18 December 2011

1 maut, 9 cedera kubah masjid roboh di Turki

22 Muharram 1433H. [MOD] -

ANKARA: Seorang pekerja binaan maut, manakala sembilan yang lain cedera apabila kubah masjid dalam pembinaan, roboh semalam.

Datuk Bandar Ankara, Hasan Unver, berkata ia berlaku di Acigol, kawasan perindustrian terletak di pusat bandar Turki.

Ketika kejadian, kubah masjid itu jatuh, mengakibatkan 10 pekerja terperangkap di bawah timbunan besi.

“Sembilan pekerja berjaya diselamatkan namun mereka cedera parah dan seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Pihak berkuasa Turki masih menyiasat punca kejadian. – AP

2 terbunuh pelantar minyak Russia terbalik

22 Muharram 1433H. [MOD] -

VLADIVOSTOK (Russia): Sekurang-kurangnya dua terbunuh manakala 50 yang lain hilang apabila pelantar minyak di perairan Far Eastern Okhotsk, Russia terbalik, hari ini.

Platform pelantar minyak Kolskoye terletak 200 meter dari pesisir pantai ketika kemalangan berlaku pada jam 1.45 pagi (waktu tempatan).

Selain keadaan air laut yang sejuk, angin kuat memburukkan lagi keadaan dengan suhu kawasan sekitarnya dicatatkan pada -17 darjah celsius.

Ketika kejadian, 67 pekerja pelantar berada di atas platform terbabit, yang mana ia terpaksa dikeluarkan oleh bot tunda dan bot pemecah ais dari semenjung Kamchatka menuju ke arah pulau Sakhalin.

"Ketika ini, petugas penyelamat sudah menemui dua mayat dan mereka sedang cuba menariknya keluar dari air," kata jurucakap Kementerian Kecemasan Russia di sini, hari ini. - AFP

PKR dedah pautan bantuan Bank Dunia pada Dr M

22 Muharram 1433H. [MOD] -

PKR hari ini terus mempertahankan pendiriannya bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah terlibat dengan bantuan Bank Dunia semasa era pemerintahannya.

Dalam kenyataan hari ini, parti itu malah mendedahkan pautan ke laman Bank Dunia yang dikatakan "jelas menunjukkan komitmen Bank Dunia kepada Malaysia".

Kedua-dua pautan ituboleh dilayari di alamat http://go.worldbank.org/U29R77EBX0 dan http://www.worldbank.org/projects/searchlang=en&searchTerm=&countryshortname_exact=Malaysia&src=.

"Rujukan pada pautan di bawah adalah bukti jelas betapa Tun Dr Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan beliau yang terdahulu," demikian menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir semalam mencabar Anwar bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikannya pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang didakwa.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian sebaliknya menolak permintaan daripada Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.

Sehubungan itu, PKR dalam jawapan balasnya itu turut membangkitkan isu lain membabitkan kepentingan dalam syarikat arak.

"Sewajarnya sebelum mantan perdana menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al Quran, eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel," katanya.

Malaysiakini/-

Hudud: MCA hina, DAP sekadar beza pandangan

22 Muharram 1433H. [MOD] -

MACHANG, 18 Dis: Kefahaman mengenai hudud di antara pemimpin MCA dan DAP jauh berbeza, di mana MCA sampai ke peringkat menghina, sebaliknya DAP hanya mempertikai aspek perlembagaan sahaja.

Buktinya Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini mendakwa pelabur akan meninggalkan Malaysia dan negara bakal berhadapan dengan kemusnahan jika hukum hudud dilaksanakan.

Sebaliknya pemimpin DAP terutamanya pengerusinya Karpal Singh sebelum ini hanya sekadar menganggap hudud bercanggah dengan perlembagaan.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasar kepada kenyataan presidennya pemimpin MCA secara jelas menghina hudud.

“Soi Lek mendakwa pelabur akan lari dan negara bakal musnah apabila perundangan hudud dilaksanakan di negara ini.

“Sebaliknya kalau kita lihat kenyataan pemimpin DAP tidak ada yang menentang sebegitu keras, sebaliknya sekadar menyebut ada percanggahan di sisi perlembagaan sahaja,” katanya pada satu program di Labok semalam.

Menurutnya juga wakil kerajaan Kelantan telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh membincangkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Katanya, Kelantan diwakili beliau sendiri, anggota-anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Muhamed Fadzli Hassan, anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yussof.

Menurutnya pada pertemuan tersebut wakil kerajaan negeri menjelaskan panjang lebar mengenai perundangan hudud, biar pun ketika itu DAP ada pendiriannya tersendiri.

Beliau juga menjelaskan kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi mengkaji kaedah pelaksanaan perundangan tersebut.

Katanya, jawatankuasa seramai 20 orang itu turut menyenaraikan Ketua Polis Kelantan, Pengarah Jabatan Penjara, ulama dan pakar perundangan Islam.

Kata beliau penglibatan sama pihak polis dan penjara penting kerana mereka akan menguatkuasa peraturan di bawah perundangan hudud apabila seseorang itu didapati bersalah.

Malah Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad sebelum ini menjelaskan pihak-pihak terbabit perlu memberi kerjasama bagi menguatkuasa perundangan hudud.

Harakahdaily/-

Hakim kes Husam saman Kickdefella tarik diri

22 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 18 Dis: Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah menarik diri daripada mengendalikan kes saman fitnah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap blogger Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella).

Keputusan menarik diri dibuat dengan mengambil kira beliau mengenali kakak Syed Azidi dan juga kenal Husam ketika menuntut di Universiti Malaya.

Keputusan itu dibuat katanya bagi mengelakkan tanggapan yang tidak sesuai kepada mahkamah, dan lebih baik baginya menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Sehubungan itu kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (1), Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel berunsur fitnah terhadap plaintif.

Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).

Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Bagaimanapun pada 9 Oktober lalu Syed Azidi memohon Mahkamah Tinggi memindahkan perbicaraan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam afidavitnya itu beliau mendakwa aspek keselamatan diambil kira dalam permohonan memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Disebut juga beliau kini berada di bawah jagaan pihak polis.

Pada korum hari ini sepatutnya mahkamah mendengar hujahan di atas permohonan Syed Azidi memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun disebabkan Hakim Azman menarik diri hujahan peguam defendan ditangguhkan ke 29 Januari hadapan.

Husam diwakili peguam Hisham Fauzi dan Zainal Abidin Mustapha, manakala Syed Azidi diwakili Dato' Firoz Hussein dan Natasya Amelia Yean daripada firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Harakahdaily/-

Kapal pendatang tanpa izin karam di kepulauan Indonesia

22 Muharram 1433H. [MOD] -

JAKARTA: Sebuah kapal kayu yang dipercayai membawa lebih 200 pendatang tanpa izin karam di pulau Jawa, semalam, demikian menurut laporan media Indonesia.

Difahamkan sebahagian besar pendatang tanpa izin itu berasal dari Asia Barat.
Sehingga kini, hanya 33 mangsa berjaya diselamatkan.

Mengulas punca kemalangan, pihak polis berkata, ia berpunca lebihan muatan, di mana ketika kejadian bot berkenaan membawa muatan dua kali ganda daripada jumlah yang dihadkan. - AP

Ribut Washi: 440 terbunuh, 200 hilang di Filipina

22 Muharram 1433H. [MOD] -

ILIGAN (Filipina): Lebih 600 mangsa dikhuatiri terbunuh apabila ribut tropikal Washi memusnahkan selatan Filipina, semalam dan turut mengakibatkan banjir besar di kebanyakan tempat.

Petugas bantuan berkata, 440 mangsa terbunuh manakala hampir 200 yang lain masih hilang selepas ribut Washi memusnahkan kediaman.

Sementara itu, kira-kira 20,000 tentera dikerahkan untuk operasi menyelamat dan bantuan di sepanjang pesisir utara kepulauan Mindanao; di mana pelabuhan utama Filipina, Cagayan de Oro dan Iligan adalah paling teruk dilanda ribut.

Setiausaha Agung Palang Merah Kebangsaan Filipina, Gwen Pang, berkata di bandar Cagayan de Oro, 215 dilaporkan terbunuh, manakala bandar Iligan mencatatkan angka kematian 144. - AFP

131 peminat bola sepak La Liga diharamkan ke stadium 2 tahun

22 Muharram 1433H. [MOD] -

MADRID: Lebih seratus peminat bola sepak bagi pasukan Atletico Madrid dan Rayo Vallecano diharamkan daripada menonton perlawanan di stadium selama dua tahun susulan kejadian rusuhan 4 Disember lalu.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, berkata susulan insiden baru-baru ini menyaksikan Atletico Madrid sebagai pasukan tuan rumah.

Susulan keputusan itu, katanya, 131 peminat bola sepak kedua-dua pasukan dikenakan perintah pengharaman menontot perlawanan di stadium untuk tempoh dua tahun. - AFP

22 Muharram 1433H. [MOD] -PENYERANG Real Madrid Cristiano Ronaldo (kiri) berjaya menyumbat ke dalam gawang Sevilla yang gagal diselamatkan penjaga golnya Javi Varas dalam Liga Sepanyol sebentar tadi. Ronaldo menjaringkan hatrik dengan keputusan Real Madrid menang besar 6-2. - Foto AFP

Misi latihan 7 tahun NATO di Iraq tamat

22 Muharram 1433H. [MOD] -

BAGHDAD: NATO secara rasminya menamatkan misi latihan tujuh tahun di Iraq dengan upacara penutup dilakukan di Zon Hijau Baghdad, semalam.

Isnin lalu, NATO mengumumkan akan menutup misi latihan dan seterusnya menghantar pulang tentera mereka menjelang 31 Disember ini.

Keputusan penarikan keluar tentera NATO berpunca daripada kegagalan mencapai persetujuan dengan pemimpin Iraq bagi melanjutkan operasi di negara itu.

Antara yang gagal dipersetujui kedua-dua pihak termasuk permintaan NATO memberikan immuniti sah kepada pelatih dari luar negara.

Bagi misi di Iraq, NATO menghantar 130 penasihat dari 13 negara anggota dan Ukraine. - AP

Kenapa kos kapal perang baru meningkat RM3b?

22 Muharram 1433H. [MOD] -

DAP menuntut kerajaan menjelaskan sebab berlakunya peningkatan kos 50 peratus atau RM3 bilion dalam pembelian enam kapal baru untuk tentera laut daripada RM6 bilion pada Februari kepada RM9 bilion pada bulan ini.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, pengumuman Syarikat pembinaan kapal Malaysia Boustead Naval Shipyard di Bursa Malaysia berhubung nilai kontrak baru itu amat mengejutkan.

"Menteri perlu menjelaskan kepada harga setiap kapal meningkat RM500, sekali gus melebihi jumlah yang diterima sebelum ini," katanya.

Dalam kenyataan semalam, Pua berkata, sebagai contoh, perkara yang perlu dijelaskan, adakah spesifikasi kapal 'dipertingkat'.

Sedangkan, tambahnya, menteri pertahanan memberitahu parlimen bahawa ia sudah dilengkapi dengan teknologi canggih kapal peronda.

Syarikat pembinaan kapal Malaysia Boustead Naval Shipyard semalam dilaporkan berkata berkata mereka memenangi perjanjian RM9 bilion daripada Putrajaya untuk membekalkan enam kapal laut yang dibangunkan oleh pengilang Perancis DCNS.

Menurut AFP, Boustead Naval Shipyard berkata, mereka diberikan surat tawaran oleh Kementerian Pertahanan untuk membina dan menghantar enam kapal yang dinamakan "second generation patrol vessels littoral combat ships".

Penghantaran pertama dijangka dibuat pada 2017 diikuti setiap enam bulan selepas itu. MK/-

Surat kepada Bank Dunia, Mahathir ajak Anwar bersumpah.

22 Muharram 1433H. [MOD] -

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dr Mahathir berkata beliau adalah orang yang menolak pinjaman daripada Bank Dunia pada masa itu tetapi, sekiranya apa yang didakwa oleh Anwar itu benar, sila tunjukkan surat itu.

"Saya tahu kalau kita terima pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.

"Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di Masjid dengan al-Quran. Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Wehdatul Ummah ke tiga di Butterworh hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah berita online (Malaysiakini) hari ini, yang melaporkan bahawa Anwar telah membuat dakwaan mengejutkan terhadap 'bekas mentornya' Dr Mahathir bahawa bekas perdana menteri itu pernah menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Nik Aziz seru rakyat Kelantan isi borang BR1M

22 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 17 Dis: PAS akan mensasarkan keahlian seramai 100,000 ahli seluruh Kelantan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Pengerusi Lajnah Pemerkasaan PAS Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood, berkata setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) perlu mendaftar keahlian seramai 2,000 orang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas satu majlis yang dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Putik malam tadi.

Sambungnya, usaha itu dibuat bertujuan untuk menarik lebih ramai lagi orang ramai khususnya pemuda menjadi ahli PAS.

“Mood sekarang juga turut memperlihatkan PAS sebagai sebuah parti yang menjadi impian masyarakat terutama sekali golongan pemuda bakal penentu masa depan negara,” ujarnya.

Lebih 2,000 orang anggota parti seluruh Kelantan menghadiri program tertutup itu.

Turut berucap pada majlis itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan, Datuk Omar Mohamed dan Fatah sendiri.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Tuan Guru menyeru rakyat Kelantan mengisi borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) termasuk orang PAS.

Bantuan itu, katanya tiada kena mengena dengan keahlian mana-mana parti kerana wang yang diagihkan milik rakyat.

“Tak ada kena mengena dengan perlu tanda tangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung.

“Andainya ia bermasalah atau penyokong PAS dipertikaikan dalam menerima sumbangan wang ini, kita akan ketahui sebenar sumbangan itu untuk membantu rakyat atau tujuan politik,” ujarnya.

Harakahdaily/-