30 June 2011

Khalil Idham Lim : Mengenai 14 Tahanan BERSIH

28 Rejab 1432H. [MOD] -


Kenyatan media oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat berkaitan tahanan 14 orang di Pekan Sungai Siput

9 Julai 'Hari Gotong Royong Negara'

28 Rejab 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM, 30 Jun: Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi mengisytiharkan Himpunan Bersih pada 9 Julai depan sebagai Hari Gotong Royong Perdana Peringkat Negara.
Sebelum itu, beliau menggambarkan suasana hanyir dan meloyakan dengan segala macam sampah sosial berselerakan di seluruh pelosok negara menerusi sebuah sajak khas untuk Bersih.
Antara bait sajaknya berbunyi: 'Rasuah berselerak di laman politik negara' yang menggambarkan keadaan politik yang penuh dengan kucar kacir ditambah suasana pilihan raya yang tidak adil dan bersih.
Beliau menyeru semua golongan masyarakat agar hadir dalam himpunan 9 Julai depan untuk sama-sama bergotong royong membersihkan negara dari segala kekotoran memualkan selama ini.
Ustaz Nasrudin berbuat demikian mengakhiri pidatonya di Majlis Solat Hajat dan Pidato Perdana yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini malam tadi.
Turut berucap adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; wakil Suaram, K Arumugam, Ketua Muslimat Selangor, Ustaz Wan Hasrina Hassan.
Berucap sama adalah Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Peguam Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Mohd Ridwan.
Dalam ucapannya juga, Nasrudin menyatakan memang tunjuk perasaan atau demontrasi mesti dilakukan secara beramai-ramai dan tidak boleh dilakukan seorang diri.
“Pergilah buat demontrasi seorang diri di mana-mana tepi jalan atau pun taman bunga dan menjeritlah kuat-kuat, bukan FRU yang datang tapi ambulans kerana dikatakan orang itu sudah tidak betul,” selorohnya.
Ustaz Nasrudin juga sempat membetulkan kefahaman rakyat tentang erti sebuah hadis.
Menurutnya, selama ini orang ramai menterjemahkan hadis berkenaan dengan erti yang salah menyebabkan tiada apa-apa berlaku meskipun sudah lama membaca hadis tersebut.
Katanya, perkataan 'mengubah' dalam Hadis bila kamu melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangan, lidah dan hati itu perlu dibetulkan kepada perkataan 'menukar'.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar jangan bimbang kerana Pemuda PAS Malaysia menyediakan semua keperluan seperti 300 peguam dan paramedik terdiri daripada pengamal perubatan yang akan memberikan rawatan awal jika berlaku apa-apa melibatkan kecederaan.
Sementara itu, Zamri juga memberi jaminan 300 peguam akan berkhidmat pada hari itu.
"Mereka bukan sahaja datang untuk memberikan khidmat nasihat perundangan kepada peserta Himpunan Bersih malah mereka juga akan berarak sama pada 9 Julai depan," tegasnya.

Subversif: Pemuda PAS tempelak Reezal Merican

28 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 30 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menempelak kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican dalam Utusan Malaysia hari ini yang menuduh PAS, PKR, DAP dan Sekretariat Bersih mengamalkan kegiatan subversif dan anarki.
“Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS mencabar Pemuda Umno khususnya Reezal Merican untuk membuktikan apakah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan rakyat berhimpun secara aman dan tanpa senjata?
“Sedangkan saya mahu Reezal Merican melihat apakah tindakan provokasi ratusan Pemuda Umno Malaysia yang berhimpun untuk mengecam dan mencabar untuk membakar bangunan Parti Keadilan Rakyat beberapa malam yang lalu adalah perbuatan sopan dan baik,” kata ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi.
Beliau mempersoalkan adakah Reezal Merican sedar bahawa Pertubuhan Peribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang melancarkan Gerak Aman dan Pahlawan Keamanan sambil melontarkan beberapa kenyataan berbaur pertembungan fizikal bukan sesuatu yang mengancam keamanan negara.
Malah, tanya beliau lagi adakah Reezal Merican tahu terdapat pertubuhan silat di negara ini yang bersedia untuk menghalang peserta himpunan aman Bersih 9 Julai dengan tanpa jaminan bahawa anak-anak buah pertubuhan silat itu akan melakukan tindak balas yang agresif.
Katanya, sejak Sekretariat Bersih mengumumkan Himpunan Aman Bersih 2.0, tidak ada satu pun kenyataan kami yang menggambarkan akan berlaku kekacauan dan huru hara pada hari tersebut.
Tetapi sebenarnya, kata beliau reaksi emosional Umno termasuk rangkaian dan media miliknya yang cuba menanamkan rasa takut kepada jiwa rakyat sehingga pelbagai ancaman dilemparkan penganjur Bersih.
“Siapakah sebenarnya yang cuba bersikap subversif?
“Oleh yang demikian, saya tetap menyeru kepada rakyat khususnya anak muda yang cintakan keadilan di Malaysia dan menginginkan kehidupan yang lebih baik di negara ini agar dapat turun menyatakan sokongan tanpa rasa takut kerana perhimpunan ini dijamin di sisi Perlembagaan Persekutuan dan ia akan dilakukan secara aman tanpa sebarang perancangan dan agenda sulit,” katanya.  

Baju kuning pun jadi sasaran polis

28 Rejab 1432H. [MOD] -

Polis terus mengasak penyokong BERSIH 2.0 dengan menangkap mereka yang berpakaian kuning, termasuk dua lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat di Perak.

NONEAhli parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye (kiri) dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai berserta dua lagi anggota PKR ditangkap di sebuah pasar di Gunung Rapat pagi ini kerana berpakaian kuning.

Lee mendakwa beliau dicekup sebaik tiba sekitar pasar itu pada jam 9 pagi. Wakil rakyat PKR itu terus digari dan diheret ke ibu pejabat polis daerah Ipoh.

"Saya tidak memakai kemeja T BERSIH, ia hanya baju biasa yang berwarna kuning. Saya baru tiba di pasar dan mula berjabat tangan dengan pengundi, kemudian mereka menahan saya,” katanya ketika dihubungi.

Lee juga berkata beliau tidak mengedarkan sebarang risalah atau membawa sebarang sepanduk ketika itu.

Menurutnya, polis memaklumkan kepadanya beliau ditangkap mengikut Akta Polis bagi menghalang perhimpunan haram.Semalam, di Sungai Siput, Perak polis menangkap ADUN Jalong Leong Mei Ming dan ADUN Teja Chang Lih Kang kerana memakai kemeja BERSIH.

Ahad lalu, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan 14 aktivis PSM ditahan polis di tol Sungai Dua ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis bertema "Udahlah...Bersaralah".

Malaysiakini/-

Jika pilihanraya bersih, BN dah lama kecundang.

28 Rejab 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
Pejabat ADUN Titi Serong/
Ketua Sekretariat PR Perak.

Saya ingin menjawab ucapan Perdana Menteri Malaysia yang berkata bahawa pilihan raya Malaysia bebas dari sebarang penipuan, kerana jika benar pilihan raya Malaysia bersih, kenapa suara bersih yang diwakili rakyat wujud ? Dan kenapa pula BN semacam tersangat takut kepada Bersih sehingga bertindak diluar batas undang-undang ?.

Perdana Menteri berfikir rakyat malaysia bodoh dengan mengambil contoh bahawa Negara bebas dari politik kotor apabila tahun 2008 Pakatan Rakyat telah menang di beberapa negeri serta bn hilang kuasa dua pertiga dan kononnya fakta tersebut menjadi kayu ukur bahawa UMNO-BN tidak pernah penyelewengan dalam sistem politik tanah air.

Saya ingin nyatakan kepada UMNO BN bahawa jika benar demokrasi Malaysia itu diletakkan betul pada tempatnya, dalam kata lain politik Malaysia adalah yang paling telus dan bebas dari sebarang unsur penipuan dan manipulasi, BN telah lama tumbang dan kecundang.

Isu sebenar yang cuba ditutup UMNO BN ialah mereka tidak percaya boleh menang di setiap pilihan raya jika tiada unsur penipuan dalam pengurusan pilhan raya.

SPR bagaikan parti komponen UMNO-BN yang jelas memihak, saya beri contoh, lawan BN iaitu PR berpencak dalam satu gelanggang dalam keadaan mulutnya,tangan serta kaki PR diikat, hanya mata sahaja dibiar dan cuma mampu melihat, kemudian bertarung, keputusannya, SPR kata BN menang.

Sebenarnya BN sangat bergantung kepada pengundi hantu serta segala macam hal serta isu amalan politik dan pilihan raya yang tidak bersih yang menentukan nasib BN pada setiap kali pilihan raya.

Mengapa saya berkata begitu, kerana berdasarkan tuntutan-tuntutan yang telah dikemukakan pada bersih edisi pertama, sebanyak 7 tuntutan semuanya, sehingga sekarang, satu pun tidak dilayan oleh kerajaan UMNO BN.

Sebab itulah apabila Perdana Menteri berkata bahawa rakyatlah yang menjadi penentu kepada nasib parti itu adalah satu pembohongan yang besar terhadap seluruh rakyat Malaysia.

Rakyat bermati-matian melakukan demonstrasi di jalanan secara aman untuk mendapatkan perhatian kerajaan, tiada respon dan perubahan dilakukan oleh pemerintah dan telah meletakkan Malaysia sangat mundur dari amalan demokrasi yang bersih.

Pemikiran rakyat ditentukan sejauh mana pemimpinnya mampu berfikir, kita amat malu dengan Negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura dalam aspek ini, jika mahu dibanding dari segi kemajuan gaya fikir pemimpin Negara kita berbanding dengan Negara jiran kita, perbezaannya bagaikan langit dan bumi.

Justeru persoalan adakah benar dakwaan najib tentang isu ini? Jawapannya tidak, kerana kita boleh lihat sendiri dengan mata kepala bagaimanakah UMNO BN yang memberi respon negatif terhadap himpunan bersih 2.0 dengan menafikan 8 tuntutan rakyat yang merupakan isu sebenar. Himpunan Bersih tidak akan berbangkit sekiranya semua tuntutan dilayan oleh mereka.

Rakyat yang berhimpun pada 9 Julai ini bukan mahu meminta wang. Dan mereka telah memomokkan himpunan tersebut dengan berbagai momokan dan melakukan pelbagai provokasi awal, tohmahan dan tuduhan yang tidak masuk akal langsung dilakukan bagi menghalang himpunan bersih..

Sehingga ada di sesetengah kawasan yang menganjurkan munajat sempena bersih, tempat parkir kereta ditabur paku oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghalang Bersih dengan cara yang tidak bertamadun.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 30 Jun 2011.

Cadang usul pinda akta bukti tuntutan Bersih benar

28 Rejab 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
Pejabat ADUN Titi Serong/
Ketua Sekretariat PR Perak.

Saya ingin menegaskan bahawa UMNO-BN sendiri telah mengakui bahawa sistem pilihan raya anah air memang wujud penipuan dan tidak bersih.

Ini terbukti apabila Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mempersoal mengapa ahli Dewan Rakyat dari PR tidak mengusulkan di Dewan Rakyat untuk meminda akta tersebut.

Apakah tujuan beliau mempersoal mengapa tiada sebarang usul dari Ahli Parlimen PR bagi meminda Akta Pilihan Raya walaupun telah mendapat tempat di kerusi Parlimen sejak Pilihan Raya Umum 2008.Saya lihat Umno dan seluruh ahli BN yang hampir karam telah kelam kabut sehingga boleh mengakui sendiri bahawa sistem pilihan raya yang dikelola sendiri oleh mereka melalui ejennya iaitu SPR tidak betul dan perlu diubah melalui Ahli Parlimen PR.

Ini disebabkan seluruh ahli UMNO terlalu takut dengan pemimpin atasan mereka, itulah sebabnya mengapa tidak ada yang berani menegur sistem yang tidak betul ini.

Satu perkembangan baik apabila ada antara pemimpin mereka yang mengakui bahawa wujud suatu yang tidak kena dalam Negara dan harus segera diperbetul.

Perbetul sistem dalam situasi sekarang ialah dengan mengubah kerajaan BN yang telah lama korup kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang telah terbukti cemerlang di lima negeri dibawah pentadbiran PR berbanding negeri-negeri BN yang telah jauh ketinggalan adalah tindakan tepat menjelang PRU 13 nanti.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 30 Jun 2011.

KP JKR: PAS serah aduan kepada PAC

28 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 30 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini menyerahkan aduan kepada jawatankuasa kira-kira wang negara (PAC) berhubung konflik terdapat dua ketua pengarah di Jabatan Kerja Raya (JKR).
Aduan itu diserahkan kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid.
Turut serta Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Aduan itu menggesa PAC menyiasat implikasi kewangan kerajaan kerana terpaksa membayar gaji kepada dua orang ketua pengarah.
Beliau merujuk kepada jawatan itu yang kini disandang oleh Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim dan Datuk Mohd. Noor Yaacob.
Akhir April lalu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Datuk Seri Dr. Judin ditukar jawatan daripada Ketua Pengarah JKR kepada Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu.
Tempatnya itu diisi oleh Datuk Mohd. Noor Yaacob iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II sebelum ini.
Bagaimanapun pertukaran itu ditolak Judin sekaligus menjadikan wujud dua ketua pengarah di jabatan itu. Menurut peraturan yang ada, pegawai Turus 3 seperti Judin berhak menolak sebarang pertukaran sebegitu jika beliau tidak bersetuju dengannya.
Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perlantikan dan pertukaran yang dibuat KSN itu melanggar, Perkara 134 Perlembagaan Persekutuan.
Ia termasuk Fasal 12 dan 13 PU (A) 176 berkaitan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Perlantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 dan Perkara 4(a) Bahagian II, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008.
KSN bohongi Agong
Menurut Mahfuz, beliau tidak menolak kemungkinan KSN membohongi Yang di-Pertuan Agong dalam isu perlantikan itu.
Menurutnya, sepatutnya KSN mesti mendapat persetujuan tiga pihak iaitu pihak yang hendak mengeluarkan pegawai, pihak yang hendak menerima dan pegawai itu sendiri sebelum menghadap Agong.
Sehubungan itu, beliau akan membuat satu laporan polis berhubung perkara itu.

Saya akan berbaju kuning raya nanti

28 Rejab 1432H. [MOD] -


Semakin lara kita didera bara, kita laungkan juga pesan merdeka, demokrasi sebenderang mentari, sehasrat hajat semurni harga diri - A. Samad Said.

Kuning melambangkan kebijaksanaan.
Tarikh 9 Julai semakin menghampiri, sana-sini cakap-cakap semakin hangat, dari masyarakat bandar Facebook hingga ke penduduk rumah panjang. Terima kasih kepada RTM dan Utusan untuk publisiti percuma.

Rakyat mampu membezakan. Satu perkara yang pasti, semua tetap menantikan perhimpunan ramai itu.

Suhakam, sebagai pelindung kepada hak asasi manusia di Malaysia, menyarankan kepada pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut. Dan parti-parti politik yang terlibat, pastikan perhimpunan ini berlangsung dalam keadaan aman dan tertib tanpa menimbulkan sebarang huru-hara. Namun masih terdengar ayat-ayat berbunyi 'ancaman kepada negara', sebagai alasan bagi mengganggu kelancaran perhimpunan yang dirancang ini.

'Perhimpunan ini bukan sahaja mengganggu keamanan, malah menyebabkan berlakunya kesesakan lalu-lintas yang teruk,' menurut seorang pegawai atasan polis. Sebaliknya, wargakota tetap juga perlu melalui kesesakan yang sebegitu apabila tiba waktu untuk latihan perbarisan di Dataran Merdeka. 

Sebagai salah seorang wargakota, saya juga turut terlibat dalam kesesakan tersebut dan tersekat di Jalan Lok Yew. Saya melalui waktu tersebut sambil mendengar siaran pagi di radio. Tiada kedengaran pun mana-mana aduan daripada wargakota. Kami memahami. Tolonglah, harap-harap tiada latihan sekatan jalan raya pada 9 Julai ini.

"Demokrasi telah menarik minat pihak pelabur asing. Kebebasan menarik minat pelancong." Maka seseorang pula telah berkata, "Para pelabur akan lari kerana keadaan huru-hara yang melanda negara." 

Siapa yang hendak diperbodohkan? Para pelabur sudah tentunya sangat bijak untuk menilai keboleh-upayaan sesuatu pelaburan dijalankan dan keadaan politik semasa yang menjadi ukuran.

"Pihak penganjur perhimpunan Bersih 2.0 patut menimbang kesan perhimpunan yang diadakan kepada penjual dan pengguna di laluan-laluan yang terlibat," kata seorang menteri. Seorang jurucakap Bersih kemudian meyakinkan, 'sekurang-kurangnya RM30 juta aliran tunai akan berlaku sepanjang 3 jam perhimpunan tersebut, mengambil-kira kebarangkalian 300,000 yang akan turun pada hari tersebut yang sekurang-kurangnya mempunyai RM100 dalam poket masing-masing." Ditambah pula dengan penggunaan PLUS, MAS, AirAsia, KTMB dan operasi bas pada hujung minggu, mari kita tunggu PEMANDU bentangkan perbelanjaan pada hari tersebut.

Demonstrasi tidak melambangkan keIslaman? Bukan identiti budaya Melayu? Seorang ilmuwan Islam pernah menyebut, "Adalah suatu kewajipan bagi setiap Muslim untuk menyokong perkataan atau pendirian untuk memperjuangkan kebenaran," serta pada masa yang sama "adalah salah bagi peserta demonstrasi dan pihak polis bertindak memprovokasi sesiapa atau mana-mana pihak yang boleh menimbulkan kekecohan. Pihak polis patut sedar bahawa tujuan demonstrasi ini diadakan adalah murni dan untuk kebaikan negara, rakyat dan pihak polis sendiri. Ramai yang dipenjarakan kerana terlalu berani mengkritik pihak berkuasa untuk menegakkan keadilan di zaman nenek moyang kita dahulu. Kita adalah pewaris yang patut meneruskan perjuangan Muslim dan negara demokrasi ini.

William E. Simon pernah berkata, "Ahli politik yang jahat dihantar ke Washington oleh rakyat budiman yang tidak mengundi."

Lalu saya dapati, tiada alasan untuk saya tidak menyokong penuh Bersih 2.0, perarakan menuntut demokrasi. Ia menuntut kepada 8 tuntutan segera, 

1. Pembersihan senarai daftar pemilih,
2. Reformasi undi pos, 
3. Penggunaan dakwat kekal, 
4. Tempoh kempen 21 hari, 
5. Media adil dan bebas, 
6. Pengukuhan institusi awam, 
7. Hentikan rasuah dan 
8. Hentikan politik kotor.

Suhakam dalam kenyataannya, menegaskan adalah menjadi hak rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pandangan secara aman seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan juga Perkara 20 (1) dalam Universal Declaration of Human Right (UDHR).

Namun, memakai baju kuning adalah satu kesalahan di negara ini, sekurang-kurangnya sehingga 9 Julai ini.

Walau apa pun, kuning adalah warna pilihan untuk baju raya saya pada tahun ini. Harap-harap saya tidak akan ditangkap ketika mendukung anak saya, yang lengkap berbaju Melayu kuning dan bersampin serta bersongkok, berbaris menunggu duit raya dan ketupat di rumah terbuka yang akan diadakan di rumah Pak Menteri kita. Niat saya ikhlas, hanya ingin berjabat tangan dengan pendukung demokrasi negara sahaja.

Hanya satu kunjungan hormat.

Harakahdaily

Peneroka saman Felcra RM100 juta

28 Rejab 1432H. [MOD] -



RANTAU PANJANG, 30 Jun: Pada 1970 sekumpulan lebih 70 penduduk dari Gual Ipoh, Tanah Merah dan beberapa tempat lain meneroka tanah di Bukit Tandak di sini untuk dijadikan kebun.
Bagaimanapun selepas kerajaan PAS tewas pada 1978 kawasan yang diteroka itu disertai lebih ramai lagi peneroka lain sehingga menyebabkan berlaku perebutan.
Namun Timbalan Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Hussien Ahmad meminta peneroka terbabit menyerah tanah yang diteroka kepada Felcra untuk diurus bagi menyelesai pertelingkahan.
Malangnya kumpulan kedua yang datang kemudian difahamkan berjaya mendapat geran kebun seluas tiga ekar, sedangkan peneroka awal diketepikan.
Dan lebih malang lagi sejak tanah tersebut diserah kepada Felcra peneroka tidak mendapat sebarang dividen daripada agensi kerajaan pusat terbabit seperti dijanjikan.
“Pakcik amat sedih kerana kita mengharap tanah yang diusaha menjadi sumber rezeki namun tidak menjadi kenyataan kerana Felcra enggan membayar sebarang dividen.
“Keadaan itu menyebabkan penduduk terpaksa mencari kerja lain termasuk menoreh pawah di kebun getah milik orang lain.
“Kita sudah habis ikhtiar mendapatkan semula hak ke atas kebun yang diserah kepada Felcra namun tidak berjaya. Cuma sekarang kerajaan negeri berusaha menyelesaikannya,” kata Abdullah Mustapha, 69.
Beliau antara generasi pertama meneroka tanah di kawasan itu bersama Muhamad Muhd Kassim, 63 yang dilantik sebagai ketua bagi kumpulan peneroka terbabit.
Sebahagian besar daripada 180 peneroka di Kampung Rahmat Felcra Bukit Tandak menghadiri perjumpaan bersama anggota Exco, Datuk Husam Musa dan wakil rakyat malam tadi.
Hadir sama Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Adun Kadok, Azami Mohd Nor, peguam, Helmi Abdullah dan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur, Datuk Maarof.
Sebelum majlis penerangan bermula mereka menunaikan solat hajat di rumah Mohamad. Peneroka yang hadir serius mendengar penjelasan diberi anggota Exco dan peguam.
Mohamad juga masih menyimpan segala dokumen berkaitan bagi mengesahkan mereka merupakan peneroka awal tanah tersebut sebelum dimajukan Felcra.
Tanah diurus Felcra di Bukit Tandak dianggap kerajaan diteroka secara haram kerana tidak mempunyai sebarang geran hak milik.
Ekoran itu kerajaan negeri mengambil balik semula tanah tersebut daripada Felcra pada 2008 bagi membolehkan peneroka asal diberi semula hak mereka.
Muhamad berkata, pada peringkat awal Felcra menjanjikan mahu membayar dividen kepada peneroka namun sehingga 2008 tiada bayaran dibuat.
“Saya sebagai mewakili peneroka menuntut Felcra membayar RM100 juta memadangkan sepanjang tempoh 30 tahun tiada satu sen pun dibayar kepada peneroka,” katanya.
Pada majlis itu juga Mohamad menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada peguam untuk membolehkan kes tuntutan terhadap Felcra dibawa ke mahkamah sekiranya notis bayaran tidak diendahkan.
Husam berkata, kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah yang begitu lama berlarutan di Felcra Bukit Tandak bagi membolehkan peneroka awal mendapat hak mereka.

Gerai Makan Taman Seroja Mohon Tandas Awam untuk Kemudahan Perniaga dan Pelanggan

29 Rejab 1432H. [MOD] -

Gambar Gerai Makan Taman Seroja waktu malam

Sudah berpuluh tahun tapak gerai makan di Taman Seroja di Miri tidak diberi kemudahan asas seperti tandas awam. Baru-baru ini kami mendapat aduan dari perniaga dan pelangan di gerai makan taman seroja mengatakan tempat gerai makan mereka memang tidak disediakan tandas awam dari dahulu lagi.

Mereka atau pelanggan yang hendak membuang air kecil atau besar terpaksa menyeberang jalan ke tandas yang berdekatan seperti hotel dan dewan masyarakat untuk melepaskan hajat mereka.

Kalau waktu hujan atau waktu malam memang sukar bagi perniaga atau pelanggan wanita dan kanak-kanak untuk melepaskan hajat mereka sebab tandas yang jauh dari tempat gerai makan tersebut.

Selain daripada kebersihan dan keselamatan perniagaan dan pengguna, khususnya wanita dan kanak-kanak yang terpaksa menyeberangi jalan yang sibuk dengan lalu lintas.

Apabila tandas jauh dari pandangan orang ramai ia boleh menarik kejadian yang tidak diingini yang boleh berlaku seperti meragut dan sebagainya terutama kepada wanita dan kanak-kanak yang pergi bersendirian ke tandas pada waktu malam.

Kami menyarankan pihak berwajib seperti MBM mengambil inisiatif untuk membina Tandas Awam di Taman Seroja ini kerana inilah satu-satunya tempat makan awam yang telah lama bertapak di Bandaraya Miri.

Kami memohon agar pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan asas kepada orang ramai.

Jika pihak MBM meluluskan peruntukan dana untuk membina tandas, kita dari PAS mahu bekerjasama dengan MBM untuk mencari kontraktor yang berkelayakan dengan harga yang berpatutan untuk membina tandas itu kemudian. Ini adalah tertakluk kepada kelulusan pihak MBM untuk reka bentuk dan keselamatan serta kesesuaian tandas tersebut di tempat awam.

Kemudahan tandas ini adalah penting untuk kegunaan orang ramai. Kita minta pihak yang berwajib patut mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini dari terus berlarutan. Jangan berlaku perkara yang tidak diingini baru sibuk hendak cari penyelesaian. Bertindaklah segera demi keselamatan dan kebajikan untuk semua.

Dari PAS Miri
Jofri Jaraiee

Khalid Samad sertai misi baru ke Gaza

28 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 30 Jun: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus mendakwa misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) dicemari dengan agenda politik Umno BN.
Oleh sebab itulah tegasnya, beliau menarik diri daripada menyertai misi tersebut dan menyertai misi baru yang mempunyai tujuan sama iaitu memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.
Beliau memberitahu bahawa beliau telah menunggu di Arab Saudi pada 20 Jun yang lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai misi tersebut namun tidak dimaklumkan sebarang perkembangan.
"Saya dapat tahu ada banyak campur tangan politik dalam LL4G.
"Saya berada di Saudi Arabia sejak 20 Jun, yang mana Saudi Arabia tak sampai 1,000 kilometer pun dari Gaza tapi tak dapat sebarang maklumat pun daripada pihak penganjur.
"Jadi saya rasa mereka tak serius itu sebablah saya tarik diri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau membangkitkan kembali isu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang tidak dibenarkan berucap dalam program pelancaran LL4G 18 Jun lalu.
Beliau mempersoalkan sikap ketua misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin yang menafikan mendapat tekanan daripada pejabat Perdana Menteri sedangkan pada awalnya mengakui perkara tersebut.
"Timbalan Presiden PAS tak dibenar berucap pada pelancaran LL4G 18 Jun. Penganjur Dr Nor Azman telefon bagitahu atas sebab tekanan dari JPM.
"Tapi lepas Mat Sabu buat sidang media, Nor Azman nafi pula ada tekanan. Saya tanya kenapa perlu menipu, dia beri pandangan negatif kepada Timbalan Presiden PAS.
"Dia kata kenyataan itu tak betul, dia ditanya waktu memandu, jadi soalan tak jelas. Nak buat keluar kenyataan baru, malangnya kenyataan menyokong (JPM)," katanya.
Beliau turut mendakwa Umno tidak serius dalam isu Palestin sebaliknya hanya untuk berlagak hero.
"Ini menunjukkan mereka tidak serius, saja nak tunjuk bela Palestin tetapi sehingga hari ini mereka  tak iktiraf Hamas," katanya.
Dengan nada seloroh, Khalid berkata Umno BN seperti sudah terkena 'sumpahan' apabila segala program yang disertai parti itu akan tercemar dengan agenda politik mereka.
"Umno ni kena sumpahan, macam sejarah King Midas dulu pegang semua benda akan jadi emas, tapi Umno pegang apa sahaja jadi kotor, termasuklah pilihan raya, dan program LL4G ini," katanya.
Misi baru sebelum Ramadhan
Bagaimanapun kata Khalid, beliau tetap akan menyertai satu misi baru dengan tujuan sama yang akan disertai NGO Cakna Palestin, Muslim Care dan Mawaddah.
"Kita akan buat misi baru.Masuk pintu Rafah, dan akan masuk sebelum Ramadhan.
"Kita dah hantar surat ke Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di Mesir," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata PAS konsisten dalam membawa isu kemanusiaan dan sanggup bekerjasama dengan mana-mana parti sekali pun.
"PAS konsisten, dulu Presiden Ustaz  Fadzil Nor duduk bersama Tun Mahathir dalam forum di dewan bahasa (dan pustaka) bincang isu Palestin.
"Tapi Umno sekarang, duduk sepentas dengan PAS pun tak mahu," katanya yang juga ahli Parlimen Tumpat.

Baju kuning: Pakai tak salah, tangkap salah

28 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 30 Jun: AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin (gambar)berkata, memakai baju kuning berlambang Bersih adalah tidak haram kerana tiada mana undang-undang yang melarang pemakaian baju kuning.
“Yang salah dan haram adalah tidak memakai baju dan seluar di khalayak ramai,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya, polis yang menangkap mereka yang memakai baju kuning berlambang Bersih telah bertindak di luar batas undang-undang dan boleh disaman kerana melakukan tangkapan yang tidak sah.
Jelasnya lagi, Perkara 5 [1 ] Perlembagaan Persekutuan secara jelas melindungi mana-mana orang dari dilucutkan kebebasannya (deprived his liberty) kecuali menurut undang-undang.
“Menangkap mana mana orang yang memakai baju Bersih sedangkan memakai baju tersebut tidak dilarang oleh mana-mana undang-undang adalah melibatkan pelucutan kebebasan seseorang dan yang demikian ianya melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya yang juga pengamal undang-undang.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada portal Malaysikini semalam yang melaporkan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyokong tindakan polis menangkap mereka yang memakai baju kuning berlabelkan Bersih.
Ini kerana ujar Hishamuddin adalah haram memakai baju kuning tersebut.
Kata Hanipa, bagi Umno dan Hishammuddin janganlah terlalu paranoid dengan warna.
Menurutnya, jika satu waktu dulu Umno takut dengan warna hijau Petronas kerana warna hijau Petronas dilihat sama dengan warna bendera PAS, kini warna kuning pula yang ditakuti.
“Sampai bila Umno nak takut dengan warna?” soalnya.
Mengenai hujah Hishamuddin adalah jika aktiviti Bersih adalah haram, maka memakai baju kuning Bersih juga adalah haram, beliau bekata malang sungguh bagi rakyat Malaysia kerana mempunyai menteri yang ada kelulusan undang-undang tetapi jahil undang-undang.
“Saya mengesyorkan kepada Hishammuddin jika pun kamu benci sangat dengan Bersih janganlah sampai menggadaikan maruah dan integriti kamu.
“Ada masanya elok juga untuk kita menyembunyikan kejahilan kita,” ujarnya.
Beliau berkata, haram atau halal sesuatu perkara baik dari segi agama atau undang-undang adalah berdasarkan dalil dan bukannya berdasarkan kenyataan menteri.
Mungkin, katanya Hishammuddin boleh tunjukkan kepada kita di bawah peruntukan mana dan di dalam undang-undang mana memakai baju kuning berlambang Bersih adalah satu kesalahan.
“Jika kita menerima hujah Hishamuddin memakai baju kuning Bersih adalah haram kerana aktiviti Bersih adalah haram maka secara logiknya jika seseorang terlibat dengan berlumba motor secara haram, maka segala peralatan yang beliau pakai termasuklah helmet, seluar, jacket kulit dan motor yang beliau tunggang adalah kesemuanya haram,” katanya lagi.

Cubaan rampas baju BERSIH: Ceramah PAS kecoh

28 Rejab 1432H. [MOD] -


Cubaan merampas baju BERSIH oleh beberapa oleh pihak yang disyaki sebagai polis mencetuskan kekecohan dalam ceramah PAS di Shah Alam malam ini.

ceramah pas shah alam chaos, bersih t-shirt confiscatedPada kejadian di sebuah pintu masuk di Stadium Melawati sebentar tadi, beberapa orang dipercayai polis berpakaian biasa bertindak merampas baju BERSIH yang dijual.

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 100 penyokong Pakatan naik angin dan mengerumuni sambil menolak lelaki yang dipercayai polis itu sedikit demi sedikit ke jalan raya.

"Jangan bagi mereka masuk," kedengaran beberapa orang menjerit sesama mereka.

Kelihatan sebuah dua van peronda polis diletakkan sekitar kawasan kejadian sambil menyalakan lampunya.

ceramah pas shah alam chaos, bersih t-shirt confiscatedKekecohan hampir sepuluh minit itu kemudiannya mula reda dengan sebahagian besar orang ramai tadi kembali masuk mendengar ceramah.
Bagaimanapun, semakin ramai anggota Unit Amal PAS - kira-kira 25 orang - mengetatkan kawalan dan mententeramkan penyokong daripada bertindak liar.

Manakala di pihak polis pula, kira-kira 10 anggota masih berlegar di kawasan berkenaan.

Kekecohan tadi menyebabkan beberapa peniaga lain yang menjual lencana dan pengikat kepala BERSIH beralih ke dalam stadium dan menjual sembunyi-sembunyi secara 'jualan langsung'.
Sementara di dalam stadium, anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad meneruskan ucapannya seperti biasa.
ceramah pas shah alam chaos, bersih t-shirt confiscated
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dijadual menyampaikan pidato khas di hadapan kira-kira 3,000 penyokong Pakatan Rakyat selepas ini.

Malaysiakini

Tunjuk perasaan sandiwara Pemuda Umno

28 Rejab 1432H. [MOD] -


JADIKAH Pemuda UMNO mengadakan tunjuk perasaan anti Bersih serentak dengan tunjuk perasaan Bersih pada 9 Julai nanti?
Pemuda UMNO telah membuat keputusan sebulat suara bagi menganjurkan tunjuk perasaannya di tengah polis, kerajaan dan penyokong UMNO dalam berbagai rupa menentang perarakan raksasa Bersih itu.
Sekali pun bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga menteri dalam negeri, Dato Hishammuddin Hussein memberi amaran kepada Pemuda UMNO sama keras dengan yang diberi kepada penganjur Bersih 2.0, tetapi Khairy Jamaluddin, pengganti Dato Hisham memberi alasan tiada sebab ia tidak boleh meneruskannya.
Sekali pun Pemuda UMNO tidak suka dengan objektif tunjuk perasaan Bersih itu, tetapi ia memberikan alasan perlembagaan dan tidak menimbulkan masalah keselamatan betapa unjuk rasanya itu boleh dan mesti diadakan.
Setakat ini Pemuda UMNO tidak ada mengatakan rapat Bersih nanti bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan.
Ertinya jika polis sedia memberi kerjasama, menjalankan kerja yang sewajarnya polis lakukan, maka tiada sebab program Bersih itu tidak boleh diadakan.
Dan Pemuda UMNO pula bukan seorang berdua yang hendak turun. Ia kononnya bersedia mengerahkan 100,000 orang penyokongnya turun atau sama ramai dengan sasaran Bersih.
Pemuda UMNO itu adalah UMNO. Apa jua motifnya, yang jelas ia melahirkan kenyataan bahawa tunjuk perasaan secara aman oleh siapa saja atas tujuan apa saja dibolehkan.
Setakat ini Perdana Menteri Najib seperti sembunyi tangan atas rancangan Pemuda UMNO mengadakan tunjuk perasaan serentak dengan Bersih.
Persoalannya hanya satu. Mengapa Pemuda UMNO hendak mengadakan tunjuk perasaan reaksinya itu serentak dan di lokasi yang sama dengan Bersih iaitu di Kuala Lumpur?
Ia boleh mengadakannya bila-bila masa dengan seramai-ramai yang ia dapat kumpulkan tetapi tidak di hari yang sama.
Pemuda UMNO ada hak dan berhak untuk tidak bersetuju dengan motif dan objektif  Bersih dan pembangkang. Maka ia boleh mengadakannya di hari lain sebelum atau selepasnya.
Kerana yang menjadi alasan besar rapat itu dilarang ialah kesesakan dan natijahnya. Jika Pemuda UMNO memilih masa lain, maka tidak soal sesak itu menjadi bertambah sesak.
Justeru itu reaksi Pemuda UMNO dipercaya satu sandiwara setelah mendapat isyarat dari lain-lain pihak seperti pemimpin tertinggi UMNO sendiri, seperti unit perang saraf kerajaan serta nasihat intelijen beerbagai pihak termasuk SB.
Tidak mustahil ia satu nasihat dari UPCO, syarikat pro Israel yang menjadi penasihat Perdana Menteri dan kerajaan. Dalam hal-hal seperti ini masakan Perdana Menteri tidak memanfaatkan nasihatnya.
Ada pun suara menteri dalam negeri dan polis yang menyatakan jangan kepada Pemuda UMNO tidak lebih dari episod sandiwara itu sekadar hendak menunjukkan konon dia tidak setuju perkara itu walau dari pihak mana sekali pun.
Tetapi ia adalah satu tindakan saikologi bagi menghalang rancangan Bersih itu sesudah tiada cara ia dapat dihalang.
Apa pun sandiwara Pemuda UMNO itu adalah tindakan sabotaj bagi menggagalkan rancangan tunjuk perasaan aman Bersih itu. Apabila terdapat dua  anasir yang saling berbeza matlamat dalam satu kejadian, maka sukar dijamin tiada apa-apa kejadian nagatif. Itulah kira-kira nasihat yang diisyaratkan kepada Pemuda UMNO itu.
Sebagai gurka UMNO dan gurka kerajaan, apa lagi gunanya Pemuda UMNO kalau tidak mengertakan kerja sabotaj dan peranan khianat terhadap  rancangan bersih Bersih itu.
Penyertaan Pemuda UMNO dan diikut sama oleh seteru ketat Pemuda UMNO iaitu Perkasa pimpinan Ibrahim Ali menambah kuat alasan polis untuk  menghalang projek Bersih 2.0 itu.
Polis tidak ada alasan rasional untuk menyekat demonstrasi aman Bersih.Tindakan polis selama ini tentang perhimpunan seperti itu adalah mencerminkan cara bekerja polis dan kerajaan benua Afrika dan benua Arab, tidak masuk kelas bertaraf dunia.
Jika polis bertindak macam itu juga ia adalah tanda lambat lagi Malaysia hendak mencapai bangsa berfikiran maju bertaraf dunia. Najib  mahu jadi pemimpin kepada pemimpin-pmimpin Afrika seperti yang ditunjukkan dalam pertemuan global antarabangsa Langkawi di Putrajaya baru-baru ini.
Malulah Malaysia dan polisnya jika tidak tolerans dengan tunjukan perasaan aman. Maka dengan menyuruh gurka Pemuda UMNO melakukan kerja khianat itu, polis ada ruang bagi menghalangnya. Itulah geliganya sandiwara Khairy sebagai gurka UMNO.

Provokasi keterlaluan Bersih 2.0

28 Rejab 1432H. [MOD] -


1. Saya ingin merujuk kepada laporan berita bertajuk, “Batalkan Jika Tidak Mahu ‘Perang’ – Omardin” yang telah dimuatkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada tarikh 27 Jun 2011. Sejak pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengeluarkan kenyataan media mengenai teknik kerajaan menakutkan rakyat untuk menghadiri Himpunan BERSIH 2.0 beberapa hari lalu, kami telah menjangkakan tekanan dan ugutan yang lebih dahsyat akan dipertingkatkan menjelang 9 Julai nanti.
2. Keadaan pada hari ini bertambah getir apabila provokasi demi provokasi terus dimarakkan oleh akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia. Terbaru, sepertimana petikan daripada laporan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada 27 Jun 2011, secara jelas Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang agak keras dan keterlaluan.
Memetik daripada laporan berita tersebut;
Beliau menasihatkan Ambiga supaya membatalkan segera hasrat menganjurkan perhimpunan  itu kerana khuatir tidak akan dapat mengawal emosi anak-anak didiknya jika mereka bertembung pada perhimpunan itu nanti.
Sebagai pengamal silat,  saya tidak boleh beri jaminan bahawa kami hanya akan melaung dan membantah sahaja. Jadi sekiranya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku, lebih baik batalkan hasrat untuk menganjurkan perhimpunan haram tersebut. 
3. Ugutan sedemikian sebenarnya turut mencemarkan Institusi Budaya dan Seni Silat tanahair kita yang selama ini, secara tradisi dan warisannya sangat dikenali sebagai satu Institusi yang sangat tinggi wibawa dan disiplinnya. Malah begitulah layaknya jiwa dan karektor pendekar - pendekar tanahair yang tinggi budi dan halus pekerti disebalik kehebatan dan keperkasaan ilmu mempertahankan diri. Selayaknya pula pendekar dan satria tanahair digunakan untuk mempertahankan negara dan menegakkan keadilan, bukannya mem'belasah' rakyat sendiri yang mahu menuntut keadilan secara aman. Apakah himpunan untuk menunjuk perasaan rakyat secara aman agar beberapa tuntutan mereka diberi perhatian dan ditunai oleh kerajaan telah menjadi satu kesalahan dalam negara kita? apakah negara kita telah menukar sistem demokrasinya kepada sistem autokrasi?
4. Jika pihak BERSIH 2.0 boleh dan mampu memberi jaminan bahawa pesertanya berdisiplin dan hadir berhimpun dengan aman dan ia adalah satu komitmen yang konsisten dan dipertegaskan berulang kali, kenapa pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara mengeluarkan kenyataan tidak dapat mengawal emosi anak didiknya sehingga boleh mendorong tercetusnya pertembungan.
5. Jika pihak Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara tidak berupaya mengawal emosi anak didiknya, maka usahlah dikerahkan anak didik Pertubuhan Seni Silat Lincah Negara turun pada hari yang sama untuk bertembung dengan pihak BERSIH 2.0 kerana kami bagi pihak BERSIH 2.0 sekali lagi mempertegaskan bahawa kami tidak turun dengan membawa semangat mahu bertembung dengan sesiapa sebaliknya hanya sekadar mahu mengadakan " Berjalan untuk Demokrasi " sambil membawa 8 tuntutan sebagaimana yang telah dimaklumi oleh semua pihak.
6. Hari ini kita dapat saksikan bagaimana pihak kerajaan dan pengamal media tertentu dengan sengaja memainkan peranan seolah-olah ingin merancang suatu keadaan yang huru hara sehingga melibatkan pertembungan fizikal pada 9 Julai ini. DPPM ingin tegaskan bahawa tiada sebarang agenda sulit atau himpunan untuk mencetuskan kekacauan daripada rakyat menerusi anjuran BERSIH 2.0. Ini adalah satu perkara yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.
7. Amat mengecewakan apa yang berlaku hari ini adalah hak rakyat untuk berhimpun telah dinafikan malah diancam dengan pelbagai cara. Ancaman demi ancaman inilah yang membawa kepada kekacauan sebagaimana yang telah dimomokkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Lebih mengecewakan tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap mereka yang mengeluarkan kenyataan berbaur sentimen huru hara berkenaan. DPPM yakin semua pihak mahukan negara yang aman. Maka, tidak perlu provokasi keterlaluan sehingga boleh mengheret rakyat kepada situasi yang menakutkan.
8. Demikian juga dengan beberapa siri himpunan bantahan yang dilakukan oleh pihak pemuda UMNO dan juga PERKASA dengan mengeluarkan kenyataan berupa ugutan dan ancaman sedang pihak BERSIH telah berkali - kali membuat komitmen untuk memastikan Himpunan BERSIH 2.0 kelak akan berlangsung dalam keadaan aman. Malangnya pihak berkuasa tidak pula mengambil tindakan kepada pihak yang mencetus provokasi dan beria - ia mahu berperang, bertembung dan sebagainya. Lebih malang apabila yang menjadi sasaran pihak berkuasa hanyalah BERSIH 2.0 yang bertegas mahu menganjurkan himpunan secara aman .
9. Apakah pihak kerajaan turut bersubahat dengan `pihak yang mencetus provokasi hanya semata - mata tidak mahu melihat himpunan BERSIH 2.0 ini berjaya dilakukan. Situasi ini jelas menunjukkan seawal - awalnya pihak kerajaan telah TIDAK berlaku adil dalam menangani isu ini.
10. Penegasan yang sekali lagi saya mahu utarakan kepada semua khasnya kepada pihak kerajaan bahawa kami terutamanya anak - anak muda yang akan turun pada 9 Julai 2011 kelak adalah mewakili rakyat yang mahukan keadilan , keamanan dan kesejahteraan. Kami tidak turun dengan membawa senjata demikian juga kami tidak sekali - kali akan mencetus provokasi yang mengundang kepada ancaman keselamatan kepada pihak lain. Sebaliknya ikrar kami, hanya turun membawa hati dan perasaan yang mahukan keadilan dan hak diberikan kepada kami secara saksama setelah sekian lama hak kami dinafikan seperti yang tersenarai dalam 8 tuntutan kami.
1. Clean the electoral roll
2. Reform postal ballot
3. Use of indelible ink
4. Minimum 21 days campaign period
5. Free and fair access to media
6. Strengthen public institutions
7. Stop corruption
8. Stop dirty politics
1. Bersihkan senarai undi
• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.
2. Mereformasikan undi pos
• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.
3. Gunakan dakwat kekal
• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.
4. Masa kempen minima 21 hari
• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.
5. Akses media yang bebas dan adil
• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.
6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya:
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.
Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.
Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
7. Hentikan rasuah
Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
Pembelian undi harus dihentikan!
Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.
8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia