17 August 2011

Kini pengundi dengan MyKad tidak wujud pula dikesan

17 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ketika BN dan Pakatan Rakyat sibuk memperkatakan tentang penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya, lagi kesilapan didedahkan dalam daftar pemilih oleh parti-parti politik dan orang awam.

Penemuan terbaru oleh seorang penyokong PAS menunjukkan
beberapa pengundi berdaftar di Kedah mempunyai MyKad dengan nombor yang tidak wujud.

Maklumat tersebut berserta imej skrin (kiri) lamanweb Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipaparkan di halaman Facebook yang didaftarkan kepada 'Pengundi PAS Kedah'.

Ia menunjukkan bahawa angka ketujuh dan kelapan nombor MyKad tiga orang pengundi dicatatkan sebagai '00 '. Secara umumnya, angka itu digunakan untuk menunjukkan negeri lahir pemegang MyKad.

Menurut lamanweb Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menyenaraikan kod bagi negeri-negeri di Malaysia dan negara-negara asing, kod '00 'tidak wujud.

Ketika dihubungi, pegawai perkhidmatan pelanggan JPN mengesahkan tidak ada kod itu dan meminta wartawan ini membuat laporan rasmi kepada jabatan berkenaan.

Semakan dengan portal JPN - yang membolehkan orang ramai menyemak status dokumen pengenalan mereka - menunjukkan tidak ada rekod tiga MyKad terbabit.

Apabila mengakses pagi ini, sistem pengesahan dalam talian SPR mengesahkan butiran pengundian ketiga-tiga mereka:

1. Hasrullizam bin Halim
MyKad no: 800604002563
Kawasan mengundi: Bukit Pinang (negeri), Pokok Sena (Prliament)

2. Rosmadi bin Chik
MyKad no: 801111002544
Kawasan mengundi: Kota Siputeh (negeri), Jerlun (Parlimen)

3. Shapiza binti Ghazali
MyKad no: 811020002568
Kawasan mengundi: Bukit Lada (negeri), Pokok Sena (Parlimen)

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (kanan) telah berkali-kali menjelaskan bahawa setiap pendaftaran pengundi akan diperiksa dengan pangkalan data JPN.

Oleh itu, tidak diketahui bagaimana tiga pengundi tersebut telah didaftarkan dalam daftar pemilih walaupun nombor MyKad mereka tidak sah.

malaysiakini/-

Perang Badar Dan Nuzul al-Quran

17 Ramadhan 1432H. [MOD] -
http://pmram.org

Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.

Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W. bertahannuth di gua Hira'.

Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"

Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali.

Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq. Selepas itu, barulah Jibrail pergi dari situ dan nabi segera terjaga dari tidurnya.

Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.

Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.

Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.

Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.

Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.

Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.

Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".

Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.

Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.

Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.

Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.

Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.

Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.

Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

Laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Perak

17 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

IPOH, 16 Ogos: Adun Pakatan Rakyat Perak menggesa Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof menarik balik kenyataan terhadap mereka dan memohon maaf kepada rakyat.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakil semua Adun Pakatan Rakyat di dalam laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.

“Maka dengan ini, saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataannya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN.

“Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kaca mata rakyat!” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat dalam laporan polis itu.

Berikut adalah laporan polis tersebut.

Adalah dengan ini satu laporan polis dibuat di IPD Ipoh, Perak pada 16 Ogos 2011 (Selasa) terhadap Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengenai kenyataan beliau terhadap kami Adun sebagaimana terpapar di muka depan di dalam akhbar Sinar Harian, semalam.

Dengan tajuk “JAGA ADAB” beliau menyatakan “saya harap ahli-ahli dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.

Saya dengan ini bertegas menyatakan bahawa kenyataan ini melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124. Kenyataan melampau dan keterlaluan ini juga membuat saya berasa terguris, marah, terhina, takut, cemas, bimbang, malu, dan dukacita. Sekaligus beliau mengenepikan Undang-undang tubuh Kerajaan Perak (Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dun yang mana saya dan semua Adun telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya.

Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung didalam Peraturan Tetap dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami. Dewan mempunyai Tuan Speaker dan pengawalnya tersendiri. Doktrin pengasingan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen menjadi ikutan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan Datuk Zakaria di dalam laporan akhbar tersebut juga mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh Umno BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan Dun Perak telah dicerobohi oleh PDRM dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis. Saya ingin mengingatkan bahawa PDRMlah yang telah masuk dan menceroboh Dun Perak pada 7 Mei 2009, sedang Speaker YB Sivakumar mengendalikan persidangan dan YB Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang dewan.

Sementara kami Adun Pakatan Rakyat dibelasah dan dikasari oleh polis didalam dewan dan ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, Pengarah-pengarah kerajaan Negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga Adab”?

Kenyataan ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat. Sedarlah bahawa tahap kejadian mungkar, jenayah, rasuah, pembunuhan, kemalangan, salah guna kuasa, pecah amanah di Perak yang menjadi-jadi kini, memerlukan PDRM melaksanakan tugas mereka bagi menjaga keselamatan rakyat dan negeri. Jangan sibuk menjaga persidangan Dun Perak dan berlagak seperti Perdana Menteri. Sebagai eksekutif, PDRM ada tugasan mereka yang mesti dilaksanakan. Laporan polis yang dibuat oleh rakyat masih bertimbun yang belum disiasat!

Kenyataan Datuk Zakaria yang tidak bertanggungjawab, niat buruk, berbau ugutan serta mencerminkan sikap diperalatkan oleh UMNO BN amat menyedihkan kami. Lihat saja kekejaman yang dibuat Polis terhadap rakyat semasa himpunan aman Bersih 2.0 di KL pada 9 Julai 2011! Bilik hotel saya diceroboh oleh polis dari IPD KL pada jam 12.45 tengah malam pada 9 Julai 2011!

Persidangan yang sepatutnya berjalan selama 2 hari telah ditamatkan oleh Speaker haram pada jam 1 tengah hari pada 15 Ogos 2011. Banyak soalan lisan dan bertulis kami tidak dijawab. Pembesar suara/microphone kami selalunya ditutup. Peraturan Tetap tidak dipatuhi oleh Speaker haram! Bagaimana kami boleh “menimbulkan banyak perkara” dalam persidangan yang tak sampai 3 jam? Speaker haram telah tidak upaya mengendalikan dewan serta hilang kawalan dan akhirnya Dun Perak gagal sebagai badan Legislatif yang dimuliakan!

Maka dengan ini saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataanya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN. Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kacamata rakyat!