29 March 2011

Ceramah Pakatan diserbu, tayang video lucah dibiar

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: PAS kesal terhadap sikap double standard yang ditunjukkan oleh polis yang kembali mengganggu ceramah Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, tabiat lama berulang kembali apabila Umno berada di posisi defensif, manakala Pakatan Rakyat di posisi ofensif.

Katanya, beberapa siri ceramah di Pokok Sena Kedah dan terakhir di Taman Melawati, Gombak 25 Mac lalu yang berakhir dengan kekecohan.

Beliau berkata, semua maklum sekiranya himpunan yang diganggu oleh polis maka akan berakhir dengan kekecohan.

“Pihak polis buat-buat tidak faham mengenai keputusan mahkamah yang memutuskan polis kalah dalam perbicaraan di Jelebu dan Rompin, Pahang.

“Malahan yang paling malang kadang-kadang OCPD tidak faham Akta Polis, akhirnya telah diperbodohkan oleh peguam bela di dalam mahkamah,” ujarnya.

Menurutnya, polis bertindak dulu, walaupun ia bertentangan dengan undang-undang.

Katanya, kadang-kadang dengan angkuh ketika masuk ke tempat ceramah seolah-olah satu provokasi kepada orang ramai.

Mereka, ujarnya hendak memastikan malam tersebut ceramah mesti dihentikan, biarkan maklumat tidak sampai kepada orang ramai.

Setakat hari ini, tambahnya jika perhimpunan atau ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat jika tanpa gangguan polis berakhir dengan aman.

“PAS ingin mengigatkan kepada polis bertindaklah secara profesional, jangan cemar institusi ini. Jangan salahkan rakyat jika rakyat sudah tidak hormat institusi polis, tetapi salahkan diri sendiri,” katanya lagi.

Rakyat pula, ujarnya tertanya-tanya kenapa polis sibuk mengganggu ceramah Pakatan Rakyat, sebaliknya tidak pula menyerbu Hotel Carcosa Seri Negara yang menayang video lucah pada 21 Mac lalu.

Menurutnya, mungkin kerana ia melibatkan mereka yang kebal dan bebal.

“Di manakah Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan?” soalnya.

Kedua-dua seksyen itu berkaitan larangan memiliki, mengedarkan dan menayangkan filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam.

Harakahdaily/-

Remaja ditembak UPP jumpa menteri, tuntut keadilan

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Remaja yang menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat Februari lalu, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.

Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarga turut menyatakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan pihak polis hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengenepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.

"Kami melihat tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Allahyarham Said adalah akibat dipukul," kandungan memorandum itu dipetik.

"Kami sangat-sangat tidak berpuas hati kerana walaupun laporan polis telah dibuat, namun pihak polis masih gagal bertindak sehingga hari ini," kata mereka lagi.

Turut mengiringi mereka ialah Ahli Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Siti zailah Mohd Yusof.

Nazri dalam pada itu berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, mangsa telah ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi sebelum ini mendakwa, Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin, Tumpat pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.

Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.

Sementara itu, di pihak keluarga Allahyarham pula mempunyai versi berbeza berhubung kejadian tersebut.

(Gambar: Seorang anggota keluarga menunjukkan kesan tembakan pada badan Nizamuddin kepada Datuk Seri Nazri Aziz)

Menurut mereka, kematian Said akibat dipukul dengan teruk oleh tiga anggota UPP terbabit.

Menurut Nizamuddin, lebih kurang jam 7.45 pagi hari kejadian, beliau yang berada di kedai kopi ternampak kereta produa kancil yang dipandu Allahyarhan bapa saudaranya dikejar kenderaan pacuan empat roda UPP.

Melihat keadaan itu, beliau bersama seorang lagi rakan terus mengekori kenderaan tersebut dengan menaiki motosikal.

Beliau kemudiannya melihat kereta kancil itu telah ditahan dan tiga anggota UPP meluru ke pintu pemandu dan menendang Allahyarham.

Beliau kemudiannya melihat Allahyarham diheret keluar secara kasar sambil mengangkat tangan tanda menyerah namun terus diterajang sehingga sesak nafas.

Tambahnya, Allahyarham juga sempat menuding jari ke arahnya dan meminta beliau segera beredar dari tempat kejadian.

Beliau kemudian pulang memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarga Allahyarham.

Tidak lama selepas itu, keluarga dimaklumkan Said telah meninggal dunia dia Hospital Kelaboran Tumpat.

Nizamuddin mendakwa beliau kemudiannya ke hospital bersama emak dan abangnya dan setibanya di hospital beliau melihat seorang anggota UPP memegang sepucuk pistol sedang dikejar orang ramai.

Beliau kemudian menghampiri orang ramai yang ketika itu telah menangkap anggota UPP terbabit.

Dengan tidak semena-mena katanya, anggota UPP tersebut melepaskan tembakan ke arah beliau dan mencederakan bahagian perut dan dadanya.

Ekoran tembakan itu, beliau dibawa ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan, bagaimanapun dia terpaksa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Baharu kerana keadaannya yang parah.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah

Lebih 150 Rumah Di Kedah Rosak Teruk Dilanda Ribut

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 29 MAC : Lebih 150 rumah penduduk di negeri ini rosak teruk selepas dilanda ribut kencang yang disertai hujan lebat petang semalam sehingga meranapkan sebuah daripadanya.

Tiga kawasan yang dilanda ribut itu adalah di Kuala Kedah, Alor Setar dan Pokok Sena.

Ribut kira-kira dua jam yang bermula pukul 6 petang itu meranapkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik Shafie Chat, 70, di Kampung Simpang Empat Kuar, Mukim Padang Lalang, Alor Janggus.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Setar Rusmini Meh berkata pegawai-pegawai jabatan itu telah dihantar ke kawasan terbabit untuk mendapatkan butiran lengkap bagi membolehkan bantuan disalur kepada semua mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutalib Haron melawat mangsa ribut itu dan menghulurkan bantuan segera kepada mereka sehingga pukul 1 pagi ini.

Beliau berkata Umno Kuala Kedah juga akan menggerakkan persatuan Belia 4B di kawasan terbabit untuk bergotong-royong membaiki rumah yang rosak itu.

-Bernama-

Gani harus jawab kes RTC dan rasuah RM40juta

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 29 MAC : Peguam Negara Tan Sri Gani Patail harus menjelaskan kenapa beliau tidak mendakwa bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik atas tuduhan rasuah RM40 juta walaupun mempunyai bukti prima facie pada tahun 1999.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad, Peguam Negara Allahyarham Mohtar Abdullah dan Gani Patail yang ketika itu adalah Ketua Pendakwaraya menutup kes berkenaan bagi melindungi Rahim daripada dipenjarakan.

"Rekodnya ada pada saya, ditandatangani oleh Gani Patail. Disahkan. Boleh rompak negara RM 40 juta setahun lepas itu tidak ada pendakwaan. Ini masalahnya... 'rule of law' (keluhuran undang-undang) tidak ada. Yang ada 'law of the jungle' (undang-undang rimba) dan pemimpinya (sekarang) adalah Najib dan Rosmah," kata Anwar dalam pidato khas sempena Majlis Solat Hajat tolak Fitnah 3, semalam.

Bekas Pegawai Polis SAC 11 Mat Zain Ibrahim semalam menegaskan Gani tidak mungkin memberi keadilan kepada Anwar kerana terbabit dalam menutup kes rasuah Rahim pada tahun 1999 walaupun mempunyai bukti-bukti kukuh pada tahun 1999.

Zain yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumour menyatakan Rahim telahpun disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah dan kertas pendakwaan disahkan oleh Gani yang ketika itu bertugas di Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam negara.

Menurut Zain, tindakan pihak tertentu kemudiannya membolehkan Rahim terlepas daripada diheret ke mahkamah.

Penasihat DAP Lim Kit Siang hairan bagaimana Gani boleh memberikan pelepasan sebegitu kepada Rahim walaupun bukti mencukupi untuk mensabitkan beliau.

"Persoalan yang tidak kurang pentingnya ialah adakah Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melepaskan mana-mana orang berdasarkan pertimbangan politik?. Adakah Peguam Negara berhak melepaskan wang Rakyat RM 40 juta sebegitu mudah untuk Rahim menikmatinya tanpa sebarang tindakan," tegas Lim dalam majlis yang sama.

Lim turut membidas promosi berlebihan Pembentangan Program Tansformasi Kerajaan dan Bidang keberhasilan Utama (NKRA) yang diwar-warkan Najib sebagai mencapai semua matlamat walau pada hakikatnya berbeza.

"Adakah kita sudah percaya sudah berjaya untuk membasmi rasuah? Kadar jenayah turun? Adakah kita rasa lebih selesa dan selamat. Sebenarnya Ada satu lagi NKRA dalam program GTP tertinggal. Tak pernah politik Malaysia begitu kotor dalam masa seminggu.

Tv Selangor/-

PAS saran kerajaan kaji jimat belanja p'raya

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Kerajaan BN disaran agar memikirkan langkah penjimatan pada pilihan raya akan datang bagi mengelakkan pembaziran wang negara.
Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS-Rantau Panjang) sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat berkata,setiap kali berlaku pilihan raya kecil, menanggung perbelanjaan yang sangat tinggi.

"Apakah ada cadangan daripada pihak kerajaan untuk langkah-langkah penjimatan sebab kita melihat bagaimana setiap kali pilihan raya akan menelan belanja ratusan juta ringgit.

"Ini merupakan kos yang sangat tinggi yang akan ditanggung oleh kerajaan," katanya.

Beliau turut mendakwa, setiap kali PRK BN akan melakukan projek segera yang membawa kepada pembaziran.

"Adakah kajian sudah dibuat terhadap projek-projek segera yang dilaksanakan semasa pilihan raya?

"Contohnya seperti yang berlaku di Tenang, jalan raya diturap pada musim hujan.

"Apabila banjir, tar yang diturap itu terkopak. Ini satu pembaziran," katanya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapannya bagaimanapun secara sinis berkata, tiada siapa dapat menjangkakan keadaan cuaca.

"Kita turap jalan raya hari ini, esok turun hujan mana kita nak tahu.

"Lainlah kalau Rantau Panjang boleh telefon terus ke atas tanya hujan turun ke tidak," katanya.

Kedengaran Siti Zailah menjawab dengan mengatakan jalan memang diturap ketika hujan turun.

Sebelum itu, Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) meminta Perdana Menteri menyatakan kos yang terpaksa dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil semenjak pilihan raya umum ke-12.

Beliau juga ingin tahu sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil, sebaliknya menggantikannya dengan kaedah lain.

Menteri dalam jawapannya memberitahu, setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan pilihan raya kecil kerana ianya termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Tapi kalau lepas ini (April) ada lagi wakil rakyat mati, tak kisahlah. Dah tak perlu buat pilihan raya," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Kenapa kementerian tidak cermat pilih teks sastera

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 28 Mac: Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) mempersoal sikap tidak cermat Kementerian Pelajaran dalam memilih teks sastera sebagai rujukan pelajar tingkatan lima sehingga mencetuskan ketegangan di antara kaum.

Merujuk novel Interlok yang mencetuskan rasa tidak puas hati kaum India kerana penggunaan beberapa perkataan yang didakwa menghina kaum mereka, Salahuddin berkata, jika kementerian bijak membuat keputusan, perkara sebegini tidak akan berlaku.

"Dalam isu Interlok ini kenapa Kementerian Pelajaran tak cermat dalam memilih hasil karya ini. Ada banyak lagi karya sastera mengenai perpaduan yang ditulis sasterawan yang layak dijadikan teks di sekolah.

"Kenapa pilih novel yang boleh mencetuskan perbahasan walaupun itu karya sastera yang membuatkan kita resah hari ini," kata beliau dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Tanpa menafikan hak seorang sasterawan untuk berkarya mengikut disiplin ilmu yang dipegang, beliau berkata kementerian tidak seharusnya meminta penulis novel tersebut menarik balik perkataan yang terkandung di dalamnya.

"Saya percaya dan yakin dengan disiplin ilmu. Saya percaya karya yang dihasilkan karyawan negara kita, setiap orang berhak mempertahankannya.

"Tapi ketidakcermatan ini bermula dari awal. Kenapa hari ini ada panel kaji Interlok dan kemudiannya minta seniman negara tarik balik perkataan di dalamnya.

"Ini bukan disiplinnya. Mengikut disiplin ilmu, kalau kita tak bersetuju dengan sesuatu karya, tulis buku yang lain. Bukan minta tarik balik perkataan yang boleh menjejaskan kredibiliti sasterawan negara," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Menyentuh mengenai subjek sejarah yang akan dijadikan subjek wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata teks sejarah itu harus ditulis tanpa ada usul penipuan fakta.

Teks ini, katanya perlu disediakan oleh panel bebas yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

"Bagaimana penyediaan teks sejarah itu? Dari mana ia harus bermula? Siapa panel yang bertanggungjawab untuk menggubal atau menyediakan teks sejarah yang bakal dijadikan bahan untuk seluruh pelajar khususnya bagi mereka yang akan mengambil SPM sebagai subjek wajib lulus.

"Sejarah mesti ditulis dengan adil, tepat dan betul supaya setiap rakyat dapat suatu pengetahuan yang akan membentuk minda dan emosi.

Tambahnya, teks sejarah yang sedia ada lebih mengagungkan tokoh barat dan mengenepikan pejuang-pejuang tulen dalam memerdekakan negara.

"Buku teks dahulu banyak mengagungkan tokoh-tokoh penjajah. Tapi apabila kita belajar secara khusus tentang sejarah kita akan mendapati kebanyakan fakta memang tidak adil.

"Sebagai contoh kemerdekaan negara tidak hanya bermula pada tahun 1946 tapi jauh lebih awal dari itu," katanya.

Tambahan pula katanya, dunia hari ini menyediakan pelbagai teknologi yang membolehkan segala fakta didapati di mana-mana sahaja.

"Keluasan ilmu hari ini tidak boleh disembunyikan. Manusia boleh acess dengan hujung jari sahaja.

"Jangan nafikan mana-mana golongan yang memberi sumbangan besar ke arah kemerdekaan negara," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria

Zionis guna sistem pertahanan baru

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BEERSHEVA - Tentera Israel menghantar mesin pertama sistem antipeluru berpandu baru negara itu ke sempadan berhampiran Gaza selepas ketegangan semakin memuncak antara kedua pihak, kelmarin.

Menurut pegawai tentera, penghantaran mesin itu dipercepatkan berikutan peningkatan serangan antara kedua pihak sehingga menimbulkan kebimbangan perang baru akan tercetus.

Sistem yang dikenali sebagai Iron Dome itu masih berada pada tahap percubaan dan akan digunakan buat pertama kali untuk memintas peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan pejuang di Gaza.

Beberapa kumpulan pejuang di Gaza cuba menenangkan situasi di sempadan Israel-Gaza yang semakin tegang dengan bersetuju untuk menawarkan supaya gencatan senjata diadakan, Sabtu lalu.

Namun tawaran itu tidak diendahkan rejim Zionis yang kemudian meneruskan serangan udara sehingga membunuh dua penduduk Palestin, kelmarin.

Iron Dome dibangunkan sebagai sistem pertahanan ketenteraan bagi memintas dan memusnahkan peluru berpandu dengan menggunakan senjata sama serta menelan belanja sebanyak AS$200 juta (RM600 juta).

Sinar Harian/-

Taktik Keji Umno Hanya Mengundang Benci Rakyat

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 29 MAC: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan yang dilemparkan kepada dirinya sebagai langkah terakhir Umno menghalang kemaraan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Berucap kepada lebih 20,000 orang di Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi, Anwar berkata taktik licik dan keji UMNO hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap parti itu.

"Isu dia apa?Isunya adalah kesediaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan. Justeru ini adalah langkah terakhir Barisan Nasional menggunakan apa juga cara yang mungkin...tipu helah, jijik untuk menghalang kemaraan rakyat Malaysia."katanya.

Sebelum itu Anwar bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan masyarakat Islam di sekitar Lembah Kelang menunaikan solat hajat susulan pusingan terbaru Umno melemparkan fitnah terhadap Ketua Pembangkang itu dalam bentuk video lucah.

Antara dalang video itu adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay yang dikatakan menemui Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Selasa lalu setelah identiti mereka dibongkarkan oleh PKR.

Selain membuat laporan polis, Pejabat Anwar mengemukakan bukti catitan Twitter dan Facebook Anwar sebagai bukti beliau berada di rumah ketika video lucah itu dirakamkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Febuari lalu.

Polis setakat ini hanya mengambil keterangan daripada Rahim, Shazryl serta Bendahari Perkasa Shuib Lazim walaupun ketiga-tiga mereka mengaku mendalangi penayangan video itu kepada media di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu.

Perbuatan itu adalah jenayah yang membawa hukuman penjara tiga tahun.

Anwar merujuk kepada Rahim sebagai 'tokoh akhlak baru' Umno, meskipun terpalit dengan tuduhan merogol seorang gadis sekolah sehingga terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994.

Anwar juga membuat perbandingan tindakan polis menangani video lucah membabitkan Presiden MCA Chua Soi Lek dan fitnah video yang dibawa oleh Rahim untuk menjatuhkannya kali ini. .

"Dalam kes Chua Soi Lek siapa yang edar video itu ditangkap. Tapi dalam kes ini, siapa yang edar diraikan. Kebetulan orang yang diraikan Rahim Thamby Chik. Ini tokoh akhlak baru yang didokong oleh UMNO-BN sebagai pejuang moral baru." katanya.

Anwar turut meminta penyokong Pakatan Rakyat tidak terpesong daripada perjuangan gagasan itu untuk menerangkan 'Buku Jingga' kepada rakyat dengan mengutamakan isu tata kelola pentadbiran negara supaya berjalan betul.

Buku Jingga menggariskan program-program Pakatan Rakyat untuk memastikan penyelwengan kuasa dan rasuah dibendung, kronisme dihapuskan, subisidi untuk rakyat ditambah dan undang-undang zalim dimansuhkan sekiranya gagasan itu diberi mandat menawan Putrajaya.

Tv Selangor/-
Edi Suleiman

PAS kekal haramkan jualan tiket loteri

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Pengharaman penjualan tiket judi loteri seperti 'big sweep' di Kelantan akan diteruskan selepas tindakan itu didakwa tidak bertentangan dengan undang-undang Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penasihat undang-undang negeri, Datuk Azlan Abdul Halim bersetuju dengan tindakan kerajaan Kelantan itu.

Katanya, keputusan dibuat selepas melihat semula pengharaman tersebut dari aspek perundangan sebaik diarahkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

Takiyuddin berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan pada mesyuarat exco hari ini dan mendapati ia selaras dengan Seksyen 9 Akta Kerajaan Tempatan.

Undang-undang itu membolehkan kerajaan negeri memberi arahan kepada pihak berkuasa tempatan supaya melaksanakan dasar yang ditetapkan.

Di Kuala Lumpur, pengerusi DAP, Karpal Singh dalam satu kenyataan berkata beliau terkejut dengan keputusan kerajaan negeri Kelantan itu.

“Jelas, penasihat undang-undang diberikan nasihat salah bagi membuat pengumuman seumpama itu. Apa yang lebih membimbangkan adalah tiada alasan diberikan berhubung keputusan itu. Sebarang pendapat tanpa hujah tidak membawa sebarang pengertian,” katanya.

Sehubungan itu, Karpal menasihatkan penasihat undang-undang negeri Kelantan mendapatkan nasihat Peguam Negara sebelum membuat keputusan yang mungkin mengelirukan kerajaan PAS.
Ku Li: Terburu-buru

“Jualan tiket loteri bukan sesuatu yang haram. Malah, perkara itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan ia pula tidak mengharamkan penjualan tiket loteri,” katanya.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor juga meminta kerajaan negeri supaya menarik balik larangan berkenaan yang didakwa telah menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat negeri itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan langkah kerajaan PAS itu sebagai tindakan terburu-buru.

"Kerajaan PAS Kelantan tidak sewajarnya bertindak secara keterlaluan kerana perjudian seperti itu adalah minat kaum Cina di Kelantan atau di mana-mana sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Umno cawangan Chalil, dekat Gua Musang, hari ini.

Isu pengharaman loteri itu timbul berikutan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu dua buah kedai buku dan merampas tiket loteri itu bulan lalu.

Tengku Razaleigh, yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang berkata, setiap tindakan yang hendak diambil oleh kerajaan negeri itu hendaklah mengambil kira kepentingan kaum lain.

"Kita tidak menafikan fatwa yang dikeluarkan itu berdasarkan kepentingan agama Islam tetapi pada masa yang sama, kita harus melihat kepentingan kaum lain mengikut undang-undang," katanya.

Malaysiakini/-

Lapan kampung di Baling dilanda banjir

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BALING - Lapan kampung di sekitar Kupang yang melibatkan lebih kurang 1,000 penduduk dilanda banjir awal hari ini.

Hujan lebat sejak pukul 9 malam tadi menyebabkan air Sungai Kupang melimpah dan menyebabkan banjir di sesetengah kawasan berhampiran.

Kampung terbabit termasuk kampung Landak Hilir, Belakang Panggung, Pekan Khamis, Banggol Lahar, Cenerai, Belakang Sekolah, Raja, Pekan Kupang dan kawasan di sekitar Sungai Kupang.

Menurut Ramli Mohd Nor, 36, dari kampung Landak Hilir berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumahnya seperti kerusi meja, peti ais, televisyen dan almari pakaian kerana air naik begitu cepat.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah Zulkifli Ramli ketika dihubungi berkata, JKM sedang membuat bancian mangsa banjir.

Beliau berkata, pihak JKM akan menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan.

Sementara itu, kebanyakan mangsa banjir gagal menyelamatkan kenderaan mereka ketika bertindak meninggalkan rumah.

Sinar Harian/-

Letupan kilang senjata di Yemen, 70 maut

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ADEN - Satu letupan di sebuah kilang senjata di bandar Jaar, selatan Yemen meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa, sementara 90 lagi dilaporkan cedera.

Pegawai kerajaan, Mohsen Salem berkata, kejadian yang turut mengorbankan kanak-kanak itu berlaku sehari selepas anggota militan dipercayai al-Qaeda mencuri di kilang tersebut.

Seorang pegawai keselamatan berkata, letupan berlaku ketika berpuluh-puluh penduduk sibuk mencari senjata di dalam kilang berkenaan, namun punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Menurut saksi, kira-kira 30 lelaki bersenjata yang menutup wajah mereka mencuri di kilang tersebut, semalam dan membawa lari empat kenderaan yang sarat dengan senjata.

Kejadian itu berlaku ketika pegawai keselamatan melaporkan bahawa militan al-Qaeda telah menawan Jaar, sebuah bandar terpencil di wilayah Abyan. - AFP

Mengapa baru sekarang tawar RM5 juta

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU,: ”Pada masa itu tidak ada orang hendak tawar RM5 juta untuk beli tapak Arked MPKB... kalau ada marilah.

”Namun mengapa baru sekarang pula ditimbulkan,” kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Nazran Mohamad.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh mendakwa seorang ahli perniagaan, Sheikh Ahmad Rozi Sheikh Ahmad memberitahunya melalui telefon mahu membeli tapak Arked MPKB dengan harga RM5 juta.

”Beliau memberi komitmen untuk membuat tawaran itu dengan harga RM5 juta,” kata Fatmi pada persidangan media bersama Pengerusi Persatuan Peniaga Arked MPKB, Salim Ahmad.

Pada pilihan raya umum 2004, Sheikh Ruzi merupakan calon BN di Dun Bunut Payong. Keluarganya difahamkan tinggal di Kampung Bunut Payong.

Selepas tewas pada pilihan raya tersebut beliau tidak muncul lagi dalam politik Umno di Kota Bharu. Calon BN di Dun berkenaan digantikan Rosmadi Ismail pada pilihan raya umum 2008.

Namun tiba-tiba beliau muncul kembali kononnya mahu menawarkan RM5 juta bagi membeli tapak bazar Arked MPKB.

Nazran berkata, MPKB BRI menjual tapak bangunan tersebut kepada sebuah syarikat dengan bayaran pendahuluan hampir RM4 juta. Selain itu MPKB BRI juga memiliki kepentingan 30 peratus dalam projek yang dimajukan.

”MPKB BRI juga mendapat keuntungan lain setelah dibangunkan hotel, ruang perniagaan dan aparment.

”Selain itu kita akan boleh bayaran cukai pintu, orang ramai boleh bekerja, dari istilah ekonomi dipanggil sebagai local economic develepment,” katanya.

Ditanya mengapa tapak bangunan dijual kata beliau bangunan tersebut sudah diakui tidak selamat untuk digunakan.

Menurutnya selepas mendapat laporan tersebut MPKB BRI terpaksa mengambil tindakan membuka tawaran kepada mana-mana syarikat yang berminat.

Beliau juga berkata, peniaga di tingkat atas Arked MPKB diberi lot perniagaan baru di Bazar Tok Guru dan peniaga makanan di tingkat bawah pasar lama diberi pilihan berniaga di Bazar Tengku Anis atau berhampiran Tesco.

”Mereka sudah terima untuk berniaga di situ cuma belum lagi pergi. Kerajaan sebenarnya lebih menjaga kebajikan rakyat, di mana dibina dahulu premis perniagaan sebelum peniaga diarah berpindah.

”Hendak cari kerajaan mana yang beri kebajikan begitu rupa. Begitu juga kerajaan minta MPKB BRI beli satu tingkat di Bazar Tengku Anis bagi membolehkan peniaga menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Ditanya dakwaan Persatuan peniaga Arked MPKB lot di Bazar Tok Guru sempit katanya, persatuan mahu semua peniaga mendapat tempat di tingkat bawah.

”Pada masa itu (mesyuarat) wakil mereka setuju biar pun kecil setiap lot asalnya peniaga dapat berniaga di tingkat bawah.

”Sekarang timbul macam-macam kerenah. Kita di Kelantan lebih bernasib baik kerana kerajaan mengamalkan dasar Islam yang lebih bertimbang rasa,” katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : M Faqih

Pekerja loji nuklear Jepun cabut lari

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Kasut wanita turut diperiksa kemungkinan terkena bahan radioaktif di sebuah pusat pemindahan di Fukushima.
Tidak sedar bacaan radioaktif 10 juta adalah silap hingga gagal ukur tahap kali kedua

TOKYO: Pengendali loji nuklear Daiichi di Fukushima, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) semalam memohon maaf berikutan kesilapan bacaan tahap radiasi berikutan kebocoran di loji terbabit yang dikatakan 10 juta kali lebih tinggi sedangkan parasnya 100,000.

Jurucakap TEPCO Takashi Kurita berkata seorang pekerja di loji itu mengukur bacaan dari sistem pendingin di reaktor nombor 2 lari selepas melihat kadar terlalu tinggi hingga tidak mengambil bacaan kedua.
“Angka itu tidak tepat dan kami amat kesal kesilapan ini,” katanya. Laporan mengelirukan itu menyebabkan kegemparan dan meningkatkan kebimbangan di wilayah yang belum pulih daripada bencana gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu.

Terbaru, TEPCO mengakui cecair raioaktif sudah bocor dari reaktor Fukushima manakala pertubuhan Greenpeace menyatakan ia sudah mengesan paras tinggi radiasi di luar zon keselamatan manakala China menjadi negara terbaru mendedahkan pencemaran radiasi di wilayah utaranya, Heilongjiang, selepas Amerika dan Iceland.

Berikutan itu, pakar memberi amaran bahawa Jepun menghadapi masalah berpanjangan menyekat pencemaran radiasi itu.

“Sebuah negara tidak mampu menguruskannya. Ia memerlukan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Pada pandangan saya, perkara ini lebih penting daripada zon larangan terbang Libya,” kata Najmedin Meshkati dari Universiti Southern California.

Turut menambah kebimbangan, satu lagi gempa bumi melanda lewat semalam pada kekuatan 6.5 skala Richter meskipun tiada kematian atau kemusnahan dilaporkan.

Timbalan Presiden TEPCO, Sakae Muto yang memaklumkan bacaan radiasi dalam satu taklimat juga memohon maaf berikutan kesilapan bacaan itu.

TEPCO melaporkan paras radiasi melebihi 1,000 millisieverts sejam ditemui di permukaan air di kawasan luar reaktor dan bacaan ini adalah sama dengan tahap yang ditemui kelmarin.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika menyatakan satu dos 1,000 millisievert sudah cukup untuk menyebabkan pendarahan.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kabinet dan jurucakap kerajaan Jepun, Yukio Edano, berkata kesilapan bacaan yang dinyatakan di loji berkenaan ‘benar-benar tidak boleh dimaafkan’.

“Walaupun saya mengetahui pekerja di loji itu mungkin keletihan, ujian paras radiasi ini amat penting kerana ia akan digunakan sebagai landasan kepada langkah keselamatan yang akan diambil. Kesilapan ini tidak boleh dimaafkan,” katanya. – Reuters/Agensi

Tidak mustahil fitnah dikembalikan kepada tuannya

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 28 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan umat Islam jangan mengejutkan fitnah yang sedang tidur kerana bahayanya akan menimpa semua orang.

Menurutnya, Allah SWT menyatakan kejahatan fitnah bukan hanya terkena orang zalim sebaliknya akan terkena sesiapa sahaja.

Katanya, fitnah apabila melanda dalam masyarakat adalah seperti malam gelap gelita dan sesiapapun sudah tidak dapat membezakan siapa yang ada di hadapannya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib dalam majlis Solat Hajat dan Pidato Khas anjuran Pakatan Rakyat yang sedang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini.

(Gambar: Ribuan turut menunaikan solat hajat yang diimamkan Presiden PAS)

Tuan Ibrahim berkata sifat fitnah, ia hanya laku ketika awal sahaja selepas itu, ia akan ditolak oleh masyarakat dan rakyat.

Beliau mengaitkan fitnah isu video seks yang ditolak selepas sahaja saiz perut pelakon kelihatan berbeza.

"Kerana itu, dalam hal ini kita kena menjaga perut kita kerana kini ia sudah menjadi bahan bukti.

"Dalam zaman teknologi tinggi kini, jika perut atau bahu kelihatan berbeza, keadaan ini masih boleh dibaiki dengan editan dalam waktu sekejap sahaja," tegasnya.

Disiplin Islam, ujarnya, menegaskan setiap berita apabila ia datang wajib dikaji selidik terlebih dahulu, bukan tayang baru hendak dikaji.

Inilah yang menyebabkan berlakunya fitnah besar, ujarnya, melibatkan maruah termasuk keluarga dan sanak saudara.

"Tidak mustahil untuk Allah kembalikan fitnah itu kepada tuannya dan jadikan fitnah itu sebagi sumber kebangkitan rakyat," katanya.

Sementara itu selepas solat Isyak tadi, berlangsung solat hajat yang diimamkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut berlangsung sekarang ini adalah pidato khas oleh pimpinan PR seperti Presiden PAS sendiri, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ismail Hashim, Foto: Shukri
Harakahdaily/-

Kerajaan Libya isytihar genjatan senjata di Misrata

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

RABAT 29 Mac – Kementerian Luar Negara Libya mengisytiharkan genjatan senjata di Misrata hari ini, kata agensi berita tempatan merujuk kepada kawasan bandar di barat Libya.

“Kementerian Luar Negara...mengisytiharkan unit anti pengganas telah menghentikan serangan terhadap sasaran kumpulan pengganas.

“Bandar Misrata kini dalam keadaan selamat dan tenang di samping perkhidmatan awam sudah mula beroperasi untuk memberikan khidmat mereka kepada penduduk,” kata pihak kementerian yang dipetik oleh agensi berita Jana. – Reuters

Pihak berkuasa Syria lepaskan tembakan surai penunjuk perasaan

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

DAMSYIK 29 Mac - Pihak berkuasa Syria melepaskan tembakan bagi menyuraikan beratus-ratus penunjuk perasaan di Deraa yang menuntut untuk menamatkan darurat hari ini namun mereka berkumpul semula walaupun kerahan tentera digunakan, kata saksi.

Sekurang-kurangnya 61 terkorban sejak 10 hari berlakunya protes menentang kerajaan di bahagian selatan bandar Deraa dan menjadikan ia cabaran terhebat dalam pemerintahan Presiden Bashar al-Assad.

Bagaimanapun, Assad belum membuat sebarang tindakan mengenai protes tersebut yang telah merebak ke Latakia dan Hama namun Timbalan Presidennya, Farouq al-Shara mengatakan Assad akan memberi ucapan penting dalam masa terdekat. - Reuters

Kenyataan media ADUN titi Serong./isu penangguhan sidang DUN Perak

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Berhubung dengan kenyataan dari Speaker DUN Perak Barisan Nasinal, Ganesan yang menangguhkan tarikh persidangan DUN Perak dari 5 April kepada 12 April akan datang(gambar), dengan ini saya suka untuk memberi beberapa kenyataan seperti berikut:-

1. Bagi saya penangguhan itu menimbulkan banyak persoalan yang tidak terjawab serta boleh menimbulkan pelbagai spekulasi dan reaksi yang berbeza, apalagi Ganesan tidak memberikan sebab yang terperinci dan munasabah sebab penangguhan tersebut.

2. Saya menyokong kenyataan dari YB. Sivakumar yang mengakatan penangguhan itu ada kaitan dengan usaha untuk menghalang ADUN PR Perak untuk turun berkempen di Sarawak.

3. Jangkaan lain saya ialah adakah mungkin penangguhan itu ada kaitan dengan isu yang dikatakan bahawa ura-ura DUN Perak akan dibubarkan secara berasingan akan menjadi kenyataan?

4. Selain itu saya melihat sangat tidak munasabah tempoh yang panjang yang telah diperuntukkan selepas notis awal hampir sebulan lepas namun tarikh sidang tersebut tidak mampu dilaksanakan sesuai perencanaan awal.

5. seingat saya inilah kali pertama sidang DUN ditangguhkan di Perak selepas Pakatan Rakyat berkuasa di Perak pada MAC 2008 dan selepas BN merampas kuasa pada Februsri 2009.

KENYATAAN MEDIA/29 Mac 2011

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong.

Rakyat hidup lebih selesa tanpa BN

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Para pengundi Sarawak perlu bangkit menyanggah pemikiran lapuk dengan suatu persepsi baru bahawa tanpa BN rakyat akan hidup lebih selesa.

Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar berkata, keadilan dan kesejahteraan tidak mampu lagi ditegakkan di bawah rejim BN.

“Jangan ada peluang buat BN memerintah buat sekian kalinya, kerana puluhan tahun mereka hidup mendera rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menyeru supaya menjadikan tsunami politik tahun 2008 di Semenanjung sebagai inspirasi untuk berubah di Sarawak, kerana perubahan itulah yang akan mengubah nasib rakyat.

Katanya, rakyat di kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menikmatinya, kini tiba pula giliran pengundi di Sarawak.

Beliau juga memberitahu, pihaknya akan turun berkempen sempena pilihan raya negeri yang berlangsung pada 16 April ini dengan misi agar pengundi Sarawak memahami dengan lebih jelas penipuan dan penyelewangan yang dilakukan oleh Umno BN terhadap rakyat khususnya di negeri itu.

Selama ini, katanya rakyat mudah ditipu dengan pelbagai janji manis menjelang pilihanraya umum di mana janji pembangunan adalah janji wajib yang ditaburkan setiap kali pilihanraya berlangsung.

Tambahnya, pelbagai sogokan seperti kain pelikat, jalan raya diturap, pecah tanah, subsidi baja, hamper, wang saguhati, basikal dan macam-macam lagi adalah lumrah bagi BN.

“Selepas pilihanraya berlangsung pemimpin yang dipilih rakyat ini hilang entah ke mana bersama janji mereka.

“Rakyat pula sengaja dibiarkan hidup melarat terutamanya di kawasan pedalaman agar mereka terus berharap pemimpin BN boleh menghadirkan pembangunan,” katanya.

Katanya lagi, kemiskinan rakyat adalah kebanggaan BN kerana dalam kemiskinan itulah, rakyat akan meminta simpati mengharapkan sebekas bantuan terutama menjelang pilihan raya.

Pemimpin BN juga, ujarnya menanam dalam minda rakyat bahawa hanya BN mampu memerintah.

Selain BN, katanya pembangkang dianggap sesat dan pengkhianat di mana pemimpin Pakatan Rakyat ditohmah dengan pelbagai fitnah yang direkayasa.

“Rakyat ditipu bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, rakyat akan hidup melarat dan susah. Inilah mentaliti kelas tiga yang cuba diputarbelitkan,” katanya lagi.

Jlasnya, demokrasi sebenar hanyalah mimpi di negara ini kerana demokrasi yang dicipta hanyalah untuk menguntungkan diri pemimpin BN semata-mata.

Menurutnya, dengan penyalahgunaan jentera kerajaan, manipulasi media yang berleluasa, daftar pemilih yang diragui, serta peranan SPR yang dicurigai menjadikan demokrasi Malaysia jauh tertinggal dengan negara lain.

“Kebebasan dan hak asasi rakyat dicerobohi. Rakyat dinafikan hak mendapatkan maklumat bebas dan telus,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Hadi : Jangan Sampai Rakyat Doakan Wakil Rakyat Mati

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 28 MAC : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan BN agar tidak hanya menjalankan projek pembangunan bila ada pilihan raya.

Harakahdaily memetiknya berkata keadaan itu telah menimbulkan satu kefahaman di kalangan rakyat bahawa untuk mendapat kemudahan asas perlu berlaku pilihan raya di tempat mereka.

"Kita merasakan dukacita bila ada rakyat menunggu-nunggu wakil rakyat mati untuk mudah mendapat kemudahan asas," katanya yang juga ahli parlimen Marang ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2011 (bacaan kali kedua) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau sebelum itu membangkitkan isu kemudahan infrastruktur di beberapa kawasan khususnya pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak yang masih belum diselesaikan kerajaan biarpun sudah lebih 50 tahun memerintah.

Apatah lagi katanya, Sarawak mempunyai hasil negeri yang banyak namun rakyatnya masih dibelengu kemiskinan dan kawasan- kawasannya masih tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

"Bila ada pilihan raya kecil barulah diwarwarkan akan diadakan kemudahan-kemudahan.

"Ini pendedahan yang memalukan setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan," katanya.

Sehubungan itu beliau tidak mahu rakyat terus diperbodoh kerajaan dan menggesa kerajaan menjalankan tanggungjawab setiap masa dan bukan menunggu pilihan raya.

Hadi turut membangkitkan masalah pemantauan pemberian subsidi minyak kepada nelayan.

Merujuk kes nelayan di Terengganu, katanya nelayan kecil di negara ini terpaksa berdepan kapal armada yang memonopoli subsidi tersebut.

"Kementerian pertanian diberi peruntukan besar khususnya dalam memberi subsidi kepada nelayan.Tapi jumlah subsidi yang besar bocor, diberi kepada armada daripada kroni tertentu yang menggunakan pekerja asing daripada Vietnam, Thailand dan sebagainya.

"Mereka memunggah minyak subsidi dengan banyak sehingga sukar nelayan tempatan mengambil minyak di stesen-stesen minyak kerana diganggu oleh armada yang besar," katanya.

Tambahnya, meskipun ada tindakan daripada pihak terbabit berkaitan perkara ini, namun ia seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja.

Situasi yang sama katanya terus berlaku dengan golongan nelayan terus tertindas.

"Semua tahu armada ini menjual minyak subsidi ini di laut.Walaupun sebelum ini ada tindakan diambil kepada individu tertentu tetapi seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja.

“Ini satu kebocoran subsidi yang tidak dinikmati rakyat yang berhak menerimanya," katanya.

Harakahdaily

Karnival BN bukti pengangguran serius

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya bahawa 300,000 orang dilaporkan mengunjungi karnival BN Youth Jobs membuktikan bahawa anak muda terutama di kalangan graduan mengalami masalah pengangguran dan pekerjaan tidak mengikut taraf pendidikan yang serius.

Pengarahnya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, berdasarkan jawapan parlimen dan kenyataan akhbar oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam pada Jun 2010 dan statistik Jabatan Perangkaan Jun lepas, menyatakan kadar pengangguran adalah pada tahap 3.7 peratus atau sekitar 426 600 orang yang menganggur.

Daripada 426 600 ribu ini, 7.5 peratus atau sekitar 32 000 adalah penganggur di kalangan graduan.

“Kadar pengangguran ini sudah cukup membuktikan bahawa generasi muda masih dalam krisis pekerjaan,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Maka, ujarnya tidak hairan kehadiran yang ramai ke karnival itu menuntut tindakan yang lebih tegas menyelesaikan masalah pengangguran.

Katanya, karnival semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah graduan menganggur dan graduan bekerja tidak mengikut taraf pendidikan.

Ini, tambahnya melibatkan langkah kerajaan mengurus ekonomi dan tatakelola yang baik bagi membanyakkan peluang pekerjaan baik di peringkat kerajaan mahupun swasta.

Menurutnya, dasar kerajaan Barisan Nasional yang boros, mengkayakan syarikat kroni dengan projek mega dan masalah rasuah yang melebar dalam pentadbiran kerajaan menjadikan negara muflis dan akhirnya dana bagi membaiyai peluang-peluang pekerjaan dikurangkan di peringkat kerajaan dan pelabur tidak berminat melabur akibat rasuah dan dasar ekonomi yang berat sebelah.

“Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia ingin menegaskan bahawa masalah pengangguran di kalangan generasi muda terutama graduan adalah masalah yang membelenggu kelompok ini,” katanya.

Justeru, ujarnya karnival semata-mata bukanlah tindakan mapan yang mampu menyelesaikan masalah pengangguran jangka masa panjang.

Tambahnya, dasar ekonomi yang lebih adil, menghapus rasuah adalah merupakan prinsip penting bagi membanyakkan peluang pekerjaan dalam negara.

Harakahdaily/-

Media Umno Berpura Dungu Berhubung Facebook dan Twitter

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Manusia merancang namun Tuhan menentukan – ungkapan ini yang dikitar berulang kali, sekali lagi menyerlah dan menunjukkan hikmahnya dalam fitnah video lucah yang cuba dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perancangan begitu licik yang disusun untuk oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shazryl Eskay termasuk mendapatkan pelakon yang mirip wajah Anwar (tetapi bukan perutnya) terbongkar apabila berdepan dengan aturan hidup Anwar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

Kepemimpinan Umno yang merestui fitnah yang didalangi oleh Rahim dan Eskay tidak mengambilkira kebarangkalian Anwar menggunakan Twitter pada masa sama perbuatan sumbang itu dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Tetapi hakikatnya itulah yang berlaku dan bukti diterjemahkan menerusi sembilan pesanan Twitter yang di hantar sendiri oleh Anwar mulai 10.38 malam hingga 11.06 malam pada 21 Februari lalu.

Rakaman video lucah, sebagaimana yang diterangkan oleh Eskay sendiri kepada wartawan, dibuat di antara pukul 10.20 hingga 10.41 malam.

Seperti yang diperjelaskan pula oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, semua laporan oleh mereka yang menonton video itu setakat ini tidak mengesan si pelaku melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan Twitter.
Jika ada, maka tentulah hebat orangnya!.

Bukti Twitter Anwar itu diperkuatkan dengan pengakuan tiga orang yang menyaksikan video lucah itu atas jemputan Eskay dan Rahim Thamby Chik iaitu Ahli Parlimen Sungei Petani Datuk Johari Abdul, bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shahrin dan wartawan Harakah Wan Nordin Wan Yaakob.

Ketiga-tiga mereka menonton video itu secara berasingan tetapi memberi perakuan sama – iaitu pelaku dalam rakaman mempunyai iras wajah Anwar tetapi bukan susuk badan dan bahasa tubuh (body language atau mannerism) Ketua Pembangkang itu.

Segala pengakuan tiga individu ini sama ada dipadamkan begitu sahaja atau dimanipulasi oleh Utusan Malaysia dan blogger upahan Umno.

Manakala bukti-bukti catatan Twitter oleh Anwar seperti yang dijelaskan oleh Rafizi tidak langsung diberikan ruangan dalam Utusan Malaysia.
Sebaliknya akhbar itu dan blog-blog upahan Umno terus mendakwa kononnya twitter Anwar hanya menunjukkan catatan pada pukul 11.38 malam, kononnya apabila rakaman video lucah itu selesai.

Laporan itu jelas bermotif fitnah semata-mata, kerana, sebagaimana yang diterangkan oleh Rafizi, catatan Twitter di Malaysia adalah sejam lebih awal kerana ia berlandaskan waktu yang dirakam oleh server Twitter di San Francisco, Amerika Syarikat.

Server berkenaan terikat kepada zon waktu Amerika Syarikat yang diubah ketika musim sejak antara November hingga Mac dan memberi kesan kepada waktu catatan twitter di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Apa yang jelas ialah fitnah Rahim Thamby Chik dan Shazryl Eskay digunakan secara licik oleh pucuk pimpinan Umno untuk menggerakkan serangan terbaru terhadap Anwar menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak.

Justeru media arus perdana Utusan Malaysia sekali lagi kelihatan diarah untuk memainkan isu Twitter dan Facebook bagi menguatkan fitnah terhadap Ketua Pembangkang itu.

Namun kedangkalan dan niat jahat Umno, Utusan dan blog-blog upahan parti itu mengenai Twitter dan Facebook tetap terserlah dan memerangkap diri.

Penjelasan Rafizi hari ini bukan maklumat rahsia. Ia boleh diperolehi daripada sesiapa yang arif mengenai Twitter dan Facebook.

Namun maklumat yang benar hanya akan diperolehi oleh orang yang mencari kebenaran, bukan pihak yang mahu menghalalkan fitnah dengan pembohongan demi pembohongan.

Bagaimanapun persoalan yang masih tinggal adalah sama ada Anwar akan “dibebaskan” oleh polis bersabit video lucah ini.

Mereka yang arif mengenai politik Umno tidak akan terkejut jika fitnah video ini dibiarkan berlarutan dan polis “memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan terperinci.”

Pada masa sama, Utusan Malaysia, blog dan media kawalan Umno yang lain akan terus “memerah” fitnah video seks ini sebaik mungkin dalam perang untuk menghakis sokongan rakyat terhadap Anwar.

Janganlah terkejut, jika pada hari-hari yang menjelang ini, video itu dimuatkan dalam Youtube dan rakyat digesa persetankan bukti Twitter dan Facebook Anwar bahawa rakaman itu adalah fitnah semata-mata.

Siri demostrasi dan tunjuk perasaan oleh Perkasa, Umno dan badan-badan bukan kerajaan akan sekali lagi dianjurkan di seluruh pelosok negara, mendesak Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berundur dari politik.

Malah, jangan tolak kemungkinan Tan Sri Rahim dan Eskay dianugerahkan darjah kebesaran (mungkin oleh Yang di Pertua Melaka) dan diangkat menjadi wira baru Umno sebagai penyelamat bangsa Melayu.

Umno amat berpengalaman dalam permainan ini.

Tv Selangor/-

Video Tsunami ke-2 membadai Jepun

24 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -



Klip video ini dirakam dari atas bangunan di Kesennuma, kira-kira 300 mil sebelah utara-timur Tokyo, rakaman menunjukkan gelombang air mengalir melanda tebing pantai di sepanjang Kesennuma Bay ketika penggera tsunami berbunyi.

Kerajaan Jepun dan US Geological Survey mengumumkan bahawa berlaku gempa bumi berkekuatan 6.5 melanda pantai timur laut Jepun hari ini. Ia juga berlaku di Wilayah Miyagi, di mana terletaknya Kesennuma dan bandar-bandar lain. Badan Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami untuk pantai Pasifik wilayah Miyagi, tetapi kemudian amaran itu ditarik balik.