22 August 2011

Wanita hamil 7 bulan maut kemalangan

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -





BEGINILAH keadaan kereta Honda CRV yang terbalik dan menyebabkan seorang wanita mengandung tujuh bulan maut di Jalan Bahau-Keratong kelmarin.


JEMPOL – Seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan maut apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Honda CRV yang dinaikinya dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil di Kilometer 15, Jalan Bahau-Keratong dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Lai Siew Chin, 37, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan manakala suaminya, Lai Cheon Kee, 37, yang memandu kereta tersebut cedera parah dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.
Berikutan kemalangan itu, anak dalam kandungan Siew Chin turut meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, tiga lagi penumpang kenderaan berkenaan yang merupakan adik mangsa turut cedera.
Ujarnya, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Ladang Geddes dekat sini menuju ke Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang dipandu seorang lelaki dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Waja.
“Perlanggaran itu menyebabkan kereta Kancil itu terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh pula kenderaan mangsa,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, rempuhan itu menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik sebelum terbabas ke dalam ladang sawit berhampiran.
“Mangsa yang mengandung anak kedua tersepit di dalam kenderaan itu manakala pemandu Kancil dan Proton Waja hanya cedera ringan,” jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Panel Khas untuk tutup kerja kotor BN.

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Saya ingin mengeluarkan kenyataan berhubung isu Perdana Menteri menubuhkan Panel Khas bagi menangani tanggapan awam terhadap tatacara pengendalian pilihan raya di Malaysia, tindakan ini tidak ubah seperti helah beliau untuk menutup kerja kotor BN yang telah perkuda SPR yang sepatutnya badan ini bebas dari pengaruh mana-mana parti.

Saya juga ingin persoal apakah hak mereka (Umno-BN) mengatakan bahawa tarikh pilihan raya adalah prerogatif (hak istimewa) , adakah ada mana-mana akta yang menyebut bahawa tarikh keramat tersebut merupakan hak kerajaan yang wajib dirahsiakan?.

Tindakan menyembunyikan tarikh itu pun telah menyusahkan ramai pihak terutamanya Pakatan Rakyat, malah lebih merumitkan kebebasan akses media tidak berlaku, hal in terbukti apabila Pakatan tidak diberi peluang membuat kenyataan media di televisyen sepertimana BN.

Saya ingin mencabar supaya Najib tunaikan dulu dua dari lapan tuntutan Bersih 2.0 , iaitu yang pertama gunakan dakwat kekal, dan yang kedua akses media yang bebas dan adil menjelang PRU 13 nanti.

Kerajaan diharap jangan berdolak dalih lagi dengan cuma dua perkara ini, kedua ini jika dilaksanakan pun, dari segi kos, hampir tiada risikonya memandangkan dakwat telah dibeli pada 2008 cuma ia tidak dilaksana, manakala akses media, kerajaan cuma perlu buka pintu, beri laluan kepada wakil Pakatan untuk menyatakan sesuatu kepada rakyat, mudah, ringkas dan tiada kos.

Berkenaan tarikh pilihanraya pula, perkara ini patut diumumkan kepada khalayak supaya semua warga Malaysia sempat membuat persiapan.Kalau kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi mampu melakukaknnya kenapa Malaysia tidak boleh umumkan tarikh pilihanraya lebih awal.

Banyak tindakan indakan-tindakan Najib Razak meragukan, namun beliau mengajak supaya rakyat jangan letak sebarang keraguan, dalam isu penubuhan Panel Khas menurutnya tarikh PRU13 tiada kena mengena dengannya amat meragukan, BN gagal menipu rakyat dan DS Najib perlu diragui.

Justeru kerajaan yang benar-benar “anak jantan” perlulah bersikap berani berhadapan dengan apa juga situasi, berdasarkan apa yang berlaku hari ini, Kerajaan BN bukanlah “anak jantan”, rakyat perlu tolak pemimpin yang pengecut seperti Umno-BN pada PRU 13 nanti demi menjaga maruah Negara yang semakin lama makin tidak bermaruah
.
DRS KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 22 OGOS 2011

Ancaman lanun antara faktor ikan kurang

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU — Bimbang dengan ancaman lanun terutama di pantai barat Semenanjung adalah antara faktor bekalan ikan kini agak berkurangan di pasaran.

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Mohad Khazin Hamzah bagaimanapun memberi jaminan bekalan ikan segar mencukupi sepanjang musim perayaan ini.

Bercakap kepada pemberita di sini malam tadi, beliau mengakui harga ikan di pasaran kini naik sedikit berikutan masalah itu dan LKIM sukar membendungnya kerana ikan bukan barang kawalan kecuali ikan kembung yang tidak boleh dijual melebihi RM10 sekilo.

Katanya, faktor lain yang menyumbang kepada kekurangan bekalan ialah ikan bergred A kini banyak dieksport ke Singapura kerana permintaan tinggi terhadap ikan bersaiz besar dan harganya yang mahal.

Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan itu, Mohad Khazin berkata pihaknya membawa masuk 40 peratus bekalan ikan dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Mengenai ancaman lanun, beliau berkata, kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang dipertingkatkan dan yakin masalah itu akan dapat diatasi.

Berkenaan masalah kekurangan ikan di pantai timur, Mohad Khazin berkata ia tidak begitu ketara berikutan kemasukan ikan dari Thailand.

Selain itu katanya, ikan tidak mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan terutama Aidilfitri, kerana pengguna lebih tertumpu kepada ayam dan daging. — Bernama

Pemberontak mara ke Tripoli, anak Gaddafi ditahan

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pemberontak Libya dilaporkan tiba di Dataran Hijau di tengah Tripoli, menurut Sky News yang menunjukkan semakin ramai orang berkumpul di situ.

Ramai pemuda mengibarkan bendera merah, hitam dan hijau milik pasukan anti-kerajaan dan bersorak dan menari sambil bertakbir dan melepaskan tembakan ke udara.

Ramai yang menunjuk isyarat jari keamanan sambil menjerit "beritahu Muammar dan anak lelakinya bahawa Libya mempunyai anak jantan".

Sementara itu, Reuters yang memetik televisyen al-Jazeera melaporkan anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.

“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.

Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.

"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus.

AP pula melaporkan harga minyak global dijangka mula mencatatkan penurunan sekiranya pemberontak Libya berjaya menggulingkan Gaddafi; namun kesan keseluruhannya tidak akan dirasai untuk tempoh beberapa bulan.

Malam Ahad (waktu tempatan), pasukan pemberontak bergerak ke Tripoli tanpa berdepan dengan tentangan, ia selepas beberapa jam pangkalan tentera yang mempertahankan ibu kota negara itu dimusnahkan.

Penganalisis bebas, Lipow Andrew, berkata pasaran minyak dijangka akan bertindak balas hari ini dengan mengunjurkan harga yang lebih rendah dalam "tanda lega selepas konflik semakin berakhir."

Namun, Lipow berkata, ia akan mengambil masa untuk pasaran kembali stabil selepas kenaikan harga yang besar terhasil dari penggantungan eksport minyak Libya sejak pemberontakan bermula pada Februari lalu.

Susulan pemberontakan itu, minyak diniagakan pada sekitar AS$84 setong dan menokok di atas AS$93 dan terus meningkat tinggi melebihi AS$110 pada akhir April. Permintaan dari pasaran baru muncul termasuk China juga mendorong harga yang semakin meningkat.

Harga minyak jatuh baru-baru ini bersama stok susulan kebimbangan mengenai ekonomi global.

malaysiakini/-

Tiga termasuk ‘orang kuat’ Presiden MIC dilantik Senator

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Pengerusi MIC Petaling Jaya Selatan V Subramaniam, yang diterima semula oleh Datuk G Palanivel selepas dipecat oleh kepimpinan Datuk Seri S Samy Vellu tahun lalu, dilantik sebagai senator.

Subramaniam yang turut dikenali sebagai “Barat Maniam” mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara bersama Ketua Wanita MIC Selangor S Bagiam dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk Melaka, Datuk Chiw Tiang Chai hari ini.

Upacara itu disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, lapor Bernama Online.

Samy Vellu, bekas presiden MIC, memecat Subramaniam tahun lalu dengan menggunakan kuasa presidennya ekoran kenyataannya mempertikaikan kepimpinan beliau, beberapa bulan sebelum melepaskan jawatannya.

Ketika itu Subramaniam mendakwa Samy Vellu tidak menunaikan janji mahu melantiknya sebagai anggota Dewan Rakyat.

Subramaniam memainkan peranan penting sebagai ‘pengurus’ ketika Palanivel bertanding semula mempertahankan jawatan timbalan presiden MIC pada 2009.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Subramaniam berkata: “Saya akan meneruskan kerja saya dalam parti seperti biasa, meskipun tiada jawatan ini sebelum ini, saya sudah melakukan kerja-kerja dalam parti.”

“Sekarang saya ada platform, saya akan mengutarakan isu-isu berkaitan dengan kaum India dan rakyat negara ini,” kata beliau.

Ketika ditanya mengenai nasibnya tahun lalu, Subramaniam berkata, “lupakan sahaja Samy Vellu, kita teruskan kerja untuk parti.”

Ditanya sama ada beliau merasakan kepimpinan semasa telah menghargai sumbangannya dengan memberi jawatan senator, “ya fikir begitu.”

Palanivel juga merupakan penerusi MIC Selangor.

Subramaniam dipecat dari MIC tahun bersama tiga pemimpin lain iaitu Kumar Aamaan dan K.P Samy yang merupakan anggota jawatankuasa kerja pusat dan timbalan ketua Pemuda MIC pusat V Mugilan, yang juga Ketua Pemuda MIC Selangor dan Hulu Selangor pertengahan tahun lalu.

Kesemua mereka telah diterima masuk ke dalam parti, sekali gus menimbulkan rasa tidak senang di kalangan segelintir ahli dan pemimpin MIC.

Subramaniam, 56, dan Bagiam, 52, pula dilantik sebagai Senator buat pertama kali.

Chiw, 54, yang juga Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, dilantik semula selepas penggal pertamanya berakhir pada 2008.

malaysian insider/-

Subsidi: Tidak perlu perunding a'bangsa

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Tidak perlu perunding asing bagi menasihatkan negara bahawa pengurangan subsidi akan mengecilkan bajet negara yang terus melambung, kata PAS ketika membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop.

"Malah, guru Kemas pun boleh bagi tahu anda perkara itu,” kata pengerusi Kelab Protes Barang Naik Datuk Mahfuz Omarberhubung kenyataan yang dibuat oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) itu.

Katanya, kerajaan sepatutnya lebih cekap menguruskan ekonomi negara dengan mengubal polisi fiskal yang lebih baik, memecahkan monopoli dan bekerja keras mempertahankan subsidi di sebalik kenaikan harga global.

malaysiakini/-

Al Quran di Malaysia hanya sekadar dimusabaqah

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 21 Ogos: Setiap kali tiba 17 Ramadan umat Islam di seluruh dunia diingatkan peristiwa Nuzul al Quran, turunnya kitab suci kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Tidak terkecuali juga di Malaysia, malah dijadikan cuti umum di kebanyakan negeri.

Biar pun lebih 1400 tahun al Quran diturunkan sebagai panduan bagi kehidupan manusia, malangnya di negara kita ia hanya sekadar dimusabaqahkan saban tahun.

“Musabaqah yang dianjurkan kerajaan sekadar untuk berlagu sahaja. Musabaqah hendak amalkan ajaran al Quran tidak ada,” kata pendakwah terkenal, Datuk Zawawi Yusof.

Menurutnya kesilapan yang berlaku itu berterusan sehingga ke hari ini.

Berlainan di Kelantan apabila kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu amalkan ajaran yang terkandung dalam al Quran.

Berbicara pada program Nuzul al Quran anjuran kerajaan negeri di Qaryah Ramadan baru-baru ini katanya juga, umat Islam sekarang lebih suka berbicara perkara-perkara yang kecil seperti memperdengarkan bacaan al Quran melalui pembesar suara sebelum solat Subuh.

“Sedangkan tuntutan yang lebih besar iaitu kewajiban melaksanakan Hudud dibiarkan. Sikap umat Islam sekarang perkara yang betul tidak dibuat secara betul-betul.

”Sebaliknya perkara tidak betul dibuat secara betul-betul (bersungguh-sungguh). Contohnya banyak berlaku dalam masyarakat sekarang,” ujarnya.

Hujah kepentingan penghayatan al Quran dalam kehidupan manusia dipertegaskan lagi Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dengan mengatakan al Quran bukan sekadar untuk dibaca, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan manusia.

”Manakala bagi mereka yang membaca al Quran hendaklah meningkatkan lagi darjah dengan belajar memahami dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam al Quran,” katanya.

Sementara itu pada program pengkisahan Badar Qubra di lokasi sama malam tadi Speekar Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud berkata, mereka yang melawan perjuangan Islam melakukan pelbagai cara dan muslihat.

”Kalau kita baca sirah di mana tentera kafir Quraisy menggunakan khidmat penyanyi-penyanyi wanita bagi membangkitkan semangat perajurit ketika berperang dengan tentera Islam di Badar.

”Maka tidak hairanlah apa yag berlaku pada zaman Abu Jahal turut berulang sekarang apabila artis wanita digunakan bagi mengganggu ceramah-ceramah PAS,” katanya.

Hadir sama pada program berkenaan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Fauzi Mat dan wakil Palestin, Dr Asyraf Abu Mahadi.

harakahdaily/-

Nenek diragut ketika ke klinik

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUANTAN — Ibarat jatuh ditimpa tangga, seorang wanita warga emas yang tidak sihat hilang rantai emas bernilai RM3,000 apabila diragut lelaki bermotosikal ketika dalam perjalanan ke klinik.

Mangsa yang berusia 68 tahun itu keluar bersendirian dari rumahnya di Bera untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Triang, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Nordin Mustapha, ketika ditemui di sini hari ini.

"Dalam kejadian 11 pagi Jumaat lepas itu, wanita terbabit sedang melintas jalan apabila dihampiri seorang lelaki bermotosikal yang bertindak meragut rantai lehernya,” katanya.

Warga emas terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan polis sedang mengesan suspek, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. — Bernama

Merangkak keluar hutan

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PARAH...mangsa dibawa ke unit kecemasan HTJS.

KUALA PILAH: Berpantang maut sebelum ajal perumpamaan sesuai bagi seorang lelaki apabila berjaya menyelamatkan diri selepas ditikam lapan kali di dada dan belakang badan dengan pisau sebelum dicampak ke dalam Hutan Lipur Ulu Bendul, Bukit Putus, di sini Khamis lalu.

Mangsa dikenali sebagai Arman Shah, 29, hanya tersedar setelah dua hari kejadian dan dalam kesakitan dan kehilangan banyak darah kerana kecederaan parah akibat tikaman di badannya itu berjaya merangkak keluar dari hutan itu.

Menurut sumber, selama sehari mangsa berusaha mencari jalan keluar dari hutan itu sebelum sampai ke jalan raya, tetapi malang kerana hasrat mendapatkan bantuan daripada orang ramai yang menggunakan jalan berkenaan tidak tercapai kerana tidak seorang pun mahu memberikan bantuan.

Difahamkan, berikutan itu Arman dalam keadaan lapar, dahaga dan lesu selain menahan kesakitan, terpaksa berjalan tiga kilometer ke sebuah stesen minyak di Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Menurut sumber, mangsa sampai di stesen minyak itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan dan meminta orang ramai menghubungi ambulans.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi rawatan segera di wad kecemasan,” katanya.

Menurut sumber itu, mangsa dipercayai ditikam menggunakan pisau oleh dua kenalannya di Bahau.

“Kami percaya dua rakannya itu berdendam dengan mangsa dan menyangka dia sudah mati lalu mencampak nya ke dalam hutan.

“Kita masih lagi menyiasat tempat kejadian dan mengenal pasti dua suspek utama yang melakukannya,” katanya. Menurutnya, hasil siasatan setakat ini polis tidak menolak motif samun berikutan tiada barang atau wang mangsa yang hilang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi hotline rakan cops Negeri Sembilan di talian 06-7619999. Harian Metro difahamkan, mangsa kini dirawat dan menerima beberapa jahitan di badan serta enggan ditemubual.

metro/

Qari Filipina, Qariah Malaysia Johan Tilawah Al-Quran DMDI

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MELAKA 22 OGOS : Qari Filipina, Mohamad A Asgar dan qariah Sabah, Nur Faten Izzati Rablin muncul juara Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang berlangsung di Masjid Al-Azim, malam tadi.

Mohamad, 29, dari Luzon dan Nur Farten Izzati, 19 masing-masing menerima wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Sementara itu qari dari Brunei, Awang Md Zul Hafiz Awang Tengah dan qariah dari Riau, Nurul Hayati Ismail di tempat kedua dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000, plak dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga pula dimenangi qari dari Riau Khairunnas Jamal dan qariah Sumatera Selatan Miftahul Jannah Sayuti yang menerima wang tunai RM5,000 serta sijil penyertaan.

Seramai 38 qari dan qariah dari Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Brunei, Kemboja, Sri Lanka, Australia, Afrika Selatan, Timor Leste, Madagascar, China, Mesir dan Malaysia menyertai tilawah kali kedua itu.

tv news/-

Chegubard : Tidak Sedia Jadi Calon, Khairy Pengecut

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 22 OGOS : Tindakan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyatakan kesedianya menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang disifatkan sebagai tidak wajar.

Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, ini kerana apa yang dilakukan Khairy adalah amalan lazim dalam parti Umno yang tidak memahami demokrasi dan kehendak rakyat sebenar.

"Sebenarnya mereka tidak memahami demokrasi dan kehendak rakyat, seharusnya selaku ketua Pemuda Umno dan bertaraf Naib Presiden Umno, Khairy sepatutnya menunjukkan sikap bahawa Umno itu menghormati demokrasi akar umbi"katanya memberitahu Tv Selangor.

Menurut Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard, Khairy sepatutunya yakin dengan kuasa akar umbi dalam menentukan dirinya kekal bertanding di kerusi Rembau dan bukannya membuat kenyataan akur dengan segala keputusan pucuk pimpinan sekaligus menafikan amalan demokrasi akar umbi.

"Dia (Khairy)tidak seharusnya menunjukkan sikap akur dengan teruja pada kedudukan presiden Umno dengan keadaan sedemikian rupa, sebaliknya dia harus memberi kenyataan bahawa dia yakin dengan jentera akar umbi di peringkat Rembau yang mahukan dia bertanding dengan khidmat yang dilakukan selama ini,"ujarnya.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beliau sanggup menerima keputusan kepimpinan untuk tidak meletakkannya sebagai calon pada pilihan raya umum akan datang jika bukan dianggap calon boleh menang.

Beliau berkata keputusan mengenai calon terletak di tangan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kata putus berhubung siapa calon yang membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang.

"Jika Presiden Umno memutuskan saya bukanlah calon yang boleh menang, saya terima keputusan itu," katanya kepada pemberita pada satu majlis di Kota Bharu malam tadi, lapor Bernama Online.

Mengulas lanjut perkara tersebut, Chegubard menjelaskan kenyataan seumpama itu adalah amalan lazim calon Umno dalam memastikan kedudukan mereka terus kekal walaupun menafikan hak akar umbi dalam sistem demokrasi yang sihat.

"Ini hanyalah pengulangan episod-episod lama yang mana kisahnya terpulang kepada presiden, "putih bagi presiden, putihlah kepada kami", hitam bagi presiden, hitamlah bagi kami", tetapi kepada rakyat apa jadi, kepada orang bawahan Umno apa jadi? Apa yang jelas pihak tertinggi tidak akan dengar dan peduli dengan suara mereka," jelasnya.

"Inilah yang pada akhirnya apabila selepas pilihanraya semua perkara adalah betul dan tidak boleh ditegur oleh akar umbi, saya lebih saya lebih suka menarik perhatian rakyat kearah itu daripada menyetuh isu polimik dalam Umno yang tidak pernah sudah da semakin meruncing sejak multakhir ini." tambahnya.

tv news/-

Liwat II: Najib, Rosmah, Musa akan disepina

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim membela dirinya akan menyaksikan pihak pembelaan menyampaikan sepina kepada tujuh saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datuin Seri Rosmah Mansor.

Turut akan disepina adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof.
Sebelum ini semasa sesi perjumpaan dengan peguam Anwar, minggu lalu, keempat-kempat mereka tidak mahu ditemubual.

Najib dan Rosmah juga memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang itu bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.

Sebelum ini, pasangan itu dilaporkan pernah bertemu dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di kediaman rasmi mereka ketika Najib menjadi timbalan perdana menteri.

Mereka bertemu Mohd Saiful dua hari sebelum dakwaan berlakunya insiden liwat.

Sejak hari pertama lagi, Anwar bertegaskan mendakwa wujud konspirasi politik ekoran laporan bahawa mereka bertiga mengadakan pertemuan sebelum insiden liwat didakwa berlaku.

Sepina juga akan dimohon dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang hanya dikenali sebagai'Suliati'.

Menurut peguam Karpal Singh (kiri), pihak pembelaan telah membuat permohonan dan menjangkakan saksi berkenaan akan tampil di mahkamah.

Ditanya sama ada, mereka boleh menolaknya, Karpal berkata tidak boleh dan sekiranya mereka berbuat demikian, waran tangkap boleh dikeluarkan ke atas mereka.

"Ia hanya boleh diketepikan. Setakat ini, belum ada permohonan untuk berbuat demikian,” katanya.

Pada 1998, Anwar cuba membawa perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad ke mahkamah. Bagaiamapun peguam bekas perdana menteri itu berjaya mengketrpikan permohonan tersebut.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

malaysiakini/-

Tiada demo Pemuda PAS P Pinang sokong Jais

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang tidak pernah berdemo menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Simpang Enan sepertimana yang tersiar di Utusan online baru-baru ini.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berharap Utusan online lebih berhati-hati ketika menyiarkan berita seumpama itu kerana ia boleh memburukkan nama baik Dewan Pemuda PAS negeri.

Sebenarnya, jelas beliau perhimpunan selepas solat Jumaat tempoh hari dianjurkan oleh bekas Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Nordin menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.

"Jika Dewan Pemuda PAS Negeri nak anjurkan, bukan 20 yang hadir malahan ratusan. Kami mempunyai displin sebab tidak memandai-mandai buat demo sebab ia belum mendapat rumusan daripada PAS sendiri ekoran pembatalan di saat akhir oleh pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) serta Jais untuk berjumpa pemimpin PAS," jelasnya.

Katanya, kesan berita yang tidak tepat itu menyebabkan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendapat kencaman hebat daripada blogger yang tidak mengetahui perkara sebenar.

"Sedangkan Dewan Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu soal demo secara aman berkenaan," ujarnya.

harakahdaily/-

Digelar wira kerana turunkan bendera Israel

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SEJUMLAH orang berhimpun dalam tunjuk perasaan di luar Kedutaan Israel di Kaherah, Mesir awal semalam.

KAHERAH - Seorang penunjuk perasaan Mesir menjadi wira kerana dia menurunkan bendera Israel di bangunan kedutaan rejim Zionis itu di sini kelmarin.

Tindakan itu dibuat selepas lima anggota polis sempadan Mesir mati ditembak askar-askar Israel yang sedang mengejar para pejuang Palestin.

Para pejuang Palestin itu didakwa melarikan diri ke wilayah Palestin selepas lapan rakyat Israel mati di dalam wilayah Yahudi.

Israel menyalahkan para pejuang Palestin dari Gaza yang telah menyelinap masuk ke dalam wilayah Israel sehingga mengakibatkan kematian penduduknya.

Rejim Zionis kemudian meminta maaf ekoran kematian lima anggota polis Mesir semasa insiden memburu para pejuang Palestin di wilayah Mesir dilakukan Israel.

Namun, perbuatan Israel itu mencetuskan kemarahan penduduk Mesir.

Sejumlah penduduk Mesir berhimpun di luar kedutaan Israel bagi membantah tindakan Israel yang membunuh anggota polis Mesir.

Seorang penunjuk perasaan yang bertindak berani menurunkan bendera Israel di kedutaan Israel itu dikenali sebagai Ahmed Shehat.

Bendera Israel itu kemudian dikoyak oleh sejumlah penunjuk perasaan dan menjadikannya sebagai cenderamata.

Beberapa penunjuk perasaan lain membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat.

Seorang calon presiden Mesir, Hamdeen Sabahi memuji Ahmed sebagai wira rakyat menerusi laman Twitter.

"Ini adalah untuk Palestin. Ini adalah untuk Mesir. Ini adalah untuk setiap penduduk Arab. Ini adalah untuk setiap individu yang bebas," kata salah satu mesej di Twitter mengenai keberanian Ahmed.

Kelmarin, Kementerian Luar Mesir memanggil Kuasa Usaha Israel untuk memberi amaran berhubung kejadian lima anggota polis itu mati ditembak.

Kuasa Usaha Israel itu dipanggil kerana duta Israel ke Mesir berada di luar negara. - Agensi

Kebuluran di Somalia: Lapar dan Kuasa

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sekali lagi, dunia menyaksikan bencana dahsyat di Somalia dan bahagian lain di Tanduk Afrika yang kini digelar oleh kebanyakan petugas media sebagai Tanduk Kebuluran.

Krisis kebuluran yang melanda wilayah itu meragut 29,000 nyawa kanak-kanak Somalia berumur lima tahun ke bawah, hanya dalam tempoh tiga bulan lalu.

Seramai 12 juta penduduk Somalia memerlukan bantuan makanan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memohon sumbangan ASD2.4 bilion (RM7.16 bilion) daripada negara anggotanya namun sehingga kini, badan dunia itu hanya berjaya mengumpul separuh daripada jumlah itu.

Kita semua perlu lebih berusaha untuk membantu penduduk Somalia dan rantau itu.

Negara kaya khususnya mempunyai kewajipan moral untuk membantu rakyat Somalia yang kebuluran dan menderita.

Bagi umat Islam kaya pula, kesengsaraan penduduk Somalia - kebanyakannya umat Islam - membawa mesej penting kerana ini adalah bulan Ramadan iaitu bulan yang menyaksikan umat Islam di seluruh dunia berpuasa dari waktu subuh sehingga senja.

Jika salah satu tujuan berpuasa adalah untuk memahami dan menyelami kesusahan golongan miskin dan kebuluran, krisis di Somalia ini menawarkan peluang kepada yang kaya untuk bermurah hati menyumbang kepada program bantuan makanan PBB.

Dalam krisis ini, adalah penting bagi setiap individu biasa dan komuniti bertindak balas terhadap bencana di Somalia dengan semangat perpaduan yang paling menyentuh jiwa.

Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di Ghana, Andrew Adansi-Bonnah melancarkan kempen untuk memungut 20 juta cedi Ghana (kira-kira RM39 juta) untuk projek “Selamatkan Kanak-Kanak Somalia daripada Kebuluran.”

Satu lagi badan kebajikan di Gaza, Palestin menamakan kempennya sebagai “Dari Gaza: Bersama Menyelamatkan Kanak-Kanak Somalia.”

Apabila golongan dengan keadaan hidup yang terhad dan tanpa sebarang harta bersedia berkorban untuk orang lain yang berada dalam keadaan lebih teruk berbanding mereka, ia memberi harapan kepada kemanusiaan.

Apa punca sebenar?

Sementara kita menunjukkan komitmen kepada kesusahan penduduk Somalia, kita juga perlu cuba memahami punca sebenar kebuluran itu berlaku.

Kemarau, seperti yang ditonjolkan media, tidak dinafikan menjadi punca. Tetapi, ia bukanlah satu-satunya punca krisis itu.

Somalia tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi.

Sepanjang tempoh 20 tahun lalu sejak Presiden Said Barre digulingkan, negara itu hanya dicemari kekacauan dan anarki.

Jika Somalia mempunyai kerajaan yang melaksanakan undang-undang dan peraturan, mungkin kebuluran besar-besaran ini tidak akan berlaku.

Semasa pertengahan 70-an, kemarau berpanjangan berlaku di Somalia tetapi ia tidak menyebabkan kebuluran di seluruh negara kerana ada kerajaan yang bertindak pantas menanganinya pada waktu itu.

Kebuluran di Somalia juga berpunca daripada campur tangan kerap kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara.

Bertopengkan program kemanusiaan PBB, Amerika Syarikat (AS) cuba menentukan arah tuju politik Somalia pada 1992 dan 1993.

Potensi minyak di Somalia didakwa menjadi satu daripada dua sebab campur tangan AS itu.

Satu lagi sebab adalah kerana kedudukan strategik Somalia yang digelar Tanduk Afrika itu.

Namun campur tangan AS itu gagal malah menyebabkan kekacauan lebih buruk di Somalia.

Kerajaan boneka AS

Selepas pengeboman berkembar kedutaan AS di Kenya dan Tanzania yang didakwa dilakukan kumpulan militan Al-Qaeda pada 1998, dan diikuti serangan 9/11 pada 2001, AS sekali lagi masuk campur dalam urusan Somalia. Washington memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan Sementara (TFG) Somalia bagi menghalang kebangkitan Kesatuan Pengadilan Islam (UIC) yang semakin popular.

UIC berjaya menubuhkan kerajaan yang stabil pada 2006 yang menjamin undang-undang dan ketenteraman awam buat sementara waktu sebelum AS, melalui kerjasama rapat dengan kerajaan Ethiopia menggulingkan kumpulan Islam itu dengan mendakwa pertubuhan itu mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.

Bekas anggota UIC kemudian membentuk pergerakan gerila secara besar-besaran dan mengawal sebahagian besar negara termasuk kebanyakan kawasan di ibu negara Somalia, Mogadishu pada Mei 2009.

Perang saudara yang sedang berlangsung inilah menjadi halangan besar kepada penghantaran bekalan makanan kepada rakyat kebuluran.

Selain itu, penghantaran makanan juga diganggu dengan sekatan dikenakan AS-PBB sebelum ini ke atas kawasan yang dikawal salah satu cabang kumpulan UIC, iaitu Al-Shabaab.

Kumpulan Al-Shabaab didakwa menghalang agensi bantuan makanan antarabangsa daripada mencapai kubu kuat mereka kerana khuatir akan kehilangan kawalan di kawasan itu.

Dan ini menyebabkan penduduk Somalia yang miskin dan kelaparan menjadi mangsa dalam perebutan kuasa ini.

Krisis Somalia ini menunjukkan betapa pentingnya untuk mempunyai sebuah kerajaan berfungsi yang mampu menjaga rakyatnya dan pada masa yang sama bukan juga menjadi boneka kepada kuasa asing.

sinar harian/-

Doa tunggu berbuka mustajab

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Manfaat Ramadan minta bantuan, petunjuk Allah

KEMERIAHAN bulan puasa di negara kita dikaitkan dengan penganjuran bazar Ramadan yang menyediakan pelbagai juadah untuk berbuka puasa. Dari satu sudut, ia memberi kemudahan kepada mereka yang tidak sempat menyediakan makanan dan membuka peluang perniagaan.

Namun, yang tidak sedapnya apabila bazar Ramadan terlalu menjadi tumpuan hingga menghilangkan hikmah di sebalik perintah umat Islam berpuasa yang menuntut mereka mengawal diri daripada makan, minum serta melakukan perkara membatalkan puasa.
Pada masa sama, adanya bazar Ramadan yang terlalu banyak bilangannya menjurus kepada pembaziran.

Maklumlah, apabila rambang mata, kita lebih cenderung mengikut nafsu ketika membeli tetapi tiba masa makan, banyak mana sangat yang terlarat.
Terlalu memikirkan juadah yang sudah dibeli untuk berbuka puasa juga menyebabkan kita lupa mengambil kesempatan memohon doa sebelum masuknya waktu berbuka puasa atau azan Maghrib, iaitu waktu mustajab berdoa.

Sementara menanti alunan azan, sebaiknya waktu lima minit direbut bagi memohon hajat kepada Yang Maha Esa. Alangkah ruginya jika waktu itu dibazirkan dengan berbual kosong atau hanya menonton televisyen.

Sepanjang Ramadan langit dibuka setiap saat, pintu syurga dibuka seluas-luasnya sementara pintu neraka ditutup. Justeru, mintalah apa saja yang kita hajatkan kerana dengan izin Allah, permintaan itu akan dimakbulkan.

Jika kita belum pernah berdoa sementara menanti waktu berbuka, dalam minggu akhir Ramadan ini, marilah jadikan ia amalan wajib. Luahkan segala apa yang terbuku dalam hati, mudah-mudahan Allah memakbulkan permintaan kita.

Begitu juga apabila menjamah juadah, hendaklah dilakukan mengikut tertib, jangan terlalu gelojoh walaupun tidak dinafikan sudah penat seharian kita menahan nafsu makan. Sebaiknya dimulakan dengan makan kurma mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kemudian berhenti sekejap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum menikmati juadah berat bagi menjana tenaga untuk menunaikan tarawih.

Bagi mereka yang menghidap penyakit, pastinya perlu berhati-hati di bulan puasa ini supaya kesihatan terpelihara. Tambahan pula bagi yang berkemampuan berpuasa, akan berdepan cabaran hebat.

Rasanya banyak kali sudah saya ulangi, yang penting ialah mereka perlu reda dengan ujian penyakit yang Allah datangkan kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan mereka.

Dari aspek penyembuhan pula, itu semua terserah kepada Allah kerana jika esok kata-Nya seseorang itu sembuh daripada penyakit, maka esok datang berita baik itu dan begitu juga jika sepuluh tahun lagi, selama itulah seseorang itu perlu mengharunginya.

Namun, walaupun tempoh ditetapkan, kita hendaklah reda, berusaha, yakin dan seterusnya bertawakal kepada Allah. Kata kuncinya ialah kesabaran dan bagi sesetengah kita, sabar ada hadnya yang akhirnya menyebabkan mereka berputus asa.

Lagi satu, hendaklah yakin dengan mukjizat al-Quran bagi yang beramal dengan al-Quran sebagai kaedah rawatan. Ada yang mengharap cepat sembuh dan apabila hasilnya tidak seperti diharapkan, mereka mengambil keputusan mencuba kaedah lain pula.

Berdasarkan maklum balas daripada mereka yang datang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, 90 peratus memberitahu dapat merasai perubahan walaupun sedikit selepas mengamalkan surah yang diberi.

Jika dulu kebas lima jari, sekarang tiga jari sudah boleh digerak-gerakkan. Dulu sakit tengkuk disebabkan gangguan, sekarang sudah boleh tidur dengan selesa. Seperti saya kata, kita hanya berusaha tetapi semua terserah kepada Allah yang lebih Mengetahui.

Saya juga maklum dengan aduan sesetengah pihak yang datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang terpaksa menunggu lama, kami berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan sebarang kelemahan harap dapat dimaafkan.

Mungkin ada yang sedang menanti temu janji yang sudah dibuat. Sementara menanti, anda juga boleh mengamalkan ayat al-Quran yang umum untuk penyakit tertentu seperti surah al-Israk, ayat 40-45 bagi penyakit jantung.

Untuk penyakit kencing manis boleh baca surah al-Anbiya, ayat 62 hingga 73 dan bagi penyakit saraf atau tulang boleh amalkan surah al-Mukminun, ayat 60 hingga 80.

Semoga kesungguhan kita menjiwai mukjizat al-Quran pada Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka, Allah meringankan ujian yang diberi kepada kita dan beroleh kesihatan diharapkan.

berita harian/-

Dua remaja maut motosikal ditunggang bertembung sesama sendiri

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Dua remaja maut setelah motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri, dalam kemalangan di Kampung Kedai Buluh, Jalan Kampung Surau Haji Yaacob, Titian Baru, Marang malam tadi.

Mohd Amirul Azlan Shafie, 21 maut di tempat kejadian, manakala Adam Safuan Jaafar, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sultan Mansor, Kedai Buloh, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata, kejadian kira-kira 7.00 malam itu berlaku apabila motosikal yang ditunggang Mohd Amirul Azlan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motorsikal Adam Safuan dari arah bertentangan.

Akibat pertembungan itu kedua-dua mangsa yang masing-masing berasal dari Kampung Surau Panjang dan Kampung Surau Haji Daud, cedera parah di kepala dan anggota badan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Kita percaya kedua-dua mangsa menunggang motorsikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah," katanya.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat.

sinar harian/-

Ibu jadi tebusan, bebas anak dilarikan ah long

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Seorang ibu sanggup menjadi tebusan bagi menyelamatkan nyawa anak perempuannya yang dilarikan seorang ah long, dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Sebelum kejadian, ah long berusia 32 tahun itu dikatakan menunggu di luar rumah milik keluarga seorang ahli perniagaan berusia 24 tahun, terletak di kawasan Gombak.

Suspek lelaki itu kemudiannya menyerbu kereta mangsa jenis BMW, ketika wanita itu tiba di hadapan rumahnya kira-kira jam 1 pagi, dipercayai baru pulang dari kerja.

Suspek dipercayai mengugut mangsa untuk memandu kenderaan itu menuju ke rumahnya di Taman Bukit Cheras, sebelum mengurungnya di premis dua tingkat terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, ibu mangsa juga seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun, dimaklumkan oleh seorang individu berhubung kejadian ‘culik’ itu.

“Ibu mangsa membuat laporan di balai polis dan kami terus bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di premis itu, suspek sedang mengacukan pedang berukuran 0.76 meter ke leher mangsa, sambil membawanya masuk ke dalam kereta BMW mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Alam Damai, semalam.

Menurutnya, polis mengepung kenderaan tersebut di bahagian depan dan belakang, sebelum cuba berunding dengan suspek agar melepaskan mangsa, namun tidak diendahkan.

“Ibu mangsa terpaksa tawarkan diri untuk jadi tebusan agar anaknya dilepaskan. Suspek setuju dan bebaskan mangsa kira-kira jam 8 pagi, manakala ibu mangsa masuk ke dalam kereta dan menjadi tebusan selama tiga jam,” katanya.

Mohan Singh berkata, pihaknya cuba memujuk suspek secara baik untuk menyerah diri kerana bimbang akan keselamatan ibu mangsa.

Beliau berkata, selepas beberapa jam, suspek kemudiannya bersetuju untuk menyerahkan diri serta senjatanya, sebelum polis memecahkan cermin kereta untuk menahannya.

Katanya, mangsa dan ibunya dilaporkan selamat, manakala suspek yang mengalami luka serta calar di leher akibat pergelutan dengan polis, dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut.

sinar harian/-

PAS gesa Najib, Nazri henti menghina Parlimen

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PAS hari ini mendakwa pemimpin BN menghina Parlimen dengan sikap berdolak-dalih mereka berhubung penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan-cadangan mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

"Kedua-dua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz telah menghina Dewan yang mulia ini," kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, kenyataan Najib dianggap biadap kerana mengisytiharkan bahawa kerajaan tidak terikat untuk menunggu jawatankuasa itu menyelesaikan tugas-tugas mereka sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Jika mereka membentuk suatu jawatankuasa, yang menjadi sebahagian daripada Parlimen, mereka harus menyelesaikannya mengikut proses Parlimen. Atau tidak, mengapa perlu mesia-siakan usaha itu,” kata Mahfuz pada sidang akhbar di ibu PAS di Kuala Lumpur hari ini,

Katanya, Nazri, ketika mengumumkan komposisi jawatankuasa berkenaan dan menuntut supaya seorang menteri mengetuainya secara terangan telah mengabaikan hak dan keistimewaan Parlimen untuk menentukan skop dan bentuk jawatankuasa yang bakal dipilih itu.

"Hanya parlimen boleh dan patut membuat keputusan mengenai perkara ini" katanya.

malaysiakini/-

PAS: Ketidakikhlasan BN semarak semangat himpunan BERSIH 3.0

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu ini untuk membuat keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN melakukan reformasi sistem pilihanraya sebelum pilihan raya umum ke-13.

Ia ekoran kenyataan perdana menteri bahawa pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak perlu menunggu keputusan jawatankuasa khas parlimen mengenai reformasi pilihan raya.

Menurut ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi menimbang penyertaan dalam Jawatankuasa Khas Parlimen, kerana berpendapat, ianya tidak membawa sebarang makna setelah perdana menteri membuat kenyataan sedemikian.

Sambil menyuarakan kekesalan PAS, beliau berkata: "Kenyataan tersebut membuktikan sikap sebenar kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

"Tujuan utama Jawatankuasa Khas ini ialah merumus satu sistem pilihanraya yang adil dan bersih, setelah pelbagai kelemahan dibongkar.

"Apa guna dibentuk jawatankuasa Khas, sekiranya kerajaan sudah memberikan bayangan jelas bahawa pilihanraya umum akan diadakan sebelum jawatankuasa itu menyiapkan laporan dan sekaligus memberikan petanda yang jelas bahawa sememangnya kerajaan BN tidak bersedia untuk menerima dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, adalah mustahak bagi rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka terhadap sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

"Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu," tambahnya.

Tegasnya, kerajaan harus menyedari kemarahan rakyat dan tuntutan dalam perhimpunan aman BERSIH 2.0 baru- baru ini.

"Sikap kerajaan yang menolak diadakan pilihanraya sebelum sistem diperbaiki sudah tentu akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus merosot.

"Keadaan ini sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan tidak mustahil parti- parti dalam Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

"Ketidakikhlasan kerajaan Barisan Nasional ini juga dijangka akan mempercepatkan bantahan rakyat, justeru menyemarakkan semangat untuk himpunan BERSIH 3.0 diadakan," tambahnya.

PAS, tegasnya, ingin tegaskan bahawa kerajaan tidak patut dan sememangnya "ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

"Sila memperbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat," katanya.

malaysiakini/-

Anwar pilih beri keterangan dari kandang tertuduh

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memilih untuk memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh dengan kenyataannya tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah sebelum itu memberitahu Anwar, beliau mempunyai tiga pilihan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Tiga pilihan itu adalah pihak pendakwaan boleh menyoal balas beliau; memberi keterangan di kandang tertuduh di mana pihak pendakwaan tidak boleh menyoal balas tertuduh tetapi semasa membuat keputusan mahkamah boleh mengambil kira fakta yang pihak pendakwaan tidak memeriksa balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri, iaitu tidak memberi sebarang keterangan.

Walaupun Anwar memilih memberi keterangan dari kandang tertuduh, dia masih duduk di atas bangku peguam yang mempunyai kelengkapan sebuah mikrofon, lapor Malaysiakini.

Menurut Hakim Zabidin walaupun tertuduh duduk di kalangan peguamnya, tindakan itu masih dianggap sebagai kenyataan daripada kandang (dok).

Jika Anwar memilih memberi keterangan dari kandang saksi, beliau boleh disoal-balas oleh pihak pendakwaan dan keterangan itu dianggap lebih berwibawa.

Pada kes perbicaraan kes salah guna kuasa dan liwat pertama yang dihadapinya 10 tahun lalu, Anwar membela diri dari kandang saksi.

Pada 16 Mei lalu, Anwar diperintah membela diri selepas, Hakim Zabidin memutuskan Mohd Saiful, pengadu dalam kes liwat itu, adalah bercakap benar dan seorang saksi berwibawa.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, terhadap pertuduhan melakukkan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

harakahdaily/-

Anggota ATM perlu berkecuali

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: PAS menegaskan menteri atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab terhadap dakwaan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bahawa mereka diarahkan 'memangkah' undi pos untuk BN.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, dakwaan tersebut tidak seharusnya dijawab oleh ATM sendiri, pasukan beruniform yang berkecuali daripada politik kepartian.

"Saya tegaskan bahawa sepatutnya yang respon itu ialah menteri atau SPR, bukan yang beruniform.

"Kita mahu ATM terus bersikap berkecuali, tidak terlibat dalam politik kepartian kerana mereka berkhidmat di bawah Yang Di-Pertuan Agong," kata beliau sewaktu berucap di majlis Pelancaran Kempen dan Kelab Protes Barang Naik (Protes BN) di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa, Kampung Baru, petang kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyangkal dakwaan empat bekas tentera minggu lalu bahawa wujud penyelewengan undi pos di kalangan anggota tentera.

Zulkifli sebaliknya mendakwa Pemuda PAS menggunakan bekas anggota tentera untuk memburuk-burukkan BN.

Mohamad berkata, anggota ATM harus kekal bersikap berkecuali dan hanya setia kepada Yang Di-Pertuan Agong serta tidak lagi muncul membuat kenyataan dalam isu membabitkan pilihan raya.

"Sebarang usaha membawa ATM terlibat dalam politik kepartian akan membawa bahaya kepada keselamatan negara dan kecelaruan politik pada masa akan datang.

"Kita harap kemunculan pasukan beruniform menjawab dalam hal pilihan raya itulah pertama dan terakhir, jangan diulangi lagi dan (Datuk Seri) Najib (Razak) kena hentikan perkara ini kerana kalau tentera terlibat dalam poilitik kepartian akan membawa keburukan daripada kejernihan

"Khidmat cemerlang ATM diakui rakyat daripada merdeka hingga searang dan mereka mesti kekalkan prestasi itu sampai bila-bila," katanya.

Minggu lalu, empat bekas tentera muncul membuat pendedahan bahawa merekia diarahkan memangkah ribuan kertas undi pos anggota-anggota tentera lain dan kertas-kertas undi isteri anggota tentera, atas arahan pegawai atasan ATM.

harakahdaily/-

Warga Singapura bersatu demi kari

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -


SINGAPURA: Banyak yang perlu dilakukan bagi menggerakkan kempen massa di Singapura tetapi rupa-rupanya penawar kesukaran itu terletak pada makanan.
Setakat ini, kira-kira 57,000 pengguna Facebook di Singapura berkata, mereka bersetuju untuk memasak atau memakan kari setiap Ahad bagi menunjukkan protes terhadap aduan satu keluarga dari China yang kurang senang dengan bau kari dari jirannya berketurunan India.

Kempen itu juga bagi menunjukkan sokongan kepada penduduk keturunan India di Singapura.

Isu itu menjadi perhatian ramai apabila aduan keluarga dari China itu memaksa pihak berkuasa tempatan campur tangan bagi mencari jalan tengah.

Satu halaman dikhaskan untuk isu itu kemudian dibuka dalam Facebook selepas pertikaian mengenainya dilaporkan media tempatan.

Akauntan yang membantu halaman khas itu, Stanley Wong, 37, berkata disebabkan mereka tinggal di Singapura yang mempunyai kepadatan tinggi, jiran sepatutnya bersikap saling memahami.


Wong bersama berpuluh-puluh rakan dan keluarganya ditemui ketika berkumpul dalam sebuah rumah pangsa kerajaan untuk menikmati hidangan kari.

Kebanyakan tetamu adalah keturunan Cina.

Mereka berpendapat, masakan kari diterima sebagai sebahagian daripada hidangan Singapura dan semua pihak - termasuk dari China - perlu menerima hakikat itu.

Seorang daripada penganjur majlis berkenaan, Florence Leow, berkata isu itu boleh mencetuskan masalah intergrasi di kalangan warga asing.

“Melalui pertemuan ini, kami berharap semua pihak dapat memasak dan berkongsi hidangan kari serta menghargai budaya Singapura,” katanya. - Reuters

Tindakan Tegas Jika Gagal Asingkan Barangan Tidak Halal

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUCHING 22 OGOS : Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Negeri, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata,tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha yang gagal mengasingkan kedudukan barangan tidak halal sehingga boleh menimbulkan keraguan di kalangan pelanggan Muslim di negeri ini.

Menurut Wan Ahmad, pengusaha yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan.

“Pagi tadi (semalam) kita mendapat aduan daripada seorang pelanggan yang memberitahu bahawa ada sebuah pasar raya di sini yang mencampur adukkan makanan tin halal dan tidak halal di kedudukan rak yang sama yang menimbulkan keraguan kepada pengguna mengenai halalnya,” katanya.

Jelasnya, denda RM100,000 dan penjara tiga tahun bagi peniaga perseorangan dan denda RM250,000 kepada syarikat atau penjara tiga tahun yang dikenakan jika didapati bersalah.

Katanya, PDNKK telah mengarahkan pihak pengurusan pengusaha itu untuk mengambil tindakan segera untuk mengalihkan kedudukan barangan-barangan itu di tempat sepatutnya.

“Biasanya di setiap pasar raya, mereka ada menyediakan tempat untuk menempatkan produk-produk tidak halal dan halal bagi memudahkan para pelanggan terutamanya di kalangan umat Islam membuat pilihan barangan,” katanya.

Oleh itu, katanya pihaknya akan terus membuat pemantauan terhadap permis perniagaan itu dalam masa terdekat ini.

Kata Uzir, ini merupakan kes pertama yang dilaporkan mengenai kejadian itu di bandaraya ini.

tv news/-

Undian tajuk Bukan Setia Kepada BN

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah dengan tajuk ‘Bukan Setia Kepada BN' digunakan sebagai tajuk berita utama berikutan nasihat pakar perlembagaan kepada Panglima ATM dalam isu undi pos yang didedahkan oleh bekas tentera sebagai tidak telus.

Bagi membaca kenyataan penuh, boleh baca Harakah cetak atau terus langgani harakah digital yang dikenali bagai 'elektronik paper' di alamat, http://epaper.harakah.net.my

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari lagi.

Manakala keputusan undian bagi tajuk Harakah sebelum ini, ‘USAH MASUK PERANGKAP’ menurun sedikit kepada 84.34 peratus sahaja.

Begitu juga terdapat 10 undian (12.5%) yang tidak bersetuju dan 3 undian (3.61 %) yang berkecuali atau tidak pasti.

harakahdaily/-

ICC sahkan anak lelaki Muammar Gaddafi ditangkap A

rRamadhan 1432H.

AMSTERDAM, 22 Ogos — Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengesahkan Saif al-Islam, anak lelaki pemimpin Libya Muammar Gaddafi telah ditangkap di Tripoli semalam.

“Saif telah ditangkap di Libya,” kata pendakwa raya Luis Moreno-Ocampo kepada Reuters.

“Kami ada maklumat rahsia daripada pelbagai sumber yang kami ada di Libya, yang mengesahkan ini.

“Penting untuk dijelaskan, menjadi tanggungjawab untuk menyerahkan Saif kepada ICC mengikut resolusi Majlis Keselamatan,” katanya.

Terdahulu kumpulan pemberontak berkata mereka telah menangkap Saif dan anak sulung Muammar, Mohammed Al-Gaddafi.

ICC mengeluarkan waran tangkap ke atas Muammar, Saif dan ketua risikan Libya Abdullah al-Senussi berhubung tuduhan melakukan penindasan kemanusiaan selepas Majlis Keselamatan merujuk keadaan di negara itu kepadanya Februari lalu. — Reuters

Polis buru dua lelaki kes tikam

23 Ramadhan 1432H. [MOD] -



ARMAN masih dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban semalam.



SEREMBAN – Polis sedang memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menikam seorang lelaki sebanyak lapan kali sebelum membuang mangsa di dalam hutan berhampiran Jalan Bukit Putus Kuala Pilah dekat sini.
Jurucakap polis berkata, identiti kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti dan pihaknya sedang giat memburu suspek.
“Hasil siasatan awal kita mendapati kedua-dua suspek bekerja bersama mangsa di Ladang Gaddes, Jempol dekat sini.
“Kejadian pada petang Khamis lalu itu dipercayai akibat salah faham berkaitan kerja antara kedua-dua suspek dengan mangsa,” katanya di sini semalam.
Katanya, berdasar keterangan mangsa, dia diserang oleh kedua-dua lelaki terbabit di ladang itu sebelum dia dibuang di dalam hutan berhampiran jalan Bukit Putus Kuala Pilah.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki, Arman Shah, 29, masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan.
Lebih mengejutkan lagi apabila lelaki terbabit yang tersedar daripada pengsan pada pagi Jumaat lalu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah, kelmarin.
Difahamkan penyerang lelaki itu kemungkinan beranggapan mangsa sudah meninggal dunia dan bertindak membuang ‘mayatnya’ di dalam hutan berkenaan untuk melupuskan bukti.
Lelaki itu yang ditikam empat kali di bahagian depan dan belakang badan dipercayai masih hidup kerana tikaman berkenaan tidak mengenai organ penting mangsa.
Sementara itu, usaha Kosmo! untuk menemu bual Arman tidak berjaya kerana dia masih lemah selepas menjalani pembedahan untuk menjahit luka tikaman pada badannya kelmarin.

Pemuda PAS Melaka rai anak yatim

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MELAKA, 22 Ogos: Seramai 40 orang anak yatim diraikan semalam di dalam program meraikan anak-anak yatim peringkat negeri Melaka.

Program yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka itu merupakan program tahunan yang diadakan setiap kali bulan Ramadhan.

Ianya bersifat santai di mana anak-anak yatim dibawa ke pasaraya untuk membeli barangan keperluan sempena hari raya seperti baju raya, kasut, songkok dan sebagainya.

Selain membeli barang keperluan hari raya, anak-anak yatim itu juga diraikan dengan memberikan sedikit sumbangan berbentuk wang ringgit sebagai duit raya untuk mereka berbelanja.

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah berkata, program itu bertujuan bagi menggembirakan anak-anak yatim agar mereka juga berasa gembira seperti mana kanak-kanak biasa yang mempunyai ibu bapa, lebih-lebih menjelang hari raya.

“ Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim ini apabila saya membawa mereka membeli baju raya,” ujarnya.

Program di rasmikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz yang turut memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit kepada anak-anak yatim.

Beliau yang hadir dalam misi jelajah Jaulah Tarbawi mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS negeri di atas kejayaan melaksanakan program meraikan anak-anak yatim itu.

Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama-sama yang turut dihadiri oleh pimpinan DAP dan beberapa pimpinan dari AMK Melaka.

Sehari sebelum itu, PAS negeri juga menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur kepada golongan fakir dan miskin termasuk ibu tunggal di Dun Durian Tunggal.

Pesuruhjaya PAS negeri, Adly Zahari turut mengagihkan sumbangan itu dari rumah ke rumah yang disertai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurut Adly, aktiviti itu merupakan pendekatan PAS negeri mendekati masyarakat terutama pada bulan Ramadhan.

harakahdaily/-