10 October 2011

Doktor gigi kaki lima

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BERBAHAYA...‘doktor’ gigi warga China tidak mengamalkan ciri-ciri keselamatan ketika menjalankan proses rawatan.

KUALA LUMPUR: Kerana yuran perkhidmatan yang murah, segelintir pengguna masih sanggup menggadaikan nyawa dengan mendapatkan rawatan pergigian daripada ‘doktor gigi’ tidak bertauliah di kaki lima Jalan Pasar Pudu, di sini.

Doktor gigi yang dipercayai berasal dari China itu memulakan perkhidmatan pergigiannya di kaki lima kawasan itu setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

Mereka menawarkan perkhidmatan memasang gigi palsu dengan harga lebih murah daripada klinik swasta iaitu RM50 hingga RM80 satu gigi dan tempoh pemasangannya mengambil masa 20 minit.

Biarpun tidak tahu berbahasa Melayu, doktor terbabit mengupah jurubahasa yang bertindak sebagai pengantara untuk memaklumkan semua harga perkhidmatan.

Tinjauan Metroplus ke Jalan Pasar Pudu, baru-baru ini, mendapati empat doktor gigi warga China membuka klinik kaki lima di kawasan itu.

Berbekalkan peralatan pergigian, air, kerusi, carta dan sampel gigi palsu, mereka membuka klinik di tengah laluan itu tanpa memikirkan aspek keselamatan dan kebersihan.

Namun, masih ada segelintir pengunjung menggunakan perkhidmatan itu, biarpun tiada ciri-ciri keselamatan diamalkan.

Malah, doktor kaki lima terbabit mendakwa peralatan yang digunakan bersih dan selamat kerana semuanya sudah dicuci dengan ubat yang boleh membunuh kuman tanpa mensterilkan peralatan terlebih dulu.

Menurutnya, yuran perkhidmatan bergantung kepada jenis gigi yang digunakan, namun ia tahan sehingga tiga tahun, malah pelanggan boleh mendapat diskaun.

Katanya, pelanggan tidak perlu risau kerana doktor yang merawat sangat terlatih, berkemahiran dan pasti berpuas hati dengan perkhidmatan diterima.

“Sudah lima tahun kami menawarkan perkhidmatan pergigian di kaki lima ini dan sambutan amat menggalakkan. Pengguna tidak perlu risau kerana semuanya pasti selamat, prosedur yang dijalankan sama di klinik swasta dan lebih penting yurannya murah,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang mendapatkan khidmat doktor kaki lima terbabit yang mahu dikenali sebagai Liow, 45, berkata dia takut untuk mencuba, tetapi selepas diyakini, dia mencubanya juga kerana perkhidmatan ditawarkan murah dan cepat.

“Saya tahu mengenai doktor kaki lima ini melalui rakan yang pernah mendapat rawatan di sini dan mereka mencadangkan tempat ini kepada saya. Biarpun tidak mengamalkan ciri keselamatan dan kebersihan, kami tutup mata saja, asalkan perkhidmatannya murah dan bersesuaian dengan kami yang berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Dr Haja Badrudeen Sirajudeen, mengingatkan pengguna supaya tidak menggadaikan nyawa dengan mendapatkan perkhidmatan doktor gigi tidak bertauliah kerana ia berisiko untuk berlakunya pemindahan virus penyakit seperti Aids dan hepatitis.

Katanya, dengan penggunaan alat yang tidak disterilkan dan kebersihan lain, tidak mustahil virus akan berpindah, terutama apabila berlaku pendarahan ketika melakukan rawatan.

“Kebanyakan doktor tidak bertauliah terbabit menggunakan kaedah rawatan berbeza mengikut panduan perubatan pergigian yang dibenarkan. Jika membuat rawatan tanam gigi, mereka akan gunakan gam atau simen yang memberi kesan kepada pengguna dan selepas beberapa tahun, ia akan bernanah dan berisiko untuk mendapat barah,” katanya ketika ditemui.

Menurut Dr Haja Badrudeen, mengikut Akta Pergigian 1971, pengamal perubatan pergigian yang berdaftar dengan persatuan dan mempunyai sijil tauliah yang sah saja boleh memberikan perkhidmatan.

Bagi doktor dari luar negara, mereka perlu mempunyai sijil tauliah yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Katanya, doktor luar negara hanya dibenarkan bertugas di hospital kerajaan dan ia belum dilaksanakan di sektor swasta.

“Biarpun yuran perkhidmatannya lebih murah, di klinik yang diiktiraf kerajaan mereka mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan selesa,” katanya.

metro/-

Anwar: Kenaikan elaun hanya untuk kepentingan MP

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, cadangan kenaikan elaun untuk ahli parlimen hanya memberi kepentingan besar kepada peruntukan elaun dan bukannya untuk menggaji kakitangan.

Atas dasar itulah beliau menolak cadangan berkenaan, kata Anwar (kiri) ketika ditanya wartawan di bangunan parlimen hari ini.

"Sebahagian besarnya pergi kepada elaun ahli parlimen, ini tidak boleh diterima.

"Jika (jawatankuasa kecil) kembali dengan cadangan baru, kata mereka hendak sediakan pegawai penyelidik, pembantu di parlimen, itu perkara lain.

"Tapi apa yang dicadangkan ialah perkara khusus lain," katanya lagi.

Namun beliau tidak menghalang sekiranya ahli parlimen Pakatan Rakyat menyokong cadangan berkenaan, katanya lagi.

Tambahnya, perkara itu juga tidak dapat diterima pada waktu rakyat berdepan dengan beban kos sara hidup.

"Saya tidak kata ahli parlimen tidak boleh pertimbang. Tapi, macam mana anda boleh buat begini.

"Anda lihatlah harga barangan dan harga makanan...," katanya lagi.

malaysiakini/-

24 aktivis PSM dilepas tanpa dibebaskan

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini melepaskan tanpa bebas semua 24 aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dituduh berhubung pembabitan mereka dalam satu perhimpunan haram dan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah.

Hakim Ikmal Hishan Ahmad Tajuddin membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwa gagal mengemukakan kes terhadap pertuduhan selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding hari ini.

Bagaimanapun, di bawah keputusan itu, pihak pendakwaan boleh mendakwa semua 24 orang aktivis itu sekiranya mempunyai bukti kemudian kelak.

Mahkamah juga menetapkan 28 Oktober ini untuk membacakan keputusan terhadap enam aktivis yang tidak hadir pada prosiding hari ini kerana mempunyai urusan lain.

Mereka ialah M Ravindran, 20; M Kavitha, 35; M Santhanadevi, 30; M Sivoosamy, 56; dan M Sugumaran kerana kematian ahli keluarga terdekat, manakala anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj mempunyai perbicaraan kes lain di Putrajaya.

Tertuduh yang lain ialah R Nalayani, 64; A Shanmugam, 57; G Velaitham, 54; S Ramasamy, 35; Chan Mooi, 55; K Kamaladevi, 57; Cheang Sew Yin, 60; K Deeba, 22; K Thanushia, 21; G Packialetchumy, 40; R Saroza, 51; NP Indra, 54; P Jody, 52; K Gana Santhanam, 45; J Reveen Veerasenan, 18; dan S Thivya Kumar, 18; semuanya dari Perak, M Aroklam, 62; dari Perlis dan Soh Sook Hwa, 29, dari Pulau Pinang.

Mereka didakwa secara niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram, iaitu "BERSIH 2.0" dengan membawa 600 helai salinan risalah haram.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu secara niat bersama telah memberi bantuan dengan membawa 600 helai salinan risalah yang mempunyai tulisan "Perhimpunan Bersih 2.0", bagi tujuan satu pertubuhan haram iaitu "BERSIH 2.0" untuk kegunaan perhimpunan "BERSIH 2.0" di Kuala Lumpur pada 9 Julai.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Mereka turut hadapi pertuduhan dengan niat bersama membawa dokumen-dokumen subversif tanpa alasan yang sah mengikut Seksyen 29 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri [Akta 82] 1960, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574]
yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah bas di Tol Sungai Dua, Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini pada 3.30 petang, 25 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan pembelaan diketuai Datuk CV Prabhakaran.

- Bernama

Undi pos penyelamat Umno di parlimen Jeli

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JELI, 10 Okt: Rahsia kedudukan selesa Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan parlimen Jeli, Dun Bukit Bunga dan Dun Kuala Balah sebenarnya banyak bergantung kepada undi pos.

Ini dibuktikan pada pilihan raya umum lalu undi pos di kawasan parlimen Jeli terdapat sebanyak 2,997, Dun Bukit Bunga (1,554) dan Dun Kuala Balah (1,149).

Manakala undi pos di Dun Air Lanas hanya 294 undi. Jumlah pengundi pos yang sedikit membolehkan PAS melalui Abdullah Ya’kub memenangi Dun berkenaan.

Undi pos ternyata banyak membantu Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila menang dengan majoriti 4,436 undi pada pilihan raya umum lalu.

Tanpa undi pos calon BN di parlimen Jeli mungkin hanya dapat sekitar 1,300 undi. Begitu juga di Dun Bukit Bunga calon BN Mohd Adhan Kechik menang hanya dengan majoriti 348 undi. Tanpa undi pos Adhan mungkin tewas lebih 1,000 undi.

Begitu juga kemenangan Datuk Abdul Aziz Derashid dengan majoriti 1,381 undi di Kuala Balah, ternyata dibantu undi pos sebanyak 1,149 undi.

Sekiranya tidak ada undi pos calon BN itu hanya menang sekitar 200 undi.

Berpandu kepada kekuatan itu Umno bermati-matian mempertahankan undi pos di parlimen Jeli, Dun Bukit Bunga dan Kuala Balah.

Maka tidak hairanlah senarai daftar pemilih tambahan suku kedua yang dipamerkan baru-baru ini terdapat tambahan 171 undi pos di kalangan isteri anggota tentera di Dun Bukit Bunga.

Tambahan pengundi pos tersebut mendapat bantahan penduduk tempatan dan hari ini diadakan perbicaraan bantahan terbabit di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli.

Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak (gambar) berkata, seramai 18 pembantah membuat bantahan terhadap pertambahan pengundi pos di kalangan isteri anggota tentera.

“Perbicaraan yang diadakan hari ini bagi memastikan mereka disenarai sebagai pengundi pos secara sukarela atau di luar pengetahuan mereka.

“Pengadil yang mengendalikan bantahan hari ini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya di sini.

Menurutnya pengundi pos terbabit disenaraikan dalam daftar pemilih tambahan suku kedua di kalangan isteri anggota tentera yang bertugas di Kem Batalion 1 Rejimen Sempadan di Batu 11.

Malah hasil bantahan sebelum ini menyebabkan bilangan pengundi pos semakin berkurangan di Jeli.

Ini dapat dilihat pada daftar pemilih suku ketiga 2010 bilangan pengundi pos di parlimen Jeli seramai 1,663, Bukit Bunga (1,278), Kuala Balah (187) dan Air Lanas (168).

Pada awal tahun ini Dewan Pemuda PAS Kelantan membantah tindakan SPR menerima pendaftaran seramai 499 isteri anggota tentera yang bertugas di Kem Desa Pahlawan sebagai pengundi pos.

harakahdaily/-

Jenazah jemaah haji maut jatuh bangunan dikebumi

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Jenazah jemaah haji dari Malaysia yang meninggal dunia selepas terjatuh dari sebuah bangunan di Madinah, selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi' berdekatan Masjid Nabawi, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jemaah wanita yang berasal dari Shah Alam dan berusia 39 tahun itu dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan dan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 4 petang waktu tempatan kelmarin.

Jamil Khir berkata, kerajaan kini menunggu laporan lengkap siasatan daripada polis Arab Saudi berkenaan kes itu.

"Kita masih menunggu, belum dikeluarkan lagi sebarang laporan lengkap daripada pihak keselamatan dan polis Arab Saudi. Saya sudah pun menghubungi wakil kita dari Tabung Haji yang berada di Madinah yang memaklumkan bahawa kita masih menunggu laporan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pemahaman Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut seminar itu, beliau berkata penerangan tentang kedudukan sebenar Islam dan makna Islam adalah Agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan akan diberi sepanjang progam sehari anjuran IKIM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu.

"Bila kita sebut Islam di Malaysia, masyarakat akan mengganggap Islam sebagai agama rasmi, ada juga yang menyifatkan agama Islam hanya digunakan dalam majlis rasmi kerajaan seperti bacaan doa ataupun anggapan Islam itu sebagai cara hidup dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Seminar ini kita amat harapkan akhirnya ia akan membentuk satu kefahaman untuk melihat maksud agama Islam dalam konteks Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Jamil Khir berkata, mereka yang menggubal Perlembagaan Persekutuan sebelum kemerdekaan dulu menggunakan kebijaksanaan dalam merangkanya untuk menyatupadukan kira-kira 82 etnik termasuk di Sabah dan Sarawak dengan satu Perlembagaan yang mempunyai ikatan yang kuat.

Seminar sehari itu akan memberi kefahaman kepada peserta yang terdiri daripada orang awam dan kakitangan kerajaan mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan menerusi beberapa pembentangan kertas kerja.

Bernama/-

Sokong Nizar kembali jadi MB

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

IPOH – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan kembali Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

Katanya, semua pimpinan tertinggi parti berkenaan juga telah menyuarakan persetujuan untuk menyokong Mohammad Nizar bagi menjawat jawatan berkenaan setelah memikirkan kesesuaian calon sedia ada.

Menurutnya, DAP di peringkat negeri juga berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada Mohammad Nizar bagi menjawat semula jawatan berkenaan.

“Kita sentiasa sokong Nizar sebagai Menteri Besar kerana beliau adalah calon yang paling layak untuk menjawat jawatan tersebut.

“Yang penting bagi kita adalah untuk terus berjuang untuk membela nasib rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Tahunan DAP Negeri Ke-16 di sebuah hotel di sini, semalam.

Terdahulu, Guan Eng berkata, isu hukum hudud yang diperkatakan pada hari ini adalah mainan pihak media biarpun sebenarnya ia tidak terkandung dalam manifesto atau Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Guan Eng, dirinya juga sedia meletak jawatannya sebagai Setiausaha Agung DAP bersama dengan 30 ahli jawatankuasa tertinggi parti sekiranya pelaksanaan hukum hudud wujud dalam manifesto berkenaan.

“Kita (DAP) tak terima hudud, tetapi dalam PR, kita boleh bekerjasama dalam isu-isu lain berdasarkan kepada prinsip yang telah kita persetujui bersama,” katanya.

Sementara itu ketika berucap pada konvensyen tersebut Guan Eng menyeru rakyat untuk mengundi PR pada PRU akan datang.

Katanya, rakyat juga sewajarnya memberi peluang kepada barisan kepimpinan tertinggi PR untuk mentadbir negara berdasarkan kepada kejayaan mereka mentadbir di tiga buah negeri sebelum ini.

“Rakyat perlu berani membuat perubahan dan mengundi PR,” katanya.

sinar harian/-

Luar bandar juga akan tolak BN nanti

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Okt: PAS yakin, penduduk luar bandar juga akan menolak BN sedikit waktu lagi dengan perkembangan pesat teknologi maklumat yang ada sekarang.

Ini kerana, BN tidak akan mampu mengawal media sebagaimana yang dilakukannya sekarang sehingga menyebabkan BN hanya disokong pengundi luar bandar.

Demikian kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam kenyataanya kepada Harakhdaily.

Sehubungan itu, Perdana Menteri diberikan ingatan, dengan teknologi maklumat yang ada sekarang, penduduk luar bandar juga akan menolak BN apabila mereka mendapat maklumat yang tepat nanti.

"Walaupun penduduk luar Bandar tidak begitu pantas untuk mendapat maklumat semasa dan menapis propaganda BN, namun anak-anak mereka yang akan menyalurkan maklumat kepada ibu bapa dan orang kampung," katanya.

Idris berkata, ini akan berlaku kerana sebahagian besar penjawat awam dan eksekutif swasta berasal daripada luar bandar, dan merekalah yang menjadi duta maklumat Pakatan Rakyat di kawasan luar Bandar ketika mereka pulang ke kampung di hujung minggu.

"Fenomena ini bersedialah BN akan menjadi parti pembangkang di negara ini selepas PRU 13 apabila tembelang BN sudah diketahui oleh rakyat termasuk penduduk luar bandar," katanya.

Beliau memetik ingatan bekas presieden Amerika, Abraham Lincoln ada menyebut “Kamu boleh berbohong dalam satu masa, tetapi kamu tidak boleh berbohong dalam semua masa”

Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini melahirkan rasa bimbangnya kerana BN hanya parti yang disokong oleh penduduk luar Bandar sahaja.

Ia mengharapkan seluruh jentera BN bekerja keras supaya menarik perhatian penduduk bandar supaya menyokong BN.

"Inilah luahan rasa kebimbangan beliau ketika memberi taklimat kepada jentera BN Wilayah Persekutuan 9 Oktober 2011.

"Persoalannya sampai bila BN mampu mempertahankan sokongan di kalangan penduduk luar bandar sahaja? " soal Idris.

Bagi beliau, dunia sekarang sudah menjadi seperti satu kampung di era lebuh raya maklumat.

Sedikit masa lagi penduduk luar Bandar juga mampu memiliki kemudahan yang sama, pada waktu itu di manakah BN mahu bersembunyi.

Penduduk bandar yang mempunyai kelebihan untuk akses maklumat dengan lebih cepat tidak lagi boleh ditipu oleh media perdana BN malahan sebahagian besar mereka membakul sampahkan sahaja segala maklumat yang keluar daripada propaganda BN, katanya.

harakahdaily/-

Kenaikan elaun MP ditarik balik

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz hari ini mengumumkan bahawa cadangan untuk menaikkan elaun ahli parlimen telah ditarik balik.

Katanya, tindakan itu dilakukan ekoran kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang membantah usaha berkenaan diteruskan.

"(Kenyataan ahli parlimen pembangkang) merupakan bukti bahawa saya tidak mendapat sokongan pembangkang seperti yang saya janjikan kepada perdana menteri pada Jumaat.

"PM dengan niat baik telah menjalankan tanggungjawabnya (mengumumkan kenaikan elaun dalam bajet), tetapi saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab saya.

"Jadi saya tiada pilihan, saya menarik balik permohonan saya supaya peruntukan dalam Bajet 2012 menaikkan peruntukan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kenyataan oleh barisan ahli parlimen Pakatan Rakyat, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Azmin Ali, Salahuddin Ayub dan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengulas pembentangan bajet 2012 oleh perdana menteri.

Jelasnya, cadangan kenaikan elaun tersebut, melibatkan jangkaan peruntukan sebanyak RM30 juta, telah dikemukakan pada saat terakhir sebelum perdana menteri membentangkan belanjawan berkenaan Jumaat lalu.

Cadangan berkenaan juga telah dipersetujui oleh satu jawatankuasa kecil yang turut dianggotai ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya percaya ramai ahli parlimen yang gembira pada hari itu (pembentangan bajet) sebab kenaikan (elaun) itu tidak boleh menjadikan kita kaya.

"Ia hanya boleh membantu meningkatkan perkhidmatan ke kawasan kita," katanya lagi.

Mohamad Nazri berkata, beliau telah memasukkan kos untuk menyewa premis untuk pusat khidmat, pemandu dan pembantu penyelidik.

Jelasnya, parlimen tidak boleh menggaji penyelidik berkenaan kerana penyelidik itu hanya bekerja ketika parlimen bersidang selama 20 minggu setahun.

malaysiakini/-

Pang Chow nafi sekeras-kerasnya ugutan tinggalkan PAS

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chaw hari ini menafikan dengan sekeras-kerasnya berita yang menyatakan DHPP enggan menyokong PAS jika hudud dilaksanakan.

Beliau juga menafikan membuat ancaman untuk tinggalkan PAS sebagaimana yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian hari ini (gambar).

"Sebagai salah seorg pengasas kelab penyokong PAS yang kini menjadi DHPP, tidak ada sebab saya buat demikian.

"Ia umpama rumah yang dibina dengan duit, masa dan tenaga saya tiba-tiba dibakar oleh saya sendiri atas sebab bocor sikit di dapor," kata beliau kepada Harakahdaily.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan di muka depannya laporan kononnya 20,000 ahli DHPP akan keluar meninggalkan PAS jika hudud dilaksanakan.

Selesai melalui mesyuarat

Sementara itu, berdasarkan laporan Sinar Harian itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan meminta pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) itu agar membincangkan segala masalah dalaman parti melalui meja rundingan.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya berpendirian, sewajarnya Pang Chow yang menerajui DHPP lebih memahami dasar PAS berbanding dengan ahli-ahli biasa DHPP yang rata-ratanya tidak mempunyai sebarang masalah dengan hasrat ini.

Beliau juga mengingatkan Pang Chow untuk tidak mengambil kesempatan dari jawatan yang disandang untuk membuat kenyataan seolah-olah menggugut kerajaan negeri dan parti.

Bahkan beliau sepatutnya telah memahami dasar PAS sebelum menyertai DHPP yang wujud hanya 15 tahun selepas hudud diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan.

"Saya menggesa agar Pang Chow tidak lagi membuat kenyataan terbuka seperti ini, sebarang kemusykilan boleh diselesaikan melalui perbincangan tertutup," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Latif menyatakan demikian ketika memberikan ulasan berkaitan kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Hu Pang Chow seperti yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Di dalam kenyataannya, Pang Chow memberikan isyarat bahawa akan berlaku tindakan keluar beramai-ramai daripada sayap parti itu jika PAS terus memperjuangkan hudud untuk dilaksanakan di Kelantan.

"Saya melihat kenyataan Hu Pang Chow sebagai satu kenyataan yang kurang tepat serta tidak realistik dengan senario politik semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

"Justeru, saya ingin mengulangi sekali lagi penegasan yang dibuat oleh pimpinan PAS samada Presiden ataupun Mursyidul Am bahawa hukum hudud hanya dikenakan kepada orang Islam sahaja dengan tidak melibatkan langsung golongan non muslim.

"Pada hari ini, apa yang diperjuangkan oleh PAS adalah pelaksanaan hudud di negeri Kelantan sesuai dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan," kata beliau dalam kenyataan itu.

Oleh yang demikian, katanya, Pang Chow selaku Pengerusi DHPP sewajarnya lebih bertindak ke arah memberikan penjelasan kepada non muslim agar tidak khuatir dan bimbang dengan pelaksanaan hukum hudud serta bukannya mengambil langkah untuk menyongsang arus dan membuat pendirian berbeza dengan pucuk pimpinan parti.

"Ingin saya ingatkan bahawa kerajaan Kelantan akan terus menjaga dan menjamin hak-hak masyarakat non muslim dan ia diterima oleh rata-rata ahli DHPP," katanya.

Sebagai contoh pada 8 Oktober 2011 yang lepas telah diadakan Seminar Keharmonian Masyarakat Majmuk anjuran kerajaan negeri Kelantan.

Ia dihadiri oleh wakil-wakil DHPP dari seluruh negara dan rata-ratanya memberikan respon yang cukup positif dan menyambut baik hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk menguatkuasakan hudud ke atas umat Islam di Kelantan.

harakahdaily/-

Kedudukan: Uni M'sia perlu lebih masa

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin menjelaskan universiti di negara ini memerlukan masa hingga lapan tahun untuk disenaraikan dalam kedudukan atau ranking Times Higher Education (THE).

Ini kerana universiti negara ini belum terlibat "lebih aktif" dalam penyelidikan THE, yang meliputi sebahagian besar penilaian.

Pada 7 Oktober lalu, tiada universiti di Malaysia dilaporkan berjaya disenaraikan dalam majalah THE yang memuatkan nama 400 universiti terbaik di dunia.

Menurut ranking THE, sepuluh universiti terbaik di dunia diduduki oleh California Institute Technology, Harvard dan Stanford (2), Oxford (3), Princeton (5) Cambridge (6), Institut Teknologi Massachusetts (7), Imperial College London (8), Chicago (9) dan Berkeley (10).

Bagi jiran serantau, enam universiti di Hong Kong dan dua dari Singapura berjaya disenaraikan. Universiti Mahidol di Thailand juga berjaya disenaraikan tetapi dalam kategori 351-400.

Naib Canselor Universiti Malaya Profesor Datuk Ghauth Jasmon pernah dilaporkan berkata, universiti tempatan perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM200 juta dalam penyelidikan sebelum mampu diangkat antara universiti terkemuka di dunia.

malaysiakini/-

Arena laga ayam rosak dibom

Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Arena laga ayam rosak dibom

Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Arena laga ayam rosak dibom

Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Arena laga ayam rosak dibom

Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Banjir: PM Thailand Tangguh Lawatan Ke Malaysia, Singapura

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra menangguhkan lawatan beliau ke Malaysia dan Singapura pada minggu depan ekoran keadaan banjir yang teruk di negaranya, terburuk dalam masa dua dekad.

Beliau yang pada mulanya dijadual melawat Malaysia pada Selasa ini dan Singapura keesokan hari, bertujuan memperkenalkan dirinya selepas mengambil alih pucuk pimpinan Thailand Ogos lepas.

Tarikh baru untuk kedua-dua lawatan itu belum lagi ditetapkan.

Sebanyak 30 daripada 77 wilayah di Thailand dilanda banjir khasnya di kawasan utara dan tengah yang meliputi kira-kira 40 peratus negara ini, dengan jumlah kematian meningkat 261 orang.

Seramai 2.3 juta orang dari lebih 10,000 kampung terjejas dengan banjir yang melanda Thailand secara berperingkat-peringkat sejak Julai lepas dan telah mencecah ke tahap kritikal baru-baru ini.

Sebanyak 11 daripada 26 empangan utama di negara ini di mana airnya melepasi kapasitinya sementara sesetengah yang lain hampir penuh, menurut Jabatan Pengairan DiRaja.

Wilayah yang paling teruk dilanda banjir ialah Ayutthaya di mana benteng setinggi enam meter runtuh disebabkan arus banjir deras mengakibatkan banyak kilang di Rojana Industrial Park serta Hospital Ayutthaya digenangi air.

Bagaimanapun menurut Menteri Sains dan Teknologi Thailand Plodprasop Suatsawadee berkata hanya sebuah kilang musnah akibat banjir.

"Kira-kira 90 peratus taman perindustrian itu masih OK dan banjir tidak menjejaskan zon teknologi tinggi," katanya selepas melawat wilayah itu pada Ahad.

Timbalan pengarah Hospital Ayutthaya Surachai Chokekhanchitchai berkata semua 600 pesakit telah dipindahkan ke hospital lain kerana kemudahannya digenangi air setinggi 2.2 meter.

Pusat pemindahan di Ayutthaya telah mencecah kapasiti maksimum dan Yingluck menggesa sektor swasta membenarkan kerajaan menggunakan tanah mereka untuk menempatkan lebih ramai mangsa banjir.

Sebahagian kawasan di ibu negara dilanda banjir pada Sabtu.

Timbalan Perdana Menteri Pracha Promnok bimbang dengan keadaan yang bertambah buruk itu.

Beliau membayangkan wilayah hiliran berhampiran dengan Empangan Chao Phraya dan Bangkok akan dilanda banjir yang datang dari wilayah utara da tengah mulai 15 hingga 17 Oktober, yang akan memburukkan lagi keadaan dengan ramalan ribut serta ombak tinggi di laut. -BERNAMA

Virus serang Predator, Reaper

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sistem pesawat kawalan jauh AS hadapi masalah, gagal usir penceroboh

WASHINGTON: Virus komputer menyerang pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat, Predator dan Reaper yang digunakan tentera negara itu untuk menyasarkan militan dengan mengganggu sistem juruterbang ketika di berada udara, lapor majalah komputer, Wired.

Virus itu kali pertama dikesan dua minggu lalu oleh Sistem Keselamatan Berdasarkan Hos tentera tetapi belum lagi menyebabkan mana-mana misi penerbangan yang dikawal dari Pangkalan Tentera Udara Creech, Nevada. daripada melakukan misi di Afghanistan dan kawasan zon perang lain.

Tiada maklumat sulit dipercayai hilang atau dihantar ke luar daripada rangkaian sistem komputer tetapi virus itu didapati berdaya tahan terhadap beberapa cubaan membuangnya.

“Kami sentiasa membuangnya, tetapi ia tetap muncul semula. Kami fikir ia tidak berbahaya. Tetapi, kami masih belum boleh yakin sepenuhnya,” kata sumber yang arif dengan gangguan komputer kepada majalah berkenaan.

Pakar rangkaian keselamatan tentera Amerika berkata, masih belum jelas sama ada virus itu dihantar secara sengaja dan bagaimana ia disebarkan tetapi mereka yakin ia menjangkiti mesin operasi sulit dan tidak sulit pangkalan udara Creech.

Oleh sebab itu, data rahsia mungkin sudah bocor dan jatuh ke tangan pihak luar yang bukan anggota tentera.

Tentera Amerika tidak menyembunyikan pesawat kawalan jauhnya apabila melancarkan operasi di Libya atau di medan perang Afghanistan, berbeza dengan misi rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) bertujuan membunuh militan al Qaeda di Pakistan, Yaman dan di tempat lain. – AFP

Waspada: Kurang Tidur Boleh Sebabkan Penyakit Jantung Dan Angin Ahmar

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kajian terbaru menunjukkan tidur nyenyak dan mencukupi pada waktu malam penting untuk kecergasan fizikal dan mental tetapi kini masalah tidur tidak cukup semakin meningkat, dengan penyelidikan membuktikan seorang daripada setiap lima orang, berasa letih luar biasa dan seorang daripada 10 mengalami keletihan berpanjangan.

Pengarah Pusat Tidur Universiti Glasgow, Profesor Colin Espie, berkata tidur ialah cara semula jadi yang membekalkan rehat, pemulihan dan tenaga kepada manusia dan tiada sesuatu lain yang melakukan perkara sama.

Bagaimanapun, ramai daripada kita menganggap tidur cuma satu komoditi. Kita tidak menghormati pengambilan tidur nyenyak mencukupi, menganggap ia seperti pengacau.

Mendapatkan tidur nyenyak pada waktu malam tidak pernah dianggap penting, katanya.

Menurut kajian Universiti Warwick menunjukkan mereka yang tidur kurang enam jam sehari dan terganggu berisiko 48 peratus menghidap atau meninggal dunia akibat sakit jantung dan 15 peratus risiko menghidap atau mati akibat serangan angin ahmar.

Amalan tidur lewat dan awal pagi sebenarnya umpama bom jangka kepada kesihatan. Jadi, bertindak sekarang untuk mengurangkan risiko menghidap penyakit membahayakan nyawa seperti itu, kata penulis bersama kajian, Profesor Francesco Cappuccio.

Lelaki berusia lebih 65 tahun yang kurang tidur nyenyak yang cukup berisiko tinggi mendapat tekanan darah tinggi, menurut kajian terbaru Fakulti Perubatan Harvard.

Kajian ke atas 784 pesakit, yang disiarkan dalam jurnal Hypertension, mendapati mereka yang kurang mendapat tidur nyenyak berisiko 83 peratus mendapat penyakit itu berbanding yang tidur nyenyak yang panjang.

Tekanan darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan masalah kesihatan lain.

Kurang tidur menyebabkan tekanan pada tubuh, memaksa jantung berdegup lebih pantas, kata pakar. Namun tidur yang terlalu panjang, lebih sembilan jam, mungkin juga menjadi petanda kepada penyakit termasuk kardiovaskular.

Satu kajian ke atas 472 pesakit obes, yang disiarkan dalam International Journal of Obesity, membabitkan peserta memakan 500 kurang kalori setiap hari, disertai senaman kebanyakan hari. Mereka yang tidur terlalu pendek atau terlalu lama kurang kehilangan berat badan dalam tempoh enam bulan.

Agensi/-

Lelaki penjual bunga

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PULUHAN jenis bunga berwarna-warni pasti menyebabkan pelanggan rambang mata dalam membuat pilihan.

DARI jauh, kelihatan orang ramai terutama wanita sudah memenuhi ruang kecil di sebuah kedai yang menawarkan pelbagai jenis bunga berwarna-warni.

Sebaik sampai di hadapan kedai tersebut, bau semerbak daripada bunga-bungaan segar itu pantas menusuk hidung seolah-olah menyambut kedatangan pelanggan ke sana.

“Jemputlah masuk dan lihat sendiri bunga yang mungkin anda minati. Jangan risau, jangan bimbang, semua bunga ini segar-segar belaka,” demikian tutur seorang pemuda Cina sambil melemparkan senyuman manis kepada pengunjung yang datang.

Segak dengan penampilan kemeja-T hitam dan jean biru, pemuda berusia 31 tahun itu ramah melayan pelanggan yang berkunjung ke kedai miliknya, Ken Highlands Flower Shop yang terletak di pasar Brinchang, Cameron Highlands.

Menurut Ken Foo, kedainya menjual pelbagai jenis bunga segar yang diperoleh daripada lebih 10 pembekal di sekitar kawasan tanah tinggi tersebut.

Mula berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 2003, kini perniagaan jualan bunga yang dilakukan bersama seorang rakan semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pelanggan.

“Terdapat puluhan bunga segar ada dijual di sini termasuk bunga ros, matahari, kekwa, pom pom, lili, daisy, teluki dan banyak lagi. Setiap bunga pula mempunyai beberapa perbezaan contohnya warna yang mampu membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilih bunga yang disukai.

“Setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama ketika musim cuti persekolahan, cuti umum dan hujung minggu. Setiap hari kami juga mampu menjual lebih 100 batang bunga. Ini tidak termasuk penghantaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Perak,” jelas Ken lebih lanjut.

Antara bunga lain yang ada seperti bunga yang diberi nama Everlasting Love yang amat diminati pelanggan kerana bau yang kuat dan tahan lama. Malah, jika dijaga dengan teliti bunga itu boleh bertahan dan hidup sehingga beberapa tahun.

Selain itu, tambah Ken kedainya turut menjual bunga lalang yang semakin popular di Cameron Highlands. Bunga tersebut dibekalkan oleh Orang Asli di sekitar kawasan itu.

“Terdapat tiga jenis bunga lalang yang dijual iaitu lalang rumput, lalang lidi dan lalang emas. Apa yang pasti, bunga ini mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.

“Apabila saya mengambil bekalan bunga lalang daripada Orang Asli, secara tidak langsung saya dapat membantu mereka menambah sumber pendapatan yang biasanya menjual petai dan ulam-ulaman,” ungkap Ken lagi.

Faktor cuaca

Di samping bunga-bunga segar, kedai Ken turut menjual pelbagai variasi bunga kering, daun teh, daun paku, daun asparagus dan daun ekor musang yang boleh dijadikan potpouri atau hiasan di dalam rumah.

Bagi rakan kongsi Ken, Leong Chang, 35, kebiasaannya pada bulan Oktober hingga Disember, bekalan bunga agak berkurangan kerana faktor cuaca yang sering hujan. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi berbanding biasa.

Sementara pada bulan April hingga Ogos, cuaca baik sekali gus bekalan bunga tidak putus dan sentiasa ada. Justeru, harganya tidak terlalu tinggi.

“Begitu juga pada hari-hari keraian istimewa seperti Hari Kekasih, Hari Ibu dan sebagainya, harga bunga akan melonjak daripada biasa.

“Tidak ketinggalan, apabila tibanya musim perkahwinan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, kami akan banyak melakukan penghantaran bunga di sekitar Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah,”

katanya sambil memberitahu kunjungan seseorang ke Cameron Highlands tidak akan lengkap tanpa membawa pulang bunga segar sebagai kenangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai kedai bunga Ken, layari laman sosial Facebook/kenflowershop.

Kosmo/-

Bekas Presiden China muncul

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

JIANG ZEMIN (tengah) melambaikan tangan semasa dia menghadiri majlis memperingati ulang tahun revolusi yang berjaya menumbangkan Dinasti Qing di Beijing semalam.

BEIJING - Bekas Presiden China, Jiang Zemin membuat kemunculan dalam satu majlis di sini semalam beberapa bulan selepas tersebarnya khabar angin bahawa dia sudah meninggal dunia.

Zemin yang berusia 85 tahun itu muncul dalam majlis memperingati ulang tahun ke-100 revolusi yang berjaya menamatkan pemerintahan dinasti Qing yang berlaku pada 1911.

Bekas Presiden itu memakai sut berwarna biru gelap dan bertali leher berwarna merah.

Rambutnya disikat kemas seperti semasa dia menjadi Presiden selain memakai cermin mata.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden China, Hu Jintao.

Zemin gagal hadir dalam majlis meraikan ulang tahun ke-90 penubuhan Parti Komunis pada Julai lalu menyebabkan spekulasi muncul bahawa dia sudah meninggal dunia.

Namun, pemerintah China kemudian menafikan khabar angin yang menyatakan dia sudah meninggal dunia.

Zemin yang mengetuai banyak perubahan kemajuan di China menyerahkan jawatan Presiden kepada Jintao pada 2002 selepas berkuasa pada 1989.

Dia mengetuai perubahan ekonomi yang dilancarkan oleh tokoh komunis China yang terkenal, Deng Xiaoping.

Pada zaman pentadbirannya, hubungan AS dengan China sentiasa tegang.

- Agensi

Politik yang halang hudud, bukan perlembagaan

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Sikap negatif dan kefahaman yang salah menjadi punca mengapa tekad politik (political will) untuk melaksanakan hukum hudud tidak wujud di Malaysia.

Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta menjelaskan halangan sebenar pelaksanaan undang-undang itu di negara ini.

Tambahnya perlembagaan tidak menghalang kerana tidak ada peruntukan yang menuju ke arah itu.

Sebaliknya, beliau menambah, jika perlembagaan dibaca dengan betul dan tidak prejudis hudud boleh dilaksanakan.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Kanan IDEAS itu berkata sifat perlembagaan yang kononnya sekular itu pun tidak wujud.

"Tak mengapalah mereka boleh kata perlembagaan apa yang mereka mahu: sekular, taghut, anti-Islam dan sebagainya. Yang penting di dalam perlembagaan tidak ada peruntukan yang menyatakan perundangan Islam tidak boleh dilaksanakan," ujarnya.

Ditanya mengenai Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan Aziz berkata: "Peruntukan ini hanya mengingatkan kita yang segala tindakan dan undang-undang perlu akur dengan batasan perlembagaan. Pendeknya undang-undang, termasuk hudud, perlu dilaksanakan dalam kerangka dan skima perlembagaan.

Pada hakikatnya peruntukan yang didakwa mengkesampingkan Islam itu sebenarnya hendak mempastikan yang perlembagaan ini benar-benar berguna kepada semua orang sebab sekiranya perlembagaan boleh diketepikan maka ia tidak berguna. Itulah maksud Perkara 4(1)".

Dualisme

Mengenai isu diskriminasi dan dualisme dalam perundangan beliau menjelaskan: "Ciri ini sudah wujud lama di Malaysia; kita ada undang-undang sivil dan syariah dan kita mengambil pendekatan tidak mahu memaksakan hukum Islam kepada bukan Islam. Tetapi bagi orang Islam mereka tidak ada pilihan; mereka tertakluk kepada hukum Islam".

Aziz menegaskan pelaksanaan hudud tidak akan menjejaskan hak orang bukan Islam. Ini kerana ia hanya dilaksanakan di kalangan umat Islam sahaja.

"Tetapi apabila hudud tidak dilaksanakan ini adalah satu penafian hak terhadap umat Islam. Ini kerana perlembagaan - melalui Perkara 11(1) - menjamin hak umat Islam untuk menganut agama itu sebagaimana yang dituntut oleh syariat. Hidup di bawah sistem Islam ialah hak umat Islam yang tidak boleh dinafikan," tegasnya.

Mengulas mengenai bidang kuasa jenayah yang diletakkan di tangan persekutuan beliau berkata: "Kita perlu akur bahawa bidang kuasa jenayah di dalam negara kita ada dua; yakni sivil dan syariah. Manakala jenayah sivil adalah bidang kuasa persekutuan jenayah syariah adalah kuasa negeri".

Aziz berkata salah satu hujah untuk pendapat tersebut ialah bidang kuasa mengenai hukum syarak yang diletakkan di tangan negeri. "Kita perlu melihat isu-isu ini dalam konteks yang komprehensif; yakni dengan melihat keseluruhan kerangka dan skima perlembagaan", ujarnya.

Profesor undang-undang UIAM itu berkata mereka yang skeptikal dan anti-hudud sering mengambil pendekatan harfiah yang kaku dan pedantik. Jelasnya: "Dengan itu mereka kemudian menuding kepada bidang kuasa jenayah persekutuan dengan melupakan kenyataan bahawa hukum syarak adalah kuasa negeri dan ia ada konsep jenayahnya sendiri. Golongan anti-hudud juga membuat andaian bahawa Islam dalam perlembagaan kecil dan sempit; sesuatu yang tidak disebut oleh perlembagaan pun.

"Saya berpendapat oleh kerana perlembagaan tidak memberikan tafsiran kepada hukum syarak maka ini perlu dirujuk kepada hukum Islam yang sebenar. Dalam soal ini perlembagaan juga tidak menghalang. Saya berpendapat bidang kuasa itu harus dilihat dalam konteks hukum syarak dan bukan sebaliknya."

Aziz mengakui bahawa pandangan yang dikemukakan itu baru dan sebelum ini beliau sendiri berpendapat bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali oleh persekutuan kerana wujudnya bidang kuasa jenayah tadi.

Boleh laksana tanpa pinda perlembagaan

Katanya perubahan pandangan adalah sesuatu yang biasa dan apa yang dikemukakan sekarang ialah penemuan baru yang memberi isyarat bahawa hudud boleh dilaksanakan tanpa meminda perlembagaan.

Sehingga ini agak ramai yang mempunyai tanggapan bahawa pelaksanaan hudud memerlukan pindaan perlembagaan dan ini bermakna sokongan majoriti dua pertiga di parlimen.

Beliau menjelaskan apa yang perlu dibuat ialah pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah 1965 yang mengecilkan bidang kuasa mahkamah syariah. "Saya berasa hairan mengapa parlimen membuat undang-undang atas satu perkara yang bukan miliknya", ujarnya.

Meskipun hudud adalah hak dan kuasa negeri beliau mengakui pelaksanaannya memerlukan bantuan kerajaan persekutuan.

"Bagaimanapun ini adalah satu tanggung jawab di sisi undang-undang dan kerajaan pusat tidak boleh membuat ugutan sebagaimana yang terjadi sebelum ini. Agensi-agensi seperti polis, umpamanya, mempunyai tanggung jawab untuk melaksanakan tugas mereka dan kerajaan pusat tidak boleh halang," katanya.

Aziz berkata sekiranya tafsiran baru ini terus ditentang maka apa yang Kerajaan Kelantan boleh lakukan ialah mengambil langkah-langkah perlu untuk melaksanakan dan terpulang kepada mereka yang menentang tadi untuk membawa isu ini ke mahkamah.

Beberapa tahun lalu bekas pemimpin Umno, Datuk Zaid Ibrahim, pernah membawa isu ini ke mahkamah. Bagaimanapun beliau kemudian menarik balik tindakan itu.

Bagaimanapun ketika Enakmen Hudud Kelantan diluluskan oleh Dun Kelantan pada 1993 semua Adun Umno dalam dewan menyokongnya.

harakahdaily/-

PAS mahu kemuka petisyen gesa tubuh suruhanjaya siasat Gani Patail

12 Zulkaedah1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Okt — PAS akan mengemukakan satu petisyen agar diadakan suruhanjaya diraja siasatan bagi menyiasat Peguam Negara, sekali gus menolak keengganan Putrajaya untuk mendakwa Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes rasuah.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar) memberitahu The Malaysian Insider hari ini bahawa petisyen itu bertujuan mengenakan tekanan ke atas kerajaan mengambil tindakan tegas.

Katanya, tindakan kerajaan secara berterusan tidak mempedulikan siri dakwaan berhubung salah laku peguam negara adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sama sekali.

Beliau menegaskan jika Gani telah dibebaskan daripada kesemua dakwaan, maka tindakan fitnah seharusnya dikenakan ke atas mereka yang membuat tuduhan termasuk bekas pegawai kanan Datuk Mat Zain Ibrahim dan blogger Raja Petra Kamaruddin.

“Bagi saya, ini menunjukkan kerajaan tiada pendirian dalam isu ini. Keengganan mereka mengambil tindakan menunjukkan kesanggupan mereka untuk membersihkan institusi.

“Ia bukan urusan mengenakan tuduhan ke atas peguam negara semata-mata, tetapi keseluruhan institusi Jabatan Peguam Negara sendiri yang kelihatan kurang integriti dan kredibiliti,” kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen pagi ini.

Minggu lalu Putrajaya menegaskan tiada tindakan akan dikenakan ke atas Gani meskipun wujud dakwaan terbaru berkenaan amalan rasuah dan mengada-adakan bukti yang dibawa ke atas peguam negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata keputusan tahun lalu berhubung dakwaan pembabitan Gani dalam kes berkaitan mata lebam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih kekal.

“Jawapan yang sama, jawapan yang sama. Saya telah menjawab (Penasihat DAP Lim) Kit Siang di Parlimen sebelum ini. Jawapannya masih sama,” kata beliau ketika ditanya sama ada Putrajaya akan bertindak ekoran kemunculan dakwaan baru ke atas Gani.

Apabila ditanya sama ada kerajaan ke atas pengadu-pengadu terhadap Gani, Nazri menjawab: “Jawapan yang sama.”

Pada 14 Disember lalu, kerajaan mengetepikan dakwaan dikemukakan oleh Mat Zain bahawa Gani telah memalsukan dokumen-dokumen berkaitan dengan kes mata lebam Anwar.

Sebaliknya, Nazri telah memberitahu Parlimen tidak perlu bagi Mat Zain untuk mengadu bahawa panel bebas yang dibentuk untuk menyiasat pemalsuan bukti telah gagal untuk membersihkan namanya dalam insiden itu.

Ini kerana, menurut Nazri, Mat Zain tidak pernah tertakluk kepada siasatan panel, sebaliknya hanya dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan.

Dalam surat terbuka kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Mat Zain menegaskan kuasa untuk menubuhkan sebuah tribunal terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Di sebalik respons Nazri itu, Mat Zain terus-menerus berusaha untuk meyakinkan kerajaan agar mendakwa Gani dan beberapa bulan lalu menghantar siri surat terbuka kepada Ismail.

malaysian insider/-

Batu nisan pula dirosakkan oleh pelampau Yahudi

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LELAKI Palestin menunjukkan batu nisan yang diconteng dengan ayat Hebrew bermaksud 'Maut Kepada Arab' di Jaffa di Tel Aviv, kelmarin. - REUTERS

TEL AVIV 9 Okt. - Berpuluh-puluh batu nisan dirosakkan di tanah-tanah perkuburan Islam dan Kristian yang terletak bersebelahan di Jaffa manakala sebutir bom petrol dilontar ke sebuah rumah ibadat Yahudi di bandar di selatan Tel Aviv itu, semalam.

Pada hari Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa) penganut Yahudi itu, sekurang-kurangnya lima batu nisan dipecahkan dan kira-kira 20 lagi disembur dengan grafiti berbahasa Hebrew, termasuk 'Maut kepada Arab' dan 'Tanda Harga', iaitu slogan yang digunakan oleh pendatang haram Yahudi dan penyokong mereka di Tebing Barat.

Polis menggambarkan insiden 'tanda harga' sebagai perbuatan membalas dendam oleh pelampau Yahudi terhadap penduduk Palestin atau Arab, dan istilah itu selalunya merujuk kepada serangan pendatang haram Yahudi ke atas penduduk Palestin atau harta mereka di Tebing Barat, termasuk dengan membakar masjid.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, sebutir bom petrol turut dilemparkan ke bumbung sebuah rumah ibadat Yahudi di kawasan Jaffa tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

"Kami sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab merosakkan batu nisan itu," katanya.

Beberapa puluh penduduk Israel dan Palestin keluar memprotes serangan itu dan seorang anggota majlis perbandaran tempatan menyalahkan pendatang haram Yahudi.

Jaffa yang merupakan kawasan purba di Tel Aviv mempunyai penduduk terdiri daripada penganut Yahudi dan orang Arab yang beragama Islam dan Kristian.

Isnin lalu, sebuah masjid di kampung Badwi di utara Israel dibakar dan grafiti disemburkan pada dindingnya dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh pendatang haram Yahudi. - Reuters

Otak berterabur atas jalan

12Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BAHAU- Seorang askar maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan bertembung lori tangki dari arah bertentangan di kilometer 8 Jalan Bahau-Rompin, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa, Lim Linggan, 26, yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan pulang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sabri Muhamad berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Bahau.

“Mangsa yang tiba-tiba hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki terbabit.

“Ketika itu, lori tangki tanpa muatan yang dari arah Rompin gagal mengelak daripada bertembung dengan mangsa.

“Mangsa merempuh bahagian tengah tayar lori dan menyebabkannya digilis bersama motosikalnya sebelum tercampak ke laluan asal,” katanya ketika mengesahkan kejadian terbabit.

Menurutnya, motosikal mangsa terhumban ke dalam longkang manakala, mangsa terdampar dalam keadaan mengiring di bahu jalan.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian berikutan mengalami cedera parah di bahagian kepala, kaki kanan koyak, manakala otaknya berkecai dan bertaburan di atas jalan raya.

“Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, mangsa berasal dari Tenom, Sabah meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia 11 bulan.

Mangsa yang berpangkat Gunner itu telah berkhidmat hampir lapan tahun di Kem Syed Sirajuddin dalam Unit 21 Artelari.

Mayat mangsa akan diuruskan di kem berkenaan terlebih dahulu sebelum diterbangkan ke Sabah dalam masa terdekat.

Permohonan dana RM1juta Jeyakumar ditolak

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Permohonan semakan kehakiman ahli parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar untuk mencabar tindakan kerajaan kerana tidak memberi dan menyediakan butiran peruntukan dana tahunan sebanyak RM1 juta kepada bahagian pilihan raya kawasan itu telah ditolak.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini yang membenarkan rayuan kerajaan persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan semakan kehakiman.

Hakim Datuk Low Hop Bing bersama-sama dengan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Anantham Kasinater sebulat suara membenarkan rayuan itu dan menolak permohonan Jeyakumar.

Pada bulan Februari lalu, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aziah Ali memberi kebenaran kepada Jeyakumar untuk memfailkan semakan kehakiman.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membenarkan kerajaan untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman.

Peguam Datuk Ambiga Sreenevasam yang mewakili Jeyakumar berkata, keputusan itu cukup mengecewakan kerana Jeyakumar berharap keputusan mahkamah akan menentukan ketelusan kerajaan dalam mengagihkan wang rakyat.

Mengulas keputusan mahkamah hari ini, Jeyakumar berkata mahkamah sebagai benteng terakhir untuk rakyat, sepatutnya menyokong keputusan untuk memastikan wang yang diperuntukkan tidak disalahgunakan.

"Saya tidak mahu wang untuk diri sendiri tetapi hanya ingin pastikan wang yang diperuntukkan dibelanjakan dengan betul dan tidak disalah-guna.

"Wakil rakyat pembangkang tidak langsung menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan ini adalah amat mengecewakan. Berikutan keputusan ini, mesej saya kepada rakyat adalah kita tidak boleh bergantung pada mahkamah bagi mendapatkan ketelusan tetapi mengharapkan kuasa rakyat dalam membuat keputusan pada pilihan raya umum akan datang."

Jeyakumar berkata, beliau akan berunding dengan Parti Sosialis Malaysia sama ada untuk meneruskan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Persekutuan yang bakal menelan perbelanjaan yang besar meskipun peguamnya melakukannya secara percuma.

malaysiakini/-

Bajet 2012 tidak menyeluruh

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Bajet 2012 yang diumumkan Jumaat lalu masih belum menyeluruh, apabila meninggalkan aspek rohani.

Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata, tidak guna ada bangunan pencakar langit tetapi akidah ketinggalan.

“Bajet 2012 tidak menyeluruh, apabila kerajaan menekankan aspek material dan fizikal sahaja, tanpa mengambil kira pembinaan sumber manusia.

“Pembentukan ummah adalah perkara utama dalam pembangunan negara. Sungguh mengecewakan apabila unsur kerohanian dan spiritual tiada dalam pembentangan kali ini,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Menurutnya, apabila unsur spiritual tidak ditekankan, ia akan menyumbang kepada keruntuhan sosial dan akhlak.

Nasrudin berkata, kerajaan tidak memandang ke hadapan dalam bajet kali ini.

“Apabila moral rakyat runtuh, negara alami banyak kerugian, untuk memulihkannya kembali memerlukan modal.

“Saya juga mahu kerajaan memberi jaminan kepada rakyat, kesemua bajet di umumkan itu sampai kepada rakyat seperti dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, beliau bimbang akan ada ketirisan dalam pengagihan itu seperti korupsi dalam kalangan orang tengah.

sinar harian/-

Bukti Jelas Najib Hina Petani Dan Nelayan - Anggap Ia Kelas Rendah

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PM: `Pilihan raya dah dekat’

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri hari ini memberitahu ahli penyokong BN hari ini bahawa pilihan raya umum ke 13 sangat dekat.

Berucap di majlis penerangan perdana BN Wilayah Persekutuan di PWTC, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata “gendang pilihan raya sudah dipalu dan gemanya semakin dirasai”

“Anda sendiri boleh mendengarnya.”

Beliau yakin BN akan menang sekali lagi berdasarkan kelebihan dan kekuatan yang ada.
Bagaimanapun, beliau mengingat komponen mengadakan persiapan di tahap terbaik kerana BN memasuki pilihan raya mahu menang dan bukan mahu kalah.

“BN ada kekuatan sekali lagi untuk menang kerana kita berkhidmat untuk rakyat,” katanya memberitahu 8, 000 ahli dan penyokong BN.
.
Pengerusi BN itu juga menegaskan BN bukan parti kelas rendah yang hanya disokong oleh petani dan nelayan.

Menurut Najib beliau mahu BN turut disokong oleh orang bandar terutama di Kuala Lumpur.

Jangan sabotaj

“Kuala Lumpur penting walaupun Kuala Lumpur bukan lagi deposit tetap (BN),” tambahnya.

Pengerusi BN itu mengingatkan semua komponen BN menyelesaikan masalah masing-masing selain tidak menimbulkan masalah baru.

Beliau juga tidak mahu orang parti sendiri membuat sabotaj sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Menurutnya, ada seorang setiausaha bahagian Umno membuat sabotaj dalam pilihan raya kecil kerana tidak terpilih sebagai calon.

“Bayangkan rumah Setiausaha Umno bahagian ja, 10 malam sudah gelap, buat pura-pura tidur. Dia tutup pintu rumah,” katanya.

Najib memberitahu seorang wakil rakyat BN Sarawak selama tiga penggal telah lari ke London kerana merajuk tidak terpilih menjadi calon.

KELAB GREENBOC/-

Petani dakwa benih padi tak cukup

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan mengkaji rungutan sesetengah petani yang mendakwa bekalan benih padi tidak mencukupi di beberapa kawasan Mada dan luar kawasan Mada sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom berkata berdasarkan laporan daripada pengeluar-pengeluar benih padi, tiada masalah tentang kekurangan bekalan benih padi.

"Kita mempunyai tiga pengeluar benih padi iaitu SPPM, Seri Merbok dan Bernas dan semua mereka mengatakan bahawa bekalan benih padi mencukupi malah mempunyai stok yang lebih.

"Kita hairan sekarang ini bagaimana sesetengah pihak mendakwa benih padi tak cukup sedangkan laporan daripada Jabatan Pertanian pun mengatakan bekalan benih padi memang ada," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bekalan benih padi di Ibu Pejabat Mada dekat Alor Setar semalam.

Beliau berkata bagi satu musim, kawasan Mada memerlukan benih padi sebanyak 14,000 tan manakala 5,000 tan diperlukan bagi kawasan luar Mada di Kedah dan 2,000 tan diperlukan bagi kawasan luar Mada di Perlis.

Johari berkata antara kawasan yang dilaporkan menghadapi masalah bekalan benih padi ialah Simpang Empat, Perlis (Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E-1), Kangar (PPK C1) dan Simpang Empat Kuar (PPK F-2) bagi kawasan Mada dan bagi kawasan luar Mada pula ialah di Langkawi, Asun dan Changlun.

"Bagaimanapun, saya dah minta pihak Mada dan PPK buat pemantauan, kita nak lihat di mana kekurangannya. Kita akan minta pihak PPK bekalkan dahulu benih padi kepada petani untuk sementara waktu," katanya.

Bernama/-

Rakyat Perlu Teruskan Agenda Perubahan

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Seperti yang dijangka, BN telah membentangkan satu bajet morfin yang bersifat kesenangan sementara. Kesakitan dan keperitan sebenar akan kembali sejurus selepas kesan morphine hilang.

Dari sudut yang lain, rakyat perlu melihat pembentangan bajet oleh PM ini juga adalah sebahagian daripada kejayaan mereka mengenakan tekanan kepada kerajaan BN dalam PRU lalu.

Kini, Umno BN cuba mendapatkan kembali sokongan rakyat melalui bajet yang kelihatan mengutamakan rakyat; setelah mengabaikan rakyat dengan mementingkan projek mega bagi kroni-kroni berpuluh tahun.

Kejayaan mengenakan tekanan politik kepada BN mesti diteruskan, kerana seandainya mereka berjaya mengekalkan kuasa selepas PRU13, segala berita gembira yang ditabur dalam belanjawan akan ditarik balik dalam bentuk cukai GST yang telah diumumkan dan bakal dilaksanakan tatkala majoriti rakyat masih tidak bersedia untuk menghadapinya.

Kali ini keadaan dijangka lebih parah lagi kerana bajet kali ini tidak disertakan dengan langkah-langkah kerajaan untuk menaikkan pendapatannya untuk menampung perbelanjaan sebegitu banyak. Lebih-lebih lagi, dalam bajet kali ini PM juga tidak mengumumkan apa-apa cara untuk mengurangkan ketirisan, gejala rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan kronisme yang selama ini hanya menambah keperitan rakyat bawahan.

Duit tidak mungkin jatuh dari langit, dan dengan ekonomi dunia yang sedang meleset, adakah kerajaan BN sedang menyembunyikan langkah-langkah drastik untuk mendapatkan dana sehingga selepas PRU13? Berapakah bajet susulan yang sudah ada dalam perancangan BN yang bakal dibentangkan lagi untuk menampung perbelanjaan morfin ini?

Yang pasti sistem percukaian baru GST akan diperkenalkan – kemudian kemungkinan besar beban 6% cukai telefon prabayar akan ditolak ke bahu rakyat selepas PRU13 dan lebih banyak subsidi akan ditarik balik sekiranya BN kekal berkuasa selepas PRU13.

Selain itu, untuk mengelakkan kemarahan rakyat menjelang PRU-13, tiada peruntukan yang diumumkan untuk PERMATA yang diketuai isteri kesayangan PM – akan tetapi, rakyat tidak perlu bergembira, yang pasti sekiranya mereka menang PRU13, peruntukan untuk PERMATA akan diumumkan semula dengan nilai yang lebih besar di dalam bajet susulan.

Segala apa yang diberi sekarang yang kononya atas nama ‘negara berkebajikan ala Umno BN’ hanya bertujuan untuk melalaikan rakyat. Apa yang diberi akan ditelan kembali selepas PRU13 jika mereka terus berkuasa selepas PRU13, kerana suka ataupun duka, rakyat terpaksa duduk di bawah kerajaan BN untuk lima tahun lagi sebelum ada peluang untuk mengundi mereka keluar.

Namun, semua langkah ‘menelan’ ini tidak akan diumum sekarang kerana yang penting rakyat dapat ditipu terlebih dahulu untuk mengekalkan mereka di tampuk pemerintahan, yang lain boleh diumum sedikit demi sedikit, kerana selepas itu, rakyat hanya boleh merungut tapi kuasa mereka tidak akan tergugat untuk 5 tahun akan datang.

Pengalaman lampau mengajar kita bagaimana setelah selesai PRU kerajaan BN akan segera mengisytiharkan kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Walau apapun tema belanjawan diberi, rakyat yang telah mengenal tipu muslihat Umno/BN diharap jangan terlalai dalam suntikan morfin ini dan terus menggunakan kuasa dan peluang yang ada pada PRU13 bagi membuat perubahan untuk menyelamatkan Malaysia.

PAS mengingatkan rakyat agar meneruskan agenda perubahan politik negara sebagai kesinambungan PRU12.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

Rusuhan Agama: 24 Maut Di Kaherah

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Puak Kristian bertempur dengan tentera serta polis berhubung protes terhadap serangan yang berlaku ke atas sebuah gereja di selatan Kaherah, Mesir pada Ahad.Foto -AP
KAHERAH: Sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh manakala lebih 200 lagi cedera dalam keganasan rusuhan agama membabitkan puak Kristian di Kaherah.

Rusuhan yang berlarutan hingga malam Ahad memaksa lebih 1,000 anggota keselamatan dan kereta perisai dikerah bagi mempertahankan bangunan televisyen negara di tebing Sungai Nil di mana ia bermula sebelum merebak ke Medan Tahrir.

Kumpulan terbabit bertempur menggunakan batu dan bom api. Beberapa kenderaan termasuk milik tentera dibakar.

Puak Kristian mendakwa pentadbiran tentera Mesir terlalu berlembut dengan pihak yang bertanggungjawab ke atas beberapa serangan anti Kristian. -AFP

Jemaah haji Malaysia maut jatuh tingkat sembilan hotel

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Okt — Seorang jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat sembilan hotel penginapannya di Hotel Al-Haram di Madinah, Arab Saudi, kelmarin.

Mangsa yang berasal dari Selangor, bersama suaminya ke Mekah untuk menunaikan Rukun Islam kelima.

Harian Metro memetik sumber melaporkan, sebelum kejadian, sekitar pukul 4 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia), mangsa dikatakan berada dalam biliknya di tingkat sembilan hotel berkenaan.

Kes terbabit adalah kematian pertama membabitkan jemaah haji Malaysia pada muism haji tahun ini.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari biliknya, sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” kata sumber itu.

Jurucakap Tabung Haji mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia yang turut menetap di hotel sama, Mohd Faizal Mohd Noor berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke Masjid Nabawi, tidak jauh dari hotel itu untuk menunaikan solat Asar.

Katanya, dia ternampak mangsa terjatuh dari bilik hotelnya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

malaysian insider/-