10 August 2011

JK Disiplin DAP pecat tiga ahli

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Jawatankuasa Disiplin DAP memecat tiga ahli parti itu berkuatkuasa serta merta kerana melanggar disiplin parti.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, ketiga-tiga mereka adalah Puah Ju Kian (Cawangan Telok Gadong), Yap Kon Min (Serdang Bahru) dan Tan Chew Wah (Kampung Baru Balakong).

Puah Ju Kian didakwa salah menguruskan hal ehwal cawangannya, Yap Kon Min pula didapati salah membuat kenyataan yang salah secara berulang kali terhadap pimpinan DAP manakala Tan Chew Wah pula didapati bersalah dan secara berulang kali membuat kenyataan buruk secara terbuka terhadap pimpinan DAP.

Menurut Tan Kok Wai yang juga anggota Parlimen Cheras, Jawatankuasa Disiplin DAP telah mengadakan perbicaraan terhadap ketiga-tiga mereka pada 5 Ogos lepas di Ibu Pejabat DAP dan penjelasan mereka tidak memuaskan hati jawatankuasa kerana ia telah memburukkan kepentingan parti itu.

"Ekoran pemecatan ini, ketiga-tiga mereka tidak lagi berhak mewakili DAP dalam sebarang urusan atau bertindak sebagai ahli DAP.

"Bagaimanapun mereka boleh membuat rayuan dalam masa 14 hari terhadap keputusan ini kepada Jawatankuasa Pusat Parti berdasarkan perkara VII para 3 Perlembagaan DAP," katanya dalam satu kenyataan.

harakahdaily/-

Pampasan puluhan juta paun

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LONDON: Syarikat insurans dipercayai menanggung pampasan puluhan juta paun berikutan rusuhan selama tiga malam di London dan beberapa bandar utama Britain lain.

“Terlalu awal bagi kami untuk memberi gambaran tepat mengenai jumlah kos, khususnya kos gangguan perniagaan.

“Syarikat insurans kini bertungkus-lumus menguruskan tuntutan yang diterima,” kata jurucakap Persatuan Syarikat Insurans Britain (ABI), Nick Starling, semalam.

Sebahagian besar London rosak selepas rusuhan, penjarahan dan pembakaran yang dilakukan oleh kumpulan remaja. - AFP

Obama dakwa warisi masalah hutang AS

11 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BARACK OBAMA memasuki kereta limousin selepas dia menghadiri majlis kutipan derma
untuk kempen dana Parti Republikan di sebuah kediaman peribadi di Washington kelmarin.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Presiden AS, Barack Obama semalam menyatakan, beliau 'mewarisi' sebahagian besar masalah negara termasuk hutang dan defisit yang tinggi daripada pentadbiran sebelumnya.

Kenyataan tersebut dilihat bakal menjadi tema kempen Obama untuk pilihan raya Presiden 2012 dalam usaha beliau menerajui AS untuk penggal kedua.

Sebelum Obama menerajui AS, George W. Bush menjadi Presiden AS selama dua penggal.

Bercakap pada satu majlis mengumpul dana Parti Demokrat yang memerlukan setiap keluarga dikenakan bayaran AS$15,000 (RM45,389) untuk bergambar bersamanya di sini, Obama mempertahankan dasar ekonominya dan memaklumkan bahawa masalah ekonomi di Eropah kini menjejaskan AS.

"Kita memang mempunyai masalah serius berkaitan hutang dan defisit yang sebahagian besarnya saya warisi," kata Obama.

Menurutnya, krisis kewangan yang kini melanda Eropah menyebabkan masalah itu menjadi lebih teruk.

Wakil rakyat Parti Demokrat dan Parti Republikan bersetuju untuk meningkatkan kadar siling hutang dan memotong perbelanjaan pentadbiran pada minggu lalu untuk membolehkan AS membayar hutangnya.

Namun, agensi penarafan kredit Standard & Poor tetap menurunkan taraf hutang AS dengan menyebabkan pasaran-pasaran saham utama menjunam kelmarin. - Agensi

Bekas Pengerusi BMF Lorrain Meninggal Dunia

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 OGOS : Bekas pengerusi Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Lorrain Esme Osman dilaporkan telah meninggal dunia di London kelmarin.

Dipetik Utusan Malaysia hari ini, kenalan Allahyarham Datuk Zuraidah Atan berkata, beliau mendapat berita mengenai kematian Lorrain menerusi panggilan telefon daripada seorang rakannya dari London.

“Saya diberitahu bahawa beliau meninggal dunia akibat kanser,” kata beliau.

Difahamkan Lorrain sedang dirawat di sebuah hospital di London ketika itu.

Zuraidah yang juga Penasihat Kehormat Majlis Kanser Kebangsaan berkata kali terakhir beliau bertemu dengan Allahyarham pada 2009.

Lorrain, 79, bekas peguam yang kemudiannya menjadi ahli perbankan terlibat dalam skandal BMF yang menggemparkan negara melibatkan RM2.5 bilion pada 1980-an.

Beliau dibebaskan dari penjara Hong Kong pada Ogos 1993 selepas menjalani hukuman penjara setahun.

Lorrain mengaku bersalah atas tuduhan berkonspirasi memberi pinjaman kepada sebuah firma diketuai oleh bekas ketua Kumpulan Carrian, George Tan.

tv selangor/-

Najib gagal uruskan ekonomi

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Angka-angka ekonomi terkini yang baru diumumkan membayangkan ekonomi negara akan terus malap; selain dari kerugian ratusan bilion ringgit yang dialami pelabur di Bursa Kuala Lumpur sejak Jumaat lalu.

Keputusan agensi pelaburan dan penganalisa pasaran memotong unjuran pertumbuhan ekonomi negara di bawah paras 5% bagi tahun 2011 menjadi tanda-tanda bahawa dasar dan inisiatif ekonomi yang menjadi tonggak pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak (seperti Program Transformasi Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Ekonomi Baru) telah gagal sejak dari awal-awal lagi.

Jika prestasi ekonomi terus malap seperti yang diunjurkan, Program Transformasi Ekonomi akan gagal sebelum memasuki tahun kedua kerana ia mensasarkan pertumbuhan ekonomi 6% setahun untuk mencapai sasaran Pendapatan Kasar Kebangsaan (GNI) per kapita sebanyak RM48,000 menjelang 2020 yang diwar-warkan. Pertumbuhan ekonomi tahunan di bawah angka 5% setahun bermakna Program Transformasi Ekonomi telah gagal menarik minat pelabur walhal kerajaan menumpukan sepenuh tenaga, fokus dan jentera kerajaan untuk mempromosikannya. Jika ia gagal menarik perhatian dalam tahun pertama dan di kemuncak promosinya, bayangkan keadaannya 2-3 tahun akan datang.

Prospek yang malap ini akan diburukkan lagi dengan keadaan tidak menentu yang dialami Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Pakar ekonomi dunia sependapat bahawa krisis hutang di Eropah akan mengheret 3 ekonomi terbesarnya iaitu Itali, Perancis dan Jerman ke kancah kekalutan ekonomi seperti yang dialami oleh negara-negara Eropah lain. Jika ini berlaku, prestasi ekonomi Malaysia akan turut terkesan dan memburukkan lagi angka pertumbuhan ekonomi tahun-tahun akan datang.

Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu menerima hakikat bahawa pentadbiran beliau telah gagal mencapai sasaran pelaburan swasta yang ditetapkannya sendiri dan diumumkan sebagai strategi utama beliau menghidupkan kembali pertumbuhan ekonomi Malaysia. Sebelum ini, PEMANDU dengan gah mengumumkan bahawa 92% daripada dana untuk melaksanakan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi bernilai ratusan bilion ringgit akan dibiayai swasta.

Namun, sumber dana untuk membiayai projek-projek utama yang diumumkan masih diselubungi rahsia. Setakat ini, 77% daripada 10 projek terbesar yang diumumkan di bawah Program Transformasi Ekonomi akan dilaksanakan dan dibiayai oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Analisis 10 projek terbesar seperti berikut akan membuktikan bahawa pentadbiran sekarang masih menggunakan kaedah pergantungan kepada wang rakyat untuk mewujudkan peluang ekonomi, tetapi kini ia disalurkan melalui GLC:

Setakat ini, 10 projek terbesar di bawah Program Transformasi Ekonomi menelan pelaburan RM142 bilion, iaitu 82% daripada keseluruhan pelaburan projek-projek yang telah diumumkan berjumlah RM173 bilion. Hakikatnya, 77% daripada 10 projek terbesar di bawah pelan ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya menggunakan dana awam melalui GLC dan membuktikan bahawa sasaran 92% pembiayaan swasta itu tidak lebih dari angka-angka untuk kempen politik yang sudah tentu tidak akan dicapai.

Prestasi 3 penanda aras ekonomi yang paling utama (iaitu kekalutan di Bursa Kuala Lumpur, unjuran pertumbuhan yang semakin rendah saban hari dan kegagalan menarik pembiayaan swasta bagi projek-projek utama di bawah Program Transformasi Ekonomi) sudah cukup untuk membayangkan kegagalan dasar dan inisiatif ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Malangnya, prospek ekonomi murung yang menyelubungi Malaysia adalah berlainan sama sekali dengan prestasi ekonomi Indonesia. Pertumbuhan ekonomi Indonesia terus meningkat pada kadar 6.5% suku yang lepas dan dijangka mencecah 7% tahun depan. Pada masa rakyat Malaysia bergelumang dengan kadar inflasi tertinggi dalam tempoh 2 tahun, Indonesia pula mencatatkan kadar inflasi terendah dalam tempoh 14 bulan yang lalu. Sementara kadar kenaikan gaji hanya menokok pada angka 2.6% sahaja bagi pekerja Malaysia sepanjang sedekad yang lalu, pekerja di Indonesia menikmati kadar kenaikan gaji tahunan 10% sejak tahun 2006.

Sudah tentu ada perbezaan yang nyata dari segi pendekatan ekonomi sehingga mengakibatkan prestasi yang berlainan seperti ini. Pemerintah Indonesia mengalu-alukan reformasi dan keterbukaan sejak tahun 1998 lagi, berbeza dengan Barisan Nasional yang mencari seribu satu alasan untuk memadamkan api reformasi yang dituntut rakyat sehingga mengorbankan prestasi ekonomi negara.

Baiknya keadaan ini tidak akan berterusan kerana lebih ramai rakyat boleh menilai sendiri bahawa reformasi ekonomi hanya boleh berlaku seiringan dengan reformasi politik, selaras dengan pendekatan ekonomi yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

Datuk Prof Dr Zaleha Kamaruddin Dilantik Rektor Baru UIAM

10 Ramadahan 1432H. [MOD] -

GOMBAK 10 OGOS : Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Zaleha Kamaruddin dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang baru berkuatkuasa hari ini.

UIAM dalam satu kenyataan hari ini berkata, Zaleha dilantik menggantikan Datuk Seri Prof Syed Arabi Idid yang tamat tempoh sebagai Rektor pada 1 Jun lalu.

Zaleha yang berkelulusan Ijazah Kedoktoran (Undang-Undang) dari Universiti London pernah menjadi Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim di UIAM, menurut kenyataan itu.

“Zaleha juga pernah berkhidmat di IKIM selama dua tahun secara pinjaman berkuat kuasa 2 Ogos 2009 hingga 1 Ogos lalu menggantikan Datuk Nik Mustapha Nik Hassan yang dilantik Ketua Pengarah IKIM.

“Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang UIAM pada tahun 1985 dan kemudian dilantik sebagai Pensyarah di Kuliyyah yang sama pada tahun 1988,” katanya.

Menurut kenyataan itu, beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Timbalan dekan Pusat Penyelidikan UIAM.

Zaleha, anak kelahiran Raub, Pahang, banyak menghasilkan buku, artikel dan penyelidikan berkaitan undang-undang dan juga memberi khidmat perundingan kepada kementerian, jabatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada Mac 2009, beliau menerima Anugerah Tokoh Pendakwah Negeri Selangor daripada kerajaan negeri.

tv selangor/-

Lagi pengundi berganda ditemui

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa menemui lima lagi pengundi bertindih di parlimen itu dalam semakan terbaru mereka melalui web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kesemua mereka mempunyai dua kad pengenalan baru yang nombornya berbeza namun mempunyai nombor kad pengenalan lama yang sama.

Antaranya individu bernama SA'AD BIN SAMSUDIN, yang memiliki dua kad pengenalan baru iaitu 380913105681 dan 510913105553 tetapi nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu 1479323.

Beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Parlimen Titiwangsa dan Parlimen Setiawangsa.

Kes kedua membabitkan seorang wanita SHODAH BINTI ABDUL RAHMAN juga memiliki dua kad pengenalan baru berbeza iaitu bernombor 550620055800 dan 560620055412 tetapi nombor kad pengenalan lama yang sama iaitu 4802777.

Beliau juga mempunyai kelayakan mengundi dua kali di Parlimen Titiwangsa.

Kes ketiga, seorang lelaki bernama MOHAMAD BIN ISMAIL, memiliki kad pengenalan lama bernombor 8370614, tetapi mempunyai dua kad pengenalan baru, iaitu 540405025757 dan 540405025095 dan memilik hak kelayakan mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Parlimen Titiwangsa.

Kes keempat iaitu melibatkan seorang lelaki bernama ANDERSON A/L P ARPUTHANATHAN. Beliau memiliki nombor kad penganalan lama yang sama iaitu A0831847, tetapi memiliki dua kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 671117106499 dan 671117105963.

Beliau juga mempunyai dua hak kelayakan mengundi iaitu di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Kes kelima, juga dengan memegang kad pengenalan lama yang sama iaitu 7877951, beliau ini mempunyai kad pengenalan baru yang berbeza iaitu 491006045672 dan 491006015094. Pengundi perempuan ini bernama CHELLAMAH A/P MURUGESU boleh mengundi di Parlimen Setiawangsa dan Titiwangsa.

Ketua Pemuda PAS Titiwangsa, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata kesalahan tersebut merupakan perkara sangat serius dan tidak boleh dipandang ringan.

"Dengan lima contoh yang didedahkan ini, cukup untuk membuktikan bahawa memang terdapat usaha untuk membolehkan seorang pengundi mengundi lebih dari dua kali. Lebih dari itu, ia membuktikan bahawa usaha ini berjalan secara terancang di seluruh negara.

"Jika ini merupakan suatu kecuaian, kecuaian ini sememangnya tidak boleh dimaafkan kerana ia boleh menyebabkan berlakunya penipuan dalam sistem pilihanraya di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Selain mahu nama-nama tersebut disiasat oleh JPN dan SPR, mereka juga mahu kedua-dua pihak yang bertanggungjawab itu membuat penjelasan kenapa perkara tersebut boleh berlaku.

Kegagalan memberikan penjelasan munasabah kata mereka, hanya akan mengesahkan dakwaan banyak pihak sebelum ini bahawa sememangnya terdapat komplot pihak tertentu memanipulasi daftar pemilih demi kelangsungan politik mereka.

"Kita juga mendesak agar JPN menyiasat identiti kesemua individu yang didedahkan ini dan menarik balik kad pengenalan yang dikeluarkan lebih dari satu untuk seorang.

"Mungkinkah wujud kad pengenalan palsu yang diberikan kepada setiap pengundi ini, bagi membolehkan mereka mengundi 2 kali? kerana ada kad pengenalan tersebut tidak ada dalam senarai jabatan Pendaftaran Negara," tegasnya.

Harakahdaily/-

SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) Mesti Guna Data Dari JPN (Jabatan Pendaftaran Negara)

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -
PAS Miri

Kita mencadang dan mendesak SPR agar menggunakan sepenuhnya nama pengundi dari data JPN agar selari dengan nama dan alamat tempat pengundi. Dengan adanya maklumat terus dari JPN kerja pembersihan nama-nama pengundi dan mereka yang belum mendaftar serta rekod kematian seseorang pengundi dapat dikemaskini dengan mudah dan cepat.

Sepatutnya pihak SPR tidak perlu bersusah payah menggunakan nama yang ada dalam senarai pengundi sekarang sekiranya mereka mendapatkan terus nama serta alamat pengundi daripada JPN. Dengan cara ini rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas akan secara automatik jadi pengundi. Dengan mengunakan program yang boleh menyusun nama mengikut abjad dan tarikh lahir maka dengan mudah pihak SPR menyusun nama-nama pengundi mengikut tarikh lahir serta tempat mengundi masing-masing tanpa bersusah payah untuk membersih cara sekarang dimana nama-nama dalam senarai tersebut kemungkinan besar banyak yang meragukan.

Apa yang menjadi persoalan sekarang mengapa SPR masih berdegil dan berdolak dalih untuk mendapatkan nama pengundi terus dari data JPN sedangkan apabila seorang yang hendak mendaftar jadi pengundi pun mesti mendaftar mengikut nama dan alamat seperti dalam kad pengenalan (MyKad) yang di keluarkan oleh JPN.

Kerja SPR akan lebih mudah bila dapat 'download' terus nama pengundi dari data JPN. Lainlah kalau SPR ada agenda tertentu sehingga menyusahkan rakyat yang membuat bantahan dikenakan rm10 setiap seorang apabila buat bantahan.

Sepatutnya SPR yang membayar ganjaran untuk seseorang yang bekerja membersihkan nama pengundi yang meragukan dalam senarai SPR bukan sebaliknya.

Sungguh menghairankan mengapa SPR bersusah payah masih mahu mengekalkan nama dalam senarai pengundi sekarang sedangkan banyak masalah yang timbul dan meragukan dalam senarai nama pengundi yang digunakan oleh SPR sekarang.

Adalah lebih baik SPR jangan berdolak dalih lagi sekarang, gunakan saja nama pengundi terus dari data JPN untuk mengurangkan masalah nama pengundi yang bukan rakyat Malaysia. Sekarang kita menuju ke arah globalisasi bukannya mundur kebelakang dalam menggunakan kemudahan ‘Internet access’ yang mudah,cepat serta tepat.

Kita mendesak agar pihak SPR mengambil serius tentang masalah ini sebelum pilihan raya umum ke 13 diadakan nanti dengan mengunakan nama dan nombor kad pengenalan yang selari dengan data JPN daripada menggunakan senarai nama yang ada dalam SPR sekarang yang penuh dengan berbagai masalah serta meragukan. Kita juga minta agar pihak JPN
pastikan nama dalam data mereka juga bersih dari unsur-unsur yang meragukan. Ini untuk mempastikan tiada nama pendatang asing mendapat taraf warga negara secara haram jadi pengundi.

Soal sama ada mereka yang berumur lebih dari 21 tahun ke atas mahu mengundi atau tidak terserah pada hak masing-masing yang penting nama pengundi dalam senarai SPR mesti selari dengan data nama dalam JPN sekurang-kurangnya dapat membersihkan nama-nama yang tidak wujud dalam data JPN seperti yang di temui sekarang. Sekiranya pihak SPR dapat laksanakan tuntutan ini sekurang-kurangnya SPR sudah memenuhi sebahagian kecil dari tuntutan rakyat melalui ‘Bersih’.

Kerjasama dan tindakan segera dari pihak SPR sangat kita hargai demi keselamatan dan masa depan rakyat negara ini Kalau dibiarkan pendatang asing mendaftar sebagai pengundi ini sangat merbahaya kepada penduduk Malaysia. Sekiranya perkara ini berlaku kemungkinan besar suatu hari nanti apabila rakyat asing yang sudah mendapat taraf warga negara secara haram itu akan menuntut hak dan akan menguasai negara
ini dengan sewenang-wenangnya dan rakyat Malaysia akan jadi menumpang di negara sendiri.

Kita mahu SPR dan JPN bebas dari cengkaman pengaruh mana-mana parti politik. Apa yang penting adalah menjalankan tugas dengan jujur,amanah dan bertanggungjawab.

Semoga mendapat perhatian dan kerjasama yang sewajarnya dari pihak SPR dan =PN.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

Penduduk Di Pinggir Sungai Batu 1 Perlu Peruntukan Tambakan Tanah

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -
PAS Miri

Gambar seorang penduduk di kampong Batu 1 menunjuk rumahnya hampir roboh akibat hakisan tanah sungai.

Miri - Masalah penduduk kampong di Batu 1 masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya oleh pihak yang berwajib terutama sekali masalah bekalan api elektrik dan juga hakisan tanah dipinggir sungai. Kami PAS Miri masih lagi menerima aduan dari penduduk di kampong tersebut dimana kata mereka walapun ada sesetengah penduduk yang sudah dapat bekalan api eletrik tapi bukan bermakna masalah penduduk di kampong tersebut sudah selesai. Mereka sudah lama memohon agar pihak yang berwajib dapat menyambung bekalan elektrik ke rumah mereka tetapi sampai sekarang mereka masih lagi menggunakan generator untuk bekalan api eletrik. Mereka menuntut Yang berhormat (Yb) BN agar menunaikan janji mereka semasa pilihanraya umum Sarawak yang lalu.

Begitu juga masalah seperti yang berlaku kepada salah seorang penduduk di kampong batu 1 dimana rumahnya hampir roboh akibat hakisan tanah oleh air sungai. Kita juga pernah beberapa kali menghubungi talian aduan dan Biro Pengaduan Awam Pejabat Negeri Sarawak jawaban yang diberi belum ada peruntukan. Sudah banyak kali aduan dibuat tetapi sehingga ke hari ini belum ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak yang berkenaan. Jangan bila suatu trajedi berlaku barulah sibuk hendak mengucap simpati dan berjanji hendak selesaikan masalah rakyat. Kita menuntut agar pihak yang berkenaan bertindak dengan segera sebelum sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada penduduk terbabit.

Diharap pihak berwajib dapat memberi peruntukan segera bagi mengatasi masalah hakisan tanah di pinggir sungai tersebut sebelum hari raya adilfitri atau Pilihan Raya umum (PR13) yang sudah hampir menjelang tiba. Sekali lagi kami mendesak agar pihak yang berwajib segera bertindak demi keselamatan penduduk setempat. Pihak yang berkenaan hendaklah berlaku adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan
fahaman politik.

Daripada PAS Miri
Jofri Jaraiee

PAS Perak tumpu agenda Negara Berkebajikan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PAS Perak akan terus memberikan komitmen bagi merealisasikan agenda Negara Berkebajikan yang diserlahkan melalui Buku Jingga yang telah sama dibentuk bersama Pakatan Rakyat.

PAS Perak kini sentiasa berusaha untuk memipin rakyat khususnya orang melayu bagi merealisasikan agenda PAS ganti Umno bagi orang Melayu. PAS Perak juga akan membawa wajah baru bagi orang Melayu serta memperkasakan mereka dengan agenda Islam yang sebenar.

PAS Perak, sentiasa memastikan apa yang diperjuangkan PAS bukannya berlandaskan semangat fanatik perkauman yang mencetuskan hubungan yang tegang antara kaum kerana Islam mengajar kita bersaudara di kalangan manusia sebagai mana yang dipaparkan oleh Rasulullah SAW.

Perkara ini yang sedang diperjuangkan PAS Perak, PAS Perak tidak memilih jalan menonjol dengan keperkasaan kaum melalui semangat Kebangsaan fanatik yang diapi-apikan hingga boleh menimbulkan natijah buruk kepada keharmornian Negara Malaysia.

PAS Perak yakin bahawa kini sudah tiba masanya rakyat Melayu Islam menjadikan PAS pengganti kepada Umno untuk menyelamatkan negara dalam masa yang sama rakyat bukan Islam tidak perlu takut dan bimbang kepada PAS, PAS telah membuktikan kerjasama baik yang diberikan dalam Negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Sudah tiba juga masanya rakyat bukan Islam membuat perubahan bersama Pakatan Rakyat dengan menyedari bahawa perubahan tidak boleh berlaku melainkan secara bersama. Di mana tidak berlaku dengan orang Melayu sahaja berubah, kaum lain sahaja berubah tetapi kita semua berubah melalui Pakatan Rakyat.

Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )

Polis anti rusuhan bertembung dengan penunjuk perasaan di Chile

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SANTIAGO: Polis anti rusuhan Chile melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air untuk meleraikan penunjuk perasaan ketika demonstrasi aman membabitkan pelajar di ibu negara, Santiago.

Berpuluh ribu guru, pelajar, ibu bapa dan aktivis buruh berarak di pusat bandar Santiago buat kali kelima dalam tempoh dua bulan untuk menuntut pembaharuan daripada kerajaan konservatif diketuai Presiden Sebastian Pinera.

Tunjuk perasaan secara aman dibuat apabila sekumpulan remaja mula melempar kayu dan batu ke arah polis anti rusuhan berhampiran istana Presiden La Moneda.

Sebahagian daripada belia terbabit bertindak memecahkan lampu isyarat dan tingkap serta membakar kereta.

Polis berkata, kira-kira 60,000 orang berarak dalam kejadian berkenaan namun penganjur menganggarkan jumlah sebenar ialah kira-kira 150,000.- AFP

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar Pakistan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ISLAMABAD: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud mengeggarkan barat daya Pakistan pagi tadi.

Gempa bumi itu berlaku pada kira-kira jam 5.53 pagi waktu tempatan kira-kira 330 kilometer di barat daya Quetta, bandar utama wilayah Baluchistan dan kedalaman kira-kira lapan kilometer.

Gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud pernah melanda barat daya Pakistan Januari lalu yang menyebabkan orang ramai cemas meninggalkan rumah masing-masing tetapi tidak menyebabkan jumlah kematian besar. - AFP

Tiada pemimpin Baju Merah dalam Kabinet Yingluck

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Pemimpin Baju Merah, yang menjadi penyokong kuat bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, tidak tersenarai dalam barisan Kabinet baru Thailand yang diumumkan malam tadi.

Pemimpin utama Baju Merah termasuk Jatuporn Prompan, Natthawut Saikua dan Dr Weng Tojirakarn, yang memenangi pilihan raya 3 Julai lalu atas tiket parti Pheu Thai tidak mendapat tempat dalam Kabinet Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Empat orang bukan ahli politik turut dipilih untuk berkhidmat dalam Kabinet, menurut senarai yang dikeluarkan oleh Rumah Kerajaan.

Mereka adalah bekas Jeneral Polis, Kowit Watana sebagai Timbalan Perdana Menteri, Kittirat na Ranong (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan), Thirachai Phuvanatnaranubala (Menteri Kewangan) dan bekas panglima Tentera Udara, Sukampol Suwannathat sebagai Menteri Pengangkutan.

Kowit adalah bekas ketua polis semasa pentadbiran Thaksin dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbiran Somchai Wongsawat manakala Kittirat pula bekas pengurus Bursa Saham Thailand.

Thirachai meletak jawatan sebagai setiausaha agung Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand minggu lepas dan Sukampol adalah bekas Ketua Polis Tentera.

Perdana Menteri Yingluck mempunyai lima timbalan dan selain Kowit dan Kittirat, mereka yang lain ialah dua pemimpin Pheu Thai, Yongyuth Eichaidit, Charlerm Yoobamrung dan pemimpin Chart Thai Pattana, Chumpol Silapa-archa.

Portfolio Pertahanan diberikan kepada Ahli Parlimen dari parti Pheu Thai, Jeneral Yuthasak Sasiparpha manakala seorang lagi Ahli Parlimen dari Pheu Thai, Surapong Towichukchaikul memegang portfolio Kementerian Luar.

(Adalah menjadi amalan biasa bagi bekas jeneral dalam pasukan polis dan tentera di Thailand mengekalkan pangkat selepas persaraan mereka).

Chart Thai Pattana, sebuah parti bersekutu kerajaan pimpinan parti Pheu Thai, juga diberi satu lagi jawatan menteri iaitu Menteri Pertanian yang disandang oleh Theera Wongsamut.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Chumpol juga akan memegang portfolio Pelancongan dan Sukan.

Dua lagi rakan bersekutu Pheu Thai, Phalang Chon, diberi jawatan Menteri Kebudayaan yang disandang oleh Sukumol Kunplome manakala parti Chart Pattana Puea Pandin mendapat portfolio Kementerian Perindustrian dengan Wannarat Charmnukul sebagai menterinya.

Portfolio penting yang lain seperti pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga, kehakiman, sumber manusia dan kesihatan awam dipegang oleh Ahli Parlimen dari Pheu Thai. - BERNAMA

Rusuhan di Manchester tidak pernah berlaku dalam 30 tahun

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LONDON: Rusuhan dan kecurian yang melanda Manchester disifatkan sebagai "kelakuan ganas dan jenayah tidak masuk akal" yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun.

Penolong Ketua Konstabel, Garry Shewan, berkata keganasan itu dilakukan oleh pihak yang "tiada sebab untuk membantah" sehingga menyebabkan "rasa malu di jalan-jalan" bandar raya berkenaan.

"Ini adalah jenayah tulen dan ringkas berlaku secara liar malam ini. Tiada apa yang perlu dibantah kerana memang tiada puncanya dan ini adalah keganasan dan jenayah tidak masuk akal yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” katanya. - AFP

Infak Sempena Bulan Ramadhan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Sahabat dan rakan yg dermawan dan hartawan:

• Sempena Ramadan bulan penuh keberkatan ini, hulurkanlah infak fisabillah kepada PAS Pahang melalui akaun Perhubungan PAS Pahang di:

• BIMB 06028010000076, atau

• Maybank 556057201847, atau

• Affin Islamic Bank 106630001069.

• Infak anda akan dimanfaatkan untuk gerak kerja fi sabilillah termasuk membantu rakyat yang ditimpa musibah kehidupan.

• SMS makluman infak anda ke 013-900 8480

• Terima kasih atas infak anda, semoga sentiasa dilimpahkan rahmat Allah seisi keluarga.

Nalsor Laniaz

Anwar Dibenar Hadir Temubual Saksi

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 OGOS : Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dalam setiap temuramah peguambela ke atas 15 saksi pendakwaan.

Sesi temubual semalam tergendala apabila, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof enggan ditemuramah, jika Anwar hadir sama pada sesi temubual kes fitnah liwat II tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah bagaimanapun berkata, Anwar hanya hadir dalam temubual itu namun tidak dibenarkan menyoal saksi.

Peguam Anwar, Karpal Singh berkata, Anwar sebagai yang dituduh dalam kes ini berhak untuk hadir sama dalam setiap sesi temubual saksi.

"Sebagai tertuduh, beliau ada hak untuk berada di situ," kata beliau kepada wartawan di kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Pihak pembelaan yang diketuai oleh Karpal kini dijadualkan mewawancara 10 saksi hari ini.

Bagaimanapun senarai itu tidak termasuk nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mahupun Musa yang juga antara saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan.

Karpal bagaimanapun menegaskan bahawa semua 15 saksi yang dibekalkan itu perlu ditemubual segera.

"Kami akan terus mewawancara mereka. Kami mahu selesaikannya dalam minggu ini. "Biar saya terangkan dengan jelas, kami mahu temuramah mereka secepat mungkin. Semalam kami sudah mahu mula. Saya tidak faham kenapa Pendakwaraya membantah kehadiran Anwar," terang Karpal.

Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh 15 hingga 26 Ogos untuk pihak pembelaan mengemukakan hujah pembelaan.

tv selangor/-

Sebuah syarikat meyumbang Muhyiddin kata Malaysia capai standard negara berekonomi maju

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Saya ingin mengutarakan pandangan terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini dengan katanya kita telah mengecapi kemajuan dan pembangunan ekonomi negara, justeru rakyat perlu berterima kasih kepada kerajaan UMNO-BN.

Dakwaan beliau sebenarnya bukannya kayu ukur yang sebenar dan tepat, kata Muhyiddin Yassin negara ada ramai dermawan dan ini petanda bahawa Malaysia telah mencapai standard negara berekonomi maju, ini tidak benar dan ia satu penilaian yang sangat dangkal.

Jumlah sumbangan sebuah syarikat cuma sebanyak RM5,000 kepada Rumah Amal Kasih Bestari, dan ini telah menggambarkan kepada kita bahawa rakyat digula-gulakan dengan berita yang sengaja diperbesarkan, sepatutnya bantuan lebih besar dihulurkan oleh pihak kerajaan sendiri dan memberi perangsang kepada pihak korperat dan individu lain memandangkan mereka anak yatim yang tiada keluarga.

Umno-BN memperdaya rakyat dengan pemberian jumlah wang yang sedikit, kemudian minta rakyat berterima kasih, malah pada hari tersebut dermawan yang dikatakan ramai cuma melibatkan satu pihak iaitu EDEN Inc. Berhad. Bagaimana beliau boleh mengatakan ramai, ini satu bentuk pembohongan terhadap rakyat.

Isu sebenar yang cuba ditutup rapat oleh Umno-Bn ialah wujudnya sejumlah besar pemimpin (BN) kerajaan yang telah sekian lama mengamal rasuah dan salahlaku kuasa menjadi punca utama Negara mengalami kemelesetan ekonomi.

Sebenarnya dakwaaan ekonomi Malaysia sedang merudum berfakta di mana data terbaru dilaporkan bahawa nilai pasaran saham di Malaysia terus merudum dengan dianggarkan RM31 bilion ‘terhakis’ dari Bursa Malaysia malah nilai tersebut telah mencecah lebih RM65 bilion sejak Isnin lalu dan ini sangat membimbangkan.

Kemajuan dan pembangunan ekonomi Negara amat berkait rapat dengan pemimpin yang bersih dan adil, Umno-Bn gagal membuktikan mereka adil dan bersih, justeru saya menyeru supaya rakyat berubah kepada PR .

Drs Khalil Idham Lim
Parit buntar, 10 ogos 2011

Pengedar Harakah maut kemalangan

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 10 Ogos: Aktivis PAS yang juga pengedar Harakah daerah ini, Zulhazmi Norwawi, 39, kembali ke rahmatullah kira-kira jam 5 petang semalam setelah van dipandunya terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Sungai Dua, Karak.

Menurut keluarga terdekatnya, Allahyarham memandu bersendirian dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur setelah membeli barang-barang untuk perniagaannya ketika kemalangan.

Tambahnya, van jenis Nissan Vannete yang dipandu Zulhazmi terbabas di tempat kejadian lalu melanggar pokok dan beliau meninggal dunia serta merta sebelum dibawa ke Hospital Bentong.

Jenazahnya sempurna dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kerdau jam 1 pagi tadi.

Zulhazmi yang merupakan AJK MTD Kuala Semantan berasal dari Kampung Kelebang, Kerdau dan kini menetap di Paya Pulai, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak kecil berumur antara tiga hingga 11 tahun.

harakahdaily/-

Idham Care usaha bantu fakir miskin

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

PARIT BUNTAR, 10 Ogos: Sempena dengan bulan Ramadhan dan Aidil Fitri yang akan menjelang, Idham Care sudah merancang untuk menyumbangkan kepada anak yatim dan fakir miskin di dalam Dun Titi Serong dan Parlimen Kuala Kangsar untuk sejumlah 600 orang yang telah dikenal pasti.

Pengerusinya, Drs Khalil Idham Lim berkata, sumbangan yang akan diberikan kepada mereka yang terlibat berupa sejumlah barang makanan perlu dan sumbangan wang hasil dari sumbangan zakat dan derma dari pelbagai pihak dari seluruh negara.

Di samping itu, katanya terdapat juga pihak yang menyumbangkan bahan makanan seperti beras dan lain-lain untuk menjayakan program tersebut.

"Kami menganggarkan sejumlah RM50,000 diperlukan untuk menjayakan program yang pertama kali saya lancarkan atas nama Infak Ramadhan dengan paltform Idham Care yang ditubuhkan sejak tahun lepas.

"Setakat ini sumbangan dari pelbagai pihak sedang kami terima dan masih memerlukan sumbangan dari pelbagai pihak bagi memenuhi keperluan kewangan yang besar itu," ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, dengan bantuan dari pelbagai pihak yang bermurah hati menyalurkan wang zakat dan derma adalah faktor utama berjayanya program yang dirancang.

Harapan beliau Idham Care terus berada dalam masyarakat untuk bersama dengan NGO dan badan-badan kebajikan lain bagi merealisasikan usaha untuk membantu pihak yang memerlukan sekadar kemapuan yang kami ada.

Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, beliau merayu kepada semua pihak untuk menghulurkan sumbangan zakat dan derma kepada Idham Care ke akaun MayBank nombor akaun: 558417102650.


Bantuan mencari gadis hilang

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KAMPAR, 10 Ogos: Orang ramai diminta membantu mencari gadis, Seri Najwa Ferda, 17, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu di Tualang Sekah, Malim Nawar.

Menurut abangnya, Ameerul, gadis yang berketinggian 156 cm itu dipercayai membonceng motosikal yang ditunggang seorang lelaki kira-kira jam 6.00 pagi.

Katanya, kehilangan adiknya itu telah dilaporkan kepada pihak polis.

Sehubungan itu, ujarnya mereka yang mempunyai maklumat berhubung adiknya itu boleh menghubunginya di talian 017-5351451 atau ibunya, Puan Seri Wang (017-5999137) serta Sarjan Norhisham (019-5162896).

harakahdaily/-

Pemberian bonus tanda PRU ke 13 semakin hampir.

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Kerajaan persekutuan bermurah hati terhadap penjawat awam dengan rasminya telah mengumumkan untuk memberikan bonus . Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam .

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

Saya ingin memberi pandangan bahawa jika benar Najib Razak fikir perihal kepayahan rakyat, mengapa mengumumkan langkah yang cuma penyelesaian masalah bersifat sementara. Pejawat awam sepatutnya menikmati gaji yang lebih selesa dAlam keadaan mereka telah melakukan pengorbanan dan prestasi kerja yang baik bagI membantu pembangunan negara.

Tawaran yang lebih menyeluruh dengan menawarkan tambahan gaji sebanyak RM500 bagi setiap guru seperti yang ditawarkan dalam tawaran 100 hari Buku Jingga membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai persiapan yang cukup bagi memperkenalkan dasar yang lebih baik kepada penjawat awam.

Hakikatnya jumlah bonus yang diperuntukkan kerajaan ini cuma sebilangan kecil dari wang rakyat yang telah dikikis BN selama ini. Pemimpin UMNO-BN dan elit Umno telah hidup senang setelah rakyat merana dengan tekanan dan bebanan kewangan.

Bagi saya ini cuma sejumlah wang pendahuluan yang digunakan Najib Razak terhadap penjawat awam bagi memancing undi meraih simpati menjelang PRU13 yang bakal menjelang dalam tempoh terdekat.

Perkembangan terbaru ini telah membuktikan kepada kita bahawa BN amat terdesak kerana sokongan terhadapnya makin merosot.

Saya amat yakin bahawa PRU 13 telah amat hampir, mungkin September atau juga mungkin Oktober ini, yang pastinya petanda sudah amat jelas tambahan pula telah berlaku satu berita yang mengejutkan bila SPR telah mendaftarkan "Kampung Baru" sebagai pengundi yang sah.

SPR sudah tidak cukup PATI untuk dijadikan pengundi BN sehingga mendaftarkan kampung sebagAi pengundi barunya.

Projek mempertahankkan kuasa BN di kerusi Parlimen dan DUN melalui pengundi hantu amat dahsyat dirangka dengan terancang melibarkan agensi terpilih, ini juga sebagAi petanda bahawa PRU 13 makin hampir dan dalam masa yang sama UMNO-BN amat terdesak untuk mendapat undi setelah melihat sendiri sokongan rakyat yang tidak berpihak kepada mereka, akhirnya, maruah negara dan taraf kewarganegaraan digadai begitu sahaja.

Justeru itu keselesaan bersifat sementara dengan bonus separuh bulan bukanlah jawapannya muktamad untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam berbelanja, penjawaat awam dan rakyat mesti bangkit untuk mengubah kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Negara Malaysia yang berada dalam bahaya.

Saya yakin Pakatan Rakyat mampu merlakukan banyak dasar berkebajikan bagi membela nasib penjawat awam bila kita berkuasa nanti.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 10 Ogos 2011

Rakyat mahu naik gaji, bukan bonus sementara

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam, hanya penyelesaian bersifat sementara, kata Adun Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menaikkan gaji mereka berbanding hanya memberi bonus apatah lagi dalam keadaan kos kehidupan yang terus meningkat lebih-lebih lagi untuk persiapan Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.

"Saya ingin memberi pandangan bahawa jika benar Najib Razak fikir perihal kepayahan rakyat, mengapa mengumumkan langkah yang cuma penyelesaian masalah bersifat sementara.

"Tawaran yang lebih menyeluruh dengan menawarkan tambahan gaji sebanyak RM500 bagi setiap guru seperti yang ditawarkan dalam tawaran 100 hari Buku Jingga membuktikan Pakatan Rakyat mempunyai persiapan yang cukup bagi memperkenalkan dasar yang lebih baik kepada penjawat awam," katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Selain itu katanya, jumlah bonus yang diperuntukkan kerajaan itu cuma sebilangan kecil dari wang rakyat yang telah dikikis BN selama ini.

Pemimpin Umno BN dan elit Umno ujarnya telah hidup senang setelah rakyat merana dengan tekanan dan bebanan kewangan.

Mengulas lanjut, Khalil berkata tindakan kerajaan itu juga hanya taktik memancing undi meraih simpati menjelang PRU13 yang bakal menjelang dalam tempoh terdekat.

"Saya amat yakin bahawa PRU 13 telah amat hampir, mungkin September atau juga mungkin Oktober ini, yang pastinya petanda sudah amat jelas tambahan pula telah berlaku satu berita yang mengejutkan bila SPR telah mendaftarkan "Kampung Baru" sebagai pengundi yang sah," katanya lagi.

Justeru itu katanya keselesaan bersifat sementara dengan bonus separuh bulan bukanlah jawapannya muktamad untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam berbelanja, penjawaat awam dan rakyat mesti bangkit untuk mengubah kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan Negara Malaysia yang berada dalam bahaya.

harakahdaily/-

Watan diarah bayar pemimpin PAS RM1.4 juta

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -KOTA BHARU, 10 Ogos: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan akhbar Mingguan Watan membayar sebanyak RM1.4 juta kepada tiga pemimpin PAS Kelantan terhadap kes saman fitnah.

Perintah itu dibuat Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Nariman Badruddin dalam kamar.

Ketiga-tiga plaintif iaitu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Husam Musa dan Datuk Anuar Tan Abdullah diwakili peguam Hisham Fauzi.

Bagaimanapun peguam defendan, Rosli Abu Zarim tidak hadir hari ini.

Pemimpin PAS terbabit menyaman akhbar berkenaan berhubung laporan berunsur fitnah disiarkan Mingguan Watan bertarikh 21-27 Disember 2008.

Mereka menyaman M Goenawan Mohamed, Wan Bahador Wan Ismail @ Baha Azuwan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Naluri Teratai Sdn Bhd dan Tristan Media Distributors.

Mingguan Watan pada edisi ke-17 bertarikh 21-27 Disember 2008 menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap ketiga pemimpin tersebut.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Adun BN di Perak bertindak sebagai Penasihat Jabatan Pengarang.

Berita itu disiar di halaman hadapan bertajuk “Siasat Pemimpin-Pemimpin PAS Kelantan Seleweng Ekuiti PKINK” ditulis M Goenawan.

Akhbar mingguan itu mendakwa “Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan mengalami kerugian puluhan juta ringgit akibat penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan beberapa pemimpin PAS Kelantan yang menjadi ahli lembaga pengarah PKINK.

“Kerugian bernilai RM21 juta itu berlaku dipercayai kerana penyalahgunaan kuasa di kalangan pihak pengurusan PKINK dalam urusan pentadbiran dan pengurusan projek anak syarikatnya Kelstone Sdn Bhd.”

Ekoran penyiaran berita berunsur fitnah tersebut Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menghantar surat dan memberi notis selama 14 hari untuk membolehkan Mingguan Watan memohon maaf.

Bagaimanapun akhbar berkenaan pada edisi bertarikh 4-10 Januari 2010 menyiarkan berita pihaknya tidak perlu memohon maaf.

Sebaliknya seperti mencabar PKINK supaya menghantar surat pembetulan dan penjelasan fakta sekiranya berita yang disiarkan itu tidak tepat.

Malah dalam berita sama ditulis, akhbar berkenaan tidak takut kepada ugutan kerana mendakwa berpegang kepada prinsip dan asas kewartawanan.

Kes saman tersebut sebelum ini dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sejak Febuari 2009.

Hisham berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis bagi mengarahkan responden membayar gantirugi tersebut dalam tempoh tujuh hari.

”Notis tersebut InsyaAllah akan dikeluarkan esok,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam notis saman ketiga-ketiga pemimpin PAS terbabit menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta daripada akhbar Mingguan Watan.

Pada keputusan hari ini juga Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi memerintahkan Mingguan Watan membayar sebanyak RM675,000 kepada PKINK dalam saman yang dibuat secara berasingan.

Sebelum ini PKINK menyaman Mingguan Watan dan menuntut ganti rugi RM5 juta.

harakahdaily/-

Dinar: Masa lancar RM323, hari ini RM809

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 10 Ogos: Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam kenaikan harga emas dunia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini, beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

”Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan keuntungan harga emas pada masa akan datang.

harakahdaily/-

SPR, JPN mesti bebas dari cengkaman politik

10 Ramadhan 1432H. [MOD] -

MIRI, 10 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) bebas dari cengkaman pengaruh mana-mana parti politik.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, apa yang penting adalah SPR dan JPN menjalankan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.

“Kita juga minta agar pihak JPN pastikan nama dalam data mereka juga bersih dari unsur-unsur yang meragukan,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Miri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Ini, katanya untuk mempastikan tiada nama pendatang asing mendapat taraf warga negara secara haram jadi pengundi.

Beliau juga berharap nama pengundi dalam senarai SPR mesti selari dengan data nama dalam JPN.

Ini, ujar beliau sekurang-kurangnya dapat membersihkan nama-nama yang tidak wujud dalam data JPN seperti yang ditemui sekarang.

“Sekiranya pihak SPR dapat laksanakan tuntutan ini sekurang-kurangnya SPR sudah memenuhi sebahagian kecil dari tuntutan rakyat melalui Bersih,” ujarnya.

Katanya, kerjasama dan tindakan segera daripada pihak SPR sangat dihargai demi keselamatan dan masa depan rakyat negara ini.

Beliau menambah, kalau dibiarkan pendatang asing mendaftar sebagai pengundi sangat merbahaya kepada penduduk Malaysia.

“Sekiranya perkara ini berlaku kemungkinan besar suatu hari nanti apabila rakyat asing yang sudah mendapat taraf warga negara secara haram itu akan menuntut hak dan akan menguasai negara ini dengan sewenang-wenangnya dan rakyat Malaysia akan jadi menumpang di negara sendiri,” ujarnya lagi.

harakahdaily/-