13 October 2011

MP: Mana laporan audit?

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Ahli parlimen Pakatan Rakyat menimbang untuk mengemukakan usul khas bagi menuntut penjelasan kerajaan kerana masih belum mendapat laporan kewangan untuk tahun 2010.

Sedangkan pejabat ketua audit negara telah mengesahkan bahawa laporan audit itu telahpun siap, dakwa ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

"Mereka terkejut bila ahli parlimen belum dapat (laporan audit) sedangkan ia telah dihantar," kata Johari dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Jelasnya, beliau diberitahu demikian ketika menghubungi pejabat ketua audit negara semalam.

"Malah mereka gembira kerana mereka boleh siapkan laporan itu jauh lebih baik daripada tahun lepas," katanya.

Tambahnya, laporan berkenaan biasanya telahpun disediakan ketika menteri kewangan membentangkan belanjawan.

Macam mana nak bahas bajet

"Macam mana kita hendak bahaskan bajet jika kita belum lihat laporan sebelum ini," katanya lagi dalam satu sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, perkara itu memalukan kerana perbahasan telahpun masuk hari keempat dan laporan itu masih belum diperolehi.

"Kalau sangkut di pejabat menteri, itu pelik kerana laporan itu perlu diserahkan kepada parlimen, bukannya ke pejabat menteri.

"Yang saya hairan, bagaimana ada negeri yang telah dapat laporan audit daripadada jawatan audit negara berhubung kewangan negeri tersebut.

"Selalunya akan dibentangkan (laporan) kerajaan pusat dan kerajaan negeri semuanya akan diberikan kepada kami," katanya lagi.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa negeri Kelantan telahpun mendapat laporan kewangan untuk negeri berkenaan.

Minta penjelasan PAC

Sementara itu ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof pula berkata, isu berhubung laporan audit itu telahpun ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perbahasannya Isnin lalu.

"Beliau telah menempelak kerajaan kerana inilah kali pertama laporan audit tidak dibentangkan sebelum perbahasan.

"Tidak pernah berlaku di zaman (Anwar yang juga bekas menteri kewangan). Itupun, hingga sekarang tidak dibawa ke Dewan," katanya.

Tambahnya, speaker dewan boleh mencadangkan supaya perbahasan itu tidak dapat diteruskan selagi dokumen tersebut tidak diperolehi.

Ahli parlimen Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaafar dalam sidang media sama berkata beliau selaku ahli Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) juga tidak pernah menerima atau melihat apa-apa laporan audit.

"Saya rayu kepada pengerusi PAC, Datuk Azmi Khalid supaya buat penjelasan," katanya.

malaysiakini/-

PAS mahu polis siasat samseng bermotor

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS hari ini menggesa pihak polis bertindak tegas terhadap sekumpulan belia bermotor yang didakwa sering mencetuskan provokasi dan kekacauan di beberapa program PAS di negeri itu.

Terbaru, kumpulan itu didakwa melakukan provokasi di dua ceramah umum Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada 7 dan 10 Oktober yang lalu di Segamat.

Provokasi tersebut telah mencetuskan kekecohan sehingga seorang anggota Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS cedera di muka.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat berkata, selain ceramah itu, kumpulan samseng bermotor itu juga sebelum ini pernah mengganggu petugas PAS sewaktu sewaktu kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N 05 Tenang.

"Walaupun kelakuan ala-ala ‘samseng jalanan’ ini sudah berlaku berulang-ulang kali, namun tiada sebarang siasatan dan tindakan yang serius dilihat telah dijalankan oleh pihak berkuasa bagi menghentikan aktiviti tidak bermoral kumpulan ini," katanya yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau berkata demikian sewaktu menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada Ketua Polis Daerah Segamat.

Menurutnya lagi, kesan daripada gangguan berterusan itu telah mengganggu kelancaran program penerangan yang dianjurkan PAS termasuk gangguan bunyi motorsikal kumpulan mereka.

Provokasi oleh kumpulan ini juga ujarnya jika tidak dibendung boleh membangkitkan emosi dan kemarahan peserta program sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang tdak diingini seperti jerit-menjerit, laung-laungan caci-maki, tindakan seperti membaling batu dan objek-objek yang boleh mencederakan dan sebagainya.

"Malah provokasi yang dilakukan juga mengundang pergaduhan sehingga melibatkan kecederaan," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau mendesak Ketua Polis Daerah Segamat, Johor agar menjalankan operasi siasatan terperinci berkaitan aktiviti dan gerakan tidak bermoral kumpulan belia bermotor ini termasuklah individu yang terlibat, master mind dibelakang kumpulan ini dan pihak yang memberi jaminan keselamatan kepada mereka.

Beliau juga mahu pihak polis segera mengambil tindakan yang tegas ke atas kumpulan belia bermotor ini bagi mencegah kejadian yang lebih buruk berlaku pada masa akan datang.

harakahdaily/-

Cukai rokok dan arak: Pandangan Zahrin disanggah

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG, 13 Oktober: Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda KeAdiLan Pulau Pinang tidak bersetuju dengan cadangan Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrin Mohamad yang mahu mempupolarkan semula membabitan syarikat 'rokok' dan 'arak' dalam urusan bola sepak negara.

Walhal 'rokok dan arak' kata mereka telah pun ditolak dalam arena bola sepak negara apabila Malaysia tidak lagi mengambil syarikat rokok 'Dunhill' untuk dijadikan penaja sukan sepertimana dulu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Yusni Mat Piah membidas cadangan itu yang dianggap terkebelakang jika berfikiran bahawa hanya wang dari dua syarikat tersebut sahaja mampu meningkatkan prestasi serta sebagai punca dana oleh persatuan bola sepak negeri termasuk Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

"Jelas sekali Umno tidak boleh memisahkan diri mereka dengan wang hasil penjualan rokok atau arak.

Kita tahu walaupun beliau ahli Parlimen bebas namun suara itu adalah suara Umno dan Barisan Nasional (BN), "ujarnya.

Sensitiviti umat Islam

Sementara itu, Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali pula menyifatkan Datuk Zahrin tidak ada hala tuju sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang boleh menghiris perasaan umat Islam.

Bola sepak katanya, bukan sahaja diminati oleh bukan Islam di Malaysia bahkan lebih ramai peminatnya terdiri daripada orang Islam maka kenyataan itu satu kenyataan biadap.

Sepatutnya beliau sebagai Pengerusi FAP harus mencari kaedah lain yang lebih efesyen bukan ortodok walaupun untuk menanggung kos pengurusan bola sepak.

"Beliau sendiri tidak boleh bertindak baik terhadap FAP yang juga tidak lekang dari menghadapi masalah kewangan.

Patut beliau lebih bijak bukan menjadikan hasil rokok dan arak sebagai harapan, " katanya.

Semalam, Zahrain mencadangkan supaya kutipan cukai dari arak dan rokok disalurkan untuk pembangunan sukan khususnya bola sepak.

Menurutnya, walaupun rokok telah diharamkan sebagai penaja utama dalam sukan, kutipan cukai oleh kerajaan boleh disalurkan semula untuk tujuan pembangunan bola sepak negara.

harakahdaily/-

Pelatih JKM putus kemaluan

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MARANG – Mengerikan. Demikianlah keadaan kecederaan dialami seorang peserta kursus kemahiran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang putus kemaluan selepas seluar yang dipakai tersangkut pada ‘roller’ traktor pemotong rumput.

Mangsa, Mohd Hafis Abdul Rahman, 26, tergelincir ketika hendak turun dari bahagian belakang jentera yang berhenti selepas menjalani lati-han amali di Taman Pengeluar Kekal Makanan (TPKM) Serating, di sini, dalam kejadian Ahad lalu.

Sebelum kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa bersama pemandu jentera terbabit memotong rumput untuk menyediakan maka-nan bagi haiwan ternakan yang diternak di kawasan ladang milik sebuah syarikat swasta di situ.

Namun mangsa dipercayai tergelincir semasa turun dari jentera pertanian itu lalu terjatuh ke belakang menyebabkan seluar yang dipakai tersangkut pada ‘roller’ yang masih berpusing dan menarik mangsa ke dalam.

Akibat kejadian itu seluar dipakai mangsa koyak rabak sebelum dia mengalami kecederaan parah pada kemaluannya. Mangsa yang tinggal di Gong Badak, Kuala Terengganu itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Sementara itu, seorang jurucakap JKM ketika dihubungi Sinar Harian berkata, mangsa terbabit sedang menjalani latihan amali dibantu pemandu jentera itu sedang melakukan kerja pemotongan rumput untuk dijadikan makanan kambing.

“Bagaimanapun, mangsa yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) itu mengalami kecederaan parah pada kemaluannya selepas terjatuh di bahagian belakang jentera pertanian itu semasa kenderaan itu berhenti,” katanya.

:Menurutnya, pihak pengurusan membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Merchang dan melawat mangsa pada malam kejadian. Lawatan tersebut diketuai Penolong Pengarah II, JKM Negeri Terengganu, Rusmi Mahmood.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa pemuda berkenaan.

Usaha Sinar Harian untuk menemubual mangsa bagaimanapun tidak dibenarkan pihak hospital.

SINAR Harian/-

Jalan bertukar menjadi sungai

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

AYUTTHAYA - Thailand semalam mengumumkan satu pertiga daripada wilayahnya akan menjadi zon bencana ekoran banjir besar di negara ini.

Tindakan kerajaan itu bertujuan untuk meningkatkan operasi bantuan semasa banjir tersebut meragut 281 orang serta berjuta-juta rumah dan penduduk terjejas.

beberapa batang jalan raya di sini juga bertukar menjadi sungai manakala seorang penduduk, Pathumwan Choichuichai berkata, tiada siapa menyangka air banjir akan meningkat tinggi.

Beberapa hari lalu, banjir tersebut mengubah Ayutthaya menjadi zon bencana dengan beberapa daerah hanya boleh dihubungkan melalui bot.

Imej di bandar ini menyebabkan penduduk Bangkok bimbang ibu kota Thailand tersebut akan dilanda banjir.

Penduduk yang panik telah membeli semua barang makanan di pasar raya semalam termasuk air botol serta mi segera.

Beg-beg pasir juga disimpan di sekitar beberapa hotel mewah bagi persediaan menghadapi banjir.

- Agensi

Jumpa janin di tapak pelupusan sampah

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MUADZAM SHAH – Seorang wanita Orang Asli yang menjadikan rutin hariannya mencari rezeki dengan mengutip sampah di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Ibam, di sini, terkejut apabila menemui sebuah beg plastik sampah yang berisi janin, di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, wanita berusia 50-an itu terkejut apabila menjumpai mayat bayi dibaluti pakaian berwarna hitam di dalam plastik sampah berkenaan.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, jantina bayi tersebut masih belum dikenalpasti.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
“Bayi dipercayai berusia lingkungan tujuh bulan dan siasatan akan dijalankan untuk mengesan individu yang terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Inspektor Suzie@ Stephanie Kupit di talian 019-3850502 bagi membantu siasatan.

Sinar/-

Anak Gaddafi Ditangkap Di Sirte

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Anak lelaki Muammar Gaddafi, Mo’tassim telah ditangkap di Sirte pada Rabu ketika cuba untuk melarikan diri dari bandar itu, kata ketua Majlis Revolusi Tripoli.

“Dia ditahan di Sirte pada hari ini (Rabu),” kata Kolonel Abdullah Naker kepada Reuters.

Sumber daripada pemerintah Majlis Transisi Kebangsaan (NTC) di sini berkata beliau kemudiannya dibawa ke Benghazi untuk disoal siasat.

Menurut sumber, beliau ditangkap ketika cuba untuk meninggalkan bandar itu bersama keluarganya dengan kereta.

Terdahulu, sumber tersebut memberitahu Reuters bahawa Mo’tassim yang juga bekas penasihat keselamatan kebangsaan Libya telah ditangkap pada Selasa.

Sejurus berita penangkapannya tersebar, berdas-das tembakan dan bunga api dilepaskan ke udara ibu kota Tripoli itu sebagai meraikan berita tersebut.

Sumber-sumber tentera berkata beliau ditempatkan di kem tentera Boatneh di Benghazi dan kelihatan keletihan tetapi tidak mendapat sebarang kecederaan.

Seorang lagi pegawai kanan tentera NTC berkata anak lelaki Gaddafi itu memotong pendek rambutnya bagi tujuan penyamaran.

Beliau merupakan satu-satunya ahli keluarga terdekat Gaddafi yang ditangkap oleh tentera NTC setakat ini.

Pemimpin Libya yang digulingkan selepas 42 tahun pemerintahan, Muammar Gaddafi dan anak lelakinya Saif al-Islam melarikan diri sejak kejatuhan Tripoli pada 23 Ogos lalu.

Anak perempuan pemimpin itu, Aisha, dua lagi anak lelakinya Hannibal dan Mohammed, isterinya Safi dan beberapa ahli keluarga yang lain berpindah ke Algeria pada Ogos lalu dan kekal menetap di sana.

Sementara seorang lagi anak lelakinya Saadi kini berada di Niger.

Kampung halaman Gaddafi iaitu Sirte, akhirnya ditawan pejuang-pejuang yang setia dengan NTC sejak beberapa hari lalu selepas beberapa minggu dikepung.

Pegawai-pegawai kerajaan sementara berkata mereka percaya bahawa Mo’tassim bersembunyi di hospital di bandar raya itu.

mSTAR/-

Kemalangan bas di Nepal, 38 terbunuh

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KATHMANDU 13 Okt. - Sekurang-kurangnya 38 terbunuh apabila sebuah bas terbabas dan terhumban ke dalam sungai.

Kemalangan itu berlaku di jalan yang sedang dalam pembinaan kira-kira 80 kilometer dari Kathmandu dan bas berkenaan tercampak ke dalam sungai yang sangat dalam, kata Pegawai Daerah Sindhuli, Beni Madhay. - AFP

21 tahun: Kelantan anjur pertandingan kreatif

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 13 Okt: Sempena sambutan 21 tahun pemerintahan PAS di Kelantan pada 21 Oktober ini, kerajaan negeri itu akan menganjurkan pertandingan fotografi, klip video dan poster kreatif berkisar tentang 'Kelantan'.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri Ahmad Baihaki Atiqullah berkata pertandingan itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia termasuk anak Kelantan menggunakan kreativiti masing-masing bagi menggambarkan suasana pemerintahan yang diasaskan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Pertandingan bermula sekarang dan tarikh tutupnya pada 3 November 2011, manakala majlis penganugerahan kepada pemenang disempurnakan Menteri Besar dijangka diadakan pada 19 November 2011,” katanya yang juga Pengarah Program.

Mengulas lanjut, Ahmad Baihaki berkata pertandingan itu keseluruhannya berkaitan dengan ‘Kelantan’.

“Kita mengharapkan penyertaan dari semua kaum.

“Kita tidak mahu satu bangsa (Melayu saja) yang menyertai pertandingan, bahkan penyertaan semua kaum asalkan mereka mampu ‘menggambarkan Kelantan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Tumboh.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media khas sempena pelancaran pertandingan itu di sebuah restoran di sini semalam.

Menurutnya, borang penyertaan boleh didownload di laman web kelantankreatif.com dan di facebook.com/Kelantan kreatif.

Beberapa tema ditetapkan termasuklah Membangun Bersama Islam, Kelantan Menerajui Perubahan, Kelantan Negeri Berkebajikan, Anak Muda Kelantan Bermaruah dan Spirit Of New Generation Revolution.

Bagi kategori Fotografi, tempat pertama RM700 berserta iPad dan hadiah iringan. Tempat kedua, RM500, ketiga RM400 dan 10 saguhati (10 orang) RM100 setiap peserta.

Kategori Klip Video, tempat pertama RM1,000 berserta iPad dan hadiah iringan, tempat kedua RM800, ketiga RM500 dan lima saguhati (lima orang) RM200 setiap peserta.

Bagi hadiah kategori Poster Kreatif pula, tempat pertama RM500 berserta iPad dan hadiah iringan. Tempat kedua RM400, ketiga RM300 dan 10 saguhati (10 orang) RM100 setiap peserta.

harakahdaily/-

Masyarakat masih kurang sedar akan amaran awal Tsunami

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SUNGAI PETANI - Tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan amaran awal tsunami masih kurang hingga memerlukan program pemahaman berkaitannya diperbanyakkan dari semasa ke semasa.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ogu Salim Omar berkata daripada pemerhatian pihaknya mendapati kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amaran itu masih berada pada tahap tidak memuaskan.

"Orang kampung terutamanya masih belum faham tentang hal itu," katanya kepada pemberita pada sesi Latih Amal Tsunami di Daerah Kuala Muda sempena IOTWS Indian Ocean Tsunami Excercise "IOWave11" di Kota Kuala Muda di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa menganjurkan program berkaitan gempa bumi dan tsunami pada peringkat pusat mahupun negeri bagi meningkatkan pemahaman sekaligus menimbulkan kesedaran masyarakat supaya lebih bersiap-sedia menghadapi bencana itu.

Ogu Salim berkata pihaknya juga akan cuba melaksanakan program berkenaan di peringkat sekolah bagi membolehkan pendedahan awal tentang kesiapsiagaan bagi berdepan dengan bencana itu dapat disampaikan kepada golongan muda.

"Tidak dinafikan bahawa proses mendidik bagi menimbulkan kesedaran mahupun kefahaman bermula dari umur yang muda, jadi di sini kita akan cuba bawa masuk program-program berkaitan tsunami ini di peringkat sekolah. Kalau tidak boleh dalam kurikulum sekurang-kurangnya dibawa masuk dalam silibus kokurikulum," katanya.

Mengenai sesi Latih Amal Tsunami di Daerah Kuala Muda itu, Ogu Salim berkata lima kampung terpilih untuk menjayakannya iaitu Kampung Tepi Sungai, Kampung Masjid, Kampung Padang Salim, Kampung Keda Tepi Sungai dan Kampung Kepala Jalan.

Beliau berkata Latih Amal Tsunami itu diadakan untuk meningkatkan ketahanan masyarakat supaya bertindak sendiri sementara menunggu bantuan agensi penyelamat sampai selain meningkatkan kefahaman di kalangan anggota agensi penyelamat yang terlibat agar bertindak dengan lebih efisien.

Dalam perkembangan lain, Ogu Salim berkata pihaknya bersama agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pengurusan bencana telah bersiap sedia sebaik mungkin bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada musim monsun ini.- Bernama

Kerajaan belanja RM4.7 bilion untuk PLKN sejak 2004

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan RM4.7 bilion bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ditubuhkan pada 2004 sehingga 31 Ogos tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu berjaya memberi kesedaran awam kepada pelatih untuk menjadi warganegara yang baik melalui imej dan perlakuan positif dan tidak mudah terlibat dengan kes jenayah.

"Walaupun kementerian ini tidak mempunyai statistik remaja yang pernah menyertai PLKN tetapi masih terlibat dalam kes jenayah, namun kementerian yakin remaja yang menjalani PLKN mampu menjadi remaja yang mempunyai jati diri kukuh," katanya menjawab soalan Amran Abdul Ghani (PKR-Tanah Merah).

Dr Abdul Latiff berkata, peserta yang menyertai program PLKN didapati berjaya mengawal diri daripada terjebak dengan kes jenayah berdasarkan peningkatan pendaftaran pelatih dalam Pasukan Sukarela dari tahun ke tahun. - Bernama

Sos halal, haram masih sama rak

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

IPOH: Masih banyak pusat beli-belah dikesan mencampur aduk produk haram, sos jenama HP Souce dan Tabasco bersama produk makanan lain walaupun disahkan mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.

Difahamkan sikap ambil mudah pengurusan pusat beli-belah itu terbukti apabila tinjauan dilakukan mendapati kedua-dua sos perisa itu disusun di rak jualan bersama produk sos lain yang disahkan halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jurucakap Jakim berkata, tindakan mencampuraduk kedua-dua sos diharamkan itu dengan produk makanan lain dianggap tindakan tidak bertanggungjawab dan mengelirukan pengguna Islam.

Menurutnya, Jakim mendapati produk itu masih bebas dijual di pasaran walaupun Jakim sebelum ini sudah memberi peringatan ia haram digunakan orang Islam.

“Oleh itu Jakim mengingatkan pengguna Islam supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau menggunakan produk berkenaan bagi mengelakkan termakan produk tidak halal,” katanya.

METRO/-

SPR akui 40,000 nama di daftar pengundi 'meragukan'

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 40,000 nama yang terdapat dalam daftar pemilih yang tidak dapat disahkan kesahihan maklumatnya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata nama-nama itu disiarkan untuk tatapan umum di laman web dan media bagi membolehkan individu berkenaan mengunjungi pejabat SPR bagi membantu menjelaskan kedudukan.

"Ada maklumat yang tidak dapat dipastikan seperti terdapat kes nama pengundi di senarai daftar pemilih dan Jabatan Pendaftaran Negara berlainan dan sebagainya.

"Kita juga hendak memastikan status seseorang pengundi itu sama ada hidup ataupun tidak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus di Shah Alam hari ini.

Abdul Aziz menyifatkan sebagai kecil bilangan 40,000 nama yang tidak dapat dipastikan kesahihan maklumatnya itu dan SPR dalam proses memperbaikinya.

Mengenai persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, beliau berkata proses itu akan dibuat selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

Ini kerana SPR memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk berbuat demikian, katanya.

Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, Abdul Aziz berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu terutama negeri-negeri yang mempunyai bilangan kerusi negeri yang angkanya genap.

"Kita hendak menukarkan DUN yang mempunyai jumlah kerusi genap kepada ganjil bagi mengelak kemungkinan berlakunya situasi kemenangan 50-50," katanya.

Abdul Aziz berkata mengikut ramalan SPR, PRU ke-13 akan menjadi lebih mencabar berdasarkan kepada senario politik semasa.

"Parti kerajaan memerintah akan berusaha sedaya upaya pertahan kuasa mereka dan parti pembangkang pula akan berusaha sedaya upaya ambil alih pucuk pimpinan negeri ataupun negara. Dalam dua pertembungan ini, kita ramalkan PRU ke-13 akan jalan rancak dan sengit," katanya.

Mengenai taklimat hari ini, Abdul Aziz berkata ia bertujuan memberi penerangan awal kepada pegawai pengurus dan penolong mereka tentang tugasan dan tanggungjawab mereka sewaktu menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Taklimat hari ini, yang pertama seumpamanya adalah bagi negeri Selangor. Ia akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata taklimat itu adalah hanya untuk melatih petugas SPR agar sentiasa berada dalam keadaan siap sedia dan tidak semestinya bermakna "PRU ke-13 terlalu hampir".

Katanya SPR memerlukan sekurang-kurangnya 160,000 petugas untuk pilihan raya umum ke-13 nanti berbanding 150,000 pada pilihan raya umum lalu.

- Bernama

Iran didakwa rancang bunuh duta Arab Saudi ke AS

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TEHERAN - Iran melahirkan rasa marah dan menafikan tohmahan Amerika Syarikat (AS) yang menuduhnya merancang plot pembunuhan duta Arab Saudi ke AS dan menegaskan Washington sengaja menimbulkan ketegangan antara Teheran dan Arab Saudi.

Pegawai-pegawai di Teheran menganggap dakwaan yang dibuat kelmarin oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan AS adalah satu situasi yang direka-reka yang bermaksud untuk mengalih perhatian dunia.

Iran sebelum ini mendakwa Israel dengan sokongan AS bertanggungjawab ke atas pembunuhan sekurang-kurangnya dua ahli sains nuklear dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Menurut penasihat akhbar Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad, Ali Akbar Javanfekr, ia merupakan penipuan untuk mengalih perhatian masyarakat dunia daripada masalah dalaman yang dialami oleh AS sendiri.

Tambah beliau, kerajaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mempunyai banyak pengalaman dalam usaha mengalih perhatian dunia daripada mengetahui masalah dalaman di AS sendiri.

Duta Iran, Mohammad Khazaee mengirim sepucuk surat kepada pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Majlis Keselamatan PBB, mengutuk tuduhan yang cukup memalukan itu dan berkata ia adalah satu plot pemikiran yang cukup jahat.

Dia turut menuduh Israel dengan sokongan AS, menjadi dalang kepada pembunuhan saintis nuklear Iran.

AS kelmarin mendedahkan bahawa ia mematahkan satu komplot yang didalangi pemerintah Iran untuk membunuh duta Arab Saudi ke Washington.

Washington juga berjanji akan mengheret Teheran ke muka pengadilan.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa dua lelaki kerana bersubahat dengan sayap pemerintah Iran untuk membunuh Duta Arab Saudi, Adel al-Jubeir di AS dalam satu serangan bom.

"Dakwaan itu menyatakan bahawa komplot ini didalangi, dibiayai dan diarahkan dari Iran serta bercanggah dengan undang-undang AS dan antarabangsa," kata Peguam Negara, Eric Holder.

Dakwaan jenayah dikenakan terhadap seorang warga AS yang memegang pasport Iran, Manssor Arbabsiar, 56, dan Gholam Shakuri yang merupakan anggota Pasukan Quds iaitu pasukan elit Tentera Pengawal Revolusi Iran.

Shakuri masih bebas dan dipercayai berada di Iran manakala Arbabsiar ditangkap pada 29 September 29 tahun lalu di Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York. Dia dihadapkan di sebuah mahkamah di Manhattan kelmarin.

Peguamnya berkata, dia akan membuat pengakuan tidak bersalah sekiranya didakwa.

Komplot tersebut didedahkan oleh sumber berbayar AS yang menyamar sebagai anggota sebuah kartel dadah Mexico yang digeruni kerana melakukan banyak pembunuhan termasuk membunuh orang kenamaan.

Kedua-dua defendan percaya kartel berkenaan akan membekalkan bahan letupan untuk serangan terhadap Duta Arab Saudi itu.

Sementara itu, bekas ketua perisikan Arab Saudi, Putera Turki al-Faisal menyatakan bukti Iran mendalangi plot untuk membunuh duta tersebut adalah kukuh. - Agensi

Gempa Bumi Bali, 50 Dikhuatiri Cedera

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BALI: Gempa bumi kuat yang melanda sebuah kawasan percutian popular Indonesia, di sini, Khamis, telah menimbulkan panik dan mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang awam termasuklah patah tulang dan luka di kepala.

Saksi-saksi di tempat kejadian memberitahu stesen radio dan televisyen tempatan bahawa mereka melihat beberapa buah rumah dan bumbung rumah roboh, selain beberapa buah kuil di sepanjang persisiran pantai pecah berderai akibat gegaran tersebut.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata gegaran berskala 6.0 magnitud itu bertumpu pada kira-kira 60 batu (100km) di bahagian barat daya pulau itu sehingga (36 batu) 60km di paras dasar laut.

Walaupun ia tidak cukup kuat untuk mencetuskan tsunami, gegaran itu boleh dirasai oleh pulau-pulau berdekatan iaitu Jawa dan Lombok.

"Saya terjatuh daripada motosikal akibat gegaran itu," kata seorang penduduk tempatan, Miftahul Chusna.

Pegawai perhubungan awam Hotel Sanur Beach, Candy Juliani berkata semua benda di dalam bangunan itu bergegar.

"Penginap-penginap hotel melarikan diri dalam keadaan panik.

"Kami sebenarnya mempunyai laluan kecemasan khas apabila berdepan dengan situasi begini tetapi semua orang menjadi cemas dan mengabaikan laluan tersebut," katanya.

Jurucakap hospital, Wayan Sudanti berkata sekurang-kurangnya 50 orang tercedera, mengalami luka di kepala dan patah tulang.

Wakil agensi bencana tempatan, I Gede Tejo berkata pesakit-pesakit itu termasuklah 12 pelajar dan tiga guru yang cedera apabila siling bangunan sekolah tinggi mereka roboh.

Bentuk muka bumi Indonesia yang direntangi garis-garis gelinciran yang tidak sekata menjadikan negara itu mudah dilanda kejadian gunung berapi dan aktiviti gelombang seismos.

Gempa bumi terkuat melanda negara itu pada 26 Disember 2004 di Aceh telah mencetuskan tsunami di Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa. - AP

Bajet dan 19 ilmuan Islam

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Bahang pembentangan Bajet 2012 masih terasa hangatnya. Semua pihak mengakui ia satu lagi percubaan Dato' Seri Najib Razak untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum ke-13. Belanjawan itu dihasilkan bukan sebagai penyelesaian kepada pelbagai masalah ekonomi negara yang meruncing, tetapi dirumuskan semata-mata untuk mengekalkan kuasa BN.

Bagi Najib, bajet adalah senjata terakhir untuk menyanggah tawaran Pakatan Rakyat melalui belanjawan alternatif 4 Oktober lalu dan Buku Jingga, atau sekurang-kurangnya bagi mewujudkan 'feel good factor' walaupun segala jaminan yang dikemukakannya boleh memberi impak negatif kepada negara. Pertimbangan utamanya adalah mengekalkan kuasa. Segalanya diperkakaskan untuk matlamat itu.

Isu-isu kritikal seperti peningkatan inflasi, melebarnya jurang kaya-miskin, pertambahan hutang awam sehingga RM456 bilion, terperangkap dalam regim pendapatan rendah-sederhana, pergantungan kepada pekerja asing, ketirisan dalam sistem penyampaian, silap keutamaan yang membawa kepada pembaziran, dan isu monopoli, tidak ditangani secara serius dan bijaksana.

Justeru, ada pihak menyamakan Najib seperti Santa Claus yang tiba dua bulan lebih awal daripada hari krismas. "Kedatangannya bukan setiap tahun seperti Santa Claus, tetapi lima tahun sekali menjelang pilihan raya. Apa pun, mungkin kehadirannya ini buat kali terakhir," kata seorang teman sambil ketawa kecil.

Sepintas lalu, dalam beberapa aspek, bajet Najib dilihat mencedok pakej tawaran Pakatan Rakyat, namun falsafah atau asas yang mendasarinya jauh berbeza. Mungkin sebahagian rakyat, terutama kakitangan awam dan golongan berpendapatan rendah tersilau dengannya, tetapi secara peribadi saya mengharapkan pelaksanaannya sampai tepat kepada sasaran terutama bayaran one-off.

Lambakan wang tunai ekoran one-off ini memang dikritik, dibimbangi merangsang kenaikan kos hidup yang sedia tinggi sekarang, namun bantuan kepada rakyat yang memerlukan seharusnya dialu-alukan tetapi ia sepatutnya dibuat secara berterusan melalui pakej lebih menyeluruh. Bukan seperti ingatan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar: "Nikmat sekejap, sedap sesaat." Belum pun insentif one-off diterima rakyat, harga barangan dapur terus meningkat.

Sesungguhnya perbelanjaan wang rakyat haruslah dilakukan secara berhemah. Kerisauan tentang defisit, hutang dan kecenderungan kerajaan BN berbelanja lebih disentuh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya di Parlimen membahaskan bejat: "Angka yang dipersembahkan kononnya untuk beri gambaran keadaan defisit dan hutang terkawal, sedangkan kita sedia maklum tabiat BN membentangkan belanjawan tambahan pada pertengahan tahun ... seperti pada 2010 dan 2011."

Pada akhir 2010, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung rakyat Malaysia mencecah RM577 bilion bersamaan 77% dari KDNK negara. Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang rumah kereta dan rumah. "Masih ada golongan pekerja yang diperlakukan seperti khadam dan dibayar gaji di bawah paras kemiskinan," dedah Anwar.

Anwar turut mengkritik peruntukan tinggi sehingga 78 peratus untuk belanja pengurusan, manakala belanjawan bagi tujuan pembangunan dan pelaburan dalam bidang ekonomi dan sosial semakin mengecil. 11 kementerian utama diperuntukkan wang lebih tinggi bagi perbelanjaan mengurus sedangkan jumlah bagi tujuan pembangunan lebih kecil.

Malah belanja operasi melonjak 12% di Jabatan Perdana Menteri dan 15% di Kementerian Kewangan, kedua-duanya di bawah Najib, dan bagi Anwar, "ini bertentangan dengan desakan rakyat agar PM mengurangkan pergantungan beliau kepada juru runding luar negara dan pakar media yang mahal dan mengenepikan pendapat pimpinan penjawat awam."

Bekas Menteri Kewangan itu turut menegur potongan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran: "Perbelanjaan operasi dipotong 3% sementara perbelanjaan pembangunan dipotong 28%. Sebab itu, rakyat tidak teruja dengan pengumuman yuran sekolah rendah dan menengah akan dihapuskan kerana jelas penghapusan ini akan dibiayai melalui potongan peruntukan yang lain.

"Keadaan ini tidak ubah seperti Belanjawan 2011 bila mana Perdana Menteri secara senyap-senyap memotong peruntukan operasi pendidikan sehingga bilangan hari di asrama dan peruntukan lain dikurangkan. Makanya, rakyat akan tetap menanggung kos pendidikan yang dibayar kepada pihak sekolah, sama ada melalui sumbangan PIBG atau pelbagai bayaran lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah bagi menampung kos operasi."

Dalam pada itu, saya tertarik dengan ulasan 19 cendekiawan Muslim, yang menggelarkan diri mereka "sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair" mengenai bajet. Antaranya termasuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Dr Zaharuddin Abd Rahman, Dr Maszlee Malik, Dr Zahazan Muhammad dan Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

"Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut bajet 2012 dengan perasaan bercampur-campur," kenyataan mereka bertarikh 8 Oktober dipetik.

Mereka turut bimbang dengan bajet yang kekal defisit dan peningkatan hutang. Dalam kenyataan bersama itu, mereka menyokong 24 item dalam belanjawan 2012. Manakala 10 item lain "sokongan bersyarat" dengan cadangan beberapa penambahbaikan, misalnya mengenai saluran bantuan yang wajar dikendalikan secara Islam, pemberian permit teksi individu, sistem pengangkutan di bandar dan risiko harga maksimum skim pinjaman rumah pertama.

Selain itu, mereka memberi kritikan terhadap 17 item lagi, di antara lain: Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama persekutuan; peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan; peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing tidak diberi perhatian sama sekali; sekuriti dan isu keselamatan rakyat tiada peruntukan mencukupi; peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan Kedai IMalaysia yang 40% lebih rendah dari harga pasaran; serta cadangan pertambahan kadar keuntungan cukai harta tanah.

Mengenai bantuan one-off RM500 kepada isu rumah berpendapatan sebulan RM3000 dan ke bawah, mereka menegaskan: "Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerajaan mengkaji dan merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada kakitangan awam."

Saya memandang positif usaha ilmuan dan pendakwah ini serta mengharapkan komitmen berterusan mereka untuk terus menyumbang idea dan saranan bagi kebaikan bersama.

HARAKAHDAILY/-

KUMPULAN BENGAP DI SEGAMAT CUBA HALANG LIM GUAN ENG

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

DIKHABARKAN petang semalam sekumpulan `orang-orang bengap ' di Segamat telah berhimpun di hadapan Restoren Siang Kee, Kg Abdullah. Kebanyakan mereka rupa seperti orang Melayu dan ada yang rupa Jawa. Untuk apa mereka berhimpun?

Aku ingatkan mereka berhimpun pasal marah disebabkan hilangnya Pulau Batu Putih kepada Singapura. Atau pun mereka berhimpun pasal ghaibnya Tg Pagar juga kepada Singapura. Mungkin juga mereka berhimpun pasal marah kepada Chua Soi Lek yang menghina hukum wanita menutup aurat di dalam Islam sewaktu PRK Dun Tenang dulu. Atau, mereka berhimpun untuk membantah MB Johor yang mengiktiraf Buku `Pengukir Nama johor' terbitan Yayasan Johor yang mempopularkan nama Mat Indera di dalam buku tersebut.

Rupa-rupanya mereka berhimpun kerana membantah kehadiran KM P.Pinang, Lim Guan Eng ke Johor. Alasannya, Lim Guan Eng dikatakan memburukkan nama Johor walaupun Lim Guan Eng telah bawa kes tersebut ke mahkamah. Jika itu alasannya, sepatutnya rakyat Terengganu pun kena bangkit apabila ada puak yang menghina Sultan Terengganu yang juga Yang DiPertuan Agung dengan sepanduk bertulis `Kami Mahu Deris, natang" yang dipamerkan di hadapan Istana Terengganu suatu ketika dahulu.

Rakyat Kelantan pun kena emosi lah sikit pada KM Melaka, Ali Ketam yang pernah mengeluarkan arahan tidak membenarkan kakitangan Kerajaan Negeri Melaka melawat Kelantan. Tetapi, Ali Ketam tidak diganggu sedikit pun apabila menjejakkan kaki ke bumi Kelantan sewaktu mempromosikan SUKMA di sana. Ketika itu Melaka menjadi Tuan Rumah Sukma. Bahkan, Ali Ketam diberi peluang bercakap di Stesen Radio Manis FM, sebuah stesen radio swasta di Kota Bharu. Ertinya, ada rakyat Kelantan kisah dengan KM Melaka? Ada Sultan Kelantan tersinggung?

Siapa tidak tahu berapa tahun Kerajaan Negeri Kelantan diburukkan oleh pemimpin Umno bahkan diburukkan di media-media perdana? Ada rakyat Kelantan kisah? Tapi, bila terkena kepada Lim Guan Eng, meroyan puak-puak bengap tu di Johor. Ini suatu tanda betapa gelabahnya Umno/Bn di Johor sekarang. Ada baiknya juga kerana apabila ini berlaku, sudah pasti sokongan masyarakat Cina di Johor akan beralih kepada Pakatan Rakyat di dalam PRU akan datang.

Baru-baru ini di Segamat juga, sekumpulan mat rempit yang hanya diupah RM 10 dan diisi minyak motor sanggup menjadi `hamba sahaya' pemimpin yang takut kepada Mat Sabu. Mereka berjaya ditahan oleh sekumpulan Unit Amal dari PAS dan anak-anak muda dari SAMM. Semalam di Segamat, sekali lagi Unit Amal PAS berdepan dengan puak-puak bengap ini yang cuba mengganggu program melibatkan Lim Guan Eng.

Semakin teruk politik Umno/Bn sekarang. Mereka sudah tiada moral lagi untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat secara `gentleman'. Mereka kini gunakan taktik samseng, tetapi samseng taik minyak. Syabas, kepada Lim guan Eng yang berani berdepan dengan puak-puak bengap tersebut. Pedulikan ugutan dan ancaman dari mereka kerana ugutan dari orang yang bodoh tidak perlu dilayan.

Oleh: WFAUZDIN NS

PR diberi MyKad: PAS tuntut penjelasan KDN

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung kewujudan lebih 200 warga asing dari Johor di sebuah resort berhampiran Putrajaya, semalam.

Pemuda PAS dengan bantuan pasukan risikannya berjaya mengesan kehadiran mereka yang terdiri daripada warga Indonesia, Kemboja dan Bangladesh, dibawa menaiki enam buah bas.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di lobi Parlimen hari ini berkata, KDN harus memberikan penjelasan mengenai perkara itu kerana pihaknya mengesyaki kehadiran mereka ada kaitan dengan operasi pemberian MyKad kepada warga asing bagi membolehkan mereka menjadi pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita desak beberapa kementerian bertanggungjawab khususnya KDN memberikan penjelasan konkrit berhubung apa yang berlaku semalam.

"Ini kerana dalam masa beberapa bulan ini, PAS telah membawa isu pendaftaran warga asing yang dimasukkan dalam daftar pemilih ini.

"Ini isu penting, bukan andaian atau rekaan tapi telah dibuktikan dengan pendedahan sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, wakil Pakatan Rakyat yang terlibat dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat hari ini akan membangkitkan perkara tersebut.

"Wakil PR akan membangkitkan perkara ini agar KDN memberikan penjelasan segera," katanya sambil menunjukkan gambar warga asing yang sempat diambil semalam.

Maklumat bercanggah

Sementara itu, Timbalan Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa pada sidang media sama berkata, maklumat warga asing yang bercanggah di antara satu sama lain itu semakin menambahkan rasa curiga mereka.

"Saya sebagai salah seorang saksi semalam masuk ke dalam resort dan bertanya kepada mereka sendiri.

"Bila ditanya apa mereka buat di situ, ada yang jawab datang kursus keusahawanan dan ada yang terus-terang jawab mereka datang untuk ambil MyKad. Pihak pengusaha resort pula kata tempat itu sudah ditempah awal pagi. Ini sangat menimbulkan kecurigaan," katanya.

Menurutnya juga, terdapat juga pegawai kesihatan mengiringi mereka.

Adram juga berkata, perkara tersebut turut berlaku di Paya Jaras, Selangor dan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat terperinci.

Kira-kira jam 7 pagi semalam, pihak perisikan Pemuda PAS menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya.

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sana.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

Ekoran itu, mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

harakahdaily/-

Inkues Baharudin Ahmad ditolak

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan isteri allahyarham Baharudin Ahmad untuk meminta majistret mengadakan inkues ekoran kematian suaminya dalam perhimpunan BERSIH 2.0 lalu.

Hakim Su Geok Yiam berkata, permohonan si isteri - Rosni Malan - pramatang, remeh, menyusahkan dan menyahguna proses mahkamah.

"Berikutan ini, Mahkamah Tinggi membenarkan bantahan awal oleh Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili responden dalam kes itu, "katanya.

Rosni menamakan ketua polis Kuala Lumpur, ketua polis negara, majistret Kuala Lumpur dan Pendakwa Raya sebagai responden.

malaysiakini/-

Ahli KPF, peneroka lapor polis terhadap Isa Samad

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 13 Oktober: Sebanyak 10 laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis di sini semalam oleh ahli-ahli Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan wakil peneroka terhadap Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Laporan tersebut dibuat bagi meminta siasatan dakwaan bahawa Isa telah menyalahgunakan kuasa serta ‘merampas’ jawatan Pengerusi Permodalan Felda Berhad daripada pemegang jawatannya Datuk Dzulkifli Wahab, secara tidak sah semasa Dzulkifli berada di tanah suci Mekah menunaikan Umrah.

Mereka ditemani peguam Suhaimi Said yang juga Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat.

Menurut Suhaimi, semasa ketiadaan Datuk Dzulkifli Wahab yang juga Pengarah Besar Felda, Isa telah mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah KPF pada 25 Ogos 2011 dan berbekalkan surat daripada Perdana Menteri, Isa telah melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi KPF.

“Ini bertentangan dengan Undang-Undang di bawah Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) Akta 502, dan telah menyalahgunakan kuasa kerana mengangkat dirinya sendiri sebagai Pengerusi baru kepada KPF, mengambil alih jawatan yang disandang oleh Datuk Dzulkifli Wahab semasa beliau menunaikan Umrah di Mekah.

“KPF telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1980 dibawah Ordinan Koperasi 1948 bertujuan untuk menjadikan KPF sebagai wadah simpanan dan pelaburan anggota Felda.

“Penubuhan KPF ini telah menyerlahkan hasrat murni Felda untuk memberi peluang secara adil kepada warga Felda untuk turut serta memiliki ekuiti dalam syarikat-syarikat Felda melalui KPF, juga merupakan suatu wawasan dan prihatin Felda untuk kemajuan warga Felda,” tambahnya.

Menurut Suhaimi, Isa Samad tidak layak memegang jawatan selaku Pengerusi KPF kerana beliau tidak layak menjadi ahli kepada KPF yang membuka keahliannya hanya kepada Peneroka Felda, anak peneroka atau kakitangan tetap Felda.

Tambahnya, kedudukan Isa hanyalah bertaraf kontrak justeru pelantikan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah bertentangan dengan undang-undang koperasi dan menyalahgunakan kuasa dengan membuat perlantikan ke atas dirinya sendiri.

“KPF merupakan salah sebuah daripada 10 koperasi cemerlang yang menjadi contoh koperasi yang berjaya memberikan dividen yang tinggi atas kadar 15% setahun dan ini membuktikan bahawa KPF telah dikelolakan dan diselenggarakan dengan baik oleh Datuk Dzulkifli dan Ahli Lembaga Pengarahnya.

“Pengambilalihan jawatan Pengerusi dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang koperasi ini adalah pengkhianatan kepada KPF dan laporan dibuat supaya Isa disiasat kerana melanggar undang-undang dan menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.

Tambah Suhaimi, laporan yang sama telah dibuat serentak di balai-balai polis utama di negeri-negeri Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak.

harakahdaily/-

Hospital mohon waris tampil tuntut mayat

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LEDANG – Hospital Tangkak meminta bantuan orang ramai untuk mengesan waris atau ahli keluarga seorang warga emas lelaki yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kesang-Tanjung Gading, kelmarin.

Pada ketika, mayat lelaki berusia 70 tahun itu masih berada di bilik mayat hospital berkenaan dan tiada seorang waris tampil menuntutnya.

Usaha pihak hospital untuk menjejaki keluarga warga emas itu menemui jalan buntu kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa.

Jurucakap hospital berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa dipercayai hanya berjalan kaki cuba melintasi jalan berkenaan, sebelum dilanggar sebuah kereta.

“Mangsa mati serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan yang lain.

"Sebolehnya kami mahu keluarga mangsa ataupun kenalan tampil menuntut mayat supaya dapat dikebumikan dengan segera," katanya kepada Sinar Harian.

Justeru, pihak hospital berharap agar sesiapa yang kehilangan ahli keluarga atau waris mangsa segera tampil menuntut jenazah di Hospital Tangkak atau hubungi talian 06-978 1206.

-SH

Restoran 40 kali kena kompaun disita

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANGGOTA penguat kuasa MDAG mencatatkan barangan sebuah restoran di Masjid Tanah yang disita kelmarin.

ALOR GAJAH – Kedegilan pemilik sebuah restoran di Masjid Tanah di sini yang terus beroperasi tanpa lesen walaupun telah dikompaun sebanyak 40 kali menyebabkan perkakasan di restoran berkenaan disita petang kelmarin.

Pegawai Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Hasan Lambut berkata, tindakan sita terhadap premis itu yang beroperasi tanpa lesen sejak Mei lalu apabila lesennya tamat tempoh terpaksa diambil setelah MPAG beberapa kali memberikan notis amaran.

“MPAG telah mengeluarkan sebanyak 40 kompaun terhadap restoran ini atas kesalahan melanggar syarat lesen dan beroperasi tanpa lesen.

“Kita terpaksa bertindak tegas dengan menyita perkakasan di restoran ini seperti kerusi, meja, rak barang, peti sejuk dan peti aiskrim selepas amaran tidak diendahkan,” katanya kepada pemberita di Masjid Tanah di sini kelmarin.

Kosmo/-

Masalah khidmat teks Blackberry berlarutan

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LONDON: Berjuta-juta pengguna telefon bimbit BlackBerry di seluruh dunia tidak dapat menggunakan perkhidmatan komunikasi teks untuk hari ketiga berturut-turut, semalam.

Syarikat Research in Motion (RIM) berkata masalah itu berlaku kerana kegagalan pensuisan dalam rangkaian persendiriannya.

Pengguna di Eropah, Asia Barat, Afrika dan India mengalami gangguan perkhidmatan e-mel dan tidak mempunyai akses untuk membuka dan menghantar mesej.

Kejadian itu meningkatkan sentimen negatif terhadap syarikat berkenaan yang sudahpun berdepan dengan kehilangan pasaran kepada Apple dan Samsung.

RIM kelmarin berkata perkhidmatan itu sudah kembali normal tetapi kemudian mengumumkan, masalah itu sudah merebak ke Argentina, Brazil dan Chile. - Reuters

Kaunter Pejabat Agung PAS di Terengganu, Kedah

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Pejabat Agung PAS akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan pada 14 dan 15 Oktober di Chendering, Kuala Terengganu dan 22 hingga 23 Oktober di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Teknologi Maklumat PAS (JITP) di atas permintaan pihak penganjur sempena dengan program sambutan Himpunan PGU (PAS Ganti Umno) di Kuala Terengganu dan juga sempena Sambutan 60 tahun PAS peringkat Negeri Kedah.

Menurut beliau juga, ahli-ahli yang berminat untuk mendapat kad keahlian edisi terhad sempena 60 tahun PAS dengan bayaran RM5 sahaja boleh berbuat demikian di kaunter berkenaan selain bertujuan untuk memudahkan ahli-ahli berurusan dengan Pejabat Agung di samping melakukan proses pemutihan keahlian.

“Kepada ahli lama yang pernah membuat permohonan untuk pindah kawasan tetapi dia tidak tahu status juga boleh membuat semakan di kaunter ini. Kami menyediakan empat petugas pada satu-satu masa. Semua itu boleh diselesaikan,” jelasnya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Katanya, kaunter itu akan menawarkan perkhidmatan pendaftaran keahlian PAS, semakan keahlian, mengemaskini maklumat keahlian, mencetak kad dan sijil keahlian serta menaiktaraf keahlian biasa kepada keahlian seumur hidup.

Beliau meminta ahli-ahli PAS yang datang bagi memeriah sambutan tersebut dapat mengunjungi kaunter yang disediakan bagi menyemak status keahlian dan mengemaskini maklumat ahli.

HARAKAHDAILY/-

Peniaga terkejut caj baiki kereta RM4,100

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Gara-gara menghantar kereta bagi membaiki kerosakan tangki radiator, seorang peniaga mendakwa mengalami kerugian apabila caj yang dikenakan 10 kali ganda berbanding harga biasa oleh sebuah bengkel kenderaan di Sungkai, Perak baru-baru ini.

Pemilik kereta tersebut, Zaini Mohd. Zain, 38, berkata, bengkel itu mengenakan caj sebanyak RM4,100 berbanding harga bagi kerja-kerja membaiki radiator biasanya pada sekitar RM400 hingga RM500 sahaja.

“Memang cekik darah. Takkan hanya tukar radiator boleh dikenakan harga sebegitu rupa. Malah, jika top overhaul sekali pun, harganya tidak sampai seperti itu,” dakwanya ketika ditemui di pejabat Kosmo! semalam.

Menurut Zaini, kereta Proton Wira automatik miliknya itu dipandu oleh adik iparnya pada hari raya keempat lalu rosak kerana mengalami kerosakan pada tangki radiator.

Ketika itu, adik iparnya dalam perjalanan dari Sungkai, Perak menghala ke ibu kota selepas pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kangar, Perlis.

KOSMO/-

Sumbat PATI

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

NOOR MOHAMED (kanan) menunjukkan dua lelaki Myanmar yang dapat dicekup selepas disumbat dalam but kereta Proton Saga untuk diseludup masuk ke negara ini di Bukit Kayu Hitam kelmarin.

BUKIT KAYU HITAM – Seorang penagih air daun ketum kempunan untuk mendapatkan RM50 sebagai upah menyeludup masuk enam sekeluarga warga Myanmar menggunakan sebuah kereta apabila kegiatannya itu dapat dihidu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam di Jalan Padang Satu di sini kelmarin.

Bagaimanapun, dua daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut dapat melarikan diri ke dalam kawasan semak dalam serbuan kira-kira tiga kilometer dari pagar sempadan Malaysia-Thailand pada pukul 2.30 petang itu.

Serbuan itu turut mengejutkan pihak berkuasa apabila dua daripada enam pendatang asing tersebut disumbat di dalam but kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun.

Timbalan Komander UPP Bahagian Operasi negeri, Noor Mohamed Sheik Alaudin memberitahu, keluarga Myanmar itu terdiri daripada ibu dan tiga anaknya berusia di antara lapan dan 35 tahun.

“Wanita berusia 35 tahun tersebut ditahan bersama anak perempuannya berumur lapan tahun di tempat duduk belakang manakala dua lagi anak lelakinya berusia 23 dan 25 tahun ditemui disumbat dalam but kereta.

KOSMO/-

6 Bas Bawa Indon Disyaki Diberi Taraf Warganegara

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEPANG, : PAS hari ini berjaya mengesan satu operasi yang disyaki cuba memberikan warganegara kepada lebih 200 penduduk tetap (PR) di sebuah resort berhampiran Putrajaya di sini.

Kesemua yang majoritinya warga Indonesia itu didakwa dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa berkata pihaknya mendapat maklumat daripada perisikan jentera PAS berhubung perkara itu malam tadi yang mengatakan lapan buah bas membawa warga asing akan menuju ke Putrajaya untuk diberi MyKad.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS bersama beberapa anggota dewan itu kemudiannya menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya kira-kira jam 7 pagi.

Bagaimanapun hanya enam buah bas didapati tiba di Putrajaya yang didapati beredar beberapa jam kemudian.

Kepung resort

Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sini.

Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.

Petugas media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya.

"Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media di sini.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi 'ketua' rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Ekoran itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Sumber dalaman

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya.

Menurut Mazlan lagi, beliau juga dimaklumkan sewaktu bas berhenti di Masjid Putra, beberapa pegawai Jabatan Pendaftaran Negara menemui ketua rombongan bas tersebut dan mengarahkan mereka ke sebuah resort di kawasan berdekatan ekoran rahsia operasi mereka didakwa sudah diketahui.

"Saya difahamkan ini trip ke sepuluh untuk operasi ini.

"Modus operandi mereka adalah untuk mengalahkan Pakatan Rakyat Selangor," tambahnya.

Dalam pada itu satu sidang media khas berhubung perkara itu akan diadakan di Parlimen esok. -HD

Dakwa dapat IC, 200 pendatang dikepung

Sekumpulan kira-kira 240 orang yang dipercayai pendatang dikepung di sebuah resort dekat Putrajaya hari ini.

Exco Pemuda PAS, Mohd Adram Musa berkata pihaknya bersama-sama penduduk kampung mengepung mereka yang berada dalam sebuah pusat peranginan kerana mendakwa mereka akan diberi kerakyatan dan didaftar sebagai pengundi.

Mohd Adram yang berada di tempat berkenaan, memberitahu demikian ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau juga merupakan timbalan pengerusi lajnah pemulihan demokrasi dan mobilisasi Rakyat Pemuda PAS.

Mohd Adram mendakwa pihaknya mendapat maklumat tersebut melalui risikan jentera mereka dan mengekori enam buah bas yang membawa kumpulan tersebut sejak jam 7.30 pagi tadi.

Dakwanya lagi, semua yang majoritinya warga Indonesia itu dibawa dengan bas dari negeri Johor untuk diberi MyKad yang dipercayai ada kaitan untuk pengundian pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun, katanya, bas-bas berkenaan telah beredar dari situ, meninggalkan kumpulan tersebut di resort berkenaan.

Mohd Adram berkata kumpulan pendatang itu berada dalam sebuah pusat peranginan dekat Kampung Bukit Dugang. Pintu pagarnya telah dikunci.

"Saya sendiri masuk ke dalam resort berkenaan, dan mendapati memang warga asing di dalamnya.

"Kita tanya mereka bagitahu datang untuk kursus," katanya pada sidang media kemudiannya.

Menurutnya, kehadiran mereka bagaimanapun tidak disenangi 'ketua' rombongan itu dan mereka mengambil pendirian untuk keluar dari kawasan resort tersebut yang pagarnya kemudian dikunci pemilik resort.

Berikutan itu juga mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut.

Turut serta pada sidang media di hadapan resort itu ialah AJK PAS Pusat Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, beliau turut mendapat maklumat dari sumber dalaman yang tidak mahu bersubahat dengan operasi jahat itu.

"Dia hubungi saya bagitahu terdapat dokumen tebal dalam bas serta mendengar cakap-cakap penumpang bas yang mendakwa akan mendapat MayKad hari ini.

"Dia bagitahu saya maklumat ini kerana beliau tidak mahu bersubahat," katanya. -mk

Sayang kereta nyawa melayang

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KESAN darah Moy Lay yang dilanggar dan diseret oleh penjenayah yang menyamun kereta mangsa di Jalan Kapar, Klang kelmarin.

KLANG – Malang nasib seorang wanita apabila dia bukan saja gagal menyelamatkan kereta Toyota Altis miliknya daripada dilarikan penyamun malah berakhir dengan nyawanya melayang akibat dilanggar dan digilis oleh penjenayah yang tidak berhati perut dalam kejadian di Jalan Kangar 92, Jalan Kapar di sini kelmarin.

Semasa kejadian pada pukul 7.15 malam itu, mangsa Teoh Moy Lay, 52, mati akibat cedera di beberapa bahagian badan selepas dilanggar dan diseret sejauh 54.8 meter.

Lebih menyayat hati, kejadian tersebut disaksikan oleh suami dan anak Moy Lay selepas mereka berlari keluar dari rumah sebaik mendengar jeritan mangsa.

Mengimbas tragedi itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, polis mengesyaki kedua-dua suspek itu mengekori Moy Lay yang memandu kereta Toyota Altis bernombor pendaftaran BKV 3882 yang bekerja di sebuah syarikat kredit dan kereta terpakai di ibu negara sehingga sampai di hadapan rumah mangsa.

Menurut beliau, sampai di rumah mangsa, salah seorang suspek turun dari keretanya sebelum bertindak menaiki kereta mangsa.

Ketika itu mangsa baru turun dari keretanya dan enjin tidak dimatikan kerana mahu membuka pintu pagar.

Kosmo

Faekah dakwa Satim cuba laga MB dan istana

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kenyataan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon maaf kepada Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), menunjukkan Umno sudah tiada isu lain hendak diketengahkan, dakwa setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Menurutnya, menteri besar tidak pernah menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) seperti yang digembur-gemburkan pemimpin Umno.

Sebaliknya, Faekah (kanan) mendakwa, ia sengaja dicetuskan untuk membangkitkan keresahan umat Islam.

Malah, tambahnya, menteri besar juga tidak pernah meminta maaf bagi pihak JAIS kepada DUMC atau penganjur majlis makan malam amal seperti dilaporkan.

"Setelah membaca laporan awal JAIS, Datuk menteri besar hanya menyatakan kesal dengan kejadian yang berlaku kerana beliau yakin amat sukar bagi JAIS mempertahankan dakwaan," katanya sambil menambah, ternyata, pandangan menteri besar selari dengan pandangan baginda Sultan.

Katanya, menggesa menteri besar meminta maaf kepada sultan atas perkara yang Satim (kiri) sendiri tidak jelas hujung pangkal, tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, tegasnya, seluruh rakyat Selangor maklum bahawa menteri besar sentiasa menghormati Sultan Selangor selaku ketua negeri dan ketua agama Islam di Selangor.

Justeru, tegas Faekah, walaupun diasak media dengan pelbagai soalan, menteri besar tetap tenang dan hanya akan mengulas selepas Sultan Selangor bertitah.

Faekah juga mendakwa Satim cuba melaga-lagakan menteri besar dan istana dan pada masa yang sama, menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak membela umat Islam.

malaysiakini/-

Putus tangan diputar mesin basuh

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LEWIS selepas pembedahan.

RACHEL tidak sangka anaknya boleh buka penutup mesin basuh dengan mudah.
LIVERPOOL: Tangan seorang kanak-kanak terputus selepas dia membuka penutup mesin basuh dan memasukkan tangannya ketika mesin itu berputar.

Lewis Wrench yang baru menyambut ulang tahun kelahirannya yang ketiga, merayap di dapur dan berjaya membuka pintu mesin basuh muatan depan itu ketika ia masih berputar dan memasukkan tangannya ke dalam.

Ibunya, Rachel, 24, berada di ruang tamu di kediaman mereka di Crewe apabila dia mendengar jeritan anaknya.

Dia mendapati anaknya berlumuran darah dengan lengannya masih berada di dalam mesin. Kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Kanak-Kanak Alher Hey di Liverpool tetapi doktor gagal menyelamatkan tangannya yang terputus dari bawah bahu.

“Kini, apabila saya tanya apa yang terjadi, dia menjawab: ‘Saya membuka penutup itu dan saya berpusing-pusing, kemudian tangan saya tercabut.’” Mengimbas kembali kejadian itu, Rachel berkata: “Apabila saya meluru, mesin itu masih berputar.

Saya mematikan suisnya dan memeluk Lewis sambil berlari keluar dan menjerit meminta tolong kepada jiran.

“Anak perempuan saya, Kadie, masuk ke dapur dan melihat apa yang berlaku. Dia menjadi trauma.

“Saya tidak percaya Lewis berupaya membuka penutup mesin itu dengan mudah. Ia sungguh menakutkan. Saya begitu kecewa.” Mesin itu disewanya sejak 2009 dan agensi yang terbabit dalam hal berkaitan dengan pengguna, Trading Standards, melancarkan siasatan berhubung kejadian itu.

Kejadian ngeri itu berlaku jam 11.30 pagi pada 11 September lalu, seminggu selepas hari jadi ketiga Lewis.

Rachel berkata: “Secara keseluruhan, Lewis semakin pulih dan dia berani.

“Dia kidal tetapi kini sudah menyesuaikan diri dengan tangan kanannya.” Kanak-kanak itu perlu menjalani pembedahan lanjut dan kemungkinan dipasang dengan tangan palsu. - Agensi