12 June 2011

Dasar ekonomi negara ketinggalan 30 tahun

10 Rejab 1432H. [MOD] -

 

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara sudah ketinggalan 30 tahun menyebabkan berlakunya krisis ekonomi termasuk kenaikan harga barangan ekoran peningkatan harga minyak.

Dalam tempoh tersebut membuat kesilapan demi kesilapan sehingga telah menjadi lambakan dan kesan sukar ditangani, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

“Kerajaan gagal memandang ke depan termasuk dalam merancang harga minyak pasaran dunia.

“Akibatnya kerajaan gagal mengurus harga minyak dan kesannya rakyat menanggung beban,” katanya dalam satu forum ekonomi di ibu negara hari ini.

Dua lagi ahli panel forum anjuran Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu ialah Exco Pemuda Umno Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Exco Pemuda PAS Dr Zuhri Marjuki.

Menurut Rafizi, rakyat terbanyak tidak mendapat subsidi minyak sebaliknya pengeluar tenaga bebas (IPP) memperolehi berbilion ringgit.

Beliau mahu isi penjanjian di antara IPP dengan kerajaan didedah kepada umum dan dikaji supaya tidak membebankan rakyat.

Dasar Dr M

Manakala Dr Zuhri mendakwa dasar pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan Malaysia dilanda krisis ekonomi khususnya berkaitan harga minyak.

Katanya, pembaziran minyak ekoran dasar Dr Mahathir yang mahukan rakyat menggunakan banyak kereta.

“Sektor pengangkutan awam tidak digunakan, hanya kebelakangan ini baru dipandang  semula,” katanya. polisi pengangkutan yang menurutnya menyebabkan penggunaan minyak yang banyak.

Wakil  Pemuda Umno pula menegaskan orang miskin perlu terus mendapat subsidi khususnya minyak.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah membelanjakan wang terlalu banyak untuk subsidi dan ini tidak baik kepada negara.

Katanya, jumlah subsidi negara pada 2009 ialah RM74 bilion iaitu RM12, 000 setiap isi keluarga.

Rempuh pembahagi jalan

10 Rejab 1432H. [MOD] -

 Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: “Mujur saya sempat elak ke tengah di pembahagi jalan, kalau tidak mesti banyak kereta kena rempuh,” kata Razak Chik, 59, apabila lori pasir dipandunya merempuh pembahagi jalan dan tiang lampu di depan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Jalan Sultan Omar, di sini, jam 1 tengah hari semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Razak berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Batu Enam, di sini, menghala ke Jalan Pejabat, di sini, membawa muatan tar untuk projek meratakan jalan di situ.

Katanya, sebaik tiba di depan IPK Terengganu lampu trafik di persimpangan Jalan Sultan Omar itu berwarna merah dan dia memperlahankan kenderaan.

“Namun brek gagal berfungsi ketika itu, malah cubaan saya menggunakan brek tangan juga tidak berhasil, menyebabkan lori terus bergerak.

“Melihatkan kereta banyak di depan, saya mengambil tindakan pantas dengan membelok ke tengah di pembahagi jalan untuk memberhentikan kenderaan sebelum merempuh sebuah tiang lampu di situ,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan tangki air lorinya pecah, namun masih boleh bergerak.

Begitupun, dia bersyukur insiden itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa dan dia juga tidak cedera, manakala sebuah kereta Perodua Myvi remuk di bumbung terkena lampu hiasan jalan di situ.

Mangsa serangan cimpanzi jalan pemindahan muka

10 Rejab 1432H. [MOD] -


CONNECTICUT: Mangsa serangan cimpanzi, Charla Nash, semalam menjalani pemindahan muka, pembedahan ketiga seumpamanya pernah dilakukan di Amerika Syarikat.

Charla, 57, cedera parah selepas seekor cimpanzi milik rakannya mengamuk dalam kejadian pada 2009.

Dia kehilangan dua tangan, bibir, hidung dan mata. Selepas 20 jam, pakar bedah berjaya memasang hidung, bibir, kulit muka dan juga sarat penggerak untuk muka baru Charla.

Kira-kira 30 pakar perubatan terbabit dalam pembedahan itu.

Pembedahan pemindahan kedua-dua tangan Charla sebelum ini berjaya dilakukan tetapi terpaksa dipotong semula kerana berdepan dengan masalah.

Menurut pakar, Charla mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum wajah barunya dapat diperlihatkan kepada orang ramai. 

Agensi

Ugut tembak

10 Rejab 1432H. [MOD] -


SUEZ: “Anda pergi, kami tembak.” Itu antara ungkapan sekumpulan anggota tentera kepada penulis dan jurugambar melalui jurubahasa dan pemandu tempatan ketika hendak melepasi satu sekatan jalan raya di lebuh raya menghubungkan Kaherah ke Suez, dalam perjalanan ke kawasan pelancongan, Sham El-Sheikh.

Sekatan berkenaan dikatakan dibuat secara tiba-tiba akibat serangan samseng bersenjata yang dikenali sebagai Beltagi.

Perkembangan itu menyebabkan jurubahasa penulis kurang senang dan mengarahkan pemandu merempuh sekatan kawalan tentera di jalan menuju ke Sinai itu.

Ini kerana sebelum ini laluan berkenaan tidak pernah ditutup, namun tindakan itu tidak membawa ke mana-mana apabila pasukan keselamatan berkenaan terus menghalang laluan dengan tong dan kawat duri, sekali gus menyebabkan rombongan penulis ditahan seketika.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi (waktu tempatan) ketika perintah berkurung tinggal kira-kira sejam setengah lagi, selain rombongan penulis dan sekumpulan lelaki Arab turut bertekak dengan pasukan keselamatan berkenaan yang dilihat melepaskan beberapa kenderaan awam di belakang selepas pemandunya menunjukkan kad tentera.

“Mengapa dia dilepaskan, sekalipun dia pegawai tentera, dia tidak beruniform dan tidak menggunakan kenderaan rasmi tentera, jadi dia sepatutnya tidak mendapat keistimewaan kerana dia bukan menjalankan tugas rasmi... dia sama seperti kami yang malah mungkin melalui jalan sini untuk bercuti, sedangkan kami membawa amanah rakyat untuk menghantar bekalan bahan mentah,” kata seorang pemandu lori.

Ketika dimaklumkan rombongan penulis dari Malaysia, pasukan keselamatan bertanya tujuan melalui jalan berkenaan.

Penulis memberitahu ingin ke Sinai, Taba dan untuk melihat beberapa tempat menarik di sana.

Kemudian, rombongan penulis dilayan penuh sopan dan kerana Subuh hampir tamat kira-kira jam 4 pagi, dibenarkan menunaikan solat di pos kawalan tentera berkenaan dan diberi jaminan dapat meneruskan perjalanan selepas jam 5 pagi.

Bagaimanapun, cubaan jurugambar untuk merakam insiden berkenaan tidak dibenarkan pegawai tentera muda (Mesir mengamalkan sistem kerahan tenaga) yang bertugas dipercayai mempunyai kaitan dengan faktor keselamatan berikutan laluan dipenuhi bukit bukau dan padang pasir itu sering menjadi laluan samseng bersenjata serta ejen perisikan Israel.

Beberapa kereta kebal turut kelihatan berada sekitar kawasan padang pasir berkenaan, namun penulis difahamkan ia hanya ‘replika’ kerana bukan kenderaan tempur sebenar dimiliki Mesir.

Mesir sebenarnya memiliki kenderaan ketenteraan lebih canggih yang tidak mahu ditonjolkan kepada orang ramai, terutama perisik Israel yang sering menggunakan laluan itu.

Perjalanan penulis ke Sham El Sheikh mengambil lebih 14 jam dengan melalui sekurang-kurangnya 10 pemeriksaan keselamatan.

Penulis terpaksa tidur di kawasan tumpuan penyelam, Dahab, untuk mengelak kadar bilik sewa hotel yang tinggi.

Kekurangan pelancong di bandar pelancongan Dahab itu menyebabkan urusan ekonomi dijalankan dalam matawang Euro dan tempatan.

PAS: Kami tak ciplak idea BN, sudah lama guna negara kebajikan

10 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 12 Jun — PAS menempelak pentadbiran Najib yang mendakwa parti Islam itu mencuri idea atau menciplak apabila menekankan konsep negara berkebajikan ketika muktamar awal bulan ini, kata pemimpinnya hari ini.

Malah pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari juga berkata PAS sudah pun menekankan soal negara berkebajikan sejak akhir 1970-an.

“Soal curi idea atau ciplak, saya hairan dengan pandangan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak). Saya hairan dengan pandangan beliau, tapi saya ucapkan terima kasih kepada beliau dan pemimpin-pemimpin Umno yang sudah bercakap mengenai soal kebajikan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kata Mahfuz, sebahagian konsep negara berkebajikan telah pun dilaksanakan tetapi dengan keupayaan yang terhad.

“Apa yang dimaksudkan keupayaan terhad adalah bidang kuasa kita terhad dan kewangan terhad,” katanya yang turut menekankan bahawa ucapan dasar lazimnya akan bertukar tema dan kali ini ucapan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

“Ucapan dasar presiden biasanya bersandarkan isu-isu dan perkembangan semasa. Saya pasti begitu juga ucapan presiden Umno dan parti-parti politik lain.

“Jadi, ucapan Datuk Seri Hadi menyentuh konsep negara kebajikan, yang ada kaitan dengan manifesto pilihan raya umum 2008,” katanya lagi.

Muktamar PAS kali ini dilihat yang terakhir sebelum negara menyaksikan pilihan raya umum ke-13.

Namun begitu, Mahfuz menegaskan, konsep negara berkebajikan perlu difahami bahawa ia tidak melibatkan harta benda semata-mata.

“Ini sudah disalah tafsir oleh masyarakat jika menganggap negara berkebajikan itu melibatkan kewangan semata-mata.

“Negara berkebajikan itu merupakan perkara baik yang bertujuan menyatupadukan rakyat. Konsep ini yang menekankan kepimpinan yang adil, telus dalam masyarakat, bebas dari rasuah.

“Sejak PAS mentadbir kerajaan Kelantan sejak 21 tahun lalu, mana ada lagi pemimpin kerajaan negeri yang diseret ke mahkamah atas sebab rasuah berbanding kepimpinan Umno,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

“Umno sekarang sudah terdesak dan tidak mampu lagi memberi jaminan kepada rakyat dalam konteks negara berkebajikan sedangkan rakyat ternanti-nantikan konsep ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, Buku Jingga sebenarnya menjadi wadah kepada rakyat betapa pentingnya mereka membentuk negara berkebajikan dan kembali kepada kebajikan.

“Ia (buku itu) sudah memberi tawaran menyeluruh untuk ke arah negara berkebajikan,” tambah Mahfuz.

Ahli Parlimen Kuala Selangor juga menekankan bahawa PAS sudah lama menggunakan konsep negara berkebajikan sejak era kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor yang mengetengahkan Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21 pada 2002.

“Malah, ia juga sudah dimasukkan dalam manifesto PAS pada 2008. Jadi, mengapa baru sekarang Umno mempertikaikan perkara ini dan jadikan isu,” kata beliau lagi.

“Cuma PAS memberikan pengertian dan penghayatan semula kepada konsep ini,” kata beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Abdul Aziz pula berkata, pada penelitian beliau konsep kebajikan pernah dimasukkan ke dalam manifesto ketika pilihan raya umum 1978.

“Jadi, bagi saya ia bukan isu. Ini kerana ia sudah lama dibawa oleh PAS, cuma tidak diberikan penekanan.... hanya sekarang ia mendapat tempat secara terperinci,” katanya ketika dihubungi.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menjelaskan konsep negara berkebajikan akan dimasukkan dalam manifesto PAS menghadapi pilihan raya umum ke-13 walaupun sudah ada dalam manifesto 2008.

Jelasnya, beliau akan menambah sedikit intipati kandungannya seperti masalah pendapatan seisi rumah kerana harga barang meningkat.

Tambah beliau, sebenarnya negara berkebajikan sudah ada sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi.

“Pembangunan ekonomi dulu, lebih adil dan telus, pemimpinnya juga bersifat adil. Kini, walaupun mempunyai berjuta-juta pemimpin tetapi belum tentu mempunyai ciri-ciri ke arah negara berkebajikan,” ujanya.

Mohamad menegaskan, sebenarnya Buku Jingga merupakan salah satu contoh konsep negara berkebajikan.

“Saya akan membawanya ke dalam manifesto akan datang. Jadi Pakatan Rakyat akan turut sama memperincikan negara berkebajikan ini,” ulasnya lanjut.

Cikgu Shida hebat

10 Rejab 1432H. [MOD] -


PARIT: “Bukan sekadar ‘miming’, malah dia juga bakal menjadi pelakon hebat,” begitulah reaksi awal pengarah telemovie WWW.Cikgu Shida.Com, Isqandar Jebat ketika ditanya mengenai penampilan sulung ratu miming, Roshida Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Cikgu Shida yang berjaya menambat hati hampir dua juta peminat laman web Youtube kerana aksi gila-gilanya.

Malah, gelagat kelakar dan penampilan bersahaja Cikgu Shida yang melakonkan pelbagai watak ketika sesi penggambaran turut ‘memecahkan perut’ kru hingga terpaksa dihentikan buat seketika.

Telemovie WWW.Cikgu Shida.Com menampilkan pelbagai watak Cikgu Shida bermula daripada penarik kereta, gadis kampung cantik, menjadi bomoh serta ketua kampung, bakal menemui penonton untuk tayangan Aidilfitri tahun ini melalui saluran Astro.

Cikgu Shida ketika ditemui di lokasi penggambaran berkata, dia penat namun penampilan pertama dalam bidang lakonan sungguh menyeronokkan.

“Mana tak penatnya, kadangkala ‘shooting’ (penggambaran) habis jam 3 pagi. Besok ‘scene’ (babak) baru kena hafal dialog lagi.

“Mujur tuan director (pengarah) orangnya baik... asyik-asyik ‘cut’ (potong). Mungkin dia tak tahan melihat aksi (kelakar) saya,” katanya menceritakan detik awal babak pertama menjadi penarik kereta.

Ditangkap berbasikal dalam keadaan bogel

10 Rejab 1432H. [MOD] -


SANTIAGO 12 Jun - Tujuh penunggang basikal ditahan kerana berbasikal dalam keadaan bogel yang merupakan satu kempen yang dilancarkan di seluruh dunia.

Para penunggang berkenaan pada awal memakai pakaian lengkap ketika menunggang di kawasan perumahan, tetapi mula menanggal pakaian apabila sampai ke kawasan Plaza Italia sehingga sebahagian daripada mereka tidak memakai seurat benang sekalipun.

Santiago salah sebuah bandar di seluruh dunia yang menyertai kempen berbasikal dalam keadaan bogel dimulakan sejak 2004 untuk membantah kebergantungan kepada minyak dan menuntut hak sebagai penunggang basikal.

Para peserta berharap penduduk Chile sedar akan pentingnya keselamatan penunggang basikal berikutan aktiviti itu semakin popular di bandar yang paling tercemar di Amerika Latin itu. 

AFP

AK sedia membina rekod baru untuk Turki

10 Rejab 1432H. [MOD] -
Zulkifli Sulong

ISTANBUL, 12 Jun: Hari ini, 50 juta rakyat Turki yang layak mengundi akan membuang undi mereka dengan Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) yang memerintah bersedia untuk menang kali ketiga berturut-turut.

Ini bermakna mereka bersedia untuk mencatatkan sejarah bersama dengan parti pimpinan Sulaiman Menderes yang pernah mencatat rekod yang sama dalam sejarah demokrasi Turki.

Sulaiman adalah satu-satunya pemimpin yang memimpin parti politik yang pernah memenangi pilihan raya Turki tiga kali berturut-turut dan kini AKP sedia untuk menyamai rekodnya itu.

(Kiri: Penulis bergambar di depan bangunan gudang yang menempatkan pusat operasi AKP Istanbul untuk pilihan raya umum ini.)

Namun AKP mahu memecahkan rekod itu dengan mencatatkan pencapaian yang lebih baik iaitu dengan peningkatan undi walaupun selepas tiga kali menang berbanding dengan parti pimpinan Sulaiman yang turun pencapaiannya dalam pilihan raya ketiga.

Orang ramai yang ditemui yakin, AK akan membuat pencapaian yang lebih baik kali ini berbanding 47 peratus undi popular dalam pilihanraya 2007 lalu. Pandangan ini bukan sahaja dikongsi oleh penyokong AKP bahkan juga dari parti lawannya iaitu Saadet pimpinan Rejjab Kuttan.

"Saya fikir mereka akan dapat sekitar 48 - 52 peratus kali ini berdasarkan sokongan ramai yang mereka terima," kata Hassan, seorang peniaga makanan manisan Turki di Grand Bazaar yang merupakan penyokong kuat Saadet.

Bagaimanapun beliau berharap kali ini Saadet akan turut bersama dalam kerajaan Turki untuk membantu melaksanakan dasar-dasar negara bagi kepentingan Islam di Turki.

Saadet umpama PAS manakala AKp umpama PKR di Malaysia. Pemimpin AKP, Raccip Toyyib Erdogan adalah Ketua Pemuda parti Refah pimpinan Almarhum Necmetin Erbakan, ketika Erbakan pernah menjadi pemimpin Turki satu masa dulu.

Parti yang dipimpin Erbakan sentiasa sahaja berdepan dengan pemansuhan oleh mahkamah perlembahaan Turki atau pihak tentera apabila mereka dilihat mahu melaksanakan Islam.

Selepas Refah diharamkan, Erdogan memilih jalan sendiri dan membentuk AK pada tahun 2001 sebelum menyertai pilihan raya Turki 16 bulan selepas itu dan menang 34 peratus undi popular pada tahun 2002.

Pada ketika itu, Erdorgan tidak dapat menyertai pilihan raya itu ekoran sekatan undang-undang selepas dipenjarakan enam bulan kerana membaca satu syair yang dikira bercita-cita mahu melaksanakan syariah di Turki.

Abdullah Gul telah dipilih menjadi Perdana Menteri AKP yang pertama. Selepas sekatan undang-undang selesai, Erdorgan menyertai satu pilihan raya kecil melalui perletakan jawatan salah seorang anggota parlimennya dan menang.

Erdorgan dilantik menjadi Perdana Menteri dan Abdullah Gul tidak beberapa lama selepas itu dipilih menjadi Presiden Turki sehingga kini.

Mulai 2002, AKP membentuk kerajaan sehingga kini, Dalam pilihan raya umum 2007, undi mereka meningkat keppada 47 peratus dan membentuk kerajaan tanpa perlu bekerjasama dengan lain-lain parti.

Berdasarkan pengalaman Refah dan Erbakan, AKP mengambil pendekatan lebih terbuka dan inklusif dimana partinya tidak menampakkan untuk Islam semata-mata bahkan untuk semua pihak.

Hasilnya AKP umpama PKR di Malaysia. Ahlinya terbuka kepada semua pihak yang bercita-cita untuk mengubah Turki kepada negara yang lebih baik.

Semalam, kami menyertai satu majlis kempen AKP di Istanbul. Majlis bermula dengan berjalan (Walk about) melalui kawasan-kawasan perumahan dengan didahului oleh van yang balut khasnya dengan banner kempen disamping menyiarkan lagu AK.

Perarakan yang bermula dengan petugas sukarelawan dan pemimpin AKP berkembang dari satu lorong ke satu lorong apabila ia turut disertai oleh penduduk tempatan.

Pendekatan inklusif AKP bukan sahaja menarik perhatian rakyatnya bahkan para pemimpin politik negara Balkan dan persekitarannya. Mereka turut sama menyertai perarakan ini dan bangga dikaitkan dengan Erdogan.

(Gambar: Peristiwa Perdana Menteri Erdogan menyalahkan Perdana Menteri Israel, Simon Peres dalam Forum Ekonomi Dunia menjadi gambar utama kempen AKP dalam pilihan raya ini dan diletakkan di mana-mana termasuk di ibu pejabat operasinya.)

"Di Malaysia, ada yang kaitkan saya dengan kumpulan Erdorgan dalam PAS...nampaknya, saya juga berbangga dengan jolokan itu dengan apa yang dibuat Erdogan untuk rakyat Turki," kata Dr Siti Mariah Mahmud, anggota Parlimen PAS dari Kota Raja yang mengetuai rombongan PAS memerhati perjalanan pilihan raya ini.

Seorang ahli politik dari Kosovo yang turut serta dalam perarakan itu berkata, beliau berbangga dengan apa yang dibuat oleh AKP untuk Turki.

"Saya yakin AKP akan membuat percapaian yang lebih baik kali ini berdasarkan apa yang beliau buat untuk rakyat Turki," kata beliau ketika bersama-sama menyertai perarakan itu.

Sebagaimana budaya kaum Cina dan India di Malaysia, program di Istanbul bermula jam 5 petang lagi. Ketika Azan Maghrib bergema dari corong masjid berdekatan, mereka menghentikan sekejap muzik yang bergema yang dibuat di sebuah pentas yang terletak di sebuah taman rekreasi itu. (Umpama panggung Aniversari di Lake Garden, Kuala Lumpur).

Selepas azan berhenti, muzik disambung kembali dan 15 minit selepas itu majlis bermula dengan persembahan tarian tradisi Turki.

Selepas itu, majlis ucapan bermula dari pemimpin tempatan dan calon-calon yang bertanding. Turut dijemput naik ke pentas dan memberikan ucapan adalah Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail.

Ketika itu, orang ramai sudah memenuhi tempat duduk mini stadium itu. Selepas majlis selesai, penonton dihiburkan dengan nyanyian dari penyanyi popular Turki yang mendapat tepukan gemuruh dari orang ramai.

"Cara AK memang mendapat sokongan ramai dan saya yakin mereka akan menang besar lagi kali ini," kata Hassan penyokong Saadet itu.

Selain pendekatannya yang mendapat sokongan ramai, AK mempunyai tiga tunggak besar yang menjadi pillar kepada sokongan ke atasnya, kata Dr Umar Faruk, seorang pemimpin muda AK yang menjadi penyelaras kepada tetamu dari luar Turki.

"Pertama kami mempunyai pemimpin yang berkarismatik iaitu Erdorgan," kata Umar.

Kepimpinan Erdorgan terserlah ketika beliau menjadi Datuk Bandar (Mayor) Istanbul. Ketika Istanbul mempunyai pelbagai masalah kronik. Dari jalan raya yang sentiasa sesak tanpa peraturan dan susunan yang baik hinggalah kepada masalah air yang meruncing.

Erdorgan berjaya menyelesaikan kedua-dua masalah ini dengan baik dan kini Istanbul menjadi pusat kewangan utama yang menarik pelbagai pihak.

"Yang kedua organisasi AK yang mantap menjadikannyaa sebuah parti yang menarik untuk semua pihak. Di Istanbul misalnya mempunyai 39 daerah dan 1000 bandar kecil. Di semua bandar ini kami ada cawangan dan sasaran kami, sembilan orang di setiap pusat pengundian yang berjumlah 31,000 itu," cerita Omar.

Faktor ketiga adalah pencapaian kerajaan Turki selama 10 tahun di bawah AK.

"Aktiviti dan polisi yang dibuat kerajaan Turki sepanjang tempoh itu menjadi bahan kempen kami kini," kata Omar yang sangat bangga dengan pencapaian partinya.

Untuk itu, sepanjang kempen ini, AK menyediakan satu banner khasnya untuk menceritakan kejayaan kerajaannya atau succes story yang memapar perbezaan antara kerajaan Turki di bawah AK dan sebelum ini.

Di pejabat AK Istanbul, ia dijadikan satu banner besar yang dipaparkan dipintu masuk ke pajabatnya. Semua tetamu dan petugas akan melihat banner itu.

Yang menarik dari segala-galanya adalah konsep atau pendekatan kerja pilihan raya AK bermula sehari selepas pengundian tamat,

"Kerja pilihan raya kami akan datang bermula Isnin ini selepas pengundian tamat petang esok (Ahad)," kata Omar.

Kerja utama mereka sepanjang masa adalah mendaftar seramai mungkin ahli. Untuk mengelakkan sebarang halangan untuk menjadi ahli, tidak ada sebarang yuran dikenakan kepada mana-mana pihak untuk menjadi ahli parti itu.

Kerja mendaftar keahlian ini antara aktiviti utama hatta sepanjang kempen pilihan raya umum yang sedang berjalan sekarang. Tujuannya adalah untuk memastikan ramai yang merasa AK adalah parti mereka.

Hasilnya, AK mempunyai 5 juta ahli di seluruh negara. Dengan 50 juta pengundi Turki bermakna, 10 peratus dari mereka adalah ahli AK.

Parti pembangkang terbesar sekarang adalah CHP (Parti Demokratik Rakyat) yang hanya mempunyai 750,000 ahli.

Dengan latar belakang inilah parti AK pimpinan Erdorgan menyertai pilihan raya kali ini dan mereka sangat yakin akan kekal sebagai pemerintah di samping berusaha memecahkan rekod Sulaiman Damires.

Najib tak faham negara berkebajikan PAS

10 Rejab 1432H. [MOD] -
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perdana menteri sebenarnya tidak faham konsep 'negara berkebajikan', apabila mendakwa PAS mahu meniru BN.

Tegasnya, negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS jauh berbeza dengan apa yang didakwa oleh Umno BN bahawa mereka sudah mengamalkannya sejak sekian lama.

Malah PAS tidak pernah menganggap Umno BN mengamalkan konsep itu dengan tekanan ekonomi termasuk kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi yang terpaksa ditanggung rakyat.

"Jelas dia (Datuk Seri Najib Razak) tak tahu negara berkebajikan," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan anak sulung kepada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di Markaz PAS Taman Melewar di sini, petang ini. Iskandar Zulkarnain Salahuddin dan isteri, Khalilah Abd Majid diraikan pada majlis makan di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib semalam yang mendakwa konsep negara berkebajikan PAS cuba meniru apa yang telah dibuat BN.

Ditanya apa beza negara berkebajikan PAS dan Umno BN, Abdul Hadi berkata negara berkebajikan PAS adalah mengikut acuan al-Quran dan Hadis.

Ianya termasuk bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta tidak menzalimi rakyat.

"Kita tak sama, kita ikut perlembagaan PAS iaitu sandar pada al-Quran dan Hadis.

"Kita ada amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran), dia (Umno BN) tidak ada,"katanya.

Sebelum ini beliau juga menjelaskan konsep negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan PAS menitikberatkan soal halal haram yang juga tidak ada dalam pengamalan Umno BN.

Sehubungan itu juga beliau memaklumkan akan menulis satu buku khusus menjelaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu.

Umno tak nyenyak tidur

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas perkara sama berkata, Najib terbukti 'tidak nyenyak tidur' dengan pendekatan negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS.

Tegasnya, Umno menyedari mereka berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti apabila PAS menawarkan konsep negara berkebajikan itu.

"Dulu dia (Umno BN) kata PAS jauh ketinggalan di belakang.

"Sekarang ini kita sama-sama, dia kiri kita kanan. Nanti kita akan potong dia,"katanya.


Harakahdaily/-


Ulasan :

sampai bilapun mereka tidak akan faham

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/3734-sampai-bila-pun-umno-tak-faham-perjuangan-pas