13 July 2011

BERSIH 2.0: Pelajar saksi warga tua dihenyak polis

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

Seorang pelajar berkata beliau melihat seorang warga emas terjatuh dan dihenyak oleh polis ketika sepasukan lebih 100 orang anggota berkenaan menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 berhampiran menara KLCC pada Sabtu lalu.

Pelajar berkenaan berkata, warga emas berkenaan mungkin merupakan individu yang meninggal dunia selepas dibawa ke hospital selepas terjatuh semasa perhimpunan itu berlaku.

"Saya rasa itulah pakcik yang meninggal itu. Saya nampak dia jatuh, kemudian saya nampak polis tengah hurung dia, tapi itu saya tak sempat rakam sebab saya tengah lari.

"Saya tak pasti tapi saya rasa dialah. Orang itu memang kena lanyak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ketika ditanya, pelajar itu berkata beliau tidak melihat sekiranya polis telah menendang lelaki terbabit, "tapi saya rasa polis henyak dia. Tak mahu bagi dia bergerak."

Individu berkenaan, Allahyarham Baharudin Ahmad menjadi perhatian apabila ia dikaitkan dengan dakwaan keganasan yang dilakukan polis ketika menyuraikan kumpulan yang berhimpun di sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Polis setakat ini menyatakan bahawa Allahyarham Baharudin meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun sebab sebenar kematian lelaki berkenaan masih menimbulkan tanda tanya.

Dalam kejadian pada petang itu, saksi mata tersebut berkata, beliau melihat kedua-dua tangan warga emas itu dipegang oleh anggota polis yang turut menghenyak lelaki tua berkenaan ke permukaan jalan.

"(Warga tua itu) dah jatuh, kemudian polis hurung dia. Saya nampak macam mereka henyak dia, saya nampak macam guna kaki. Yang saya nampak polis ada lima orang polis yang hurung," katanya lagi.

Pelajar berkenan juga berkata, beliau tidak melihat sama ada mangsa berkenaan berjaya melarikan diri ke bangunan Avenue K yang terletak kira-kira 200 meter daripada persimpangan berkenaan, seperti dilaporkan sebelum ini.

Ketika ditanya, beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada polis telah melepaskan gas pemedih mata sebelum menyerbu ke arah kumpulan yang berhimpun itu.

"Gas (pemedih mata) saya tak perasan sebab saya dah lari," kata pelajar berusia 19 tahun itu lagi yang menambah, kejadian berkenaan berlaku selepas polis berkenaan menggempur sekumpulan lebih 1,000 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan.

Kumpulan berkenaan berhimpun di tengah-tengah persimpangan Jalan Ampang – Jalan Yap Kwan Seng – Jalan P Ramlee.

Selain warga emas tersebut, beliau turut melihat beberapa orang lagi turut terjatuh selepas sekumpulan anggota polis berpakaian seragam menyerbu kumpulan yang menyertai perhimpunan tersebut.

Kumpulan polis berpakaian seragam itu mara dari barisan belakang sekumpulan anggota FRU yang membentuk halangan di Jalan P Ramlee, berhampiran persimpangan berkenaan.
Pada masa itu juga, sepasukan polis dan FRU membentuk halangan di hadapan SJKC Lai Meng, di bahagian barat Jalan Ampang.

Difahamkan, polis pada masa itu bertindak untuk menyuraikan kumpulan berkenaan – yang bergerak daripada kawasan Kampung Baru – ke arah timur Jalan Ampang dan juga Jalan Yap Kwan Seng.

malaysiakini/-

Ambiga : Rakyat Bangkit Kepada Respon Kuku Besi Kerajaan

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 13 JULAI : Datuk Ambiga Sreenevasan berkata respons kuku besi pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak adalah faktor penentu yang menyumbang kepada sokongan luar biasa luar biasa terhadap perhimpunan aman Bersih di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Dalam wawancara dengan akhbar antarabangsa Wall Street Journal, Ambiga berkata Bersih tidak akan mempolehi sokongan sedemikian jika kerajaan membenarkan perhimpunan aman itu diadakan dan tidak mengecamnya secara keterlaluan.

“Ramai orang mual dengan tindakan kerajaan yang bertindak sebagai “buli”. Saya kira itulah punca kita mendapat begitu ramai peserta dan meraih rentak sebegitu terhadap Bersih,” kata Ambiga.

Puluhan ribu orang daripada pelbagai bangsa menongkah arus tembakan gas pemdihan mata. air berkimia dan tangkapan rawak oleh polis untuk turun ke Kuala Lumpur bagi perhimpunan itu.

Najib, menteri-menterinya dan polis menyifatkan perhimpunan anjuran 62 badan bukan kerajaan sebagai cubaan untuk menggulingkan kerajaan dan usaha untuk menghidupkan semula fahaman komunis.

Kementerian Dalam Negeri mengishyitiarkan Bersih sebagai pertubuhan haram walaupun tujuannya hanya untuk menuntut pilihanraya yang adil dan telus.

Dalam wawancara itu, Ambiga menafikan segala tuduhan kerajaan itu dan berkata Bersih tidak pernah sasar daripada matlamatnya menuntut pilihanraya yang adil dan bersih.

Ini termasuk menuntut pembersihan senarai pengundi daripada pengundi hantu, undi pos yang lebih telus, tempoh kempen minima 21 hari, dan penggunana dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian bertindih.

“Bagi saya, Bersih tidak pernah berjuang sebegitu (untuk menjatuhkan kerajaan). Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan semasa dan membaiki sistem pilihanraya kami,” Ambiga memberitahu WSJ.

Ambiga membidas kerajaan di atas tindakan polis dalam keghairahan untuk menyuraikan lautan manusia yang cuba berjalan daripada pusat bandar untuk berhimpun secara aman di Stadium Merdeka.

Sorang maut ketika dikatakan cuba menyelamatkan diri daripada asakan polis. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad adalah antara mangsa yang mengalami kecederaan.

Polis juga didakwa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan air berkimia kea rah hospital Tung Shin untuk meyuraikan orang ramai.

Ambiga berkata Putrajaya gagal menghayati mesej daripada rakyat.

“Mereka (kerajaan) menyerang kerajaan Bersih lagi Isnin lalu. Yang diserang ini adalah rakyat dan pengundi anda,’ kata beliau.

malaysiakini/-

Kenyataan pengerusi jadikan SPR tambah buruk

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) mengingatkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof agar jangan terlalu angkuh.

Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Aziz yang berkata pihak SPR tidak akan tunduk pada mana-mana pihak berhubung tuntutan 8 perkara yang di kemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai lalu.

Katanya, kenyataan tersebut hanya akan menambah lagi pandangan buruk pelbagai pihak berhubung pengendalian SPR yang ada sekarang untuk memastikan pilihan raya umum akan datang dapat berlangsung dengan adil dan bersih.

Menurutnya, jawapan SPR bagi lapan tuntutan Bersih yang lalu, SPR hanya menyatakan masih ada ruang untuk parti pembangkang untuk menghebahkan manifesto melalui akhbar masing-masing tetapi tidak menyentuh soal media rasmi seperti RTM dan Berita Nasional Malaysia( Bernama) yang jelas terbukti tidak memberi liputan yang adil antara kedua-dua pihak yang bertanding.

“Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam tuntutan mereka menyebut semua media rasmi perlu memberi liputan yang seimbang kepada semua parti politik.

“Saya kira soal liputan yang seimbang akan terjawab dan selasai jika Radio Televisyen Malaysia (RTM) boleh memberi peluang kepada setiap Parti walaupun jangka masa yang singkat sekitar 15 minit untuk menerangkan manifesto masing-masing pada pilihan raya umum yang akan datang,” ujarnya.

Mohd Yusof juga menyanggah kenyataan Ahli Dewan Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Abu Bakar Yahya yang berkata golongan muda yang menyertai himpunan Bersih yang lalu dipengaruhi dan dipergunakan kumpulan tertentu.

“Ini zaman anak muda, golongan muda tidak mungkin mudah di pergunakan. Zaman sekarang sudah ada arus media baru yang semua pihak boleh mendapat maklumat dengan pantas dan boleh menilai yang mana betul dan yang mana menipu,” katanya.

Tambahnya, tidak timbul soal golongan muda ramai menyertai himpunan Bersih 2.0 kerana dijanjikan bayaran wang ringgit seperti kenyataan Abu Bakar.

harakahdaily/-

170,000 di Facebook desak Najib berundur

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

Petisyen Facebook bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan telah mendapat sokongan daripada 170,000 orang.

Laman "100,000 People Request Najib Razak Resignation" (100,000 rakyat tuntut Najib Razak berundur) ditubuhkan Sabtu lalu, iaitu hari yang sama polis menangkap lebih 1,600 orang yang terbabit dalam perhimpunan bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.

Menurut laporan AFP, laman itu berjaya menarik sekitar 300 orang setiap minit yang menekan butang like (suka) dengan sasaran mendapatkan 100,000 penyokong tercapai pada Isnin lalu.

Jumlah itu dikatakan terus meningkat dan mencapai 172,868 "likes" pada pagi ini.

Pada perhimpunan aman empat hari lalu, rakyat yang berhimpun secara aman terpaksa menongkah serangan gas pemedih mata dan menahan dipancut air berkimia daripada meriam air polis.

Ramai yang mendakwa diri mereka dikasari.

"Saya tidak faham mengapa polis perlu memukul dan melepaskan gas pemedih mata,” kata seorang penyokong BERSIH 2.0 Sofie Muhammad di laman itu.

"Orang ramai langsung tidak membaling batu ke arah kedai. Mengapa kerajaan takut? Kami hanya mahu pilihan raya yang bebas.”

Tidak kurang juga yang menyalahkan Najib atas tindakan polis itu.

"Najib mula hilang pengaruh. Beliau tidak memahami keperitan terkena gas pemedih mata dan kesakitan akibat air berkimia ataupun ketika ditendang dan dipukul pleh polis,” kata Longyao Phang dalam tulisannya di blog itu.

malaysiakini/-

Bersih : Pemuda PAS mahu KDN dan polis minta maaf

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS mendakwa pihak polis telah melanggar empat hak asasi manusia ketika perhimpunan Bersih 2.0 serta mahu Kementerian Dalam Menteri meminta maaf secara terbuka atas apa yang telah berlaku. Ketuanya, Nasrudin Hasan meminta KDN dan polis meminta maaf dengan segera secara rasmi kerana bertindak ganas dan menggunakan kekerasan untuk menghalang perhimpunan terbabit.

Beliau menegaskan pihaknya mempunyai bukti rakaman bahawa polis telah bertindak ganas dan menggunakan kekerasan dan ianya boleh digunakan sebagai bukti yang jelas.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu perkara tersebut selesai dengan hanya meminta maaf dan akan membawa masalah ini untuk tindakan undang – undang.

Beliau berkata, apa yang dilakukan oleh polis adalah sesuatu yang bertentangan dengan hak asasi manusia kerana tugas mereka adalah menjadi pengawal keselamatan dan bukannya penggugat keselamatan.

Beliau mendakawa empat perkara yang melanggar hak asasi manusia ialah ialah tahap keganasan tidak munasabah, peguam dihalang akses kepada peserta perhimpunan ditahan, soal kebebasan beragama dan usaha menghalang perhimpunan aman yang dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

MALAYSIA TODAY/-

Anwar: Kehadiran orang muda petanda baik

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

Kehadiran peserta perhimpunan BERSIH 2.0 yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk golongan muda yang menyokong tuntutan pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini petanda baik berhubung kesedaran politik.

Menurut Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kehadiran golongan muda itu juga membuktikan kesedaran mengenai hak mereka.

"Ya, ribuan daripada generasi muda hari ini hadir dan mereka bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu tetapi juga kaum Cina dan India pada perhimpunan itu.

"Ini petanda baik untuk politik Malaysia. Saya berharap ini akan mendorong mereka untuk mendaftar sebagai pengundi dan ini amat baik,” katanya.

Anwar, yang memakai pemaut leher atas nasihat doktor selepas terjatuh diKL Sentral Sabtu lalu, diminta mengulas kehadiran ribuan peserta demonstrasi daripada golongan muda yang terdiri daripada pelbagai bangsa di ibu negara itu.

malaysiakni/-

IPU Tidak Sihat Di Kawasan Jalan Tasek, Ipoh, Perak

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kawasan Jalan Tasek, Ipoh, Perak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan IPU 136 sehingga jam 11 pagi Rabu.

Selain itu, sebanyak 31 kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana sehingga jam 11 pagi tadi berbanding 33 kawasan pada pukul 7 pagi tadi.

Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh di Perak, Seri Manjung dan Kuala Selangor antara kawasan yang mencatat IPU sederhana masing-masing 99, 94 dan 84, selain Balok Baru, Kuantan (74), Pelabuhan Klang (72) dan Petaling Jaya (67).

Rekod itu dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar dalam laman webnya untuk bacaan sehingga pukul 11 pagi.

Pulau Pinang yang dilanda jerebu minggu lepas, dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia, mencatatkan bacaan sederhana iaitu 59 di Seberang Jaya 2 dan 53 di Perai, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) mencapai kualiti udara baik (44).

Selain USM, 17 kawasan lagi turut mencapai kualiti udara baik iaitu Sri Aman dan Langkawi (27), Alor Setar (30), Larkin Lama (31), Tawau (32), Sandakan (35), Muar (37), Bandaraya Melaka dan Kangar (38), Pasir Gudang (39), ILP Miri (40), Keningau dan Kota Kinabalu (41), Kota Tinggi (43), Limbang (44), Miri (46) dan Kapit (50).

Bacaan IPU antara 0-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). - BERNAMA

PAS sifatkan pengerusi SPR angkuh

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bahawa suruhanjaya itu tidak akan tunduk kepada mana-mana desakan bagi menambahbaik sistem pilihan raya negara ini disifatkan angkuh dan tidak rasional.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata ia bukan sahaja menunjukkan bahawa SPR tidak bebas malah mengesahkan mereka bertindak demi kepentingan parti politik tertentu.

"Belum apa-apa dia kata tak nak tunduk desakan, ini satu kenyataan angkuh dan tidak rasional.

"Tuntutan yang dibuat bukan tak asas, malah kita kemukakan beberapa bukti manipulasi yang sudah berlaku," katanya.

Abdul Aziz dalam kenyataannya semalam berkata beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak termasuk 8 tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang berhimpun 9 Julai lalu.

Katanya, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pun tidak boleh memaksanya untuk melakukan reformasi pilihan raya.

Mengulas lanjut, Suhaizan yang juga ketua dewan pemuda PAS Johor berkata, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sendiri sebelum ini mengakui sistem pilihan raya yang sudah lama dipakai sekarang ini perlu kepada penambahbaikan.

"Kita pun bukan suruh dia terima bulat-bulat, kaji la dulu pandangan dari rakyat.

"Sekurang-kurangnya bagitahu la akan tubuh jawatankuasa untuk mengkaji tuntutan Bersih tu ke. Ini tidak, terus kata tak boleh paksa saya," tegasnya lagi.

Bersih dalam tuntutan mereka mahu SPR membersihkan senarai daftar pemilih, mereformasi undi pos, menggunakan dakwat kekal, dan memanjangkan tempoh berkempin kepada 21 hari.

Dalam tuntutan itu juga mereka mahu SPR memastikan akses media yang bebas dan adil kepada semua parti yang bertanding, memperkukuh institusi awam agar tidak diperguna untuk kepentingan mana-mana parti politik, memantau rasuah politik sewaktu berkempen dan menghentikan politik kotor dalam pilihyan raya.

harakahdaily/-


Pemuda P Pinang sedia sertai lagi himpunan Bersih

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

PERMATANG PAUH, 13 Julai: Walaupun seramai 117 Pemuda PAS Pulau Pinang yang telah ditahan oleh pihak polis dalam himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai yang lalu, ia tidak sedikit pun menakutkan atau mematahkan semangat juang yang ada, kata ketuanya, Yusni Mat Piah.

Menurut beliau lagi, apa yang dikesalkan ialah sikap biadap pihak keselamatan dalam menangani peserta himpunan aman tersebut.

"Sepatutnya mereka sebagai penguasa mempamerkan contoh dan teladan yang baik sebagai pentadbir untuk menangani himpunan suara rakyat tersebut.

"Mereka tidak sepatutnya berlagak ala samseng, kerana kita adalah rakyat yang menyuarakan hasrat dalam sebuah negara yang menjadikan demokrasi sebagai sistem pemerintahan.

"Kita juga bukannya penjenayah maupun pengganas. Oleh itu, pihak polis sepatutnya tidak melampau dalam menjalankan tugasan mereka sejajar dengan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka," ujarnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Exco Pemuda PAS Pusat, menyatakan Pemuda PAS negeri akan tetap meneruskan perjuangan bersama rakyat yang lain untuk meneruskan kesinambungan Bersih 2.0 sekiranya ada kesinambungan tersebut selepas ini.

Jelasnya lagi, kecederaan pada kaki kanan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, sehingga memaksa beliau membuat pembedahan pada Jumaat ini, tidak boleh dipandang remeh.

"Ia adalah provokasi pihak berkuasa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka. Oleh itu keadilan mengikut lunas undang-undang mesti dilaksanakan segera supaya mereka yang bersalah dibawa ke muka pengadilan," tegasnya lagi.

harakahdaily/-

Dua Warga Vietnam Dibunuh Kerana Enggan Tutup Lampu

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

HULU SELANGOR 13 JULAI : Hanya kerana enggan menutup lampu ketika hendak tidur seorang lelaki warga Vietnam didakwa sanggup membunuh dua rakannya di sebuah rumah kedai yang terletak di Jalan Orkid tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 malam itu, seorang lagi rakan mereka yang juga warga Vietnam mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat tindakan suspek yang memukul mangsa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, pergaduhan di antara mereka bermula apabila seorang rakannya diarahkan untuk menutup lampu ketika hendak tidur bagaimanapun dia enggan melakukannya.

“Ekoran keengganan rakannya itu, suspek kemudian naik berang lalu tercetus pergaduhan di antara keempat-empat warga Vietnam terbabit menyebabkan dua daripadanya maut kerana ditikam menggunakan pisau.

“Mangsa pertama, 36, ditikam di perut sepanjang 5.5 sentimeter manakala mangsa kedua, 25, ditikam di dada dan seorang lagi hanya mengalami kecederaan di bahagian tangan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, polis yang menerima panggilan kemudian menjejaki suspek yang melarikan diri selepas insiden pembunuhan itu.

“Polis akhirnya berjaya menahan suspek dan menemui pisau yang digunakannya selepas diberitahu lokasi senjata tersebut dibuang iaitu kira-kira 2 Kilometer dari rumah sewa mereka,” katanya.

Norel memberitahu, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 330 iaitu menyebabkan kecederaan.

tv news/-

Bersih 2.0 bukti rakyat Malaysia akrab

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 13 Julai: Himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu membuktikan satu demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat negara ini dengan melibatkan pelbagai kaum.

Persahabatan dan silaturrahim yang ditonjolkan oleh pelbagai kaum membuktikan rakyat negara ini secara umumnya inginkan satu proses pilihan raya yang bersih dari pelbagai sudut.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, rakyat negara ini boleh melihat gambar-gambar yang tersebar luas menunjukkan ada orang India yang rebah kerana sesak nafas dibantu oleh budak Melayu yang berkopiah, ada orang Melayu yang rebah, ada budak Cina yang datang membantu yang membuktikan pelbagai kaum bersatu dalam demonstrasi Bersih 2.0.

“Saya rasa ia sangat bermakna dan ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup aman damai dan bersatu sekiranya pemerintah dapat melaksanakan dasar-dasar yang boleh menimbulkan perpaduan di kalangan rakyat,” ujar beliau ketika ditemui di majlis Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Kelantan Barat malam tadi di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10.

Husam juga berkata demontrasi aman Bersih 2.0 kali ini amat memberangsangkan kerana melibatkan rakyat Malaysia di seluruh dunia seperti di Australia, Mesir, England, Kanada, Taiwan dan banyak lagi bandaraya dunia luar.

“Isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 ini adalah isu yang valid dan yang betul wujud dan dikehendak oleh rakyat Malaysia dan dikongsi oleh rakan-rakan yang berada di negara luar,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat kerajaan di bawah kepimpinan Najib harus mengambil berat pandangan rakyat dalam lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2.0 dalam memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya negara ini.

Husam juga turut menyokong agar selagi tuntutan yang dikehendaki rakyat tidak dipenuhi, seluruh rakyat memakai baju kuning pada setiap Sabtu bermula Sabtu ini sebagai solidariti berterusan.

Menyentuh kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan hanya sekitar 5 hingga 6,000 hadir pada demonstrasi Bersih 2.0, Husam berkata ketua polis perlu lebih peka dengan perkembangan media baru, semua menunjukkan hampir puluhan ribu yang hadir pada hari tersebut.

“Ini bukan zaman 60-an lagi, kalau dulu terpampar di akhbar kenyataan pemimpin secara besar-besaran, orang kampung akan beli akhbar tersebut dan mempercayainya, sedangkan masa kini ia telah berubah, akhbar sudah tidak lagi relevan kerana media elektronik lebih pantas dan siap dengan gambar videonya sekali,”kata beliau lagi.

Husam juga berkata, pihak polis kena belajar banyak lagi kerana pelbagai halangan dan sekatan dikenakan kepada rakyat untuk tidak menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 tersebut, namun ia amat gagal kerana puluhan ribu berjaya berhimpun di kawasan tersebut.

harakahdaily/-

Himpunan Bersih buktikan 1Malaysia gagal.

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT ADUN TITI SERONG/
KETUA SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT PERAK

Saya mencabar Najib Razak supaya membuktikan gagasan 1Malaysia benar-benar berlaku dan diperjuangkan dalam perjuangan politiknya berdasarkan apa yang telah berlaku dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 baru-baru ini.

Sepanjang beberapa minggu sebelum 9 Julai 2011, Himpunan bersih 2.0 telah dimomokkan sebagai pertubuhan haram dikaca mata beliau (Najib Razak) dengan pemberitaan yang pincang dan berat sebelah. Sedangkan hakikat sebenarnya Bersih adalah tuntutan dari gabungan puluhan ngo yang berdaftar secara sah dan mereka menuntut supaya ujud pilihanraya yang lebih adil di Malaysia.

Kemuncaknya pada tarikh itu juga merupakan kayu ukur yang penting bagi mengetahui mana satukah yang benar-benar merupakan suara majoriti rakyat Malaysia atau “1Malaysia”.

Gelombang rakyat yang berkumpul di Kuala Lumpur walaupun berdepan dengan ugutan, sekatan dan halangan dilakukan oleh polis mengambarkan satu ancaman yang baru kepada regim Najib.

Isu dan perkara yang perlu diperhatikan dalam himpunan Bersih ialah kepelbagaian rumpun bangsa yang hadir sama dalam himpunan aman tersebut, terbukti sekali bersih 2.0 mewakili suara rakyat berbilang kaum dari Melayu, Cina dan juga India sebagai rakyat Malaysia.

Media pro BN yang cuba menutup perkara sebenar dengan cuma memapar berita bohong dengan katanya hanya bangsa Melayu sahaja yang menyertai perimpunan tersebut tidaK lain dengan niat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan penganjur bersih 2.0.

Sedangkan Umno-Bn sepatutnya mempelawa ahli MIC dan MCA untuk turut serta berdemo dalam kelompok pro BN yang berbaju merah, mereka juga mengaku bahawa kumpulan mereka adalah ejen pertahanan kedaulaan Negara, hakikatnya semua kenyataan tersebut layak dibakul sampahkan sahaja.

Apa yang boleh dilihat melalui rakaman yang tersiar dalam media baru seperti youtube, blog dan sebagainya jelas menunjukan kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai patriot ini cuma berkumpul dalam jumlah yang berskala sangat kecil yang terdiri dari bangsa Melayu sahaja, mengapa jadi begini?

Berdasar bukti rakaman jelas menggambarkan bahawa kumpulan ini menerima “layanan” baik dari FRU semasa mereka berhimpun, kumpulan ini juga sempat melarikan diri setelah gas pemedih mata dilepaskan ke arahnya berbanding kelompok bersih 2.0 yang dikejar sehingga ditangkap kemudian dibelasah oleh polis walaupun mereka sedikitpun tidak melawan.

Najib sepatutnya merasa malu dengan kumpulan patriot, perkasa dan Pemuda Umno kerana jelas ketiga-tiga kumpulan ini dianggotai oleh rakyat yang pengecut dan tidak menggambarkan 1Malaysia seperti yang diperjuang Najib Razak sendiri dalam gagasan politiknya.

Nampaknya Najib keseorangan melaungkan 1Malaysia dalam keadaan sekelompok melayu sahaja yg masih pertahankan kuasa UMNO dan BN. Majoriti banga Cina dan India sudah bersama Pakatan Rakyat untuk menghukum BN dalam PRU 13 yang bakal menjelang.

Bersih 2.0 terbukti merupakan suara rakyat yang benar-benar tulen apabila ia diangotai oleh seluruh bangsa dan generasi di Malaysia .Suara keramat 9 Julai membuktikan rakyat berbilang kaum mahukan perubahan.

Laungan 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib cuma retorik dam pembohongan bagi mEngaburi mata rakyat demi meraih sokongan dalam keadaan mereka telah gagal dalam menunaikan amanah yang diserahkan oleh rakyat lebih 50 tahun.

DRS KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 13 JULAI 2011.

Lelaki maut bom buatan sendiri meletup

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

MATARAM: Sekurang-kurangnya seorang lelaki terbunuh apabila sebutir bom buatan sendiri meletup di sebuah sekolah agama di timur Indonesia semalam, yang didakwa pihak polis mempunyai kaitan dengan ulama radikal, Abu Bakar Bashir.

“Sebutir bom yang diubah suai meletup di dalam sebuah bilik darjah jam 3.30 petang,” kata jurucakap polis wilayah Nusa Tenggara Barat, Sudjoko, yang menambah, bendahari sekolah, Firdaus, terbunuh dalam letupan itu.

Laporan menyatakan selepas letupan itu beratus-ratus pelajar dilengkapi senjata tajam menyekat laluan ke sekolah bagi menghalang polis dan askar memasuki lokasi kejadian untuk menyiasat.

“Mereka tidak membenarkan kami masuk ke kawasan sekolah,” katanya. – AFP

Warga Indonesia protes di Kedutaan Malaysia, sokong Bersih

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Dilihat tindakan membantah langkah kerajaan Malaysia menghalang perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu, kira-kira 20 warga Indonesia mengadakan demonstrasi di pekarangan Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam.

Sekumpulan rakyat Indonesia pernah mengadakan demonstrasi di pekarangan Kedutaan Malaysia sebelum ini berhubung isu membabitkan Malaysia dan Indonesia.

Usaha Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya bersih dan adil turut disambut rakyat Malaysia di beberapa negara lain.

Menurut laporan Jakarta Globe hari ini, mereka yang menyertai perhimpunan di depan Kedutaan Malaysia semalam melaungkan “bersih”, malah peserta yang mewakili pertubuhan Gabungan Pertubuhan Sivil Untuk Malaysia Bersih turut membawa sepanduk tertulis “Bersih Malaysia Bersih Indonesia”.

Malah menurut laporan itu, peserta perhimpunan seolah-olah bertindak membersihkan pintu pagar kedutaan dengan pencuci lantai dan berus.

Selain itu, ada peserta yang turut memakai topeng daripada animasi kanak-kanak popular Malaysia iaitu “Upin & Ipin”.

Salah seorang peserta berkata perhimpunan itu tidak bermaksud mahu kerajaan Indonesia bercampur tangan tetapi ingin mengingatkan pentadbiran Susilo agar memenuhi janji-janji yang telah dibuat sejak 10 tahun lalu diikuti kejatuhan presiden Suharto.

“Indonesia juga harus mendesak sistem demokrasi di Malaysia kerana ia boleh menjejaskan ramai rakyat Indonesia di Malaysia dan ini satu peringatan kepada Indonesia supaya tidak kembali seperti dahulu,” kata Haris Azhar, pengerusi Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (Kontras), dengan merujuk kepada ribuan warga negara itu yang bekerja di Malaysia.

Kontras, satu pertubuhan yang terdiri daripada Lembaga Studi dan Advokasi Masyarakat (Elsam), Pemerhati Rasuah Indonesia (ICW), Lembaga Bantuan Hukum (LBH) dan Kumpulan Hak Asasi Manusia serta beberapa pertubuhan lain.

Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan ahli-ahli politik kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ditahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Wakil Elsam, Wahyudi menuntut pihak berkuasa Malaysia membebaskan semua tahanan yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Aktivis itu berkata perhimpunan hujung minggu lalu mengingatkan tentang reformasi di Indonesia pada 1998.

“Sebagai negara berjiran, Indonesia perlu menjadi contoh kepada Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Nurkholis Hidayat dari LBH berkata, gabungan tersebut berkemungkinan akan mengadakan satu perhimpunan walaupun tidak mempunyai sebarang kerjasama rasmi dengan Bersih 2.0.

“Kami lakukan ini sebagai menghormati hak asasi manusia dan kebebasan bersuara, kami membantah penahanan aktivis Malaysia yang berhimpun secara aman di atas prinsip itu,” katanya.

malaysianinsider/-

Perbicaraan Anwar ditetapkan 8 - 26 Ogos ini

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 hingga 26 Ogos depan bagi mendengar perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela dirinya.

Tarikh itu ditetapkan olehh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selepas kes itu dibawa untuk sebutan hari ini.

Sebelum prosiding bermula, peguam Anwar dan pihak pendakwa bertemu dua kali dengan Hakim Mohamad Zabidin di kamarnya.

Anwar yang hadir memakai pemaut leher akibat kecederaan ketika menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 pada Sabtu lalu akan menjadi orang pertama memberi keterangan apabila perbicaraan bermula 8 Ogos ini.

6 Julai lalu, Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan untuk melucutkan Mohamad Zabidin sebagai hakim kes liwat membabitkan ketua pembangkang itu.

Pada 7 Ogos 2008 Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Tuduhan itu dikemukakan di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

malaysiakini/-

Suruhanjaya DiRaja siasat tindakan polis - Muslimat

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menggesa satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa menangkap dan menyuraikan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata tindakan pihak berkuasa khususnya pihak polis itu adalah satu pencabulan terhadap undang-undang serta perlanggaran Perlembagaan negara.

"Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat mendesak agar jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara digantung sementara waktu bagi memberi laluan penyiasatan yang telus dan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Selain itu, Dewan Muslimat juga jelasnya mendesak agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) segera mengambil tindakan dan apa jua inisiatif agar hak asasi manusia dalam negara ini terus terjamin.

Syor-syor Suhakam yang lebih sesuai untuk realiti semasa dunia tegasnya adalah sangat diperlukan dalam usaha membantu semua pihak khususnya pihak berkuasa itu sendiri agar menghormati hak setiap rakyat yang dijamin kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Untuk itu, DMPP mendesak agar Suhakam diberikan kuasa undang-undang khususnya untuk mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang terbukti melakukan pencabulan ke atas hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mahupun oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," jelasnya lagi.

Mengulas himpunan 9 Julai lalu, beliau berkata kejayaan himpunan itu adalah "hadiah" paling bermakna kepada seluruh rakyat apatah lagi menjelang Hari Kemerdekaan Negara yang ke-54 pada 31 Ogos akan datang.

"Justeru, Dewan Muslimat ingin menyarankan agar seluruh warga, pendokong dan penyokong Kempen Bersih ini mengenakan (memakai) pakaian berwarna Kuning pada tanggal 31 Ogos 2011 itu nanti sebagai manifestasi solidariti kita semua untuk sebuah Malaysia yang lebih baik dan bermakna untuk seluruh rakyat," katanya.

harakahdaily/-

Cicak tokek haram dimakan

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Kepada mereka yang memiliki cicak yang popular dengan panggilan cicak tokek dan berhasrat untuk menjual kepada pelanggan beragama Islam mungkin boleh berfikir dua kali kerana ia adalah haram dimakan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan baru-baru ini menetapkan cicak besar tersebut tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan serta mengandungi racun.

Bagaimanapun dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web e-fatwa itu berkata, pengecualian diberi untuk tujuan perubatan dengan hukumnya adalah harus.

“Namun sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa cicak itu mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu,” katanya.

KOSMO/-

Kapal terbang perang mendarat tegak

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

SEBUAH pesawat Fokker Dreidekker mendarat dalam keadaan menegak di Muzium Perang Imperial di Duxford, Britain pada Ahad lalu.

DUXFORD, Britain - Sebuah kapal terbang yang pernah digunakan dalam pertempuran Perang Dunia Pertama mendarat dalam keadaan menegak, lapor sebuah akhbar semalam.

Pesawat itu mendarat dalam keadaan tegak kerana terdapat tiupan angin di bahagian muncung semasa ia membuat pendaratan pada Ahad lalu di sini.

Angin tersebut menyebabkan pesawat model Fokker Dreidekker itu hilang imbangan sekali gus menyebabkan ia mendarat secara menegak.

Orang ramai kemudian membantu juruterbang itu turun dari pesawat tersebut yang berada dalam keadaan menegak selepas ia mendarat.

Kejadian itu berlaku pada satu pertunjukan udara di Muzium Perang Imperial di sini. - Agensi

Sembilan kali bedah kepala

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

DISEBABKAN daya penglihatan yang lemah, Foong menggunakan video magnifier bagi membesarkan saiz huruf.

SEPERTI remaja lain, Yvonne Foong gembira dapat keluar pada hujung minggu bersama kawan-kawan. Dia juga aktif dalam kumpulan koir bahkan mengikuti kelas tarian balet dan karate.

Bagaimanapun, masalah bermula ketika dia berusia 13 tahun.

“Saya hilang pendengaran dan keseimbangan berjalan hinggakan saya sering terjatuh di sekolah akibat masalah itu,” cerita Foong, anak tunggal dalam keluarganya.

Tiga tahun kemudian, keadaan menjadi lebih buruk. Foong terpaksa ditemani guru atau pelajar lain untuk pulang ke rumah mak ciknya di Subang Jaya kerana kerap terjatuh apabila berjalan.

Jarang ditemui

Pemeriksaan oleh pakar neurologi mendapati Foong mengalami ketumbuhan otak. Dia juga disahkan menghidap penyakit gangguan genetik dikenali sebagai Neurofibromatosis Jenis 2 (NF2).

NF ialah sejenis gangguan genetik yang menyebabkan ketumbuhan tumor di bahagian saraf di samping mengganggu pertumbuhan tisu seperti tulang dan kulit.

Penyakit itu menyebabkan Foong hilang pendengaran, tiada keseimbangan berjalan selain masalah penglihatan.

Dilaporkan, hanya satu daripada 40,000 orang di dunia menghidap penyakit itu. Di Malaysia, cuma dua orang dikesan menghidap NF2 dan salah seorang daripadanya ialah Foong.

Pembedahan pertama bagi membuang ketumbuhan otak melibatkan perbelanjaan sebanyak RM50,000. Mujurlah kos itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan ia dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2002.

Pembedahan kedua dilakukan di hospital yang sama, juga bagi membuang ketumbuhan otak dan di tulang belakang.

Malangnya, ketumbuhan itu muncul lagi di tempat yang sama. Foong menjalani pembedahan ketiga pada tahun 2004 di Pusat Perubatan St. Vincent, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan implan pendengaran manakala pembedahan keempat bagi membuang ketumbuhan pada badan.

“Pembedahan kesembilan iaitu yang terakhir dijalankan di House Clinic, Los Angeles pada tahun 2010 bagi membuang ketumbuhan otak di kiri ventrikel lateral,” kata Foong, 23, penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Psikologi di AS.

Ubat

Kematian bapanya akibat masalah paru-paru pada Oktober tahun lalu iaitu sebelum dia menjalani pembedahan terakhir di AS sedikit sebanyak melemahkan semangatnya, namun Foong sedar hidup perlu diteruskan.

FOONG mendengar dan menjawab soalan yang ditaip pada komputer riba.

“Kini, saya masih mengikuti rawatan susulan di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), AS pada setiap enam bulan.

“Saya juga dipilih menyertai penyelidikan klinikal institut itu khususnya berkaitan pesakit NF2. Mereka turut memantau ketumbuhan otak saya dan menawarkan pembedahan pada bila-bila masa diperlukan,” katanya.

Foong sekarang kembali menjalani kehidupan normal selepas menderita selama 10 tahun akibat penyakit itu. Kos untuk pembedahan dan rawatan dianggarkan mencecah RM1 juta.

Dia juga perlu mengambil sejenis ubat titis berharga RM180 yang ditempah khas menerusi Internet daripada pembekal di New Zealand. Ubat itu berfungsi menyekat dan melambatkan ketumbuhan otak.

“Walaupun hilang pendengaran, saya menggunakan komputer riba jenis Toshiba dan video magnifier untuk membaca manakala papan putih untuk menulis dan berkomunikasi dengan orang di sekeliling,” kata Foong yang kerap dijemput memberi ceramah motivasi.

Dalam ceramahnya, Foong selalu menceritakan kisah susah payah dan kejayaannya menentang penyakit itu sehingga terpaksa melalui sembilan kali pembedahan yang menyakitkan.

Dia juga menjual baju T Polo menerusi blognya, www.yvonnefoong.com, bertujuan mendapatkan dana bagi membantu seorang rakannya yang juga penghidap tumor otak, Syahidah Ishak.

Baru-baru ini, penulis buku I’m Not Sick itu membantu mengumpul dana untuk mangsa tsunami di Jepun.

Selama dua jam ditemu bual Jurnal, penerima anugerah Most Outstanding Youth of the Year iaitu salah satu kategori dalam Dream Malaysia Awards 2005, ‘mendengar’ dan menjawab soalan dengan menaip menggunakan komputer.

Impian Foong kini ialah mencari seorang suami yang sudi berkongsi kasih dan melindungi dirinya.

“Sebagai perempuan, saya ingin mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang baik dan memiliki anak yang ramai. Itulah saat paling indah dalam hidup saya,” katanya.

kosmo/-

Sambung Kontrak Presiden KTMB, RUM Kecewa

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 13 JULAI : Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) yang mewakili 3,600 ahli kecewa dengan keputusan Putrajaya melanjutkan kontrak presiden syarikat itu Dr Aminuddin Adnan dua tahun lagi.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan berkata, RUM membuat pendiriannya pada satu mesyuarat yang diadakan malam kelmarin.

“Majlis Exco RUM melahirkan kekecewaan kepada kerajaan yang tidak mempedulikan suara kami yang menolak Dr Aminuddin sebagai Presiden KTMB dengan menyambung kontraknya selama dua tahun (lagi),” katanya dalam satu kenyataan kepada The malaysian Insider.

Menurut Abdul Razak, walaupun belum ada kenyataan rasmi mengenai keputusan dilanjutkan tempoh perkhidmatan tetapi maklumat yang diperoleh kesatuan mengesahkan perkara tersebut.

“Maklumat yang kami terima dari Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan mengesahkan keputusan Presiden KTMB dilanjutkan dua tahun lagi,” katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tetapi merasa amat terkilan dengan keputusan melanjutkan kontrak perkhidmatan dan pandangan kesatuan tidak diambil kira.

“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hanya slogan tetapi gagal dipraktiskan, suara individu didengari, suara ramai dikebelakangkan.

“Maaf saya terpaksa melahirkan kenyataan ini, kerana tiada siapa yang mahu mendengar keluhan kesatuan,” katanya lagi.

KTMB merupakan salah satu agensi kerajaan yang diswastakan pada awal 1990-an.

Abdul Razak juga berkata pihaknya akan mengadakan protes dalam waktu terdekat mengenai isu tersebut.

Pada Julai tahun lalu, RUM mendesak Aminuddin meletakkan jawatan sebagai Presiden KTMB kerana didakwa gagal mencari jalan penyelesaian dalam isu penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Aminuddin dilantik ke jawatan itu pada pertengahan 2009.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Abdul Razak berkata, Aminuddin gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang presiden terutamanya dalam hal yang berkaitan KTMB.

“Dalam tempoh tersebut (11 bulan sejak dilantik) beliau (Aminuddin) telah menyebabkan berlaku penurunan produktiviti KTMB kerana sikap lepas tanganya yang tidak melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik.

“Selain itu beliau gagal menjaga hubungan keharmonian dalam RUM, kita desak beliau meletakkan jawatan,” katanya Abdul Razak.

RUM mempunyai 3,600 ahli.

Aminuddin sebelum ini memberitahu bahawa penubuhan ET dilihat antara pelan transformasi dalam memastikan KTMB lebih berdaya saing, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, budaya kerja dan disiplin yang lebih cemerlang.

tv news/-

Bukan bom tapi beg berisi babi, biawak, itik

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

Panggilan telefon mendakwa ada bom di Komtar, di Georgetown, petang semalam, yang memaksa polis mengosongkan bangunan itu membawa kepada penemuan tiga beg yang masing-masing mengandungi seekor anak babi, biawak dan itik hitam.

Beg berwarna biru, hitam dan merah itu ditemui ditinggalkan di depan pintu lif di tingkat tiga bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan termasuk Pejabat Ketua Menteri.

Marah dengan perkara berkenaan, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayob Yaakob berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

"Ini kerja gila dan kita akan siasat. Ini perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang padah. Saya bagi amaran kepada semua, jangan main-main. Ini sudah melampau," katanya ketika dihubungi.

Mengulas kejadian itu, Ayub berkata polis menerima panggilan ancaman bom kira-kira pukul 4 petang.

Susulan itu polis mengosongkan Komtar dan sepasukan Unit Pengesan Bom dan Unit Anjing Pengesan K9 dihantar ke situ.

Polis menemui tiga beg yang dalam keadaan mencurigakan, namun apabila dibuka masing-masing mengandungi tiga ekor anak haiwan terbabit.

Ayub berkata usaha mengesan pelaku sedang dibuat termasuk menerusi rakaman kamera litar tertutup.

Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan pemimpin kerajaan negeri berdasarkan tag nama mereka yang diikat pada beg terbabit.

- Bernama

Bersih 2.0 : Tindakan Polis Cabuli Hak Asasi, Kata Suhakam

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 13 JULAI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengecam kekerasan dan keganasan yang dilakukan polis ketika bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia.

Pesuruhjayanya Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, oleh yang demikian semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian dinasihatkan agar tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS.

Katanya, ini kerana tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Kalau pihak lain soal pun kami ada bukti yang tidak boleh dinafikan," katanya memberitahu Tvselangor.

Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Sha’ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan.

Dalam pada itu, beberapa peserta himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu yang ditemui Tvselangor berkesempatan menceritakan detik-detik cemas mereka ketika dikasari, diherdik malah dihertet ke dalam trak polis.

Rata-rata peserta yang ditemui, kesal dengan tindakan ganas polis ketike berdepan dengan perhimpunan aman Bersih sambil mempersoalkan kegagalan
pihak berkuasa itu dalam menjamin keselamatan rakyat di negara ini.

"Saya tidak nampak apa kesalahan yang dia(peserta Bersih 2.0) buat, saya rasa dia (polis) hilang ingatan masa itu," kata seorang pembantu doktor, Abu Bakar Abdul Rahman yang kesal dengan tindakan anggota polis apabila dilihat dengan sengaja menendang salah seorang peserta Bersih 2.0 ketika sedang bersujud bagi memohon keredhaan Allah S.W.T diatas sebatang jalan raya.

Katanya lagi, beberapa peserta himpunan juga turut kelihatan dibelasah pihak berkuasa hingga patah kaki namun tiada sebarang bantuan dihulurkan oleh anggota polis yang berada disekitar kawasan terbabit.

Turut sama berkongsi cerita Himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu ialah pengerusi Angkatan Warga Aman Malaysia (AMAN), Rajaretinam Armuggan yang juga merupakan salah seorang saksi kejadian ketika Allahyarham Baharuddin Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya akibat terkena semburan gas pemedih mata dan water canon.

"Dua anggota polis yang berada di depan kami hanya melihat sahaja arwah dalam kesusahan, namun apabila saya minta bantuan polis tersebut untuk memanggil ambulan, ia tidak diendahkan dan hanya melihat kami ini sebagai pesalah. Kesilapan saya tidak ambil nombor (baju) polis tersebut," katanya dengan kesal.

Tambah Mazwan Johar seorang peguam PAS, tindakan polis memakai baju pelindung seragam ketika melakukan penangkapan bukan saja menyukarkan peserta himpunan untuk mendapatkan nombor anggota terbabit malah ia sengaja berbuat demikian.

"Jaket tersebut menutup tanda nama dan pangkat mereka. Kami sebagai peguam yang tahu apa yang perlu dibuat pun, tidak dapat berbuat apa-apa (sebab tidak tahu identiti polis itu)," ujarnya dengan nada kesal.

tv news/-

17 terbunuh dalam rusuhan di penjara Kazakhtan

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

ALMATY, Kazakhstan 13 April - Seramai 16 orang banduan dan sekurang-kurangnya seorang pengawal penjara dilaporkan terbunuh semalam ketika banduan-banduan melakukan rusuhan dalam penjara di Kazakhtan.

Pihak berkuasa republik Asia Tengah ini melaporkan rusuhan itu bermula apabila beberapa banduan cuba melarikan diri awal pagi dan beberapa jam kemudian berlaku satu letupan di dalam penjara tersebut.

Punca letupan yang mengorbankan mereka masih belum diketahui dan mereka merasakan mereka mahu membunuh diri dari terus menghabiskan tempoh hukuman penjara yang lama itu. - AFP

Abim gesa kerajaan perhalusi tuntutan Bersih

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) beranggapan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) wajar diperhalusi dan dipertimbangkan secara bersungguh-sungguh oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan.

Presidennya, Dr Muhamad Razak Idris turut menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan bagi meneliti dan menilai secara objektif tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih berdasarkan kepada beberapa perkembangan yang hangat berkaitan isu tuntutan itu.

Bagi tujuan tersebut, pihaknya ingin menyeru pihak SPR dan Bersih meneruskan usaha rundingan bagi menyahut titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang meminta supaya isu ini diselesaikan menerusi dialog.

Beliau berkata, sekiranya terdapat sebahagian dari tuntutan-tuntutan tersebut di luar dari bidang kuasa SPR, kedua-dua pihak harus bersetuju tentang langkah-langkah yang seharusnya dilakukan untuk tempoh terdekat dan jangka panjang bagi merungkai isu-isu berbangkit berkaitan tuntutan tersebut.

Menurutnya, di dalam suasana masyarakat Malaysia yang terbuka hari ini dan kesedaran terhadap nilai-nilai demokrasi yang semakin tinggi, sebarang pengesyoran dan permintaan yang boleh membawa kepada pengukuhan amalan dan sistem demokrasi seharusnya diraikan secara positif dan konstruktif.

“Tambahan pula dalam konteks ini ialah berkaitan amalan pilihanraya yang merupakan nadi kepada sistem demokrasi itu sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebagaimana sedia diketahui, ujarnya amalan pilihanraya yang dihormati oleh semua pihak akan membawa kepada kewibawaan keputusan yang diperolehi.

Ini, tambahnya secara langsung akan menyumbang kepada kesatuan penerimaan terhadap mandat kepimpinan yang dibentuk dan diputuskan oleh rakyat terbanyak.

“Kepimpinan yang diperoleh menerusi mandat rakyat secara berwibawa akan mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan diyakini oleh segenap pihak di dalam dan di luar negara,” ujarnya.

harakahdaily/-

Dua gempa bumi landa Indonesia

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Gempa bumi kuat bermagnitud 6.3 pada skala Richter menggegarkan Laut Banda, Indonesia pada pukul 5.06 pagi hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa adalah di 377km tenggara Ambon, Indonesia dan 1,808km tenggara Tawau, Sabah.

Satu lagi gempa bumi sederhana berukuran 5.0 pada skala Richter berlaku di Halmahera, Indonesia pukul 6.27 pagi ini.

Pusat gempa adalah di 290km tenggara Manado, Indonesia dan 1,079km tenggara Kunak, Sabah.

Kedua-dua gempa tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia. - Bernama

Bersih 2.0: K'jaan langgar Perkara 10 Perlembagaan

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Lapan peguam PAS dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, di sini, petang semalam berhubung tindakan kekerasan pihak polis dalam menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Mereka yang diketuai Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi membuat laporan itu sekitar jam 5.30 petang sejurus selepas penyerahan memorandum berhubung perkara yang sama kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Menurut Ahmad Zamri, laporan yang dibuat oleh Juham itu antara lain menyentuh tentang kesalahan yang telah dilakukan oleh kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akibat melanggar undang-undang.

Perlanggaran yang dilakukan itu, pertamanya, berhubung Perkara 5 (3,) Kebebasan Diri, Perlembagaan Persekutuan yang ternyata tidak dipatuhi oleh KDN dan PDRM.

Katanya, pada hal dalam peruntukan itu telah dijelaskan, jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.

"Selain itu, kerajaan menerusi KDN dan PDRM telah melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, Kebebasan Bercakap, Berhimpun dan Berpersatuan.

"Ini tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) bahawa tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara; semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

"Di samping itu, kerajaan melalui KDN dan PDRM juga telah bertindak menyalahi Seksyen 28(A) Kanun Acara Jenayah," katanya ketika ditemui di sini.

Namun, tegasnya, dalam Perhimpunan Aman Bersih 2.0, kerajaan melalui KDN dan PDRM telah bertindak menggunakan kekerasan yang tidak munasabah dalam menyuraikan perhimpunan.

"Beberapa lokasi Perhimpunan Aman Bersih 2.0 telah dikepung pihak berkuasa PDRM yang berkelengkapan penuh seperti perisai, trak meriam air (water cannon), senapang gas pemedih mata, belantan dan gari elastik plastik," katanya.

Pihak PDRM, menurutnya, telah mengepung para peserta di hadapan Menara Maybank dan melepaskan tembakan gas pemedih mata tanpa sebarang amaran bersurai.

Katanya, para peserta yang mulanya dalam keadaan aman telah bertempiaran menyelamatkan diri daripada gas pemedih mata.

"Mereka kemudian dikejar pihak PDRM dengan trak-trak meriam air (water canon) sehingga ke Jalan Pudu berhampiran Plaza Rakyat dan Hospital Tung Sin.

"Di sini pihak PDRM telah melepaskan gas-gas pemedih mata sehingga ke dalam Hospital Tung Sin dan juga menembak air asid ke arah para peserta," katanya.

Ada peserta yang telah ditahan, jelasnya, telah diperlakukan dengan ganas. Terdapat peserta yang ditendang dan dipukul.

"Mereka juga telah diikat menggunakan sejenis gari elastik sehingga menyebabkan kecederaan pada pergelangan tangan.

"Mereka telah disumbat berasak-asak ke dalam trak-trak PDRM yang telah tersedia untuk mengangkut mereka ke lokasi-lokasi tahanan di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

"Terdapat mangsa-mangsa tangkapan yang pengsan di dalam trak polis. Ada juga mangsa tangkapan dibiarkan di dalam trak selama dua (2) jam di lokasi tahanan di lokap Jinjang," ujarnya.

Di KL Sentral, tegasnya, laporan yang diterima oleh Bilik Gerakan Juham pada hari itu mendapati pihak berkuasa PDRM melalui Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah mengepung Kompleks Terminal KL Sentral.

"Orang awam ditahan tanpa sebarang alasan dan budibicara. Mangsa-mangsa tangkapan telah disumbat ke dalam trak-trak yang sudah bersedia mengangkut mereka ke pusat tahanan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa PDRM telah mempunyai niat dan persediaan untuk menangkap sesiapa sahaja yang berada di kawasan tersebut tanpa alasan yang munasabah dan wajar," katanya.

KL Sentral yang merupakan tempat tertutup dan hub pengangkutan awam juga, tegas beliau, telah dilemparkan, ditembak, dilepaskan gas pemedih mata.

"Keadaan kompleks yang tertutup jelas mengakibatkan ramai orang awam di dalam kompleks tersebut mengalami kesulitan dan kecederaan fizikal.

"Tembakan gas pemedih mata dihalakan terus ke arah orang-orang awam sehingga menyebabkan kecederaan. Ini jelas bertentangan dengan peraturan penyuraian perhimpunan dan peraturan penggunaan gas pemedih mata," tegasnya.

Di samping itu, jelas beliau, laporan itu juga turut menyentuh penafian akses peguam.

Tangkapan-tangkapan yang dibuat, katanya, telah ditahan di beberapa lokasi tahanan seperti di Pulapol Jalan Semarak, Lokap Berpusat Jinjang, Ibu Pejabat Gerakam Am (PGA) dan Lokap Polis Bukit Jalil.

"Mangsa-mangsa tangkapan tidak pernah pada bila-bila masa dimaklumkan ke mana mereka akan dibawa. Pasukan peguam PAS telah bersedia di lokasi-lokasi tersebut untuk mengakses kepada tangkapan-tangkapan yang memberikan maklumat tangkapan tetapi telah dinafikan hak tersebut oleh PDRM.

"Tindakan ini jelas bertentangan dengan Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan dan juga Seksyen 28A Kanun Acara Jenayah," tegas beliau.

harakahdaily/-