12 July 2011

Tidak mustahil Bersih 3.0

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

SEBERANG JAYA, 12 Julai: "Umno dan pihak keselamatan boleh rosakan kepala lutut saya tetapi mereka tidak sekali-kali berjaya merosakan pemikiran saya untuk terus berjuang sehingga matlamat memartabatkan kembali maruah negara yang telah musnah akibat permainan jahat Barisan Nasional (BN)," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) di hadapan puluhan ribu rakyat Pulau Pinang di Tapak Ekspo, Seberang Jaya, malam tadi.

Beliau yang datang dengan kerusi roda akibat rempuhan kereta polis ketika membonceng motosikal untuk ke Masjid Negara pada 9 Julai lalu turut mengingatkan pihak keselamatan supaya segera mengubah sikap menjadi lebih profesional tidak mengikut telunjuk BN yang memerintah.

Katanya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 tidak akan berhenti di situ malahan berjanji akan mengadakan lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) serta kerajaan tidak memperdulikan lapan tuntutan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Tambahnya, seperti mana kata Presiden PAS, Bersih 2.0 merupakan 'mukadimah' kebangkitan rakyat dan seandainya SPR dan Kerajaan Malaysia masih berdegil, tidak mustahil Bersih 3.0 akan bangkit dengan lebih ramai rakyat yang rela bersama ke Kuala Lumpur berarak secara aman.

"Kali ni Najib rasa tertekan maka disuruhnya pihak polis bertindak. Akhirnya polis juga yang kena marah.

“Bagi menghilangkan perasaan yang bergelora Najib terus tinggalkan Malaysia buat seketika," jelasnya sambil melaungkan ‘Najib penipu’ beberapa kali semasa berucap.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sedar polis bertindak berdasarkan arahan Najib yang tidak senang dengan kemaraan Pakatan Rakyat.

Ini, katanya kerana anak muda secara terang-terangan memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat sejak berkuasa di lima buah negeri selepas pilihan raya umum ke-12 lalu.

Tambahnya lagi, kehadiran kaum Tionghua dan India ke himpunan Bersih 2.0 cukup membimbangkan pemimpin kerajaan Malaysia berbanding Bersih pertama dahulu.

Jelasnya, paling membingungkan pemimpin Umno BN adalah masih ramai lagi rakyat yang keluar bersama Bersih 2.0 walhal semua jalan ditutup dan sekatan dikenakan.

Tambahnya, ini tentunya ada yang tidak kena terhadap arahan tersebut atau rakyat sudah cerdik datang awal memasuki Kuala Lumpur secara diam-diam semata-mata menjayakan Bersih 2.0.

"Saya pun hairan di mana munculnya ratusan ribu manusia bersedia berhimpun secara aman sedangkan berbagai sekatan dikenakan.

“Saya ucapkan syabas kepada anak-anak murid yang sanggup mengepalai kumpulan besar dan kecil sehingga mencapai matlamat sebab semua kepimpinan PAS, KeAdiLan dan badan Bukan Kerajaan (NGO) ditangkap lebih awal," tegasnya pada program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu.

Pemidato utama yang berucap pada majlis pertama kali diadakan selepas himpunan Bersih 2.0 itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

HARAKAHDAILY/-

Bersih 2.0 sedia temu Pemuda Umno bincang tuntutan

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Kepimpinan Bersih 2.0 menyambut baik tawaran Pergerakan Pemuda untuk bercakap di umum berhubung tuntutan-tuntutan pembaharuan pilihan raya dibawa oleh gabungan itu.

“Tiada masalah. Kami bersedia untuk lakukan,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) pada sidang media di sini hari ini.

“Kami bersedia untuk berdebat di umum mengenai tuntutan Bersih 2.0 dengan sesiapa,” kata beliau sambil menambah, termasuk juga dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ambiga menyifatkan tawaran Pemuda Umno sebagai satu cara yang sihat untuk membawa tuntutan Bersih 2.0 ke depan.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di ibu negara Sabtu lalu berhubung lapan tuntutan pihaknya.

Pada hari yang sama, Pergerakan Pemuda Umno mengadakan perhimpunan balas Patriot menentang Bersih 2.0 dengan mengumpulkan sekitar 500 orang.

Ambiga juga meminta orang ramai agar terus membantu menggerakkan agenda pembaharuan secara aman dengan mengenakan sesuatu yang berwarna kuning setiap Sabtu.

Menurut Ambiga, polis masih menangkap mereka yang mengenakan kemeja-T Bersih 2.0.

Peguam Andrew Khoo, yang juga ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 mengingatkan penyokong-penyokong gabungan itu boleh melakukan perubahan jika dengan segera mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

MALAYSIANINSIDER/-

PAS terima 900 aduan untuk saman polis

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Seramai 900 peserta perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu sudah mengadu kepada PAS bagi diteliti sama ada mereka boleh menyaman pihak berkuasa yang didakwa bertindak tidak wajar menyuraikan mereka.

Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, buat masa ini, mereka masih mengumpulkan maklumat untuk diteliti satu persatu.

"Kita sekarang dalam proses mengumpulkan bukti, termasuk rakaman video, gambar dan saksi-saksi yang juga menjado mangsa," katanya.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Ahmad Zamri berkata, jabatan itu kini membuka tiga talian hotline selama 24 jam bagi mengumpulkan aduan pihak terlibat.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan beberapa anggota jawatankuasa dan wakil rakyat parti Islam itu.

Menurut Ahmad Zamri, sebagai langkah awal, mereka dijadual melaporkan perkara itu terlebih dahulu kepada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) petang ini.

"Dalam perhimpunan Sabtu lalu, peguam tidak dibenarkan akses dengan tahanan," dakwanya sambil menyifatkan ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau juga sedang mempertimbangkan menyaman polis yang didakwa menyebabkan kecederaan pada ligamen lututnya dengan melanggarnya dengan kenderaan Land Rover.

"Petang ini mungkin saya buat repot (polis)... Saya serahkan pada peguam saya Hanipa Maidin untuk uruskannya," jelas Mohamad yang akan menjalani pembedahan pada lutut kanannya di sebuah hospital swasta di Shah Alam Jumaat ini.

Beliau hari ini dilihat masih berkerusi roda akibat koyakan pada ligamen lutut kanannya.

MALAYSIAKINI/-

Kereta api laju China terjejas elektrik terputus

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KERETA api berkelajuan tinggi menghubungkan Beijing dan Shanghai terbantut operasinya semalam, ekoran bekalan elektrik terputus. - AGENSI

BEIJING 11 Julai – Bekalan elektrik yang terputus di China mengakibatkan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi baru bernilai AS$33 bilion (RM99.3 bilion) antara Beijing dan Shanghai terhenti semalam, hanya 10 hari selepas perasmiannya.

Biro perkhidmatan kereta api Beijing berkata, sebanyak 19 buah kereta api tergendala selama 90 minit ketika ribut petir dan angin kuat menganggu bekalan elektrik di landasan tersebut sekitar pukul 6 petang waktu tempatan.

Menurut penumpang, lampu kereta api yang mereka naiki terpadam dan udara dalam gerabak mereka menjadi panas dengan serta-merta kerana alat penyejuk udara turut terpadam.

“Gerabak kami kini berada dalam keadaan gelap dan sangat panas. Kami tidak mampu melalui keadaan kegagalan tenaga elektrik ketika menaiki kereta api berkelajuan tinggi ini,” tulis salah seorang penulis blog yang menggelarkan dirinya Brother Jiabo terus dari dalam kereta api tersebut.

Ramai penumpang yang merungut di dalam internet dan mempersoalkan kemampuan kereta api yang dikatakan menggunakan teknologi tinggi dan terbaik.

Perdana Menteri China, Wen Jiabao merasmikan laluan kereta api berkelajuan tinggi itu yang mengurangkan separuh daripada masa perjalanan dari dua buah bandar di China pada 30 Jun lalu.

Menurut beliau, kereta api yang dirasmikan sehari sebelum perayaan ulang tahun ke-90 Parti Komunis China itu akan menjadi kunci utama kepada sistem pengangkutan moden yang lebih baik serta memuaskan keperluan penumpang.

Bagaimanapun, pelaburan yang besar bagi rangkaian pengangkutan yang baru itu turut menjadi lubuk rasuah, meningkatkan kerisauan atas tahap keselamatannya.

Akhbar China Daily melaporkan, insiden terputus bekalan elektrik itu telah meningkatkan kembali kerisauan terhadap tanda tempat terbaru China itu yang dibuka awal setahun daripada yang dirancang.

Ramai pengguna Internet menulis di dalam blog dan forum Internet yang mereka tidak mahu menggunakan perkhidmatan kereta api itu lagi kerana ia tidak seperti yang dijanjikan iaitu ketepatan masa walaupun dalam keadaan cuaca buruk. – AFP

Kuning setiap Sabtu

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Julai: PAS mendakwa pihak polis terlebih dahulu didoktrin soal perkauman berdasarkan corak tangkapan yang dilakukan pada perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, media milik Umno BN dari awal lagi memainkan peranan menggambarkan seolah-olah wujud sentimen perkauman di sebalik penganjuran perhimpunan ini.

"Peringatan kepada media, jangan api-apikan soal perkauman, soal kononnya DAP memperalatkan orang itu, orang itu memperalatkan orang ini, dan sebagainya.

"Kita nampak corak penangkapan pihak polis pun telah didoktrinkan soal perkauman. Sebab itulah pempimpin DAP tidak ditangkap walaupun depan mata polis.

"Ini nak menunjukkan yang ditangkap ini pemimpin PAS, PKR, dan kami menjadi alat kepada DAP dan orang lain, dan nak menggambarkan DAP memperalatkan PAS dan seagainya dan ini dimainkan dalam televisyen," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perhimpunan yang berakhir dengan 1,667 tangkapan termasuk 10 pemimpin parti politik itu, beliau menyatakan rasa kesal dengan sikap polis yang menjaga kepentingan Umno BN, bukan menjaga keamanan dan keselamatan orang awam.

"Polis bukan jaga keselamatan rakyat tapi jaga Umno BN, mereka lebih bersifat agen kepada Umno.

"Polis hendaklah jaga keselamatan rakyat, bukan keselamatan Umno. Kalau Umno jatuh polis tak jatuh. Mereka tetap berkhidmat di bawah pemerintah baru tapi kalau polis dilihat jaga Umno, bila Umno jatuh, dengan ketua polis jatuh sekali," tegasnya.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad yang meninggal akibat menjadi mangsa kekejaman polis, beliau menyifatkan ianya sebagai korban awal dalam tuntutan demokrasi di Malaysia.

"Ini korban awal dalam tuntutan demokrasi dan kita harap tak ada korban lagi selepas ini. Semua pihak perlu belajar termasuk PDRM sendiri," ujarnya yang turut mengalami kecederaan di lutut selepas jatuh daripada motosikal akibat dilanggar dengan land rover polis.

Beliau terpaksa menjalani pembedahan Jumat ini kerana ligamennya koyak dan membatlakna segala program terdekat.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengulangi pendirian PAS untuk meminta Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan sekali lagi jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR0) tidak memenuhi lapan tuntutan mereka dalam masa terdekat.

"Kalau tak ada apa-apa menjelang pilihan raya akan datang, PAS akan mencadangkan kepada Bersih untuk membuat himpunan sekali lagi.

"Lapan tuntutan kita mesti dipenuhi. Selepas itu kalau BN nak menang, menanglah sebab kami tak ada masalah menerima kekalahan cuma yang kami tidak mahu ketidakadilan dan berlaku penipuan (dalam pilihan raya)," katanya.

Selain itu turut dicadangkan kepada Bersih 2.0 agar menjadikan hari Sabtu sebagai hari berpakaian kuning sebagai tanda tuntutan mereka terus diperjuangkan.

"PAS akan cadang kepada Bersih supaya dijadikan hari Sabtu hari memakai pakaian Bersih dan kuning untuk menyatakan perjuangan berterusan untuk mendapatkan pilihan raya adil dan bersih," katanya.

Tuntut penjelasan BN

Sementara itu, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad yang menerima enam jahitan di kepala akibat terkena kelonsong peluru gas pemedih mata meminta BN menyatakan pendirian mereka mengenai tindakan kasar ini.

"Kita minta BN jelaskan negara ini negara demokrasi atau negara komunis?

"Kalau nak memerintah secara komunis yang memerintah dari awal hingga akhir, bagitaulah pada semua orang, pilihan raya ini hanya main-main tapi hakikatnya apa yang dikehendaki BN memerintah selama-lamanya," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Seorang lagi AJK Pas Pusat, dr. Dzulkifly Ahmad pula berkata, jika kerajaan tidak menakut-nakutkan rakyat khususnya peniaga, ramai peniaga yang akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Apa yang kita tuntut apabila Bersih menganjurkan perhimpunan aman ia mesti dikendalikan oleh polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan bukan mengambil ruang untuk mengganas dengan arahan menteri.

"Kalau 100 ribu yang berhimpun dan aman perhimpunan itu dikendalikan oleh polis, katakan setiap seorang berbelanja RM100 ringgit sahaja untuk menginap dan makan minum tanpa membeli belah, sudah ada RM10 juta yang mereka bawa ini sudah tentu menambahkan KDNK untuk peniaga-peniaga sekitar Kuala Lumpur," jelasnya.

HARAKAHDAILY/-

AI: Jangan bentang permaidani merah bagi Najib

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Amnesty International hari ini menggesa Perdana Menteri Britain David Cameron dan Pope Benedict supaya tidak membentangkan 'permaidani merah' kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana layanan buruk dan tindakan kejam kerajaan pimpinannya terhadap perhimpunan aman rakyat Sabtu lalu.

Menurut badan hak asasi dunia itu, Cameron (kanan) khususnya perlu memberitahu Najib yang bakal dalam rangka lawatan empat hari ke UK bermula hari ini bahawa pencabulan hak asasi seumpama itu tidak dapat diterima.

Hujah Amnesty berdasarkan beberpa laporan, gambar, video yang terus disebarkan oleh pelbagai pihak memaparkan polis memukul, menendang dan melepaskan gas pemedih mata secara terus ke arah rakyat yang berhimpun secara aman menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran keganasan itu dengan membentangkan permaidani merah kepada perdana menteri Malaysia,” kata Timbalan Pengarah Amnesty International bagi Asia Pasifik, Donna Guest.

“David Cameron seharusnya memberitahu Perdana Menteri Najib bahawa pencabulan hak asasi manusi terhadap penunjuk perasaan yang aman tidak boleh diterima.

“Kerajaan Najib mengasari ribuan rakyat Malaysia yang bertindak melaksanakan hak mereka untuk menunjuk perasaan secara aman,” katanya.

MALAYSIAKINI/-

2 lagi pemimpin PAS ditahan polis

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Walaupun perhimpunan BERSIH 2.0 sudah berahir tiga hari lalu, pihak polis terus terus menahan pemimpin parti politik yang memakai baju kuning memaparkan logo gabungan NGO itu.

Dalam kejadian di Johor Bahru hari ini, dua pemimpin PAS kawasan di Johor ditahan polis ketika belum pun tamat sidang media mereka di depan balai polis Sentral JB.

Menurut timbalan pesuruhjaya PAS negeri Mazlan Aliman (kanan), dua pemimpin mereka yang ditahan adalah Naib Yang Dipertua PAS Pulai Zaaba Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Johor Bahru Rosli Kemin.

Mazlan berkata, tangkapan itu berlaku dalam sidang media di sebuah restoren berdekatan balai itu selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan keganasan pihak berkuasa dalam perhimpunan BERSIH.

"Empat anggota polis datang menarik mereka. Tidaklah kasar, tetapi mereka sepatutnya menggunakan budi bicara.

"Lagi pun perhimpunan BERSIH sudah berakhir. Minta sajalah suruh buka baju itu, bukan tangkap," kata Mazlan yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS.

MALAYSIAKINI/-

Kualiti udara negara sederhana

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara berada dalam keadaan sederhana apabila sebahagian kawasan dilaporkan mengalami cuaca jerebu semalam.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bukit Rambai, Melaka mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 83 setakat jam 5 petang, semalam.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dalam kualiti yang baik, manakala 51hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya).

Kualiti udara dalam keadaan sederhana melanda 43 kawasan di seluruh negara antaranya Nilai (80), Shah Alam (79), Balok Baru, Kelantan (79), Pelabuhan Klang (77), Port Dickson (77), Bandaraya Melaka (76), Muar (75), Kuala Terengganu (74), Kuala Selangor (73), Batu Muda, Kuala Lumpur (72), Tanah Merah, Kelantan (71).

Difahamkan keadaan ini berlaku akibat kebakaran yang berlaku di Sumatera Indonesia sejak beberapa hari lalu.

SINARHARIAN/-

12 cedera dibom

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

POLIS memeriksa kenderaan yang musnah akibat dibom di wilayah Yala, selatan Thailand, semalam.
Pemisah mahu tarik perhatian Yingluck

YALA: Empat bom dilontarkan sekumpulan yang disyaki pemisah mencederakan sekurang-kurangnya 12 orang dalam kejadian di wilayah selatan Thailand semalam, dalam apa yang disifatkan seorang penganalisis sebagai cubaan untuk menarik perhatian pentadbiran baru Perdana Menteri Yingluck Shinawatra terhadap masalah di wilayah berkenaan.

Polis berkata tiga jerangkap samar meletup dalam kejadian di sebuah ladang getah di Yala, di mana dalam kejadian pertama ia mencederakan kaki seorang penoreh getah, manakala dua yang lain mencederakan pegawai keselamatan dan anggota pemusnah bom yang dihantar ke tempat kejadian.

Mereka berkata bom terakhir di pasang di sebuah trak yang diletakkan di ladang getah di sebuah daerah lain dalam wilayah yang sama memusnahkan kenderaan itu tetapi tidak mencederakan sesiapa.

“Ini mungkin satu usaha untuk menarik perhatian kerajaan baru terhadap masalah di selatan, terutama terhadap tuntutan berpanjangan penduduk Islam bagi mendapatkan wilayah sendiri,” kata pensyarah sains politik, Srisompob Jitpiromsri dari Universiti Srinakharin di wilayah Pattani berhampiran.

“Insiden keganasan mungkin akan meningkat apabila ada perubahan kerajaan. Saya tidak terkejut jika insiden seperti ini meningkat dalam masa beberapa bulan lagi dengan purata 70-80 dapat disaksikan dalam separuh pertama tahun ini,” katanya. – Reuters

Bersih berjaya, BN habis modal?

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Penilaian mudah terhadap perhimpunan Bersih kedua 9 Julai lalu ialah protes besar-besaran itu berjaya mencapai matlamatnya, tanpa peserta perhimpunan mencetuskan kekacauan atau keganasan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Pandangan ramai yang menyifatkan cara pemerintah menangani perhimpunan menjejaskan imej dan undi menambahkan lagi poin negatif untuk pentadbiran Najib.

Sasterawan Negara, A Samad Said dengan yakin menyatakan bakal berlaku perubahan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, selepas kejayaan perhimpunan Bersih 2.0.

Samad Said semakin menonjol dalam aktivisme beberapa isu sejak beberapa tahun lalu, menjadi wajah popular kepada gerakan kepembangkangan masa kini.

Sasterawan ini menjadi salah seorang tokoh yang berdiri di barisan hadapan protes terhadap usaha mengangkat bahasa Inggeris melebihi bahasa kebangsaan di sekolah, protes yang menyaksikan beliau terkena tembakan gas pemedih mata.

Ketegasan Samad Said dalam isu-isu ini kelihatan mencemaskan pemerintah Barisan Nasional, disebabkan kedudukan berprestij beliau dalam dunia seni budaya negara.

Pada masa yang sama, Marina Mahathir, pejuang liberal anak kepada bekas perdana menteri turut sama menyertai perhimpunan 9 Julai, dan menjadikan penyertaannya satu bahan berita.

Secara tidak langsung, sedikit tempias Tun Dr Mahathir Mohamad terkena pada pentadbiran Najib ekoran penyertaan Marina.

Kritikan Mahathir telah menjejaskan teruk Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu, dan kini Najib kelihatan berdepan ancaman yang sama.

Marina boleh dilihat sebagai mewakili golongan menengah elit negara ini yang kritikal terhadap pemerintah hari ini, golongan yang tidak dapat diperhatikan dengan jelas perwakilannya dalam protes-protes di negara ini sebelum ini.

Selama ini, dalam demonstrasi jalanan, sukar untuk didapati golongan seniman dan kelas elit muncul dengan berprofil tinggi seperti yang ditunjukkan Samad Said dan Marina.

Adakah ini bermakna penolakan terhadap BN kini meliputi semua kelas dan golongan di negara kita?

Sekiranya benar, apakah lagi modal yang ada untuk digunakan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?

SIASAHDAILY/-

Guru sandaran menang kes diskriminasi

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Mahkamah memutuskan tindakan kerajaan menolak permohonan seorang wanita menjadi guru hanya kerana beliau sedang mengandung adalah salah.

Sehubungan itu hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Zaleha Yusuf memerintahkan Kementerian Pendidikan dan kerajaan adalah tertakluk kepada Perisytiharaan Konvesyen Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung segala bentuk diskriminasi terhadap wanita (Cedaw)- yang ditandatangani Malaysia pada tahun 1995.

"Hakim berkata Cedaw adalah undang-undang yang berkuatkuasa dan Malaysia terikat dengannya,” kata peguam Honey Tan.

Norfadilla Ahmad Saikin (kiri), 29 mengheret kerajaan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah bahawa kehamilan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk tidak menerimanya sebagai seorang guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dan membatalkan memo penempatannya semula sebagai tidak sah dan tidak mematuhi perlembagaan.

Wanita itu diberi memo untuk kontrak pengajaran setiap bulan bermula Januari 2009, tetapi ini dibatalkan hampir serta-merta apabila pegawai pendidikan daerah Hulu Langat mendapati beliau mengandung.

Dalam permohonannya itu, pegawai-pegawai kementerian pendidikan daerah Hulu Langat iaitu Basirun and Ismail Musa, ketua jabatan Zahri Aziz, ketua pengarah Kementerian Pelajaran, kementerian pendidikan dan kerajaan dinamakan sebagai responden.

MALAYSIAKINI/-

41 mayat penumpang kapal karam ditemui

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

ANTARA mayat penumpang kapal persiaran Russia yang karam di Sungai Volga ditemui semalam.

80 hilang, harapan selamat tipis

MOSCOW: Mayat 41 penumpang kapal persiaran Russia yang karam di Sungai Volga ditemui semalam, manakala 80 yang lain masih hilang apabila kapal dua tingkat berusia lebih 50 tahun itu tenggelam ke dasar sungai.

Anggota pasukan penyelam bertungkus lumus mencari mangsa dalam bangkai kapal itu yang karam berhampiran Kazan Ahad lalu ketika ribut.
Kapal dua tingkat itu karam tiga kilometer dari tebing paling dekat di empangan besar Kuibyshev di Sungai Volga, kira-kira 750 kilometer timur Moscow dan pada kedalaman 20 meter, kata kementerian kecemasan Tatarstan.

Lebih 80 mangsa berjaya diselamatkan, kebanyakannya ditemui bot yang melalui kawasan itu selepas lebih sejam berada dalam air, kata jurucakap Kementerian Situasi Kecemasan, Irina Andrianova, tetapi harapan untuk melihat mangsa selebihnya selamat amat tipis.

“Menurut penyelam, peluang mencari mangsa yang masih bernyawa sangat tipis,” katanya.

Seramai 60 penumpang adalah kanak-kanak, lapor media Russia dan mangsa yang selamat memberitahu kira-kira 30 kanak-kanak berada di sebuah bilik permainan berdekatan buritan kapal beberapa minit sebelum ia karam.

Andrianova berkata 208 berada di dalam kapal tetapi kementerian wilayah cawangan Tatarsan kemudian berkata ada sejumlah penumpang yang tidak berdaftar.

Pegawai rasmi berkata kapal itu tidak sepatutnya membawa lebih 120 orang.

Pegawai kanan kecemasan daerah Volga, Igor Panshin, berkata mayat turut kelihatan di restoran kapal berusia 56 tahun itu.

Beliau berkata penumpang yang selamat memberitahu kapal itu karam dalam tempoh lapan minit.

Kapal yang dikenali sebagai Bulgaria, diperbuat pada penghujung 1950-an di Czechoslovakia dan dimiliki syarikat pelancongan tempatan. Ia dalam perjalanan ke ibu negeri wilayah itu, Kazan dan kemudian menuju ke pekan Bulgar.

Sungai Volga popular sebagai destinasi pelancongan terutama pada musim panas. Kebanyakan bandar besar Russia terletak dalam lembangan Sungai Volga.

Tangisan keluarga dan waris yang menunggu berita mengenai tragedi itu reda seketika setiap kali mangsa yang terselamat dibawa ke darat di pelabuhan di Kazan, ibu negeri Tatarstan, lewat kelmarin.

Seorang wanita memberitahu stesen televisyen milik negeri Rossiya-24 beliau terlepas pegangan tangan anak perempuannya ketika mereka berusaha untuk menyelamatkan diri.

“Tiada seorang kanak-kanak berjaya keluar.Terlalu ramai kanak-kanak dalam bot itu,” katanya.

Presiden Dmitry Medvedev mengarahkan siasatan dijalankan untuk menentukan punca insiden itu dan mencari siapa yang patut dipersalahkan. – Reuters/ AP

Tulang hangus jadi bahan bukti

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Cebisan tulang yang sudah hangus, dua telefon bimbit dan dua jam tangan antara barangan ditemui pasukan penyelam polis ketika mencari bahan bukti kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di sekitar Banting dekat sini, tahun lalu.

Koperal Merzuki Shahrim dari Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1 Pulau Pinang berkata, cebisan tulang hangus itu ditemui ketika dia melakukan selaman di lokasi pertama iaitu di Sungai Panchau, Jalan Morib, Banting pada 12 September tahun lalu.

Menurutnya, dua telefon bimbit yang ditemui ialah jenis BlackBerry berwarna putih dan hitam dipercayai milik peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pegawai bank, Noorhisham Mohamad.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata, pasukannya dengan lima anggota menjumpai jam tangan jenama Seiko milik pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, jam tangan Bell & Ross milik Ahmad Kamil, pisau, dawai dan enam keping zink dikatakan digunakan melapik mayat semua mangsa.

Merzuki berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; Ahmad Kamil, 32; Noorhisham, 38 dan Kamaruddin, 44, di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

METRO/-

Bersih 2.0: Amnesty mahu British beri tekanan kepada Najib

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kerajaan United Kingdom perlu memberi tekanan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika dalam lawatan minggu ini, ekoran tindakan ganas polis menangkap dan menyuraikan peserta himpunan aman di Kuala Lumpur pada hujung minggu yang lalu sehingga 1667 ditangkap, kata Amnesty International.

"Kerajaan Perdana Menteri Najib telah mengasari puluhan ribuan rakyat yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka dalam demonstrasi aman tersebut,’ kata Timbalan Pengarah Asia-Pasifik di Amnesty International, Donna Guest.

‘Penindasan dan keganasan yang dilakukan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia adalah bertentangan dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa dan tidak harus dibiarkan berterusan sama sekali. Mana-mana demonstrasi aman di masa depan harus dibenarkan dan dihormati oleh pihak berkuasa," tambahnya.

Dalam satu kenyatan hari ini, mereka berkata polis menahan penunjuk perasaan aman, melepaskan gas pemedih mata terus ke arah penunjuk perasaan dan kompaun hospital pada 9 Julai yang lalu, dalam percubaan untuk menghentikan perhimpunan reformasi pilihan raya yang dikenali sebagai Bersih 2.0 daripada berkumpul di sebuah stadium di ibu kota.

Salah seorang peserta perhimpunan aman tersebut, Baharuddin Ahmad, 56 tahun, terjatuh dan terus tidak sedarkan diri setelah terkena gas pemedih mata berhampiran bangunan pencakar langit Petronas, kemudiannya diisytiharkan meninggal dunia setelah tiba di hospital.

Ekoran itu juga mereka menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat dakwaan bahawa polis gagal untuk memberi bantuan segera kepada Baharuddin Ahmad sebelum kematiannya, ini termasuk juga laporan bahawa ambulans tiba hanya satu jam setengah selepas beliau rebah.

Ujarnya lagi, ramai penunjuk perasaan telah dipukul oleh polis dan pegawai-pegawai Unit Simpanan Persekutuan (FRU), satu pasukan khas yang digunakan untuk menghalang perhimpunan awam besar-besaran. Salah satu video Youtube menunjukkan pegawai polis berpakaian preman menendang penunjuk perasaan yang terbaring, manakala polis berpakaian seragam hanya berdiri memerhati.

Polis juga jelasnya telah melepaskan gas pemedih mata terus di penunjuk perasaan, termasuk ahli-ahli pembangkang parlimen.

Selain Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen PAS, Khalid Samad turut menerima enam jahitan di kepala selepas peluru gas dilepaskan terkena beliau, manakala seorang pengawal peribadi Anwar juga cedera.

Gas pemedih mata turut dilepaskan ke arah sebuah hospital di mana penunjuk perasaan telahpun berundur ketika itu, meletakkan kesihatan pesakit di dalam risiko. Perbuatan ini telah dinafikan oleh pihak polis Malaysia.

’Kerajaan British tidak perlu membentang permaidani merah untuk Perdana Menteri Malaysia di atas kekejaman ini,’ kata Donna Guest.

’David Cameron perlu memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa pencabulan hak asasi manusia terhadap penunjuk perasaan aman tidak boleh diterima.’

"Amnesty International juga menyeru Vatican menekan Najib untuk menghormati hak asasi manusia apabila pemimpin Malaysia melawat Rome hujung minggu ini," tegasnya.

HARAKAHDAILY/-

BERSIH: PAS mahu demo sekali lagi jika...

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

PAS mahu perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil diadakan sekali lagi sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memenuhi tuntutan mereka dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, parti itu akan mendesak pihak BERSIH 2.0 sekali lagi menganjurkan perhimpunan itu.

"SPR perlu perubahan. Kalau tidak selesai menjelang pilihan raya, kita akan cadang BERSIH adakan perhimpunan sekali lagi. Tentang lapan tuntuan itu, empat daripadanya boleh dilakukan SPR. Jangan berdolak-dalik," katanya.

MALAYSIAKINI/-

Bersih 2.0: Ramai kesal tindakan polis

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Kejayaan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mencatat sejarah baru buat seluruh rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan inginkan keadilan sistem pilihan raya.

Biarpun berdepan sekatan dan halangan pihak polis sejak tarikh perhimpunan diumumkan, kehadiran puluhan ribu rakyat pelbagai bangsa khususnya golongan muda membuktikan rakyat Malaysia benar-benar mahukan perubahan.

Berikut antara pendapat orang ramai yang sempat ditemubual dalam himpunan Bersih Sabtu lalu.

Mazni Osman- Klang

"Saya begitu kesal dengan tindakan polis yang keterlaluan. Sebelum tiga hari himpunan diadakan kita lihat jalan banyak disekat. Kebanyakkan kenderaan dibuat pemeriksaan oleh polis. Saya rasa negara kita yang sudah mencapai 52 tahun kemerdekaan ini seolah-olah kembali kepada zaman Jepun.

"Polis menangkap rakyat yang tidak bersalah seperti hanya membeli dan memakai baju kuning, bahkan pihak penganjur juga telah berusaha untuk meminta kelulusan permit tidak diberi. Perbincangan telah diadakan berulang kali namun tidak mendapat kerjasama dengan baik. Sikap mereka ini membuatkan rakyat terutamanya belia yang semakin matang berfikir tahu sama ada mahu menyokong BN atau ingin menyokong Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya akan datang."

Mohd Ismi Mat Taib- Perak

"Pada pandangan saya, rakyat Malaysia yang menentang himpunan ini seharusnya kena faham mengapa kita semua berada di Kuala Lumpur. Ini semua adalah untuk masa depan anak cucu kita juga.Sistem demokrasi Negara kita semakin tenat dan memenatkan semua pihak untuk memulihkannya kembali. Rakyat seharusnya fikir untuk jangka masa panjang bukan untuk masa pendek.

“Kita juga merasa sungguh kesal dan kecewa dengan tindakan polis yang berat sebelah. Mengapa himpunan Bersih 2.0 yang diadakan begitu aman telah diprovokasikan oleh media dan polis?. Mengapa hanya penyokong himpunan Bersih 2.0 sahaja di beri tekanan yang hebat? Rakyat ditangkap, disepak dilayan dengan buruk sekali tetapi mengapa himpunan Patriot yang dibawa oleh pemuda Umno tidak di tangkap seperti kami dikenakan tindakan.

"Mengapa rakyat yang tidak bersalah untuk berhimpunan dan tidak memakai baju Bersih 2.0 hanya menyimpan dalam beg ditangkap? Polis benar-benar tidak tulus menjalankan tugas. Adakah mereka diberi rasuah oleh pihak kerajaan sehingga melaksanakan tugas yang sedemikian rupa?”.

Umi Syazariah Meor Hashim- Johor

"Saya rasa tindakan yang diambil oleh kerajaan dengan mengarah semua pihak polis menangkap peserta himpunan Bersih 2.0 adalah satu kesalahan besar. Kerajaan menggunakan kuasa BN mereka yang keterlaluan sehingga rakyat tidak diberi peluang untuk berhimpun secara aman.

"Sebagai pimpinan mereka seharusnya menerima pandangan rakyat bukan menolaknya bulat-bulat. Tetapi fenomena hari ini PM telah menunjukkan sifat munafiknya kerana gagal melunaskan janji untuk menyediakan stadium kepada rakyat. Apakah salahnya mereka memberi kelulusan dalam himpunan Bersih ini yang sudah jelas termaktub hanya menuntut pilihanraya yang tulus dan adil bukan untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Ini menunjukkan Umno serta pihak polis yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada BN boleh dikatakan seperti takut dengan kebangkitan rakyat terutamanya apabila melihat generasi muda yang hadir pada hari ini ramai berhimpun untuk menuntut pilihanraya yang tulus."

Roginy Ponnampalam- membuka perniagaannya di KTM Kuala Lumpur pada hari himpunan Bersih.

“Setiap hari saya membuka kedai disini waktu yang sama kira-kira 6 pagi tetapi begitu sukar untuk mendapat keuntungan yang besar. Hari ini sehingga 8 pagi, saya telah mencapai keuntungan kira-kira RM 600. Kalau nak dibandingkan hari biasa bukan semudah itu untuk mendapat keuntungan dalam RM100 sehingga jam 8 pagi. Saya yakin peniaga-peniaga samada mini market dan kedai makan juga mengalami keuntungan yang besar. Seperti di kedai makan di sebelah, orang ramai sentiasa keluar masuk untuk sarapan pagi. Kebiasaannya kedai mereka juga tidak seramai begini.

"Berbagai bangsa dan rakyat yang hadir pagi ini membuatkan saya tidak menang tangan melayan pelanggan untuk mereka membeli belah disini. Jualan air, roti, kad prabayar, akhbar begitu laris sekali. Saya tidak nampak rakyat yang hadir di sini membuat kekecohan tetapi saya menjadi hairan mengapa polis begitu ramai menjaga kawasan ini”.

HARAKAHDAILY/-

Empat penculik kena penjara sehingga 13 tahun

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

JOHOR BAHRU: Empat lelaki masing-masing dihukum penjara antara enam hingga 13 tahun setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan pilihan menculik dua beranak pada 2008.

Tertuduh, Ng Ng Kim Low, 38; Tan Kok Peng, 53; Lim Cheng Yong, 40 dan Ching Siong Huat, 44, mengaku bersalah sejurus Pesuruhjaya Kehakiman, Samsudin Hassan, memutuskan meminda pertuduhan terhadap mereka daripada Akta Culik 1961 kepada Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan pertama,

mereka didakwa menculik kanak-kanak, Yong Wei Jie, 9, di depan rumah 28, Jalan Bulat, Taman Abiad, di sini, dengan niat mendapatkan wang tebusan RM2.03 juta kira-kira jam 11.40 pagi pada 6 Oktober 2008. Di lokasi dan masa sama, semua tertuduh turut didakwa menculik ibu kanak-kanak itu, Lee Yoke Chan, 45.

Sebelum ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Namun, berdasarkan pindaan diputuskan mahkamah, tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan itu mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, iaitu menculik dua mangsa terbabit dengan niat menyembunyi dan mengurung mangsa, yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun.

Bagi pertuduhan pilihan ketiga, Kim Low dan Kok Peng didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan niat menerima wang tebusan berjumlah RM2.03 juta di tepi pagar Kilometer 130, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan jam 12.30 tengah hari pada 7 Oktober 2008.

Berikutan pengakuan bersalah setiap tertuduh itu, masing-masing dihukum penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala bagi pertuduhan ketiga, Kim Low dan Kok Peng, masing-masing dihukum penjara tujuh tahun dan tiga sebatan.

BERITA HARIAN/-

'Gas pemedih mata disasar terus ke Anwar

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Polis bersiap sedia dengan senjata anti rusuhan mereka dengan seorang daripada mereka cuba membidik senjata gas pemedih mata ke arah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibtahim. Ketika itu, pengawal peribadinya Fayyadh Afiq yang melihat kejadian berkenaan bertindak.

Sebaik mendengar arahan supaya tembakan dilepaskan, Fayyadh berkata beliau terus menolak Anwar ke tepi.

Malangnya, kanister gas itu menepati pipi kirinya. Walaupun kini diberi ubat pelali, namun beliau berkata kesakitan masih menusuk.

“Kami sedang keluar dari KL Sentral dan terus berarak di mana tempat bas berhenti.

“Pengawal lain dan saya bersama Anwar manakala pemimpin lain di depan membentuk barisan yang panjang apabila saya terdengar suara sayup-sayup.

“Saya yakin suara itu datangnya dari seorang pegawai yang menggunakan sebuah pembesar suara tetapi dengan keadaan bising serta semua orang menjerit, sukar bagi saya mendengar apa-apa dengan jelas,” kata Fayyadh kepada Malaysiakini.

Beliau kemudian menoleh ke arah skuad anti rusuhan itu dan terus ternampak mereka sedang membidik ke arah Anwar.

Fayyadh berkata beliau sempat menolak Anwar ke arah kiri dan secara tiba-tiba terasa sakit yang keterlaluan di bahagian muka, dan kesan menusuk di seluruh badannya akibat terkena gas pemedih.

Tulang pipi pengawal berusia 25 tahun itu patah, tetapi semasa kejadian, hanya keselamatan Anwar yang difikirkannya ketika mereka cuba melarikkan diri.

“Kami cuba menyelamatkan Anwar dan berlari menuju ke KL Sentral dan ketika itu tersepak sebuh lubang dan terjatuh.

"Oleh kerana terperangkap di tengah-tengah dengan jalan keluar menghala Jalan Tun Sambanthan ditutup oleh polis, satu-satu jalan keluar adalah melalui sebuah esklator sempit dan tangga," kata Fayyadh.

MALAYSIAKINI/-

Gempa bumi lemah landa Kinabatangan

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Gempa bumi lemah berukuran 3.7 pada skala Richter berlaku di Kinabatangan, Sabah pada 10.28 pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa itu adalah 16 kilometer tenggara Kinabatangan.

Berikutan itu, gegaran mungkin dirasai di sekitar kawasan itu.- Bernama

Padah kasih laki orang

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Akibat menjalin cinta terlarang dengan suami orang sejak Mac lalu akhirnya membawa padah kepada seorang kerani wanita berasal dari Pulau Pinang apabila mendakwa kerugian RM35,000 selepas ditipu lelaki berkenaan.

Mangsa berusia 25 tahun dan bekerja di Brickfields, di sini, mendakwa berkenalan dengan lelaki terbabit dikenali sebagai Izwan secara tidak sengaja ketika dia makan di sebuah restoran makanan segera berhampiran tempat kerjanya.

Menurutnya, dalam pertemuan awal dengan lelaki itu selama kira-kira 30 minit, Izwan yang berperwatakan menarik dan menepati ciri-ciri lelaki idamannya itu mengaku masih bujang, bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kawalan keselamatan dan tinggal bersama keluarganya di Bandar Tun Razak, Cheras.

“Sikapnya yang begitu baik menyebabkan saya begitu mempercayainya hinggakan kami pernah terlanjur dan merancang untuk bertunang hujung tahun ini. Keadaan itu menyebabkan saya tidak pernah menyesal menyulam cinta bersamanya,” katanya ketika ditemui, di sini. Katanya, satu hari ketika keluar membeli-belah, lelaki itu memberitahu kereta digunakannya milik abang iparnya dan abang iparnya meminta segera memulangkan kenderaan berkenaan.

“Dia memberitahu tidak mampu membeli kenderaan sendiri akibat mempunyai pinjaman kad kredit.

“Saya yang begitu mempercayainya menawarkan untuk membeli kereta baru menggunakan slip gaji saya dan dalam tempoh seminggu sudah memiliki Perodua Myvi baru,” katanya.

Bagaimanapun, seminggu kemudian, dia menerima kejutan apabila seorang wanita menelefonnya memperkenalkan diri sebagai isteri kepada Izwan dan sedang hamil.

“Wanita itu memberi amaran dan melarang saya meneruskan perhubungan dengan suaminya kerana tidak mahu bermadu selain memberi ingatan supaya tidak terlalu mempercayai suaminya yang disifatkan ‘buaya darat’.


“Pada mulanya, saya kurang percaya dengan tuduhan wanita berkenaan, sebaliknya meminta pengesahan sendiri daripada Izwan. Apabila diajukan soalan bertubi-tubi, Izwan akhirnya mengaku dengan statusnya sebagai suami orang.

“Ketika itu, saya cukup kecewa tetapi apabila Izwan berjanji meminta keizinan isterinya untuk bermadu, saya hanya berdiam diri, malah tetap mempercayainya.

“Perhubungan kami terus berjalan lancar hingga bulan lalu, malah dia juga sudah memakaikan saya sebentuk cincin sebagai tanda di depan ahli keluarganya di Bandar Tun Razak tanpa kehadiran isterinya yang ketika itu dikatakan masih tidak boleh menerima saya,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak kisah membayar wang ansuran bulanan kereta yang dibeli itu dan pada 25 Jun lalu, Izwan memaklumkan, syarikatnya menghantarnya berkursus di Taiwan hingga 1 Julai lalu dan dijangka pulang ke Malaysia pada 2 Julai.

Bagaimanapun, katanya, sehingga 5 Julai lalu, Izwan masih gagal dikesan, malah telefon bimbitnya juga dimatikan.

“Curiga dengan tindakannya, saya kemudian nekad pergi ke rumah keluarganya di Bandar Tun Razak, namun hampa apabila lelaki yang memperkenalkan diri sebagai abangnya mengaku yang dia hanya diminta berlakon di depan saya.

“Berdasarkan maklumat lelaki berkenaan, Izwan kini dipercayai sudah melarikan diri ke utara tanah air manakala isterinya berada di kampung kerana bersalin,” katanya.

Lebih mengecewakan, lelaki berkenaan memaklumkan kereta dibeli menggunakan namanya sudah dijual tanpa pengetahuan.

“Malah, saya gagal mengesan di mana kenderaan itu disembunyikan.

“Berikutan itu, saya sudah membuat aduan di Balai Polis Travers semalam (kelmarin) selepas menyedari tertipu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

METRO/-

Aktivis S'wak masih di balai polis Bukit Jalil

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Meskipun semua 1,697 penyokong BERSIH 2.0 yang ditahan pada perhimpunan Sabtu lalu telah dibebaskan, aktivis Sarawak Hii Tiong Huat, yang ditangkap sehari sebelum itu dikatakan masih 'hilang'.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Forum Asia mengenai Hak Asasi dan Pembangunan, Hii dikatakan hilang sejak dia ditangkap.

Malaysiakini bagaimanapun difahamkan beliau masih dalam tahanan reman di balai polis Bukit Jalil, menjadikannya penyokong terakhir BERSIH 2.0 yang belum dibebaskan selain enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Menurut penyelaras Rangkaian Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MEO-Net) Ong Boon Keong yang melawatnya di balai polis hari ini, Hii sehingga semalam enggan memberikan kenyataan kepada polis.

“Beliau mahu mendapatkan nasihat undang-undang sebelum memberi kenyataan. Namun tiada akses perundangan yang diberikan kepada semua tahanan BERSIH,” kata Ong kepada Malaysiakini.

“Semangatnya tinggi dan berkata beliau memang bersedia untuk ditahan.”

Aktivis yang bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini ditangkap polis selepas dia membantah tindakan keras polis terhadap BERSIH 2.0, Jumaat lalu.

Hii berpakaian baju-T kuning yang dicetak namanya, muncul di Petaling Street seorang dirisambil membawa papan tanda buatan sendiri dan bendera Malaysia.

Papan tanda kuning itu memaparkan lukisan gari di sebelah perkataan "Bersih", diikuti dengan tulisan "Kotor OK?"

Sambil mengangkat papan tanda dan bendera tersebut, dan berulangkali melaungkan "BERSIH tangkap, Kotor OK," Hii menarik perhatian orang ramai di situ termasuk pelancong asing.

MALAYSIAKINI/-

12 maut dalam letupan di pangkalan tentera laut Cyprus

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

MARI: Sekurang-kurangnya 12 terbunuh apabila letupan kuat dalam timbunan senjata api Iran yang dirampas dalam kejadian di pangkalan tentera laut Greek Cypriot selatan Cyprus awal pagi semalam sekali gus menyebabkan bekalan elektrik dan air tidak dapat bertahan lama.

Polis berkata, antara yang terbunuh ialah komander pangkalan itu, Andreas Ioannidesdan komander pangkalan Evangelos Florakis.

Empat tentera dan enam anggota bomba turut terbunuh. - AFP

Ribuan banjiri ceramah 'BERSIH 3.0' di P Pinang

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

Tidak kurang 5,000 orang hadir memberi sambut hangat kepada dua wira BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu, iaitu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden PAS Mohamad Sabu di tapak Ekspo Seberang Jaya malam semalam.
Ramai yang melabelkan perhimpunan itu sebagai BERSIH 3.0.

Anwar tiba dengan memakai pengikat leher dan terpaksa dibantu ketika menuju ke pentas utama sambil diberi tepukan gemuruh manakala pemimpin PAS yang popular dengan panggilan Mat Sabu itu pula terpaksa menggunakan kerusi roda dan dibantu oleh petugas untuk naik ke pentas.

Jurugambar sibuk merakamkan gambar mereka manakala wartawan dan orang ramai yang hadir semua menanti kedua-dua mereka menceritakan pengalaman pada 9 Julai lalu.

Namun, pihak penganjur secara lembut meminta jurugambar dan orang ramai supaya bertenang agar kedua-dua pemimpin itu tidak tercedera lagi.

Pada ucapan ringkasnya, Anwar yang jelas kelihatan kurang bertenaga daripada biasa, dipercayai akibat kesakitan yang dialaminya akibat diserang gas pemedih mata di KL Sentral menganggap tindakan pihak berkuasa pada Sabtu lalu sebagai satu jenayah.

Hadirin yang majoritinya orang Melayu diberitahu bagaimana perdana menteri selepas mendalangi apa yang terjadi pada Sabtu lalu tergamak mendakwa beliau menipu tentang kecederaannya.

"Saya terpaksa pakai ikat leher - ini arahan doktor selepas merawat dan melihat seteruk mana kecederaan di leher dan tulang belakang saya... bukan saya yang mintanya,” katanya.

"Najib mahu semua orang fikir saya sengaja buat pembedahan (tulang belakang) di Munich supaya saya boleh kembali dan tunjuk kepada semua orang,” katanya sambil membidas perdana menteri itu.

MALAYSIAKINI/-

Nasib Flotilla II sama dengan Bersih 2.0

9 Syaaban 1432H. [MOD] -



SAYA terharu membaca laporan rombongan misi kemanusiaan ke Gaza dan rintihan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang terkandas di perairan Greece.
Bukan saja rombongan pelayaran Freedom Flottila 11 dihalang untuk datang ke Gaza, maka kapal-kapal konvoi yang berlabuh di perairan Greece tidak benarkan oleh kerajaannya meninggalkan pelabuhan mereka.
Ada kapal yang cuba meninggalkan perairan itu tanpa izin kerajan Athen tetapi ia telah dipaksa pulang ke pelabuhan transitnya.
Rombongan itu mendesak sokongan antarabangsa supaya menekan Greece membenarkan mereka meninggalkan perairannya bagi menuju Gaza, tetapi Greece bertindak tegas tidak membenarkannya.
Reaksi Greece itu adalah atas larangan regim Israil dan apa lagi Amerika adalah menyebalahi Israil. Walau pun Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu menyokong rombongan kemanusiaan itu, tetapi apabila Amerika mmihak kepada Israil adalah sukar bagi Greece yang berdepan dengan krisis hutang sekarang menimbangkan pemergian rombongan Freedom Flottila itu.
Apa yang dihadapi oleh Ketua Pemuda UMNO dan rombongan Flottila di Greece itu sama dengan apa yang dihadapi oleh Bersih 2.0 untuk menyampaikan memorendum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Khiry Jamaluddin dihalang untuk mencabar Bersih 2.0 dan Bersih pula dihalang untuk memasuki Kuala Lumpur, maka samalah masalah yang dihadapi Bersih di Kuala Lumpur dengan apa yang dihadapi oleh rombonganFlottila di Greece.
Kerajaan Malaysia, UMNO dan sekalian yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin di Gaza tidak senang dengan sekatan kerajaan Greece. Tun Dr. Mahathir adalah seorang yang penting menggalakkan rombongan kemansuiaan itu sudah tentu amat keciwa dengan sekatan ke atas kapal yang tidak bergerak ke Gaza itu.
Semua orang menyokong tunjuk perasaan di kedutaan Greece di Kuala Lumpur membantah tindakan kerajaan Greece. Dr. Mahathir dan Perdana Menteri Najib dipercayai bersama semagat tujuk perasaan itu.
Tetapi Dr. Maahathir dan kerajaan Malaysia mengira haram rancangan Bersih untuk mengadakan perarakan menuntut pilihan raya bersih dan adil. Mereka disekat untuk masuk ke Kuala Lumpur.
Kedua-dua Bersih dan rombongan ke Gaza itu adalah sama-sama menuntut keadilan. Rombongan ke Gaza pergi untuk membawa barang keperluan rakyat Gaza seperti makanan, perubatan dan keperluan binaan. Tujuannya adalah untuk mengurangkan beban dan penderitaan rakyat Gaza.
Perarakan Bersih ialah bagi mendapatkan pililhan raya yang bersih dan adil bagi memastikan demokrasi diamalkan sebaik-baiknya dan kezaliman tidak bermaharajalela.
Sikap Israel dan Greece menghalang rombongan kemanusiaan itu dikecam oleh masyarakat antarabangsa kecuali Amerika. Kerajaan Malaysia menghalang kemasukan penyokong Bersih ke Kuala Lumpur yang dunia mengira unjuk rasa itu satu tindakan biasa dan sah.
Dalam hal ini sama saja kerajaan Malaysia dengan Israel dan Greece.
Rombongan kemanuiaan itu dicemburui oleh Israel kerana ia dikatakan mungkin menyeludupkan senjata dan bahan bahaya yang boleh mengancam keselamatan Israel. Pada hal rombongan tidak bercadang untuk berperang dengan Israel. Apa yang mereka mahu ialah memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa kezaliman Israel.
Bersih disyaki untuk menumbangkan kerajaan Malaysia walau pun sasaran Bersih hanya mahukan SPR yang adil dan telus. Tidak terlintas niat Bersih untuk menggulingkan kerajaan melaluigerakan jalanan.
Malaysia tidak setuju dengan prasangka Israel konon rombongan itu mengancam keselamatan Israil, tetapi kerajaan Malaysia pula bersikap seperti Israel bila ia mengira Bersih bertujuan untuk menumbangkan kerajaan di luar pilihan raya.
Malaysia pula menggunakan taktik Israel kononnya menjumpai barang-barang dari kalangan Bersih yang selalu digunakan dalam perkelahian dan rusuhan. Dari mana polis Malaysia dapat barang-barang itu? Yang nyata ia adalah taktik biasa Israil.
Sampai akhir rombongan kemanusiaan itu tidak dapat membawa muatannya ke Gaza. Mereka yang dari Malaysia sudah pun balik termasuk Khairy.
Sampai akhir polis tidak membenarkan Bersih mengadakan perarakan dan orang-orang dari luar Kuala Lumpur dihalang masuk Kuala Lumpur.
Kedegilan penyokong Bersih sama saja dengan kedegilan rombongan kemanusiaan ke Gaza. Semua sekatan itu cuba ditembusi. Semangat kedua-duanya adalah sama dan sikap Malaysia pula sama dengan Israel dan Greece.
Subky Latif

Najib pertahan demokrasi dengan water cannon?

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Julai: Demokrasi sebenar memberi hak kepada rakyat untuk memilih parti yang dikehendaki dengan bebas tanpa menggunakan water cannon atau tangkapan.
Demikian kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib(gambar) sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak bertekad untuk mempertahankan demokrasi di Malaysia dan tidak akan menggunakan penipuan untuk berkuasa.
Baginya, kenyataan itu satu perkara yang melucukan seperti mana yang dilaporkan oleh media perdana semalam.
“Pedih mata rakyat Malaysia pada hari Sabtu yang lepas masih lagi tidak hilang kepedihannya, tiba-tiba ikita disajikan dengan lakonan komedi yang telah diketahui jalan ceritanya,” ujarnya.
Katanya, Perdana Menteri sewajibnya sedar bahawa demokrasi adalah milik semua.
Jelasnya lagi, demokrasi yang sebenar ialah memberi hak kepada semua rakyat untuk memilih parti yang mereka kehendaki dengan bebas tanpa dipaksa atau disekat apatah lagi menggunakan water cannon atau gertakan dengan tangkapan.
Beliau menambah, Presiden Umno hendaklah sedar bahawa demokrasi yang sebenar ialah rakyat tidak boleh disogok dengan kempen palsu atau penyalahgunaan kuasa tanpa batasan.
Katanya lagi, itulah demokrasi yang harus dipertahankan dan bukannya mempertahankan pembohongan dan tipu daya untuk meraih sokongan rakyat.
“Demokrasi juga bermaksud semua parti politik berhak menggunakan semua bentuk media massa untuk menzahirkan pandangan dan hujah mereka dalam membangunkan negara, bukannya dimonopoli oleh pihak pemerintah sahaja,” ujarnya
Tegasnya, kemenangan mestilah dibina di atas ketelusan, hujah dan keyakinan dan bukan sebaliknya.

Perusuh serang kedutaan AS, Perancis

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

DAMSYIK 12 Julai – Sekumpulan perusuh yang berang menyerang kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Perancis di Syria semalam, selepas dua wakil negara itu melawat bandar Hama sebagai memprotes rejim Presiden Bashar al-Assad.

Menurut Kementerian Luar Perancis di Paris, tiga kakitangan mereka cedera dalam serangan itu, manakala pegawai AS mengesahkan tidak ada kakitangan mereka yang cedera.

Penyokong Presiden dilaporkan menyerang pejabat kedutaan dengan menggunakan alat pemukul dan memecahkan tingkap serta merosakkan kenderaan di bangunan tersebut, sementara pasukan keselamatan hanya melihat.

Seorang jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian berkata, beberapa tingkap di bangunan kedutaan Perancis pecah dan bendera Syria dikibarkan.

“Sebuah kenderaan milik kakitangan kedutaan itu turut rosak dan gambar Presiden Assad dikibarkan di kawasan bangunan tersebut,” katanya. – AFP

4 penculik terlepas hukuman mati

9 Syaaban 1432H. [MOD] -



Dari kiri Siong Huat, Cheng Yong, Kok Peng dan Kim Low dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Empat lelaki menarik nafas lega apabila terselamat daripada hukuman gantung sampai mati kerana menculik dua beranak bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM2.03 juta tiga tahun lalu.
Ng Kim Low, 38, Tan Kok Peng, 53, Lim Cheng Yong, 40 dan Ching Siong Huat, 44, masing-masing sebaliknya dijatuhi hukuman penjara di antara enam dan 13 tahun selain sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan pilihan berkaitan kes tersebut.
Keempat-empat tertuduh pada asalnya didakwa atas dua tuduhan menculik seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dan ibunya berumur 45 tahun bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.03 juta di hadapan sebuah rumah di Jalan Bulat, Taman Abad di sini pada pukul 11.40 pagi, 6 Oktober 2008.

Gempa bumi 6.2 magnitud gegar tengah Filipina

9 Syaaban 1432H. [MOD] -

MANILA: Gempa bumi kuat berukuran 6.2 magnitud menggegarkan perairan tengah Filipina awal hari ini tetapi tiada kerosakan akibat kejadian berkenaan.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Institut Kajian Gunung Berapi dan Seismologi negara itu berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 4:47 pagi waktu tempatan, 83 kilometer barat daya Pulau Negro.

Kejadian itu dirasai berdekatan bandar utama terdekat iaitu Sipalay. - REUTERS

Nenek ditumbuk, ditendang peragut

9 Syaaban 1432H. [MOD] -



AZHAM (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Rahimah yang cedera parah selepas diragut di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU – Kegembiraan seorang wanita yang baru seminggu bergelar nenek untuk melawat anak dan cucunya bertukar malang apabila dia cedera parah selepas terjatuh ditendang peragut yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal di Lundang di sini kelmarin.
Akibat kejadian itu, pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), Che Rahimah Dollah, 44, yang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Telipot patah tangan kanan, patah sebatang gigi, cedera di kepala dan terpaksa menerima 10 jahitan.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Jalan Yahya Petra berhampiran Kompleks Balai Islam di Lundang, Che Rahimah telah diragut oleh dua lelaki menunggang motosikal yang telah mengekorinya.
Sebaik terjatuh dari motosikal, mangsa terus pengsan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kubang Kerian dipercayai telah diekori dua lelaki bermotosikal selepas suspek melihat beg tangan mangsa diletakkan dalam raga motosikal.
“Semasa suspek cuba merampas beg tangan dalam raga, mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu.
“Geram dengan tindakan mangsa yang tidak mahu melepaskan beg tangan itu, suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menumbuk mangsa sebelum menendang pula motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa di HRPZ II petang semalam.