20 July 2011

Video : Awana Diab sepak panalti menggunakan tumit.

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Banyak cara dan teknik dilakukan pemain hebat untuk mencetak gol lewat tedangan penalti. Namun teknik yang dilakukan pemain Uni Emirat Arab ini sungguh luar biasa. Dengan menggunakan tumit, Awana Diab berhasil mengelabui kiper Lebanon dalam eksekusi tendangan penalti.

UEA mengalahkan Libanon 6-2 dalam laga persahabatan internasional hari Minggu (17/7) kemarin. Meski skor akhir pertandingan menunjukkan Lebanon kalah kelas dari UEA, ada sesuatu hal yang lebih membuat mereka malu dari kekalahan tersebut, yakni sebuah gol yang tercipta pada pertandingan itu.

Ketika laga menyisakan waktu 12 menit lagi tepatnya menit ke-78, wasit memberi UEA hadiah penalti karena pelanggaran yang dilakukan pemain Lebanon di dalam kotak penalti. Awana Diab yang ditunjuk untuk mengesekusi bola pun langsung bersiap dan mengambil ancang-ancang.

Sesaat sebelum eksekusi, Diab terlihat seperti pemain-pemain pada umumnya yang mengambil tendangan penalti. Namun setelah berlari untuk menendang bola, pemain bernomor punggung 13 itu tiba-tiba berputar 180 derajat membelakangi gawang dan melepaskan tendangan dengan tumit kanannya yang mengarah ke gawang tanpa bisa dihalau kiper Lebanon.

Penjaga gawang Lebanon tidak bisa berbuat apa-apa atas tendangan Diab tersebut. Meski bola meluncur tidak deras ke arah kiri gawangnya, penjaga gawang Lebanon itu hanya terpaku dan tidak bergerak sama sekali dari posisinya.

Beberapa pemain Lebanon terlihat jelas tidak terkesan dengan aksi Diab tersebut, namun beberpa diantaranya ada juga yang tampak antusias bertanya mengenai teknik luar biasa Diab. Semua pemain tidak ada menyangka kalau Diab akan melakukan tendangan penalti dengan tumit./Media Indo/-

Skandal akhbar rakam bualan telefon: Ketua polis Britain letak jawatan

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

LONDON: Seorang pegawai kanan polis Britain meletak jawatan semalam sementara bekas pembantu Rupert Murdoch, Rebekah Brooks ditangkap selepas skandal merakam perbualan telefon mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat negara itu.

Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Paul Stephenson berkata, dia meletak jawatan berikutan spekulasi mengenai hubungannya dengan empayar Murdoch dan kegagalan polis menyiasat kes itu yang membabitkan akhbar yang kini sudah ditutup, News of the World.


Pengumuman mengejutkan itu dibuat beberapa jam selepas polis menahan Rebekah yang meletak jawatan Jumaat lalu selaku Ketua Eksekutif News International, sayap akhbar Murdoch di Britain, kerana disyaki terbabit dalam skandal merakam perbualan telefon dan cubaan merasuah polis.

“Saya mengambil keputusan meletak jawatan ekoran spekulasi berterusan dan tuduhan yang mengaitkan Polis Metropolitan dengan News International di peringkat atasan,” kata Stephenson menerusi televisyen.


Stephenson dikaitkan dengan bekas Timbalan Pengarang News of the World, Neil Wallis dalam laporan sebelum ini yang mendakwa ketua polis itu menerima tawaran menetap di sebuah spa kesihatan mewah selama lima hari, tempat Wallis menjadi perunding Perhubungan Awam. - AP

Kenapa saya sokong Bersih 2.0

18 Syaaban 1432H. [MOD] -
Nasrudin bin Hassan at Tantawi

1. BERSIH 2.0 bukan sebuah pertubuhan sebagaimana yang didakwa oleh pihak UMNO dan BN kononnya BERSIH adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan R.O.S, sebaliknya BERSIH 2.0 adalah satu kempen yang digerakkan oleh sekurang - kurangnya 62 Ngo yang bergabung untuk menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang adil dan telus.

2. Kempen ini berpaksi kepada 8 tuntutan yang telah dikemukakan kepada pihak berkenaan samaada kerajaan mahupun pihak SPR. Apa yang lebih penting juga ialah 8 tuntutan mesti difahami dan diperjuangkan oleh rakyat demi masa depan negara dan kepimpinannya. 8 tuntutan itu ialah :

Bersihkan Senarai undi

Mereformasikan undi pos

Penggunaan Dakwat Kekal

Masa kempen minima 21 hari

Akses media yang bebas dan adil

Kukuhkan Institusi awam

Hentikan rasuah

Hentikan politik kotor

3. Namun jelas tindakan pihak UMNO dan BN cuba untuk mengelirukan rakyat dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang akhirnya menenggelamkan isu sebenar dari kempen BERSIH 2.0. Cubaan mengaitkan kempen BERSIH 2.0 dengan perjuangan komunis dan pula mendapat pembiayaan dari pihak asing adalah satu percubaan jahat dan tidak berasas. Masakan komunis menyokong perjuangan pemulihan demokrasi yang digerakkan oleh BERSIH 2.0 dan apalah pula kos BERSIH 2.0 kecuali duit minyak dan tambang rakyat untuk sampai ke lokasi perhimpunan serta kos membeli baju BERSIH 2.0 dengan pembiayaan sendiri.

4. Mereka menuduh tanpa bukti. Pastinya mereka sedang panik menyaksikan kebangkitan rakyat biarpun secara aman justeru rakyat menolak ketidakadilan mereka, rakyat membantah cara mereka memerintah. Biarpun tidak keseluruhan rakyat, namun mereka tahu, jumlah rakyat yang bangkit menolak dan membantah mereka adalah jumlah yang membuatkan kuasa pemerintahan mereka tergugat andainya mereka mendepa tangan untuk dihitung nilai secara saksama oleh rakyat.

5. Mereka tahu, bahawa mereka terpaksa monopoli penguasaan media untuk menidakkan suara parti lawan mereka. mereka terpaksa mengekalkan undi pos sebagai tali hayat untuk mereka kekal memerintah. Mereka tahu, keupayaan mereka sangat terhad untuk memerangi rasuah yang telah membarah dalam parti mereka. Mereka juga tahu bahawa politik kotor, politik lucah dan politik kekerasan adalah senjata sulit mereka untuk memastikan mereka mampu menghadapi lawan.

6. Tuntutan 8 perkara yang dibawa oleh BERSIH 2.0 akan terus menghantui mereka. Menjadikan mereka hilang rasional lantas mereka menggunakan pihak keselamatan untuk tradisi membelasah rakyat sendiri. Menangkap individu yang memakai baju kuning bertulis BERSIH 2.0 dengan tertera pula 8 tuntutan. UMNO dan BN bagai dirasuk. Mengaku kuat dan handal tetapi mengalami xnthophobia yang parah.

7. Tuntutan 8 perkara ini akan terus diratib oleh rakyat sehinggalah kerajaan dan seluruh agensinya yang berkenaan akur dan bersedia untuk pilihanraya yang adil, telus dan saksama. kita masih komited dengan kaedah "muwajahah silmiah" iaitu persaingan secara aman tanpa kekerasan dan senjata. Namun padang mestilah sama rata dan peraturan pula adil dan telus.

8. BERSIH 2.0 tidak digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan kekerasan sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas rakyat. BERSIH 2.0 tidak digembeleng untuk meruntuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan rampasan kuasa secara undemocratic sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. BERSIH 2.0 tidak dicetuskan untuk mengguling kerajaan UMNO dan BN dengan menimbulkan huru hara dan kacau bilau yang menggugat keamanan serta ketenteraman awam sebagaimana apa yang dilakukan oleh mereka ke atas peserta himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tempohari.

9. BERSIH 2.0 hanya menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang bersih. Kita bersedia untuk bersaing dengan UMNO dan BN dalam sistem yang adil, telus dan saksama. Tiada lagi penafian hak bersuara dengan memastikan akses media yang adil dan bebas serta tiada lagi pelanggaran hak memilih dengan mereformasikan undi pos.

10. Jika UMNO dan BN mengapong diri dengan kempen 1 Malaysia, Pakatan Rakyat memobilisasi rakyat dengan BERSIH 2.0 yang akan terus kekal momentumnya biarpun berdepan dengan pelbagai tindakan yang tidak bertamadun dan undemocratic. Kini rakyat berani. Bukan sekadar berani melepasi sekatan FRU dan bedilan gas pemedih mata, tetapi apa yang paling bermakna ialah rakyat kini berani membuang sikap berdiam diri untuk bangkit menunjukkan perasaan mereka yang diselubungi derita sejak sekian lama angkara demokrasi ala Barisan Nasional. Saya sokong orang berani dan saya sokong BERSIH 2.0

-------------------------------

Penulis adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Raja Katak sendiri cadang Anugerah Raja katak.

18 Syaaban 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Selepas ditertawakan pelbagai lapisan rakyat, Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Sahol Hamid Abu Bakar hari ini memperjelaskan status kedudukan Anugerah Ibrahim Ali yang tertera di laman web Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM semalam.

Menurut beliau, anugerah tersebut dicadangkan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sendiri tetapi menegaskan bahawa sebelum anugerah boleh diberi, ia perlu dibawa ke Senat dan Lembaga Pengarah UiTM untuk kelulusan.

“UiTM tidak pilih nama atau buat sebarang cadangan anugerah tersebut. Cadangkan itu datang dari Datuk Ibrahim Ali sendiri. Saya hanya minta dibawa ke Senat untuk keputusan. Kalau setuju, baru bawa untuk endorsement lembaga.

"Proses bukan muda dan mengambil masa di senate - ada 60 org professor ,dekan-dekan dan rektor-rektor kampus. Masing-masing bertindak secara individu. Tidak boleh lobby. Satu badan yang kuat dan independent di UiTM,” terang beliau di laman Facebook beliau.

Semalam, IMPAK menyiarkan info mengenai bahawa pecalonan untuk Anugerah Ibrahim Ali, yang menawarkan RM5,000 sebagai ganjaran yang ditaja Ibrahim sendiri telah dibuka kepada pelajar UiTM.

Anugerah Ibrahim Ali dikatakan untuk dianugerahkan kepada mereka yang menunjukkan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.

Berita yang awal diledakkan di laman web Malaysiakini telah menerima pelbagai reaksi yang berbentuk sindiran dan kritikan kepada anugerah tersebut.

Antara yang memberikan pandangan ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga bekas pensyarah di UiTM, yang memberikan prediksi bahawa anugerah berkenaan akan terkubur kerana Ibrahim bukan orang yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

“Nama pemimpin lain lebih berhak. Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Dr Awang Had Salleh, dan (bekas naib canselor UiTM) Ibrahim Abu Shah akan tersenyum bila mengetahui ada anugerah dinamakan atas nama Ibrahim Ali!

“Penerima anugerah mesti berbangga dengan anugerah mereka. Jika sesuatu anugerah itu hanya mendatangkan cemuhan dan menjadi stigma kepada penerimanya, saya pasti anugerah itu akan gagal,” katanya.

Namun begitu, dalam penjelasan Sahol hari ini, beliau seolah-olah mempersalahkan IMPAK yang terlebih dahulu mengumumkan perkara ini, walaupun ia masih di peringkat cadangan.

“Namun, terlepas pandang kerana ada jabatan yang buat hebahan web. UiTM prihatin tentang keadaan semasa dan tidak akan terima anugerah tersebut tanpa kelulusan Senat dan Lembaga Pengarah.

“Dengan penjelasan ini, saya berharap isu ini tidak akan dibesarkan lagi,” katanya.

Semakan Harakahdaily sebentar tadi turut mendapat laman web IMPAK telah mengeluarkan butiran mengenai Anugerah Ibrahim Ali.

Peguam Perancis bakal dedah pembunuhan Altantuya

18 Syaaban 1432H. [MOD]
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon (gambar) dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

“Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih,” kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu.

Ulasan :

Sistem perundangan di malaysia sudah berada dalam tahap yang bahaya dan semacam negara ke 3 yang sangat buruk imejnya.

Kerana itu tawaran 100 hari Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga adalah satu pernyataan bersama 3 parti dalam PR untuk memulihkan semua badan itu dan menjadikan Malaysia lebih dihormati di persada dunia.

Debat Ambiga - Wan Ahmad 26 Julai ini

18 Syaaban 1432H. [MOD] -


Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berpeluang berdepan dan berdebat dengan timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Datuk Wan Ahmad Wan Omar pada 26 Julai ini.

Mereka akan berdebat berhubung sistem pilihan raya negara ini dalam majlis yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf, yang menerbitkan akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian dan beberapa majalah popular yang lain.

Majlis itu juga akan disertai oleh Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin dari UKM.

Kehadiran Wan Ahmad disahkan dalam laporan Utusan Malaysia hari yang berkata mereka akan berdebat dalam program berjudul 'Apa Selepas 9 Julai...' yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam.

Sebelum ini, kedua-dua pihak itu sering kali bertelagah berhubung ketelusan dan keberkecualian SPR. Ambiga pada kemuncaknya memmpin perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu sehingga menyebabkan beliau dan hampir 1,700 orang yang lain ditangkap.

Malayskaini/-

Ulasan :

Semuga debat berjalan lancar dan kedia pihak akan dapat mengemukakan hujah dengan baik dengan syarat antaranya pengerusi yang benar-benar adil dalam pengendalian debat serta tidak memihak.

Selain itu debat juga lebih berarti kepada SPR untuk mendengar dengan baik tuntutan Ngos yang bergabung dalam JK Bersih bagi menjamin demokrasi di Malaysia lebih baik dimasa akan datang. Kalau sekadar berdebat dan tiada respon dari SPR rasanya membuang masa saja.


Tidak hormati ramadan menghina Islam

18 Syaaban 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Kita cepat nampak apa yang orang lain lakuksn, tetapi cuba tutup apa yang kita laku. Kita seperti tidak nampak salah sendiri. Inilah lumrah manusia apabila hatinya sudah tidak murni dengan Allah, maka dengan manusia lagi tidak murni. Baru-baru ini kita sebuk memperkatakan isu membenarkan pusat hiburan beroperasi dalam bulan Ramadan.

Itupun setelah media membesarkannya. Padahal memang selama ini seluruh Malaysia kecuali Kedah dan Kelantan, pusat hiburannya terus beroperasi dalam bulan Ramadan.
Baguslah kalau umat Islam boleh rasa sensitif dalam hal agama dan maksiat, tetapi banyak yang kita lihat teguran itu tidak ikhlas, tegurnya kerana kepentingan politik. Tegur itu kerana ada kepentingan yang boleh menguntungkan kumpulannya.

Sepatutnya sebelum masuk Ramadan kita mula bermaafan dan tidak membawa komplik yang boleh merosakkan hubungan sesama Islam.

Sebenarnya isu tersebut kalau dalam rumah tangga, ada perumpamaan yang menyebut, “pukul anak sindir menantu” tapi dalam politik sebaliknya pula. Tapi saya tidak pasti sama ada wujud perumpamaan untuk itu atau tidak. Ceritanya begini, seseorang itu sokong satu tindakan musuhnya kerana tindakan itu menguntungkan orang dalam kumpulannya, tetapi atas niat hendak menjatuhkan lawannya dia berpura-pura menentang tindakan itu. Inilah mainan politik yang orang awam tidak faham.

Jadi, saya menyeru umat Islam agar menjadi orang yang beriman dan bertaqwa malah profesional dalam sesuatu tindakan, apatah lagi menjelang bulan Ramadan. Oleh sebab itu, marilah lihat di sekeliling kita apakah kita sudah menghormati Ramadan? Tidak perlulah lihat dan menuduh orang lain tidak menghormati Ramadan sedangkan kita juga sebenarnya sedang mencemarkan Ramadan.

Mengapa kita nampak orang bukan Islam tidak menghormati Ramadan dengan membuka pusat hiburan sedangkan kita setiap hari membuka pusat hiburan dalam bulan Ramadan. Berapa ramai umat Islam yang masih mengumpat dan menabur fitnah dalam bulan Ramadan. Berapa ramai umat Islam khususnya wanita yang berpakaian yang mendedahkan aurat. Inilah pusat hiburan yang tidak pernah tutup walaupun bulan Ramadan.

Mereka ini bukan sahaja tidak menghormati Ramadan tetapi pada masa yang sama menghina Islam. Mereka ini jugalah yang disebut oleh Rasulullah sebagai orang yang berpuasa tetapi tidak beroleh apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga. Mereka mungkin hanya dapat pahala imsak, pahala tak makan. Ertinya puasa mereka sia-sia sahaja.

Selain itu, wanita yang uzur yang diberi kebenaran untuk tidak melakukan puasa, mereka juga sering dilihat tidak menghormati bulan Ramadan. Bagaimana? Mereka yang tidak boleh berpuasa memang boleh makan. Tetapi mereka tetap dilarang makan di khalayak ramai. Maknanya kalau mereka hendak makan carilah tempat yang tertutup.

Ibu tidak boleh makan di hadapan anak-anaknya, isteri tidak boleh makan di hadapan suaminya walaupun di dalam rumah. Dan wanita juga tidak boleh makan di hadapan wanita lain walaupun mereka juga tidak berpuasa. Hal ini kerena golongan itu termasuk dalam kategori khalayak ramai. Mereka yang terlibat itu tidak menghormati Ramadan sekali gus menghina Islam.

Sebenarnya hukum yang sama harus diberi kefahaman kepada orang bukan Islam. Dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (majlis perbandaran) boleh bertindak demi menghormati Ramadan. Namun mereka ini perlu diberi kefahaman yang secukupnya sebelum bertindak.

Maksud saya, kedai-kedai makan dan restoran orang bukan Islam tidak seharusnya dibenarkan beroperasi secara terbuka sepanjang bulan Ramadan. Untuk itu mereka boleh mengenakan tabir atau birai rotan atau buluh di hadapan primes mereka. Begitu jaga dengan pusat hiburan, boleh dilakukan secara tertutup hingga muziknya tidak kedengaran di luar primes.

Seperkara lagi yang sering kita terlepas pandang, orang bukan Islam tidak seharusnya sewanang-wenang makan dan minum malah merokok di tempat awam. Sama ada tempat itu ada orang Islam atau tidak, menghormati Ramadan harus dijaga. Perlu diingat, tindakan mereka juga termasuk dalam menghina Islam.

Akhirnya, pakaian yang dipakai oleh wanita sama ada wanita Islam atau bukan Islam, seharusnya lebih bersopan. Ingatlah bulan yang mulia ini harus disambut oleh semua pihak tanpa mencemarinya dengan dosa.

Buru Buaya Sebesar Myvi

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

KERJA KERAS...anggota tentera yang terbabit dalam operasi buru buaya.

SARATOK: Kelibat seekor buaya didakwa sebesar Perodua Myvi dikatakan antara 60 reptilia ganas di Sungai Sebelak di sini, yang menjadi buruan pihak berkuasa dalam operasi besar-besaran memasuki hari kedua, semalam.

Penduduk dikatakan terserempak dengan buaya itu yang muncul di permukaan air selepas membaham seorang penduduk berusia 40-an di Kampung Emplam, dua bulan lalu.
Bagaimanapun, sehingga semalam usaha menjejak reptilia itu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, tentera, polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta penduduk kampung masih menemui jalan buntu.

Operasi yang bermula kira-kira jam 1.30 tengah hari, tertumpu di beberapa kawasan yang dikenal pasti menjadi tempat persembunyian reptilia terbabit namun gagal memberi sebarang petunjuk.
Seorang penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, buaya berukuran 2.74 meter panjang itu dikatakan muncul sekali lagi baru-baru ini, menyebabkan penduduk memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, penduduk memang mahu pihak berkuasa menjalankan operasi memburu dan menangkap reptilia itu bagi mengelak kejadian tidak diingini terhadap penduduk yang mencari rezeki dan tinggal berhampiran sungai berkenaan.

“Kami terkejut apabila melihat buaya dianggarkan sebesar Perodua Myvi timbul di permukaan air secara tiba-tiba sebelum berenang semula perlahan-lahan ke dasar sungai.

“Bukan saya saja, malah kehadiran buaya itu turut disaksikan beberapa penduduk lain yang secara kebetulan berada di tebing sungai.

“Kami percaya buaya itu membaham beberapa penduduk dan dua bulan lalu ia muncul sambil menunjukkan mangsa yang dibaham sebelum menghilangkan diri dalam air,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Harian Metro

Terkini!Letupan Bom Di Pavilion,Bukit Bintang!!!

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Satu letupan bom berlaku dikawasan Pavillion Bukit Bintang. Pihak polis dikerahkan untuk berkawal di kawasan tersebut and terpaksa menutup jalan ke Bukit Bintang.

Berlaku kesesakan Jalan raya di Pavillion, jalan Raja Chulan, pihak polis mengesyaki terdapat bom di kawasan terbabit.

siasah/-

Bekas komander: Jika FRU berkasar, pasti ramai di hospital

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Jika dakwaan bahawa polis terutama Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak kasar semasa perhimpunan haram 9 Julai lalu di ibu negara itu benar, sudah pasti ramai yang akan dirawat di hospital atau sebagai pesakit luar, kata seorang bekas komander FRU hari ini.

Supt (B) Sulaiman Menga Din berkata anggota FRU telah dilatih bertindak secara minimum bagi menyuraikan para penunjuk perasaan mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).

Semua anggota dikehendaki mematuhi arahan secara terperinci termasuk dakwaan melepaskan gas pemedih mata secara sembarangan, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

"Setiap kali orang FRU diperlukan berada di lapangan, mereka diberi penerangan berdasarkan maklumat yang diterima mengenai jangkaan orang yang berhimpun, isu yang terlibat dan sama ada mereka bersenjata dan maklumat lain yang berkaitan," kata Sulaiman.

Beliau berkata semasa perhimpunan 9 Julai itu, para pegawai yang terbabit dalam operasi dimaklumkan bukan sahaja untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di pusat bandar tetapi juga mencegah kemungkinan pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan yang bersaing.
Insiden terpilih

"Anda perlu faham pada masa ini hampir setiap tindakan atau pergerakan direkodkan dan dalam tempoh sekejap sahaja ia telahpun dimuat naik dalam laman web dan penonton malah boleh mengikuti perkembangan hampir secara langsung."

"Di sini, timbul masalah kepada polis, penonton tidak berhati-hati atau dilatih untuk menapis maklumat yang diberikan kepada mereka atau apa insiden sebenarnya yang berlaku di tempat kejadian," kata Sulaiman.

Beliau berkata masalah berlaku apabila hanya insiden terpilih atau terpencil ditonjolkan dan polis tidak berpeluang untuk mempertahankan diri mereka.

Sulaiman yang merupakan komander FRU antara 1996-99 berkata polis gagal untuk memahami prosedur yang digunapakai oleh polis pencegah rusuhan dalam negara berbanding dengan negara-negara lain.

"Hampir setiap hari saluran berita menonjolkan bagaimana penunjuk perasaan diperlakukan dengan kasar dan polis pencegah rusuhan bertindak kasar malahan di negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia," katanya.

Sulaiman berkata berdasarkan pengalamannya pada 1998, ia merupakan tugas yang sukar untuk menghimpunkan 1,600 penunjuk perasaan dan menjalankan saringan sebelum membebaskan mereka menjelang 9 malam.

Tak sampai 10 orang

Beliau berkata tidak sampai 10 orang yang datang ke balai polis keesokan paginya untuk membuat laporan jika mereka benar-benar dilayan secara buruk.

"Tapi orang ramai hanya bercakap mengenai kecederaan yang dialami di kalangan penunjuk perasaan. Bagaimana tentang orang kami yang cedera semasa demonstrasi pada 1998 di mana lastik dan batu digunakan terhadap mereka," katanya.

Malah, Sulaiman berkata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadinya mendakwa bahawa mereka terkena kanister gas pemedih mata, kedua-dua mereka dibenarkan mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta mengikut pilihan mereka dan polis tidak menghalang atau mengancam untuk menangkap mereka.

Beliau menegaskan bahawa setiap anggota polis telah dilatih untuk menghormati hak seseorang individu dan hanya campur tangan jika mereka menyalahi undang-undang.

"Apa yang kita tengok pada 9 Julai adalah para penunjuk perasaan telah melanggar dan tidak menghormati undang-undang dan orang kami yang beruniform hanya menjalankan tugas seperti yang dikehendaki.. mudah sahaja," tegas Sulaiman.

Mengenai pengambilan kakitangan FRU, Sulaiman berkata mereka yang mempunyai kualiti yang diperlukan terutama yang sentiasa tenang dan memahami undang-undang akan diberi keutamaan.

Sulaiman berkata post-mortem juga diadakan secara tetap untuk mengenal pasti kelemahan atau sebarang salah laku oelh pegawai dan anggota semasa operasi.

"Pada masa-masa lalu, tindakan diambil terhadap mereka termasuk menyingkirkan mereka daripada daripada unit itu," katanya.

- Bernama

Menjadi isteri diredai Allah

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

TIADA lebih membahagiakan bagi seorang suami melainkan memanjatkan rasa kesyukuran dan bertuahnya mereka apabila dikurniakan seorang isteri yang bijak, solehah, bersederhana serta mempunyai watak menarik.

Ia dikira ‘pakej lengkap’ bagi seorang wanita selepas sifat kesempurnaan seorang isteri itu subur dalam diri mereka. Dalam melayari kehidupan rumah tangga pasangan suami isteri perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal.

Mereka perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran asas rumah tangga dan meminta pandangan dan nasihat daripada golongan berpengalaman seperti ibu bapa mereka.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka…” (Surah An-Nisa’ ayat 34)

Ketaatan isteri kepada suaminya memudahkan mereka mendapat syurga Allah s.w.t di akhirat kelak kerana ketaatan terhadap suami menjadi ukuran kepada keredaan-Nya.

Diceritakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam Israk Baginda di mana kebanyakan penghuni neraka adalah kaum wanita iaitu termasuk wanita derhaka kepada perintah Allah s.w.t dan suaminya.

Isteri yang taat dapat dinilai melalui bicaranya yang memperlihatkan kelembutan dan kesopanan, mereka juga tidak sesekali memerintah suaminya, berdiam diri ketika suami sedang berkata-kata, apabila suami masuk atau keluar rumah mereka menyambut suami dengan penuh mesra, sentiasa menghormati keluarga suami, bersyukur dengan apa yang disediakan suami serta tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami.

Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak berlaku dalam semua perkara. Sekiranya perintah suami itu menjurus kepada dosa dan kemaksiatan isteri dibenarkan membantah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki ke atas wanita.”

Berhias untuk suami juga penting dalam mengekalkan keharmonian hidup suami isteri. Namun isteri hanya boleh memperlihatkan perhiasan hanya buat suami mereka saja.

Ia bertujuan untuk menjadikan suami mereka terhibur. Bayangkan jika suami pulang dari tempat kerja dalam keadaan letih namun apabila melihat muka isteri berseri-seri pasti akan menimbulkan suasana tenang kepada suami.

Keletihan mencari rezeki akan menjadi hilang malah membangkitkan lagi perasaan kasih sayang terhadap isterinya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Dari Jabir ra. Dia berkata: ‘Kami pernah pergi bersama-sama Rasulullah di dalam satu peperangan. Ketika kami sampai ke Madinah, kami ingin masuk ke rumah masing-masing.

Maka Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Bersabarlah, iaitu masuklah pada waktu malam iaitu selepas Isyak, supaya isteri dapat bersikat rambutnya yang kusut dan supaya ia dapat berhias kerana lama ditinggalkan suaminya.’”

Selain itu, hubungan intim juga antara penyumbang kepada kebahagiaan sebuah rumah tangga. Sebab itu, isteri perlu memberi layanan yang baik kepada suami dan tidak boleh menolak kemahuannya.

Terdapat banyak kes membabitkan pasangan yang tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan sehingga sampai ‘berperang besar.’

Perkara sedemikian perlu dielakkan kerana ia mencetuskan suasana tegang antara pasangan.

Isteri hanya boleh menolak permintaan suami dalam keadaan tertentu seperti dalam keadaan sakit atau dalam keadaan dilarang syarak untuk melakukan persetubuhan seperti dalam keadaan haid.

Kemuliaan dan ketaatan isteri di mata suami akan lebih terserlah apabila mereka mampu menjadi teman berunding apabila suami menghadapi masalah.

Isteri perlu tahu ketaatan mereka kepada suami adalah perintah daripada Allah s.w.t. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Ulama asy-Syafi’eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari melakukan ketaatan yang wajib terhadap suaminya. Antara perkara yang menunjukkan isteri nusyuz terhadap suaminya ialah keluar rumah tanpa keizinan suami.

Fuqaha bersepakat mengatakan haram hukumnya seorang isteri yang nusyuz terhadap suaminya. Mereka dilaknat selagi mana tidak melakukan taubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam meletakkan beberapa tindakan dalam menangani masalah isteri nusyuz antaranya ketika nampak tanda nusyuz pada isteri sama ada dengan perbuatan seperti isteri bermasam muka atau berpaling atau isteri menjawab percakapan suaminya dengan suara kasar maka sunat ke atas suami memberi nasihat.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa: 34)

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Nasihatilah kaum wanita secara baik kerana wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang berada di bahagian yang paling atas.

Jika engkau meluruskannya bererti engkau mematahkannya; dan jika engkau membiarkannya maka dia akan tetap bengkok. Oleh itu, nasihatilah kaum wanita secara baik.” (Hadis riwayat Al-Bukhari no. 3331 dan Muslim no. 1468)

Justeru buat isteri, rebutlah peluang mudah jalan menuju ke syurga dengan melaksanakan kewajipan terhadap Allah serta mentaati suami.

Perunding motivasi dan penceramah, Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh, berkata isu yang dikaitkan dengan Kelab Isteri Taat mempunyai misi tersurat dan tersirat.

“Matlamat mereka adalah untuk mengajak golongan isteri supaya berpoligami.

“Ia sebenarnya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana isu yang lebih penting ialah memberi fokus bagaimana untuk menjana pendapatan golongan janda, keruntuhan rumah tangga serta memperbaiki kelemahan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata poligami sebenarnya adalah untuk mereka yang berkemampuan dan boleh memberi keadilan kepada setiap wanita yang dinikahinya.

“Hanya lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan berkemampuan untuk menyara kehidupan anak dan isteri boleh berkahwin lebih daripada satu berdasarkan hukum syarak.

“Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud: “Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang baik bagimu, dua, tiga atau empat orang. Tetapi jika kamu takut bahawa tidak akan berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja atau hamba sahaya yang demikian itu lebih dekat kepada tidak teraniaya.”

“Apa yang kita tidak mahu ialah jika ada yang mengambil kesempatan dengan kekurangan yang dimiliki namun mempunyai impian untuk mempraktikkan poligami. Dalam Islam kita ‘takut’ isteri kerana bimbang tidak dapat berlaku adil sesama mereka,” katanya.

Mohd Zawawi berkata dalam perkahwinan, malah poligami sekalipun matlamatnya bukan nafsu seks semata-mata kerana semua itu bersifat sementara.

“Nafsu manusia ini sebenarnya tidak pernah ‘kenyang’. Semua orang mesti ingat bahawa sebab utama poligami ialah untuk keadilan, ketaatan dan akidah.

“Ramai yang menyatakan tujuan mereka berpoligami adalah untuk mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah s.a.w sebenarnya berpoligami atas sebab syarak. Pokok pangkalnya, hanya akidah yang mampu menyelesaikan nafsu tidak terbatas,” katanya.

Beliau berkata suami boleh guna kaedah poligami atas sebab terdapat masalah kesihatan atau keturunan yang membabitkan pihak isteri.

“Wajib berpoligami jika bimbang suami akan terjerumus ke dalam kancah maksiat. Maka poligami menjadi penyelesai masalah terutama berkaitan kesihatan dan keturunan yang menjadikan kehidupan itu lebih harmonis,” katanya.

harian metro/-

Hiew: Ke mana pergi simpanan rizab Sabah?

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Penasihat DAP Sabah Dr Hiew King Cheu melahirkan rasa terkejutnya dengan jumlah simpanan rizab kerajaan negeri Sabah sebanyak RM3 bilion yang diumumkan baru-baru ini.

Pengumuman Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam salah satu mesyuarat kerajaan baru-baru ini bukan sahaja mengundang rasa terkejut Hiew (kiri), tetapi beliau juga hairan akan jumlah tersebut yang jauh kekurangan jika dibandingkan dengan kepelbagaian hasil sumber alam semulajadi dan sumber-sumber lain yang dimiliki Sabah.

“Ia amat menghairankan bila mengetahui hanya jumlah tersebut sahaja yang dapat dikumpul dalam tempoh 16 tahun, setelah BN mengambil alih pemerintahan negeri Sabah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1994,” kata Hiew.

Semasa kerajaan PBS yang diketuai oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memerintah sebagai pembangkang dahulu, mereka menghadapi kepayahan di dalam mentadbir kerajaan negeri kerana tidak mendapat bantuan kewangan daripada Kuala Lumpur, dan jumlah rizab negeri ketika itu juga adalah rendah.

Berlainan dengan sekarang, kerajaan persekutuan memberikan peruntukkan terhadap pembangunan di Sabah seperti membaik pulih dan menaik taraf infratruktur asas, hospital, elektrik, bekalan air, pendidikan, keselamatan dan pertahanan, perumahan, pertanian dan lain-lain, kata Hiew.

Selain itu terdapat juga peruntukkan dan subsidi yang banyak diberikan terhadap gula, beras, perikanan, minyak dan lain-lain.

Di sebalik semua peruntukan tersebut, kerajaan negeri pada masa yang sama turut memperolehi pendapatan hasil daripada minyak dan gas, kayu balak, kelapa sawit dan lain-lain yang mana keseluruhan pendapatan ini jika dijumlahkan, ia adalah tinggi.

“Ke mana perginya pendapatan ini dan di mana ia telah dibelanjakan? Kami layak diberikan jawapan dan perincian tentang bagaimana kerajaan negeri telah membelanjakan wang kami. Mengapa hanya tinggal sedikit sahaja wang dalam rizab simpanan?” soal Hiew yang juga ahli parlimen Kota Kinabalu.

Menurut Hiew lagi bahawa situasi kewangan tersebut tidak menggambarkan prestasi baik kerajaan BN Sabah di dalam memenuhi tanggungjawab mereka terhadap keperluan pembangunan ekonomi dan kemakmuran di Sabah.

“Itulah sebabnya kita telah jatuh daripada negeri yang terkaya kepada yang termiskin di Malaysia. Kita akan jatuh lebih jauh lagi sekiranya keadaan seperti sekarang ini berterusan,” kata Hiew dengan merujuk kepada Laporan Bank Dunia yang di siarkan baru-baru ini.

Mengenai jumlah sebenar hutang kerajaan negeri terhadap kerajaan persekutuan dan institusi kewangan luar negara, Hiew berkata ia adalah sesuatu yang menarik untuk diketahui rakyat.

“Adalah menarik untuk diketahui akan jumlah sebenar hutang kerajaan negeri terhadap kerajaan perseketuan dan institusi luar negara. Ia juga adalah baik bagi kita untuk mengetahui tentang kedudukan kewangan sebenar negeri ini.”

“Mungkin menteri kewangan (Musa Aman) boleh menerangkan kepada rakyat Sabah yang ingin tahu fakta kedudukan kewangan kita,” kata Hiew.

Beliau turut mendakwa bahawa kerajaan negeri Sabah sekarang ini telah gagal menghasikan pertumbuhan yang positif untuk ekonomi negeri.

Secara perbandingan, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang berjaya meningkatkan rizab simpanan negeri daripada RM0.6 bilion kepada RM1.2 bilion, sejak mengambil alih negeri itu hanya tiga tahun lalu.

“Ini adalah suatu pengurusan dan pencapaian kewangan yang baik, malahan apa yang baik lagi ialah mereka tidak mempunyai hutang terhadap pihak luar,” katanya.

Berdasarkan laporan yang diterima di Sabah, Hiew telah dimaklumkan bahawa ramai kontraktor belum menerima bayaran progres mereka sejak beberapa bulan yang lalu.

“Apakah sebenarnya berlaku disini? Adakah benar rizab simpanan semakin berkurangan? Ini adalah perkara serius yang mengganggu rakyat Sabah, dan kami mahukan jawapan,” kata Hiew sambil menambah situasi tersebut seolah-olah menggambarkan kedudukan kewangan negeri yang tidak baik.

tv news/-

Sebutan Semula Kes Bunuh Datuk R Anbalagan Ditetapkan 26 Ogos

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

KLANG 20 JULAI : Mahkamah Majistret Klang menetapkan tarikh sebutan baru bagi kes pembunuhan peguam Datuk R.Anbalagan pada 26 Ogos ini.

Majistret Azlinda Mohd Sharif menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim memandangkan laporan bedah siasat dan kimia R.Anbalagan masih belum siap.

Pada 17 Jun lalu, seorang warga India R.Narayanan, 24, dituduh membunuh R.Anbalagan yang juga majikannya dengan menetaknya menggunakan parang di Kuil Sri Ramalingeswarari, Lot 9221 Jalan Kebun Baru, Kampung Perepat di sini pada pukul 9.30 malam 13 Jun lalu.

Pada hari ini, peguambela tertuduh, Datuk V.Sithambaram meminta mahkamah merekodkan kecederaan pada tubuh tertuduh yang dikesan semasa beliau mewawancara Narayanan bersama seorang lagi peguambelanya S.Selvam.

Beliau berkata terdapat kesan luka dan sembilan jahitan pada tangan tertuduh.

Sithambaram berkata kecederaan itu patut disiasat dan tertuduh perlu dirujuk kepada seorang doktor kerana kes itu mungkin berkaitan dengan kes penyeludupan manusia.

Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan apabila seorang wanita warga emas menjerit-jerit ke arah tertuduh semasa warga India itu dibawa keluar dari mahkamah.

Wanita itu turut berkata sesuatu dengan nada keras sambil menggoyangkan-goyangkan jari telunjuknya kepada para wartawan dan jurugambar yang terpinga-pinga kerana tidak memahami percakapannya dalam bahasa Tamil.

Menurut seorang wartawan akhbar Tamil yang turut berada di situ, wanita itu adalah ibu kepada mendiang Anbalagan.

tv news/-

Sepasang kekasih tinggal bayi atas bonet

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

Polis tahan gadis, teman lelaki selepas lawat anak baru lahir di ladang kelapa sawit

KOTA TINGGI: Gara-gara panik, sepasang kekasih sanggup meninggalkan bayi baru dilahirkan teman wanitanya di atas bonet kereta seorang penduduk di FELDA Sungai Mas, di sini, 30 kilometer dari tempat bayi malang itu dilahirkan iaitu dalam sebuah ladang kelapa sawit.

Kejadian berlaku Khamis lalu apabila wanita berusia 20 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Pengerang ke Hospital Kota Tinggi untuk bersalin, merasai kesakitan mahu melahirkan anak pada jam 3 pagi.

Pasangan itu mengambil keputusan berhenti di lorong dekat ladang sawit FELDA Air Tawar 3 di sini, sebelum wanita terbabit melahirkan bayi lelaki dalam semak dengan berbidankan teman lelakinya berusia 25 tahun.

Panik dengan kejadian itu, mereka kemudian berpatah balik menghala ke Pengerang dan meninggalkan bayi yang dipenuhi darah serta bertali pusat itu atas bonet kereta penduduk di FELDA Sungai Mas.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata bayi terbabit ditemui lelaki ketika menghantar anaknya ke sekolah jam 7 pagi.

“Penemuan bayi itu menggemparkan penduduk di kawasan itu menyebabkan ibu bayi terbabit datang ke hospital untuk melihat bayinya sehari selepas itu. Ketika ditanya pengurusan hospital,

wanita terbabit mengaku meninggalkan bayi itu selepas dilahirkan dalam semak ladang sawit terbabit dan pemeriksaan turut mendapati dia memang baru melahirkan anak,” katanya.

Berikutan itu, wanita yang berasal dari FELDA Tunggal itu ditahan untuk siasatan lanjut. Polis turut menahan teman lelakinya dari Kampung Teluk Empang dekat Pengerang untuk membantu siasatan.

berita harian/-

Besaqnya Kaki Dia.

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

HANOI – Seorang pemuda Vietnam berusia 31 tahun, Nguyen Duy Hai merayu diberikan bantuan untuk membuang ketumbuhan seberat 80 kilogram (kg) di kaki kanannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketumbuhan itu sudah wujud sejak dia dilahirkan tetapi ketua jabatan pemeriksaan sebuah hospital tumor di Hanoi, Vu Van Thach berkata, ia dianggap yang paling besar pernah direkodkan di Vietnam. Menurut Thach, tumor itu bukan sejenis kanser dan ia mungkin mutasi genetik.

Walaupun kaki kanannya disah dipotong 14 tahun lalu, dia masih mempunyai ketumbuhan selebar satu meter itu. “Saya tidak boleh melakukan sebarang perbuatan. Saya hanya boleh duduk dan baring,” katanya di rumahnya di bandar Da Lat, Vietnam. Dia kini dijaga oleh ibunya yang berusia 61 tahun.

Pemuda itu merayu supaya dia diberikan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan kerana dirinya hidup dalam kemiskinan.

Agenda Bersih : Rakyat Di Kampung Tak Akan Ditipu Lagi

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 20 JULAI : Timbalan Presiden PAS yang dilanggar kenderaan polis sebelum menyertai Himpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu menyokong sepenuhnya agenda pembaharuan dalam sistem pilihan raya diperhebatkan di kawasan-kawasan luar bandar.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat Pakatan Rakyat itu tepat memandangkan golongan itu sering menjadi sasaran media milikan Umno-Barisan Nasional untuk disogokkan dengan berita palsu.

“Memang kita akan teruskan penerangan di kampung sebab orang Melayu di kampung yang mereka lihat hanyalah TV dan surat khabar Umno,"kata beliau kepada Tv Selangor.

Pemimpin Pakatan Rakyat semalam berikrar untuk meneruskan momentum perhimpunan Bersih 2.0 dan bersetuju agenda itu perlu di bawa ke kawasan luar bandar juga.

Penolohg Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching yang dipetik portal Malaysiakini memberitahu, perkara itu menjadi agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat itu semalam.

"Kami sedar impak Bersih hanya terhad di kawasan bandar dan hari ini dicadangkan kita menyebarkan dorongan itu ke luar bandar dan memberitahu rakyat mengenai Bersih,” kata beliau.

Diminta mengulas perkembangan terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menayangkan video untuk menyanggah dakwaan polis melakukan keganasan terhadap rakyat ketika himpunan itu kepada media dan melalui RTM minggu ini, Mat Sabu menyifatkan ia satu pembohongan besar kerajaan dan PDRM kepada rakyat.

“Kenapa lambat sangat? Itu mesti direka. Video yang keluar internet semua, keluar 10 minit, 15 minit selepas kejadian. Orang tak percayalah pada polis semua.

“Boleh kita tengok, lakonan macam video Memali lah. Dia guna RTM, dia guna alat kerajaanlah. Semua pembohongan itu, sebelum ditayangkan saya (boleh) katakan ia bohong,"kata beliu lagi.

Himpunan Bersih 2.0 bagi menuntut sistem pilihan rayayang adil dan bersih dilaksanakan di negara ini pada awal bulan lalu mendapat tentangan hebat polis dan
kerajaan.

Malah lensa-lensa kamera menjadi saksi bagaimana Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan tembakan gas pemedih mata secara langsung kepada peserta demontarasi dan ramai yang dikasari.

Dunia pada hari itu melihat 1,667 rakyat ditahan kerana berhimpun secara aman, puluhan mengalami kecederaan dan seorang meninggal dunia ketika cuba melarikan diri dari asakan polis.

tv selangor/-

Qariah Malaysia perdengar bacaan

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

SURAYA memperdengarkan bacaan pada hari keempat Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 di PWTC, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Enam qari dan dua qariah memperdengarkan bacaan pada hari keempat Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-53 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Qari terdiri daripada Amjad Saeed Muhammad Bashir dari Pakistan, Muhammad Yusuf (Indonesia), Muhammad Sadid Abdul Latif (Singapura), Muhammad Fauzi Idris (Kemboja), Mohammad Sadiq Rahimi (Afghanistan) dan Azizi Alili (Crotia).

Qariah pula ialah Suraya Abu Hassan dari Malaysia dan Marziah Rahimi dari Afghanistan. Seramai 81 qari dan qariah terbaik dari 50 negara menyertai tilawah kali ini yang berlangsung sehingga Sabtu ini. – BERNAMA

Chong Wei tekad rangkul gelaran dunia

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 20 Julai — Perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bertekad untuk merangkul kejuaraan pertama beliau dalam Kejohanan Dunia pada acara itu yang akan berlangsung di London dari 8 hingga 14 Ogos ini.

Chong Wei melihat peluangnya lebih cerah kali ini, berbanding tahun-tahun lepas, berikutan persiapan yang lebih sempurna malah beliau dan pemain negara yang lain berpeluang untuk berlatih di Bath, London dua minggu sebelum kejohanan.

"Saya juga berasa lebih yakin. Tahun ini saya telah menang semua kejohanan Siri Super kecuali Korea, jadi saya lihat tahun ini peluang itu lebih cerah.

"Latihan di Bath juga adalah bagus untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di sana lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian antara beliau dengan Kolej Universiti KDU di kampus utama kolej itu di sini hari ini. - Bernama

Tragedi pegawai muda TUDM

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

NGERI...keadaan kereta yang dinaiki Mohd Zulhelmi hancur selepas merempuh pembahagi jalan, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulhelmi
ARAU: Seorang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang baru tiga hari ditauliahkan sebagai Leftenan Muda di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (KTU) Kepala Batas, Alor Setar, Sabtu lalu, maut dalam satu kemalangan ngeri apabila kereta dipandunya terbelah dua di Kilometer 21, Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, berhampiran Kampung Katong di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa, Mohd Zulhelmi Mohd Yusof, 21, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Dalam kejadian itu, tiga rakan mangsa iaitu Muhammad Amir Mohamed Ariffin, 21; Melati Kamarudin, 20; dan Ku Shahida Ku Shali, 22, parah selepas patah kaki dan cedera di muka.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang berasal dari Teluk Intan, Perak, dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Kangar untuk menghantar Melati dan Ku Shahida.

Mohd Zulhelmi dan Muhammad Amir baru ditauliahkan sebagai pegawai TUDM, manakala dua rakan wanita itu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri itu.

“Mereka dipercayai baru selesai menghadiri majlis jamuan bagi meraikan pentauliahan itu di Sungai Petani, malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd Nadzri berkata, mangsa yang memandu kereta Perodua Viva itu dipercayai mengantuk sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, keadaan kereta mangsa hancur di sebelah kanan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kecederaan bahagian dalaman, manakala dua lagi rakannya patah kaki dan seorang lagi cedera di muka.

“Mangsa yang cedera parah akibat rempuhan kuat di sebelah kanan kereta itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HTF.

“Rakan mangsa juga dihantar ke HTF bagi mendapat rawatan susulan dan sehingga semalam keadaan ketiga-tiga mereka dilaporkan stabil,” katanya.

Menurut Nadzri, keluarga mangsa dan pihak TUDM sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan sebaik selesai urusan bedah siasat, jenazah mangsa dituntut pihak TUDM bagi urusan selanjutnya tengah hari semalam.

“Kereta pegawai tentera itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

my metro/-

Christchurch sebagai contoh negara berkebajikan

18 Syaaban 1432H. [MOD] -
Dr. Ubaidullah Mustaffa


Pengenalan

Saya dan keluarga tiba di New Zealand semasa musim luruh. Pada waktu itu cuaca tidak begitu sejuk lagi. Kerajaan New Zealand melalui agensi-agensi kebajikannya telah menemui saya di sebuah masjid di New Zealand untuk menghulur bantuan sebagai persiapan menghadapi musim sejuk.

Saya memberitahu mereka bahawa saya baru sahaja tiba dari Malaysia dan rumah saya kosong tanpa perabut, katil dan tiada peralatan dapur. Tiga hari kemudian badan kebajikan milik kerajaan New Zealand telah menghantar ke rumah saya satu set sofa ruang tamu, dua unit TV 24”, tiga unit pemanas rumah, empat katil dan tilam lengkap dengan cadar, bantal dan selimut, peti ais, micro-wave oven, pinggan mangkuk, sudu, pisau dan bermacam-macam lagi.

Tidak pun sampai seminggu rumah saya lengkap segala-galanya secara percuma pemberian kerajaan New Zealand. Mereka membantu manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Terkenang saya pada negara sendiri. Tidak pernah saya menerima bantuan dan layanan seperti itu walau pun di negara sendiri. Kerajaan kita banyak bercakap tentang konsep negara kebajikan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sama dengan konsep yang dicanangkan.

Elok juga kita mengkaji New Zealand sebagai salah satu model negara kebajikan terhadap rakyat. Oleh kerana New Zealand agak luas maka saya akan memilih bandaraya Christchurch sebagai contoh dalam perbincangan model negara kebajikan.

Christchurch

Christchurch adalah sebuah bandaraya terbesar di Pulau Selatan New Zealand dalam Daerah Canterbury. Jika dibandingkan dengan seluruh New Zealand Christchurch adalah bandaraya kedua paling ramai penghuni di New Zealand iaitu hampir 864 orang setiap kilometer persegi.

Perbualan saya dengan penduduk tempatan Christchurch mendapati kejadian gempa bumi bukan perkara biasa di sepanjang kehidupan mereka di Christchurch. Walau pun New Zealand berada dalam garisan lingkaran api bersama-sama dengan Indonesia dan Jepun tetapi Christchurch tidak pernah mengalami gempa bumi sehingga kejadian pertama gempa bumi pada bulan September 2010.

Bantuan kerajaan


Kerajaan New Zealand membantu secara konsisten setiap rakyat mereka yang ditimpa bencana gempa bumi. Mereka membina rumah-rumah di luar kawasan gempa bumi dan mempelawa rakyat mereka untuk menyewa dan terus membeli rumah-rumah tersebut dengan harga yang sangat berpatutan iaitu lebih rendah dari harga pasaran semasa.
Rancangan penempatan semula disusun dan dikawal dengan rapi. Tidak ada individu atau syarikat yang cuba mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan menangguk di air keruh. Harga rumah akan melambung tinggi sekiranya terdapat ahli politik atau kroni mereka yang mendapat kontrak untuk membina rumah-rumah penempatan semula gempa bumi.

Mari kita perhatikan apa yang telah berlaku di negara kita semasa bencana tsunami dan banjir dahulu. Bantuan lambat sampai dan proses bantuan tidak konsisten. Bantuan yang dihulurkan berbentuk jangka pendek sahaja dan tidak menyeluruh. Kerajaan Malaysia menganggap bencana alam negeri-negeri di bawah pimpinan pembangkang bukan tanggungjawab mereka.

Kerajaan New Zealand sanggup melupakan segala perbezaan politik apabila menghadapi bencana alam. Kerajaan New Zealand sangat sayang setiap rakyat mereka tanpa megira ugama atau bangsa. Kewujudan perasaan kasih sayang ini adalah perbezaan besar di antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan New Zealand di dalam merealisasikan sebuah negara kebajikan.

Apabila wujud perasaan kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan akan diterjemahkan dalam setiap tindakan yang dibuat oleh kerajaan. Tanpa kasih sayang terhadap rakyat maka negara kebajikan hanya wujud sebagai konsep sahaja. Kerajaan akan menindas rakyat secara sah dari segi perlembagaan dan perundangan seperti mana di buat oleh penjajah semasa zaman penjajahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita pada hari ini dijajah dan ditindas oleh rakyat negara kita sendiri yang telah dipilih melalui sistem pilihanraya. Setelah mereka diberi kuasa melalui pilihanraya mereka akan mula menjajah dan menindas rakyat yang telah memberi mereka kuasa. Sikap ini mungkin berlaku secara sedar atau tidak sedar atau kedua-duanya sekali. Maka perlu ada satu sistem check & balance supaya kerajaan yang dipilih tidak akan menjajah dan menindas rakyat mereka sendiri.

Pada 4 September 2010, Christchurch digegarkan oleh gempa bumi berukuran 7.1 iaitu hari Sabtu pukul 4.35 pagi waktu tempatan. Gempa bumi ini tidak menyebabkan kematian kerana pusat gempa adalah 40 km di luar bandaraya Christchurch, hanya kerosakan sistem paritan, paip air, jalanraya dan gangguan bekalan letrik sahaja.

Hospital Christchurch terpaksa menggunakan generator kerana bekalan letrik terputus pada waktu itu. Darurat dan perintah berkurung telah diistiharkan untuk menjaga keselamatan dan kerja-kerja pengosongan bangunan di sekitar bandaraya Christchurch. Lapangan terbang antarabangsa Christchurch ditutup sementara menanti pemeriksaan keselamatan jalan pendaratan dan perlepasan kapalterbang.

Dalam tempuh 48 jam selepas itu terdapat tiga lagi gempa bumi berukuran 5.2 berlaku di Christchurch. Mengikut pengalaman saya, gempa bumi 5.2 adalah cukup kuat untuk merasai seluruh rumah bergegar dan cukup kuat untuk mengejutkan saya sekeluarga dari tidur yang nyenyak.

Selalunya gempa bumi datang bersama-sama dengan bunyi yang kuat seperti bunyi keretapi kargo membawa muatan berat. Perbezaannya ialah bunyi gempa bumi amat menakutkan kerana bunyi itu dikaitkan dengan kebinasaan dan kematian. Jika gempa bumi lebih kuat berlaku kita akan terdengar bunyi letupan kuat seperti letupan bom berlaku serentak dengan gegaran bumi.

Gempa bumi yang berlaku beberapa saat mungkin tidak sempat meruntuhkan sebuah bangunan kuat, tetapi jika berlaku beberapa minit maka bahan binaan bangunan akan menjadi longgar dan runtuh. Kadang-kadang mentol lampu gugur dari siling ke lantai setelah beberapa hari gempa bumi berlaku.

Penduduk tempatan memberitahu saya, jika gempa bumi berlaku melebihi 10 saat, lebih baik mengajak ahli keluarga berlindung di bawah meja untuk mengelak dari ditimpa bahan binaan yang runtuh. Elok juga menyediakan lampu suluh selalu kerana jika bekalan letrik terputus, mangsa gempa bumi tidak tinggal dalam kegelapan. Saya tidak menyediakan lampu suluh kerana telefon bimbit saya memang mempunyai lampu suluh. Gempa bumi berukuran kecil selalu dapat dirasai di Christchurch.

Gempa kedua

Gempa bumi yang kedua berukuran 6.3 berlaku di Christchurch pada 22 Febuari 2011, jam 12.51 petang. Dari segi ukuran gempa bumi ini tidak sekuat gempa bumi pada bulan September 2010 iaitu 7.1 tetapi gempa bumi inilah yang banyak meragut nyawa serta memberi kerosakan yang teruk pada Christchurch.

Gempa bumi ini kena tepat pada pusat Bandar Christchurch dan sekaligus meranapkan pusat Bandar Christchurch yang menjadi pusat utama ekonomi dan pelancongan Christchurch. Yang tinggal hanyalah bandar-bandar kecil yang dahulunya menyokong bandaraya utama Christchurch seperti Riccarton, Tower Junction, Addington dan Bush Inn.

Gempa bumi ini kuat kerana pusat gempa bumi berlaku sangat dekat dengan bandaraya Christchurch iaitu di Lyttelton yang terletak hanya 10 km dari bandaraya Christchurch pada kedalaman hanya 5 km dalam perut bumi. Kesannya ialah gegaran yang sangat kuat sehingga menyebabkan bangunan runtuh menghempap dan menimbus manusia hidup-hidup.

Persatuan Islam


Persatuan Islam Canterbury yang berpusat di Masjid Annur menghulur bantuan tenaga dan wang ringgit untuk kerja-kerja menyelamat di tempat runtuhan. Kebetulan pula Masjid Annur terletak dalam kawasan pusat perdagangan utama Christchurch iaitu di Deans Avenue bersebelahan Hagley Park yang menjadi kebanggaan penduduk Christchurch.

Kalau penduduk di London berbangga dengan Hyde Park maka penduduk Christchurch sangat berbangga dengan Hagley Park. Kawasan Central Business District di Christchurch terletak dalam kawasan yang di kelilingi oleh Bealey Avenue, Fitzgerald Avenue, Moorhouse Avenue dan Deans Avenue.

Masjid Annur mempunyai tanah kosong lebih kurang setengah ekar yang dicadangkan untuk membangun bilik-bilik sewa untuk musafir Islam yang merantau ke Christchurch dan juga pusat pengajian Quran, Hadis dan Tahfiz. Setakat ini Masjid Annur sedang menanti sumbangan tempatan dan juga antarabangsa untuk membuat pembangunan tersebut.

Apa yang menarik dan istimewa ialah Masjid Annur memberi izin kepada mangsa gempa bumi untuk mendapat perlindungan di tanah kosong masjid dengan mendirikan khemah-khemah serta menyediakan makanan percuma pada mangsa. Harga makanan siap di Christchurch adalah agak mahal tetapi hasil sumbangan derma umat Islam Christchurch dan mereka masak sendiri untuk menjamu mangsa gempa bumi membuatkan kos makanan rendah serta ramai mangsa mendapat manfaat tanpa mengira ugama atau bangsa.

Namun begitu terdapat satu siaran TV swasta yang menyiarkan berita negatif tentang penganiayaan orang Arab Kristian di Mesir oleh orang Islam Arab Mesir. Terdapat juga pelekat kereta yang berbunyi PRAY FOR OUR CHRISTIAN BROTHERS IN EGYPT, yang menghasut orang ramai dengan menggunakan sentiment ugama.

Boleh dikatakan masyarakat New Zealand tidak gemar bermain sentimen ugama atau bangsa kerana kedua-dua sentimen ini boleh mencetus huru-hara dan pergaduhan. Kesannya ialah semua pihak akan rugi.

Tiada anjing liar

Saya dan keluarga dapat beriadah di Hagley Park tanpa perlu takut dikejar oleh anjing liar. Saya juga dapat berjalan kaki ke Masjid Annur awal pagi untuk berjemaah subuh tanpa perlu bimbang diserang hendap oleh kumpulan anjing liar. Apa yang saya perhatikan ialah Christchurch sangat menjaga keselamatan bandaraya Christchurch dari gangguan bahaya anjing liar. Tidak ada anjing liar walau pun seekor.

Keistimewaan bandaraya Christchurch ini tidak dapat kita nikmati di Malaysia. Walau pun mengalami bencana gempa bumi yang kuat tetapi masalah anjing liar masih dapat dibasmi terus.

Masalah anjing liar perlu dibasmikan kerana anjing liar adalah punca kepada penyakit anjing gila dan juga serangan merbahaya kepada manusia terutamanya kepada kanak-kanak. Boleh dikatakan hampir setiap taman perumahan di negara kita mempunyai masalah anjing liar yang tidak dibasmikan. Masalah anjing liar tidak boleh dikawal lagi tetapi perlu dibasmikan demi keselamatan awam. Kejayaan bandaraya Christchurch membasmi masalah anjing liar perlu dicontohi oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara kita.

Kakitangan PBT yang terlibat dalam pembasmian anjing liar perlu dibawa ke bandaraya Christchurch untuk melihat sendiri dan merasai sendiri betapa aman dan damainya keadaan tanpa anjing liar berkeliaran. Barangkali selepas merasai sendiri betapa selamatnya suasana kehidupan tanpa bahaya anjing liar akan timbul sifat kesungguhan untuk membasmi anjing liar di kawasan PBT masing-masing.

Makanan murah

Walau pun harga makanan siap di Christchurch adalah mahal tetapi harga bahan mentah makanan masih murah jika dibandingkan dengan negara kita. Harga daging lembu dan kambing segar lagi berkualiti masih rendah dari harga di Malaysia. Segala jenis sayuran di Christchurch adalah segar dari ladang dan yang istimewanya ialah harga segala jenis sayuran adalah jauh lebih murah dari Malaysia. Bagaimanakah Christchurch dapat mengeluarkan bahan makanan yang murah berbanding dengan negara kita?

Jawapannya terletak kepada cara Christchurch mengeluarkan hasil pertanian. Christchurch tidak mengamalkan sistem feedlot untuk pengeluaran daging lembu dan daging kambing tetapi menggunakan sistem pertanian pastoral yang canggih.

Sistem feedlot yang menjadi pilihan kepada cara pengeluaran hasil ternak di Malaysia sebenarnya mempunyai kos yang tinggi berbanding dengan system pertanian pastoral. Sistem pastoral memberi makanan yang lebih asli, segar dan sihat kepada ternakan berbanding dengan makanan dalam sistem feedlot.

Masalah kekurangan keluasan tanah boleh diimbangi dengan menggunakan pastoral bermutu tinggi serta pengurusan pastoral yang berkesan. Penyelidikan pertanian yang telah saya lakukan di beberapa ladang dalam daerah Canterbury menggunakan kaedah yang sama dalam teknik pengeluaran hasil ternakan. Yang penting di sini ialah input pertanian mesti rendah supaya output yang dihasilkan tidak terhakis oleh input yang tinggi.

Selepas membuat beberapa penyelidikan pertanian di Christchurch saya dapati cara pengeluaran hasil ternakan di Malaysia perlu direvolusikan iaitu menukar dari cara feedlot kepada pastoral.

Infrastruktur feedlot yang sedia ada tidak perlu dirobohkan kerana masih boleh digunakan
walau pun kita menggunakan sistem pastoral. Saya sempat menimba ilmu dari petani Christchurch tentang cara-cara menyediakan tanaman pastoral dan pemilihan benih untuk pastoral yang bermutu tinggi. Mereka juga telah mencurahkan ilmu mereka kepada saya tentang pengurusan pastoral secara saintifik demi menghasilkan livestock yang bermutu tinggi dan kos pengeluarannya pula adalah murah.

Pertanian adalah punca ekonomi utama Christchurch dan juga seluruh New Zealand. Negara New Zealand maju dalam industri Agribusiness tanpa perlu slogan yang bukan-bukan oleh pihak kerajaan New Zealand. Industri agribusiness di Malaysia perlu kepada sebuah revolusi berasaskan ilmu yang digabungkan dengan keperluan amali serta tuntutan pasaran semasa.

Jika tidak harga bahan makanan akan terus meningkat seperti yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Apabila harga bahan makanan meningkat maka kerajaan sepatutnya mengkaji semula di mana salah silap serta membuat pembetulan dalam dasar pertanian negara. Jika sesat kembali ke pangkal jalan.

Musim sejuk


Christchurch terletak di hemisphera selatan bumi. Ini bermakna setiap tahun bulan Jun, Christchurch akan mengalami musim sejuk manakala negara-negara Eropah di hemisphera utara bumi sedang mengalami musim panas. Apabila musim sejuk tiba Masjid Annur akan menerima sumbangan baju sejuk dari orang ramai yang memerlukan baju sejuk percuma.

Segala jenis pakaian musim sejuk akan diletakkan dalam kotak tepi pintu keluar masjid. Sesiapa yang memerlukan pakaian boleh memilih untuk keperluan masing-masing. Selain dari pakaian terdapat juga umat Islam yang menyumbang buah tamar dan buah anggur untuk para Jemaah masjid.

Waktu subuh masuk pukul 6.15 pagi tetapi para Jemaah subuh menunaikan solat subuh jam 7.00 pagi. Masjid Annur penuh dengan para Jemaah subuh walau pun cuaca sangat sejuk dalam kegelapan pagi musim sejuk di Christchurch. Terdapat ramai pelajar Malaysia yang sedang mengikuti kursus perubatan ikut serta menjadi Jemaah sembahyang subuh di Masjid Annur. Selain dari itu terdapat juga ahli Jemaah subuh dari Somalia, Mesir, Afrika dan juga Singapura.

Harga kereta murah


Satu lagi perkara yang menarik di New Zealand ialah harga kereta yang sangat murah berbanding dengan negara kita Malaysia. Harga kereta akan menjadi mahal apabila kerajaan gagal mengawal harga kereta dalam pasaran. Kereta merupakan keperluan rakyat dan bukan barang mewah. Setiap rakyat memerlukan kenderaan untuk bergerak.

Kerajaan New Zealand menyedari hakikat ini lantas mengawal harga kenderaan supaya semua rakyatnya mampu membeli kenderaan. Kesannya ialah rakyat New Zealand jarang-jarang menjadi penghutang bank untuk membeli kereta kerana mereka mampu membeli kereta secara tunai.

Ramai pelajar Malaysia di New Zealand telah membeli kereta secara tunai. Mereka dapat pergi belajar di Universiti dengan selesa serta mengatur jadual waktu pengajian dengan lebih berkesan. Malangnya, apabila mereka kembali ke Malaysia kelak mereka pasti akan terjebak dengan masalah harga kereta yang mahal di Malaysia serta terpaksa berhutang dengan institusi kewangan untuk membeli kereta. Mereka akan dibebani hutang membeli kereta selama 5 tahun hingga 7 tahun. Jelas sekali negara kita Malaysia di bawah pimpinan kerajaan BN gagal untuk menangani isu harga kereta yang melambung tinggi.

Kerajaan sedia ditegur

Satu lagi perbezaan yang ketara ialah kerajaan New Zealand bersedia menerima teguran dari rakyat. Mereka amat mengalu-alukan teguran dan pendapat rakyat. Kerajaan New Zealand tidak pernah ugut rakyat mereka untuk ditahan polis atau dikenakan tindakan undang-undang.

Kerajaan New Zealand tidak menggunakan instrument kerajaan untuk membalas dendam terhadap rakyat atau mengajar rakyat. Demonstrasi jalanan berlaku juga di Auckland dan Christchurch tetapi kerajaan New Zealand melayan petunjuk perasaan dengan baik. Tidak ada petunjuk perasaan ditembak gas pemedih mata atau water cannon.

Tidak ada peperangan antara kerajaan dengan rakyat. Kerajaan New Zealand sangat menghormati perasaan seluruh rakyat mereka. Alangkah baiknya jika kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencontohi sikap murni ini. Sikap murni ini dapat menjalin kasih sayang antara kerajaan dengan rakyat dan bukan permusuhan atau dendam kesumat. Perlu diingat bahawa anggota kerajaan juga adalah rakyat dan rakyat yang memilih mereka menjadi anggota kerajaan. Perhubungan antara kerajaan dan rakyat perlu berasaskan kasih sayang dan bukan perundangan semata-mata.

Kesimpulan


Christchurch adalah sebuah bandaraya yang agak malang kerana dilanda bencana gempa bumi. Walau pun begitu rakyatnya cepat bangun dari runtuhan gempa bumi untuk meneruskan kehidupan. Sekarang ini Majlis Bandaraya Christchurch sedang mengedarkan risalah pada semua penduduk Christchurch meminta pandangan dan maklumbalas terhadap pembinaan bandaraya baru Christchurch. Mereka meminta pandangan dari rakyat mereka untuk mengetahui apa yang rakyat mahu ada dalam bandaraya baru yang bakal dibina tidak lama lagi.

Mereka menghadapi bencana dalam kata sepakat dan kerjasama yang sangat indah untuk bangun semula membina kehidupan baru. Mereka faham bahawa dalam runtuhan gempa bumi itu ada rahmat dan peluang yang sedang menanti mereka. Rahmat dan peluang akan datang ke Christchurch bagi mereka yang sabar dan bijak membina peluang selepas runtuhan gempa bumi.

Kerajaan New Zealand melibatkan rakyat dalam proses pembangunan negara dan mereka tidak memaksa rakyat menerima pembangunan ciptaan kerajaan semata-mata. Penglibatan rakyat diperlukan kerana rakyat adalah pelanggan utama kerajaan. Penglibatan rakyat secara menyeluruh sebenarnya adalah salah satu resipi utama di dalam mewujudkan sebuah negara kebajikan.

Semasa Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri dahulu beliau melibatkan rakyat semasa melancarkan projek Proton Saga sebagai kereta buatan Malaysia walau pun semua rakyat Malaysia tahu bahawa kereta buatan Malaysia hanya gimik pada nama sahaja. Rakyat Malaysia sangat gembira melibatkan diri dengan pertandingan memberi nama pada kereta tersebut.

Setelah itu Dr. Mahathir membina Putrajaya tanpa penglibatan rakyat. Maka berlaku penolakkan oleh rakyat sebagai projek membazir dengan tuduhan untuk kenyangkan para krooni dan ahli-ahli politik yang menyokong kerajaan. Tuduhan tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar tetapi kebarangkalian tetap wujud dalam mana-mana projek pembangunan. Lebih-lebih lagi rakyat melihat ahli-ahli politik penyokong kerajaan menjadi kaya raya dalam sekelip mata.

Hampir semua kerajaan di dunia ini akan mencanangkan konsep negara kebajikan sebagai modal kempen politik untuk menang pilihanraya tetapi rakyat akan menilai siapa yang mempunyai kasih sayang dan keikhlasan jiwa untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

Rakyat akan menilai sejauh manakah kerajaan Malaysia yang memimpin negara sekarang benar-benar jujur dalam pelaksanaan negara kebajikan. Rakyat sudah muak mendengar janji manis dan mahu melihat perubahan yang relevan ke arah pembinaan negara kebajikan demi faedah rakyat bersama.

PENULIS


Penulis kini tinggal di Christchurch, New Zealand. Beliau boleh dihubungi melalui email ubaidi_script@yahoo.com.my.

Perjalanan terakhir Dr Lo' Lo'

18 Syaaban 1432H. [MOD] -

"IBU berpesan kepada kami adik-beradik, jangan sesekali dia dilupakan selepas ibu kembali ke rahmatullah.

"Ibu suruh ingat dia, kenang dia, terlalu banyak saat-saat bahagia kami bersama ibu, namun sekarang semua sudah tiada," kata Fawwaz, anak kedua Allahyarhamah Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali, Ahli Parlimen Titiwangsa yang meninggalkan kita semua 10.13 malam 17 Julai 2011, selepas bertarung dengan penyakit kanser paru-paru selama dua tahun.

Dr Lo'Lo' pergi menghadap Allah Rabbul Jalil, meninggalkan suami Dr Aminuddin Hamid Karim dan empat anak. Dua lelaki dua perempuan.

Anak sulung, Mawaddah, 30, Fawwaz, 28, Sakinah, 26 dan yang bongsu Farhan, 25.

"Semalam ayah agak terkesan selepas ibu pergi, tetapi alhamdulillah, pagi ini sudah boleh terima," Fawwaz meneruskan ceritanya kepada penulis sewaktu bertemu dengannya di Masjid al-Akram, Kampung Datuk Keramat.

Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Di sebalik kesedihan, Fawwaz meneruskan ceritanya. Sesekali beliau mengetab bibir. kelihatan air mata bergenang di kelopak mata, namun beliau cuba menahan kesedihan.

Menurutnya, sebagai ibu, Dr Lo'Lo' banyak berhabis untuk anak-anak. Habis semua wang gajinya digunakan untuk membentuk keperibadian anak-anak supaya menjadi seorang yang unggul dari sudut akhlak dan peribadi.

"Hidup kami padat dengan tarbiyah, belajar, kem motivasi dan sebagainya," katanya sambil tersenyum terkenangkan kisah silam sewaktu di bangku sekolah.

Namun semua kebahagian itu sudah tiada. Ibunya pergi selepas terlantar di Hospital Selayang selama dua minggu.

"Kali terakhir kami bercakap dengan ibu pada Khamis lepas (14 Julai), selepas itu ibu tidak sedarkan diri," kata Fawwaz.

Sebelum dirujuk ke Hospital Selayang, Dr Lo'Lo' dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selama 10 hari. Kemudian dibawa pulang beberapa hari ke rumah.

Namun menurut Fawwaz, keadaan ibunya tidak berapa stabil sewaktu berada di rumah.

"Ibu kelihatan terlalu sakit, lalu kami bawa ke Hospital Selayang kerana beliau perlu diberikan sedatif (untuk mengurangkan kesakitan," katanya.

Katanya, Dr Lo'Lo' dikesan mengalami kanser sejak 2009.

"Pada waktu itu, mula-mula ibu batuk berdarah, kami sangkakan beliau jadi begitu kerana terlalu kuat bekerja. Ibu tidak pernah rehat sejak dipilih menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa.

"Namun selepas dibawa menjalani pemeriksaan, beliau disahkan mengidap kanser paru-paru pada stage tiga," ceritanya.

Selepas disahkan mengalami kanser, lalu dibuat pembedahan segera membuang kanser tersebut.

"Selepas itu ibu menjalani kimoterapi, saya dapat rasakan ibu begitu sakit ketika menjalani kimoterapi. Kemudian kami dimaklumkan oleh para doktor bahawa, selepas menjalani beberapa ujian, ibu sudah bebas daripada kanser.

"Kami berasa lega dan ibu terus kembali aktif dalam kerja-kerja politik. Namun kegembiraan kami tidak lama. Keadaan ibu kembali tidak stabil pada penghujung 2010. Selepas dibuat pemeriksaan, kami dimaklumkan bahawa kanser sudah merebak," ujarnya sugul.

Namun, Dr Lo'Lo' tidak pernah mengenal penat lelah. Beliau tetap mahu menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen, mahupun keadaan fizikal sudah tidak mengizinkan.

Dr Lo'Lo' terpaksa berehat di rumah. Beliau terus bertarung dengan kanser. Namun bukan simpati yang ditagihnya daripada rakan taulan, sahabat handai dan anggota keluarga yang datang mengunjung.

Dr Lo'Lo' menyedari hayatnya tidak lama. Namun beliau tidak mahu dirundung dengan kesedihan dan ketakutan.

"Pada sesiapa sahaja yang datang, terutamanya pada pemimpin PAS, ibu akan terus beri nasihat dan bercakap mengenai masa depan Islam dan politik.

"Saya masih ingat, ibu selalu pesan kepada mereka supaya jaga anak-anak muda, dekati anak-anak muda, banyak turun padang mendekati pengundi. Beliau paling risau anak-anak muda sekarang tidak solat dan terbabit dalam gejala sosial," kata Fawwaz.

Tidak hairanlah sebaik sahaja berita Dr Lo'Lo' kembali kerahmatullah berbondong-bondong umat datang mengunjungi Allahyarhamah di Masjid al-Akram.

Ramainya umat yang menunaikan solat jenazah, menyamai umat Islam yang menunaikan solat Jumaat.

Dr Lo'Lo' adalah sebutir permata, srikandi muslimah yang gigih dalam memperjuangkan cita-cita Islam menerusi PAS. Beliau begitu istiqamah sehingga ke akhir hayat.

Moga rohnya aman di alam barzakh. Moga beliau ditempatkan bersama pada syuhada dan solihin. Al-Fatihah.

Mohd Rashidi Hassan