08 December 2011

Sabah ucap takziah keluarga mangsa serangan gajah

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga pelancong Australia yang maut dirodok seekor gajah di Lahad Datu semalam, serta menasihatkan semua pihak agar tidak menuding jari sesama sendiri berikutan kejadian itu.

"Ini satu kejadian malang yang mengorbankan nyawa seorang wanita muda. Bagi pihak kerajaan Sabah, saya mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga Jenna Donley," kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Doktor haiwan, Jenna O'Grady Donley, 26, maut dirodok seekor gajah jantan pigmi di Taman Hidupan Liar Tabin kira-kira 8.30 pagi, ketika beliau sedang mengambil gambar haiwan tersebut.

"Saya baru saja dimaklumkan oleh pengurusan Tabin Wildlife Resort, tempat penginapan Jenna, bahawa mereka berusaha membantu keluarga dan Suruhanjaya Tinggi Australia membuat persediaan membawa pulang mayat Jenna untuk dikebumikan di kampung halamannya.

"Saya juga berharap semua pihak agar tidak menuding jari menyalahkan satu sama lain berikutan kejadian itu pada ketika keluarga Jenna sedang bersedih," katanya.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri, Dr Laurentius Ambu, berkata Donley ke taman itu kira-kira jam 7 pagi bersama seorang lagi wanita dan pemandu arah mereka.

Katanya, apabila kumpulan tersebut ternampak gajah itu, Donley dan rakannya dikatakan menghampiri haiwan berkenaan untuk mengambil gambar pada jarak dekat. - BERNAMA

Pistol hilang di Penanti diguna rompak kedai emas di Marang

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU: Sepucuk pistol yang dilaporkan hilang semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, Pulau Pinang, tiga tahun lalu didapati digunakan dalam rompakan kedai emas di Wakaf Tapai, Marang bulan lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata ia berikutan tertangkapnya seorang anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu serta seorang buruh yang dipercayai terbabit dalam kejadian rompakan itu.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ditahan pada 29 November lalu, sehari selepas rompakan itu berlaku.

Dalam rompakan tersebut, dua lelaki yang bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM235,000.

Jamshah berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis menemui semula barang kemas yang hilang tersebut dan sebuah motosikal yang digunakan dalam rompakan itu. - BERNAMA

Stop Lynas dan Bersih 2.0 terima award hak asasi

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia memilih Save Malaysia, Stop Lynas dan Jawatamkuasa Kerja Bersih 2.0 sebagai penerima award hak asasi manusia 2011.

Pengumuman pemilihan kedua-dua NGO tersebut dibuat oleh Suaram dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Save Malaysia, Stop Lynas, sebuah NGO yang dibentuk di Kuantan bagi menentang pembinaan kilang rare earth Lynas di Kuantan.

NGO ini telah berjaya memperjuangkan hak-hak rakyat di sekitar Kuantan untuk menentang pembinaan kilang dari Australia yang dipercayai boleh merosak alam sekitar di persekitarannya.

Jawatamkuasa Kerja Bersih 2.0 pula dipilih atas kejayaannya menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu yang memberikan pelbagai implikasi kepada negara ekoran perhimpunan itu.

Antaranya adalah pembentukan jawatankuasa khas Parlimen bagi mengkaji sistem pilihan raya di Malaysia.

Jawatankuasa ini telah dikira berjaya dalam tuntutan lapan perkaranya bagi memastikan pilihan raya di negara ini bersih dan adil.

Penal hakim pemilihan ini adalah Syed Ibrahim Syed Noh, pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) (2009 HRA Winner); Parameswari, Pengurus Komuniti dan Koordinator National JERIT dan Daniel Albert, ahli sekretariat Suaram.

harakahdaily/-

'Kaitan dengan Pekida bukti Najib ultra-Melayu'

12 Muharram 1433H. [MOD] -

PAS Selangor mengecam sokongan terbuka Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) sebagai bukti bahawa beliau adalah seorang ultra-Melayu dan mengetepikan prinsip wasathiyah (kesederhanaan) dan retorik 1Malaysia anjurannya.

Timbalan pesuruhjayanya, Khalid Samad medakwa, Pekida adalah
sebuah organisasi yang meragukan sehinggakan pernah Umno sendiri pun tidak berani menjalin hubungan rasmi dengannya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Shah Alam hari ini, Khalid turut mengecam apa yang didakwanya sebagai pendirian keras yang diperlihatkan dalam perhimpunan agung Umno baru-baru ini.

Katanya, mereka cuba memberitahu orang Melayu bahawa jika Umno dicabar, ia bermakna orang Melayu dicabar dan bahawa Melayu adalah Umno dan Umno adalah Melayu.

Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata cabaran kepada Umno bukan sebenarnya cabaran kepada orang Melayu, tetapi satu usaha untuk meningkatkan kedudukan kaum tersebut.

Sebaliknya, tambah beliau, pihaknya bukan cuba untuk menjatuhkan struktur politik Melayu, tetapi hanya berharap untuk menurunkan kepimpinan korup Umno dan menggantikannya dengan pemimpin Melayu yang bersih dan berkemampuan.

Isnin lalu, Najib merasmikan sesi bertemu perdana menteri anjuran Pekida dan dihadiri oleh kira-kira 12,000 ahlinya.

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Najib menyambut baik sokongan Pekida kepadanya dan BN dalam pilihanraya umum akan datang, dan sebagai balasan, beliau berjanji untuk 'membantu' pertubuhan tersebut.

malaysiakini/-

200 produk KR1M akan diuji

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Lebih 200 produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diarah melalui ujian pemeriksaan selan­jutnya bagi memastikan produk tersebut selamat dan mengikut standard yang sepa­tutnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe.

Menurutnya, produk KR1M akan dipantau dan dinilai oleh Unit Pemantauan Khas kementerian sebagai jaminan bahawa semua produk tersebut selamat untuk digunakan orang ramai.

“Arahan ini dibuat bagi menangkis dakwaan sesetengah pihak yang mempersoalkan tentang kualiti dan tahap keselamatan penggunaan produk KR1M,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yeow Chai Thiam yang ingin tahu bentuk tindakan yang diambil kementerian bagi menjawab dakwaan tentang produk KR1M yang tidak berkualiti dan tidak selamat kepada pengguna.

Lian Hoe berkata, penubuhan Unit Pemantauan Khas itu adalah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan turut bertujuan memantau secara rambang produk makanan di semua kedai termasuk KR1M seluruh negara.

Menjawab soalan Senator Mumtaz Md Nawi mengenai cadangan memperkenalkan satu akta khusus bagi mengawal kualiti sesuatu produk makanan yang terdapat di pasaran, Lian Hoe berkata, kementerian hanya mengguna pakai peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang membolehkan menteri menarik balik pengedaran apa juga produk yang membahayakan pengguna.

sinar harian/-

Selamatkan baki wang rakyat dalam NFC12

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Kerajaan perlu bertindak segera menyelamatkan wang rakyat dengan mengambil alih semua aset National Feedlod Corporation (NFC) yang masih tertinggal.

Langkah ini perlu dibuat untuk menyelamatkan sebanyak mungkin wang yang telah diberi pinjam kepada NFC tetapi telah dibelanjakan bukan untuk 'core busines'nya.

Demikian cadang Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang juga Exco Ekonomi kerajaan negeri Kelantan dalam satu kenyataannya hari ini.

"Dalam keadaan seperti ini, Kerajaan seharusnya bertindak cepat untuk menyelamatkan semaksimum mungkin jumlah wang yang telah diluluskan itu.

"Aset-aset yang telah diletakkan atas nama persendirian atau syarikat persendirian oleh NFC harus segera diarahkan untuk diserahkan kepada Kerajaan.

"Kondominium dan tanah di Putra Jaya, jika diserahkan kepada Kerajaan sekurang-kurangnya membolehkan Kerajaan mendapat semula sebahagain wang yang telah diluluskan tetapi telah digunakan untuk tujuan yang tidak bersangkutan," kata Husam (gambar) dalam kenyataannya.

Beliau juga mencadangkan agar Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Senator Shahrizat Jalil juga melepaskan jawatan sebagai sikap pertanggungjawaban dengan apa yang berlaku dengan melindungi kepentingan kerajaan dalam situasi sebegini.

Bagi Husam, neliau seharusnya menunjukkan beliau berada di sebelah Kerajaan dan rakyat jika dakwaan beliau bahawa beliau tidak terlibat dengan sebarang urusan perniagaan suaminya adalah benar.

"Sehingga kini, tidak nampak peranan beliau sebagai Menteri Kabinet benar-benar berkecuali dari NFC yang diuruskan oleh suami beliau.

"Paling tidak, jika kredibiliti beliau mahu dijaga, beliau sendiri mencadangkan satu dua diligence atau odit bebas dilakukan dan laporannya dibentangkan kepada umum.

"Pendirian seperti itu boleh membuktikan beliau benar-benar tidak melindungi sebarang kemungkinan salahguna wang atau pecah amanah suami atau keluarga beliau.

"Sebaliknya, jika beliau terlibat dengan percutian keluarga atas wang NFC yang juga adalah wang rakyat, langkah terhormat adalah meletakkan jawatan menteri serta merta dan menasihatkan suami beliau serta anggota keluarga yang lain menyerahkan semua aset-aset bukan perniagaan berkaitan serta merta," kata Husam.

Husam juga kesal dengan sikap apathy yang ditunjukkan Perdana Menteri dalam isu ini.

"Sikap berdiam diri Perdana Menteri seakan menunjukkan skandal sebesar ini tidak menjadi keutamaan kepada beliau dan tidak ujud 'sense of urgency' melindungi negara dari salah guna dan penyelewengan bila mana ia melibatkan kerabat dekat UMNO/BN.

"Program Transformasi yang dilaungkan adalah gimmik semata-mata dan pentadbiran beliau, sama dengan pentadbiran lain sebelumnya, tidak mampu keluar dari amalan penyalahgunaan dan penyelewengan berskala besar seperti ini.

"Laporan Ketua Audit Negara dan pendedahan ekoran dari itu sepatutnya sudah cukup untuk beliau bertindak terhadap semua pihak terlibat.

"Odit lanjutan boleh dilakukan sebagai menghargai apa yang telah dibangkitkan oleh Ketua Odit dan berdiam diri hanya memberi makna sikapnya tidak accountable, bersih dan telus. Beliau sanggup membiarkan rakyat terus kecewa dengan amalan-amalan yang merugikan ini," tambah Husam.

harakahdaily/-

Masjid: Adun pertikai laporan agensi berita

12 Muharram 1433H. [MOD] -

RANTAU PANJANG, 8 Dis: Agak mengejutkan apabila lain yang dicakap lain pula dilaporkan agensi berita milik kerajaan, seperti disiarkan beberapa akhbar utama hari ini.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, ketika berbual dengan wartawan agensi terbabit semalam beliau menceritakan kehebatan Masjid Beijing yang menjadi tumpuan pelancong sekarang.

“Saya sebut masjid tersebut dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri membabitkan kos kira-kira RM9 juta tanpa melibatkan sumbangan pihak lain.

“Itulah satu-satunya masjid dibiayai sepenuhnya kerajaan di kawasan parlimen Rantau Panjang. Manakala masjid lain diberi sumbangan mengikut keperluan.

”Saya tidak sebut Masjid Beijing satu-satunya masjid dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri di Kelantan. Ini sudah jauh menyimpang,” katnya di sini.

Abdul Fatah (gambar) menjelaskan perkara itu ekoran Utusan Malaysia dalam laporan muka hadapan hari ini mendakwa kononnya hanya satu masjid dibina kerajaan PAS sepanjang 20 tahun.

Malah berita sama turut disiarkan beberapa lagi akhbar lain.

Sebelum itu Abdul Fatah hadir pada majlis penyampaian geran tanah kepada 200 penduduk di Kampung Bukit Tandak disampaikan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Rantau Panjang meluahkan rasa kesal di atas laporan terbabit yang jelas menyimpang daripada maksud asal.

Difahamkan juga beberapa akhbar milik Umno hari ini cuba mengeksploitasi berita berkenaan dengan mencari pandangan daripada pelbagai pihak bagi menghodohkan kerajaan negeri.

Abdul Fatah berkata, berita seumpama itu tentunya ditertawa orang kerana banyak masjid dibina kerajaan negeri dalam tempoh begitu lama.

Contohnya Masjid Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian disiapkan kerajaan sekarang selepas terbengkalai begitu lama di bawah kerajaan dahulu.

Selain itu Masjid Jubli Perak ada di Pulai Chondong, Paloh dan Lojing. Masjid Kota Darulnaim, Masjid Baarah dan banyak lagi.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, laporan dibuat media milik Umno secara jelas semata-mata bagi memburukkan Kelantan dengan berita berbentuk propaganda murahan.

”Konsep yang ditekankan di Kelantan memastikan rakyat juga mengambil bahagian dalam pembinaan masjid, bagi memastikan mereka juga ada saham di akhirat.

”Apa yang lebih penting mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu,” katanya.

Beliau juga berkata, Lajnah Penerangan PAS Kelantan menerbit risalah khas dikenali sebagai Purnama yang membuatkan pelbagai isu semasa.

Katanya, sebanyak 10,000 naskah dicetak, diterbit setiap Jumaat diberi percuma bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat semasa.

Edisi pertama berada di pasaran minggu lepas. Dan esok pelancarannya akan diadakan di Medan Ilmu disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

harakahdaily/-

Biar diri dimakan piranha

12 Muharram 1433H. [MOD] -

LA PAZ: Seorang remaja dipercayai membunuh diri selepas terjun ke dalam sungai yang penuh dengan piranha, ikan yang memakan daging.

Polis berkata, nelayan tempatan berusia 18 tahun itu dimakan hidup-hidup selepas terjun dari kanunya ke dalam sungai di timur laut Bolivia, minggu lalu.

Polis tempatan, Daniel Cayaya berkata, remaja itu dipercayai mabuk ketika itu.

Kejadian berlaku di Rosario del Yata, 640 kilometer ke utara La Paz, ibu negara Bolivia.

Kejadian itu hanya diketahui semalam selepas ia dilaporkan oleh sebuah stesen radio tempatan.

Menurut Cayaya, pihaknya mengesyaki suspek membunuh diri kerana dia adalah nelayan di wilayah berkenaan yang tahu mengenai Sungai Yata dan hidupan di dalam sungai itu. - Agensi

Hapus subsidi gas bebankan rakyat

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Tindakan Kerajaan BN untuk memansuhkan sepenuhnya subsidi gas asli menjelang tahun 2015 bukan sahaja akan membebankan rakyat, malah akan turut mempertingkatkan lagi penggunaan tenaga asas di negara ini.

Berdasarkan statistik yang dibekalkan oleh Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, Malaysia mengalami peningkatan penggunaan tenaga asas purata sebanyak 6.1 peratus di antara tahun 2000 hingga 2008.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, catatan tersebut menjadikan peningkatan penggunaan tenaga asas itu hampir sama dengan peningkatan purata KDNK (GDP) negara sebanyak 6.0 peratus.

Menurutnya, apabila subsidi kepada gas asli akan dimansuhkan sepenuhnya oleh kerajaan menjelang tahun 2015, peningkatan tersebut pasti akan menjadi lebih ketara.

Katanya, bukan sahaja kos tenaga dijangka meningkat, malah Malaysia juga agak ketinggalan jauh dalam bidang Kecekapan Tenaga disebabkan pelbagai alasan.

"Berdasarkan statistik penjualan tenaga elektrik pada tahun 2009, sebanyak 92,753 GWj (Giga Watt jam) tenaga elektrik telah digunakan. Awer menganggar sejumlah 62.14 juta Ton bersamaan CO2 (karbon dioksida) telah dilepaskan disebabkan penggunaan elektrik ini.

"Nisbah purata agihan pelepasan CO2 adalah 3:5:6 di antara sektor domestik, komersil dan industri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Walaupun Malaysia telah membuat komitmen untuk mempraktikkan teknologi hijau dan Ekonomi Rendah Karbon, menurutnya, langkah seterusnya masih kabur.

Katanya, ia hanya mewujudkan “penghijauan” dari segi warna berbanding dengan cara-cara penyelesaian masalah yang membantu.

"Berdasarkan maklum balas daripada individu-individu, SMI/E (Industri Kecil Sederhana), pembuat peralatan elektrik dan agensi kerajaan, mereka ingin bantuan seperti webtool (alat bantuan berasaskan internet) untuk membantu mereka membuat keputusan dan bergerak ke hadapan," tegasnya.

Sehubungan itu, Awer telah mengambil keputusan untuk melancarkan sebuah portal yang beralamat di CLICK www.click.org.my bagi membantu orang ramai merealisasikan gaya hidup rendah karbon.

Katanya, CLICK hanyalah satu permulaan dan ia adalah satu portal yang berkembang dengan lebih banyak webtool serta laporan-laporan akan dimuatnaik secara berkala.

Pelancaran portal tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Ray Kyles di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British di sini jam 10.00 pagi semalam.

Menurutnya, sebelum portal tersebut berjaya dilancarkan, pihaknya telah menjalani beberapa siri perundingan secara pasif, aktif interaktif mengenai gaya hidup rendah karbon dengan pelbagai pihak.

"Hasil kajian tersebut telah dikaji semula dengan teliti dan dipadankan dengan rancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang, bagi membantu negara dalam mencapai gaya hidup rendah karbon," tambahnya.

Portal tersebut disediakan dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dan dibahagikan kepada 4 bahagian.

Bahagian pertama mengenai pengenalan CLICK, bahagian kedua bagi realisasi kepada gaya hidup rendah karbon, bahagian ketiga panduan untuk menangkap pencuri tenaga dan bahagian keempat akujanji atas talian.

Portal tersebut sememangnya amat berguna kepada semua pihak dan orang ramai yang ingin melayarinya kini bolehlah mengunjungi laman sesawang www.click.org.my pada bila-bila masa.

harakahdaily/-

Dakwat kekal: PAS tunggu dan lihat

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 8 Dis: PAS mengambil sikap tunggu dan lihat dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang mengumumkan akan menggunakan kaedah celup jari dengan dakwat dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

Menurut Presidan PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ia merupakan usaha PAS, rakan-rakan dalam Pakatan dan seluruh rakyat, melakukan reformasi dalam demokrasi.

Katanya, pemulihan demokrasi tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang memerintah negara tidak bersungguh menyokong usaha tersebut, lapor BuletinOnline.

“Isu pemulihan demokrasi. PAS menyertai bersama rakan-rakan lain untuk membuat reformasi dalam demokrasi, tapi dengan syarat kerajaan mestilah bersungguh, mengelakkan penipuan yang celup jari (dengan) dakwat itu dah diterima, kita tunggu dan lihat,” katanya yang juga Adun Ru Rendang kepada media di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau menegaskan, pilihan raya umum ke-13 tidak sepatutnya diadakan kecuali beberapa perubahan penting telah dilakukan seperti pembersihan daftar pemilih dan kebebasan media.

“Pembersihan daftar pemilih mengelakkan penipuan dan kebebasan media untuk semua parti politik sebagaimana diamalkan di negara-negara lain, negara-negara Asean, contohnya Indonesia sudah berubah, Thailand sudah berubah.

“Media cetak dan elektronik bukan saja hak kepada parti yang memerintah termasuk parti-parti yang bukan memerintah supaya rakyat boleh mendengar kerana media adalah saksi, rakyat adalah hakim,” jelasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Menurutnya, rakyat tidak mungkin boleh membuat penghakiman yang adil sekiranya hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja.

harakahdaily/-

RUU Perhimpunan Aman jadi sasaran pelapor khas PBB

12 Muharram 1433H. [MOD] -

Kumpulan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengingatkan bahawa rang undang-undang baru itu bukan sahaja menghadkan hak berhimpun secara aman, termasuk demonstrasi jalanan, tetapi juga akses bersyarat kepada pihak media di perhimpunan awam.

Pelapor khas PBB, Maina Kiai menyuarakan rasa "amat kecewanya" kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) atau masyarakat sivil, tidak dirujuk dalam merangka rang undang-undang tersebut.

Maina (kanan) berkata rang undang-undang itu mengandungi takrif yang kabur mengenai perhimpunan dan juga sekatan dan syarat-syarat perhimpunan, yang menurutnya telah memberikan "kuasa berlebihan" kepada pegawai penguatkuasa undang-undang dan menteri dalam negeri.

"Banyak sekatan ini adalah tidak wajar mengikut undang-undang antarabangsa. Ia juga memberi budi bicara kepada pihak polis untuk membuat apa saja bentuk rakaman perhimpunan," kata Maina yang merupakan pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 November dan ia diluluskan secara tergesa-gesa dengan beberapa pindaan, dalam tempoh kurang daripada dua minggu - pada 29 November.

Ia diluluskan walaupun ahli parlimen pembangkang bertindak keluar
dewan selepas membahaskan rang undang-undang tersebut, dan juga bantahan oleh lebih 1,000 peguam pada hari yang sama.

Rang undang-undang itu juga termasuk larangan ke atas bukan warganegara dan warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun secara aman.

Malaysia adalah ahli Majlis Hak Asasi Manusia PBB sehingga 2013.

Seorang lagi pelapor khas bagi hak kebebasan untuk bersuara,
Margaret Sekaggya (kiri), berkata beliau memandang berat peruntukan melarang warganegara di bawah umur 21 tahun untuk berhimpun.

"Penyertaan politik dan sosial melalui protes secara aman, bukan sahaja merupakan satu pengalaman pendidikan untuk kanak-kanak, belia dan pelajar, tetapi juga satu pelaburan kepada masyarakat secara keseluruhannya," tegasnya.

Manakala pelapor khas bagi hak kebebasan bersuara, Frank La Rue, menggesa kerajaan Malaysia menimbang semula secara serius rang undang-undang itu.

"Keupayaan semua individu untuk bersuara secara bebas, termasuk dalam bentuk perhimpunan aman, merupakan satu ujian kepada tahap demokrasi di mana-mana negara."

Fracois Crepeau, pelapor khas hak asasi manusia bagi pendatang,
juga menggesa supaya rang undang-undang itu segera dikaji semula.

"Setiap orang berhak terhadap kebebasan berhimpun dan berpersatuan, tanpa sebarang apa jua pembezaan, termasuk kewarganegaraan," kata Crepeau.

Kesemua pakar tersebut melaporkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Geneva, dalam kapasiti bebas dan tidak dibayar.

Julai lalu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB menyuarakan kebimbangannya terhadap penggunaan kuasa yang berlebihan terhadap peserta perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.

malaysiakini/-

Penghuni sekolah lahir 82 bayi

12 Muharram 1433H. [MOD] -

PIHAK pengurusan Sekolah Harapan dalam proses mendapatkan peruntukan untuk program pembesaran dan seterusnya dapat menerima lebih ramai penghuni. - Gambar hiasan

JASIN – Seramai 82 bayi telah selamat dilahirkan oleh para penghuni Sekolah Harapan, sebuah pusat pemulihan bagi remaja perempuan yang terlanjur sejak ia beroperasi di sini pada September tahun lalu.

Pengerusi sekolah berkenaan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, daripada jumlah itu, bayi lelaki yang telah selamat dilahirkan ialah 53 orang manakala bakinya perempuan.

Katanya, seramai 64 bayi kini dipelihara oleh keluarga penghuni terbabit, 11 orang telah diserahkan kepada keluarga angkat, lima bayi masih bersama ibu masing-masing di sekolah berkenaan manakala seorang lagi dipelihara oleh ibu kandungnya yang telah berkahwin.

“Kami bersyukur kerana berjaya membantu menyelamatkan 82 nyawa bayi yang tidak berdosa sekali gus membendung gejala buang bayi.

“Apa yang lebih penting ibu bapa kepada penghuni sekolah ini sanggup menjaga cucu masing-masing walaupun anak itu dilahirkan di luar ikatan perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, sekolah itu setakat ini telah menerima 95 remaja dari seluruh negara dan pelbagai kaum sebagai penghuni.

“Walaupun kami menerima banyak permohonan daripada keluarga remaja perempuan yang terlanjur untuk mendapatkan perlindungan di sekolah ini, kami tidak dapat menerima semua kerana kemudahan yang ada hanya cukup untuk menampung 30 penghuni pada satu-satu masa.

kosmo/-

Apa yang perlu anda tahu tentang NFC

12 Muharram 1433H. [MOD] -

Kepada yang tidak mengikuti skandal Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC).

Di bawah Rancangan Malaysia ke 9 (9MP) pada 2006, NFC disasarkan sebagai ‘Projek berimpak tinggi’ dengan objektif mencapai 40% keperluan daging lembu negara pada 2010. Kerajaan Tun Abdullah Badawi telah menyediakan dana sebanyak RM4.4 bilion untuk memodenkan sektor pertanian dan penternakan di bawah 9MP.

Pada bulan Mac 2007, Kementerian Pertanian di bawah timbalan perdana menteri kini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memilih dua syarikat untuk menguruskan NFC. Mereka adalah Agro Science Industries Sdn Bhd dan Lambert Malaysia Sdn Bhd dengan Agro diberi tanah seluas 2,000 hektar dan Lambert diberi 200 hektar tanah untuk memulakan projek. NFC juga mendapat dana sebanyak RM73.64 juga daripada kerajaan Malaysia (GOM) untuk membangunkan projek tersebut.

Pada Disember 2007, kerajaan telah meluluskan satu pinjaman mudah (soft loan) dengan hanya 2% faedah untuk tempoh 10 tahun berjumlah RM250 juta kepada National Feedlot Corp Sdn Bhd, satu syarikat usahasama (JV) antara Agro Science Industries Sdn Bhd and GOM untuk memulakan projek tersebut di Gemas, Negeri Sembilan, sebagai langkah pertama dalam pelan membawa Malaysia untuk mengurangkan penggantungan terhadap import daging lembu dengan sasaran permulaan 60,000 anak lembu setiap tahun. Pada masa tersebut, Malaysia sedang mengimport sebanyak 80% keperluan daging lembu negara.

Pada Februari 2008, NFC menerima 1,000 anak lembu pertama dari Australia.

Pada Julai 2008, setelah lima bulan beroperasi, NFC telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan sasar 28% tampungan keperluan daging lembu negara pada 2010, kurang daripada 40% yang ditetapkan oleh GOM di bawah 9MP.

Pada Mac 2010, NFC pula menyatakan bahawa mereka boleh mencapai 40% tampungan keperluan negara pada 2015, lima tahun lebih lewat daripada yang jangkaan.

Pada October 2011, Jabatan Audit Negara telah mengemukakan laporan Ketua Audit Negara 2010 (yang terlewat) yang membongkar pembaziran belanja jabatan-jabatan kerajaan serta kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan yang menyebabkan jumlah hutang dan defisit kerajaan persekutuan meningkat.

Salah satu perkara yang ditegur ialah projek NFC di mana audit antara Januari dan Mac 2011 telah mendedahkan bahawa objektif NFC gagal dipenuhi kerana pembangunan untuk 130 usahawan perintis di bawah Program Pembangunan Usahawan tidak dilaksanakan dan kontrator utama telah menarik diri daripada projek tersebut pada tahun 2008.
Selain itu, NFC turut didedahkan hanya mampu menghasilkan 3,289 anak lembu pada 2010 daripada jangkaan 8,000 dan audit menegur keseluruhan operasi NFC dalam keadaan ‘kelam-kabut’.

Pada November 2011, barisan pembangkang mula mendedahkan penyelewengan kewangan di dalam NFC, di mana NFC didakwa telah memberikan pinjaman sebanyak RM84 juta kepada syarikat kepunyaan suami Ketua Wanita Umno dan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, dan pengerusi NFC Dr Mohamad Salleh Ismail. Pembangkang turut mendakwa NFC telah menggunakan dana untuk:

1.membeli kondo mewah di Bangsar yang berharga RM9,758,140 (selepas itu, ia didedahkan bahawa NFC telah membeli dua kondo mewah di One Menerung Bangsar pada harga RM6.9 juta setiap satu)

2.dua tanah di Presint 10 Putrajaya berharga RM3,363,507

3.Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622 (melalui National Meat and Livestock Corporation)

4.Memindahkan dana sebanyak RM588,585 kepada Meatworks (Singapore) Pty Ltd.

(National Meat and Livestock Corporation dan Meatworks adalah kepunyaan keluarga Shahrizat Jalil).

5.NFC turut telah mengeluarkan 15 cek daripada akaunnya di CIMB Islamic Bank Berhad di Taman Tun Dr Ismail kepada agensi pelancongan Impian Global Network Services untuk tempoh tujuh bulan (tiap-tiap bulan) sebanyak RM455,423.

Ketika ditanya, Shahrizat memberitahu bahawa beliau tiada apa-apa kaitan dengan skandal NFC.

“Saya tidak akan menjelaskan (isu NFC), tapi saya mempunyai dua mesej utama yang ingin disampaikan ketika perhimpunan Agong Wanita Umno. Sila tunggu. Sebagai pemimpin, kita mesti bersabar dan tenang dan jangan menjadi histeria dengan senang. Jika ada sesiapa yang ingin bertanya pasal NFC, mereka harus bertanya pada orang NFC. Saya hanya akan fokus pada Wanita Umno.”

Pengerusi NFC ialah Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail (suami beliau), Pengarah Eksekutif NFC pula ialah Wan Shahinur Izmir (anak beliau, umur 31), Ketua Eksekutif NFC ialah Wan Shahinur Izran (anak beliau juga, 27) dan Pengarah NFC ialah Wan Izzana Fatimah (anak beliau, 25).

Semasa NFC membeli kondo mewah pada 2 Disember 2009 untuk RM9.8 million, dilaporkan NFC dalam kerugian RM11 juta dalam akaun tahunannya. Turut dilaporkan pengerusinya menerima gaji sebanyak RM100,00 sebulan, pengarah eksekutif RM45,000 sebulan, ketua eksekutif RM35,000 sebulan dan pengarah satu lagi pun RM35,000 sebulan.

Semasa orang yang dilahirkan di Kuwait dan belajar di Oxford, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin datang cuba menyelamatkan Shahrizat, beliau menyatakan bahawa ia adalah satu ‘keputusan perniagaan yang bijak’ untuk National Livestock and Meat Corporation untuk ‘melabur’ dalam banglo mewah daripada membiarkan duit rakyat dibiarkan duduk diam dalam akaun bank dan tiada masalah dalam pembelian tersebut.

Semasa Menteri Pertanian kini, Datuk Seri Noh Omar (kalau sesiapa yang ingat kenyataan “jika orang asing rasa polis Malaysia kejam, tolong balik ke negara mereka dan jangan tinggal di sini”) ditanya mengenai ketidakupayaan NFC untuk mencapai sasaran 8,000 lembu, beliau menjawab NFC sememangnya sudah mencapai lebih daripada 8,000 lembu di antara 2008 hingga 2010, sambil berkata projek tersebut adalah berjaya.

Beberapa hari selepas itu, Menteri Pertanian itu menukar kenyataan beliau dan berkata NFC hanya perlu menyembelih sebanyak 5,742 ekor lembu sebelum hari terakhir tahun ini (sebenarnya 8,000 tolak 3,289 ialah 4,711) dan projek tersebut akan dikategorikan sebagai amat berjaya kerana mencapai sasaran.

Apabila laporan dibuat oleh Pemuda PKR Penang ke SPRM, agensi tersebut menolak kes tersebut kepada PDRM sambil menyatakan bahawa, “Kes ini telah dirujuk kepada polis kerana kesalahan tersebut tidak terletak di bawah bidang kuasa SPRM di bawah Akta SPRM 2009.”

Semasa Datuk Mohamad Salleh disoal PDRM berkenaan dengan dua kondo mewah, beliau menyatakan dua kondo tersebut sedang disewa kepada dua syarikat minyak dan gas yang berlainan sebagai tempat penginapan kepada pakar asing dan NFC menerima RM75,000 sebulan sebagai sewa – di mana satu mendapat RM18,000 sebulan dan satu lagi mendapat RM57,000 sebulan (walalupun satu banglo seluas 27,000 kaki persegi yang dilengkapi dengan kolam air dan spa di Kenny Hills tidak mampu mendapat sewa RM57,000 sebulan). Angka tersebut kemudian diubah kepada RM18,000 sebulan untuk dua unit, akan tetapi PDRM tetap tidak nampak apa-apa kesalahan terhadap dua jawapan berbeza tersebut.

Pada 2 Disember yang lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Bakar telah mengeluarkan satu kenyataan polis bahawa siasatan polis setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur pecah amanah dalam pentadbiran Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC). Tindakan ini agak mengelirukan kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan terhadap apa-apa siasatan sebelum ia diselesaikan. PDRM juga mengakui bahawa mereka belum memanggil Shahrizat untuk soalsiasat walaupun beliau merupakan watak utama dalam kontroversi ini.

Kepada yang tidak mengikuti kes NFC, projek ini pertama kali dicadangkan pada 2003 oleh Dr Rosli Mai Lam daripada Lazuli Sdn Bhd, yang kini masih menjadi rakan dalam projek ini. Dr Rosli daripada Lazuli, seorang yang terkenal dalam industri ini, ialah pembekal anak lembu dan ternakan hidup yang lain kepada sesiapa yang memasuki industri ini di Malaysia.

Tulisan asal Hakim Joe dalam Malaysia-Today.net dan diterjemahkan untuk pembaca Harakahdaily oleh Lim Fook Gao.

Syukur: PAS tidak pernah bina kasino, kilang arak

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Umat Islam khususnya orang Melayu diseru bersyukur kepada Allah SWT kerana sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan dan Terengganu bukan sahaja tidak pernah membina kasino dan kilang arak bahkan tidak terdetik untuk merestuinya.

“Apa yang orang Islam khususnya orang Melayu saksikan kewujudan pusat judi Genting dan kilang arak di negara ini adalah hasil daripada kelulusan yang diberikan oleh kerajaan Umno,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar hari ini bahawa PAS hanya berjaya membina satu masjid sepanjang pemerintahannya di Kelantan.

“Bilangan masjid bukan matlamat kita tetapi memakmurkan masjid itulah yang menjadi objektif utama PAS, bahkan Rasulullah s.a.w meletakkan asas bahawa memakmurkan masjid sebagai perkara utama dan mencela masjid yang dibina bukan di atas dasar taqwa kepada Allah, sepertimana yang dirakamkan di dalam Al-Quran tentang masjid dhirar yang dicela oleh Allah kerana dibina bukan kerana Allah.

Alhamdulillah, PAS tidak pernah bina satu kasino dan kilang arak pun.

“Siapa yang bina tempat tersebut di tanahair kita ini?” soalnya.

Beliau juga bertanya siapa yang merasmikan kilang arak di negara ini.

“Semua rakyat khususnya yang beragama Islam sangat tahu tentang hakikat ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Rasulullah s.a.w melarang umat Islam daripada memperkecilkan sesuatu amalan yang maaruf , mungkin ianya nampak kecil pada mata kita tetapi ia sebenarnya memberikan timbangan yang sangat berat pada hari akhirat kelak.

Justeru, katanya Umno sepatutnya memuhasabah diri terhadap perkara maksiat yang telah dilakukan termasuk mengizinkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam untuk terus berlaku dalam negara ini.

“Kita harap umat Islam tidak terus memberi kepercayaan kepada Umno lagi dalam PRU 13 yang akan datang kerana kegawatan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya berpunca daripada sistem yang tidak berlandaskan Islam,” ujar beliau lagi.

harakahdaily/-

Bunyi jet Israel hantui Gaza

12 Muharram 1433H. [MOD] -

BANDAR GAZA - Bunyi bising bermula semasa waktu hampir tengah malam, bulan lalu, diselangi deruman enjin bot nelayan yang berada di luar pesisir pantai.

Di sebuah bulatan jalan raya di pusat bandar yang sibuk tidak jauh dari pelabuhan sudah lama tidak beroperasi, sebuah trak sarat dengan anggota polis berhenti secara tiba-tiba.

“Masuk, masuk!,” sekumpulan enam anggota polis yang keluar dari kenderaan itu memberi arahan kepada pejalan kaki.

Kemudian seorang daripada mereka menunjuk ke arah langit sambil menjerit, ‘Zenana, zenana’, yang bermaksud bunyi dengung, menunjukkan pesawat Israel sedang melintas ruang udara Gaza.

Perkataan itu menjadi sesuatu yang penting di Gaza, di mana serangan udara Israel telah memberi kesan besar terhadap 1.6 juta penduduk Palestin yang tinggal di kem pelarian sesak di wilayah tersebut.

Kehidupan rakyat Palestin dan infrastruktur di Genting Gaza terjejas teruk akibat penggunaan senjata moden ini secara berterusan.

Rejim Zionis memanggil pulang tenteranya dan pendatang Yahudi dari Gaza pada 2005, sekali gus menamatkan penjajahan Israel di wilayah tersebut selama 40 tahun iaitu selepas Perang Timur Tengah pada 1967.

Namun, rejim tidak berperikemanusiaan itu masih mengganggu kehidupan penduduk Gaza dengan melancarkan serangan udara secara berterusan sehingga menyebabkan 825 orang terkorban sejak 2006.

sinar harian/-

Bersegera lakukan amal kebaikan elak timbul fitnah

12 Muharram 1433H. [MOD] -

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ
أَشْهَدُ أَنْ لَّاإِلهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ الْلَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

ALHAMDULILLAH, kita telah pun berada di minggu kedua dalam bulan Muharram. Dengan kalimah tahmid kita panjatkan kepada Yang Maha Esa kerana memberi peluang dan memakbulkan doa untuk bertemu serta meneruskan perjuangan dalam kehidupan bersama tekad di tahun baru 1433 Hijriah. ketika menyedari bahawa kita sudah berada di lembaran baru dalam catatan diari hijrah ini, sesekali terasa ibarat dikejutkan daripada tidur yang lena. Begitulah pantasnya masa setahun berlalu meninggalkan kita. Masih teringat azam tahun lalu yang masih belum dapat ditunaikan sebahagian atau kesemuanya. Terkadang timbul penyesalan sedangkan masa berlalu tidak akan kembali lagi. Pepatah Melayu menyebut, ‘sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.’ Kedatangan tahun baru seperti ini bukan untuk dikesali tetapi diinsafi dan membangkitkan semangat bagi mengorak langkah yang lebih bererti.

ISLAM memerintahkan umatnya untuk bersegera dalam melakukan kebaikan kerana ia akan memberikan ketenangan jiwa dan kesejahteraan hidup dunia akhirat. Dalam hal ini, Allah berfirman:

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ‌ٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ﴿١٣٣﴾

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” - (Surah Ali Imran, ayat 133).
Muslimin mukminin yang berbahagia,

Islam ialah Ad-Din iaitu cara hidup yang penuh dengan amal, menggalakkan umatnya sentiasa bergerak aktif, kreatif dan inovatif serta berkualiti dalam melakukan sesuatu amalan. Islam tidak menghendaki umatnya menjadi umat yang lemah, rendah diri dan berdiam diri.

Dalam Islam, kerja keras sedemikian adalah terhormat, amalan bersegera sedemikian diiktiraf, manakala bersikap pasif dan malas amat dilarang Islam. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW sering berpesan kepada umatnya supaya tidak mensia-siakan waktu yang terluang yang berlalu begitu saja tanpa pengisian amal yang terbaik. Setiap Muslim hendaklah menginsafi bahawa waktu yang sedang berlangsung ini sangat berharga dan tidak dapat diganti sama sekali.
Kekosongan yang tidak diisi dengan amal kebaikan akan terisi oleh keburukan dan begitu juga, kesempatan yang tidak diambil akan segera terlepas daripada tangan. Allah memberi panduan supaya setiap Muslim setelah selesainya menunaikan satu amalan, maka waktu yang kosong hendaknya diisi dengan amalan lain yang berfaedah dan berkebajikan. Bukankah Allah SWT berfirman:
فَإِذَا فَرَغْتَ فَٱنصَبْ ﴿٧﴾

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). - (Surah al-Insyirah, ayat 7).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kemajuan dan kemunduran seseorang, bahkan martabat sebuah bangsa sangat bergantung rapat pada kesediaan mereka dalam bersegera melaksanakan pekerjaan dan aktiviti produktifnya. Semakin lambat mereka menyelesaikan masalahnya, semakin terencat pula kemajuannya, sebaliknya semakin cepat mereka menerajui aktivitinya, maka kemajuan akan segera berada di depan mata.

Justeru, pekerjaan yang biasa kita lakukan di pagi hari, tidak selayaknya kita tunda sehingga petang hari dan begitu juga, kerja yang biasa kita selesaikan pada siang hari, adalah sangat malang jika kita fikirkan untuk menyelesaikannya pada malam hari pula.
Oleh itu, lakukanlah aktiviti hari ini dengan sebaik-baiknya kerana kita ditentukan oleh hasil kerja kita pada hari ini. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنْ الدُّنْيَا

“Daripada Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda; Bersegeralah melakukan amal salih (kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam yang gelap gelita. Dalam keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir dan begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian pada sebelah paginya, dia menjadi mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia yang sedikit. (Hadis Riwayat Muslim).

Muslimin mukminin yang dikasihi,

Dalam hadis ini Nabi SAW menggesa umat Islam memperbanyakkan amalan salih dan bersegera melakukannya serta tidak menangguh amalan terbabit. Akan datang satu masa nanti berlaku fitnah atau malapetaka besar yang menjadi penghalang bagi seorang mukmin melaksanakan amalan kebaikan. Fitnah itu berlaku tanpa diketahui sebabnya dan ia merebak dalam kehidupan manusia tanpa disedari. Malah, mereka tidak dapat menghalang apatah lagi meninggalkannya. Ia umpama malam yang gelap gelita. Pada ketika itu, manusia sibuk menghadapi fitnah ini, maka terhenti amalan kebaikan yang sepatutnya dilakukan demi menjamin kejayaan dunia dan akhiratnya.

Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini berlaku sehingga seseorang Muslim itu menjadi seorang mukmin pada sebelah paginya dengan mendirikan solat, mengerjakan ibadat dituntut, mendirikan syiar Islam, akan tetapi pada waktu petangnya kufur kerana melakukan perbuatan syirik kepada Allah SWT. Hal ini kerana imannya tidak kukuh, sekukuh iman para sahabat yang dididik Rasulullah SAW. Kelemahan iman ini menyebabkan seseorang itu menjual agamanya semata-mata ingin mendapatkan habuan dunia bersifat sementara.

Akhirnya, neraca penilaian di dalam diri seseorang menjadi songsang, sehingga beliau melihat dunia sebagai matlamat utama, dan melihat kebahagiaan akhirat tiada nilai. Kedahsyatan fitnah dan malapetaka ini, menyebabkan iman seorang Muslim itu berdolak-dalik. Sesungguhnya fitnah itu amat berbahaya dan dapat bergerak dengan pantas. Sekali kita membiarkannya maka selanjutnya ia bertapak dan berkembang dalam tubuh kita. Begitu cepat sehingga menyebabkan seseorang bertukar agama, menggadaikannya dengan kesenangan dunia. Maka tidak hairanlah Rasulullah SAW memperingatkan sahabat dan umatnya sewaktu mendepani perjalanan hidup yang penuh cabaran.

Sidang Jumaat yang dirahmatiAllah,

Selanjutnya, pintu fitnah ini boleh ditutup dengan amal salih. Apa saja dilakukan dalam hidup seorang Muslim akan menjadi amal kebaikan. Bercakap benar dan tidak bohong itu amalan mulia. Mendoakan kesejahteraan untuk saudara seislam tanpa pengetahuan mereka, juga amal salih dan lain-lain amalan kebaikan yang berlangsung dalam setiap sendi kehidupan umat sejagat. Allah SWT Maha Adil kerana memberi peluang kepada hamba-Nya, baik miskin mahu pun kaya, masing-masing memiliki kesempatan melakukan amal kebajikan dan mendapat keredaan. Lebih daripada itu, sesuatu amal tidak dilihat dari sudut kuantiti, tetapi dilihat dari sudut kualitinya, iaitu motivasi dan niatnya. Pendek kata, kualiti amal seseorang itu amat bergantung kepada motivasi dan niatnya.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

*AMARAN!!! Pihak JAIPk tidak bertanggungjawab ke atas sebarang penambahan ayat selain dari kandungan khutbah yang dikeluarkan.


Felda, AGM Umno dan selak kain

12 Muharram 1433H. [MOD] -
Ahmad Lutfi Othman

Sidang akhbar mengenai Pengerusi Felda, Isa Samad, di Hotel Flamingo, Ampang, 28 Nov lalu dijadualkan jam 9.30 pagi. Kebetulan rumah saya hanya sekitar 4km sahaja dari situ. Anak lelaki saya pula bercuti, jadi tiada alasan untuknya menolak bila diajak menemani, apatah lagi jiran sebelah rumah -- seorang pesara TUDM, Katolik -- yang mutakhir ini cukup ghairah berbicara soal politik, turut mahu bersama.

"PAS mesti memimpin Pakatan Rakyat," kata jiran saya itu, Mejar Bersara Wiliam, "jangan hampakan rakyat yang impikan perubahan, dan oleh itu mesti ke depan menjuarai isu-isu masyarakat pelbagai kaum dan tidak hanya tertumpu masalah orang Islam sahaja." Beliau yang disahkan menghidap kanser hidung tahap keempat sentiasa positif tentang keupayaan pembangkang dalam PRU13 nanti.

Namun, yang lebih mengujakan saya untuk turut menghadiri sidang akhbar pagi 2 Muharam itu apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Nasaie Ismail, bahawa yang terbabit dalam sidang akhbar itu bukan lagi teman-teman yang sering dikaitkan dengan perjuangan membela peneroka Felda, seperti Mazlan Aliman, tetapi "aktor baru" di kalangan "orang dalam" sendiri.

Justeru, walaupun terlewat hampir dua jam daripada jadual asal dan kaki kiri saya sudah mula membengkak akibat menunggu lama -- mujur ada Dr G Manimaran, Pengarang Bahasa Melayu, The Malaysian Insider untuk diajak berbual -- saya terasa berbaloi.

Penampilan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Shamsuddin Othman, 59, yang mewakili 11 wilayah Felda di seluruh negara memang cukup meyakinkan. Hujahnya tenang dan teratur, walaupun ketika ditayangkan kepada para wartawan video ucapan Isa, semasa sesi penerangan kepada perwakilan Koperasi Permodalan Felda, di Kuala Pilah, 12 Nov, yang jelas menghinanya.

Meskipun Isa dituntut mohon maaf di atas keculaparannya itu -- dengan kata-kata "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu dia" -- saya melihat sidang media itu menjangkaui isu personal Pak Sam, malah membawa impak baru kepada siri pergolakan isu Felda.

Umno yang kelihatan panik mempertahankan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13 nanti bakal ditimpa masalah besar di kubu sendiri apabila "simpanan tetapnya" sudah memberi kata dua, ekoran tidak berpuas hati dengan proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH), yang jelas merugikan.

Dari riak Shamsuddin dan rakan-rakannya dalam Jawatankuasa Perunding Peneroka Peneroka (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW), saya rasa tindakan mereka bukan bermotif politik, sebaliknya tegas membela kepentingan peneroka. Mereka langsung tidak mengeluarkan kenyataan buruk kepada Perdana Menteri.

Difahamkan sebahagian besar pemimpin peneroka memihak Umno, namun ia tidak menghalang untuk mendesak Isa dan dua pegawai kanan Felda meletakkan jawatan. "Jika hasrat kami ini tidak ditunaikan PM, jelaslah sokongan peneroka Felda semasa PRU13 tidak lagi diperlukan kerajaan memerintah," kenyataan akhbar mereka dipetik.

Isa dalam responsnya bukan saja enggan memohon maaf, malah menyifatkan pihak yang cuba menolak usaha penyenaraian FGVH sebagai "pengkhianat negara". (Mudahnya kalimat pengkhianat dihamburkan). Isa juga menggesa agar Shamsuddin "datang berkomunikasi dengan saya".

Kesombongan Isa itu dikecam keras masyarakat peneroka. Ada yang membandingkannya dengan kesediaan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng, yang sedia memohon maaf kepada Menteri Besar Perak, Dr Zambry Abd Kadir. Lebih teruk apabila Isa cuba memburukkan lagi Shamsuddin dengan dakwaan ponteng mesyuarat Felda.

Berdepan pelbagai asakan, PM Najib Razak dijangka terus mengekalkan Isa kerana "ada rahsia yang mereka kongsi bersama". Bukankah pada September 2009, gesaan Dr Mahathir Mohamad agar Isa tidak diletakkan sebagai calon BN dalam pilihan kecil Bagan Pinang ekoran kesalahannya dalam rasuah politik, juga tidak diendahkan Najib.

Mungkin Najib perlu mendengar pantun ini:
Andai ada lembu di ladang,
Bawalah menginap di pangsapuri;
Sana sini orang Felda tentang,
Cepatlah Isa mengundur diri.

II.

Umno sukar menutup wajah gabranya berdepan perhimpunan agungnya kali ini. Saya tidaklah sampai menganggap ia AGM terakhir sebagai parti pemerintah tetapi tetap terkesan dengan pelbagai "keanehan" di dalamnya. Ternyata Umno begitu gelisah menunggu saat kuasa bercerai-tanggal daripadanya.

Membuka persidangan pada 29 Nov, Muhyiddin Yassin bertindak garang membelasah Pakatan Rakyat, khususnya DAP. Orang Melayu ditakut-takutkan akan kehilangan kuasa jika Pakatan menguasai Putrajaya. Ia bukan sesuatu yang luar biasa, terutama untuk membakar semangat ahli parti, tetapi usahlah menabur fitnah.

Lagipun ucapannya yang bertajuk "Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad" dilihat sarat dengan elemen agama, sambil menyifatkan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri sebagai "para mujahid dan mujahidah". Memang Umno terdesak memaku sokongan Melayu kepadanya, namun janganlah berdusta. Mungkin Muhyiddin teruja dengan nasihat mentornya, Mahathir, yang mahu Umno terus menambat hati pengundi Melayu, khususnya di luar bandar.

Lihatlah ungkapannya: "Daripada soal kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, segala-galanya cuba dipertikai dan dirobek satu demi satu oleh DAP. Tembelang DAP untuk menubuhkan sebuah negara republik dengan mengetepikan nilai, sejarah dan jati diri Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berpaksikan kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan semakin jelas kelihatan."

Mungkin terdorong dengan ucapan itu, dalam perbahasan, perwakilan Pemuda Pulau Pinang, Syeikh Husin Maidin menegaskan: "Siapa saja, Melayu, Cina, India yang menyokong DAP, depa daripada bangsa bangsat. Saya ulang sekali lagi, DAP adalah bangsa bangsat." Beliau juga menyifatkan ahli-ahli PAS di Pulau Pinang sebagai "bapuk".

Sidang itu juga sendat dengan perbahasan mengenai kriteria winnable candidate, suatu istilah yang sudah menggambarkan bahawa Umno kini bermasalah untuk mencari calon pilihan raya. Ramai menjangkakan konflik dalaman makin parah apabila tafsiran ciri-ciri "calon boleh menang" terbuka luas.

"Pakatan Rakyat hanya perlu tangkas dan bijaksana menggunakan kesempatan apabila Parlimen dibubarkan nanti. Ruang ahli-ahli Ummno, yang tidak puas hati dengan calon, untuk sabotaj tambah meluas. Dalam Umno, apa lagi yang lebih penting selain menjadi wakil rakyat?" kata seorang veteran parti.

"Mengikuti laporan media tentang perhimpunan, saya yakin rakyat muak dengan perbahasan yang hanya terpusat kepada keghairahan Umno mengekalkan kuasa, sedangkan masalah negara, khususnya berkaitan kemelut ekonomi dan juga perubahan politik, langsung tidak disentuh," ujar seorang penganalisis.

"Kasihan Najib, semakin tidak menjadi geraknya. Persepsi pengundi terhadap Umno makin memburuk. Segala usaha transformasinya langsung tidak membekas," tambahnya.

Dan seperti kata bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin, yang menjadi tetamu perhimpunan berkenaan, "Umno belum dapat memberi satu harapan baru, terutama kepada generasi muda, yang berbeza dengan harapan generasi dahulu, yang tidak boleh ditarik dengan ganjaran wang lagi."

III.

Isu Fidlot makin panas. Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil mengamuk sakan sehingga bukan saja sanggup "menyingsing lengan" tetapi juga bersedia untuk "selak kain".

Melalui siaran berita TV, rakyat dapat menonton dengan jelas mimik muka garangnya dan sorakan sokongan perwakilan Wanita apabila beliau menjerit: "Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi ... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, Ketua Wanita KeADILan yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?"

Kesabarannya ternyata hilang dengan pelbagai pendedahan mengenai syarikat milik keluarganya, terutama oleh Rafizi Ramli, Pengarah Strategi KeADILan: "Anak muda ini, apa namanya? Rafizi? Mafizi? Dia adalah si Tanggang muda."

Zuraida Kamarudin kemudiannya menjawab ringkas, pendedahan awal projek tersebut kucar-kacir dan tidak menepati sasaran kerana tiada kepakaran, dibuat Ketua Audit Negara, dan bukannya KeADIan. Hakikatnya, tegas beliau, yang biadap adalah apabila menteri-menteri yang diberi amanah, menyalahgunakan kuasa menyeleweng wang rakyat untuk mengkayakan keluarga.

Sepatah kata Rafizi: "Kalau dia singsing lengan, angkat kain, kita akan dedah lagi lepas ni." Benar, Rafizi terus tampil dengan pendedahan dana NFC daripada sejumlah RM250 juta diguna untuk beli kereta mewah (RM534,622), tanah di Putrajaya (RM3,363,507) dan melancong (RM455,423).

Dulu saya sukar percaya gosip mengatakan Shahrizat mengamuk dalam mesyuarat bersama pegawai kanan kementeriannya, malah mengherdik suaminya dengan gelaran yang tidak enak didengar selepas pecah isu NFC, tetapi melihat gayanya Rabu lalu saya sekadar mampu tersenyum.

Namun, lebih menjengkelkan saya apabila membaca penjelasan Timbalan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa siasatan awal NFC mendapati "tidak ada unsur pecah amanah dikesan". Peliknya, Khalid mengakui siasatan masih berjalan dan Shahrizat sendiri belum direkodkan kenyataannya!

Maka semakin merudumlah indeks rasuah Malaysia, sepertimana laporan Tranparency International bahawa skor Malaysia jatuh lagi kepada 4.3 pada tahun ini, yang terburuk dalam 10 tahun. Dan tambah menjauhlah imiginasi orang muda dengan Umno yang tidak pernah belajar daripada siri kesalahannya itu.

Polis tak pernah soal kami, kata pemimpin PKR

12 Muharram 1433H. [MOD] -

Polis masih belum menyoal beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat berhubung pendedahan mereka mengenai dakwaan penyelewengan dana oleh projek ternakan lembu, Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Pemimpin PKR Saifuddin Nasution, Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa polis belum menyoal mereka berhubung pendedahan berkenaan.

“Masih teka-teki ... mereka tidak menghubungi kami mengenai isu itu," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

azlanPakatan telah membidas NFC dan membuat pendedahan demi pendedahan sebaik sahaja projek ternakan lembu itu menarik komen-komen negatif dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyifatkannya sebagai berada dalam “ kucar-kacir”.

Antara dakwaan yang dilemparkan oleh PKR adalah bahawa sebahagian daripada dana yang diperuntukkan sebagai pinjaman mudah kepada NFC telah di salah-gunakan oleh ahli keluarga seorang menteri kabinet.

Rafizi mendakwa bahawa mereka yang terbabit telah menyalahgunakan RM181 juta daripada pinjaman RM250 juta untuk membeli kondominium jutaan ringgit, kereta mewah, tanah dan juga untuk tujuan melancong.

NONEKetua Wanita PKR yang juga ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin juga mengakui bahawa polis belum menghubunginya berhubung pendedahan yang dibuatnya.

"Pihak polis tidak menghubungi saya sehingga hari ini! Tiada kenyataan (diambil) daripada saya," kata setiausaha agung PKR dan ahli parlimen Machang Saifuddin Nasution.

Malaysiakini.

Ulasan :

Kenyataan ini membuktikan bahawa kenyataan Timbalan KPN dalam kes ini jelas menimbulkan keragguan dan semacam untuk membersihkan Shahrizat dan UMNO sebelum PRU ke 13 menjelang.

PRU13: Umno, Benarkah BN tiada masalah guna dakwat kekal ?

12 Muharram 1433H. [MOD] -

Umno dan BN tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhasrat memperkenalkan sistem biometrik, penggunaan dakwat kekal ataupun mengekalkan sistem sedia ada pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata kaedah dakwat kekal yang ingin digunakan tidak mendatangkan sebarang kebimbangan kepada Umno dan BN kerana mereka tidak pernah menyalahgunakan sistem pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

NONEBeliau berkata perkara itu boleh dibuktikan pada pilihan raya umum 2004 di Kelantan yang menyaksikan Umno hanya mengalami kekalahanan satu kerusi dan PAS berjaya membentuk kerajaan negeri dengan dua undi majoriti di Dewan Undangan Negeri Kemuning dan Machang.

"SPR juga telah laksanakan pilihan raya dengan adil hinggakan pembangkang boleh menang lima negeri pada pilihan raya umum ke-12," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun mahu penggunaan dakwat kekal memenuhi tiga syarat, iaitu dipersetujui oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, tidak boleh dibuang dengan apa jua jenis peluntur hingga tempoh tertentu dan tiada pihak yang cuba menyeludup masuk untuk tujuan penyalahgunaan pada masa pilihan raya umum.

"Telah nyata juga sebelum ini bahawa tiada bukti wujud pengundi hantu dalam mana-mana petisyen mahkamah pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang dibawa oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya," katanya.

Beliau berkata dakwat kekal yang ingin digunakan boleh dijadikan asas tambahan bagi membuktikan bahawa proses pilihan raya di negara ini adalah telus dan adil.

Beliau menambah kemenangan Umno dan BN tidak pernah bergantung kepada manipulasi keputusan pilihan raya umum dan pilihan raya kecil untuk memerintah negara sejak dahulu lagi.

"Kemenangan kami adalah bermaruah dan benar. Selama ini kami menyerahkan kemenangan kepada kebijaksanaan pengundi membuat keputusan yang tepat setelah segala yang baik telah disediakan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata keputusan SPR untuk menggunakan dakwat kekal membuktikan proses pilihan raya di negara ini telus dan tiada ruang untuk penipuan dilakukan.

Katanya, keputusan untuk menggunakan dakwat kekal sebenarnya tidak perlu dilakukan di negara ini kerana setiap pengundi adalah terdiri daripada mereka yang berdaftar dan mempunyai kad pengenalan rasmi.

"Lainlah seperti negara-negara luar di mana mereka tidak mempunyai senarai daftar pengundi yang dikemas kini berbanding Malaysia," katanya.

Namun begitu, katanya kerajaan mengikut kehendak pihak pembangkang yang mahukan dakwat kekal digunakan kerana sering membangkit perkara itu kepada umum.

Katanya kerajaan juga mahu membuktikan bahawa tiada penipuan dilakukan dalam proses pilihan raya di negara ini walaupun terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi melaksanakan proses menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Katanya keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan pilihan raya dengan menggunakan kad pengenalan sebenarnya berkesan kerana dalam sejarah pilihan raya negara hanya berlaku satu sahaja kes penipuan mengundi dua kali dilakukan dengan menggunakan kad pengenalan.

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan meneliti desakan sesetengah pihak dalam isu penggunaan dakwat kekal yang dikatakan tidak sesuai digunakan oleh orang Islam kerana dakwatnya dikatakan kekal daripada dicuci untuk tempoh 48 jam.
- Bernama

Tajuk asal dari malaysiakini : PRU13: Umno, BN tiada masalah guna dakwat kekal

Ugutan Najib bukti Umno sedar akan hilang kuasa

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Dis: PAS menyifatkan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Perdana Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Isnin lalu sebagai berbaur ugutan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan umat Islam.

Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman (gambar) berkata, kenyataan Najib bahawa orang Melayu dan umat Islam mesti menyokong Umno BN jika mahu masa depan yang cerah, jelas bertujuan menimbulkan ketakutan kepada orang Melayu.

Ia sekaligus menggambarkan Umno BN seolah-olah semakin sedar mereka akan hilang kuasa selepas pilihan raya umum ke -13 nanti.

"Ada sesuatu yang tidak sihat daripada ucapan itu. Ada kecenderungan di kalangan pemimpin BN, seolah-olah mereka tak boleh terima kalau mereka kalah dalam pilihan raya.

"Kalau ucapan yang dibuat berbau kekerasan kerana nak pertahankan kuasa, ini sesuatu yang sangat berbahaya," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga berkata, Umno BN sebaliknya harus memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan di peti undi, bukan mengugut masa depan mereka menjadi malap sekiranya memilih Pakatan Rakyat.

"Semua pihak sama ada Perdana Menteri ataupun institusi keselamatan seperti polis dan tentera bahkan badan bukan kerajaan seperti Pekida, Perkasa dan sebagainya harus akur dengan mandat yang diberi rakyat.

"Jika dalam pilihan raya umum rakyat beri kepercayaan selain kerajaan yang sedia ada, rakyat harus menghormatinya," katanya.

Tambah Mazlan lagi, beliau yakin ucapan Najib itu mempunyai maksud tersirat iaitu memberi isyarat kepada Pekida agar tidak sekali-kali "belot" dengan parti pemerintah.

Justeru katanya, semua pihak harus berhati-hati dengan ucapan berbaur ancaman dan provokasi itu.

"Saya yakin apa yang diungkapkan Najib ada maksud tersirat yang nak disampaikan kepada pertubuhan seperti Pekida itu.

"Jadi saya harap ucapan yang berbau ancaman dan provokasi ini dapat diteliti oleh pihak polis supaya ini tidak menjadi satu galakan kepada budaya samseng dalam negara kita seperti yang ditunjukkan oleh BN melalui siri gangguan dalam ceramah Pakatan Rakyat yang semakin kerap berlaku," katanya.

Selain itu, tegas Mazlan, ugutan bahawa Melayu akan menjadi bangsa yang bangsat dan merempat jika tidak diperintah Umno BN langsung tidak berasas.

Sebaliknya beliau berkata, nasib Melayu sekarang ini memang sudah tidak terbela angkara Umno sendiri yang mengaut kekayaan untuk kroni mereka.

"Pakatan belum diberi peluang mengambil alih Putrajaya lagi, bagaimana Najib kata orang Melayu akan jadi bangsa yang bangsat, merempat?

"Hari ini pun kalau senaraikan isu orang Melayu, memang dah jadi bangsat pun. Angkara siapa kalau bukan angkara Umno.

"Kononnya kalau bagi kuasa kepada Pakatan Rakyat Melayu akan bangsat, akan merempat, ini kenyataan yang melampau dan tak patut keluar dari mulut Perdana Menteri," katanya.

Harakahdaily:

Ulasan :

Kiranya ugutan tersebut sebenarnya datang dari first lady yang sedang bingung dengan fenomina yang menampakkan kuasa BN akan hilang dan sekaligus dia akan jadi first lady pencen.

Kumpul najis anjing, hadiah tiket loteri di Taiwan

12 Muharram 1433H. [MOD] -

TAIPEI 8 Dis. - Taiwan memperkenalkan satu rancangan inovatif bagi memastikan jalannya bersih dengan memberi sekeping tiket loteri yang menawarkan hadiah bernilai AS$2,000 (RM6,300) bagi setiap plastik najis anjing yang dikutip.

Lebih 4,000 orang penduduk bandar New Taipei menyertai pertandingan tersebut sejak ia dilancarkan pada awal Ogos lalu dan setakat ini sebanyak 14,000 buah beg plastik yang mengandungi najis anjing telah dikutip.

Jumlah penyertaan itu melebihi daripada yang mereka jangka.

Setiap beg plastik berisi najis anjing yang diserahkan, peserta akan mendapat sekeping tiket loteri dengan hadiah utamanya termasuk jongkong emas. - AFP

Gempa bumi sederhana di Indonesia

12 Muharram 1433H. [MOD] -

JAKARTA 8 Dis. - Gempa bumi sederhana berukuran 5.8 magnitud pada skala Richter melanda Pulau Maluku di timur Indonesia semalam, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran pada pukul 10.38 malam (9.38 malam waktu Malaysia) itu berlaku di kedalaman 16 kilometer dan 310 kilometer dari barat laut Ambon.

Tiada kematian atau kerosakan yang dilaporkan setakat ini. - AFP

Bom di Afghanistan, 78 terbunuh dalam 2 hari

12 Muharram 1433H. [MOD] -

KABUL 8 Dis. - Satu letupan periuk api di tepi jalan membunuh 19 orang awam dan lima orang lagi tercedera di wilayah Helmand yang terletak di selatan Afghanistan, semalam.

Letupan tersebut berlaku sehari selepas serangan bom di tiga bandar berbeza sekitar Afghanistan yang membunuh sehingga 59 orang dan ia memberi tumpuan semula kepada keadaan pasukan keselamatan negara yang lemah.

Selepas serangan pada Selasa lalu yang paling besar berlaku di Kabul, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai membatalkan rancangan melawat Britain dengan segera pulang ke tanah air. - Reuters

Liga Juara-Juara ; Man City menang 2-0.


12 Muharram 1433H. [MOD] -PEMAIN Manchester City, Samir Nasri (kiri) bersaing untuk mendapatkan bola daripada pemain Bayern Munich, Luiz Gustavo dalam perlawanan Liga Juara-Juara peringkat kumpulan A di stadium Etihad, Manchester, pagi tadi. Man City menang 2-0. - Foto AP