11 October 2011

RM1 juta untuk PM ke Kazakhstan

13 Zulkaedah 1432H.

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Kerajaan membelanjakan RM1,072,213.22 untuk lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Kazakhstan Jun lalu.

Dalam satu jawapan bertulis hari ni, kerajaan memaklumkan lawatan 5 dan 6 Jun itu di atas jemputan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazabayev.

Najib kemudiannya juga mengetuai deligasi negara ke Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-7 di Astana pada 7 hingga 9 Jun.

"Untuk makluman Dewan yang mulia ini, jumlah perbelanjaan yang digunakan bagi lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Kazakhstan adalah sebanyak RM1,072,213.22," jawapan itu dipetik.

Penjelasan itu diberikan kerajaan bagi menjawab soalan Tian Chua (PKR-Batu) yang menanyakan Menteri Luar Negeri, apakah matlamat utama rombongan Perdana Menteri ke Kazakhstan pada Jun dan Perth pada Hari Merdeka serta kos yang terpaksa ditanggung kerajaan untuk rombongan itu.

Dalam jawapan itu juga turut menjelaskan Perdana Menteri juga turut ke Turkmenistan pada 11 hingga 12 Julai 2011 juga atas jemputan presiden negara itu.

Untuk lawatan itu pula, kerajaan memaklumkan telah membelanjakan RM323,268.19.

HARAKAHDAILY/-

Kampung kaya bina hotel

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

HOTEL Longxi yang menjadi kebanggaan petani.
Huaxi lancar penginapan mewah berharga RM1.4b

BEIJING: Kampung terkaya di China, Huaxi, melancarkan secara rasminya salah sebuah bangunan tertinggi di negara itu semalam, melambangkan simbol perkembangan ekonomi pesat kuasa Asia berkenaan.

Bangunan itu adalah Hotel Antarabangsa Longxi setinggi 328 meter dan menelan belanja AS$470 juta (RM1.4 bilion), kata pegawai di Huaxi.

Kejayaan kampung itu menjadi fokus kerajaan mengkaji pengalaman Huaxi. Hotel itu dijangka menempatkan ahli perniagaan yang terbabit dalam industri di kampung itu, pegawai yang mengkaji model Huaxi selain pelancong.

- Pegawai, Kumpulan Huaxi Ada kira-kira 10 bangunan lebih tinggi di China termasuk Pusat Kewangan Dunia Shanghai, ketiga tertinggi di dunia tetapi semuanya di bandar besar.

Huaxi masih dianggap sebagai kampung di wilayah Jiangsu di timur China di sebalik pembangunannya yang pesat dengan meliputi kampung berhampiran dan penduduknya bertambah kepada 50,000 daripada cuma 1,600 pada 1960-an.

Huaxi dihuni komuniti petani yang miskin satu ketika dulu tetapi tidak lagi selepas melalui pembaharuan ekonomi China sejak 30 tahun lalu.

Digelar ‘kampung model sosialis’, kemakmuran Huaxi berdasarkan aset kolektif isi rumah berdaftar yang mengumpul wang dalam industri seperti besi dan tekstil.

Sebahagian besar pendapatan isi rumah dilabur semula dalam projek seterusnya membolehkan perolehan diraih tanpa henti.

Menurut akhbar China Daily, 200 isi rumahnya adalah pemegang saham bangunan 74 tingkat, hotel lima bintang, setiap satunya memberi modal 10 juta yuan (RM4.6 juta) untuk projek itu.

“Bangunan ini adalah simbol usaha sama,” lapor akhbar itu yang memetik Timbalan Setiausaha Parti Komunis Huaxi, Zhou Li, sebagai berkata.

Bagaimanapun, ada pengkritik mengecamnya kerana berpendapat ia menjadi simbol kapitalis di sebuah negara komunis.

Kumpulan Huaxi, perbadanan yang menguruskan perniagaan di kampung itu, memiliki 2,000 pemegang saham yang semuanya penduduk berdaftar. penduduk tidak berdaftar tidak dibenarkan menjadi pemegang saham, walaupun bekerja di situ.

Menurut pegawai, kejayaan kampung itu menjadi fokus kerajaan mengkaji pengalaman Huaxi. Hotel berkenaan dijangka menempatkan ahli perniagaan yang terbabit dalam industri di kampung itu, pegawai yang datang untuk mengkaji model Huaxi selain pelancong.

Bangunan berkenaan turut mempunyai restoran berputar, kolam mandi di atas bumbung, pusat beli- belah, teater, spa dan patung lembu jantan dihasilkan daripada satu tan emas di tingkat 60. – AFP

Pembalak Haram Di Hutan Simpan Bukit Mertajam Ancam Kepupusan Kayu Gaharu

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Risiko kepupusan: Pasukan renjer hutan melihat kepingan pokok kayu gaharu yang ditebang secara haram di kawasan hutan simpan Cherok To' Kun di Bukit Mertajam pada Isnin.

GEORGE TOWN: Pokok kayu gaharu ditebang secara haram di kawasan hutan simpan di Bukit Mertajam dan Bukit Panchor untuk dijadikan ekstrak minyak kerana ia mendapat permintaan yang tinggi di Timur Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar Dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata setiap 10 mililiter minyak gaharu yang sering digunakan sebagai minyak wangi dan ubat dijual pada harga RM140.

"Kami mengesyaki wujudnya kumpulan sindiket antarabangsa yang terlibat dengan aktiviti menebang pokok gaharu secara haram sejak empat tahun lalu.

"Kebiasaannya mereka akan masuk ke hutan pada waktu malam dan menebang enam hingga tujuh batang pokok dengan menggunakan kapak supaya aktiviti tersebut tidak dapat didengar oleh sesiapa,"katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar pada Isnin.

Phee turut menasihatkan pasukan renjer hutan supaya berhati-hati ketika berhadapan dengan penjenayah berkenaan kerana mereka dipercayai memiliki senjata api.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri, Shah Rani Ahmad Zailan berkata pihaknya sedang mengenalpasti kumpulan yang terbabit dengan aktiviti haram berkenaan kerana mereka dipercayai bersembunyi di kawasan sekitarnya.

"Aktiviti mereka dipercayai bermula daripada bukit di Cherok To'kun di Bukit Mertajam hingga ke Simpang Ampat dan Bukit Panchor di Nibong Tebal.

"Penjenayah ini tahu bahawa nilai harga minyak kayu gaharu sangat tinggi dan dipercayai boleh mencecah hingga RM1,000 bagi setiap kilogram bergantung kepada grednya," katanya

Shah Rani berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan mereka berjaya menahan beberapa individu yang bercakap dengan menggunakan loghat asing.

Menurut pegawai penyiasat jabatan berkenaan, Mariatul Qiptiyah Md Sah, pihaknya telah berjaya menahan lapan lelaki warga tempatan dalam satu serbuan yang dijalankan pada 3 September lalu.

Manakala beberapa individu lain, berjaya melepaskan diri dalam satu lagi serbuan yang dijalankan pada pukul 4 pagi, 2 September lalu.

Malaysia merupakan salah negara pengeluar kayu gaharu utama dunia, dengan sebahagian besarnya dieksport sebagai ekstrak minyak kayu gaharu ke luar negara.

Justeru, penebangan secara haram telah menyebabkan tujuh daripada 18 spesies pokok gaharu di negara ini berhadapan dengan risiko kepupusan.

mstar/-

Banjir ragut ratusan nyawa di Asia Tenggara

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SEJUMLAH orang menggunakan pelampong dan perahu di sebuah kawasan banjir di Ayutthaya, Thailand semalam.

BANGKOK - Banjir besar telah menyebabkan 500 orang mati di Thailand, Kemboja dan Vietnam, kata beberapa pegawai semalam.

Di Thailand, angka kematian meningkat kepada 269 orang manakala ribuan askar melakukan operasi bantuan di kawasan yang teruk terjejas.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra berkata, situasi di negaranya berada dalam kawalan.

Usaha-usaha sedang dilakukan bagi menghalang banjir melimpah di kawasan rendah di Bangkok yang menjadi tempat tinggal 12 juta orang.

Beg-beg pasir diletakkan di sepanjang Sungai Chao Phraya di sini.

"Kami yakin, Bangkok masih berada dalam kawalan. Situasi kini adalah normal," kata seorang pegawai di Pentadbiran Metropolitan Bangkok.

Di Kemboja, angka kematian meningkat kepada 207 orang termasuk 83 kanak-kanak, kata seorang pegawai bencana.

Seramai 24 kematian dilaporkan di Vietnam akibat banjir di Delta Mekong.

Sejumlah besar tanaman padi musnah kerana banjir. - AFP

FBC dibayar RM94 juta tingkatkan profil Malaysia

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kerajaan membayar 19.6 juta Euros (RM94 juta) kepada syarikat perundingan media FBC Media bagi perkhidmatannya sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2007.

Dalam jawapan bertulisnya kepada ahli parlimen PKR-Batu Tian Chua (kiri), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bayaran berkenaan adalah untuk “perkhidmatan perunding, nasihat dan menggunakan kempen komuniskasi”.

“Kontrak selama setahun itu telah disambung sebanyak dua kali dan ditamatkan pada tahun 2010. Nilai kontrak untuk tiga tahun itu ialah Euro 19.6 juta (RM94 juta),” kata Najib.

Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan memberi arahan kepada FBC Media yang berpangkalan di London bagi penerbitan program yang ditayangkan dalam berita British Broadcasting Corporation (BBC) dan justifikasi bagi tindakan seumpama itu.

“Penerbitan dan penyiaran program mengenai Malaysia di media antarabangsa merupakan sebahagian dari usaha meningkatkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam kontrak kerajaan dengan FBC Media,” katanya.

Bagaimanapun menurut Najib kerajaan tidak mempunyai kawalan berhubung bila sesuatu rancangan itu disiarkan.

“Ia merupakan tanggungjawap FBC Media mendapatkan masa penyiaran di media antarabangsa dan kerajaan tidak mempunyai kawalan ke atas perkara ini.

“Ini merupakan perundingan di antara FBC Media dengan pihak BBC,” kata Najib.

malaysiakini/-

Kanak-kanak, remaja layari internet 19 jam seminggu

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berusia lapan hingga 18 tahun didapati melayari internet pada purata 19 jam seminggu, menyebabkan mereka sentiasa terdedah kepada ancaman atau budaya negatif dunia siber seperti buli, penipuan identiti dan pornografi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata berdasarkan laporan antarabangsa, Norton Online Family Report 2010, hanya empat daripada 10 ibu bapa di negara ini yang mengawasi kandungan laman yang diakses oleh anak mereka.

Oleh yang demikian adalah amat penting bagi ibu bapa memberi lebih perhatian kepada anak-anak dengan turut mengawasi laman web yang diakses mereka, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai perlindungan kanak-kanak "Child Online Protection" di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat berkata kaji selidik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan kadar penembusan internet di negara ini mencatatkan 60 peratus daripada 28.6 juta jumlah penduduk Malaysia pada 2010, dan ia dijangka meningkat sehingga 70 peratus menjelang 2015.

"Senario ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin 'IT savvy' setanding dan konsisten dengan trend antarabangsa, dan kebarangkalian pengguna IT terdedah kepada ancaman dunia siber semakin tinggi termasuk kanak-kanak," katanya.

Berikutan kebimbangan mengenai ancaman siber terhadap kanak-kanak dan remaja, katanya kementerian dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pelajaran, SKMM, Polis DiRaja Malaysia, CyberSecurity Malaysia dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menganjurkan seminar hari ini bagi membincangkan rangka kerja dasar dan perundangan untuk melindungi mereka.

Menurutnya langkah itu susulan persetujuan Malaysia menyertai Protokol Pilihan Kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) iaitu perlindungan penjualan, pelacuran dan pornografi kanak-kanak pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Prof Datuk Husin Jazri berkata CyberSecurity Malaysia menerima 11,930 insiden keselamatan siber pada Januari hingga September tahun ini dengan 4,175 daripadanya melibatkan penipuan.

Beliau berkata jumlah itu meningkat 130 peratus berbanding 2010.
Bagi insiden keselamatan siber lain, beliau berkata spam mencatatkan 3,452 kes, pencerobohan (2,345), kod berbahaya (867), percubaan menceroboh (525), gangguan siber (354) dan kesalahan berkaitan kandungan (48).

"Pertambahan insiden keselamatan siber berkait rapat dengan peningkatan kadar penggunaan Internet yang menyaksikan pengguna Internet di seluruh negara kini berjumlah 17 juta orang. Jumlah ini terus meningkat kerana disokong oleh pembangunan pesat prasarana jalur lebar," katanya.

- Bernama

Siramilah Hati Dengan Cinta

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Tidak ada yang lebih indah di dalam hidup ini bagi orang yang menyirami hatinya dengan cinta. membuat hati berbunga-bunga, sejuta rasanya, keindahan cinta ditemukan ikatan pernikahan. Pernikahan akan menemukan ujian yang berat bila di dalamnya sudah tidak ada lagi rasa cinta. Maka saling terkait antara cinta dan pernikahan.

Pernikahan yang mengolah semua bentuk ungkapan cinta antara laki-laki dan perempuan dari tutur kata, perilaku hingga sentuhan penuh romantisme. Itulah yang mampu membawa jiwa terbang ke awan, melambung tinggi seolah memasuki surga firdausy nan penuh keindahan, ketenteraman dan ketenangan jiwa. Bahkan Rasulullah menyebutkan "Tidak ada yang bisa dilihat lebih indah oleh orang yang saling mencintai seperti halnya pernikahan." (HR. al-Hakim).

Singgasana pelaminan menjadi tempat peraduan yang halal untuk tergapainya puncak asmara keabsahan bersatunya dua tubuh dengan penuh gelora kebahagiaan. Bila cinta tanpa sentuhan dan penyatuan hanya akan melahirkan penderitaan bagi jiwa yang berkepanjangan. Cinta adalah paduan antara tubuh dan jiwa. Wajah yang rupawan, fisik yang sempurna menjadi daya tarik diawal perkenalan yang menyulut adanya api asmara. Seiring waktu wajah yang rupawan dan tubuh yang sempurna mulai memudar, rambut memutih,

terlihat menua pertanda fisik memiliki keterbatasan maka jiwa yang mengikat dua hati dalam satu cinta. Akan tiba saatnya dua pasangan yang saling mencinta tidur saling membelakangi, tidak lagi berselera maka disaat itulah dibutuhkan upaya bagaimana melanggengkan cinta, yaitu dengan kelembutan tutur kata sebagai ungkapan kebaikan jiwa masing-masing. Tutur kata dengan saling mengasihi akan melanggengkan keindahan cinta.

Disaat kita sudah diusia senja. "Alhamdulillah ya mah, setelah puluhan tahun kita melewati kehidupan rumah tangga, kita bisa mengantarkan anak cucu ke gerbang pintu kebahagiaan." Sang istri menjawab, "Rasanya aku baru kemaren melahirkan, menyuapi dan meninabobokkan, sekarang kita punya cucu yang sudah besar." Sementara sang cucu tersenyum melihat Kakek dan Neneknya seperti sedang berpacaran, saling menggoda.

"Ih, Kakek dan Nenek kayak anak muda aja," sindir cucunya. Kakeknya pun menjawab, "Emangnya cinta hanya milik kalian anak muda aja," Tak lama setelah itu terdengar tawa penuh kebahagiaan. Begitulah cara melanggengkan keindahan cinta hingga akhir diusia senja kita dengan menjalin hati dan kata dengan orang yang kita cintai.

M. Agus Syafii/-

Pelbagai keraguan tentang pangkalan udara Sg Besi

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Sikap kerajaan yang enggan menjelaskan pelbagai keraguan tentang Pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi akan mengakibatkan rakyat menanggung bebannya, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar).

"Pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi yang dilihat umum sebagai 'projek Taek Jho Low' menjadi keutamaan Belanjawan 2012 dan dimasukkan di dalam perlaksanaan Rolling Plan Kedua yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

"Kerajaan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) jelas tidak mempedulikan keresahan rakyat sejak dari awal lagi apabila pengkalan udara yang mempunyai nilai strategik dan sejarah itu dipindah milik dengan penuh kontroversi kepada 1MDB (1Malaysia Development Berhad)," kata beliau.

Bukan sahaja pindah milik tersebut amat meragukan dan menghapuskan kepentingan strategik dari segi pertahanan serta nilai sejarah pengkalan udara tersebut, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, malah selepas itu berlaku pula keraguan demi keraguan yang lain.

"Sampai hari ini, rakyat masih menanti jawapan apa perlunya 1MDB melabur secara tunai sebanyak sebanyak RM3.5 billion dalam PetroSaudi International Limited yang kemudiannya melabur pula lebih dari RM1.5 bilion UBG Berhad di mana Jho Low menjadi ahli lembaga pengarahnya.

"Rakyat juga mempersoalkan apa perlunya penglibatan syarikat-syarikat luar seperti Mubadala Development Company dan Qatar Investment Authority sebagai pihak yang memajukan projek yang digelar 'projek Taek Jho Low' itu sedangkan syarikat-syarikat tempatan lebih berkemampuan?" kata Salahuddin.

Kerajaan, katanya, sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu keraguan-keraguan tersebut sebelum meneruskan tindakan memajukan Pangkalan Udara Sungai Besi yang begitu dipertikaikan itu.

Salahuddin juga melihat belanjawan itu lebih mementingkan projek-projek yang bersifat 'projek Taek Jho Low' dari menyelesaikan masalah dan penderitaan rakyat, .

"Ketika projek yang orang panggil 'projek Taek Jho Low' mendapat keutamaan, tidak ada langsung Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Sabah yang juga menghadapi masalah banjir yang teruk sama seperti Perlis, Perak dan Johor yang menerima projek itu.

"Ini belanjawan rakyat atau belanjawan Taek Jho Low?" beliau mempersoalkan.

Salahuddin menyifatkan apa yang berlaku itu menunjukkan kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada masalah dan penderitaan rakyat yang perlu diutamakan.

"Bangunan-bangunan di Kuala Lumpur mempunyai terlalu banyak ruang kosong yang belum digunakan, apa perlunya 'projek Taek Jho Low' di Sungai Besi itu?

"Nampak sangat bangunan pencakar langit yang berlebihan melalui 'projek Taek Jho Low' itu yang ditamakan.

"Agaknya sebab itulah isteri Perdana Menteri berminat sangat dengan belanjawan ini," kata beliau.

Baru-baru ini, perjumpaan tertutup berprofil tinggi antara Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dengan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang terlibat dengan penyediaan belanjawan itu turut dihadiri oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Bernama, antara yang hadir dalam pertemuan itu ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan-timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Donald Lim Siang Chai, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Rosmah dan Jho Low

Menjadi pengetahuan umum bahawa Rosmah mempunyai hubungan rapat dengan Jho Low.

Baru-baru ini, jutawan muda penuh kontroversi itu mengakui beliau adalah kawan baik kepada Rosmah.

"Rosmah bukan emak angkat saya. Dia adalah kawan baik saya," kata Jho Low kepada akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh, ketika ditanya hubungannya dengan keluarga Perdana Menteri.

harakahdaily/-

Lembu Untuk Dijual Sempena Ibadah Korban Kena Kebas

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sungai Pasir – Seorang penternak di sini, tidak menyangka akan mengalami kerugian berganda berikutan 10 lembu yang diternak di kandang dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Abd Rahman Ishak, 43, berkata, tiga lembu jantan, tiga betina dan empat lembu dara didapati hilang dari kandangnya yang terletak di belakang kuarters guru di sini minggu lalu.

Menurutnya, kejadian dipercayai dilakukan pada waktu malam dan hanya disedari keesokan hari ketika dia sedang bekerja setelah diberitahu rakannya.

“Akibat kehilangan 10 lembu, saya mengalami kerugian kira-kira RM20,000. Hanya 10 ekor yang tinggal,” katanya.

Dia juga berkata, lembu yang diternak dijangka dijual menjelang Aidiladha tidak lama lagi.

Berikutan kejadian, Abd Rahman membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kecurian itu dilakukan menggunakan taktik licik apabila pencuri bertindak berani menyuntik lembu dengan pelali sebelum mengalihkan lembu berkenaan.

“Saya tidak menyangka pencuri sanggup menggunakan perbuatan salah itu semata-mata untuk mencuri 10 lembu,” katanya.

Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukannya di sekeliling kawasan kandang, dia menjumpai jarum suntikan pelali yang dikatakan digunakan untuk memudahkan mereka membawa lembu itu. -SH

Warga emas ‘mandi’ petrol

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

IPOH: Seorang lelaki warga emas jalan mundar-mandir sambil termenung gelisah hampir empat jam sebelum bertindak nekad ‘mandi’ dengan petrol dan membakar tubuhnya hingga rentung.

Mangsa berusia 68 tahun itu dilihat murung di tepi jalan berhampiran Seksyen 18, Jalan Pasir Puteh, di sini, dipercayai memikirkan cara untuk membunuh diri akibat dibelenggu masalah peribadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang semalam, warga emas,

Chong Nam Choon berasal dari Hala Pengkalan Timur, Taman Pasir Puteh di sini, mati dengan hampir 50 peratus tubuhnya rentung. Saksi kejadian, K Lasar, 42, berkata ketika itu, dia menjalankan kerja membaiki jalan berhampiran tempat kejadian sebelum terlihat objek seakan-akan ‘bebola api’ di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat dia bekerja.

Menurutnya, sebaik mendekati objek berkenaan, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki warga emas tertiarap di tepi jalan dengan tubuhnya hampir rentung dijilat api.

“Saya cuba menyelamatkan mangsa dengan memadamkan api menggunakan pakaian, namun sudah terlambat sebelum mangsa mati.

“Ketika ditemui, mangsa tidak menjerit meminta tolong sebaliknya mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu dan mengesan ahli keluarga mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat. Kami masih menyiasat motif kejadian dan mengesahkan kes berkenaan sebagai mati mengejut,” katanya.

metro/-

PKR: 'Video hotel baru' bagi tutup kepincangan Bajet

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PKR hari ini memnbidas taktik kotor pihak-pihak yang membocorkan satu lagi klip video seks yang didakwa memaparkan ketua umum parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan hari ini, naib presiden PKR N Surendran, tindakan terdesak itu cuma satu langkah untuk mengalih perhatian rakyat daripada Bajet 2012 yang disifatkan sebagai bahaya dan lemah.

"Ini sudah tentu bukan satu kebetulan kerana video baru ini muncul pada masa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan bertungkus lumus mempertahankan Bajet 2012 yang baru dibentangkan," katanya.

Semalam, blog-blog pro-Umno memamparkan video yang menggambarkan seorang lelaki yang hanya bertuala sedang bersiap sedia untuk mengadakan hubungan seks. Blogger Papa Gomo mendakwa video itu dirakamkan di sebuah hotel di daerah Patpong yang terkenal dengan aktiviti maksiat dii Bangkok, Thailand.

Surendran mendakwa video terbaru yang muncul beberapa bulan selepas video oleh kumpulan tiga yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Datuk T’, mempunyai pendekatan yang sama dengan konspirasi Umno-BN yang licik.

"Politik menumbangkan seseorang pemimpin dengan menggunakan video seks ini telah dimulakan oleh Umno-BN semasa pentadbiran (Tun Dr) Mahathir Mohamad. Banyak sumber-sumber negara diguna untuk mencipta pelbagai dakwaan seks luar biasa terhadap Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri.

"Meneruskan tradisi yang hina ini, Umno-BN kini cuba menyembunyikan salah urus ekonomi, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah dengan mencipta video seks palsu," katanya.

malaysiakini/-

Terbaru..Hina Al-Quran Lagi!!!!

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sebuah foto berjudul "Koranic Inlay" yang memperlihatkan ayat-ayat dari kitab suci Al-Quran yang dipancarkan menggunakan projektor pada tubuh seorang artis yang bogel. Lelaki yang berbangsa Perancis/Morocco ini telah menyebabkan kemarahan umat Islam menjelang pameran seni di Marrakesh.

Karya seni yang menampilkan Mehdi-Georges Lahlou (27 tahun) sebagai artisnya dijadualkan akan dipamerkan di pameran seni rupa moden pada 30 September - 3 Oktober.

"Koranic Inlay" adalah potret bogel di mana ayat-ayat Quran dpancarkan pada tubuh Lahlou, termasuk di alat kelaminnya. Akhbar tempatan dan juga blogger di Morocco telah menyuarakan kemarahan mereka diatas kehadiran artis tersebut dan juga perbuatannya yang menghina umat Islam dan ayat-ayat suci Al-Quran.

** BANYAK LAGI CARA UNTUK MENUNJUKKAN KEINDAHAN AYAT-AYAT SUCI AL-QURAN...

-Siasahkini

Kapal persiaran mewah terbakar

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LANGKAWI: Sebuah kapal persiaran mewah berharga lebih RM18 juta yang sedang dibaik pulih di limbungan Boustead Yachts Langkawi (BYL) di Bukit Malut, di sini, terbakar malam kelmarin.

Kebakaran kapal mewah dua tingkat itu memaksa 53 anggota bomba berkampung di tempat kejadian 10 jam bagi memastikan api tidak merebak ke kapal lain, sekali gus mengelak kejadian lebih buruk.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Langkawi, Mohd Yunus Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam.

Katanya, tiga jentera dan dua kenderaan pacuan empat roda daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Ayer Hangat bersama 53 anggota bergegas ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 8.21 malam.

“Api yang dikesan bermula di bahagian belakang kapal berhampiran bilik enjin berjaya dikawal daripada merebak dalam tempoh dua jam dan sejurus itu kapal itu diselubungi asap sebelum padam sepenuhnya pada 7.30 pagi tadi (semalam).

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah sebenar kerugian dan puncanya masih dalam siasatan," katanya.

berita harian/-

Sidang parlimen sehari sebelum Deepavali dikritik

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Anggota parlimen DAP menyatakan perasaan tidak senang dengan sidang parlimen yang bersidang sehingga 25 Oktober, sehari sebelum perayaan Deepavali.

Menurut mereka, ia akan menjejaskan penyediaan penganut Hindu untuk mengadakan rumah terbuka dan mengganggu sembahyang untuk nenek moyang yang secara tradisional berlangsung pada hari itu.

Anggota parlimen itu juga mempersoal keikhlasan perdana menteri yang mengumumkan isu masyarakat India akan diselesaikan tetapi sering berlaku tarikh peperiksaan sekolah bertindih dengan hari perayaan itu.

Jika janji-janji itu benar, kata mereka, kerajaan patut menunjukkan kepekaan dalam penjadualan sidang parlimen dan majlis kerajaan.

malaysiakini/-

Pemberontakan Puak Berhaluan Kiri: Tujuh Tentera Colombia Terbunuh

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BOGOTA: Tujuh anggota tentera darat Colombia terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak berhaluan kiri di selatan negara itu.

Menteri Pertahanan, Juan Carlos Pinzon, berkata kumpulan pemberontak itu menyerang pasukan peronda tentera di sebatang jalan di Caloto ketika mereka mengangkut bekalan untuk pasukan lain.

“Mereka diserang dengan zalim dengan bahan letupan," katanya.

Revolutionary Armed Forces of Colombia (FARC) dipersalahkan atas keganasan itu. - AFP

Guru: Terjamin atau tiada masa depan

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BEBERAPA kajian luar negara mendapati faktor pemilihan kerjaya perguruan boleh dikategorikan kepada dua, iaitu intrinsik dan ekstrinsik.

Salah satu faktor instrinsik yang dikenal pasti ialah ingin berbakti kepada negara dan bangsa (Chuen et.al. 1999), suasana kerja yang menyeronokkan (Brown 1992) dan untuk memanfaatkan ilmu pengetahuan serta berpeluang melanjutkan pelajaran (Thomas 1984).

Mengikut kajian Yong (1994), Chuen et al. (1999) dan Yee (1990) faktor ekstrinsik seperti jaminan kerja, gaji dan prospek masa depan serta peluang kenaikan pangkat ditemui dalam kajian tentang pemilihan kerjaya perguruan di kalangan guru sekolah.

Penulis ingin memfokuskan kepada faktor jaminan kerja sebagai antara punca tarikan pelajar lepasan SPM, STPM, matrikulasi, diploma mahupun ijazah untuk menjadikan bidang pendidikan dan profession keguruan sebagai pilihan utama dalam kerjaya.

Apabila Kerajaan mengumumkan penghapusan jaminan penempatan guru pelatih dan peralihan kepada ‘Sistem Terbuka dalam Latihan Guru’ dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), penulis tertanya-tanya di manakah rasionalnya?

Sedangkan di antara intipati RMK-10 ialah menjadikan profession keguruan sebagai pilihan utama dalam kalangan siswazah cemerlang. Sekiranya tiada lagi jaminan penempatan guru bagaimana mungkin dasar ini dapat menarik minat golongan sasaran tersebut.

Disini penulis ingin lontarkan persoalan yang perlu diperjelaskan secara terperinci oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apakah dengan mengubah dasar daripada jaminan penempatan guru pelatih kepada sistem terbuka dalam latihan guru ini adalah salah satu usaha untuk meningkatkan daya tarikan keguruan dan meningkatkan kualiti guru baru secara signifikan seperti yang dinyatakan di dalam RMK-10? Bagaimana pula dengan masa depan bakal-bakal guru di seluruh IPTA dan IPTS pada masa akan datang?

Kebelakangan ini kedengaran rintihan dan keluhan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di seluruh IPTA dan IPTS negara mengenai masalah penempatan mereka. Persoalan timbul mengenai status sebenar graduan ISMP berikutan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri Pelajaran bahawa penambahan jawatan baru dibekukan bagi mengurangkan defisit negara.

"Defisit kita boleh uruskan dan kita telah tunjukkan kita telah dapat kurangkan. Bermakna itu tidak harus jadi satu perkara yang membimbangkan. Tapi ada langkah dibuat untuk mengurangkan (defisit), umpamanya penambahan jawatan baru dibekukan."- Sumber: Malaysiakini

Penulis berpendapat tindakan kerajaan membekukan jawatan baru melibatkan juga pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah sehingga 31 Ogos 2011 dan dilanjutkan pula ke 31 Disember 2011 perlu dikaji semula. Ini kerana bilangan guru di sekolah rendah dan menengah sentiasa tidak mencukupi setiap tahun.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa pernah berkata sememangnya negara kita masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan. Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini."Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya. Sumber: Harian Metro

Selain itu Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi juga telah mengumumkan penyerapan lebih 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

“Mereka akan dilantik semula mengikut syarat seperti usia tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010 dan sudah berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun berturut-turut sebagai GSTT” Sumber: Berita Harian

Tindakan KPM mengutamakan GSTT yang hanya berpengalaman mengajar selama 3 tahun mengisi jawatan kekosongan guru di seluruh negara, pada pandangan penulis adalah kurang tepat sedangkan graduan ISMP yang menuntut ilmu perguruan selama 4 tahun di IPTA dan IPTS diabaikan dan tiada jaminan .

Mengikut maklumat terkini KPM bertarikh 15 September 2011, KPM telah melantik semula 6,280 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) manakala seramai 4,433 dikenal pasti tidak memenuhi syarat dan seramai 7,258 orang lagi masih menerima surat perlantikan semula sehingga akhir Julai lalu.

Kementerian juga dalam proses untuk menyerap guru GSTT yang masih dalam kontrak dan sudah bertugas lebih tiga tahun ke jawatan guru tetap melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Dalam Cuti (KDC).

Masalah timbul apabila GSTT diserap melalui KDC. Sekiranya kita rujuk kembali Akta Pendidikan 1996, GSTT diberi kebenaran untuk mengajar di sekolah melalui peruntukan kuasa Ketua Pendaftar. Sila rujuk Bahagian IX Pendaftaran Guru, Bab 2 - Permit Mengajar, di bawah seksyen 114. Pengeluaran permit mengajar. (c) seseorang yang diperlukan untuk bertindak sebagai guru untuk sementara.

Apabila GSTT diserap ke jawatan KDC penulis berpendapat bahawa tindakan tersebut menyalahi kuasa Ketua Pendaftar kerana seksyen 114 (c) menyebut secara jelas bahawa pengeluaran permit mengajar hanya untuk sementara.

GSTT yang diserap ke jawatan tetap melalui KDC masih belum lagi mempunyai kelayakan untuk mengajar tetapi boleh berdaftar sebagai guru. Ini jelas bercanggah dengan peruntukkan kuasa Ketua Pendaftar yang berhak untuk enggan mendaftarkan seseorang sebagai guru sekiranya tidak mempunyai kelayakan untuk mengajar atau mempunyai kelayakan yang pada pendapat Ketua Pendaftar tidak mencukupi bagi maksud itu.

Sila rujuk Bahagian IX Pendaftaran Guru, Bab 1 Pendaftaran Guru di bawah seksyen 106 (b).

Terdapat isu graduan ISMP di IPTS yang tidak diterima permohonan untuk perlantikan guru sektor awam. Sekiranya kita lihat kembali antara intipati Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pendidikan.

EPP 4: Mengembangkan Latihan Guru Swasta

Unjuran masa kini menunjukkan bahawa institusi awam tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan guru baru setiap tahun. Daripada melabur dengan banyaknya untuk menambah kapasiti di Institut Pendidikan Guru (IPG), NKRA Makmal Kualiti Guru meluluskan liberalisasi pasaran untuk memasukkan pengusaha swasta bagi mempertingkatkan persaingan. Oleh itu, EPP ini telah direka bentuk untuk menyokong pelaksanaan inisiatif ini.

Kami akan membenarkan pengusaha swasta menyediakan latihan pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru sekolah rendah dan menengah. Pengusaha swasta akan bertanggungjawab untuk menentukan bidang subjek khusus mereka (contohnya, Bahasa Inggeris atau pendidikan khas), dan jenis model perniagaan yang akan digunakan (contohnya, secara bersemuka,

e-pembelajaran, model campuran). Bagaimanapun, mereka mesti mematuhi standard kualiti seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dan MQA untuk latihan guru dan mesti mencari sumber pelaburan modal dan kakitangan sendiri.

Bagi pihak Kementerian Pendidikan, kami akan membuka ruang untuk pelantikan guru sektor awam dari kalangan graduan institusi-institusi ini (IPTS), tidak kira jika mereka ditaja oleh kami ataupun tidak.

Di sini secara jelas dasar KPM untuk mengembangkan latihan guru swata dalam NKEA Pendidikan bagi memenuhi permintaan guru baru setiap tahun. Oleh itu isu ini sepatutnya tidak timbul.

Kita lihat sistem pendidikan di negara maju seperti Jepun yang berhasil merombak dan memajukan minda masyarakatnya melalui pendidikan dengan mengambil beberapa langkah progresif.

Antaranya ialah kerjaya guru diberi perhatian serius oleh Kerajaan Jepun dengan menjamin dan mempercepatkan penempatan bakal-bakal guru bagi mengelakkan masalah kekurangan tenaga pengajar. Rujuk kembali kajian bertajuk The InstitutionS of Education: A Comparative Study of Educational Development in the Six Core Nations by William K. Cummings (2003).

Sewajarnya KPM yang diperuntukkan sejumlah dana yang begitu besar untuk sektor pendidikan iaitu RM50.2 bilion melalui Belanjawan Negara 2012 yang lepas, menyelesaikan segera isu penempatan lebih 7,000 graduan ISMP. Penulis percaya isu ini boleh dipercepatkan sekiranya digunakan tidak sampai satu peratus pun daripada dana pendidikan tersebut bagi membiayai kos penempatan bakal guru.

Penempatan segera graduan ISMP bukanlah satu pilihan akan tetapi ianya satu keperluan yang mendesak berikutan bebanan tugas guru-guru senior akibat kekurangan guru di seluruh negara.

harakahdaily/-

Bajet: Tiada jaminan kesejahteraan wanita muda

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Isu-isu utama berkaitan golongan wanita muda seperti isu keselamatan dan perkahwinan tidak dibincangkan secara serius dalam Bajet 2012.

Pengerusi Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Fareedah Samad berkata, kelangsungan generasi amat penting.

Justeru, katanya usaha dan langkah-langkah yang dapat membantu generasi muda membina rumahtangga adalah langkah bijak memandangkan masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing.

“Bahkan penekanan kepada kehidupan berkeluarga akan mengembalikan dan memartabatkan institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tunjang utama kepada masa depan negara,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, ujarnya kerana institusi kekeluargaan merupakan agen sosialisasi yang paling efektif.

Selain itu juga, katanya kehidupan berkeluarga merupakan gaya hidup yang sihat melalui keseimbangan spiritual, emosi dan fizikal.

Menurutnya, statistik perceraian yang menunjukkan peningkatan saban tahun, di mana kajian menunjukkan setiap 15 minit terdapat satu pasangan bercerai di mana jumlah keseluruhan kadar perceraian pada akhir 2010 adalah melebihi 22,000 pasangan.

Hal ini, jelasnya sangat-sangat membimbangkan memandangkan faktor utama kebejatan sosial di negara kita disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Kami mencadangkan peruntukan diberikan agar yuran percuma untuk kursus perkahwinan dan silibus kursus perkahwinan perlu disemak semula dengan memasukkan elemen kemahiran keibubapaan dan perancangan kewangan,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, kata beliau Bajet 2012 dilihat hanya melayan kehendak golongan tertentu tanpa mempertimbangkan masalah yang lebih besar dan lebih utama.

Menurutnya, banyak lagi persoalan anak muda yang tidak dijawab seperti masalah pengangguran dan pinjaman PTPTN yang tidak berkesudahan.

Tambahnya, usaha serius kerajaan untuk mengekang defisit juga tidak diperinci dengan jelas.

Justeru, katanya Ameerah yang tentunya fokus kepada kebajikan dan keselamatan golongan wanita muda di negara ini, menyeru kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam merangka perbelanjaan negara.

Menurutnya lagi, sehingga 19 Mei 2011, kejadian rogol di Malaysia boleh dikatakan 1 kes setiap 2.5 jam di mana purata 10 wanita menjadi mangsa rogol setiap hari.

Katanya, peningkatan kes rogol diperlihat saban tahun sehingga akhir 2010 sebanyak 3,595 kes dicatatkan.

“Hal yang lebih membimbangkan, 70% daripada mangsa adalah gadis di bawah umur 18 tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, menurut Nationmaster yang mengkaji kes rogol di seluruh dunia, Malaysia masih lemah dalam menangani kes-kes rogol yang berlaku dalam negara kita.

Ujar belau, mungkin sebagai sebuah negara Islam yang kita bangga, berada pada tangga 38 bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan. 0.0505156 per 1,000 rakyat bermakna dalam 1 juta rakyat malaysia 50 – 51 orang yang dirogol dicatatkan.

“Perangkaan ini diikut rapat dengan statistik kes ragut dan bunuh di mana lebih 52% melibatkan golongan wanita,” katanya lagi.

harakahdaily/-

Tak Perlu Naik Elaun, Tapi Pastikan Peruntukan Kepada AP Adil Dan Saksama

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Pada saat Perdana Menteri dan ahli parlimen (AP) membincangkan keperitan kehidupan rakyat dan mewar-warkan kehidupan berjiwa rakyat sehingga ada sanggup naik bas (walaupun mewah), naik basikal dan melawat rakyat yang menderita kemiskinan untuk menyelami keperitan mereka, tiba-tiba timbul pengumuman kenaikan elaun-elaun AP, yang telahpun dianggap besar bagi golongan rakyat yang perit.

Kenaikan elaun AP biasanya akan diikuti dengan kenaikan elaun para menteri, timbalan menteri dan lain-lain. Keadaan ini bakal menyebabkan negara terpaksa menanggung kos kekal (fixed cost) yang semakin bertambah. Kos kekal ini hanya boleh diatasi dengan peningkatan pendapatan negara, sekiranya gagal ia akan menambah bebanan kepada golongan bawahan pada masa hadapan.

Apakah kewajaran untuk menimbulkan cadangan menaikkan elaun AP yang telahpun mempunyai pelbagai kemudahan dalam menjalankan tugas sebagai AP dalam masa kehidupan rakyat masih dalam keadaan perit?

Cadangan menaikkan elaun AP ketika rakyat susah ini ibarat kata ‘berat rakyat yang junjung, ringan wakil rakyat yang jinjing.’ Rakyat marhaen bolehlah menilai sendiri versi negara berkebajikan Datuk Seri Najib Razak yang diwar-warkan akan mengutamakan rakyat tapi sering kali hanya akan ‘mengutamakan yang senang.’

Namun kali ini, rakyat bernasib baik kerana hasil daripada kehendak AP Pakatan Rakyat, kerajaan BN terpaksa membatalkan cadangan kenaikan elaun AP. Inilah bukti sahih yang membolehkan membuat perbandingan wakil rakyat belah mana yang lebih prihatin dan sensitif kepada keperitan rakyat.

Rakyat marhaen yang terbeban dengan kos hidup samada yang bekerja di agensi swasta atau kerajaan, khususnya golongan yang terdedah kepada gejala rasuah yang menjadi-jadi yang mengakibatkan kos sara hidup mereka meningkat dan ditambah pula dengan peningkatan tanggungjawab dalam keluarga, sepatutnya perlu diberi lebih perhatian berbanding AP oleh kerajaan.

Apa yang perlu difokuskan sekarang bukannya menaikkan elaun AP, tetapi cara untuk menyalurkan semua peruntukan AP kepada rakyat tanpa mengira parti politik yang mereka wakili secara adil. Ini adalah lebih adil dan saksama dan berkesan kepada semua rakyat.

Sekiranya benar kerajaan BN ingin dilihat rakyat sebagai menjalankan negara kebajikan maka peruntukan mesti diberi secara adil kepada semua kawasan kerana setiap AP yang dipilih oleh rakyat dalam sistem yang telah diiktiraf oleh kerajaan.

Bilamana selama ini, peruntukan hanya diberi kepada YB daripada parti pemerintah sahaja (samada di negeri BN atau PR yang menguasainya), maka ketidakadilan ini akan berterusan. Diharap dua-dua pembahagi politik boleh bertindak adil dari segi memberikan peruntukan kerana yang akhir menanggung bala ialah rakyat bawahan yang memerlukan peruntukan ini untuk memudahkan urusan kehidupan mereka.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Restoran cekik darah pelanggan

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ASHRAF menunjukkan resit bayaran minuman dan makanan yang didakwa mahal di Bukit Tunku, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang pelanggan di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini terkejut apabila dia mendakwa dikenakan bayaran sebanyak RM17.50 untuk segelas teh o ais dan sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal.

Menurut pelanggan itu yang cuma ingin dikenali sebagai Ashraf, dia singgah ke restoran tersebut untuk makan tengah hari semalam.

“Saya pertama kali pergi ke kedai makanan itu dan pada saya ia hanya kedai biasa sahaja cuma bahagian dalam mempunyai ruang khusus untuk pendingin hawa.

“Selepas ambil makanan, saya makan di bahagian luar restoran ini. Kemudian semasa saya ingin membayar makanan, saya diberitahu kena bayar RM4 untuk segelas teh o ais dan RM13.50 untuk makanan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Ashraf yang merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat pengurusan bangunan memberitahu, restoran itu tidak kelihatan seperti sebuah restoran bertaraf lima bintang atau terdapat di hotel.

“Walaupun saya pernah makan di tempat-tempat yang eksklusif dan membayar pada harga yang tinggi untuk perkhidmatan yang disediakan tetapi saya tidak rasa restoran ini bertaraf eksklusif dan pada pandangan saya biasa sahaja dan tiada yang istimewa,” ujarnya.

Harga segelas teh o ais di kebanyakan restoran ialah RM1 hingga RM1.70 manakala sepinggan nasi ayam goreng, kerabu pucuk paku dan tempe masak sambal pula RM5 hingga RM8.

Kosmo/-

Lantai Konkrit Bangunan Pembinaan KL Sentral Runtuh: Dua Cedera

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Lantai konkrit bangunan yang masih dalam pembinaan di KL Sentral runtuh pada pukul 11 pagi Selasa menyebabkan dua pekerja cedera. Foto THE STAR Oleh: AZMAN GHANI.



Pihak polis dan pasukan bomba meninjau tempat kejadian

KUALA LUMPUR: Lantai konkrit di kawasan pembinaan di KL Sentral runtuh pada pagi Selasa dan dua pekerja dilaporkan cedera.

Difahamkan beberapa pekerja pembinaan yang lain berjaya menyelamatkan diri apabila lantai konkrit di tingkat tiga bangunan berkenaan runtuh pada pukul 11 pagi.

mSTAR/-

Nyaris maut akibat kecuaian ahli farmasi

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

YEE LAN ketika terlantar di wad HKL pada 1 hingga 12 Oktober 2010 akibat mengambil ubat melebihi dos yang sepatutnya.

KUALA LUMPUR – Gara-gara kecuaian seorang ahli farmasi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang warga emas berusia 64 tahun yang menghidap sejenis penyakit kulit terlantar di hospital selama 12 hari setelah dia mengambil sejenis ubat kanser dalam kuantiti yang berlebihan.

Mangsa, Wong Yee Lan yang menghidap penyakit psoriasis mendakwa, semuanya berpunca apabila ahli farmasi tersebut memberi arahan mengambil ubat tidak tepat selepas dia menerima rawatan sakit kulit pada 7 September tahun lalu di hospital berkenaan.

Menurut Yee Lan, ubat untuk merawat penyakit kulit tersebut sepatutnya dimakan enam kali seminggu tetapi dia telah diberi arahan supaya ubat itu dimakan sebanyak enam kali sehari.

“Saya disuruh makan ubat itu enam kali sehari dan saya menghabiskan dua paket ubat tersebut yang mengandungi 72 biji pil dalam masa 12 hari sahaja.

“Kesan ubat itu terlalu kuat sehingga menyebabkan saya mengalami kesukaran bernafas dan beberapa kali rebah ketika berjalan kerana pitam sehingga terpaksa dihantar ke klinik sebanyak empat kali.

“Selain itu, mata saya juga kerap berair dan sukar untuk membuka mata, bibir bengkak, rambut gugur dan sukar tidur,” dakwanya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini semalam.

Bimbang dengan keadaan dirinya yang semakin teruk, dia kemudian mendapatkan rawatan susulan di hospital yang sama pada 1 Oktober 2010 bagi mencari punca kesakitan yang dialami.

“Saya terpaksa dimasukkan ke wad selama 12 hari kerana keadaan kesihatan saya menjadi semakin teruk.

“Saya begitu terperanjat apabila doktor yang merawat memaklumkan bahawa saya telah mengambil dos ubat secara berlebihan,” katanya.

kosmo/-

Penjenayah Abu Sayyaf Suspek Dua Letupan Di Filipina

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

MANILA: Polis Filipina berkata kumpulan militan Abu Sayyaf iaitu sekutu al-Qaida merupakan suspek Tamma dalam dua kejadian letupan yang mencederakan 11 orang awam di sebuah gelanggang sabung ayam dan hotel bajet di bahagian selatan di sini.

Pegawai Superintendent Kanan Edwin de Ocampo berkata siasatan awal menunjukkan reka bentuk bom-bom yang diletupkan secara serentak menerusi telefon bimbit di bandar raya Zamboanga, Ahad lalu itu menyerupai bom-bom yang digunakan oleh kumpulan Abu Sayyaf dalam dua serangan di bandar raya itu dan berhampiran pulau Basilan sebelum ini.

Ocampo berkata pada Isnin, bom-bom terbabit berkemungkinan diperbuat daripada campuran hablur ammonium nitrat dan paku bagi membolehkan ia membawa maut dan mencederakan lima orang di gelanggang sabung ayam dan enam yang lain di sebuah hotel kecil.

Letupan bom itu berlaku ketika bandar raya itu sedang meraikan festival tahunan Roman Catholic. - AP

Apa Kaitan AntaraPos Dengan Umno-APCO?

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Dakwaan dan cubaan untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor adalah cara Umno bagi mengekang lonjakan populariti pemimpin itu yang mutakhir ini begitu memberangsangkan,

Faekah berkata usaha itu bertujuan menjejaskan populariti dan kredibiliti Khalid yang kini mengatasi pimpinan Umno mahupun pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

“Blog (AntaraPos.com) yang diterajui bekas Pengurus Besar CCSB (anak syarikat kerajaan negeri) yang ditamatkan kontrak Jun lalu digunakan untuk melaksanakan perbuatan hina ini.

“Dari maklumat yang kita terima laman web tunggangan Umno ini juga ditubuhkan khas untuk mempertahankan Datuk Seri Najib (Razak) yang kini dikatakan mendapat tentangan terang-terangan dari timbalannya Tan Sri Muhyidin (Yassin),” kata Faekah dalam kenyataannya malam ini.

CCSB adalah syarikat yang mengendalikan TVSelangor dan buletin negeri Selangorkini yang diterbitkan setiap bulan.

Faekah mengulas dakwaan yang dibuat dalam blog itu berhubung beberapa wakil rakyat PKR yang mahu Khalid dipecat.

Faekah bagaimanapun mengakui terdapat sesetengah pemimpin dalam Pakatan yang tidak biasa dengan cara Khalid mentadbir negeri seperti mengurus syarikat korporat.

“Golongan ini sangat kecil jumlahnya namun bersuara agak lantang mungkin kerana kedudukan mereka dalam parti dan mungkin juga di dalam masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, rakyat mahukan pentadbiran yang berlandaskan ketelusan, kebertanggungjawab, bebas rasuah dan adil yang tidak pernah dipraktikkan BN sepanjang memerintah Selangor.

Pemimpin baik

Faekah juga berkata beliau ada mendengar mengenai memorandum yang disebarkan dengan tujuan mengugat kedudukan Khalid.

Katanya, sebagai setiausaha poltik, sudah pasti beliau akan mempertahankan kedudukan menteri besar jika Khalid diserang oleh mana-mana pihak tak kira lawan mahupun kawan.

Beliau juga menyifatkan Khalid sebagai seorang pemimpin yang baik, bersih, telus serta komited terhadap kehendak rakyat.

Menurut Faekah, dakwaan bahawa program yang dilaksanakan kerajaan Selangor sebagai remeh dan hanya untuk populariti Khalid adalah tindakan terdesak.

“Kita telah membelanjakan lebih RM500 juta untuk program Merakyatkan Ekonomi Selangor dan setakat Ogos 2011 seramai 1,181,109 rakyat Selangor telah menikmati hasil program-program yang kita laksanakan.

“Bantuan-bantuan ini diturunkan ke pejabat DUN untuk memastikan wakil rakyat dapat berhubung terus dengan pengundi di kawasan mereka,” katanya.

Justeru, menurut Faekah, wakil rakyat juga meraih populariti dari program kerajaan kecualilah bagi wakil rakyat yang ‘segan’ dan ‘banyak mengelat’ dari turun padang bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Selain itu, katanya, dalam tempoh kurang lima tahun, menteri besar telah menambah simpanan rezab kepada RM1.1 bilion malah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menanggung kerugian sejak ditubuhkan, buat pertama kali dalam sejarah, mencatatkan keuntungan RM11 juta.

“Jika tiada pemimpin yang berpegang kuat pada prinsip, masih mengamalkan gaya politik Umno, amalan kronisme, kerajaan Pakatan Selangor tidak mampu mencapai kejayaan ini,” katanya lagi.

selatan online/-

Taliban Pakistan mahu damai

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri sedia berunding dengan militan akhiri siri keganasan

ISLAMABAD: Pergerakan Taliban Pakistan, ancaman terbesar negara itu, menyatakan kesediaan mengadakan rundingan damai dengan kerajaan, lapor akhbar di sini, semalam.
Kumpulan itu memberi reaksi kepada laporan selepas pertemuan semua parti yang dihadiri pegawai atasan tentera dan perisikan bulan lalu bahawa pegawai kerajaan mahu berdamai dengan militan untuk menamatkan keganasan.

Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera. - Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani, dipetik akhbar sebagai berkata bahawa kerajaan juga sedia mengadakan rundingan damai.

“Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera mengenainya. Namun saya berasa kami mahu membabitkan negara yang kami percaya, ia berada di dunia Arab. Arab Saudi,” lapor akhbar Express Tribune yang memetik Timbalan Ketua Taliban Pakistan, Maulvi Wali-ur-Rehman Mehsud, sebagai berkata.

Tehrik-e-Taliban Pakistan atau Pergerakan Taliban Pakistan (TTP), yang juga mempunyai hubungan rapat dengan al-Qaeda, ditubuhkan pada Disember 2007 sebagai sekutu kumpulan militan Pakistan yang melancarkan serangan di negara itu.

Ia dipersalahkan ke atas banyak serangan bom bunuh diri di seluruh Pakistan. Beberapa tindakan ketenteraan ke atas kubu kuat kumpulan itu di sempadan Afghanistan gagal melemahkan kempennya.
Beribu-ribu askar Pakistan, polis dan penduduk awam maut dalam konflik itu.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang tawaran damai secara langsung. Majlis syura kami akan duduk berbincang jika ada yang cuba menemui kami. Itu cara kami beroperasi. Tiada satu badan pusat yang membuat keputusan penting,” lapor akhbar berkenaan memetik Mehsud berkata dalam laman webnya.

Sebarang perubahan ke arah perpaduan dengan TTP pasti membangkitkan kemarahan Washington. Tahun lalu, Amerika Syarikat memasukkan TTP ke dalam senarai pertubuhan pengganas asing dan menawarkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan dua pemimpinnya.

Hubungan Islamabad dan Washington tegang berikutan tindakan Amerika melancarkan serangan sehingga mengorbankan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Mei lalu, manakala Washington menuduh Islamabad menyokong militan yang menyerang tenteranya di Afghanistan.

TTP turut bercita-cita melancarkan serangan ke atas sasaran Barat di luar negara. Kumpulan berkenaan mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom di Times Square di New York yang gagal tahun lalu dan dilihat sebagai ancaman secara langsung kepada Amerika.

Pendakwa Amerika menuduh pemimpin TTP, Hakimullah Mehsud, atas rancangan membunuh tujuh kakitangan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di pangkalan Amerika di Afghanistan pada 2009. – Reuters

11 kelasi China terbunuh dalam serangan kapal

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BEIJING - Seramai 11 kelasi warga China terbunuh dan dua lagi hilang selepas kapal kargo mereka diserang dalam kawasan setiga emas di Sungai Mekong, menurut laporan media tempatan, kelmarin.

Agensi berita tempatan Xinhua melaporkan kapal Hua Ping dan Yu Xing 8 dipercayai telah diserang sindiket penyeludupan dadah di kawasan sempadan Thailand-Myanmar, 5 Oktober lalu.

Susulan daripada kejadian itu, Kementerian Luar menggesa kedutaan China di Bangkok dan konsul am di Chiang Mai untuk menyiasat insiden tersebut.

Beijing turut meminta perlindungan terhadap kapal mereka di kawasan segi tiga emas dipertingkatkan.

sinar harian/-

Bajet 2012: Belanjawan kalau hidup, hiduplah

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno adalah belanjawan orang yang sedang nazak.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas belanjawan yang dibentang baru-baru ini yang kononnya ingin membela nasib rakyat tetapi realiti sebenarnya menggambarkan situasi sebenar keadaan Umno yang sedang berada dalam suasana ‘ICU’.

“Belanjawan Najib ialah belanjawan orang sedang nazak, kalau hidup, hiduplah dan kalau mati, maka matilah,” ujar beliau ringkas ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga Adun Manir berkata, situasi Umno sekarang seperti orang yang sudah hampir mati yang sanggup berbelanja tanpa batasan semata-mata untuk memastikan nyawa dapat dipanjangkan lagi serta sanggup menggunakan pelbagai jenis rawatan walaupun rawatan itu tidak berkesan.

harakahdaily/-

WASPADA: Gambar Profil Facebooknya Digunakan Oleh Sindiket Pelacuran

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Gambar peribadi FB jadi promosi perempuan jalang

KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja menjadi mangsa penyalahgunaan gambar profil yang menawarkan perkhidmatan pelacuran di facebook (FB) malah dia turut diugut individu tidak bertanggungjawab jika membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, 8 Oktober lalu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 43, sedang melayari laman sembang sosial, facebook sebelum menemui sebuah profil menggunakan gambar diri dan suaminya tanpa kebenaran.

Katanya, pemilik profil berkenaan itu turut memberikan nama baru untuk pasangan berkenaan.

“Saya menerima kejutan yang lebih hebat selepas menemui gambar peribadi yang digunakan sebagai umpan atau promosi perempuan jalang untuk kegiatan pelacuran melalui laman sembang sosial itu,” katanya.

Menurutnya, apabila dia dan suaminya menghantar pesanan ringkas kepada pemilik akaun profil berkenaan untuk mengeluarkan gambar, mereka hanya menerima mesej berbentuk ugutan.

Beliau berkata, pemilik berkenaan mendakwa tidak akan mengeluarkan gambar mangsa dan suaminya sebaliknya akan menyebarkan lagi gambar terbabit secara meluas di facebook.

“Seperti yang didakwa, suspek terbabit membuka akaun facebook baru menggunakan nama lain tetapi menyalahgunakan gambar saya dan suami.

“Malah maklumat peribadi dalam akaun berkenaan menyerupai identiti suami saya, kami bukan saja diaibkan tetapi identiti peribadi kami digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

KELAB GREENBOC/-

Bajet 2012 manifesto PRU13

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Menekuni Bajet 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan respon segera rakyat menjadikan kita percaya bahawa inilah bajet yang menentukan hidup mati Barisan Nasional. Lebih tepat ia adalah sebuah manifesto yang merupakan satu 'counter offer' atau tawaran balas terhadap bajet Pakatan Rakyat.

Tekanan yang kerajaan pimpinan DS Najib hadapi apabila berdepan dengan tawaran Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat adalah kayu ukur terhadap beberapa tindakan terdesak termasuklah pengumuman pemansuhan ISA dan bajet durian runtuh pada kali ini.

Bajet adalah instrumen utama dalam urus tadbir kewangan kerajaan yang melibatkan perancangan, unjuran pendapatan dan perbelanjaan sesebuah negara bagi tahun akan datang.

Inti kepada belanjawan ialah cukai dan perbelanjaan kerajaan demi mencapai objektif utama dasar fiskal iaitu pertumbuhan, pengawalan inflasi dan pengurangan pengangguran. Sebagai anak muda, saya ingin membawa tulisan ini bagi melihat secara ringkas bajet ini berdasarkan pemerhatian sepintas lalu.

Pertama. Bajet ini kata DS Najib ialah Membela Rakyat, Mensejahtera Negara. Kebanyakan tawaran bersifat 'one off' ini betul, boleh menggembirakan dan menghiburkan rakyat yang bersifat sementara.

Sebanyak 1.3 juta rakyat yang terdiri daripada penjawat awam agak dilayan oleh Barisan Nasional. Sedangkan jumlah sebenar pekerja di dalam negara kita ialah kira-kira 12 juta. Apa nasib mereka yang terlibat di dalam sektor swasta dan pekerjaan tidak formal.

Kedua. Kesan langsung kenaikan gred sektor awam ini akan menyebabkan sektor masyarakat terbanyak yang terdiri daripada swasta dan pekerja tidak formal berdepan dengan inflasi. Contohnya bagaimana nasib, penoreh getah dan petani di Padang Terap Apakah insentif dalam bentuk polisi yang disediakan kepada khalayak ini. Kuasa beli semakin menurun.

Ketiga. Kerunsingan saya juga ialah berkaitan dengan golongan belia yang menganggur. Menanggung hutang pengajian daripada PTPTN ataupun yang terrcicir daripada pengajian. Golongan belia yang menganggur yang sudah menghampiri 100 ribu daripada golongan siswazah.

Berdasarkan unjuran Bajet 2012, pengangguran dalam lingkungan 3.5 peratus. Ia mewakili hampir 400 ribu daripada guna tenaga rakyat Malaysia!!. Unjuran kerajaan itupun masih dipertikaikan oleh pakar ekonomi.

Keempat. Umur pencen yang dinaikkan oleh kerajaan kepada 60 tahun juga menimbulkan reaksi pelbagai. Pada persepsi saya, ia akan menyebabkan peluang pekerjaan baru kepada siswazah dan kenaikan pangkat akan terbeku selama dua tahun paling kurang.

Janji Perdana Menteri akan mewujudkan peluang baru melalui sektor swasta adalah sangat subjektif berdasarkan unjuran angka pengangguran yang semakin membesar.

Kelima. Saya sangat gusar apabila bajet yang lebih populis ini hanya menyebut 'durian runtuh' kepada peneroka. Apakah sebenarnya polisi kerajaan untuk membantu anak-anak peneroka generasi kedua dan ketiga FELDA, FELCRA dan lembaga-lembaga seperti KEDA, KETENGAH, KESEDAR dan lain-lain.

Penyenaraian Felda Global Ventures yang diumumkan juga menimbulkan beberapa tandatanya termasuklah tentang keperluan Felda mendapatkan kewangan melalui IPO dan pembukaan saham Felda kepada orang luar Felda.

Keenam. Saya masih menunggu pelancaran kerajaan satu Skim Amanah yang patuh syariah. Seingat saya, daripada 10 skim amanah yang dilancarkan oleh kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad, masih belum wujud walaupun satu Skim Amanah yang benar-benar patuh syariah.

Ketujuh. Peruntukan sekolah agama rakyat yang masih dikesampingkan lanjutan dendam politik sejak sekian lama. Tanpa mempertikaikan bantuan kepada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cinadan Tamil serta sekolah agama bantuan kerajaan dan mubaligh,

Sekolah Agama rakyat yang berjumlah 161 buah dengan 20 764 orang murid masih tiada cerita. Manakala Sekolah Rendah Agama berjumlah 1132 buah dengan 208,000 pelajar masih terkebelakang.

Kelapan. Arahan khusus agar GLC menggunakan instrumen kewangan Islam dan menggunakan sistem perbankan Islam. Keperluan kerajaan mempunyai perancangan mewajibkan GLC menyokong perbankan Islam. Hanya sekitar 22 peratus penyertaan GLC.

Kesembilan. Saya kecewa apabila bajet ini tidak ditekankan peperangan terhadap rasuah dan ketirisan. Laporan Ketua Audit Negara menganggarkan kira-kira 28 bilion wang rakyat hilang akibat ketirisan dan rasuah pada 2008. Bajet durian runtuh ini akan mendedahkan lebih ruang terhadap berlaku ketirisan.

Kesepuluh. Saya menyambut baik bajet pembangunan fizikal untuk golongan belia. Namun program peningkatan iman, shahsiyyah masih lagi bukan keutamaan kerajaan. Gejala sosial yang parah termasuk kes zina, rogol dan bunuh yang menakutkan tidak akan mampu ditangani tanpa pembangunan bersepadu mental, jasad dan roh.

Kesebelas. Dalam kerancakan industri perbankan dan kewangan Islam Malaysia, kerajaan yang mendakwa ingin terus mengekalkan Malaysia sebagai antara hub kewangan Islam terbaik dunia meneruskan sokongan kepada sistem riba. Dana Perkhidmatan Profesional yang diumumkan oleh Perdana Menteri masih dalam bentuk pinjaman mudah masih mengenakan faedah 4 peratus.

Kedua belas. Isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat ialah kos sara hidup. Persoalannya adakah bajet kali ini memberi nilai sebenar kepada kos sara hidup rakyat. Fomca telah melaporkan harga makanan naik 83 peratus dalam masa 4 tahun..!!!! Harga gula naik 27 peratus manakala sayur naik 16 peratus, telur, dairy dan daging naik 10 peratus dan buah naik 9 peratus berbanding tahun lepas. Perbelanjaan isirumah utk makanan adalah 40-50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan.

Justeru itu, saya masih melihat bahawa bajet ini masih bersifat satu langkah berbentuk populis, tak mengambil kira strategi khusus dengan memberi fardah langsung tanpa mengira impak ekonomi jangka panjang. Apapun Pakatan Rakyat telah memberi satu dimensi baru terhadap penyediaan bajet kerajaan dengan satu pilihan dan tawaran kepada rakyat. Bajet Pakatan Rakyat telah diberi satu perhatian serius oleh kerajaan dan saya percaya diteliti dengan penuh minat oleh rakyat.

Mohd Nasir Zakaria adalah Ahli Parlimen Padang Terap yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah

harakahdaily/-