21 March 2011

Pakatan nafi lelaki dalam video seks Anwar

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
The Malaysian Insider.

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Pakatan Rakyat (PR) menafikan lelaki yang didakwa dalam rakaman video, melanggan seorang pelacur di sebuah hotel di ibu negara akhir bulan lalu sebagai Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini (rakaman) video Anwar yang direka,” kata pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Ia bukan Datuk Seri Anwar. Ini satu lagi usaha Barisan Nasional (BN) untuk memberi persepsi umum bahawa beliau seorang yang tidak bermoral, yang tidak layak untuk menerajui negara ini,” kata anggota biro politik PAS Khalid Samad kepada The Malaysian Insider.

Naib presiden PKR Chua Tian Chang juga mendakwa BN semakin terdesak, “beralih daripada isu-isu besar seperti pilihan raya dan dasar kepada serangan peribadi.”

Pagi tadi, seorang lelaki yang menamakan dirinya “Datuk T” mempertontonkan rakaman video menunjukkan seorang pemimpin kanan PR sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita, dipercayai pelacur asing dari China.

Video 21 minit itu, dalam empat segmen, menggambarkan pemimpin tersebut yang juga seorang Ahli Parlimen mengadakan hubungan seks di sebuah hotel di sini, dilihat akan menggegarkan arena politik negara sekali lagi.

Ia yang dirakamkan pada 21 Februari lalu dipertunjukkan kepada media di sebuah hotel di sini pagi ini.

Menurut Datuk T, beliau mahu media menonton rakaman tersebut sebelum dia menghantarkannya kepada pemimpin berkenaan dan isterinya.

Malah katanya, jika pemimpin politik itu mengenal pasti dia adalah tuan punya diri dalam rakaman tersebut, maka dia dan isterinya harus meletakkan jawatan.

Datuk T mendakwa lelaki dalam rakaman video itu bukan seorang yang bermoral tinggi dan oleh itu, tidak layak bertindak sebagai pemimpin.

Dalam satu kenyataan yang turut diedarkan kepada media, yang tertera nama pemimpin tersebut, dikatakan bahawa ahli politik tersebut pergi ke hotel yang menawarkan khidmat seks dan kemudahan SPA.

Selepas pemimpin itu meninggalkan hotel, dia sedari bahawa dia tertinggal jam tangan jenama Omega di bilik dia memperoleh khidmat seks.

“Saya diminta mendapatkan jam tangan di bilik tersebut. Oleh kerana saya tidak nampak jam tangan pada meja, saya memeriksanya di belakang tempat persolekan. Saya terkejut melihat banyak wayar di belakangnya,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, wayar berkenaan disambungkan ke CCTV yang kemudiannya didapati merakamkan hubungan seks pemimpin itu dengan pelacur tersebut.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam memoirnya yang dipasarkan awal bulan ini mendakwa bekas timbalannya itu pernah dibekalkan dengan empat wanita untuk khidmat seks pada 1990-an.

Anwar, yang kini berhadapan dengan kes liwat keduanya, telah menafikan tulisan Dr Mahathir itu.

Akhir 2007, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memutuskan untuk meletakkan jawatan selepas didapati muncul dalam rakaman video seks.

Pada 1989, bekas setiausaha agung MIC D. P. Vijandran telah dipaksa meletakkan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat berikutan kontroversi video seks.

SPR guna senarai pemilih sehingga 31 Dis. 2010

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING 21 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan senarai pemilih yang didaftarkan sehingga 31 Disember 2010 untuk pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah ketika dihubungi Bernama di sini hari ini berkata, berdasarkan senarai pemilih itu, seramai 979,796 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri ke-10 itu.

"Dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini maka hanya pemilih yang mendaftar setakat 31 Disember 2010 sahaja yang layak untuk mengundi,” katanya.

Pagi ini Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof esok.

Utusan Malaysia/-

Tujuh maut dalam runtuhan selepas lombong meletup

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

QUETTA, Pakistan 21 Mac - Sekurang-kurangnya tujuh pelombong maut manakala 41 lagi masih terperangkap di bawah runtuhan selepas satu letupan berlaku menyebabkan lombong arang batu di wilayah Baluchistan runtuh.

Jumlah keseluruhan pelombong yang dapat dikenalpasti adalah seramai 48 orang.

Menurut pihak berkuasa, peluang mangsa yang tertimbus hidup amat tipis kerana lombong tersebut mempunyai kedalaman 1,200 meter.

Utusan Malaysia/-

Ali Abdullah Saleh pecat semua anggota Kabinet Yemen

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SANAA 21 Mac - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh memecat semua ahli kabinetnya semalam ketika penunjuk perasaan mendesak peletakan jawatannya.

Keputusan tersebut dibuat selepas tiga menteri mengundurkan diri dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini sebagai protes ke atas kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang menuntut pengunduran diri Ali Abdullah.

Utusan Malaysia/-

Chelsea hidupkan peluang pertahan gelaran

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

LONDON: Penyandang juara, Chelsea menghidupkan peluang merebut tahta kejuaraan apabila menumpaskan Manchester City 2-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, di Stamford Bridge, awal pagi tadi.

Gol Chelsea diperoleh menerusi tandukan David Luiz sebelum separuh masa pertama tamat dan Ramirez menambah gol kedua pada minit ke-92.
Kemenangan itu bermakna Chelsea merampas tempat City di kedudukan ketiga liga dan hanya sembilan mata memisahkannya dengan pendahulu, Manchester United.

Berita Harian/-

MUI: Fatwa Kopi Luwak (Tahi Musang) Halal

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Kopi Luwak adalah seduhan kopi menggunakan biji kopi yang diambil dari sisa kotoran luwak/musang kelapa. Biiji kopi ini diyakini memiliki rasa yang berbeda setelah dimakan dan melewati saluran pencernaan luwak. Kemasyhuran kopi ini di kawasan Asia Tenggara telah lama diketahui, namun baru menjadi terkenal luas di peminat kopi gourmet setelah publikasi pada tahun 1980-an. Biji kopi luwak adalah yang termahal di dunia, mencapai USD100 per 450 gram.

Kemasyhuran kopi ini diyakini karena mitos pada masa lalu, ketika perkebunan kopi dibuka besar-besaran pada masa pemerintahan Hindia Belanda sampai dekade 1950-an, di mana saat itu masih banyak terdapat binatang luwak sejenis musang.



Luwak, atau lengkapnya musang luwak, senang sekali mencari buah-buahan yang cukup baik dan masak termasuk buah kopi sebagai makanannya. Luwak akan memilih buah kopi yang betul-betul masak sebagai makanannya, dan setelahnya, biji kopi yang dilindungi kulit keras dan tidak tercerna akan keluar bersama kotoran luwak. Biji kopi seperti ini, pada masa lalu sering diburu para petani kopi, karena diyakini berasal dari biji kopi terbaik dan telah difermentasikan secara alami dalam perut luwak. Dan konon, rasa kopi luwak ini memang benar-benar berbeda dan spesial di kalangan para penggemar dan penikmat kopi.

Kopi Luwak yang diberikan oleh Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono kepada PM Australia, Kevin Rudd, pada kunjungannya ke Australia di awal Maret 2010 menjadi perhatian pers Australia karena menurut Jawatan Karantina Australia tidak melalui pemeriksaan terlebih dahulu. Pers menjulukinya dung diplomacy.

Melalui fatwa nomor 4, 20 Juli 2010, Majelis Ulama Indonesia atau MUI menyatakan bahwa kopi luwak, yakni kopi yang diolah dari biji kopi yang diambil dari kotoran hewan luwak (musang), termasuk halal atau boleh dikonsumsi umat Islam. Namun, biji kopi luwak harus melalui pencucian terlebih dahulu sebelum dapat dikatakan halal.

"Statusnya biji kopi luwak adalah mutanajis, artinya suatu benda yang terkena najis. Mutanajis itu jika dibersihkan, dicuci, maka biji kopi itu suci, halal, bisa dikonsumsi," ujar Wakil Sekretaris Komisi Fatwa MUI Aminudin Yakub, Selasa (20/7/2010).

Aminudin mengatakan, fatwa kopi luwak tersebut dikeluarkan MUI untuk menjawab pertanyaan masyarakat mengenai halal atau tidaknya kopi yang diambil dari kotoran hewan tersebut. Menurutnya, MUI telah melakukan kajian dan menemukan bahwa hewan luwak hanya memakan kulit luar buah kopi dan menyisakan kulit tanduk buah kopi. "Dan kalau ditanam, biji kopi itu bisa tumbuh. Dengan demikian, itu bukan najis, melainkan mutanajis," katanya.

Mutanajis berbeda dengan najis. Apa yang dikatakan najis, menurut Aminudin, salah satunya, adalah suatu benda yang dilarang untuk dikonsumsi umat Islam, seperti daging babi. Namun, mutanajis adalah kondisi ketika suatu benda terkena najis yang dapat dikatakan halal jika dibersihkan.

Disebabkan permintaan di dunia banyak meningkat, Kopi Luwak yang dihasilkan di Indonesia tidak dapat memenuhi permintaan para penggemarnya.


Kopi Luwak merupakan antara kopi yang termahal di dunia. Biji kopi ini diperolehi dari tahi melalui penghadaman musang di Indonesia, kemudian diproses menjadi Kopi Luwak.

Kopi Luwak dijual hingga 800 dolar Amerika sekilogram. Minuman kopi ini dijual kira-kira 100 dolar Amerika secawan di London.

Ulasan tentang kenyataan Mufti Perak di dalam Sinar Harian, 18 Mac

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

1. Pengertian

Di dalam membahaskan tentang tajuk ancak, terdapat 3 khurafat di dalam masyarakat Melayu yang hampir sama, yang perlu dihuraikan di sini. Ketiga-tiga perkara ini bercanggah dengan syara’ disebabkan beberapa unsur yang akan dibentangkan selepas ini, insya Allah

Pertama : Ancak

Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.

Ancak juga di gunakan sebagai "jamu" untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-Nenek atau Jembalang-jembalang keturunan.

(Haji Ahmad bin Haji Che Din, Satu Penilaian Terhadap Perubatan Tradisional Melayu, Adat Resam Masyarakat Melayu Islam, Latihan Pertahanan Diri Melayu, Perkara-perkara Khurafat dan Ajaran-ajaran Sesat 1 Ogos 1997, versi pdf)

Kedua : Sangkak

Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah di proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih sebagai " jamu " bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampung tersebut pada tahun itu.

Kemian diletakkan bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan wangi yang sangat disukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut. Terdapat dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan sebagainya.

Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.

(Haji Ahmad bin Haji Che Din, Satu Penilaian Terhadap Perubatan Tradisional Melayu, Adat Resam Masyarakat Melayu Islam, Latihan Pertahanan Diri Melayu, Perkara-perkara Khurafat dan Ajaran-ajaran Sesat 1 Ogos 1997, versi pdf)

Ketiga : Tiang Seri

Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi, emas, perak atau tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.

Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Tok Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada diganggu oleh Jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu Jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

(Haji Ahmad bin Haji Che Din, Satu Penilaian Terhadap Perubatan Tradisional Melayu, Adat Resam Masyarakat Melayu Islam, Latihan Pertahanan Diri Melayu, Perkara-perkara Khurafat dan Ajaran-ajaran Sesat 1 Ogos 1997, versi pdf)

Kesimpulan

Ancak, sangkak dan tiang seri adalah antara alat yang digunakan untuk satu upacara. Apa yang akan saya bahaskan di sini ialah “ancak dari perspektif upacara”. Peralatan itu sendiri tidak diharamkan, sebaliknya apa yang diharamkan ialah penyalagunaan alatan-alatan itu. Insya Allah perbahasannya selepas ini.

2. Hukum Berkaitan Ancak

Berdasarkan maksud yang saya bentangkan di atas, ancak diharamkan disebabkan beberapa perkara, antaranya ialah :

1. Haram disebabkan “jamu” untuk jin yang dikatakan menjaga kampung
2. Haram disebabkan meminta bantuan jin dalam perkara yang menyalahi syara’
3. Haram disebabkan upacara yang menyalahi syara’, seperti upacara pemujaan dan lain-lain

Ancak bukanlah diharamkan disebabkan peralatan yang digunakan, sebaliknya upacara tersebut. Ia menjadi haram atau dikatakan khurafat disebabkan menjamu jin yang dikatakan menjaga kampung, atau menjaga rumah yang didirikan tersebut. Dan hukum meminta bantuan jin.

Di dalam Sinar Harian bertarikh 18 Mac, Tan Sri Mufti Negeri Perak hanya mengemukakan hujah menyatakan perkara tersebut tidak haram disebabkan alatan-alatan yang dikemukakan berdasarkan rujukan Kitab Tajul Muluk, yang akan saya ulas selepas ini, insya Allah.

Maka, ancak tidak dikatakan haram sekiranya tiada unsur menjamu jin yang kononnya menjaga rumah yang tiang serinya didirikan melulai upacara ini. Ia juga diharamkan disebabkan meminta bantuan jin, di dalam urusan yang menyalahi syara’.

Bahkan, apa yang dikatakan haram ialah upacara itu sendiri. Iaitu upacara pemujaan, walaupun menggunakan peralatan yang berbeza. Contohnya pemujaan Black Metal zaman ini tidak menggunakan pulut kuning, daun pisang dan lain-lain. Tetapi tetap haram kerana terdapat unsur pemujaan.

Maka, pengharaman sesuatu upacara tersebut bukanlah disebabkan peralatan yang digunakan, sebaliknya upacara itu sendiri yang mengandungi unsur-unsur kepercayaan (akidah) yang songsang. Antaranya :

1. Mempercayai kekuatan jin atau makhluk halus untuk menjaga
2. Meminta bantuan selain daripada Allah kepada makhluk halus
3. Mempercayai alatan-alatan yang digunakan boleh memberi kuasa, contoh beras kuning yang dikatakan boleh memberi semangat

(Sila rujuk Haji Abdul Hamid@Yusoff bin Yunus, Penjelasan Terhadap 58 Ciri-ciri Ajaran Sesat Di Malaysia, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Perkara ini juga telah dihuraikan di dalam web JAKIM tentang Ciri-ciri Khurafat dan Tahyul :

(c) Cerita-cerita yang bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.

(d) Cerita-cerita yang berbentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’ bagi tujuan memudharatkan orang lain dan menyeleweng dari akidah Islam

(e) Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan yang tertentu.

(http://www.islam.gov.my/sites/default/files/garisan_panduan_bercetak_2.pdf)

3. Ulasan Kenyataan Mufti Perak

Apa yang ingin saya ulas di sini ialah tentang sikap Tan Sri Mufti Perak. Sebagai seorang mufti, beliau perlu berdisiplin sebagai seorang mufti. Antaranya yang boleh dipertikaikan ialah :

Pertama : Sumber Yang Diragui

Seorang mufti perlulah mengemukakan sumber rujukan yang tepat, bukanlah sumber-sumber yang bersifat “lemah” untuk dijadikan hujah. Antara rujukan yang dikemukakan oleh beliau ialah Kitab Tajul Muluk dan Kamus Dewan untuk mendefinisikan Ancak dan mengemukakan bahawa ia bukanlah Ancak.

Dalam masa yang sama, Kitab Tajul Muluk telah diharamkan oleh JAKIM sejak 2007 lagi. (sila rujuk http://www.islam.gov.my/ppi/BhnHaram/bm/T.pdf). Bagaimanakah seorang mufti boleh menggunakan kitab yang telah diharamkan oleh JAKIM untuk mengeluarkan fatwa?

Selain itu, beliau juga tidak boleh berpegang dengan pengakuan si pelaku semata-mata, kerana berkemungkinan orang yang melakukan upacara tersebut (Menteri Besar) menyeleweng daripada apa yang terjadi. Antara skop kajian seorang mufti antaranya seperti video, saksi orang ramai (yang boleh dipercayai) dan sebagainya.

Video tersebut hendaklah rakaman yang boleh dipercayai, atau diakui sah. Sekiranya terdapat manipulasi di dalam video tersebut, ia tidak boleh diterima pakai sebagai bahan bukti.

Kedua : Hujah Tidak Kukuh

Apa yang ingin dibincangkan di sini ialah, adakah ancak itu hanya berdasarkan alatan yang digunakan sahaja? Beliau hanya menyatakan di dalam akhbar Sinar Harian bahawa ia bukanlah ancak. Tetapi adakah ia bermakna apa yang dilakukan oleh Dato’ Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir itu adalah upacara yang tidak berlanggar dengan syara’?

Sebab itulah di permulaan penulisan ini, saya telah mengemukakan maksud ancak, dan amalan-amalan khurafat yang hampir sama maksudnya dengan ancak. Ia bertujuan supaya kita mengetahui bahawa sesuatu perbuatan tersebut bukanlah berdasarkan pada namanya, tetapi dikira berdasarkan apa yang terkandung di dalamnya.

Beliau menyatakan :

Dalam upacara Menteri Besar, jelas menunjukkan tiada peralatan atau perbuatan yang membuktikan ia adalah upacara ancak

Ancak yang kita bincangkan di sini bukanlah pada namanya atau peralatan yang digunakannya semata-mata. Sebaliknya berdasar upacara tersebut. Ancak yang dimaksudkan di sini adalah nama sebuah upacara, bukanlah nama peralatan yang digunakan.

Maka, Tan Sri Mufti hendaklah merujuk kepada rujukan yang lebih tepat, contohnya di dalam kitab Usul 20 karangan Imam Hassan al Banna yang ada menyatakan bahawa “sesuatu itu dihukumkan berdasarkan isi kandungannya, bukan berdasarkan namanya” Perkara ini akan dihuraikan selepas ini, insya Allah.

Di dalam akhbar tersebut, Tan Sri Mufti hanya menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak bercanggah dengan syara’. Kemudian beliau mengulas tentang maksud ancak, dan menafikan apa yang dilakukan oleh Dato’ Seri Zambry sebagai upacara ancak. Saya tidak nampak sebarang hujah yang menjadi sandaran beliau untuk “membolehkan” perbuatan tersebut.

Ketiga : Berubah Pendirian

Seorang mufti juga perlu bersifat tegas dalam mengeluarkan fatwa. Tidak sepatutnya bagi seorang mufti mengeluarkan fatwa pada hari ini, kemudian pada esoknya dia berubah pandangan, sedangkan perbuatan haram yang sama juga dilakukan.

Sebelum ini, beliau pernah menyatakan bahawa ancak itu haram, tetapi pada hari ini beliau telah mengubah pandangan menyatakan bahawa itu bukanlah ancak. Perlu diingat, walaupun ia bukan ancak sekalipun, ia tetap haram sekiranya terdapat unsur-unsur khurafat sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini.

Di dalam kitab Adabul Fatwa, Mufti Wal Mustafti karangan Imam Nawawi RA telah menyenaraikan banyak sikap seorang mufti yang perlu. Antaranya ialah bersikap tegas terhadap fatwa yang dikeluarkan.

(Sila rujuk Imam Nawawi, Adabul Fatwa, Mufti Wal Mustafti, Saa’id.net, hal. 13)

Sebelum seorang mufti mengeluarkan fatwanya, beliau perlu mengkaji sedalam-dalamnya terhadap apa yang dilakukan oleh Dato’ Seri Zambry tersebut.

Imam Nawawi menukilkan kalam Abu Amru bin as Solah di dalam kitab tersebut :

وينبغي أن يكون كالراوي في أنه لا يؤثر فيه قرابة وعداوة،‏ وجرّ نفع ودفع ضر،‏ لأن المفتي في حكم مخبرٌ عن الشرع بما لا اختصاص له بشخص

Sepatutnya bagi seorang mufti itu, seperti perawi hadis. Iaitu, dia tidak terpengaruh disebabkan kaum kerabat, dan musuh. Juga tidak terkesan dengan sebarang pemberian atau ancaman bahaya. Ini kerana mufti pada hukumnya, merupakan penyampai berita tentang syara’, yang tiada pengkhususan kepada seseorang individu.

(Imam Nawawi, Adabul Fatwa, Mufti Wal Mustafti, Saa’id.net, hal. 5)

Sebagaimana yang telah saya sebutkan, beliau tidak boleh berpegang dengan pengakuan si pelaku semata-mata, kerana berkemungkinan orang yang melakukan upacara tersebut (Menteri Besar) menyeleweng daripada apa yang terjadi. Antara skop kajian seorang mufti antaranya seperti video, saksi orang ramai (yang boleh dipercayai) dan sebagainya sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini.

4. Ulasan Tentang Apa Yang Dilakukan Oleh Dato’ Seri Zambry

Berdasarkan video yang telah disiarkan oleh Perak Today, saya dapat menyimpulkan bahawa upacara tersebut adalah di antara khurafat masyarakat Melayu, berdasarkan beberapa sebab yang jelas. Saya tidak akan menyentuh unsur-unsur yang tidak jelas, yang akan saya ulas selepas ini. Insya Allah.

Antara perjalanan upacara tersebut ialah, terdapat pembacaan doa sebelum upacara. Kemudian sesuatu yang berwarna putih (mungkin tepung) ditaburkan pada tapak tiang, dan seterusnya proses renjisan dengan menggunakan sejenis daun (tidak dikenal pasti) ke tempat meletakkan tiang di tengah-tengah tapak rumah. Setelah itu, tiang tersebut diletakkan di tempat renjisan tersebut, dan dinaikkan. Akhir sekali, tiang tersebut diikat dengan kain merah dan diselitkan daun yang digunakan untuk merenjis tadi, pada kain tersebut.

(http://www.youtube.com/watch?v=4AzHKLhnNrQ)

Apa yang boleh dilihat di sini ialah, satu upacara yang tidak boleh dianggap sebagai “majlis perasmian” yang biasa dilakukan. Jelas, ia merupakan satu upacara yang dikatakan sebagai adat yang songsang kerana apa yang dilakukannya boleh menimbulkan persoalan, antaranya :

1. Kenapa air direnjiskan ke lubang tiang tersebut?
2. Kenapa diikat kain merah pada tiang tersebut setelah didirikan?
3. Kenapa ditaburkan tepung pada tapak untuk dipasakkan tiang?
4. Kenapa ia daun yang digunakan untuk merenjis, diikat bersama kain merah pada tiang?
5. Dan sebagainya

Apa yang dilakukan ini jelas terdapat unsur pengamalan adat-adat Melayu yang songsang, antaranya seperti :

1. Upacara mendirikan rumah baru
2. Upacara menurunkan perahu/kapal yang baru ke laut
3. Kenduri tolak bala
4. Upacara persandingan
5. Upacara lenggang perut
6. dan lain-lain

(Haji Ahmad bin Haji Che Din, Satu Penilaian Terhadap Perubatan Tradisional Melayu, Adat Resam Masyarakat Melayu Islam, Latihan Pertahanan Diri Melayu, Perkara-perkara Khurafat dan Ajaran-ajaran Sesat 1 Ogos 1997, versi pdf. hal 36-38)

Setiap upacara yang dilakukan di atas, terdapat kaedah-kaedahnya yang tersendiri. Dan ada kaedah yang berbeza berdasarkan perbezaan tok bomoh yang melakukannya.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk melakukan upacara tersebut, sebaliknya hanya membantu untuk menaikkan tiang sahaja. Apa yang ingin saya ulas di sini ialah :

1. Berkemungkinan beliau jahil tentang upacara-upacara yang bercanggah dengan syara’, lalu menyertainya. Hukumnya tetap haram, walaupun seseorang itu jahil tentangnya. Apabila sudah mengetahui pengharamannya, seseorang itu wajib bertaubat.

2. Niat yang baik tidak dapat menghalalkan sesuatu perbuatan yang haram (al Qaradhawi, al Halal Wal Haram Fil Islam, Maktabah Wahbah, cet. 24, 1997, hal. 33)

3. Kejahilan dan taqlid buta menjadi unsur utama berlakunya amalan-amalan sesat dan khurafat.

5. Hujah Pengharaman

Berdasarkan kenyataan Tan Sri Mufti dan Dato’ Seri Menteri Besar, ingin saya kemukakan beberapa hujah yang mengharamkan perbuatan tersebut, seterusnya memperbetulkan kenyataan Tan Sri Mufti.

Pertama : Haram Pada Upacara Bukan Pada Alat

Pengharaman sesuatu amalan, bukanlah disebabkan peralatan yang digunakan semata-mata. Sebaliknya ia haram disebabkan upacara sesat yang dilakukan. Perkara ini telah disebutkan oleh Dr Ali Jum’ah, Mufti Mesir di dalam kitab beliau al Bayan Lima Yashgahul Azhan Siri Pertama ketika mengulas penyalahgunaan media elektronik.

Beliau menyatakan bahawa media elektronik tidaklah diharamkan, sebaliknya apa yang diharamkan adalah penyalahgunaan barang tersebut. (sila rujuk Syeikh Ali Juma’ah, al Bayan Lima Yashgahul Azhan, Siri Pertama, Maktabah al Wabil As Soyyid, hal. 254)

Az Zaila’ie menyatakan di dalam kitab Tabyinul Haqa’iq menyebut tentang haiwan yang disalahgunakan seperti ayam yang digunakan untuk bersabung, dan sebagainya bukanlah haram pada binatang tersebut, sebaliknya diharamkan pada perbuatan itu.

Lalu beliau berkata :

Ini kerana, bukanlah disebabkan objek (binatang) itu yang dikatakan sebagai satu kemungkaran, akan tetapi kemungkaran itu disebabkan penyalahgunaannya.

(az Zaila’ie, Uthman bin Ali, Tabyinul Haqa’iq, cet Darul Kitab Islami, Kaherah, jilid 3, hal. 296/297)

Syeikh Yusof al Qaradhawi menyatakan di dalam qaradawi.net :

العبرة بالمسميات والمضامين، لا بالأسماء والعناوين
Sesuatu perkara itu dikira berdasarkan ciri-ciri dan isi kandungnya, bukan pada namanya dan tajuknya.

(http://www.qaradawi.net/site/topics/article.asp?cu_no=2&item_no=4464&version=1&template_id=254&parent_id=1)

Sepertimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, walaupun alat yang digunakan berbeza, tetapi apabila upacara tersebut adalah upacara pemujaan misalnya, maka ia tetap haram. Haramnya upacara tersebut disebabkan pemujaan tersebut, bukannya diharamkan disebabkan peralatan yang digunakan semata-mata.

Kedua : Haram Disebabkan Terdapat Unsur Khurafat

Di dalam rakaman video Perak Today, jelas menampakkan terdapat beberapa unsur khurafat. Antara bentuk-bentuk khurafat yang telah disiarkan di dalam web rasmi JAKIM seperti berikut :

(a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan seumpamanya.

(b) Kepercayaan kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.

(c) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya, umpamanya adat memuja kampung.

(d) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat
memuja semangat padi.

(e) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti menanguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana dianggap sebagai isyarat benda tidak baik akan berlaku.

(f) Percaya kepara ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu.

(g) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur

(http://www.islam.gov.my/sites/default/files/garisan_panduan_bercetak_2.pdf)

Sebab itulah sebelum ini saya menyatakan bahawa sesuatu perkara itu bukan dikira pada namanya, tetapi ia dikira berdasarkan ciri-ciri, bentuk-bentuk dan sebagainya. Maka, saya tidak ingin mengulas panjang tentang peralatan yang digunakan, ataupun nama upacara tersebut.

Sebaliknya saya mengetengahkan bentuk-bentuk upacara tersebut, yang menjadi hujah pengharamannya.

Setiap item yang telah disenaraikan oleh JAKIM di atas, terdapat dalil-dalil yang disandarkan kepadanya. Namun, tidak perlu untuk dipanjang lebarkan perbahasannya di sini.

Perkara yang perlu diberi perhatian ialah, unsur-unsur khurafat di dalam upacara yang dihadiri oleh Dato’ Seri Zambry ialah seperti menabur tepung di tapak tiang, merenjis air ke dalam lubang tersebut, menggunakan daun tertentu untuk merenjis, kain merah diikat pada tiang yang dipasakkan di tengah-tengah tapak rumah dan diikat bersama daun tadi.

Persoalan saya, kenapa menggunakan peralatan seperti itu? Dan kenapa upacaranya sebegitu? Seperti biasa kita menyaksikan gimik Majlis Perasmian dengan memotong reben, tandatangan pada plak, peletakan batu asas dan lain-lain.

Kita tidak melihat gimik perasmian kali ini seperti itu, sebaliknya ia diadakan seperti satu upacara yang tidak dilakukan di mana-mana majlis rasmi. Maka, jelas di sini unsur-unsur khurafat yang diharamkan, turut ada di dalam upacara yang dilakukan oleh Dato’ Seri Zambry.

Ketiga : Haram berdasarkan kaedah fiqh

Sebelum ini, saya telah menyenaraikan beberapa persoalan yang berkaitan dengan upacara tersebut. Kali ini, suka untuk saya kemukakan beberapa keraguan terhadapnya.

Sebelum itu, suka untuk saya nyatakan di sini bahawa, ada sesetengah adat Melayu yang nampak seperti amalan karut, tetapi hakikatnya ia tidak bercanggah dengan syara’ kerana khasiat-khasiatnya yang tertentu. Contohnya seperti amalan berzanji, gunting rambut bayi, kemudian kepala bayi disapu dengan bedak sejuk.

Upacara yang dilakukan oleh Dato’ Seri Zambry boleh dibahagikan kepada tiga hukum :

1. Harus
2. Makruh
3. Haram

Tidak mungkin upacara tersebut satu perkara yang wajib, kerana tiada dalil yang mewajibkannya. Juga tidak boleh dikatakan sunat, kerana Nabi SAW tidak pernah melakukannya.

Adakah hukumnya harus? Atau Makruh? Atau Haram?

Upacara tersebut hukumnya harus, sekiranya menepati syarat-syarat berikut :

1. Tiada unsur-unsur pemujaan
2. Tiada unsur-unsur kepercayaan karut terhadap sesuatu benda, seperti pokok, kayu, batu dan lain-lain
3. Tiada unsur-unsur jampi serapah yang karut
4. Dan sebagainya.

Hukumnya makruh sekiranya terdapat unsur-unsur pembaziran, tidak terdapat unsur-unsur haram dan sebagainya. Manakala upacara tersebut boleh dikatakan haram sekiranya :

1. Terdapat unsur-unsur pemujaan
2. Terdapat unsur-unsur kepercayaan karut.
3. Terdapat unsur-unsur jampi serapah, bomoh, pantang larang dan lain-lain
4. Dan sebagainya.

Maka, setelah diteliti, video tersebut mendedahkan bahawa di dalam upacara tersebut terdapat unsur-unsur kepercayaan karut, seperti mengikat kain merah bersama daun yang direnjis pada tiang yang dipasak di tengah-tengah rumah, ditaburkan tepung pada tapak tiang dan lain-lain. Kenapa daun tersebut diikat pada tiang tersebut? Apa perlunya gimik sedemikian? Dan apa perlunya menaburkan tepung?

Antara amalan sesat masyarakat Melayu dahulu, mereka menggantung buah kepala di tiang seri rumah bagi mengelakkan gangguan jin (sila lihat bab pertama). Ada juga yang mengamalkan amalan menepung tawar, kononnya boleh memberi keamanan kepada rumah tersebut. Kepercayaan seperti inilah yang dikatakan bercanggah dengan syara’ sepertimana yang telah saya nyatakan sebelum ini.

Maka, sebab itulah saya menyatakan bahawa upacara seperti itu adalah diharamkan kerana ia tidak boleh dikatakan harus atau makruh, sebaliknya haram.

(Sila lihat huraian kaedah ini secara ringkas di dalam kitab Husnud Darki Wat Tafahhumi Li Mas’alatit Tarki karangan Syeikh Abdullah Siddiq al Ghumari)

Dr Yusof al Qaradhawi menukilkan pendapat seorang ulama’ di dalam al Halal Wal Haram Fil Islam

Manakala adat istiadat berdasarkan apa yang ditetapkan oleh menusia (tidak seperti ibadat) mengikut keperluan dalam kehidupan mereka. Maka, hukum asalnya ialah tidak diharamkan, maka anda tidak perlu menjauhinya (adat) melainkan apa yang telah Allah SWT larang

(al Qaradhawi, al Halal Wal Haram Fil Islam, Maktabah Wahbah, cet. 24, 1997, hal. 22)

Maka, asal hukum pelaksanaan sesuatu adat istiadat adalah diharuskan, melainkan sekiranya terdapat di dalamnya unsur-unsur yang diharamkan oleh Allah. Sekiranya terdapat unsur-unsur yang haram di dalam adat istiadat tersebut, maka hukumnya turut haram.

Beliau menyatakan lagi :

Dan tidak diharamkan sesuatu adat, melainkan apa yang diharamkan oleh Allah

(al Qaradhawi, al Halal Wal Haram Fil Islam, Maktabah Wahbah, cet. 24, 1997, hal. 23)

WaLlahua’lam.


MOHD AKMAL KAMARUDDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak






Liga Arab kutuk serangan Barat ke atas Libya

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Liga Arab hari ini mengutuk tindakan Barat menyerang Libya dengan menyifatkan tindakan itu sebagai 'oengeboman ke atas orang awam'.
Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa serentak itu mahu semua 22 negara dalam gagasan itu mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan isu iru.
"Apa yang berlaku bukannya tindakan mewujudkan zon penerbangan bebas, tapi 'oengeboman ke atas orang awam Libya," katanya.

Berita Harian/-

SIDANG DUN PERAK: SOKONG BOIKOT!

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh kenyataan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengambil pendirian untuk memboikot Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berikutan kawalan ketat oleh Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semenjak rampasan kuasa awal Februari 2009 yang lalu dan DPPN Pk melihat bahawa tindakan tersebut adalah wajar.

Bagi DPPN Pk, pelbagai sekatan tersebut seperti menghadkan pemerhati untuk hadir, meletakkan pengamal media di dalam bilik khas, memendekkan persidangan tanpa notis yang jelas, menyekat ruang kepada ADUN untuk berucap, tidak membenarkan siaran langsung Persidangan DUN berjalan dan terlalu banyak Polis yang berada di luar dan dalam Dewan termasuk Persidangan terbaru yang lalu atas diluar kebiasaan dan seolah ada agenda tertentu dipihak kerajaan negeri.

Kenyataan sinis Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir di dalam menafikan perkara ini amat mendukacitakan. Datuk Seri Zambry berbohong di dalam perkara ini, sepatutnya beliau mengemukakan fakta sebenar jika benar rakyat menerima Kerajaan Negeri yang ada. DPPN Pk mencabar agar semua sekatan tersebut dihapuskan jika benar kerajaan negeri telus di dalam urusan pentadbiran mereka selama ini semenjak rampasan kuasa dahulu.

Ataupun sikap dan keburukan sebelum jatuh dahulu sama sehingga merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri dan tidak berubah sama sekali. Sikap inilah yang terus akan ditolak oleh rakyat kerana Barisan Nasional (BN) tidak sedarkan diri mereka. Rakyat wajar menghukum sekali lagi BN dengan rekod tambahan iaitu merampas kuasa pemerintahan daripada Pakatan Rakyat (PR) dahulu.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Satu lagi reaktor nuklear Jepun berasap

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

FUKUSHIMA: Satu lagi reaktor nuklear di Fukushima mengeluarkan asap tebal dengan pekerja di loji terbabit kini diarah keluar dari kompleks loji nuklear berkenaan.

Jurucakap Tokyo Electric Power Co., Hiroshi Aizawa, berkata pihak syarikat kini sedang menjalankan siasatan selepas asap itu meledak ke udara dari tangki simpanan minyak reaktor Nombor 3.
Pegawai loji nuklear terbabit kini bertungkus-lumus menyejukkan reaktor dan tangki minyak bagi mengelak kebocoran radiasi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu.

Berita Harian/-

Kereta terbakar ketika isi minyak, stesen minyak turut terbakar

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR: Sebuah stesen minyak di Jalan Sultanah di sini terbakar dalam kejadian awal pagi ini dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang terbakar ketika mengisi minyak.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Mohd Noor Din, berkata kejadian berlaku kira-kira 4.20 pagi menyebabkan pemiliknya kerugian RM160,000.
Katanya pihaknya menerima panggilan pada 4.26 minit pagi dan sampai ke tempat kejadian tiga minit kemudian. "Tiga jentera bomba dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Ketika sampai di tempat kejadian api marak dengan cepat dari sebuah kereta yang menyambar pam minyak sehingga menyebabkan stesen minyak itu terbakar 30 peratus dan memusnahkan sebuah pam minyak," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiga pekerja dan pemilik kenderaaan berkenaan yang berada di tempat kejadian sempat menyelamatkan diri.
Punca kejadian masih disiasat.

Berita Harian/-



Serangan udara ke atas Libya cetus banyak persoalan

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Tindakan serangan udara ke ats Libya oleh Barat yang diketuai AS menimbulkan banyak persoalan dan kuasa barat serta Eropah perlu memberikan penjelasan motif sebenar serangan ke atas negara pimpinan Muammar Gaddafi ini kerana jelas gambaran sejarah Iraq dan Saddam Husein bakal berulang.

Memang saya telah menjangkakan serangan ini akan berlaku malah amat yakin ianya akan berlaku cepat atau lambat ditambah lagi dengan sokongan beberapa negara Arab yang bebal dan dungu.

Kalau betul bagai dicanang, serangan dilakukan bertujuan untuk menyelamatkan dan melindungi orang awam daripada krisis yang melanda Libya, tapi yang jelas orang awam tetap menjadi mangsa. Alasan sama yang pernah diberi di Iraq dahulu, tapi saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana orang awam telah menjadi mangsa. Ianya hanya skrip lama yang diulang cetak untuk kali yang entah ke berapa.

Persoalan samada tindakan ketenteraan ini akan menghapuskan regim Gaddafi sama sebagaimana yang pernah menimpa Saddam, saya yakin kita belum pasti ianya akan berlaku tapi krisis ini telah membuka pintu untuk campur tangan barat di bumi ummat Islam. Sepatutnya peranan Liga Arab perlu dimaksimakan dan penyelesaiannya perlu dalam kontek dunia Arab dan dunia Islam.

Apa yang nyata, Barat telah menzahirkan lagi sikap double standard mereka yang telah sedia diketahui umum.

Mengapa ketika Israel menganyang Gaza pada Januari 2009, mereka tidak terfikir langkah untuk selamatkan rakyat Palestin dan melindungi orang awam sedangkan jelas sekali orang awam Palestin telah dan sedang menjadi mangsa keganasan Israel. Situasi sama sedang berlaku di Bahrain sekarang tetapi tiada tindakan dari Barat mungkin disebabkan negara itu menjadi sekutu AS dan menempatkan pengkalan tentera AS.

Kita meyakini tanpa ragu, agenda sebenarnya adalah emas hitam yang ditakungi perut bumi Libya. Agenda tersembunyi adalah kerana Libya antara negara terkaya dengan hasil minyak dan gas.

http://www.drazmanibrahim.com

Ahli PAS diminta mantapkan gerak kerja

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Batu Caves – Mesyuarat Agung tahunan PAS cawangan Tmn Selayang kali ke 13 diadakan baru-baru ini di Dewan Pusat Komuniti MPS Tmn Selayang. Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pemuda Dewan Negeri Selangor merangkap Ahli Majlis MPS Zon 13, Utz Hasbullah Mohd Ridzuan.

Dalam ucapannya, beliau menekan kepada semua Ahli PAS bahawa memandangkan tahun ini merupakan tahun pemilihan maka semua ahli harus memberi kerjasama untuk menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Menjadi satu kewajipan seorang ahli PAS menjalankan tanggungjawabnya kepada jemaah dengan menghadirkan mesyuarat yang merupakan faktor penting untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) terus kekal dalam Pilihanraya Umum (PRU ke13 ) tidak lama lagi.

“Saya harap pemilihan jawatankuasa pada tahun ini tidak berlakunya berbagai provokasi, cantas – mencatas sesama ahli dengan niat menjatuhkan pimpinan yang lain seperti berlaku dalam parti UMNO/BN. Ahli PAS telah ditarbiyahkan agar menghormati sesama ahli dan displin ahli PAS amatlah tinggi dengan tarbiyah-tarbiyah yang telah diberikan oleh pucuk pimpinan melalui usrah-usrah yang telah dilalui”.

“ Dalam kemenangan yang diberikan oleh ALLAH swt , janganlah kita merasakan berada di zon yang sangat selesa. Tanggungjawab kita amatlah berat setelah mengecapi kemenangan. Untuk mengekal kemenangan bukan satu perkara yang mudah jika kita tidak bekerja keras untuk mengekalkannya. Oleh itu setiap ahli PAS diminta meneruskan tugas dengan sebaiknya tanpa berlengah –lengah lagi. Ini adalah kerana petanda-petanda PRU ke 13 semakin hampir yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.”

“Keadaan ini juga mengcemaskan apabila jumlah bilangan pengundi yang memasuki Kawasan Parlimen Gombak semakin meningkat dengan kemasukan pengundi-pengundi yang tidak dapat dikenal pasti. Kemasukan-kemasukan pengundi hantu ini sudah pasti telah mendapat kerjasama oleh pihak SPR yang telah bersetongkol dengan UMNO/BN. UMNO/BN telah menggunakan kakitangan kerajaan bagi memastikan kemenangan dipihak mereka. Oleh itu jika semua masih lalai tidak membuat anjakan pradigma untuk mengorak langkah kehadapan dengan tidak mengaktifkan cawangan, tiada aktiviti, usrah cawangan layu, tiada mesyuarat, tidak membuat pendemokrasian atau kerja-kerja mencula maka tidak mustahil untuk mengekalkan kemenangan pada PRU ke 13 agak sukar. Oleh itu semua ahli diminta agar menjadi pelumba nombor 1 dalam acara larian 100m dengan mengemaskini segala gerakkerja lebih mantap”, katanya.

Ujarnya lagi, berikutan dengan kekalan-kekalahan PR dalam pilihanraya kecil dibeberapa buah negeri menunjukkan UMNO/BN telah memasangkan starategi mereka. Walaupun kita sudah maklum setiap kali pemilihan calon dalam PRK, terdapat pergolakan yang berlaku pada ahli-ahli UMNO/BN sendiri.

Meskipun ahli UMNO/BN tidak setuju dengan calon mereka namun ianya telah menjadi sebati dalam darah daging mereka bahawa UMNO/BN perlu di sokong seperti berlaku di PRK Merlimau, Tenang. PAS pula mendekati pengundi-pengundi dengan bertemu mereka dirumah-rumah pengundi sendiri memandangkan pengundi-pengundi di kawasan perkampungan tidak gemar untuk keluar mendengar ceramah. Dengan itulah PAS tidak ada erti jemu untuk bertemu pengundi dengan turun padang setiap hari untuk bertemu rakyat.

Ini merupakan pengorbanan yang besar dan kita harap semoga semua ahli PAS akan terus istiqama’ dalam membantu kerja-kerja perjuangan Islam meskipun terdapat kenkangan daripada pihak lawan.

Hasbullah juga mengingatkan kepada semua ahli dalam mesyuarat tersebut dengan melihat fenomena yang berlaku pada hari ini, rakyat terutamanya di kawasan Hulu Selangor, Perkampungan orang asli dan Kawasan –kawasan perkampungan masih tidak mengetahui program-program yang ditawarkan oleh Kerajaan PR seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas, Hadiah kemasukan IPT,

Bantuan ibu tunggal, Mikrokredit dan sebagainya seperti yag termaktub dalam manifesto PR pada PRU ke 12 yang lalu. Malahan mereka masih menganggap Negeri Selangor masih diperintah oleh UMNO/BN dan Menteri Besar (MB) Selangor masih Datuk Khir Toyor. Lebih-lebih lagi pengundi melayu yang tidak peka kepada isu-isu semasa. Mereka hanya tertumpu media televesyin dan akhbar-akhbar yang dimonopoli oleh UMNO/BN.

Ini menunjukkan betapa PR masih lemah dalam membuat sesi penerangan dan penyebaran maklumat. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab kepada semua ahli PAS, PKR dan DAP bersatu hati untuk memperkemaskini segala gerakkerja yang masih banyak belum diselesaikan sekiranya ingin merampas Putrajaya pada PRU ke 13 ini.

Katanya, Kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Negeri –Negeri PR harus dikekalkan pada PRU ke 13 ini. Jangan mudah menjadi lemah apabila mendengar berita-berita yang tidak sahih datang daripada pihak UMNO/BN. Sebagai orang islam kita kena kuatkan rohani dan jiwa kita melalui bacaan al-quran, almathurat sebagai benteng agar tidak mudah menjadi lemah.

Beliau juga mengharapkan agar Ahli-Ahli Majlis, ketua-ketua kg, nazir-nazir masjid, Jawatankuasa pendudk (JKP) dapat berfungsi dengan sebaiknya untuk mendekati rakyat dengan menyebarkan segala informasi-informasi yang dibawa oleh Kerajaan Negeri PR untuk disebarkan kepada rakyat, katanya dalam perasmian majlis mesyuarat tahunan PAS cawagan Tmn Selayang .

Sehubungan dengan itu, Ketua cawangan PAS Tmn Selayang sesi 2011 telah jatuh kepada Tn Hj Mokhtar Husain, Pengerusi jatuh kepada Tn Hj Abdullah Ahmad, Ketua Muslimat Cawangan masih kekal kepada Pn Farhani Tajuddin.

Khaulah azwar

PR janji kejutan di Sarawak

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU - Pakatan Rakyat (PR) menjanjikan kejutan pada Pilihan Raya Sarawak Ke-10 termasuk meningkatkan bayaran tuntutan royalti petroleum sekiranya diberi peluang memerintah negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa berkata, sudah masanya rakyat Sarawak menerima parti selain Barisan Nasional (BN) supaya boleh dipanjangkan tuntutan royalti petroleum dan dalam masa sama, mengagihkan kekayaan negeri dengan lebih saksama kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat Sarawak kini sudah bersedia untuk memilih parti selain BN sekali gus melakukan kejutan memandangkan mereka sudah mendapat banyak maklumat yang dahulunya tidak sampai kepada mereka.

“Sekarang mereka sudah ada maklumat bahawa kekayaan Sarawak dimonopoli pihak tertentu sedangkan rakyat Sarawak masih kekal seperti biasa. Kemudahan dan infrastruktur di luar bandar, bahkan tanah mereka, bekalan air sangat mendukacitakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-15 Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, hari ini, jurang rakyat Sarawak sangat ketara, yang miskin terlalu miskin.

“Masih ramai rakyat Sarawak miskin, dan kita bercadang untuk meningkatkan bayaran royalti petroleum daripada lima peratus kepada 20 peratus kerana rakyat tempatan harus menikmati hasil daripada petroleum tersebut lebih baik daripada pihak lain,” katanya.

Menjelaskan soal pengesahan Abdul Taib akan bertanding tetapi akan berundur daripada kerusi Ketua Menteri tidak lama lagi, Husam yang juga Exco Kerajaan Kelantan menyatakan kehairanan bagaimana BN masih mengizinkan beliau bertanding.

“Saya hairan dia dah berkhidmat begitu lama. Ini bermakna BN tidak ada tokoh,” katanya.

Husam berkata, Pas akan memberikan tumpuan kepada kerusi yang ditandingi supaya mempunyai kerusi pertama di Sarawak.

“Penting untuk menikmati kemenangan pertama bagi membolehkan perjuangan rakyat Sarawak diangkat dengan lebih baik, terutama dalam isu royalti petroleum,” katanya.

Sinar Harian/-

Tidak mustahil pengundi berubah

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

JERTIH - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat (PR) ada peluang menang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak.

:“Tak mustahil pengundi di sana buat perubahan kali ini.

Ini berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada Mei tahun lalu yang dimenangi DAP,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di kawasan berhampiran Sungai Jerteh di sini, semalam.

Turut serta dalam ceramah itu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Kelmarin, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubar hari ini.

Sementara itu, Azmin ketika ditanya mengenai adiknya Ummi Hafilda yang ketika berceramah kelmarin, mendakwa abangnya hilang pedoman dan tenggelam dengan janjii manis Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata: “Pembangkang fokus dalam perjuangan dan terpulang kepada parti lawan yang menggunakan cara itu.”

Sinar Harian/-

Dewan Undangan Negeri Sarawak Dibubar

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada Isnin untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.

"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di sini.

Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang Selasa.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.

Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada Sabtu lepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.

mStar/-

Dun Sarawak bubar, bermulalah pesta temberang

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dibubar pada hari ini, maka bermulalah pesta temberang oleh pemimpin BN yang akan membawa macam-macam janji manis untuk rakyat di Sarawak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, bermacam-macam janji akan ditabur untuk rakyat Sarawak, ia merupakan amalan biasa pemimpin BN setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, menjelang Pilihan raya Sarawak BN cuba hendak melindungi kelemahan mereka selama ini untuk membangunkan negeri itu.

Katanya, kegagalan mereka untuk mentadbir Sarawak dengan menuding jari kepada pembangkang kononnya Pakatan Rakyat punya angkara sedangkan Pakatan Rakyta baru sahaja berusia tiga tahun.

“PAS hendak tanya ke mana pula hasil mahsul negeri Sarawak seperti minyak dan balak?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akan ada 'hantu-hantu jembalang' dari Semenanjung yang mahu mengganggu keharmonian rakyat di Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka hanya datang ke Sarawak pada pilihan raya negeri semata-mata untuk membuat kacau dengan membawa berita manis untuk menarik sokongan rakyat.

“Kenyataan Timbalan Presiden Umno menggambarkan kebimbangan beliau berkenaan dengan kesedaran di kalangan rakyat Sarawak yang semakin celik maklumat mengenai kecacatan pemerintahan BN di Sarawak,” ujar Idris.

Mereka, katanya sudah bertanya ke mana sumber kekayaan negeri mengalir kerana kehidupan mereka seolah-olah negeri Sarawak sebuah negeri padang sahara yang tidak mempunyai sumber hasil bumi.

Sebagai satu contoh, ujarnya sebuah kampung yang berhampiran dengan pejabat Petronas Cari Gali di Miri, terdapat sebuah kampung Pasir yang didiami oleh masyarakat Iban.

Katanya, kawasan sudah didiami hampir 30 tahun tanpa elektrik yang terpaksa menggunakan generator dengan kos RM150 sebulan untuk setiap rumah.

Baginya, Muhyiddin menganggap PR akan mengganggu Sarawak menjadi negara maju di mana kenyataan itu seperti pencuri menjerit pencuri.

Soalnya, apakah Sarawak selama ini diperintah oleh Pakatan Rakyat.

PAS, ujarnya mengharapkan Timbalan Presiden Umno jangan menganggap rakyat Sarawak buta sejarah kerana apabila hampir pilihan raya, pemimpin mula jijak kampung rakyat, selepas pilihanraya, rakyat dijijak.

PAS, katanya lagi percaya bahawa Timbalan Presiden takut dengan janji “Buku Jingga” antaranya 20% royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak.

Datuk Seri Najib telah mengumumkan peruntukan RM5.7 bilion untuk negeri Sarawak ini sehingga 2012 supaya Sarawak seimbang dengan Semenanjung dari segi pembangunan.

Tambahnya, saban tahun peruntukan di Sabah dan Sarawak diluluskan, malangnya dari segi pelaksanaan tidak berlaku.

“Kehidupan rakyat seperti negeri baru merdeka 10 tahun. Tanah yang luas masih kedapatan, tetapi rakyat merempat di tanah setinggan, hanya menunggu masa untuk dihalau.

“PAS yakin rakyat Sarawak akan buat kejutan dalam pilihan raya kali ini. Mereka akan merdekakan diri daripada belenggu BN, insya Allah,” ujarnya.

Harakahdaily/-

PAS rakam takziah

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Seluruh ahli dan kepimpinan PAS ingin merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan bonda Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah pada jam 1.22 pagi tadi di Seri Kota Hospital, Klang, Selangor.

Mewakili mereka, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berdukacita dan merakamkan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beserta anggota kerabat baginda dapat bersabar dengan ketentuan dari Allah SWT ini.

"Patik semua juga mendoakan agar roh Al MarhumahYang Maha Mulia Bonda ditempatkan di kalangan solehah di sisi Allah SWT," ujarnya dalam kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.

Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengucapkan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong di atas kemangkatan bonda baginda.

"Insya allah, sebagai mewakili kerajaan negeri, Datuk Timbalan Menteri Besar akan hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. Semoga beliau termasuk di kalangan hamba-hamba Allah yang dirahmati, insya Allah," ujarnya di laman twitter. Al Fatihah.

Harakahdaily/-

Elektrik murah daripada nuklear tidak berasas

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Kenyataan para pemimpin Umno BN yang mengatakan negara perlu melibatkan diri dalam pembinaan nuklear bagi mendapatkan bekalan elektrik yang lebih murah, ternyata amat tidak berasas.

Sebaliknya, negara terpaksa mengeluarkan belanja lebih besar dan mengalami kerugian berlipat kali ganda jika memajukan tenaga nuklear dan membina empangan besar seperti yang dirancangkan itu, memandangkan Malaysia amat kaya dengan sumber-sumber tenaga lain.

Pakar sains dan nuklear, Ahmad Bungsu Hamid Tuah menegaskan, beliau bersedia berdebat dengan mana-mana pihak di Malaysia dan juga dari luar negara berkaitan tenaga nuklear termasuk berhubung perkara itu.

Menurut beliau, untuk memajukan tenaga nuklear memerlukan kos yang amat tinggi termasuk yang melibatkan pembinaan power stesyen, kos penyelenggaraan yang melibatkan gaji-gaji pakar yang cukup tinggi, kos keselamatan, kos penghantaran bahan buangan atau radioaktif ke negara lain.

Katanya, selain itu, kita juga terpaksa menanggung belanja yang besar bagi kos sewa tempat parking sepanjang kenderaan yang menghantar bahan radioaktif itu berada di negara terbabit dalam tempoh masa yang cukup lama, di samping kos keselamatan terhadapnya.

"Apabila cukup tempoh 60 tahun pula, kilang-kilang yang dibina itu mesti dimusnahkan dan dibina yang baru, sedangkan untuk memusnahkan kilang-kilang itu memerlukan belanja yang jauh lebih tinggi dari membinanya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam masa yang sama, menurut beliau, kerajaan juga terpaksa menanggung risiko besar dengan kemungkinan stesyen nuklear yang dibina itu meletup seperti yang berlaku di Jepun yang berlaku di luar jangkaan, walaupun telah menerima jagaan rapi.

"Jika kejadian di luar jangkaan itu terjadi, ia akan memusnahkan semua orang, bukan sahaja seluruh rakyat negara kita, tetapi juga negara-negara jiran dan negara-negara lain di seluruh dunia.

"Jadi, mana kata murah dan mana kata baiknya? Sebenarnya tentang usaha nak majukan nuklear itu tak ada baiknya. Dari sudut mana pun, nuklear tetap tak ada baiknya, apatah lagi dipandang dari sudut keselamatan manusia," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau yang juga AJK Biro Sains dan AJK Biro Aduan Rakyat PKR Nasional menasihatkan kerajaan mengkaji balik cadangan untuk memajukan nuklear bagi kepentingan negara dan seluruh rakyat negara ini.

"Ada orang kata, kalau mengikut piawaian yang betul dan dijaga dengan baik, jika berlaku insiden pun hanyalah insiden kecil. Tetapi sebenarnya jika stesyen nuklear meletup, semua orang akan musnah, semua orang akan terkena radioaktif.

"Itulah musibah yang perlu difikirkan sebelum kita juga menerima padahnya. Selain yang terbaru di Jepun, cukuplah dengan mengambil pengajaran yang berlaku di beberapa buah negara lain sebelum ini termasuk Iceland dan England yang walaupun dah dijaga dengan baik dan tidak berlaku tsunami, tetapi stesyen nuklear di dua buah negara itu juga pernah meletup," jelas beliau.

Harakahdaily/-
Oleh : Aziz Muda .

Saman ekor, debat, Buku Jingga akan tamatkan BN

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 20 Mac: "Cetak sebanyak mungkin CD siri penerangan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) oleh panel yang dilantik dan sebarkan ke serata pelosok tanah air bagi tujuan memahamkan masyarakat tentang sikap zalim Kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, memandangkan Umno begitu resah dengan isu saman ekor dan dua isu besar lainnya membuatkan parti itu terpaksa melaksanakan pendekatan lembut dengan menggula-gulakan rakyat termasuk pada tiga pilihanraya kecil iaitu Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Merlimau dan Kerdau, baru-baru ini.

Katanya, dua lagi isu besar yang harus diketengahkan kepada rakyat ialah Buku Jingga dan debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tambahnya, Buku Jingga terus menjadi ketakutan BN sebab apa yang diperkatakan semuanya menjurus kepada 10 jaminan Pakatan Rakyat pada 100 hari pemerintahanya.

"Buat masa ini kita masih tidak mencetak sebanyak mungkin CD siri penerangan Kase, Buku Jingga dan debat antara Anwar dan Najib. Kita tidak buat sesungguhnya untuk tujuan itu walaupun ada negeri telah membuat pelancaran terutamanya buku jingga," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau yakin rakyat sendiri begitu marah ketika Kerajaan BN memperkenalkan saman ekor yang bertujuan mengutip wang untuk tabung pilihan raya umum yang bakal menjelang.

Tambahnya, tiada jalan lain kecuali bertindak menghukum kezaliman BN dengan bertindak memangkah parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat bagi membuktikan kesungguhan untuk membela rakyat yang daif dan memerlukan bumbung kebajikan.

Menurutnya, siri penerangan Kase yang ke sembilan di Pulau Pinang selepas Kedah merupakan buah tangan untuk rakyat menjawab segala tohmahan BN di mana sahaja.

Selepas ini tambahnya, Kase akan bergerak lebih mantap dan memastikan Pakatan Rakyat dapat menterjemahkan segala manifesto yang ditaburkan.

"Saya yakin saman ekor, debat Anwar dengan Najib dan Buku Jingga akan menamatkan pemerintahan BN di Malaysia," jelasnya dalam program anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri di Markaz Tarbiyah PAS di Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said .

Libya Diserang Lagi, Gaddafi Umum Gencatan Senjata

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 21 MAC : Tentera perikatan meneruskan kempen serangan buat kali kedua semalam dan awal pagi ini (waktu Malaysia) ke atas Libya manakala negara utara Afrika itu pula sekali lagi mengisytiharkan gencatan senjata.

Libya juga berbuat demikian kelmarin tetapi Barat melancarkan serangan selepas mendakwa pendirian itu telah dilanggar oleh Muammar Gaddafi.

Serangan hari kedua ini termasuk ke atas ibu negara Libya sendiri.

Seorang jurucakap tentera mengumumkan pendirian Muammar itu, yang dipercayai berkuat kuasa mulai pukul 9 malam waktu Libya (3 pagi tadi waktu Malaysia).

“Angkatan tentera Libya... mengeluarkan arahan kepada semua unit tentera agar mengadakan gencatan senjata bermula 9 malam,” kata jurucakap tentera itu.

Pengumuman itu muncul kira-kira 24 jam selepas pasukan tentera perikatan - Amerika Syarikat, Perancis dan Britain - menyasarkan tindakan mereka untuk menguatkuasakan resolusi PBB yang diluluskan minggu lepas.

Dua negara lain dalam perikatan itu ialah Kanada dan Itali.

Bagaimanapun pada sidang media di Washington (awal pagi ini waktu Malaysia), Pentagon berkata pihaknya mempersoalkan kesemua kenyataan yang datang daripada Muammar termasuk dakwaan bahawa ia akan melaksanakan gencatan senjata.

Lebih 60 orang didakwa terbunuh dalam serangan ke atas Libya, kata media kerajaan negara itu.

Semalam, Muammar berkata serangan ketenteraan perikatan lima negara Barat ibarat tindakan pengganas dan pihaknya akan menewaskan musuhnya.

Dalam ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen kerajaan semalam, Muammar berkata Libya bersedia untuk perang yang panjang dan kesemua rakyat Libya akan membawa senjata untuk mempertahankan negaranya.

“Kami tidak akan meninggalkan tanah air kami dan kami akan membebaskannya (dari musuh),” kata beliau.

Siaran televisyen itu membawa suara Muammar tanpa menunjukkan imej beliau.

Dalam pada itu, jurucakap Kementerian Pertahanan Perancis Laurent Teisseire berkata Qatar juga akan menghantar pesawat perang untuk menyertai operasi bersama jet-jet negara itu.

Ketika ditemui wartawan di Paris, Teisseire berkata Qatar akan menyertai kempen antarabangsa “dalam beberapa jam akan datang” tetapi tidak memberikan butiran.

Muammar berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak sebulan lalu dan ramai melihat negara itu kini berhadapan dengan perang saudara.

Laporan dari Kaherah, Mesir memetik kumpulan pemberontak berkata lebih 8,000 rakyat Libya yang memihak kepada gerakan pemberontakan telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat mendesak Muammar melepaskan kedudukannya 41 tahun sebagai ketua negara.

“Bilangan orang kami yang terbunuh dan mati syahid lebih 8,000,” kata jurucakap puak pemberontak, Abdel Hafiz Ghoga.

Tv Selangor/-

Taib Mahmud, antara yang kaya dan miskin

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Sirah nabi banyak mengajar kita berkenaan kepimpinan. Bagaimana tauladan memimpin boleh dilihat melalui tindak-tanduk Nabi s.a.w dan para Sahabatnya.

Seruan Nabi s.a.w tidak sekadar kepada mereka yang miskin sahaja. Bahkan keseluruhannya sama ada yang kaya, tua, muda hatta kepada hamba abdi.

Yang menerima Islam di kalangan yang miskin seperti Suhaib Ar-Rumi yang berbangsa Rom. Mereka yang kaya sendiri adalah Uthman bin Al-Affan dan Mus’ab bin Umair. Bilal bin Rabah, Ammar bin Yassir hamba kepada Bani Makhzum adalah mereka yang memeluk Islam dari kalangan hamba.

Namun, kebanyakan yang awal menerima Islam dari kalangan orang miskin.

Yang kaya, apabila berjuang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, selepas itu mereka menjadi miskin. Bukan itu kehendak mereka, bahkan tuntutan amanah perjuangan Islam.

Diriwayatkan bahawa Suhaib Ar-Rumi adalah pendatang daripada negara Rom. Beliau miskin tetapi bijak berniaga. Tinggal di Makkah akhirnya dia menjadi jutawan. Namun apabila diminta berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah s.a.w., seluruh kekayaannya ditinggalkan.

Kaum Quraisy berkata kepadanya: “Dahulu kamu datang kepada kami sebagai seorang yang miskin hina. Kemudian kamu mendapat harta yang banyak dan mencapai kedudukan yang kamu nikmati (di Makkah). Sekarang kamu hendak keluar (ke Madinah) membawa harta dan jiwa kamu begitu sahaja?”

Suhaib berkata: “Aku akan menyerahkan seluruh harta, maka adakah kamu lepaskan aku pergi berhijrah?”. Jawab mereka: “Baiklah.” Lalu jawab Suhaib: “Kalau begitu aku serahkan semua hartaku.”

Berita ini sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda bersabda: “Sungguh beruntung Suhaib!”.

Mus’ab bin Umair juga seorang yang kaya. Apabila keluarganya mengetahui keIslamannya, lalu beliau diusir keluar dari rumah. Daripada seorang yang kaya, dia menjadi miskin sehingga tubuhnya diriwayatkan mengelupas seperti ular.

Begitu juga Saidina Uthman bin Affan. Diriwayatkan daripada Imam Tirmizi bahawa ketika Rasulullah memerintahkan sesiapa yang boleh membeli Telaga ‘Al-Ruumah’ yang sangat mahal dan diwakafkan kepada umat Islam untuk digunakan airnya, beliau membelinya. Walaupun pada ketika itu umat Islam tidak mampu.

Selepas beliau menjadi khalifah Islam ketiga, yakni di akhir pemerintahannya, beliau hanya memiliki dua ekor unta sahaja yang akan digunakan untuk beliau berangkat ke Makkah untuk menunaikan Haji dan pulang ke kampung halamannya. Daripada seorang yang kaya, beliau menjadi miskin kerana menunaikan amanah rakyat.

Hari ini sangat sedih, banyak pemimpin menjadikan amanah jawatan sebagai pengumpul harta. Sebelum menjadi pemimpin, dia miskin, selepas menjawat jawatan menjadi kaya. Sangat berbeza dengan sahabat Nabi s.a.w.

Lihat sahaja kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Selepas menjadi Ketua Menteri memiliki harta berbilion-bilion.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Aizat Mohd Salleh.

Reaktor Satu loji ditutup

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

OSAKA - Jurucakap pegawai tertinggi kerajaan Jepun mengeluarkan kenyataan bahawa loji nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas dan mengalami krisis berterusan akibat beberapa siri letupan, akan ditutup, semalam.

Sistem penyejuk reaktor di Loji Satu rosak akibat gegaran berkekuatan 9.0 skala Richter dan tsunami yang melanda negara itu, Jumaat lalu.

Jurucakap Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo, Yukio Edano berkata, sukar untuk dia menjelaskan mengenai perkara itu sebelum mengikuti prosedur yang tepat.

"Melihat dari satu sudut pandangan objektif, sudah jelas Loji Satu di loji nuklear Fukushima Daiichi boleh berfungsi atau sebaliknya," menurutnya lagi.

Sinar Harian/-

Tuah di Penang, Malang di Jelebu

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA membaca kenyataan KM P.Pinang, Lim Guan Eng yang menyebut bahawa seluruh Negeri P.Pinang akan dibekalkan dengan WIFI percuma termasuk di beberapa kawasan yang diwakili oleh Wakil Rakyat dari Bn, sekaligus menafikan berita karut yang disiarkan oleh media pencacai yang menyebut kununnya hanya kawasan diwakili oleh PR sahaja yang memperolehi perkhidmatan tersebut.

Berita gembira yang seringkali dibawa oleh Lim Guan Eng kepada seluruh rakyat P.Pinang nampaknya sekali lagi membuat saya anak jati Jelebu menggigit jari. Masakan tidak, kawasan Jelebu diwakili oleh seorang Menteri yang menjaga hal ehwal komunikasi dan Penerangan serta budaya, tetapi selaku MP Jelebu anak Yatim ini seperti tidak terasa betapa Jelebu amat jauh ketinggalan dari segi komunikasi. Mungkin beliau lebih berminat menjaga `budaya' terutamanya `budaya menipu dan putar belit'. Sudahlah di Jelebu perkhidmatan bas boleh dikatakan tiada, perkhidmatan 3G di kawasan saya pun tiada, jangan disebut pasal WIFI percuma. Jika Lim Guan Eng boleh memberikan WIFI percuma kepada seluruh negeri P.Pinang, sukar buat anak Yatim ini untuk memberikan WIFI percuma untuk kawasan Jelebu sahaja.

Anak Yatim ini hanya berjanji untuk memberikan WIFI percuma jika ada pilihanraya kecil sahaja. Itu pun belum tentu dapat, sebagai contoh di Bagan Pinang seperti yang pernah dijanjikan sewaktu pilihanraya kecil di situ. Di Dun Galas, Gua Musang pun begitu termasuk juga baru-baru ini di Kerdau. Ini lah mentaliti yang ada pada anak Yatim yang penduduk Jelebu semakin bosan dengannya. Beliau sedikit pun tidak malu dengan Lim Guan Eng yang terus mengutamakan rakyat walaupun tiada pilihanraya kecil di negeri tersebut.

Rakyat seharusnya berfikir dengan lebih bijak lagi, parti manakah yang benar-benar jujur membela nasib rakyat. Kenyataan Lim Guan Eng yang menyebut, "Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah untuk semua penduduk Pulau Pinang, termasuk penyokong BN," adalah satu pendirian yang pemimpin-pemimpin Umno boleh belajar. Jangan jadikan rakyat hamba abdi dan pak turut atau pun dipelihara seperti `ayam daging' yang diberi makan dengan kenyang, bila gemuk ianya disembelih. - Deen

Kanak-Kanak Maut Kena Renjatan Elektrik Tiang Lampu

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebatang tiang lampu jalan ketika dia sedang bermain di padang berhampiran rumahnya di Taman Batu 3, Shah Alam, petang semalam.

Mohd Marzuki Muda, 44, berkata kejadian berlaku semasa anaknya Muhammad Naquiddin, 11, dikatakan sedang bermain bola sepak bersama rakan-rakanya di padang berhampiran.

"Tiba-tiba dalam pukul 6.50 petang, kawan-kawan Naqiuddin datang ke rumah beritahu yang anak saya terkena renjatan elektrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini Ahad.

Beliau berkata setibanya di tempat kejadian, Naqiuddin dilihat sudah tertiarap dengan sebelah kakinya melekat pada salah satu tiang lampu di padang itu.

"Kulitnya yang cerah juga sudah kelihatan gelap, saya cuba tolak kakinya dengan menggunakan kayu dan mengerak-gerakkan tubuhnya namun tiada tindak balas," katanya.

Marzuki berkata beliau kemudian membawa anaknya ke Hospital Pakar KPJ, Shah Alam untuk mendapatkan bantuan kecemasan, dan menurutnya semasa di hospital itu doktor cuba memberikan 'CPR' namun anaknya tidak dapat diselamatkan.

"Sebelum ini ada beberapa jiran beritahu terasa seperti ada tenaga elektrik semasa tiang itu disentuh, namun mereka tidak buat sebarang aduan," katanya.

mStar/-

Kedah fokus baru serangan BN, tapi Pakatan dakwa ‘angkara orang gila talak’

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Mac — Sejak sebulan lalu Umno-BN Kedah memperlihatkan kelainan dengan mempertingkatkan serangan, tetapi Pakatan Rakyat (PR) Kedah menganggap mereka terpaksa melakukan serangan terhadap kerajaan negeri kerana bimbang akan kehilangan terus sokongan rakyat terutamanya orang Melayu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sebelum ini kerajaan negeri PR di Pulau Pinang dan Selangor menyaksikan serangan bertubi-tubi dengan Kedah seolah-olah ‘terlepas’ daripada kempen Umno-BN itu.

Bagaimanapun sejak bulan lalu Kedah juga sudah tidak terlepas daripada radar serangan itu.

Selain itu, pemimpin PR juga menyifatkan langkah BN itu sebagai usaha terdesak kerana sudah ketandusan idea untuk menjatuhkan kerajaan negeri Kedah diterajui Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar, langkah diambil BN yang secara berterusan kerajaan negeri Kedah membuktikan parti itu bimbang terhadap pendekatan diambil Pakatan Rakyat Kedah.

“Serangan itu angkara orang gila talak yang mahukan sangat kerusi di Kedah dan ia menunjukkan BN bimbang pendekatan pentadbiran yang dilakukan Pakatan Rakyat di sini (Kedah).

“BN bimbang hubungan mesra yang terjalin antara pemimpin Pakatan Rakyat dan rakyat akan menyebabkan mereka kehilangan sokongan, BN bimbang apabila kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Azizan menunjukkan corak pentadbiran telus, tiada penyelewengan dan tiada rasuah.

“BN tak mampu untuk atasi apa yang kita telah lakukan sebab itu mereka lakukan serangan dengan menabur fitnah, memburukkan Pakatan Rakyat dan melaga-lagakan kami hanya untuk dapatkan sokongan rakyat pada pilihan raya umum nanti,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena percaya rakyat Kedah khususnya orang Melayu tidak akan terpedaya dengan taktik kotor BN itu.

“Itu harapan dan tujuan BN agar rakyat Kedah terutamanya orang Melayu akan percaya dan kembali sokong BN.

“BN usah bermimpi, orang Melayu sudah bijak dan menerima perubahan yang kita lakukan, mereka tidak akan terpedaya dengan taktik kotor yang digunakan untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat Kedah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kedah/Perlis Lee Guan Aik berkata, serangan yang dibuat BN itu adalah semata-mata untuk menjatuhkan imej pentadbiran negeri itu.

“Ini semua kerana pilihan raya, nak dapatkan sokongan sebab BN kalau kita lihat tak habis-habis serang Kedah, apa yang kami buat semua tak kena bagi BN.

“BN gunakan strategi dan taktik kotor untuk menjatuhkan imej kami, banyak risalah berbaur fitnah dan hasutan disebarkan... BN mahu tunjukkan negeri Pakatan Rakyat ini tidak OK dan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata BN juga akan memperbesarkan isu kecil dan mempolitikkan banyak perkara selain mencipta provokasi.

“Isu yang kecil diperbesarkan... dipolitikkan, BN buat provokasi untuk jatuhkan Pakatan Rakyat.

“Ini adalah strategi BN sejak dari awal lagi, cuma baru-baru ini serangan itu bertambah hebat,” katanya.

Lee juga percaya rakyat Kedah tidak akan terpedaya dengan apa jua strategi untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di negeri itu.

“BN nak bagi rakyat nampak Pakatan Rakyat ini tak betul tapi saya percaya rakyat Kedah tidak akan terpedaya.

“Kalau kita lihat BN sendiri sudah tidak ada idea, sebab itu gunakan taktik kotor seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman.

Umno-BN Kedah dilihat telah memulakan serangan terhadap Pakatan Rakyat negeri itu selepas Umno merombak barisan kepimpinan parti Melayu itu dengan meletakkan Adun Bakar Bata Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Umno Kedah.

Umno membawa perubahan kepimpinan awal tahun ini dengan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya awal tahun ini.

Terbaru Ahmad Bashah berkata berkata kerajaan PAS Kedah tidak perlu bersandiwara lagi tentang dakwaan ia telah melaksanakan 80 peratus daripada janji-janjinya yang dibuat oleh Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum yang lepas.

Beliau berkata sekiranya benar ia telah melaksanakannya, maka senaraikan sahaja janji-janji berkenaan dan tidak perlu berdalih dengan menyatakan akan mendedahkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah pada 4 April ini.

Ahmad Bashah berkata sekiranya benar kerajaan negeri telah melaksankan manifesto itu, kenapa Azizan melenting apabila ditanya wartawan tentang manifesto PAS Kedah.

Tambah Mahfuz, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana kerajaan negeri Kedah telah melaksanakan manifesto itu dengan bertindak menurunkan cukai tanah, menguruskan perbelanjaan wang kerajaan negeri dengan lebih berhemah, pembatalan projek loji penapisan minyak di Yan dan tender pembalakan secara terbuka tidak pernah dilakukan Umno dan BN selama memerintah. - MI/Deen

DUN Sarawak dibubar hari ini, SPR mesyuarat Rabu

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 21 Mac — Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubar hari ini — membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-10 selepas teka-teki dan spekulasi yang berlarutan kira-kira setahun.

Suruhanjaay Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas di Kuching Rabu ini bagi menentukan tarikh pilihan raya.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, beliau telah mengunjungi Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Khamis lalu bagi mendapatkan persetujuannya untuk membubarkan dewan.

Notis pewartaan pembubaran akan dibuat hari ini.

Ramai menjangkakan penamaan calon dan pengundian akan diadakan pada 6 dan 16 April ini.

Fasal (4) Perkara 21 perlembagaan negeri memperuntukkan bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

SPR perlu mengadakan mesyuarat dalam tempoh 10 hari sejak wujud kekosongan untuk menentukan tarikh pilihan raya.

Mandat semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak yang memperuntukkan 71 kerusi akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.

Ia adalah pilihan raya negeri terakhir bagib Taib dan yang pertama bagi Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri.

Sabtu lalu ketika mengumumkan tarikh pembubaran, Taib yang genap 30 tahun menerajui pentadbiran Sarawak Sabtu ini turut melahirkan hasrat untuk berundur sebagai ketua menteri, menyatakan beliau bercadang berbuat demikian sejak 2006 tetapi terpaksa menangguhkannya kerana tidak dapat dilaksanakan.

Najib juga hadir pada sidang media Sabtu lalu ketika Taib mengumumkannya di Kuching.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili, Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.-MI/Deen

Bonda Tuanku Mizan Meninggal Dunia

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Ampuan Bahriya Sultan Alam Shah mangkat di Hospital Seri Kota, Kelang, Selangor pada pukul 1.22 pagi Isnin.

Jenazah almarhum dijangka dibawa pulang ke Kuala Terengganu pada pukul 10 pagi ini melalui Pangkalan Udara Tentera Diraja Malaysia Subang, kata Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Datuk Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dua mangsa ditemui selamat

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TOKYO 20 Mac - Seorang wanita berusia 80 tahun dan remaja berusia 16 tahun ditemui masih hidup di bawah timbunan runtuhan bangunan di Ishimaki yang terletak di timur laut Jepun selepas sembilan hari negara ini dilanda gempa bumi kuat dan tsunami, lapor stesen penyiar NHK.

Polis di Miyagi mengatakan kedua-dua mangsa yang terselamat dan berada dalam keadaan lemah memberi respons terhadap panggilan yang dibuat oleh pasukan penyelamat.

Semalam, agensi berita Kyodo dan tentera melaporkan seorang lelaki berjaya diselamatkan dari runtuhan rumahnya tetapi sebenarnya lelaki tersebut telah ke pusat pemindahan sebelum ini dan baru sahaja kembali ke rumahnya.

Sementara itu, Jepun menyaksikan sedikit kejayaan dalam usaha untuk mengelakkan malapetaka di sebuah loji tenaga nuklear yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami baru-baru ini, meskipun kebocoran kecil radiasi terus menunjukkan bahaya daripada krisis nuklear terburuk di dunia sejak bencana Chernobyl 25 tahun lalu.

Seramai 300 jurutera bekerja bertungkus-lumus di dalam zon bahaya untuk menyelamatkan keadaan di loji Fukushima yang menempatkan enam reaktor itu sejak kompleks itu dilanda bencana bertimpa pada 11 Mac lalu.

Namun dalam perkembangan positif bagi seluruh rakyat Jepun yang memberi tumpuan kepada operasi di loji tersebut, reaktor No. 3 yang dianggap paling kritikal kerana mengandungi plutonium yang sangat toksik, menjadi stabil selepas trak bomba menyemburkan ratusan tan air ke atasnya selama berjam-jam.

Usaha untuk memulihkan bekalan elektrik ke pam-pam air yang digunakan untuk menyejukkan teras reaktor yang terlalu panas juga menunjukkan kemajuan.

"Kami mencapai kemajuan tetapi kami tidak boleh menjadi terlalu optimistik," kata Timbalan Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama.

Juruteknik menyambungkan kabel tenaga ke reaktor No. 1 dan No. 2, dengan harapan untuk memulihkan bekalan elektrik lewat hari ini dalam usaha untuk menghidupkan pam-pam air.

Mereka merancang untuk menyambungkan kabel tenaga ke reaktor No. 3 dan No. 4 tidak lama kemudian.

Jika mereka berjaya, kejayaan itu mungkin menandakan titik peralihan dalam krisis yang dikategorikan sebagai seburuk kemalangan nuklear Three Mile Island di Amerika Syarikat (AS) pada 1979.

Jika tidak, langkah drastik mungkin perlu diambil seperti menimbus loji itu dengan pasir dan konkrit seperti yang dilakukan di Chernobyl, Ukraine berikutan malapetaka reaktor nuklear terburuk di dunia pada 1986.

Selepas bekalan elektrik dipulihkan pun, operator loji Tokyo Electric Co. (TEPCO) masih menghadapi tugas rumit menghidupkan semula pam penyejuk, kerana komponen sistem dijangka rosak akibat gempa bumi atau letupan yang berlaku kemudian.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano berkata, walaupun krisis nuklear itu akhirnya dapat diatasi kelak, kompleks Fukushima akan terpaksa ditutup juga kerana air laut yang menyebabkan karat telah digunakan untuk menyejukkan reaktor, menjadikan komponen penting tidak lagi dapat digunakan. - Reuters/Deen

Rakyat Jepun kekal disiplin dalam bencana

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KAMAISHI 20 Mac - Insiden terpencil kegiatan mencuri oleh mangsa tsunami yang terdesak mula dilaporkan di Jepun, negara yang rakyatnya telah mendapat pujian meluas kerana disiplin mereka sekalipun menghadapi malapetaka bertimpa-timpa.

Negara lain melahirkan rasa kagum dan sedikit cemburu kerana kekacauan tidak berlaku berikutan gempa bumi kuat disusuli tsunami pada 11 Mac lalu yang menyebabkan hampir 20,000 orang terbunuh atau hilang.

Berlainan dengan huru-hara dan keganasan yang menyusuli gempa bumi di Haiti pada tahun lepas atau Taufan Katrina di New Orleans, Amerika Syarikat (AS) pada 2005, tindak balas rakyat Jepun terhadap bencana terburuk di negara ini sejak 1923 memperlihatkan kesabaran dan ketabahan sebuah masyarakat paling stabil di dunia.

Meskipun kekurangan bekalan makanan dan air sangat meruncing di kawasan paling teruk dilanda bencana itu, mesin penjualan makanan pun tidak disentuh, malah kandungannya yang jelas kelihatan di sebalik penutupnya masih tidak diusik.

Namun lebih seminggu selepas tsunami melanda kawasan pantai timur laut Jepun, polis berkata, beberapa insiden mencuri dan pecah masuk dilaporkan dari rumah dan kedai yang rosak teruk dan ditinggalkan.

Fenomena itu jarang berlaku di Jepun kerana polis di negara ini bertindak tegas ke atas jenayah kecil manakala penduduk mendapat ganjaran kerana memulangkan barang yang hilang atau dicuri.

"Disebabkan kami begitu sibuk dengan operasi mencari dan menyelamat dan kemudahan kerja pembersihan, sukar untuk kami mengesan mereka yang mencuri," kata timbalan ketua polis di bandar pelabuhan Kamaishi, Hironori Kodashima di wilayah Iwate.

Katanya, pihak polis baru mula menerima laporan mengenai jenayah itu dan melakukan penangkapan.

"Kami memandang berat perkara ini dan mahu menghentikannya," kata Kodashima yang menyebut kes seorang lelaki yang ditangkap ketika cuba memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM).

Beliau berpendapat penduduk mencuri kerana ketiadaan makanan dan wang tetapi mangsa bencana mendakwa, semakin ramai orang luar datang ke kawasan pantai timur laut untuk mengambil kesempatan daripada situasi tidak menentu dan kemusnahan yang berlaku. - AFP/Deen

Amerika dan sekutu bedil Libya besar-besaran

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
TRIPOLI 20 Mac - Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membedil Libya dengan peluru berpandu Tomahawk dan serangan udara secara besar-besaran sehingga ke awal pagi ini, mencetuskan kemarahan Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan seluruh Mediterranean sebagai 'medan pertempuran'.

Kapal-kapal perang Amerika dan kapal selam Britain melancarkan sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk ke Libya mulai semalam, dalam campur tangan Barat yang terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003, kata tentera AS.

Televisyen kerajaan Libya berkata, 64 orang terbunuh dan 150 lagi cedera dalam serangan udara tentera bersekutu itu, termasuk gelombang serangan baru ke atas ibu negara, Tripoli awal hari ini.

Pegawai Pentagon, Laksamana William Gortney memberitahu wartawan, peluru berpandu itu 'mengenai lebih 20 sistem pertahanan udara bersepadu dan kemudahan pertahanan udara lain di darat'.

Serangan itu dilancarkan dua hari selepas resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab meluluskan tindakan ketenteraan bagi menghalang tentera Gaddafi daripada menghancurkan pemberontakan terhadap pemerintahan autokratik pemimpin Libya itu.

Wartawan AFP berkata, bom-bom digugurkan awal hari ini dekat ibu pejabat Gaddafi di Tripoli, Bab al-Aziziyah, dibalas oleh tentera Libya dengan bedilan antipesawat udara yang berlarutan selama 40 minit.

Televisyen kerajaan sebelum itu berkata, beratus-ratus orang berkumpul sebagai perisai manusia di Bab al-Aziziyah dan di lapangan terbang antarabangsa Tripoli.

Serangan tentera bersekutu itu bermula pada 1645 GMT semalam (12.45 malam tadi waktu Malaysia) dengan serangan jet pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan yang dikatakan dinaiki oleh tentera pro-Gaddafi.

Gaddafi dalam mesej ringkas yang disiarkan oleh televisyen kerajaan mengutuk serangan itu sebagai 'keganasan tentera salib yang kejam dan tidak wajar'.

Beliau berikrar akan melancarkan serangan balas ke atas kedudukan tentera dan awam di Mediterranean, rantau yang telah bertukar menjadi 'medan pertempuran sebenar'. - AFP/Deen

PAS ajak rakyat Sarawak buat perubahan

16 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 20 Mac: PAS mengajak seluruh rakyat Sarawak melakukan perubahan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kali ini.

“Kita semua sudah sedia maklum bahawa saat yang dinantikan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak telah pun diketahui,” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, sejak berbulan lamanya PAS telah pun menggerakkan jentera parti dalam menyediakan petugas, ahli dan penyokong bagi berhadapan dengan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bakal tiba nanti.

“Sehubungan dengan pembubaran ini, maka saya menyeru kepada seluruh pimpinan PAS Pusat, jentera Pilihanraya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Sarawak dan negeri-negeri yang akan membantu agar mula turun ke gelanggang dengan petugas-petugas anak tempatan yang penuh bersemangat untuk melakarkan sejarah baru bagi melakukan perubahan bersama rakyat Sarawak,” katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Petugas parti juga, ujarnya perlulah meneliti dan mengikuti arahan pimpinan di peringkat masing-masing supaya dapat bertugas dengan efisyen nanti.

Beliau menambah, selain dari cita-cita untuk menempah kerusi pertama dari bumi Sarawak ini, jadikanlah medan kali ini sebagai suatu wasilah dakwah dan seterusnya melakukan tajdid terhadap persepsi politik rakyat Sarawak yang dahagakan kepimpinan yang akan membawa mereka jauh lebih baik dari kepiminan BN yang ada pada hari ini.

“Cukuplah kita melihat keengganan Ketua Menteri yang ada sekarang ini untuk berundur dari jawatannya dengan alasan ketiadaan pimpinan yang mampu dan selayaknya bagi menggantikan diri beliau sebagai suatu petaka besar kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Menurutnya lagi, selama puluhan tahun memerintah di Sarawak, BN masih gagal melahirkan pemimpin pelapis yang mampu untuk melakukan perubahan kepada nasib rakyat Sarawak, jauh sekali dari berkhidmat dengan penuh jujur kepada rakyat.

Kesimpulannya, kata beliau ialah BN sememangnya telah memperjudikan nasib rakyat Sarawak yang amat dahagakan perubahan menyeluruh dalam sistem pentadbiran kerajaan, 'deliverable' terhadap rakyat, menyebabkan rakyat di luar bandar telah dipinggirkan selama puluhan tahun ini.

“Hakikatnya ialah, kepelbagaian etnik dan budaya yang ada di Sarawak adalah merupakan aset yang sangat penting dalam melahirkan sebuah Sarawak baru yang lebih baik dari keadaan di bawah BN selama ini,” katanya. - HD/Deen