08 October 2011

Di mana peruntukan untuk Permata?


10 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 8 Okt: "Walaupun bajet kali ini tidak dinyatakan secara khusus peruntukan untuk program Permata, tapi saya pasti tidak mustahil peruntukan tersebut diselit pada mana-mana program kerajaan," jelas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Pada Bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang semalam telah memperlihatkan tiada peruntukan khusus diberikan kepada Program Permata sedangkan pada bajet sebelum ini sebanyak RM110 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan program tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan tindakan Najib untuk tidak menyenaraikan peruntukan tersebut mungkin telah menyedari bahawa terdapat bantahan dari rakyat.

"Mungkin beliau sudah menyedari bahawa rakyat sudah memberontak dengan tindaknya sebelum ini yang telah memberi peruntukan kepada isterinya sendiri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Tetapi dalam pada itu walaupun tiada penyenarai kita perlu melihat kembali kemungkinan besar peruntukan tersebut dimasukkan ke dalam peruntukan-peruntukan yang lain dan ini bagi mengaburi rakyat di luar," jelasnya.

Tambahnya lagi, adalah satu yang mustahil kalau sebelum ini peruntukan diberi tetapi kali ini tidak dinyatakan langsung.

"Kalau dulu ada peruntukan dan kali ini tidak dinyatakan bukankah itu satu yang pelik dan apa yang telah terjadi kepada program tersebut berjaya ataupun tidak, jika betul tidak disediakan peruntukan Najib perlu jelaskan status program Permata dan apa yang terjadi kepada peruntukan sebelum ini.

"Jika peruntukan untuk Permata tetap ada sila nyatakan secara jelas dan rakyat perlu tahu jangan diselindungkan hanya untuk kepentingan undi pada pilihanraya yang akan datang," jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin juga bersetuju bahawa secara kasar memang tiada peruntukan diberikan tetapi jika dihalusi ia diselindung di bawah program tertentu.

"Memang kita tidak melihat peruntukan diberikan tetapi saya pasti peruntukan sebenarnya ada tetapi dimasukkan di bawah program tertentu.

"Dalam pada itu saya tidak menolak melalui bajet tambahan mungkin selepas pilihan raya nanti, satu nilai yang besar akan diberikan khusus kepada program Permata dan inilah cara yang digunakan oleh kerajaan bagi mengaburi mata rakyat untuk mendapat undi kepada mereka.

"Rakyat sudah jemu dengan sikap Najib kerana telah merajakan isterinya dengan pelbagai kemudahan kewangan sedangkan Perdana Menteri sebelum ini tidak menpunyai sikap sepertinya," kata Ahli Parlimen Ampang itu.(sumber:Harakahdaily)

Bajet 2012: Bajet pancing undi PRU-13

10 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Secara keseluruhan, Bajet 2012 yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanya bajet pancing undi bagi memastikan BN terus kekal memerintah," kata Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, apa yang jelas dalam bajet itu hampir semua ransangan yang dibuat hanya dalam bentuk pembangunan fizikal, tidak ada penekanan dalam bentuk pembangunan rohani dan pemulihan akhlak masyarakat.

"Banyak perkara juga yang diciplak dari bajet Pakatan Rakyat.Tiada insentif yang banyak pada sektor swasta," katanya sebagai respon awal kepada Harakahdaily.

GST menungguDisebalik insentif yang bersifat "gula-gula" pilihan raya itu, beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS mengingatkan rakyat agar tidak lupa cukai barangan perkhidmatan GST yang akan dibentang di Dewan Rakyat yang sekaligus akan membankan pengguna."Kita tidak nampak penurunan cukai kepada sektor koperat. Walaupun ada banyak cukai tak lansung diturunkan, namun rakyat jangan lupa cukai GST sedang menunggu akan diluluskan dalam sesi ini di Dewan Rakyat."Maka semua rakyat akan dikenakan cukai pada semua jenis perkhidmatan dan barangan yang bakal dilaksanakan lepas PRU 13.Kelantan terus dipinggirBeliau juga mendakwa, bajet pilihan raya Najib itu memperlihatkan kesinambungan peminggiran terhadap rakyat Kelantan.Beliau merujuk kepada peruntukan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) satu bilion ringgit yang diumum Najib yang hanya meliputi Perlis, Perak dan Johor sahaja.Bagaimanapun beliau mengalukan semua bonus dan manfaat yang diberikan untuk rakyat, namun mempersoal kenapa ianya dibuat secara terpilih.(sumber:Harakahdaily)

Bajet 2012: Najib cedok belanjawan Pakatan

10 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Kerajaan hari ini dalam mengumumkan bajet 2012 telah memperuntukan sebanyak RM232.8 bilion bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu mengumumkan bajet tersebut menjelaskan daripada peruntukan tersebut RM181.6 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan manakala RM51.2 bilion pula diletakan bagi perbelanjaan pembangunan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly Ahmad ketika diminta mengulas tentang bajet yang telah diumumkan itu menjelaskan bajet tersebut adalah lebih terjurus kepada gula-gula politik ataupun peruntukkan pilihanraya.

"Bajet yang diumumkan oleh Najib itu hanyalah lebih kepada untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang.

"Secara jelas beliau berada dalam keadaan tertekan apatah lagi apabila melihat belanjawaan yang telah diumumkan oleh Pakatan Rakyat (PR)sebelum ini,"jelasnya.

Tambah Dr Dzulkifly lagi tekanan yang dihadapi oleh Najib itu apabila melihat belanjawan PR yang lebih tertumpu kepada pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat.

"PR melihat tekanan yang dihadapi oleh Najib adalah tentang hasrat PR yang telah berjanji ingin melakukan pengagihan semula pendapatan negara kepada rakyat, kita melihat beliau terpaksa bertindak balas terhadap usaha PR itu.

"Tetapi persoalan yang jelas ingin PR utarakan bagaimana pengagihan semula itu ingin dikembalikan semula kepada yang berhak tanpa ada sebarang ketirisan. Sebagai contoh pemberian subsidi kepada pemilik teksi dan kita lihat keuntungan hanya akan diperolehi oleh kroni mereka sendiri bukannya kepada pemilik teksi tersebut," katanya.

Persoalan Besar

Dalam pada itu beliau menjelaskan Najib hanya menumpukan perbelanjaan kepada pembangunan tetapi tidak menyatakan secara khusus bagaimanakah kerajaan ingin menambah pendapatan negara.

"Bajet sebelum ini kita melihat kerajaan akan mengumumkan penambahan pendapatan sumber negara akan dikutip melalui cukai-cukai tetapi pada kali ini ia tidak dinyatakan dan ini menjadi persoalan besar kepada kita bagaimanakah kerajaan ingin berbelanja sedangkan tidak pasti sumber pendapatannya.

"Najib terus membuat perbelanjaan besar dalam projek mega yang jelas mempunyai risiko tinggi di saat negara berdepan dengan ekonomi global yang muram dan secara jelas ekonomi negara berada pada tahap bahaya jika perbelanjaan yang tidak bertanggungjawab ini diteruskan tanpa pengkajian yang khusus," sambungnya lagi.

Beliau memberitahu pada kali ini Najib cuba mengelak dari memberi komitmen kepada rakyat terutamanya pekerja awam dan juga swasta malah dalam pada itu Najib juga tidak berlaku adil terhadap pekerja swasta yang sentiasa ketinggalan setiap kali bajet diumumkan.

"Kita melihat bajet kali ini tidak diletakkan gaji minimum sebagai sasaran mereka dan secara jelas saya katakan Najib cuba mengelak untuk terus ada komitmen dengan pekerja awam mahu pun swasta.

"Tetapi dalam masa yang sama bajet tersebut memperlihatkan Najib telah menganaktirikan pekerja swasta dengan menafikan hak mereka sebagai tenaga pendapatan negara, tanpa ada peruntukan khusus diberikan oleh Najib kepada golongan pekerja tersebut.

"Najib hanya mengumumkan pemberian bonus dan juga kenaikan gaji pekerja awam mengikut gred-gred tertentu dan apa yang kita lihat setiap kali bonus mahupun gaji dinaikkan maka akan wujud inflasi di negara ini dan ia akan terbeban kepada semua rakyat bukannya kepada mereka yang mendapat faedah, inilah ketidak adilan yang wujud dalam bajet kali ini," ulasnya lagi.

Cedok bajet Pakatan

Beliau menambah bajet ini adalah mencedok dari apa yang telah di umumkan oleh belanjawan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Bajet dari PR lebih mesra kepada rakyat dibawah jika dibandingkan dengan apa yang diumumkan oleh Najib tadi dan kita tahu rakyat tidak akan selesa dengan apa yang diberitahu kerana mereka tidak mendapat apa yang dikehendaki," sambungnya lagi.

Sebelum itu bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu juga tidak meletakkan sumbangan wanita dan juga warga emas yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara, selain itu juga bebanan diberikan kepada rakyat melalui Program Perumahan Rakyat dengan meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri.

"Kenaikan ini dilihat tidak seimbang kerana tiada sasaran gaji minimum dinyatakan oleh kerajaan dan secara jelas akan melihat rakyat terus terbeban dengan kos tambahan dan bebanan hutang," kata Dr Dzulkifly lagi.(sumber:Harakahdaily)

Bajet BN lebihkan wakil rakyat dari rakyat

10 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Pakatan Rakyat sependapat elaun ahli Parlimen bukan keperluan utama untuk dinaikkan sebaliknya kerajaan harus menekankan integriti Parlimen itu sendiri.

Mengulas Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi, ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, kerajaan seharusnya menekankan aspek ketelusan Parlimen untuk memerangi salah tadbir negara.

"Elaun untuk ahli Parlimen bukanlah satu keutamaan yang perlu disegerakan tapi yang penting ialah integriti Parlimen, integriti untuk memerangi rasuah dan kelengkapan menyiapkan prasarana Parlimen itu lebih penting sekarang ini," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS ketika ditemui di lobi Parlimen siang tadi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ketua pembangkang pula berkata, bajet 2012 seharusnya lebih memfokuskan kepada kepentingan rakyat, bukan wakil rakyat.

"Bajet 2012, kita mahu ia lebih fokuskan kepada rakyat, bukan ahli Parlimen itu sendiri," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, sebaiknya elaun dan kemudahan kakitangan Parlimen ditingkatkan.

"Bukan masanya untuk tambah elaun ahli Parlimen sebaliknya lebih perlu tambah elaun staf dan pembantu Parlimen," katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Najib dalam pembentangannya berkata, kerajaan bercadang untuk mengkaji semula elaun dan kemudaha ahli Parlimen.

Katanya, elaun baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari depan, namun tidak mendedahkan kadar kenaikannya.

Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi belanjawan 2012, RM20.8 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu RM212 bilion.

Perjuangan Pakatan

Salahuddin dalam pada itu menyifatkan pengumuman bayaran khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota serta duda dan balu polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat sebagai kesedaran yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Mereka harus berterima kasih kepada pembangkang yang memperjuangkannya khususnya Mat Sabu (Moohamad Sabu) yang mengutarakan isu itu dan hari ini keluarga mereka mendapat paling tidak pun bayaran khas," katanya.

Namun beliau turut berharap keluarga bekas tentera ini diberikan pencen tetap setiap bulan.

"Tetapi bagi saya mereka harus diberikan pencen untuk mendapat imbuhan daripada jasa mereka," katanya.

PAS sebelum ini mencadangkan agar semua keluarga anggota polis yang mati semasa mempertahankan rumah pasong Bukit Kepong pada tahun 1950 menuntut pampasan daripada kerajaan British.

Namun Najib dalam pembentangannya sempat menyindir Pakatan Rakyat tidak mengenang jasa pejuang kemerdekaan apabila menimbulkan isu Mat Indera sebagai pejuang negara.

"Kita tidak sekali-kali seperti sesetengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka," katanya. (sumber: Harakahdaily)

Bajet 2012 bersifat 'on-off'

10 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 8 Okt: PAS tidak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 semalam kerana pemberiannya banyak bersifat one-off.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan akan dapat menampung pemberian one-off tersebut kerana tidak ada jaminan subsidi barang keperluan asas tidak akan dikurangkan tahun hadapan.

Belanjawan ini, katanya sekaligus tidak dapat membantu rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi.

"Banyak perkara yang diumum bersifat one off. Semua itu dapat dicover balik oleh kerajaan kerana kerajaan tidak memberikan jaminan subsidi harga minyak dan keperluan asas yang lain tidak akan dikurangkan pada 2012.

"Rakyat akan berhadapan dengan kos sara hidup dan belanjawan hari ini tidak menyelesaikan masalah seperti yang diwarwarkan iaitu hendak menyelesaikan masalah beban kos sara hidup rakyat," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan belanjawan petang semalam.

Antara bayaran secara one-off ialah bantuan kepada bekas kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) seramai 4,300 orang.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut berkata, Datuk Seri Najib Razak dilihat ingin "berlawan" dengan Pakatan Rakyat dengan cuba mempamerkan belanjawan yang lebih baik daripada yang dibentangkan Pakatan, Selasa lalu.

"Kerajaan terdesak kerana ingin menunjukkan belanjawannya lebih baik daripada belanjawan Pakatan.

"Nampaknya Najib berpegang pada konsep "perlawanan" dalam pembentangan bajet. Tapi apa yang penting, rakyat dapat apa yang diumumkan," katanya.

Syarikat teksi untung

Selain itu, mengulas mengenai pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan, beliau berkata ianya lebih menguntungkan syarikat teksi daripada pemandunya.

"Sepatutnya Najib mengumumkan penghapusan permit syarikat teksi dengan diberikan permit kepada individu," katanya.

Ogos lalu, Persatuan Kebajikan Pemandu Teksi Kuala Lumpur dan Selangor menganjurkan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat menuntut sepuluh resolusi bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Dalam pertemuan tersebut, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan seorang bekas menteri diberikan sebanyak 100 permit teksi walaupun individu berkenaan telahpun menerima saham dalam syarikat bumiputera.

Keadaan itu memeritkan golongan pemandu teksi yang terpaksa menyewa teksi daripada syarikat berkenaan. (sumber : Harakahdaily)