14 August 2011

Mudahnya Perkahwinan di Atas Sunnah

14 Ramdhan 1432H. [MOD] -

Bila cerita tentang pacaran pada orang bujangan, ramai akan kata seronoknya! Cuma bila masuk bab suruh kahwin, banyaklah alasannya nanti. Antara yang biasa kita dengar adalah alasan muda lagi, duit tak cukup lagi, tak cukup belanja hantaran, kereta belum habis bayar, rumah pun tidak ada lagi, kerja belum stabil, ibu dan bapa tidak bagi lampu hijau dan seumpamanya.

Tapi dalam masa yang sama, sudah hebat berpacaran ke sana ke mari. Keluar berduaan lelaki dan wanita sambil berpegangan tangan bagai dunia mereka yang punya.

Itulah realitinya, ramai di antara kita memandang perkahwinan dari sudut kos dan material. Tetapi lupa dari sudut agama.

Sebenarnya jika kita kembali kepada agama, perkahwinan itu adalah mudah demi menjaga kesucian diri, maruah, dan agama. Yang sukar adalah urusan tanggungjawab dan tahap kematangan dalam pengurusan. Namun itu semua boleh dipupuk asalkan memiliki ketekunan, kesabaran, dan kesediaan untuk belajar.

Kenapa perlu tunggu lama-lama membiarkan maruah dan agama digadai, mengumpul dosa dalam rindu, duit pula habis untuk pacaran? Bukankah itu jauh lebih sukar berbanding membelanjakan sedikit harta untuk sebuah perkahwinan yang benar? Maka, segerakanlah perkahwinan.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 6/13, no. 1808. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Jika belanja hantaran buat si gadis menjadi alasannya, bukankah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda:

إن من يمن المرأة تيسير خطبتها وتيسير صداقها وتيسير رحمها

“Di antara kebaikan wanita adalah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (maskahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” (Hadis Riwayat Ahmad dan ath-Thabrani. Majma’ az-Zawa’id, 4/516, no. 7482)

Sekiranya maskahwin pun dituntut supaya dipermudahkan, mengapa mahu menambah-nambah dengan beban hantaran yang Nabi sendiri tidak pernah syari’atkan? Bukankah ini bertentangan dengan hadis Nabi tersebut bahawa pernikahan yang baik adalah yang paling mudah. Ini merangkumilah mudah dari aspek perbelanjaan dan pengurusan.

Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah menikahkan sahabat dengan mahar yang begitu mudah, iaitu antaranya dengan mahar cincin besi dan mengajar hafaz bacaan sebahagian ayat al-Qur’an. Kenapa kita pula bertindak meninggalkan sunnah Rasulullah dan memilih perkara yang menyusahkan lagi membebankan diri sendiri?

Perlu kita fahami bahawa pernikahan itu bukanlah pasar untuk memperdagangkan anak gadis melalui kutipan belanja hantaran daripada pihak suami. Sebaliknya ia adalah ikatan untuk menuju hidup bahagia berpasangan dengan cara yang syar’i. Bukankah wang dan belanja hantaran yang adakalanya mencecah puluhan ribu ringgit itu lebih baik diguna menampung keperluan hidup berumah-tangga, seperti kos tempat tinggal, kenderaan, dan kehadiran anak-anak kelak?

Selari dengan pesanan Rasulullah bahawa sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah, majlis kendurinya pun turut dianjurkan dengan cara yang mudah. Selain itu, turut dianjurkan supaya kita menghulur bantuan perbelanjaan walimah kepada pasangan baru bernikah.

Ketika Rasulullah mengetahui sahabatnya ‘Abdurrahman B. ‘Auf baru sahaja bernikah, Rasulullah pun berkata kepadanya (sambil terlebih dahulu mendoakannya):

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

“Barakallahu laka (semoga Allah memberi berkah kepadamu), adakanlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, 16/131, no. 4758)

Berdasarkan hadis ini, mengadakan walimah (menjamu orang makan) dengan sebab pernikahan adalah disyari’atkan. Walaupun begitu, walimah tidaklah mesti dilakukan dengan seekor kambing. Tetapi perlulah bersesuaian dengan kemampuan suami. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri pernah melaksanakan walimah ketika pernikahannya bersama Shafiyah dengan menyediakan campuran kurma tanpa biji yang dicampur keju dan tepung hasil sumbangan para sahabat yang hadir sebagaimana diriwayatkan Imam al-Bukhari. Terdapat juga hadis yang menunjukkan Rasulullah hanya menjemput beberapa orang lelaki meraikan walimah perkahwinannya di waktu yang lain.

Ia tidaklah seperti sebahagian daripada kita hari ini yang berlebih-lebihan dalam walimah sehingga sanggup membuat pinjaman kewangan demi merealisasikan kenduri perkahwinan yang mahu dilihat gah dan besar.

Menurut sunnah, majlis walimah yang dianjurkan Rasulullah itu tidak lebih dari sekadar jamuan makan dengan bergembira meraikan pasangan yang berkahwin. Ini berlangsung dengan cara menghadiri dan mendoakannya dengan kebaikan. Sehingga orang-orang yang berpuasa pun turut wajib menghadirkan diri ke majlis walimah jika mendapat jemputan.

Dalam masa sama, majlis walimah ini tidaklah sewajarnya diiringi dengan maksiat dan kemungkaran. Sangat menyedihkan perkara-perkara maksiat dalam acara-acara walimah hari ini dilihat begitu subur. Sehingga ada yang sanggup berbelanja besar kerananya pula. Perkara ini wajib kita sedari dari awal agar tidak terus menular.

Di antara perkara buruk yang telah mula membudaya dalam majlis-majlis walimah hari ini yang dapat penulis sebutkan adalah seperti budaya mendedahkan aurat dan tabarruj (berdandan) untuk tontonan umum dalam praktik persandingan, menghambur-hambur harta (membazir) untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat pujian, mencukur kening dan janggut, mengkhususkan adanya acara potong kek dan menyarung cincin perkahwinan, adat bersanding dan pelamin, upacara merenjis dan menepung tawar demi meraih keberkatan, bersalam-salaman dengan yang bukan mahram, acara tahlilan khas memohon restu nenek moyang, menjemput bomoh tolak hujan, majlis karaoke dan nyanyi-nyanyian, permainan kuda kepang, menggantung gambar pengantin, dan seumpamanya.

Hukum mendedahkan aurat adalah suatu yang maklum di kalangan umat Islam. Lebih lagi apabila berlaku pembaziran wang untuk belanja solekan, set baju yang menggambarkan bentuk tubuh wanita, dan mencukur kening demi kelihatan cantik. Ini semua termasuk bentuk-bentuk peragaan tubuh ala jahiliyah yang telah diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya), “Dan janganlah kamu berhias (tabarruj) dan bertingkah-laku seperti orang-orang Jahiliyyah.” (Surah al-Ahzab, 33: 33)

Manakala acara khas sesi sarung cincin dan potong kek perkahwinan pula ia termasuk meniru-niru adat keagamaan kaum kafir yang tidak pernah sedikitpun dianjurkan dalam sunnah Rasulullah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum (dalam urusan khas agama), maka dia termasuk golongan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud, 11/48, no. 3512. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Malah penulis difahamkan harga sebuah set kek perkahwinan sahaja sudah mencecah sehingga ratusan dan ada yang mencecah ribu ringgit.

Manakala amalan meminta individu tertentu untuk menolak dan menahan hujan dengan jampi tertentu agar majlis dapat berjalan lancar, maka ini termasuk pula ke dalam perbuatan syirik.Ini sama juga dengan adat menepung tawar yang tidak diketahui asal-usulnya dari ajaran agama Islam. Sebenarnya untuk tujuan ini, cukuplah dengan berdoa kepada Allah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan secara teknikal.

Jika di dalam majlis-majlis walimah tertentu mengandungi praktik-praktik maksiat seperti ini, terdapat petunjuk Rasulullah supaya tidak menghadirinya atau sekiranya mampu maka berilah nasihat dan teguran.

Dari itu, mudahkanlah pernikahan dan majlisnya. Ambillah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai pedoman dan ikutan. Berbanggalah dengan kemuliaan Islam, bukan dengan maksiat, kemungkaran dan pembaziran. Hindarilah juga budaya pacaran tanpa nikah! Semoga semaian cinta dan majlis kita mendapat berkah dan keredhaan Allah. Itulah yang perlu kita cari dan kejar. Wallahu a’lam.

abu humaira

Lelaki tertinggi jadi tetamu di Qaryah Ramadhan

12 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 14 Ogos: Lelaki tertinggi di dunia berasal dari Punjab Pakistan, Ijaz Ahmed, 28, menjadi tetamu Himpunan Remaja dan Majlis Makan Colek di Qaryah Ramadan, kelmarin.

Beliau berada di negeri ini selama dua hari sebagai tetamu dan juga untuk memohon sumbangan derma orang ramai bagi mendapatkan sumber kewangan untuk membiayai rawatan kakinya akibat kemalangan dua tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dab Pelancongan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Ijaz yang mempunyai ketinggian 8 kaki 4 inci itu telah mengalami kemalangan jalan raya dua tahun lalu.

"Akibatnya, Ijaz mengalami masaalah kaki dan ianya perlu dirawat," ujarnya.

Menurutnya, sebagai seorang anak yang berada dalam lingkungan keluarga miskin, beliau tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk merawat kakinya itu.

Sementara itu, orang ramai turut diraikan dengan jamuan colek sempena majlis penyampaian hadiah pameran auto show, petang kelmarin.

Turut berucap pada majlis itu Penolong Pengarah Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Mohd Nasir Mat Soh.

harakahdaily/-

London rakyat mengamuk, Malaysia polis mengamuk

14 1432 RamadhanH. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyamakan rusuhan di London dengan perhimpunan perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu sebagai 'bodoh'.

Sambil ketawa, beliau berkata, kedua-duanya sangat berbeza dari segi suasana dan matlamatnya.

"Saya tak tahulah kebodohan tahap mana kenyataan timbalan ketua polis negara ini.

"Di London rakyat mengamuk tapi di Malaysia polis mengamuk," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad berkata, dalam beberapa siri himpunan di Malaysia, ia bermula aman sehinggalah terdapat gangguan dan provokasi dari pihak polis.

"Saya sebut kepada peserta himpunan, jangan terbalikkan walaupun satu pasu bunga dan ternyata ia berlangsung aman.

"Polis seharusnya hadapi himpunan secara aman, kalau rusuhan memanglah kena hadapi secara rusuhan," katanya yang terpaksa menjalani pembedahan lutut akibat terjatuh ketika dilanggar kereta polis pada perhimpunan Bersih 2.0.

Tambahnya, rusuhan yang berlaku di London itu tidak ada kaitan dengan sistem politik sebaliknya kerana masalah kesempitan hidup akibat kemerosotan ekonomi.

"Perdana Menteri Britain sendiri kata, rusuhan itu tak ada kena-mengena dengan politik.

"Tapi himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya yang adil," katanya.

Rusuhan di London, terutamanya di Tottenham bermula Sabtu lalu selepas seorang suspek mati ditembak polis.

Rusuhan bermula di Tottenham, kemudian merebak ke Wood Green, Enfield Town, Ponders End dan Brixton melibatkan pelbagai kelakuan ganas dan merebak ke seluruh kawasan lain di London.

Dalam rusuhan itu Polis Metropolitan London diserang manakala kedai dirompak dan bangunan dibaling batu.

Mereka membantah apabila Mark Duggan, pemuda beruisa 29 tahun ditembak polis mati ketika polis berusaha menangkap pengedah dadah kokain dan ahli 'Star Gang' sedangkan beliau tidak bersenjata.

harakahdaily/-

Stesen komuter China ada beg tinju gergasi

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SEORANG lelaki mencuba beg tinju yang dipasang di stesen komuter Xujiahui, Shang Hai.

SHANGHAI, China – Beberapa beg tinju dipasang di stesen komuter Xujiahui di sini untuk membantu orang ramai supaya ‘lebih bertenang’ lapor sebuah akhbar semalam.

Ditaja jenama sukan terkenal, Adidas, pengguna komuter yang marah, penat atau mabuk boleh menumbuk dan menendang beg tinju gergasi itu untuk melegakan perasaan mereka selepas ia dipasang baru-baru ini.

Pemasangannya juga diharap dapat mengurangkan kes petugas stesen komuter dimaki hamun penumpang akibat tertinggal tren seperti yang kerap berlaku sebelum ini.

Di permukaan beg tinju itu tertera pelawaan kepada orang ramai untuk menggunakan ‘kemudahan’ tersebut yang memberitahu: “Setiap tahun, anda menghabiskan masa sekitar 1,824 minit di platform komuter. Jangan bazirkan masa, sudilah lepaskan satu dua tumbukan untuk mengurangkan tekanan dalam diri anda!” – Agensi

Gambar kepala dipenggal trend baru dalam internet

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ILUSI fotografi horsemaning menunjukkan seorang lelaki dan kepalanya sedang duduk di sofa.

NEW YORK, Amerika Syarikat AS – Selepas seni meniarap seperti papan, planking, popular di internet, alam siber itu kini hangat dengan trend fotografi terbaharu dinamakan horsemaning, lapor sebuah akhbar semalam.

Konsep fotografi itu menyerupai gambar bersejarah pada tahun 1920-an apabila beberapa individu menyamar seperti kepala mereka telah dipenggal.

Kini, orang ramai berlumba-lumba menyiarkan gambar mereka melakukan aksi serupa di Internet dengan menggunakan pelbagai latar.

Antara aksi yang cukup popular ialah seorang lelaki sedang bersandar di

sofa sambil tangannya diletakkan di atas kepala yang berada di sebelahnya.

Ilusi itu dihasilkan dengan individu tersebut menyembunyikan seluruh badan daripada kamera kecuali mukanya. – Agensi

Isu larang guna mikrofon baca al-Quran, Zahid Hamidi usah main politik murahan

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Awal-awal lagi saya dah jangka pasti ada pemimpin UMNO yang akan jadikan bahan politik murahan berikutan keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang memutuskan bahawa bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum waktu solat subuh adalah dilarang menurut hukum syarak.

Tetapi saya tidak pula menyangka yang pemimpin tersebut adalah naib presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seorang yang berlatar belakangkan pendidikan Islam.

Yang lebih mendukacitakan saya apabila Zahid mengaitkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama bagi negeri Pulau Pinang dan mempersalahkan pentadbiran negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Saya hairan kenapa Zahid tiba-tiba mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa yang tidak berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Zahid mengaitkan pengeluaran fatwa itu dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang atau JAIPP dan kerajaan negeri.

Di sinilah letak kesilapan besar oleh Zahid kerana JAIPP bukanlah badan atau pihak yang mengeluarkan fatwa tersebut tetapi hanya mengedar pekeliling fatwa berkenaan kepada semua masjid dan surau di negeri Pulau Pinang.

Yang buat fatwa adalah Majlis Fatwa bukan JAIPP, oleh itu JAIPP tidak boleh dipersalahkan kerana ia tiada kuasa atau hak untuk mengeluar fatwa. Tak kan inipun Zahid tidak tahu.

Zahid juga kurang bijak dan salah apabila dia menuduh kononnya larangan yang dikeluarkan oleh JAIPP adalah atas arahan pentadbiran kerajaan negeri. Amat jelas Zahid bermain politik murahan kerana pentadbiran negeri tiada kaitan dan kena-mengena dengan pengeluaran fatwa. Ini dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim.

Sebuah NGO yang dinaungi oleh semua jawatankuasa kariah masjid seluruh Pulau Pinang diketuai oleh Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Yusof Latif menerima dan menghormati keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang dan menasihati semua masjid dan surau akur akan larangan itu. Jadi, kenapa Zahid Hamidi pula yang melenting tak tentu pasal jika bukan kerana dia sengaja mempolitikkan isu.

Zahid juga menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai tidak sensitif terhadap agama Islam dan ia seharusnya merujuk fatwa itu kepada Agong.

Dalam pada itu, Mufti Kerajaan Negeri Perlis Dr Juanda Jaya menyokong tindakan Majlis Fatwa Pulau Pinang agar suara bacaan al-Quran tidak dikuatkan melalui pembesar suara sebelum waktu solat subuh.

Perlis sokong kenyataan itu dan Perlis dah lama kuatkuasakan larangan itu di masjid dan surau, kata Dr Jaunda sambil menjelaskan bahawa mikrofon masjid hanya boleh laungkan azan waktu subuh sebanyak dua kali sahaja, pertama 30 minit sebelum subuh dan kemudian azan subuh. Saya ingin tahu daripada Zahid adakah kerajaan negeri Perlis juga tidak sensitif terhadap agama Islam ....

Dr Juanda berkata ia adalah amalan yang menepati kehendak sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Sementera itu, mantan Mufti Perlis Prof. Madya Dr Mohamad Asri Zainul Abidin juga menyokong fatwa tersebut yang disifatkannya sebagai arahan nabi dan selaras dengan kehendak syarak.

Dr Asri, anak kelahiran Pulau Pinang, berkata apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan.

kerabu bersuara/-

Kristianisasi: PAS serah pada Jais

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Merujuk kepada isu tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas majlis yang diadakan di Dewan Damansara Utama, Methodist Church, PAS berpendirian menolak sebarang bentuk penyebaran agama lain di kalangan orang Islam termasuk usaha kristianisasi oleh mana-mana gereja.

“Ini adalah selari dengan peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selepas mempengerusikan mesyuarat Lajnah Politik PAS di ibu pejabat parti, di sini, petang tadi.

Selama ini, ujarnya pendirian PAS adalah konsisten mempertahankan kemurnian aqidah ummat Islam.

Oleh itu, jelasnya PAS menyerahkan sepenuhnya kepada Jais untuk mengambil langkah pendakwaan ke atas mana-mana pihak sekiranya terbukti berlakunya kejadian tersebut.

“PAS berharap tindakan pendakwaan tersebut dapat dijalankan seberapa segera bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang mengapi-apikan isu ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama, tambah beliau PAS berharap semua pihak mendapatkan maklumat yang tepat, benar dan adil tentang peristiwa yang berlaku dan tidak disalahgunakan untuk menimbulkan kekeliruan bagi kepentingan politik pihak tertentu yang akhirnya menimbulkan keresahan kaum di negara ini.

Beliau berkata, dalam rangka untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh bagi isu itu, PAS bersedia bertemu dengan kedua pihak iaitu Harapan Komuniti yang menjalankan majlis tersebut dan pihak Jais.

harakahdaily/-

Nik Aziz kesal kaedah mohon simpati

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PENGKALAN CHEPA, 13 Ogos: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa kesal di atas sikap segelintir masyarakat yang menggunakan pelbagai kaedah untuk memohon simpati orang ramai di bulan Ramadan ini.

Menurutnya, beliau melahirkan rasa kebimbangannnya berhubung fenomena berkenaan yang kini semakin berlaku setiap tahun
termasuk dari masyarakat negara jiran.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kegiatan meminta sedekah bermula sejak awal Ramadan lagi selepas
menyampaikan sumbangan kepada 490 orang dalam Dun Chempaka yang terdiri dari golongan armalah, warga emas dan anak-anak yatim.

Beliau yang mengakui turut menjadi tempat mereka memohon simpati berkata suasana itu menimbulkan sedikit suasana yang tidak enak, apa lagi sejak awal lagi golongan itu berkumpul memohon sumbangan.

"Apabila mereka ke rumah, sudah pasti saya menggunakan duit poket saya, kalau sumbangan kerajaan kena ke pejabat.

Sebelum memberi saya kena pastikan mereka ni benar-benar miskin, orang tua dan cacat," ujarnya.

Sekiranya orang yang muda, sehat pula datang memohon ianya menjadi satu kesukaran baginya untuk memberi atau sebaliknya.

Menurutnya, kadang-kadangan golongan ini datang dari luar dengan menaiki kenderaan tertentu yang ditinggalkan oleh pemandunya.

Tuan Guru seterusnya memberitahu, berbagai kaedah digunakan mereka untuk memohon simpati, contohnya tahun lalu mereka membalut tangan seperti patah datang ke rumahnya memohon sumbangan, namun pada masa yang sama terserempat dengan jirannya orang terbabit membeli rokok dengan keadaan tangan yang tiada masalah.

"Perkara ini bukan sahaja menyusahkan saya juga kepada mereka yang sering menjadi tumpuan peminta untuk memohon
simpati," ujarnya.

Seharusnya, tambah beliau bulan Ramadan umat Islam membersihkan jiwa dengan memperbanyakkan ibdat dan bukannya berbuat demikian.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau mengingatkan pembantunya supaya memberikan sumbangan kepada mereka yang layak
tanpa memilih fahaman politik dan bangsa dalam setiap sumbangan yang diberikan.

"Penerima juga seharusnya mendoakan kepada pemberi semoga dengan cara itu akan menambahkan keberkata serta murah rezeki,"ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarkat negeri, Mohd Noor Chik, pihaknya menyediakan RM80,000 kepada
setiap Dun untuk diagihkan kepada penerima sempena bulan Ramadan.

Jelasnya, sumbangan itu diperolehi dari kerajaan negeri dan Persekutuan.

Di negeri ini seramai 32,000 orang penerima di bawah JKM sepanjang tahun ini.

harakahdaily/-

Sahur terakhir seorang duda

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MAHMUD AHMAD menunjukkan tempat bapa saudaranya, Sabtu Husin ditemui mati rentung di tempat tidurnya akibat kebakaran di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang duda berusia 57 tahun ditemui mati rentung di atas sebuah katil dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Bagan Baru, Permas Jaya dekat sini semalam.

Kejadian pukul 5.25 pagi itu menyebabkan mangsa, Sabtu Hussin yang tinggal bersendirian dalam sebuah rumah pusaka di kampung itu meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk akibat terbakar.

Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai baru sahaja selepas bersahur.

Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Sapiah Wan Hitam, 37, suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan yang tinggal bersebelahan berjaya menyelamatkan diri.

Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian berkata, dia hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya.

kosmo/-

Ibu terkejut anak 14 tahun hamil

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KENINGAU: Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin.

Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya.

Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam.

Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.

Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.

Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.

Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.

“Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.

“Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

metro/-

Carla dapat muka baru

14 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SEMAKIN PULIH...wajah Carla sebelum (kiri) dan selepas diserang cimpanzi serta selepas menjalani pembedahan transplan (kanan).

BOSTON: Seorang wanita yang wajahnya dikoyak cimpanzi menjalani perubahan menakjubkan selepas menjalani pembedahan pemindahan wajah sepenuhnya.

Carla Nash, 57, hilang hidung, mata, bibir dan mulutnya dalam serangan menakutkan itu. Bagaimanapun, selepas pembedahan selama 20 jam, ibu kepada seorang anak itu boleh bertutur dan merasa semula.

Wajah barunya itu didedahkan di televisyen, semalam selepas pakar bedah memberinya wajah yang didermakan Mei lalu. Carla, yang sangat lemah untuk menghadiri rancangan TV berkata dalam satu kenyataan: “Saya kini boleh melakukan perkara yang dulu tidak saya hargai.

“Saya boleh menghidu semula. Saya boleh makan secara normal kembali.

“Saya tidak lagi cacat. Saya akan mempunyai bibir dan boleh bercakap dengan jelas semula.

“Saya boleh mencium dan memeluk orang yang saya sayangi. Saya benar-benar berterima kasih kepada penderma itu dan keluarganya.” Kejadian malang yang menimpa Carla berlaku ketika dia mengunjungi rakan baiknya, Sandra Herold yang memelihara cimpanzi. Ketika itu, haiwan berkenaan berang lalu melompat ke arah Carla dan mengoyakkan wajahnya dan hampir keseluruhan tangannya.

Haiwan yang dipanggil Travis itu akhirnya ditembak polis di Stamford, Connecticut, Amerika Syarikat.

Sepasukan 30 doktor dan jururawat di sebuah hospital di Boston untuk melakukan pembedahan itu. Carla menerima kulit, otot saluran darah, urat saraf, lelangit dan gigi daripada seorang penderma yang tidak dinamakan. Pembedahan dijalani Carla adalah pembedahan transplan wajah sepenuhnya yang ketiga di AS.

Carla juga menjalani dua kali transplan tangan tetapi ia terpaksa dipotong selepas dia menghidap pneumonia. Dalam satu wawancara untuk rancangan TV AS Today, Carla berkata, makanan pertamanya selepas pembedahan adalah telur dan keju berkrim.

Dia juga memberitahu, dia dapat merasa rahang dan dagunya semula. Carla berkata: “Saya boleh menggerakkan mulut dan tersenyum. Saya masih rasa lemah, tetapi sedikit demi sedikit saya semakin kuat.”

metro/-