24 June 2011

China mangsa cuaca

22 Rejab 1432H. [MOD] -

DI perkampungan Huanshan, di tengah-tengah wilayah Hubei atau lebih dikenali sebagai Tanah bagi Seribu Tasik, penduduknya beratur panjang sambil membawa bekas plastik untuk mengambil air yang dihantar oleh jentera bomba.

Air bersih yang diperoleh digunakan sebaik mungkin, seperti siapa antara anggota keluarga yang akan membasuh tangan atau membasuh beras terlebih dahulu, sebelum digunakan sekali lagi untuk menyiram tanaman atau memberi minum pada ternakan, kata Ketua Kampung, Yu Chunming.

“Penduduk kampung tidak mahu membazir air walaupun ia telah beberapa kali digunakan, tidak kira sekotor mana airnya,” ujarnya.

Sungai Yangtze yang sekian lama menjadi nadi penduduk di beberapa wilayah di China seperti Hunan, Hubei, Jiangxi, Jiangsu dan Anhui kini mengalir lesu. Kemarau panjang yang berlaku sejak awal tahun lalu telah menyebabkan paras air turun mendadak.

Sungai sepanjang 6,418 kilometer yang juga diiktiraf ketiga terpanjang di dunia itu mencatatkan paras taburan hujan terendah sejak tahun 1961 iaitu kurang 40 hingga 60 peratus berbanding kadar sebelumnya.

Di wilayah Jiangxi, bot-bot nelayan tersadai di atas padang rumput yang sebelum itu merupakan bekas Tasik Poyang iaitu tasik air tawar terbesar di China.

“Saya tidak pernah melihat kemarau seburuk begini. Lihatlah beras kami, semuanya bertukar kuning dan akan mati sekiranya hujan tidak turun,” kata seorang petani, Ouyang Jinghuang, 66, yang mengusahakan tanaman padi berhampiran tasik berkenaan.

“Kami semua terpaksa menggali perigi dan membeli air untuk mendapatkan air bersih. Lazimnya kami hanya bimbangkan tentang banjir, bukan kemarau.”

Krisis air

Pihak berkuasa menyatakan 1,300 tasik di negara itu kini kering akibat kemarau. Bencana alam itu menyebabkan masalah pengairan dan krisis bekalan air bersih.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh State Flood Control and Drought Relief Headquarters (SFDH) memberitahu, kemarau menyebabkan seramai 4.4 juta rakyat dan 3.2 juta tanaman dan ternakan di lima wilayah berkenaan terjejas.

Kerajaan pusat menghantar pam air dan penjana kuasa di Hubei dan Hunan bagi membekalkan air di kawasan-kawasan terjejas teruk dalam usaha mengurangkan impak kemarau. Malah Empangan Three Gorges iaitu sebuah projek elektrik hidro terbesar di dunia turut melepaskan airnya bagi tujuan yang sama.

Tatkala semua pihak berusaha mencari penyelesaian bagi menangani kemarau yang melanda sejak enam bulan lalu, China tiba-tiba dikejutkan dengan kejadian banjir terburuk yang berlaku dalam tempoh 50 tahun di negara itu.

Hujan lebat yang berterusan sejak 3 Jun lalu di kawasan selatan dan tengah di negara itu menyebabkan air Sungai Yantze meningkat melebihi paras selamat.

Beberapa wilayah seperti Zhejiang, Jiangsu, Hunan, Hubei, Jiangxi and Guizhou yang kering kontang akibat kemarau sebelum ini kini mula ditenggelami air.

Rangkaian televisyen tempatan yang sebelum ini sering memaparkan imej tasik-tasik kering kini memaparkan kediaman penduduk yang ditenggelami air dan bot-bot yang tersadai di atas jalan raya.

Kementerian Luar Awam China melaporkan sekurang-kurangnya 175 mangsa terkorban akibat dihanyutkan air atau kejadian tanah runtuh, manakala 86 mangsa dilaporkan masih hilang.

Pihak Kementerian berkata, sebanyak 13 wilayah terjejas teruk dalam banjir manakala lebih 1.6 juta penduduk telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Di samping kematian, lebih 1,000 perniagaan dan lebih 400,000 hektar kawasan tanaman telah musnah akibat banjir selama lebih dua minggu itu. Jumlah kerugian yang dicatatkan dianggarkan mencecah AS$5.4 billion (RM16.3 bilion).

Menurut agensi berita tempatan, beberapa pasar besar sekitar di Hangzhou, ibu kota Zhejiang, harga buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin telah meningkat kira-kira 40 peratus, jauh lebih tinggi daripada sebulan lalu. Harga makanan juga dilaporkan meningkat di wilayah Anhui dan Jiangxi.

Kesan itu telah meningkatkan kadar inflasi ke paras lebih tinggi dalam tempoh tiga tahun. Harga makanan pada bulan Mei naik 11.7 peratus daripada tahun sebelumnya, lebih daripada dua kali kenaikan 5.5 peratus dalam harga indeks pengguna.

Sementara itu, seorang penduduk yang dipindahkan berasal dari Zhuji, sebuah bandar di selatan Zhejiang memberitahu penduduk kini mula beransur-ansur pulang ke kediaman mereka.

Shou Qoingdam, 22, memberitahu Reuters bahawa dua tambak yang dibina bersebelahan dengan bandar mungkin telah dibaiki, bagi mengelakkan malapetaka yang lebih besar.

“Ketika air mula-mula memasuki tambak, rekahan tidaklah begitu besar, ia mampu dibaiki dengan mudah.

“Bagaimanapun kerajaan tidak berbuat apa-apa. Disebabkan itu kita mengalami kerugian ekonomi yang agak tinggi dan menyebabkan ramai penduduk yang terjejas akibat banjir.”

Suhu global

Peralihan iklim yang dramatik itu selaras dengan trend cuaca yang telah dikenal pasti oleh Pusat Iklim Beijing dua tahun lalu yang menyatakan hujan akan turun dalam waktu yang singkat, lebat sebelum diiringi kemarau yang berpanjangan.

Pusat itu turut memberi amaran bahawa peningkatan suhu global akan menyaksikan kekerapan berlakunya kemarau, banjir dan ribut.

Chen Zhenghong, jurutera kanan di Biro Meteorologi Hubei, wilayah tengah China pula berkata, peralihan ketara antara kemarau dan banjir di timur dan tengah China mempunyai kaitan dengan kesan pemanasan global.

“Biasanya hujan bermula di tengah-tengah bulan Jun dan paras lembah Sungai Yangtze yang rendah akan meningkat sebaik sahaja musim hujan monsun dan ribut taufan bermula.

“Bagaimanapun hujan yang mencurah-curah turun sejak awal bulan lalu menyebabkan banjir dashyat dalam tempoh beberapa dekad,” katanya.

Sementara itu, menurut satu laporan yang dikeluarkan firma insurans di Jerman, Munich Re, angka bencana alam di China melibatkan ribut ganas, banjir, peningkatan suhu, kemarau dan kebakaran hutan meningkat kepada 48 kes pada tahun 2010 berbanding 11 kes pada awal 1980-an.

Ketua Penyelidikan Georisk Munich, Peter Hoeppe, menggariskan arah aliran jangka panjang dan risiko yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

“Banjir dahsyat di China adalah dimensi dramatik, satu fenomena yang malangnya berlaku di China dengan kekerapan meningkat sejak beberapa dekad lalu.

“Setiap tahun, berjuta-juta rakyat China menjadi mangsa cuaca yang berkaitan dengan bencana alam. Risiko semakin meningkat, perubahan iklim mengakibatkan potensi hujan lebat di samping risiko kemarau di kawasan-kawasan tertentu juga meningkat,” katanya dalam satu e-mel yang dilaporkan oleh AFP baru-baru ini.

kosmo/-

KelCheff 2011 gegarkan Bazar Tok Guru

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Bazar Tok Guru, Kota Bharu yang bakal beroperasi dalam masa terdekat akan menjadi lokasi rasmi Kelantan Cheng Ho International Food Festival (KelCheff) 2011 bermula 14 hingga 23 Julai depan.

Pegawai Komunikasi Korporat KelCheff, Abdullah Suhaimi berkata, walaupun lokasi berkenaan kurang dikenali dalam kalangan penduduk luar bandar Kota Bharu, namun ia bakal bertukar wajah ketika berlangsungnya program yang menawarkan pelbagai makanan Muslim, khususnya dari negara China itu.

“Selepas ini orang akan mula mengenali bazar ini yang menjadi antara lokasi perniagaan di negeri ini selepas Pasar Besar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) ditutup tidak lama lagi,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, Bazar Tok Guru mempunyai persekitaran yang sesuai untuk menjadi lokasi pesta berkenaan yang akan bermula 14 Julai depan.

“Selama 10 hari peserta KelCheff akan berkampung di sini, dan kita mengharapkan agar lokasi yang disediakan ini memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung,” katanya.

Sementara itu, mereka yang berminat menyertai pesta makanan ini boleh hubungi pejabat Sekretariat KelCheff menerusi 09-7488442 dan 09- 7481010 atau mengunjungi pejabatnya di Pupuk Nilai murni Bhd, Tingkat 1 Medan Usahawan, Jalan Mahmood, Kota Bharu.

sinarharian/-

Pinjam RM6 bilion: Anak cabar Isa Samad dialog terbuka

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, dicabar untuk berdialog secara terbuka dengan Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan Cawangan Lembah Klang (Anak Lembah Klang) bagi menjelaskan hal pinjaman RM6 bilion dan kerugian anak-anak syarikat Felda.

Anak Lembah Klang bersedia menyiapkan pentas terbuka untuk diadakan dialog tersebut dan Isa Samad diberikan tempoh tiga hari bagi menjawab kesediaannya untuk menyambut cabaran itu.

Jika tidak, ia jelas menggambarkan ada 'masalah besar' yang dihadapi Felda hari ini di bawah kendalian Isa Samad dan beliau mesti bertanggungjawab dengan semua itu.

Naib Pengerusi Anak Lembah Klang, Mohd Nasaie Ismail berkata, kenyataan Isa Samad bahawa pinjaman Felda kepada KWSP sebanyak RM6 bilion bukanlah satu masalah dan ia merupakan penghormatan kepada Felda, jelas merupakan satu penghinaan kepada golongan peneroka, anak peneroka dan warga Felda.

Menurut beliau, jawapan tersebut menampakkan sikap Isa yang menganggap golongan peneroka, anak peneroka dan warga Felda seolah-olah buta maklumat sehingga sanggup ditipu oleh beliau.

"Masakan tidak ada sebarang masalah, kita membuat pinjaman dan pinjaman ini dalam jumlah yang besar hampir lima kali ganda daripada keuntungan tahunan Felda yang dihebahkan kepada kita.

"Kita juga pelik, mengapa Isa boleh katakan kerugian Felda bukanlah suatu masalah sebaliknya ia boleh diurus supaya kerugian itu menjadi baik. Mana ada kerugian dikira baik. Rugi sememangnya petanda buruk kepada agensi milik rakyat Malaysia ini," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Anak Lembah Klang, menurut beliau, mempersoalkan apakah tujuan dipinjam wang sehingga RM6 bilion dan mengapa perlu dipinjam daripada agensi yang lain?

"Persoalannya juga, apakah wujudnya kekurangan dana Felda atau benarkah dengan dakwaan wang dipinjam digunakan untuk belanjawan pilihanraya parti pemerintah? Ini yang perlu dijawab," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan.

Jika begitulah cara berfikir Pengerusi Felda, tegasnya, tidak mustahil Felda akan bankrap di bawah pengurusan Isa Samad sebagaimana lingkupnya Negeri Sembilan dibawah beliau.

"Anak Lembah Klang juga menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Anak, Mazlan Aliman supaya tidak membalas kenyataan Isa itu kerana lavel pemikiran dan jawapannya cukup sekadar anak-anak peneroka seperti kami sahaja menjawabnya," ujar beliau.

Aziz Muda
harakahdaily/-

Melaka peruntuk RM50 juta atasi banjir kilat

22 Rejab 1432H. [MOD] -

Masalah banjir kilat yang selama ini menghantui penduduk di beberapa kawasan di bandar Melaka akan dapat diatasi berikutan selesainya Projek Tebatan Banjir Fasa Pertama.

Projek yang menelan belanja RM50 juta itu dimulakan sejak tiga tahun lalu, selepas menerima aduan penduduk berikutan masalah banjir kilat yang berlaku sebahagian besar kawasan bandar di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, fasa pertama melibatkan kerja-kerja pembesaran parit dan pembinaan rumah pam yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka (JPSNM).

“Kita telah menyediakan sistem perparitan yang lebih besar bagi membantu air mengalir terus hingga ke sungai berhampiran untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku,” katanya selepas melawat sistem perparitan di Kampung Pengkalan Rama dan rumah pam berhampiran Kampung Morten.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zainal Abu.

Menurut Mohd Ali, kawasan terlibat adalah Kampung Chetti, Tangga Batu, Sungai Udang ,Taman Merak Mas, Bukit Katil, Lorong Pandan, Limbongan, Taman Melawis, Taman Sentosa, Bukit Beruang, Taman Peringgit Jaya dan Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka (IPPM) di Durian Daun.

"Hasil tinjauan yang dilakukan saya mendapati kebanyakan penduduk merasa lega kerana masalah banjir kilat yang berlaku dapat diatasi.

"Saya harap ia dapat memberi keselesaan sepenuhnya kepada mereka, bagaimanapun saya ingin memastikan rumah pam air yang dibina dapat berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air hujan terutama dari Durian Daun dan Pengkalan Rama terus ke Sungai Melaka,” katanya.

Jelasnya, pihaknya sudah menyiapkan tender dan dokumen lengkap bagi Projek Tebatan Banjir Fasa Kedua yang kini hanya menunggu peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Kita berharap peruntukan bagi projek fasa kedua yang menelan kos sebanyak RM78 juta dapat diperolehi dengan segera bagi mengatasi masalah banjir dan membaiki sistem perparitan di beberapa buah tempat lagi di bandar ini.

“Kawasan yang dikenalpasti terlibat dalam projek tebatan banjir fasa dua ini adalah Kampung Enam dan Kampung Tujuh, Jalan Bachang, Sekolah Menengah Tun Tuah, Kampung Lapan, Parit Besar di Bukit Katil, kawasan di belakang pusat membeli belah Fajar, Bachang dan berhampiran Aeon Bandaraya Melaka, Peringgit Jaya,” katanya.

malaysiakini/-

Heret Utusan ke mahkamah

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini menggesa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan siasatan ke atas pihak Utusan Malaysia berhubung karikatur yang disiarkan 15 Jun lalu, didakwa menghina Islam.

DMMP juga mahu Jawi menyiasat pembabitan biro politik Umno dalam pengeluaran dan penerbitan karikatur tersebut.

Ketua DMPP, Siti Zailah Mohd Yusof membuat gesaan tersebut selepas membuat aduan dan menyerahkan memorandum bantahan di pejabat Jawi pagi tadi.

"Kami harap tindakan yang sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera kerana tindakan Utusan Malaysia jelas menghina dan merendah-rendahkan martabat Islam serta mempermain-mainkan hukum yang telah tersabit dalam Islam," kata beliau.

Memorandum tersebut diterima penolong pegawai tadbir bahagian khidmat pengurusan Jawi, Nasaruddin Mohd Zainal.

Karikatur yang dihasilkan pelukis yang dikenali sebagai Miki itu membuat dua perbandingan mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol.

Gambar pertama yang merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan 'tok penghulu' yang berimejkan seorang alim.

Tok penghulu tersebut telah menolak aduan tersebut setelah wanita itu tidak mempunyai empat orang saksi walaupun ia mempunyai rakaman kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.

Sebaliknya gambar kedua pula merujuk kepada dialog di antara pengadu wanita dan seorang yang digambarkan sebagai anggota polis.

Pihak polis menerima rakaman telefon bimbit untuk dijadikan bukti aduan rogol tersebut.

Siti Zailah turut mendakwa tindakan Utusan Malaysia itu meletakkan akhbar milik Umno itu setaraf dengan akhbar-akhbar Denmark yang pernah menimbulkan kontroversi menghina Nabi Muhammad SAW.

Sehubungan itu DMPP mahu editor Utusan Malaysia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina dan mempermainkan hukum Qazaf yang jelas termaktub dalam al Quran dan sunnah serta hukum jenayah Islam.

"Tindakan ini berlandaskan peruntukan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Tanggungjawab Jawi

Sementara itu, Timbalan DMPP, Dr. Siti Mariah Mahmud menegaskan, mereka menunggu tindakan segera daripada pihak Jawi berhubung aduan dan memorandum yang diserahkan.

"Jawi bertanggungjawab menyiasat sebab kita dah buat aduan.

"Saya sebagai pengadu utama menunggu pihak Jawi memanggil saya untuk diambil keterangan.

"Kalau tak panggil saya untuk beri keterangan, saya mesti tahu kenapa (tak panggil)," katanya.

Tambahnya, tindakan Utusan Malaysia jelas mengelirukan fikiran rakyat khususnya orang Islam.

"Utusan Malaysia kata mereka pemangkin fikiran rakyat. Tapi kalau siarkan karikatur hina Islam ini,fikiran bagaimana yang mereka nak sebarkan?"katanya yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Dalam pada itu, DMPP kata Zailah menyokong penuh kempen boikot Utusan Malaysia (UM-NO) yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu.

"Dewan Muslimat menyeru setiap ahli DMPP memboikot akhbar Utusan Malaysia secara total," katanya.

Hazayani Zakaria
harakahdaily/-

Melayu gila plat kereta cantik

22 Rejab 1432H. [MOD] -

Sembilan daripada 10 tender KDY 8, KDY 88, KDY 888, KDY 8888

ALOR SETAR: Minat orang Melayu di negeri ini menggunakan nombor plat kenderaan yang menarik dan istimewa meningkat dengan ketara apabila jumlah mereka yang menyertai tender terbuka untuk mendapatkan nombor itu semakin ramai.

Ini menunjukkan golongan itu kini sanggup menghabiskan sehingga berpuluh ribu ringgit untuk mendapatkan nombor plat kenderaan menarik, yang selama ini kebanyakannya lebih diminati bangsa Cina.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman (kanan), berkata kajian pihaknya mendapati dalam kes nombor tertentu, sembilan daripada 10 yang menyertai tender adalah Melayu dan mereka sanggup membayar harga tinggi untuk mendapat nombor plat digemari.

Sebagai contoh, katanya, bagi nombor plat siri KDY 8, KDY 88, KDY 888 dan KDY 8888, sembilan daripada 10 pembida setiap nombor berkenaan adalah orang Melayu.

“Selain individu, pembida berkenaan adalah syarikat milik orang Melayu yang mana ia menunjukkan aliran golongan itu semakin meminati nombor plat menarik dan istimewa yang mana selama ini lebih diminati kaum bukan Melayu," katanya di sini.

Beliau berkata, selain nombor 8 yang biasanya diminati kaum Cina kerana kepercayaan mereka bahawa nombor itu membawa tuah atau `ong', nombor lain yang diminati Melayu yang memiliki kereta mewah ialah nombor 1 hingga 10.

JPJ mengkategorikan nombor plat kenderaan 1 hingga 10 sebagai nombor bernilai utama yang mana harga tendernya bermula dengan minimum RM10,000, manakala nombor menarik minimum RM2,000 dan nombor popular RM300.
Mengikut rekod JPJ, antara kutipan tertinggi bagi nombor bernilai utama ialah KCT 1 bernilai RM66,500, KCY 1 (RM75,000), KCX 1 (RM80,000) dan KCQ 1 (RM85,000) yang mana pemenang bidaan beberapa nombor berkenaan terdiri daripada individu atau syarikat Melayu.

Difahamkan, selain terikut-ikut dengan minat masyarakat Cina yang memilih sesuatu nombor kerana percaya ia membawa tuah, minat orang Melayu terhadap nombor menarik dan bernilai tinggi itu dipercayai ada kaitan dengan taraf ekonomi mereka yang semakin baik sehingga mampu memiliki kereta mewah.

Ahmad Musadad berkata, aliran terbaru itu membawa faedah kepada JPJ dan kerajaan khususnya, kerana secara tidak langsung kutipan hasil juga meningkat yang mana ia dapat disalurkan untuk faedah rakyat bagi tujuan pembangunan infrastruktur.

Difahamkan, tahun lalu JPJ seluruh negara mengutip hasil RM2.9 bilion daripada pendaftaran nombor plat kenderaan dan bagi Kedah pula untuk siri KCX saja kutipannya ialah RM485, 534.

malaysiakini/-

Kerajaan Gagal Tangani Isu Biasiswa JPA

22 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 24 JUN : Kerajaan di bawah pimpinan Najib Razak kini dilihat seolah-olah mahu melarikan diri daripada terus menjelaskan kepada rakyat berhubung ketelusan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan cemerlang.

Hal ini terbukti apabila Putrajaya mengumumkan untuk merombak dasarnya apabila hanya akan menganugerahkan biasiswa JPA kepada pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ijazah dan bukannya kepada calon cemerlang SPM bermula tahun hadapan.

Malah Najib sendiri mengakui ia bagi mengelak masalah rungutan dan kritikan yang kedengaran mutakhir ini.

Namun menurut Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Abbas Awang, tindakan tergesa-gesa kerajaan itu bakal mengundang masalah keciciran kepada pelajar-pelajar cemerlang lepasan SPM yang menjadi aset negara pada masa hadapan.

"Keputusan SPM menggambarkan keputusan yang penting, pelajar-pelajar yang cemerlang dan terpilih itu sepatutnya diberi keutamaan mereka untuk memilih jurusan-jurusan tertentu dan sepatutnya mereka ini diberikan biasiswa,"katanya kepada Tv Selangor.

Abbas juga tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib yang mengatakan bahawa pemberian biasiswa di peringkat SPM bukan satu idea yang baik, sekaligus menimbulkan pertikaian sama ada kerajaan telus selama ini membantu pelajar-pelajar lepasan SPM.

"Saya fikir itu alasan yang tidak logik semata-mata kerana dana biasiswa itu tadi telah disalahgunakan untuk perkara lain.

"Itu hanyalah alasan kerajaan. Berdasarkan pemerhatian mereka ini daripada SPM melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi dan lain-lain, terbukti mereka telah berjaya dalam jurusan yang mereka pilih. Cuba tengok rekod-rekod daripada JPA sendiri, hanya segelintir kecil sahaja yang gagal sebaliknya 90% mereka telah berjaya,"ujar Abbas.

Najib sebelum ini mendakwa, dasar sedia ada patut disemak semula kerana kerajaan juga mengambil kira bahawa pemberian biasiswa di peringkat SPM bukan idea yang bagus kerana ia setaraf dengan O-level.

"Memberikan biasiswa di peringkat SPM bukan idea yang bagus. Malahan jika pelajar cemerlang dalam O-level mereka, ini tidak bermakna mereka akan cemerlang dalam A-level mereka.

"Jadi akan diadakan semakan menyeluruh terhadap dasar kami tahun depan," kata Najib semasa menjawab soalan seorang pemanggil semasa ditemu bual di konti Radio One FM di Sri Pentas.

Semalam misalnya Parti Hak Asasi Manusia (HRP) sekali lagi tampil menuntut keadilan di atas penafian kerajaan Malaysia terhadap pelajar India dalam pemberian biasiswa JPA,pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan juga penempatan mereka di matrikulasi dan universiti.

Menurut Ketua Penerangan HRP, S Jayathas,seramai 2,237 pelajar India yang cemerlang dinafikan daripada mendapat biasiswa dan pinjaman serta tidak mendapat tempat yang selayaknya di peringkat universiti.

Masalah agihan biasiswa JPA 2011 sebelum ini penuh kontroversi hingga menyebabkan ramai pelajar cemerlang SPM 2010 yang layak tidak menerima biasiswa itu dan menimbulkan pelbagai tanda tanya.

tv selangor/-

Lebih 300 pekerja berpiket

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Lebih 300 pemeriksa kenderaan di Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) mengadakan piket kelmarin kerana tidak berpuas hati dengan isu kebajikan.

Presiden NUCW, Mustapa Kasim berkata, melalui piket itu, mereka cuba menyuarakan berhubung pertikaian perjanjian bersama antara NUCW dan Puspakom dalam isu kebajikan pekerja.

Menurutnya, sejak Mac tahun lalu, proses rundingan perjanjian bersama dibuat sebanyak tujuh kali, namun syarikat tetap enggan melakukan perubahan daripada cadangan asal (syarikat) yang boleh diterima kesatuan.

“Kita (NUCW) beri beberapa cadangan berkaitan faedah persaraan dan perubatan, kos elaun saraan hidup, bonus, pelarasan gaji serta struktur gaji (kenaikan tahunan) tetapi ditolak syarikat.

“Syarikat sebaliknya beri pelarasan gaji lima peratus yang tidak langsung mengambil kira kadar inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kelmarin.

Mustapa berkata, kakitangan juga tidak berpuas hati dengan perubahan jam waktu operasi (bekerja) daripada 48 jam seminggu kepada 60 jam seminggu yang dilaksanakan sejak Selasa lalu.

Menurutnya, mereka juga tidak berpuas hati berhubung pemberian gaji kerana pekerja baru menerima gaji lebih tinggi daripada pekerja lama.

Sementara itu, Jabatan Komunikasi Puspakom dalam kenyataan balas menyifatkan beberapa dakwaan NUCW, termasuk syarikat mengabaikan kebajikan pekerja, sebagai tidak benar.

Menurutnya, tuduhan syarikat menolak beberapa cadangan NUCW adalah tidak benar, sebaliknya ia masih dalam proses rundingan.

“Syarikat bersetuju dengan beberapa cadangan NUCW, namun bagi cadangan yang masih dalam proses rundingan, mereka enggan meneruskannya.

“Dakwaan syarikat mengurangkan umur persaraan daripada 60 kepada 56 tahun adalah tidak benar kerana kedua-dua belah pihak bersetuju bagi pekerja-pekerja baru, umur persaraannya adalah 56 tahun dan syarikat juga tidak berhasrat mengurangkan umur persaraan bagi pekerja sedia ada seperti ditawarkan iaitu 60 tahun,” katanya kenyataan media itu semalam.

Mengenai klasifikasi baru kakitangan pemeriksaan kenderaan daripada bukan eksekutif kepada eksekutif, Puspakom mempunyai dua skim perjawatan.

Menurut kenyataan itu, Puspakom memastikan bahawa jumlah waktu bekerja setiap pemeriksa kenderaan tidak melebihi had ditetapkan undang-undang di bawah Akta Kerja 1955.

sinarharian/-

Isteri ketiga Osama dibenar pulang ke Yemen

22 Rejab 1432H. [MOD] -

SANAA 23 Jun – Isteri ketiga Osama bin Laden, Amal Abdulfattah akan dibenarkan pulang ke Yemen dari Pakistan dalam tempoh beberapa hari lagi, kata abangnya semalam.

Menurut Zakariya Abdulfattah, keluarga Amal telah dimaklumkan oleh Kementerian Luar Yemen dan Pakistan mengenai rancangan untuk menghantar wanita itu dan lima anaknya pulang ke Yemen beberapa hari lagi.

“Terdapat pertemuan diplomatik antara kerajaan Yemen dan Pakistan untuk memastikan dia pulang dengan selamat ke negaranya dan berjanji untuk melaksanakan langkah itu secepat mungkin,” katanya.

Keluarga wanita itu pada bulan lepas telah menuntut supaya Amal dan anaknya dihantar pulang selepas ditahan di Pakistan.

Zakariya berkata, Kedutaan Yemen di Islamabad turut memberi jaminan Amal berada dalam keadaan baik, walaupun mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak ketika komando Amerika Syarikat (AS) menyerang sebuah rumah di Abbotabad dalam operasi membunuh Osama.

Pihak perisikan AS dilaporkan telah menyoal siasat ketiga-tiga isteri Osama yang ditahan dalam serbuan komando AS di utara Islamabad itu sehingga membawa kepada ketua militan al-Qaeda itu dibunuh.

Menurutnya, Amal, 29, mengahwini Osama pada 1999 dan mengikut suaminya mengembara ke Afghanistan.

Osama sebelum itu mengahwini dua wanita lain dan isteri pertamanya merupakan sepupunya sendiri, Najwa al-Ghanem dari Syria. – AFP

Barang kemas RM24.1 juta milik Eva Peron ditemui

22 Rejab 1432H. [MOD] -

SEBAHAGIAN barang kemas milik Eva Peron yang ditemui semula dipamerkan polis di Milan, Itali kelmarin.

MILAN – Sejumlah barang kemas bernilai lebih £5 juta (RM24.1 juta) yang pernah dimiliki Wanita Pertama Argentina, Eva Peron ditemui semula oleh polis Itali.

Pendedahan itu dibuat polis dalam satu sidang akhbar kelmarin di sini.

Semua barang kemas itu, termasuk sebuah tiara bernilai £3.5 juta (RM16.9 juta) yang dihadiahkan kepada Eva oleh keluarga diraja Belanda, dua bentuk cincin dan sepasang anting-anting ditemui di sebuah hotel di sini dalam satu serbuan pihak berkuasa.

Barang kemas itu dicuri sekumpulan penjenayah Serbia daripada sebuah butik di bandar Valencia, Sepanyol pada Disember 2009.

Pada tahun lalu, polis Sepanyol menangkap enam anggota geng penjenayah berkenaan tetapi gagal menemui barang kemas berkenaan.

Namun, hasil soal siasat terhadap tahanan-tahanan tersebut, polis Sepanyol memberikan maklumat mengenai seorang konconya kepada polis di sini, Itali.

Selepas membuat intipan selama beberapa bulan, penjenayah berkenaan ditangkap di sebuah hotel di sini dengan polis turut menemui semula barang kemas tersebut.

Eva yang merupakan isteri bekas Presiden Argentina Juan Peron lebih dikenali dengan gelaran Evita.

Wanita itu menjalani kehidupan penuh mewah dan glamor yang kemudian diadaptasikan ke layar perak menerusi filem berjudul, Evita dengan wataknya dilakonkan oleh Madonna.

Peron memerintah Argentina pada awal 1950-an sebelum hidup dalam buangan pada 1955, tiga tahun selepas Eva meninggal dunia pada usia 33 tahun akibat kanser. – Agensi

Mengaku Bersalah, Datuk T Hanya Dikenakan Denda RM5,500

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 24 JUN : Ketiga-tiga individu yang menggelarkan diri mereka trio "Datuk T" mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka terhadap kesalahan menayangkan video lucah dan bersubahat berbuat demikian pada 21 Mac lalu.

Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa, Shuib Lazim yang didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama seksyen 34 mengaku bersalah atas tuduhan menayangkan rakaman video lucah secara terbuka di Carsosa Seri Negara 21 Mac lalu.

Manakala bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dituduh di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi perbuatan persubahatan.

Rahim juga mengaku bersalah di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani.

Oleh yang demikian Eskay dikenakan hukuman denda RM3,000, Shuib RM1,500 dan Rahim dikenakan denda RM1,000.

Eskay diwakili peguam Zamani Ibrahim, Shuaib diwakili Suhaimi Salleh manakala Abdul Rahim diwakili Datuk Shafee Abdullah.

Fakta kes yang dibacakan antara lain menyebut kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Ampang di mana seorang lelaki mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita warganegara China.

Turut dinyatakan polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan kelibat individu yang didakwa Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bersama Eskay dan masuk ke pangsapuri.

Selepas fakta kes dibacakan kepada tertuduh, Eskay kemudian menyatakan kepada mahkamah bahawa terdapat pembetulan pada perenggan terakhir.

"Bukan menyerupai, tapi ianya memang Anwar Ibrahim," ujar beliau dari dalam kandang tertuduh.

Mahkamah kemudian dipertontonkan rakaman video seks berkenaan melalui dua buah televisyen di dalam galeri mahkamah.

Walau bagaimanapun, hakim Aizatul mengarahkan rakaman video tersebut dipercepatkan dan hanya untuk mengesahkan terdapat kejadian seks oleh dua individu seperti yang didakwa.

Peguam Shafee yang mengemukakan rayuan di hadapan hakim berkata, Eskay dan Shuib terpaksa melakukan kesalahan kecil untuk mendedahkan kesalahan moral yang lebih besar oleh Anwar kepada umum.

Oleh yang demikian katanya, kedua-dua individu itu mengambil keputusan untuk menayangkan rakaman video seks tersebut bertujuan menghalang Anwar daripada terus mengejar cita-cita menjadi pemimpin negara Islam yang tidak bermoral.

Katanya tindakan mereka adalah demi kepentingan awam selain menyelamatkan persepsi rakyat daripada terus ditipu oleh perbuatan hipokrit Anwar.

"Saya rasa terkejut sebab saya ingat ini perkara yang baik untuk dilakukan," katanya.

Antara lain Shafee menyebut perbuatan yang dilakukan tidak melibatkan kepentingan wang selain mereka telah memilih penonton secara berhati-hati.

Malah Shafee bertegas rakaman video itu telah diteliti oleh pakar dari Amerika Syarikat yang menyatakan 99.9 peratus adalah Anwar.

Beliau sebaliknya menuduh Anwar membuat laporan palsu kepada polis pada 22 Mac sehari selepas kejadian.

"Ketiga-tiga mereka ini tidak sepatutnya berada di sini.. tapi Anwar Ibrahim kerana beliau telah buat laporan palsu," ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kepada tertuduh berikutan faktor umur dan keluarga.

TV SELANGOR/-

Kalau Zainal Kling nak mengampu biar kena tempat

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Julai: AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, adalah pelik dan macam mana seorang ahli akademik seperti Prof Datuk Dr Zainal Kling mengatakan pembangkang suka kepada anarki iaitu supaya suasana tidak tenteram dan tidak mengikut undang-undang.

“Beliau memberi komen himpunan Bersih 2.0, andaiannya boleh menimbulkan suasana yang tidak tenteram,” katanya.

Sebagai ahli akademik, tambah belau sepatutnya sebelum memberi pandangan biarlah mencari fakta yang adil, kemudian baru membuat rumusan.

“Macam mana beliau sebagai ahli akademik yang sering berpesan kepada mahasiswa ketika menjalankan penyelidikan perlu membaca semua bahan, kemudian baru membuat rumusan.

“Tiba-tiba beliau sendiri tidak mengikut disiplin akademik yang membuat tuduhan secara membuta tuli kepada pembangkang,” ujarnya.

Sehubungan tu, belau mempersoalkan kenapa Zainal tidak mengkaji himpunan Bersih pada 10 November 2007 yang dihadiri lebih 100 ribu orang yang berjalan di dalam keadaan aman malahan sebiji pasu bunga tidak dipecahkan.

Baginya, janganlah kerana Zanal menjadi penyokong tegar Umno sehingga melekat di dalam fikirannya selain daripada Umno tidak mampu untuk membawa kemakmuran negara.

“Biarlah fikiran sebegini hanya ada kepada mereka yang buta maklumat, bukan mereka yang berada di gedung ilmu,” katanya lagi.

Beliau tidak menafikan kerajaan Pakatan Rakyat bukanlah sempurna, tetap jika hendak dibandingkan dengan kerajaan BN yang memerintah hampir 54 tahun, sudah tentu kerajaan Pakatan Rakyat lebih baik yang terbukti dan teruji.

Katanya, Zainal memang terkenal sebagai penyokong tegar Umno, sewaktu di universiti Malaya lagi.

Idris menambah, fikrah Zainal sama seperti Dr Antory Husin, Dr Ramlah Adam, Dr Kamarudin Kachar, Dr Ibrahim Abu Shah, Dr Mustafa Ishak.

“Mereka ini ahli akademik yang memberi pandangan politik yang memalukan, kerana masyarakat melihat pandangan yang tidak layak keluar daripada mereka yang berada di menara gading.

“Kalau hendak mengampu biarlah kena caranya, bukan memberi pandangan yang emosi dan tidak berisi,” katanya.

harakahdaily/-

Video Seks : Trio Datuk T Mengaku Bersalah

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 24 JUN : Ketiga-tiga individu yang menggelarkan diri mereka trio "Datuk T" mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka terhadap kesalahan menayangkan video lucah dan bersubahat berbuat demikian pada 21 Mac lalu.

Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa, Shuib Lazim yang didakwa di bawah Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama seksyen 34 mengaku bersalah atas tuduhan secara terbuka menayangkan rakaman video lucah di Carsosa Seri Negara 21 Mac lalu.

Manakala bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang dituduh di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama bagi persubahatan juga mengaku telah berbuat demikian di hadapan hakim Aizatul Akmal Maharani.

Jika sabit kesalahan, semua mereka boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-keduanya sekali.

Selepas pertuduhan dibacakan, semua tertuduh mengaku faham dan memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar untuk membolehkan mereka berbincang dengan peguam masing-masing.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa proses perundangan yang dikenakan ke atas Datuk T hanya akan melibatkan hukuman seminima mungkin.

Terdahulu seawal jam lapan pagi tadi, kira-kira 50 penyokong Datuk T hadir untuk memberi sokongan.

Trio Datuk T terdiri daripada ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas benhari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Mereka merupakan individu yang bertanggungjawab menayangkan video lucah secara terbuka kepada wartawan terpilih di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Ketiga-tiga mereka kemungkinan akan didakwa dibawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menafikan bahawa beliau adalah pelaku dalam rakaman video 21 minit itu dan telah membuat laporan polis.

tv selangor/-

Anak dalam perut mati ditendang

22 Rejab 1432H. [MOD] -

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitu ungkapan sesuai bagi menggambarkan kepayahan yang harus ditanggung sebahagian wanita yang membesarkan anak-anak tanpa sokongan suami selepas bergelar ibu tunggal.

Pelbagai usaha dan cara yang cuba dilakukan mereka apatah lagi mereka ditinggalkan tanpa sebarang nafkah perbelanjaan bagi menyara anak-anak.
Menerusi bengkel memperkasakan wanita anjuran Proton baru-baru ini, seramai 50 ibu tunggal berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti dalam usaha memberi sokongan motivasi dan bimbingan selepas ditinggalkan suami.

Ikuti luahan pengalaman beberapa peserta bengkel seperti diceritakan kepada wartawan, Hajahfarhana Tarmudi (wanitametro@hmetro.com.my) mengenai kepayahan mereka selepas bergelar ibu tunggal serta bimbingan pakar kewangan bagi memantapkan ekonomi keluarga.

LIN, 28, berasal dari Sungai Petani, Kedah kini masih tidak mendapatkan status atau bukti yang menyatakan dia sudah bercerai dengan suaminya.

Keputusan berkahwin di Siam dulu menyusahkannya kini untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan kerana tidak memiliki dokumen yang mengesahkan dirinya sebagai ibu tunggal.

“Saya tidak mengambil dokumen perkahwinan ketika bernikah di Siam dan ini menyebabkan saya kini sukar mendapatkan bantuan untuk anak-anak yang semakin membesar selepas bercerai dengan suami.

“Saya pernah merujuk perkara ini di Jabatan Agama Islam Kedah untuk mengetahui cara bagi menyelesaikan masalah ini. Namun, kami diminta membayar RM1,000 sebagai denda bagi menjalankan proses mendapatkan sijil perceraian.

“Saya tiada duit sebanyak itu sebab saya juga harus membayar sewa rumah yang sudah lama tidak dijelaskan pembayarannya, malah bekalan elektrik dan air pun dipotong.

“Lantas, saya terpaksa berfikir dengan bijak cara untuk mencari rezeki demi kasih kepada anak-anak dengan belajar cara membaiki kereta, mengecat dan mempelajari selok-belok mengenai enjin untuk diterima bekerja di bengkel.

“Minat saya memang ke arah pekerjaan itu jadi saya tekadkan diri untuk meneruskannya bagi membayar sewa rumah dan perbelanjaan anak-anak,” katanya yang mempunyai empat anak berusia antara empat hingga 11 tahun.

Menceritakan kembali detik ketika bersama bekas suami, dia sering ditinggalkan sehingga lima hingga enam bulan kerana suami bekerja di bidang perkapalan.

“Suami berikan kami wang apabila pulang dan saya yang menguruskan segala perbelanjaan. Namun, suami pastikan segala pembelian dicatat dengan alasan mahu berjimat.

“Suami juga gemar menjauhkan diri daripada keluarga, rakan dan saudara-mara kerana dia tidak suka diganggu. Adakalanya apabila pulang ke rumah kami juga tidak dihiraukannya.

“Dia juga kurang memberi layanan baik kepada anak ketiga kami kerana menganggap itu bukan darah dagingnya. Hati mana yang tidak sedih?

“Tetapi kini saya boleh melakukan kerja yang saya minati dan memperoleh pendapatan bagi membesarkan anak-anak supaya mereka mendapat pendidikan yang baik.

“Sebagai ibu tunggal, mungkin kita berfikir kepayahan hidup kita, tetapi sebenarnya ada insan lain yang lebih sukar daripada kita,” katanya yang ditemui pada bengkel memperkasakan ibu tunggal anjuran Proton berkenaan.

Lin juga berharap supaya masalah berhubung status perceraiannya dapat diselesaikan dengan segera.

Wanita berketurunan Punjabi yang menjadi ibu tunggal sejak tiga bulan lalu, Noor, 37, mula memeluk Islam pada Januari 2001.

Dia berkahwin dengan suaminya yang diharap dapat membimbing dirinya menjadi isteri yang baik namun suaminya mula menunjuk belang dengan memukulnya hanya selepas sehari berkahwin.

“Bekas suami seorang guru silat dan selalu memukul saya. Kemuncaknya apabila bekas suami menendang perut ketika saya mengandung menyebabkan anak dalam kandungan meninggal dunia.

“Disebabkan itu, saya meminta cerai kerana apa dilakukannya ke atas diri saya.
“Namun, dia pula meminta duit sebanyak RM40,000 daripada keluarga saya sebagai membayar tuntutan perceraian,” katanya yang akhirnya berjaya melepaskan diri daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Selepas bercerai pada 2003, dia memulakan hidup baru dan berkahwin kali kedua dengan seorang warga Pakistan.

“Perkahwinan pada 2009 �dengan suami kedua diharap dapat membuka sinar baru. Namun, kisah lalu berulang kembali kerana sekali lagi saya menjadi mangsa dera suami.

“Kisah bermula apabila mengandung kerana suami tidak bersetuju untuk mempunyai anak ketika itu.

“Suami mula memukul saya di atas sejadah ketika kandungan mencecah usia dua bulan. Apabila saya enggan menggugurkan kandungan, dia memukul saya berterusan,” katanya.

Noor tetap dengan pendiriannya untuk melahirkan anak walaupun suami tidak menyukainya lantas si suami mula mengabaikan dirinya selepas dia melahirkan anak.

“Apabila diselidik, dia mempunyai perempuan lain. Jika ditanya, saya dimarahi dan dia mengugut untuk meninggalkan saya.

“Akhirnya, saya diceraikan dengan talak tiga oleh bekas suami hanya kerana dia tidak suka dengan anak perempuan kami,” katanya yang mempunyai anak berusia lapan tahun dan setahun ini.

Nasibnya baik, dia mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana bekerja sebagai setiausaha di pejabat kedutaan. Kini dia tinggal bersama keluarga yang banyak membantunya menghadapi cabaran bergelar ibu tunggal.

Perunding Latihan dan Motivasi Profesional, Ahmad Fadzli Yusof, beranggapan ibu tunggal harus memantapkan diri dengan mendalami pelbagai aspek ilmu keibubapaan dan pengurusan kewangan bagi menghadapi pelbagai situasi sukar.

“Mereka perlu menambah pengetahuan selain harus sentiasa fokus dengan peranan dan tanggungjawab terutama kepada ahli keluarga.

“Ibu tunggal mempunyai tanggungjawab berganda yang harus dipikul, mereka bukan hanya menjadi ibu malah berperanan sebagai ayah.

“Jadi, mereka harus menjadi lebih kuat daripada pelbagai aspek dan harus menyiapkan mental dan emosi terutama untuk masa depan keluarga,” katanya.

Memetik kisah dalam buku yang dihasilkan Fadzli dan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah bertajuk Kuasa Hijrah Kuasa Untuk Berubah, ia menggunakan prinsip itik berenang yang bermaksud kelihatan tenang, tetapi mungkin kita tidak tahu keadaan sebenar di bawah permukaan air - kaki itik sedang bekerja keras bagi memastikan badannya bergerak ke hadapan.

“Tetapi kita tidak nampak kerana ia berada di bawah permukaan air dan itik bekerja keras bagi memastikan dirinya tidak dibawa arus deras sungai.

“Adakah ia merasakannya sebagai bebanan? Itik tidak menganggap itu sebagai satu bebanan kerana haiwan itu memang suka berenang.

“Begitu juga dengan mereka yang berjaya. Nampak tenang, tetapi minda dan fikiran mereka sebenarnya sentiasa bekerja bagi memastikan hidup terus maju ke hadapan.

“Mereka selalu berfikir dan merancang hidup supaya tidak membiarkan diri dibawa arus kehidupan yang mencabar malah sering menganalisa serta merancang kehidupan,” katanya.

Sekiranya ingin berjaya, kita juga harus sentiasa menggunakan perkataan positif dalam menetapkan matlamat hidup apatah lagi ketika menghadapi kesukaran hidup.

“Kata-kata negatif seperti hidup susah dan sedih akan membuatkan diri mereka tidak dapat lari daripada masalah sebaliknya akan sentiasa menghadapi perasaan kecewa berpanjangan.

“Selain itu, matlamat juga harus spesifik kerana ia akan membuatkan kita menjalankan usaha lebih tegas dalam mencapai kejayaan yang ditetapkan oleh diri sendiri,” katanya.

metro/-

Peras Ugut: Empat Anggota Polis Bebas Dengan Jaminan Polis

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Empat anggota polis termasuk seorang wanita yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki terlibat dalam kes peras ugut, Khamis lepas, telah dibebaskan dengan jaminan polis, Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua mereka yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul itu dibebaskan atas arahan Timbalan Pendakwa Raya. "Mereka kini akan bertugas di bahagian yang tidak berurusan dengan orang awam untuk tempoh tertentu," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Sebelum itu, beliau menerima replika kunci 60 kereta jenis Chevrolet Captiva dari Ketua Pegawai Operasi Naza Quest Sdn Bhd, Datuk Maruan Mohd Said, untuk kegunaan rasmi polis pada Pameran dan Persidangan Kedua Peralatan Polis (GPEC) Asia 2011 bermula 27 hingga 29 Jun ini.

Ku berkata kertas siasatan mengenai kes jenayah ugut itu akan disiapkan tidak lama lagi sebelum diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk semakan dan tindakan lanjut.

Dalam kejadian itu, empat anggota polis terbabit berumur antara 28 hingga 34 tahun ditahan sehari selepas kejadian ugut berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan.

Kejadian berlaku di sekitar daerah Sentul apabila seorang lelaki yang sedang memandu keretanya ditahan empat anggota polis terbabit.

Keempat-empat mereka mendakwa lelaki berkenaan membawa dadah di dalam keretanya dan mengugut supaya memberikan RM5,000 sebagai balasan kes itu tidak menjadi kes polis.

Terdahulu di majlis itu, Maruan berkata kereta tersebut akan digunakan untuk membawa tetamu bagi memastikan kelancaran sepanjang pameran berlangsung.

GPEC akan diadakan secara besar-besaran dan melibatkan penyertaan menteri dari negara-negara anggota Asean dan beberapa negara lain.

GPEC merangkumi pameran, demonstrasi produk serta persidangan yang akan melibatkan kertas kerja oleh Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia. - BERNAMA

Tiga remaja lelaki cedera dipanah petir di Hulu Besut

22 Rejab 1432H. [MOD] -

BESUT - Tiga remaja lelaki cedera dan pengsan selepas disambar petir ketika sedang berteduh daripada hujan bersama sembilan yang lain di sebuah wakaf di Kampung Durian Telur, Pasir Akar, Hulu Besut, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang ketika mereka yang berumur antara 15 hingga 40 tahun berteduh di pondok berkenaan sementara menunggu hujan reda.

Mohd Sahadam Nik Mar, 17, Muhamad Fariz Ismail,15, dan Mohd Zailani Keria, 23, yang semuanya berasal dari Kampung Durian Telur di sini dikejarkan ke Hospital Daerah Besut oleh penduduk kampung kira-kira 6.15 petang.

Keadaan ketiga-tiga mereka yang masih dirawat di hospital dilaporkan stabil.

Menurut rakan mangsa, Saiful Bahari Ramli, 15, yang turut berteduh di wakaf itu berkata, ketika kejadian secara tiba-tiba kilat dan petir memanah ke arah sebatang pokok berhampiran wakaf tersebut menyebabkan mereka bertiga rebah dan tidak sedarkan diri.

Selepas melihat keadaan ketiga-tiga mereka terjatuh manakala yang lain melarikan diri kerana panik, katanya kepada Bernama ketika ditemui di hospital di sini, hari ini.

"Sebaik hujan reda penduduk yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian datang menyelamatkan mangsa dengan menghantar mereka ke hospital," katanya.

Katanya lagi ketika kejadian, ada di antara mereka yang menggunakan telefon bimbit untuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS).- Bernama

Demo bising sokong 'Datuk T' luar mahkamah

22 Rejab 1432H. [MOD] -

Kira-kira 100 orang yang tidak kenali berhimpun di perkarangan bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, pagi ini.

Kehadiran mereka bagi menyatakan sokongan mereka kepada trio 'Datuk T' yang mengaku bertanggungjawab dalam kes tayangan video lucah di Hotel Carcosa Seri Negara pada Mac lalu.

Video itu, yang dirakam di tempat yang tidak dikenalpasti, didakwa menunjukan aksi seks individu mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua pembangkang itu menafikan perkara itu dan membuat laporan polis.

Datuk T hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memiliki dan mengedar bahan lucah itu. Kesemua mereka mengaku bersalah.

Ketiga-tiga mereka adalah bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuaib Lazim.

Sambil memegang kain rentang dan sepanduk 'Hidup Datuk T' dan 'Kami Sokong PERKASA', kumpulan itu juga melaung-laungkan sokongan kepada Datuk T.

Bercakap kepada wartawan, seorang lelaki memberitahu, mereka terdiri daripada “pelbagai NGO dari seluruh negara”.

"Kami beri sokongan tidak belah bahagi kepada sistem perundangan negara ini. Kami yakin dengan sistem mahkamah di negara ini.

"Kami 100 peratus pasti siapa lelaki dalam video itu dan beliau adalah siapa yang dikatakan oleh Datuk T. Jadi kami datang secara sukarela menyokong Datuk T,” kata lelaki yang tidak mahu mendedahkan identitinya.

Lelaki itu kemudian dikenalpasti sebagai Mohd Suhaimin (atas, baju putih) yang juga seorang pembantu kepada Rahim.

Sementara, Ketua PERKASA Perak Ahmad Zaini Ismail berkata mereka datang kerana menuntut kebenaran dan mahu keadilan ditegakkan.

"Tak ada orang yang bayar kami untuk datang,” katanya.

Meskipun suasana persekitaran agak bising dengan jeritan kumpulan itu, namun pihak polis hanya memerhatikan dan memantau dari jauh.

malaysiakini/-

Juruterbang maut nahas pesawat

22 Rejab 1432H. [MOD] -

PESAWAT model Cristian Eagle.

JAKARTA - Seorang juruterbang Malaysia terbunuh apabila pesawat ringan yang dipandunya dalam pertunjukan aerobatik di Minang Aerosport 2011 terhempas di tanah lapang Kompleks Perundam III Tunggul Hitam, Padang, Sumatera Barat petang semalam.

Juruterbang itu dikenali sebagai Kolonel (B) Zakaria Salleh dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor.

Kedutaan Besar Malaysia di sini mengesahkan laporan itu dan usaha sedang dilakukan untuk menguruskan penghantaran pulang jenazahnya ke Malaysia.

Konsul General Malaysia di Medan, Norlin Othman berkata, pesawat yang dipandu Zakaria ialah dari jenis Cristian Eagle dengan nombor pendaftaran N21H dan kejadian berlaku pada pukul 5.24 petang waktu tempatan.

kosmo/-

Gempa Bumi Lemah Landa Ranau, Sabah

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku kira-kira 40 kilometer di tenggara Ranau, Sabah pada 10.39 malam Khamis.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata gegaran mungkin dirasai di kawasan berhampiran pusat gempa.- BERNAMA

Angka korban rusuhan penjara Venezuela 29 orang

22 Rejab 1432H. [MOD] -

CARACAS: Empat lagi mayat dikelurkan dari Penjara El Rodeo, lapor stesen televisyen negara itu yang menyaksikan angka korban meningkat kepada 29 orang selepas askar dikerah memasuki bangunan penjara itu bagi mengawal keadaan.

Keganasan meletus pada 12 Jun lalu apabila sekumpulan banduan merusuh menggunakan senjata sehingga 22 orang dilaporkan maut.
Pihak berkuasa menyifatkan rusuhan itu sebagai terburuk di Venezuela sejak 1999.

Empat hari selepas rusuhan tercetus, pihak berkuasa mengerahkan 4,000 askar dan anggota payung terjun untuk memasuki bangunan penjara sehingga dua askar dan seorang banduan terbunuh.

Stesen televisyen VTV hari ini melaporkan, ketika angka korban bertambah kepada empat orang, ribuan banduan tetap berada dalam penjara dan enggan menyerah diri.

Pihak berkuasa setakat ini sudah memindahkan kira-kira 2,500 daripada 4,700 banduan di penjara itu ke bangunan sementara. - AFP

21 maut bom meletup di pasar

22 Rejab 1432H. [MOD] -

 Gambar hiasan

BAGHDAD 24 Jun - Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan 107 orang lain cedera apabila bom yang diletakkan dalam tiga kereta sorong meletup di sebuah pasar di Baghdad, semalam.

Sumber Kementerian Dalam Negeri pula berkata, kejadian di pasar Shurt al-Raba itu berlaku kira-kira pukul 6.45 petang (11.45 malam waktu Malaysia).

Sumber itu memberitahu, kejadian berlaku ketika pasar itu penuh dengan pelanggan yang membeli keperluan harian. 

AFP

Tiga produk perubatan tradisional didapati mengandungi racun berjadual

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Tiga produk perubatan tradisional iaitu Mistura Zhike, Chi Kat Pills dan Herbaios-Zuekertec Capsule didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan, menurut Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu telah membatalkan pendaftaran ke atas ketiga-tiga produk itu yang dipegang oleh Metro Signature Sdn Bhd, Nature Park Enterprise dan Sinar Aman Pharmaceutical (M) Sdn Bhd sejak 26 Mei lepas setelah mengesan bahan racun berjadual itu.

Produk Mistura Zhuike didapati mengandungi ephedrine dan pseudoephedrine, Chi Kat Pills mengandungi ephedrine dan Herbaios-Zuekertec Capsule mengandungi glibenclamide dan metformin, menurut kenyataan Bahagian Perkhidmatan Farmasi kementerian itu di sini hari ini.

Orang ramai yang mempunyai stok produk tersebut diminta menghentikan pengunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan jika memerlukan maklumat lanjut.

Sementara penjual dan pengedar ubat-ubatan itu dinasihatkan menghentikan penjualan dan pengedaran kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang disabit kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Sementara syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, menurut kenyataan itu.

Penggunaan ephedrine dan pseudoephedrine tidak dibenarkan dalam produk tradisional kerana ia boleh membawa kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa pengawasan iaitu tekanan darah tinggi, halusinasi, schizophrenia dan delusi.

Sementara itu penggunaan glibenclamide dan metformin tanpa nasihat doktor boleh menyebabkan kesan yang serius seperti hypoglycemia (penurunan mendadak paras gula dalam darah) yang membawa simptom seperti pening menggigil, berpeluh, keliru dan lesu, menurut kenyataan itu.

Hypoglycemia yang teruk boleh menyebabkan sawan, tidak sedarkan diri atau koma dan ia juga berisiko kepada pesakit diabetes, menurutnya.- Bernama

Gaddafi ulangi tak takut mati

22 Rejab 1432H. [MOD] -

TRIPOLI - Pemimpin Libya Muammar Gaddafi (gambar) kelmarin menyampaikan ucapan audio menyatakan beliau tidak takut untuk mati walaupun keadaannya kini ibarat telur di hujung tanduk.

Pemimpin veteran berusia 69 tahun itu turut menegaskan bahawa perang terhadap 'tentera salib' Barat akan berterusan.

"Kami akan memberikan tentangan dan perang akan berterusan sehingga ke akhirnya sehingga anda semua dihapuskan (Barat). Namun kami tidak akan tewas," kata Gaddafi dalam mesej yang disiarkan stesen televisyen Libya bagi memperingati seorang rakannya, Khuwildi Hemidi yang kehilangan beberapa anggota keluarga selepas kediamannya di bom jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Isnin lalu.

"Tiada lagi sebarang persetujuan selepas anda membunuh anak cucu kami, keadaan kami kini getir ibarat telur di hujung tanduk. Anda (Barat) pulang ke tempat anda," tambah Gaddafi.

NATO mengakui jet-jet pejuangnya pada Isnin lalu mengebom bandar Sorman di barat Tripoli tetapi menegaskan bahawa serangan tersebut bertujuan untuk memusnahkan sasaran ketenteraan.

Jurucakap pemerintah Libya, Mussa Ibrahim berkata, 15 orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan itu yang dikutuk sebagai "perbuatan bacul pengganas yang tidak mempunyai justifikasi,".

Mussa memberitahu, serangan tersebut disasarkan di kediaman milik Khuwildi yang merupakan sahabat karib Gaddafi.

NATO menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya pada April lalu untuk melindungi orang awam daripada menjadi mangsa keganasan tentera Gaddafi.

Rakyat negara Afrika Utara yang kaya dengan hasil minyak itu bangkit menentang Gaddafi pada pertengahan Februari lalu kerana menuntut pembaharuan politik dan ekonomi selain menuntut pemimpin tersebut meletakkan jawatan. - AFP

Video seks: Trio 'Datuk T' didakwa

22 Rejab 1432H. [MOD] -

Tiga individu yang mengaku bertanggungjawab dalam kes tayangan video lucah di Hotel Carcosa Seri Negara pada Mac lalu, hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menayangkan video terlarang itu.

Mereka adalah ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik serta dua yang lain, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas bendahari PERKASA Datuk Shuaib Lazim.

Eskay dan Shuib dituduh mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Kesiksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang berbunyi: “Bahawa kamu dengan niat bersama, tayang tempat terbuka video lucah, hubungan seks seorang lelaki dan perempuan antara 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari pada 21 Mac lalu.”

Sementara itu, tuduhan ke atas Rahim pula berbunyi: “Bahawa kamu telah bersuhabat dengan Eskay dan Shuib untuk menayangkan secara terbuka hubung seks seorang lelaki dan perempuan , kamu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292(a), dan Seksyen 109 Kanun Kesiksaan.”

Pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Aizatul Akmal Maharani.

Rahim diwakili oleh peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Majistret Aizatul Akmal kemudiannya menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan ketiga-tiga tertudug merujuk dan berunding dengan peguam mereka.

Pihak pendakwaan termasuk timbalan ketua pendakwaraya Mohamad Hanafiah Zakaria dan pendakwaraya kanan Kamaludin Md Said.

malaysiakini/-

Dr Zainuddin Ibrahim SUK Kelantan baru

22 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Jun: Setelah berkhidmat selama 33 tahun Dato’ Mohd Aiseri Alias hari ini menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Beliau yang akan bersara wajib 26 Jun ini mulai menjawat jawatan tersebut pada 10 Ogos 2004 menggantikan Dato’ Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasum.

Tempatnya diganti Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim.

Mohd Aiseri sebelum berada di kedudukan paling tinggi sebagai pentadbir kerajaan negeri memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Jajahan Tanah Merah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Dr Zainuddin yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan mula memikul tanggungjawab baru pada 27 Jun ini sebagai SUK ke-17.

Majlis serah tugas diadakan hari ini di Dewan Teratai Kota Darulnaim dengan disaksikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan negeri serrta Persekutuan.

Berucap pada majlis itu Menteri Besar merakamkan ucapan terima kasih di atas peranan yang diberikan Mohd Aiseri dalam membangunkan kerajaan dan rakyat Kelantan.

”Banyak idea yang disumbangkan olehnya dapat dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat. Terima kasih yang tidak terhingga,” katanya.

harakahdailly/-
Rizal Tahir