01 May 2011

Tinggalkan Umno, Sertai PAS

27 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 1 Mei: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru ahli-ahli dan pemimpin Umno supaya meninggalkan parti itu dan bersama PAS jika benar-benar hendak melaksanakan Islam dan menegakkan keadilan untuk semua bangsa di negara ini. 

“Jika benar Umno hendak laksanakan Islam dan bertindak dengan penuh keadilan, kuasa sudah ada di tangan mereka hari ini, mengapa mereka tidak laksanakan?” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Presiden PAS itu memberi respons terhadap kesekelian kalinya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan tanpa segan silu mengulangi lagi seruannya supaya PAS bekerjasama dengan Umno BN dan meninggalkan kerjasama PAS menerusi Pakatan Rakyat (PR).

Najib berkata, pemimpin PAS perlu menerima kenyataan bahawa mereka mesti keluar daripada pakatan pembangkang jika benar-benar berjuang untuk kepentingan agama Islam.

Menurutnya, PAS tidak akan memperoleh apa yang dicita-citakan selama ini dan kerjasama dengan parti pembangkang lain hanya memberi keuntungan kepada DAP.

''Tak kisahlah sama ada PAS mahu bersendirian atau bergabung dengan Umno, yang penting mereka tidak boleh bergabung dengan DAP kerana usaha PAS dalam memperjuangkan Islam akan terhalang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat di Pulau Duyung, Kuala Terengganu semalam.

Bagi PAS, tegas Tuan Guru Abdul Hadi seruan Najib itu adalah janggal dan aneh, kerana PAS sekali-kali tidak akan bekerjasama dengan Umno BN dalam melakukan kezaliman dan meruntuhkan keadilan kepada rakyat yang telah menjadi bencana dalam negara kita yang tercinta ini.

Katanya, kerjasama atau penyatuan seharusnya dibina dengan bercirikan asas bertolong-tolong dalam melakukan kebajikan dan keadilan, dan bukan bertolong-tolong dalam melakukan maksiat, kezaliman dan memusnahkan harta negara.

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama PR adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman,” tegasnya yang juga ahli Parlimen Marang.

Jelasnya lagi, kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama tahaluf siyasi yang dibenarkan agama dan tidak menggadaikan prinsip.

Ia, katanya tidak sama dengan kerjasama wala antara Umno dengan MCA dan MIC yang menggadaikan prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara kita ini sejak puluhan tahun.

“Kita ingin bertanya, siapakah yang sebenarnya menggunakan kuasa tanpa hak dengan menyekat royalti minyak milik rakyat Terengganu dan Kelantan, yang lebih dari 90% adalah orang Melayu-Islam?

“Siapakah pula yang mendiskriminasikan penyokong pembangkang di kalangan orang Melayu sehingga peluang berniaga, pendidikan, pengagihan ekonomi hanya tertumpu di kalangan Umnoputra?

“Siapakah yang menyekat Kelantan dan Terengganu melaksanakan syariat Islam sebelum ini?” soalnya.

Jawapannya, kata beliau adalah kerajaan pimpinan Umno BN itulah yang sebenarnya melemahkan orang Melayu itu sendiri.

H/daily

Selamat Hari Pekerja.

27 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Sempena dengan Hari pekerja yang disambut pada hari ini 1 Mei maka saya dan seluruh warga kerja blog Cina Islam mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua rakyat Malaysia yang berkerja di sektor awam dan swasta. Termasuklah kepada seluruh warga asing yang berkerja di pelbagai sektor dan industri di Malaysia.

Harapan saya semuga hari pekerja pada tahun ini membawa arti yang lebih besar bila segala tuntutan dan usaha badan dan agensi yang berkaitan berhasil memberi pembelaan yang lebih besar kepada warga pekerja di seluruh pelusuk negara.

Saya juga mengharapkan hari cuti yang panjang pada minggu ini yg berlanjutan sehingga pada hari esok 2 mei bagi negeri yang cutinya Ahad, agar memanfaatkan cuti ini untuk kerja-kerja yang berfaedah dan tidak bercanggah dengan Islam.

Bagi warga kerja yang menggunakan hari cuti ini untuk bersama, saya harapkan ianya dapat mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan seluruh rakyat Malaysia.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong.

Kenapa Kerajaan Enggan Laksana Qazaf

27 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KEPALA BATAS, 1 Mei: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain mempersoalkan keengganan kerajaan untuk melaksanakan hukum qazaf dalam isu yang membabitkan video lucah.

"Apabila kerajaan sering memomokkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam, kenapa hukuman seperti qazaf yang memerlukan empat orang saksi yang tidak fasik dan adil itu enggan dilaksanakan, sedangkan kerajaan mempunyai ramai ilmuan dan pakar dalam bidang tersebut.

"Sebagai peringatan, jangan kita dilaknat oleh Allah apabila berkemampuan untuk melaksanakan hukum tersebut, tetapi enggan melaksanakannya kerana kepentingan tertentu," tambahnya lagi.

Mengenai tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang memperjudikan sumpah laknat, katanya membuktikan dia adalah seorang yang tidak memahami agama Islam yang sebenar.

Menurut beliau lagi, ianya telah juga menjelaskan secara ketara kehidupan yang penuh kepura-puraan kerana sumpah dijadikan mainan munafik seperti mana yang dijelaskan dalam surah Al-Munafiqun.

"Sepatutnya sebagai seorang yang telah berusia Eskay sepatutnya bertaubat nasuha dan tidak merendahkan maruah sendiri seperti pengakuan yang dibuat.

"Malah sekiranya nasihat seorang imam dari masjid terbabit juga tidak dipedulikan, ini seolah-olah dia orang yang lebih tinggi martabatnya jika dibandingkan dengan imam tersebut," ujarnya lagi.

H/daily

Kalou Selamatkan Chelsea

27 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



LONDON: Penyerang Salomon Kalou memastikan Chelsea memungut tiga mata penuh apabila menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Stamford Bridge, sebentar tadi.

Spurs bagaimanapun mendahului pada minit ke-19 menerus Sandro Raneirei sebelum Frank Lampard menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi gol konytroversi.

Ketika Spurs hampir meraikan kejayaan mengikat kedudukan 1-1, Kalou menguis masuk pada minit ke-87 untuk memastikan Chelsea terus memburu kejuaraan liga di belakang pendahulu, Manchester United.

Serangan Bom di Mosul: 8 Maut, 19 Cedera

27 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



MOSUL 1 Mei – Seramai lapan orang terbunuh dan 19 lagi cedera dalam satu serangan berani mati di tempat pemeriksaan tentera di bandar Mosul, Iraq semalam.

Polis wilayah Nineveh, Leftenan Kolonel Mahmoud al-Jibouri berkata, mangsa yang terbunuh adalah lima anggota tentera dan tiga penduduk awam, sementara dua lagi anggota tentera turut cedera.

Sumber hospital turut mengesahkan angka itu dan memberitahu serangan berlaku di sebuah pasar popular di timur Mosul, kira-kira 390 kilometer ke utara Baghdad. 

REUTERS

Pastor bakar al-Quran muncul lagi, ‘disambut’ kasut dan botol

27 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


Polis Dearborn cuba menenangkan penunjuk perasaan membantah kemunculan Pastor Terry Jones di pekarangan Dewan Bandaraya Dearborn, Dearborn, Michigan semalam. — Foto Reuters

DEARBORN (Michigan)— Pastor kontroversial dari Florida yang minggu lalu dilarang daripada mengadakan protes di masjid terbesar Amerika Syarikat, yang terletak Dearborn, terpaksa memendekkan demonstrasi ekoran perhimpunan balas diadakan kumpulan yang menentangnya.

Pastor Terry Jones, 59, bertekad untuk kembali minggu ini walaupun perintah mahkamah melarangnya mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Islam Amerika di sini.

Dia mendakwa perintah itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Amerika Syarikat.

“Kami berada di sini untuk bercakap mengenai isu-isu berkaitan dengan rakyat Amerika,” kata Jones, yang bercakap menggunakan mikrofon tanpa wayar di podium yang didirikan di atas tangga dewan bandar raya.

Bulan lalu dia membakar al-Quran di Florida, menyebabkan kemarahan di banyak negara. Zon sekatan juga didirikan di sepanjang jalan empat lorong di Michigan Avenue.

Seramai 75 pengikut Jones, dilihat kecil telah diatasi oleh kumpulan penentangnya yang lima kali lebih besar.

Datuk Bandar Dearborn John O’Reilly Jr kemudian memberitahu pemberita bahawa perhimpunan itu dihentikan atas sebab-sebab keselamatan.

“Mereka meminta dia tidak melangkah ke arah sekatan dan dia patuh arahan itu,” kata O’Reilly.

“Tugas kami ialah melindungi komuniti kami dan itu yang kami lakukan,” katanya lagi.

Jones merancang untuk mengadakan demonstrasi selama tiga jam tetapi berakhir dalam 75 minit, dan dia diiringi oleh polis ke arah kereta yang sedang menanti.

Masyarakat Islam dan Kristian, tidak kira muda atau tua berbaris memperlihatkan sokongan membantah Jones, yang menurut mereka dia membwa mesej membenci.

“Kami tidak mengecam anda. Kami berada di sini bukan untuk protes anda. Kami berada di sini untuk menjemput anda kepada Islam,” kata penduduk Dearborn Monzer Jaber.

“Setiap orang berhak kepada kebebasan berucap tetapi saya tidak menganggap yang itu sebagai kebebasan berucap,” kata Matty O’Dea yang dipetik Fox Detriot.

“Saya fikir adalah sangat penting kita biar orang lain mengetahui bahawa Dearborn adalah satu komuniti yang bersatu.

“Kami mengambil berat dan menghormati satu sama lain,” kata seorang lagi penduduk Dearborn Roxanne McDonald.

Awalnya protes bermula dengan tenang dan aman.

Jones berada di podium sambil bercakap menyentuh Islam radikal manakala kumpulan yang antibeliau pula melemparkan kata-kata yang mencabarnya.

“Ini Amerika dan sangat cantik, malah walaupun ia kontroversial, tapi dalam hal ini mereka boleh menyuarakan pandangan mereka. Ramai yang tidak boleh melakukan begitu di banyak negara,” katanya.

Bagaimanapun Jones dengan menarik mikrofon terus berjalan ke arah penunjuk perasaan yang mengecamnya.

Polis Dearborn tidak dapat mengawal keadaan apabila berpuluh-puluh orang melepasi sekatan lalu menjerit dan membaling botol dan kasut ke arah Jones dan pengikutnya.

Malaysiainsider/-