05 October 2011

Cerita keburukan orang

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Jika kita cerita keburukan orang lain tetapi cerita tersebut tidak benar, ia dinamakan FITNAH. Membuat fitnah adalah berdosa.

Jika kita cerita keburukan orang lain dan cerita tersebut memang benar, ia dinamakan GHIBAH(mengumpat). Mengumpat pun berdosa.

tazkirah/-

MBSA Lancar Ops Kolah Cegah Wabak Demam Denggi

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 5 OKTOBER : Aktiviti kawalan dan pencegahan demam denggi di kawasan bandar raya Shah Alam terus diperkasakan melalui Ops Kolah yang dilancarkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengawal penyakit demam denggi khususnya di kawasan premis bertingkat.

Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata melalui pemantauan MBSA mendapati kolah mandi menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk aedes.

” Justeru pelancaran Ops Kolah bertujuan untuk memberi pendidikan kesihatan,kesedaran dan peringatan kepada penghuni rumah bertingkat supaya menjaga kebersihan kolah mandi dari menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya dalam kenyataan media.

Pelancaran Ops Kolah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan,Pekerja Ladang,Kemiskinan,Kerajaan Prihatin Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar bertempat di kawasan perumahan bertingkat (Flat PKNS), Seksyen 8, Shah Alam yang turut disertai oleh Datuk Bandar Shah Alam,Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Beliau berkata MBSA amat serius dalam menangani masalah demam denggi dan amat berharap mendapat kerjasama dari masyarakat untuk bersama-sama berganding tangan bagi memastikan seluruh kawasan pentadbiran MBSA bebas daripada wabak denggi.

tv news/-

Media: Gambar anggota Amisom tembak jurugambar Bernama TV didedah

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Gambar empat anggota tentera misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (Amisom) yang bertanggungjawab melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor didedahkan apabila ia dihantar menerusi e-mel kepada Bernama semalam.

Berdasarkan gambar yang dihantar oleh Agensi Keselamatan Somalia itu, mereka yang sebelum ini dilaporkan sebagai tentera Burundi dan bertugas dalam Amisom dilihat berjalan tanpa sebarang kelengkapan senjata namun dikawal oleh beberapa tentera lain ke suatu tempat yang tidak dinyatakan, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Laporan polis Somalia memberitahu, pihak Amisom telah menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian berkenaan dan mendapati keempat-empat tentera yang dituduh itu didapati bersalah kerana melepaskan tembakan berkenaan.

Amisom pada 26 September lalu secara rasminya telah menyempurnakan siasatan penuh terhadap empat tertuduh yang sebelum ini dikatakan menembak dan menyebabkan kematian Allahyarham Noramfaizul dan mencederakan jurukamera TV3, Ajis Saregar Mazlan.

Pasukan keselamatan itu juga telah memohon maaf atas kejadian tersebut serta melucutkan mereka yang terlibat daripada menjalankan tugas pasukan pengaman dan menghantar mereka pulang ke Burundi untuk dibicarakan.

Noramfaizul (gambar), 39, terkorban setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda semasa menyertai misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putra 1 Malaysia di Mogadishu, Somalia pada 3 September lalu.

malaysian insider/-

Sirte kubu terakhir Gaddafi

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

BERATUS-ratus penunjuk perasaan berhimpun memberi sokongan kepada NTC di padang Medan Syuhada.
Pemerintah baru Libya rancang tawan, isytihar kemenangan

TRIPOLI: Pemimpin baru Libya bersiap sedia mengisytiharkan kebebasan penuh dan melantik kerajaan peralihan baru memerintah negara Afrika Utara itu.

Pemimpin kerajaan baru menganggap mereka sudah memenangi perang dengan kejatuhan Sirte, bandar kelahiran Muammar Gaddafi yang masih menyaksikan berlaku pertempuran antara tentera kerajaan baru dengan penyokong setia Gaddafi.

Bandar raya itu kekal menjadi salah satu yang masih berada dalam genggaman askar yang setia kepada Gaddafi, selain Bani Walid.

Perisytiharan dan pembentukan kerajaan baru dengan pilihan raya dirancang diadakan selepas lapan bulan bertujuan menamatkan krisis politik di negara itu.

Perdana Menteri sementara, Mahmoud Jibril dan ketua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mustafa Abdul-Jalil, bercadang meletak jawatan dan berikrar tidak mengambil bahagian dalam kerajaan baru negara itu.

Perlembagaan NTC menyatakan, tokoh kerajaan sementara tidak boleh berkhidmat dalam kerajaan baru yang terpilih.

Cubaan terbaru untuk menamatkan kemelut politik di Libya berlaku ketika pemimpin tentera menyifatkan serangan terbaru ke atas Sirte, yang bermula kelmarin selepas gencatan senjata selama dua hari, sebagai ‘serangan terakhir.’

Pejuang anti Gaddafi yang dibantu pesawat NATO menunjukkan kejayaan perlahan dalam menawan Sirte, berdepan tentangan hebat kumpulan yang setia kepada bekas pemimpin Libya itu di dalam bandar yang sudah berperang selama berminggu-minggu, mencetuskan krisis kemanusiaan di kalangan penduduk awam.

Semakin jelas sejak beberapa hari lalu, pemerintah baru negara itu kini mahu menamatkan kepungan ke atas Sirte.

Pada awalnya, difahamkan kerajaan baru tidak akan diumumkan sehingga semua kawasan yang masih dalam genggaman kumpulan setia kepada Gaddafi ditawan sepenuhnya termasuk Bani Walid.

Bagaimanapun, Abdul Jalil memberitahu sidang media di Benghazi, tidak seperti Sirte, Bani Walid tidak memberikan ancaman kepada sempadan Libya.

“Kami meminta rakyat Libya faham ini adalah tahap sensitif dan kritikal,” katanya merujuk kepada kebimbangan yang semakin memuncak berhubung penangguhan pelantikan kerajaan untuk memimpin negara itu untuk mengadakan pilihan raya pertama sejak kejatuhan rejim Gaddafi.

Komander dari Misrata, Salem Jouha, dijangka menjadi Menteri Pertahanan negara itu selepas bebas sepenuhnya.

Misrata tidak campur tangan dalam NTC sejak beberapa minggu lalu dan pemerintah baru Libya berusaha keras sejak kejatuhan Tripoli untuk menyatukan semula semua parti politik yang berkepentingan.

Perpecahan kekal antara tokoh sekular dan Islam seperti Ketua Majlis Tentera Tripoli, Abdel Hakim Belhaj, yang menulis dalam akhbar Guardian minggu lalu bahawa puak Islam tidak boleh dipinggirkan dalam pembentukan baru Libya. – Agensi

Kasihannya... Budak 3 Tahun Cedera Diserang Beruk

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Lembah Beriah – Ketika sedang leka bermain, seorang kanak-kanak di sini, tiba-tiba diserang seekor beruk dipercayai milik jirannya dalam satu kejadian baru-baru ini.

Kejadian itu mengakibatkan Nurul Iman Abdullah, 3, cedera parah di bahagian belakang badan setelah di serang seekor beruk di halaman rumahnya di Penempatan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Beriah, Bukit Merah, di sini.

Datuknya, Rosli Adom, 45, berkata, beruk itu dikatakan berang dan mengamuk secara tiba-tiba sebelum menyerang cucunya yang leka bermain.

Menurutnya, beruk yang tidak ditambat itu telah menggigit bahagian belakang badan Nurul sehingga menyebabkan luka parah.

“Nurul kehilangan banyak darah dan hampir pengsan, saya segera membawanya ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, dia telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut berhubung kes itu supaya kejadian sama tidak berulang ke atas kanak-kanak lain.

Pemilik haiwan nafi dakwaan

Sementara itu, pemilik haiwan itu, Yahya Abdullah, 56, atau lebih dikenali sebagai Pakya Ular menafikan dakwaan yang mengatakan beruk yang menyerang anak jirannya itu adalah beruk peliharaannya.

Beliau yang juga pemain ular terkenal di daerah Kerian berkata, dia mempunyai dua ekor beruk betina yang telah didaftar dan diluluskan lesen pemeliharaannya

“Selain itu, kedua-dua beruk saya ini sentiasa di rantai di bawah pokok besar bersebelahan rumah.

“Cuma beberapa hari sebelum kejadian berlaku, beruk betina ini sering didekati oleh seekor beruk jantan liar yang mencari pasangan,” katanya.

Amaran tak diendah

Yahya berkata, sudah beberapa kali dia cuba menasihati dan memberi amaran kepada anak-anak jiran supaya jangan mengganggu beruk itu apatah lagi mendekatinya kerana khuatir beruk berkenaan akan bertindak agresif.

“Sebelum kejadian, saya sudah merancang membina sebuah perangkap khas bagi menangkap beruk jantan liar yang sering menghampiri beruk betina saya kerana khuatir menimbulkan kecederaan penduduk.

“Namun amaran saya tidak di endahkan kanak-kanak ini selain gemar melemparkan batu dan buah sawit ke arah beruk-beruk ini, padahnya mereka di serang,” katanya.

Berjaya tangkap beruk liar

Tambahnya turut bersimpati kerana ketika kejadian berlaku dia masih di Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan termasuk mencuci luka lama akibat dipatuk ular tedung selar kira-kira tiga minggu lalu.

“Selepas pulang saya dengar ada anak jiran diserang beruk jantan liar itu sehingga cedera parah dan pengsan di dalam kereta sebelum tiba di Hospital Taiping.

“Saya nekad menangkap beruk jantan liar ini supaya tidak ada lagi anak jiran yang dicederakannya,” katanya.

Katanya, kini beruk jantan itu sudah berjaya di perangkap dan di dalam simpanannya dengan harapan tiada lagi kes serangan beruk terjadi terhadap anak-anak jirannnya selepas ini.

Usaha Pakya patut dipuji

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, sebelum ini Pakya tidak pernah melepaskan beruk peliharaannya yang digunakan untuk membantu memanjat pokok kelapa.

“Mengikut cerita, beruk jantan yang liar itu datang ke kawasan beruk betina peliharaan Pakya untuk mencari pasangan namun, bertindak agresif apabila mendapati kanak-kanak semakin galak membaling batu dan buah sawit ke arah pasangan beruk itu.

“Kita bersimpati ke atas nasib yang menimpa adik Nurul, bagaimanapun usaha Pakya menangkap beruk jantan yang liar itu perlu diberi pujian kerana dia sendiri terpaksa berhadapan dengan risiko diserang,” katanya.

Siasat kejadian diserang beruk

Manakala, Adun Semanggol, Ramli Tusin sempat meluangkan masa menziarahi adik Nurul yang cedera diserang beruk dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, 26 September lalu.

Ramli berkata, pihaknya berharap pihak terlibat menyiasat perkara itu dan jika perlu ambil tindakan kepada pemilik beruk berkenaan agar dapat menjadi peringatan untuk lebih berhati-hati termasuk menambat binatang peliharaan tersebut.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku lagi selepas ini dan berharap pemilik haiwan ini mengambil iktibar di atas apa yang telah berlaku,” katanya. -sh

70 maut militan Somalia serang pejabat kerajaan

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TENTERA kerajaan Somalia mengawal tempat serangan bom militan dipercayai dilakukan pemberontak al-Shabab.
Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab

MOGADISHU: Militan Somalia meletupkan bom dalam trak di depan Kementerian Pendidikan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 maut di tengah ibu negara itu, semalam.

Letupan itu didakwa dilakukan pemberontak Al-Shabaab dalam serangan terbesar terhadap ibu negara berkenaan sejak Ogos lalu.

Saksi berkata, bunyi letupan kuat di perkarangan bangunan empat kementerian kerajaan di kawasan K4 (Kilometer 4) ibu negara, Mogadishu itu ketika pelajar yang mengambil peperiksaan.

“Kami membawa 70 mayat dan 90 lagi mangsa cedera. Ramai yang masih terlantar di sana. Kebanyakan mereka melecur,” kata penyelia ambulans, Ali Muse.

Wartawan Reuters melihat sembilan mayat di kawasan yang dikawal pasukan kerajaan dan tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU).

Beliau berkata, ramai mangsa yang melecur berjalan ke arah hospital berdekatan dan polis cuba untuk memindahkan pelajar yang terperangkap dalam bangunan.

Pemisah yang berkait dengan al-Qaeda, Al-Shabab mengancam melancarkan serangan terhadap kepentingan kerajaan selepas mengarahkan pejuang mereka meninggalkan Mogadishu awal Ogos.

“Al-Shabaab yang melancarkan serangan. Sasaran kami adalah kementerian,” kata jurucakap pemberontak kepada Reuters.

Polis berkata, trak meletup di depan pintu pagar. Wartawan kedua Reuters berdekatan melihat trak pikap kerajaan meninggalkan tempat kejadian dengan dua mayat yang ditutup dan lima lagi berlumuran darah.

Polis turut melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan orang ramai. Muse berkata, beliau melihat trak itu dipenuhi petrol dan bahan letupan. Beliau berkata pelajar, tentera dan orang ramai antara yang terbunuh.

Askar berpakaian seragam dilihat membawa mangsa yang cedera dari tempat letupan manakala seorang petugas di hospital Medina, Ali Abdullahi, berkata:

“Ini adalah serangan paling ganas. Bayangkan berpuluh-puluh mangsa dibawa ke sini setiap minit. Muka ramai mangsa kehitaman kerana asap dan cuaca panas.” Al-Shabab segera mengaku bertanggungjawab dalam kenyataan di web.

“Pejuang mujahidin kami memasuki satu tempat pertemuan biasa antara menteri dan orang asing,” kata Al-Shabab. – AP

Obama anggap bukan calon utama pilihan raya 2012

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PENYOKONG Romney, Terry Spuler menunjukkan sepanduk bermaksud ‘Obama tidak berjaya’ di New Hampshire.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam menganggap dirinya bukan calon pilihan ketika memulakan kempen menjelang pilihan raya 2012 yang disifatkannya sukar tetapi pada masa sama berjanji memberi tentangan kepada pencabar Republikan dalam isu ‘nilai dan visi’.

Beliau juga mengakui bahawa rakyat Amerika tidak berada dalam keadaan lebih baik pada masa ini berbanding empat tahun lalu, satu pengakuan bahawa cubaannya menang penggal kedua untuk terus menduduki Rumah Putih dibayangi keadaan politik yang sukar.

Dalam satu temubual dengan ABC News dan Yahoo! Obama berhadapan dengan satu kaji selidik menunjukkan 55 peratus responden menganggap beliau akan jadi presiden satu penggal selain mengakui keadaan ekonomi menyukarkan masa depan politiknya.

Obama juga tidak menunjukkan keyakinan kepada kempennya kali ini dan ketika ditanya sama ada beliau akan menjadi calon bukan pilihan ketika berhadapan dengan saingannya dari Republikan tahun depan, Obama berkata, ‘sudah semestinya’.

“Dengan keadaan ekonomi, tiada lagi keraguan bahawa apa yang berlaku menjadi perhatian anda... Saya tidak kisah, saya sudah biasa jadi seorang yang bukan pilihan.”

Tetapi, Obama yang juga bersaing rapat dengan dua calon utama Republikan, Rick Perry dan Mitt Romney dalam kaji selidik, mempertikaikan bahawa pengundi Amerika akan ditawarkan pilihan yang lebih baik tahun depan.

“Satu pertandingan nilai dan visi akan berlangsung pada 2012. Tiada siapa dapat nafikan bahawa kita bukanlah di mana kita diperlukan,” katanya merujuk kepada ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi.

Sebelum itu, kempen pilihan raya semula Obama menunjukkan visi membentuk kempen 2012, mempertikaikan bahawa calon bagi Republikan lebih berminat untuk menarik sokongan Tea Party.

“Ketika Presiden berjuang untuk mewujudkan pekerjaan dan mengembalikan wang di kalangan kelas pertengahan Amerika, calon Republikan mencadangkan dilanjutkan cukai besar korporat dan potongan cukai bagi mereka yang kaya dengan menulis peraturan mereka sendiri,” kata memo itu.

Kempen itu menyifatkan Republikan juga jauh daripada aliran utama Amerika dalam isu imigrasi, pembaharuan perbankan, cukai, kesihatan, peraturan ekonomi dan pendidikan. – AFP

'Penghakiman burukkan Anwar diarah dikeluarkan'

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan sebahagian daripada penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan yang dianggap memburuk-burukkan ahli politik dan peguamnya berhubung perbicaraan liwat II.

Bagaimanapun, panel tiga anggota hakim itu menolak permohonan peguam Karpal Singh agar perkataan 'keputusan' di bawah Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman dikaji semula tafsirannya.

Panel yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin juga menolak permohonan Anwar untuk melucutkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah daripada mendengar kes berkenaan.

Dua hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang bersama adalah Hakim Tan Sri James Foong dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong.

Hakim Zulkefli , dalam mengumumkan keputusan sebulat suara itu berkata mereka mendapati bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Malik Ishak meneliti bahagian-bahagian tertentu merit kes itu "demi kesempurnaan".

Bagaimanapun mahkamah mengarahkan empat perenggan - 6, 15, 18 dan 75 - dikeluarkan daripada rekod penghakiman itu.

"Kami memutuskan perkara itu adalah ofensif dan memburuk-burukkan tertuduh dan juga peguambelanya”.

Anwar, 63, telah mengadu bahawa Hakim Abdul Malik (kanan) dalam penghakimannya berhubung kenyataan ketua pembangkang itu dari kandang tertuduh - apabila membela dirinya - bahawa pelbagai permohonan dibuat dengan tujuan melengahkan perbicaraan.

Karpal dalam hujahnya hari ini berkata penghakiman Abdul Malik bertujuan untuk memuaskan pemimpin politik yang menaunginya.

Beliau berkata tidak ada asas bagi kenyataan itu kerana merit rayuan tidak didengar di Mahkamah Rayuan ketika membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan.

malaysiakini/-

Haiwan dianiaya untuk but

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

PEKERJA memijak kepala anjing rakun.

BUT kulit haiwan asli yang dibuat daripada kulit biri-biri di Australia.
BEIJING: Imej menjengkelkan ini menunjukkan anjing rakun disiat kulitnya hidup-hidup bagi membuat but kulit haiwan tiruan murah yang dibeli oleh ribuan warga Britain.

But asli kulit haiwan dibuat daripada kulit biri-biri dari Australia yang diambil melalui penyembelihan secara wajar. Bagaimanapun, rakaman filem ini menunjukkan layanan kejam ke atas haiwan yang berlaku di China apabila kulitnya digunakan untuk membuat but bulu haiwan tiruan berkenaan.

Kulit anjing rakun yang masih hidup dan bergerak ini ditunjukkan dalam filem kempen aktivis haiwan. Haiwan yang bertimbun itu mengambil masa hingga tiga jam untuk mati.

Haiwan yang ketakutan itu dipukul dengan kayu dan dilihat menendang serta menggelupur kesakitan ketika pekerja mengelar kulitnya sebelum menyiatnya. Proses yang menyeksakan itu bermula dari kaki hingga ke bahagian atas tubuh haiwan berkenaan.

Pekerja juga dilihat memijak kepala haiwan terbabit supaya ia tidak melawan. Rakaman filem mengejutkan itu yang disiarkan dalam Herald Sun mencetuskan kemarahan dan mendorong aktivis menuntut larangan perdagangan anjing rakun.

But kulit haiwan tiruan telah membanjiri pasaran dunia dan boleh didapati di internet serta kedai kasut. Kebanyakannya dieksport ke Britain. Di Australia, di mana but asli kulit haiwan dibuat - ia dijual dengan harga hingga 200 pound (RM1,000).

Terdapat pengharaman terhadap pengimportan kulit anjing tempatan dan kulit kucing sejak 2004 tetapi kulit anjing rakun masih dibawa masuk. Siasatan dilakukan Persatuan Kemanusiaan Antarabangsa (HSI) mendapati sepasang but kulit haiwan tiruan mengandungi kulit rakun walaupun mempunyai label ‘kulit biri-biri Australia’.

Pengarah HSI, Verna Simpson berkata, puluhan produk, selain but itu menggunakan kulit anjing rakun yang diimport - dan dalam kes lain turut menggunakan kulit anjing.

metro/-

Bawa penyeksa tahanan ISA ke muka pengadilan

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Kerajaan BN digesa agar tidak menggubal akta baru yang mempunyai ciri-ciri yang bercanggah dengan prinsip keadilaan dan hak asasi manusia seperti tahan tanpa bicara, tiada semakan mahkamah dan kuasa yang melampau.

Kerajaan juga digesa membentangkan usul mansuhkan ISA di Parlimen pada sesi kali ini atau sebelum Parlimen dibubarkan untuk pilihanraya dan memansuhkan terus undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinat Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya (DDA).

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dalam desakannya turut menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan ISA dan EO dengan serta merta atau mendakwa mereka di mahkamah terbuka.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, semua mangsa ISA perlu dibayar pampasan setara dengan penyeksaan dan pengalaman pahit yang telah dilalui oleh tahanan dan keluarga mereka.

Menurut beliau, semua pemuka yang terlibat dalam menyeksa dan menganiaya tahanan ISA mesti dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, kerajaan, menteri berkenaan dan polis amanah dalam melaksanakan pelbagai prinsip yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam ucapannya, bukan sekadar servis bibir.

"GMI menggesa kerajaan patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti pengganas dan melakar pelan jangka masa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan.

"Kerajaan juga digesa patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa untuk menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political RIghts (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (Cat)," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

GMI, menurut beliau, turut menggesa pembangkang di Parlimen untuk mendesak kerajaan untuk melaksanakan kesemua tuntutan itu dalam membentangkan usul mansuhkan ISA dan EO dan seterusnya memansuhkan akta tersebut.

Kesemua gesaan itu terkandung dalam memorandum GMI yang diserahkan oleh beliau kepada Perdana Menteri di bangunan Parlimen hari ini.

Memorandum tersebut turut diserahkan oleh beliau kepada Ketua Pembangkang yang diterima oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bagi pihak Ketua Pembangkang.

Dalam memorandum tersebut, beliau antara lain berkata, GMI yang dianggotai lebih 80 NGO menyambut baik perkembangan dalam Kerajaan BN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA dan E0.

"Kami berpendapat ini sebagai kejayaan di atas kesedaran dan desakan rakyat serta usaha mangsa dan keluarga tahanan ISA sendiri yang berterusan membela diri mereka, walaupun berdepan dengan cabaran dan ancaman kerajaan dan polis yang mempertahankan kezaliman ISA," katanya.

harakahdaily/-

Fitnah kasanova

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KESAL...sebahagian wanita yang mendakwa mangsa kasanova terbabit menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka.

JOHOR BAHRU: “Dia memberitahu suami kononnya saya curang dan menjalin hubungan dengan lelaki lain. Saya pula dia beritahu suami ada hubungan dengan perempuan lain.

“Akibatnya saya diceraikan, namun selepas itu dia pula ajak saya kahwin di Siam,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Aimi, 26, mengenai ‘permainan’ seorang lelaki kasanova untuk memikat mangsanya sebelum mengikis duit mereka.

Aimi berkata, kasanova yang dikenali sebagai Man, 30-an itu amat licik memerangkap mangsa sehingga mampu memikat 20 teman wanita serentak termasuk bekas isteri dan kekasih orang, biarpun kawannya sendiri.

Rahsia Man terbongkar apabila seorang demi seorang kekasihnya tampil membuat laporan polis selepas menyedari mereka dianiaya dan terpedaya.

Menurut Aimi, Man yang juga seorang kakitangan awam beruniform sering menggunakan jawatannya itu untuk memerangkap wanita dan permainan fitnahnya menyebabkan rumah tangga sebahagian mangsanya porak-peranda. “Saya mengenali Man menerusi suami kerana mereka berkawan, namun lama-kelamaan hubungan kami tegang dan selalu bergaduh kerana termakan hasutannya yang mendakwa kami curang.

“Akibat terpedaya dengan fitnah Man, saya diceraikan talak satu oleh suami pada hujung Julai lalu. Sebelum itu, suami juga memukul dan menendang hingga badan saya lebam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Masai, semalam.

Aimi berkata, lebih menghairankan ialah selepas dia diceraikan, Man beria-ia mahu memberikan bantuan termasuk menumpangkannya di rumah seorang rakan wanitanya, selain memberinya wang RM2,000 bagi membolehkannya hidup bersendirian.

Menurutnya, Man yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kemudian menyatakan ingin memperisterikannya dengan berkahwin di selatan Thailand.

“Pelik dengan perangainya itu, saya mula terfikir apa yang dikatakannya kepada saya dan suami sebelum bertemu suami serta berbincang hasil bantuan keluarga.

“Kami rujuk semula selepas mendapati Man berniat jahat memfitnah kami suami isteri sehingga bercerai,” katanya.

Seorang lagi mangsa Man yang juga bekas teman wanita lelaki itu, Shima, 30-an berkata, dia menjalin hubungan selama 10 tahun sebelum menyedari ditipu dan diperalatkan untuk mendapatkan wang.

“Sepanjang 10 tahun bersama, saya memberinya lebih RM15,000 wang simpanan saya selepas dia memberi pelbagai alasan untuk menggunakan wang. “Sepanjang tempoh kami berkawan, tidak pernah dia mengaku sudah beristeri dan mempunyai dua anak,” katanya.

Shima berkata, Man seorang panas baran dan sering memukulnya hingga terseliuh pergelangan tangan, namun dia tetap bersama lelaki itu atas dasar sayang dan cinta.

“Bagaimanapun, saya mula tidak tahan dengan sikapnya apabila dia sering membawa wanita lain ke kelab malam dan karaoke sedangkan wang simpanan saya habis dikikis,” katanya.

Seorang lagi mangsa Man yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 18, berkata sikap romantis Man dengan kata-kata manis, peramah serta prihatin terhadap dirinya pada awal perkenalan menyebabkan dia jatuh cinta kepada lelaki itu sehingga terlanjur.

“Man berlagak romantik dan prihatin selain selalu menunjuk-nunjuk dia berharta hingga pernah memberikan saya ribuan ringgit secara tunai.

“Bagaimanapun, lama kelamaan tembelangnya pecah kerana dia membawa wanita lain ketika kami masih bercinta. Semua itu masih boleh dimaafkan kerana saya cintakannya.

“Namun, lebih dikesalkan ialah dia cuba memperalatkan saya memikat lelaki lain sebelum berpesan supaya saya mengikis wang lelaki itu,” katanya sambil memberitahu lelaki dimaksudkan ialah suami Aimi.

Aimi membuat laporan polis berhubung sikap kasanova Man di Balai Polis Masai, 3 September lalu, manakala Shima membuat laporan berhubung penipuan dan ugutan lelaki itu di Balai Polis Scinetx Seri Alam, 26 Julai lalu.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit, namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

metro/-

Muhyiddin akui Malaysia pernah dijajah

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat hari ini mengakui Malaysia pernah dijajah.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan pendirian tersebut sekaligus menafikan pandangan Majlis Profesor Negara bahawa Malaysia tidak pernah dijajah.

"Sama ada negara kita dijajah atau tidak, jawapannya, ya.

"Saya mengambil pendirian begitu walaupun ada beberapa pihak yang memberikan pandangan bahawa kita tidak dijajah.

"Kalau kita kaji sejarah, kita tahu bahawa kita sambut kemerdekaan setiap tahun takkanlah sia-sia... tapi kerana kita tahu kita dijajah. 54 tahun kita menyambut perayaan ini mestilah ada signifikannya.

"Penasihat British pada waktu itu sebenarnya memberikan nasihat kepada Raja, dalam konteks ini nasihat yang diberi harus diikut.

"Ia tidak bebas dan terpaksa mengikut apa yang dinasihat," jelas beliau yang juga Menteri Pelajaran ketika menjawab soalan tambahan oleh ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Azmin dalam soalannya meminta Muhyidin menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu yang didakwa menimbulkan kekeliruan rakyat khususnya pelajar sekolah.

"Masyarakat hari ini keliru, anak-anak di sekolah diajar Malaysia merdeka pada 31 Ogos, (tapi) ada tokoh sejarah kata Malaysia tidak pernah dijajah.

"Bulan depan anak-anak ini akan menduduki peperiksaan SPM. Sekiranya soalan ini dilontarkan kepada anak-anak maka anak-anak akan celaru.

"Maka sekiranya anak-anak ini gagal maka tanggungjawab Umno untuk memberikan penjelasan," katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Panel khas kaji semula sejarah

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sekali lagi mengulangi cadangannya sebelum ini agar ditubuhkan Panel Jawatankuasa Khas bagi membincangkan kembali sejarah negara.

Ini katanya selaras dengan cadangan yang diambil Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khalid Nordin yang mahukan subjek sejarah di peringkat sekolah dikaji semula setelah didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan bercanggah dengan fakta yang hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam buku terbarunya 'Historical Fact and Fiction'.

Syed Naquid mempersoalkan mungkin terdapat beberapa sejarah penting tidak dicatit sebelum pemerintahan Melaka dan kemungkinan beberapa fakta juga berat sebelah.

"Perbahasan mengenai sejarah ini menunjukkan kita ada masalah kepada ketepatan fakta sejarah.

"Apa salahnya kerajaan dalam isu sejarah ini termasuk isu Mat Indera dibuat satu panel khas untuk membuat penilaian menyeluruh," katanya.

harakahdaily/-

Hudud: Majlis Fatwa digesa bertindak

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 5 Okt: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengambil tindakan segera membendung pihak-pihak tertentu khususnya kenyataan pemimpin yang beragama Islam yang telah memberikan tafsiran tentang undang-undang hudud mengikut selera pemahaman masing-masing tanpa merujuk kepada ulama-ulama yang muktabar.

Demikian ditegaskan Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Nazmi Nik Din ketika mengulas keberanian pihak-pihak tertentu yang mengulas berkenaan hudud tanpa suluhan ilmu dan nasihat daripada para ulama Islam yang muktabar.

“Apa yang kita bimbangkan sekarang ialah keberanian pihak-pihak tertentu khususnya yang beragama Islam memberikan tafsiran yang tidak tepat berkenaan hudud, akhirnya orang-orang bukan Islam keliru dengan hukum hudud ini, ”kata beliau.

Beliau merujuk laporan Bernama yang menyatakan bahawa MCA menolak hukuman hudud kerana ianya bercanggah dengan kebebasan beragama dan hak asasi individu.

“Kita memahami mengapa orang bukan Islam menolak hudud bahkan penolakan mereka sebahagiannya mungkin berkaitan isu-isu teknikal seperti pertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,

tetapi apa yang kita bimbang ialah ulasan dan pandangan yang diberikan oleh pemimpin yang beragama Islam itu sendiri, tanpa panduan yang jelas daripada ulamak yang muktabar, ianya dibimbangi akan memberikan kesan perspektif yang negatif di kalangan bukan Islam,” tambah beliau lagi.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai satu institusi yang disanjung oleh umat Islam di Malaysia hendaklah mengeluarkan satu kenyataan untuk memberikan penjelasan berkenaan dengan undang-undang hudud.

“Diharap dengan penjelasan ini akan memberikan ingatan kepada pihak-pihak tertentu agar berhati-hati sebelum memberikan sebarang ulasan berkenaan isu agama kecuali setelah mendapat bimbingan dan panduan daripada ulamak yang muktabar,” ujar beliau lagi.

harakahdaily/-

Polemik hantu Mahathir

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Sedang isu hudud kecoh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menimbulkan isu undang-undang jenayah Islam itu yang enggan dilaksanakannya dahulu, tiba-tiba menyonsang arus publisiti dengan isu filem seram dan hantu pula.

Bekas Perdana Menteri itu memang pandai mencetus polemik umum untuk menjurus publisiti kepada dirinya. Sebagai orang yang paling berkuasa di Malaysia selama lebih 22 tahun, dia mahu kekal popular.

Namun, seperti juga isu hudud, isi kandungan dan polemik filem seram dan hantu yang diketengahkannya itu jelas kontang dari idea bernasnya.

Tun M pernah memuji-muji filem Avatar kerana kesan khas (special effect) dan kisah penceritaan filem yang sangat menakjubkannya. Hingga beliau membayangkan bagaimana kreativiti dan kepakaran itu mampu menjadikan Barat berbuat apa sahaja hingga ia benar-benar realistik.

Sebagai penghayat seni, kita turut kagum dengan mutu karya-karya Hollywood. Tetapi tidaklah hingga kita terlupa bahawa semua itu sekadar hiburan. Ia hanya rekaan pengkarya, ia fiksyen, ia imaginasi, ia angan-angan dan ia mitos.

Bagaimana Tun M yang dikatakan seorang yang realis boleh terpana dengan kehebatan teknologi dan pengkisahan hingga beliau lupa bahawa Avatar adalah sebuah filem fiksyen. Apakah tiada perbezaan filem seram hantu kita dengan filem fiksyen Avatar, dari segi rekaan filem cereka?

Memang tak sebanding jika kita ukur kedua-dua filem ini dari segi kualiti, tetapi konteks filem-filem seperti ini adalah fiksyen. Memang seni itu memukau jiwa dan fikiran.

Pasaran seni tempatan

Dalam konteks industri seni dan hiburan tanahair termasuk medium filem, kita tahu bahawa pasaran kita amat kecil. Majoriti peminat filem tempatan adalah orang Melayu dan Islam. Pengkarya dan penerbit sekali pun bukan Melayu seperti David Teo, perlu memikirkan pola pasaran filem tempatan.

Majoriti peminat yang sanggup membayar wang untuk ke panggung adalah mereka yang berbangsa Melayu dan dari kalangan muda. Dimensi minat golongan ini adalah karya yang berbentuk ringan – drama mudah, jenaka, sedih, aksi dan seram.

Semua ini adalah hiburan ringan dan sederhana. Bagi peminat, mudah difahami dan dilayan. Bagi pembuat filem tempatan, kos menjadi isu utama. Ini adalah kerana pasaran yang kecil.

Memang ramai yang teringin membuat filem seperti Avatar, Star Wars, Titanic, Batman atau Spiderman, namun kemampuan mereka sama ada dari segi modal atau intelek, belum mampu wujud di Malaysia. Inilah realiti yang semua harus terima.

Jika komen Tun M bahawa filem seram tempatan tidak banyak membantu membina masyarakat produktif termasuk menyelesaikan masalah dengan pendekatan saintifik, maka jelas bekas Perdana Menteri ini gagal memahami peranan karya termasuk medium filem di arena tempatan.

Isunya mudah, jika Tun M mahukan masyarakat produktif, maka mereka harus belajar ke sekolah, ikuti kursus latihan dan bekerja. Inilah jalan untuk menjadikan manusia itu produktif.

Lebih baik lagi, jika zaman beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, Malaysia dibebaskan daripada cengkaman undang-undang zalim manakala kebebasan diberikan kepada pelajar termasuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) supaya orang muda dapat mempergunakan kebebasan diri untuk meningkatkan daya fikir dan kreativiti.

Tetapi apa yang Tun M lakukan dahulu ialah melembapkan minda muda, dan hari ini mereka sudah dewasa dan kurang kreatif kerana terperuk dalam kerangka masyarakat yang takut dengan kebebasan dan dunia sekeliling, sebagaimana yang dicipta oleh Tun M sendiri yang mahu semua menurut kehendak dan acuan ciptaannya. Hasilnya, minda yang hambar setelah lebih 22 tahun duduk di bawah tempurung.

Jika Tun M mahu rakyat Malaysia kreatif dengan menggunakan pendekatan teknologi, maka gunakan pengaruhnya untuk mendesak kerajaan mereka agar anak muda diberi geran penyelidikan teknologi dan hasilnya harus diiktiraf dan dipatenkan.

Gunakan juga pengaruhnya untuk menasihatkan kerajaan supaya tidak mengharam atau menapis filem, filem pendek dan klip video yang mengajak rakyat mengundi, memilih kerajaan yang bersih atau bersikap kritikal terhadap kuasa yang mencengkam hak rakyat. Barulah minda terbuka.

Tapi sayang, kita hampir terlupa bahawa Tun M tidak lagi berkuasa untuk membuat ini semua. Dan barangkali semasa beliau memerintah, beliau turut lupa kepada golongan karyawan.

Mentaliti, cita rasa dan imaginasi rakyat Malaysia

Benarkah hanya generasi hari ini khususnya warga Melayu sangat meminati genre seram dan lawak? Bukankah zaman ibu bapa dan datuk nenek kita dulu pun genre ini semuanya popular belaka? Atau adakah genre seram dan lawak ini cita rasa yang ‘low class’?

Pertama sekali, genre seram atau lawak ini adalah elemen yang paling mudah disampaikan kepada penghayat/penonton. Bukankah seni itu juga soal ‘tarikan’? Jadi tidak salah sekiranya genre-genre ini lebih diminati oleh majoriti penonton.

Di mana-mana pun di dunia ini, manusia memang suka pada bahan lawak dan seram. Ini nilai sejagat.

Soal ia ‘low class’ atau ‘high class’ bukanlah di sini tempat yang harus Tun M harapkan. Kita cuba memahami kritikan Tun M yang mengharapkan filem tempatan mampu menyaingi filem Hollywood seperti Avatar yang penuh dengan kesan khas, kreatif dengan penggunaan teknologi yang terkini. Beliau beranggapan itulah tanda aras sesebuah filem itu bermutu atau tidak.

Dalam kes ini, kita amat kasihan dengan Tun M, harapan beliau ini samalah dengan impiannya mahukan kereta Proton mampu bersaing dengan kereta BMW atau Porsche. Ia hanyalah impian yang sia-sia kerana harapan dan cita-cita itu diurus dengan mentaliti mediocre atau hambar, jauh dari saingan global.

Bagi Tun M, naratif, isi karya dan mentaliti pengkarya itu tidak penting. Yang paling utama adalah bagimana fiksyen kita mampu dilihat standing dengan fiksyen Barat. Pelik tetapi benar, beliau mengkritik Barat tetapi Barat jugalah yang ingin disainginya.

Barangkali juga, Tun M mahu fiksyen hantu seram digantikan dengan “Ketuanan Melayu” yang beliau reka dan dukung itu harus dilihat real dan hebat dengan segala kesan khas yang tak terjangkau kemampuan pengkarya kita. Maka kerana itu, beliau mengkritik.

Mungkin juga, kritikannya, selain dari mencari publisiti, hanya sekadar mahu menutup segala kesalahannya yang menjadi punca masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu menjadi mediocre dan hanya mampu menjadi jaguh kampung melalui jeritan dan teriakan di jalanan.

Jadi Tun M sepatutnya sedar bahawa menonton filem, lebih-lebih lagi filem tempatan, hanyalah untuk hiburan. Masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu hari ini tidaklah sejahil yang beliau sangkakan. – Roketkini.com

Penduduk Sirte larikan diri elak terkena serangan bom NATO

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

SIRTE - Penduduk awam keluar dari bandar kelahiran bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam dengan menyatakan pertempuran sengit menyebabkan mereka bertindak sedemikian.

Satu barisan kenderaan yang dipenuhi dengan anggota keluarga dan barangan berbaris di sebuah pusat pemeriksaan di sebuah lebuh raya di luar Sirte.

Barang-barang itu dan identiti penduduk Libya tersebut diperiksa oleh askar-askar Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang kini mentadbir Libya selepas rejim Gaddafi tumbang pada Ogos lalu.

Seorang penduduk, Farak Mussa berkata, dia meninggalkan bandar ini kerana pertempuran di antara para penyokong Gaddafi dengan tentera NTC yang sengit.

Menurutnya, dia tidak dapat tinggal di bandar ini kerana serangan bom oleh jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

"Kenapa NATO mengebom kami?" katanya. - AFP

Belanjawan 2012: Kesejahteraan Untuk Semua

7 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Ucapan Ketua Pembangkang
MUQADDIMAH

1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.

2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan “Kesejahteraan Untuk Semua” ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.

BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT

4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.

5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?

6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.

7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;

b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;

c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;

d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan

e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.

8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.

9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.

10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.

BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK

11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.

13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.

14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.

15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri1 jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.

16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.

17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.

18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.

19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion2, apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?

20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak3.

21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.

22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.

23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 20114 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.

24. Unjuran angka inflasi5 membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6%6.

25. Makanya, tema “Kesejahteraan Untuk Semua” adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:

a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.

b. Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.

c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.

f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.

BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT

26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan7.

27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.

28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.

29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.

30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.

31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.

32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.

33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.

34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:

a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;

b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;

c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;

d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;

e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;

f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;

g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;

h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;

i. Pelaksanaan skim “Bina dan Jual” secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan

j. Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.

BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA

35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.

36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.

37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.

38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.

39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.

40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.

41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.

42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).

43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:

a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;

b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;

c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;

d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;

e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;

f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;

g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan

h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.

BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI

44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.

45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.

46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.

47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.

48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:

a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;

b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;

c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan

d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.

BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA

49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.

50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.

51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.

52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:

a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;

b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan

c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.

BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT

53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.

54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.

55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.

56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan “salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba”.

57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.

58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.

59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:

a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutak BERSIH 2.0;

d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;

e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

PENUTUP

60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.

61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.

62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.

63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.

64. Sekian, terima kasih.

harakahdaily/-