10 December 2011

Hentikan Politik Ugutan, Raikan Demokrasi dan Jangan Lacurkan Anak Muda.

15 Muharram 1433H. [MOD] -

Kenyataan Umum
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor)
10 Disember 2011.

Semalam beberapa akhbar memetik kenyataan dan laporan Polis oleh beberapa NGO dan Pemuda UMNO Bakri berhubung bantahan mereka terhadap program ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Muar pada 11 Disember 2011.

Atas prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, SAMM Johor menyambut baik langkah NGO tersebut menghantar memorandum mereka kepada penganjur, namun kami turut berpendirian agar mereka turut menghormati hak parti-parti politik selain UMNO/BN untuk mengadakan aktiviti dan program mereka di kawasan premis mereka sendiri.

Sebelum ini, dalam beberapa siri Ceramah Mohamad Sabu di Negeri Johor telah berlaku provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun oleh sekumpulan anak muda. Sehubungan itu, SAMM Johor menyeru UMNO/BN untuk tidak lagi mempergunakan anak muda untuk tujuan politik samseng mereka. Jangan mengotori minda anak muda Muar dengan anasir politik sempit, politik samseng dan politik ugutan anda.

Baru-baru ini juga dalam aksi perarakan peguam di Taman Tasik Perdana yang berkisar menolak Bil Perhimpunan Aman, anak muda sekali lagi digunakan untuk membuat provokasi yang mengelirukan. Sekumpulan anak muda dipercayai diupah oleh Umno, cuba untuk turut sama berarak dan telah mengenakan seragam baju kuning kononnya mewakili seketariat BERSIH. Lebih pelik, kumpulan anak muda tersebut turut memegang sepanduk yang menyokong 'pesta seks bebas'. Ini sama sekali satu taktik jahat yang mengundang fitnah dan anak muda tidak terlepas dari menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.

SAMM Johor dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan pihak-pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini. Seharusnya, UMNO dan Parti Politik yang ada di Malaysia mendidik anak muda untuk berpolitik secara matang, secara ilmiah sebagai pewaris masa depan negara bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda.

Sebagai penggerak anak muda, SAMM selain berperanan melahirkan anak muda berkualiti, SAMM juga berpendapat anak muda sepatutnya didedahkan dengan aktiviti yang lebih mendatangkan manfaat kerana golongan inilah yang menjadi pelapis kelangsungan negara, bukan diajar menjadi samseng dengan upah semurah RM10. Jangan hina anak muda dengan tawaran yang tidak bermaruah. Umno jangan lacurkan anak muda.

Hujah biarlah dilawan dengan hujah. Namun jika keras yang dijual maka keras jugalah yang dibeli. Jika baik budi bicara, kami anak muda sedia memberi laluan agar memorandum selamat sampai kepada yang dituju, dengan etika dan syarat yang ditentukan. Tetapi jika kehadiran mereka ini jelas lagi terang hanya untuk mengacau majlis rakyat, kami anak muda SAMM sentiasa bersedia di barisan hadapan, begitu juga dengan unit amal serta aktivis-aktivis Pakatan Rakyat lain. Adalah menjadi tugas anak muda untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika kemungkinan pihak berkuasa 'terlepas pandang' dalam menjalankan tugas.

Justeru itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program daripada terjadinya tragedi-tragedi seperti di Segamat, Labis dan Pasir Gudang baru-baru ini. Ramai yang tidak lupa peristiwa di Rembau memperlihat bagaimana Perkasa dan Umno lari lintang pukang berkilometer jauhnya, ketika ratusan komrad SAMM, Unit Amal dan aktivis Pakatan Rakyat menggempur si pengganggu majlis.

Akhir, SAMM Johor sekali lagi menyeru UMNO Muar dan NGO tajaannya untuk menghormati lunas-lunas demokrasi seperti yang telah ditunjukkan oleh pihak penganjur program yang sudi menerima memorandum anda. Serta, jangan racuni pemikiran anak muda Muar dengan permainan politik kotor, politik ugutan dan politik samseng.

Keras lawan keras, api lawan API !!

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Johor

China Sempurnakan Mekanisme Undang-undang Keselamatan Makanan

14 Muharram 1433H. [MOD] -

China akan terus berusaha untuk menyempurnakan mekanisme undang-undang keselamatan makanan.

Demikian dinyatakan oleh pegawai-pegawai dari pelbagai badan kerajaan yang berkenaan dalam Forum Kemuncak Perundangan Keselamatan Makanan China 2011 semalam.

Dimaklumkan oleh Naib Menteri Kesihatan China, Chen Xiaohong, penggubalan "rancangan piawaian kebangsaan keselamatan makanan 2011 hingga 2015" akan diselesaikan tidak lama lagi. Dokumen yang berfungsi sebagai panduan ini akan turut dikuatkuasakan sebaik sahaja prosedur pungutan suara umum terhadapnya selesai.

Ketua Pengarah Jabatan Am Suruhanjaya Keselamatan Makanan Dewan Negara China, Zhang Yong pula menyatakan undang-undang yang melibatkan makanan akan terus diubahsuai supaya lebih selaras dengan kehidupan harian dan lebih mudah dilaksanakan.

Naib Ketua Pendakwa Raya Badan Pendakwa Rakyat Tinggi, Zhu Xiaoqing menyatakan bahawa badan-badan pendakwa pelbagai peringkat di seluruh negara akan meningkatkan usaha dalam kerja penyiasatan dan penyelidikan dari segi undang-undang supaya dapat membantu menangani kes jenayah yang berkaitan keselamatan makanan.

Import-Eksport China Naik 23.6%, USD3.3 Trilion

14 Muharram 1433H. [MOD] -

Menurut statistik terkini dimaklumkan oleh Kastam China pagi tadi, jumlah keseluruhan import dan eksport perdagangan luar China bagi tempoh Januari hingga November lalu telah meningkat 23.6% berbanding masa yang sama tahun lalu, iaitu melebihi USD3.3 trilion.

Antaranya jumlah eksport telah meningkat 21%, dengan melebihi USD1.7 trilion, manakala import meningkat pula 26%, iaitu melebihi USD1.5 trilion. Lebihan dagangan menurun 18%, dengan mencatat USD138,4 bilion.

Jumlah perdagangan dua hala China-Eropah, China-A.S., China-Jepun dan China-ASEAN telah meningkat lebih 16% dalam tempoh 11 bulan awal tahun ini. Selain itu, perdagangan dua hala China dengan beberapa pasaran baru seperti Australia, Brazil, Rusia dan Afrika Selatan juga mencapai peningkatan yang ketara.

CRI/-

Pilihan raya orang Islam setiap hari

14 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

"Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.

"Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.

"Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucaptama di Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Tok Guru Nik Aziz juga menegaskan, golongan sekular secara tidak sedar sudah menolak separuh daripada ajaran Islam apabila tidak mengutamakan perjuangan melawan syaitan.

"Mengelak diri daripada pujuk rayu syaitan tidak ada dalam ajaran sekular.

"Syaitan, neraka, tak ada dalam pengajian sekular. Oleh yang demikian pada orang yang sudah menjadi sekular, 50 peratus daripada pengajian Islam sudah hilang.

"Pengajian Islam termasuk perkara ghaib iaitu syurga, neraka, dosa, pahala, padang mahsyar. Semua ini tak ada dalam sekular, jadi tak pernah sebut, bila tak pernah sebut mereka lupa," kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 ahli yang hadir.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu juga, untuk memastikan manusia selamat di akhirat kelak, mereka wajib mengikut ajaran Islam yang sebenar, tanpa bercampur dengan ajaran barat yang lain.

"Sekular tak bawa manusia ke syurga. Yang hanya membawa manusia ke syurga ialah Islam.

"Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur.

"Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia," katanya.

Perjuangan PAS adalah jihad

Sementara itu, Tok Guru Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.

Ini kerana tegasnya, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri.

"Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar istilah jihad yang digunakan Umno dalam perhimpunan agungnya baru-baru ini.

Beliau berkata, iistilah jihad itu berasal daripada Al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

"Jihad ini istilah Al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

"Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia," katanya.

Turut bersama, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan pimpinan tertinggi yang lain.

Ustaz Hadi akan menyampaikan amanat di majlis penutup petang ini.

Harakahdaily/-

Gerhana bulan penuh malam ini

14 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Penduduk di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sekali lagi dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan penuh malam ini.

Bulan yang beredar dengan had laju relatif 1,800 kilometer sejam akan mula memasuki zon bayang luar bumi pada kira-kira pukul 7.33 malam.

Bayang bumi akan mula menyentuh sisi sebelah kanan bulan tepat pukul 8.46 malam menandakan permulaan fasa gerhana bulan dan masa yang diambil oleh bayang gelap itu untuk menyapu keseluruhan muka bulan hanya 75 minit.

Selepas itu bulan akan mengalami gerhana penuh selama kira-kira 48 minit, kelihatan seperti sebiji bola raksasa berwarna kuning tembaga kerana kesan serakan cahaya dari kawasan bayang luar.

Peringkat pertengahan gerhana penuh itu dihitung berlaku pada pukul 10.32 malam ketika ketiga-tiga jasad samawi iaitu bulan, bumi dan matahari berada dalam kedudukan satu garisan dan satu satah.

Ia juga menandakan fasa purnama Muharam 1433 Hijrah yang sama dengan kemuncak gerhana penuh dan jangkamasa bulan melewati kawasan bayang dalam bumi ialah selama tiga jam 22 minit sehingga gerhana berakhir pukul 12.18 pagi.

Fenomena sama kali terakhir berlaku pada bulan Jun tahun lalu namun sedikit berbeza apabila ia dapat dilihat waktu siang berbanding malam pada malam ini.

Solat sunat gerhana bulan di negara ini pula boleh dilakukan sebaik sahaja bayang bumi mula kelihatan di permukaan bulan iaitu kira-kira pukul 8.46 malam.

Harakahdaily/-

Borang bantuan rakyat 1Malaysia diedarkan hari ini

14 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Borang permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia RM500 boleh didapati secara percuma mulai hari ini, di semua pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Penerangan, Jabatan Pembangunan Persekutuan, lobi utama Kementerian Kewangan dan sekolah terpilih dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, maklumat lanjut boleh diakses dengan melayari laman web, http://www.treasury.gov.my atau menghubungi talian 1-800-222-500. - BERNAMA

Buka bungkusan bom: Pengarah agensi cukai cedera

14 Muharram 1433H. [MOD] -

ROM 10 Dis. – Pengarah Agensi Cukai Equitalia, Marco Cuccagna mengalami kecederaan di mata dan tangan selepas membuka sebuah bungkusan yang dipercayai mengandungi bahan letupan di sini, semalam.

Kejadian itu berlaku di pejabatnya dan sejurus mendapat bungkusan tersebut, Cuccagna terus membukanya dan ia meletup secara tiba-tiba.

Sehubungan itu, beliau dikejarkan ke hospital dan pihak berkuasa kini sedang menyiasat kejadian tersebut. – AFP

89 pesakit maut: Polis tahan enam pegawai hospital

14 Muharram 1433H. [MOD] -

KOLKATA 10 Dis. – Pihak berkuasa India menahan enam pegawai Hospital AMRI atas dakwaan memulakan kebakaran sehingga menyebabkan 89 pesakit maut dalam satu kejadian kebakaran di sini, semalam.

Sebelum ini, petugas-petugas di hospital tersebut dituduh tidak membantu pesakit menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.

Kesemua suspek menyerah diri kepada polis selepas kejadian tersebut. – Agensi

Pasukan keselamatan bunuh 14 lagi penduduk di Syria

14 Muharram 1433H. [MOD]

NICOSIA 10 Dis. – Sekurang-kurangnya 14 penduduk awam terbunuh dan 23 yang lain cedera apabila pasukan keselamatan Syria melepaskan tembakan di beberapa bandar, semalam.

Menurut Balai Cerap Hak Asasi Manusia Syria, 10 penduduk awam terbunuh di sekitar bandar Homs, dua di Deraa, masing-masing seorang di Hama dan Douma berhampiran Damsyik.

Dua kanak-kanak berusia 10 dan 12 tahun antara yang maut dalam kejadian tersebut. – AFP-

Wakil Rakyat Jangan Mungkir Janji Apabila Terpilih

14 Muharram 1433H. [MOD] -
PAS Miri

Wakil Rakyat Jangan Mungkir Janji Apabila Terpilih
“Kesetiaan penduduk luar bandar terhadap BN tidak boleh dipertikaikan dan perlu dibalas dengan perkhidmatan terbaik oleh wakil rakyat, tegas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Penyerahan Tangki Air Ke Seluruh Sarawak di Pusat Pentadbiran Baharu Mukah, baru-baru ini." Petikan dari kenyataan ketua menteri Sarawak dalam akhbar Utusan Borneo.
 
Ketua Menteri Sarawak mengingatkan wakil rakyat BN (Barisan Nasional) yang terpilih agar sentiasa turun padang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memilih mereka. Satu peringatan yang cukup baik tetapi sayangnya peringatan tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh wakil rakyat BN yang terpilih maka sebab itulah Sarawak masih mundur dan jauh ketinggalan.
 
Antara beberapa sebab kemunduran Sarawak adalah seperti berikut.
Wakil rakyat yang terpilih jarang sekali mahu turun padang mendengar keluhan dan masalah rakyat.  Sebelum dipilih atau semasa musim pilihanraya mereka selalu turun padang menunjuk muka tetapi setelah menang jarang sekali mahu turun padang mendengar masalah rakyat kecuali ada program yang melibatkan majlis kerajaan bersama rakyat.
 
Wakil rakyat yang dipilih lebih suka aktiviti mereka disiarkan dalam media massa kerajaan kononnya merekalah yang perihatin terhadap masalah rakyat. Kalau tiada liputan media mereka jarang mahu turun padang untuk mendengar keluhan rakyat.
 
Wakil rakyat yang dipilih kebanyakannya lebih pentingkan diri sendiri dan parti mereka dari rakyat yang menyokong mereka.  Mereka lebih utamakan kepentingan peribadi dari kepentingan rakyat. Sepatutnya wakil rakyat yang terpilih tersebut berjuang mempertahankan hak rakyat bukannya memberi kekayaan hanya kepada keluarga dan kroni-kroni mereka saja.

Jika wakil rakyat yang terpilih tersebut benar-benar jujur,ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas mereka sudah pasti Sarawak sudah lama maju kehadapan kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia.
 
Sarawak yang kaya dengan sumber hasil seperti kayu balak, minyak sawit, petroleum dan sebagainya boleh digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan Sarawak tapi sayangnya rakyat Sarawak masih lagi hidup dalam kemiskinan. Kemana perginya hasil sumber asli Sarawak tersebut?
 
Masalah infrastruktur dan kemudahan asas di Sarawak masih jauh ketinggalan dari semananjung Malaysia. Kenapa perkara ini berlaku? Antara sebab perkara ini berlaku adalah ketirisan dalam pengurusan peruntukan yang disalurkan untuk masyarakat luar Bandar dimana masyarakat luar Bandar yang buta huruf dan tidak mendapat maklumat tentang peruntukan tersebut sudah pasti tidak tahu apa yang berlaku dengan peruntukan tersebut digunakan.
 
Sarawak akan maju apabila ditadbir oleh wakil rakyat yang benar-benar jujur,amanah dan tidak melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa mereka terhadap rakyat yang sudah memilih mereka.
 
Wakil rakyat yang terpilih kena ingat siapa mereka sebelum mereka dipilih jadi wakil rakyat atau jadi ketua menteri dan juga jadi menteri, kalau bukan rakyat yang memilih mereka. Janganlah sombong, angkuh dan menyalahgunakan kuasa setelah diangkat jadi pemimpin. Semua ini bersifat sementara saja, jadi gunakan peluang yang ada sekarang untuk berkhidmat untuk rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.
 
Pemimpin yang jujur,amanah dan ikhlas berjuang untuk rakyat, jasanya akan terus dikenang walaupun mereka sudah tidak ada lagi tetapi peminpin yang zalim dan menyalahgunakan kuasa,  rakyat akan menghina dan mencaci mereka semasa dan selepas mereka tidak berkuasa lagi.
 
Jadi fikir-fikirlah bagi mereka yang sudah terpilih jadi wakil rakyat agar dapat memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat sebelum semuanya terlambat dan berakhir dengan kehinaan atau kemulian.
 
Apa yang rakyat mahu adalah wakil rakyat yang dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur, ikhlas, amanah dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
 
PAS Miri
Jofri Jaraiee