18 March 2011

A Doctor in the House: The 'Nyanyuk' of...Mahathir Kantoi Lagii..Jumpa Dengan "Hantu" Orang Dah Mati..??

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tanggapan kononnya beliau tersilap fakta dalam memoirnya berhubung pertemuan dengan bekas Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares, sambil menjelaskan bahawa pemimpin republik itu gurunya dan tidak mungkin beliau terlupa siapa yang beliau temui.

“Saya berjumpa dengan Sheares kerana beliau pernah mengajar saya. Ia satu kunjungan mesra. Tetapi ia (pertemuan itu) bukannya ketika saya berjumpa Perdana Menteri (Lee Kuan Yew) dalam lawatan pertama saya,” katanya ketika diminta membuat penjelasan oleh seorang wartawan asing.

Wartawan dari The Straits Times Singapura itu, menyatakan rekod akhbarnya menunjukkan pada masa itu, Sheares sudah meninggal dunia dan beliau (Dr Mahathir) sebenarnya mengadakan pertemuan dengan presiden lain iaitu Devan Nair pada satu majlis makan tengah hari.

Catatan mengenai pertemuan dengan Sheares itu terkandung dalam buku kisah hidup Dr Mahathir berjudul A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilancarkan minggu lalu dan mendapat sambutan hangat.

“Bahagian pertama (bab berkenaan) adalah mengenai pertemuan saya dengan Lee Kuan Yew dan bahagian kedua, saya juga pergi (berjumpa Sheares), bukan pada hari yang sama atau lawatan yang sama.

“Yang pasti, saya bertemu Sheares. Saya pergi bersama isteri saya dan beliau boleh mengesahkan sama ada ia benar atau tidak,” kata Dr Mahathir.

Juragan : Dah Nyanyuk la tuuu..sepatutnya bukan tajuk buku tu Memori...tetapi Hilang Memori..Inilah kesan doa mereka-mereka yang di zalimi oleh beliau semasa era pemerintahan kuku beruangnya...itu pun masih ada lagi manusia yang percaya akan segala fitnah beliau yang berubah-ubah terhadap DSAI...Fuhhhh Hampehhhh Umnoo...

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

'Jangan Tolak Masalah Anda Kepada Kerajaan'

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 MAC : “Jangan jadikan masalah peribadi anda sebagai masalah kerajaan.” - Itu nasihat yang diberikan oleh ahli panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Robert Phang kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Phang, yang terkenal dengan kelantangannya bersuara berkata Gani pada 4 Januari lalu telah memberi taklimat kepada lima ahli panel SPRM. Pada perjumpaan itu, beliau memberitahu akan berurusan dengan media dan orang ramai bagi menjelaskan pemergian kontroversialnya ke tanah suci menunaikan ibadah haji.

"Dua bulan sudah berlalu sejak perjumpaan itu dan saya tidak lihat Gani tampil menjelaskan perkara itu.

"Seorang penulis blog mendakwa Gani dan keluarganya menunaikan haji dengan seseorang yang wataknya 'mencurigakan'. Saya tidak kata dia tidak jujur tetapi hanya mengulangi apa yang dimuat-naikkan dalam blog itu,” kata Phang.

"Tolong, jangan jadikan masalah perbadi anda sebagai masalah kerajaan. Tampil dan buat penjelasan kerana anda memegang jawatan yang berkuasa dan penting. Saya cuma membekalkan konduit bagi Gani untuk menjelaskan kepada orang ramai apabila berjanji berbuat demikian.”

NONEPhang, bekas ahli Transparency International berkata demikian semasa sesi teh tarik bagi menceritakan segala-galanya yang dianjurkan oleh Malaysian digest.com petang semalam.

Meskipun Phang tidak menamakan 'watak yang mencurigakan' itu, namun mengikut kebanyakan laporan, ia adalah Shahidan Shafie, yang pernah dikaitkan dengan bekas pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli.

Gani dibidas tahun lalu setelah timbul dakwaan di Internet bahawa beliau mempunyai hubungan dengan Tajudin yang kini disiasat oleh SPRM.

Phang yang antara mereka yang membidas Gani dan secara terbuka menuntut Peguam Negara itu menjelaskan kontroversi berkenaan. Namun, kedua-dua Gani dan Shahidan terus membisu.

Gani dikatakan telah membuat penjelasan kepada SPRM tetapi sesetengah anggota panel dikatakan terus tidak berpuas hati dengan penjelasannya.

-Malaysiakini

Pakatan konsisten, BN tak senang duduk

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Kerajaan BN semakin 'tidak senang duduk' kerana Pakatan Rakyat konsisten berperanan sebagai semak dan imbang kepada pentadbiran negara, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar).

Beliau berkata, selagi bergelar pembangkang, Pakatan Rakyat akan terus mengkritik segala kesilapan yang dilakukan BN demi mewujudkan negara maju yang mengutamakan kebajikan rakyat.

"Selagi kami menjadi pembangkang, kami akan terus membawa matlamat menyemak dan menyeimbangan kerajaan.

"Segala kesilapan kerajaan sama ada dari sudut dasar atau pelaksanaan kami akan terus mengkritik dan kadang kala mengecam. Oleh sebab itu mereka (BN) berasa panas, rimas dan lemas," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Dzulkifly menegaskan, tanpa suara pembangkang, penyelewengan projek-projek mega membabitkan kerugian jutaan ringgit tidak akan terbongkar.

"Kalau tidak kerana pembangkang yang menyuarakan suara rakyat ini, kita tak akan dapat saksikan skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang yang menelan RM12.5 bilion dan pembaziran dalam projek-projek lain contohnya MRT dan Empangan Bakun," katanya.

Projek Empangan Bakun, Sarawak telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah RM450 juta yang dialami oleh Sime Darby bagi tahun kewangan 2010, di samping pampasan RM900juta yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Bagi Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang pula, anggaran perbelanjaan adalah sebanyak RM53 bilion.

Minggu lalu, DAP turut meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Pemandu Projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang meneliti semula pelaksanaan projek itu berikutan kosnya yang tinggi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata parti itu tidak membantah usaha kerajaan melaksanakan Projek MRT itu, tetapi penelitian semula perlu bagi memastikan tidak berlaku ketirisan wang rakyat dan mahu ia dijalankan secara tender terbuka.

Tambah Dzulkefly lagi, Pakatan Rakyat juga telah membuktikan mereka bukan bercakap kosong sebaliknya menampilkan buku jingga yang semakin digeruni BN.

"Ketika BN kerap mengecam kami pembangkang hanya pandai bercakap tapi tidak membawa apa-apa penyelesaian, ketika itulah kita menampilkan buku jingga yang menimbulkan rasa cemas BN.

"Inilah dia respons kami sebagai menampilkan satu penyelesaian bagi menyelesaikan segala kemelut yang berpanjangan sama ada ekonomi dan sebagainya.

"Kami menampilkan 10 program reformasi yang tak melebihi RM19 bilion pun.Ini juga sebagai penjimatan kalau dibandingkan dengan RM28 bilion ketirisan yang dilaporkan ketua audit negara," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat turut mencadangkan kakitangan yang berkhidmat secara kontrak diserap sebagai kakitangan tetap.

"Mereka yang diambil sebagai pekerja kontrak yang telah pun berkhidmat selama tujuh hingga sepuluh tahun mereka masih lagi pada status itu.

"Saya mencadangkan kerajaan menimbangkan kewajaran untuk menyerap mereka ini yang punya pengalaman untuk bersama dalam urus tadbir kerajaan," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria .

Rakyat sudah tahu siapa pengarah dan penulis skrip untuk lakonan Umi Hafilda

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Kenapa dulu tak dedah di mahkamah : Dasar Penipu

Selepas Zulkifli Nordin kini seorang lagi selebriti terkenal dilihat "gila meroyan" dengan isu liwatAnwar Ibrahim. Tapi kali ini ialah pelakon lama yang sudah hampir 13 tahun menyepi tiba-tiba muncul semula.

Entah apa mimpi dan rasukan yang menimpa dirinya, itulah dia Ummi Hafilda Ali (foto) iaitu adik kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali

Kelibatnya kini seolah-olah tepat pada masanya iaitu disaat perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim masuk ke pusingan yang terakhir sekarang ini.

Maka, Ummi kini umpama satu "anugerah khas" yang tiba-tiba dibawa masuk untuk menyakinkan rakyat kononnya apa yang berlaku kepada Anwar Ibrahim selama ini bukanlah satu "teori konspirasi".

Berkokoklah Ummi Hafilda mengikut skrip yang telah diberikan kepadanya. Kali ini agak menarik kerana ia dimulakan dengan isu saman menyaman.

Ummi tiba-tiba membuat satu sidang media khas bagi menyaman pihak-pihak tertentu yang kononnya telah mencemar dan menjatuhkan maruahnya sejak 13 tahun yang lalu.

Malah, dalam beberapa siri ceramahnya termasuk ketika di PRK Kerdau dan Merlimau baru-baru ini Ummi begitu bersemangat waja mendedahkan satu persatu rahsia besar yang dikatakan berlaku antara Anwar dan abangnya Azmin Ali.

Termasuklah isu kononnya Anwar mempunyai hubungan sulit dengan kakak iparnya sendiri iaitu isteri Azmin yang bernama Shamsidar. Satu persatu dibongkarkan dengan penuh keyakinan supaya rakyat mempercayai penjelasannya kali ini.

Kehadiran Ummi ke dua PRK baru-baru ini cukup menggemparkan orang ramai terutamanya penyokong Pakatan Rakyat. Ini kerana dimana sahaja ada ceramah Anwar maka Ummi Hafilda akan berada di situ bagi mendedahkan sikap sebenar mantan TPM itu.

Terkadang di sesetengah tempat, ceramahnya sengaja diadakan bagi tujuan untuk menganggu ceramah umum yang melibatkan Anwar Ibrahim.

Siapa Yang Bayar Ummi Jelajah Seluruh Malaysia

Soalnya benarkah kehadiran Ummi itu tidak diundang seperti kata TPM Muhyiddin Yassin. Katanya Ummi datang dengan rela hati dan UMNO tidak melarang beliau berkempen mendedahkan rahsia peribadi Anwar.

Masalahnya, jika bukan UMNO BN yang mengatur jadual ceramah Ummi maka siapa lagi yang bertanggungjawab.

Bukankah JASA itu terletak dibawah UMNO?. Dan difahamkan juga pihak JASA yang mengundang dan membawa Ummi turun ke dua lokasi berkenaan.

Maknanya, UMNO yang mengatur jadual ceramah Ummi ketika itu. Anehnya, Muhyiddin boleh berdolak dalih kononnya Ummi tidak dibayar dan sebagainya.

Namun umum lebih mengetahui siapakah yang membayar Ummi Hafilda untuk menjelajah ke serata negara bagi membongkarkan apa yang dikatakan rahsia peribadi Anwar Ibrahim ini.

Anehnya, setiap pendedahan yang dibuat beserta dengan bukti-bukti kukuh itu langsung tidak dijawab Anwar. Malah, Ketua Umum PKR itu menganggap Ummi hanyalah seperti seekor nyamuk yang tidak perlu dilayan.

Masalahnya, kini ramai yang takut pendedahan yang dibuat oleh Ummi itu bakal memberi kesan yang mendalam kepada rakyat terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Jika sesuatu gagal dilaksanakan, maka sudah pasti akhirnya rakyat terutamanya pengundi atas pagar akan percaya segala kenyataan yang telah pun dibuat secara eksklusif oleh Ummi Hafilda itu sebenarnya.

Kenapa Dulu Dia Tidak Dedah Bukti Di Mahkamah

Soalnya sekarang, ramai yang terkejut kerana Ummi kini menjadi juara saman menyaman. Jika sebelum ini beliau dengan bangganya menyaman Anwar, Wan Azizah, Karpal Singh dan parti PAS sebanyak RM700 Juta atas berbagai pertuduhan.

Terbaru, semalam beliaumemfailkan pula saman fitnah sebanyak RM100 juta terhadap ahli perniagaan Nor Azman Abdullah Baginda Minda (foto) dan juga portal Malaysiakini.

Sebelum ini Baginda pernah mendedahkan hubungan sulitnya dengan Ummi Hafilda dan wanita itu pernah menceritakan kepadanya tentang konspirasi yang dilakukan secara terancang untuk mensabitkan Anwar dengan pertuduhan liwat pertama dulu.

Pengakuan yang dibuat oleh Baginda telah menyebabkan Ummi menjadi marah dan terpaksa mengambil tindakan saman terhadap beliau.

Soalnya sekarang, kenapa Ummi Hafilda tiba-tiba begitu berselera menyaman pihak-pihak tertentu. Jika dicampur jumlahnya kini Ummi mempunyai RM800 juta kiranya beliau menang dan mendapat jumlah saman yang dinyatakan.

Cuma apa yang memusykilkan ialah jika benar segala dakwaan Ummi seperti yang diwar-warkan kepada media sekarang, kenapakah semua itu tidak didedahkan olehnya ketika menjadi saksi utama perbicaraan kes liwat I dulu. Kenapa segala bukti dan dokumen berkenaan tidak dibawa ke mahkamah?.

Bukankah jika ketika itu dia berani seperti sekarang, maka tidak mungkin Anwar boleh dibebaskan sebenarnya. Dokumen-dokumen itu sudah cukup untuk memastikan Anwar terus merengkok dalam sel penjara Sg.Buloh buat beberapa ketika lagi.

Tetapi, kenapa ini tidak berlaku dan baru sekarang mahu dikatakan "dia ada bukti"?. Bukankah ini sesuatu yang amat kontroversi.

[Ramai yang tertanya-tanya kini, apa motifnya hinggakan Ummi mengambil masa yang terlalu lama untuk mendedahkan segala bukti-bukti berkenaan. Jika ini keadaannya, beliau jelas sekali telah menghina keputusan mahkamah yang membebaskan Anwar dulu.

Peguamnya juga boleh meminta mahkamah mengkaji semula keputusan membebaskan Anwar dulu. Itu pun jika beliau benar-benar mempunyai bukti kukuh penglibatan Anwar dan Azmin atas apa yang dinyatakan dalam ceramahnya itu.

Jika tidak pasti rakyat tidak akan percaya segala pendedahan yang dilakukan oleh Ummi Hafilda, kerana bagi mereka wanita tersebut kini sudah dibeli untuk tujuan memastkikan Anwar kembali ke penjara sebelum PRU13 nanti agaknya?.

Justeru itu, Ummi tidak boleh terlalu mendabik dada kononnya dia berada di pihak yang benar sekarang. Kerana jika dia benar, sepatutnya segala bukti dan dokumen berkenaan sudah pun dijadikan bahan bukti kukuh untuk mensabitkan Anwar dengan segala tuduhan yang dikemukakan itu. Inilah yang memusykilkan rakyat sekarang.

Jika tidak, Ummi boleh didakwa kerana menghina keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah membebaskan Anwar Ibrahim dulu.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Angkuhnya Rosnah, baru bertatih dalam politik

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi menyifatkan kenyataan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi relevan sebagai angkuh.

Athirah berkata, sebagai pemimpin muda, Rosnah tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati hak rakyat untuk memilih mana-mana parti politik.

"Ia adalah suatu kenyataan yang terlalu angkuh daripada seorang pemimpin muda dalam Umno yang hakikatnya baru bertatih mengenali dunia politik sebenar.

"Kenyataan yang lahir daripada kedunguan dan emosi politik yang terkongkong malah tidak selari dengan perkembangan semasa negara dan dunia yang setiap hari menolak corak pentadbiran dan pemerintahan kuku besi serta monopoli oleh elit-elit politik tertentu yang lazimnya menjadikan rakyat sebagai bahan permainan dan perbodohan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Athirah juga berkata, Rosnah sebenarnya takut dengan pelbagai tawaran Pakatan Rakyat yang semakin mendapat perhatian dan keyakinan rakyat.

"Bila dia kata PR sudah tidak relevan, Rosnah sebenarnya sedang menampakkan ketakutan dan kegusarannya terhadap pelbagai program Pakatan Rakyat baik yang telah dilaksanakan di peringkat negeri-negeri pentadbiran PR mahupun agenda 10 Janji Jingga PR," katanya.

Tambahnya, kenyataan Rosnah sebenarnya hanya mengambil sikap emosi dan prejudis melulu sebagai seorang pemimpin muda Umno BN yang terdesak memastikan survival mereka khususnya dalam PRU13 akan datang.

Athirah yang juga Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat Pusat itu juga berkata, Rosnah telah menyinggung perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan kepada PR sehingga memerintah di beberapa buah negeri dalam Malaysia.

"Sebagai Timbalan Menteri, Rosnah sewajarnya lebih memposisikan diri untuk kepentingan rakyat tanpa mengira mereka itu penyokong parti mana.

"Adalah suatu yang amat malang mempunyai seorang pemimpin muda seperti Rosnah yang gagal memahami maksud sebenar sebuah negara yang baik dengan sistem demokrasi yang juga baik serta subur," katanya lagi.

Beliau turut mencabar Rosnah untuk berdebat berdasarkan fakta, bukan mengeluarkan kenyataan kepada media milik mereka sahaja.

"Rosnah juga barangkali tertipu dengan beberapa keputusan pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini yang disimpulkan sebagai pulihnya sokongan rakyat terhadap BN, sedangkan hakikatnya ia tidak begitu.

"Ini boleh kita syarahkan dengan lebih panjang lebar kalau Rosnah berani untuk berdepan secara hujah, bukan sekadar mengeluarkan pelbagai kenyataan kepada media proksi mereka.

Beliau turut menasihati Rosnah agar belajar menerima hakikat bahawa pembangkang yang baik sangat perlu bagi memastikan ketelusan perjalanan pentadbiran sesebuah negara tanpa ada salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan ketirisan.

"Peranan mana-mana atau sesiapa jua sebagai kuasa pembangkang tidak wajar diperlekehkan bahkan sebagai seorang pemimpin muda dalam fasa baru politik Malaysia, kita wajar lebih bersifat terbuka dan berfikiran positif.

"Pembangkang dalam status politik wajar dilihat sebagai kuasa check and balance. Dan ini semua gagal untuk dilihat dan difahami oleh Rosnah.

"Pakatan Rakyat memang sangat relevan dalam negara ini dan kita akan terus mencabar keangkuhan Umno BN," katanya.

Semalam, Rosnah dalam satu program Umno menasihatkan pengundi di Sarawak dan Sabah agar menolak kepimpinan Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak lagi relevan dan konsisten.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria .


P'raya Sarawak: Kerusi PAS hampir selesai

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak kini berada di tahap akhir, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Beliau yang kini berada di Kuching ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pembahagian kerusi khususnya untuk PAS, hampir selesai.

"Masih dalam perbincangan dan PAS sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi. PAS tidak banyak yang bertindih, cuma sekarang perbincangan peringkat akhir," katanya yang hadir ke sana atas tujuan itu.

Katanya, kesemua urusan pembahagian itu akan selesai dalam masa terdekat memandangkan spekulasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubar bertiup kencang.

Apatah lagi semalam berlaku pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri.

Ada pihak mendakwa dalam pertemuan itu Abdul Taib telah menyatakan hasrat pembubaran Dun kepada Yang Dipertua Negeri.

Spekulasi itu turut mendakwa Dun Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini dan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon.

Ianya diperkuatkan lagi dengan lawatan serentak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri Bumi Kenyalang itu pada Sabtu ini yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Mengulas mood rakyat Sarawak ketika ini, Nasharuddin yang sebelum ini hadir melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Miri berkata, rata-rata mereka mahukan perubahan.

"Mereka seperti menanti kehadiran pilihan raya negeri ini. Kita dapat dengan dari perbualan-perbualan mereka.

"Sokongan kepada Pakatan Rakyat saya kira Alhamdulillah baik, malah pada pelancaran DHPP sebelum ini juga turut disertai suku kaum Dayak," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan, PAS telah pun memulakan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan ditandingi mereka sejak beberapa bulan lalu.

Media pro-Umno semalam menggambarkan wujud perpecahan teruk dalam parti komponen Pakatan Rakyat ekoran 'perebutan' kerusi yang bakal ditandingi.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semalam berkata, proses tawar-menawar antara parti kompenen itu adalah biasa namun yakin proses itu akan diselesaikan dengan segera.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah .

Habis Modal Punca Isu DNA Anwar Diperbesarkan, Kata Yaakob

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 18 MAC : Dalam usaha meraih kembali sokongan rakyat di negeri ini, Umno-Barisan Nasional dilihat semakin terdesak sehingga menggunakan pelbagai taktik tidak masuk akal, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anggerik, Yaakob sapari.

Buntu untuk mengembalikan sokongan rakyat yang semakin menebal kepada Pakatan Rakyat, isu penyerahan DNA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahimp pula dijadikan modal politik murahan Umno.

"Mana ada prosedur mahkamah, dah habis perbicaraan baru cari bukti, bila cukup bukti baru prosiding mahkamah diteruskan, dah habis mahkamah baru nak cari
bukti, ini mahkamah mana? Mahkamah serba boleh Barisan Nasional.

"Pakar yang mengatakan, doktor mengesahkan, dalam dubur Saiful itu ada DNA sendiri, perkara ini dah jadi lawak dalam mahkamah, Umno kehilangan idea,"katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah Mega "Ubah Sekarang, Tolak BN" di Dewan Beringin Seksyen 24, di sini, malam tadi.

Bukan itu sahaja katanya, Umno-BN sekali lagi menggunakan strategi jahat mereka dengan memberikan kad pengenalan (IC) kepada golongan bukan warganegara
Malaysia untuk memenangkan mereka pada pilihanraya.

Jelas Yaakob, taktik sama pernah digunapakai oleh Umno-BN di Sabah apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) kalah disebabkan projek IC ini apabila sebanyak 1.5 juta
IC palsu dilepaskan.

"Hari ini dia (BN) nak tawan Selangor, maka projek IC berlaku sekali lagi, Indonesia, Pakistan dapat IC.

"Jadi mereka (BN) dah hilang punca, negara sanggup digadai yang penting pertahankan nak tawan Selangor,"katanya lagi.

Turut hadir ceramah berkenaan ialah Ketua Penerangan Pas, Ustaz Idris Ahmad, Bob Lokman, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Tv Selangor/-


Dun Perak: Jika sah, kenapa perlu dikawal ketat

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 Mac: Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada campur tangan polis.

Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diperlukan ekoran setiap kali berlangsungnya sidang Dun di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).

“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami.

"Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan,” katanya yang dilapor TV Selangor.

Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.

“Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April nanti.

Harakahdaily/-

Panel Turut Teroka Yang 'Menyesatkan, Memalukan'

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 MAC : Walaupun kontroversi Interlok bermula dengan penggunaan perkataan "paria" dan perkara yang dianggap sensitif, panel bebas yang mengkajinya berjaya menerokai, terdapat juga bahagian yang dianggap "menyesatkan" dan "memalukan".

Menurut cadangan pindaan melibatkan 67 perkara yang diperakukan oleh dalam persidangan terakhirnya pada 4 Mac, perkara itu antaranya yang menyentuh soal dewa penganut Hindu dan upacara keagamaan mereka.

NONEDalam bahagian yang menceritakan upacara perkahwinan watak Maniam dan Malini (halaman 227 dan 228), disebut bahawa pengantin duduk atas pelaminan yang dihiasi daun mangga "yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta".

Terdapat juga bahagian yang menyebut tentang membaca doa untuk dewa Palikai selepas upacara ankurarppanam - yang ditafsirkan pengarang sebagai upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk tembikar berisi sembilan macam tunas biji-bijian.

"(Berkenaan) Fakta dan budaya. Elakkan memberi maklumat yang 'menyesatkan'!" begitu ditandakan dalam ruangan "catatan/rasional" setelah mengusulkan supaya nama-nama dewa itu dibuang.

Bagaimanapun, laporan yang diperoleh Malaysiakini daripada seorang anggota panel berbangsa India Uthaya Sankar SB tidak mengulas lanjut maksud "menyesatkan" seperti yang ditandakan.

Istilah Britain

Difahamkan, cadangan pindaan disediakan tiga anggota panel yang mewakili masyarakat India yang diberikan tugas khas mencari perkara yang sensitif bagi kaum itu.

Ia antara lebih 100 cadangan yang dikemukakan, yang turut melibatkan "Buku 1" dan "Buku 2" yang menyentuh kehidupan keluarga Melayu dan Cina pada zaman sebelum merdeka.

NONESelain Uthaya, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan turut terlibat.

Sementara itu, cadangan itu juga mendakwa terdapat "kesalahan fakta yang amat memalukan" ketika Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menulis tentang babak dua watak India sedang menjamah makanan India, termasuk "papadom".

Ayat asal yang digunakan seperti berikut: "Kemudian, dia mencedok rasam dan dibubuh di atas nasi. Diambilnya sambar diletakkannya di tepi daun itu dengan beberapa keping popadom dan sayur."

Bahagian itu kemudiannya ditandakan sebagai, "Nota: papadam (Malayalam), appalam (Tamil). Popadom adalah istilah di Britain!"

Selain itu, menariknya, cadangan itu turut cuba menonjolkan aspek moral dan keagamaan dalam wataknya seperti memasukkan perkataan "tuak dilarang di sisi agama" dan babak watak Maniam bersembahyang.

Konsep bumiputera belum wujud

Sementara hujah-hujah yang disebut dalam cadangan 12 halaman itu bagi menolak perkataan paria kerana watak utama kaum India bukanlah daripada kasta itu jika dilihat daripada kehidupannya yang digambarkan dalam novel.

indian crowd malaysia 291107Antaranya, apabila dia (Maniam) berangkat ke Tanah Melayu dengan kemahuan sendiri yang didakwa mustahil mampu bagi seorang paria pada zaman itu.

Antara lain dalam cadangan itu:

* Menggantikan perkataan "bumiputera" dengan perkataan "penduduk" atas alasan konsep itu belum wujud pada 1910 yang menjadi latar novel.
* Membuang perkataan "kasta Brahma" kerana Brahma sebenarnya merujuk kepada dewa.
* Membuang bahagian yang menyebut "mengunyah sirihnya seperti lembu".
* Membuang perkataan "berkulit hitam" bagi merujuk kepada watak India.
* Membuang istilah "anjing orang putih" bagi merujuk kepada seorang watak India.

Selain itu, dalam cadangan terakhirnya sempat mengingatkan supaya blurb atau keterangan ringkas pada kulit buku "kekal sebagai blurb yang bermaruah dan bukan secara terang-terangan menjadi agen propaganda politik".

-Malaysiakini

Libya Kutuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Libya berkata resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkan serangan udara terhadap tentera kerajaan "mengancam perpaduan" negara itu dan bersamaan dengan gesaan supaya rakyatnya saling berbunuhan.

“Resolusi itu menunjukkan sikap agresif masyarakat antarabangsa yang mengancam perpaduan Libya dan kestabilannya," kata Timbalan Menteri Luar, Khaled Kaaim.

Beliau berkata, undian Majlis Keselamatan PBB itu juga bersamaan dengan "gesaan supaya rakyat Libya saling berbunuhan" dan sejajar kehendak Perancis, Britain dan Amerika yarikat untuk melihat negaranya berpecah.

Majlis Keselamatan PBB dengan 15 anggota itu meluluskan resolusi yang membenarkan "segala tindakan perlu" bagi menguatkuasakan zon laranggan terbang, melindungi kawasan orang awam dan melaksanakan gencatan senjata terhadap tentera Muammar Gaddafi.

Resolusi itu diluluskan dengan 10 undi menyokong dan lima berkecuali.

Anggota tetap China dan Russia adalah antara negara yang berkecuali tetapi tidak menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi itu.

Tv Selangor/-

Menyanggah memoir Mahathir

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Sebaik mendapatkan memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, sehari selepas dilancarkan secara rasmi, saya membelek-belek isi kandungannya. Saya mencari topik berkaitan isu-isu menarik dan kontroversi sepanjang era pemerintahannya selama 22 tahun itu. Sekurang-kurangnya bab yang merujuk tragedi pemecatan Anwar Ibrahim, pemilihan Umno 24 April 1987 yang membawa kepada pengharaman parti itu, krisis kehakiman dan pemecatan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, Operasi Lalang dan juga Peristiwa Memali.

Sepintas lalu semua isu-isu tersebut -- kecuali Peristiwa Memali 1985 (yang terselit dalam bab pertama, tapi Dr Mahathir mengaitkannya dengan kes-kes ekstremis lain seperti serangan ke atas kuil Hindu di Selangor, 1979 dan balai polis di Batu Pahat, 1980) -- dapat diikuti dalam buku setebal lebih 800 halaman itu. Bagaimanapun, gelora hati saya turun-naik ketika membacanya. Terasa seolah-olah Dr Mahathir cuba menulis sejarah baru dengan "memperbetulkan" hikayat hidupnya yang sedia diketahui umum.

"Sakit hati apabila membaca bab berkaitan kes Tun Salleh dan pengharaman Umno. Mahathir masih mahu terus memperbodohkan rakyat," marah seorang pensyarah undang-undang, yang juga bekas peguam. "Saya lebih senang membaca perjalanan hidupnya sebelum beliau aktif berpolitik. Masuk saja bab berkaitan Tunku Abdul Rahman sudah nampak belangnya," tambahnya.

Bagi saya, bab 43 berkaitan pembedahan pintasan jantung Dr Mahathir jauh lebih menarik (sebenarnya lebih tenang untuk ditatap) daripada babak-babak genting dalam kerjaya politiknya. Mungkin disebabkan saya cuba membandingkan pengalaman beliau pada Januari 1989 -- dan pembedahan kedua pada September 2007 -- dengan apa yang saya sendiri lalui pada Mac 2010. Rasanya seperti tiada jauh beda terutama mengenai halusinasi dan mimpi-mimpi aneh semasa di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Saya akui, kes pengharaman Umno yang bermula dengan pertandingan sengit di antara Team A (diketuai Dr Mahathir) dan Team B (diterajui Tengku Razaleigh Hamzah) dalam pemilihan parti April 1987 sering diberikan tafsiran yang salah. Walaupun sudah beberapa kali saya menyiarkan perspektif sebenar kes tersebut dalam Harakah, masih ramai yang kabur dengan cerita sebenar.

Justeru, memang mudah bagi Dr Mahathir untuk terus memanipulasi keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Harun Hashim pada 4 Februari 1988 itu. Sejak awal Dr Mahathir menyalahkan Ku Li, yang didakwanya mengamalkan rasuah politik untuk membeli undi perwakilan. Dr Mahathir berkata, Team B telah membelanjakan lebih RM20 juta untuk berkempen, dan kebanyakannya wang itu disediakan oleh Ku Li.

Mengulas tulisan Dr Mahathir itu, Ku Li dalam satu kenyataan menegaskan: "Sekali lagi saya dituduh membawa parti ke mahkamah. Saya juga dituduh terlibat dalam politik wang semasa pemilihan parti dalam tahun 1987." Bekas Menteri Kewangan yang ditewaskan hanya dengan 43 undi oleh Dr Mahathir menegaskan beliau tidak mempunyai wang untuk tujuan membeli undi ketika pemilihan paling sengit dalam sejarah Umno itu. "Saya tidak ada kroni. Sebenarnya, saya menentang politik wang. Allah Maha Mengetahui bahawa saya tidak pernah membuat segala perkara itu," tambahnya.

"Menipu secara politik datang melalui media dan ada kalanya dengan menulis buku memoir," kata Ku Li lagi.

Realitinya, Dr Mahathir -- melalui penguamnya sendiri, Sri Ram -- "mendesak" hakim bahawa hanya satu keputusan yang boleh dibuat iaitu Umno diisytihar haram bagi mengelak saingan berterusan daripada Ku Li dan Team B, yang dianggotai antara lain Musa Hitam, dan beberapa menteri seperti Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim, Shahrir Abd Samad, Ajib Ahmad dan timbalan-timbalan menteri seperti Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Radzi Sheikh Ahmad, Rahmah Othman dan Zainal Abidin Zin.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Dr Mahathir boleh menyelamatkan Umno daripada diharamkan dengan menggunakan Seksyen 70, Akta Pertubuhan. Malah, Harun Hashim dalam keputusan bertulisnya juga mencadangkan Menteri Dalam Negeri boleh membuat pengecualian terhadap mana-mana pertubuhan daripada mematuhi mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan.

Dr Mahathir enggan menggunakan kuasanya itu semata-mata demi kepentingan politik peribadi beliau. Dengan merancang penubuhan parti baru, yang akan mewarisi segala aset, wang dan juga tanggungan parti yang diharamkan, melalui pindaan kepada Akta Pertubuhan, tetapi masih menggunakan nama Umno, Dr Mahathir berjaya menyingkirkan semua musuh politik dalaman parti.

Ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati (dikenali sebagai Umno 11) kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Agung. Menyedari beberapa kes terdahulu yang banyak menimbulkan kritikan termasuk daripada para peguam, khususnya dalam kes UEM dan Lebuh Raya Utara-Selatan yang memihak kepada kerajaan, maka Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas memutuskan agar rayuan Umno 11 didengar semua hakim Mahkamah Agung (kecuali seorang), iaitu seramai sembilan orang.

Implikasi arahan Tun Salleh mudah difahami Dr Mahathir. Berdasarkan kes-kes rayuan yang lepas, tujuh daripada hakim-hakim Mahkamah Agung, iaitu Tun Salleh, Wan Suleiman Pawan Teh. Eusoffee Abdolcadeer, George Seah, Mohd Azmi Kamaruddin , Wan Hamzah Mohd Salleh dan Lee Hun Hoe adalah cukup bebas untuk membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak kerajaan sekiranya mereka dapati bahawa ia adalah satu keputusan yang adil.

Dr Mahathir sudah dapat menjangkakan bahawa sidang sembilan hakim itu hanya akan membatalkan pemilihan April 1987 tetapi akan "menghidupkan" kembali Umno. Oleh itu, Dr Mahathir harus bertembung sekali lagi dengan Ku Li. Mood ketika itu memang menyukarkan Dr Mahathir mempertahankan kemenangan tipisnya. Kalah sebagai presiden parti akan menggugurkan kelayakannya sebagai perdana menteri.

Ketika itulah timbulnya idea untuk memecat Tun Salleh, sekali gus membatalkan arahan bagi diadakan sidang sembilan hakim. Langkah pertama adalah dengan menaikkan pangkat Harun Hashim daripada hakim Mahkamah Tinggi kepada hakim Mahkamah Agung. Sekali lagi Dr Mahathir mendakwa kebebasan kehakiman masih wujud di Malaysia apabila hakim yang mengharamkan Umno pun dinaikkan pangkat, sedangkan realitinya ia bagi menggagalkan arahan Tun Salleh dan menyelamatkan karier politik Dr Mahathir.

Dalam memoirnya, Dr Mahathir mendakwa pihak yang mahu Tun Salleh dipecat adalah Yang di-Pertuan Agong, hanya berpunca daripada surat peribadi Tun Salleh kepada baginda berkaitan bunyi bising projek penambahbaikan istana yang berdekatan kediaman Ketua Hakim itu. (Alasan ini sebenarnya berubah-ubah; dahulu Dr Mahathir mendakwa ia ekoran surat aduan kepada Agong dan Raja-Raja Melayu yang ditulis oleh 20 hakim).

Jelas ia satu pembohongan. Kalaupun Agong murka dengan Tun Salleh atas alasan peribadi, Perdana Menteri bertanggungjawab menasihati baginda bahawa kes sekecil itu langsung tidak membabitkan salahlaku kehakiman sehingga memerlukan penggantungan dan penubuhan tribunal.

Peristiwa Tun Salleh dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri untuk "digertak" Dr Mahatthir seolah-olah menggambarkan kehakiman itu di bawah kuasa eksekutif. Surat penggantungan Ketua Hakim sepatutnya datang daripada Agong dan diserahkan di istana ataupun oleh wakil istana.

Jika merujuk Perkara 125(3) Perlembagaan, tindakan untuk menggantung atau memecat Ketua Hakim mesti dimulakan oleh Perdana Menteri dan bukannya Agong. Baginda, seperti diperuntukkan Perkara 40(1) tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk bertindak atas inisiatifnya sendiri melainkan mengikut nasihat Kabinet atau Perdana Menteri yang yang bertindak di bawah kuasa umum Kabinet.


Sedangkan dalam kenyataan akhbar pada 31 Mei 1988, Dr Mahathir dijelaskan: "... pada mulanya Perdana Menteri telah diminta oleh Agong supaya jawatan Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara digantikan kerana baginda tidak senang dengan surat Tun Salleh kepada baginda ...."

Saya akan jelaskan lebih lanjut proses pemecatan Tun Salleh ini dalam keluaran Harakah berikutnya bagi menyanggah dakwaan tidak berasas Dr Mahathir dalam memoirnya, yang disifatkan secara umum oleh sarjana media, Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai "naskhah yang sakit". Semoga kekeliruan dapat dibetulkan.

II.

Harakah memang tidak mempunyai wakil di Kuching dan PAS sendiri mungkin tidak meletakkan ramai calon ramai dalam pilihan raya negeri ke-10. Namun ia tidak menghalang untuk Harakah memberikan perhatian serius kepada perkembangan politik Sarawak terutama ketika isu salahguna kuasa Ketua Menteri Taib Mahmud heboh diperkatakan.

Lebih penting, Harakah tidak mahu ketinggalan dalam menyuarakan aspirasi perubahan yang begitu diimpikan rakyat negeri itu. Dalam kunjungan ke Kuching dan Miri baru-baru, wartawan kanan Wan Nordin Wan Yaacob bersama jurugambar Wan Zahari Wan Mohd Salleh sempat merakam gelodak kehidupan di sana, sambil meninjau suasana menjelang pilihan raya.

Wan Nordin menekankan, begitu banyak isu membelit kehidupan warga Sarawak yang perlu ditonjolkan. "Jurang kehidupan kaya-miskin cukup ketara. Ramai orang di sini marah dengan Taib, anak-anak dan saudara-maranya," beritahu Wan Nordin menjawab pertanyaan saya mengenai mood penduduk Kuching yang ditemuinya.

Suara akar umbi, termasuk Bumiputera Islam, yang mengangkat Taib selama 30 tahun di teraju kuasa, sering dimanipulasi dan ditindas. "Lutfi, elok Harakah menyiarkan pendedahan bersiri penyelewengan Taib. Rujuk saja beberapa laman web, terutama sarawakreport.org, banyak bahan di sana. Lebih baik kalau saudara dapat membukukannya. Mesti melutup. Usah harap orang di sini, kebanyakan mereka takut," kata seorang pemerhati politik Sarawak, yang menetap di Kuching.

Namun begitu, minat kami bukan sekadar membongkar amalan rasuah dan kronisme Taib. Pilihan raya negeri kali ini cukup penting kepada Kuala Lumpur dan amat mempengaruhi Perdana Menteri Najib Razak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen. Selepas teruja dengan pertambahan majoriti kemenangan BN dalam dua pilihan raya kecil mutakhir, Najib memerlukan momentum dari Kuching bagi menyekat laluan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Wan Nordin dan Wan Zahari hanya sempat tiga hari melakukan tinjauan. Memang tidak banyak yang dapat diselami dan dibongkar dalam tempoh sesingkat itu. Namun, ia sudah cukup untuk menggamit mereka datang lagi. Cuma saya mengharapkan kunjungan mereka berikutnya -- saya sendiri cuba untuk bersama -- tidak diganggu pihak imigresen di Lapangan Terbang Kuching seperti dialami Ahli Parlimen KeADILan Subang, R Sivarasa, 12 Mac lalu.

Harakahdaily/-
Oleh : Ahmad Lutfi Othman .

112 peninju bakal berentap

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seramai 112 peninju amatur daripada tiga negeri Pantai Timur akan berentap dalam Kejohanan MuayThai Fit Warriors Zon Timur 2011 yang akan berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Panji pada Sabtu dan Ahad ini.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu, dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kelantan dengan kerjasama Persatuan Muaythai Malaysia dan Persatuan Sukan Seni Tomoi Kelantan.

Pegawai Kecergasan Nasional, JBS negeri, Mazlan Mohd Ariffin berkata, seramai 28 peninju masing-masing dari negeri Terengganu dan Pahang, manakala selebihnya peninju dari negeri ini akan menunjukkan kehebatan masing-masing dalam tujuh kategori yang akan dipertandingkan.

“Objektif utama kejohanan ini diadakan, ialah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat tempatan melibatkan diri di dalam aktiviti kecergasan yang membawa manfaat daripada aspek kesihatan dan perpaduan.

“Kesemua peserta yang bertanding merupakan peninju amatur dan hasil daripada kejohanan ini, mereka akan dipilih untuk bertanding pada Kejohanan Muaythai Fit Warrior peringkat kebangsaan pada tahun ini.

“Sedikit kelainan mengenai kejohanan ini, apabila kesemua peninju yang mengambil bahagian perlu memakai peralatan perlindungan seperti Body Protector, Head Guard, Shin Pad, Groin Guard dan Glove sebagai salah satu syarat pertandingan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Mazlan berkata, negeri Kelantan dianggap cukup bertuah kerana dipilih menjadi tuan rumah dalam peringkat zon ini, dan beliau berharap penggiat sukan seni di negeri ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan ini

“Peminat sukan seni MuayThai di negeri ini, harus mengambil peluang dengan lebih dekat untuk melihat jaguh dalam bertanding dalam kejohanan ini. Saya percaya, masyarakat di negeri ini begitu meminati sukan ini berdasarkan sambutan kepada kejohanan di peringkat daerah sebelum ini.

“Kita mengharapkan sokongan orang ramai dapat hadir dan sebab itu, kita tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi membolehkan mereka datang menyaksikan kejohanan ini secara percuma,” katanya.

Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan iaitu kategori 48kg hingga 51kg, 51kg hingga 54, 57kg hingga 60kg, 60kg hingga 63.5kg, 63.5kg hingga 67kg dan 67kg hingga 71kg yang merangkumi sebanyak 105 perlawanan diadakan sepanjang kejohanan itu berlangsung.

Sinar Harian/-

Agensi Dakwa Kementerian Pelancongan Minta Rasuah

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Sebuah agensi pengiklanan yang mengendalikan kempen "Malaysia Truly Asia" mendakwa mereka menolak pembaharuan kontrak dengan Kementerian Pelancongan setelah diminta memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak itu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 'Intergrated Strategic Communications' (ISC), Austen Zecha berkata, berikutan kejadian itu pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)untuk diambil tindakan.

Austen Zecha dalam satu kenyataan medianya berkata, ISC turut membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang mendakwa pemberian tender kementeriannya yang bernilai RM 381 juta secara keseluruhannya itu dibuat secara telus.

Malah menurut Zecha, beliau dan timbalannya turut ditemui 'seseorang' pada 19 Januari lalu supaya 'menawarkan Kementerian Pelancongan 50 peratus rebat atau sebahagian keuntungan daripada kontrak tersebut.

Jelas Zecha, sebagai balasannya ISC akan 'memenangi semula' kontrak Tourism Malaysia bagi kawasan Eropah, Amerika Utara dan Oceania.

"Hal ini menyebabkan ISC mengambil keputusan menarik kembali tendernya pada rabu, 26 Januari," kata Zecha.

Katanya, ISC sepenuhnya bersetuju insiden tersebut menghina kredibiliti agensi ini sekali gus menambah kecurigaanya mengenai proses pemberian tender oleh Kementerian Pelancongan itu.

Menurut Zecha lagi, ISC mempunyai rekod bersih dalam kempen Malaysia Truly Asia sejak mengendalikannya pada 1999 di bawah empat Menteri berbeza iaitu Datuk Leo Michael Toyad, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Ng Yen Yen.

Zecha berkata, Kementerian Pelancongan juga sebelum ini hanya membenarkan ISC meminta RM 3 Juta bil bagi 2009 dan 2010 untuk kontrak 3 tahun sebelumnya di Eropah, sedangkan sepatutnya ia boleh diperolehi dengan jumlah RM 18 juta setahun.

"Ia hanya setelah pentadbiran Menteri ini (Ng Yen Yen), sebelum ini atau semasa syarikat sebelum ini pada tahun 1970-an, 80-an dan 90-an tidak pernah pihak Kementerian membenarkan ISC atau mana-mana syarikat untuk memberi bil bagi 1 per enam dari nilai kontrak tahunan, atau sebanyak kira-kira 17 peratus.

"Jadi apa yang berlaku kepada 83 peratus lagi dari kontrak bernilai RM 18 juta pada tahun 2009 dan 2010, dan siapa yang membenarkan serta mendapat keuntungan dari komisyen dan invois bernilai RM 30 juta dalam tempoh 2 tahun ini?" tanya Zecha lagi.

Tambah Zecha, beliau turut mempersoalkan penglibatan Ng dalam isu ini kerana komennya dalam Persidangan Parlimen Selasa lalu bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai lima syarikat yang diberikan kontrak selama tiga tahun dan bernilai RM 381 juta atau RM 127 juta setahun itu.

15 Mac tahun lalu, Ng Yen Yen membuat laporan polis ke atas sebuah blog yang mendakwa beliau memberi kontrak untuk mempromosi produk pelancongan kepada sebuah syarikat milik rakan baik anaknya dan menggunakan keuntungan dari komisyen tersebut bagi berkempen untuk pemilihan MCA.

Tv Selangor/-

Kerajaan Jamin Malaysia Bebas Kesan Radiasi

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

DENGKIL: Kerajaan memberi jaminan Malaysia bebas daripada kesan pelepasan radioaktif ekoran loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi yang terjejas di Jepun.

Jaminan itu disuarakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebagai menjawab segala kebimbangan rakyat di negara ini.

"Orang ramai tidak perlu bimbang dan jangan mempercayai khabar angin atau sms yang disebarkan mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita semasa melawat Lembaga Pelesenan Tenaga Atom di sini Khamis.

Beliau berkata berdasarkan model-model trajektori yang dihasilkan melalui mekanisma tindak balas kecemasan persekitaran yang diaktifkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia menunjukkan trajektori bahan cemar ini bergerak ke arah tenggara negara Jepun iaitu menghala ke Lautan Pasifik.

"Oleh kerana pelepasan radioaktif adalah rendah, tidak mungkin ia akan sampai ke negara kita," tegasnya.

Ongkili berkata mekanisma pengawalan masuk bahan radioaktif sama ada melalui kargo atau manusia menerusi sistem Permonitoran Portal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang juga terus ditingkatkan.

Semua penumpang yang tiba di negara ini akan melalui sistem berkenaan dan setakat ini belum ada sebarang penumpang yang terdedah kepada bahan radiasi, katanya.

Beliau mengulas laporan agensi berita antarabangsa hari ini bahawa tiga rakyat Jepun dikesan mempunyai bacaan radiasi melebihi tahap selamat ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Incheon di Korea Selatan.

Katanya pemeriksaan turut dilakukan di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Klang untuk mengesan sebarang tindakan radio aktif pada barangan yang dibawa masuk dari seluruh negara terutamanya Jepun.

mStar/-

Asap Berkepul Keluar Dari Loji Nuklear Jepun

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

YAMAGATA: Agensi keselamatan nuklear Jepun menyatakan asap berkepul keluar dari bangunan yang menempatkan reaktor nuklear yang rosak di loji kuasa yang lumpuh akibat tsunami minggu lalu.

Jurucakap agensi itu berkata, asap dilihat berkepul naik dari Unit 2 Loji Fukushima Dai-ichi pagi Jumaat.

Beliau berkata, punca kejadian itu tidak diketahui tetapi satu letupan berlaku di unit itu awal minggu ini dan mungkin merosakkan ruang di sebelah pusat reaktor.

Sementara itu, syarikat utiliti yang mengurus loji itu berkata pekerja sedang menyambung kabel bagi mengembalikan bekalan tenaga elektrik untuk menghidupkan semula sistem penyejukan reaktor.

Sementara itu, pihak tentera bersiap sedia untuk melepaskan air ke atas loji berkenaan dengan helikopter dan meriam air.

mStar/-

PR Minta Jaminan Sidang DUN Perak Tiada Sekatan Polis

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 MAC: Pakatan Rakyat Perak meminta jaminan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (Perak) pada April ini bebas daripada kawalan polis.

Ahli parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin pada sidang media di parlimen semalam berkata, jaminan itu diminta Pakatan Rakyat ekoran setiap kali berlangsungnya sidang DUN di negeri berkenaan, pasukan polis dikerah untuk mengadakan kawalan ketat.

Ujar beliau, sekiranya kerajaan Perak kini merasakan mereka kerajaan yang sah, maka tidak perlu kawalan polis di sekeliling bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SUK).

“Kami nak mintak supaya KDN beri janji pada sidang dun kali ini tidak ada pihak keselamatan polis. Kalau ada bermakna dia melanggar Kanun 124, mengganggu ahli dewan undangan negeri untuk masuk ke dalam dewan melaksanakan tugas kami. Jadi itu yang kami minta untuk menteri berlaku adil dan menunjukkan kerajaan haram ini perlu dipelihara oleh polis. Jika kerajaan ini haram biar rakyat menentukan,” katanya.

Tambahnya yang juga Adun Pasir Panjang, Menteri Besar Perak Datuk Zambry Abdul Kadir juga masih belum menjawab soalan-soalan yang dikemukakan Adun dari Pakatan Rakyat pada sesi yang lepas.

“Kami telah diminta menghantar soalan-soalan lisan dan bertulis dan tarikh akhir pada 15 Mac.untuk sesi akan datang. Malangnya soalan-soalan lisan kami pada sesi yang lepas pun masih tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Khoo Ham menggesa rakyat Perak tidak tertipu dengan sistem demokrasi yang dikatakan masih dijalankan secara telus dan adil.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak akan diadakan pada 5 April 2011.

Tv Selangor/-

AHLI PAS PERLU ISTIQAMAH DALAM, DOA, SOLAT HAJAT DAN QUNUT NAZILAH

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya,sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (91:8-10).

Memilih bersama-sama PAS bererti memilih untuk menempuh sebuah perjalanan yang jauh. Perjalanan yang susah dan tidak ramai orang ingin bersama dengannya. Inilah perjalanan yang ditempuh Rasulullah SAW. dan para sahabat sehingga Allah mengingatkan mereka dalam firmannya:

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.” (9:42).

Perlulah difahami bahawa jalan yang kita pilih ni akan ada ujiannya, akan ada orang yang cuba menyesatkannya daripada matlamat, dan ada yang cuba mengajaknya berhenti dan berpatah balik.

Maka dalam setiap orang yang bermusafir mengambil jalan ini, dia memerlukan bekalan. Bekalan yang memelihara daripada terpesong, terhenti dan tergelincir daripada jalan ini. Amatlah perlu untuk kita mempersiapkan bekalan yang secukupnya, umpama sebuah kereta yang digunakan untuk bermusafir,

jika kehabisan minyak dan tersadai di tengah jalan, maka jadilah ia hanya sepotong besi buruk yang tidak dapat membantu untuk bergerak walaupun selangkah. Demikianlah juga orang yang mengharungi jalan dakwah, apabila bekalan iman dan taqwanya kehabisan tanpa ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau orang sakit yang tidak mampu bergerak.

Firman Allah s.w.t. “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya, Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang” (33:41-42)

Daripada firman Allah SWT. ini, jelaslah bagi kita dalam zikir dan doa terdapat bekalan. Allah adalah matlamat kita. Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepada kita, maka patutkah kita lupa untuk mengingatinya? Bagaimanakah kita terlupa kepada Allah yang tiada selainNya dapat memberi ketenangan dan bantuan kepada kita?

Dengan mengingati Allah, kita dapat melepaskan diri dari suasana buruk dan fitnah yang menimbun, ianya dapat menyucikan hati kita untuk kembali kepada Allah dan mengikhlaskan diri kepadaNya. Maka biasakanlah diri kita untuk mengingati Allah. Banyakkan bersolat kerana ia adalah zikir yang paling besar.

Bagi kita yang selalu dilanda ujian dan memerlukan kekuatan menghadapinya, selalulah kita bersolat hajat memohon kepada Allah kekuatan kerana perbendaraan dan kekuatan langit dan bumi adalah milik Allah, seluruhnya.

Manakala doa pula merupakan tanda perhambaan kita kepada Allah, keimanan kepadaNya. Perasaan hancur, lemah dan merendah diri dihadapan Allah, mengakui bahawa Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Amatlah perlu untuk kita berdoa kepada Allah dalam menempuh jalan ini, kerana kita sangatlah lemah, tetapi keperluan kita tersangatlah banyak, maka mintalah kepada Allah yang tidak terbatas kekuasaanNya.

Dan doa juga merupakan senjata orang mukmin. Sesungguhnya Rasulullah dalam menghadapi peperangan sentiasa berdoa kepada Allah sehingga dalam Perang Badar, Rasulullah berdoa sehingga saidina Abu Bakar merasa kesian melihat kesungguhan Nabi s.a.w. Doa yang menjadi pilihan Nabi s.a.w. ketika perang itu ialah Qunut Nazilah, doa yang mustajab untuk menghancurkan musuh.

Jadi marilah kita mengikut sunnah Nabi s.a.w. dan berdoa dengan doa tersebut, moga-moga Allah menurunkan kepada kita bantuan yang sama seperti bantuan Allah kepada RasulNya dalam Perang Badar.

Demikianlah kita melihat sejauh mana keperluan kita kepada bekalan di jalan dakwah. Bersegeralah kita mendapatkan bekalan ini dan memperbaharuinya selalu.

Jangan membiarkannya berkurangan sehingga kehabisan. Bahkan beramallah untuk menambahkannya. Janganlah kita tinggalkan satu hari pun dalam kehidupan kita sebagai pejuang agama Allah untuk melakukan solat hajat, berdoa dan mengamalkan Qunut Nazilah.

Yakinlah bahawa amalan ini akan mengelakkan kita daripada ditipu syaitan, kalah dengan pujukan hawa nafsu serta memberi kekuatan menghadapi musuh. Sahutlah seruan Allah s.w.t., “berbekallah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa.” (2:185)

USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN

( PESURUHJAYA PAS PERAK )

Mangsa kedua jangkitan virus ILI meninggal dunia

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Impian seorang pelatih Inspektor bergelar raja sehari tahun depan dengan pilihan hati tidak kesampaian selepas dia disahkan meninggal dunia akibat virus Influenza (ILI), awal pagi semalam.

Mohd Redzuan Idris, 26, pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya kira-kira jam 4.20 pagi, selepas seminggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bapanya, Idris Daharin, 48, berkata, dia reda dengan pemergian anak sulungnya dan tidak menyalahkan sesiapa atas kematian arwah.

“Memang cita-cita arwah mahu jadi pegawai polis dan dia pernah beritahu saya hasratnya bergelar Ketua Polis Negara satu hari nanti.

“Walaupun hajatnya tidak kesampaian, namun saya bersyukur arwah jejak kaki ke Pulapol. Sebelum ini, dia kerja dengan syarikat minyak, tetapi sanggup berhenti walaupun bergaji tinggi demi capai cita-citanya,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Menurutnya, Mohd Redzuan disifatkan sebagai anak yang baik dan bertanggungjawab.

“Saya diberitahu anak kritikal kira-kira jam 12.30 tengah malam dan kami sekeluarga berada di sisi arwah sehingga dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Sementara itu, tunang Allahyarham, Nur Hazwani Liyana Hashan, 23, berkata, sebelum Allahyarham Mohd Redzuan mendaftar diri di Pulapol, arwah pernah berpesan supaya menjaga ibu bapa dan adik beradiknya apabila dia tiada.

“Arwah juga pesan supaya saya buat keputusan sendiri dalam segala perkara dan tidak terlalu bergantung kepadanya.

“Kali terakhir, saya lawat arwah di HKL Jumaat lalu, dia kata sudah tidak larat tanggung kesakitan dan saya lihat dia tidak bermaya seperti sebelum ini,” katanya.

Difahamkan, pasangan itu bertunang sejak Jun tahun lalu dan akan berkahwin tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan kepada 2012 selepas Mohd Redzuan menerima tawaran di Pulapol.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail mengucapkan takziah dan meminta keluarga mangsa bersabar.

Menurutnya, setakat tengah hari semalam, 32 pelatih dirawat di HKL termasuk seorang ditempatkan di ICU.

“Jumlah menjalani pengasingan di Pulapol seramai 534 pelatih. Kita sediakan tiga blok untuk pengasingan. Sesiapa yang mempunyai tanda ILI, kita akan terus masukkan dalam pengasingan.

“Kita mengambil beberapa langkah berjaga-jaga mengelak virus ini merebak ke kawasan lain. Punca virus ini masih disiasat,” katanya selepas menziarahi Allahyarham di HKL, semalam.

Hadir sama, Komandan Pulapol, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Mohamed.

Jenazah dikebumikan di Kampung Sungai Buaya, Rawang dan Allahyarham adalah mangsa kedua terkorban akibat virus ILI selepas seorang pelatih berusia 21 tahun dari Kuala Kangsar, Perak, meninggal dunia, 8 Mac lalu.

Sinar Harian/-

10 Pelajar Malaysia Selamat Tiba Dari Yaman

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEPANG: Kumpulan pertama seramai 10 rakyat Malaysia termasuk dua wanita mengandung, seorang daripadanya sudah cukup bulan untuk melahirkan, tiba dari Yaman malam Jumaat, di bawah langkah kerajaan memindahkan warga Malaysia keluar dari negara yang sedang bergolak itu.

Mereka tiba dengan pesawat Qatar Airways pada jam 9.01 malam Jumaat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Rata-rata mereka kelihatan sayu apabila disambut ahli keluarga masing-masing, manakala yang tidak disambut ahli keluarga pula disediakan pengangkutan dan penginapan sementara di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang.

Pelajar Universiti Al-Iman, Balqis Sabarudin, 32, ketika ditemui pemberita berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bertindak membawa pulang rakyat Malaysia di sana lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Walaupun kediaman mereka agak jauh dari tempat rusuhan dan keadaan juga masih agak terkawal berbanding Mesir, beliau yang kini mengandung sembilan bulan tetap bimbang akan keadaan mereka sekeluarga termasuk suami dan anak berusia 16 bulan.

"Saya hanya menunggu masa untuk melahirkan sedangkan keadaan di hospital agak kelam-kabut merawat mereka yang cedera dalam rusuhan," katanya.

Pelajar tahun tiga Universiti Sains dan Teknologi Yaman, Mohd Shahril Abdul Samad, 23, berkata beliau lebih risaukan keadaan isterinya yang mengandung empat bulan dalam keadaan kacau-bilau itu.

"Kediaman kami hanya 200 meter dari kawasan tunjuk perasaan itu, kadangkala kami dapat dengar bunyi tembakan.

"Mujurlah kerajaan memindahkan kami ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Yaman yang lebih selamat empat hari sebelum ini, dan kemudian menanggung kami pulang ke Malaysia," katanya.

mStar/-

Jurucakap Gaddafi : Misi PBB Serang Libya 'Tidak Sah, Tidak Bermoral'

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI 18 MAC : Libya berkata sebarang tindakan ketenteraan yang disokong PBB ke atas negara itu adalah “tidak sah” dan “tidak bermoral”, kata jurucakap kerajaan Muammar Gaddafi.

“Ia tidak sah an tidak bermoral. Ia pemberontakan bersenjata.

“Mana-mana negara akan bertindak melawan perkara ini. Mereka bertindak berdasarkan laporan-laporan media,” kata jurucakap Mussa Ibrahim bagi pihak Muammar di sini semalam.

“Ini tidak seharusnya berlaku. Ia akan menjejaskan rakyat Libya. Ia hanya akan memperkukuhkan kedudukan dalaman sebab rakyat Libya akan ada tentera dalaman dan akan bertindak sebagai satu (pasukan),” katanya lagi.

Di sebalik pendirian itu, Majlis Keselamatan PBB semalam meluluskan resolusi zon larangan terbang di ruang udara Libya dan “kesemua pendekatan yang sepatutnya” — kod bagi tindakan ketenteraan — bagi melindungi orang ramai daripada serangan tentera Muammar.

Resolusi itu dilihat membuka ruang kepada sebarang bentuk tindakan ketenteraan.

Muammar berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak sebulan lalu, yang kini dikhuatiri bertukar menjadi perang saudara.

Kebangkitan itu mendesak Muammar, yang mengetuai Libya sejak lebih empat dekad lalu, berundur segera.

Sepuluh daripada 15 anggota Majlis Keselamatan mengundi menyokong usul itu.

Rusia, China dan Jerman mengambil sikap berkecuali.

Tiada undi menentang usul itu yang dibawa secara bersama oleh Perancis, Britain, Lebanon dan Amerika Syarikat.

Tv Selangor/-


Bawa balik pelajar di Yaman sebelum meruncing

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (Permaya) mengambil tindakan segera dengan kerjasama kedutaan Malaysia untuk menghantar pelajar-pelajar Malaysia di Yaman pulang sebelum kejadian berterusan dengan lebih teruk.

Presidennya, Mohammad Iqbal Abu Yaziz berkata, jika pihaknya mengambil tindakan setelah keadaan terlalu meruncing menyebabkan proses menghantar pulang pelajar Malaysia lebih sukar dan pihak kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi seperti mana yang telah berlaku di Mesir sebelum ini.

“Sedangkan kerajaan Malaysia terpaksa menanggung beberapa lagi penerbangan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia sekarang seperti rakyat Malaysia di Jepun selepas mana kejadian gempa bumi baru-baru ini sehingga menyebabkan pusat nuklear meletup, menyebabkan pencemaran radioaktif dan turut mengalami keadaan yang sama seperti di Yaman iaitu Bahrain yang sedang bangkit untuk menjatuhkan pemimpin negara mereka yang korupsi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, Permaya mengharapkan supaya masyarakat dunia luar terutamanya Malaysia memahami keadaan semasa di sana.

Katanya, proses penerbangan pelajar-pelajar Malaysia di Yaman telah bermula dengan penerbangan pertama pada jam 4.00 pagi 17 Mac dan penerbangan kedua pada jam 10.00 pagi (17 Mac).

Menurutnya, laporan telah diterima bahawa penerbangan pertama telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8.55 malam (17 Mac).

“Kami juga berharap supaya pelajar-pelajar Malaysia di Yaman bersabar menunggu giliran masing-masing dan bersedia pada bila-bila masa sahaja kerana seramai 590 orang yang terlibat bagi proses menghantar pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, mereka diharapkan supaya menunggu panggilan daripada pejabat kedutaan mengenai giliran penerbangan masing-masing dan tidak mendengar khabar daripada lain-lain pihak bagi mengelakkan salah maklumat yang didapati daripada pelajar-pelajar Malaysia di Yaman.

Beliau menegaskan, Permaya menafikan laporan The Star Online bertarikh 17 Mac, 2011, yang bertajuk Not All M’sian Students Want To Leave Yemen telah mengeluarkan kenyataan bahawa pelajar-pelajar Malaysia di Yaman dalam keadaan suasana yang selamat dan tidak perlu dibimbangi sehingga terpaksa mengambil tindakan drastik untuk pulang ke tanah air melalui temuramah bersama seorang pelajar Malaysia di Yaman.

“Kami menafikan kenyataan tersebut yang seakan-akan menuduh pelajar-pelajar Malaysia di Yaman mengambil kesempatan untuk pulang ke tanah air dengan percuma selepas kejadian yang sedang berlaku di Yaman sekarang,” ujarnya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada beberapa tempat khususnya penempatan dan rumah-rumah pelajar Malaysia di Yaman masih dalam keadaan selamat dan berkeadaan seperti biasa sahaja tetapi perlu diingatkan bahawa dengan pergolakan di Yaman sekarang yang semakin teruk kemungkinan perkara-perkara seperti yang berada dalam memorandum Permaya kepada pihak kedutaan Malaysia di Yaman bertarikh 13 Mac lalu.

Jelasnya, Permaya dengan kerjasama pihak kedutaan mengambil jalan untuk bertindak segera sebelum kejadian tidak diingini ini berlaku, ibarat ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Tambahnya, beberapa laporan yang telah kami dapati daripada pelajar-pelajar Malaysia di Yaman yang tinggal berdekatan dengan kawasan ‘Medan Perubahan’, pada setiap malam akan terdengar bunyi tembak menembak berlaku. Sehingga kini lebih daripada 40 orang mati dan beratus-ratus telah cedera.

Mengikut laporan yang lain pula di kawasan Pro-kerajaan berkumpul, ada di kalangan pelajar Malaysia telah diancam dengan menghunus pisau apabila ditanya sokongannya terhadap anti-kerajaan atau pro-kerajaan.

Menurut laporan lagi, sumber gas juga sudah mula susah untuk didapati dan harga barang sudah mula naik dibeberapa kawasan penempatan pelajar Malaysia di Yaman ini.

Katanya, keadaan di Yaman semakin meruncing apabila Presiden Republik Yaman, Ali Abdullah Soleh tidak akan turun selagi mana tidak berlakunya pertumpahan darah dan kenyataan ini telah membangkitkan lagi semangat pihak anti-kerajaan untuk menyerang pihak kerajaan.

Perlu diingatkan bahawa Republik Yaman adalah negara bebas senjata dan mempunyai kekuatan kabilah-kabilah Arab yang tersendiri.

Ulama Yaman sendiri telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang terlibat dan mati ketika diserang oleh pihak polis atau tentera dikira sebagai syahid.

Harakahdaily/-

Pelancaran Kase di Kedah malam ini

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SUNGAI PETANI, 18 Mac: Pelancaran Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Peringkat Negeri Kedah oleh pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar akan diadakan pada malam ini bertempat di Taman Kempas Fasa 2, dekat sini.

Jelajah Kase ke seluruh negara bertujuan bertemu memberi penjelasan dan khidmat nasihat kepada pemilik-pemilik kenderaan yang dikenakan saman ekor dan kenderaan mereka disenarai hitamkan.

Mahfuz juga dijadual mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Kase Kedah yang akan dipengerusikan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan turut dianggotai seorang peguam yang akan memberikan khidmat guaman kepada mangsa saman ekor.

Sehubungan itu orang ramai dan mangsa-mangsa saman ekor di Kedah dan kawasan berhampiran digesa mengambil peluang bertemu dengan beliau bagi mendapatkan penjelasan dan khidmat nasihat berkaitan isu terbabit.

Kase sebelum ini mendesak kerajaan menghapuskan semua saman ekor yang penguatkuasaannya secara terang-terangan menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jawatankuasa itu juga telah menyerahkan memorundum memohon campurtangan Yang Di Pertuan Agong terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang disifatkan tidak adil kepada rakyat khususnya pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu saman ekor cara baru.

AES akan dikendalikan dua syarikat swasta Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang akan mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap enam juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Shubihi Muhamad Zain .

Pelancaran Buku Jingga Peringkat Negeri Perak

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Pelancaran Buku Jingga Peringkat Negeri Perak akan diadakan pada 20hb Mac 2011 di Dewan Chin Woo, Ipoh. Program bermula jam 9.00 malam. Dalam majlis tersebut, penerangan tentang kandungan buku tersebut akan disampaikan oleh wakil Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Pusat. Risalah mengenai sebahagian kandungan Buku Jingga terutama program 100 hari PR memerintah akan disebar luaskan ke pelusuk Perak selepas ini. Rakyat Perak berpeluang melihat sendiri tawaran PR kepada rakyat apabila diberi mandat memerintah negara.

Program ini akan dihadiri oleh seluruh pimpinan PR negeri, kawasan, cabang dan bahagian. Beberapa Ngo juga turut dijemput hadir. Orang ramai yang ingin mendengar sendiri kandungan Buku Jingga juga boleh turut hadir.

Sebelum pelancaran satu sidang akhbar oleh Pakatan Rakyat Perak akan diadakan pada jam 5.30 petang di Pejabat Sekretariat PR negeri.

Ust. Misbahul Munir Hj. Masduki
Pengarah Program.

Dun Sarawak bubar 21 Mac?

13 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUCHING, 17 Mac : Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini bagi membolehkan pilihan raya negeri kesepuluh diadakan.

Jika desas-desus itu menjadi kenyataan, ada kemungkinan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon.

kelmarin, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak memberikan sebarang ulasan kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Kabinet Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Pada sebelah pagi, beliau mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Beriang di Astana Negeri.

Sementara itu, lawatan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri ini pada Sabtu ini dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri kesembilan pada 20 Mei 2006 bagi memilih 71 Adun di mana 9 Mei ialah hari penamaan calon.

Ketika itu, Dun Sarawak dibubarkan pada 24 April 2006 oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng atas nasihat Taib.