26 May 2011

Ahli Parlimen dijatuhi hukuman enam bulan penjara

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SEOUL - Seorang ahli Parlimen Korea Selatan, semalam, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan digantung selama setahun, selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur lucah kepada pelajar yang berniat mahu menjadi pengacara sebuah televisyen tempatan.

Terdahulu, sekumpulan wanita tersebut memfailkan saman terhadap Kang Yong Seok, 41, kerana memfitnah, yang mana ia dianggap sebagai kesalahan jenayah di negara itu.

Kenyataan Yong Seok tersebut turut mencetuskan kemarahan orang ramai, sekali gus, ia mungkin akan menyebabkan beliau tersingkir daripada parti pemerintah konservatif Parti Satu Bangsa (GNP) selepas jawatan kuasa etika Parlimen memutuskan keputusan itu.

Nizar tanding naib presiden, Dr Hatta AJK saja

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin hari ini mengesahkan penyertaannya bagi pertandingan Naib Presiden PAS namun Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli hanya bertanding AJK sahaja.

Nizar (gambar) ketika bercakap kepada Harakahdaily berkata, pihaknya telah menghantar surat pengesahan untuk bertanding jawatan itu ke Pejabat Agung PAS sekejap tadi dan memaklumkan hanya akan bertanding naib presiden sahaja.

Sementara itu, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli memberitahu Harakahdaily, beliau mengambil keputusan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Langkah ini diambil beliau selepas bekas naib presiden sebelum ini, Datuk Husam Musa membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu kali ini.

"Saya rasa oleh kerana PAS melaksanakan keputusan secara konsensus, saya rasa cukup kalau saya menumpu pertandingan AJK sahaja dan tidak perlu di naib presiden," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily sambil mengucapkan terima kasih kepada kawasan-kawasan yang mencalonkan beliau.

Semalam Dr Hatta berkata, beliau masih belum menarik diri lagi untuk bertanding jawatan naib presiden tetapi belum menghantar surat rasmi kepada Jawatankuasa Pemilih.

Nizar, bekas Menteri Besar Perak itu, yang turut mendapat pencalonan untuk AJK PAS Pusat tapi menolaknya kerana mahu memberikan tumpuan kepada naib presiden sahaja.

Jawatankuasa Pemilihan PAS akan mengumumkan calon-calon yang bertanding dalam muktamar PAS kali ini dalam satu sidang media esok. Hari ini adalah hari terakhir untuk calon-calon yang layak membuat pengesahan pertandingan.

Selain Nizar, yang dijangka bertanding untuk naib presiden adalah Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar yang menyandang jawatan itu sekarang di samping Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dan Exco kerajaan Kelantan Datuk Nik Mohd Amar.

Naib presiden sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau akan bertanding timbalan presiden dalam muktamar kali ini.

Nizar datang ke pejabat Harakahdaily untuk rakaman program 'Persepsion' bersama TVPAS yang akan disiarkan dalam Harakahdaily Jumaat ini.

Nizar berbicara soal 'Perak dalam pilihan raya umum ke 13'.

Semalam, Mohamad Hata Wahiri, Presiden NUJ membuat rakaman untuk rancangan 'Persepsi' terbitan TVPAS untuk Harakdaily.

Hata, wartawan Utusan Malaysia yang baru sahaja dipecat berbicara soal Utusan Malaysia dan Umno dalam siaran kali. Rancangan ini juga akan disiarkan mulai petang Jumaat ini di Harakahdaily.

Harakahdaily

Pakar : Piawaian Keselamatan China Bukan Pilihan

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 26 MEI: Piawaian keselamatan negara China bukan pilihan bagi panel Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk mengukur tahap keselamatan dalam menentukan masa depan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang.

Ini berikutan piawai keselamatan negara itu sering dipertikaikan antarabangsa sejak 2002 dan diakui sendiri oleh Lynas atas alasan tidak mengikut standard.

Jurutera nuklear Ahmad Bungsu Hamid Tuah berkata, faktor geografi di daerah Gabeng merupakan aspek utama yang perlu diberi perhatian oleh panel tersebut.

Ini kerana menurutnya, jarak 30 kilometer radius untuk menempatkan kilang itu tidak akan menjamin tahap keselamatan penduduk.

Beliau yang dihubungi Tv Selangor mendakwa Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang maklumat tentang penanda aras yang akan dijadikan rujukan untuk menilai tahap keselamatan sekiranya projek itu diteruskan.

"AELB kata buat masa ini mereka tidak ada lagi standard tapi mahu ikut China. Tapi Lynas cakap syarikat China tidak mengikut standard dan sudah dikenakan tindakan pada 2002.

"Kita tanya AELB pakai piawai mana? Amerika Syarikat memang tidak lulus untuk buat di sini (Malaysia) sebab kalau ikut piawai mereka perlu di kawasan gurun sepeti Nevada yang beribu batu tiada orang," katanya.

Lynas Corporation Ltd of Australia merancang untuk menyiapkan pembinaan loji utamanya menjelang September ini dengan bercadang untuk memproses bahan mentah (bijih lanthanide) dari Australia Barat untuk dijadikan lanthanides tulen.

Kini ramai pihak yang mempertikai tindakan kerajaan mengarahkan IAEA melantik panel pakar untuk membuat penilaian kesihatan dan keselamatan kerana mendakwa agensi itu lebih bersikap‘pro-nuklear’.

Justeru Ahmad Bungsu menyifatkan cadangan pembinaan loji itu tidak mempedulikan pandangan rakyat seraya memberi kesan buruk kepada negara dalam jangka masa panjang.

"Tiada, sebab itu saya pelik ada faedahnya kita hanya tempat buang sampah sahaja yang mana kesannya akan memakan masa lebih dari 100 tahun. Jadi saya rasa tidak ada satu pun kita untung kecuali bencana sahaja dalam masa panjang," tambahnya lagi.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam kenyataan medianya semalam menasihati agar IAEA mematuhi kod keselamatan dalam penilaian untuk menentukan kesan kilang tersebut terhadap kehidupan masyarakat di daerah Gebeng.

Ini kerana menurutnya, maklumat mendapati Jabatan Alam Sekitar Pahang pada 15 Februari 2008 telah meluluskan projek berisiko tinggi itu hanya dalam masa tiga minggu.

“Ini mengukuhkan pandangan saya bahawa kerajaan Malaysia tidak berupaya untuk memantau atau menguatkuasakan undang-undang keselamatan untuk industri seperti LAMP,” kata Fuziah.

Fuziah turut menggesa panel penyelidikan Lynas yang dijadual meneliti isu sekitar pembinaan pusat nadir bumi di Kuantan itu mengdakan sekurang-kurangnya sekali sesi terbuka melibatkan semua pemegang saham.

Menurut beliau, panel berkenaan hanya akan mengadakan beberapa sisi perbincangan tertutup dengan pemegang saham secara berasingan dalam lawatan enam hari bermula 29 Mei hingga 3 Jun depan.

Tv Selangor/-

3 sebab BN tak potong subsidi petrol

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 26 Mei: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi tiga sebab mengapa Barisan Nasional (BN) tidak meneruskan cadangan pemotongan subsidi untuk petrol, diesel dan LPS, dan yakin dengan kenaikan harga barangan keperluan tertentu kecuali IPP sebaik memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) telah menyebabkan timbulnya rasa takut kepada kepimpinan kerajaan BN yang telah mendorong mereka membatalkan cadangan pemotongan subsidi malah turut mengumumkan tiada kenaikan harga minyak RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk ketika ini.

Namun subsidi diesel untuk kapal penangkap ikan laut dalam dan 9 kelas kenderaan komersial masih akan dihapuskan bermula 1 Jun, mengurangkan bebanan subsidi yang ditanggung Kerajaaan Persekutuan sehingga mencecah RM886.1 juta setiap tahun.

“Ada 3 alasan mengapa BN menukar dan memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan kenaikan harga barangan,” katanya.

Pertama, katanya PR berkemampuan untuk memobilisasi hampir keseluruhan dalam usaha membantah kenaikan harga barangan dengan mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam syarikat besar seperti IPP yang dilindungi daripada pemotongan subsidi sebanyak RM19 bilion setahun sementara 27 juta rakyat Malaysia biasa yang tidak berkemampuan terpaksa membayar sejumlah wang dengan harga yang tinggi.

Kedua, ujarnya BN berhasrat untuk mengadakan pilihan raya umum dan kenaikan harga yang berat sebelah itu bertentangan dengan para pengundi.

“Ketiga, BN bimbang dengan kekuatan luar biasa PR sehingga BN takut untuk meneruskan pemotongan subsidi yang hanya akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, katanya sebelum rakyat berpesta dengan pengekalan harga beberapa barangan kawalan, kerajaan BN masih belum menyerah kalah untuk menaikkan harga dengan pengurangan subsidi.

Ini, tambahnya adalah berikutan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan bahawa kajian semula dasar subsidi  adalah perlu kerana kerajaan berdepan dengan bebanan subsidi dua kali ganda iaitu dari RM10.32 bilion kepada RM20.58 bilion untuk tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak untuk menyatakan berapa lama kerajaan akan mengekalkan harga semasa.

“Dalam erti kata lain sebaik BN memenangi pilihan raya umum yang akan datang, tiada siapa yang akan dapat menghalang BN untuk menghapuskan subsidi dan menaikkan harga barang,” jelasnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Selain itu, katanya penjana tenaga bebas (IPP) sekali lagi akan terlepas daripada sebarang pemotongan subsidi gas seperti yang dinyatakan melalui sokongan padu kepada IPP daripada Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.

Peter Chin menegaskan bahawa RM19 bilion setahun yang dinikmati oleh penjana tenaga bebas (IPP) dan TNB itu bukanlah dalam bentuk subsidi tetapi keuntungan yang dilepaskan oleh Petronas berikutan penjualan gas sebanyak 25 peratus daripada harga pasaran.

Sementara itu, Chua menyatakan bahawa subsidi gas kepada IPP tidak boleh dihapuskan kerana terikat dengan perjanjian.

Peter Chin ternyata sedang bermain dengan kata- kata kerana akhirnya IPP (60 %) dan TNB (40%) akan menikmati faedah daripada RM19 bilion subsidi tahunan.

Tambah Guan Eng, Chua pula harus menjelaskan mengapa kerajaan BN termasuk dirinya, menyokong dan menjeratkan diri mereka dalam perjanjian yang ternyata bertentangan dengan kepentingan 27 juta rakyat Malaysia.

Katanya lagi, tiada cara lain untuk mencapai 5.4 peratus deficit fiscal tanpa lanjutan pemotongan subsidi melainkan kerajaan BN mengamalkan dasar anti rasuah.

Menurutnya, menteri-menteri BN sendiri mengaku bahawa kos rasuah negara melibatkan sekurang- kurangnya RM28 bilion setahun dan ada yang menganggarkan sebanyak USD100 bilion kehilangan secara kumulatif akibat rasuah sejak tahun 1980- an.

Beliau berkata, dasar anti rasuah tidak mungkin dilaksanakan kerana kerajaan BN menolak untuk mengamalkan sistem tender terbuka, ketelusan prosedur dan akauntabiliti awam dalam proses pembelian dan kontrak kerajaan.

“Atas alasan tersebut, hanya sokongan anti rasuah yang dilaksanakan PR akan dapat menyelamatkan rakyat, bak kata pepatah ‘bunuh dua ekor burung dengan seketul batu’ dengan tidak hanya membanteras amalan rasuah tetapi juga akan menghentikan kenaikan harga barang,” katanya.

Gerai digantung kepala babi

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SUNGAI BAKAP – Orang ramai di pekan Sungai Bakap kecoh apabila dikejutkan dengan simbahan cat merah manakala kepala babi digantung pada bahagian depan sebuah gerai minuman berhampiran Masjid Sungai Bakap, pagi, semalam.

Kejadian yang berlaku awal pagi itu menyebabkan keadaan pekan itu menjadi sesak kerana dipenuhi orang ramai yang ingin menyaksikan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata, pihaknya percaya kejadian yang berlaku sebelum waktu subuh itu berpunca dari perselisihan faham.

“Hasil siasatan mendapati, sekitar jam 7.45 pagi, pemilik dihubungi oleh salah seorang ahli masjid dengan menyatakan gerai miliknya disimbah cat merah dan digantung kepala babi.

“Menurut pemilik gerai, tiga bulan sebelum kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki dengan menyatakan dia tidak berpuas hati dan kurang senang terhadap perniagaan yang dijalankan dan percaya kejadian itu berpunca daripada ugutan panggilan telefon yang diterima,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi tempat kejadian.

Hasil kejadian itu, pemilik bersama anaknya membuat laporan di Balai Polis Sungai Bakap bagi mengelak perkara yang tidak diingini terus berlaku.

Turut hadir pada tinjauan terhadap kes terbabit ialah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat.

Ayub berkata, pihaknya juga berharap perbuatan berkenaan tidak terus dilakukan oleh mana-mana pihak dan pasukan polis akan membanteras masalah itu dengan segera.

“Perkara ini bukanlah merupakan satu isu perkauman yang melibatkan agama seperti mana dihebahkan oleh semua pihak.

“Kita sedia maklum, kejadian ini berlaku berhampiran masjid dan isu babi adalah perkara sensitif bagi Islam. Justeru, diminta pihak tidak bertanggungjawab itu tidak akan mengulangi perkara sama kerana ia akan menimbulkan suasana tegang antara satu sama lain.

Menurutnya, jualan pemilik gerai berkenaan begitu laris di pekan ini dan pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa perbuatan itu juga adalah daripada perasaan iri hati.

“Nombor telefon yang digunakan untuk menghubungi pemilik pada tiga bulan lalu merupakan nombor telefon awam dan pihak polis juga memberi amaran keras kepada mana-mana kegiatan kongsi gelap supaya tidak mengambil alih tugas polis yang ingin menjaga keselamatan peniaga.

“Diharap, mana-mana peniaga atau orang ramai yang mengalami serta melihat kes ugutan, dapat melaporkan segera kepada pihak polis,” katanya.

Pemilik juga dimaklumkan bahawa dia tidak mempunyai masalah kewangan dan tidak terlibat dengan mana-mana pinjaman.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang melibatkan unsur ugutan dan ancaman.

Sinar Harian/-

Kes Royalti : Keputusan Kelantan Bantah Pusat Jadi Pencelah Petang Ini

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 26 MEI : Keputusan rayuan kerajaan negeri Kelantan bersabit bantahan kerajaan pusat menjadi pencelah dalam kes saman terhadap Petronas akan diketahui petang ini.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memberitahu beliau akan mengumumkan keputusan pada jam 2.45 petang ini.

Kerajaan Kelantan diwakili peguam Tommy Thomas sementara Rishwant Singh mewakili Petronas.

Kerajaan sebelum ini mohon mencelah dalam kes saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas dengan memohon untuk menjadi defendan kedua.

Permohonan kerajaan pusat sebelum ini menimbulkan banyak tanda tanya.

Kerajaan negeri Kelantan telah menyaman Petronas kerana tidak memenuhi perjanjian yang dibuatnya untuk memberikan royalti minyak 5 peratus kepada kerajaan negeri.

Ia difailkan di Mahkamah Perdagangan atas dasar Petronas telah gagal memenuhi perjanjian yang ditandatangani itu.

Tv Selangor/-

Umno pastikan Anwar kembali ke tembok batu

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



APA yang pasti Anwar Ibrahim tidak lagi dibenarkan bebas seperti sekarang. Kes liwat kedua hanya sebagai penyebab semata-mata,” ujar satu sumber Umno di Kuala Lumpur.

Sebelum ini ramai berhujah Anwar tidak mungkin bebas kalau Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada di kerusi lamanya. Buktinya tidak lama selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir, Anwar dibebaskan. Anwar dibebaskan pada September 2004.

Pak Lah menggantikan Dr Mahathir pada Oktober 2003. Sekarang Pak Lah sudah disingkirkan dan kuasa politik Dr Mahathir mulai mencengkam kembali.

Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998. Tidak lama kemudian dihumbang ke penjara atas alasan mengugut penjawat awam.

”Alasan yang dimasyhur ketika itu bukannya kesalahan liwat versi pertama seperti diuar-uarkan, sebaliknya mengugut penjawat awam,” kata puteri sulung Anwar, Nurul Izzah.

Nurul Izzah muncul ikon baru politik di Tanah Malaya. Baru-baru ini ceramahnya di Machang dan Kuala Krai menarik ribuan pendengar.

Sebaliknya versi liwat kedua memperlihatkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal-awal lagi menyimpulkan Anwar ada prima facie.

Mengejutkan apabila Hakim Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat rumusan Mohd Saiful Bukhari seorang yang berwibawa dan keterangannya boleh dipercayai.

Saiful ada hubungan 

Sedangkan ramai tidak lupa seorang peguam daripada pasukan pendakwa yang mengendali kes liwat II digugurkan kerana dakwaan mempunyai hubungan dengan Saiful.

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina Latif dikatakan ada hubungan dengan saksi utama pihak pendakwa. Hubungan romantik mereka dibongkarkan blogger, Raja Petra Kamarudin.

Ramai juga masih belum lupa adik ipar kepada Saiful menafikan dia melarikan adik saksi utama pendakwa itu ke selatan Thailand.

Sebaliknya Faez Khairi, 28 mendakwa adik Saiful, Saidati Adha secara rela mengikutinya ke negara itu untuk berkahwin.

Sebelum itu Saiful ada membuat pengakuan di mahkamah, Faez dan Saidati melarikan diri. Pendedahan mengenai keluarga saksi utama terbabit terbongkar ketika beliau menjawab soalan peguam Karpal Singh.

Pada keterangan tersebut Saiful memberitahu ibu bapanya sudah bercerai ketika beliau berumur tujuh tahun. Oleh itu rumusan awal dibuat hakim seperti menyimpang daripada senario yang berlaku.

”Biar apa pun saya sering mendengar pemimpin Umno bercakap mengenai Anwar. Setiap kali ada mesyuarat Majlis Tertinggi isu Anwar menjadi fokus,” ujar sumber Umno tadi.

Maka berdasar kepada fenomena yang berlaku sekarang ledakan reformasi 1998 sekali lagi bakal menarik simpati pengundi Melayu.

Fakta Anwar dan kemelesetan ekonomi yang berlaku ketika itu menyebabkan orang Melayu beralih daripada Umno kepada Barisan Alternatif (BA).

Inilah yang dikatakan ramai sarjana budaya baru politik di Malaysia. Prof Dr Loh Kok Wah dari USM mentafsirkan perubahan tersebut sebagai gambaran politik baru mulai dicetus di negara ini.

Keberanian orang Melayu turun ke jalan-jalan raya menuntut keadilan untuk Anwar mencetus ledakan perubahan pada pola pengundian pilihanraya umum 1999.

Kesannya BA berjaya menawan negeri-negeri majoriti Melayu iaitu Terengganu dan mengekalkan Kelantan di tangan PAS.

Selain itu berjaya menembusi kerusi-kerusi majoriti Melayu di Selangor, Perak, Pahang, Perlis dan Pulau Pinang.

Perkembangan reformasi memberi saham berganda buat PAS sehingga berjaya menduduki kerusi di Dun Selangor, Perak dan Pahang. PAS juga mengukuhkan kedudukan di Kedah.

PAS ketua pembangkang 

Tuahnya buat PAS apabila berjaya menghantar seramai 27 wakil rakyat ke Parlimen ketika itu. Walhasilnya bekas Presiden PAS, Dato’ Fadzil Mohd Noor buat pertama kali dalam sejarah parti Islam dilantik sebagai ketua pembangkang.

Berdasar kepada percikan reformasi fasa pertama, orang Melayu beramai-ramai meninggalkan Umno. Ternyata strategik Dr Mahahir silap apabila ’membunuh’ karektor utama dengan cara yang sukar diterima resam Melayu.

Dan hari ini situasi itu seperti berulang kembali. Orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama tidak boleh menerima fitnah dicetus secara mudah.

Liwat versi kedua dan adegan video seks yang cuba dipalitkan terhadap Anwar menyebabkan pengundi Melayu menjadi mual.

Mereka tidak mampu menerima cerita lama mengulangi apa yang pernah terjadi kepada Nabi Yusof. Baginda dianiayai adik beradik sendiri sehingga dibuang ke dalam perigi.

Kemudian dicetus fitnah Zulaikha mahu mengoda baginda. Namun kemaraan Nabi Yusof tidak mampu disekat. Baginda akhirnya bangkit memimpin umat Islam ketika itu.

Sudah lama cerita itu difahami orang Melayu beragama Islam.

Orang Melayu Islam yang sering bertandang ke masjid setiap bulan Rejab juga pastinya pernah mendengar kisah di sebalik peristiwa Israk Mikraj.

Ustaz dan ulama sering memberitahu baginda Rasulullah SAW menghadapi cabaran paling hebat dalam sejarah dakwah baginda. Semasa baginda menyampaikan dakwah di Taif, baginda SAW dilemparkan dengan batu dan diejek-ejek pemuda nakal.

Baginda dilempar batu sehingga berdarah kaki. Selepas itu baginda meninggalkan Taif sambil berehat membalut lukanya di sebuah kebun kepunyaan adik beradik iaitu Utbah dan Syaibah bin Rabiah.

Di saat itulah baginda SAW merintih kepada Allah SWT dengan doanya;

”Wahai Tuhanku, kepada Engkaulah aku mengadu segala kelemahanku, sempitnya daya usahaku dan hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Engkaulah pelindung orang-orang yang lemah dan Engkaulah Tuhanku.

”Kepada mereka yang jauh dan menghadapi aku dengan muka masam, atau kepada musuh, atau kepada musuh yang menguasaiku? Kalau Engkau tidak murkaiku, tidaklah aku pedulikan.

”Tetapi kemaafahan Engkaulah yang sangat aku harapkan dan memberi kelapangan kepadaku. Aku mohon berlindung di bawah cahayaMu yang menerangi semua kegelapan dan di atasNyalah semua urusan dunia dan akhirat menjadi baik.

”Agar janganlah kiranya Engkau turunkan murkaMu dan kebencianMu kepadaku. Kepada Engkaulah aku merayu sehingga Engkau meredhainya. Tidak ada daya usahaku dengan kekuatanMu.” (Lihat Abu Fathan dalam Peranan Islam Dalam Masyarakat Melayu, 1996).

Kisah sentimental itu tidak mampu dijarakkan daripada jiwa orang Melayu yang masih kuat berpaut kepada Islam.

Setiap kali bulan Rejab kisah tersebut diulang-ulang semula sebagai pengajaran buat orang beriman. Namun malangnya, masih ramai orang Melayu hanya Islam pada nama dan tidak amalnya.

Bagi golongan tersebut tiada pengajaran mampu diambil daripada kisah Israk Mikraj. Maka tidak hairanlah diuar-uarkan kisah lucah dan hantu bagi menghalang kebenaran Islam bertapak subur dalam jiwa orang Melayu.

Maka ramai berhujah situasi politik hari ini mengundang fenomena 1999 berulang kembali. Ia sudah dibuktikan di Singapura baru-baru ini apabila pengundi Melayu beralih kepada Parti Buruh.

Mayat berulat

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

JELAPANG – Gempar apabila satu mayat lelaki berpakaian lengkap ditemui dalam keadaan berulat di kawasan tangki air Puncak Jelapang Maju, petang semalam.

Mangsa, dikenali sebagai Susinthiran A/L Muthusamy @ Arumugam, 36, dari Jelapang ditemui sekumpulan empat lelaki yang kebetulan ke kawasan itu untuk memotong rumput dan membersihkan kawasan sekitarnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terlentang memakai baju T berwarna kuning dan berseluar jeans biru serta berkasut.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat pertama daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 3.50 petang.

“Anggota kami termasuk Unit Forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat.

“Setakat ini pihak kami belum menerima sebarang maklumat lengkap berhubung kes terbabit namun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat dan pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kematian.

“Keterangan lanjut mengenai kes ini hanya akan dimaklumkan sejurus selepas selesai bedah siasat,” katanya.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan serta yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222..

Sinar Harian/-

Muktamar platform persediaan PAS untuk menggantikan Umno

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



APABILA saf kepimpinan tertinggi PAS melancarkan program 'PAS Ganti Umno', ia seharusnya disambut dengan serius, khususnya dari kalangan ahli serta penyokong PAS di seluruh negara.

Ungkapan 'PAS Ganti Umno' yang diterapkan dalam minda ahli, seharusnya bukan retorik, bukan impian, bukan angan-angan, tetapi ianya adalah pernyataan kesungguhan dan keazaman yang tinggi bagi memastikan ianya menjadi realiti.

Realiti 'PAS Ganti Umno' tidak akan dapat direalisasikan, jika sekiranya ia tidak dimulakan dari dalam PAS itu sendiri.

Dalam erti kata lain, jika pemimpin dan ahli PAS masih di takuk lama, mentaliti masih tidak berubah, pendekatan masih tidak mencapai sasaran, usaha 'PAS Ganti Umno' barangkali terbantut.

Maka menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-57 ini, seluruh kepimpinan dan anggota PAS harus mengerah minda dan mencapai ketetapan, apakah mekanisme atau kaifiat yang harus dilaksanakan PAS bagi memastikan cita-cita ini tercapai.

'PAS Ganti Umno' sebenarnya adalah suatu agenda PAS yang sangat besar. Ia tidak harus dipandang ringan.

'PAS Ganti Umno' bukan sekadar mengganti atau mengambil alih tempatnya sebagai parti Melayu-Islam yang terbesar dalam negara sahaja.

Matlamat dan cita-cita PAS adalah untuk menggantikan tempat Umno sebagai peneraju utama dan pemain utama dalam kerajaan Pakatan Rakyat sewaktu Umno-Barisan Nasional tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Justeru, agenda 'PAS Ganti Umno' harus menjadi agenda penting dalam Muktamar. Apa juga ucapan, perbahasan, usul malah kepada sehingga kepada pemilihan pucuk pimpinan pun, harus dijuruskan ke arah usaha untuk menggantikan Umno.

Pemimpin dan ahli PAS harus disegarkan minda mereka, bahawa selain Umno, tiada parti lain yang boleh diterima orang Melayu-Islam, melainkan PAS sahaja.

Untuk apa Umno harus diganti? Tidak lain dan tidak bukan, hanya kerana Umno sudah menyimpang jauh dari landasan perjuangannya.

Umno harus diganti kerana kepimpinannya sudah rosak. Umno mempunyai pemimpin yang korup serta rakus memperjuangkan kepentingan peribadi.

Menjadi pemimpin Umno, bukan lagi untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, tetapi dijadikan peluang untuk mereka memperkayakan diri, anak-beranak dan kroni.

Perjuangan Umno jauh tersasar kerana di sebalik banyak negeri-negeri yang diterajui mereka berada dalam keadaan yang kritikal dari sudut pentadbiran ekonominya.

Hasil negeri tidak mencukupi. Negeri masih berada dalam tahap kemiskinan, rakyat sukar mencari rezeki, tetapi pemimpinnya kaya raya.

Menjadi anak-beranak Menteri dan Perdana Menteri lebih menguntungkan. Kejayaan Umno yang paling hebat ialah apabila anak-beranak, adik-beradik, anggota keluarga dan kroni PM serta bekas PM boleh menjadi bilionaire, boleh menjadi jutawan.

Nama-nama mereka tersenarai di antara orang Melayu yang paling kaya di Malaysia. Inilah hasil perjuangan Umno.

Kita tanyakan pula kepada Umno. Anda berjaya mengangkat martabat anak-beranak, adik-beradik pemimpin anda menjadi manusia terkaya, tetapi bagaimana dengan rakyat kebanyakan?

Bukankah ramai orang-orang Melayu yang hidupnya dihimpit kesusahan? Hendak membeli susu anak pun tidak mampu. Hendak menyara anak ke sekolah pun terkial-kial. Apatah pula hendak membayar yuran IPT yang begitu tinggi harganya.

Itu belum lagi kalangan Melayu yang tercicir di bidang pendidikan akibat kejahatan dasar PPSMI. Itu belum lagi ramai kalangan Melayu yang tiada tempat dalam sektor ekonomi dan peniagaan akibat amalan segelintir nepotisme dan ali baba.

Itu belum lagi dimasukkan berapa ramai Melayu yang hidup mereka sering dihimpit tekanan akibat kenaikan harga minyak, harga barangan keperluan dapur dan sebagainya.

Perjuangan Umno jauh tersasar kerana mereka tidak lagi dilihat mewakili golongan marhaen. Umno tidak mewakili rakyat kebanyakan. Mereka adalah parti borjois yang dipenuhi korporat serta 'lintah darat.'

Umno tidak boleh lagi diharapkan. Mereka gagal memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam. Perjuangan nasionalisme Umno hanya menjadi alat untuk kepimpinannya memperdayakan orang Melayu untuk terus menyokong mereka.

Justeru usaha 'PAS Ganti Umno' harus diambil serius. Apabila agama, bangsa dan negara sudah rosak akibat gara-gara pemimpin Umno, maka PAS harus tampil untuk menyelamatkan keadaan.

Pada saat ini rakyat, khususnya orang-orang Melayu sedang memerhatikan PAS. Mereka tertanya-tanya, apakah kepimpinannya boleh diharap untuk menggantikan Umno.

Rakyat sedang menilai apakah pucuk kepimpinan PAS menepati ciri-ciri yang mereka harapkan untuk menggalas harapan ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat.

Di atas pundak perwakilan lah segala persoalan ini harus ditemukan jawapannya.

Maka pada Muktamar kali ini, diharapkan perwakilan harus lebih serius dan lebih fokus kerana rakyat menantikan jawapan daripada PAS, apakah PAS layak menggantikan Umno.

Gaji guru: K'jaan tak mampu sebab krisis kewangan

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Isu kenaikan pangkat guru yang menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pengamal profesyen itu menunjukkan bahawa negara kini berdepan dengan krisis kewangan, kata seorang ahli parlimen PAS.

Datuk Mahfuz Omar juga mendakwa, langkah kerajaan yang hanya memberikan kenaikan pangkat kepada golongan guru berpendapatan tinggi itu menunjukkan bahawa kerajaan berusaha untuk menipu golongan cerdik pandai itu.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan menteri pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu yang sekadar meminta supaya kumpulan guru yang tidak menikmati kenaikan gaji itu supaya bersabar.

Muhyiddin juga sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan bertindak demikian sebagai langkah penjimatan perbelanjaan dan juga untuk mengurangkan defisit kerana kenaikan pangkat itu melibatkan jumlah guru yang ramai.

Mahfuz yang juga naib presiden PAS turut menegaskan bahawa langkah penjimatan melalui pengurangan subsidi itu juga akhirnya akan menyebabkan rakyat menanggung kos yang lebih tinggi.

Perbelanjaan meningkat

“Kerajaan sebenarnya telah memindahkan defisit kerajaan kepada guru berpendapatan sederhana," katanya dan menambah, hanya sebanyak 30 peratus sahaja daripada kira-kira setengah juta guru dalam negara ini yang akan menikmati kenaikan pangkat itu.

"(Tindakan) mengurangkan subsidi menyebabkan kos meningkat. Perbelanjaan rakyat juga turut meningkat (sedangkan) pendapatan tidak mencukupi.

“Guru merupakan individu yang melahirkan seorang pemimpin, tindakan pihak kerajaan dengan menaikkan pangkat sebilangan guru saja umpama tindakan menipu orang cerdik,” katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, langkah kerajaan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan begitu terdesak untuk menjaga kebajikan pekerja semenjak Pakatan Rakyat melancarkan Buku Jingga pada Disember tahun lalu.

Manifesto berkenaan antara lainnya menggariskan usaha Pakatan untuk memastikan agihan kekayaan yang saksama bagi golongan pekerja.

“Tindakan yang seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan ialah menaikkan gaji semua guru seperti apa yang dicadangkan oleh pihak PKR baru-baru ini,” tegasnya yang turut menyeru kumpulan guru itu supaya lebih vokal dalam menyatakan tuntutan melalui kesatuan mereka.

Tapi dapat bonus

Sementara itu, ahli parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan pula tetap mempertahankan langkah "rasional" itu kerana tidak ada guru yang akan didiskriminasi dalam kenaikan pangkat berkenaan.

Ketika ditanya, beliau menafikan bahawa tindakan kenaikan pangkat itu dijalankan bagi menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang.

“Kalau pembangkang memang akan berkata sedemikian (untuk pilihan raya).tapi bagi saya ia sesuatu yang tidak masuk akal,” kata Abdul Rahman ketika dihubungi.
Jelasnya, kenaikan ke atas kumpulan guru itu tidak melibatkan guru yang berpendapatan sehingga mencecah RM20,000.

"Tidak ada yang dianaktirikan,” katanya lagi yang menambah, kumpulan guru yang berpendapatan lebih rendah itu juga akan menikmati kenaikan pangkat.
“Jika kita mampu bagi setengah, kita bagi setengah dulu. Waktu ini untuk segmen (pangkat tinggi) dahulu.

“Kerajaan bagi kenaikan berkenaan berdasarkan kemampuan pihak kerajaan. Namun perdana menteri sendiri masih sedang berbincang dengan timbalan perdana menteri berkenaan kenaikan pangkat atau gaji bagi guru-guru yang lain,” katanya lagi.
Abdul Rahman juga berkata golongan guru yang berpendapatan rendah juga sebelum ini telah menikmati bayaran bonus.

"Kerajaan telah bagi (bonus) kepada golongan berpendapatan dua ribu ke bawah. Yang penting kerajaan ikhlas,” katanya.

Malaysiakini/-

Piala Sudirman: Malaysia Kalah 2-3 Kepada Indonesia

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 26 MEI : Malaysia menempah laluan berduri pada suku akhir badminton Piala Sudirman apabila gagal muncul juara Kumpulan B selepas kalah tipis 2-3 kepada Indonesia dalam perlawanan sengit di Qingdao, China.

Walaupun dua kali mendahului 1-0 dan 2-1, namun Indonesia berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dan 2-2, sebelum mengesahkan kemenangan menerusi beregu campuran, Fran Kurniawan-Pia Zebadiah Bernadet yang menundukkan pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 21-18, 21-15.

Menamatkan cabaran selaku naib juara kumpulan bermakna Malaysia berpotensi menentang pilihan utama dan juara tujuh kali, China, bergantung kepada undian yang bakal dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menghadiahkan mata sulung negara menerusi selepas menang mudah 21-15, 21-17 ke atas Alvent Yulianto-Mohamad Ahsan, namun Adri yanti Firdasari menyamakan kedudukan 1-1 dengan menumpaskan Lydia Cheah 21-8, 21-12 dalam perseorangan wanita.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei meletakkan pasukan negara 2-1 di depan apabila menundukkan Dionysius Hayom Rumbaka 21-8, 21-8 tetapi Indonesia kembali menyamakan kedudukan 2-2 selepas Greysa Polii-Meliana Jauhari mengalahkan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui 21-23, 14-21, sebelum Peng Soon-Liu Ying tunduk dalam penentuan beregu campuran.

Tv Selangor/-

Kapal Terbang Terhempas Di India, 10 Terbunuh

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

NEW DELHI: Sepuluh orang terbunuh selepas sebuah kapal terbang sewa India terhempas di atas rumah kedai di luar Delhi Rabu malam.

Tujuh terdiri daripada penumpang kapal terbang itu manakala tiga lagi adalah penghuni rumah kedai berkenaan.

Kapal terbang dengan kapasiti sembilan tempat duduk itu membawa seorang pesakit kritikal, anggota keluarganya, dan petugas perubatan semasa kejadian, menurut saluran televisyen yang berpengkalan di Delhi.

Kapal terbang itu dilaporkan terhempas di kawasan perumahan di Faridabad, yang bersempadan dengan Delhi. The Press Trust of India (PTI) dalam laporannya berkata kapal terbang itu hilang kawalan dan menjuman dari ketinggian 8,000 kaki kira-kira 15 minit sebelum mendarat di Delhi.

Kapal terbang itu dipercayai terperangkap dalam angin kencang dan ribut pasir, menurut laporan awal, namun punca sebenar kemalangan belum diketahui.

Pesakit itu diterbangkan dari Patna di Maharshtra ke hospital Delhi untuk rawatan.-

BERNAMA

Ricoh rancang kurangkan 10,000 pekerja seluruh dunia

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Syarikat pengeluar peralatan pejabat dan kamera, Ricoh hari ini mengumumkan rancangannya untuk mengurangkan kira-kira 10,000 pekerja di seluruh dunia dalam tempoh tiga tahun sebagai langkah memperkemaskan operasinya, lapor media.

Pengurangan itu membabitkan sebahagian daripada 100,000 pekerja seluruh dunia yang dijangka dilaksanakan pada tahun fiskal 2013, lapor akhbar kewangan mingguan Nikkei dan Dow Jones Newswires. - AFP

Auku: 17 pelajar UM dibebaskan

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mei: “Pertamanya, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana sekali lagi, kuasa Allah terbukti adalah yang Maha Hebat dan Maha Adil,” kata Izzuddin Hilmi Mohd Zaini.

Mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya (UM) itu menyatakan demikian setelah dibebaskan daripada disabitkan dengan hukuman Akta Universiti dan Akta Universiti (Auku).

“Setelah keputusan diumumkan, ternyata saya dan rakan-rakan saya lain terbukti tidak melakukan kesalahan yang boleh disabitkan dengan hukuman Akta Universiti dan Akta Universiti (Auku) yang diwujudkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” ujarnya.

Semalam, beliau antara enam siswa lain telah dibicarakan oleh barisan Jawatankuasa Tindakan Tatatertib UM di Bilik Mesyuarat HEP di Kompleks Perdanasiswa UM.

Itu pun setelah perbicaraan ditangguhkan dua kali di mana sebelum ini pada 20 Mei dan 23 Mei lalu.

“Dan kami dibacakan segala pertuduhan termasuk seorang rakan baik saya, Mohd Sabri (Jamaluddin) yang dikenakan tujuh pertuduhan.

“Alhamdulillah, setelah semuanya dibaca dan disoal jawab (prosiding bermula 2 petang hingga malam), saya dan rakan-rakan dengan lindungan Allah telah dibuktikan 'tidak layak' untuk disabitkan kesalahan di bawah Auku,” jelasnya yang juga Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Keputusannya ialah seorang pelajar digugurkan kes kerana telah bergraduasi tahun lalu, Qayyum Suhaimi, lima pelajar dibebaskan tanpa sebarang amaran kerana tiada bukti, dua pelajar didenda RM200 serta amaran keras (Izzuddin Hilmi dan Sabri Jamaluddin) dan sembilan pelajar dikenakan amaran awal.

Antara saksi yang sering kali dipanggil masuk untuk disoal jawab oleh panel adalah Ketua Pengarah Keselamatan UM, Mejar (B) Mohd Nor Othman dan Wahyu dan beberapa lagi yang lain.

“Yang saya nak tekankan kat sini, mengapa kami dikenakan pertuduhan setelah hampir 3 bulan kes itu berlaku, kes di pilihan raya kampus Februari lalu.

“Dan andai kata nak dikatakan 3 bulan diambil untuk mengumpul bukti kukuh, saya ada beberapa persoalan yang perlu dijawab semua pihak,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa lima siswa dibebaskan kerana tiada bukti kukuh dan atas sebab apa kelima-limanya dituduh.

Soalnya, adakah sekadar ingin 'memperkenalkan' mereka kepada umum dan kami juga dibebaskan dengan hukuman masing-masing (denda dan amaran).

Atas sebab apakah seorang graduan, Abdul Qayyum Suhaimi (Graduasi 2010) turut diberi surat amaran dan diminta hadir prosiding kemudian digugurkan kes.

Ini, katanya sedikit sebanyak memberi seribu satu persoalan kepada mereka kerana kesalahan pada tahun 2011 tetapi turut diberi surat amaran.

Soalnya lagi, mengapa setiap kali prosiding, munculnya dua orang kanan TNC iaitu Rozaini dan Imran Nul Hakim Derasip.

“Apakah autoriti pegawai-pegawai HEP terbabit dalam kes ini?

“Adakah pihak TNC HEP, Datuk Rohana akan membuka kembali kes ini untuk membuat rayuan terhadap keputusan barisan panel?” tanya beliau.

Katanya, pihak universiti seharusnya menggunakan proses budibicara untuk menyiasat pertuduhan ke atas mereka sebelum mendakwa ke kamar prosiding.

“Mengapa kami terus diheret tanpa sebarang budi bicara?” soalnya lagi.

Menurut Izzudin lagi, antara pertuduhan yang dikenakan ke atasnya saya dan seorang rakannya adalah ketika pertemuan dengan Rohana bagi membincangkan pelbagai perkara di biliknya ketika pilihan raya lalu.

“Mengapa pertemuan itu pun ingin didakwa ke atas kami?

“Di peringkat kami, kami meminta penjelasan terperinci terhadap segala pertuduhan yang dikenakan ke atas kami,” katanya.

Harakahdaily

Mahasiswa kuasa penentu PRU 13

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan. Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri.

Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik.

Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

Mahasiswa Bangkit

Jika terdapat pendapat yang berbeza tentang tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, terdapat pendapat yang sama, iaitu tahun 1974. Walaupun ramai penulis yang menggunakan tahun 1974 dalam tulisan mereka, dan ada juga penulis menggunakan tahun 1971, tetapi tahun 1971 yang digunakan kedua-duanya adalah kerana faktor teknikal.

Pendapat ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati gerakan mahasiswa yang lain. Yang menjadikan tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa ialah kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

Bagi pendapat yang mengatakan bahawa tempoh masa dari tahun 1965 hingga tahun 1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara, ia diukur dari segi tindakan-tindakan mahasiswa yang bercorak politik. Hal ini termasuklah:

(1) Seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

(2) Resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.

(3) Penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.

(4) Demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka.

(5) Sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam parti-parti politik, seperti Parti Rakyat.

Sama ada ukuran politik yang sedemikian rupa adalah ukuran paling tepat untuk zaman tersebut, dan sama ada pemilihan zaman tersebut itu sendiri adalah pemilihan yang tepat, ia terserah kepada pandangan masing-masing individu. Ini adalah kerana tidak wujud satu kayu ukur, indikator atau kriteria yang saintifik tentang keaktifan, kelembapan atau kemuncak gerakan mahasiswa. Bagi mereka yang mengukurnya dengan ukuran politik, antara hujah utamanya ialah gerakan mahasiswa harus berbeza daripada sekadar penganjuran aktiviti kokurikulum oleh pelajar sekolah menengah tinggi.

Mahasiswa dalam PRU

PRU 13 bakal tiba tidak lama lagi. Bacaan ahli-ahli politik kemungkinan paling awal pada bulan julai ini. Persoalan yang timbul dimana tempat mahasiswa menjelang pilihan raya nanti. Semua sedia maklum bahawa mahasiswa yang dipanggil ‘Kuasa Ketiga’ iaitu pengundi atas pagar yang sangat penting diperhatikan justru golongan ini dilihat memiliki critical thinking yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku di negara sekarang. Golongan atas pagar ini mungkin tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi mereka hanya akan mengundi parti dan calon yang memenuhi cita rasa mereka. Mereka ini melihat isu dan cara mana sesuatu parti yang bertanding itu menangani isu itu. Mereka juga meneliti rekod parti pemerintah dan pembangkang.

Bercakap soal keberanian mahasiswa menyertai pilihan raya umum akan datang. Bagi saya bukan soal bertanding ataupun tidak, berani atau penakut. Tapi yang penting bagaimana kita boleh hadirkan atau berikan calon yang terbaik kepada masyarakat. Jika ada calon yang boleh kita sepakati kebolehannya dalam memimpin, apa salahnya kita serahkan kepada rakyat. Dan perlu diingat pemimpin bagi masyarakat bukan lagi ruang mahasiswa sahaja. Soal kuliah, soal parlimen, soal kebajikan rakyat, soal mahasiswa dan sebagainya. Mahasiswa perlu lebih matang fikirkan soal ini dan bukan bertindak dengan keberanian dan semangat semata-mata tanpa membuat persediaan yang rapi.

Golongan muda dan ‘Kuasa Ketiga’ ini kemungkinan menjadi kuasa penentu akan kemenangan calon-calon dalam PRU Ke-13 nanti. Mahasiswa sedang memerhatikan sungguh- sungguh perjalanan Pakatan Rakyat dan Umno/BN, terutama para calon yang akan dikemukakan oleh kedua-dua pihak. Mahasiswa dan anak muda hanya akan memberikan undi kepada calon yang mereka lihat berwibawa, calon yang berilmu, mesra rakyat dan berfikiran terbuka serta calon yang tidak pelahap dengan pelbagai habuan atau boleh dibeli dengan wang dan ganjaran lain. Boleh disimpulkan bahawa golongan generasi muda dan golongan mahasiswa ini adalah golongan yang sangat kritikal. Jangan ada siapa yang berfikir bahawa mahasiswa adalah ‘pengundi mainoriti’, tidak penting dan bukan penentu keputusan pilihan raya nanti.

Mohd Yusof Hadhari adalah Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis)

Lapor polis jika terima VCD lucah fitnah

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

RAWANG, 25 Mei: Pakatan Rakyat di Rawang menyelar tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu yang telah menghantar 3 keping salinan VCD seks bersiri dengan risalah lucah dalam bahasa Melayu.

“Kami telah membuat laporan polis di IPD Rawang pagi tadi dengan tujuan meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melakukan kerja penyebaran risalah berunsurkan lucah dan fitnah ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei.

Turut bersama beliau beberapa orang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Dun Rawang.

Menurutnya, VCD seks tersebut telah diterima lima pengerusi JKKK Kampung Baru Cina dalam daerah Gombak, manakala bahan sama diterima di dua kampung kawasan Melayu.

Katanya, risalah itu adalah bertujuan untuk memburukkan Datuk Sri Anwar Ibrahim dan mereka ingin rakyat tahu kononnya watak dalam VCD itu adalah Ketua Pembangkang.

“Kita yakin rakyat tidak semudah itu mempercayai rakaman tersebut yang sudah pasti pelakunya bukan Anwar,” ujarnya.

Beliau sudah membuat semakan kiriman VCD tersebut di mana pengirimnya dari Shah Alam dan telah diberikan kepada JKKK Kampung Baru Daerah Gombak yang melibatkan 5 kawasan.

“Kiriman tersebut telah kami terima pada hari Isnin, 23 Mei 2011. Manakala bagi Kampung Melayu, Rawang pula kiriman tersebut daripada Melaka yang telah diterima 24 Mei,” katanya.

Beliau yakin kiriman yang diterima itu daripada orang yang sama yang merupakan konspirasi yang amat teruk dengan tujuan untuk mempengaruhi rakyat.

Katanya, perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat itu sudah pasti boleh merosakkan minda rakyat dan menjadi kebimbangan jika pelajar-pelajar sekolah melihat VCD lucah itu.

"Kita harap pihak polis memandang serius isu ini. Tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap mereka yang melakukan kerja-kerja penyebaran dan membuat VCD lucah ini.

“Saya harap rakyat yang telah menerima VCD lucah ini perlu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Khaulah Azwar

Hina Islam: Abim gesa ambil tindakan tegas

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 26 Mei: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius kewujudan laman web dan blog yang menghina imej serta kesucian agama Islam.

Dalam kes ini, Abim merujuk kepada penyebaran beberapa bahan penulisan dalam blog http://makcikhajjahsittalwuzara2u.wordpress.com/ , dan laman Facebook menggunakan nama 'Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara'. 

Setiausaha agungnya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, berdasarkan daripada keterangan yang diterima serta penyelidikannya, bahan-bahan yang dimuatkan dalam blog terbabit jelas menggambarkan niat jahat dan provokasi penulis blog tersebut.

“Tindakan ini amat dikesali dan jelas-jelas telah menimbulkan kemarahan umat Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Abim beserta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah mengajukan laporan polis di Balai Dang Wangi.

Menilai daripada itu, katanya Abim menuntut agar pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berwajib segera menyiasat secara terperinci insiden yang sangat mendukacitakan ini.

Katanya, Abim menuntut agar dakwaan dan tindakan tegas dikenakan terhadap beliau dan mana-mana pihak yang bersubahat.

“Abim juga dengan ini mendesak agar pemohonan maaf dikeluarkan secara rasmi dan terbuka oleh beliau terhadap seluruh umat Islam,” ujarnya.

Abim, tambahnya mengambil kesempatan ini untuk menyeru mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan kebebasan ruang maya untuk menghina agama Islam.

“Sebagai agama Persekutuan,  kesucian dan kehormatan Islam haruslah dipertahankan dari sebarang unsur-unsur atau usaha untuk mencemarkannya,” ujarnya.

BN tabur harapan kosong, rakyat semakin terhimpit

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
Pejabat Ketua Penerangan Pas Perak.

Rakyat Malaysia sepatutnya telah menikmati laba yang menguntungkan apabila negara telah menikmati kemerdekaan selama lebih 50 tahun.

Namun situasi ekonomi Malaysia pada hakikatnya semakin membimbangkan, walaupun media BN sentiasa memaparkan bahawa Malaysia cemerlang, sebaliknya negara semakin berada dalam kewangan yang meresahkan rakyatnya yang tertekan dengan kenaikan harga barang secara berterusan dan semcam tidak terkawal oleh kementerian dan agensi yang telah diamanahkan.

Kerajaan BN perlu mengambil sirius persoalan ini, bukannya cuma menabur harapan kosong terhadap rakyat di media-media pro Umno BN.

Permasalah sebenar telah didedahkan baru-baru ini Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik sebagai berkata lebih kurang 20,000 daripada penjawat awam iaitu kakitangan sokongan di jabatan kerajaan menghadapi masalah kemiskinan bandar kerana mempunyai pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.

Fakta tersebut sudah cukup menggambarkan bahawa kerajaan BN tidak ambil cakna tentang kebajikan penjawat awam sehingga mereka menghadapi tekanan hidup secara tererusan .

Saya kadang-kadang melihat warga asing yang sedang berada di negara kita mencari rezeki lebih selesa hidup tanpa menghadapi tekanan hidup seperti rakyat malaysia walaupun punya kerja disektor awam atau swata namun kehidupan tidak terjamin.

Setiap bula gaji mereka difikirkan untuk membayar pelbagai pinjaman bank, perumahan dan banyak yang berhutang dengan kada kredit. Sedangkan warga sing walaupun gaji tidak seberapa boleh mengirim wang balik ke negara mereka masing tanpa perlu memikirkan hutang dan pelbagai bayaran lain.

Tambahan pula kenaikan harga bahan api yang tidak munasabah secara tidak langsung telah menyebabkan kenaikan berantai harga baranghan lain.

Tidak sepatutnya rakyat malaysia sentiasa dihadapkan dengan kenaikan harga minyak sedangkan negara kita termasuk dalam salah satu negara pengeluar minyak.

Pakatan Rakyat komited menawarkan pentadbiran yang yang bakal menjadikan Malaysia bersituasi selamat melalui pelan yang diutarakan seperti dalam Buku Jingga.

Saya menggesa supaya rakyat Malaysia sahut laungan perubahan, Malaysia mesti diselamatkan.

Kenyataan Media,
Drs. Khalil Idham Lim
Parit Buntar, 26 Mei 2011.

Biasiswa: Umno-MCA berkelahi teruk

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Pergaduhan Umno dan MCA berterusan dengan akhbar milik Umno mempersendakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan Ketua Pemudanya, Datuk Dr Wee Ka Siong yang menuduh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menyalahgunakan kuasa dalam pemberian biasiswa dan peruntukan tempat ke universiti.

Perbalahan Umno-MCA timbul sejak Wee mendakwa 363 pelajar yang memperolehi kesemua A+ tercicir dalam senarai biasiswa JPA selepas jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar kesemua pelajar yang mendapat 8A+ dan ke atas akan mendapat biasiswa JPA.

“Dalam soal pemilihan ini, JPA hanya bertindak sebagai penyelia dan sesi temu duga dijalankan oleh mereka dari latar belakang akademik yang tinggi serta pelbagai kaum.

“Malah, pemberian biasiswa ini juga terlebih dahulu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk penilaian dan kelulusan sebelum dilaksanakan,” kata Menteri di dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang dipetik Utusan sebagai respons kepada dakwaan MCA.

Sebelum itu, Nazri turut menyelar Wee, sebagai seorang ahli parlimen Barisan Nasional dan Timbalan Menteri memperbesarkan isu ini dengan pergi ke media dan menjerit di umum semata-mata untuk publisiti murahan tanpa datang berjumpanya terlebih dahulu untuk memahami isu sebenar.

“Saya ada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang cuba membantu pelajar, datang berjumpa dengan saya... mereka tidak pergi kepada media.

“Tetapi Wee, sebagai MP BN dan seorang timbalan menteri, pergi kepada media dan menjerit di umum untuk publisiti murahan tanpa datang berjumpa saya untuk melihat isu yang sebenar,” kata Nazri.

Mengenai jaminan Najib, Nazri berkata Putrajaya tidak pernah berjanji memberikan biasiswa kepada kesemua pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang sebaliknya kerajaan hanya komited untuk memastikan setiap pelajar cemerlang diberi jaminan tempat di institusi tempatan dan luar negara dengan biasiswa.

Kami tidak pernah kata kesemua pelajar 9A+ akan dihantar ke luar negara. Tetapi kami ada menjanjikan bahawa mereka akan mendapat tempat sama ada di universiti tempatan atau luar negara,” kata Nazri yang jelas tidak senada dengan Najib.

Serangan bertubi-tubi Nazri menyebabkan keadaan MCA semakin tertekan sehingga akhirnya Chua menyerang Nazri kembali bahawa ia agak malang bagi seorang pemimpin Umno untuk tidak memahami ‘peranan MCA’ selama ini.

“Saya tidak mengajar Nazri bagaimana untuk membuat kerja, jika Nazri menjadi seorang menteri kanan tetapi tidak tahu peranan MCA, maka itu adalah agak malang,” kata Chua.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyelar percakaran Umno dan MCA yang disifatkannya hanyalah satu usaha untuk menunjukkan siapa menjadi wira dalam isu biasiswa JPA tanpa menyelesaikan masalah.

“UMNO dan MCA bercakaran bagi membuktikan siapa yang benar dalam isu pemberian biasiswa JPA yang dilihat seolah-olah tidak mempunyai jalan penyelasaian kerana masih terdapat pelajar cemerlang yang masih tidak menerima biasiswa.

"Masyarakat kini tidak tertarik untuk mengetahui siapa jadi wira tetapi yang nyata wira sebenar ialah mereka yang dapat memastikan kesemua pelajar cemerlang ini boleh menerima biasiswa JPA,” selar Lim dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambahnya, masyarakat bertambah keliru apabila kedua- dua Umno dan MCA memberikan jawapan yang berlainan walaupun bernaung di bawah Menteri dalam Kabinet yang sama.

Kekeliruan ini akan menjadi lucu jika difikirkan, kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, namun fakta sebenar ialah pelajar-pelajar cemerlang yang tidak bersalah akan menjadi mangsa atas pertelingkahan di antara Umno dan MCA.

“Sekiranya MCA benar, mengapa tiada tindakan diambil ke atas pegawai kerajaan yang gagal memberikan biasiswa kepada pelajar cemerlang dan memperbaiki kesilapan dan memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak dengan segera?

"Namun jika UMNO benar, MCA kemudiannya harus meminta maaf kepada pelajar dan mendesak Umno untuk mengubah polisi bagi memastikan biasiswa JPA diberikan kepada semua pelajar cemerlang tanpa mengira agama atau pun bangsa,” ujar beliau.

Harakahdaily

Proton Saga FL enjin 1,600cc dijual mulai hari ini

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

 SAGA FL yang mempunyai kapasiti enjin 1,600cc dijangka menarik perhatian pelanggan muda.

KUALA LUMPUR - Orang ramai kini berpeluang memiliki model terlaris Proton, Saga FL dengan kapasiti enjin 1.6 liter yang menjanjikan lebih kuasa dan kepuasan memandu.

Didatangkan dalam warna putih, ia dijual pada harga RM46,549, hanya RM3,700 lebih tinggi daripada model Saga FL Executive 1.3.

Varian itu mempunyai perbezaan daripada segi rim aloi yang baharu, pelekat pada badan kereta dan sedikit pengubahsuaian pada ruang dalaman.

Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya yakin ia mampu menarik pelanggan terutama sekali dalam kalangan golongan muda.

Adik sayu lihat abang rentung

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

 
 ANGGOTA bomba melakukan siasatan di sebuah rumah papan yang hangus hingga mengakibatkan Nazri yang lumpuh mati rentung di Sungai Lembing, Kuantan

KUANTAN – Sukar dibayangkan bagaimana sengsaranya seorang lelaki menghadapi saat kematiannya apabila hanya mampu berserah diri dengan terbaring di atas katil sebelum dia rentung setelah rumahnya terbakar di Batu 4, Sungai Lembing di sini semalam.

Nazri Ismail, 40, yang merupakan bekas pekerja sektor pembalakan maut dalam kejadian pukul 10 pagi itu.

Difahamkan, Nazri tidak mampu berjalan namun boleh berkata-kata serta mengangkat sebelah tangannya ekoran menghidap pelbagai penyakit kronik. Dia tinggal bersendirian di rumah papan tersebut.

Menurut adik mangsa, Azhar, 37, dia yang sedang bekerja di sebuah kilang papan di Kampung Bayas kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian bergegas ke rumah abangnya setengah jam kemudian.

Katanya, selain melihat rumah yang sedang dijilat api, dia turut terdengar bunyi kuat tong gas yang meletup.

Nik Aziz Belum Sedia Idea Pakatan Tidak Bubar DUN Jika PRU 2011

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU 26 MEI : Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau belum bersedia menerima cadangan DAP supaya semua negeri pimpinan Pakatan Rakyat tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya pilihan raya umum ke 13 akan diadakan pada tahun ini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata belum ada keputusan diambil oleh pucuk pimpinan dalam pakatan pembangkang berhubung perkara itu.

Nik Aziz menganggap kenyataan DAP agar tidak membubarkan DUN itu sebagai satu kenyataan bersifat peribadi pemimpin itu, yang tidak mewakili pandangan parti.

“Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan pendapat mengikut keperluan semasa dan kepentingan masing-masing.

“Itu adalah pendapat peribadi, saya tidak tahu sama ada ia diputuskan di peringkat pucuk pimpinan parti atau tidak, sebab itu saya sifatkan ia pendapat peribadi,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju supaya empat negeri yang dikuasai pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan DUN masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Tv Selangor/-

Obama : "Kini Masa Bagi AS, Barat Terus Ketuai Dunia"

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

LONDON 26 MEI : Dalam ucapan sulung seorang presiden AS di Westminster Hall di sini, Barack Obama memberitahu ahli-ahli politik Britain meskipun muncul kuasa-kuasa baru seperti China dan India, Washington dan Eropah masih merupakan kuasa utama dunia dan ia perlu diperlihatkan sekarang.

Britain merupakan sekutu rapat AS dalam banyak isu termasuk perang ke atas pengganas sejak sedekad lalu.

Obama berada di Britain lebih tiga minggu selepas ketua rangkaian pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden mati ditembak.

Obama berkata pengaruh AS, United Kingdom (UK) dan sekutu-sekutunya kekal “sangat mustahak.”

Presiden itu berkata demikian dalam ucapannya di Parlimen pada hari kedua lawatan beliau ke negara itu semalam.

Bagaimanapun kata beliau, kepimpinan itu perlu berubah mengikut masa untuk menggambarkan cabaran-cabaran ekonomi dan keselamatan.

Laporan BBC berkata ini kali pertama seorang presiden AS berucap di hadapan ahli-ahli Parlimen dan mereka yang sebaya dengannya di Westminster Hall.

Antara hadir pada majlis itu ialah bekas perdana menteri Britain Sir John Major, Tony Blair dan Gordon Brown.

Dalam ucapan 35 minit ini, Obama memberitahu hanya sejumlah kecil negara yang berpendirian tegas, berjuang dengan lantang dan melawan untuk mempertahankan prinsip demokratik di seluruh dunia berbanding AS dan UK.

Oleh itu, katanya, kedua-dua negara itu “sekali lagi berada di detik penting” ekoran kemelesetan global dan konflik bertahun-tahun.

Obama menolak tanggapan bahawa kemunculan kuasa baru seperti China dan India bukan bermakna sudah mula berakhirnya pengaruh Amerika dan Eropah di dunia.

“Hujah itu salah. Ini masa bagi kepimpinan kita,” katanya lagi.

“AS, UK dan sekutu-sekutu demokratik yang mencorakkan dunia di mana negara-negara baru boleh muncul dan individu boleh berkembang subur,” katanya lagi.

Tv Selangor/-