23 October 2011

Pakatan gesa Muhyiddin minta maaf beri ‘watikah’ serang anak Lim


25 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa memohon maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyokong blog pro-Umno yang membuat dakwaan kononnya anak lelaki Lim Guan Eng telah mencabul kehormatan rakan pelajar wanita.

Semalam, Muhyiddin meminta Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang, membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana penafian sahaja tidak mencukupi.

“Penafian adalah tidak mencukupi. Kalau tidak buat, minta polis untuk menyiasat dan bersihkan nama,” katanya.

Mengulas perkembangan itu hari ini, Naib Presiden PKR N Surendran (gambar) mahu Muhyiddin dengan segera memohon maaf kepada Lim kerana membuat kenyataan sedemikian.

“Kami menggesa Umno-BN menghentikan politik memfitnah dan pembunuhan karakter,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran, yang juga seorang peguam berkata, beliau terkejut kerana Muhyiddin sebagai pemimpin tertinggi negara sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan pelajar perempuan yang dikaitkan, Anya Sun Corke, yang didakwa menjadi mangsa sendiri telah menafikan perkara tersebut dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga Lim, anak dan keluarganya.

“Dalam bertindak sedemikian, Anya Corke yang muda telah menunjukkan sikap lebih matang dan sopan berbanding timbalan perdana menteri negara kita,” kata Surendran dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegur timbalannya kerana memberi sokongan bulat-bulat kepada pemblog-pemblog pro-Umno untuk mengaibkan dan memusnahkan kehidupan anak Lim.

“Kami terkejut dan marah dengan (kenyataan) Timbalan Perdana Menteri yang dilaporkan berkata bahawa jika Ketua Menteri Pulau Pinang merasakan adalah penting untuk membetulkan maklumat, maka beliau seharusnya datang dengan kenyataan sangat keras. Penafian sahaja tidak mencukupi’,” kata Pua.

Dalam kenyataannya, Pua berkata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno seharusnya memeriksa maklumatnya kerana Lim bukan sahaja telah mengeluarkan kenyataan tegas pada minggu lalu, malah “kami telah membuktikan bahawa keseluruhan kes ini adalah rekaan semata-mata.”

Selain itu kata beliau, mangsa yang didakwa terlibat dalam kes, yang berusia 21 tahun, sendiri telah menafikan perkara tersebut.

“Mangsa yang didakwa juga telah mengeluarkan kenyataan kepada kesemua media, mengatakan bahawa dia tidak pernah datang ke Malaysia sepanjang tujuh tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini.

Perkara itu turut dinafikan oleh pengetua SMK Heng Ee, sekolah yang anak lelaki Lim belajar sehingga akhir tahun lalu.

Meskipun Lim tidak perlu membuktikan apa-apa, kata Pua, Muhyiddin memilih untuk memberi ‘watikah’ kepada khabar-khabar angin dan memberi sokongan kepada “mutlak” kepada pemblog-pemblog Umno.

Katanya lagi, daripada melahirkan pendirian untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan khabar angin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memilih untuk mempertahankan pihak terbabit.

“Beban pembuktian terletak pada pihak yang menuduh dan bukannya pada pihak yang difitnah dengan tidak adil,” kata beliau.

Pua juga berkata demi menjaga imej kerajaan, Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri sewajarnya mengambil tindakan menghentikan tindakan-tindakan tidak waras dengan memberi teguran kepada timbalan beliau dan juga kesemua ahli partinya yang mengaibkan pelajar berusia 16 tahun.

“Jika tidak akan terbukti kepada rakyat Malaysia bahawa Umno sudah bankrap secara moral dalam usahanya mahu kekal berkuasa dalam apa jua cara pun termasuk menyerang kanak-kanak tidak berdosa,” kata beliau (MI)

Jenazah Gaddafi terus diaib


25 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
MISRATA 22 Okt. – Jenazah Muammar Gaddafi yang berlumuran darah selepas terbunuh dalam satu serangan kelmarin kini umpama ‘bahan pameran’ apabila diletakkan di dalam bilik sejuk beku di sebuah pusat membeli-belah di Misrata.

Tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu berlaku ketika pihak berkuasa Libya terus berbalah mengenai apa yang perlu ‘dilakukan’ terhadap jenazah Gaddafi.

Pelbagai pihak menuntut jenazah Gaddafi termasuk tentera dari Misrata yang mendakwa ia adalah miliknya, sekali gus menangguhkan pengkebumian Gaddafi semalam.

Di Misrata, penduduk berbaris panjang untuk melihat jenazah Gaddafi yang dibaringkan dengan beralas tilam di dalam bilik sejuk beku di pusat membeli-belah itu.

Pada awalnya, pihak berkuasa merahsiakan lokasi jenazah Gaddafi ditempatkan namun selepas maklumat itu tersebar, orang ramai bertindak menyerbu pusat membeli-belah berkenaan.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak dilihat berpusu-pusu untuk mengambil gambar bersama jenazah Gaddafi.

Kesan tembakan di dada, abdomen dan bahagian kiri kepalanya masih jelas kelihatan.

Sementara itu, dalam video terbaru yang muncul berkaitan Gaddafi, ia memaparkan imej bekas pemimpin Libya itu telah diseksa dan dipukul oleh tentera kerajaan ketika mereka mengheretnya keluar dari lokasi persembunyian.

Bagaimanapun, pembunuhan Gaddafi kelmarin masih diselubungi kekeliruan apabila banyak persoalan yang timbul berkaitan kematiannya.

Seorang lelaki, Sanad al-Sadek al-Ureibi muncul mendakwa menjadi individu yang menangkap serta menembak Gaddafi. Dakwaan itu bercanggah dengan laporan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan Gaddafi mungkin ditembak mati selepas ditangkap hidup-hidup. – Agensi

Guan Eng: Muhyiddin jangan jadi pengecut

25 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjadi pengecut dengan terus menekan anaknya dengan isu mencabul seorang gadis seperti didakwa bloger pro Umno.

Menurutnya, adalah sangat zalim jika Timbalan Perdana Menteri itu terus melakukan demikian terhadap anaknya yang berumur 16 tahun itu dalam keadaan 'mangsa' yang didakwa dicabul itu sudah tampil menafikannya.

"Jika Muhyiddin benci saya sangat, dia boleh buat yang lebih buruk untuk jatuhkan saya melalui politik.

"Namun, Muhyiddin tidak perlu menyertai kumpulan pengecut dengan memfitnah anak saya yang berusia 16 tahun dan meletakkan anak saya sekali lagi melalui pengalaman yang trauma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno seperti dilapor media yang mahu Guan Eng memberi kenyataan yang kukuh berhubung isu yang dibangkit bloger Umno itu.

Guan Eng sebelum ini telahpun menafikan perkara itu dan dikukuhkan lagi dengan penafian oleh gadis tersebut, Anya Corke bahawa gambarnya telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya.

Beliau juga menjelaskan tidak pernah menjadi mangsa dalam apa-apa cara oleh anak ketua menteri Pulau Pinang itu ataupun keluarganya.

"Apa pernyataan yang lebih kukuh diperlukan daripada saya apabila saya menafikan dan mengutuk fitnah ini sebagai tidak bertamadun dan sama sekali tidak boleh diterima, tidak berperikemanusiaan," katanya.

Tambah beliau lagi, beliau yakin apa yang menimpa anaknya adalah percubaan bloger Umno untuk menjatuhkannya ekoran urus tadbir yang bersih dan berkesan untuk rakyat di Pulau Pinang.

Merka selama ini ujarnya menggunakan taktik pembohongan dan politik kebencian, namun apabila gagal, mereka kini mengalihkan senapang mereka pada anak yang masih bersekolah dan tidak berdosa.

"Jika Muhyiddin mahu dilihat sesuai untuk jawatan Perdana Menteri, dia mesti bermoral dan beretika.

"Dia gagal ujian moral dan etika ini apabila menekan seorang anak lelaki berusia 16 tahun yang masih bersekolah dan tidak mempunyai peluang mempertahankan dirinya," katanya.(Harakahdaily)

Dr M, Utusan dan Zul Nordin berdepan saman


25 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Pensyarah Undang-Undang yang sedang digantung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengarahkan peguamnya menghantar notis tuntutan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ahli parlimen Kulim Bandar Baru Datuk Zulkifli Nordin dan Utusan Malaysia.

Notis yang akan mula dihantar esok itu, menuntut ketiga-tiga mereka membuat permohonan maaf dan membayar pampasan berikutan pernyataan atau penerbitan mereka yang telah mencemarkan nama baik Abdul Aziz.

"Kami menerima arahan untuk menghantar notis tuntutan daripada Abdul Aziz dan kami akan menghantarnya mulai esok," katanya dipetik Malaysiakini.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, peguam Mohd Hanipa Maidin berkata profesor itu akan memfailkan saman fitnah ke atas mereka.

Dr Mahathir selepas menyempurnakan pasa satu majlis 16 Oktober lalu, dilaporkan oleh Utusan sebagai berkata tindakan Abdul Aziz mempertikaikan titah Sultan Selangor adalah perlakuan kurang ajar.

Tindakan ke atas Zulkifli pula, dipercayai berkaitan kenyataan yang dikeluarkannya dalam beberapa media termasuk Utusan. Ini termasuk kerana melabelkan pensyarah itu bersifat biadab dan kurang ajar berhubung ulasannya terhadap titah Sultan Selangor.

Hanipa berkata profesor itu juga sedang mempertimbangakan mengambil tindakan undang-undang ke atas Senator Ezam Mohd Nor berikutan kenyataan beliau kepada media yang berasaskan laporan Utusan sehingga menyebabkan dirinya disoal-siasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak polis.(HarakahDaily)

Media Baru perlu masuk ke segenap kampung

25 Zulkaedah 1432H. [MOD]

Aziz Muda (Harakahdaily)
KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kesemua ahli-ahli PAS yang terbabit dengan Media Baru diminta memainkan peranan lebih aktif bagi membolehkan maklumat-maklumat yang disampaikan turut dibaca bukan hanya di kalangan penduduk di kawasan bandar, tetapi juga di kampung-kampung di seluruh negara.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, PAS menempa banyak kejayaan di kawasan bandar dan pinggir bandar ekoran keberkesanan Media Baru dalam menyampaikan maklumat yang benar untuk dipertimbangkan oleh orang ramai.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kekalahan PAS di kawasan luar bandar, di kampung-kampung dan di kawasan pedalaman berpunca dari kegagalan orang ramai mendapatkan maklumat yang benar mengenai perjuangan PAS dan isu-isu semasa.

Menurut beliau, setiap ahli PAS khususnya mereka yang terbabit dengan Media Baru perlu sedar perkara itu bagi membolehkan kesemua pihak mengambil inisiatif bagi membolehkan Media Baru tidak hanya berligar di kawasan bandar, tetapi juga di kampung-kampung.

Katanya, Media Baru memainkan peranan amat penting dalam menjawab segala tuduhan dan perkara yang tidak benar mengenai PAS yang dilakukan oleh Umno BN dan ia merupakan satu peperamgan secara damai.

"Jadi ICT atau Media Baru merupakan senjata penting bagi PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13," katanya menerusi pesanan khas melalui video yang ditayangkan pada Persidangan ICT 2011 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, menurut beliau, setiap penulis dan bloger-bloger PAS perlu memainkan peranan dengan baik dengan hanya menyampaikan maklumat yang benar dan tepat serta menggelakkan diri dari menyebarkan fitnah.

Katanya, tanggungjawab setiap ahli PAS adalah menyampaikan syariat Islam kepada orang ramai, manakala menyampaikan syariat itu merupakan fisabilillah.

'Jadi tanggungjawab ini mestilah ditujukan kepada semua pihak termasuk kepada Umno bagi membolehkan mereka kembali ke jalan Allah, manakala yang bukan Islam pula turut memahami ajaran Islam.

"Untuk melaksanakan tanggungjawab itu, ia mestilah dilakukan dengan uslub supaya penyampaian kita itu benar dan kena kepada sasarannya," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Penekanan seperti itu, menurutnya, perlu dilakukan sepanjang masa demi kepentingan Islam dan ia pasti lebih mendesak dalam keadaan negara kita yang mengamalkan demokrasi tempang sekarang, sehingga seluruh media hanya dikuasai Umno BN.

"Disebabkan demokrasi tempang yang diamalkan oleh para pemimpin Umno BN, maklumat-maklumat yang benar tidak sampai kepada orang ramai terutama di kampung-kampung, kecuali di kalangan penduduk bandar dan pinggir bandar yang dapat meniklmati kewujudan Media Baru," katanya.

Sekiranya Media Baru tidak sampai ke kampung-kampung, katanya, penduduk di kawasan luar bandar pasti akan terus gagal berpanjangan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan benar yang diperlukan untuk dijadikan pertimbangan dalam memilih parti yang akan memerintah negara pada PRU Ke-13 nanti.

Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, beliau mengingatkan setiap ahli PAS khususnya bloger-bloger parti agar ikhlas kepada Allah dalam melaksanakan tangguingkawab masing-masing kerana hanya dengan keikhlasan sahaja yang boleh menyebabkan maklumat yang disampaikan itu masuk ke dalam hati pihak terbabit, di samping dinilai sebagai ibadat oleh Allah.