24 December 2011

Pesakit mati selepas alat kelamin putus digigit tikus

28 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang pesakit radang paru-paru atau pneumonia dipercayai mengalami pendarahan teruk sehingga maut akibat alat kelamin lelakinya putus digigit tikus di sebuah hospital kerajaan di Kolkata, di India, demikian menurut laporan sebuah media tempatan.

Kejadian menakutkan itu berlaku di Hospital SSKM semalam ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu, kata akhbar Asian Age.

Pihak berkuasa hospital berkenaan mengakui banyak tikus berkeliaran dalam wad namun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.

"Tidak seorangpun jururawat berada bersama pesakit yang mengerang kesakitan. Alat kemaluan lelakinya putus digigit tikus," kata seorang saudara kepada lelaki malang itu yang hanya dikenali sebagai Bishwanath kepada pemberita.

Ahli keluarga mangsa yang datang melawat menemui Arun mati berlumuran darah, kata laporan itu.

Kejadian malang di hospital yang tidak cukup kelengkapan dan sesak dengan pesakit di Kolkata, ibu negeri Bengala Barat itu telah menarik tumpuan media beberapa minggu kebelakangan ini.

Sabtu lalu, seorang pekerja pembersih hospital yang pemabuk di Kolej Perubatan Calcutta dilaporkan telah mencabut topeng oksigen seorang bayi yang berusia tiga minggu mengakibatkan kematiannya.

Dalam satu lagi tragedi malang di sebuah hospital swasta juga di Kolkata, pada 9 Disember lepas, lebih 90 orang mati lemas terhidu asap dalam satu kebakaran di bangunan hospital tersebut.

- Bernama

Saya tarik balik kritik Negara Berkebajikan - Hasan Ali

28 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.

Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

“Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

“Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

“Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

“Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan,” katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

Rakyat Korea beri penghormatan terakhir kepada Kim Jong il

28 Muharram 1433H - RAKYAT Korea Utara membanjiri Kim Il Sung Square bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemimpinnya, Kim Jong il di Pyongyang, Jumaat (waktu tempatan). Malah, jutaan rakyat negara itu di kawasan perkampungan dan bandar seluruh negara turut berkabung. Imej diambil menerusi televisyen KRT - Foto AP

Al Fatihah : Adun Tendong meninggal dunia

28 Muharram 1433H. [MOD] -

PASIR MAS, 24 Dis: Ahli Dewan Undangan Negeri (PAS) Tendong, Dr Muhammad Md Daud (Gambar) telah pulang kerahmatullah jam 12.55 malam tadi.

Menurut Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Haji Hanifa Ahmad, Dr Muhammad dipercayai mendapat serangan jantung.

Jenazah beliau dijangka akan dikebumikan tengah hari ini iaitu selepas solat zohor.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dimaklumkan dan dijangka akan hadir sama untuk menyolatkan jenazah tersebut.

Jenazah Adun berkenaan kini berada di rumah di Lorong Haji Daud, Kampung Perakap, Bunut Susu.

Hanifa berkata, pagi kelmarin allahyarham sempat hadir ke Pasti Pasir Mas untuk mengambil bekalan banjir yang akan diagihkan untuk penduduk dalam Dun Tendong yang mengalami banjir baru-baru ini.

Hanifa juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga allahyarham.

Al Fatihah : Hamid Othman meninggal

28 Muharram 1433H. [MOD] -

Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman

Bekas Menteri di JPM diserang angin ahmar ketika bekerja

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman,(Gambar) 72, meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan angin ahmar. Allahyarham yang bertugas sebagai Penasihat Maju Holdings Sdn Bhd meninggal dunia kira-kira jam 4.45 petang ketika sedang menjalankan urusan kerja di pejabatnya di Maju Junction di sini.

Pegawai peribadinya, Nor Azhar Yusof, berkata sebelum serangan itu beliau kelihatan sihat namun tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas.

“Kakitangan pejabat memanggil saya apabila melihat Allahyarham mengalami sesak nafas dan kami semua cuba memberi bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan namun lima minit kemudian Tan Sri telah tiada.

“Allahyarham mempunyai sejarah penyakit lain iaitu sakit jantung dan diabetis,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata jenazah Abdul Hamid dibawa pulang ke kediamannya di Taman Tenaga, Batu 9, Jalan Puchong.

Penasihat Agung Pusat Kebajikan Wanita dan Keluarga (KEWAJA) itu meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Mohd Said, 68, seorang anak, Wafi Nazrin serta lima orang cucu.

Allahyarham yang dilahirkan pada 21 Julai 1939 di Kampung Kemelong, Mukim Sik, Kedah pernah mengetuai Pusat Islam Malaysia di Jabatan Perdana Menteri sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam.

Abdul Hamid memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1995 sehingga 1999. Sebelum itu pada tahun 1990 beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 2001, Abdul Hamid dilantik sebagai Penasihat Agama kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudian Penasihat Agama kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2005 hingga 2009. – BERNAMA

Gempa bumi kuat gegar Christchurch

28 Muharram 1433H. [MOD] -

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan kawasan New Brighton dan Burwood ditenggelami banjir lumpur selepas gempa bumi dengan kekuatan 5.8 melanda Christchurch semalam.
PEMANDANGAN dari udara menunjukkan kawasan New Brighton dan Burwood ditenggelami banjir lumpur selepas gempa bumi dengan kekuatan 5.8 melanda Christchurch semalam.

Empat mangsa terselamat, semua kompleks beli-belah terpaksa ditutup

WELLINGTON: Gempa bumi kuat melanda bandaraya Christchurch di New Zealand semalam, menggegarkan bangunan, menyebabkan barangan di atas rak runtuh serta mencetuskan panik di kalangan penduduk yang sibuk membeli belah. Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan bandar terselamat daripada kerosakan besar.
Seorang penduduk cedera di sebuah pusat beli belah di bandar dan dirawat di hospital, empat orang diselamatkan selepas terperangkap akibat runtuhan batu, kata polis Christchurch dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, tiada laporan kecederaan jelas atau kerosakan meluas di bandar, yang baru pulih daripada gempa bumi Februari lalu yang mengorbankan 182 orang serta merosakkan kebanyakan kawasan di bandar lama.

Agensi Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan, gempa pertama dengan magnitud 5.8 berlaku tengah hari semalam, 26 kilometer di utara Christchurch dengan kedalaman empat kilometer, kata Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Beberapa minit kemudian, satu gegaran susulan dengan magnitud 5.3 pula melanda dan kira-kira sejam selepas itu, bandar itu digegarkan dengan gempa magnitud 5.8. Kedua-dua gegaran susulan berlaku pada kedalaman kurang lima kilometer.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik tidak mengeluarkan amaran tsunami.
Lapangan terbang bandaraya itu dikosongkan selepas gempa pertama dan semua pusat beli belah di bandar itu ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengurus Pihak Berkuasa Pemulihan Gempa Bumi Canterbury, Warwick Isaacs, berkata kebanyakan bangunan dikosongkan “sebagai langkah kecemasan.”

Kawasan itu merekodkan lebih 7,000 gempa susulan sejak gempa bumi dengan magnitud 7 menggegarkan bandaraya itu pada 4 September tahun lalu.

“Runtuhan batu dan banjir lumput berlaku di sebuah kawasan apabila tekanan gempa memaksa air bawah tanah memancut menerusi tanah yang longgar, di beberapa kawasan,” kata Isaacs kepada Radio Nasional New Zealand.

“Ada banyak barang jatuh dari almari, rak di kedai berulang kali. Ia bermula perlahan kemudian kuat. Ia adalah gegaran besar namun bukan mengejutkan atau seganas Februari lalu,” kata penduduk Christchurch Rita Langley.

Keadaan gegaran teruk berlaku di bandar pelabuhan berhampiran di Lyttelton, pusat gempa 22 Februari lalu.

“Kami tinggal di dalam bangunan sehingga gegaran berhenti. Kemudian barulah kami keluar,” kata penduduk Andrew Turner. “Penduduk secara emosinya terkejut dengan apa yang berlaku tengah hari ini.”

Kira-kira 15,000 rumah dilaporkan terputus bekalan elektrik selepas jaringan bekalan rosak di pinggir timur bandar ini. Perkhidmatan pembetungan juga terputus. Beratus kilometer pembetung dan saluran air dibaiki di bandar itu sejak gempa Februari lalu.

Sebahagian bangunan yang runtuh dan sebuah rumah kosong runtuh selepas gempa semalam, kata polis.

Pengurus Persatuan Perniagaan Pusat Bandar Paul Lonsdale berkata gempa itu muncul ketika hari paling buruk buat peruncit, dengan penduduk bergegas menghabiskan beli belah untuk Krismas.

Walaupun gempa besar, tiada kerosakan nyata di daerah pusat perniagaan, di mana 28 kedai dibuka semula di kontena perkapalan selepas bangunan mereka musnah dalam gempa Februari lalu, katanya. – AP

40 maut dalam serangan bom berani mati di Syria

28 Muharram 1433H. [MOD] -

DAMSYIK 24 Dis. - Lebih 40 orang terbunuh dalam dua serangan bom berani mati di bangunan-bangunan kerajaan di sini, semalam, kata Kementerian Luar Syria.

Menteri Luar Syria, Faisal Meqdad berkata, serangan itu menyebabkan lebih 40 orang maut manakala 100 lagi cedera.

"Kejadian ini merupakan 'hadiah' daripada pengganas dan al-Qaeda untuk pasukan pemantau dari Liga Arab yang baru tiba di negara ini," katanya. - AFP

Saluran minyak Colombia meletup, 7 maut

28 Muharram 1433H. [MOD] -

BOGOTA 24 Dis. - Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh manakala 60 lagi cedera dalam kejadian letupan saluran paip minyak di barat Colombia, awal pagi semalam.

Datuk Bandar Dosquebradas, Luz Ensueno Betancur berkata, kejadian itu mungkin ada kaitan dengan kes kecurian minyak.

Katanya, punca letupan masih lagi disiasat. - AFP

Satelit komunikasi Rusia terhempas selepas dilancarkan

28 Muharram 1433H. [MOD] -

MOSCOW 24 Dis. - Sebuah satelit Rusia dilaporkan terhempas di Siberia, selepas dilancarkan, semalam, menjadikan ia sebagai kejadian terbaru membabitkan program angkasa negara Komunis itu yang menemui beberapa kegagalan pada tahun lalu.

Agensi berita Interfax yang memetik sumber agensi angkasa Rusia berkata, satelit komunikasi Meridian 'terhempas di kawasan Siberia' sebaik berlepas dari tapak pelancaran Plesetsk.

Katanya, satelit itu dipercayai terhempas di pekan Tobolsk di barat Siberia. - AFP