02 October 2011

60 Tahun: PAS semakin diyakini semua rakyat

Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Nazri Abdullah/Harakahdaily
  
KEPALA BATAS, 1 Okt: PAS kini sudah memasuki era baru dalam perjalanan perjuangannya yang kini mencecah usia 60 tahun sejak penubuhannya 1951, kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bercakap sewaktu menyampaikan ucaptama di Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Milenium, Kepala Batas di sini, Presiden PAS itu berkata parti Islam itu kini telah mendapat kepercayaan pelbagai pihak di negara ini.

Kepercayaan itu ujarnya hasil daripada pengamatan rakyat melihat ketabahan PAS yang tidak berganjak memperjuangkan keadilan Islam biarpun menghadapi tekanan dan penindasan sejak zaman penjajah dan penafian hak oleh pusat biarpun telah menguasai beberapa negeri.

"PAS adalah parti yang bertunjang dengan teguh dan kuat, tidak terpengaruh dibawa arus penjajah.

"Ada yang terjebak dengan Komunis, British dan Jepun. Tapi PAS tidak hanyut dengan mana-mana fahaman penjajah," katanya.

Selepas merdeka pula, PAS yang mengambil sikap menyertai pilihan raya untuk menegakkan Islam terus mendapat tekanan daripada parti pemerintah biarpun kini telah berjaya menguasai beberapa negeri bersama Pakatan Rakyat.

"Semangat faderalisme dicabul pemerintah. Sewaktu kita memerintah Terengganu hak royalti dirampas, dinafikan hak di Kelantan," katanya lagi.

Kepercayaan terhadap PAS yang perjuangannya dipandu Majlis Syura Ulama, terus menebal apabila mempamerkan pentadbiran yang baik dan adil di negeri-negeri yang dikuasai.

Jika dahulu katanya, PAS hanya dilihat diskong oleh orang Islam, namun hari ini PAS sudah mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Malah gabungan profesional dan ulama yang memimpin PAS juga telah menguatkan lagi parti itu sekaligus menafikan persepsi bahawa PAS hanya untuk golongan agama.

Sehubungan itu ujarnya, PAS kini menjadi harapan sebagai "bahtera penyelamat" kepada segala permasalahan yang sedang menimpa masyarakat pada hari ini.

"Di zaman Nabi Nuh, baterah Nabi Nuh menjadi penyelamat, di zaman ini PAS adalah bahtera penyelamat terhadap kehidupan manusia berlandaskan al-Quran, hadis, ijma' dan qias," tegasnya.

Sementara itu, lebih 7000 hadirin hadir ke Kongres 60 Tahun PAS hari ini.

Selain ucaptama presiden, kongres kali ini juga turut memberikan anugerah "Pahlawan Umat" kepada Presiden PAS ke-3 Dr. Burhanudin Al-Helmi.

Sehubungan itu, gelaran tersebut akan digunakan setiap kali nama Dr Burhanudin disebut.

Sebelum penyampaian anugerah itu yang diterima isteri beliau, jasa dan semangat perjuangan Dr. Burhanudin diceritakan melalui puisi khas yang didelamasikan Saterawan Negara, Datuk A.Samad Said.

60 tahun: PAS matang berhadapan Umno

Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawan iaitu Umno, kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 PAS kepada seluruh pendukung dan penyokongnya agar terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan.

“Semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan 60 Tahun PAS.

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Bersempena dengan Sambutan 60 tahun PAS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua para pendukung dan penyokong sejak dahulu hingga sekarang yang terus bersama dengan PAS memperjuangkan Islam agar tertegak di atas tanah air tercinta ini.

PAS adalah mata rantai perjuangan para Nabi dan Rasul bagi mengajak manusia agar kembali kepada Allah dan hukum hakam-Nya.

Prinsip PAS ini tidak pernah berubah walaupun strategi politik berbeza-beza untuk mencapai matlamat tersebut.

Ijtihad dalam politik tidak pernah menidakkan perkara yang thawabit dan tetap dalam PAS.

Strategi dan cabang agama terbuka kepada perubahan dan penyesuaian berdasarkan ijtihad.

Keanjalan inilah yang memungkinkan PAS terus relevan sehingga kini, mampu menyerap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Tahalluf siasi dengan parti yang mempunyai ideologi yang berbeza sebagai contoh, adalah strategi terbaik masa kini untuk mencapai kemenangan.

Ia tidak mengorbankan prinsip dan thawabit PAS sebagai gerakan Islam untuk melaksanakan Islam secara syumul termasuk hukum hudud.

Ulama telah memainkan peranannya yang sangat besar dalam menempuh badai perjuangan ini.

Ulama telah menjadi nadi kepada PAS dengan kedudukannya yang tinggi dalam organisasi.

Majlis Syura Ulamak menjadi pemandu kepada parti agar tidak menyeleweng daripada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi rujukan tertinggi dalam PAS.

Usia 60 tahun PAS seharusnya mematangkannya berhadapan dengan lawannya iaitu Umno.

Pelbagai rintangan dan mehnah telah dihadapi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Walaupun ada di kalangan pendokongnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan mehnah namun PAS masih mampu bertahan kerana keyakinan kepada janji kemenangan oleh Allah s.w.t.

Pilihan raya yang hampir tiba seharusnya dihadapi dengan penuh strategi dan bijaksana.

Tenaga para ulama dalam berhadapan dengan ujian besar ini adalah sangat dituntut.

Ulamak tidak harus hanya menjadi penonton di luar gelanggang tetapi harus masuk berpencak silat bersama demi untuk melaksanakan tuntutan ilmu yang dipelajari.

Inilah masanya untuk para ulama beramal dengan ilmunya agar menjadi pohon yang menghasilkan buah yang ranum dan sedap dimakan.

Buat akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan selamat ulang tahun ke-60 PAS kepada seluruh pendokong dan penyokongnya. Agar anda terus thabat dan anjal di dalam menghadapi hari-hari muka yang semakin mencabar daripada pihak musuh yang semakin hilang panduan.

Semoga dengan itu kita terus mara kehadapan dengan penuh keyakinan tentang janji Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan, dan penuh kesabaran dalam perjuangan dan dalam rintangan.

[Fikrah Islamiah] Wali fasik merosakkan perkahwinan anak sendiri

Zulkaedah 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Akhir-akhir ini kita dipaparkan isu perceraian yang amat menakutkan. Lalu ramai yang memberi ulasan bahawa semuanya berpunca daripada kursus pra perkahwinan yang tidak mencapai sasaran.

Kononnya, modul yang disediakan tidak memberi fokus kepada bagaimana membentuk keluarga islami. Dalam kursus itu juga tidak memberi penekanan kepada kaedah mengatasi krisis rumah tangga.
Menurut dakwaan mereka, kesan daripada kekurangan itu, apabila sesuatu pasangan mendirikan rumah tangga, mereka cipta formula sendiri. Ada yang ikut cara Barat, ada juga ikut cara tradisonal dan tidak kurang yang masih mencuba kaedah sendiri. Dalam keadaan itu, apabila berlaku krisis, mereka gagal mengawalnya dan akhirnya berlaku perceraian.
Sebab itu kita sering dapati terdapat keluarga yang hanya bahagia pada tiga bulan pertama perkahwinan. Malah ada yang mentamsilkan ketika itu, kalau kentut pun wangi. Tetapi setelah berlalu tiga bulan, minyak wangi pun dihidu sebagai busuk.

Kita tidak nafikan sebahagian perceraian kerana punca di atas, tetapi ramai lagi yang mendirikan rumah tangga tidak pula mengalami kes seperti itu. Jadi, alasan di atas bukanlah seratus peratus tepat.

Wali fasik punca segalanya

Sebenarnya ramai yang terlepas pandang, bahawa wali amat besar peranan dalam mengharmonikan rumah tangga anak-anak mereka. Semuanya bermula daripada watak wali dalam membesarkan anak, semasa menikahkan anak dan selepas mengahwinkan anak mereka.

Perlu ditegaskan di sini, wali dalam apa jua jenis perkahwinan pun perlu memilik watak orang yang beriman dan bertakwa. Tetapi untuk memiliki watak ini tidak cukup dengan sehari dua sebelum mengahwinkan anaknya. Watak ini perlu dilazimkan lebih lama malah sudah menjadi budaya. Hal ini kerana watak baik ini tidak boleh menjadi realiti dengan hanya sekadar lakonan.

Wali untuk sesuatu perkahwinan disyaratkan adil bukan fasiq. Jadi wali sendiri perlu mempersediakan dirinya sebagai orang yang adil. Apakah kaitan adil dalam perkahwinan anaknya? Dan apakah maksud adil dalam konteks ini?

Adil dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam konteks ini, seseorang wali itu hendaklah bertindak mengikut kehendak syariat. Kalau dia berkata pula, perkataannya mestilah benar, tidak berbohong. Ertinya seseorang wali itu tidak akan melakukan dosa apatah lagi dosa besar.
Wali yang tidak adil dalam syariat disebut fasik.

Maka wali fasik adalah ditolok kewaliannya. Jadi, dia tidak boleh menjadi wali dalam perkahwinan anak perempuannya. Jika dia menjadi wali juga dalam keadaan dia sedar kefasikannya, maka perkahwinan anaknya akan berakhir dengan masalah.
Di sini ramai yang tidak faham bagaimana seseorang itu boleh dikategorikan sebagai fasik. Sebenarnya fasik di segi bahasa ialah rosak dan di segi syarak ialah mereka yang mengekalkan dosa kecil.

Maknanya orang fasik walaupun pada dasarnya tidak melakukan dosa besar tetapi dia sukar menghindari daripada melakukan dosa kecil.

Walau bagaimanapun jika orang yang sesekali terjebak dalam dosa kecil dan setelah tersedar segera bertaubat, tidaklah dikategorikan sebagai fasik. Inilah sifat orang mukmin yang dikasihi Allah. Oleh sebab itu, mereka yang boleh bertaubat setiap masa apatah lagi setiap kali melakukan dosa kecil, bukan saja terhapus dosa tetapi terus dikasihi Allah.

Dosa kecil yang sering dilakukan umat Islam adalah yang melibatkan sesama manusia. Namun dosa tersebut sukar ditinggalkan oleh mereka kerana sudah menjadi kebiasaan. Antara dosa tersebut ialah, mengumpat, hasad dengki, menipu, hisap rokok, mencari salah orang, mendedahkan kepada ketika keluar rumah dan melihat aurat wanita.
Berdasarkan pengalaman yang lalu, dalam satu hari sekurang-kurangnya satu dosa akan dilakukan seseorang. Tetapi tidak dipastikan berapa ramai pula yang secara sedar bertaubat daripada dosa tersebut?

Fasik tidak boleh elak

Berdasarkan pengalaman itu, tidak ada seorang pun di dunia ini yang terselamat daripada fasik. Jadi, bagaimana agaknya sesuatu pasangan itu boleh diakadnikahkan sedangkan wali masih fasik. Kalau diikutkan syarat wali yang adil sudah tentu tidak seorangpun anak gadis pada hari ini boleh berkahwin.

Menyedari keadaan itu, ulama memutuskan satu kaedah penyelesaian sebelum majlis akad nikah diadakan. Caranya, para hadirin terutama wali, saksi dan pengantin perlu diajak beristighfar, syahadah dan berselawat ke atas nabi. Acara ini sebaiknya dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Nikah di tempat masing-masing.

Amalan ini termasuk dalam usaha bertaubat daripada dosa. Sekurang-kurangnya waktu majlis itu berjalan tidak ada orang yang berdosa di dalamnya. Semoga taubat mereka diterima oleh Allah. Maka atas kepercayaan semua orang sudah bertaubat dan diterima taubat, angkat nikah segera dijalankan.
Walau bagaimanapun taubat yang sekadar tiga kali istighfar, tidaklah sama dengan orang yang benar-benar bertaubat terlebih dahulu. Wali yang sudah sedia berada dalam keadaan taubat sebelumnya tentu lebih baik daripada taubat segera. Setidak-tidaknya anak yang hendak dikahwinkan itu sudah terbiasa dengan sikap ayahnya sudah bertaubat.

Wali fasik anak juga fasik

Wali yang tidak dibiasakan dengan amalan baik lazimnya akan dicontohi oleh anak-anak. Oleh sebab itu, mana-mana ibu bapa yang ada anak perempuan eloklah membuat persiapan awal dengan bertaubat. Bukan tunggu hari hendak diakadnikahkan anaknya. Pada masa yang sama didiklah anak agar menjadi anak solehah dan isteri solehah.

Semua ini penting sebelum terjadikan ikatan perkahwinan kerana biasanya orang fasik akan lupa banyak perkara, antaranya:

1. Lupa agama; mereka cuai dalam soal solat lima waktu, apabila malas dan sebuk, solat boleh ditinggalkan begitu sahaja. Malah dalam soal tauhid sesekali akan berlaku pula syirik setidak-tidaknya syirik khafi.
2. Lupa adab; mereka ini sudah tidak ambil kisah soal adab sopan. Tidak tahu bagaimana menghormati orang lain termasuk ibu bapa. Pergaulan dengan manusia banyak mengikut budaya Barat.
3. Banyak dosa; mereka ini memandang dosa seperti lalat singgah di atas hidung sahaja. Mereka tidak rasa serius untuk menolaknya.

Jika dalam keadaan ini mereka berkahwin juga, walaupun beristighfar banyak kali dilakukan belum tentu amalan buruk itu boleh dibuang daripada dirinya. Mungkin ketika itu semua dosa sudah diampunkan tetapi kesan dosa lama sukar dibuang daripada hati. Jadi, usaha di atas perlu dilakukan bagi menyelamatan perkahwinan anak-anak mereka.
Baiki kesilapan

Bagi mereka yang sudah mendirikan rumah tangga dalam kedudukan di atas eloklah melakukan sedikit muhasabah. Bertaubatlah mengikut cara yang disyariatkan iaitu empat perkara:
1.            Sesali kesilapan lalu
2.            Tidak berniat untuk mengulanginya lagi
3.            Tidak mengulangi kejahatan itu lagi.
4.            Minta maaf daripada manusia yang pernah dia berdosa.

Setelah bertaubat binalah semula hubungan suami isteri dengan sebaik-baiknya. Untuk mencapai kebahagian rumah tangga, adalah dicadangkan kedua-dua belah pihak supaya menyenaraikan sebanyak mungkin apa yang anda suka dan juga apa yang dibenci. Setelah itu, senarai suami hendaklah diberi kepada isteri dan sebaliknya senarai isteri diserahkan kepada suami.

Berdasarkan senarai itu, bandingkan mana yang sama dan mana yang tidak sama. Mungkin daripada senarai yang sama, sudah ada kesefahaman. Tetapi pada senarai yang tidak sama, perlu dibincang bagi mencari titik persamaan. Dan kalau boleh, biarlah masing-masing boleh berkompromi agar dengan itu tidak akan mengecilkan hati mana-mana pihak.
Percayalah dengan cara itu krisis rumah tangga yang sering dialami oleh orang Islam ekoran saksi fasik akhir-akhir ini dapat dibanteras. Jadi, pepatah nasi sudah menjadi bubur tidak boleh diamalkan dalam konteks ini. Hal ini kerana setiap perkara yang berlaku ada jalan penyelesaiannya. Yang penting suami tahu peranan dan tanggungjawabnya, dan isteri pula tahu peranannya dan kewajipannya.