15 May 2011

Pakatan Rakyat Tidak Mengkayakan Pemimpin

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



TASEK GELUGOR, 15 Mei: Pakatan Rakyat (PR) bukannya parti untuk mengkayakan pemimpin sebaliknya memberi pembelaan dan kesejahteraan kepada rakyat.

"Apabila melihat Barisan Nasional (BN) tidak mampu untuk memberi keselesaan dan menjaga kebajikan majoriti rakyat, maka PR menawarkan diri untuk menjadi pengganti,” kata ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar ketika menyampaikan ceramah di pentas Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang di Pekan Darat, Teluk Air Tawar, malam tadi.

Ini, katanya ditambah dengan pelbagai keburukan, kejelekan, kejahatan dan ketidakwajaran BN untuk mentadbir dengan baik, maka kini sudah sampai masanya untuk rakyat memberi kepercayaan kepada PR untuk menggalas amanah itu.

Tambahnya lagi, sejak tiga tahun yang lalu, pentadbiran semua negeri-negeri yang diterajui kepimpinannya oleh PR telah terbukti mengatasi sistem dan dasar pemerintahan yang dibawa oleh BN selama lebih 53 tahun.

Justeru itu, katanya reformasi yang akan datang adalah sesuatu yang wajib dilaksanakan bagi menyahkan kepimpinan yang tidak menepati kehendak rakyat dan juga tuntutan agama Islam yang sebenar.

Menurutnya lagi, dengan demikian sama ada ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), semua pemimpin PR akan menjadi hamba untuk membela nasib rakyat.

Katanya, wakil rakyat dari Pakatan Rakyat (PR) bukan saja menjadikan rakyat sebagai tuan, tetapi memberi kelainan dalam sistem pemerintahan sekiranya berjaya untuk merealisasikan aspirasi untuk menerajui tampuk pemerintahan Pusat nanti.

Jijik, video Lucah 'Datuk T' Disebar Di Masjid

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



SHAH ALAM 14 MEI : Video lucah fitnah Datuk T yang dimuat naik di Youtube selain di pos kepada pemimpin politik tertentu dan diedar di kawasan perumahan, kini di sebarkan di masjid-masjid pula untuk mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pihak yang tidak dikenali meletakkan rakaman seks itu di Masjid Al-Hadiyah Telok Panglima Garang Kuala Langat pada Ahad lalu.
Nazir Masjid Al- Hidayah, Rahman Amir berkata video berkenaan dijumpai semasa jemaah masjid bersarapan selepas mendengar kuliah subuh di masjid itu.
"Nasib baiklah saya yang menemui dan tidak jemaah lain yang menjumpainya. Saya dengan tindakan sendiri sebagai seorang nazir tidak mahu bersubahat dengan perkara yang mana mungkin membolehkan terjadinya keadaan yang huru hara, kerana benda ini kita tonton kerap di TV. Tidak cukup di TV, disebar luas pula di masjid, tempat suci umat islam beribadah," kata beliau
Rahman kesal terhadap kesanggupan pihak yang tidak bertanggungjawab mencalar kesucian masjid dan agama untuk tujuan politik jahat dengan menyebarkan video itu.
Dewan Pemuda PAS Kuala Langat (DPPKL) turut mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai “tidak bertamadun”.
Ketua DPPKL, Hairul Nizam Tohar berkata pengedaran video lucah di masid bukan sahaja menghina kesucian agama Islam tetapi turut menyuburkan budaya fitnah di kalangan rakyat.
“Penyebaran VCD lucah ini dilihat sebagai agenda politik sempit dan kotor yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang cuba menangguk di air keruh. Tidak mustahil ada lagi VCD yang disebarkan di masjid lain,” kata beliau kepada TVSelangor.
Mengulas isu yang sama, ADUN Sijangkang, Ahmad Yunus Khairi menegaskan rakyat harus menolak fitnah seks tersebut berikutan Islam menggariskan hukum yang jelas sebelum menuduh seseorang itu melakukan zina.
"Islam meletakkan 4 orang saksi. Ini bukan main- main. Saksi mestilah cerdik, adil, muqallaf," katanya.
Beliau turut mempertikaikan tindakan ahli perniagaan Shazryl Eskay Abdullah yang membuat sumpah laknat dalam usahanya membabitkan Anwar dalam pertuduhan itu.
"Dalam Islam sumpah laknat di dalam zina hanya dibenarkan apabila suami menuduh isterinya berzina dan perkara tersebut berlaku di dalam mahkamah," jelasnya.
Tindakan Eskay membuat sumpah laknat sebelum ini dibidas oleh beberapa pihak termasuk mufti-mufti yang menegaskan hukum qazaf adalah cara terbaik untuk menangani isu- isu fitnah.
Video seks 21 minit itu ditayangkan oleh Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim.
Sebelum ini video seks fitnah dan risalah memalukan Anwar dikesan diedarkan secara meluas dari rumah ke rumah di daerah Klang.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Klang, Yew Boon Lye semalam membuat laporan polis berhubung pengedaran risalah dan cakera padat (CD) rakaman video seks itu ke rumah-rumah di Teluk Gadung Indah Klang.
Boon Lye mensyaki perbuatan itu didalangi oleh kumpulan pro Umno. Mereka mula mengedarkan risalah dan video itu dari rumah ke rumah sekitar jam 10.00 malam Sabtu lalu.
Menurut Boon Lye lagi, kegiatan mengedarkan bahan lucah itu juga turut aktif sewaktu Ceramah Perdana Anwar di Klang baru-baru ini dimana ia dilihat bertaburan di sekitar kawasan perumahan.TVS

Jawatan Ketua Kaum Sepatutnya dipilih oleh Masyarakat Setempat

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


Jawatan Ketua Kaum kini bukan kekal sepanjang hayat dan telah dihadkan tempoh selama empat tahun. “Tidak ada undian atau pilihanraya untuk melantik Ketua Kaum kerana sistem yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan lantikan mengikut persetujuan yang disahkan oleh Pegawai Daerah, Residen Bahagian dan Setiausaha Kerajaan Negeri,”.

PAS Miri ada menerima aduan dan juga cadangan agar jawatan Ketua Kaum sepatutnya dipilih secara demokratik bukan oleh pihak tertentu saja. Mereka sepatutnya dipilih oleh penduduk atau di kalangan anggota masyarakat setempat. Dengan cara ini Ketua kaum dapat diterima oleh semua penduduk setempat dengan hati terbuka seperti mana pemilihan wakil rakyat semasa pilihanraya.

Dengan pemilihan yang terbuka dan telus akan memberi kebaikan kepada penduduk di kawasan tersebut, Kekuatan kepimpinan yang ada pada mereka juga menjadi tunjang kepada permuafakatan di kalangan anggota masyarakat dan seterusnya mewujudkan suasana harmoni di kalangan penduduk berbilang kaum. Dengan cara ini Ketua Kaum akan lebih bersikap adil untuk semua tanpa mengira fahaman politik membandingkan yang ada sekarang dipilih berdasarkan fahaman politik parti memerintah.

Diharap perkara ini dapat perhatian dari pihak yang berwajib demi kebaikan untuk semua.

PAS Miri

Mahfoz : UMNO Laga-lagakan Isu Bangsa dan Agama

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PADANG RENGAS : UMNO menggunakan tipu muslihat yang melaga-lagakan antara bangsa dan isu agama namun masyarakat Melayu masih menolak BN,demikian penegasan oleh Naib Presiden PAS, YB Dato Mahfoz Omar semasa menyampaikan ceramah dalam Ijtimak PAS ganti umno disini hari ini.

Menurutnya kita mestilah melahirkan hasrat PAS ganti UMNO bukan hanya dengan ucapan semata-mata tetapi dizahirkan dalam segala tindakan dalam bentuk keperihatinan kita sehingga PAS berada dalam hati rakyat pada setiap masa dan keadaan.

"PAS ganti umno bukan sekadar ganti kuasa tetapi kelainan kepada kelainan gaya hidup dan akhlak, perangai dan cara. Oleh itu kita mesti bersedia untuk tunjukkan kelainan" katanya

Katanya PAS telah membuktikan keupayaan perintah kelantan 21 tahun dan pernah di Perak dengan kelainan politik jujur yang jauh berbeza dengan UMNO.

Baginya lagi bahawa PAS mempunyai peluang terbaik untuk pamirkan politik jujur kepada kehidupan masyarakat dan rakyat Malaysia.

"Atas prinsip itulah saya yakin PAS akan ganti UMNO"

Salahuddin: Selamatkan Malaysia dari Penyelewengan Besar BN dan Kroninya

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PADANG RENGAS : PAS Pusat menyampaikan ucapan tahniah kepada PAS Perak yang berjaya menganjurkan Ijtimak PAS Ganti umno , demikian ucapan Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Atub semasa merasmikan Ijtimak PAS Ganti UMNO peringkat zon utara PAS Perak yang diadakan Markaz PAS Cawangan Kg Chua disini pagi ini.

Beliau juga mengatakan bahawa kemenangan BN di Sarawak tidak menggembirakan BN kerana terbukti rakyat selain Melayu telah menolak BN.

"Satu persatu slogan yang di janjikan oleh BN mengambarkan kegagalan
BN membela rakyat" katanya

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengulas beberapa dasar kerajaan BN antaranya rumah pertama rakyat Malaysia dan beberapa "bill out" yang ternyata gagal.

"Bila kita bantah di parlimen dikatakan kita tidak cintakan negara, sedangkan bill out kepada MAS adalah untuk kroni yang disuap sekenyangnya" katanya.

Menurutnya kemampuan Air Asia yang tidak dibantu bill out oleh kerajaan dimana dapat memperlihatkan kemajuan yang memberangsangkan.

Beliau mendedahkan Bank Islam akan mengambil alih Bank Muamalat. " Sambil mempersoalkan kenapa Bank Islam diarah untuk mengambil alih Bank Muamalat yang bermasalah kerana ia akan mempengaruhi kemajuan Bank Islam yang memegang saham Tabung Haji selama ini"

"Kita mesti menyelamatkan Bank Islam dan Tabung Haji dari memikul "biawak hidup" atas arahan pemimpin tertentu demi kepentingan beberapa kerat kroni yang akan kaya raya dalam satu malam" tegasnya.

Beliau juga menyeru kepada semua yang hadir untuk melamatkan Malaysia dari penyelewengan besar BN dan kroninya.

Hormon babi, JAKIM perlu beri arahan ke Hospital

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Berhubung dengan respon dari Ketua Pengarah JAKIM berhubung penggunaan ubat yang mengandungi hormon babi untuk pesakit jantung adalah haram atas alasan ada alternatif ubat lain dari sumber halal, menunjukkan tiada pelarasan kerja antara JAKIM dan pihak Kementerian Kesihatan demi menjaga kepentingan umat Islam di negara yang sepatutnya menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Kenapa pesakit jantung dibebankan untuk membuat pemilihan antara yang halal dan haram disaat yang kritikal. Elok-elok pesakit jantung tadi nak baik, silap haribulan dia mati kerana keliru samada hendak menerima suntikan ubat yang ada unsur babi atau tidak.

Sepatutnya JAKIM mengeluarkan arahan kepada Kementerian Kesihatan untuk pesakit jantung beragama Islam, pihak hospital hanya menggunakan Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Jika JAKIM tiada kuasa untuk mengeluarkan arahan tersebut, kita ada Perdana Menteri yang beragama Islam yang lebih berkuasa daripada Menteri Kesihatan.

Sementara itu arahan juga hendaklah dikeluarkan ke semua hospital agar sentiasa mempastikan bahawa stok ubat Arixtra sentiasa ada dalam simpanan dan mencukupi untuk kegunaan pesakit beragama Islam.

Satu persoalan, ada tak ahli parlimen kita yang beragama Islam dari Umno, PKR, PAS dan Bebas membahaskan isu ini di parlimen atau pada mereke perkara ini remeh temeh?

Rozmal bin Malakan
http://waghih.blogspot.com 

Zailah : Malaysia Mesti diselamatkan

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PADANG RENGAS : Negara Malaysia mesti diselamatkan dari kerosakan yang sedang diciptakan oleh kerajaan BN, demikian penegasan Ahli Parlimen Rantau Panjang, YB. Siti Zailah semasa menyampaikan ceramah kepada peserta Ijtimak PAS Ganti UMNO yang diadakan disini hari ini.

"Mereka tidak pernah tanya halal haram mengenai kegiatan hasil judi, inilah sistem yang dijalankan oleh kerajaan BN" katanya

Menurut beliau pertunjukan fesyen yang melibatkan isteri PM menunjukkan mereka tidak sensetif kepada islam dan umat Islam.

"Seluruh muslimat dan petugas mesti  menggunakan kaedah mendekati rakyat untuk mendapat sokongan rakyat kepada PAS" tegasnya 

Siti Zailah menegaskan dasar BN yang sentiasa menaikkan harga barang jelas menindas rakyat .

Sejak PAS Bersama Pakatan Rakyat

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama Pakatan, barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak menyokong PAS juga. 

Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang dibawa melalui Biro Tatanegara. 

Berbagai alasan supaya PAS keluar daripada Pakatan, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan Umno.

Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa Melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri dari Umno. Selama ini pemimpin Umno, menganggap mereka sahaja boleh menjaga Melayu.

Sebenarnya yang rugi bila PAS bersama Pakatan ialah Umno. Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. 


Pemimpin Umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat mereka sudah tidak ada lagi.

Selangor ialah sebuah negeri ndustri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno menjadi korporat, Melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno.

Ulama muttaqin

Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulama yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Sama ada melalui ceramah, forum, kuliah dan wacana ilmu. 


Selama ini orang Melayu dijauhkan dengan ulama yang muttaqin. Ulama diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak akan lupa bagaimana Datuk Dr Harun Din, almarhum Datuk Ishak Baharom, bekas mufti kerajaan Selangor, diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak menyampaikan risalah agama.

Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat dengan ulama yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulama mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak beralih kepada ulama yang Umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan Umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500.

Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri Pakatan. Pemimpin Umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap.

Masuk kantong sendiri

Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri dikembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang Melayu senang , pemimpin Umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. 


Bagaimana rakan-rakan Pakatan yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno, walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun, tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam.

Keceluparan mulut (presiden MCA) Dr Chua Soi Lek adalah bukti gagalnya Umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris perasaan orang Melayu seperti memperlekeh Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram.

Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam. Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. 

Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat.

Merugikan Umno

Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno. 

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. 

Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno. 

Begitu juga kemampuan Datuk Seri Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion.

Apa yang mengejutkan, Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad "ICU". Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin rakyatnya akan dilelong.

Melayu untung apabila PAS bersama dengan Pakatan, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu.

Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela.

Ia berlainan daripada tindakan Umno. Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. 

Love Perak

Penthouse jadi makmal dadah

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



GEORGETOWN: Berselindung di sebalik pangsapuri mewah, satu rangkaian sindiket memproses dadah didapati menjadikan kediaman terbabit sebagai makmal memproses barang terlarang itu untuk dipasarkan sekitar Pulau Pinang dan negeri lain.

Bagaimanapun, kegiatan sindiket yang memproses dadah dipercayai bernilai jutaan ringgit itu akhirnya tumpas apabila satu serbuan serentak dilakukan sepasukan polis Narkotik Bukit Aman dan Pulau Pinang di enam makmal sekitar kawasan Georgetown, Air Hitam dan Gelugor, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 6 petang, polis menahan 13 ahli sindiket, termasuk empat wanita, selain menemui pelbagai alatan memproses dadah.

Menurut sumber, satu daripada pangsapuri itu adalah jenis ‘penthouse’ yang disewa khas sindiket terbabit dalam sebuah pusat beli-belah di Georgetown untuk dijadikan makmal selain cuba mengaburi mata ramai ketika menjalankan kerja jahat mereka.

“Malah, mereka menyewa dua lagi unit pangsapuri di lokasi sama sebagai tempat menyimpan stok dan untuk ahli sindiket berehat.

“Serbuan dilakukan hasil daripada risikan dan juga maklumat orang awam yang mencurigai kegiatan ahli sindiket terbabit,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai jenis dadah, antaranya syabu, ketamin dan heroin, selain sebilangan besar alat memproses dadah dan bahan mentah di enam makmal berkenaan.

Difahamkan, serbuan berkenaan yang terbesar dalam tahun ini dan membabitkan lebih 50 anggota serta pegawai dari Jabatan Narkotik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan melakukan beberapa lagi siri tangkapan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob mengesahkan serbuan berkenaan dan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

Budak 2 tahun telan pemutar skru

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
          


ALAMOSA (Colorado): Seorang kanak-kanak berjaya diselamatkan selepas dia menelan pemutar skru.

Shelia Martinez dihantar ke hospital selepas ibubapanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada kanak-kanak berusia dua tahun itu.

Ujian sinar-X yang dilakukan padanya menunjukkan satu pemutar skru sepanjang 8.89 sentimeter berada di dalam perutnya.

Pakar bedah mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan pemutar skru yang biasanya digunakan untuk mengetatkan bingkai cermin.

Keluarganya berkata, Shelia kini beransur pulih tetapi mendakwa tidak tahu dari mana dia memperoleh pemutar skru itu.

Pada 2008, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun nyaris mati selepas menelan 10 besi berani dan 20 guli besi. 

Agensi

11 Imam Korban Serangan Nato dikebumi

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



TRIPOLI: Penduduk Libya semalam mengebumikan 11 imam yang terbunuh dalam serangan Nato yang mensasarkan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.

Semua imam berkenaan terbunuh dalam serangan awal kelmarin di bandar Brega. 
Sekurang-kurangnya 50 orang lagi cedera dalam serangan udara itu dengan lima daripadanya parah, kata jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim. 

Nato dalam kenyataannya berkata, serangan terhadap Brega itu dilakukan kerana bangunan yang menjadi sasaran digunakan oleh rejim Gaddafi bagi menyelaraskan serangan terhadap orang awam.

Dalam pada itu, sekumpulan imam yang terselamat dalam serangan itu menggesa umat Islam seluruh dunia bertindak balas dengan membunuh 1,000 musuh Islam bagi setiap imam yang terbunuh dalam serangan berkenaan. 

AFP

Hilang selepas Mendengar Suara Pelik

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


TANAH MERAH – Seorang lelaki hilang di kawasan Hutan Simpan Sokor empat hari lalu selepas dipercayai berdepan masalah tekanan perasaan sejak tiga bulan lepas. 

Hanapi Deris, 41, yang masih bujang dikatakan sering menerima gangguan berupa suara tidak diketahui datang dari arah mana yang membuatkannya sering ketakutan dan sukar tidur malam. 

Dikatakan suara tersebut sering memanggilnya pada sebelah petang dan turut diselang-seli dengan suara seolah-olah mengugut mahu memukulnya. 

Difahamkan anak kelima daripada enam beradik ini seorang yang pendiam, serta rapat dengan ahli keluarga berubah menjadi takut terutama dengan orang tidak dikenali selepas menerima gangguan tersebut. 

Abang keduanya, Baharuddin Beris, 58, berkata, berikutan gangguan tersebut juga, Hanapi pernah tidak tidur malam sehingga seminggu sehingga rakannya membawanya ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan. 

“Selepas mendapatkan rawatan, dia pulih seperti biasa serta dapat bekerja tanpa sebarang gangguan dan diberikan surat untuk membuat rawatan lanjut. Bagaimana dia tidak berbuat demikian sehinggalah gangguan tersebut berulang,” katanya. 

Baharudin berkata, selain mendapatkan rawatan hospital, dia dan keluarga turut berubat secara tradisional bagi memulihkan Hanapi. 

Menurutnya, pada hari kejadian, 11 Mei kira-kira jam 2 petang, Hanapi meminjam motosikal kawannya dan memberitahu hendak ke rumah salah seorang abangnya yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya. 

“Tetapi dia mengubah haluan ke arah hutan simpan menyebabkan rakannya mengekorinya. Tetapi kelibatnya hilang sekelip mata, motosikalnya berjaya ditemui kira-kira dua kilometer daripada rumah, sementara dia tidak ditemui,” katanya. 

Baharudin berkata, selepas 24 jam usaha mencari Hanapi gagal, dia membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Tiga kira-kira jam 3.50 petang, 12 Mei lepas. 

Sehingga kini, penduduk kampung masih berusaha mencari mangsa termasuk dengan menggunakan khidmat bomoh. 

Rakannya, Mohd Nor Azam Hussin,29, berkata, sejak menerima gangguan, Hanapi sering menceritakan masalah tersebut kepadanya dan juga rakan-rakan yang lain. 

Menurutnya, Hanapi sebelum ini sering ke Hutan Simpan Sokor untuk berburu serta menangkap burung. 

“Dua tiga hari sebelum hilang dia ada menceritakan yang dia masih menerima gangguan. Selepas melihat dia mengubah haluan pada hari kejadian, saya terus mengekori kerana bimbang selepas dia menceritakan perkara menimpanya sebelum ini,” katanya.

AMK Selangor bersiap tawan 20 Dun BN

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 15 Mei: Barisan kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor dan cabang-cabang di negeri itu bersiap siaga menawan 20 kawasan Dun yang telah dikenal pasti.

Ketua Penerangannya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, ini berdasarkan strategi dan perkiraan kekuatan kelemahan bagi menawan 20 kawasan Dun yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pasca PRU-12 pada 2008 yang lalu.

Katanya, daripada 20 kawasan Dun itu, pihak jawatankuasa pilihan raya dan penerangan AMK Selangor telah mengenal pasti 17 kawasan Dun BN yang mempunyai peluang cerah untuk menangi oleh Pakatan Rakyat.

Menurutnya, jentera Angkatan Muda Keadilan cabang-cabang di Selangor pasca pemilihan 2010 telah memberi nafas baru AMK dengan mengangkat gandingan tokoh-tokoh muka baru dan lama.

“Selain daripada itu, latihan dan persediaan jentera AMK yang giat dijalankan memberikan keyakinan cerah kepada parti dan rakyat di dalam 20 Dun ini berhadapan dengan pilihanraya akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, selain daripada struktur dalam Angkatan Muda Keadilan yang semakin kukuh, isu-isu penyelewengan dan politik fitnah Umno membuatkan pengundi terutama pengundi melayu di luar bandar muak kepada BN dan simpati kepada pimpinan Pakatan Rakyat.

Lebih malang lagi, katanya salah urustadbir ekonomi dengan kenaikan harga barang dan minyak menekan kos sara hidup rakyat terbanyak yang secara senyap bangun menuntut perubahan.

Katanya, kumpulan sasaran yang paling terkesan kerana ketamakan Umno BN itu adalah sekitar 700,000 pengundi muda bawah 39 tahun.

Beliau menambah, pihaknya lebih yakin dapat menawan 20 kawasan Dun itu kerana prestasi buruk Datuk Seri Noh Omar dan kelembapan Pemuda Umno Selangor yang sehingga hari ini bertelagah dan berpecah sesama sendiri.

“Angkatan Muda Keadilan Selangor dengan ini, beriltizam dan bertekad merampas 20 Dun Barisan Nasional dan pertahankan 36 Dun yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam berhadapan PRU-13 yang semakin hampir dengan strategi menawan hati rakyat,” katanya.

Rakyat Boleh Jatuhkan Saya dengan izin Allah, Bukan Umno

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



SELAYANG, 15 Mei: Umno BN sudah hilang rasa hormat terhadap majlis-majlis agama kerana keghairahan mereka mengaibkan dan menjatuhkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini terbukti apabila Umno mengedarkan video cakera padat (VCD) seks yang dituduh kononnya pelakunya ialah Anwar di setiap program PKR termasuk di program ‘Munajat Rakyat Menolak Fitnah’ bersama ulama besar dunia, Dr Sheikh Wahbah az-Zuhaily dari Syria, di Stadium Selayang malam tadi.

Anwar dalam ceramahnya berkata, Umno BN sudah membuktikan bahawa mereka akan menggunakan apa sahaja cara untuk menjatuhkannya dan mengekalkan kuasa mereka termasuk 'merampas' semula Selangor.

"Di setiap program solat hajat, ceramah saya, Umno edar video lucah. Apa Umno tak ada kerja lain selain nak 'membogelkan saya'?" soalnya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin yang hadir.

Terdahulu, program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli dengan tazkirah maghrib bertajuk Qazaf dan Sumpah Laknat – ‘Antara Syariat dan Adat’ yang disampaikan oleh Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abd Ghani Shamsudin.

Program diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan solat hajat dipimpin Dr Sheikh Wahbah sendiri.

Dr Sheikh Wahbah dalam ceramahnya selepas itu berpesan kepada hadirin agar istiqamah dalam berdoa dan menetapkan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa hamba-Nya jika kita menurut permintaan-Nya dan beriman dengan penuh keikhlasan.

Anwar dalam ceramahnya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr Sheikh Wahbah yang sanggup datang dari Syria semata-mata untuk bersama-sama rakyat bermunajat menolak fitnah Umno BN.

Beliau berkata, dalam pada Umno BN bercakap soal moral dan akhlak pemimpin, mereka sendiri tidak menjaga adab dan akhlak sehingga sanggup mengaibkan orang lain.

"Pemimpin Umno nak cakap soal akhlak dengan kita? Apa hukumnya sebar video lucah kepada umum?

"Tidak cukup saya dipukul separuh mampus dalam penjara, dibogelkan, sekarang saya dikaitkan dengan video lucah pula.

"Saya nak tegaskan, yang boleh jatuhkan saya bukan Umno, bukan BN tapi dengan kuasa rakyat dengan izin Allah," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Kerja Umno edar VCD, tak selesai masalah rakyat

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang turut menyampaikan ceramah meluahkan kekecawaan terhadap penyebaran VCD itu.

"Satu perkara yang sangat menyakitkan hati saya, apabila malam ni masyarakat tak ada kerja lain, diedarkan pulak VCD yang kononnya melibatkan Anwar Ibrahim.

"Ini saya anggap satu kerja bodoh dalam negeri yang kaya," katanya.katanya sambil menunjukkan VCD yang dipegang kepada hadirin yang diedarkan di luar stadium.

Beliau berkata, Umno BN terlalu 'sibuk' menabur fitnah dan meracuni fikiran rakyat sehingga tidak ada masa memikirkan soal ekonomi dan pembangunan negeri itu.

"Petang tadi saya pergi ke Kuala Selangor ada projek terbengkalai yang mana 6,000 mereka yang membeli rumah sudah lebih 15 tahun tak dapat dan kontraktornya lari.

"Saya pergi dan selesaikan dengan pemaju dan pembeli. Ini lebih baik daripada edar VCD ini.

"Umno di Selangor tak boleh selesaikan masalah penduduk, yang boleh buat hanyalah edar VCD bongok ini," katanya disambut gelak tawa hadirin.

Deklarasi Anti-Fitnah turut dibacakan dengan dipimpin oleh Pengerusi Saf Anti Fitnah (SAF), Mohd Azmi Abd Hamid.

Deklarasi daripada 60 NGO tersebut menurut Azmi akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan pihak-pihak tertinggi yang lain.

Turut menyampaikan ceramah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

City Juara Piala FA, United Juara Liga

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



LONDON - Dua kelab berjiran, Manchester City dan Manchester United mencatat sejarah tersendiri apabila masing-masing menjulang satu piala, semalam.

Jika City mengakhiri kemarau 35 tahun dengan merangkul Piala FA, United pula muncul juara Liga Perdana England buat kali ke-19.

City yang dibimbing Roberto Mancini merealisasikan impian besar itu selepas menewaskan Stoke City 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley.

Gol tunggal dan kemenangan City dijaringkan Yaya Toure pada minit ke-74 selepas gagal menembusi kubu Stoke di babak pertama.

Gol berpunca daripada gerakan yang dimulakan Mario Balotelli itu sebelum menjelmakan laluan buat Yaya melakukan sepakan kencang kaki kiri menewaskan penjaga gol lawan, Thomas Sorensen.

Terdahulu Sorensen menjadi duri dalam daging buat jentera serangan City apabila kerap menyelamatkan percubaan bahaya menerusi aksi cemerlangnya.

Sementara itu, United mengesahkan kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-19 lebih awal selepas berjaya mengikat Blackburn Rovers 1-1 di Ewood Park semalam.

United hanya memerlukan satu mata sahaja daripada perlawanan itu untuk merampas semula gelaran tersebut daripada juara musim lepas, Chelsea.

Ternyata The Red Devils berjaya merealisasikannya apabila Wayne Rooney menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti 17 minit sebelum per mainan tamat selepas penjaga gol Blackburn, Paul Robinson menjatuhkan Javier Hernandez dalam kotak penalti.

Sebelum itu, pemain Australia, Brett Emerton meletakkan Blackburn lebih dulu di depan pada minit ke-20 sebelum jaringan penalti Rooney akhirnya berjaya menghilangkan resah The Red Devils pada babak kedua.

Kejayaan ini menyaksikan United berjaya mengatasi rekod kejuaraan terbanyak yang sebelum ini dipegang bersama dengan musuh ketat, Liverpool yang menjulang 18 kali gelaran setakat ini.

Karnival Dan Ijtimak Perdana PAS ganti UMNO Perak

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
PADANG RENGAS, 15 Mei :- Ijtmak PAS ganti UMNO berlangsung dengan jayanya di perkarangan markas pas cawangan kg Chua di sini pagi ini. Ijtimak tersebut yang diadakan untuk PAS Perak bagi zon utara Perak.


Menurut Pengarah Program, Ust Misbahul Munir Hj Masduki yg juga Setiausaha PAS Perak dalam ucapan alu-aluan menyatakan program dua hari yang bermula pada 14 Mei menyasarkan sebanyak kehadiran 5000 orang petugas PAS Perak bagi zon utara Perak.

Program akan disempurnakan perasmiannnya oleh Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub.

Hadir sama untuk mengisi ucapan pada hari ini ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Idris Hj Ahmad, AJK PAS Pusat  Hj. Mohd Sabu, Timbalam Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, YB Siti Zailah, Sdr. Hu Phang Chao dan Sdr. Bob Lokman.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Perak, Ust Abu Bakar Hussain,Timbalannya, YB DS Muhammad Nizar Jamaluddin, ADUN-ADUN PAS Perak, Ahli-ahli Perhubungan PAS Perak, YDP-YDP PAS Kawasan Zon Utara dan seluruh pimpinan dan petugas PAS Zon Utara Perak.

Dulu Bapa, Kini Anak Mati ditembak

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


SEPANG - Seorang penjenayah berusia 20-an yang dipercayai terlibat dengan geng samun kenderaan mewah mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis berhampiran sebuah hotel bajet di Cyber Valley, Dengkil di sini malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 10.15 malam selepas sepasukan polis dari cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor melakukan intipan di hotel tersebut sejak pukul 5.30 petang.

ANGGOTA polis mengangkat mayat suspek yang mati ditembak di sebuah hotel bajet 
di Cyber Valley, Dengkil


Hasil intipan tersebut, polis mendapati sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih yang dipercayai dicuri oleh suspek bersama rakan-rakannya diletakkan di belakang hotel tersebut.

Dua tahun lalu bapa suspek juga mati selepas ditembak polis kerana disyaki terlibat dalam kes culik dan jenayah kekerasan di beberapa kawasan di Selangor.

PR Perak kecam pengedaran video lucah di Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-3 Pakatan Rakyat Negeri Perak

12 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Oleh : Hafizi Pauzi






IPOH, 15 Mei :- Terdapat pihak yang tidak bertanggung jawab dengan mengedarkan salinan video lucah fitnah yang masih berada dalam siasatan polis di Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-3 Pakatan Rakyat Negeri Perak di Dewan Sek. Men. Bantuan Kerajaan Yu Choy di Jelapang malam tadi disini. Demikian penjelasan dari ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau juga telah mengesahkan menerima laporan dari Yang DiPertua PAS Kawasan Batu Gajah, Hj. Ismail(Gambar,berbaju hitam) yang telah mengesahkan kepada saya setelah mendapati sekeping VCD video lucah yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang diletakkan dicermin keretanya. Kejadian berlaku ketika beliau baru pulang dari program tersebut

Khalil juga mengesahkan video lucah itu telah di selitkan di cermin hadapan kereta yang datang ke program Pakatan Rakyat Perak itu malam tadi. VCD lucah tersebut telah diedarkan di sekitar tempat program tersebut terutamanya pada kenderaan yang diletakkan dibahagian luar pagar tempat program berlangsung. Penyebaran VCD lucah tersebut tanpa disedari oleh mana-mana pihak.

"Saya juga mendapat pengesahan dari pengendali blog Batu Gajah Mari yang mengirimkan dua keping gambar diatas dan disiarkan dalam blognya pada awal pagi ini mengenai kejadian tersebut".

Jamuan makan malam yang kali pertama diadakan oleh Pakatan Rakyat Perak pada malam tadi itu telah menarik lebih 1000 orang dari pelbagai bangsa yang datang dengan membeli kupon bagi tuan kutipan Dana Pakatan Rakyat yang turut dilancarkan dalam Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-3 Pakatan Rakyat Negeri Perak .

Hadir sama dalam Program tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng dan Wakil MB Selangor, Yb. Rodziah Ismail, Pengerusi PR Perak, Dato Seri Muhammad Nizar jamaluddin, Seluruh Pimpinan PR Perak dari PAS, DAP dan PKR serta ahli Parlimen dan ADUN PR Perak.

Khalil Idham Lim yang juga Ketua Penenrangan PAS Perak mengecam tindakan tidak bermoral dan bertamadun dengan pengedaran video lucah itu.

"Kejadian ini sangat memalukan dalam keadaan rakyat menolak politik porno dan lucah masih ada rakyat sendiri yang sanggup melakukan kerja kortor ini" katanya

Beliau menyifatkan perkara itu juga sekaligus menghina Tan Seri Mufti Kerajaan Perak yang mengeluarkan kenyataan bahawa penyebaran Video Lucah yang berunsur fitnah itu adalah bercanggah dengan Islam

"Oleh itu Pihak Pakatan Rakyat akan membuat laporan polis pada hari ini atas penyebaran VCD lucah tersebut" katanya

"Saya berharap pihak polis akan membuat siasatan yang terperinci atas kejadian yang menyalahi undang-undang itu bagi memastikan kejadian yang sama tidak akan berulang lagi"Katanya.

Kahlil Idham Lim juga mengigatkan kepada semua petugas Pakatan Rakyat di seluruh negara berhati-hati dalam setiap program yang dianjurkan kerana dikhuatiri penyebaran video sampah tersebut dirancang untuk seluruh negara oleh pihak terbabit.