20 April 2011

SPR harus di'BERSIH'kan

Jamadilawal 1432H. [MOD] -



Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang baru berlangsung minggu lepas memperlihatkan kepada kita betapa sistem demokrasi di Malaysia, masih ditahap yang mencurigakan.

Pertikaian terus kedengaran terhadap ketelusan dan kesahihan pengendalian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

SPR memperlihatkan ianya tidak bebas dan masih lagi dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Barisan Nasional. Antara yang masih menjadi pertikaian ialah mengenai kebersihan senarai daftar pemilih, sistem undi Pos, had kempen parti-parti politik, penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan BN, rasuah kepada pengundi dan banyak lagi.

Pertikaian ini tidak akan berbangkit sama sekali jika pilihan raya dijalankan secara adil.

Sejak Dun dibubarkan, SPR berura-ura untuk mengehadkan tempoh berkempen hanya selama tujuh hari. Namun selepas dibantah dipanjangkan sedikit kempen untuk tempoh 10 hari.

Percubaan menghadkan tempoh kempen atau memendekkan tempoh kempen ini sebenarnya, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada parti yang memerintah.

Kedua, pada hari penamaan calon di Muara Tuang, calon BN yang juga adik kepada Ketua Menteri Sarawak, dengan jelas melakukan kesalahan pilihan raya iaitu tidak mengemukakan borang laporan kewangannya pada pilihan raya 2006.

Sepatutnya PAS menang percuma kerusi tersebut. SPR menunjukkan dengan jelas ia memihak kepada BN dengan mempergunakan kuasanya melengah-lengahkan pengumuman calon sehingga lebih satu jam dari tempoh masa yang ditetapkan.

Kelambatan pengumuman calon diambil kesempatan oleh pihak yang berpihak kepada BN untuk menyiapkan segera penyata kewangan tersebut. 

Sepanjang kempen pilihan raya, media massa dipergunakan sepenuhnya, secara berleluasa untuk menabur fitnah kepada Pakatan Rakyat, sedangkan ruang Pakatan Rakyat, hanya dipentas ceramah disusahkan.

Pemimpin tertinggi negara dibenarkan merasuah rakyat secara terbuka, rasuah pembinaan hospital, peruntukan masjid, pembinaan jambatan segera, bantuan untuk sekolah dan lebih ketara lagi didedahkan rasuah pembelian kertas undi secara terbuka.

Malah di hari kempen, wujud dakwaan secara terbuka pihak-pihak yang memakai tag nama SPR secara jelas dilihat mengajar pengundi, khususnya golongan tua untuk memangkah simbol dacing.

Di samping itu wujud pertikaian berkenaan borang 14 yang dikatakan enggan ditangani oleh pegawai SPR yang bertugas.

Keseluruhannya, kita mendapati sistem pilihan raya di negara kita masih meragukan. Banyak terdapat ruang-ruang yang perlu diperbaiki bagi menjamin ketelusan dan keadilan.

Pakatan Rakyat menghadapi kesukaran kerana segala peruntukan perundangan yang ada dikuasa SPR boleh dipergunakan oleh BN kerana mereka tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri.

Pakatan Rakyat tidak mampu mengubah kebobrokan ini sendirian. Hanya ada dua cara untuk mengatasi masalah ini. Pertama, perjalanan pilihan raya mesti dipantau masyrakat antarabangsa, iaitu melalui badan bebas yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kedua, dengan sokongan rakyat. Rakyat harus bangkit untuk menegur SPR. Hanya Perhimpunan BERSIH 2.0 sahaja yang mampu mengubah keadaan ini.

Pakatan Rakyat harus bertindak sebelum terlambat.

H/daily

Kadir Hasim dibebas Selepas 20 Hari ditahan ISA

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 20 April: Mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Kadir Hashim  yang ditahan sejak pada 1 April lalu dibebaskan hari ini.

Menurut abang mangsa, Muda Hashim, 46,  adiknya itu, yang juga merupakan orang Kelainan Upaya (OKU), dibebaskan lebih kurang jam 3 petang tadi.

“Polis menghantar adik saya dengan kereta yang diringi tiga anggota polis yang saya agak dari Balai Polis Bukit Aman.

“Walaupun terkejut dengan kehadiran polis sebentar tadi, namun saya gembira dengan pembebasan Kadir sekaligus menghilangkan rindu ibu terhadapnya,”  kata Muda kepada KeadilanDaily.

Ditanya mengenai keadaan Kadir selepas selamat sampai  ke rumah, Muda memberitahu adiknya mungkin trauma kerana masih membisu tanpa menceritakan kejadian penangkapnnya lebih kurang 20 hari.

“Jika dilihat dari segi fizikal dia sihat, tetapi tidak bercakap apa-apa selepas dihantar ke rumah tadi. Saya juga mahu dia berehat seminggu dua dahulu sebelum bertanyakan mengenainya semasa ditahan polis,” katanya.

Kata Muda, semasa bertanyakan dengan polis berkenaan penangkapan Kadir, mereka  memberi amaran supaya tidak menimbulkan masalah lagi.

“Saya tanya apa yang dibuat Kadir sehingga ditangkap akta ISA, tetapi mereka (polis) memberi amaran supaya tidak menimbulkan masalah.

“Kadir dibebaskan tanpa apa-apa syarat dan mereka turut menyerahkan beberapa barang yang diambil semasa menahan Kadir tempoh hari,” ujarnya.

Kadir, 42, seorang peniaga tomyam yang juga ahli KEADILAN Cabang Lembah Pantai ditangkap polis 1 April lalu mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan terlibat dalam kegiatan subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit.

H/daily

Tidak Patut Wajibkan Rakyat Guna Emel 1Malaysia

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



Inisiatif Emel 1Malaysia baru sahaja diumumkan, yang mana di bawah inisiatif ini, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan diberikan satu akaun emel rasmi.

Saya ingin mencadangkan supaya rakyat Malaysia diberikan pilihan sama ada ingin menggunakan perkhidmatan ini ataupun tidak.

Dalam erti kata lain, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas tidak seharusnya diwajibkan menggunakan emel ini bagi sebarang urusan, termasuklah berhubung dengan kerajaan. Kebebasan perlu diberikan kepada rakyat supaya mereka dapat membuat pilihan.

Dengan demikian, Emel 1Malaysia nanti akan menjadi salah satu opsyen yang boleh dipilih oleh rakyat Malaysia bagi berkomunikasi dan bukannya menjadi perkara yang diwajibkan ke atas mereka.

Pada masa yang sama, bagus juga jika satu lagi inisiatif dijalankan secara serentak dengan pewujudan emel 1Malaysia ini. Inisiatif yang saya maksudkan adalah pendaftaran pengundi secara automatik.

Jangan Anggap PRU Ke-13 Lama Lagi

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



Ada beberapa hal penting yang perlu difikirkan oleh PAS selepas meneliti keputusan pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu. Bukan semata-mata kerana kekalahan semua calonnya di sana, tetapi lebih kepada memikirkan bagaimana PAS membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Yang penting difikirkan ialah:

1. Mempelajari sungguh-sungguh keputusan pilihan raya Sarawak itu dan siri kekalahannya dalam pilihan raya kecil yang lain sebelum ini. Apakah aktibar yang dapat diambil dari kekalahan berterusan itu?

2. Bagaimana dengan keupayaan penerangan PAS untuk menghadapi PRU Ke13 nanti. Ini kerana penerangan ialah urat nadi untuk mencapai kemenangan.

3. Bagaimana strategi PAS selepas ini - dengan mempelajari senario pilihan raya di Sarawak minggu lalu – di mana PAS bertanding tanpa strategi dan terlambat pula datang ke negeri tersebut untuk membuat persiapan.

Tentu saja kita telah mendengar dan membaca pelbagai ulasan mengenai keputusan pilihan raya tersebut dan mengetahui sebab-sebab PAS kalah di sana. Bahkah PAS juga sudah mengetahui benar faktor kekalahannya dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Oleh itu PAS wajar secara sungguh-sungguh dan terbuka  memikirkan mengenai kekalahan tersebut, justeru kalah menang adalah gerak nafas PAS untuk masa depan. Oleh itu ia hendaklah berusaha sungguh-sungguh memperbaiki kelemahannya?

Dalam pengalaman di Sarawak, PAS - khususnya pemimpin – lambat datang untuk mengatur kempen dan segalanya. Sementara PAS bertanding pula tanpa strategi, bekerja secara ad-hoc dan tidak terancang, sedangkan DAP jauh lebih lama membuat persediaan dan strategi, demikian juga PKR.

Memikirkan semuanya ini bagaimana kiranya tanpa strategi dan persiapan secukupnya kita dengan tiba-tiba dihadapkan dengan PRU Ke-13. Jika ini berlaku sudah tentu PAS menghadapi masalah yang sangat besar.

Dalam hal ini PAS mestilah dilihat sentiasa berpadu erat dalam Pakatan Rakyat justru gabungan ini sedang dilihat oleh rakyat sama ada mampu atau tidak mampu menjadi alternatif kepada BN di masa depan.

Kempen PAS yang nyaring ‘PAS ganti Umno’ mestilah diisi maknanya sebagai gagasan yang mampu direalisasikan. Dalam ini PAS mestilah berwatak nasional, melampaui batas kaum dan dilihat sentiasa peka dengan masalah rakyat. Ia mestilah menjadi badan politik moden, yang melaksanakan kepentingan masyarakat tetapi dalam masa yang sama juga bergerak di bidang dakwah.

Janganlah ada sebarang tanggapan, yang bersifat ‘memujuk hati’, bahawa jika PAS kalahpun, namun kita menang dalam berdakwah iaitu berjaya menyampaikan risalah Islam. PAS perlukan kemenangan kedua-duanya sekali, iaitu menang dalam pilihan raya dan berjaya dalam dakwah. Ini penting.

Kemenangan politik boleh menghantar PAS kepada kuasa dan dengan kuasa akan membuka peluang PAS seluas-luasnya untuk berdakwah dan menjalankan tuntutan Islam tanpa sebarang gangguan. Ini sewajarnya difahami benar-benar oleh pendukung PAS akan maksud politik dakwah, iaitu mengaplikasikan tuntutan syarak bersama tuntutan masyarakat. Semuanya ini seiring dengan kehendak demokrasi dan tidak bercanggah dengan Islam.

Inilah keperluan yang dinamakan siasah syariah dan dengan pemahaman inilah sewajarnya kita berada dalam Pakatan Rakyat.

Dalam suasana dan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia, tidak memungkinkan PAS bersendirian menghadapi pilihan raya. Maknanya dengan kekuatan tiga parti dalam Pakatan Rakyat inilah kita mampu menghadapi Barisan Nasional dan jika berjaya boleh memerintah. 

Kemengan DAP dan PKR mestilah dirasakan oleh PAS sebagai kemenangan bersama, demikian juga kemenangan PAS dirasakan kemenangan bersama oleh PKR dan DAP.

 Kemenangan DAP dan PKR di Sarawak  minggu lalu mestilah juga dirasakan seabagi kemenangan bersama Pakatan Rakyat. Semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat ini mestilah diperlihat dan direalisasikan dalam semua gerak kerja Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU Ke13 nanti.

Sementara itu media baru, malah yang terbaru – twitter dan facebook akan mengambil peranan center stage – peranan utama – dalam PRU Ke-13 akan datang. Dulu melalui internet, kita hanya menerima maklumat melalui blog dan wabe-site selain sms, tetapi kini dunia maklumat ditambah lagi dengan laman sosial yang baru  twitter dan facebook, meninggalkan jauh maklumat dari media cetak dan tv.

Ini semua akan tambah rancak dalam menyambut kedatangan PRU Ke-13 nanti. Pengalaman dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru membuktikan pengaruh twitter dan facebook, yang sangat kuat dalam mengalirkan maklumat segera dan terus menerus kepada pengundi di kawasan yang ada akses internet. Malah maklumat ini berkembang dalam masyarakat.

Justeru, PAS mestilah memikirkan persoalan ini dan bagaimana memanfaatkan secara maksima lama sosial yang baru ini. Semuanya ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh PAS untuk menghadapi PRU ke-13.

Sekali lagi ditegaskan, PAS mestilah membuat persiapan dari sekarang walaupun ada pihak yang mengatakan BN tidak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum segera berdasarkan keputusan di Sarawak itu di mana undi popular BN merosot lapan peratus.

Sudah pastilah bahawa BN sedang merancang dan akan melakukan pelbagai cara untuk menang dalam PRU ke-13 nanti, di mana ahli-ahli Pakatan Rakyat sangat mengetahui hal ini. Dari itu jangan ada sebarang kelalaian dan jangan juga merasa ‘sedap hati’ kerana kononnya PRU Ke-13 lambat lagi maka bolehlah membuat persiapan secara perlahan.

Untuk menghadapi PRU Ke-13 ini, PAS mestilah dilihat berada di dalam keadaan yang kuat dan terkini dalam Pakatan Rakyat, bersedia menangkis tuduhan berterusan dari komponan BN kononnya PAS menjadi alat DAP dan begitu sebaliknya.

Isu perkauman pula tentunya akan berlanjutan dimainkan menjelang PRU Ke-13. Justeru PAS yang sudah dapat diterima oleh pelbagai kaum dan agama sewajarnya mengambil peranan penting menyerlahkan sebagai parti Islam yang sederhana, sangat seimbang, memancarkan keadilan, kesaksamaan dalam jalur demokrasi di mana dalam semua keadaan ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang menjadi dasarnya. 

H/daily

Terlepas Hukuman Gantung

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



KOTA BHARU 20 April - Disebabkan keterangan berbeza yang diberikan seorang saksi pendakwaan, dua sahabat dibebaskan daripada hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah membuat keputusan membebaskan Fakhrul Zaman Ahmad, 32, dan Zainudin Mat Deris, 35, selepas mendapati wujud perbezaan keterangan pada laporan polis dibuat oleh saksi yang juga seorang anggota polis, dengan keterangannya di dalam mahkamah.

Kedua-dua tertuduh dituduh secara bersama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 49.89 gram di sebuah stesen minyak di Pasir Mas sekitar pukul 11.40 malam pada 4 September 2007.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati.

Pengguna Facebook Bantah Projek Emel 1Malaysia

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -




KUALA LUMPUR, 20 April: Belum pun sampai 24 jam Perdana Menteri melancarkan projek e-mel 1Malaysia, sudah muncul satu laman di Facebook menyeru rakyat menolak projek 'pembaziran' tersebut.

Didaftar atas nama '1M Malaysians who don't want Najib's 1 Malaysia email', sehingga berita ini ditulis ianya telah mempunyai 21,913 pengguna Facebook yang meminatinya.

Menurut maklumat tertera, laman tersebut dibuat bagi membantah projek emel 1Malaysia yang didakwa hanya akan membazirkan RM50 juta wang rakyat selaku pembayat cukai.

Dalam posting awalnya, pengendali laman ini meletakkan beberapa pilihan jawapan berhubung tujuan projek ini diwujudkan untuk diundi oleh rakan-rakan mereka.

Majoriti peminat laman ini bersetuju bahawa projek emel 1Malaysia adalah projek untuk membantu kroni.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek untuk menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas.

Dengan nilai kontrak bernilai RM50 juta, projek itu dianugerahkan kepada Syarikat Tricubes Bhd.

Bagaimanapun, syarikat tersbut dikatan sebuah syarikat bermasalah.

Bukan sahaja namanya tidak berapa dikenali, ianya juga merupakan antara 12 buah syarikat yang disenaraikan Bursa Malaysia sebagai syarikat GN3 kerana keadaan kewangannya dalam keadaan "lemah" atau "buruk."

Menurut garis panduan yang ditetapkan Bursa Malaysia, pengkelasan status GN3 itu akan membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan bantuan daripada satu jawatankuasa untuk menstruktur semula hutangnya.

Penyenaraian Tricubes di Bursa Saham mungkin ditarik balik sekiranya syarikat itu gagal meyakinkan bursa berhubung pelan untuk melunaskan kesemua hutangnya.

Kontrak bernilai RM50 juta itu dijangka sudah pasti akan memberi nafas baru kepada Tricubes.

Ben Ali Pengintip Israel

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



UNIS - Pengawal peribadi bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali mendedahkan pemimpin kuku besi itu menjadi pengintip bagi agensi perisikan Israel, Mossad semasa pemerintahan beliau. 

Abdurrahman Sobair mendakwa Ben Ali, isterinya Leila Trabelsi, menantunya serta beberapa pegawai kanan kerajaan Tunisia mengintip bagi pihak rejim Zionis. 

Leila didakwa mengarahkan pembunuhan seorang ahli perniagaan Tunisia yang juga sahabat baik Ben Ali pada 1991. 

"Isteri Ben Ali itu juga terlibat dalam pembunuhan beberapa pemimpin Palestin di Tunisia," menurut Abdurrahman. 

Keluarga Ben Ali, pemimpin yang digulingkan dalam revolusi di Tunisia, Januari lalu, turut didakwa terlibat dalam rasuah.

Parlimen Singapura Bubar, Pilihan Raya Umum 3 Bulan Lagi

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SINGAPURA: Presiden Singapura membubarkan Parlimen negara itu sebagai isyarat pilihan raya umum akan diadakan dalam beberapa minggu lagi pada Isnin.

Presiden S.R. Nathan mengumumkan dalam gazet kerajaan bahawa Parlimen dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan dalam tempoh tiga bulan.

Meurut Straits Times, 2,311,582 rakyat republik itu layak mengundi tahun ini berbanding 2,158,439 pda 2006 dan 2,036,923 (2001).

Lebih dari seorang bagi setiap empat pengundi berusia antara 21 dan 34 tahun manakala 200,000 orang pertama kali layak mengundi.

Pada pilihan raya umum lalu 47 kerusi dipertandingkan menjadikannya saingan paling sengit sejak tahun 1988.

Pada kali ini, bilangan itu dijangka tidak berbeza dengan 86 peratus kerusi ada pertandingan.

Terdapat 87 kerusi di 27 kawasan dengan 12 calon dan 15 kumpulan dijangka bertanding kali ini.

mStar/-

PAS Miri Mahu Bertanding Di Parliment Miri

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Surat terbuka buat Pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat

Pas Miri telah memberi kerjasama yang penuh bersama pakatan rakyat di Miri semasa pilihanraya umum Sarawak yang baru berlalu. Sekarang tiba masanya untuk pakatan rakyat meningkatkan kerjasama yang kukuh agar impian dan harapan rakyat Malaysia untuk menawan putrajaya akan tercapai dalam pilihanraya ke 13 umum nanti.

Pas Miri ingin menyatakan hasrat ahli dan penyokong pakatan rakyat yang kami bersedia untuk menawan parliament Miri sekiranya diberi peluang dalam PR13 nanti.

Mengapa Pas Miri harus diberi peluang bertanding dalam kawasan Bandar dan majority kaum bukan Melayu dan Islam.

1. Pas Miri ingin membuktikan bahawa Pas bukan parti eksterimis dan perkauman.

2. Pas Miri ingin buktikan bahawa semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menerima Pas sebagai sebuah parti yang berjuang untuk semua.

3. Pas Miri ingin buktikan bahawa Islam yang dibawa oleh Pas bukan zalim dan ganas seperti yang digambarkan oleh Umno/Bn dan yang anti Islam.

4. Pas Miri ingin buktikan bahawa Islam mengajar supaya membantu orang susah tanpa mengira kaum dan agama.

5. Pas Miri ingin buktikan bahawa Islam agama yang mengajar kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

6. Pas Miri ingin buktikan bahawa Islam mengajar kita supaya jangan memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam secara paksa.

7. Pas Miri ingin buktikan bahawa Islam menghormati agama lain dan mereka bebas mengamal ajaran agama masing-masing.

8. Pas Miri ingin buktikan bahawa Pas adil untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.

9. Pas Miri ingin buktikan bahawa Pas sebuah parti untuk semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama dengan ujudnya dewan himpunan penyokong Pas.

10. Pas Miri ingin buktikan bahawa Pas tidak mengamalkan rasuah dan taat setia dengan kepimpinan.

Inilah sebahagian sebab mengapa Pas Miri harus diberi peluang bertanding dalam kawasan Bandar agar masyarakat umum akan dapat menilai sendiri apa tujuan Pas untuk bertanding dan apa maktlamat sebenar Pas bertanding dalam kawasan bandar.

Pas Miri yakin masyarakat Bandar lebih terbuka sebab mereka dapat maklumat terus dari pimpinan kalau dibandingkan dengan kawasan luar Bandar dimana kawasan luar Bandar masih bergantung harapan dengan Bn walaupun mereka tahu Bn banyak kali gagal menunaikan janji mereka.

Pas Miri berharap sangat agar semua rakan-rakan kita dalam Pakatan dapat memberi kerjasama penuh dengan Pas agar tujuan dan maktlamat kita yang sama untuk menganti kerajaan Umno/Bn akan tercapai. Hanya dengan kerjasama saja kita dapat menumbang kerajaan Bn, Ambilah pengajaran dari pilihanraya umum Sarawak yang lalu di mana akibat terlalu banyak perebutan kerusi impian rakyat untuk menumpas kerajaan Bn Sarawak gagal.

Kita tidak mahu perebutan kerusi berulang lagi dalamm PR13 nanti lebih-lebih lagi di saat-saat akhir dimana akibat dari perebutan dan penukaran kerusi menjejaskan sokongan rakyat terhadap pakatan rakyat Sarawak.

Pihak atasan seharusnya mendengar pandangan serta pendapat orang dibawah lebih-lebih lagi orang yang berada dalam kawasan tempat pengundian kerana mereka lebih tahu apa yang mereka kehendaki.

Jangan kita terlalu angkuh dan merasa terlalu kuat sehingga akhirnya kita kecundang.

Di harap semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dapat berfikir sebaik-baiknya dan dapat menimbang pemohonan yang kita sebut tadi. Sebelum pilihanraya umum Sarawak yang lalu sudah kita bagi tahu akibat dari perebutan kerusi pasti akan menberi peluang kepada Bn untuk memecah belahkan pakatan rakyat tetapi perkara ini dipandang remeh dan akhirnya Pakatan Rakyat gagal untuk menumpas Bn, ini sudah terbukti sekarang mengapa Pakatan Rakyat Sarawak gagal menawan Sarawak sebab berebut kerusi yang akhirnya impian rakyat hancur berkecai. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Akhir sekali kita menyeru kepada semua pimpinan dan ahli serta penyokong pakatan Rakyat marilah kita ikhlas dalam perjuang kita untuk kebajikan rakyat, jangan kita sombong dan tamak yang akhirnya semua kita akan menanggung rugi .

Jangan hampakan sekali lagi harapan rakyat untuk melihat Pakatan Rakyat Berjaya mengantikan BN dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Isy’Allah kita boleh berjaya dengan syaratnya kita bergabung dalam satu pakatan jangan berpecah belah.

Berjuanglah kerana Allah sesungguhnya orang yang berjuang kerana Allah dan rakyat pasti mencapai kemenangan tetapi mereka yang berjuang untuk kepentingan diri sendiri akhirnya menerima kerugian.

Sekian harap dapat perhatian dari semua pihak.

PAS Miri

Orang Ramai Sifatkan E-mel 1 Malaysia Suatu Pembaziran

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 20 APRIL : Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran paling nyata yang dilakukan oleh kerajaan.

Rata-rata masyarakat yang ditemui Tv Selangor meluahkan pandangan mereka berhubung tindakan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyediaan akaun e-mel berkenaan.

Malah ramai juga yang berpandangan mereka lebih selesa dengan akses e-mel sedia ada yang dinikmati secara percuma seperti e-mel Yahoo, Gmail malah laman sosial peribadi seperti Facebook dan Twitter.

Menurut pelajar International Education College (INTEC) UiTM, kerajaan sepatutnya menggunakan wang tersebut untuk mempertingkatkan lagi taraf pendidikan di Malaysia, dan bukannya untuk tujuan yang tidak menguntungkan rakyat.

"Wang RM50 juta itu boleh digunakan untuk membantu golongan miskin ataupun untuk meningkatkan pendidikan di negara kita berbanding digunakan untuk mewujudkan projek e-mel tersebut,"katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang rakan beliau, Khairul Akmal yang juga pelajar Universiti Teknologi MARA berpendapat, pelbagai cara boleh dilakukan oleh Perdana Menteri untuk mendekatkan beliau dengan rakyat selain daripada mewujudkan akaun e-mel dan dengan kos yang tinggi.

"RM50 juta itu tak berbaloi untuk e-mel 1Malaysia sebab tak masuk akal RM50 juta, kalau kerajaan mahu dekati rakyat boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti penganjuran karnival tapi untuk projek e-mel itu sangat tidak munasabah," ujar beliau.

Sementara itu bagi suri rumah, Rohaidah pula, jumlah yang dilaburkan untuk tujuan menubuhkan akaun e-mel adalah suatu yang pelik dan dianggap sebagai tidak
masuk akal, sedangkan rakyat masih lagi tidak mempunyai pendapatan yang selesa untuk menampung kos hidup.

"Saya rasa lebih baik kerajaan Malaysia memperuntukkan perbelanjaan itu kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dan tidak membuat peruntukkan untuk projek yang bukan-bukan sekaligus mendatangkan pembaziran,"katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek berkenaan yang membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan
kerajaan.

Portal web itu akan dibangunkan oleh Tricubes Berhad, antara lain menyediakan perkhidmatan seperti rangkaian sosial dan pembayaran bil atas talian.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika diminta mengulas hal ini semalam berkata, ia satu lagi projek BN untuk memperkayakan kroni tertentu Najib dan membazirkan wang rakyat.

Tv Selangor/-

Menjawab Pandangan Abdul Aziz Bari

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



Saya diminta oleh pihak media untuk memberikan respon terhadap kenyataan seorang pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang ditukar ekoran kekalahan PAS di Terengganu pada tahun 2004 dan juga kekalahan PAS di dalam siri beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini termasuk juga kegagalan PAS merebut sebarang kerusi di dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Pertama saya ingin menyatakan bahawa Dr Abdul Aziz Bari selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS. 

Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding di dalam pilihanraya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihanraya. 

Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik.

Namun, perlu saya ingatkan, PAS mempunyai kaedah-kaedahnya yang tersendiri untuk memilih pemimpin. Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihanraya adalah satu langkah yang kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihanraya. 

Sememangnya memenangi pilihanraya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan untuk menang dalam pilihanraya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi. 

Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. 

Jika hanya kerana mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar? Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? 

Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT.
Sekian, wassalam.

YAB Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan Darul Naim.

PRU-13 : PAS Tetap Tanding di Sarawak

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : PAS akan tetap bertanding merebut kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 walaupun gagal memenangi sebarang kerusi semasa pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

Tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun parti Islam itu tidak menang di kelima- lima kerusi yang ditandingi namun sokongan kuat pengundi Sarawak menunjukkan parti itu mula diterima.

“Sokongan yang kuat diterima, menunjukkan PAS diterima di Sarawak, namun kekuatan yang ada tidak mampu memberi kemenangan buat masa ini.

“Bagaimanapun kita yakin dengan penerusan gerak kerja yang akan kita lakukan untuk mengembangkan PAS di Sarawak sejurus tamat pilihan raya (negeri Sarawak).

“Malah sudah ada negeri-negeri yang mengambil inisiatif menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibantu sebagai DUN angkat, untuk digerakkan PAS di Sarawak dan kita akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini PAS bertanding lima kerusi iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro namun tewas di kesemua kawasan.

Walaupun tiada kerusi dimenangi tetapi undi popular diterima parti itu meningkat.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dalam persaingan paling sengit dengan memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Rakyat, yang pertama kali bertanding di bawah perikatan tiga parti pula mendapat 15 kerusi dan Bebas satu.

Tambah Hadi, walaupun masih baru bertapak di Sarawak, namun undi parti itu pada pilihan raya negeri itu meningkat dan ia bukti pengundi mula menerima dasar perjuangan parti Islam itu.

“PAS parti yang baru di Sarawak, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, undi PAS meningkat tinggi di Beting Maro dan bertambah melebihi 100 peratus di beberapa DUN lain yang ditandingi.

“Walaupun kali pertama bertanding di empat DUN yang baru, kita tidak hilang wang pertaruhan. Malah ada banyak peti undi yang kita menang dalam DUN tersebut termasuklah rumah panjang didiami kaum Iban,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, PAS akan meneruskan gerak kerja dan Sarawak bagi memperkukuhkan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

- malaysianinsider

Jepun Berhempas Pulas

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



TOKYO - Pekerja di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa kuat, bulan lalu, mula mengepam keluar air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada sebuah reaktor, semalam, iaitu langkah penting bagi memulihkan semula sistem penyejukan di loji itu. 

Gempa sekuat 9.0 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu menjejaskan bekalan tenaga di loji Fukushima Daiichi dan menyebabkan sistem penyejukan gagal berfungsi sehingga mencetuskan beberapa letupan. 

Bagi menghalang bencana nuklear berlaku, pekerja terpaksa mengepam ribuan tan air laut ke dalam reaktor bagi menyejukkan teras nuklear sekali gus menghasilkan takungan air yang mengandungi radioaktif tinggi. 

Pengendali loji, syarikat Tokyo Electric Power mengumumkan usaha mengurangkan kebocoran loji itu dan penutupan sepenuhnya dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan. 

Sementara itu, kerajaan Jepun bercadang meningkatkan cukai jualan barangan bagi membantu negara itu membiayai kos pembinaan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu yang dianggar mencecah RM900 bilion.

Cabaran getir PAS Selangor pertahan kerajaan

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 20 April: PAS Selangor bersedia menghadapi cabaran berhadapan dengan hasrat semua pihak untuk mengambil semula pentadbiran kerajaan negeri paling maju di Malaysia ini.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan pilihan raya depan sebagai sangat getir dengan segala cubaan musuh untuk berkuasa semula.

Dr Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Waqaf Bangunan PAS tiga tingkat bernilai RM1.3 juta, di sini malam tadi.

(Gambar: Haji Shafie dari Serdang berjaya membeli jualan awal dengan harga RM10 ribu untuk seperenam kaki yang asalnya berharga RM50 daripada Dr Hasan.)

Menurutnya, bangunan yang bakal menjadi pemangkin utama pusat gerak kerja seluruh petugas semua peringkat itu amat perlu disegerakan.

"Harapan besar kita agar segala impian ini akan dapat menjadi realiti dalam masa terdekat.

"Syukur kerana bayaran 10 peratus daripada bayaran itu telah disumbangkan oleh sahabat kita, Datuk Kapten (B) Abu Zahar Hashim.

"Moga sumbangan permulaan sangat hebat ini menjadi perangsang kepada semua pihak untuk tingkatkan usaha mencari sumber kewangan berkaitan," tegasnya.

Untuk rekod, Abu Zahar adalah bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter, menyertai PAS pada 24 Disember 2008.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian itu kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak (ketika itu) menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Manakala bangunan PAS pula terletak di Alam-I berhampiran Kompleks Perniagaan World Wide, dekat sini.

Menerusi sesi bidaan pertama yang dijalankan oleh Dr Hasan sendiri bagi mencari pembeli paling mahal untuk tanah seluas satu perenam yang asalnya berharga RM50 akhir berjaya mencapai RM10 ribu.

Pembida yang bernasib baik itu adalah Haji Shafie dari kawasan Serdang.

Sementara itu, kehadiran pimpinan semua PAS kawasan seluruh negeri termasuk Ahli Parlimen, Adun-adun termasuk kalangan korporat serta semua individu prihatin membangkitkan semangat penganjur.

Pengerusi Jawatankuasa Bangunan PAS negeri, Ir Iskandar Abdul Samad merangkap Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor kelihatan ceria dan bersalaman dengan hadirin walau kakinya sedang sakit.

Turut kelihatan adalah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof, Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor era 1980-an, Haji Mohsinon Tahir, bekas Ketua Dewan Ulamak negeri sezaman, Ustaz Omar Hashim, Exco, Dr Hajah Halimah Ali dan pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mewakili kaum Cina dan India.

Ketika hadirin enak menikmati hidangan makan malam, mereka dihiburkan dengan hiburan mendidik jiwa dari Kumpulan Nasyid Wildan yang turut dendangkan lagu Tamil yang bakal dilancarkan di Chennai, India.

Dalam pada itu, Hasan berkata, meskipun bayaran bulanan sebanyak RM37 ribu atau RM1,200 sehari namun akan berusaha untuk segera selesaikan.

"Kita tidak mahu terikat dengan isu bayar lama ini kerana banyak lagi usaha dan program yang perlu dilakukan," jelasnya.

Kerjasama semua pihak mencari sumber kewangan bakal menyelesaikan hal berkaitan, tegasnya.

Di akhir majlis, Iskandar menyampaikan sijil dan buku resit kepada dewan-dewan dan semua wakil PAS kawasan untuk mereka sampaikan hasrat besar ini ke seluruh peringkat.

Beliau juga memaklumkan satu lagi majlis makan malam besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat bakal dihadiri oleh Presiden dan Mursyidul Am PAS.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Sumpah: PAS Hanya Ikut Peraturan Allah

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



TEMERLOH, 20 April: Setahu para ulama, tiada sumpah dalam urusan yang melibatkan zina, rogol liwat (melainkan isteri yang mengadu kepada hakim bahawa dia diliwat oleh suami dibenarkan bersumpah), tuduhan seseorang itu melakukan zina tanpa mengemukakan saksi (qazaf) berpandukan tindakan yang tidak memanggil Safwan atau Aisyah bersumpah dalam peristiwa fitnah ke atasnya.

Demikian penerangan yang diberikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai cabaran bersumpah dari bekas bendahari agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim kepada dua pemimpin kanan PAS, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

“Sumpah hanya ada dalam urusan yang bukan jenayah di atas, yang pembuktian hanya dilakukan melalui penyaksian atau pengakuan.

“Andainya dibenarkan sumpah dalam urusan qazaf, nescaya akan binasalah masyarakat, apabila seseorang wanita atau lelaki yang khianat atau berniat jahat kepada seorang imam, sanggup bersumpah dengan nama Allah:

“Wallahi, wabillahi, watallahi, imam itu telah merogol saya, nescaya akan punah keyakinan masyarakat pada imam, demikian seterusnya,” terang Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Lantaran itu, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Rasulullah s.a.w mengkategorikan qazaf sebagai dosa membinasakan - yakni ia akan membinasakan diri yang dituduh, keluarganya mungkin bercerai-berai, masyarakat hilang kepercayaan padanya dan institusi atau syarikat akan membawa hilang kredibiliti kepada majikannya.

“Bayangkan kalau sumpah dibenarkan dalam tuduhan zina, rogol dan liwat, sudah tentu akan ada golongan yang akan mengambil kesempatan sanggup bersumpah demi menjatuhkan maruah seseorang,” tambahnya.

Disebabkan itu, katanya, Islam menyeru umatnya agar berpegang pada panduan ilmu yang disampaikan oleh para ulamak yang muktabar.

“Apabila Dr Yusuf al-Qardhawi menjelaskan tiadanya sumpah dalam urusan qazaf, bermakna inilah panduan syarak yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

“Semoga Allah menjauhi kita dari membuat tuduhan yang berupa qazaf kerana ia termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan umat manusia,” kata Tuan Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata, Shuib harus mendalami peraturan syarak sebelum mencabar pemimpin PAS untuk bersumpah.

“Yang minta saksi ini bukan PAS, tapi Allah dan Rasul-Nya. Jangan kita anggap Allah jahil dalam membuat peraturan-Nya - Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Hakim dalam menetapkan hukuman-Nya.

“Kita mesti ikut peraturan Allah, bukan membuat peraturan baru yang bercanggah dengan peraturan Allah. PAS tidak berhasrat membela sesiapa tetapi kita perlu ikut peraturan Allah,” tegas Tuan Ibrahim.

Kalau Shuib merasakan klip video seks itu satu kes penting, kata Tuan Ibrahim dia perlu menayangkannya pada hakim yang bakal memutuskan sesuatu kes dan bukannya kepada orang ramai untuk minta penghakiman awam.

 “Dia perlu mengadu kepada polis bukan tayang pada wartawan untuk jadi bahan menjatuh seseorang, kalau ianya benar sekalipun, apa lagi ianya penuh dengan pertikaian kesahihannya,” bidas Tuan Ibrahim, yang turut melahirkan rasa kesal ke atas kelambatan polis untuk mengambil tindakan terhadap trio Datuk T yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang melakukan jenayah secara terang dengan menyiarkan video lucah kepada orang awam. 

H/daily

GSTT: Mana janji Muhyiddin

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 April: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) seluruh negara masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan.

Seorang daripada mereka meminta ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali supaya membangkitkan keluhan nasib mereka di Dewan Rakyat dengan kadar segera.

Dalam emel kepada Dr Lo’ Lo’ semalam, beliau memberitahu pada 3 Mac yang lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan tentang penarikan balik surat penamatan perkhidmatan guru GSTT.

“Dalam pengumuman tersebut menyatakan kami dikehendaki berkhidmat semula dan akan diserapkan menjadi guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan kursus lanjutan,” tulisnya.

Namun sehingga emel ini ditulis,mereka masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan oleh Muhyiddin itu.

“Kami berharap suara hati kami ini dapat diketengahkan oleh Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan dapat dilaksanakan dengan segera tanpa melalui proses yang panjang,” tulisnya lagi.

Harakahdaily

BN Beri Projek E-Mail RM50 Juta Kepada Syarikat Bermasalah

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Tricubes Berhad, syarikat yang meraih kontrak perkhidmatan emel 1 Malaysia bernilai RM50 juta dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan berkemungkinan dilucutkan dari Bursa Malaysia.

Meskipun menghadapi permasalahan sebegitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan firma berkenaan diberi kontrak lumayan untuk menyediakan khidmat emel rasmi antara rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan kerajaan, lapor Malaysian Insider.

Ramai pihak menyifatkan langkah itu sebagai membazir kerana sebilangan besar masyarakat yang celik komputer sudah pun memiliki e-mail peribadi.
:
Mereka juga mempersoalkan keselamatan maklumat peribadi dalam sebarang transaksi menerusi e-mail 1Malaysia itu.

Justeru mereka menolak projek e-mail 1Malaysia dan mempertikaikan kenapa ia diberi kepada sebuah syarikat yang dipantau oleh Bursa Kuala Lumpur.

Tricubes sebelum ini diberi amaran dan diletakkan di bawah status Nota Bimbingan Keselamatan 3 oleh Bursa Malaysia (GN3) tahun lalu.

Sebagai Syarikat GN3, Tricubes perlu memberikan laporan kewangan kepada Bursa setiap bulan serta melantik penaja sehingga ia bukan lagi berstatus GN3.

Menurut laporan itu jika syarikat (Tricubes) gagal berbuat demikian, mereka boleh digantung dan disingkirkan dari papan oleh Bursa Malaysia.

Sumber Bursa juga menyatakan, sehingga 1 April lalu, Tricubes masih dalam proses meguruskan aliran kewangannya dan 'tiada sebarang perkembangan besar' yang memungkinkan status GN3 syarikat itu ditarik balik.

Tv Selangor/-

8 penyebab anda lupa

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Jika anda selalu lupa sebaiknya jangan dibiarkan. Cari penyebab anda mudah lupa berdasarkan tanda berikut ini :

1. Kadar gula darah tinggi

Penyimpanan memori boleh terganggu akibat tingginya gula darah anda. Awas, keadaan ini boleh menggangu bahagian otak yang berhubungan dengan memori. Jika mempunyai keturunan keluarga yang ada penyakit kencing manis, sebaiknya kawal kandungan gula anda.

Lakukan juga ujian gula dalam darah secara rutin. Jangan lupa menjaga pola makan seimbang serta tetap aktif. Berjalan kaki adalah salah satu alternatif berkesan mencegah diabetes.

2. Kurang berehat

Otak memerlukan cukup tidur untuk menyimpan memori baru. Dalam satu kajian, responden yang tidur enam jam setiap malam selama dua minggu mungkin tidak merasa kurang tidur. Namun, setelah dilakukan ujian memori secara tetap, hasilnya mereka sukar mengingat memori jangka pendek.

Pertajam daya ingatan anda dengan kadar rehat yang cukup. Jika anda tidak boleh, cuba lakukan tidur pendek selama enam minit semasa tubuh terasa lemah. Cara ini boleh meningkatkan ingatan dan memacu proses memori penting dalam otak.

3. Berdengkur

Berdengkur tidak hanya mengganggu kualiti tidur, tapi juga boleh menurunkan daya ingatan. Semasa tidur berdengkur, saluran nafas anda akan terhalang, sehingga menahan oksigen beberapa saat pada sesuatu waktu dan menyebabkan sel-sel otak ‘kelaparan’.

Menurut kajian, lelaki lebih sering berdengkur dibandingkan wanita. Dan, faktor risiko lainnya, kebiasaan ini boleh muncul kerana kelebihan berat badan atau berusia lebih dari 40 tahun.

Jika anda atau pasangan punya kebiasaan berdengkur, sebaiknya anda mendapat nasihat pada doktor. Anda mungkin perlu memakai perangkat khusus untuk mengatasi berdengkur semasa tidur agar aliran oksigen boleh lancar menuju otak. Dengan begitu, daya ingat anda boleh kembali meningkat.

4. Metabolisme menurun

Jika hal ini terjadi, kemungkinan anda memiliki masalah tiroid. Hormon tiroid mengawal metabolisme tubuh. Bila produksinya terlalu banyak atau terlalu sedikit dapat mengganggu sel-sel otak, yang dapat memperlahankan masuknya informasi ke otak. Tidak ada salahnya anda berjumpa doktor untuk mengatasi masalah ini.

5. Usia lebih dari 65 tahun

Di usia ini, manusia akan lebih sukar untuk menyerap vitamin B12 dari makanan. Kekurangan B12 serius dapat menyebabkan penyakit Alzheimer. Seiringnya bertambah usia, dapatkan nasihat dari doktor untuk mengetahui cara meningkatkan kandungan B12, misalnya dengan suplemen.

6. Mengalami depresi

Penderita depresi berat juga mengalami gangguan pada sel-sel otak. Bahkan, ketika depresi berlangsung, ada kemungkinan keadaan ini boleh membunuh sel-sel otak, sehingga menyebabkan daya ingatan ‘merosot’.

Segera cari pengubatan.Jika tidak, makin banyak sel-sel otak yang ‘hilang’, daya ingatan akan makin sukar ditingkatkan.

7. Mengunakan ubat alergi atau pil tidur

Ubat-Ubatan untuk mengatasi masalah seperti insomnia, alergi, dan gangguan, boleh juga menyebabkan fungsi otak terganggu. Maka itu, sebelum mengunakan ubat ini sebaiknya dapatkan nasihat dulu daripada doktar agar daya ingatan anda tidak ikut terganggu.

8. Terlalu banyak mengambil ubat

Jika mengambil lima atau lebih ubat, anda berisiko tinggi mengalami gangguan daya ingatan. Pastikan doktor tahu semua ubat yang anda ambil. Jika sebuah iklan ubat nampak menarik, jangan terus terpikat. Sebaiknya minimakan pengambilan ubat terbuka atau hanya mengambil ubat sesuai dengan nasihat doktor.

selatanonline

India Haram Buruh Kanak-kanak Dalam Sarkas

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



NEW DELHI - Mahkamah Agung India mengharamkan pengusaha sarkas mengambil pekerja kanak-kanak di bawah umur dan mengarahkan kerajaan melakukan serbuan terhadap semua syarikat hiburan untuk menyelamatkan golongan itu, kelmarin. 

Perintah mahkamah itu dikeluarkan berdasarkan satu petisyen yang dikemukakan oleh sebuah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi kanak-kanak yang melobi pelaksanaan penuh undang-undang buruh kanak-kanak India yang tidak diendahkan oleh syarikat sarkas. 

Kanak-kanak sering dilatih melakukan aksi berbahaya seperti persembahan akrobatik atas dawai dan persembahan lain untuk penonton di India, di mana pengusaha sarkas berpindah dari bandar ke bandar sepanjang tahun. 

Peguam untuk Gerakan Menyelamat Kanak-Kanak, Colin Gonsalves berkata, mahkamah memerintahkan kerajaan untuk menyelamatkan semua kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan mengarahkan pembentukan sebuah pusat pemulihan untuk kanak-kanak itu. 

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan semua kanak-kanak yang diselamatkan daripada sarkas perlu dipulangkan kepada keluarga mereka namun kerajaan perlu menanggung kos rawatan dan pendidikan jika ibu bapa tidak mampu menjaga mereka.

Lelaki Rogol 116 Wanita dihukum Mati

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


BEIJING - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati akhir tahun lalu kerana merogol lebih 100 wanita dalam tempoh 16 tahun. 

Dai Qingcheng, 46, dijatuhkan hukuman mati pada Disember lalu selepas didapati bersalah merogol 116 wanita antara 1993 dan 2009 di wilayah Anhui, timur China. 

Qingcheng didakwa menjadikan isteri-isteri pekerja asing yang bekerja di bandar itu termasuk seorang wanita hamil enam bulan sebagai mangsanya. 

Lelaki itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Anhui, semalam, bagi meminta hukumannya diringankan tetapi tarikh perbicaraan seterusnya masih belum diketahui.

Bekalan air ke UUM cukup! Infrastruktur dalaman UUM yang lemah

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 19 April 2011 – Bekalan air oleh SADA ke Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah mencukupi. Masalah gangguan bekalan air yang di UUM adalah disebabkan oleh infrastruktur untuk menyokong penyaluran dalam kampus tidak pernah dinaiktaraf sejak kampus tersebut dibina.

Demikian penjelasan yang diberikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato' Ir Amiruddin Hamzah ketika mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri gagal menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk UUM.

"Masalah di UUM adalah berpunca dari kelamahan perancangan UUM sendiri yang tidak menyediakan infrastruktur bekalan air untuk penghuni yang bertambah," katanya.

Menurut nya, pihak UUM hanya menyediakan saluran paip dan tangki simpanan untuk 10 ribu penduduk, tetapi sekarang bilangan penduduk sudah bertambah berkali ganda.

"Tanggungjawab menaikataraf kemudahan infrastruktur bekalan air di dalam kawasan UUM adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Tinggi kerana masalah tersebut berlaku di dalam tanah mereka," jelasnya lagi.

Posted by info kedah

Tiga Maut, Polis Lepas Tembakan Lerai Rusuhan di Yaman

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



SANAA: Tiga maut selepas polis Yaman terpaksa melepaskan tembakan bagi awal hari ini bagi meleraikan penunjuk perasaan yang menuntut agar Presiden Ali Abdullah Saleh berundur daripada pemerintahannya. 

Kejadian terbaru itu berlaku ketika Menteri Luar Negara Teluk mengadakan perbincangan dengan delegasi kerajaan Taman di Abu Dhabi bagi mencapai anisiatif menamatkan ketegangan di negara berkenaan.

Menteri Besar Menafikan Laporan Utusan Kononnya Kerajaan Negeri Kedah Naikkan Kadar Cukai Tanah Sepuluh Kali Ganda Terhadap UUM !

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 19 April - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (foto) hari ini menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM). Sebaliknya kata beliau, kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Naib Canselor UUM Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta sebenar.

"Apa yang berlaku ialah bagi tempoh Januari 2006 hingga Disember 2008, UUM telah diberi rebat oleh kerajaan negeri ketika itu menyebabkan cukai tanahnya dikurangkan dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000."Tetapi selepas tempoh rebat dua tahun itu berakhir, mereka diminta membayar pada kadar penuh semula iaitu RM1.7 juta,” katanya pada sidang media, di sini. Azizan juga berkata, akibat pemberian rebat kepada UUM itu kerajaan negeri pimpinanya kerugian RM1.6 juta.

UUM juga katanya, pernah memohon kepada beliau agar pemberian rebat itu disambung namun permohonan mereka ditolak. "Mereka (UUM) boleh terus membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan, tetapi tidak semestinya kita akan luluskan permohonan mereka itu,” katanya. Mengulas lanjut Azizan berkata, UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut. "Kita juga setuju mereka (UUM) berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. Pada tahun 2009 dan 2010 mereka bayar dengan kadar penuh,” kata Menteri Besar Kedah lagi.

[Kenyataan Menteri Besar Kedah ini jelas sekali menunjukkan bahawa laporan Utusan Malaysia hari ini adalah satu fitnah jahat semata, dengan niat untuk menjatuhkan maruah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat itu sendiri. Mereka sengaja memperbesar-besarkan sesuatu yang tidak sahih dan tidak berlandaskan fakta kebenaran.

Apakah sudah tidak ada cara lain untuk UMNO BN berpolitik dengan terus memperalatkan media arus perdana atas sesuatu tindakan yang jelas bercanggah dengan aspirasi rakyat itu sendiri. Oleh itu, rakyat diminta berharu-hati kerana banyak lagi tindakan jahat akan dilakukan oleh mereka selepas ini. Tambahan pula di saat, bahang pilihanraya umum ke-13 yang semakin terasa sekarang ini].

pahangdaily

Syria beri amaran henti bantahan

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

BEIRUT: Syria mengeluarkan amaran keras kepada rakyatnya menghentikan bantahan, beberapa jam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan, mengorbankan seorang.

Kenyataan kerajaan itu dibuat selepas pasukan keselamatan bertindak lebih tegas bagi menamatkan bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Assad yang berlarutan selama sebulan.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, kematian akibat tindakan terhadap bantahan sejak empat bulan lalu sudah mencecah 200 orang.

Kementerian dalam negeri Syria semalam menggesa rakyatnya membantu pihak berkuasa mengekalkan ketenteraman awam dengan tidak terbabit dalam tunjuk perasaan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen Syria, kementerian itu berkata semua undang-undang akan dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan rakyat dan kestabilan negara.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan yang bertindak duduk beramai-ramai di sebuah medan di tengah-tengah bandar Homs.

Saksi di tempat kejadian berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.

“Mereka menembak membuta tuli. Asap menyelubungi kawasan berkenaan.
“Saya melihat beberapa orang terbaring, separuhnya ditembak di kaki,” kata seorang aktivis.

Jalan raya itu lengang pada awal tengah hari dengan kebanyakan penduduk memilih untuk tidak keluar rumah.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di medan Jam di Homs sejak kelmarin, membawa tilam dan bekalan makanan, bagi mengadakan bantahan seperti rakyat Mesir yang berjaya menumbangkan Presiden Hosni Mubarak. – AP

‘Serahkan UUM kepada Kerajaan Negeri jika tak mampu tadbir’ -MB

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 19 April - Kerajaan Negeri menawarkan diri untuk mengambil alih Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pentadbirannya sekarang sudah tidak mampu mengurus kewangan universiti.

Cabaran itu dibuat oleh beliau ekoran dakwaan UUM tidak mampu membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri.

YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata demikian kepada wartawan selepas Majlis Perhimpunan Bulanan warga Wisma Darul Aman.

Menurut Menteri Besar, kenaikan cukai tanah UUM sebenarnya tidak berlaku. Apa yang terjadi ialah penarikan balik rebat cukai tanah selama dua tahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada UUM.

Katanya, jumlah perlu dibayar UUM sebanyak RM1.2 juta adalah mengikut perjanjian asal tanpa sebarang kenaikan.

Pembayaran RM100 ribu setahun bagi tahun 2006 hingga 2008 yang dibuat oleh UUM adalah selepas Kerajaan Negeri meluluskan permohonan rebat oleh mereka.
Tambahnya, tempoh rebat cukai tanah bagi 2006 hingga 2008 itu sudah tamat jadi mereka kenalah bayar penuh.

"Kerajaan Negeri sama sekali tidak bercadang untuk menaikkan mana-mana cukai tanah memandangkan cukai tanah baru sahaja diturunkan pada tahun 2008.
"Sepatutnya dia kena bayar RM1.2 juta, jika UUM menghadapi masalah kewangan mereka boleh mohon dikurangkan (rebat)," ujarnya.

[wartakedah]

Melaka Naikkan Tarif Air

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


Tindakan kerajaan negeri Melaka menaikkan tarif air tanpa mengambil kira bebanan kewangan yang bakal dipikul oleh rakyat negeri itu amat dikesali.

NONE

Antara mereka yang lantang membantah tindakan itu, termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Kamaruddin Sidik (atas).

Katanya, tindakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang menaikkan tarif air secara tegesa-gesa dan tidak memaklumkannya terlebih dahulu kepada rakyat seolah-olah satu cubaan untuk mengelakkan protes rakyat.

Menurutnya ia suatu yang tidak konsisten sedangkan kerajaan negeri Melaka sendiri pernah mengkritik kenaikan harga air di Selangor dan Kedah tidak lama dulu.

"Apabila kerajaan Selangor dan Kedah buat tindakan sebegitu sebelum ini yakni menaikkan tarif air mereka bising. Tapi kini mereka naikkan tanpa sebarang pengumuman.

"Saya yakin ini ada hubung kaitnya dengan pembaziran dana kerajaan yang berleluasa dan tindakan ini adalah untuk menampung kekurangan dana ini," katanya.

NONE

Sementara itu, ADUN kawasan Ayer Keroh dari DAP, Khoo Poay Tiong, turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang dianggapnya sebagai menyusahkan rakyat.

Menurutnya, beliau difahamkan kuasa menentukan kenaikan harga air berada di dalam tangan pusat.

"Bagaimanapun, itu bukan isunya. Isu di sini adalah bagaimana harga air boleh dinaikkan sedangkan rakyat tidak dimaklumkan.

"Ramai yang tidak puas hati kerana tindakan menaikkan harga air ini telah dijalankan secara senyap, seolah-olah untuk mengelak sebarang protes," kata Khoo (kiri).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Mohd Khalid Nasir, ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengesahkan memang terdapat 'penyelarasan' terhadap tarif air.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan sedemikian adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan pusat.

M/kini

Aktivis Pakatan masih gagal manfaatkan Youtube, Facebook?

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup "lembab" untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya "merangkak-rangkak". Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.

Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan -- umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering "ketinggalan keretapi". Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak. Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, "senjata" yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh "keresahan rakyat". Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya "kenderaan" yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan "mukjizat" yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu "menakjubkan" melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu. Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang "kebusukan" regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat mencari "permata dalam lumpur", menyunting dan "membersihkannya" dan kemudian menyebar-luaskannya? Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!

Ahmad Lutfi Othman

Calon SPM rayu bantuan RM3,000 bedah jantung

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Siti Nor Haleeda Abdul Razak menunjukkan surat dari IJN berhubung pembedahan yang perlu dilaluinya di rumahnya di Kuala Kedah, Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR 18 April - Seorang pelajar tingkatan lima dari Kampung Madrasah di Kuala Kedah di sini merayu bantuan orang ramai untuk membiayai pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei ini.

Pelajar terbabit, Siti Nor Haleeda Abdul Razak, 17, yang menderita saluran jantung tersumbat sejak 2001 memerlukan wang sebanyak RM3,000 untuk pembedahan tersebut.

Bapanya, Abdul Razak Awang Kechik, 54, yang bekerja sebagai nelayan memberitahu, dia tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana pendapatannya tidak seberapa.

Apatah lagi, dia terpaksa menanggung tujuh anak termasuk empat daripada mereka masih bersekolah dan menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Kos yang dikenakan oleh IJN adalah RM45,000 tetapi setelah diberi subsidi anak saya hanya perlu membuat pembayaran sebanyak RM3,000.

"Tetapi bagi nelayan seperti saya, jumlah ini sangat tinggi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, Siti Nor Haleeda, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Kedah sering pengsan ekoran masalah kesihatan itu dan dia perlu ke IJN semula pada 30 Mei ini bagi pembedahan tersebut.

Siti Nor Haleeda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini berkata, dia berharap untuk menjalani kehidupan seperti remaja biasa yang sihat.

"Saya cuma berharap untuk dapat belajar dan berjaya dalam pelajaran seterusnya berpeluang membantu keluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu pelajar ini boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Agro Bank 1-00-5071-00004003-3 milik Abdul Razak Awang Kechik atau menelefonnya di talian 013-5374395.

Posted by KedahLaNie

Kata Mutiara

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Seorang hakim yang perlu mempunyai kemampuan,
iaitu mendengar dengan rasa hormat, menjawap dengan
kebijaksanaan dan mempertimbangkan dengan cermat serta
memutuskan dengan adil.

Orang yang berjiwa besar adalah orang yang mempunyai
kewibawaan tetapi tidak sombong sedangkan orang yang
berjiwa kecil adalah orang yang sombong, tetapi tidak
mempunyai kewibawaan. Ciri-ciri orang yang berjiwa besar
ialah pertama, dengan segala tingkah lakunya dia menjadi
teladan dan kemudian dia meminta orang lain mengikutinya.

Tidak ada kemenangan sekiranya tiada kekuatan, tiada
kekuatan sekiranya tiada persatuan, tiada persatuan sekira-
nya tiada keutamaan dan tiada keutamaan sekiranya tiada
kesuciaan jiwa. Orang yang berjiwa luhur, tidak takut meng-
hadapi tanggungjawap. Perkara yang merugikan menimpa
jiwa adalah lenyapnya kepercayaan kepada Tuhan.

Sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Anas bermaksud:
“Tidak lurus iman seseorang hamba hingga (lurus dulu) hatinya.”
Iman yang mantap akan menggerakkan kepada amal kebaikan
dan sebaliknya.

fairlady.shania@yahoo.com