27 June 2011

Usul tergempar bincang MP Sg Siput direman

25 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 27 Jun: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, Khamis ini bagi membincangkan mengenai tindakan polis menahan ahli Parlimen Sungai Siput, aDr. Jeyakumar Devaraj dan 30 ahli PSM yang lain.
Mereka yang ditahan di Tol Sungai Dua, Pulau Pinang ditahan reman selama seminggu untuk disoal siasat kerana didakwa mempunyai agenda untuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).
Kesemua mereka menaiki bas dari Selatan menuju ke Utara bagi meneruskan kempen Udahlah...Bersaralah, satu kempen nasional PSM.
Dr. Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) akan mengemukakan usul tersebut bagi menangguhkan mesyuarat di bawah peraturan perkara 18(1).
"Kita ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdiri di belakang rakan kita ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.
"Dr Jeyakumar bukan calang-calang, beliau mengalahkan Samy Vellu dan beliau memperjuangkan hak rakyat bukan sahaja di Sungai Siput tapi si seluruh negara.
"Kita tidak mahu ahli Parlimen kita ditahan hanya kerana memperjuangkan hak rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berharap usul itu akan diterima untuk dibahaskan kerana ia melibatkan hak seorang ahli Parlimen dan kepentingan rakyat.
"Kita bawa usul ini untuk menuntut Dr. Jeyakumar dan anggota PSM yang lain dibebaskan segera kerana ini membabitkan kepentingan rakyat terbanyak," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

RM49 juta biaya rumah PM, TPM

25 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 27 Jun: Kerajaan membelanjakan hampir RM49 juta setahun untuk membiayai kos kediaman rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Lebih tepat, sejumlah RM48,789,115.03 dibelanjakan termasuk kos sewa, kos baik pulih, bil elektrik dan bil air.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz dalam jawapan bertulisnya terhadap soalan Siti Zailah Mohamad Yusof (PAS-Rantau Panjang).
Zailah dalam soalannya mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan jumlah kos tahunan yang terpaksa ditanggung kerajaan bagi membiayai kedua-dua rumah pemimpin negara itu bermula tahun 2006 hingga 2010.
Dalam perincian jawapan yang diberikan itu, Nazri menjelaskan kos sewa untuk dua kediaman rasmi itu adalah berjumlah RM32,972,115.55, kos baik pulih RM3,581,744.78, bil elektrik RM10,267,868.15 dan bil air RM1,967,386.55 untuk satu tahun.
Mengulas jawapan kerajaan itu, Zailah ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, rakyat perlu menilai bagaimana kehidupan pemimpin mereka dalam keadaan rakyat disuruh berjimat.
"Kita boleh tengok, rakyat disuruh berjimat, tapi pemimpin negara belanja kos rumah sahaja hampir RM50 juta setahun," katanya.

Aneka Contoh Profil Syarikat

25 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengenalan

Kita biasa mendengar profil syarikat dalam sesebuah syarikat. Profil syarikat begitu sinonim dan perkara yang perlu ada dan menjadi keperluan dalam mencapai hala tuju syarikat. Tahukah anda, apakah yang dikatakan dengan profil syarikat? Untuk siapakah sesebuah sasaran profil syarikat itu dibangunkan? Secara am, profil syarikat boleh diibaratkan sebagai sebuah platform dan medium dalam memperkenalkan kewujudan dan kekuatan sesebuah syarikat.

Namun begitu, tidak banyak syarikat pada hari ini yang menyediakan profil syarikat malah menganggap perkara ini sebagai suatu bebanan. Oleh hal yang demikian, buku ini ditulis bagi menyediakan panduan dalam menyediakan sesebuah profil syarikat dan kepentingannya.

Justeru, buku ini terbahagi kepada beberapa bahagian yang menerangkan kepentingan profil syarikat sebagai panduan kepada para usahawan dan anda di luar sana dalam menyedia-kan profil syarikat. Buku ini terbahagi kepada lima bahagian seperti yang tertera di bawah:

Bahagian 1 - Apakah profil syarikat?

Bahagian 2 - Untuk siapakah profil syarikat ditulis?

Bahagian 3 - Kepentingan profil syarikat

Bahagian 4 - Format profil syarikat

Bahagian 5 - Aneka contoh profil syarikat

Dalam Bahagian 1, penerangan akan diberi mengenai maksud profil syarikat. Dalam bahagian ini, pembaca akan dapat mengetahui maksud profil syarikat. Hal ini termasuklah cara dan kaedah sesuatu isi penulisan itu dibentangkan. Dalam Bahagian 2 pula, diterangkan sasaran profil syarikat tersebut dan kepada pihak mana yang perlu diberikannya. Hal ini adalah perlu bagi mengetahui prioriti penulisan itu dilaksanakan.

Manakala dalam Bahagian 3 pula, diterangkan kepentingan profil syarikat tersebut dan sebab diperlukan segera. Segala bentuk format penulisan yang dijelaskan dalam Bahagian 4 akan memberikan idea kepada penulis sama ada perlu mengikut format yang tertentu atau tidak.

Akhir sekali, buku ini menyediakan 10 contoh profil syarikat agar dapat memberikan panduan kepada anda dalam usaha membangunkan profil syarikat anda sendiri.

Oleh itu, dengan adanya panduan yang bersertakan contoh-contoh yang saya sediakan dalam buku ini, diharapkan dapat membawa manfaat kepada syarikat anda demi menjana pendapatan yang lebih positif hendak-Nya.

Selamat membaca!

1.0: Apakah profil syarikat?

Profil syarikat merupakan keterangan terperinci berserta butiran perihal syarikat yang memaparkan segala informasi dalaman berkenaan sesebuah organisasi atau syarikat. Dalam erti kata lain, profil syarikat merupakan suatu medium atau platform untuk memperlihatkan kekuatan syarikat anda.

Sesebuah profil syarikat harus mengandungi beberapa aspek penting untuk dipaparkan kepada pihak yang membacanya. Aspek ini termasuklah:

i. Maklumat syarikat

ii. Carta organisasi

iii. Sejarah syarikat

iv. Butiran perniagaan yang dijalankan

v. Matlamat syarikat

vi. Kewangan syarikat

vii. Carta aliran proses perniagaan yang diusahakan

viii. Kerja-kerja yang pernah dijalankan

ix. Kerja-kerja yang sedang dijalankan

x. Pengiktirafan yang diterima (sekiranya ada)

xi. Lampiran sijil-sijil/lesen

xii. Dokumen lain sekiranya perlu

Segala aspek yang ditulis di sebelah haruslah lengkap dan mampu menarik perhatian pembaca. Sekiranya terdapat informasi yang tidak betul, hal ini mampu merosakkan profil syarikat dan seterusnya kredibiliti syarikat anda. Sudah tentunya suatu yang merugikan, bukan? Oleh hal yang demikian, disarankan agar anda memasukkan data-data yang betul dan tidak ditokok tambah keasliannya.

Secara am, profil syarikat merupakan suatu medium terbaik untuk anda memaklumkan kekuatan syarikat. Hal ini merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan supaya syarikat anda berjaya mendapat perhatian daripada mana-mana organisasi yang menilainya bagi mendapatkan sesuatu projek ataupun jaringan perniagaan.

Pelbagai idea kreatif dapat dilihat pada hari ini dalam membangunkan profil syarikat. Ada yang membuat cetakan warna berserta imej-imej yang menarik perhatian, persembahan interaktif melalui cakera padat (CD) atau melalui cetakan berbentuk buku dokumentasi.

Oleh hal yang demikian, perlu bagi sesuatu syarikat mengetahui bahawa pentingnya sesebuah profil syarikat dan sentiasa perlu mengemaskinikannya dari semasa ke semasa. Bagi seseorang Pengarah Urusan syarikat,

beliau perlu menitikberatkan isi kandungan profil syarikat ini supaya tidak mengandungi unsur-unsur yang memesongkan hala tuju syarikat. Justeru, profil syarikat perlu dikemaskini dari semasa ke semasa demi meningkatkan isi kandungannya mengikut aspek yang telah dinyatakan di sebelah.

studioperintis@perintis.com.my

Stadium Tereangganu Runtuh Belum Dibaiki, MB Kecewa

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU 27 JUN : Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said melahirkan rasa kecewanya kerana kajian terhadap punca keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak lebih dua tahun lepas masih belum siap.

Ahmad Said sebelum ini dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kajian insiden itu akan siap sepenuhnya Jun ini, namun beliau kecewa apabila JKR memaklumkan hasil kajian itu hanya akan siap September depan.

"Tetapi apabila mesyuarat minggu lepas, saya dimaklumkan kerja-kerja kajian diserahkan kepada konsultan hanya pada bulan lepas (Mei) dan ia dijangka siap pada September depan.

"Saya merasa agak dukacita di atas kelewatan yang berlaku. Jadi saya tidak dapat komen apa-apa mengenai perkara ini, tanyalah JKR sendiri. Saya kecewalah sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Stadium Negeri dan Terengganu Ekuestrian Resort di sini sempena program sukan tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (Serikandi) selama lima hari mulai 5 Julai ini.

Kerja pembersihan runtuhan di stadium itu telah selesai sejak beberapa bulan lepas setelah bumbung utama stadium itu runtuh pada 2 Jun 2009 selepas digunakan semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia pada 2008.

Namun stadium itu masih terbengkalai apabila kerja baikpulih belum dapat dijalankan sehingga sekarang kerana kajian oleh konsultan belum selesai.

tv selangor/-

Bohong, tidak masuk akal mahu hidupkan komunis

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menafikan keras dakwaan kerajaan bahawa mereka mempunyai agenda untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong dan cuba menghidupkan Parti Komunis Malaya (PKM).

Setiausahanya, S. Arutchelvan berkata, kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar adalah tidak berasas dan tidak masuk akal serta satu pembohongan bermotifkan politik dan sandiwara pihak kerajaan.

"PSM meminta kesemua mereka yang direman dibebaskan serta merta dan pihak kerajaan meminta maaf atas tohmahan yang tidak berasas ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sehingga awal pagi ini, 35 aktivis PSM dan Suara rakyat Malaysia (Suaram) yang ditahan di Tol Sungai Dua sekitar pukul 3.30 petang kelmarin masih belum dibebaskan.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj dalam rangka lawatan ke Sungai Ara, Pulau Pinang untuk menghadiri kempen 'Udah Lah.. Bersaralah!!'

Menyifatkan dakwaan itu sebagai melucukan, Arutchelvan berkata, PSM ialah parti berdaftar yang menjalankan aktiviti secara sah dan ianya sudah diketahui umum.

"PSM berasa lucu bahawa pemerintah cuba mengaitkan PSM dengan komunis dengan terjumpanya beberapa T-shirt dan barangan yang mempunyai imej pemimpin komunis.

"Untuk makluman polis, ini adalah skrip zaman perang dingin di mana hari ini semua bahan ini boleh didapati di pasaran dan dijual secara umum tanpa sebarang sekatan.

"Selain itu, kerajaan Malaysia juga mempunyai hubungan politik dengan Parti Komunis Cina, Vietnam, Cuba dan lain-lain," katanya.

Beliau turut mendakwa tangkapan itu adalah tindakan terancang pihak polis untuk menghalang perhimpunan Bersih 2.0 dan cuba mewujukan suasana darurat bagi membolehkan tangkapan besar-besaran dilakukan.

"Pihak media Umno BN telah menghebohkan tohmahan dan pembohongan ini untuk menakutkan orang ramai menjelang perhimpunan Bersih 2.0.

"PSM menyokong penuh perhimpunan Bersih 2.0 walaupun kempen Udahlah...Bersaralah PSM tidak ada kena mengena dengan Bersih 2.0, tetapi pihak polis cuba mengaitkan dua aktiviti tersebut untuk menyekat perhimpunan Bersih 2.0," katanya.

Tindakan kontradik

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata penangkapan anggota PSM itu sangat bertentangan dengan pendirian kerajaan sebelum ini.

Tegasnya, kerajaan sebelum ini telahpun memberikan pengampunan kepada beberapa pemimpin PKM malah menganugerahkan sejumlah ekar tanah kepada mereka.

"Ini sangat kontradik. Saya tidak tahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin, sedar atau tidak perkara ini.

"PAS menuntut supaya kesemua mereka dibebaskan dengan segera tanpa ada sebarang cas," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan tindakan mengaitkan dengan Komunis sebagai usaha untuk membenarkan Akta Dalam Negeri (ISA) digunakan untuk menangkap pemimpin Bersih seperti Operasi Lalang pada tahun 1987.

Umno sebenarnya rasa diperangi

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula, mendakwa Umno yang sebenarnya rasa diperangi dan cuba mengalihkannya dengan mendakwa PSM cuba memerangi Agong.

Umno dakwanya tidak senang dengan tindakan PSM yang menyebarkan maklumat tentang kepincangan pentadbiran negara kepada rakyat melalui kempen mereka "Udah lah...Bersaralah"

Hazayani Zakaria dan Nazri Abdullah
harakahdaily/-

Bersih 2.0, siapa sebenar pengkhianat

25 Rejab 1432H. [MOD] -

Ketua Penerangan Pas Pusat Idris Ahmad dalam blognya menyatakan tuduhan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa penganjur Bersih 2.0 sebagai pengkhianat perjuangan rakyat adalah tidak tepat.

"Persoalannya, siapakah pengkhianat sebenar? Kenapa Bersih 2.0 yang didokong oleh NGO dan parti-parti politik bertegas mahu berhimpun pada 9 Julai ini, katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan Muhyiddin yang menganggotai penganjur Bersih bukan mereka yang bodoh dan hanya menurut kata oleh mana-mana pihak. Jika mereka mahu mencari jalan selamat dan selesa lebih baik mereka menyertai Perkasa dan Pemuda UMNO yang sentiasa mendapat perlindungan daripada pihak pemerintah.

"Apakah salah sebagai rakyat yang hendak menuntut pilihanraya yang adil seperti penggunaan dakwat, menghapuskan undi pos. Kenapa kerajaan berdolak dalih? Susah sangatkah hendak laksanakan. Jika
kerajaan tidak bersedia untuk menerima tuntutan rakyat, maka sahlah kerajaan BN yang mengkhianat rakyat.

"Oleh kerana rakyat sayangkan negara daripada mala petaka buruk kerana pencabulan demokrasi maka mereka sanggup turun ke perhimpunan Bersih. Sepatutnya beliau tidak boleh menuduh perserta himpunan Bersih khianat kepada keamanan negara.

Menurutnya lagi, kerajaan sepatutnya lebih matang untuk mempertingkatkan ketelusan perjalanan pilihanraya dan usaha penambahbaikan perjalanan pilihanraya. Apabila pihak kerajaan melihat amarah rakyat ketika Bersih 10 November 2007 lalu yang dihadiri lebih 100 ribu orang.

sinarharian/-

Kos lawatan Najib, Rosmah RM17 juta

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dari 2008 hingga 2011 berjumlah RM17,118,650.58.

Perkara itu dimaklumkan kerajaan dalam jawapan bertulis terhadap soalan Tian Chua (PKR-Batu).

Tian Chua dalam soalannya menanyakan Perdana Menteri berapakah jumlah perbelanjaan lawatan rasmi Perdana Menteri dan isteri serta Timbalan Perdana Menteri dan isteri mengikut tarikh, lokasi dan tujuan dari tahun 2008 hingga 2011.

Beliau juga mahu Dewan Rakyat diberitahu berapakah jumlah perbelanjaan mengurus kepada isteri perdana menteri bagi tempoh sama.

Dalam jawapannya, Najib dan Rosmah membelanjakan RM1,739,332.85 pada tahun 2008, RM4,811,837.48 (2009), RM5,140,307.99 (2010) dan RM5,427,172.26 untuk tempoh sehingga Jun 2011.

Tiada perbelanjaan khusus untuk isteri PM.

Bagi peruntukan khas kepada Rosmah pula, Jabatan Perdana Menteri tidak menyediakan peruntukan khas bagi perbelanjaan mengurus.

Perbelanjaan hanya diberi terhadap perkara yang melibatkan Pejabat Perdana Menteri sahaja.

Dalam pada itu, bagi lawatan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yasin dan isteri pula, kerajaan telah membelanjakan RM8,020,328.07 untuk tempoh sama.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat mempersoal belanja yang ditanggung kerajaan terhadap lawatan Rosmah ke Turki atas kapasitinya sebagai First Lady Of Malaysia (Flom).

Ia termasuk lawatan Rosmah ke Turki selama tiga hari dengan ditemani isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun pada 14 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan bahawa tiada peruntukan khusus oleh kerajaan kepada aktiviti First Lady.

Sebelum ini juga, Dewan Rakyat turut dimaklumkan kos keseluruhan lawatan rasmi isteri Rosmah ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh ditanggung kerajaan berjumlah RM134,317.76.

Malah, Rosmah didakwa turut berbelanja hampir RM140,000 bagi penginapan hotel mewah, Atlantis di Dubai hanya untuk satu malam.

Nazri Abdullah
harakahdaily/-

PAS Negeri Sarawak

25 Rejab 1432H. [MOD] -

PAS Negeri Sarawak dalam mesyuarat sulungnya pada Ahad 26 Mei 2011 yang berlangsung di Markaz PAS Negeri di Matang Jaya telah menampilkan beberapa muka baru bagi memperkukuhkan saf kepimpinan PAS dalam mendepani Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Kesemua Kawasan-kawasan telah menghantar wakil Yang Dipertua dan Setiausaha Kawasan dalam mesyuarat tersebut. Pesuruhjaya Negeri; Tuan Haji Adam yakin dengan komposisi Ulama dan Profesional ,serta aktivis PAS dari kalangan penduduk tempatan bakal mengorak perubahan mantap PAS Negeri Sarawak demi untuk membantu kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat menjelang Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Dalam perkembangan berkaitan ,antara sasaran awal adalah untuk mengenalpasti sekurang-kurangnya 4 kerusi Parlimen untuk ditandingi PAS pada Pilihanraya Umum akan datang.

Berikut adalah senarai yang dilantik bagi sesi 2011-2013

Pesuruhjaya: Tuan Haji Adam Ahid
Timb. Pesuruhjaya 1 : Cikgu Syukri bin Hj Ahmad Fauzi
Timb. Pesuruhjaya 2: Ustaz Ibn Hashim
Timb. Pesuruhjaya 3 : Hj Jofri Jaraiee
Setiausaha : Ustaz Fizuan Zaidi
Pen Setiausaha 1: Rasidi Hasan
Pen Setiausaha 2: Syamsul Bahri
Pen Setiausaha 3: Zurina Ahmad
Bendahari : Najib Selamat
Penolong Bendahari : Ustaz Halim Ahmad
Ketua Pemuda : Mohd Arifiriazul Paijo
Ketua Muslimat : Ustazah Sharifah
Ketua Penerangan : Ir Mohd Azwani Abd Rani
Pengarah Pilihanraya : Dr Ahmad Jolhi

AJK

1. Ust Huzaifah
2. Abd Rahim
3. Haji Radzi
4. Syahidullah
5. Ahmad Solihin
6. Haji Ghani
7. Ust Saifullah
8. Haji Omar
9. Dr Hazman
10. Sheikh Sambali
11.M Aizan

Pemuda PAS dibebas awal pagi tadi

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Tujuh pemuda PAS yang ditahan jam 11 tengahari semalam kerana memakai baju Bersih 2.0 di Taman Kosas, Ampang dibebaskan kira-kira jam 2 pagi tadi.

Mereka, Fadzlulrahimi Maarof, Shahril Suhaimi, Engku Faizan Engku Husien, Adha Isa, Fathullah Azam, Rozaimi dan Shafiee Yunos dibebaskan dengan jaminan polis selepas 15 jam ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

Kesemua mereka semalam ditahan kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis "Bersih 2.0" dalam tulisan jawi.

Terdahulu lebih 100 penyokong berkumpul di perkarangan pintu masuk IPD Ampang Jaya bagi mendesak kesemua yang ditahan dibebaskan.

Mereka berhimpun sejak jam 11 malam tadi dan turut disertai Adun Lembah Jaya, Kasim Abdul Aziz dan Adun Cempaka, Iskandar Abdul Samad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin semalam mendakwa mereka memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini.

Beliau juga mendakwa mereka mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit.

Sambil menyelar penahanan itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan polis itu telah memberi imej buruk terhadap penguatkuasaan undang-undang negara kepada dunia luar.

"Mereka hanya memakai baju dan menjual baju Bersih, apa salahnya?

"Ini hanya akan memburukkan imej perlaksanaan demokrasi dan penguatkuasaan undang-undang negara kita," katanya.

Dalam satu lagi tangkapan, seorang pemuda, Mohamad Amin ditahan malam tadi di balai polis Gombak kerana memakai lencana kuning bertulis Bersih 2.0.

Beliau bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan direkodkan pihak polis.

Sementara itu, di padang Gombak Ria pula, majlis penerangan dan pelancaran Bersih 2.0 terpaksa ditukar kepada ceramah Israk Mikraj ekoran dihalang lebih 50 anggota polis.

Kereta penceramah, Riduan Mohamad Nor yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS turut digeledah.

Pintu pagar masuk ke Pusat Khidmat Dun Gombak juga dikepong dan orang ramai dihalang masuk.

Majlis ceramah itu bagaimanapun diteruskan selepas polis mengenakan syarat tidak menyentuh isu himpunan Bersih pada 9 Julai ini.

harakahdaily/-

Kerahan Tenaga Untuk Media Dayus Perdana

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KOMENTAR : Kini seluruh jentera media arus perdana dikerah untuk menakutkan rakyat supaya tidak menyertai Perhimpunan Bersih 9 Julai untuk menuntut sebuah pilihanraya yang adil dan telus.

Media cetak, televisyen dan radio digerakkan untuk merakamkan “keresahan” peniaga mengenai kehilangan rezeki yang menurut media akan mencecah jutaan ringgit. Bagaimana taksiran ini dibuat – Wallahu a‘lam.

Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan, seorang peguam yang amat dihormati, kini dilabel oleh media sebagai tali barut pembangkang yang mahu menjatuhkan BN menerusi demostrasi jalanan.

Rasanya tidak perlu dihuraikan di sini apa yang dilaporkan oleh akhbar dan TV mengenai pemimpin-pemimpin seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan “buah hati” mereka, Anwar Ibrahim.

Akhbar The Star yang selama ini dilihat sebagai “cuba” memberi perimbangan dalam laporan-laporannya, akhirnya tunduk kepada tekanan BN, khususnya Umno, dan kini menfitnah Ambiga, Anwar dan Bersih 2.0 secara keseluruhannya.

Maka secara rasmi, The Star kini menyertai kelab media dayus perdana yang dipelopori oleh Utusan Malaysia, Berita Harian, Tv3 dan New Straits Times.

Hujah The Star dan media arus perdana lain bahawa kononnya Bersih 2.0 akan menyebabkan peniaga rugi berjuta-juta ringgit adalah dangkal dan tidak masuk akal JIKA lunas-lunas demokrasi dihormati.

Antara prinsip demokrasi yang dimaksudkan itu adalah hak rakyat berkumpul secara aman untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu yang dirasakan penting untuk negara.

Malaysia tidak akan “tutup kedai” (shutdown) mahupun mengalami kemusnahan ekonomi (meltdown) jika peserta Bersih dibenarkan berkumpul dan berarak di dua tiga batang jalan raya untuk menyampaikan sebuah memorandum kepada Istana Negara.

Namun jika polis bertindak secara provokasi iaitu menutup jalan , menahan sesiapa yang memakai baju T kuning, menembak gas pemedih mata dan air berkimia terhadap pemimpin dan peserta Bersih serta membelasah mereka dengan belantan – ya, perhimpunan Bersih akan dicemari dengan keganasan.

Segala tindakan polis yang dinyatakan di atas, berlaku pada perhimpunan Bersih pertama tahun 2007.

Sebaliknya, jika polis menjalankan tanggungjawab untuk menyuburkan demokrasi dengan memberi kerjasama kepada penganjur supaya perhimpunan Bersih dilaksanakan secara teratur, adakah ini akan mendatangkan kerugian kepada Negara?

Malah sebaliknya, ia akan menjadi mercutanda betapa suburnya amalan demokrasi di Negara ini dan akan menanam keyakinan pelancong dan pelabur asing betapa sopan, tertib dan teraturnya penghayatan demokrasi di Negara ini.

Pilihan itu hak pihak polis dan pegawai atasan serta menteri serta cabinet Malaysia. Itu baru namanya anak jantan yang sihat akal fikirannya dan murni serta ikhlas akal budinya untuk menabur bakti kepada Negara.

Kerjasama sedemikian oleh polis akan memperagakan kepada pelawat asing, sebuah Malaysia moden yang mengamalkan demokrasi tanpa menjejaskan kehidupan harian.

Tapi sayang, kerjasama polis yang diharapkan adalah ibarat pungguk rindukan bulan.

Polis sudahpun memulakan tangkapan ke atas sesiapa sahaja yang memakai T-shirt Bersih selain penganjur menjadi sasaran.

Apakah yang begitu menakutkan BN mengenai Bersih 2.0 sehingga pemimpin-pemimpin kerajaan, Pemuda Umno, Perkasa, Polis dan media dayus perdana digerakkan secara begitu agresif untuk membanterasnya?

BN sebenarnya khuatir perhimpunan Bersih akan mencetuskan gelombang kemarahan rakyat terhadap Umno-BN kerana mencabuli kewibawaan institusi-institusi seperti Suruhanjaya Pilihanraya.

Dalam beberapa minggu lepas, kebejatan SPR semakin terserlah dengan pendedahan-pendedahan yang menzahirkan masalah pengundi hantu, penukaran pengundi biasa kepada pengundi pos secara haram dan pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Ini diburukkan dengan dakwaan Projek IC Sabah - yang menyaksikan ratusan ribu warga asing diberi kerakyatan Malaysia untuk membolehkan mereka mengundi BN - kini menular ke Semenanjung Malaysia. Pertubuhan Bukan Kerajaan dan parti pembangkang khuatir Umno-BN akan mengotakan janji untuk memenangi PRU-13 dengan apa sekali cara pun.

Wartawan-wartawan kanan di akhbar The Star, New Straits Times, Tv3, malah Utusan Malaysia sendiri cukup arif mengenai isu pengundi hantu dan pengundi pos dan impaknya ke atas keputusan di kerusi-kerusi tertentu semasa PRU yang lalu.

Namun akhbar-akhbar berkenaan tidak menegur SPR di atas kepincangan-kepincangannya, tetapi memilih untuk melancarkan tohmahan dan fitnah terhadap penganjur Bersih 2.0.

Wartawan-wartawan yang pernah mewawancara Ambiga, pengerusi Bersih 2.0, akan memberi pengakuan bahawa beliau seorang berprinsip dan bukan tunduk di bawah telunjuk pembangkang mahupun kerajaan.

Malangnya, pengakuan ini tidak boleh diberikan secara terbuka kerana ia tentunya akan mengundang tindakan daripada media itu sendiri atau Kementerian Dalam Negeri . Itulah realiti politik di negara ini. Kes bekas presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hatta Wahari yang dipecat oleh Utusan kerana mengkritik arah tuju laporan-laporan Utusan adalah contoh hidup dan nyata!

London, New York, New Dehli, Bangkok, Jakarta – semua bandaraya-bandaraya ini sering menyaksikan perhimpunan dan bantahan. Tiada pula laporan system ekonominya ranap kerana demonstrasi.

Hakikatnya adalah, perhimpunan yang bersih dan teratur dengan kawalan polis tidak pernah menyebabkan sebarang masalah kepada peniaga, menyusahkan rakyat atau menggugat kestabilan Negara yang mahukan kelangsungan pemerintah yang menghormati asas demokrasi.

Laksana Dahulu Tuntutan Bersih, Baru "Anak Jantan" - Dr Nasir

25 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 27 JUN : Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak perlu ada keberanian terlebih dahulu untuk menunaikan segala tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0, jika mahu mencabar Pakatan Rakyat bersaing di arena itu pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim yang juga bekas tahanan Bersih 1 pada 2007, Najib sepatutnya hanya mencabar Pakatan Rakyat bertanding selepas beliau melaksanakan gesaan rakyat di bawah gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan di negara ini yang mahukan pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

" Kalau kita lihat semua tuntutan Bersih, ia adalah tuntutan yang memang semua orang mahukan untuk dapatkan pilihan raya yang adil.

" Kalau ini dapat kita laksanakan, lepas itu kita boleh berlawan (secara adil). Sekarang ini kalau pilihan raya memang berat sebelah. Cuba kita lihat tuntutan Bersih itu, boleh mereka kata tidak mahu.. Kalau mereka tak mahu, maknanya mereka tak mahu pilihan raya yang bersih," kata Dr Nasir merujuk kepada pendirian Najib dan rakan-rakannya dalam Umno-Barisan Nasional(BN).

Semalam Najib mencabar Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 sebagai "anak jantan" dan bukan turun di jalanan untuk mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Dakwa Najib, himpunan Bersih 2.0 bukan bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bertujuan mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.

“Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan
berdepan dengan undang-undang,” Najib dipetik sebagai berkata ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di Kuala Lumpur, semalam.

Najib juga turut memberi amaran bahawa beliau akan mempertanggungjawabkan segala insiden pada hari berkenaan kepada Pakatan Rakyat dan mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan akan menerima "akibat" dari perbuatan itu.

Melihat kepada pendirian Najib dan tindakan polis mutakhir ini menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning terutamanya yang mempunyai logo Bersih jelas mencerminkan ketakutan yang begitu memuncak dalam jiwa pemimpin negara itu.

" Najib sekarang ini memang paranoid, takut pada bayang-bayang sendiri. Nampak orang baju kuning pun tak boleh.

" Oleh kerana 2008, rakyat sudah berubah. Ramai orang yang mengundi kita... tetapi oleh kerana penyelewengan, kemenangan kita itu nampak kecil kita menang (majoriti undi)," katanya.

Oleh itu katanya, segala bentuk perundangan hatta nama Yang di-Pertuan Agong akan digunakan bagi mengekang kemaraan rakyat kerana mereka tahu tuntutan yang dibawakan oleh Bersih 2.0 akan meranapkan impian mereka mempertahankan Putrajaya.

" Sekarang ini kalau kita berentap, memang berat sebelah kepada dia (Umno-BN). Sebab itu mereka tak mahu ikut Bersih, mereka akan bermasalah, mungkin mereka akan jatuh.

" (Trend pengundian) ini yang mereka takutkan sebab kalau tidak ada penyelewengan, mereka tidak akan lepas (menang pilihan raya). Sebab itu tuntutan Bersih yang sememangnya adil, tidak ada satu pun yang boleh dipertikaikan kepada sesiapa yang mahukan pilihan raya adil, inilah yang harus diikuti.. tetapi mereka tak mahu itu. Jadi kalau kata nak bertanding secara saksama, tapi tak mahu ikut cara yang betul macam mana?," kata Dr Nasir.

tv selangor/-

Tak masuk akal pakai baju Bersih nak guling Agong

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Pemuda PAS Pusat menyifatkan dakwaan yang mengatakan bahawa aktivis PSM mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong adalah sangat melucukan.

“Bagaimana mereka boleh memerangi Yang di-Pertuan Agong hanya dengan menaiki bas tanpa senjata dan bergerak secara terbuka di tempat awam.

“Sangat tidak masuk akal dengan persiapan membawa baju, risalah, bendera dan pembesar suara sahaja boleh menggulingkan Yang di-Pertuan Agong,” kata Pengerusi Pemulihan Demokrasi Dan Mobilisasi Rakyat Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, jika usaha seumpama itu boleh mengulingkan Yang di-Pertuan Agong maka tahap keselamatan negara kita adalah sangat lemah.

Mdenurutnya, jika benar mereka berniat sedemikian tentulah mereka telah mempersiapkan diri dengan senjata, alat komunikasi yang canggih, kenderaan kalis peluru dan lain-lain lagi.

Beliau menyuatakan demikian sebagai mengulas pihak polis telah menahan 30 orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Plaza Tol Sungai Dua Pulau Pinang, kelmarin mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Mereka ditangkap ketika menaiki bas bagi kempen menyokong Himpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Antara yg ditangkap adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj.

Dalam tangkapan itu polis telah menjumpai 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya(PKM) iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah.

Turut ditemui 7,000 risalah PSM, 600 risalah Himpunan Bersih 2, 25 naskah sosialis, satu set pembesar suara, 15 bendera PSM dan bebarapa helai baju T.

Mereka dituduh membawa faham komunis ke negara ini dan mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Suhaizan, fahaman dan gerakan komunis bukan lagi menjadi ancaman kepada negara.

Katanya, mereka telah meletakkan senjata dan sudah menjadi masyarakat sivil sekarang.

“Perjuangan komunis sudah menjadi bahan sejarah dalam negara kita,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Katanya lagi, PSM mengiktiraf sumbangan parti-parti berhaluan kiri yang secara tidak langsung menyumbang kepada kemerdekaan negara.

Pengiktirafan PSM itu, ujarnya adalah hak mereka yang perlu kita hormati.

“Soalnya adakah pengiktirafan kepada perjuangan parti-parti berhaluan kiri sebelum merdeka boleh dianggap mengembalikan fahaman komunis yang sudah menjadi bahan sejarah?

“Apakah pengiktirafan seumpama ini boleh dianggap memerangi Yang di-Pertuan Agong?” soalnya.

Katanya, jika mereka mahu memerangi Yang di-Pertuan Agong apa perlunya mereka menghantar memorandum pada Himpunan Bersih 2.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS sangat yakin bahawa tuduhan yang dikenakan kepada aktivis PSM adalah tuduhan yang direka semata-mata untuk menyekat kemaraan rakyat yang akan turun dalam Himpunan Bersih 2.

“Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak semua aktivis PSM tersebut dibebaskan dengan segera.

“Berikan mereka hak untuk bersuara dan berhimpun tanpa senjata seperti yang telah dijamin oleh perkara 10 Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.

aziz muda
harakahdaily/-

Bersih: Polis soal siasat A Samad Said petang ini

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Tindakan Datuk A Samad Said (gambar) hadir pada majlis Bersih adalah satu tindakan terhormat oleh seorang yang bergelar Sasterawan Negara dan ia wajar dipuji, kata kartunis, Zunar.

A Samad Said dipanggil untuk disoal siasat oleh polis di Balai Dang Wangi pada jam 2.30 petang, hari ini.

Ini berikutan kehadiran beliau di majlis pelancaran Bersih pada 20 Jun lepas di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur.

Menurut Zunar, kehadiran A Samad pada pelancaran itu adalah untuk bersama-sama rakyat menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

Katanya, karyawan yang bertanggungjawab adalah golongan yang paling dekat dengan rakyat.

Beliau menambah, karyawan mesti merasai degup jantung rakyat dan mendepani isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Menurutnya lagi, seseorang karyawan menjadi tidak relevan sekiranya meminggirkan tanggungjawab sosial dengan memekakkan telinga terhadap rintihan rakyat terbanyak, apatah lagi apabila berdepan dengan sebuah kerajaan yang korup, rasuah dan zalim.

“Saya menyeru karyawan-karyawan di Malaysia; penulis, penyajak, penyanyi, pelakon, pelukis, pengarah filem, pencipta lagu, penggiat teater dan sebagainya supaya bangkit dari lena yang panjang dan mengikuti jejak langkah A Samad,” katanya.

harakahdaily/-

Wanita kahwin dengan mayat

25 Rejab 1432H. [MOD] -

Presiden Perancis lulus permohonan warga negara

LONDON: Seorang wanita berkahwin dengan teman lelakinya yang sudah mati pada satu majlis di Perancis selepas mendapat kebenaran Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.
Akhbar Daily Mail melaporkan, Karen Jumeaux, 22, menggunakan undang-undang Perancis untuk berkahwin dengan tunangnya, Anthony Maillot, hampir dua tahun selepas terbunuh dalam kemalangan jalan raya.

Wanita itu menulis kepada Sarkozy meminta kebenaran berkahwin dengan tunangnya yang sudah mati dan kemudian permohonannya diluluskan kerana beliau boleh membuktikan yang mereka sudah merancang untuk berkahwin.

Pasangan itu bertemu pada 2007 dan mempunyai cahaya mata lelaki pada 2009, sebelum kekasihnya itu mati pada usia 20 tahun.

Dia memakai gaun putih melafazkan ikrar di dewan majlis di Dizy-le-Gros, timur Perancis, Khamis lalu.

Beliau berkata: “Saya tidak pernah mahu melakukan perkara ini sendirian, tetapi takdir sudah menentukan. Tambahan lagi, kami merancang untuk membesarkan anak bersama-sama.

“Saya tidak merancang untuk melakukannya sendiri. Kini, saya isterinya dan akan sentiasa menyintainya. Kami cinta pandang pertama dan menjalin hubungan selama empat tahun,” katanya.

Seorang pakar undang-undang Perancis berkata, jika Maillot bertemu dengan kekasih baru selepas ini dia perlu mengemukakan permohonan cerai. – Agensi

'Kita mungkin ke ICJ': J/K Selamatkan Malaysia

25 Rejab 1432H. [MOD] -

Jawatankuasa Selamatkan Malaysia mungkin menimbang untuk membawanya ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sekiranya tidak ada sebarang kemajuan dalam usahanya membantah pembinaan Loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Pengerusinya, Tan Bun Teet (kanan) berkata, mereka berhasrat
menggerakkan langkah serampang dua mata membantah projek kontroversi tersebut, tetapi mengakui bahawa ICJ mungkin menjadi pilihan jika mereka gagal dalam di kedua-dua usaha berkenaan.

Langkah pertama mereka ialah kunjungan ke Australia oleh 12 ahli jawatankuasa tersebut dari 3 hingga 9 Julai untuk bertemua ahli parlimen, NGO alam sekitar dan parti-parti pembangkang negara tersebut, sementara menyerahkan kepada mereka - dan Lynas Corporation - memorandum Selamatkan Malaysia, membantah isu tersebut.

Langkah kedua ialah akan memulakan pertemuan antara Selamatkan Malaylsia dengan Majlis Peguam Malaysia pada 15 hingga 16 Julai untuk membincangkan rancangan untuk memfail injunksi mahkamah bagi menghentikan pelaksanaan projek RM700 juta itu

"Jika kunjungan ke Australia dan injunksi mahkamah itu gagal membawa hasil yang positif, kita mungkin perlu mempertimbang pergi ke ICJ," kata Tan selepas pertemuan knasional NGO untuk memberi taklimat ringkas kepada NGO lain mengenai potensi bahaya dari loji memproses nadir bumi itu.

Beliau berkata jika kes tersebut dibawa ke ICJ, mereka boleh berhujah bahawa ia merupakan "kes negara maju membuli negara dunia ketiga" untuk menerima industri yang mengakibatkan pencemaran teruk.

malaysiakini/-

Koperal polis didakwa kerana minta rasuah

25 Rejab 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dipenjara 14 hari serta didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan meminta suapan daripada seorang penunggang motosikal tiga tahun lalu.

Hakim Chan Jit Li yang menjatuhkan hukuman di dalam kamar turut memerintahkan penjara tambahan sebulan terhadap Nordin Muhamad Nor, 47, jika dia gagal membayar denda. Nordin yang bertugas di Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dituduh meminta RM180 daripada Khoo Shu Shan di bulatan Teluk Wanjah pada 1 Nov 2008.

Wang itu adalah sebagai dorongan supaya Khoo tidak disaman kerana tidak memiliki lesen dan cukai jalan yang tamat tempoh.

metro/-

SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0, Kata Dr Haron Din

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUBANG PASU 27 JUN : Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) supaya tidak sombong dalam menerima sebarang teguran serta pandangan rakyat berhubung sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini.

Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Umno-BN perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan realiti sebenar persepsi rakyat terhadap mereka.

Paling mudah, Dr Haron mengulas mengenai Undi Pos yang sehingga kini dipertikaikan ketelusannya oleh banyak pihak.

"Undang-undang pilihan raya pun tak adil. Kalau kita tanya mengapa ada Undi Pos, mereka kata sebab ada yang tak boleh mengundi, tak apalah. Bila tanya mengapa tak boleh buka dan bilang terus, mereka kata tak boleh sebab kena simpan di Pejabat SPR. Buat apa nak simpan? soalnya.

"Ada benda yang tak adil, sebab itu kita minta supaya mereka adil tetapi mengapa mereka tak beri. Bila ditanya sudahkah mereka melihat perbuatan ini baik atau buruk, mereka jawab baik. Baik bagaimana kalau begitu?," tegas beliau ketika berucap sempena sambutan 50 Tahun PAS Cawangan Kampung Kodiang lama di sini, kelmarin.

Dalam ucapan ringkas itu, turut mengingatkan semua pemimpin agar terus kekal dengan prinsip keadilan yang digenggam erat oleh agama Islam.

Katanya, kerana ketidakadilanlah rakyat mempersoalkan peranan kerajaan sehingga tercetusnya ketidakpuasan hati dikalangan rakyat hari ini.

Malah ujarnya, kerana ketidakadilan itu jugalah gabungan masyarakat sivil telah melancarkan himpunan raksaksa pada 9 Julai ini yakni Bersih 2.0 bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

Menurutnya lagi, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan sistem pilihan raya di negara ini di mana beliau tewas tipis dengan majoriti 300 undi tetapi mendapat lebih 500 undi rosak di peti undi tertentu.

Dr Haron Din yang bersaing Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau.

Justeru Haron mengutarakan hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai peringatan kepada pihak berkuasa yang pecah amanah dan menipu rakyat.

"Mana-mana pemerintah yang boleh menerima, membuat, memilih dan menolak undang-undang Islam mahupun barat. Muslim khasnya, kalau dia tipu rakyat, tak kesahla apa yang dibuat itu rasuah, tipu pilihan raya atau tipu senarai mengundi pilihan raya. Allah S.W.T akan haramkan mereka dari masuk syurga," kata beliau.

tv selangor/-

Imej bandar ganjil di kaki langit

25 Rejab 1432H. [MOD] -

SALAH satu imej ganjil yang menunjukkan beberapa bangunan tinggi di kaki langit bandar Huanshan, China pada awal bulan ini.

HUANSHAN - Beberapa imej bandar dilihat muncul di langit pada awal bulan ini di bandar ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kemunculan 'bandar hantu' di langit itu berlaku selepas hujan lebat dan suasana lembap berlaku di sepanjang Sungai Xin'an di bandar ini.

Imej pelbagai bentuk bangunan dan pokok itu menyebabkan beberapa pakar kebingungan kerana imej bandar yang diperlihatkan itu bukan refleksi imej yang terdapat di bandar ini.

Adalah dipercayai bahawa imej itu mungkin satu ilusi penglihatan yang berlaku akibat cuaca lembap. - Agensi

Dihalau keluar masjid kerana pakai baju Bersih

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar berasa kesal dengan sikap angkuh salah seorang ahli jawatankuasa Masjid Bandaraya, Likas, yang menghalau seorang pemuda daripada menunaikan solat di masjid itu semata-mata kerana memakai baju Bersih. (Gambar kanan)

Blog Pemuda PAS Sepanggar melaporkan kejadian yang berlaku di masjid tersebut kelmarin dapat dilihat oleh seluruh ahli kariah yang turut sama bersolat di masjid tersebut.

Pemuda yang tidak mahu namanya dikenali itu, sememangnya sering bersolat di masjid tersebut telah dihalau keluar dari masjid ketika selesai bersolat Maghrib.

Selain menghalau pemuda tersebut, AJK masjid tersebut telah mengeluarkan kata-kata kesat dengan menuduh pemuda tersebut sebagai munafik.

Tidak cukup dengan kata-kata kesat, beliau turut menolak pemuda tersebut dengan kasar.

Situasi yang memalukan itu akhirnya dileraikan oleh salah seorang ahli kariah yang masuk campur.

Ahli kariah itu dengan nada yang tegas telah menegur AJK masjid tersebut kerana sikapnya yang memalukan itu.

Beliau membela pemuda tadi, dan memarahi AJK masjid tersebut kerana menghalau anak muda dari bersolat semata-mata kerana mamakai baju Bersih.

Justeru, Dewan Pemuda PAS kawasan Sepangar melihat perkara itu sepatutnya tidak berlaku.

Sehubungan itu, DPP Sepangar menggesa agar Jawatankuasa Masjid Bandaraya segera mengambil tindakan terhadap AJK masjid tersebut di atas sikapnya yang merosakan imej Masjid Bandaraya yang sememangnya terkenal di kalangan para pengunjung dan pelancong.

Mengenai himpunan aman Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini, DPP Sepangar menyeru seluruh rakyat Sabah agar berpakaian berwarna kuning dan keluar ke bandar-bandar beramai-ramai bersama keluarga.

harakahdaily/-

Harga melambung ketika Ramadan

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Trend penurunan harga barang kering, sayur-sayuran dan hasil laut yang ketara di pasaran ketika ini mungkin tidak berpanjangan.

Tinjauan Kosmo! di beberapa negeri mendapati kalangan peniaga berpendapat harga barangan tersebut dijangka kembali mahal menjelang Ramadan pada Ogos depan.

Ketika ini rata-rata harga barangan keperluan harian pengguna mengalami penurunan antara 50 sen sehingga RM5 sekilogram (kg).

Di Kuala Terengganu, seorang peniaga, Mohd. Robby Awang risau harga barangan tersebut akan mengalami kenaikan semula menjelang Ramadan pada Ogos depan.

Menurutnya, trend kenaikan semula harga barangan tersebut adalah biasa dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana barang tersebut diperoleh daripada pembekal.

“Jika harga yang kami dapat tinggi jadi kami juga harus jual dengan harga yang tinggi kepada pengguna, justeru pengguna perlu faham,” katanya.

Ketika ini rata-rata harga barang keperluan pengguna di beberapa buah pasar raya di Terengganu mengalami penurunan antara RM1 hingga RM2 per kg. meskipun sesetengah barang mengalami kenaikan.

kosmo/-

200 Muslimat jayakan dasar Kerajaan Negeri tingkatkan Islam

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Sejajar dasar Kerajaan Negeri iaitu Membangun Bersama Islam, pelbagai program ke arah menjayakan hasrat itu diadakan, termasuk Program Pemantapan dan Kepentingan Solat.

Program sempena Bulan Solat yang diisytiharkan Kerajaan Negeri hampir 20 tahun lalu yang diadakan pada Rejab ini.

Pegawai Halaqat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang, Zawiyah Mohamed berkata, program tahunan itu bertujuan meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran semua pihak terhadap matlamat manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Menurutnya, pada program tersebut, peserta daripada semua golongan di negeri ini diberi pendedahan secara teori dan praktikal agar dapat melaksanakan ibadah solat masing-masing dengan sempurna.

“Program ini juga bagi memperkasakan ibadah solat di kalangan individu dan masyarakat agar ia menjadi penghalang kepada perbuatan keji dan mungkar seterusnya membasmi gejala sosial secara umum untuk menjamin keamanan dan keselamatan dunia akhirat,” katanya mengulas tujuan diadakan program Pemantapan dan Kepentingan Solat DUN Kijang di Masjid Mukim Semut Api, Pantai Cahaya Bulan di sini semalam.

Zawiyah berkata, selain itu, program yang bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang itu juga berfungsi bagi memantapkan kefahaman dan penghayatan terhadap tuntutan tauhid, takbir serta ibadah dalam kehidupan seperti mana yang terdapat dalam perbuatan dan bacaan solat.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan itu juga, Zawiyah berkata, seramai 200 Muslimat di DUN berkenaan terlibat dalam program yang mengupas persoalan mengenai syarat dan rukun solat serta perkara yang membatalkannya, kepentingan solat bagi orang sakit, dan bacaan dalam solat serta terjemahannya.

Menurutnya, program seperti ini ke arah melahirkan generasi mementingkan solat seterusnya sentiasa menjaga amalan Rukun Islam itu, walaupun dalam keadaan sakit.

sianarharian/-

Sindiket ekor sasar kereta VIP

25 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Sindiket ramalan nombor ekor yang menjadikan orang Melayu sebagai sasaran baru kegiatan penipuan itu bukan saja memperdayakan mangsa dengan menawarkan khidmat sami Buddha yang menjanjikan kemenangan, malah turut menjadikan pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran eksklusif sebagai sasaran.

Bergiat aktif di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan umum terutama orang Melayu, sindiket terbabit dikesan menggunakan taktik mudah untuk mencari mangsa dengan menjadikan pemilik kenderaan mewah dengan ‘nombor VIP’ sebagai sasaran untuk memperdaya mangsa kononnya boleh menggandakan wang pertaruhan dengan pertolongan sami dari negara jiran.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pihaknya menerima aduan individu yang nyaris menjadi mangsa sindiket terbabit selepas bersetuju menyerahkan deposit RM50,000 untuk membeli nombor ekor.

Menurutnya, sindiket itu menyasarkan pemilik kenderaan daripada orang kenamaan (VIP) berdasarkan nombor pendaftaran tertentu selain jenis kereta yang diguna bagi memudahkan mereka menjerat mangsa dengan tawaran memenangi wang judi terbabit.

Katanya, mangsa yang menghubungi nombor telefon tertera akan diyakinkan dengan kebolehan ‘luar biasa’ sami terbabit dikatakan mampu meramal tepat cabutan empat nombor ekor dengan nilai kemenangan mencecah jutaan ringgit.

“Sebaik berhubung menerusi telefon, satu pertemuan akan diaturkan wakil sindiket terbabit dan kesempatan itu digunakan untuk memujuk mangsa menyerahkan wang kononnya digunakan untuk membeli nombor ramalan yang ‘mendapat restu’ sami.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa ditunjukkan gambar MMS menunjukkan sejumlah besar wang yang kononnya dimenangi mereka yang menyertai ‘pelaburan’ nombor ekor berkenaan,” katanya, semalam.

Muhd Khairun yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno berkata, mangsa akan ditunjukkan beberapa gambar wang berkenaan sebagai bukti kemenangan selain dipujuk menyertai pakej tertentu yang ditawarkan dengan harga berbeza.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes terbaru minggu lalu, mangsa terselamat daripada menjadi mangsa sindiket terbabit selepas didesak menyerahkan wang kononnya sebagai imbuhan kepada sami terbabit walaupun pada awalnya bersetuju untuk berbuat demikian.

“Selepas didesak memasukkan wang ke dalam akaun, mangsa berasa tidak sedap hati dan membatalkan hasratnya menyertai skim judi terbabit. Dia membuat aduan kepada biro,” katanya.

Akhbar ini minggu lalu melaporkan kegiatan satu sindiket yang aktif di Lembah Klang dikesan cuba mengedarkan risalah itu dengan meletakkannya pada cermin kenderaan milik orang Melayu di kompleks beli-belah terkemuka di ibu negara dan Selangor.

metro/-

Budak perempuan maut bawa beg berisi bom

25 Rejab 1432H. [MOD] -


KABUL 27 Jun – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terbunuh apabila sebuah beg mengandungi bom yang dibawanya meletup ketika dia menghampiri pondok polis di selatan Afghanistan, semalam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, kanak-kanak tersebut dipercayai diarahkan oleh anggota Taliban untuk membawa beg tersebut ke pondok polis.

“Ketika dia semakin hampir dengan pondok polis, bom tersebut meletup dan meragut nyawanya,” katanya. 

Reuters

Kereta bertembung lori ais: Tiga maut, tiga parah

25 Rejab 1432H. [MOD] -

PASIR MAS - Tiga maut manakala tiga lagi cedera parah apabila sebuah kenderaan bertembung dengan sebuah lori ais di Jalan Kota Bharu-Pasir Mas, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, tiga yang maut merupakan pelajar Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), sementara tiga lagi yang parah ialah seorang lagi pelajar kolej berkenaan dan pemandu berserta kelindan lori ais itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim, Mohd Nasir Mamat berkata, yang maut dikenali sebagai Saiful Jawahil Razali, 19, yang merupakan pemandu kenderaan; Mohd Alif Mohd Suhaimi, 19; dan Sheikh Mohd Farhan, 19.

"Saiful dan Mohd Alif berasal dari Tanah Merah manakala Sheikh Mohd Farhan dari Georgetown, Pulau Pinang.

"Manakala mangsa yang cedera parah ialah pelajar KIST, Azmi Ariffin, 19; pemandu lori, Zabri Husin, 29; dan kelindannya Mohd Azeri Mat Nawi, 24," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, menurut seorang saksi yang enggan mendedahkan identitinya, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan Proton Iswara yang dinaiki empat pelajar KIST itu cuba memotong sebuah lori sebelum hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori ais dari arah bertentangan.

Mohd Nasir berkata, dua jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan Kota Bharu terlibat dalam operasi mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu untuk dibedah siasat.

Pelajar KIST yang cedera parah kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, manakala pemandu dan kelindan lori kini dirawat di HRPZ II. - Bernama.

sinarharian/-

Gempa bumi sekuat 6.4 landa Papua, Indonesia

25 Rejab 1432H. [MOD] -


JAKARTA 27 Jun – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan kawasan pantai wilayah Papua, malam tadi, namun tiada sebarang kerosakan atau amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa tersebut berlaku pada kedalaman 36 kilometer, kira-kira 161 kilometer dari Enarotali pada pukul 8.16 malam waktu Malaysia, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Sementara itu, tiada amaran tsunami dikeluarkan dalam laman web Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

AFP

12 cedera serangan pengebom berani mati

25 Rejab 1432H. [MOD] -





BAGHDAD 27 Jun – Sekurang-kurangnya 12 cedera apabila seorang pengebom berani mati yang berkerusi roda meletupkan dirinya di sebuah balai polis di pinggir utara Baghdad, semalam.

Major Jeneral Qassim al-Moussawi berkata, kejadian berlaku di pejabat ketua polis di Tarmiya, 25 kilometer utara Baghdad.

“Jumlah kecederaan mungkin akan meningkat dan 12 yang cedera itu termasuk sembilan anggota polis,” katanya. 


Reuters

Anwar: Najib, saya tahu apa kamu buat di PD

25 Rejab 1432H. [MOD] -

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak perdana menteri ekoran kenyataanya bahawa "mencari kebenaran" adalah paling penting untuk menentukan sama ada lelaki dalam video seks adalah Anwar.

Memandangkan pakar asing dilaporkan berkata video - yang menunjukkan pasangan melakukan aksi seks dalam sebuah bilik - 99.99 peratus menyerupai Anwar, maka Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkata rakyat boleh menghakimi sendiri ketulenan video tersebut.

Anwar berkata Najib dan isterinya, Rosmah Mansor tidak layak bercakap tentang moral, walaupun ketua umum PKR itu tidak menjelaskan secara terperinci mengenainya.

Katanya, beliau telah dicabar untuk mendedahkan apa yang beliau tahu tentang Port Dickson.

Anwar merujuk kepada satu skandal yang didakwa berlaku pada pertengahan tahun 1980-an, ketika berucap dalam ceramah di Pokok Sena, Kedah malam tadi.

Bagaimanapun, kata Anwar, bukan cara beliau untuk mencerca atau memfitnah hanya untuk menang.

Sebaliknya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu berkata, beliau mahu menang dengan moral yang mantap.

Berucap kepada kira-kira 700 hadirin, Anwar berkata kerajaan Najib tidak memberi respons sewajarnya terhadap semua isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.

malaysiakini/-