25 October 2011

Bahagianya Keluarga Sakinah

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
By: M. Agus Syafii

Penggunaan nama sakinah diambil dari al Qur’an surat 30:21, litaskunu ilaiha, yang artinya bahwa Allah menciptakan perjodohan bagi manusia agar yang satu merasa tenteram terhadap yang lain. Dalam bahasa Arab, kata sakinah di dalamnya terkandung arti tenang, terhormat, aman, penuh kasih sayang, mantap dan memperoleh pembelaan. Pengertian ini pula yang dipakai dalam ayat-ayat al Qur’an dan hadis dalam kontek kehidupan manusia. Jadi keluarga sakinah adalah kondisi yang sangat ideal dalam kehidupan keluarga, dan yang ideal biasanya jarang terjadi, oleh karena itu ia tidak terjadi mendadak, tetapi ditopang oleh pilar-pilar yang kokoh, yang memerlukan perjuangan serta butuh waktu serta pengorbanan.

Dalam keluarga sakinah ada mawaddah dan rahmah (Q/30:21). Mawaddah adalah jenis cinta membara, yang menggebu-gebu dan "nggemesi" sedangkan rahmah adalah jenis cinta yang lembut, siap berkorban dan siap melindungi kepada yang dicintai. Mawaddah saja kurang menjamin kelangsungan rumah tangga, sebaliknya, rahmah, lama kelamaan menumbuhkan mawaddah. Hubungan antara suami isteri harus atas dasar saling membutuhkan, seperti pakaian dan yang memakainya (hunna libasun lakum wa antum libasun lahunna, Q/2:187). Fungsi pakaian ada tiga, yaitu (a) menutup aurat, (b) melindungi diri dari panas dingin, dan (c) perhiasan. Suami terhadap isteri dan sebaliknya harus menfungsikan diri dalam tiga hal tersebut. Jika isteri mempunyai suatu kekurangan, suami tidak menceriterakan kepada orang lain, begitu juga sebaliknya. Jika isteri sakit, suami segera mencari obat atau membawa ke dokter, begitu juga sebaliknya. Isteri harus selalu tampil membanggakan suami, suami juga harus tampil membanggakan isteri, jangan terbalik di luaran tampil menarik orang banyak, di rumah tidak sedap dipandang

120 orangwarga India di Estet penerima sumbangan kebajikan Pemuda PAS Perak


27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Safarizal Saleh

24 Oktober 2011 (LARUT) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Larut yang tidak melupai warga berbangsa India yang tinggal di Estet di sekitar kawasan Larut telah memberikan sumbangan berupa kebajikan kepada 120 orang penerima pada tahun ini.

Sumbangan keperluan barangan harian tersebut telah disampaikan oleh Setiausaha Pemuda PAS Perak, Salman Saleh yang turut bersama Ketua Pemuda PAS Larut, Mohd Nazri Din yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Perak. Hadir sama adalah Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Larut, Mohd Akmal Kamarudin.

Kawasan Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah dipilih sebagai lokasi pengagihan sumbangan kali ini yang telah diadakan di Markaz PAS Cawangan Tebing Tinggi, Kubu Gajah. Berakhir serahan sumbangan tersebut, turut diadakan kenduri rakyat bersama semua penerima warga Estet yang telah hadir ke mazkaz tersebut bagi menerima sumbangan kali ini.

‘Adik beradik’ khalwat dicekup

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA – Lakonan drama sepasang kekasih berusia 26 dan 28 tahun yang menyamar sebagai adik-beradik bagi mengelak dicekup berkhalwat terbongkar apabila wanita itu ketakutan selepas digertak mengenai balasan orang yang berzina ketika di akhirat.

Mereka ditahan selepas didapati berdua-duaan di sebuah hotel bajet di Taman Medan dalam operasi cegah maksiat Ahli Jawatankuasa dan Pemuda Masjid Nurul Ehsan dengan kerjasama polis awal pagi semalam.

Pasangan itu mengambil kesempatan mengaku sebagai adik-beradik selepas pemeriksaan pada MyKad mendapati kedua-duanya mempunyai nama bapa yang sama namun berbeza alamat tempat tinggalnya.

:Pihak masjid yakin sesuatu yang tidak kena beriku�tan pasangan itu memberi alasan tidur di situ kerana berpindah rumah, malah ketika pintu bilik dibuka si perempuan masih berselimut di atas katil dan hanya memakai pakaian dalam selain mengakui sering melakukan hubungan seks di situ.

Dalam serbuan di hotel yang sama juga, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditahan bersama kekasihnya merayu meminta dilepaskan atas alasan ibunya mengenali imam yang terlibat dalam operasi.

Operasi selama tiga jam itu turut menahan seorang guru wanita menyembunyikan diri di dalam bilik air dengan hanya berkemban selepas menyedari rumahnya diserbu.

Ketika ditahan guru terbabit berusia 29 tahun berdua-duaan dengan seorang lelaki berstatus duda berusia 33 tahun di rumah sewa lelaki terbabit.

Manakala seorang lagi penjawat awam berusia 25 tahun dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan seorang janda berusia 35 tahun, anak tiga di rumah.

Imam 1 Masjid Nurul Ehsan, Abdul Muin Abdul Hamid berkata, operasi besar-besaran tersebut akan diteruskan bagi membanteras kegiatan maksiat di kawasan Taman Medan.

“Operasi ini adalah susulan daripada aduan dan maklumat daripada penduduk setempat yang merasakan tempat disyaki seperti hotel bajet dan rumah persendirian perlu diberi perhatian agar tidak menjadi lokasi mudah melakukan perbuatan sumbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Kesemua pasangan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan selanjutnya.

sinar harian/-

Penghuni dunia cecah 15 bilion

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi,

kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.
Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.

Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.

Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.

“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.
Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.

“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.

Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.

“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.

Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. – Agensi

Negara berkebajikan bukti PAS bela semua kaum

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Seluruh rakyat negara ini diseru menyertai kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan terhadap kepimpinan negara.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, masa kepada politik perkauman di negara ini sudah berakhir.

Menurut beliau, sebaliknya, seluruh rakyat negara ini mesti dikenali sebagai rakyat Malaysia dan bukan lagi dari latar belakang kaum dan agama.

Katanya, sejajar dengan itu, PAS yang ditubuhkan sejak 60 tahun lalu sudah lama mengamalkan konsep menghormati antara satu sama lain demi kemanusiaan.

"Sehubungan itulah, PAS tidak mengira kaum atau agama dalam memberikan sumbangan, apatah lagi dengan konsep negara berkebajikan menjadikan PAS lebih bersungguh-sungguh membela semua kaum," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Barit Buntar mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada para penganut agama Hindu di negara ini.

"Selamat Menyambut Hari Deepavali untuk penganut Hindu semoga sambutan cahaya ini menyinari usaha perubahan yang kita lakukan," katanya.

Kelmarin, beliau turut menghadiri satu program sumbangan kepada fakir miskin bagi kaum India yang berlangsung di Telok Intan.

Program anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan PAS Kawasan Telok Intan itu membabitkan sumbangan kepada 240 orang fakir miskin di kawasan itu.

Turut hadir pada program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Annuar Sudin yang turut menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin terbabit dan Pengerusi DHPP Kawasan, Archaran Singh.

Sementara itu, Archaran dalam ucapannya mengharapkan program tersebut akan lebih meriah pada tahun-tahun akan datang.

Masyarakat India masih tercicir

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada penganut Hindu.

Beliau bagaimanapun kesal kerana sebagai salah satu kaum utama di Malaysia, masyarakat India khususnya yang beragama Hindu masih tercicir.

“Lihat sahaja bagi mereka yang tinggal di estet-estet, keadaannya masih daif. Berulang kali disebutkan, termasuk di dalam Parlimen bahawa angka banduan, keciciran pendidikan di sekolah dan gangsterisme masih ramai yang melibatkan belia dari masyarakat India,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, yang jelas ialah kepercayaan sekian lama yang mereka berikan kepada pemerintah sediakala telah dikhianati.

“Malah kita dengar bagaimana saham berbilion ringgit yang diperuntukkan kepada masyarakat kita yang keturunan India, lenyap begitu sahaja. Pembelaan bagi pihak semua masyarakat yang memerlukannya adalah tunggak perjuangan Keadilan sejak penubuhannya,” katanya.

Dalam konteks ini, katanya masyarakat India tidak boleh dibiarkan terkebelakangan mengakibatkan keseluruhan corak masyarakat negara menjadi tidak seimbang.

Ujarnya, inilah ujian dan cabaran yang sedang dihadapai oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kesejahteraan dan PKR tidak memandang sambil lewa hal itu.

“Kita dengan sepenuh daya upaya mahukan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan, dan keberadaan mereka bukan hanya tempelan di kaca TV untuk menampakkan keharmonian yang serba pura-pura,” ujarnya.

harakahdaily/-

Jalankan tugas walaupun sakit

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KETIKA reaksi rakyat Libya masih bercampur-baur mengenai realiti kematian bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi, yang terbunuh akibat tembakan di kepala ketika bertempur dengan penentangnya di Sirte, awan pilu kini berarak menyelubungi rakyat Arab Saudi.

Bukan meratapi pemergian ikon Libya tersebut, tetapi mereka hiba lantaran mendapat khabar bahawa bakal pewaris takhta, Putera Mahkota Sultan Abdul Aziz Al-Saud, 85, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Sabtu lalu.

Baik Gaddafi mahupun Sultan, kedua-duanya merupakan pemimpin tersohor dengan cara tersendiri. Namun, tidak seperti riwayat perjuangan Gaddafi yang berakhir dengan tragis, kemangkatan putera mahkota itu adalah noktah pilu setelah berjuang dengan masalah kesihatan sejak bertahun-tahun lamanya.

Dalam pada meniti saat persemadian baginda, segala persoalan mengenai keadaan kesihatan dan masa depan tugas baginda itu terus diperkatakan.

Pada awalnya, pengumuman tersebut tidak mendedahkan secara terperinci lokasi tepat Putera Mahkota Sultan menghembuskan nafas terakhir mahupun mengulas lebih lanjut mengenai penyakitnya.

Namun, sumber rasmi Arab Saudi yang berlegar-legar di Riyadh memberitahu, putera mahkota kesayangan rakyat tersebut meninggal dunia di Hospital Presbyterian di New York.

Putera Sultan berhadapan dengan pelbagai komplikasi kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain ke Amerika Syarikat (AS), baginda juga merantau ke Maghribi untuk tujuan sama.

Beliau berada di AS sejak Jun dan menjalani pembedahan perubatan pada bulan Julai, namun tiada maklumat mengenai berita perkembangan kesihatannya sejak itu.

Baginda didiagnosis menderita kanser kolon sejak tahun 2004 dan pernah mengunjungi Switzerland bagi mendapatkan rawatan. Antara prosedur pembedahan yang dijalani adalah membuang polip di usus baginda.

Sejurus pihak istana mengumumkan mengenai putera mahkota itu yang dibenarkan keluar dari hospital, stesen televisyen Arab Saudi tidak menunggu masa yang lama untuk menyiarkan klip rakaman untuk meredakan resah rakyat Arab Saudi.

Putera Mahkota Sultan dalam klip itu dilihat sedang duduk memakai jubah tradisional sambil menerima ucapan selamat daripada orang kenamaan.

Timbul spekulasi

SULTAN dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Presbyterian di New York.

Keperluan rawatan kanser di AS sebenarnya menyaksikan putera itu meninggalkan Arab Saudi lebih daripada setahun iaitu antara tahun 2008 hingga 2009. Masa selebihnya digunakan untuk proses pemulihan di Agadir, Maghribi.

Seorang diplomat Barat juga ada memberitahu mengenai keadaan bahawa Putera Mahkota Sultan bergantung sepenuhnya pada sistem sokongan hayat dan diisytiharkan 'mati secara klinikal' lebih sebulan yang lalu.

Oleh kerana laporan itu tersebar, koresponden luar negeri di Riyadh itu dikenakan tindakan dengan dipaksa meninggalkan negara tersebut.

Putera Mahkota Sultan yang usianya dua tahun lebih muda daripada saudara tirinya yang kini memerintah, Raja Abdullah telah berkhidmat sebagai Ketua Pertahanan hampir lima dekad lamanya.

Namun, kemerosotan kesihatan baginda telah membuatkannya menghabiskan banyak masa di luar negara untuk menjalani rawatan perubatan.

Pada 2009, kabel diplomatik AS yang dikeluarkan oleh WikiLeaks melabelkannya sebagai 'tidak berupaya' untuk memerintah.

Ada juga sumber menyatakan bahawa pada April 2009, Putera Mahkota Sultan mula menderita penyakit Alzheimer.

Dalam keadaan lemah, baginda dilaporkan tegar menyambung tugas sekembalinya ke Riyadh pada Disember 2009, meskipun hanya mampu bekerja beberapa jam sahaja setiap hari.

Begitupun, baginda sebenarnya masih sakit dan perlukan rawatan lanjut. Akibat terlalu lama tahap kesihatan baginda tidak berada di tahap yang baik, banyak keputusan penting kerajaan tergendala.

Pada masa yang sama, persoalan mula timbul mengenai kesudahan monarki untuk generasi akan datang bagi keluarga Al-Saud.

Catur masa depan

KEMANGKATAN Sultan satu kehilangan besar bagi rakyat Arab Saudi.

Pemergian Putera Mahkota Sultan juga terjadi saat Raja Abdullah, 87, sedang dirawat di hospital di Riyadh seminggu selepas menjalani pembedahan tulang belakang.

Menyedari amanah negara yang dipikul Putera Mahkota Sultan perlu diteruskan, Raja Abdullah mengambil langkah awal untuk mencatur masa depan kerajaan baginda.

Dalam meletakkan sesiapa sahaja sebagai pengganti, baginda perlu adil membahagikan kuasa dalam keluarga diraja tersebut yang mempunyai ribuan ahli dan puluhan cabang keluarga yang mendominasi institusi pentadbiran, ketenteraan dan perniagaan.

"Keseimbangan sering diambil peduli oleh raja-raja. Ia bagi menimbulkan keharmonian dan pembahagian kuasa yang adil di semua peringkat," ujar seorang profesor sains politik di Riyadh, Khaled al-Dakhil.

Keluarga Al-Saud telah memerintah Arab Saudi sejak penubuhan negara tersebut pada 1932 dan aliran takhta lazimnya diperturunkan kepada anak-anak lelaki pengasasnya iaitu Abdul Aziz yang kini semuanya sudah tua.

Kini, individu yang layak menggantikan tempat Putera Mahkota ialah saudara lelaki baginda sendiri, Putera Nayef Abdul Aziz Al-Saud, 77, yang menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi sekali gus bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri.

Pelantikan Putera Nayef adalah menerusi sidang Majlis Baiah (Taat Setia) yang tidak pernah diguna pakai sebelum ini.

Sultan pemurah

BANDAR SULTAN pernah menjalin diplomasi dengan AS sebagai duta Riyadh.

Usia sebenar Putera Mahkota Sultan tidak pernah jelas. Tarikh kelahirannya seringkali dilapor oleh kerajaan antara tahun 1926 dan 1931.

Mula dikenali apabila dilantik sebagai Gabenor Riyadh pada 1947, Putera Mahkota Sultan itu cukup terkenal dengan sifat murah hati kerana sering membantu puak-puak di negaranya, penjawat awam, tentera dan kumpulan keagamaan.

Penulis buku The Kingdom, Robert Lacey yang menulis mengenai Dinasti Al-Saud menggambarkan Putera Mahkota bertubuh tinggi dan gempal itu sebagai seorang yang komited dalam tugas.

Pada masa yang sama, Putera Sultan membantu ayahanda baginda untuk merangka sistem pentadbiran kebangsaan berasaskan pelaksanaan Undang-Undang Syariah Islam.

Anak lelaki ke-15 bagi pasangan Raja Abdul Aziz dan Puteri Hassa Al-Sudairi itu bersama saudara-saudara lelakinya yang lain menerima pendidikan awal dalam hal ehwal agama, budaya moden dan diplomasi di Istana Diraja.

Putera Mahkota Sultan diajar oleh guru persendirian dan berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Baginda juga mengikuti pengajian di sekolah khas untuk putera-putera raja.

Walaupun media jarang melaporkan mengenai keluarga baginda, Putera Mahkota Sultan dikurniakan seramai 32 anak hasil daripada perkahwinan dengan ramai isteri.

Antara anak-anaknya ialah Bandar, bekas duta di Amerika Syarikat (AS) yang kini merupakan Ketua Majlis Sekuriti Kebangsaan; Khaled yang menjadi pembantunya di Kementerian Pertahanan; Fahd yang menyandang jawatan Timbalan Presiden Sukan dan Kebajikan serta anak-anaknya yang lain, Muhammad, Turki dan Faisal.

Putera Mahkota Sultan akan tetap dikenali sebagai putera berperibadi tegas. Baginda turut diingati atas kebenciannya terhadap Komunisme dan kecurigaan terhadap pihak yang 'mengintai' prospek minyak dan pelabuhan di Arab Saudi.

Upacara pengebumian Putera mahkota Sultan akan diadakan hari ini (Selasa) selepas jenazahnya tiba dari AS. Pihak istana turut menyampaikan rasa dukacita Raja Abdullah atas pemergian putera mahkota itu.

Sungguhpun Putera Mahkota Sultan telah sedaya-upaya menggagahkan diri demi menggalas tugas dan berbakti untuk kerajaan dan rakyat, hasrat serta giliran baginda untuk menaiki takhta masih tidak kesampaian.

kosmo/-

Laporan audit: Hanya peti undi boleh sedarkan BN

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada ‘peti undi’ apabila Laporan Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi kerajaan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.

Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

“Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,” kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.

Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

“Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500 yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,” tegur beliau lagi.

Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta), Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009.

“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau.

Penyelewengan di atas, kata Tuan Ibrahim menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN.

“Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini,” tambah beliau.

Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

harakahdaily/-

Buaya ancaman baru

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK - Thailand berterusan menerima dugaan yang turut dilihat sebagai ujian terbesar untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawtra apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran ribuan buaya kini berkeliaran di dalam air banjir di pinggir Bangkok.

Amaran itu dikeluarkan semasa penduduk diminta bersedia untuk menghadapi banjir berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kebanyakan buaya air tawar tersebut dipercayai terlepas dari taman hidupan liar selepas sangkar haiwan reptilia itu ditenggelami air.

Kerajaan turut menawarkan ganjaran untuk menangkap kesemua buaya tersebut tetapi pegawai taman hidupan haiwan memaklumkan mustahil untuk mengawal pergerakan haiwan itu jika banjir semakin buruk.

Sementara itu, Yingluck turut mengumumkan penghalang banjir dan pintu air sebagai zon larangan bagi menghentikan gangguan penduduk yang tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani masalah tersebut.

Pihak berkuasa dan pegawai pentadbiran tempatan juga diberikan kuasa untuk meruntuhkan sebarang struktur yang menghalang operasi kawalan bencana itu.

sinar harian/-

RM770,000 untuk bekalkan elektrik kepada satu rumah

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Tenaga Nasional Berhad (TNB) membelanjakan RM770,000 untuk membekalkan tenaga elektrik kepada sebuah rumah di bawah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), dedah Laporan Ketua Audit Negara.

Menurut laporan projek BELB, dana itu sepatutnya bagi membekalkan elektrik kepada 17 buah rumah di sebuah kampung di Indera Mahkota, Pahang.

Bagaimanapun lawatan audit ke tapak berkenaan mendapati hanya terdapat sebuah unit rumah di kampung itu.

Dalam penjelasannya, TNB mendakwa ketika projek itu diluluskan, 17 rumah sedang dalam proses dibina tetapi akhirnya hanya sebuah yang disiapkan.

“Pada pendapat audit kelulusan projek BELB di kawasan ini tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu jenis rumah di kawasan berkenaan hendaklah merupakan rumah kekal dan didiami serta sesuai dibuat pendawaian elektrik.

“Ini mengakinbatkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan berjumlah RM0.77 juta bagi membekalkan elektrik untuk sebuah rumah sahaja di kampung ini,” kata laporan itu.

Laporan Audit 2010 juga mendedahkan bahawa TNB meluluskan projek bernilai RM65,193 bagi membekalkan elektrik kepada lima buah rumah terbengkalai di sebuah kampung di Bera, Pahang.

Sehubungan itu, laporan berkenaan menilaikan prestasi projek BELB sebagai tidak memuaskan dengan hanya 43.2 peratus atau 16 daripada 37 projek yang disiapkan pada tahun lalu.

malaysiakini/-

Gejala pelancong melacur serius

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Peningkatan kemasukan setiap tahun boleh ganggu keamanan negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu membuat tinjauan dan kajian bagi menangani masalah pelacuran yang berlaku hasil kedatangan pelancong asing ke Malaysia, khususnya dari China.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit, berkata pihaknya menyedari masalah sosial dihadapi negara berikutan terdapat pelancong asing yang menyalah guna kedatangan mereka ke sini untuk menjadi pelacur.

Disebabkan isu pelacuran ini bukan tanggungjawab kementerian ini, maka kementerian bertanggungjawab seperti Kementerian (Pembangunan) Wanita (Keluarga dan Masyarakat) perlu membuat tinjauan dan kajian mengenai perkara ini, sama ada ia berlaku dengan meluas atau kerap hingga boleh mengganggu keamanan negara.

Dr James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Pelancongan “Disebabkan isu pelacuran ini bukan tanggungjawab kementerian ini, maka kementerian bertanggungjawab seperti Kementerian (Pembangunan) Wanita (Keluarga dan Masyarakat) perlu membuat tinjauan dan kajian mengenai perkara ini,

sama ada ia berlaku dengan meluas atau kerap hingga boleh mengganggu keamanan negara,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, semalam.

Ibrahim ingin mendapat penjelasan mengenai kemasukan pelancong China ke Malaysia yang dilapor menunjukkan peningkatan, namun dalam masa sama, menyumbang kepada masalah sosial dalam negara.

Mengulas lanjut, James yang juga Ahli Parlimen Mambong berkata, kedatangan pelancong dari China meningkat setiap tahun, sekali gus menyumbang kepada pendapatan negara.

Beliau berkata, sehingga Jun lalu, 564,955 pelancong China berkunjung ke Malaysia berbanding hanya 516,160 orang pada tempoh sama tahun lalu.

Menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berhubung langkah yang sudah dan bakal diambil bagi mempertingkat hubungan pelancongan antara rakyat negara ini dan China, Dr James berkata, pihaknya melaksana pelbagai cara.

Katanya, ini termasuk menerusi seminar pelancongan, program pertukaran lawatan media dan menarik agensi pelancongan China menjadi wakil program Malaysia Rumah Keduaku.

berita harian/-

Rasuah: Sarjan tidak mengaku salah

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR — Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperoleh rasuah daripada seorang pemilik kilang pisau, tahun lalu.

Ahmad Sazali Md. Desa, 52, didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM2,000 daripada Lian Huat @ Lim Kim Huat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan dan melepaskan dua pekerja Lim yang ditahan mengikut Seksyen 15 (1)© Akta Imigresen.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Sisasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Tingkat 3, Blok B, Balai Polis Pudu, Cheras pada pukul 12 tengah hari, 30 Nov 2010.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Nov untuk sebutan manakala 22 hingga 24 Nov untuk perbicaraan kes. — Bernama

Tarik balik semua sekatan kepada Aziz Bari

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Angkatan Muda Keadilan Selangor suka untuk mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar tidak membuat kenyataan politik dan bermain politik dalam isu penggantungan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar).

“Isu ini adalah jauh daripada amalan politik sempit yang diamalkan Umno Barisan Nasional,” kata ketua penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli sebagai respons kepada pengumuman Najib dan pihak pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa mengenai penggantungan itu ditarik balik.

Namun demikian, katanya adalah malang apabila siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis tetap diteruskan.

Malah, ujarnya komputer pejabat Prof Aziz Bari sendiri difahamkan ditarik dan pelbagai sekatan lain yang dikenakan kepada beliau.

“Pastinya ini tidak kundusif untuk meneruskan kuliah pengajian,” ujarnya yang juga Pengarah Biro Mahasiswa AMK Malaysia kepada Harakahdaily.

Menurutnya, hal itu tidak seharusnya berlaku kerana isu berkenaan bukan sahaja melibatkan individu, pensyarah undang-undang universiti yang mengeluarkan pandangan tidak sealiran pemerintah, tetapi ia adalah isu yang melibatkan kebebasan akademik yang menjamin kualiti pendidikan dan masa depan generasi muda negara.

Tegasnya, Angkatan Muda Keadilan Selangor memandang serius sikap bermain-main pemerintah Umno Barisan Nasional di dalam mengendalikan isu itu.

Sehubungan itu, katanya AMK Selangor mendesak agar segala sekatan dan tindakan kepada profesor terkemuka undang-undang negara, Dr Abdul Aziz Bari ditarik balik serta merta.

HARAKAHDAILY/-

Jumlah Kematian Akibat Banjir di Thailand Terus Meningkat

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Kerajaan Thailand berkata jumlah kematian akibat banjir besar yang berlaku di seluruh negara meningkat kepada seramai 366.

Pusat Operasi Bantuan Banjir berkata paras air di beberapa wilayah di Bangkok adalah stabil atau menurun namun paras air di bandar masih tinggi dengan air lalu ke Teluk Thailand.

Pihak berkuasa mengisytiharkan tujuh ibu negeri untuk 50 buah daerah yang terletak di uatara dan barat laut berada dalam risiko dengan kawasan tersebut mengalami banjir kecil.

Namun kebanyakan kawasan di Bangkok adalah normal dan kedua-dua lapangan terbang masih beroperasi.

Isnin lalu, seorang gobenor, Suhumbhand Paribatra memberi amaran kepada penduduk di barat laut daerah Bang Phlat supaya memindahkan barang hak milik mereka ke kawasan yang lebih tinggi selepas air sungai Chao Phraya memenuhi jalan bawah tanah yang sedang dibuat. -AP

PAS ucap tahniah kepada an-Nahdah Tunisia

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: PAS mengucapkan tahniah kepada Parti An-Nahdah yang memenangi pilihan raya Tunisia semalam.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) juga berharap kemenangan itu diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Sebenarnya, kata beliau An-Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan itu dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi.

“Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Marang dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Parti An-Nahdah telah telah memenangi lebih daripada 30 peratus kerusi di perhimpunan 217 kerusi Tunisia, dalam pilihan raya bersejarah negara tersebut sebagaimana dilaporkan agensi berita AFP.

"Keputusan pertama yang disahkan menunjukkan al-Nahda telah mendapat tempat pertama di peringkat kebangsaan dan di kebanyakan daerah," kata pengurus kempen parti al-nahda, Abelhamid Jlassi, pada sidang akhbar, memetik laporan sendiri pemerhati pilihan raya al-Nahdah.

Pemimpin-pemimpin kedua-dua pihak berhaluan kiri, Parti Kongres Republik (CPR) dan Ettakol, berkata, mereka berjuang untuk tempat kedua, manakala pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP) mengakui kekalahan pada petang Isnin.

"Al-Nahda pastinya majoriti, tetapi terdapat dua entiti demokratik lain, Ettakatol dan CPR, yang lemah pada permulaan tetapi kini mendapati diri mereka dalam kedudukan untuk menyumbang kepada kehidupan politik dan menyambut kemodenan rasional dalam Arab-Islam negara, "kata Khalil Zaouia, pemimpin nombor dua parti Ettakatol.

Samir Dilou, ahli biro politik al-Nahda, berkata bahawa partinya telah memenangi tidak jauh daripada 40 peratus undi.

Pada hari mengundi pilihan raya bebas pertama Tunisia kelihatan orang ramai menunjuk-nunjuk jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal berwarna biru mereka selepas membuang undi, menunjukkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Berikutan kemenangan Parti An-Nahdah dalam pilihan raya Tunisia semalam, saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan tahniah dan bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan kemenangan yang diberikan kepada parti yang dipimpin oleh Sheikh Dr Rashid Ganouchi.

Sebenarnya An Nahdah penah memenangi pilihan raya Tunisia beberapa tahun lalu dengan majoriti yang besar, tetapi kemenangan ini dinafikan dan Parti An-Nahdah diharamkan, pemimpinnya dipenjara dan sebahagiannya terpaksa berhijrah keluar negara seperti Dr Rashid Ganouchi sendiri.

Kita berharap kemenangan ini diterima oleh masyarakat antarabangsa walaupun ia dimenangi oleh parti Islam.

Kebetulan tiga minggu yang lalu, saya bertemu dengan Dr Rashid Ganouchi ketika sama-sama menghadiri Forum Parti-Parti Islam Sedunia di Istanbul membincangkan krisis Asia Barat.

Saya dimaklumkan An-Nahdah boleh memenangi pilihan raya dengan lebih besar jika bertanding di hampir kesemua kerusi. Tetapi An-Nahdah sengaja tidak bertanding di kesemua kerusi bagi memberi peluang kepada parti lain turut sama bertanding.

Mereka bersedia untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan parti-parti lain bagi menggantikan pemerintahan sebelumnya yang bersifat diktator dan ditunjangi dengan hanya satu parti.

Ini kerana sebagai parti yang menyertai demokrasi, An-Nahdah ingin menampilkan sikap toleransi dan bertolak ansur, walaupun majoriti rakyat Tunisia menerima An-Nahdah.

Ini kerana mereka sangat dekat di hati rakyat melalui kerja-kerja kebajikan yang dilakukan di bawah, jauh sebelum musim pilihan raya lagi, walaupun dalam keadaan parti diharamkan.

Kita berharap kemenangan ini memberi semangat bukan sahaja kepada pendukung parti Islam yang memilih demokrasi tetapi juga kepada rakyat dengan memberi peluang dan sokongan kepada parti Islam memerintah dan memperbetulkan urus tadbir politik, ekonomi dan sosial negara setelah sekian lama berada di bawah rejim sekular yang gagal memerintah Tunisia sehingga digulingkan rakyat.

PAS juga sebenarnya telah menghantar ucapan tahniah kepada An-Nahdah melalui Dr Syed Azman yang menyertai pasukan pemerhati antarabangsa ke Tunisia ketika ini.

HARAKAHDAILY/-

Hayati 'Sumpah Pemuda' Untuk Pacu Perubahan

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 25 OKT : Generasi muda khususnya mahasiswa-mahasiswa disaran agar mempunyai semangat perjuangan yang kental dan ikhlas dalam usaha membawa perubahan di negara ini dengan memiliki sikap jati diri yang tinggi.
Justeru Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa anak muda agar dapat menghayati sumpah pemuda Indonesia yang diikrarkan pada tahun 1928 agar dapat memberi semangat baru kepada generasi muda dalam mendepani era perubahan dan globalisasi.

" Saya cadangkan saudara dan saudari jika ada masa membaca keratan-keratan kertas mengenai sumpah pemuda-pemudi Indonesia,ia memberi kita satu perasaan jati diri,perasaan bahawa bukan orang lain yang menentukan masa depan negara kita tetapi adalah kita sendiri. Perasaan percaya bahawa pemuda pemudi ialah penggerak zaman. Pemuda pemuda akan membawa perubahan itu kepada kita ," katanya.

Abdul Khalid berkata bahawa mahasiswa Indonesia pada tahun 1928 memulakan dengan sumpah pemuda dan pemudi yang berjuang dan menjaga negara Indonesia dan akan menentukan negara itu akan bangun berkembang dan berjaya.

Sumpah Pemuda Indonesia yang dilafazkan pada 28 Oktober 1928 adalah salah satu peristiwa paling bersejarah di Indonesia ada yang teks sumpah ditulis oleh Moehammad Yamin yang menegaskan bahawa putera dan puteri Indonesia mengaku bertumpah darah yang satu ,mengaku berbangsa yang satu, dan menjunjung bahasa persatuan, bahasa Indonesia.

Beliau menegasakan perkara demikian semasa ucapan perasmian di Karnival Ilmu Anak Muda 2011 (KAMU'11) dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan bersama Gabungan Mahasiswa Se-Malaysia (GAMIS), Perbadanan Perpustakaan Negeri Selangor (PPAS) serta Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) di Stadium Melawati di sini.

Sementara itu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata pelajar yang ada di menara gading sepatutnya diberi pengiktirafan kemampuan dan keupayaan intelek mereka supaya digilap supaya dibentuk dan dicorak untuk menjadikan insan yang akan menjadi pelapis pemimpin negara ini di masa hadapan.

"Jadi kita di Selangor mahu agar mahasiswa melalui fasa pembelajaran tempat namanya universiti,kolej dan institusi pengajian tinggi sudah mempunyai kemampuan akal, maka akal ini perlu diberi kebebasan dan diberikan bimbingan dan diasah untuk mempunyai keupayaan pemikiran kritikal," katanya.

TV NEWS/-

Menteri dicabar jelas RM110 juta untuk petani

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PKR Selangor mencabar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar memberi penjelasan berhubung ketirisan peruntukan RM110 juta untuk diberikan petani, seperti dinyatakan dalam Laporan Audit Negara.

Ketua Penerangannya Shuhaimi Shafiei berkata peruntukan tersebut sepatutnya disalurkan kepada petani bagi meningkatkan hasil padi mereka.

"Kita minta Datuk Seri Noh Omar kena jawab (perkara ini), bagaimana peruntukan diagihkan kepada petani-petani kecil.

"Mereka yang berjaya meningkatkan hasil padi, melepasi sasaran tidak diberikan inisiatif ini sehingga dilaporkan dalam Laporan Audit Negara," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda menyifatkan ia sebagai "satu kegagalan" Noh, kementeriannya dan Umno Selangor untuk menguruskan peruntukan yang hendak diberikan petani.

MALAYSIAKINI/-

Telekom beri saguhati kepada yang berjaya menangkap pencuri kabel.

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

RANTAU PANJANG - Telekom Malaysia memberi saguhati kepada orang awam dan persatuan yang terlibat dalam 20 kes tangkapan pencuri kabel sepanjang tahun lalu di pejabat Kada, petang semalam.

SH/Kelantan

Gaddafi telah Kafir dan Haram Disolatkan?

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HHRS 2.0 - Tokoh-tokoh agama saling berbeza pendapat berkenaan jasad bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi, dengan beberapa di antara mereka mengutuk apa yang mereka sebut gangguan terhadap mayatnya, sementara yang lain telah menyatakan dia seorang kafir, dan kerananya tidak berhak untuk dikuburkan secara Islam.

Syaikh Mahmud Asyur dari Akademi Penyelidikan Islam Al-Azhar di Mesir, berkata: "Islam melarang menyalahgunakan mayat setiap manusia. Dalam Islam, orang harus menghormati martabat mayat."

Sementara itu, Imam Alkomos Abdul Maih mengatakan, "Mayat pada dasarnya suci. Sebuah keterangan sederhana tentang apa yang terjadi terhadap mayat Gaddafi, adalah bahawa hal itu bertentangan dengan semua norma dan standard hak asasi manusia."

Pada hari Sabtu lalu, di Misrata, rakyat datang berduyung-duyung untuk hari kedua melawat sebuah pusat membeli-belah untuk melihat jasad bekas pemimpin Libya.

Aksi menonton mayat ini dipandang oleh beberapa ulama sebagai bertentangan dengan undang-undang Islam, di mana jasad perlu dikuburkan secepat mungkin.

Namun, Mufti besar Libya, Syaikh Sadiq al-Ghariany, mengatakan bahawa Gaddafi adalah seorang kafir, dan solat jenazah untuknya di masjid atau oleh Syaikh masyarakat Muslim, dan ulama menyalahi undang-undang Islam.

Ghariany berkata pada hari Ahad (23/10) dalam sebuah fatwa - dan disiarkan oleh media Libya, bahawa Gaddafi selama hidupnya menentang syariah Islam dan banyak kata-kata dan perbuatannya selama berkuasa menunjukkan bahawa ia bukanlah seorang Muslim.

Pendapat yang berlaku dalam syariah Islam adalah bahawa seorang Muslim tidak boleh melawan undang-undang yang ada di dalam Al-Quran atau Sunnah dan hal itu semuanya itu dilanggar oleh Gaddafi.

Ghariany meneruskan dengan mengatakan, "Ada alasan yang sah untuk tidak mensolatkan dia, yang hal tersebut menjadi contoh bagi para pemimpin yang lain."

Dia menambah bahawa Gaddafi mungkin boleh ditanam di perkuburan Muslim, namun dimandikan dan disolatkan hanya oleh keluarga dan kerabat.

Ghariany berkata bekas penguasa diktator tersebut harus dikubur dalam sebuah makam tidak bertanda untuk mengelakkan terjadinya perpecahan di antara rakyat Libya dan agar makamnya tidak menjadi tempat yang disucikan.

ANAK SUNGAI DERHAKA/-

Penganggur cuba bakar diri depan parlimen

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ISLAMABAD 25 Okt. - Seorang rakyat Pakistan yang menganggur membakar dirinya sendiri sebagai cubaan membunuh diri di luar parlimen semalam lalu dimasukkan ke hospital dan kini berada dalam keadaan kritikal, kata pegawai.

Menurut jurucakap polis, Naeem Iqbal, Raja Khan, bapa kepada dua orang anak yang berasal dari wilayah selatan Sindh, Naushero Feroz menuang minyak ke badannya sebelum bertindak membakar dirinya.

Pegawai polis yang bertugas terus menyelamatkan nyawa lelaki itu dan membawanya ke hospital.

Khan meninggalkan surat berdekatan dengan barang-barangnya iaitu beg baju yang menyatakan dia penat kerana terus berada dalam keadaan miskin. - AFP

SPR sudah tak percayakan JPN?

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Biarpun menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu mempamerkan 40,000 nama pemilih diragui, Dewan Pemuda PAS tetap mempersoal data Jabatan Pendaftaran Negra (JPN).

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS, Suhaizan Kayat mempersoal "apa sudah jadi" dengan data JPN sehingga SPR tidak boleh mengesahkan nama-nama tersebut dengan JPN.

Sedangkan katanya, JPN adalah satu-satunya jabatan yang mempunyai rekod setiap rakyat di negara ini.

"Kenapa tak boleh clarify dengan JPN, atau sebenarnya SPR sudah tak percaya dengan JPN.

"Atau JPN sendiri tak ada data tersebut sehingga SPR kena dapatkan pengesahan dari ground," soalnya ketika ditanya Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPR yang akan mula mempamerkan senarai 40,000 nama pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya Khamis ini.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, selama ini SPR tidak dapat mengeluarkan nama-nama yang diragui itu sebab maklumat yang diterima daripada JPN menunjukkan butiran terbabit adalah sahih.

Katanya, jika tiada pengesahan daripada mana-mana pihak selepas pameran seminggu itu berakhir, nama-nama yang diragui akan dikeluarkan daripada daftar pemilih induk.

Mengulas lanjut, Suhaizan sekali lagi mempersoal apa sudah jadi dengan Agency Link-Up System (ALIS) JPN yang diguna bagi membersihkan daftar pemilih.

"Ini SPR tak pernah jawab, JPN pun tak pernah jawab.

"Kita juga mahu satu sistem di mana rakyat boleh menyemak status dan maklumat MyKad kerana sistem yang ada sekarang ini dah tak boleh semak," katanya.

harakahdaily/-

Batal konsert Elton John atau biar remaja hancur

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: “Artis yang cukup rosak seperti (Elton John) ini mahu dibawa ke negara Malaysia?” tanya Nik Nasri Nik Malek.

Ketua Lajnah Penerbitan dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu itu menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan sebuah akhbar harian bahawa Elton John akan mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 22 November ini di Genting Highlands.

Elton John ‘berkahwin’ dengan David Furnish pada Disember 2005 selepas kerajaan negara mereka membenarkan perkahwinan sejenis.

Tahun sebelumnya mereka merancang mengambil seorang anak angkat yang dikatakan mengidap penyakit HIV dari Ukraine, tetapi hasrat mereka tidak kesampaian apabila kerajaan Ukraine tidak membenarkan perkahwinan sejenis dan juga atas faktor umur Elton John.

Pada tahun 2010, mereka mendapat ‘anak’ hasil dari bayi yang dikandungkan oleh seorang ibu tumpang kepada bayi tersebut yang diberikan nama Zachary Jackson Levon Furnish-John.

Menurut sebuah majalah, Elton John dan pasangannya itu rasa amat gembira dengan kehadiran ‘anak’ mereka itu: “We are overwhelmed with happiness and joy at this very special moment. Zachary is healthy and doing really well, and we are very proud and happy parents“.

Menurut Nik Nasri, apa yang dipaparkan ialah kehidupan teramat songsang bagi manusia yang sihat fitrah kemanusiaannya.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah wajar artis yang rosak seperti ini mahu dibawa ke negara ini.

“Ketua negaranya beragama Islam, agama Persekutuannya agama Islam dan sebahagian rakyatnya beragama Islam dan rakyat lain beragama lain yang juga tidak boleh menerima cara hidup yang sangat songsang ini,” ujarnya.

Menurutnya, mungkin ada yang berhujah kami bukan mahu ikut cara hidupnya yang songsang itu tetapi kami minat lagunya sahaja.

“Ya! Mungkin begitu untuk sebahagian orang yang tak kisah dengan seks rambang atau hidup secara songsang, tetapi bagi mereka yang berfikir tentang kehidupan yang lebih harmoni termasuk masadepan remaja, maka kepentingan nilai dan budaya itu lebih penting dari hanya semata-mata lagunya,” katanya lagi.

Ada juga, katanya yang beralaskan dengan hak asasi manusia, hak untuk bercakap dan hak untuk menyuarakan pandangan.

Jelasnya, hak untuk sesuatu yang menjadi fitrah semulajadi manusia mesti diraikan tetapi hak berhibur dan kemudian terpengaruh dengan kehidupan ‘bersuami isteri’ secara songsang menyalahi fitrah semuljadi manusia itu sendiri dan ia sangat merosakkan.

Beliau menambah, remaja di Malaysia dilaporkan mengalami krisis identiti seramai 6 juta orang, tidak termasuk lelaki jadi perempuan, perempuan jadi lelaki, jenayah seks dan pelbagai kehancuran nilai.

“Pergi ke enjin pencari di internet dan taip ‘gay’ atau yang sepertinya, anda akan terkejut dengan budaya gay di Malaysia,” katanya.

Justeru, katanya kerajaan dan agensi terlibat mesti sensitif dengan isu-isu nilai yang terhakis dengan dahsyatnya sekarang.

“Batalkan konsert Elton John itu atau bersedia menghadapi murka Allah dan makin hancurnya remaja Malaysia sendiri,” katanya lagi.

harakahdaily/-

MARA Beli Barangan 100 Kali Ganda Harga Pasaran Bagi Program Orang Miskin

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Laporan Audit Negara 2010 mendedahkan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) membelanjakan dana yang diperolehnya secara keterlaluan untuk mendapatkan beberapa peralatan tertentu.

Mengikut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, peruntukan RM54 juta yang dimiliki agensi itu dibelanjakan untuk membeli peralatan seratus peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran.

Jumlah itu merupakan dana yang disediakan di bawah program rangsangan ekonomi kedua untuk membantu golongan miskin meningkatkan pendapatan mereka.

Berikut beberapa barang yang dilaporkan dalam laporan berkenaan:

Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419

Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100

Dua dapur gas pembakar pada harga RM200 setiap satu berbanding harga pasaran RM59.90

Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, berbanding harga pasaran RM79.

Pengisar pada RM140 dan berbanding harga pasaran RM60.

Ketuhar yang dimaksudkan itu digunakan untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan

Manakala, katil boleh lipat itu digunakan untuk kursus urutan secara tradisional bagi ibu selepas bersalin dan mesin gunting rambut digunakan untuk kursus menggunting rambut.

Laporan tersebut mencatatkan bahawa sebahagian besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka dan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan,

Malaysia Kini/-

Audit: Lebuhraya Senai-Desaru gagal ujian jalan

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Laporan Ketua Audit Negara 2010, berhubung pengauditan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati beberapa kontraktor telah membina lebuhraya Senai-Desaru di beberapa bahagian dengan turapan Dense Bituminous Macadam (DBM) yang kurang daripada ketebalan minimum 95 mm.

“Lawatan Audit pada bulan Oktober 2010 juga mendapati kualiti kerja pembinaan lebuh raya kurang memuaskan.

“Mengikut spesifikasi kontrak, ketebalan minumun turapan DBM yang dibenarkan adalah 95 mm manakala ketebalan turapan DBM mengikut lukisan Approved Detail Design adalah 100 mm,” petik laporan itu.

Menurutnya laporan itu lagi, ketebalan paling rendah yang dicatatkan adalah 72 mm manakala bacaan tiga lagi ujian yang dijanlankan menunjukkan ketebalan - 81 mm, 89 mm dan 79 mm.

“Permukaan jalan didapati beralun dan tidak rata di sepanjang lebuh raya bagi Pakej 1 dan 2. Selain itu, beberapa bahagian permukaan lebuh raya telah rosak, kasar dan berlubang walaupun baru setahun dibuka kepada pengguna.”

Ia juga mencatatkan bahawa Pakej 3 iaitu pada kilometer 77, tidak siap mengikut masa pada 18 Julai 2008 dan terpaksa dilanjutkan sebanyak tiga kali sehingga 31 Disember, 2010, kerana kontraktor utamanya menghadapi masalah kewangan, kenaikkan harga barangan yang digunakan dan masalah cuaca.

Bagi Pakej 3 juga, kontraktor sepatutnya membina ‘pelindung sungai’ atau river protection bagi menghalang hakisan kerana projek itu merentasi lima batang sungai.

“Bagaimanapun, pihak Audit mendapati river protection di tebing jambatan lima sungai tersebut masih belum dibina. Keadaan tebing jambatan yang belum dibina river protection adalah di Sungai Layau dan Sungai Papan.

“Reventment Protection perlu dibina bagi mengelakkan hakisan tanah di kawasan yang telah ditentukan di sepanjang lebuh raya. Pihak Audit mendapati syarikat konsesi belum membina reventment protection di kedua-dua arah lebuh raya,” kata laporan itu lagi.

malaysiakini/-

Mahasiswa tetap berhimpun di UIA malam ini

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) memuji tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berani menarik balik penggantungan Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarahnya.

SMM berpandangan, tindakan itu membuktikan UIA menghormati kehendak banyak pihak khususnya mahasiswa yang mahu isu ini diselesaikan segera.

Namun, menurut Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab, mahasiswa akan tetap meneruskan himpunan menyambut kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di UIA malam ini seperti yang dirancang.

Tegasnya, himpunan ini bagi memberi petunjuk kepada rakyat bahawa mahasiswa bukan sekadar mempertahankan Aziz namun mempertahankan kebebasan akademik.

"SMM masih berpendirian untuk meneruskan perjuangan mempertahankan kebebasan akademik. Perjuangan SMM adalah mempertahankan kebebasan akademik dan bukan hanya mempertahankan Prof Dr Aziz Bari," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, SMM turut menyelar tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan lawatannya ke UIA malam ini.

"SMM menyifatkan bahawa tindakan Perdana Menteri membatalkan lawatan itu adalah atas dasar takut untuk berdepan dengan mahasiswa," katanya sambil berkata memorandum akan tetap diserahkan keapda Hishammuddin.

Semalam, UIA menarik balik penggantungan Aziz dan meminta beliau melapor diri keapda Dekan Fakulti Undang-Undang hari ini.

Bagaimanapun, siasatan terhadap Aziz masih berjalan kerana universiti perlu masa menimbangkan dengan teliti jawapan kepada surat tunjuk sebab.

harakahdaily/-

Pondan lari dari pusat pemulihan

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MOHD. RIDHWAN KHAN dipercayai memanjat pagar semasa melarikan diri dari Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk di Wang Tepus, Jitra baru-baru ini. Gambar kecil, Mohd. Muzni Mohd. Noor.

JITRA - Seorang pelatih lelaki yang berperwatakan seperti wanita melarikan diri dari sebuah pusat rawatan serta pemulihan dadah dan akhlak di Wang Tepus di sini sejak 11 hari lalu.

Mohd. Ridhwan Khan Jumakahn (gambar kecil), 30, yang berasal dari Negeri Sembilan dipercayai bertindak demikian kerana tertekan semasa menerima rawatan di pusat berkenaan.

Pengetua Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk, Mohd. Muzni Mohd. Noor memberitahu, pihaknya menyedari kehilangan pelatih itu ketika mahu mengejutkan para pelatih untuk solat Subuh secara berjemaah kira-kira pukul 5 pagi pada 14 Oktober lalu.

Katanya, pihaknya percaya pelatih terbabit memanjat pagar di pusat itu sebelum berjaya meloloskan diri.

"Kami telah cuba mencarinya di merata-rata tempat termasuk di Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Nerang, namun gagal.

"Kami turut menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menemuinya di kawasan Bukit Tembaga, Kuala Nerang dan ingin menghantarnya pulang ke pusat ini.

"Malangnya, pelatih itu berjaya melarikan diri dan masuk ke kawasan hutan kerana tidak mahu diberi rawatan semula di pusat ini," katanya di sini semalam.

Mohd. Ridhwan Khan dimasukkan ke pusat itu sejak Mei lalu selepas ditahan kerana kes penyalahgunaan dadah selain berpakaian dan berperwatakan seperti wanita.

Menurut Mohd. Muzni, ketika melarikan diri, dia dipercayai memakai kemeja T berwarna biru gelap dan seluar trek biru.

"Sebelum ini dia pernah cuba melarikan diri sebanyak dua kali, namun berjaya ditahan polis dan dimasukkan semula ke pusat itu.

"Kita tidak mahu dia kembali kepada perwatakan wanita kerana sejak berada di sini dia sudah boleh menerima perubahan dan kembali menunjukkan sifat-sifat kelelakian secara perlahan-lahan," ujarnya.

Laporan kehilangan pelatih itu dibuat di Balai Polis Jitra pada 22 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supritendan Ibrahim Mohamed Yusof ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu.

kosmo/-

7 maut letupan bom di selatan Narathiwat

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Reuters - ANGGOTA-ANGGOTA pasukan keselamatan mengawal lokasi letupan bom di wilayah Narathiwat, selatan Thailand kelmarin.

PATTANI - Polis menyatakan anggota-anggota gerila pemisah membunuh tujuh orang dan mencederakan 10 yang lain di selatan Thailand.

Seorang pegawai polis, Kolonel Kwandee Chimplee berkata, kumpulan penyerang melepaskan tembakan ke arah pos keselamatan di bandar Narathiwat malam kelmarin dan meletupkan dua butir bom buatan sendiri di kawasan sama.

Kwandee semalam memberitahu, mangsa-mangsa yang maut termasuk dua anggota sukarelawan keselamatan awam dan dua orang awam selain seorang askar, isteri serta anak lelakinya.

Menurut Kwandee, pihak berkuasa percaya ketiga-tiga serangan itu dilakukan oleh kumpulan militan yang sama.

Narathiwat adalah antara tiga wilayah selatan Thailand yang memiliki majoriti penduduk Islam.

Hampir 5,000 orang terbunuh sejak penentangan Islam tercetus di selatan Thai pada 2004. - Agensi

K'jaan terlebih bayar RM4.6 juta pencen

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Laporan Ketua Audit Negara mengesan pihak kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam telah terlebih membayar RM4.66 juta sebagai pencen kepada pesara dan waris mereka di antara 2007 dan 2010.

Daripada jumlah itu, RM2.57 juta telah terlebih bayar kepada 1,975 kakitangan awam yang telah meninggal dunia. Hanya RM850,000 berjaya dikutip semula daripada 965 waris mereka.

Baki, RM1.72 juta, yang perlu dituntut daripada 1,010 yang lain, masih belum dituntut sepenuhnya. Seramai 206 individu lagi membayar balik secara ansuran bulanan bagi jumlah RM390,000.

Bagi baki pencen terlebih bayar seterusnya berjumlah RM1.33 juta, wang itu tidak dapat dituntut kerana waris berkenaan tidak dapat dikesan, telah meninggal dunia atau memilih untuk tidak mengendahkan notis yang dihantar kepada mereka.

Antara lain, laporan audit mendapati bahawa pencen yang terlebih bayar itu adalah akibat rekod kematian yang ketinggalan zaman.

Ini berlakuwalaupun terdapat sistem komputer bersepadu yang dikenali sistem Power - Pensions Online Workflow Environment - untuk mengemas kini rekod kematian yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sekiranya, maklumat kematian yang diterima daripada JPN tidak sepadan dengan maklumat dalam sistem Power, satu laporan tidak sepadan dikeluarkan.

"Berdasarkan laporan ini bagi tempoh tahun 2007 sehingga September 2010, didapati data kematian 2,262 pesara/penerima pencen tidak dapat dikemaskini kerana maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir tidak sepadan dengan maklumat dalam sistem Power,” kata Laporan Ketua Audit Negara itu.

malaysiakini/-

Apa Kejadah RM4 Juta Beli Kuda Tapi Tak Boleh Berlumba, Beli Teropong Harga 29 Kali Ganda?

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sebanyak 18 ekor kuda dibeli dengan kos hampir RM4 juta oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi tidak dapat diturunkan dalam persaingan World Endurance Championship (WEC) 2008 sebab tidak memenuhi syarat kelayakan termasuk masalah kesihatan.

Hanya lima ekor kuda layak untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.

Kesemua 23 kuda itu dibeli dengan kos RM5.66 juta.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut “pihak Audit dimaklumkan 18 ekor kuda dengan kos perolehan berjumlah RM3.94 juta tidak layak bertanding kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Equestrian Antarabangsa.”

“Ini disebabkan kuda yang dibeli tidak mendapat latihan yang mencukupi memandangkan peroleh kuda dibuat dua bulan sebelum kejohanan.

“Di samping itu beberapa ekor kuda juga mengalami kecederaan sebelum kejohanan bermula,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Pada Februari 2007, MSN telah diminta untuk membeli enam ekor kuda bagi tujuan WEC 2008 dengan mendahulukan peruntukan sedia ada dan agensi itu telah membelanjakan RM1.98 juta bagi tujuan itu.

Pada Jun tahun yang sama, Kementerian Belia dan Sukan telah menetapkan spesifikasi dan bilangan kuda untuk ditambah sebanyak 17 ekor lagi menjadi 23 ekor untuk pertandingan tersebut.

Kata beliau, pada pandangan Audit perancangan perolehan kuda hendaklah dibuat secara teliti dengan mengambil kira tahap kesihatan dan kebolehan kuda untuk bertanding.

“ISN (Institut Sukan Negara) sepatutnya merancang perolehan dengan mengambil kira tempoh latihan yang diperlukan bagi setiap kuda untuk memenuhi syarat kelayakan FEI.

“Ini menyebabkan sebahagian besar kuda yang diberi tidak dapat menyertai (World Endurance Championship) WEC 2008,” katanya.

Kata laporan, walaupun usaha dilakukan untuk memastikan kuda tersebut sihat, kesihatan kuda tidak dapat dijamin sempurna sepanjang masa.

Laporan Audit berkata pihaknya mendapati ISN perlu memastikan perolehan kuda digunakan untuk menyertai kejohanan peringkat antarabangsa dan pembangunan sukan berkuda bagi tempoh tertentu sebelum diserahkan kepada agensi kerajaan yang lain. -TMI

DAP dakwa KM Melaka bina lagi projek 'gajah putih'

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kerajaan negeri Melaka didakwa hanya mengutip sekitar RM57,500 daripada hasil pembinaan sebuah restoran terapung yang membabitkan kos binaannya berjumlah hampir RM1.2 juta di Ayer Keroh.

Pendedahan dibuat ADUN kawasan terbabit dari DAP, Khoo Poay Tiong yang menyatakan pengusaha terpaksa gulung tikar tahun lalu sehingga menyebabkan sewa serta bil air dan elektrik tertunggak mencecah sehingga RM26,000.

Dakwanya, restoran berkenaan kini sudah hampir setahun terbiar kosong tanpa berpenghuni, padahal perjanjian mengusahakan restoran itu adalah selama tiga tahun sehingga Mei tahun ini.

Sambil melabelkan projek berkenaan sebagai satu lagi 'projek gajah putih' kerajaan negeri Melaka, beliau berkata, kos RM1.2 juta membina restoran berkenaan adalah dari peruntukan Kementerian Pelancongan.

Menurutnya, meskipun perjanjian dengan pengusaha adalah untuk tempoh tiga tahun, namun pengusaha terpaksa gulung tikar lebih awal memandangkan restoran berkenaan tidak mendapat sambutan.

Tak mampu bertahan

"Pengusaha itu hanya mampu bertahan selama 23 bulan. Akibatnya, baki sewa serta bil elektrik dan air untuk restoran itu menjadi tertunggak sehingga mencecah hampir RM26,000.

"Sepanjang restoran ini disewa, kerajaan hanya mendapat sejumlah RM57,500 sedangkan kos membinanya mencecah RM1.2 juta," katanya semasa meninjau persekitaran restoran itu di Ayer Keroh.

Malaysiakini difahamkan, restoran berkenaan, yang terletak berhampiran Taman Tasik di Ayer Keroh, kini berada di bawa pengurusan pihak Zoo Melaka.

Menurut Khoo, kerajaan negeri harus memikirkan cara terbaik untuk mengunakan bangunan restoran berkenaan bagi mengelak ia daripada terus terbiar.

Menurutnya, restoran ini merupakan satu lagi contoh pembaziran yang diamalkan kerajaan sehingga ia akhirnya menjadi gajah putih.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak menjalankan kajian terperinci sebelum melaksanakan sesuatu projek sehingga akhirnya ia merugikan rakyat memandangkan wang yang digunakan adalah wang rakyat.

"Ini bukan kali pertama perkara sebegini terjadi, malahan sudah seringkali berlaku," katanya.

malaysiakini/-