28 July 2011

Pelantikan PM baru Thailand 1 Ogos ini

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

BANGKOK: Pihak berkuasa pilihan raya Thailand, semalam bertungkus-lumus bertugas mengesahkan calon yang menang pada pilihan raya umum 3 Julai lalu bagi memberi laluan kepada pembentukan Parlimen baru dan pelantikan perdana menteri baru yang dijangka dilakukan pada awal Ogos.

Setakat ini, 402 daripada 500 calon yang menang sudah diluluskan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) yang berhempas-pulas menangani sejumlah besar aduan dalam beberapa hari ini.

Sekiranya semua berjalan lancar, Yingluck Shinawatra, adik perempuan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra akan menjadi perdana menteri wanita pertama Thailand selepas parti Phue Thai menang besar dalam pilihan raya lalu. Mengikut undang-undang, EC perlu mengesahkan 95 peratus daripada calon yang menang atau 475 daripada 500 kerusi Parlimen supaya dewan rakyat dapat mengadakan persidangan rasmi pada Isnin, 1 Ogos ini. EC menegaskan ia akan dapat menyelesaikan proses itu a hari ini (semalam).

Sesi Parlimen bagi memilih speaker dewan akan dilakukan pada hari sama atau seberapa segera. Ia kemudian disusuli dengan sesi pelantikan perdana menteri. Minggu lalu, EC mengesahkan enam calon Phue Thai yang juga pemimpin kumpulan Baju Merah, menolak pertikaian mengenai peranan mereka dalam rusuhan demonstrasi berdarah di Bangkok tahun lalu. - Reuters

Negeri UMNO ada hospital larang pekerja pakai tudung

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

PAKAI TUDUNG DI MAHKOTA HOSPITAL MELAKA SATU KESALAHAN

Rupanya, dalam sebuk-sebuk UMNO ke hulu ke hilir menjaja kononnya hak Melayu semakin tergadai, Islam semakin dalam bahaya, DAP semakin ganas menentang Islam, rupanya dalam negeri Melaka sendiri Islam dihinjak-hinjak.

Beza Melaka berbanding negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu adalah UMNO menguasai 2/3 kerusi di Dewan Undangan Negeri Melaka. Maksudnya, UMNO mampu memerintah Melaka TANPA Barisan Nasional ataupun parti2 lain.

Namun, dalam negeri yang dikuasai sepenuhnya UMNO ini, hospital Mahkota Melaka telah tidak mengizinkan pekerja wanita mereka memakai tudung. Saya sendiri melihat dengan mata kepala saya betapa pekerja2 wanita ini memakai ID yang ada gambar mereka memakai tudung, tapi di depan saya mereka membuka tudung.

Rupanya, ia adalah arahan rasmi dari pentadbiran Hospital Mahkota Melaka dan ia berlaku di bawah pengawasan kerajaan UMNO Melaka.

Kalau di negeri yang mereka kuasai 100% macam ni pun mereka tidak dapat memperjuangkan hak orang Islam yang begitu mudah, apa lagi yang boleh kita harapkan dari UMNO.

Kalau tak salah saya juga, Mahkota Hospital ini juga sebuah Hospital kepunyaan Singapore sahabat akrab Yahudi Israel.

kedahlanie/-

Kami Rakyat Dan PM Hak Kami, Kata Fareez

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

AMPANG JAYA 28 JULAI : Pembantu ahli parlimen Ampang, Mohamad Fareez Kamal Intidzan menafikan sekeras-kerasnya beliau antara yang berniat mahu mencederakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika cuba menyerahkan petisyen kepada Perdana Menteri itu semalam.

"Saya hanya seorang rakyat. PM adalah hak rakyat. Maka adalah hak untuk saya berjumpa dan menegur PM kerana PM itu milik rakyat,"katanya.

Pada satu sidang media yang diadakan hari ini, Fareez berkata, ekoran penahannya semalam beliau dihentam di Twitter, Facebook dan blog pro Umno kerana didakwa cuba mensabotaj program edaran Jalur Gemilang semalam.

" Malah ada yang melampau sehingga mendakwa saya merancang mahu mencederakan dan membunuh Perdana Menteri semalam hanya kerana kapisiti saya sebangai pengasas Pertubuhan Revolusi Anak Muda Malaysia (PRAMM),"katanya.

Justeru itu beliau tampil hari ini menjelaskan bahawa usaha menyerahkan petisyen kepada Perdana Menteri bersabit penahanan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Ordinan Darurat dan tuntutan Bersih, adalah hak rakyat.

"Penahanan saya semalam juga menggambarkan seolah saya dan aktivis lain umpama pengganas di negara ini. Hanya sebuah kerajaan yang bersalah pada rakyatnya sahaja akan takut berhadapan dengan rakyat,"katanya lagi.

Justeru itu, beliau menggesa kerajaan Najib dan media kawalannya agar tidak terus melayani rakyat sedemikian rupa kerana rakyat biasa juga punya hak ke atas Perdana Menteri dan negara ini.

"Ingin saya ingatkan kepada tentera media upahan Umno dan Najib, hatta Papa Gomo sekalipun, bahawa jika Najib terus-terusan menipu, menindas dan membuli rakyat, bukan sahaja rakyat akan menolak beliau dan Umno-BN pada PRU13 kelak, malah tidah mustahil ada yang akan sanggup membunuhnya juga nanti.

"Maka, demi memelihara keselamatan YAB PM, saya menggesa agar seluruh jentera Umno jangan pernah mencabar kesabaran rakyat lagi,"katanya.

Beliau merupakan salah seorang daripada enam ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang ditahan bersama empat orang awam ketika cuba menyerahkan petisyen kepada Perdana Menteri bersabit penahanan rakyat di bawah akta Ordinan Darurat dan tuntutan Bersih 2.0.

Mereka ditahan sekitar jam 3 petang setelah berbaris bersama pelatih khidmat negara (PLKN) untuk berjumpa Najib Razak, yang hadir untuk merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang menjelang sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Sebelum ditahan, kesemua mereka sempat melaungkan slogan 'reformasi' dan 'hidup rakyat'.

Antara yang ditahan termasuklah Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip, Exco AMK Pusat, Zaki Yamani, Zulfikar Ali Ariffin, Manivannan Gowindasamy, Chegu Sekar, dan Sacchinathan.

Fareez juga secara berseloroh sempat berkata "Dear PM, my name is Fareez. And I'm not a terrorist."

Kata-kata Fareez disambut gelak ketawa beberapa wartawan yang hadir ketika sidang media di Ibu Pejabat ahli parlimen Ampang tengahari tadi.

tv selnagor/-

MP Jeyakumar mulakan mogok lapar

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

Ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dipercayai melancarkan mogok lapar kerana kecewa dan hampa dengan penahanan tanpa bicaranya yang berpanjangan mengikut Ordinan Darurat.

Menurut isterinya, R Mohanarani, Jeyakumar memberitahunya berhubung mogok lapar itu semasa beliau melawat suaminya semalam.

“Apabila saya jumpa suami saya Dr Jeyakumar pada 11 pagi semalam, beliau suarakan perasaannya yang sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadap enam aktivis PSM yang ditahan sejak 2 Julai lalu.

“Menurutnya, polis enggan berganjak dari posisi asal mereka walaupun PSM 6 telah bekerjasama penuh dan menjawab semua soalan yang ditanya semasa soalsiasat dijalankan,” kata Mohanarani dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya lagi, Jeyakumar memberitahu beliau akan mogok lapar mulai hari ini dalam usaha mendapatkan keadilan.

“Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga semua PSM6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah. Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar,” katanya.

Jeyakumar baru-baru ini dikejarkan ke hospital kerana komplikasi jantung sebelum dipindah ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.

Mohanarani berkata bertekad meneruskan mogok lapar kerana telah hilang kepercayaan ke atas polis yang didakwanya 'menembak secara liar' menolak penafian bahawa mereka sebahagian daripada BERSIH 2.0 ataupun Parti Komunis Malaysia.

“Menurut Dr Jeyakumar, beliau telah memberi kerjasama penuh sejak direman di mana beliau telah menandatangani tiga laporan termasuk laporan 45 muka surat di Pulau Pinang.

“Sekarang SB (polis cawangan khas) telah sediakan report dengan 80 mukasurat tetapi Dr Jeyakumar buat keputusan beliau tidak akan tandatanganinya kerana beliau melihat semua siasatan sebagai sia-sia sahaja,” katanya.

Dalam kenyataan media berasingan setiausaha agung PSM S Arutchelvan beliau akan ke ibu pejabat polis di Bukit Aman untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kesihatan ahli parlimen itu.

“Oleh tida pengesahan daripada pihak berkuasa, kami percaya Dr Jeyakumar telah memulakan mogok lapar dan kami amat bimbang dengan keadaan kesihatannya,” katanya.

malaysiakini/-

Wanita mencuri di kedai emas

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

TAIPING - Satu kejadian curi telah dilaporkan berlaku di sebuah kedai emas, dekat Jalan Pasar, di sini, kelmarin membabitkan kehilangan seutas rantai emas bernilai RM4,800.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, polis kini sedang memburu seorang wanita dan seorang lelaki yang dipercayai suspek kejadian berkenaan.

Menurutnya, kejadian telah dilaporkan berlaku pada jam lebih kurang 4.30 petang oleh pemilik kedai emas berkenaan.

“Suspek utama merupakan seorang wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun yang dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

“Semasa kejadian, suspek dikatakan masuk ke dalam premis kedai emas berkenaan dan menyamar sebagai pelanggan dan meminta untuk melihat seutas rantai emas yang dipamerkan untuk jualan,” katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Menurut Yusuf, polis telah dimaklumkan bahawa suspek juga telah berpura-pura merundingkan harga rantai emas berkenaan sebelum melarikan diri secara tiba-tiba.

Katanya, suspek telah melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal, ditunggang seorang lelaki yang telah bersiap sedia menunggu suspek di luar premis kedai emas berkenaan.

“Pekerja kedai emas terbabit telah cuba mengejar suspek sewaktu kejadian namun gagal setelah terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada bahagian siku, sementara pemilik telah melaporkan kejadian kepada polis dengan segera,” katanya.

Katanya, polis masih menyiasat kejadian berkenaan dan setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes itu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, iaitu curi dalam bangunan dan sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun dan denda RM10,000.

“Polis juga menyeru orang ramai yang melihat kejadian berkenaan untuk menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan bagi membantu polis dalam siasatan kes ini, seterusnya menangkap suspek,” katanya.

sinar harian/-

PAS sokong larang wanita Islam jadi GRO

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUANTAN, 28 Julai: Walaupun dianggap terlambat, PAS tetap mengalu-alukan dan menyokong penuh tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang melarang wanita Islam bekerja sebagai GRO mulai tahun depan.

Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuantan, Syed Anis Syed Husin, berkata apa yang diharapkan ialah peraturan tersebut dikuatkuasakan secara menyeluruh dan tidak bermusim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob semalam yang akan menguatkuasakan larangan wanita Islam menjadi pelayan pelanggan atau GRO di semua pusat hiburan di bandar ini pada tahun depan.

“Peraturan yang baik menurut Islam tetap kita sokong, seperti diwartakan kerajaan Kedah baru-baru ini yang menghalang orang Islam masuk ke pusat-pusat hiburan.

“Sebenarnya bukan setakat pusat hiburan, Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) juga telah menggazetkan peraturan agama larangan orang Islam memasuki kedai judi, tetapi penguatkuasaanya sampai sekarang terus didiamkan.

“Sebab itu kita sokong tindakan terbaru MPK tetapi tidak mahu pernguatkuasaan bermusim, biar konsisten,” katanya kepada Harakahdaily.

MPK dalam kenyataan rasminya semalam bersetuju dengan cadangan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum ini agar umat Islam dilarang bekerja di pusat hiburan yang menghidangkan minuman keras di bandar ini.

Tambah kenyataan tersebut, hasil kajian yang dilakukan mendapati 85 peratus pekerja pusat hiburan terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam dan mereka terdedah untuk meminum minuman yang memabukkan itu.

Selain itu, ianya juga secara tidak langsung memberi kesan negatif apabila GRO beragama Islam, sekalipun tidak meminum tapi mengangkat dan menghidangkan minuman keras kepada pelanggan.

Menurut kenyataan yang memetik Datuk Zulkifli itu, berdasarkan beberapa siri pemeriksaan yang dijalankan pihak JAIP, kastam, polis, imigresen dan MPK mendapati ramai pekerja pusat hiburan terlibat meminum minuman keras.

Zulkifli berkata selain itu GRO juga sering dikaitkan dengan masalah sosial dan perbuatan tidak bermoral.

Dalam pada itu, Syed Anis berkata, satu masa dulu Kuantan pernah terkenal dengan panggilan ‘Hatyai Pantai Timur’, yang menggambarkan betapa bandar ini menjadi pusat maksiat.

Justeru inilah masanya untuk membendung atau membuang imej yang tidak baik seperti itu.

“Inilah menunjukkan pentingnya ada kuasa untuk mencegah maksiat. Kita tidak mahu kuasa agama di bawah kerajaan negeri hanya setakat tengok anak bulan untuk tentukan puasa dan raya sahaja, barulah Islam duduk di tempat tertinggi.

“Kita tidak nafikan mungkin ada tekanan dalam penguatkuasan. Jangan berpilih, contoh tangkap orang tak berpuasa di restoran murah saja sedangkan di hotel-hotel besar terlepas.

“Ambil perhatian juga pondan-pondan yang berkeliaran di Jalan Wong Ah Jang,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan GRO yang diterpaksa berhenti kerja, Syed Anis berkata kerajaan juga kena fikir apa persediaan untuk masa depan dan kehidupan mereka termasuk memberi pendedahan dan latihan kerja.

Tambahnya, Islam bukan saja mencegah tetapi juga menyediakan jalan penyelesaian jalan keluar betapa prihatinnya Islam.

“Kalau betul-betul peraturan dilaksanakan menurut Islam, PAS mesti sokong penuh. Kita doakan semoga yang dipilih menjadi penguatkuasa itu diberi kekuatan oleh Allah,” katanya.

Pada satu ketika dulu penguatkuasa di Pahang pernah dihebohkan apabila menangkap seorang model sambilan, Kartika Sari, kerana meminum arak di tempat umum.

Beliau kemudiannya dijatuhkan hukuman sebat.

harakahdaily/-

Lim: Bukan lagi mustahil tumbangkan k'jaan pusat

25 Syaaban 1432H. [MOD] -

Tidak ramai yang boleh mendakwa setaraf dengan Lim Kit Siang yang menghabiskan sebahagaian besar hidupnya memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai pemimpin pembangkang.

Kerjaya politik Lim bermula sebagai setiausaha agung DAP pada 1969, ketika ketegangan kaum memuncak semasa peristiwa berdarah 13 Mei yang menyaksikan beliau ditahan mengikut ISA.

Kali kedua beliau ditahan mengikut ISA adalah semasa Ops Lalang pada 1987. Perjalanan dunia politik Lim sebenarnya penuh berliku - beliau juga didapati bersalah membocorkan rahsia rasmi kerajaan berhubung perjanjian pembelian senjata yang mencurigakan dengan sebuah firma Swistzerland.

Bagaimanapun sepanjang 70 tahun kehidupannya itu, Lim berpendapat pembangkang telah sampai kepada kemuncaknya dan perubahaan bukan satu lagi impian seperti sebelum ini.

"... saya akan katakan buat pertama kali, mengambil-alih kuasa kerajaan pusat, bukan lagi mustahil, ia boleh dicapai,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

Meskipun cuba menyembunyikan keyakinannya menjelang pilihan raya ke-13 akan datang, tetapi Lim mengakui peluang Pakatan Rakyat semakin cerah setiap hari.

Katanya, himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia mahukan perubahaan dan ditambah dengan beberpa kepincangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu, desakan rakyat semakin lantang.

"Nampaknya PM dan kerajaan sekarang gagal melihat dan menyelami kehendak rakyat... Makin hari mereka makin terpisah, (kerajaan pula) mengambil tindakan yang memutuskan mereka daripada sokongan akar umbi.

"Boleh kita capainya (mengubah kerajaan)? Saya benar-benar tidak tahu tetapi dengan setiap detik masa yang berlalu, saya bertambah lebih optimistik. Sama ada mampu bagi kami melaksanakannya, adalah soalan yang berasingan tetapi (kita) menjadi lebih optimistik,” kata Lim.

harakahdaily/-

Empat maut dalam kemalangan lori dengan trailer

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

BAGAN SERAI 28 Julai - Empat maut dalam kemalangan di antara sebuah bas dan loi trailer di km 201.5 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Semanggol, Perak awal pagi ini. - Utusan

Langgar peraturan SPRM: Laporan - 24 Ogos

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

Laporan mengenai tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melanggar peraturan ketika menguruskan kes membabitkan pembantu politik Teoh Beng Hock akan dibentangkan di Mesyuarat Khas Jawatankuasa Aduan pada 24 Ogos depan.

SPRM dalam kenyataan media berkata laporan tersebut dikehendaki disiapkan dalam tempoh sebulan oleh pegawai-pegawai daripada Pasukan Siasatan Khas.

Menurut kenyataan tersebut pasukan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Zakaria Jaffar telah mengadakan mesyuarat pertama pada 25 Julai lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kematian Teoh, memutuskan bahawa Teoh membunuh diri akibat mengalami rasa terbeban dan tertekan dengan sesi soal siasat yang agresif dan berlarutan ke atasnya oleh pegawai penyiasat SPRM.

- Bernama

Dadah: 2 rakyat Malaysia mengaku bersalah

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

WELLINGTON 27 Julai - Dua lelaki rakyat Malaysia hari ini mengaku bersalah di mahkamah Auckland atas dakwaan menyeludup dadah ke New Zealand.

Fairfax Media melaporkan, kedua-dua lelaki itu, Eng Hin Ong, 39, dan Waihong Leong, 23, didakwa bersama-sama tujuh defendan lain.

Kedua-dua lelaki itu merupakan sebahagian daripada kumpulan pelancong yang menarik perhatian pegawai kastam pada April lalu ketika mereka berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland.

Mereka ditangkap di lapangan terbang itu setelah gerak-geri mereka menimbulkan kecurigaan.

Pegawai berkata, beberapa peket besar mengandungi methamphetamine berjumlah 8.5 kilogram turut ditemui di dalam kasut mereka.

Seorang lagi tertuduh, Ewe Hoe Ong, 40, sebelum ini telah mengaku bersalah kerana menyeludup dadah.

Ketiga-tiga defendan yang mengaku bersalah tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Auckland pada September ini.

April lalu, sekumpulan lapan lelaki dan dua wanita, kesemuanya rakyat Malaysia, didakwa menyeludup dadah, kes yang disifatkan sebagai keldai dadah paling banyak ditangkap dalam satu kejadian di New Zealand. - DPA

Nik Aziz harap Malaysia menang

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap pasukan bola sepak negara memenangi perlawanan menentang Singapura, malam ini.

“Saya berharap agar Malaysia dapat memenangi perlawanan bola sepak menentang Singapura pada hari ini. Semoga dapat melakar sejarah,” ujarnya di laman Twitter.

Secara peribadi, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berharap penjaga gol anak negeri itu, Khairul Fahmi dapat diturunkan untuk mengawal gawang pasukan negara.

Namun, kata beliau segalanya terpulang kepada percaturan pihak berkenaan.

“Selamat mencipta rekod baru untuk bolasepak Malaysia!” ujarnya.

Pertemuan skuad Harimau Malaysia dengan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 malam ini dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Kallang, Singapura 23 Julai lalu, pasukan negara tewas 3-5.

harakahadaily/-

Ambiga-Wan Ahmad Bersemuka Lagi Esok

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 28 JULAI : Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar akan bersemuka sekali lagi Jumaat ini untuk berhujah sama ada sistem pilihan raya Malaysia perlukan pembaharuan.

Kedua-dua mereka telah mengesahkan kehadiran masing-masing di forum "undang-undang pilihan raya, SPR & reformasi pilihan raya" anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) di Dream Centre di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Menurut Malaysiakini, ahli jawatankuaasa Proham, Datuk Dennison Jayasooria sendiri memaklumkan bahawa kedua-duanya telah memaklumkan kepada beliau mengenai kehadiran mereka di forum tersebut.

"Bagaimanapun, kita akan memfokuskan kepada topik yang berlainan daripada ceramah semalam (kelmarin)," katanya.

Ambiga dan Wan Ahmad bertembung dalam ceramah di Shah
Alam pada Selasa anjuran Kumpulan Karangkraf, kumpulan media yang menerbitkan akhbar harian bahasa Melayu, Sinar Harian dan kumpulan majalah popular.

Bagaimanapun, Jayasooria berkata, hadirin di ceramah Jumaat ini adalah "berbeza sama sekali" dan ahli panelnya termasuk peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean. Moderatornya ialah Tan Sri Ramon Navaratnam dari Proham.

2 maut pesawat kargo terhempas di Korea Selatan

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

SEOUL: Pesawat kargo Penerbangan Asiana terhempas di selatan pulau Jeju, awal pagi tadi dan meragut dua nyawa, menurut pihak berkuasa Korea Selatan.

Beliau berkata, pesawat itu berlepas pada jam 3.05 pagi (waktu tempatan) menuju ke timur China, Pudong mengalami masalah mekanikal menyebabkan sebelum terhempas.
Jurucakap pengawal pantai Jeju, berkata serpihan pesawat ditemui bot peronda pengawal pantai kira-kira 100 kilometer barat pulau.

Katanya, empat bot pengawal pantai dan sebuah helikopter digunakan bagi mencari bangkai pesawat di sekitar kawasan terbabit.

Sementara itu, jurucakap syarikat penerbangan Asiana, berkata pesawat Boeing 747 yang dibawa seorang juruterbang dan pembantu juruterbang membuat panggilan ke pusat kawalan lapangan terbang Jeju pada jam 4.11 pagi dengan meminta untuk membuat pendaratan kecemasan berikutan masalah mekanikal. - AFP

Dr Uthman diundang bincang Wahabi, terorisme

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

Kerajaan negeri Perlis melalui jawatankuasa fatwanya hari ini mengeluarkan undangan rasmi kepada penceramah popular Dr Muhammad Uthman El-Muhammady yang dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan fahaman Wahabi dan terorisme.

Menurut mufti negeri Dr Juanda Jaya (kiri), undangan rasmi bertulis dihantar kepada felo Institut Pemikiran dan Peradaban Islam Antarabangsa (ISTAC) itu setelah diputuskan anggota jawatankuasanya semalam.

"Kita harap majlis itu dapat diadakan pada bulan puasa ini supaya kurang sedikit unsur syaitannya. Jika tuduhan itu tidak benar, ia dianggap memecahbelahkan orang ramai, mengikut perangai syaitan dan mengancam negara," katanya.

Dalam tradisi Islam, Ramadan dikatakan bulan berkat kerana syaitan dikatakan 'terikat' pada siang hari ketika umat Islam berpuasa.

Malaysiakini difahamkan, dalam taklimat tertutup Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya Isnin lalu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan 40 ulama muda Umno antara yang dikaitkan dengan fahaman itu.

Dikatakan juga taklimat itu juga mendakwa Arab Saudi sebagai dalang di sebalik jaringan itu.

Bagaimanapun, semalam, Dr Juanda mendedahkan beliau dan institusi kerajaan negeri Perlis turut menjadi mangsa kepada "tuduhan liar" dalam majlis di mana Dr Uthman terlibat sebagai seorang pembentang kepada mufti dan wakil majlis agama Islam negeri yang hadir.

Libatkan haji ke Mekah

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Dr Juanda berkata, Dr Uthman boleh memilih tarikh di mana beliau mempunyai kelapangan untuk membentangkan semula idea-ideanya kepada anggota jawatankuasa fatwa negeri dan ahli akademik yang akan dijemput.

"Majlis ini juga terbuka kepada orang awam dan pihak media supaya setiap pihak dapat menilainya," kata Dr Juanda yang juga felo pelawat di Universiti Oxford.

Menurut Dr Juanda, Dr Uthman perlu membuat penjelasan itu kerana implikasi dakwaan dalam taklimat itu melibatkan amalan penting umat Islam seperti mengerjakan umrah dan haji umat Islam di Mekah - wilayah yang ditadbir Arab Saudi.

"Menjelang Ramadan juga, ramai iman daripada Mekah dijemput mengimani solat Tarawikh di negara ini, kita bimbang amalam mereka tidak sah pula nanti," katanya.

Arab Saudi merupakan negara yang paling dikaitkan dengan fahaman Wahabisme, terutamanya oleh golongan Orientalis. Di Malaysia pula, Perlis satu-satunya negeri yang dikaitkan dengan amalan itu walaupun pemimpin dan ulamanya sering menafikannya.

Usaha Malaysiakini mendapat komen Dr Uthman dan MKN setakat ini belum berhasil.

Dr Uthman merupakan tokoh maal hijrah kebangsaan pada tahun 2005. Pemegang ijazah doktor persuratan kehormat (D Litt) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) itu terkenal kerana kajiannya dalam bidang akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

malaysiakini/-

Biometrik: Kenyataan Muhyiddin tidak berasas

26 Syaaban 1432H. [MOD] -

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik dari Malaysiakini hari ini bahawa PAS terlalu ORTODOK kerana menolak Biometrik adalah suatu kenyataan yang cukup cetek, sempit dan tiada asasnya seolah-olah PAS menolak segala bentuk kemajuan yang berasaskan Teknologi Maklumat.

Kenyataan Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDEC), Tan Sri Abdul Halim Ali baru-baru ini bahawa portal rasmi Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS menduduki tangga ke-6 daripada 1,145 laman web yang dinilai diperingkat kebangsaan jelas membuktikan bahawa PAS menjuarai penggunaan Teknologi Maklumat di dalam segala bentuk urusan khususnya yang berkaitan dengan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Keputusan PAS menolak Biometrik adalah daripada kajian yang teliti. PAS tidak menolak kemajuan. PAS tidak pernah menolak Teknologi Maklumat lebih-lebih lagi jika ia menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat khususnya kepada sektor ekonomi. PAS menolak Biometrik kerana jelas, masalah pengundi hantu dan pengundi berganda tidak akan dapat diselesaikan melalui Biometrik serta dilihat sebagai satu lagi helah’ projek baru’ yang cuba ‘dihalalkan’ oleh sebuah pemerintah yang diketahui rakyat menjuarai ketirisan di dalam menguruskan kewangan Negara.

Cukuplah dengan isu komisen pembelian kapal selam Scorpene yang meragukan, kerugian Sime Darby sebanyak RM1.5 Billion, penyelewengan PKFZ dan sebagainya, rakyat sudah cukup muak dengan parti pemerintah yang sentiasa cuba menangguk di air yang keruh.

Satu lagi projek Barisan Nasional (BN) yang akan memenuhkan perut kroni-kroni mereka tanpa ada sekelumit pun hasilnya kepada rakyat.

Malah, cadangan itu dilihat cuba membunuh 2 ekor burung dengan seketul batu, satu permainan kotor SPR untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa dengan berselindung disebalik ketelusan dan integriti.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bahawa Sistem Biometrik yang dicadangkan SPR adalah untuk memperbaiki pendaftaran dan pengesahan pengundi serta mengatasi masalah pengundi hantu dan pengundi berganda jelas membuktikan bahawa kenyataan PAS sebelum ini bahawa masalah pengundi hantu dan pegundi berganda sememangnya wujud. Malah kenyataan itu juga membuktikan bahawa Timbalan Perdana Menteri itu tidak tahu dimanakah punca masalah pengundi berganda dan pengundi hantu itu serta solusi yang tepat dan relevan untuk diketengahkan. Hakikat satu kenyataan yang tidak bebas dan berbaur politik.

Biometrik hanyalah kaedah pengesahan kali ke-2 selepas MYKAD. Dengan menggunakan kaedah cap jari yang unik, MYKAD juga mempunyai No.Kad Pengenalan yang unik di mana tidak mungkin lebih daripada seorang akan mempunyai Cap Jari dan No.Kad Pengenalan yang sama. Selepas pengesahan MYKAD, pengesahan kali ke-2 akan digunakan dengan menggunakan Cap Jari untuk memadankan Cap Jari itu dengan No.Kad Pengenalan di mana kedua-duanya perlulah dimasukkan terlebih dahulu oleh SPR atau oleh JPN ke dalam PENGKALAN DATA masing-masing.

Malah Cap Jari itu juga boleh dimasukkan oleh JPN ke dalam PENGKALAN DATA mereka dan kemudiannya disalinkan ke PENGKALAN DATA SPR. Begitu juga sebaliknya.

Kaedah yang dicadangkan untuk digunapakai oleh SPR milik kaedah yang sedia ada seperti di JPN dan di KWSP di mana No.Kad Pengenalan telah dipadankan dengan Cap Jari pemegang MYKAD dan pencarum KWSP di dalam PENGKALAN DATA mereka.

Rakyat harus tahu, sebelum mana-mana pengesahan dilakukan, No.Kad Pengenalan dan Cap Jari haruslah dimasukkan terlebih dahulu ke dalam PENGKALAN DATA.

Terbukti, paparan daftar pengundi SPR yang berganda, dengan No.Kad Pengenalan yang sama di beberapa tempat mengundi yang berbeza serta memiliki lebih dari satu No.Kad Pengenalan Baru walaupun merujuk kepada No.Kad Pengenalan Lama yang sama jelas membuktikan bahawa maklumat berganda yang dimasukkan terlebih dahulu oleh SPR dan JPN ke dalam PENGKALAN DATA adalah puncanya. Mungkin secara tidak sengaja dan mungkin juga dengan sengaja. Yang mana satukah harus rakyat percaya dengan tahap krisis keyakinan yang sedia ada?

Krisis keyakinan itulah yang harus diselesaikan terlebih dahulu oleh parti yang memerintah dan bukannya SISTEM BIOMETRIK. Cadangan SPR dan Kerajaan Barisan Nasional(BN) terlalu jauh dihadapan sehingga lupa kepada perkara pokok yang harus ditangani terlebih dahulu. Adakah kegopohan itu kerana mereka tertekan? Adakah kerana KUASA dilihat sebagai HARTA persendirian, sehingga matlamat menghalalkan cara? Tan Sri Muhyiddin sudah lupa dengan KRISIS KEYAKINAN itu sehingga beliau sendiri berfikiran ORTODOK.

SISTEM BIOMETRIK hanyalah aplikasi capaian yang digunakan sebagai pengesahan peringkat Ke-2 selepas pengesahan MYKAD. Manipulasi kepada PENGKALAN DATA khususnya kepada No.Kad Pengenalan dan Cap Jari yang dimasukkan terdedah luas untuk dikhianati lebih-lebih lagi oleh mereka-mereka yang dilihat tidak bebas dan tidak bersih di dalam mengendalikannya.

Selagi perkara pokok tidak diatasi, selagi itu penggunaan dakwat kekal serta 7 cadangan BERSIH 2.0 RELEVAN buat masa ini.

(Penulis mempunyai kelulusan dan berpengalaman luas di dalam pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi khususnya pembangunan aplikasi di dalam pelbagai sektor industri khususnya perkilangan, perladangan, minyak dan gas.)

harakahdaily/-