16 October 2011

60,000 pelajar hadap FB 4 jam sehari ?

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Anggota Parlimen Arau Datuk Ismail Kasim melahirkan rasa bimbang dengan fenomena masa kini yang menunjukkan ramai pelajar di negara ini menghabiskan masa melayari laman sosial tanpa kawalan dan mendapatkan maklumat yang diragui daripadanya.

Ada kajian menunjukkan lebih 60,000 pelajar menghadap komputer lebih empat jam sehari semata-mata untuk melayari laman sosial termasuk facebook, katanya tanpa menyatakan sumber kajian itu.

azlanBercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan karaoke 1Malaysia di Kampung Kebun, Arau dekat Kangar malam tadi, beliau bimbang fenomena itu akan merugikan masa depan mereka.

Ismail berkata, ada pelajar yang berterusan membuang masa dengan laman sosial meskipun di saat menghadapi peperiksaan penting.

Antara kesan negatif melayari laman sosial tanpa kawalan termasuk ada kes pelajar lari daripada rumah kerana ingin bertemu rakan barunya yang dikenali dalam laman itu selain kemerosotan pelajaran, katanya.

Ismail yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Arau juga bimbang dengan sikap orang ramai yang gemar mendapatkan maklumat mengenai perkara terkini melalui sumber yang diragui di internet.

Menurutnya, mereka sepatutnya mematangkan diri dengan mendapatkan maklumat sebenar mengenai negara dan sesuatu perkara melalui media arus perdana dan sumber yang sebenarnya.

-- Bernama

Air banjir wilayah utara dan tengah dijangka melanda Bangkok hari ini

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Air banjir dari wilayah utara dan tengah dijangka tiba di ibu kota ini sama ada hari ini atau esok.

Ketua Pengarah Pengairan Chalit Damrongsak berkata, air banjir itu dijangka pada ketinggian antara 2.3 dan 2.4 meter di atas paras purata laut.

Ketinggian tembok banjir di Bangkok ialah 2.5 meter.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negara itu mengunjurkan sebelum ini bahawa 16 bilion meter padu air banjir akan tiba di Bangkok.

Lapan bilion meter padu air adalah dari wilayah Nakhon Sawan, enam bilion meter padu dari Ayutthaya, manakala dua bilion meter padu dari Phatum Thani.

Chalit juga berkata, keadaan air pasang laut yang tinggi ketika ini akan berterusan bagi tempoh dua hari akan datang.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih dibanjiri, dengan 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai lepas, dengan 297 kematian dicatat setakat ini. - BERNAMA

Bapa tembak mati empat ahli keluarga dan orang gaji di Filipina

18 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MANILA: Seorang bapa menembak mati isterinya, tiga anak perempuan dan pembantu rumah sebelum menembak dirinya sendiri.

Polis berkata, Emmanuel Ponce dipercayai seorang pemabuk naik angin awal pagi tadi apabila bertengkar dengan isterinya, Melinda sehingga menyebabkan kejadian berkenaan di tengah bandar Talisay, Filipina.

Selepas menembak mati isterinya, Ponce menembak tiga anak perempuan mereka berusia 18 dan 26 tahun tetapi tidak membunuh anak bongsu mereka berusia 14 tahun.

Polis berkata, pembantu rumah keluarga itu turut dibunuh. - aFP