07 August 2011

Pelantikan Yingluck Disah Isnin Ini

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BANGKOK 7 OGOS : Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej dijangka memberi perkenan kepada Yingluck Shinawatra (gambar) dan mengesahkan pelantikannya sebagai Perdana Menteri baru negara itu, Isnin ini.

Sekretariat Parlimen dimaklumkan oleh Pejabat Setiausaha Sulit Raja Bhumibol Adulyadej akan membenarkan Speaker Dewan, Somsak Kiatsuranont untuk menerima perkenan raja pada pukul 5.30 petang waktu tempatan Isnin ini di Bangunan Chalerm Phrakiat di hospital Siriraj.

Yingluck kini berehat di kediamannya di Bangkok bagi menunggu perkenan itu selepas memperolehi 296 undi daripada ahli Parlimen, semalam untuk dipilih sebagai Perdana Menteri wanita pertama Thailand.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Abihisit Vejjajiva, semalam dilantik semula mengetuai Parti Demokrat, parti yang kini menjadi parti pembangkang.

Sehari selepas Yingluck memperolehi kelulusan Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri baru, Parti Demokrat melantik semula Abhisit menjadi pemimpin mereka dalam pemilihan yang tidak berhadapan dengan sebarang tentangan.

"Beliau adalah orang yang paling layak," kata ahli veteran, Marut Bunnag kepada anggota parti lain dalam mesyuarat di Bangkok, sebelum Abhisit memenangi 96 undi dalam pengundian.

Abhisit yang menjadi Perdana Menteri pada Disember 2008 meletak jawatan bulan lalu sebagai ketua Parti Demokrat selepas parti pimpinannya itu tewas dalam pilihan raya umum Thailand pada 3 Julai lalu. - AFP

Tiga kali Ramadan terlantar di katil

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BAHARUDDIN dan Noriza sedang membelai Syamsul yang terlantar sejak empat tahun lalu akibat dipanah petir ketika berlatih bola sepak.

Syamsul Hazriq sukar bergerak, tidak boleh bercakap selepas dipanah petir pada usia 12 tahun

SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Ramadan dan Aidilfitri berlalu dan kini Ramadan muncul lagi dengan umat Islam bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, namun anak kami terus terbaring di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, remaja yang dipanah petir empat tahun lalu.

Kejadian yang berlaku ketika mangsa berlatih bermain bola sepak pada usia 12 tahun di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, dekat sini, kira-kira jam 5 petang pada 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga dari enam beradik itu hanya terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.

“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri disambut ala kadar saja. Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, dekat sini, semalam.

Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata anaknya disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.

Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar yang cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah.

“Cita-citanya untuk memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri tetapi semuanya hancur berkecai apabila musibah itu berlaku.

“Kami suami isteri sudah puas menangis namun kami reda menerima ujian Ilahi,” katanya.

Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang.

Pembaca yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.

berita harian/-

Peniaga ditemui mati dalam kejadian samun

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

IPOH: Seorang peniaga ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Taman Buntung Ria, Menglembu di sini awal, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim, berkata mangsa Looi Kim Loong, 67 ditemui mati pada jam 2.10 pagi oleh ahli keluarganya
yang kemudian melaporkan kepada polis. Beliau berkata, ketika kejadian isteri dan anaknya yang tidur di bilik lain yang tidak cedera, mendengar bunyi bising dan apabila mereka masuk ke bilik
mendapati mangsa sudah terbaring.

“Hasil pemeriksaan, polis mendapati pintu rumah tidak berkunci ketika kejadian berlaku, terdapat kesan kecederaan di bahagian leher mangsa dipercayai
ditikam dengan objek tajam dan mayat itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dzuraidi berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di nombor telefon 05-2451222 untuk
membantu siasatan.

Ia katanya, adalah kes bunuh ketiga di Perak dalam tempoh seminggu.

Semalam, seorang warga emas, Teoh Ah Nya@Teoh Kooi Lan, 73 ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Tanjung Piandang,
Parit Buntar.

Seorang lagi mangsa bunuh membabitkan Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kasim, 38, ditemui mati dipercayai dibunuh di
pangsapurinya di Tambun Khamis lalu. - BERNAMA

PAS jumpa JAIS dan gereja.


07 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS akan mengadakan tertemuan dengan Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) dan gereja untuk mendapat penjelasan berhubung pemeriksaan, baru-baru ini.

“Kita akan jumpa terus Jais dan gereja,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini, sebentar tadi.

Justeru, katanya tidak timbul mengenai tindakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.

Katanya, PAS akan berhubung dengan pihak Jais dan gereja mengikut tarikh yang sesuai untuk mendapat gambaran dan penjelasan langsung mengenai pemeriksaan tersebut.

“Selepas jumpa, baru buat keputusan,” ujarnya.

PAS, jelasnya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk tindakan selanjutnya berhubung pemeriksaan Jais itu.

Harakahdaily/-

Ulasan :

Tahniah kepada kepimpinan PAS yang menghadapi isu berbangkit dengan hati-hati dan penuh berhemah.

Arab Saudi mahu atasi UAE

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

RIYADH - Arab Saudi mahu mengatasi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) untuk membina bangunan pencakar langit paling tinggi di dunia.

Putera Alwaleed bin Talal telah menandatangani perjanjian kontrak bersama syarikat gergasi tempatan bernilai ASD1,2 bilion (RM3.6 bilion) untuk membina Kingdom Tower setinggi 1,401 meter di kawasan utara Laut Merah di Jeddah.

Projek mega yang diumumkan pada 2008 itu akan menempatkan sebuah hotel, beberapa apartmen dan kondominium mewah.

Putera Alwaleed berhasrat untuk memecahkan rekod menara Burj Khalifa di Dubai yang berketinggian 828 meter dan telah dibuka pada Januari, tahun lalu.

Baginda mahu Kingdom Tower menjadi simbol kestabilan Arab Saudi iaitu di tengah-tengah keadaan kemelesetan ekonomi yang melanda kebanyakan negara Barat.

sinar harian/-

Remaja maut dibaham beruang kutub

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Beruang kutub dewasa cenderung menyerang manusia.

KEPULAUAN SVALBARD, Norway - Seorang remaja lelaki, Horatio Chappleon, 17, mati dibaham beruang kutub ketika dia tidur di khemahnya di sebuah glasier di sini, dekat Norway, lapor sebuah akhbar semalam.

Beruang berbulu putih dan bertaring panjang itu menyerang sekumpulan peserta kembara Britain pada Khamis lalu dan turut mencederakan empat yang lain.

Seorang saksi, Terry Flinders berkata, semasa kejadian anak lelakinya, Patrick, 16, sedang berbaring di khemahnya apabila beruang lapar itu menyerbu masuk dan menggigit kepala Horatio yang tidur di sebelahnya lalu membunuh mangsa.

Horatio Chappleon

"Ia kemudian menerkam Patrick. Anak saya menumbuk hidung beruang kutub itu untuk menyelamatkan diri. Dia sempat berlari ke keluar khemah tetapi mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat dicakar," kata Terry.

Tiga lagi mangsa serangan beruang lapar itu berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di sebuah hospital berdekatan.

Binatang buas itu akhirnya ditembak mati oleh anggota kumpulan pelancong berkenaan.

Mereka kemudian menghubungi pihak berkuasa yang tiba di lokasi dengan menaiki sebuah helikopter tidak lama kemudian.

Beberapa hari sebelum kejadian, seorang peserta kembara itu memberitahu, mereka termasuk Horatio berasa gembira apabila ternampak seekor beruang kutub tidak jauh dari tapak perkhemahan mereka.

BEBERAPA petugas penyelamat mengangkut bangkai
beruang kutub yang membunuh seorang remaja Britain.

Mangsa-mangsa terselamat berkata, kejadian berlaku kerana sistem kawat penggera di keliling tapak perkhemahan tersebut gagal berfungsi.

Sistem itu sepatutnya melepaskan letupan bunga api ke udara untuk menakutkan beruang kutub yang tersadung kawat dawai berkenaan.

Terdapat sekitar 27,000 ekor beruang kutub di dunia dengan 60 peratus haiwan itu tinggal di Kanada.

Beruang kutub yang berbulu putih turut ditemui di Alaska, Rusia, Greenland dan Norway. - Agensi

Hayati maksud sebenar tadarus

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

BULAN Ramadan merupakan bulan diturunkan al-Quran, maka marilah kita sama-sama menginsafi diri dengan membaca al-Quran. Inilah yang dilakukan oleh salaf al-soleh dan Rasulullah SAW sendiri. Persoalan di sini ialah apakah maksud tadarus itu? Adakah hanya membaca atau melihat terjemahan atau bagaimana?

Jika sekiranya dikehendaki dengan membaca, sudah tentu disebut dengan qiraah yang bermaksud bacaan. Justeru maksud tadarus lebih kepada saling semak menyemak dan mempelajari serta mengkaji yang menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan.

Seperti kata al-Syahid Hasan al-Banna berkenaan dengan hak al-Quran dalam bukunya Majmu' Rasail: "Saya tidak pernah melihat sesuatu yang kelihatan seolah-olah dijaga rapi tetapi sebenarnya disia-siakan atau seolah-olah dipelihara tetapi sebenarnya diabaikan seperti mana yang berlaku pada al-Quran sebagai sebuah kitab yang lengkap, suatu sistem yang bersepadu dan menjadi tunjang kepada segala urusan agama dan dunia."

Allah SWT berfirman dalam surah al-Fussilat ayat 42 yang bermaksud: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya, ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.

Menyentuh tentang al-Quran ada tiga perkara penting yang perlu ditekankan oleh umat Islam;

Kerapkan membaca al-Quran, beribadat dengan membaca al-Quran dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membaca al-Quran.

Meletakkan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran perlu diambil, dipetik, dicedok dan dipelajari.

Meletakkan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana ini perlu dilaksanakan.

Ini adalah objektif utama Allah menurunkan kitab ini dan matlamat Allah mengutuskan Rasul-Nya. Allah SWT mewariskan kitab-kitab-Nya untuk kita agar ia menjadi penasihat, pembimbing, menjadi hukum yang adil dan neraca yang benar.

Generasi silam yang diredai Allah memahami objektif ini, kerana itu mereka bangkit melaksanakan sebaik-baiknya. Ada di kalangan mereka membaca seluruh al-Quran selama tiga hari. Ada yang membaca selama tujuh hari. Ada yang membaca al-Quran kurang dari tempoh itu dan ada yang lebih.

Ada di antara mereka yang tidak berkesempatan membaca al-Quran, mereka akan melihat mushaf al-Quran dan memaca beberapa ayat al-Quran kemudian berkata: "Mudah-mudahan saya tidak termasuk dalam golongan yang menyisihkan al-Quran."

Al-Quran adalah teman mereka. Al-Quran adalah wirid dalam ibadat mereka. Sepanjang malam dan siang mereka akan membaca al-Quran. Semoga Allah meredai khalifah ketika iaitu Saidina Uthman yang masih tidak bercerai daripada mushaf walaupun dikepung dan pedang terhunus di tengkuknya.

Dari awal malam dia membaca kitab Allah. Di hujung malam dia menemui ajalnya

Semoga Allah merahmati orang yang sedang meratap sedih kematiannya dengan ratapan yang paling indah ungkapannya: Mereka membunuh orang tua yang padanya ada tanda sujud. Orang yang menghabiskan malam dengan mengucap tasbih dan membaca al-Quran.

Jika anda kaji sejarah hidup mereka, anda akan dapati tiada seorangpun di antara mereka yang mengabaikan kitab Allah SWT atau tidak membaca kitab Allah selama seminggu. Apatah lagi untuk mengabaikannya selama sebulan atau setahun atau bertahun-tahun. Tidak perlulah saya bentangkan kepada anda kisah-kisah menarik dan mengkagumkan seperti yang tercatat dalam buku-buku sejarah.

Apabila mereka mahu meneroka hukum agama Allah, al-Quran akan menjadi rujukan pertama mereka. Apa lagi jika tidak kitab Allah yang akan menjadi rujukan pertama mereka? Anda dapat lihat bagaimana Nabi SAW telah bersetuju dengan Muaz apabila Baginda bertanya Muaz tentang apakah asas dia menjatuhkan hukuman. Muaz menjawab: "Dengan Kitab Allah. Muaz mulakan dengan Kitab Allah, kemudian barulah diikuti dengan sunnah yang suci."

Anda sendiri tahu bagaimana Umar melarang ramai sahabat yang dihormati daripada menyampaikan hadis kepada orang ramai. Sedangkan mereka begitu hampir dengan zaman Islam, mereka amat tahu tentang hadis dan pelbagai kisah. Apa yang dilakukan oleh Umar itu bertujuan supaya mereka dapat mengajar al-Quran terlebih dahulu kepada orang ramai agar mereka diajar apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh al-Quran.

Anda juga tahu bagaimana imam yang masyhur di kalangan tabiin dan tabi' tabiin seperti Sa'id bin al-Musayyab, mereka tidak membenarkan orang ramai menulis fatwa mereka kerana mereka tidak mahu orang ramai hanya tertumpu kepada fatwa mereka dan mengabaikan kitab Allah.

Sa'id pernah mengoyakkan sehelai kertas daripada tangan orang yang menulis fatwanya. Beliau berkata: "Anda ambil kata-kata saya tetapi meninggalkan Kitab Allah kemudian anda pergi sambil berkata Sa'id berkata begini! Sa'id berkata begini! Sepatutnya anda berpegang dengan Kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Apakah dengan kisah-kisah begini anda tidak dapat melihat bagaimana generasi silam yang soleh dan diredai Allah SWT meletakkan Kitab Allah sebagai asas yang menjadi rujukan ketika mereka mendalami agama dan hukum Allah?

Bagi mereka segala urusan dunia perlu menurut apa yang diperintahkan oleh Kitab Allah dan akur kepada hukum al-Quran.

Segala hak perlu ditunaikan, segala hukuman perlu dilangsungkan, segala hukum perlu dilaksanakan, segala perintah perlu dijalankan. Semua ini tidak boleh dimansuhkan dan diabaikan atau diubahsuai atau dipinda. Itulah yang berlaku suatu ketika dahulu.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Fomca akui juadah berbuka lebih mahal

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 7 Ogos: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (Pelindung) mengakui berlaku peningkatan harga makanan pada Ramadan ini.

Timbalan Presiden Fomca, Ahmad Othman berkata, kenaikan harga makanan berlaku berikutan harga bahan mentah meningkat sekarang.

“Oleh itu saya berharap kerajaan memantau harga makanan yang dijual sebagai juadah berbuka puasa. Harga kuih muih contohnya akok yang sebelum ini boleh dibeli tiga biji RM1, namun sekarang hanya dua biji RM1.

“Begitu juga kerabu kaki ayam hanya sekadar empat sudu berharga RM5. Ini membebankan pengguna jika tidak pandai berjimat cermat,” katanya yang juga Pengerusi Pelindung.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu memantau gerai-gerai jualan di Bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mengenakan harga yang berpatutan.

Selain itu pihak berkuasa tempatan juga perlu memantau dengan memastikan premis menjual juadah Ramadan menjaga kebersihan dan beroperasi secara sah.

Ahmad juga menasihatkan orang ramai memasak sendiri juadah berbuka bagi mengurangkan bebanan kewangan keluarga.

Bagaimanapun beliau berkata, berdasar kepada pemerhatian didapati bazar-bazar Ramadan di Kelantan tetap meriah biar pun harga juadah berbuka terasa mahal berbanding tahun lepas.

”Masyarakat di Kelantan yang gemar berbelanja kadang-kadang tidak kisah sangat harga yang dibayar sehingga ada peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih,” katanya di sini.

Beliau juga menasihatkan umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berjimat-cermat.

harakahdaily/-

Ibu saudara timbalan menteri mati disamun

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

FAUZI (kanan) menunjukkan pisau yang digunakan suspek kes samun dan bunuh pada sidang akhbar di Parit Buntar semalam.


PARIT BUNTAR - Seorang warga emas yang juga ibu saudara Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai ditemui mati akibat dicekik selepas disamun pekerjanya di sebuah rumah di Bagan Selatan, Tanjung Piandang dekat sini semalam.

Mayat mangsa, Teoh Ah Nya @ Teoh Kooi Lan, 73, ditemui di bilik tidurnya oleh adik mangsa yang juga pemilik rumah berkenaan pada pukul 1.30 pagi.

Kejadian itu adalah yang kedua dalam tempoh kurang tiga hari membabitkan kes pecah rumah yang berakhir dengan kematian di Perak selepas pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim, 38, di Ipoh pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian dipercayai berlaku di antara pukul 12 malam dan 1 pagi apabila seorang lelaki yang juga pekerja sambilan mangsa menceroboh ke rumah berkenaan.

"Mangsa ketika kejadian tidur berseorangan di bilik tidur tingkat bawah rumah manakala suaminya tidur di sebuah pondok berdekatan kediaman terbabit.

"Suspek dipercayai menceroboh rumah mangsa menerusi pintu belakang rumah dan melarikan barang kemas dan wang tunai bernilai RM7,000 milik mangsa," katanya di sini semalam.

Katanya, mayat mangsa ditemui adik perempuannya berusia 65 tahun pada pukul 1.30 pagi yang ketika itu tidur di tingkat atas selepas terdengar bunyi bising di bawah.

Adik mangsa kemudiannya membawa wanita terbabit ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang tetapi disahkan sudah meninggal dunia, ujarnya.

"Ekoran laporan polis, pada pukul 2.30 pagi, polis menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pemotong babi sambilan di rumah mangsa kira-kira tujuh kilometer dari kediaman terbabit.

"Polis merampas sebilah pisau daripada suspek yang dipercayai digunakan untuk mengumpil pintu rumah mangsa," jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Ambiga: Terima kasih PSM6

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Pengerusi gabungan menuntut pilihan raya adil dan bersih, BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga berterima kasih kepada PSM6 - yang baru dibebaskan selepas ditahan selama 28 hari di bawah Ordinan Darurat - kerana kekuatan dan ketabahan mereka telah meniup semangat gabungan tersebut menjadikan perhimpunan 9 Julai satu kenyataan.

psm thanksgiving dinner 060811 s ambigaBerucap di majlis kesyukuran PSM di ibunegara malam tadi, Ambiga
berkata, pihaknya begitu sedih di atas penahanan mereka menjelang perhimpunan tersebut diadakan.

"...dan ketika itu kami menerima mesej dari mereka yang ditahan: "Teruskan perhimpunan pada 9 Julai. Kami tetap bersama anda, kami tidak takut ".

Ambiga berkata, PSM6 menanggung bahang perhimpunan BERSIH tetapi tegasnya semangat mereka tidak pernah luntur dan sentiasa memperlihatkan ketabahan mereka dalam yang kritikal itu.

Kira-kira 300 hadirin memenuhi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) untuk meraikan 'superhero' mereka - ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael D Jeyakumar; timbalan presiden PSM, M Sarasvathy; ketua pemuda, R Saratbabu, ketua PSM cawangan Bayan Baru, Choo Chon Kai, pemimpin PSM Sungai Siput, M Sukumaran dan setiausaha cawangan tersebut, A P Letchumanan.

Bermula dengan nyalaan lilin selama sejam, menuntut pemansuhan Ordinan Darurat dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), majlis tersebut dimeriahkan dengan persembahan dari wakil masyarakat sivil.

psm thanksgiving dinner 060811 Sugu and choo chon kaiMeraih sorakan gemuruh ialah persembahan petikan gitar pengarah Suaram, Kua Kia Soong, dengan para hadirin mengiringi beliau menyanyikan lagu yang diadaptasi dari Sepanyol, dengan korusnya yang berbunyi: "Rakyat yang bersatu tidak akan dapat dikalahkan" .

Jelas 'kuasa rakyat' menjadi tema majlis tersebut dengan para penceramah mengingatkan hadirin bahawa tekanan rakyat terhadap kerajaan telah membawa kepada pembebasan PSM6 pada 29 Julai, selepas 28 hari dalam tahanan.

Bagi pengerusi PSM Dr Nasir Hashim, sokongan rakyat menjadi inspirasi dan satu penegasan terhadap kuasa aktivisme akar umbi yang menjadi asas penubuhan parti sosialis itu.

"(Pihak berkuasa) gagal untuk menahan (PSM 6) lebih lama, kerana mereka telah membuat kesilapan. Mereka sangka kita sebuah parti kecil, tetapi kita mempunyai sejarah aktivisme dan kita mempunyai rakan-rakan yang baik.

"Ikat jamin (untuk 24 yang ditangkap pada 24 Jun) adalah RM8,000,
(berjumlah RM192,000), tetapi kita berjaya mendapatkan wang untuk mengikatjamin mereka kerana adanya perpaduan... Kita kini bersatu, dan jika anda sentuh kita, kita (semua) akan bertindak balas," katanya disambut tepukan gemuruh.

Turut berucap ialah timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, yang naik ke pentas bertongkat ekoran kecederaan yang dialami semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

psm thanksgiving dinner 060811 s arutchelvanSambil mendakwa wujudnya 'double standard' dalam penguatkuasaan
polis, Mohamad berkata, tiada seorang pun guru silat ditangkap sedangkan mereka telah berikrar sanggup "menumpahkan darah" menentang BERSIH 2.0.

"(PSM 6) dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong... dan apa senjata mereka? baju-T," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Turut mendapat pujian ialah setiausaha agung, S Arutchelvan (atas) "yang tidak pernah mengenal erti takut".

malaysiakini/-

Kerapu gergasi 168kg dijual RM7,560

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KAH SENG (kiri) bersama ikan kerapu gergasi yang dijual pada harga RM7,560 di George Town semalam.

GERGASI. Lapan nelayan terpaksa memerah keringat untuk menaikkan ikan kerapu sepanjang dua meter dan berat 168 kilogram sewaktu ia masuk ke dalam pukat di perairan Teluk Bahang, Pulau Pinang kelmarin.

Ikan itu kemudian dijual oleh peniaga, Tan Kah Seng di pasar Lebuh Cecil, George Town semalam kepada pemilik restoran, Che Kean Ghee dengan harga RM7,560. - Bernama

Lemak lembu bakar pembuka selera

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

ANUAR DERIS membakar lemak yang dijadikan juadah
Ramadan di Bazar Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.

BUKAN SEBARANG LEMAK. Itu yang terlintas setelah kita melihat juadah lemak lembu bakar di Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan.

Ia dianggap juadah yang cukup istimewa kerana lemak lembu bakar atau turut dikenali sebagai lemak selo itu merupakan juadah yang hanya dijual pada bulan Ramadan.

Pengusaha Gerai Kak Su Special, Anuar Deris, 36, berkata, dia menjual lebih 300 cucuk lemak lembu bakar setiap hari dan biasanya ia habis dijual pada pukul 5 petang.

"Saya jual lemak bakar pada bulan puasa sahaja. Ia memang susah nak jumpa pada bulan lain. Saya akui lemak bakar ini banyak kolesterol tetapi untuk bulan Ramadan sahaja," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Menurut Anuar, juadah itu menjadi tarikan kerana ia menjadi pembuka selera ketika berbuka dan dimakan dengan nasi.

"Rahsianya, ia menyebabkan kita rasa lebih berselera untuk makan nasi semasa berbuka," katanya yang menjualnya dijual pada harga RM4 secucuk, manakala daging lembu bakar RM5 secucuk.

kosmo/-

Penyeludup dadah mahu ke Malaysia mati atas pesawat

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

LAGOS 7 Ogos - Seorang penyeludup dadah Nigeria yang berhasrat ke Malaysia mati di atas pesawat sekali gus memaksa juruterbang membuat pendaratan kecemasan di India.

Menurut Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan, ketika kejadian, Chilaka Ogbonna Emmanuel, 25, berlepas dari Lagos untuk ke Malaysia melalui Doha.

“Kematian mengejut mangsa itu dipercayai akibat menelan dadah. Juruterbang terpaksa membuat pendaratan kecemasan di India dan mangsa disahkan meninggal di hospital,” katanya. - AFP

Disisih anak

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

GEMBIRA... Robiah bersama Brian Tan selepas menerima sumbangan daripada Scenic Route Sdn Bhd.

JOHOR BAHRU: “Makcik tetap menanti kepulangan mereka setiap kali menjelang Aidilfitri biar pun Ina sanggup menipu kononnya mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia sebenarnya berhijrah ke sana semata-mata mahu melepaskan tanggung jawab menjaga mak cik,” kata warga emas, Robiah Razali, 66, di sini, semalam.

Menceritakan kisah malang hidupnya, Robiah berkata, dia hidup sebatang kara di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Desa Bukit Mutiara, Tebrau, selain menagih kasih dan ihsan jiran selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mempedulikannya.

Robiah berkata, anak sulungnya, Salim Ahmad, 40, melepaskan tanggung jawab untuk menyaranya dengan alasan tiada pekerjaan tetap di Kuala Lumpur manakala anak bongsunya, Ina, 36, gagal menghubunginya sejak lima tahun lalu apabila berhijrah ke New Zealand.

Menurut Robiah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan hidupnya bersendirian biar pun dimamah usia selain menghidap kencing manis.

“Mak cik bukan mahu mengaibkan anak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban di hati jika dapat berkongsi nasib malang ini.

“Mak cik kehilangan suami, Ahmad Budin, pada 1978 ketika berusia 33, sejak itu mak cik tidak pernah terlintas untuk berkahwin semula demi anak, mak cik membesarkan serta menyekolahkan anak dengan bekerja sebagai tukang masak di restoran selain wang pencen suami,” katanya.

Menurut Robiah, masalah timbul selepas kedua-dua anaknya berumah tangga dan kehadiran warga emas berkenaan dalam keluarga mereka dianggap sebagai beban.

Robiah berkata, kini dia terputus hubungan dengan Salim mahu pun Ina yang tidak lagi menziarahinya, termasuk pada Aidilfitri.

“Ina turut tergamak menipu mak cik dengan memberi alasan mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia merancang meninggalkan mak cik dan kini hidup mewah di sana.

“Keadaan itu mengakibatkan mak cik terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bulanan arwah suami berjumlah RM350 yang perlu diagihkan untuk membayar sewa rumah,” katanya.

Menurut Robiah, setiap kali bersahur, dia hanya meminum susu kerana bimbang kehabisan barangan dapur, namun bersyukur mempunyai jiran berhati mulia yang sanggup berkongsi makanan ketika berbuka puasa.

Katanya, jiran juga pernah menyumbangkan bantuan ketika dia terputus bekalan makanan selain membelikan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya untuk ke surau.

“Biarpun terguris dengan perbuatan anak, mak cik tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan mereka.

“Ibu mana yang tidak mengingati anak, mak cik harap dapat bertemu kembali dengan mereka dan cucu pada Aidilfitri ini dan seperti biasa, mak cik akan memasak juadah kegemaran mereka,” katanya.

Robiah antara 100 penerima yang ditemui pada Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal di PPRT Bukit Mutiara sumbangan ahli perniagaan, Baazlan Ibrahim selain Scenic Route Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya, Brian Tan Chong Beng.

Scenic Route Sdn Bhd menaja sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah RM4,000 dan menurut Brian, program julung kali syarikatnya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.

my metro/-

250,000 amah akan didaftar biometrik

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Seramai 250,000 pembantu rumah warga asing yang bekerja di negara ini akan didaftar ke dalam sistem pendaftaran biometrik apabila majikan memperbaharui permit kerja mereka, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau berkata ia berikutan pembantu rumah tidak termasuk dalam kumpulan pekerja dalam industri yang terlibat Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah.

"Bilangan pekerja asing secara sah ialah 1.9 juta orang dan bilangan pembantu rumah yang sah adalah 250,000 orang.

"Ini bermaksud seramai 1.65 juta pekerja asing yang sah (yang terlibat dalam sektor industri) yang perlu didaftarkan dalam program pendaftaran biometrik," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan Program Myskills 2011 peringat negeri ini, di Butterworth
hari ini.

Pendaftaran biometrik itu merupakan permulaan Program 6P yang meliputi pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Mengenai program Myskills, Subramaniam berkata setakat ini kira-kira 3,000 orang telah mendaftar dalam program berkenaan.

Beliau berkata mereka yang telah mendaftar akan ditempatkan di institut kemahiran secara berperingkat untuk menjalani latihan dalam bidang tertentu.

"Setakat ini seramai 120 orang telah ditempatkan di Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara," katanya.

Katanya program yang mendapat sambutan menggalakkan itu akan diteruskan di peringkat daerah tidak lama lagi.

Bernama

PR Desak Batalkan Biometrik, Tetap Mahu Dakwat Kekal

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA : Ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini sekali lagi mempersoalkan keghairahan Kerajaan pusat terhadap penggunaan sistem biometrik pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

Malah, sejak sistem itu digunakan untuk program pemutihan pendatang asing tanpa izin, pelbagai laporan berhubung kepincangan sistem itu dikemukakan.

Sebaliknya, beberapa pendedahan terbaru mengenai kepincangan sistem itu juga jelas menunjukkan bahawa ia tidak mampu menyelesaikan masalah yang dibangkitkan berhubung undian berganda pada pilihan raya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, kerajaan pusat sepatutnya kembali semula kepada tuntutan Bersih iaitu menggunakan dakwat kekal yang setakat ini diyakini penyelesaian terbaik untuk mengatasi pengundian berganda.

"Ini yang membuatkan kita (Pakatan Rakyat) khuatir kenapa kerajaan dalam keadaan ini beria-ia mahu melakukan sistem biometrik"katanya.

"Apa yang kita saksikan setakat ini dalam proses pendaftaran biometrik bagi pekerja asing, banyak laporan yang dibuat dan ini adalah perkara yang kurang menyakinkan para pengundi sekirannya kerajaan mengunakan kaedah yang sama sekaligus merumitkan lagi proses pengundian." katanya pada sidang media di pejabat pakatan rakyat hari ini.

Katanya, selain kurang memberi keyakinan kepada parti politik bertanding dan para pengundi, Pakatan Rakyat juga mempersoalkan kos yang terlalu tinggi dibelanjakan untuk sistem biometrik yang manfaatnya masih 'meragukan'.

"Setakat ini pihak kami dimaklumkan untuk pembangunan sistem biometrik ini memerlukan satu peruntukan yang besar, persoalannya siapa yang akan dapat projek ini? Bagaimana kaedah yang digunapakai dalam menjamin ketelusan berhubung pemberian projek."soalnya.

Justeru, Tian menyifatkan keghairahan kerajaan melaksanakan sistem biometrik jelas untuk kelangsungan politik mereka untuk terus kekal berkuasa.

"Ianya (biometrik) tidak berkemampuan untuk mengesahkan sama-ada saya ada tiga keping kad pengenalan atau saya telah undi tiga kali di tiga tempat yang berlainan, apa yang jelas ia tidak mampu selesaikan masalah ini"

Dalam perkembangan yang lain, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah menuntut janji Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar pada sesi Dialog bersama Pengerusi Himpunan BERSIH 2.0, Datuk S.Ambiga akhir bulan lalu.

"Wan Ahmad, Timbalan Pengerusi SPR telah berjanji apabila dilontarkan soalan berhubung sistem biometrik ini, bahawa beliau akan mendedahkan maklumat lanjut siapa penerima kontrak,"katanya.

"SPR akan membuktikan kepada semua pihak termasuk pihak pembangkang tentang audit dalaman dan audit luaran terhadap 'coding system' biometrik itu untuk membuktikan kepda semua yang ia tidak boleh dimanipulasi"tambahnya.

tv selangor/-

Pilih tuntutan Bersih atau 'kerajaan Mismah'

8 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: Selagi lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 tidak dipenuhi, tidak hairan jika Umno begitu yakin merampas kembali pentadbiran Selangor, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Jika diambil kira trend pengundian dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor dahulu, kita yakin Pakatan Rakyat (PR) dapat mengekalkan pentadbirannya di Selangor.

"Tetapi dengan beberapa perkembangan selepas itu termasuk pertambahan pengundi dengan kadar yang mencurigakan ditambah pula dengan pelbagai perkara lain yang juga mencurigakan termasuk Mismahgate, apa hendak dihairankan jika Umno begitu luar biasa keyakinannya untuk merampas kembali pentadbiran Selangor," katanya.

'Mismah gate' merujuk kepada kebanjiran mereka yang mempunyai status penduduk tetap dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah seorang dari mereka bernama Mismah yang ditukar statusnya oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari seorang penduduk tetap kepada seorang warga negara hanya beberapa jam selepas dihebohkan bahawa beliau didaftarkan sebagai pengundi walaupun hanya berstatus penduduk tetap.

Lebih mencurigakan, SPR juga dengan begitu segera tiba-tiba menukar nama Mismah kepada kategori 'dalam proses pengesahan daftar pemilih' selepas pendedahan itu sedangkan sebelum itu namanya berada dalam kategori 'sedang dalam pameran rang'.

"Dengan apa yang terjadi itu, kalau Umno dan BN menang di Selangor malah di mana-mana pun dalam pilihan raya umum akan datang, kerajaan tidak bermaruah selepas itu hakikatnya adalah 'kerajaan Mismah' yang menang dengan menggadai kedaulatan dan keselamatan negara kepada orang asing dan bukan kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Malaysia.

"Sebab itulah, rakyat Malaysia yang bermaruah hanya ada dua pilihan sahaja iaitu menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan atau meringkuk di bawah pemerintahan 'kerajaan Mismah' yang akan menjerumuskan lagi negara ini ke dalam kehancuran," kata Mohamad.

Beliau mengulangi keazamann untuk berusaha menggerakkan lagi kebangkitan rakyat menuntut lapan tuntutan Bersih itu dilaksanakan.

"Pihak yang berdolak-dalik itu tidak akan melaksanakan tuntutan tersebut melainkan dengan kebangkitan kuasa rakyat yang lebih besar dari apa yang berlaku 9 Julai lalu.

"Mereka tidak memberikan pilihan yang lain kepada rakyat," tegas beliau.

Antara lapan tuntutan bersih ialah supaya SPR membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Malaysian Insider semalam melaporkan Umno yakin akan menang di Selangor pada pilihan raya akan datang dengan majoriti sehingga 20 kerusi.

harakahdaily/-

Kumpulan Kristian sangkal selindung sebalik kebajikan

7 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Presiden Majlis Gereja Malaysia Thomas Philip hari ini menyangkal dakwaan bahawa kumpulan Kristian menggunakan kerja-kerja kebajikan untuk mendorong orang ramai menganut agamanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Thomas (bawah) berkata orang Kristian bertanggungjawab menolong pihak yang memerlukan tanpa mengenakan sebarang syarat kepada penerima.

NONEMenurutnya, agama lain juga mengajar perkara yang sama.

Katanya, orang Kristian sudah "jemu" dan "bingung" dengan dakwaan berterusan sedangkan perbuatan baik harus "dihargai" bukan "dicurigai".

"Dakwaan sebegini sudah berjalan untuk beberapa waktu. Provokasi yang tidak diperlukan ini sungguh membingungkan.

"Perdana menteri harus ke depan untuk mencari puncanya kerana dakwaan sebegini berterusan muncul kembali, sedangkan ia isu sensitif yang menyebabkan orang ramai berpecah belah. Ia tidak baik untuk negara," katanya.Presiden Majlis Gereja Malaysia Thomas Philip hari ini menyangkal dakwaan bahawa kumpulan Kristian menggunakan kerja-kerja kebajikan untuk mendorong orang ramai menganut agamanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Thomas (bawah) berkata orang Kristian bertanggungjawab menolong pihak yang memerlukan tanpa mengenakan sebarang syarat kepada penerima.

NONEMenurutnya, agama lain juga mengajar perkara yang sama.

Katanya, orang Kristian sudah "jemu" dan "bingung" dengan dakwaan berterusan sedangkan perbuatan baik harus "dihargai" bukan "dicurigai".

"Dakwaan sebegini sudah berjalan untuk beberapa waktu. Provokasi yang tidak diperlukan ini sungguh membingungkan.

"Perdana menteri harus ke depan untuk mencari puncanya kerana dakwaan sebegini berterusan muncul kembali, sedangkan ia isu sensitif yang menyebabkan orang ramai berpecah belah. Ia tidak baik untuk negara," katanya.

malaysiakini/-