23 August 2011

Zuraida: K'jaan tak boleh saman saya

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ketua Wanita PKR berkata kerajaan tidak boleh menyaman individu yang mengkritik, khususnya berhubung dakwaannya pendatang tanpa izin (PATI) diberikan 'skrip bersumpah' menyokong BN.

Bagaimanapun, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau tidak gentar berdepan kemungkinan dikenakan tindakan itu walaupun menganggapnya "terkeluar" daripada peruntukkan undang-undang.

"Kalau terjadi (saman), kita dapat bukti (PATI) mengangkat sumpah, ada dolak dalih dalam kerajaan.

"Apa-apa tindakan kita buat sesuatu, kita tidak buat tanpa asas. Kita bertanggungjawab," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

malaysiakini/-

Kerugian Meningkat, MAS Timbang Tangguh Terima Airbus 380

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 23 OGOS : Malaysia Airlines (MAS) sedang mempertimbangkan untuk menangguhkan keanggotaannya dalam pakatan kumpulan pesawat global, Oneworld dan penerimaan pesawat super Airbus A380 ketika pengurusan barunya sedang memfokus usaha mengurangkan kerugian.

Difahamkan MAS akan mengumumkan kerugian terbesarnya bagi suku kedua hari ini, secara tradisi tempoh perniagaan yang lemah, daripada kerugian bersih RM242.3 juta pada suku pertama yang berakhir 31 Mac lapor The Malaysian Insider hari ini.

Ia merekodkan kerugian pracukai RM532.6 juta pada suku kedua 2010.

“Exco bertemu minggu lalu dan kami sedang melihat opsyen-opsyen menangguhkan pakatan dengan Oneworld kerana ia akan menelan kos untuk menyediakan khidmat antara penyedia perkhidmatan dan juga menaik taraf ruang istirahat mengikut standar mereka,” kata sumber syarikat.

“Mereka juga melihat kemungkinan melewatkan penyerahan pesawat-pesawat A380. Ia sudah pun melewatkan penerimaannya sejak 2008 tetapi exco memikirkan sama ada ia boleh membawa hasil kepada MAS,” katanya lagi.

Jawatankuasa eksekutif yang diketuai oleh Pengerusi MAS Tan Sri Mohd Nor Mohd Yusof kini sedang menguruskan syarikat itu selepas pengarah urusannya Tengku Datuk Azmil Zahruddin meletakkan jawatan berkuat kuasa 9 Ogos lalu.

Peletakkan jawatan Azmil diumumkan selepas pemegang saham terbesar syarikat itu Khazanah Nasional Berhad menukar 20.5 peratus saham dalam MAS untuk mengambil alih 10 peratus saham dalam AirAsia pada 9 Ogos lalu.

Langkah itu membolehkan dua ketua AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dan rakannya Datuk Seri Kamaruddin Meranun duduk dalam lembaga MAS dan membantu memperbaiki kedudukan syarikat penerbangan negara itu.

Satu lagi sumber mengesahkan mengenai kemungkinan kelewatan memandangkan MAS hanya anggota lantikan Oneworld sejak Jun lalu dan ia perlu melalui satu proses, yang kemungkinan mengambil masa 18 bulan sebelum menjadi anggota penuh kumpulan pesawat penerbangan terbesar dunia.

MAS telah menempah enam A380 pada 2003 dan pesawat pertama sepatutnya diserahkan kepadanya pada April 2012.

Penyerahan pesawat terbesar sudah pun dilewatkan tiga kali iaitu sepatutnya pada Januari 2007, Januari lalu dan kemudian suku kedua tahun depan.

tv news/-

‘Politik Melampaui Perundangan di Malaysia’

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Persoalannya adakah cabang legislatif dihormati lagi oleh pemain-pemain politik negara kita? Kita mahu semua pihak menghormati dan mengamalkan tertib yang telah digariskan dalam Perlembagaan dan Undang-undang.

Tetapi, jika pihak-pihak tertentu cuba mengatasi batasan undang-undang ini, maka tatacara pentadbiran negara kita akan tergugat. Apabila ada pihak yang melihatkan diri mereka lebih tinggi daripada undang-undang dan tidak mengikuti prinsip-prinsip yang telah ditetapkan sekian lama, ini akan menzahirkan permainan kotor yang tidak adil dalam gelanggang politik negara kita.

Organisasi bukan rasmi seperti parti politik cuba membataskan aktiviti dan peranan organisasi rasmi seperti badan legislatif. Kacau ganggu seperti ini akan melumpuhkan pentadbiran negara malah kepercayaan rakyat terhadap kerajaan juga akan turut meluncur.

Walaupun organisasi tidak rasmi seperti parti politik tidak disebut dalam perlembagaan, peranannya sebagai pengerak utama kepada jentera rasmi negara kita tidak dapat dinafikan. Walau bagaimana pun permainan politik yang melampau atau keterlaluan boleh menggugat kedudukan organisasi-organisasi rasmi seperti badan perundangan.

Dalam kes Negeri Perak memang permainan politik telah melampaui kuasa badan perundangan . Dewan Negeri tidak dihormati oleh ahli-ahli politik apabila mereka merampas kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Mereka membuat pelbagai helah dan tipu muslihat untuk melanggar semua undang-undang dan perintah-perintah tetap Dewan Negeri semata-mata untuk kembali berkuasa di negeri Perak.

Kuasa Speaker Dewan Negeri dicabar malah tidak dihormati langsung. Polis berani melangkah masuk ke dalam Dewan yang mulia untuk mengusung keluar Speaker dengan menggunakan kekerasan. Dewan Negeri tidak diberi ruang untuk berfungi menjalankan tanggunjawab perlembagaan .

Ini dapat dilihat dalam sekatan yang dibuat oleh ahli-ahli politik supaya tidak membenarkan Dewan Negeri bersidang pada 3 Mac 2009. Polis dan jentera kerajaan menghalang wakil rakyat memasuki Dewan Negeri dan akhirnya terpaksa bersidang di bawah pokok.

Tambahan pula mekanisme untuk membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Dato Seri Nizar juga tidak dilakukan sehingga hari ini. Datuk Harun seorang Menteri Besar yang disukai ramai pada masa itu yang menguasai Dewan Negeri Selangor dipaksa meletakkan jawatannya melalui undi tidak percaya yang diluluskan dengan suara terbanyak pada 25 Mac 1976.

Beliau dijatuhkan oleh ahli-ahli partinya sendiri. Kejatuhan beliau berpunca daripada tindakan pemimpin kebangsaan parti yang mempengaruhi undi ahli-ahli Dewan Negeri Selangor.

Ini adalah kerana Datuk Harun enggan meletakkan jawatan selepas beliau dipecat daripada parti. Walau bagaimanapun pemimpin UMNO pada masa itu tidak memilih jalan pintas untuk melantik Menteri Besar baru dengan bantuan Istana. Proses pengundian dibuat secara demokratik untuk menjatuhkan Datuk Harun di dalam Dewan Negeri itu sendiri. Tindakan ini adalah satu amalan demokrasi yang diguna pakai oleh semua negara-negara komenwel.

Amalan demokrasi ini tidak dilaksanakan di Negeri Perak apabila Barisan Nasional merampas kerajaan daripada Pakatan Rakyat. Undi tidak percaya tidak pernah dibuat untuk menjatuhkan Datuk seri Nizar malah seorang Menteri Besar yang baru dilantik di Istana secara tergesa-gesa. Permainan politik kotor seperti ini telah menganggu perjalan Dewan Negeri di Perak. Akhirnya rakyat Negeri Perak terjerumus ke dalam kemelut politik yang masih tidak terselesai sehingga ke hari ini.

Ekoran daripada itu, Dewan Negeri tidak dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan. Pelbagai halangan dan batasan terpaksa diatur oleh Barisan Nasional untuk menyelamatkan kerajaan yang ditubuhkan secara haram. Belanjawan 2009 diluluskan dalam masa 20 minit. Persidangan Dewan Negeri pada 15 Ogos 2011 hanya berlangsung selama lebih kurang 2 jam. Ini adalah kerana kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dirampas dengan menggunakan kekerasan polis dan mahkamah.

Ketakutan itu menghantui pemimpin-pemimin UMNO dan Barisan Nasional di Negeri Perak. Walau bagaimanapun, terbukti di sini bahawa politik yang melampau ini akan mencemarkan dan akhirnya menghancurkan sistem pentadbiran negara kita yang sedia ada.

V.Sivakumar
ADUN Tronoh

PKR: Najib tunduk kepada Muhyiddin?

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Beberapa kejadian berdolak dalih dalam dasar kerajaan, membuat pemimpin PKR tertanya-tanya mengenai kemungkinan rancangan reformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang cuba digagalkan oleh timbalannya dengan tidak memberikan kerjasama.

Kes terbaru, menurut pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, membabitkan pembentuk jawatankuasa khas parlimen bagi meminda undang-undang pilihan raya di negara ini.

"Tetapi penyakit dolak dalih ini terus menular dalam jawatankuasa pilihan khas pembaharuan pilihan raya apabila PM tunduk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menegaskan pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada jawatankuasa pilihan khas tersebut," kata Nik Nazmi semasa sidang akhbar hari ini.

Menurut Nik Nazmi, setiap pelajar undang-undang dan perlembagaan Malaysia tahu kuasa membubarkan Dewan Rakyat adalah tertakluk kepada nasihat perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Mengapa PM harus mengalah kepada TPM dalam hal ini?” soalnya.

Najib pada 15 Ogos lalu berkata jawatankuasa khas itu bertujuan memastikan integriti pilihan raya umum yang akan datang tetapi menolak desakan supaya pilihan raya umum berkenaan ditangguhkan sehingga selepas jawatankuasa itu selesai menjalankan tugasnya.

Tidak berpuas hati dengan teori Nik Nazmi itu, wartawan meminta pemimpin PKR itu memberikan bukti-bukti bagi menyokong dakwaannya itu dan beliau berkata hipotesis itu adalah berdasarkan "logik".

"Apabila Najib berkata mana-mana stadium (boleh digunakan untuk perhimpunan BERSIH), kementerian dalam negeri berkata hanya stadium di Selangor boleh digunakan dan ini dituruti. Sekarang Muhyiddin berkata sesuatu, dan kemudian Najib berkata pilihan raya yang boleh dipanggil pada bila-bila masa."

Sehari selepas pengumuman Jawatankuasa Khas parlimen itu, Muhyiddin berkata tidak ada masalah dengan sistem pilihan raya di negara ini dan jawatankuasa itu hanya bagi memperkasakan sistem sedia ada.

malaysiakini/-

Bersyukurlah: Anugerah Pancaindera Yang Sihat

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Syukur kita ke hadrat Allah atas segala kurniaanNya dan marilah kita berdoa semoga akan terus dipelihara dan mampu mengerjakan amal ibadat yang dituntut dan dijauhkan dari melakukan segala yang dimurkainya.

Pada kali ini marilah kita muhasabah diri, apakah kita bersyukur, sedang bersyukur dan akan terus bersyukur kerana sejak lahir dianugerahkan pancaindera yang sihat. Kita perlu sedar akan sampai masanya anugerah itu akan ditarik balik perlahan-lahan malahan ada kemungkinan salah satunya atau sebahagiannya atau semuanya akan ditarik semula oleh Allah secara mengejut. Apakah kita telah menggunakan semua anugerah itu sewajarnya. Fikir-fiirkanlah.

Penglihatan ( Mata )

Keupayaan melihat ini amat besar gunanya, apakah yang kita menfaatkan dengan kebolehan melihat sejajar dengan tugas kita sebagai seorang Islam.

Cuba bayangkan bagaimana kecewanya kita, bila Allah tarik sedikit keupayaan mata, walaupun sementara sahaja, seperti terkena cili, pedih air bawang, dibasahi peluh bila bekerja, terpercik air kotoran, terkena ketumbit, ataupun terkena cahaya matahari yang terik, itu belum lagi cedera atau sakit kekal.

Sudah tentu waktu itu kelamkabut kita mencari air bersih, mencari ubat mata, mencari garam, mencari cermin mata hitam atau apa sahaja untuk memulihkan daya penglihatan kita.

Dengan penglihatan yang baik juga kita boleh memandu kenderaan dengan lancar, dan tahu enjin kereta berfungsi dengan baik atau tidak, minyak masih ada atau sudah berkurangan hanya dengan melihat papan jangka atau penunjuk yang ada dalam kereta yang kita naiki.

Bagaimanakah pemanduan mereka yang sudah kurang daya penglihatan mereka dan sanggupkah serta yakinkah kita jika menumpang kereta atau membonceng motosikal dipandu oleh mereka yang sudah kurang daya penglihatannya.

Orang buta juga mempunyai mata tetapi mereka tidak dapat melihat, begitu juga waktu kita tidur kita tidak dapat melihat. Oleh itu sewaktu penglihatan masih jelas gunakan untuk perkara-perkara yang diredhai Allah dan elakkan dari melihat yang tidak diredhaiNya.

Apakah kita tidak mahu bersyukur ?

Pendengaran (Telinga)

Dengan keupayaan pendengaran, kita mampu mengesan titisan air di atap yang bocor, pemburu dapat mengesan pergerakan binatang buruan, bunyi gorengan masakan, detikan jam bom jangka, ketukan di pintu, bunyi hon bila kecemasan, bunyi ombak yang kuat untuk nelayan, bacaan Qari yang baik atau kurang baik dan bermacam-macam lagi. Apakah kita menganggap itu perkara biasa sahaja dan tak perlu bersyukur kepada Allah.

Bagaimana pula kalau telinga sudah kurang pendengaran, sudah tentu cara berjalan kita akan berubah, mata akan dipaksa bekerja lebih melihat kiri kanan. Bagaimana pula kalau sewaktu berenang telinga dimasuki air, apakah kita anggap perkara biasa?

Sudah tentu bila telinga dimasuki serangga atau air, pendengaran akan mula berkurangan dan semestinya kita akan berusaha memulihkannya dengan apa cara sekalipun seperti mendapatkan rawatan pakar ataupun membeli alat pendengaran yang sesuai. Orang pekak pun ada telinga, bukan telinga tidak penting tetapi daya pendengaran itu yang lebih penting.

Apakah kita sudah cukup bersyukur ?.

Menghidu (Hidung)

Dengan keupayaan menghidu, kita dapat mengesan najis dan kotoran, dengan keupayaan menghidu juga tukang masak dapat membezakan makanan lazat atau tidak, hangus atau tidak gorengan, dengan anugerah itu juga dapat memilih ubat wangi yang diminati walaupun banyak jenis yang dipamerkan. Kita juga dapat membezakan pakaian yang bersih dengan yang belum dibersihkan.

Dengan deria bau juga mereka yang pakar yang memasuki hutan tahu kehadiran ular, harimau, beruang, monyet atau sebagainya walaupun mata belum melihat lagi. Dengan deria bau juga dapat dibezakan jenis-jenis kayu walaupun nampak macam sama sahaja,

Bau juga dapat membantu pemandu mengesan beberapa kerosakan yang mungkin berlaku kepada kenderaan yang dipandu dan ini dapat membantu mengelakkan kemalangan atau kerosakan yang lebih serius.

Belum mahukah kita bersyukur ?

Mampu Merasa Dengan Lidah

Seorang tukang masak(chef) menggunakan kekuatan deria rasa untuk menghasilkan masakan yang enak. Deria rasa ini tidak sama antara seorang dengan yang lain.

Pakar dadah juga menggunakan deria rasa untuk membezakan antara dadah dan bukan dadah, dan juga membezakan antara jenis-jenis dadah yang pelbagai jenis.

Air minuman yang pelbagai juga dapat dibezakan dengan hanya merasa walau pun tanpa melihat bahan tersebut.

Kemampuan kita membezakan antara makanan yang baik, yang tidak baik, yang masin, yang pahit, yang tawar, yang masam, yang basi, yang manis dan sebagainya sudah banyak membantu kita mendapatkan tubuh badan yang sihat. Tubuh badan yang sihat membantu kita menjalankan kerja bagi memenuhi keperluan yang kita hajati.

Bagaimanakah keadaan dan perasaan kita bila lidah sedikit melecur/terbakar terkena air atau makanan panas, atau terlalu sejuk, selesakah kita ? Sudah tentu pada waktu itu nikmat makanan sudah hilang.

Masih degilkah lagi kita dan masih tak mahu bersyukur ?

Memiliki Deria Sentuhan

Deria sentuhan amat tinggi nilainya.
Sebahagian dari kita menggunakan keupayaan deria sentuhan untuk mengenali jenis barang-barang kemas, jenis-jenis logam, mengetahui nipis atau tebal bahan walau pun tanpa melihat

Orang buta menggunakan daya pendengaran dan sentuhan untuk laluan perjalanan. Tongkat digunakan untuk membezakan tempat yang akan dipijak atau dilalui.

Tukang rumah menggunakan daya sentuhan untuk menentukan kualiti kemasan dinding, lantai dan perabot.

Kerukunan rumahtangga dan keakraban ahli keluarga juga banyak bergantung kepada keupayaan menggunakan deria sentuhan. Pakar saikologi kerap mengingatkan pasangan-pasangan yang agak berusia supaya banyak menggunakan deria-deria yang lain untuk kekal harmoni kerana deria sentuhan sudah tidak banyak membantu, betulkah ?

Bagaimana pula kalau kaki dan tangan sudah mula kebas, deria rasa sentuhan sudah tiada. Bila ini berlaku kecederaan amat mudah menimpa dan akan bermulalah kesukaran-kesukaran yang lain dalam kehidupan kita.

Ayuh marilah kita mula bersyukur dan terus bersyukur kepadaNya selagi kita bernyawa.

Dirasakan cukuplah dengan sedikit kupasan yang terdaya terhadap beberapa anugerah-anugerah yang dikurniakan Allah sejak kita dilahirkan, eloklah kita muhasabah diri kita, apakah kita sudah bersyukur dan berusaha untuk memenuhi kehendak bersyukur itu sendiri.

Setiap orang akan meningkat usia, yang muda akan tua, yang lapang akan sibuk, yang kuat akan lemah, yang sihat akan sakit dan setiap yang hidup akan mati.

Sebagai penutup marilah kita renungi dan cuba fahami beberapa potong ayat Al-Quran semoga mendapat dorongan dalam meningkatkan kesedaran dalam beribadat kepada Allah sebelum sampai waktu kita tidak kuat atau tidak mampu melakukannya lagi.

1. “ Dan pada hari ini kami matrikan (kuncikan) mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” Yaasiin 65

2. “Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah;hakikat ini memang jeias) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya ? “ Yaasiin 68

Kita selalu membaca Surah Yaasin, sewaktu menziarahi orang sakit, sewaktu malam jumaaat, nak masuk rumah baru, nak hantar jemaah menunaikan haji dan umrah, nak minta tolak bala, bila ada musibah dan lain-lain lagi. Apakah kita hanya seperti burung tiong, atau kakak tua, baca tapi tak tahu atau tak mahu ambil tahu apa yang kita baca.

3. “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri) maka tiada sesiapa pun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain dariNYa “ Ar Rad 11

4. “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” Ibrahim 7

Oleh itu dengan kesempatan yang masih ada, harap-harap Lailatul-Qadar belum datang lagi, marilah kita bersyukur kepada Allah dengan sebenar-benar bersyukur dengan melakukan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarang, mudah-mudahan kita termasuk orang-orang yang dikasihiNYa., Amin

md zainal mzd

BN Tolak Soalan DUN Yang Berkepentingan Rakyat

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sungguh sedih apabila kerajaan BN yang mebonekakan Dato Ganesan menolak soalan-soalan yang relevan dan berkepentingan rakyat yang dikemukakan oleh ADUN-ADUN Pakatan Rakyat. Setiap ADUN dikehendaki untuk menyerahkan 3 soalan lisan dan 5 soalan bertulis untuk setiap kali persidangan Dewan Negeri Perak.

Begitu juga kali ini kami wakil rakyat telah menyerahkan soalan-soalan kami di Pejabat Setiasusaha Dewan Negeri seperti mana yang dikehendaki. Tetapi, banyak diantara soalan-soalan kami telah ditolak tanpa alasan yang munasabah.

Perintah-perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang ke 22(4) menetapkan bahawa:

Seseorang ahli tidak boleh bertanya lebih daripada tiga soalan bagi jawapan lisan dan tidak lebih daripada lima soalan bagi jawapan bertulis dalam mana-mana mesyuarat Dewan; dan tiap-tiap soalan itu tidak boleh mengandungi lebih daripada tiga soalan pecahan.

Inilah kali pertama dalam Sejarah Dewan Negeri Perak begitu banyak soalan-soalan lisan dan bertulis yang dikemukakan oleh wakil rakyat telah ditolak oleh Dato Ganesan dengan alasan-alasan yang tidak sahih dan tidak masuk akal. Beliau terbukti dipergunakan oleh Barisan Nasional untuk melarikan diri daripada tanggunjawab perlembagaan.

Dato Ganesan seharusnya berasa malu kerana sanggup diperalatkan dan menjadi ‘anak patung’ Barisan Nasional. Beliau terpaksa melakukan semua ini kerana beliau adalah Speker yang masuk melalui ‘pintu belakang’ dan harus tunduk kepada semua desakan dan tuntutan pemimpin UMNO.

Sekali lagi Dato Ganesan secara terbuka dapat dilihat sebagai seorang yang tidak berkaliber malah sanggup menjual maruah jawatan Speaker semata-mata untuk membantu kawan-kawannya yang tidak berani menjawap soalan-soalan daripada wakil-wakil Pakatan Rakyat.

Walau bagaimanapun Dato Ganesan dan golongan pengecut ini harus sedar bahawa rakyat sedang memerhatikan segala tindak-tanduk dan gelagat mereka. Bila soalan daripada wakil rakyat ditolak, ini bermaksud soalan rakyat telah ditolak secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai satu contoh, soalan bertulis ke 5 yang saya kemukakan adalah seperti berikut :
Penasihat Kepada Menteri Besar Perak Dato Veerasingam pernah menyatakan dalam media bahawa beliau telah diberi peruntukan RM1 juta untuk masyarakat India oleh Kerajaan Negeri.

i) Adakah kenyataan ini benar?

ii) Jika benar, senaraikan semua projek-projek atau pemberian sumbangan yang dibuat oleh beliau untuk mengakaunkan RM1 juta tersebut.

iii) Adakah jumlah yang sama atau lebih besar telah diberikan kepada Dato Chang Ko Youn?

Soalan ini adalah soalan berkepentingan rakyat yang melibatkan wang sejumlah RM1 juta. Oleh yang demikian rakyat mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran kenyataan yang dibuat oleh beliau melalui media massa baru-baru ini.

Tambahan pula, ada isu-isu yang kontroversial yang bersangkut-paut berhubung dengan perkara yang dibangkitkan.

Kenapakah soalan ini perlu ditolak oleh Kerajaan? Ini menimbulkan lebih banyak persoalan berhubung dengan peruntukan RM1 juta itu. Rakyat berhak mengetahui adakah wang itu telah dibelanjakan dengan waras untuk tujuan-tujuan yang memberi manfaat kepada mereka.

Tetapi, sikap kerajaan melarikan diri daripada menjawab soalan ini adalah seperti ‘ada udang disebalik batu’.

Oleh yang demikian saya mendesak kerajaan memberi jawapan kepada soalan ini secara bertulis secepat yang mungkin. Ini adalah penting untuk memastikan Dewan Negeri masih lagi berfungsi sebagai satu pentas untuk ‘semak dan imbang’ dalam sistem pentadbiran kita.

Kita tidak boleh seleweng daripada prinsip bahawa badan eksekutif iaitu kerajaan harus bertanggungjawab kepada Dewan Negeri dan tidak boleh hidup tanpa sokongannya.

Jika soalan-soalan pembangkang disekat seperti ini, maka secara berdikit-dikit rakyat akan kehilangan kepercayaan kepada demokrasi berparlimen.

Kerajaan seharusnya menggunakan Dewan Negeri sebagai medan untuk memberi pandangan yang membina dan menerima kritikan yang bernas asalkan ia tidak membangkitkan perasaan perkauman yang terlampau.

YB V.Sivakumar , ADUN Tronoh

Ramadan Peluang Suburkan Iman dan Takwa

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Bertakwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa, dan carilah bekalan, sebaik-baik bekalan ialah bertakwa kepada Allah.

Seterusnya marilah kita mengambil fadilat daripada bulan Ramadan Al-mubarak dengan menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan dengan memenuhi segala rukun, syarat dan adab-adabnya supaya kita mendapat fadilat daripada ibadat fardu itu.

Fadilat atau kelebihan puasa bukan sahaja pahala besar yang dijanjikan oleh Allah, sepatutnya di dalamnya melatih diri kita sendiri untuk melawan nafsu syahwat yang dibantu oleh syaitan yang wujud dalam diri manusia sehingga menjadi perjuangan, perlawanan dan pertarungan di dalam dirinya itu.

Ibadat puasa yang diwajibkan oleh Allah adalah ajaran yang sangat mahal, melatih diri kita supaya menjadikan ibadat puasa itu sebagai perisai, penyangga yang menahankan diri kita daripada mengikut hawa nafsu syahwat yang dibantu oleh syaitan, dengan kita menahankan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Kita menyuburkan iman dan takwa di dalam diri kita supaya sentiasa mengerjakan amal yang soleh, meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Sekiranya ibadat puasa ditunaikan dengan cara yang ikhlas kerana Allah SWT, ia melahirkan sifat takwa yang menentukan harga diri kita di sisi Allah SWT kerana Allah SWT meletakkan harga diri manusia itu bukan dengan rupa paras, warna kulit, harta dan pangkat, kedudukannya mengikut takwa yang ada di dalam diri masing-masing.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain dan yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa kepada Allah SWT. (Surah al-Hujurat: 13)

Puasa juga dijanjikan dengan pahala yang sangat besar di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan daripada Allah SWT, yang bermaksud: Tiap-tiap amal kebajikan yang dilakukan oleh anak Adam digandakan pahalanya tiap-tiap satu amalan diberi sepuluh kali ganda pahalanya, melainkan puasa, terpulang kepada Aku, Akulah yang menentukan pahalanya, dia meninggalkan nafsu syahwatnya, meninggalkan makanan kerana Aku.

Itulah janji yang benar daripada Allah SWT yang disampaikan oleh nabi dan rasul yang benar. Di sana ada lagi hadis-hadis yang lain yang menunjukkan pahala yang besar yang dijanjikan oleh Allah SWT, di antaranya sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Barangsiapa yang melakukan satu amalan sunat di bulan Ramadan diberi kapadanya pahala mengerjakan amal fardu yang diwajibkan, barang siapa yang menunaikan ibadat fardu yang diwajibkan kepadanya di bulan Ramadan, diberikan kepadanya tujuh kali ganda pahala.

Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Satu sembahyang di bulan Ramadan diberi pahala laksana seribu sembahyang dan satu tasbih yang diucapkan padanya diberi kelebihan seribu tasbih. Itulah bulan Ramadan, bulan yang dihidangkan kita dengan fadilat dan pahala yang besar daripada Allah SWT.

Marilah kita merebut peluang yang berharga, yang diberikan oleh Allah yang membawa kebaikan dunia dan akhirat. Kebaikan dunia, melatih diri kita menjadi orang yang soleh, orang yang baik, yang hidup di bumi Allah dengan mengerjakan amal yang baik dan meninggalkan kejahatan.

Janji di akhirat, pahala yang besar yang dikurniakan dengan berlipat kali ganda sehingga tidak terhingga kelebihannya.

Marilah kita menjadi orang yang beriman, bukan sahaja beriman kepada Allah dan rasul-Nya termasuk beriman dengan janji Allah dan rasul-Nya daripada kelebihan puasa yang dinyatakan itu.

Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah: 183)

oleh Naim Qlate

Muslihat di sebalik permohonan maaf Kompas ?

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -


Ahad lalu, harian terkenal Indonesia Kompas memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung laporan yang diterbitkan mengenai dirinya dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Namun, permohonan maaf itu didapati hanya diselitkan dalam satu wawancara dengan Najib. Malaysiakini juga difahamkan bahawa ia juga dilakukan pada saat-saat terakhir oleh pengurusan tertinggi Kompas.

Artikel pedas, yang menjadi kontroversi itu bertajuk 'Istri PM Najib dan Cincin 24 Juta Dollar'. Ia disiarkan pada isu Kompas 4 Ogos lalu tetapi dengan mudahnya boleh dilayari di versi Internet di Malaysia.

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevAntara lain, artikel itu mengaitkan Rosmah dengan pembelian kontroversi sebentuk cincin bernilai RM24 juta, dan mendakwa bakal besan Rosmah, Maira Nazarbayev, mempunyai hubungan dengan "mafia Rusia".

Maira Nazarbayev dari Kazakhstan adalah ibu kepada Daniyar Nazarbayev yang telah bertunang dengan Nooryana Najwa, anak gadis Najib dan Rosmah.

Kompas juga dalam laporannya itu menyifatkan Rosmah sebagai menjalani "kehidupan yang penuh kontroversi", dan mengaitkannya dengan Perimekar, syarikat yang dikatakan telah menerima komisen jutaan ringgit berikutan penjualan kapal selam Scorpene.

Menurut penulis, perjanjian yang mencurigakan itu antara faktor yang membawa kepada pembunuhan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Menyedari artikel berkenaan mampu memberi kesan dan menjejaskan reputasi Najib, dua penasihat perhubungan awam tidak rasmi Najib - seorang daripada mereka dikaitkan dengan konglomerat Indonesia - bertindak segera mententeramkan keadaan - dengan meminta Kompas memohon maaf.

NONEMenurut sumber Malaysiakini, permohonan maaf yang dituntut oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada mulanya ditolak oleh editor Kompas yang bertegas mempertahankan artikel mereka, khususnya berhubung dakwaan kegiatan kongsi gelap Maira, yang juga boleh dilayari secara meluas di Internet.

Dua penasihat itu kemudiannya mengancam mengugut Kompas dengan tindakan undang-undang, tetapi ini juga gagal untuk menundukkan akhbar Indonesia yang berpengaruh itu.

Kompas, bagaimanapun bersetuju membuka ruang kepada Najib untuk menjawap dan menangkis segala tuduhan dengan menghantar editor antarabangsa, Jimmy Harianto bagi menemubual Najib di Putrajaya pada Khamis lalu.

Bagiamanapun pada Ahad lalu, agensi berita nasional Bernama mengesahkan bahawa Kompas telah meminta maaf kepada Najib.

Setakat ini, mengapa Kompas membuat pusingan U pada saat-saat terakhir belum jelas tetapi menurut sumber, keputusan berkenaan telah dibuat dalam keadaan "situasi luar biasa".

Namun, akhbar itu jelas tidak membuat permohonan maaf secara penuh - ia boleh diibaratkan sebagai 'permohonan maaf separuh'.

Malah, permohonan maaf itu diselitkan pada perenggan 10 di halaman 10 akhbar itu dalam laporan yang bertajuk 'PM Najib Razak: Demokrasi Juga Terjadi di Malaysia'.

NONEArtikel wawancara dengan Najib itu memetik perdana menteri Malaysia itu menafikan dakwaan dalam artikel Kompas sebelum ini dan diikuti dengan permohonan maaf satu ayat yang berbunyi: “Atas pemberitaan tersebut, Pemimpin Redaksi Kompas Rikard Bagun, Sabtu (20 Ogos) di Jakarta, secara khusus menyatakan permintaan maafnya kepada Ketua Kerajaan dan Keluarga."

Selain menerbitkan penafian Najib, akhbar itu juga tidak menyatakan bahawa dakwaan dalam artikelnya itu adalah tidak benar. Malah Kompas juga tidak menarik semula balik artikel, yang didakwa menghina Najib dan isterinya itu.

Namun, di Malaysia, media arus perdana mencanang-canangkan permohonan maaf itu dan menyiarkannya di halaman utama mereka.

Malaysiakini/-

Muslimat PAS Miri Semakin Aktif Mendekati Rakyat

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Gambar Menujukkan salah seorang ibu tunggal menerima sumbangan daripada YDP PAS Miri

Miri - Sekali lagi Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri melancarkan program kebajikan bersama penduduk tempatan di Taman Tunku dan Bakam. Seramai 20 ibu tunggal yang tinggal di kawasan tersebut menerima sumbangan sempena bulan Ramadan daripada Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Kawasan Miri.

PAS Kawasan Miri mengharapkan agar sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan mereka menjelang Aidilfitri yang akan diraikan pada 1 Syawal nanti. Turut hadir dalam program ini ialah YDP PAS Kawasan Miri Jofri Jaraiee yang mewakili pimpinan kawasan.



Gambar Muslimat sedang membaca kitab suci Al-Quran sempena majlis khatamal Al-Quran

Pada sebelah petangnya pula diadakan majlis khatamal Al-Quran yang anjurkan oleh para muslimat dengan penduduk tempatan di kawasan Miri dan juga di sekitar kawasan Sibuti. Dengan adanya majlis seperti ini akan mengeratkan lagi hubungan antara muslimat PAS dan juga penduduk tempatan.

Lajnah kebajikan PAS Miri akan terus turun padang bersama penduduk tempatan bukan saja dalam bulan ramadhan yang mulia ini tapi akan terus memberi sumbangan kepada semua mereka yang memerlukannya. PAS Miri akan mengamalkan konsep kearah Negara berkebajikan tidak kira musim dan akan terus menyumbang kepada semua golongan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

PAS Miri
Jofri Jaraiee

كواجيفن ممفرتاهنكن عقيدة أومت

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

خطبة عيد الفطري
كواجيفن ممفرتاهنكن عقيدة أومت

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.

وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

واهي همب-همب الله،
برتقواله كامو كفد الله دغن سبنر-بنر تقوى، دان جاغنله كامو ماتي ملأينكن دالم كادأن كامو بنر-بنر سباضاي اورغ-اورغ إسلام.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ

سيدغ حاضرين سكلين,
دانتارا كإيستيميوأن عيد الفطري دنضارا اين فد تاهون اين اداله كران اياث دسمبوت سلغ سهاري دغن سمبوتن هاري اولغ تاهون كمرديكأن نضارا. كيت مراعيكن دوا كضمبيرأن فد هاري اين دمان كيت تله برجايا منجالاني عبادة فواس سبولن رمضان دتمبه دغن كضمبيرأن مغنغ دتيك فمبيباسن نضارا داري كظاليمن فنجاجه. كضمبيرأن اين تيدق اكن كيت كخافي جك كيت ماسيه لاضي دبلغضو دان دفرينته اوليه فنجاجه يغ فستيث تيدق اكن ممبريكن حق سفنوهث باضي كيت اونتوق تروس بيباس برضرق، بيباس برضمبيرا دان بيباس مغعملكن اضام كيت.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ

سيدغ حاضرين سكلين,
كضمبيرأن دان كبيباسن اين واجب كيت فرتاهنكن سلاضي اد حياة كيت. دسباليق حق كيت مراعيكن عيد الفطري دان مغنغ كمرديكأن نضارا، اد امانه دان تغضوغجواب يغ ترلتق دباهو ستياف كيت. سباضاي خليفة الله دموكا بومي، كيت واجب ممستيكن بهوا دنيا اين دتدبير اوليه مريك يغ مغتهوءي تغضوغجواب مريك أونتوق منجاض اضام دان منتدبير دنيا دغن فراتوران اضام الله.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين يغ درحمتي الله سكلين,

أومت اسلام دنضارا اين سدغ مغهادافي انخامن ترهادف عقيدة دان كإيمانن مريك. كبيباسن فغانوت اضام لأين باضي مغعملكن اضام مريك تله مولا دسالهضوناكن اوليه موسوه-موسوه الله. افاكه أومت اسلام يغ تيغضل دنضارا يغ دفرينته اوليه أورغ-أورغ بوكن اسلام اكن دبنركن سبيباس- بيباسث مثيبركن اجاران اسلام كفد فغانوت اضام نضارا ترسبوت. ماله دسبهاضين بسر نضارا بوكن اسلام أومت اسلام دهالغ برعمل دغن اجاران اسلام ماله دكناكن برباضاي اوندغ-اوندغ كاروت سباضايمان مشاركت اسلام زينجياغ (XINJIANG)، بارت لاوت خينا يغ دحرامكن برفواسا، برصلاة تراويح دان

منجالنكن اكتيؤيتي كأضمأن اوليه كراجأن مريك. باضي أومت اسلام يغ بردضيل اكن دكناكن برباضاي حكومن يغ دريكا سسوكا هاتي مريك. مك افاكه واجر كتيك كيت ممرينته كيت ممبياركن مريك برضرق بيباس ممرتدكن أومت اسلام. كضمبيرأن كيت مثمبوت رمضان تله دخماري دغن بريتا ساتو ضريجا خوبا ممرتدكن أومت اسلام دغن ممبري مكانن فرخوما دان بنتوان كواغن. كيت جوضا دضمفركن دغن كيس فوست تويشين (Tuisyen) يغ مماسوقكن فغاروه كريستيان (Kristian) كفد انق-انق أومت اسلام. مك افاكه تينداقكن كيت دالم مغهادافي كضاواتن اين. جك تيدق اد

تينداقكن تضس درفد فيهق بركواس، مك افاكه جامينن بهوا فركارا اين تيدف اكن براولغ. سيا-سياله سمبوتن عيد الفطري دان سمبوتن كمرديكأن يغ كيت سمبوت فد تاهون اين جك كيت هاث ممبياركن سهاج سودارا سأضام كيت دمرتدكن، سدغكن دالم ماس يغ سام كيت بربغضا دغن كواس فمرينتاهن يغ اد فد كيت. نينيق مويغ كيت برقوربان ثاوا ممبيباسكن عقيدة كيت داري فنجاجه، مالغث كيت ممبياركن انق خوخو كيت دروسقكن عقيدة مريك سوينغ-وينغث دالم فمرينتاهن كيت.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ

مسلمين مسلمات يغ درحمتي الله,
سوكرث اونتوق كيت ممفرتاهنكن عقيدة اومت اسلام كران كيت تيدق فرنه ماهو برساتو اونتوق منداولاتكن اسلام. كيت ماسيه سوك منوديغ جاري مثالهكن فيهق لأين بربنديغ ملاكوكن سسواتو اوسها اونتوق مثلسايكنث. فيهق بركواس بلوم ماهو مغضوناكن سفنوهث كواس يغ اد فد مريك سهيغضا بلوم اد لاضي اوندغ-اوندغ يغ تضس باضي ممليهارا عقيدة رعية جلاتا. فيهق خرديق فنداي دان علماء تيدق فرنه برهنتي برتلاضه مغنإي حكومن كفد فساله مرتد والاوفون اد حديث صحيح يغ جلس مغنإيث. فغعمل اوندغ-اوندغ تيدق سوده-سوده دغن فرخغضاهن بيدغ كواس انتاره محكمة عوام دان محكمة شريعة سهيغضا اوسها-اوسها مغاتاسيث بلوم خوكوف منتف دان بركسن. لبيه مالغ لاضي اد اومت اسلام يغ مننتغ اوسها فغواتكواسأن فيهق بركواس دغن الاسن بهوا اسلام اداله اضام "حجة". باضي مريك ستياف فركارا مستيله ددبتكن دان مغضوناكن حجة باضي مغهالغث داري دلاكوكن. الله سبحانه وتعالى ممرينتهكن "أمر معروف نهى منكر" دالم ممستيكن شريعة اسلام ترلقسانا

. الله برفرمان دالم سورة النحل اية ك 125 :
ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ ﴿١٢٥﴾

سروله كجالن توهنمو ﴿واهاي محمد﴾ دغن حكمة دان نصيحت يغ باءيق دان برباحثله دغن مريك دغن خارا يغ لبيه باءيق; سسوغضوهث توهنمو، دياله جوا يغ لبيه مغتاهوي اكن اورغ يغ سست دري جالنث دان دياله جوا يغ لبيه مغتاهوي اكن اورغ-اورغ يغ مندافت هداية فتونجوق.
دالم أية اين الله مثبوتكن 3 قاعدة اوتام دالم بردعوة دان ملقساناكن شريعة الله. كباثقكن علماء تفسير منفسيركن معنا " بِٱلْحِكْمَةِ " سباضاي القرءان ايت سنديري، معنا " وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ "

دغن مقصود أمر معروف دان نهي منكر دان "وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ" سباضاي برمذاكرة مغضونكن حجة. ادا فون تغضوغجواب فمرينته مستيله منخضه كموغكران دري برللواسا دغن مغضوناكن كواس يغ اد فد مريك. جك سكيراث حجة اداله ساتو-ساتوث خارا يغ مستي دضوناكن، مك اكن برللواساله كموغكران اوليه مان-مان فيهق يغ ممفو برحجة دغن باءيق باضي ممفرتاهنكن معصية اتاو جناية يغ مريك لاكوكن.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ
مسلمين مسلمات سكلين,

ستياف دري كيت ممفوثاءي فوغسي دان فرانن ماسيغ-ماسيغ دان ستياف كيت مستي ممهامي دان مغحورماتي فرانن ماسيغ-ماسيغ. ستياف اومت اسلام برتغضوغجواب سباضاي فندعوه تتافي تيدق بوليه ستياف اورغ برتيندق سباضاي فندعوة سفنجغ ماس. جك سموا اورغ مغضوناكن فندكاتن دعوة، مك تيدق اكن اد سسيافا يغ اكن ملقساناكن توضس فغواتكواسأن دمي منجاض كسلامتن نضارا.

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ , وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ , وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ , أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

خطبة كدوا

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ،
اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ، اللهُ أَكْبَرُ ،

اللهُ أَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُوْنَ.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكَ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ إِمَامِ الْمُتَّقِيْنَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ سَارَ عَلَى نَهْجِهِ وَجَاهَدَ جِهَادَهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ. وَتَزَوَّدُوْا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

مسلمين دان مسلمات يغ درحماتي الله سكلين،
ساي برفسن كفد كامو سموا دان جوض كفد ديري ساي سنديري سفاي برتقوى كفد الله تعالى دغن سبنر-بنر تقوى. سسغضوهث برجاياله اورغ-اورغ يغ برتقوى ددنيا دان دآخرة. خاريله بكالن،

كران سسغضوهث بكالن يغ تربأيك اياله برتقوى كفد الله.
فد هاري راي عيدالفطري يغ مليا اين، كيت بركمفول درومه الله انتوق ممبسركن الله، برتحميد دان برتكبير مننداكن كشكوران يغ تيدق ترهيغض كفد الله يغ تله مغورنياكن نعمة ايمان دان اسلام. كيت جوض برشكور دان برضمبيرا كران برجاي منجالني ساتو عبادة، يأيت عبادة فواس يغ فنوه دغن اوجيان. دهارفكن بضيتوله جوض دغن عبادة-عبادة لأين يغ كيت لقسناكن دغن فنوه كإخلاصن كفد الله.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَِلله ِالْحَمْدُ

مسلمين دان مسلمات سكلين،
باثق لاضي توضس دان أمانه يغ سفاتوتث كيت لاكوكن تتافي كيت ابايكن بضيتو سهاج. اوليه كران جناية مرتد اداله مروفاكن جناية بسر ترهادف فنخيفتا مك تيندقكن تضس مستيله دكناكن ترهادف مريك دان سسيافا سهاج يغ برشبهة دغن مريك. اوليه كران سباهاضين فنجناية اين اداله اورغ بوكن اسلام مك محكمة عوام هندقله دضوناكن باضي مغمبيل تيندقكن. حق ضولوغن مرتد سباضاي بوميفوترا هندقله دلوخوتكن كران مريك بوكن لاضي ملايو مغيكوت تعريف فرلمباضأن فرسكوتوأن. بضيتو جوضله دغن حق مريك دالم مورايثي هرتا فساكا، حق منجادي والي، هوبوغن سوامي استري

دان سباضايث.
جك مريك يغ ترليبت دالم مغضالقكن جناية اين برلاكو اداله اورغ-اورغ بوكن اسلام، مك حكومن

كأتس مريك جوض مستيله دكناكن كران اياث ملغضر اوندغ-اوندغ نضارا.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آَلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيْمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آَلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آَلِ إِبْرَاهِيْمَ، فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَّجِيْدٌ.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ اْلأَحْيَآءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا وَعَنْ وَالِدِيْنَا وَعَنْ جَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ

الرَّاحِمِيْنَ.
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ إِيْمَانًا كَامِلاً، وَيَقِيْنًا صَادِقًا، وَلِسَانًا ذَاكِرًا، وَقَلْبًا خَاشِعًا، وَعَمَلاً صَالِحًا

مُتَقَبَّلاً.
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ مِنْ كُلِّ بَلِيَّةٍ، وَنَسْأَلُكَ تَمَامَ الْغِنَى عَنِ النَّاسِ. اَللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا اْلإِيْمَانَ وَزَيِّنْهُ فِى قُلُوْبِنَا، وَكَرِّهْ إِلَيْنَا الْكُفْرَ وَالْفُسُوْقَ وَالْعِصْيَانَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الرَّاشِدِيْنَ.
اَللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.
اَللَّهُمَّ لاَ تُؤَآخِذْنَا بِمَا فَعَلَ السُّفَهَآءُ مِنَّا، وَلاَ تَحْرِمْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا فَضْلَكَ، وَلاَ تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا

مَنْ لاَ يَخَافُكَ وَلاَ يَرْحَمُنَا.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ. وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ، وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ،

وَدَمِّرِ الْكَفَرَةَ أَعْدَآءَكَ أَعْدَآءَ الدِّيْنِ.
اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَان أزلن محب الدين شاه ابن المرحوم سلطان يوسف عز الدين شاه غَفَرَ اللهُ لَهُ ، كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلاَتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلاَيَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ

الْعَالَمِيْنَ.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ.
رَبَّنَا آَتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَآءِ ذِىْ الْقُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْىِ. يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. وَاذْكُرُوا اللهَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْا عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ. وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ. وَاللهَ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ.

Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak.

Maju dengan kebendaan, akhlak musnah

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Marilah kita mengkaji satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar r.a. Daripada Amirul Mukminin Umar ibnu Khattab, katanya: Sedang kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul seorang lelaki yang putih bersih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, tidak ada tanda-tanda musafir dari jauh dan tidak ada seorang pun daripada kami yang mengenalinya.

Tiba-tiba dia duduk terlalu dekat dengan Rasulullah s.a.w. sehingga berlaga lutut dengan Rasulullah s.a.w. Dia meletak kedua belah tangannya di atas kedua paha Rasulullah s.a.w. dan berkata: Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa dia Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Islam itu ialah bahawa engkau menyaksikan yakin bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, kamu mendirikan sembahyang, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa pada bulan Ramadan dan kamu mengerjakan haji ke Baitullahilharam sekiranya mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Betul.

Sayidina Umar berkata: Kami merasa hairan, dia bertanya Rasulullah s.a.w. kemudian membenarkannya apa yang ditanya. Dia bertanya lagi, apa dia iman. Sabda Rasulullah s.a.w. iman itu engkau percaya kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul, kepada hari akhirat dan kepada qadar baik dan jahatnya. Dia berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, apa dia ihsan.

Jawab Rasulullah s.a.w. ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia melihat kamu. Lelaki itu berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku berkenaan dengan kiamat, bilakah berlaku kiamat.

Jawab Rasulullah s.a.w.: Bukanlah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku tanda-tanda kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Engkau melihat hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, orang-orang yang bangsat dan papa,

bertelanjang kerana tidak ada pakaian, yang berkaki ayam dan gembala-gembala kambing, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi, kemudian lelaki itu berundur.

Sayidina Umar berkata: Kami terdiam. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. bertanya: Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah yang bertanya tadi. Jawab Umar: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: Itulah Jibril, dia datang kepada kamu mengajar tentang agama kamu. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan keseluruhan ajaran Islam yang terdiri daripada iman, Islam dan ihsan. Ia merupakan agenda pembangunan manusia dan masyarakat daripada Allah SWT di atas muka bumi ini agar mereka dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Allah sentiasa menguji manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud): Maha suci Tuhan yang berada dalam tangan-Nya kerajaan, Dia Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadi hidup dan mati bagi kamu untuk menguji dan mencuba kamu dalam kehidupan dunia ini siapakah di kalangan kamu yang baik amalannya, Dia ialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2)

Allah SWT tidak menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja tetapi mengutuskan para nabi dan rasul dengan membawa ajaran Islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat.

Mengapa hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan bencana sedangkan manusia berada pada tahap yang paling mewah dan kaya? Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Berlumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi (dengan menamakan sebagai bangunan pencakar langit),

begitu sombong dan angkuhnya manusia sedangkan di sana masih ada mereka yang miskin, kebuluran, terbiar sakit yang tidak ada wang untuk membiayai kos perubatan, tidak ada harta untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

Dalam masa yang sama berlakunya keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, jenayah yang membahayakan masyarakat, keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.

Marilah kita membuat muhasabah diri dan melihat bahawa puncanya adalah kerana manusia meninggalkan ajaran daripada Allah SWT. Manusia telah merosakkan iman, Islam dan ihsan. Iman itu ialah kepercayaan kepada Allah dan segala perintah Allah SWT. Tetapi hari ini kita melihat umat Islam lemah dan ada yang runtuh musnah.

Mereka lari daripada petunjuk Allah SWT dengan mencipta petunjuk sendiri dan mereka sesat dalam petunjuk tersebut. Allah SWT mengajar mereka dengan kemusnahan itu agar mereka sedar dan insaf.

Islam itu ialah syariat Allah yang mengatur kehidupan manusia sama ada diri, keluarga, masyarakat dan pembangunan negara. Manusia telah meninggalkan syariat Allah SWT dengan membuat peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT serta berlagak seolah-olah lebih pandai daripada Allah SWT.

Ada juga yang terlibat dalam makanan, minuman, pakaian, pergaulan yang haram serta melakukan perbuatan yang melampaui batas-batas syarak. Manakala ihsan itu ialah akhlak dan hubungan yang baik dengan Allah SWT.

Manusia hari ini memutuskan hubungan dengan Allah SWT, mengadakan hubungan secara tipu dan tidak ikhlas di hadapan Allah SWT, kononnya menunjuk-nunjuk Islam tetapi dalam masa yang sama merobek-robekkan Islam.

Berlakunya keruntuhan dalam rumah tangga iaitu ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab terhadap anak dan isteri serta sebaliknya. Hubungan keluarga musnah dan hancur. Sudahlah meninggalkan hubungan dengan Allah SWT, berlagak sombong dengan Allah, berbangga-bangga dengan kemegahan dan kemewahan.

Marilah kita melihat dengan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, adakah amaran Rasulullah s.a.w. telah berlaku. Perhatikanlah dengan hati yang ikhlas.

Firman Allah (maksudnya): Dan apabila Kami menghendaki untuk menghancurkan sesuatu kampung dan negeri, Kami jadikan orang-orang yang senang dan mewah di negeri itu dengan perintah Kami, tiba-tiba mereka melakukan kejahatan, maksiat. Maka benarlah ke atas Allah firman-Nya, maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya. (Al-Israk: 16)

Penulis : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Siapa layak dapat al-qadr?

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Umat islam perlu mencari malam al-qadr melalui pengisian berqiamullail dan ibadat yang lain.

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

oleh : Naim Qlate

Keutamaan berzakat dalam Ramadan

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Alhamdulillah, kita masih dipanjangkan usia sehingga dapat lagi bertemu dengan tetamu istimewa, iaitu Ramadan al-Mubarak ini. Mudah-mudahan kita dapat mentransformasi diri menjadi manusia bertakwa setelah menjalani kursus fizikal dan disiplin rohani selama sebulan penuh di madrasah Ramadan.

Menyentuh mengenai ibadah zakat fitrah dan zakat harta, maka Ramadan memang waktunya bagi umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Ibnu Umar r.a pernah meriwayatkan: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah di bulan Ramadan kepada setiap orang Muslim, sama ada dia merdeka atau hamba, lelaki mahu pun perempuan. Iaitu (jumlahnya) segantang kurma atau gandum. (riwayat Imam Muslim)

Namun begitu, ulama khilaf bilakah waktu yang paling utama atau menjadi wajib menunaikannya. Sama ada di awal Ramadan, pertengahan mahu pun sejurus sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Maka dalam hal ini, fuqaha telah membahagikan waktu pembayaran zakat fitrah kepada empat segmen. Iaitu harus yang bermula dari awal Ramadan, menjadi wajib sebelum menunaikan solat Aidilfitri, makruh seandainya dikeluarkan selepas solat dan haram selepas terbenam matahari satu Syawal.

Bagi hikmahnya pula, Ibnu Abbas r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah dengan tujuan untuk menyucikan orang yang yang berpuasa daripada perkara buruk yang tidak berfaedah dan juga sebagai bantuan kepada fakir dan miskin.” (riwayat Abu Daud)

Oleh itu, bagaimana pula statusnya zakat harta? Jika Ramadan bulan khusus menunaikan fitrah, maka apakah zakat harta lebih baik ditunaikan pada bulan-bulan yang lain?

Maka, demi menjelaskan hal ini, sukacita dinyatakan bahawa zakat harta itu hukum asalnya tertakluk kepada haul. Iaitu tempoh matang terhadap pemilikan harta.

Jika haulnya pada bulan Zulhijjah, maka saat itulah baharu datangnya waktu wajib mengeluarkannya sebagai zakat dan inilah waktu paling utama. Selama belum cukup masanya, maka ia dianggap harus mendahulukan zakatnya. Samalah kesnya jika kita mahu menunaikan zakat fitrah pada awal Ramadan, ia dianggap waktu yang harus.

Pun begitu, kita memang dianjurkan agar mengambil kesempatan Ramadan sebagai medan melipatgandakan sedekah, termasuklah zakat. Ini sesuai dengan tindakan nabi SAW sendiri yang memperbanyakkan sedekahnya pada bulan Ramadan. Bahkan nabi menyatakan: “Sebaik-baik sedekah itu adalah pada bulan Ramadan.” (riwayat at-Termizi)

Ramadan memang bulan keberkatan yang menjanjikan pahala berkali ganda dalam segala jenis amalan. Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah bahawa nabi pernah menyatakan dalam sebuah hadis yang panjang, iaitu setiap amalan sunat diganjari pahala wajib dan setiap satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya jika dilakukan di dalam bulan Ramadan. Ulama hadis ada yang menyatakan hadis ini daif. Namun ia masih boleh dijadikan motivasi dalam beramal.

Maka, kita umat Islam wajar merenggut faedah bersedekah pada bulan Ramadan dengan melebarkannya kepada zakat harta, yakni tidak sekadar zakat fitrah semata.

Bayangkan, jika kita menunaikan zakat pendapatan RM1,000 pada bulan Ramadan, maka di sisi Allah SWT kita sebenarnya telah mendapat pahala berzakat RM70,000!

Untuk itu, sungguh pun haul kita mungkin belum sampai pada Ramadan ini, namun kita boleh sahaja menunaikannya lebih awal demi merebut gandaan pahala ini.

Bahkan daripada aspek fiqh zakat, proses mengawalkan haul zakat ini adalah diharuskan oleh Rasulullah SAW, justeru memang sudah pernah berlaku pada zaman baginda.

Saiyidina Ali kwj menyatakan, Abbas bin Abdul Mutallib dikhabarkan pernah meminta izin daripada Nabi Muhammad SAW untuk mempercepatkan haul zakatnya, lalu Nabi Muhammad SAW telah memberikan keizinan kepadanya. (Mafhum hadis riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, kita hendaklah merebut segala ganjaran pahala yang begitu besar yang telah pun disediakan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan dengan melakukan pelbagai sedekah sunat, seperti menaja majlis berbuka puasa, juga menunaikan sedekah wajib iaitu membayar zakat fitrah dan tidak sesekali melupakan zakat harta di sisinya.

Mudah-mudahan, puasa kita diterima Allah dan zakat kita juga digandakan pahala yang melimpah-ruah. Wallahua’lam.

oleh : Naim Qlate

Enam korban panah petir

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SEORANG pekerja menunjukkan lokasi tempat tiga lelaki Indonesia maut dipanah petir di sebuah tapak pembinaan di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM - Enam lelaki Indonesia terkorban manakala lima rakan senegara mereka cedera akibat disambar petir dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Jalan Rektor, Glenmarie di sini dan sebuah kebun sayur di Sungai Choh, Hulu Selangor semalam.

Kedua-dua kejadian itu berlaku ketika hujan lebat pada pukul 2.30 petang dan 2.45 petang.

Dalam kejadian di Glenmarie, tiga lelaki Indonesia maut manakala tiga rakan senegara mereka yang lain cedera.

Mereka yang terkorban dikenali sebagai Hazarin, 29, Surady, 31, dan Mohd. Nasir, 46. Tiga lagi mangsa yang cedera belum dikenal pasti kecuali seorang mangsa wanita dikenali sebagai Som, 20.

Semasa kejadian, tiga mangsa yang terkorban berada di luar rumah kongsi mereka dan berdiri di dalam lopak air.

Petir dipercayai memanah ke kawasan lopak air tempat ketiga-tiga mangsa berdiri dan mengalirkan arus elektrik yang menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkena rencatan dan mati di tempat kejadian.

kosmo/-

Baju raya hangus

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SAYU... Nordiana melihat baju rayanya yang hangus selepas kebakaran di rumahnya.

KUANTAN: “Saya tidak sempat membayar barangan persiapan menyambut Aidilfitri yang dibeli di pasar raya walaupun sudah tiba di kaunter pembayaran. Apabila dihubungi anak sulung yang memaklumkan rumah kami terbakar, saya terus bergegas pergi,” kata Ketua Pembantu Tadbir di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Samsiah Ibrahim, 54.

Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi semalam, dua rumah milik ibu tunggal empat anak berkenaan dan seorang pengawal keselamatan, Samsuddin Adabi Abdullah, 63, di Perumahan Cenderawasih, di sini, musnah terbakar.

Menurut Samsiah, rumah dua tingkat peninggalan arwah suami yang diduduki bersama empat anak sejak 25 tahun lalu itu terbakar selepas terkena api yang berpunca daripada kediaman Samsuddin yang terbakar terlebih dulu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama tiga anak keluar ke pusat bandar untuk membeli-belah barangan persiapan bagi menyambut Aidilfitri yang bakal tiba dua minggu lagi apabila dihubungi anaknya, Nik Nurfajrina Nikmat, 26, yang memaklumkan berita buruk itu.

“Sebaik tiba di rumah, hancur luluh hati melihat satu-satunya kediaman tempat saya dan anak berlindung terbakar. Malah, perabot dan perkakas elektrik turut musnah menyebabkan saya kerugian RM50,000.

“Lebih menyedihkan, kejadian berlaku ketika kami sekeluarga membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Apapun, saya bersyukur anak bersendirian di rumah terselamat dan tidak cedera,” katanya.

Nik Nurfajrina berkata, ketika menggunakan komputer riba di tingkat bawah rumah, dia apabila terdengar jeritan jiran memaklumkan ada kebakaran.

“Saya segera keluar untuk melihat kejadian tetapi terkejut mendapati rumah sendiri yang terbakar selepas api merebak dari sebelah.

“Saya tidak sempat menyelamatkan dokumen penting kerana panik dan hanya mampu menelefon ibu memaklumkan kejadian ini,” katanya.

Isteri Samsuddin, Noraini Yusof, 55, berkata dia hanya boleh melihat rumahnya hangus dijilat api tanpa sempat menyelamatkan barangan penting.

Sebelum kejadian, Noraini membaca al-Quran di tingkat bawah manakala cucunya, Dez Hariz Koh Mohd Izwan Koh, 5, pula bermain dalam bilik di tingkat atas.

“Saya hanya menyedari kebakaran apabila terdengar cucu menjerit memaklumkan bilik atas terbakar.

“Namun, saya gagal berbuat demikian kerana asap tebal menyelubungi dan pada masa sama saya terdengar jiran menjerit meminta saya cepat keluar kerana bimbang api marak, menyebabkan saya tiada pilihan selain mendukung cucu dan keluar dari rumah,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, suami dan anaknya yang juga ibu kepada kanak-kanak itu, Nordiana Samsuddin, 24, yang juga ibu tunggal, tiada di rumah kerana keluar bekerja.

metro/-

Lagi serangan roket Palestin di Israel

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BAITULMUQADDIS - Lima serangan roket dari Gaza mengenai selatan Israel dalam tempoh semalaman, beberapa jam selepas militan mengisytiharkan gencatan senjata tidak rasmi susulan pertempuran sengit dengan Israel, kata polis Yahudi semalam.

Sumber polis memberitahu, sebuah roket itu menyebabkan sebuah bangunan kosong di kawasan Eskol yang bersempadan dengan timur laut Gaza, rosak tetapi tiada kecederaan berlaku.

Tentera Israel pula menyatakan, sudah dua malam pihaknya tidak melancarkan serangan udara ke atas Genting Gaza.

Bedilan roket itu berlaku beberapa jam selepas seorang pegawai Hamas memberitahu agensi berita AFP bahawa ia mencapai persetujuan gencatan senjata tidak rasmi dengan Israel dalam rundingan yang ditaja oleh Mesir.

"Kami mencapai persetujuan tidak formal untuk mengadakan gencatan senjata dari malam ini (kelmarin) dengan syarat Israel menghentikan serangannya," kata pegawai itu.

Menurutnya, Hamas telah menggesa Jihad Islam supaya menghentikan serangannya selepas kumpulan itu membedil dua buah roket ke bandar Ashkelon di selatan Israel malam kelmarin. - AFP

Penduduk Libya rai kejayaan tewaskan Gaddafi

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TRIPOLI, Libya - Pemberontak dan penduduk Libya meraikan kejayaan mereka di Dataran Hijau di sini semalam selepas mereka menawan kebanyakan kawasan di ibu kota negara berkenaan.

Pertahanan Gaddafi hancur manakala pemerintahan kuku besinya selama 42 tahun juga berakhir, namun di mana pemimpin Libya itu kini bersembunyi masih tidak dapat dipastikan.

Pergolakan di Libya bermula pada Februari lalu apabila sejumlah penduduk berhimpun di Benghazi dan Al Baida pada Februari lalu bagi menuntut kebebasan hak asasi manusia sebelum bertukar menjadi peperangan di antara pemberontak dengan tentera Gaddafi.

Setakat ini, hanya terdapat beberapa penentangan kecil oleh saki baki tentera Gaddafi di sini.

Terdahulu, stesen televisyen Libya menyiarkan rayuan Gaddafi kepada rakyat negara itu supaya bangkit demi mempertahankan pemerintahannya.

Pejuang pemberontak kini menawan anak lelakinya yang juga pewaris Gaddafi, Seif al-Islam.

Seif dan bapanya sebelum ini dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda kerana jenayah kemanusiaan.

Seorang lagi anak lelaki pemimpin itu berada dalam tahanan rumah.

"Semuanya sudah berakhir si rambut kerinting (Gaddafi)," jerit beratus-ratus lelaki dan wanita yang berhimpun di Dataran Hijau lewat kelmarin.

Orang ramai yang gembira dengan kekalahan Gaddafi, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan melambaikan bendera tiga warna pemberontak.

Sebahagian mereka membakar bendera hijau rejim Gaddafi dan melubangi sebuah poster yang menampilkan imejnya.

Beberapa pemimpin pemberontak berkata, kemenangan mereka selepas kebuntuan dalam perang saudara di Libya sejak enam bulan lalu, dicapai menerusi kerjasama di antara pemberontak, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan penduduk Tripoli.

Pejuang-pejuang pemberontak dari barat Libya mara lebih 30 kilometer dalam masa cuma beberapa jam kelmarin dengan menawan beberapa buah bandar dan sebuah pangkalan tentera semasa menuju ke sini.


ORANG RAMAI yang menaiki sebuah trak mengibarkan bendera baharu Libya bagi meraikan ketibaan para pemberontak di Tripoli semalam.

Pada masa yang sama, penduduk di bandar raya ini yang dibekalkan senjata oleh pemberontak secara rahsia, bangkit menentang rejim Gaddafi.

Apabila pemberontak tiba di sini, satu batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk mengawal bandar raya ini bertindak menyerah diri kepada mereka.

Seorang pegawai kanan kepimpinan pemberontak, Fathi al-Baja berkata, komander batalion berkenaan berpaling tadah selepas saudara lelakinya dihukum bunuh oleh Gaddafi beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pelan untuk menawan bandar raya ini dirancang sejak tiga bulan lalu dengan bantuan NATO dan pemberontak di sini.

Menjelang semalam, pemberontak telah menawan kebanyakan kawasan di bandar raya ini termasuk Dataran Hijau.

Rampasan Dataran Hijau merupakan kejayaan simbolik buat mereka.

Kawasan tersebut merupakan lokasi perhimpunan pro-Gaddafi yang diadakan hampir setiap malam dengan pemimpin Libya itu menyampaikan ucapannya di Kubu Merah di sebelah dataran berkenaan.

Gaddafi ialah pemimpin dunia Arab yang paling lama memerintah.

Beliau mentadbir negara Afrika Utara yang dihuni cuma enam juta penduduk dan kaya dengan minyak itu selama 42 tahun.

Sejak bertahun-tahun lamanya, pemimpin beliau dituduh mendalangi pengeboman pesawat 747 milik syarikat penerbangan Amerika Syarikat, Pan Am yang meletup di Lockerbie, Scotland dan membunuh 270 orang. - AP

Doktor Pusrawi dan pakar asing akan beri keterangan

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Perbicaraan membela diri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kes liwat yang dihadapinya memasuki hari kedua dengan pihak pembelaan dijangka mendengar keterangan daripada doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid dan dua orang pakar asing.

Pakar asing dari Australia itu adalah pakar patologi forensik, Dr David Wells dan pakar DNA Dr Brian McDonald. Mereka telah bersama pihak pembelaan sejak awal perbicaraan dan juga telah mendengar keterangan daripada pihak polis, doktor Hospital Kuala Lumpur dan ahli kimia.

Perkara menarik yang dijangkakan hari ini - adalah sama ada pihak pendakwaan akan memohon untuk memeriksa balas Anwar, yang semalam membaca satu kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh yang mengejutkan banyak pihak.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu mahkamah, bahawa beliau "teringin sangat untuk memeriksa balas Anwar". Ini di sebalik kelazimannya bahawa keterangan dari kandang tertuduh oleh seseorang tertuduh pada dasarnya tidak boleh diperiksa balas.

"Saya perlu mengkaji kes-kes yang lalu kerana saya teringin sangat untuk memeriksa balas Anwar, yang dalam pembelaannya semata-mata memberi kenyataan politik," kata Yusof.

Anwar, dalam kenyataan sepanjang 32 halaman semalam menafikan bahawa beliau mempunyai hubungan seks dengan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Beliau kemudian memperincikan konspirasi yang didakwanya didalangi oleh timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika itu, sejurus sebelum beliau kembali aktif dalam politik dengan bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh.

Menurut Anwar walaupun bukti-bukti dikemukakan terhadap pihak pendakwaan, namun, mahkamah tetap mengarahkan beliau untuk membela diri.

malaysiakini/-

Untung Maybank melonjak kepada RM6.27b

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Maybank hari ini mengumumkan satu lagi tahun yang memberangsangkan dengan catatan keuntungan kumpulan sebelum cukai untuk tahun berakhir 30 Jun, 2011 melonjak 16.8 peratus kepada RM6.27 bilion daripada RM5.37 bilion tahun lepas.

Ini dicapai dengan pertumbuhan pinjaman kukuh luar biasa di pasaran-pasaran Malaysia, Singapura dan Indonesia serta prestasi yang lebih baik di keseluruhan segmen perniagaannya, kata pengerusi Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Beliau berkata penurunan yang berterusan dalam elaun untuk kerugian terhadap pinjaman yang susut lebih daripada separuh meyumbang kepada pendapatan yang lebih kukuh itu, katanya dalam taklimat media di ibunegara hari ini.

Pendapatannya meningkat kepada RM21.04 bilion daripada RM18.56 bilion tahun lepas.

Bank komersil terbesar negara ini turut mencatatkan keuntungan faedah selepas cukai dan minoriti RM4.45 bilion, naik 16.6 peratus daripada RM3.82 bilion tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, lembaga telah mencadangkan dividen akhir di bawah pelan pelaburan semula dividen 32 sen sesaham kurang pendapatan cukai sebanyak 25 peratus.

“Kami juga boleh membayar lebih sedikit (berbanding dasar pembayaran dividen kumpulan) dan kami mahu mengekalkannya sebegitu," kata presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Saham sebanyak empat sen itu akan dibayar secara tunai dan baki 28 sen sesaham dalam bahagian boleh pilih di mana pemegang saham sama ada akan memilih untuk menerimanya secara tunai sepenuhnya atau melabur semula dalam saham-saham Maybank.

Ini membawa jumlah dividen untuk tahun kewangan kepada 60 sen sesaham, mewakili jumlah nisbah pembayaran 74.9 peratus tahun ini, melepasi dasar pembayaran dividen kumpulan 40 peratus hingga 60 peratus.

Dividen itu dijangka diagihkan pada bulan Oktober.

Ditanya sama ada rekod keputusan sedemikian boleh dikekalkan, Wahid berkata aktiviti-aktiviti projek daripada program transformasi ekonomi (ETP) akan membantu memampankan prestasi kukuh kumpulan.

“Dengan penilaian semasa kami, kami percaya terdapatnya rangsangan yang cukup daripada pelbagai projek ETP untuk memacu pertumbuhan domestik di Malaysia. Terdapatnya juga momentum yang cukup dalam bergerak ke hadapan di Singapura dan Indonesia untuk menggerakkan pertumbuhan kami."

Bagaimanapun, mengambilkira persekitaran luaran, "kami kekal yakin tetapi berhati-hati mengenai masa depan," kata beliau.

Ditanya mengenai lebih banyak langkah pengambilalihan dalam tahun kewangan, Wahid berkata fokus akan lebih menerusi pertumbuhan organik.

“Sasaran yang kami tetapkan ialah berdasarkan kepada aktiviti organik untuk tahun kewangan akan datang tetapi kami tidak menolak jika terdapatnya peluang yang berbaloi untuk kami."

Maybank Group telah menyelesaikan pengambilalihan wajibnya dan menyahsenaraikan syarikat broker Singapura, Kim Eng Holdings, bulan ini.

Mengenai pinjaman kumpulan, ia berkembang pada rentak yang paling pantas, mencecah 21.7 peratus kepada 262.0 bilion.

Ini adalah berikutan pertumbuhan pinjaman seberang laut yang menggalakkan iaitu kenaikan 29.4 peratus dan 16.8 peratus daripada operasi Malaysia, mengatasi purata industri 13.5 peratus.

Operasi Indonesia dan Singapura menyaksikan peningkatan pinjaman, masing-masing 25.8 peratus sementara operasi antarabangsa yang lain naik 38.6 peratus.

Dalam lingkungan operasi Malaysia, perbankan borong global mendahului pertumbuhan dengan 25.6 peratus diikuti dengan perkhidmatan kewangan komuniti dengan 12.9 peratus.

Portfolio pembiayaan Islam di Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 35.1 peratus.

Sementara itu, deposit kumpulan berkembang 19.0 peratus kepada RM282.0 bilion, paling tinggi sejak tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2007.

Deposit menyaksikan pertumbuhan dua digit di Malaysia sebanyak 20.8 peratus dan Indonesia 31.3 peratus sementara deposit Singapura mengembang 6.4 peratus.

Untuk tahun kewangan ke hadapan, kumpulan telah menetapkan dua petunjuk prestasi utama (KPI) yang menggalakkan iaitu pertumbuhan 16 peratus pulangan ke atas ekuiti (ROE) dan 12 peratus pertumbuhan pinjaman dan sekuriti hutang.

Kumpulan turut mengumumkan yang tahun kewangannya akan ditukar kepada 31 Disember daripada 30 Jun pada masa ini agar ia sebanding dengan syarikat senarai awam yang lain dan selaras dengan unit seberang lautnya.

Dalam pada itu, Maybank Group akan mempunyai wajah yang lebih segar mulai 9 September bagi mencerminkan lagi perkembangan signifikan yang telah dibuat serta penjenamaan semula yang bakal berlaku ke atas entiti yang baru diambilalihnya.

Kumpulan itu percaya sudah tiba masanya untuk berwajah baharu memandangkan identiti dan logo korporat Maybank telah digunakan sejak awal 1990-an.

- Bernama

Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM) mohon menjadi ahli PAS seumur hidup

Rosli menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup kepada Mohd Nizar disaksikan Razman (kiri sekali) dan Nasir ( kanan sekali). Penyerahan borang dibuat pada malam ceramah perdana sempena pelancaran penubuhan KERABAT peringkat Negeri Perak di Markaz PAS Kampung Gelok baru-baru ini.

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Bekas Naib Presiden Persatuan Bekas-Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Kapten (B) Mohd Rosli Yahaya mengejutkan banyak pihak apabila tampil di atas pentas ceramah PAS dengan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS seumur hidup.

Beliau yang juga bekas Yang DiPertua persatuan berkenaan bagi peringkat negeri Perak selama berbelas tahun, telah dilantik menjawat jawatan Timbalan Pengerusi Kelab Veteran Angkatan Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Lenggong.

Borang keahliannya diserahkan kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak, Datuk Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin pada program ceramah perdana sempena pelancaran KERABAT Perak di Markaz PAS Kampung Gelok dekat sini baru-baru ini.

Penyerahan borang keahliannya disaksikan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria dan Presiden KERABAT Malaysia, Kol (B) Nazri Mokhtar.

Lebih 2000 hadirin pada malam program itu turut menyaksikan penyerahan borang oleh Rosli yang selama di dalam PBTM, tidak henti-henti menyuarakan pembelaannya terhadap bekas-bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), balu-balu bekas tentera, anak-anak yatim bekas tentera dan semua peringkat bekas tentera.

Beliau juga lantang menuntut hak bekas-bekas tentera yang dijanjikan kerajaan, sepertimana telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, seperti pemberian tanah serta lot tapak rumah dan sebagainya.