20 March 2011

Penunjuk perasaan anti-perang berdemonstrasi


15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -Penunjuk perasaan anti-perang berdemonstrasi di Los Angeles, California sempena ulangtahun kelapan pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq dan menuntut supaya perang ke atas Libya dihentikan. - AFP

Satu lagi reaktor nuklear di Jepun bermasalah

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Agensi Keselamatan Nuklear Jepun berkata tekanan di satu lagi rektor nuklear yang rosak kerana tsunami dan gempa bumi minggu lalu kini meningkat yang boleh menyebabkan kebocoran gas radioaktif.

Pegawai agensi berkenaan, Hidehiko Nishiyama, berkata usaha untuk memasukkan air di Unit 3 reaktor Fukushima Dai-ichi mungkin tidak lagi berkesan.

Beliau berkata pengendali loji berkenaan akan membebaskan sebahagian gas radioaktif dari reaktor berkenaan di udara.

"Ini mungkin akan memperlahankan kerja untuk membaik pulih tenaga dan sistem penyejukan di unit berkenaan," katanya.

Nishiyama berkata, langkah itu bermakna paras radiasi di sekitar loji berkenaan akan meningkat semula. - AP

48 maut, 15 cedera serangan roket di Libya

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Stesen televisyen Libya memetik tentera negara itu yang mengesahkan setakat ini 48 maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan udara pertama tentera Bersekutu, awal pagi tadi.

Serangan itu membabitkan sepanjang pesisir pantai barat dan timur terutama di
di bandar Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi. - AFP

Serangan ke atas Libya 'diselaras' AS

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PARIS: Serangan udara tentera Britain, Peranchis dan Amerika Syarikat (AS) awal pagi ini ke atas wilayah Libya diseleraskan menerusi ibu pejabat tentera AS di Jerman, menurut pegawai tentera Peranchis kepada AFP.

“Operasi multilateral ini diseleraskan oleh Tentera Pemerintah Udara AS yang berpangkalan di Eropah di ibu pejabatnya di Stuttgart, Jerman,” kata pegawai itu yang enggan namanya disebut.

Beliau berkata, AS mempunyai peranan strategik dalam membuat penyelarasan seranagn itu dengan memberi arahan terhadap tentera Bersekutu.

Sebahagian pasukan bersekutu itu membabitkan Emeriyah Arab Bersatu (UAE) yang menawarkan 24 pesawat jenis Mirage 2000-9 and F-16) dan Qatar antara empat dan lima pesawat 2000-5, katanya. - AFP

Russia, China kecewa serangan ke atas Libya

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BEIJING: China melahirkan kekecewaannya terhadap serangan udara yang dilancarkan tentera Bersekutu ke atas Libya.

Kementerian Luar China dalam satu kenyataannya sebentar tadi berkata, kerajaan negara itu menentang penggunaan ketenteraan dalam menangani masalah perhubungan antarabangsa.

“China pritahin dengan berkembangan terbaru di Libya dan melahirkan rasa kecewa dengan serangan terhadap Libya," kata kenyataan itu

112 peluru berpandu dilancar ke atas Libya

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Kapal perang dan kapal selam Amerika dan British melancarkan fasa pertama serangan peluru berpandu ke atas pertahanan udara Libya dan pegawai pertahanan Amerika berkata, serangan itu dipercayai mengakibatkan kerosakan besar.

Dalam serangan tersebut, 112 peluru berpandu Tomahawk dilancarkan ke atas lebih 20 sasaran di pantai untuk membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu bertindak melumpuhkan pertahanan udara Libya, lapor AP.

Para pegawai pertahanan Amerika berkata adalah terlalu awal untuk menilai kesan serangan tersebut, tetapi berasaskan kepada ketepatan sasaran peluru yang dilancarkan, mereka merasakan ia mengakibatkan kerosakan teruk ke atas pertahanan udara Libya.

Pegawai berkenaan tidak mahu disebut namanya kerana misi serangan tersebut masih berterusan.

Ketika mengumumkan misi serangan tersebut ketika melawat Brazil, Presiden Barack Obama berkata beliau keberatan mengambil langkah ketenteraan tetapi yakin ianya perlu untuk menyelamatkan nyawa orang awam.

Obama mengulangi bahawa beliau tidak akan menghantar tentera Amerika memasuki Libya.

"Kami tidak boleh melihat sahaja apabila seorang pemimpin yang zalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak akan ada belas kasihan ke atas mereka," katanya di Brasilia.

Setakat ini, Amerika dilihat menghadkan peranannya dalam campurtangan di Libya, dengan fokus pertamanya untuk melumpuhkan pertahanan udara Libya, dan kemudian menyerahkan kepada negara-negara Eropah dan mungkin negara-negara Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di atas ruang udara negara Afrika Utara.

Naib Panglima William E. Gortney memberitahu wartawan bahawa serangan peluru berpandu itu adalah permulaan kempen yang dikenali sebagai 'Operation Odyssey Dawn'.

Katanya, matlamatnya ialah untuk menghalang tentera Muammar Gadhafi daripada melakukan lebih banyak keganasan ke atas orang awam - terutama di dalam dan di sekitar kubu pemberontak di Benghazi -- dan melumpuhkan keupayaan ketenteraan Libya untuk mencabar zon larangan terbang.

Sementara itu, Wartawan AFP pula melaporkan, bom digugurkan awal pagi ini berhampiran Bab al-Aziziyah, ibu pejabat Gaddafi di Tripoli, dan mencetuskan kemarahannya, yang berkata Mediterranean kini telah menjadi 'medan perang'.

Televisyen Libya sebelum itu melaporkan bahawa ratusan rakyat telah berkumpul untuk membentuk perisai manusia di Bab al-Aziziyah dan di lapangan terbang antarabangsa ibunegara itu.

Satu pegawai Libya memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam serangan tersebut, yang bermula pada 1645 GMT (12.45 pagi waktu Malaysia) oleh sebuah pesawat pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan tentera yang didakwa Perancis milik pasukan pro-Kadhafi.

Stesen televisyen Libya memetik tentera negara itu yang mengesahkan setakat ini 48 maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan udara pertama tentera Bersekutu, awal pagi tadi.

Serangan itu membabitkan sepanjang pesisir pantai barat dan timur terutama di di bandar Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi.

Media di Libya juga melaporkan pesawat pejuang barat mengebomkan sasaran awam di di Tripoli, menyebabkan kematian, manakala jurucakap tentera pula berkata serangan juga mengenai tangki yang membekalkan bahan bakar ke bandar Misrata yang dikuasai pemberontak, di timur Tripoli.

Gaddafi, dalam ucapan ringkas yang disiarkan di televisyen negara itu, mengecam serangan tersebut dan berikrar akan bertindak balas.

"Kini gudang senjata telah dibuka dan semua rakyat Libya telah dipersenjatai untuk menentang kuasa barat," katanya.MK/-

Pakatan Rakyat hapus saman ekor

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BESUT, 20 Mac: PAS sekali lagi mempertegaskan sikapnya membantah keras pelaksanaan saman ekor oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia menyusah dan membebankan rakyat.

Justeru, Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjanji pihaknya akan menghapuskan peraturan saman tersebut sekiranya diberi peluang memerintah negara menerusi pilihan raya umum akan datang.

“Kita isytihar malam ini, kalau Pakatan Rakyat perintah (negara), saman ekor kita hapus. Itu jaminan kita kalau kita perintah,” katanya.

Beliau menegaskan demikian di dalam ucapannya pada sesi ceramah sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) Zon Besut - Setiu di Dataran PGU, di Jertih, malam tadi.

Perhimpunan selama dua hari bermula Jumaat itu merupakan siri kedua program seumpamanya dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Siri pertama telah diadakan pada pertengahan Januari lalu di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman.

Ceramah malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan. Selain Abdul Hadi, turut menyampaikan ceramah mereka ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik.

Menurut Abdul Hadi, kesemua parti dalam Pakatan Rakyat berkongsi pendirian mengenai berbagai perkara membabitkan kepentingan rakyat, termasuk soal saman ekor.

“Kita tahu rakyat tidak setuju (pelaksanaan) saman ekor dan PAS memang tidak setuju. DAP tak setuju, Keadilan (PKR) tak setuju. Yang setuju hanyalah Umno Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau malah secara sinis menganggap pelaksanaan sistem saman ekor itu sebagai bukti BN benar-benar menghayati slogan “Rakyat Didahulukan”.

Katanya, BN mendahulukan rakyat untuk merasai beban menampung kekurangan kewangan negara apabila terpaksa berbelanja lebih untuk melunaskan saman ekor itu.

Memahami tekanan hidup rakyat yang semakin meningkat, maka PAS dan Pakatan Rakyat juga katanya akan mengkaji semula harga runcit minyak. Langkah itu diyakini akan turut menghalang kenaikan berterusan harga barangan keperluan harian lain.

“Kita janjikan Negara Berkebajikan. Kita serius menjaga dan membela kebajikan rakyat. Ini bukan janji saja, kita akan buat insya Allah,” tegasnya.

Harakahdaily/-

Pendirian Nik Aziz : Jawapan Terhadap NST

15 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari




Saya merujuk kepada artikel yang tersiar di muka 10, akhbar New Straits Time bertarikh 19 Mac 2011 yang bertajuk Nik Aziz’s Outlandish Edicts (Fatwa Pelik Nik Aziz). Saya kira penulis artikel tersebut Azmi Anshar berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan sewaktu menulis artikel yang sebahagian besarnya mengandungi unsur-unsur prejudis terhadap Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Dari para pertama lagi, penulis menampakkan kedangkalannya apabila menyentuh berkenaan dengan gesaan YAB Tuan Guru supaya wanita Kelantan berpakaian sopan dan menutup aurat. Penulis menyifatkan gesaan ini sebagai seemingly denuded women of their long-held rights to dress, appear and behave as they always had in Malaysia (kelihatan menafikan hak wanita selama ini yang bebas untuk berpakaian, muncul di khalayak dan menampilkan diri sebagaimana kebiasaan wanita di Malaysia). Hairan sekali, apabila seorang penulis yang namanya mencerminkan dirinya sebagai seorang muslim boleh mempertikaikan apa yang disebut oleh Menteri Besar Kelantan itu. Sedarkah penulis, bahawa pakaian menutup aurat bukannya difardhukan oleh Nik Aziz, apa lagi Muhammad SAW, bahkan ia merupakan kefardhuan daripada Allah SWT. Tidak malukah penulis sebagai seorang muslim mempertikaikan kata-kata Menteri Besar Kelantan itu dalam keadaan dirinya masih merupakan seorang yang bersyahadah ; bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah?

Perlu diingatkan, bermula tahun 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz hanya menyebut isu aurat sebagai satu teguran kepada rakyat dan juga kakitangan wanita yang bekerja, tidak pernah ada satu tangkapan yang dibuat terhadap mereka yang tidak menutup aurat sehinggalah pada tahun 2005, barulah diperkenalkan kod berpakaian dan dikenakan denda kepada mereka yang melanggarnya. Adakah ini merupakan satu perkara yang pelik sehingga dianggap fatwa pelik oleh Azmi Anshar?

Sedarkah Azmi bahawa di Amerika Syarikat sendiri pada hari ini, fesyen berseluar londeh dan mendedahkan pakaian dalam juga telah dilarang demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam. Tidakkah itu juga merupakan satu fatwa pelik? Atau Azmi Anshar ingin berkata bahawa PAS juga wujud di Amerika? (sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm) Demikian juga di China, pakaian seksi sehingga menggangu mata orang lain juga turut dilarang di atas alasan menjaga ketenteraman awam. (sumber : http://news.bbc.co.uk/2/hi/asia-pacific/3621864.stm) Apa jawapan Azmi Anshar terhadap langkah kedua-dua negara ini?

Artikel ini juga bagi saya penuh fitnah terhadap dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan di Kelantan. Seolah-olah kerana dasar inilah wanita di Kelantan ditindas. Barangkali Azmi Anshar ini seorang penghuni gua yang baru keluar melihat cahaya. Sedarkah beliau bahawa di Kelantanlah, golongan wanita dibela dengan pelbagai dasar kebajikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Di sini terdapat skim perlindungan kepada armalah, cuti wanita bersalin selama 60 hari, penggalakan wanita yang bekerja di kilang-kilang agar diberikan shif bekerja pada waktu siang sahaja, perlantikan Senator daripada kalangan wanita dan juga perlantikan penghulu khas untuk golongan wanita. Semuanya ini merupakan cetusan perubahan yang dimulakan oleh kerajaan yang menindas wanita seperti yang digambarkan oleh penulis Azmi Anshar. Dan jangan lupa, di saat cuti dua hari seminggu yang dinikmati oleh kakitangan awam di seluruh negara pada hari ini termasuklah golongan wanita, ia bermula di negeri Kelantan yang mana Doctor In The House itu pernah melabelnya sebagai budaya pemalas!

Azmi Anshar juga mempertikaikan soal calon wanita yang bertanding mewakili PAS pada hari ini sebagai satu perubahan terhadap fatwa pelik Nik Aziz. Kasihan sungguh apabila beliau tidur selama dua dekad sehingga gagal untuk melihat punca wanita tidak digalakkan bertanding sekitar tahun 1970an – 1990an. Sedarkah Azmi Anshar, parti yang pertama meletakkan calon wanita ialah PAS melalui calonnya Khatijah Sidek yang bertanding di kerusi Dungun, Terengganu pada tahun 1955. Pada waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih berada di luar negara dan masih belum mengeluarkan pandangannya (atau dalam istilah Azmi Anshar sebagai fatwa pelik).

Apa yang menyebabkan golongan wanita agak terkebelakang satu ketika dahulu ialah kerana permainan politik kasar UMNO yang menggunakan politik ala samseng dengan pemuda tahan lasaknya dan lain-lain. Senario ini meletakkan ahli politik terutama dari pembangkang seperti PAS dalam keadaan bahaya dan ini tidak sesuai untuk dipikul oleh golongan wanita. Lupakah kita kepada tragedi yang berlaku kepada Allahyarham Abdul Samad Gul, ahli parlimen PAS yang mati dibunuh satu ketika dahulu? Lupakah kita kepada insiden-insiden berdarah yang menimpa penceramah-penceramah PAS satu ketika dahulu? Hari ini, senario tersebut beransur reda dan wanita dibenarkan kembali untuk berada di pentas politik ekoran keselamatannya yang sudah agak terjamin berbanding sebelum ini. Azmi Anshar perlu sedar, polisi tersebut bukannya satu fatwa, tetapi pendirian sementara mengikut senario semasa. Sepatutnya Azmi Anshar lebih fokus kepada agama yang diperalatkan oleh UMNO yang hanya bersifat sementara. Islam Hadhari sebagai contoh, di longkang mana ia dicampakkan pada hari ini setelah ia dijulang bagaikan ratib wajib satu ketika dahulu?

Melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai anti wanita ialah satu tuduhan songsang yang sangat tersasar. Jangan dilupa cadangan Tuan Guru agar diberikan peluang kepada Muslimat PAS menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS beberapa tahun yang lampau. Bolehkah UMNO membuka pintunya seluas itu? Tentu sekali tidak, kerana jawatan dalam parti UMNO umpama lubuk yang boleh menjanjikan seribu satu projek dan tender.

Azmi Anshar tidak berjaya membuktikan apa-apa melalui tulisannya, hanya sekadar memenuhi separuh muka surat akhbar NST dengan satu tulisan sampah yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Sekian.

*Penulis ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.