26 June 2011

Ustaz Fadzil Noor (1937-2002) dalam kenangan

24 Rejab 1432H. [MOD] -
Riduan Mohamad Nor

Dari Gudang Ilmu Ke Kancah Siasah

Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.
Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.


Latar belakang keluarga

Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.


Pendidikan

Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair.


Perkahwinan

Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.


Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


Perkhidmatan

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia.


Aktiviti Kemasyarakatan

Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat.


Penglibatan dalam Politik

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

Oleh: Riduan Mohamad Nor
(Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)

'Larangan polis tak sah, langgar perlembagaan'

24 Rejab 1432H. [MOD] -

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berpendapat tindakan pihak polis malarang perhimpunan BERSIH pada 9 Julai depan bukan sahaya tidak sah, malah melanggar perlembagaan.

"Mereka bertindak secara tidak sah apabila secara umum memaklumkan tidak akan mengeluarkan permit.

NONE"Sebagai pihak berkuasa awam, mereka hanya boleh membuat keputusan apabila permohonan dibuat," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu kepada Malaysiakini.

Abdul Aziz (kanan) menjelaskan, bawah perlembagaan, polis perlu menimbangkan setiap permohonan permit dan tidak patut membuat sebarang pertimbangan tidak wajar.

Beliau berhujah, polis membuat penghakiman awal berhubung perkara itu dan sekali gus menentang undang-undang.

Paling teruk apabila ia bertentangan dengan hak yang dijamin dalam perlembagaan.

Katanya, mengikut Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Perskutuan, polis tiada sebarang hak melarang perhimpunan aman yang dijamin.

"Hatta mahkamah juga tidak boleh melakukannya," kata pensyarah undang-undang itu.

Malaysiakini :

Ulasan :

Saya sangat bimbang dengan perkembangan mutaakhir ini yang menunjukkan Bn menggunakan sepenuhnya kekuatan pasukan keselamatan untuk memastikan segala tindakan yang dilakukan oleh rakyat walaupun tidak menyalahi peraturan lalu didakwa salah dan diugut dengan berbagai akta.

Pakatan sasar tawan 11 negeri dalam p'raya umum

24 Rejab 1432H. [MOD] -

Selain mengekalkan empat negeri yang dikuasainya sekarang dan memenangi semula Perak, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk menubuhkan kerajaan di enam lagi negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Pakatan telah menetapkan tiga sasarannya dalam pilihan raya umum akan datang, iaitu:

1. Mengekalkan penguasaannya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan;

2. Memenangi semula negeri Perak yang didakwanya dirampas dari tangan Pakatan secara haram; dan

3. Menubuhkan kerajaan di enam lagi negeri - Negri Sembilan, Johor, Malacca, Pahang, Terengganu dan Perlis.

NONELim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur menegaskan demikian ketika berucap di majlis makan malam DAP Teluk Intan semalam.

Beliau menyifatkan pilihan raya umum ke-13 amat penting kerana ia bukan sahaja bakal menyaksikan perebutan hebat di semua 11 negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi juga penguasaan Putrajaya.

Lim mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari perkara itu, menyebabkan beliau teragak-agak untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum yang akan datang.

Sehubungan itu, Lim meramalkan pilihan raya umum mungkin diadakan sama ada hujung tahun ini atau tahun depan.

Beliau juga berkata, pilihan raya umum kali ini merupakan yang pertama dalam sejarah yang bakal menyaksikan persaingan 'hidup mati' BN dan Umno.

Selama ini, kata Lim, Umno dan kerajaan BN mengekal kuasanya dengan mudah sehinggalah tercetusnya tsunama politik pada pilihan raya umum 2008 di mana ia mengalami kekalahan teruk dan hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Umno dan BN akan berdepan dengan persaingan 'hidup matinya' dalam pilihan raya umum ke-13 - bukan setakat sama ada ia boleh memperolehi semula majoriti dua pertiga, tetapi juga sama ada ia dapat mengekalkan kuasa atau bakal menjadi pembangkang," kata Lim.

Malaysiakini/-

Ulasan :

Harapan besar ini merupakan harapan besar seluruh rakyat malaysia yang cintakan malaysia baru yang lebih baik dari pemerintahan BN selama lebih 50 tahun. Kerana itu semua pihak perlulah mengambil langkah aktif untuk merealisasikan hasrat itu.

Bersih: Umno diingat tidak libatkan Agong

24 Rejab 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 25 Jun: 
PAS menyelar sikap pihak tertentu yang didakwa mahu menggunakan Yang di-Pertuan Agong bagi menghalang himpunan aman Bersih 2.0 di ibu negara pada 9 Julai ini.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, tindakan tersebut adalah sangat tidak wajar kerana Agong merupakan tempat mengadu rakyat yang terakhir.

"Tidak sepatutnya pihak tertentu mengguna Agong untuk halang hak rakyat.

"Tindakan ini sangat tidak patut, kerana seluruh rakyat bernaung di bawah Agong dan berhak bertemu dengan baginda untuk mengadu sesuatu masalah", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas desus yang mendakwa Umno sedang berusaha mendapatkan campurtangan Agong bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 dari diadakan.

Himpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) itu sebelum ini mendapat kecaman khususnya dari pimpinan Umno BN.

Tidak hanya melalui kenyataan terbuka, kecaman sama juga dibuat semasa sesi perbahasan dalam Dewan Rakyat.

Himpunan tersebut yang dianggarkan disertai hampir 800 ribu orang, akan berarak ke Istana Negara dengan menggunakan warna tema pakaian kuning.

Selain bagi menjunjung institusi Diraja dan demokrasi, warna kuning itu juga sebagai lambang kebebasan, ketulasan dan keadilan.

Sehingga hari ini lebih 10 orang sudah ditahan dan diambil keterangan oleh polis kerana memakai dan menjual baju kuning bercetak "Bersih 2.0" kepada orang ramai yang bakal diguna pada perhimpunan itu nanti.

Ianya dilihat usaha pencegahan awal oleh pihak polis yang memberi amaran sebelum ini untuk membuat tangkapan awal.

"Kita mengharapkan bahawa perubahan yang dituntut rakyat ini diterima oleh SPR,"katanya.

Bersih 2.0: Aktivis PSM, Suaram masih ditahan

24 Rejab 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 26 Jun: Sehingga awal pagi ini, 35 aktivis aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Suaram yang ditahan di Tol Sungai Dua sekitar pukul 3.30 petang semalam masih belum dibebaskan.
Mereka termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj dalam rangka lawatan ke Sungai Ara, Pulau Pinang untuk menghadiri kempen Bersih dan 'Udah La.. Bersaralah!!' dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kepala Batas untuk disoal siasat.
Harakahdaily difahamkan sebenarnya rombongan yang bertolak dari Ipoh tengah hari semalam akan mengadakan lawatan ke beberapa lokasi di Pulau Pinang sebelum bertolak pula ke Perlis untuk menghadiri majlis yang sama pada malam ini.
Beberapa orang kepimpinan PSM, Suaram, PKR dan PAS turut berada di luar IPD sehingga larut malam menanti mereka yang ditahan dibebaskan namun semuanya hampa.
Antara kepimpinan PAS yang hadir ialah Yang Dipertua PAS Kepala Batas, Rosidi Husein, Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man, Ketua Penerangan PAS Kepala Batas, Osman Ayub, Ketua Penerangan Tasek Gelugor, Abdul Rahman Kasim, Ketua Cabang PKR Kepala Batas, Latif Abdullah dan ramai lagi.

Selangor lancar Tabung Amanah Pembangunan Islam

24 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 26 Jun: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor maju selangkah lagi ke hadapan dengan pelancaran Tabung Amanah Pembangunan Islam (Tapis) versi baru, malam tadi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berucap dan menyempurnakan acara pelancaran yang berlangsung di Dewan Utama Masjid Negeri dekat sini.
Bertemakan 'Amal Jariah Ummah, Dari Rakyat Untuk Islam', Tapis menjadi wadah amal jariah umat Islam khasnya rakyat Selangor namun terbuka kepada sesiapa sahaja di seluruh dunia.
Tapis menjadi sebuah institusi berwibawa, telus, sistematik dan menyeluruh dan juga wadah membangun modal insan di Negeri Selangor.
Menghimbau sejarah, Tapis telah ditubuhkan di bawah Kumpulan Wang Disatukan seksyen 9 (3) Akta Acara Kewangan 1957 dengan tajuk Akuan Tapis berkuatkuasa pada 1 April 1991.
Tabung ini dilancarkan oleh Menteri Besar ketika itu pada 22 Mei 1991 di Dewan Jubli Perak Shah Alam.
Tapis membawa nilai tersendiri dengan pelancaran versi baru, khususnya dalam membina kualiti umat Islam di Negeri Selangor.
Skopnya amat luas dengan memberi keutamaan kepada program dan aktiviti kelangsungan penguasaan ilmu dan peningkatan syariat Islam.
Tapis juga menjadi faktor penguat kepada institusi zakat, wakaf serta agenda dan perancangan Jabatan Agama Islam sendiri.
Selain itu, Tapis adalah unsur pelengkap yang ditunggu-tunggu hasil ketaatan dan kehambaan seluruh umat Islam di Negeri Selangor.
Tapis akan membuka ruang lebih luas ke arah membudayakan keikhlasan menderma selain mengisi tabung-tabung derma di masjid dan surau.
Meneliti tema bantuan yang digariskan, ia adalah banyak dan umum, antaranya seperti penguasaan Al-Quran, penguasaan ilmu teras seperti akidah, syariah dan akhlak, ilmu alat, ilmu aini dan kifai, pemimpin dan kepimpinan Islam, mendaulatkan syiar Islam, dakwah dan tarbiah.
Ia juga termasuk Islam sebagai cara hidup, pengamalan hukum hakam Islam, budaya menuntut ilmu sepanjang hayat dan lain-lain tema yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa akaun.
Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Exco Agama negeri dengan enam AJKnya seperti Timbalan Pengerusi (Pengarah Jais), Ahli (SUK, Mufti dan CEO Lembaga Zakat Selangor), timbalan pengarah (Jais) dan setiausaha (Jais).
Bentuk sumbangan antaranya untuk Tapis pula seperti kewangan kelengkapan perpustakaan surau, sekolah dan pejabat, pembelian buku Islam, pembaikan dan pengimarahan masjid, surau serta banyak lagi.
Selepas masjid pelancaran, diadakan juga forum perdana khas bertajuk MengIsrak-Mikrajkan Rakyat, panelis oleh Ustaz Haslin Bahrim dan Dr Azhar Yaakob, Dr Hasan sebagai moderator.

Kenapa wang KWSP menjadi mangsa ?

24 Rejab 1432H. [MOD] -
Kenyataan Media
Pejabat ADUN Titi Serong.

Saya sifatkan Najib kini telah menjadi pengkhianat kepada rakyat apabila melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Felda dan Felda yang kini telah meminjam RM6 bilion dari KWSP yang merupakan wang rakyat.

Sebelum ini apabila Isa Samad yang diketahui umum bahawa dirinya sendiri punyai rekod tidak bersih atas kesalahan rasuah yang telah disabitkan terhadapnya sebelum ini, tetapi pemimpin umno bn cuma menutup mata terhadap isu ini dengan mudahnya menerima perlantikan Isa ke jawatan penting itu..

Saya katakan bahawa Najib pengkhianat rakyat, dahulu cash money Felda lesap sejak beliau (Najib) ambil alih Felda, sekarang sudah lantik Pengerusi baru dengan kuasa dan perkenan Najib Felda nak baham duit KWSP pula dengan olahan ayat pinjam.

Saya mempersoalkan kemana dan apa tujuannya wang sebanyak itu dipinjam ?

Media sebelum ini telah melaporkan bahawa Wang Felda telah susut sebanyak RM2.75 bilion dalam masa 5 tahun. Pada tahun 2004 iaitu tahun Datuk Seri Najib mengambil alih Felda wang Felda ada RM4.08 bilion telah mengucup kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

Kita tahu Felda mengalami kerugian demi kerugian seperti yang di dedahkan oleh NGO ANAK dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya yang meyebut bahawa kerugian pelaburan di seberang laut oleh Felda dalam tempoh 2007 hingga 2010 itu berjumlah hampir RM500 juta.

6 biilion adalah wang rakyat yang dikumpul sekian lama dalam KWSP, mana boleh dipinjamkan kepada pihak lain sesuka hati, sepatut nya Najib ber berbincang dan tanya pandangan rakyat, apa maknanya rakyat didahulukan jika pinjam dulu baru umum, itupun setelah berita ini didedahkan oleh media rakyat.

Kenapakah Jika Isa Samad tidan membuat pinjaman melalui mana-mana bank di Malaysia dan wang KWSP dijadikan mangsanya.

Hal ini jadi berlaku kerana pemimpin yang tidak bertanggungjawab, wang rakyat dimanipulasi sewenang-wenangnya tanpa mengambil kata sepakat dari mejoriti pencarum KWSP iaitu rakyat.

Rakyat Malaysia telah diperkuda UMNO BN selama 52 tahun, maka oleh sebab itu mereka (UMNO-BN) rasa tidak mengapa jika buat sesuatu yang menyalahi nilai hak rakyat dan bagi mereka kuasa sebagai pemerintah akan terus berada ditangan UMNO BN serta selesa memerintah walaupun dengan cara yang zalim.

Justeru berita ini perlu disampaikan kepada rakyat untuk menumbangkan UMNO BN di Putrajaya pada PRU13 nanti.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
PARIT BUNTAR, 26 Jun 2011.

Pemuda UMNO Parit gelabah.

24 Rejab 1432H. [MOD] -
Kenyataan Media
Pemuda PAS Parit.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit merasa hairan dan lucu dengan sikap pergerakan Pemuda Umno Bahagian Parit yang begitu menggelabah apabila mempersoalkan konsep negara berkebajikan yang dibawa oleh PAS.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit ingin menjelaskan bahawa apa yang disebutkan mengenai negara berkebajikan sudah lama diperjuangkan oleh PAS dan sememangnya termaktub dalam Al-Quran yang menjadi perlembagaan PAS dan bukannya isu baru.

Kenyataan ketua mereka, Khairul Shahril Mohamed di dalam Sinar Harian Edisi Perak bertarikh 23 Jun 2011 yang menyebut bahawa “PAS memutuskan tiada lagi penubuhan negara Islam tetapi telah mengubah kepada negara berkebajikan” melihatkan betapa lemahnya kemampuan berfikir beliau dalam menilai fakta dan prasangka sehingga jelas menampakkan ketidakmampuan beliau untuk memimpin pergerakan tersebut.

Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit ingin menegaskan bahawa Umno walaupun telah diberi peluang lebih 50 tahun memerintah, namun masih gagal untuk membawa konsep negara yang disebutkan oleh Allah di dalam Al Quran sebagai “Baldatun Thoyyibatun wa Rabbun Ghafur” sedangkan itulah model negara yang PAS ingin ketengahkan.

Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit juga ingin mencabar agar Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Parit menunjukkan kematangan dalam berpolitik dengan menggesa kepimpinan negara yang diterajui oleh kepimpinan Umno untuk menjalankan dasar-dasar dan hukam hakam Islam seperti yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al Quran, jika tidak, ternyata UMNO selama ini adalah kuda tunggangan MCA dan MIC semata-mata.

Ustaz Hakimi Mohamad Nor
Ketua
Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit

Harga Makanan dan Minuman di Airport Miri terlalu mahal

24 Rejab 1432H. [MOD] -
PAS Miri

Pihak kami ada menerima aduan dari pengguna yang mengatakan bahwa caj atau harga makanan dan minuman dalam airport café di Miri terlalu mahal. Harga makanan di cafe ini memang jauh lebih mahal dan caj yang dikenakan juga melebihi hampir 300% kalau dibandingkan dgn makanan di ‘food courts’ di luar. Bayaran tidak sesuai dengan nilai yang didapati. Mereka yang datang makan dan minum di café airport kerana terpaksa semata-mata untuk mengalas perut yang lapar jadi jangan pihak café mengambil kesempatan keatas kesusahan orang ramai yang memerlukan makanan ketika lapar.

Dalam pada itu pengadu juga ada mengatakan bahwa pihak Malaysia Airports Berhad (MAB) sepatutnya memberi lebih fokus kepada operasi, pengurusan dan penyelenggaraan lapangan-lapangan terbang. Pihak pengurusan MAB sepatutnya jangan membebankan masalah mereka keatas pengguna disebabkan kos pembinaan dan juga penyelenggaraan lapangan terbang yang tinggi. Disamping itu bangunan lapangan terbang Miri perlu dibaiki kerana terdapat kesan kerosakan dalam bangunan tersebut.

Kalau pun hendak dapat untung jangan sampai harga makanan seperti nasi lemak ayam mencecah harga sampai RM15.20 yang kalau diluar harganya sekitar dalam RM4 – 5 ringgit saja. Kalau boleh biarlah harga yang berpatutan dengan nilai makanan dan minuman tersebut. Kalau harganya berpatutan sudah pasti orang ramai suka berkunjung ke café airport dan para perniaga juga akan dapat hasilnya. Kemungkinan harga tersebut mahal disebabkan harga sewa di airport mahal maka perniaga juga terpaksa menaikkan harga sedemikian rupa, jadi adalah disarankan agar pihak pengurusan lapangan terbang dan café tersebut mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut untuk kebaikan semua.

PAS Miri

Pemuda PAS Perak bantah Utusan Malaysia








24 Rejab 1432H. [MOD] -

24 Jun 2011 (IPOH) - Bertempat di Masjid Sultan Idris Shah 11, Masjid Negeri Ipoh telah diadakan satu himpunan membantah Syarikat Akhbar Utusan Malaysia yang telah menyiarkan kalikatur yang menghina syariat Islam pada minggu lepas.

Oleh kerana Utusan Malaysia masih gagal memohon maaf berikutan penyiaran tersebut, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan telah menganjurkan himpunan bagi membantah Utusan Malaysia selepas solat Jumaat tadi.

Hampir 200 orang telah bersama membantah kebiadapan Utusan Malaysia dan kegagalan Kementerian Dalam Negeri bertindak terhadap Utusan Malaysia sehingga sekarang. Himpunan yang berjalan hampir 30 minit dengan pelbagai sepanduk mendesak agar Utusan Malaysia segera memohon maaf.

Beberapa pimpinan PAS turut berucap dan telah diakhiri dengan bacaan doa setelah pihak Polis mengarahkan agar himpunan tersebut dihentikan. Berikutan itu juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Haji Abu Bakar Hussien yang turut hadir kesal kerana pihak Utusan Malaysia tidak sensitif kepada umat Islam.

Tahniah Ban Ki-moon, Setiausaha PBB buat penggal kedua.

24 Rejab 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) merakamkan ucapan tahniah kepada Ban Ki-moon,67 tahun, diplomat kelahiran Korea Selatan kerana masih mengekalkan jawatan Setiausaha Agung untuk penggal kedua atas undian sebulat suara 192 ahli perhimpunan baru-baru ini.

Beliau yang mula memegang jawatan kanan PBB itu sejak 1 Januari 2007 telah memainkan beberapa penting di peringkat antarabangsa antaranya membuat keputusan kontroversi dalam mengecam sekatan yang dibuat oleh Israel kepada Gazzah, Palestin pada tahun 2010.

Kami memuji tindakan berani Ban Ko Moon mengecam sekatan haram Israel tersebut dan berharap agar ada tindakan yang lebih tegas dapat diambil kepada Israel dan bukannya sekadar dalam bentuk kutukan dan kecaman.

Kami juga mengharapkan agar Ban Ki-Moon dapat memainkan peranan yang lebih aktif terutamanya dalam memecahkan tanggapan negatif dan layanan buruk kepada Umat Islam di beberapa buah negara anggota PBB berpunca dari Islamophobia yang tercetus semenjak peristiwa 11 September 2001.

Raja Ahmad Al-Hiss
Naib Ketua
Dewan Pemuda Pas Malaysia