sendiri menggunakan sebilah parang di sebuah kilang baja pada 15 September lalu ketika ingin berbincang masalah hutang.

Natijahnya, tertuduh, Amzul Jusoh, 39, Kampung Rhu Muda didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Marang di sini, semalam dan hukumannya berlangsung serentak dari tarikh sabitan.

Berdasarkan pertuduhan, pada 15 September lalu antara jam 2.30 pagi hingga 3.30 pagi di Sea Union Fishmill Sdn Bhd di Kampung Batangan, Marang tertuduh didapati telah menyebabkan kematian Hassan Harun, 37, dengan mengetahui bahawa perbuatan itu mungkin menyebabkan kematiannya.

Dengan itu, dia didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh kemudiannya mengaku bersalah atas perbuatan itu namun dalam pembelaannya berkata, dia mempunyai seorang ibu tua yang uzur dan pada masa sama, menghidap HIV yang memerlukan rawa­tan berkala di hospital.

Tertuduh mengharapkan hukumannya diringankan dan dijalankan di Penjara Marang bagi kemudahannya mendapatkan rawatan.

Timbalan Pendakwaraya, Nazlyza Mohamad Nazri dalam hujahnya pula mengharapkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan tertuduh dan memberitahu, tertuduh mempunyai beberapa rekod jenayah.

Majistret Nor Azizah Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan berlangsung serentak dari tarikh sabitan.

Ketika ini, tertuduh sedang menjalani hukuman penjara selama tiga tahun kerana melanggar syarat perintah sekatan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama mangsa dan seorang lagi rakan pergi ke kawasan kilang berkenaan kira-kira jam 3 pagi untuk berbincang masalah hutang dengan seorang lagi rakan mereka.

Bagaimanapun, tertuduh yang ketika itu memegang sebilah parang tersalah memukul mangsa berikutan keadaan persekitaran yang gelap.

Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan serius pada kepala dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa yang koma selama 12 hari akhirnya meninggal dunia kira-kira jam 8.05 malam pada 27 September lalu di Unit Rawatan Rapi HSNZ.

Setelah sebulan diburu, tertuduh akhirnya berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Rhu Muda, Marang kira-kira jam 3.45 petang pada 24 Oktober lalu bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tekad kumpul 5,000 ahli DHPP Perak

3 Safar 1433H. [MOD] -

IPOH – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Negeri yang akan dilancarkan 31 Disember ini menjadikan ia sebagai cabang baru yang sah dalam Pas.

Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Perak, Beh Heng Ken berkata, dewan yang terdiri daripada kaum Cina dan India itu sekali gus menghapus keraguan kaum lain untuk menyertai perjuangan berlandaskan Islam.

“Kami cuba sedaya upaya mendekati ahli baru dengan berlandaskan perjuangan Islam walaupun berbeza bangsa. Kami ditubuhkan hampir dua tahun lalu berjaya mengumpulkan lebih 5,000 ahli.

“Dengan pelancaran ini, kami yakin dewan ini akan mendapat sambutan dan ia menjadikan kami sebagai Dewan Himpunan Penyokong Pas yang sah dan diiktiraf,” katanya kepada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, majlis yang dihadiri lebih 500 ahli akan dirasmikan Penasihat Dewan Himpunan Penyokong Pas, Salehuddin Ayob di Dewan Budaya, Jalan Tun Razak.

“Ia menjadi satu sejarah kepada negara apabila parti Islam mempunyai cabang yang diwakili penyokongnya yang terdiri daripada kaum lain.

“Kami bersedia berjuang bersama dengan Pas untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13,” katanya.

Sinar Harian