10 March 2011

MP pertikai peruntukan rumah bekas PM RM12 juta

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa projek pembinaan rumah Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bernilai hampir RM12juta sebagai satu penyelewengan kewangan negara.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS mendakwa, projek itu merupakan satu projek yang disembunyikan daripada pengetahuan umum kerana ianya tidak terdapat dan dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan bajet 2010.

"Saya anggap projek ini sebagai sulit kerana ianya tidak terdapat dalam semakan Rancangan Malaysia ke-9, dalam bajet 2010 pun tidak ada peruntukan untuk projek itu," kata Mahfuz ketika ditemui di lobi parlimen pagi tadi.

Beliau turut mempersoal berhubung undang-undang atau peruntukan yang didakwa tidak pernah ada itu.

"Memang ada satu peruntukankah yang membolehkan kerajaan menghadiahkan sebuah rumah kepada seseorang Perdana Menteri selepas beliau bersara? Setakat yang saya tahu tidak ada peruntukan itu" katanya.

Turut dipersoal motif kerajaan memberikan peruntukan tersebut kepada bekas perdana menteri itu.

"Apakah tujuan Kerajaan beri sebuah rumah kepada bekas Perdana Menteri yang sudah pun mempunyai rumah.

"Kalau rumah itu diberikan atas sebab beliau telah banyak berjasa kepada negara, saya percaya ramai lagi orang yang berjasa kepada negara," tegasnya.

Mahfuz turut mempersoal kaedah projek berkenaan dibuat iaitu secara runding terus, dalam nilai yang tinggi.

"Kenapa projek itu dibuat secara runding terus dengan harga hampir RM12 juta.Ianya diberikan kepada TRC corporation iaitu kontraktor yang membuat pengkalan kapal selam di Sabah yang bernilai
RM400 juta lebih," ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada sesuatu yang disembunyikan kerajaan.

"Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan kewangan negara kita sekarang ini. Kewangan disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

"Kerajaan tidak harus sembunyikan perkara ini daripada pengetahuan rakyat dan wakil-wakil rakyat kerana ianya melibatkan cukai yang dibayar rakyat," tegasnya.

Sewaktu perbahasan belanjawan 2010 di Dewan Rakyat petang semalam, Mahfuz mengutarakan perkara tersebut dan meminta Menteri Kewangan memberikan penjelasan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri, Datuk Chor Chee Heung (BN-Alor Setar) berkata, Kementerian tidak mengetahui mengenai kewujudan projek tersebut dan akan memberikan jawapan bertulis.

Rumah berkenan dakwa Mahfuz terletak di Lot 65 seksyen 60, Persiaran Mahameru, dekat sini.

Projek berkenaan sedang daam pembinaan dan telah siap 20 hingga ke 30 peratus.

Saifuddin : Mahahir 'Takut' Ke Mahkamah

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 MAC : Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail hari ini membidas sikap bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang enggan ke mahkamah selepas di sapina untuk memberikan keterangan berhubung tuduhan yang direka terhadap Anwar Ibrahim.

Saifuddin dalam sidang media di lobi Parlimen mendakwa bekas perdana menteri itu mengemukakan alasan beliau hanya akan hadir memberi keterangan sekiranya dimaklumkan soalannya terlebih dahulu.

Beliau mengulas isu yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu di dalam biografinya bertajuk "A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilancarkan Selasa lalu yang mendakwa Anwar terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

"Saya tak fikir jika kita disapina hari ini di mahkamah, kita ada keistimewaan untuk bertanya soalan apa. Kita kena hadir. Kalau tidak hadir, keesokan harinya kita akan ditangkap polis dan didakwa menghina mahkamah. Dr Mahathir takut untuk hadir ke mahkamah walaupun peguam Anwar menggunakan proses undang-undang yang sah iaitu sapina beliau untuk memberi keterangan.

Waktu itu Dr Mahathir berpeluang untuk menceritakan apa yang diceritakan dalam buku. Berani kerana benar. Kalau betul apa yang ditulis di dalam buku itu, tiada siapa yang berani balas," katanya.

Saifuddin dengan nada sinis berkata, tindakan Dr Mahathir takut untuk berhadapan mahkamah dan peguam Datuk Seri Anwar ketika perbicaraan itu berlangsung jelas menunjukkan beliau tidak mampu berhadapan Anwar secara terbuka.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR itu juga turut menyatakan Dr Mahathir diberitahu isu berkenaan oleh Tun Hanif seawal tahun 90 an.

"Kita tahu dalam proses perlantikan jawatan tinggi dalam negara kita mestilah melalui satu tapisan personality clearance. Kalau ketika itu jika benar aduan Tun Hanif kepada beliau, Anwar masuk Umno seawal tahun 1983 dan dipecat pada 1998. Isunya ialah kenapa waktu itu Anwar lulus self clearance sehingga menjadi Menteri Pelajaran, Menteri Kewangan dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri."

Saifuddin berkata, kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir di dalam biografinya itu adalah meragukan lebih-lebih lagi maklumat tersebut disampaikan oleh Tun Hanif. Beliau turut menjelaskan, adalah tidak mustahil Perdana Menteri juga boleh ditipu.

"Tun Hanif pernah memberi keterangan kepada mahkamah bahawa tiada dalam Al-Quran yang mangatakan haram judi. Sedangkan daripada 6,666 ayat ada mengharamkan judi, Hanif kata dia tak pernah jumpa. Orang yang ada maklumat tentang Anwar ialah Hanif. Dan orang seperti Hanif itu sudah tentu kenyataannya boleh diragui.

Anwar juga dikatakan tidak menafikan tuduhan itu ketika Majlis Tertinggi. Mahathir tidak cerita, sebelum memulakan mesyuarat, Mahatihir mahukan Anwar dipecat. Mahathir mahukan anwar dipecat sebelum beliau berhak memberi penjelasan," katanya.

Ujar Saifuddin, isu yang dibangkitkan Dr Mahathir bukanlah perkara baru, sebaliknya hanyalah isu lama yang tidak mampu dibangkitkan di Parlimen sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Tv Selangor/-

Mesir: Kelantan belanja RM2 juta

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 10 Mac: Kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM2 juta bagi menampung 939 orang pelajar di negeri ini yang akan meneruskan pengajian mereka di Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, berkata seramai 70 orang kumpulan pertama akan bertolak bagi meneruskan pengajian mereka bermula 13 Mac ini.

“Ini kerana 60 orang daripada mereka akan menghadapi peperiksaan pada 15 Mac,” ujarnya.

Menurut Fatah lagi, kumpulan kedua, ketiga dan seterusnya masing-masing 100 orang akan bertolak pada 15, 16 dan 17 Mac.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Jelasnya lagi, sebelum ini seramai 1,006 orang telah didaftarkan dengan kerajaan negeri namun hanya 939 orang sahaja yang tinggal memandangkan sebahagiannya ada yang pergi sendiri termasuk mendapat sumbangan JPA dan lain-lain.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan baik dan tenang, terutama yang bakal menghadapi peperiksaan yang terdekat ini.

Harakahdaily/-

Hartanah: Selangor tak gadai hak Bumiputera

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Mekanisme pelepasan automatik kuota hartanah Bumiputera yang diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, baru-baru ini, tidak perlu dibimbangi pelbagai pihak kerana ia tidak akan menggadai kepentingan masyarakat Bumiputera.

Menurut peraturan baru itu, pelepasan secara automatik untuk kuota Bumiputera boleh diberikan apabila kemajuan projek di tapak sampai ke tahap 50 peratus, 75 peratus dan 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad (gambar) menjelaskan, walaupun automatik, pemaju perlu membuat permohonan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).

Menurut beliau, LPHS perlu memberi jawapan dalam masa 7 hari bekerja bagi setiap permohonan. Sekiranya pemaju tidak mendapat jawapan dalam masa yang ditetapkan, mereka akan mendapat pelepasan otomatik bagi peratus yang dibenarkan.

Katanya, pelepasan untuk tahap 50 peratus adalah 20 peratus dari jumlah baki kuota, untuk tahap 75 peratus adalah 30 peratus dari jumlah baki kuota dan untuk tahap 100 peratus adalah 30 peratus dari jumlah baki kuota.

"Jika pemaju masih tidak boleh menjual kuota Bumiputera 6 bulan selepas mendapat Sijil Layak Menduduki Bangunan, mereka boleh memohon untuk pelepasan bagi kesemua kuota Bumiputera mereka dari satu jawatankuasa khas," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Jawatankuasa tersebut, menurut beliau, dipengerusikan sendiri oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan yang akan membuat keputusan dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh permohonan itu.

"Oleh itu, pemaju tidak boleh menjual kuota Bumiputera sesuka hati mereka kerana masih perlu merujuk kepada Kerajaan Negeri. Pelepasan hanyalah otomatik sekiranya Kerajaan Negeri gagal memberi jawapan dalam tempoh yang ditetapkan," jelasnya yang juga Adun Cempaka.

Di dalam menyiapkan mekanisme pelepasan itu, Menteri Besar dan Exco-Exco Kerajaan Negeri telah beberapa kali bertemu dengan wakil-wakil pemaju (REHDA).

Katanya, ada pihak yang bertanya kenapa Kerajaan Negeri hanya mengadakan rundingan dengan REHDA kerana mekanisme itu bukan hanya memberi kesan kepada para pemaju sahaja, tetapi juga kepada masyarakat Bumiputera?

Mereka mempersoalkan kenapa Kerajaan Negeri tidak mengadakan rundingan khusus dengan mereka yang terlibat dalam memperjuangkan nasib masyarakat Bumiputera seperti NGO-NGO, para profesional, ahli-ahli akademik dan individu-individu tersohor.

"Pada hakikatnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan engagement dengan mereka. Pandangan mereka tidak sama sekali disisihkan. Mekanisme baru ini mengambil kira pandangan semua pihak," jelas beliau.

Harakahdaily/-
Oleh : Aziz Muda.

PAS mahu guru sandaran lebih terjamin

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mahu Kementerian Pelajaran serius dalam memastikan masa depan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) lebih terjamin.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, meskipun guru-guru sandaran ini tidak menerima latihan secara formal dalam bidang pendidikan, namun mereka mempunyai pengalaman yang berguna untuk menjadi guru tetap.

"GSTT ini walaupun mereka tidak terlatih tetapi mempunyai pengalaman. Adakah kementerian bersedia memberikan keutamaan kepada GSTT memohon untuk memasuki maktab perguruan dan mempunyai diploma dalam bidang tersebut dan ada di antara mereka memang berminat menjadi guru," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Salahuddin dalam soalan asalnya meminta Menteri Pelajaran menyatakan pendirian kerajaan terhadap nasib guru-guru sandaran di negara ini serta jumlahnya.

Beliau juga ingin tahu jaminan kerajaan terhadap masa depan mereka.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia sedang meneliti dan memuktamadkan kedudukan GSTT dalam tempoh terdekat agar pengalaman dan keupayaan guru-guru ini dapat dimanfaatkan dan seterusnya memberi peluang kepada mereka menjadi guru terlatih.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria .

PKR gesa LHDN siasat kewangan Gobala

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mac: PKR menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat kewangan ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa mampu membayar segala hutangnya secara tiba-tiba.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang merujuk kepada Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR Januari lalu mempersoal keupayaan kewangannya selepas keluar parti, sedangkan beliau sebelum ini diketahui mempunyai masalah kewangan.

Menurut Saifuddin yang juga ahli Parlimen Machang, Gobalakrishnan secara tiba-tiba dapat menjelaskan bayaran pajakan tanah di antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd beralamat 1525, Kulim Height 3, Kulim Golf and Country Resort, Kedah dengan Kumpulan Pertanian KElantan Bhd bernilai RM1,401,250,00.

Katanya, bayaran cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011 jelas menunjukkan kemampuan kewangan Gobalakrishnan yang secara berterusan menyerang PKR.

"PKR menggesa Lembaga hasil Dalam Negeri memulakan tugas 'bertanya khabar' keupayaan kewangan beliau yang membolehkan bayaran berjuta ringgit dibuat terhadap urusniaga ini. Dari mana sumbernya? Siapa yang 'bermurah hati' menolong? Urusniaga apa yang dilakukan beliau yang memungkinkan wang sebanyak ini diperoleh?

"Januari dan Mac 2011 adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah ahli Parlimen Padang Serai terhadap PKR. Ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1,401,250 untuk bayaran tanah ini," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Gobalakrishnan pernah menjual rumahnya sendiri, kedai kek isterinya terpaksa ditutup dan kesukaran menjelaskan pelbagai bil-bil lain.

Beliau tabah dan sabar menghadapi situasi itu sehingga memenangi kerusi Padang Serai dengan tiket PKR.

Namun dakwa Saifuddin, Gobalakrishnan mula berubah apabila tiga tahun bersama PKR akibat masalah kewangan dan beliau mua tidak berpuas hati akibat tidak dilantik menduduki jawatan dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri yang difikirkan menjanjikan pulangan lumayan.

PKR tegasnya mengulangi pendirian bahawa pengkhianatan keluar parti sejumlah ahli-ahli Parlimen PKR didorong habuan lumayan yang tidak mungkin diperoleh mereka jika kekal dalam PKR.

"Kerana dorongan inilah ramai tewas. Ralatnya mereka mencipta alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan khianat mereka.

"Persoalannya ialah jika ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapa agaknya habuan yang beliau terima sebagai harga pengkhianatan ini?

"Dan kalau 'nilai' ahli Parlimen Padang Serai sejumlah tersebut, berapa pula habuan yang diterima oleh ahli-ahli parlimen Wangsa Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu, Bayan Baru dan Nibong Tebal, 'rakyat hakim terbaik'," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam terkejut dengan kemampuan Gobalakrishnan membayar hutangnya dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

"Saya terkejut dengan kemampuan Gobala. Saya yakin semua yang keluar parti itu dibeli dan seharusnya SPRM menyiasat bagaimana mereka ini boleh menjadi senang secara tiba-tiba," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria .

Haris Zalkapli: Rusia membina pengaruh di Afghanistan dan Pasifik

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Januari lalu, pemimpin Afghanistan Presiden Hamid Karzai melawat Moskow, menjadi presiden kedua melawat Rusia dalam lawatan negara sejak lawatan pemimpin pro-Soviet, Mohammad Najibullah dua dekad lalu.

Lawatan itu diadakan pada masa Rusia kembali ke Afghanistan, menegaskan kembali pengaruhnya melalui bantuan ketenteraan dan pelaburan untuk pembangunan besar, termasuk empangan dan infrastruktur pengangkutan.

Rusia, melalui Gazprom, turut menunjukkan minat untuk terlibat dalam projek saluran gas merentasi Afghanistan, membekalkan gas Asia Tengah ke India.

Pelaburan dari Rusia disertai dengan bantuan material dan latihan untuk tentera Afghan berupaya meningkatkan lagi hubungan baik Kabul-Moskow, menambahkan lagi kompleksiti hubungan Rusia dengan AS.

Rusia akhirnya berjaya mendapatkan Barat diketuai Amerika Syarikat menerima peranan lebih besarnya di Afghanistan, walaupun pakatan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO, masih tidak diiktiraf untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, seperti diharapkan oleh Moskow.

Walaupun dilihat gagal menjadi pengaman ketika Kyrgyzstan menghadapi kebangkitan rakyat dan kemudian keganasan antara etnik tahun lalu, CSTO menjadi harapan sebagai pertubuhan multilateral untuk kerjasama negara-negara Asia Tengah di bawah pimpinan Rusia.

Moskow masih berusaha menjadikan CSTO organisasi yang lebih kohesif dan faktor utama dalam isu keselamatan bersama di Asia Tengah, dengan tumpuan pada masa ini difokuskan pada masalah dadah.

CSTO diusahakan lebih sebagai badan keselamatan kolektif dengan penekanan pada dimensi ketenteraan berbanding Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO yang turut dianggotai Rusia tetapi lebih dikuasai oleh China yang lebih berhati-hati.

Satu permulaan kerjasama Rusia-AS berlaku pada Oktober tahun lalu apabila kerjasama agensi antinarkotik Rusia bekerjasama dengan Nato dalam satu serbuan menyasarkan makmal dadah di Ahghanistan, menghasil rampasan candu bernilai sekitar AS$200,000 menurut pihak Rusia.

Kerjasama itu walau bagaimanapun ialah yang paling jauh melibatkan kerjasama Nato dengan Rusia dalam hal dadah. Rusia menuntut kerjasama Nato dengan CSTO untuk memerangi produksi dadah Afghanistan, agenda tertinggi melibatkan CSTO di Afghanistan pada masa ini.

Rusia menyalahkan Nato yang didakwa tidak melakukan secukupnya untuk memerangi penghasilan dan penyeludupan dadah di Afghanistan, yang pasaran utamanya ialah Rusia.

Hal ini juga menerangkan kepentingan CSTO kepada Rusia, memandangkan negara sekitar terutama Tajikistan ialah laluan dadah dari Afghanistan ke Rusia.

Februari lalu, CSTO menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyenaraikan produksi dadah di Afghanistan sebagai satu ancaman global.

CSTO dianggotai Russia, Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.

Rusia juga bulan lalu mengumumkan rancangan pemodenan ketenteraan menjelang tahun 2020 bernilai AS$650 bilion, melibatkan lapan kapal selam nuklear baharu, 600 jet dan 1,000 helikopter.

Rancangan ini memperlihatkan kesinambungan rancangan pembangunan diumumkan sejak lebih setahun lalu dengan lebih jelas lagi.

Selepas berita pembelian kapal perang dari Perancis yang mencetuskan kebimbangan Georgia, berita ini menjadi berita terbesar memperlihatkan usaha pembangunan ketenteraan Rusia pada masa ini.

Satu isu terkini yang dapat dikaitkan dengan ketenteraan Rusia pada masa ini ialah peningkatan aktiviti ketenteraan di Asia Timur dan Pasifik.

Rusia juga kini terlibat dalam pertikaian yang semakin sengit dengan Jepun melibatkan Kepulauan Kuril (dikenali sebagai Wilayah Utara oleh Jepun) sejak akhir tahun lalu, yang merupakan satu bahagian penting dalam pelan pengukuhan kuasa ketenteraan Rusia di Pasifik.

Awal bulan ini, Rusia menegaskan akan meningkatkan kemampuan ketenteraannya di kepulauan tersebut, termasuk menempatkan peluru berpandu dan helikopter penyerang.

Peningkatan intensiti pertikaian kepulauan itu selari dengan peningkatan kawasan Asia Timur dan Lautan Pasifik sebagai salah satu lokasi kritikal pada masa ini, dengan peningkatan kuasa China dan respons terhadap peningkatan itu.

Sebagai satu lagi kuasa yang menyempadani Pasifik, Rusia kini kelihatan menyedari kepentingan yang meningkat di kawasan itu, dan mengambil langkah memelihara kepentingannya.

Harakahdaily/-
Oleh : Haris Zalkapli.

M Faqih: Kejayaan program al-It'aam di Kelantan

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BUKAN mahu angkat bangkul sendiri apabila banyak pihak memuji langkah kerajaan Kelantan melaksana skim al-It’aam. Malah ramai masih kekok untuk menyebutnya.

Diambil daripada perkataan Arab yang bermaksud makanan ruji (asas). Biar pun pelaksanaannya sudah lama di negara-negara maju, namun di tempat kita masih lagi baru.

Kerajaan pusat pernah menguar-uarkan program Subsidi Beras Untuk Rakyat Miskin (Subur) pada akhir 2009. Ketika itu kerajaan bercadang mengagih 6,000 metrik tan beras sebulan kepada penduduk berpendapatan kurang RM1,740.

Ada menteri memberi komitmen pembahagian beras super special tempatan akan dilaksanakan melalui pembahagian kupon bermula 1 Disember 2009.

Namun pertelingkahan dikatakan berlaku di kalangan pemimpin di pusat mengenai senarai penduduk yang layak mendapat bantuan tersebut.

Ada yang berhujah senarai E-Kasih tidak telus dan kurang lengkap. Namun, malangnya program Subur tidak lagi kedengaran sekarang. Entah hidup atau berkubur begitu sahaja.

Sebaliknya lain pula di Kelantan, biar pun Subur tidak menjadi, namun program serupa dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu pada pertengahan tahun lalu.

Ia dikendalikan Tabung Kebajikan dan Sosial Rakyat Dun Wakaf Bharu (Taksir).

Seramai 225 penduduk miskin di Dun Wakaf Bharu mendapat sebanyak 10 kg beras percuma setiap seorang pada tiap-tiap bulan.

Maka mengambil kira kejayaan tersebut kerajaan negeri pada persidangan belanjawan tahun lepas meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi mengendali skim bantuan beras percuma.

Ketika ucapan Belanjawan 2011 pada 2 November 2010, Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut makanan adalah keperluan asasi manusia.

”Bagi keluarga miskin dan fakir dengan bilangan anggota keluarga yang besar, memenuhi keperluan pemakanan menjadi satu beban dan masalah bagi mereka.

”Islam menetapkan keperluan manusia yang paling asasi wajib dipandang berat oleh semua pihak, bermula dari anggota keluarga terdekat dan jiran tetangga.

”Nabi Muhammad saw bersabda, bahawa tidak dianggap beriman seseorang yang tidur malam sedangkan jiran mereka yang miskin berada dalam kelaparan.

”Bagi memenuhi kewajiban asasi ini kerajaan negeri memulakan contoh baik yang diharap dapat dikongsi bersama anggota masyarakat,” katanya.

Sebanyak RM1.5 juta diluluskan bagi melaksanakan program berkenaan.

Pada 6 Febuari lalu program al-It’aam dilancar Menteri Besar bertempat di Dataran Pasir Pekan, Tumpat.

Pada majlis itu penduduk miskin tanpa mengira keturunan dan agama serta ideologi politik menerima beras disampaikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ada penduduk keturunan Cina, Siam, India dan Melayu menerima bantuan beras tersebut sebanyak 10 kg bagi setiap keluarga.

Dan selepas pelancaran terbabit, majlis penyampaian bantuan beras kemudiannya diadakan di seluruh Kelantan.

Biar pun sekampit beras seberat 10kg tidak dapat menampung bilangan anggota keluarga ramai, namun sekurang-kurangnya dapat menjimatkan kewangan mereka.

Hari ini seramai 4,500 penduduk miskin mampu menarik nafas lega. Bebanan mereka sebelum ini sedikit sebanyak sudah terurai.

Seorang penduduk dari Kampung Simpangan, Tumpat sebelum ini memberitahu beliau tanpa rasa segan datang ke rumah wakil rakyat bagi meminta ihsan sekampit beras.

”Saya terpaksa ketepi rasa malu dan segan, kalau tidak anak-anak di rumah tidak dapat mengisi perut,” katanya.

Setelah sebulan berlalu, program al-It’aam tersebar ke seluruh Kelantan. Ramai mengalu-alukan program berkenaan kerana memberi manfaat kepada rakyat miskin.

Malah pada persidangan Dewan Undangan Negeri 2 Mac lalu, wakil pembangkang dari Galas, Abdul Aziz Yusof turut memuji langkah dibuat kerajaan negeri.

”Syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melaksanakan program berkenaan,” katanya ketika berucap menyokong ucapan menjunjung kasih.

Biar pun program itu baru diperkenalkan, Adun Kadok Azami Mohd Nor mencadangkan kuantiti beras yang diberi ditambah kepada dua kampit.

Kata beliau bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai, sekampit hanya mampu bertahan dua minggu sahaja. Ujar beliau untuk dua minggu lagi keluarga berkenaan terpaksa membeli sekampit lagi.

”Apa salahnya kalau kerajaan negeri menambahkan bantuan kepada dua kampit pada masa akan datang. Tambahlah peruntukan kepada RM3 juta,” ujarnya pada persidangan Dun.

Merungkai persoalan itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Asas Tani, Che Abdullah Mat Nawi menjelaskan kerajaan negeri menerima baik segala cadangan dibuat bagi memperkasakan lagi program berkenaan.

Persidangan Dewan juga turut menyentuh isu tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan rakyat Kelantan.

Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, sekiranya Kelantan mendapat royalti tersebut, pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.

”Kelantan boleh buat sendiri pembangunan di negeri ini, namun malangnya ada pihak yang melanggar perjanjian dibuat pada 1975,” katanya.

Malah pada persidangan Dun pada Mac tahun lepas Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad turut menyokong usul membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Pada akhir Ogos 2010 kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas di atas dakwaan tidak membuat pembayaran tunai terhadap hasil minyak diperolehi di luar pesisir pantai Kelantan.

Tindakan Petronas itu dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kes terbabit difailkan di Bahagian Pendaftaran Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta. Ia dilakukan sendiri Menteri Besar.

Malah bekas pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mahu kerajaan pusat menghormati hak Kelantan ke atas 5 peratus royalti minyak.

”Wang ihsan tiada dalam perjanjian yang saya buat dahulu, saya yang buat Akta Petroleum Negara 1974, tidak terlintas langsung hendak sebut wang ihsan,” katanya seperti dilapor sebuah akhbar pada 1 Disember 2009.

Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyebut pembayaran tunai perlu dibuat oleh Petronas bagi hasil yang diperolehi kepada kerajaan persekutuan dan negeri.

Dan pada perjanjian yang ditandatangani pada 1975 di antara kerajaan-kerajaan negeri dan Petronas menyebut perkataan off-shore (persisiran pantai) dan on-shore (daratan).

Merujuk afidavit Tun Abdul Rahman Yakub dalam kes kerajaan Terengganu melawan Petronas dan kerajaan Malaysia pada 2001 beliau menyebut, ”Sepanjang perundingan saya dengan Tun Abdul Razak tidak pernah timbul soal kefahaman bahawa sekiranya minyak yang ditemui terletak lebih daripada 100 batu, ia bukan milik Sarawak. Yang pasti minyak yang ditemui di luar persisiran Sarawak adalah hak Sarawak. Tun Abdul Razak tidak pernah mempertikai sama sekali.”

Kata bekas ketua menteri Sarawak itu lagi, wang ihsan adalah rekaan baharu.

Harakahdaily/-

Rasuah: Pembantu Hakim Dan Kakitangan Penjara Seremban Didakwa

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEREMBAN 10 MAC : Seorang pembantu hakim dari Mahkamah Tinggi Seremban bersama rakannya, kakitangan Jabatan Penjara Seremban dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan menerima suapan sebanyak RM2,000 untuk menghilangkan fail kes mahkamah.

Pembantu hakim itu, Mohd Tarmidzi Zulkapli, 27, dan Adi Lala Rahim Mansah,26, didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Ar Robah, Taman Desa Anggerik,Senawang pada 19 Sept 2008 dengan menerima suapan daripada Mohd Azam Azhari Juhari.

Tertuduh telah diminta untuk menghilangkan fail mahkamah yang mengandungi kes rogol melibatkan Azam.

Kedua-dua lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 7 April depan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) dan dihukum di bawah Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak melebihi 20 tahun penjara dan didenda tidak melebihi lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fieza Fazlin Fandi dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tv Selangor/-

Loteri di Kelantan, durjananya Umno

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Agak terserlah perasaan seronok para pemimpin Umno setiap kali melihat PAS diasak pihak lain. Meski pun isu dipertikaikan itu melibatkan hukum agama yang sepatutnya ikut dipertahankannya, parti sekular-nasionalis itu bagaikan tidak peduli, asalkan saja yang menjadi mangsa ialah PAS.

Reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap serangan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ke atas PAS berhubung isu loteri di Kelantan boleh dijadikan contoh terbaru.

Timbalan Presiden Umno itu bukan sahaja tidak mengambil kesempatan menerangkan kepada rakannya yang bukan Islam mengenai hakikat sebenar hukum agama, sebaliknya secara tidak bertanggungjawab menggambarkan bahawa apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan sebagai salah dan tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.

Media cetak pada Rabu memetik Muhyiddin sebagai menyifatkan tindakan kerajaan Kelantan mengharamkan penjualan tiket loteri memperlihatkan wajah sebenar bagaimana PAS melayan masyarakat bukan Islam.

“Kita serahkan kepada masyarakat bukan Islam untuk menilai bagaimana sikap dan pendirian kerajaan PAS dalam isu ini. Pendirian kerajaan Persekutuan tidak perlu kita jelaskan lagi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek sehari sebelumnya yang membayangkan kemungkinan mengheret PAS ke mahkamah di atas tindakan parti itu mengharamkan judi di Kelantan.

“Jika PAS haramkan judi sepenuhnya, ia seperti mempraktikkan agama Islam ke atas penganut bukan Islam. Kami tidak menolak kemungkinan perkara yang sama akan berlaku ke atas negeri lain jika PAS mengambil alih pemerintahan di negara ini,” media pada Selasa, 8 Mac memetik kata Soi Lek.

Pemimpin yang popular dengan skandal seks itu berhujah, rakyat ada kebebasan memilih cara hidup masing-masing kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, katanya, PAS tidak ada hak campur tangan dalam kehidupan bukan Islam.

Beliau dipercayai merujuk langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu dua kedai buku yang menjual loteri secara gelap, minggu lalu.

Ekoran itu, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker yang juga seorang peguam mendakwa tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyalahi undang-undang. Menurutnya loteri yang dijual di premis terbabit adalah loteri kebajikan yang mendapat kelulusan Kementerian Kewangan mengikut Akta Loteri 1952.

Fakta itu memberi modal baru untuk Soi Lek sekali lagi mengasak PAS. Keceluparannya pula secara tidak langsung memberikan kepuasan politik kepada para pemimpin Umno.

Pemimpin parti Melayu itu seronok membiarkan PAS diasak MCA, seronok juga melihat MCA membukitkan kebencian terhadap PAS di kalangan bukan Islam, walau pun Umno tahu tindakan parti rakannya itu dibauri sentimen perkauman dan keagamaan.

Sepatutnya Umno tampil menenangkan rakannya, bukan menambahkan kemarahan dalam kejahilan mereka terhadap Islam. Malangnya, Umno selesa menampilkan wajah sebenarnya apabila mengakui bahawa kerajaan Pusat pimpinannya tidak ada masalah untuk terus membenarkan kaum bukan Islam berjudi.

“Dari segi undang-undang, tindakan mereka (orang Cina) membeli loteri tidak salah. Jadi isu pengharaman ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” kata Muhyiddin.

Menilai kenyataan beliau yang secara terbuka menyokong desakan MCA menjelaskan bahawa Umno bukan sahaja tidak berhasrat menghapuskan judi, malah tidak bersedia memberikan laluan mudah kepada PAS merealisasikan hukum Islam itu.

Kenyataan Muhyiddin itu malah secara tidak langsung mengakui fakta bahawa kerajaan Pusat pimpinannya memang meluluskan lesen judi, termasuk loteri, sepertimana didedahkan Lian Ker itu.

Ituah punca sebenar mengapa judi sukar dihapuskan, termasuk di Kelantan. Pendirian sama tidak dikongsi kerajaan Pusat didokongi Umno. Kerajaan negeri hanya berhak membatalkan lesen premis. Bidang kuasa kerajaan tempatan hanya setakat itu.

Adapun lesen operasi judi tertakluk di bawah kelulusan Kementerian Kewangan. Sepertimana didedahkan MCA, percanggahan utama di Kelantan ialah apabila loteri diberi kelulusan lesen oleh kerajaan Pusat menerusi Akta Loteri 1952.

Walau pun Umno mungkin seronok di atas asakan dihadapi PAS, pendiriannya itu sebenarnya menyerlahkan lagi sikap hipokrit parti itu, terutama terhadap agama. Terbukti semata-mata demi mengekalkan sokongan bukan Islam, khususnya MCA, Umno tergamak menggadai hukum agama.

Lebih teruk lagi, parti tua kutuk itu tergamak membubuh karak di punggung MCA, atau mencurah minyak ke dalam api, agar bukan Islam bertambah marah kepada PAS, walau pun yang turut dipersenda mereka ialah hukum agama.

Keadaan serupa pernah berlaku di Kelantan sebelum ini, bilamana kerajaan PAS mengemukakan peraturan baru dalam penyusunan semula penggunaan arak. Kerajaan negeri mengurangkan jumlah premis dilesenkan untuk jualan dan peminuman arak.

Umno tidak membantu menjernihkan keadaan apabila MCA menjuarai usaha membantah peraturan itu. Umno tidak merasionalkannya secara positif, sebaliknya menjadi tukang kipas supaya Cina semakin marah dan membenci kerajaan negeri diterajui PAS.

Para pemimpin Umno Kelantan tersengih hingga ke pipi melihatkan gelagat pemimpin MCA di Kota Bharu yang “menggelegak” ketika itu. Parti itu menganjurkan pesta minum arak di bandar itu dan diuar-uarkan secara terbuka sebagai satu tindakan yang sengaja mencabar memperlekeh kerajaan negeri.

Keadaan hanya kembali reda selepas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan “persetujuannya”.

“Nak minum sangat minum lah, minum sampai pecah perut!”, katanya, merujuk kepada tindakan MCA itu.

Alhamdulillah, kenyataan dalam nada kecewa dibauri perasaan tersinggung itu tidak sukar difahami pemimpin MCA. Mereka anggap itu satu doa dari seorang ulama dan dikatakan ungkapan itu menimbulkan rasa kecut perut di kalangan pemimpin MCA.

Mereka takut jika “masin mulut” Tok Guru, bencana itu benar-benar menimpa mereka. Akibatnya kedegilan dan keegoan segelintir mereka terpadam dan pesta minum arak itu tidak dilangsungkan sepertimana dicanangkan.

Namun apakah episod itu memberi kesan menginsafkan buat pemimpin Umno? Maaf cakap, parti itu setakat ini tidak berubah. Ia kekal dengan pendirian seolah-olah kerja mendaulatkan Islam hanya tugas dan tanggungjawab PAS.

Justeru, apa pun yang dipertikaikan rakan-rakan komponen Barisan Nasional berhubung ajaran agama Islam, Umno tidak merasa tanggungjawabnya memperbetulkan salah faham yang wujud.

Kenyataan terbaru Datuk Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang sebelum ini telah puluhan tahun hidup sebumbung dengan Umno menjelaskan perangai buruk Umno itu. Bekas menteri Kabinet itu mengakui selama ini gagal diberikan fahaman betul mengenai Islam dan PAS.

"Kami tidak didedahkan dengan perkara sebenar. Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan jika PAS (sebagai parti Islam) memerintah nanti banyak perkara yang lebih dahsyat akan berlaku," katanya.

Bagaimana pun kata Jui Meng, setelah bergaul dengan PAS dan menilai pendekatan yang dibawa parti itu, beliau mendapati Islam itu agama yang sederhana.

Umnolah sebenarnya yang membawa Islam ekstrim, yang menakutkan kami. PAS yang saya dampingi telah mengajar perkara sebenar kepada kami.

"Akhirnya saya sendiri memahami apa sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Malah anak-anak lelaki saya juga disunatkan kerana faham akan kebaikan yang ada pada amalan bersunat sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam," katanya.

Jui Meng turut mengakui Islam yang dikenali melalui PAS bukanlah satu agama ekstrim seperti digambarkan selama ini, sebaliknya agama itu mengutamakan kebajikan semua kaum, termasuk orang-orang bukan Islam.

Terbukti pendirian bertentangan terhadap Islam antara dua “Chua” tadi memberitahu kita sesuatu, iaitu PAS serius dan ikhlas memperjelaskan Islam kepada masyarakat, sebaliknya Umno hanya selesa menjadi batu api menyemarakkan kebencian bukan Islam terhadap agama suci ini.

Itulah durjananya Umno!

Harakahdaily/-

Tapak Lynas: Fuziah Gerak Sokongan MP Green Party

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 MAC : Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, beliau akan bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatannya dari Green Party Australia untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan agar melihat secara mendalam kesan alam sekitar dan kesihatan akibat projek industri pemprosesan tanah jarang bernilai AS$230 juta itu dan mahu jaminan perlindungan sebelum Lynas Corp memulakan operasinya.

Kawasan industri Gebeng berhampiran Kuantan bakal menyaksikan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia, menurut laporan akhbar Amerika Syarikat The New York Times.

Beberapa pakar yang dipetik dalam laporan itu melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek itu beroperasi lapor The Malaysian Insider.

Ia percubaan kedua Malaysia dalam membangunkan industri pemprosesan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak sekitar 1980-an.

Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata kelulusan diberikan kepada projek Lynas selepas melalui penilaian oleh pelbagai agensi kerajaan.

Menurut beliau, bijih yang diimport dan sisa tanah itu akan mempunyai tahap radiasi yang rendah dan mampu dikendalikan dengan selamat.

Kerajaan Malaysia telah menawarkn pusat Lynas itu taraf perintis selama 12 tahun.

"Ahli-ahli Parlimen Green Party di Australia akan mengenakan tekanan ke atas kerajaan Australia agar tidak membuang sisa-sisa mereka di Malaysia," kata Fuziah.

Pada masa yang sama, Fuziah berkata beliau sedang melobi pentadbiran Najib supaya mewajibkan Lynas membawa balik sisa-sisa pembuangan ke Australia.

Katanya, salah satu kebimbangan ialah pelan pengurusan sisa-sisa pembuangan Lynas.

Terengganu yang merupakan pilihan pertama Lynas telah menolak cadangan syarikat Australia itu pada 2007 ekoran tekanan daripada pencinta alam sekitar, kata Naib Presiden PKR ini lagi.

"Saya bercadang untuk bercakap (di Parlimen) Isnin ini. Saya satu-satunya Ahli Parlimen membawa isu ini ke Parlimen... ia perjuangan seorang diri," kata beliau sambil mengakui tidak menerima banyak sokongan termasuk daripada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Ketua DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberitahu beliau juga menentang loji Lynas selepas membaca laporan The New York Times semalam, mengembalikan isu bencana alam radioaktif di negeri kelahirannya.

"Kita tidak harus membawa ke negara ini perkara-perkara yang telah ditolak oleh pihak lain," kata Ahli Parlimen Beruas.

Ngeh berkata beliau faham yang dunia memerlukan tanah jarang dan jikapun ia mahu didirikan di Kuantan ia seharusnya berjauhan daripada kawasan kediaman manakala bahan-bahan buangan seharusnya diuruskan dengan sebaik yang mungkin.

Menurut Fuziah, insiden-insiden bahan-bahan toksid memasuki bahagain bawah tanah dan mencemari sumber-sumber air sudah pun dilaporkan.Katanya, persekitaran itu sudah pun memberi kesan ke atas Sungai Balok, yang melalui kawasan perindustrian di utara Kuantan dan mengalir ke Laut China Selatan.

"Tiada prosedur yang jelas bagaimana mereka hendak membawa keluar produk radioaktif," kata Fuziah.

"Juga tiada laporan EIA," katanya lagi. Kuantan juga merupakan pangkalan hasil perikanan di negara ini.

Menurut Fuziah, kedua-dua kerajaan pusat dan negeri telah memandang mudah risiko radioaktif apabila loji ini beroperasi.

"Beliau berkata ia seakan penggunaan buih melawan api (penggunaan pemadam api)," kata Fuziah yang merujuk kepada perbualannya dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai risiko 'lathanide', nama saintifik kepada tanah jarang.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang dari BN dalam kawasan Parlimen Kuantan juga menyokong pandangan Adnan.

"Malah batu granit mempunyai lebih radiasi berbanding 'lanthanide'.

Malah lebih tinggi," kata Adun Semambu Pang Tsu Ming.

Wakil rakyat dari MCA itu merupakan salah seorang daripada dua Adun dari Pahang dijemput untuk melawat kawasan perlombongan Lynas di sebelah barat Australia, kira-kira 800 kilometer dari Perth, dua tahun lalu.Rakannya, Chang Hong Seong berkata pada awalnya beliau juga risau mengenai sisa-sisa pembuangan daripada proses itu.

Tv Selangor/-


Suami bawa lari anak baru lahir

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ANIS tidak dapat menahan kesedihan sambil memegang baju anak sulungnya itu di Kepala Batas, kelmarin.Ibu muda sedih terima SMS diceraikan

KEPALA BATAS: Malang bertimpa buat seorang ibu muda apabila dia bukan hanya kempunan untuk mencurahkan kasih sayang terhadap anak sulungnya yang dilahirkannya pada 25 Februari lalu, malah diceraikan suaminya dipercayai melarikan bayinya itu.

Anis Iyazirah Yaakub, 21, mendakwa anaknya, Nurin Syifa Irdina yang dilahirkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dilarikan suaminya dari rumah ibunya di Kampung Permatang Tinggi B, di sini, 2 Mac lalu, kira-kira jam 9.30 pagi.

Beliau mendakwa suaminya berusia 26 tahun itu memberi alasan mahu membawa Nurin untuk berubat penyakit kuning bersama ibunya yang tinggal di Sik, Kedah, tetapi membawanya pulang semula ke rumahnya.

“Saya kemudian menghubungi keluarga mentua di Sik untuk bertanyakan sama ada Nurin berada di sana, saya terkejut apabila diberitahu bahawa anak saya berada di sana. Saya pun membuat laporan di Balai Polis Kepala Batas kerana mengesyaki Nurin dilarikan.

“Hati saya tidak tenteram memikirkan nasib Nurin sepanjang masa itu dan saya nekad memandu kereta seorang diri ke Sik dalam tempoh masih berpantang pada malam itu juga semata-mata mahu melihat keadaannya.

“Di rumah mentua, saya ditegur ketika cuba memegang Nurin dengan alasan tidak mahu mengganggunya tidur. Saya hanya dapat mencium pipi dan dahi bayi saya sebelum pulang semula ke rumah ibu saya sendirian walaupun ketika itu suami saya berada di rumah ibunya,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, kelmarin.

Anis Iyazirah berkata, dia amat tertekan kerana bimbangkan keadaan Nurin yang masih menyusu badan serta menghidap penyakit kuning dan menganggap tindakan memisahkan mereka seperti mahu menganiayai anak kecil itu.

Nasibnya bertambah malang apabila pada 6 Mac lalu, dia menerima satu khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suaminya yang menceraikannya dan tidak mahu ibu muda itu mengganggunya lagi serta memintanya menunggu keputusan mahkamah.

“Saya yang berniaga makanan dengannya sebelum ini merasa buntu dengan tindakannya yang berubah sikapnya secara tiba-tiba, saya menghubunginya selepas itu dan dia beritahu bahawa dia kini dalam perjalanan ke Selangor untuk memulakan hidup baru.

“Saya tertekan dengan tindakannya itu, tambahan pula saya diberitahu bahawa dia sebenarnya sudah mempunyai isteri lain,” katanya yang berkahwin dengan suaminya pada Julai tahun lalu.

Oleh Mohamad Danial Mohamad Saad

Kebebasan media , Kenyataan Rais untuk tutup kerja jahat BN.

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PARIT BUNTAR, 10 Mac : Ketua Penerangan PAS Perak, YB Drs. Khalil Idham Lim menyifatkan kenyataan Menteri Penerangan Dan Komunikasi sebagai memalukan diri sendiri, demikian respon beliau terhadap kenyataan Rais Yatim yang mangatakan kenyataan Nik Aziz tidak realistik dengan menyatakan media yang berat sebelah adalah punca kekalahan calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau pada Ahad lepas.

“Beliaulah (Rais Yatim) perlu bersikap lebih realistik dalam membuat sebarang penilaian, jika benar Malaysia adil dalam pengamalan kebebasan media, beri laluan kepada wakil parti Pakatan Rakyat membuat liputan media sepertimana BN diberi liputan meluas oleh media RTM dan lain-lain stesen tv." Katanya

Tambahnya, BN takut hilang kuasa serta jawatan, maka dengan alasan gila kuasa ini, rakyat yang menjadi mangsa.

Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, Rais sebetulnya yang perkudakan RTM dan lain-lain serta media cetak untuk memastikan BN terus menang.

“Dakwaan Menteri Besar Kelantan benar dan berasas, kita ada bukti, jika tidak mengapa indeks kebebasan media negara kita sama dengan Zambia?” soalnya.

“Jika rakyat membuat keputusan di kertas undi berdasar maklumat yang menyeluruh, BN pasti sudah lama tersungkur,” jelasnya.

“Saya ulangi sekali lagi, indeks kebebasan media telah meletakkan Malaysia berada dalam tahap not free, lalu isu ini telah terjawab dengan sendirinya,” katanya lagi.

“Beri kebebasan media yang mutlak adalah punca kehancuran BN, dan sekat kekebasan adalah survival BN di Malaysia, maka dengan fakta ini rakyat diharap boleh berfikir secara bijak,” ujarnya.

Dalam pada itu YB Khalil Idham yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyatakan, Pakatan boleh buktikan, di Lembah Klang, rakyat telah menolak BN kerana maklumat melalui media baru facebook twitter dan blog membangun dengan pesat dan sampai kepada rakyat.

“Selangor BN tewas, di wilayah persekutuan kuala lumpur pun BN tewas teruk,” jelasnya lagi.

Di Selangor Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan Negeri, begitu juga di Wilayah Persekutuan yang mana Pakatan Rakyat menguasai kerusi-kerusi parlimen, iaitu Parti Tindakan Demokratik (5 kerusi), Parti Keadilan Rakyat (4 kerusi), dan Parti Islam Se-Malaysia (1 kerusi); cuma tinggal satu kerusi Dewan Rakyat yang diduduki oleh BN iaitu Zulhasnan Rafique yang mewakili Setiawangsa.

“Oleh sebab itu, BN akan cuba apa cara sekali pun untuk bertahan termasuklah menyebarkan fitnah, bohong rakyat, perudi rakyat serta perkuda jentera kerajaan untuk kepertingan survival parti BN,” jelasnya.

“jika dibiarkan BN berkuasa , lama-lama rakyat semakin susah, yang senang lenang siapa? Sudah pasti pemimpin BN dan kroninya, ” katanya.

Oleh : Hafizi Pauzi.

Jangan bayar kompaun saman ekor - Kase

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.

"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.

"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.

Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2009.

Dalam kes itu, hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

(Kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau.

Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.)

"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.

"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement System (AES).

Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona.

"Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.

"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.

"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah .

Shamsul : Perbelanjaan RM134,000 Tidak Munasabah

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 10 MAC: Cubaan menteri untuk menutup jumlah sebenar perbelanjaan lawatan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor ke tiga buah negara di parlimen mendapat cemuhan pemimpin Pakatan Rakyat.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin yang ditemubual Tv Selangor menyifatkan perbelanjaan sebenar lebih besar daripada yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Justeru tuntutan supaya nilai sebenar dikemukakan selain penyelewengan fakta yang tidak munasabah memberi tanggapan bahawa kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) cuba membohongi rakyat secara langsung.

"Itu jelas dari segi persepsi ada penyelewengan fakta yang mungkin dilakukan kerana ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat telah membangkitkan perkara ini dan ianya menjadi isu nasional termasuk ada satu jabatan khusus untuk mengendali isteri Perdana Menteri yang tidak pernah dalam sejarah politik tanah air," kata beliau.

Nazri dalam jawapan bertulis kepada Parlimen mengemukakan senarai lawatan Rosmah ke dua negara Timur Tengah dan Bangladesh Januari lalu namun tidak menjelaskan secara terperinci wang rakyat sebanyak RM134 ribu itu dibelanjakan.

Menurut Nazri lagi, kelulusan telah diberikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Jalil, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri BN serta beberapa pegawai kanan kerajaan.

Shamsul menambah, pakatan rakyat sering meneliti perbelanjaan yang menggunakan wang rakyat justeru bertindak untuk melindungi penyalahgunaannya oleh pihak tertentu.

Beliau turut menyarankan agar pendekatan kebebasan maklumat yang dilaksanakan kerajaan Selangor digunapakai oleh kerajaan persekutuan seraya membuka ruang kepada pemantauan lebih efisien perbelanjaan wang rakyat.

"Sebab itu daripada awal lagi saya konsisten menjelaskan terdapat usaha untuk menutup perbelanjaan sebenar. Saya percaya kalau ada kebebasan maklumat seperti yang dilakukan di Selangor, kita boleh dapatkan perbelanjaan yang sebenar kerana daripada program yang dilakukan untuk mempromosi isteri Perdana Menteri telah menelan jutaan ringgit. Saya cabar menteri supaya memperincikan belanja RM134 ribu," kata Shamsul lagi.

Tv Selangor/-

3 bandar Libya medan perang

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEBAHAGIAN penentang kerajaan Libya menaiki trak selepas bertempur dengan askar yang setia kepada Muammar Gaddafi di pelabuhan Ras Lanuf, timur Libya, semalam.
Tentera kerajaan serang serta lepaskan tembakan meriam ke arah penentang

RAS LANUF: Pertempuran sengit serta serangan dari udara dan darat antara pemberontak dengan pasukan yang setia dengan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, berlaku sekurang-kurangnya di tiga buah bandar di negara itu ketika penentangan ke atas rejim pemerintahan beliau memasuki minggu keempat.

Wartawan AFP yang berada di bandar Ras Lanuf, melaporkan tentera kerajaan melancarkan serangan dari udara dan melepaskan tembakan meriam di bandar itu, manakala kumpulan penentang dilihat bergerak ke arah jalan raya di kawasan gurun.
“Tembakan bertalu-talu kedengaran dan sekurang-kurangnya 10 letupan kedengaran dalam setiap dua minit.

“Pemberontak yang menguasai kebanyakan kawasan di timur Libya mendapati mereka ditentang pasukan kerajaan dan matlamat mereka untuk bergerak menuju ke Tripoli tersekat, selepas pasukan tentera rejim menawan semula bandar Bin Jawad,” katanya.

Laporan menyatakan pemberontak bagaimanapun dilihat meneruskan pergerakan, kebanyakannya membawa senapang AK-47.

“Kami datang ke sini dengan Kalashnikov. Kami tidak mempunyai kereta kebal, tetapi mereka menembak kami dengan bom dan roket,” kata seorang pemberontak Ayman Bursi.
Sementara itu kereta kebal tentera kerajaan dilaporkan semakin menghampiri bandaraya Zawiyah semalam, manakala pasukan penembak curi mereka, menembak apa saja yang bergerak, lapor penduduk.

Saksi melaporkan, mayat masih bergelimpangan di kawasan runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan dari udara awal minggu ini manakala jalan raya di bandar dengan 290,000 penduduk ini kosong.

“Kami melihat kereta kebal dan ia berada hampir di mana saja,” kata pejuang kepada wartawan Reuters melalui telefon di Zawiyah.

Beliau berkata medan utama Zawiyah masih dikuasai pemberontak, tetapi pasukan kerajaan hanya kira-kira 1,500 meter dari kedudukan mereka.

Di bandar pelabuhan minyak Es Sider pula, pasukan pemberontak melaporkan mereka berada diserang hebat dengan kereta kebal oleh tentera kerajaan yang dibalas dengan serangan menggunakan pelancar roket.

“Serangan sungguh sengit, sehingga menyebabkan pemberontak terpaksa meninggalkan Es Sider.

“Bagaimanapun mereka berjaya menawan bandar itu semula tidak lama kemudian,” kata saksi.

Berita Harian/-

Jangan bayar kompaun saman ekor - Kase

5 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 10 Mac: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.


"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.

"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.

Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.

Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2007.

Dalam kes itu hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.

"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS turut mempertikai tindakan kerajaan yang didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement System (AES).

Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona. "Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.

"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.

"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.

Penduduk kampong Pasir bertekad untuk Berubah.!!!

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Miri : PAS Miri sekali lagi buat kunjungan muhibbah bersama peguam muda PAS pusat seramai 7 orang ke kampong Pasir dalam kawasan Lutong. Rombongan PAS yang diketuai oleh YDP Hj Jofri Jaraiee dan TYDP Sdr Nizam bersama Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Miri juga hadir memberi sedikit Penerangan tentang PAS. SU DHPP Sdr Yeo juga mencerita dan juga memberi tahu tentang kebaikan PAS dan mengapa beliau memilih PAS sebagai tempat perjuangan.

Walaupun beliau sorang cina yang bukan muslim tapi semangat serta keyakinan tinggi beliau terhadap pas sungguh tinggi. Beliau juga memberitahu bahawa semua agama menyuruh kita berbuat baik, jangan merompak, jangan mencuri hak orang lain dan sebagainya kepada penduduk yang majoritynya masyarakat iban dan bisaya. Sepatutnya orang Melayu yang beragama Islam merasa malu dengan kenyataan yang bukan Islam yang lebih percaya dan yakin akan agama Islam yang dibawa oleh PAS.

Masyarakat Melayu patut sedar yang perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah berdasarkan ajaran Islam bukan ajaran sesat seperti yang didakwa oleh Umno/BN. Orang bukan Islam mula sedar tentang kebaikan yang dibawa oleh PAS setelah mereka sendiri mendengar penerangan dan penjelasan dari pihak pimpinan PAS sendiri. Sekarang masyarakat Cina,Dayak dan Iban boleh menerima PAS sebagai wadah perjuangan setelah mereka sedar yang selama ini mereka ditipu oleh propaganda media yang dikuasai oleh BN.

Sebelum itu YDP juga memberi penerangan ringkas kepada penduduk kampong Pasir tentang betapa perlunya ada perubahan yang menyeluruh kalau mahu mendapat kembali hak rakyat yang sudah lama dirampas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan yang menyalahgunakan kuasa. Begitu juga peguam muda PAS turut mengajak penduduk kampung memilih secara betul kalau mahu suatu perubahaan yang lebih besar dan baik untuk semua rakyat.

Perjalanan dan sambutan program PAS bersama rakyat berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan. Penduduk kampong Pasir menyambut kedatangan PAS dengan baik dan mesra sekali sehingga ada diantara mereka sempat meluahkan perasaan dan menceritakan tentang masalah mereka untuk mendapatkan kemudahan asas seperti api elektrik, gas dan bekalan air bersih sukar didapati dalam sebuah kampong yang terletak betul-betul ditengah bandaraya Miri.

Setelah hampir 50 tahun BN memerintah Sarawak tetapi masih terdapat lagi penduduk kampong dipinggiran bandaraya menggunakan ‘generator’ untuk bekalan api letrik dan belakan air bersih menggunakan sambungan dari luar dan terpaksa berkongsi pula sesama penduduk terbabit. Begitu juga dengan masalah tanah tempat tinggal mereka sekarang belum lagi diberi sebarang ‘grant atau land title’ atau lot supaya mereka dapat menikmati kemudahaan asas yang diperuntukan untuk penduduk yang kurang berpendapatan.

Mereka sudah banyak kali mengadu pada YB-YB BN dalam kawasan Miri untuk selesaikan masalah mereka tetapi sampai sekarang pun belum ada tanda atau masalah mereka di selesaikan atau pun hajat mereka dapat dipenuhi, waktu hampir pilihanraya barulah muka-muka YB BN turun padang kununnya hendak menyelesaikan masalah mereka tetapi selepas pilihanraya janji tinggal janji.

PAS miri juga berusaha untuk membantu dengan menyuarakan masalah penduduk kampung Pasir kepada pihak yang berwajib agar segera bertindak membaiki jalan kampong, perparitan serta memberi kemudahaan asas kepada penduduk Pasir dengan segera. Jangan tunggu pilihanraya baru nak bagi bantuan itu pun separuh jalan siap sedangkan janji yang bertahun-tahun dulu masih belum ditunaikan. Beginikah yang dikatakan kerajaan yang pandai memerintah sedangkan masalah kecil pun sukar untuk diperbaiki atau diselesaikan

Penduduk kampong Pasir sangat kecewa dengan janji2 YB BN tersebut dan mereka bertekad mahu mengubah nasib mereka dalam pilihanraya umum nanti dengan mengundi Pakatan Rakyat. Mereka juga berjanji akan membantu PAS bersama Pakatan Rakyat untuk menukar kerajaan yang ada sekarang kepada sebuah kerajaan yang lebih baik dan adil untuk semua.

PAS Miri

Tiga Gempa Bumi Kuat Di Honsu,Jepun Sejak Awal Pagi Tadi

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 10 MAC : Tiga gempa kuat yang berukuran melebihi 6 skala Richter melanda Pantai Timur Honsu, Jepun sejak 2.16 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi.

Menurut jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini, gempa pertama pada 2.16 pagi yang terletak 37.6 darjah utara dan 141.7 darjah Timur, kira-kira 4,931 km dari Timur Laut Kudat, Sabah dan berukuran 6.4 skala Richter.

Pada 2.44 pagi satu lagi gempa kuat berukuran 6.2 skala Richter telah menggegarkan Pantai Timur Honsum iaitu di 38 darjah Utara dan 143.6 darjah Timur, dan pada 5.24 pagi satu lagi gempa berukuran 6.6 skala Richter melanda tempat yang sama.

Pada waktu yang sama, satu gempa kuat berukuran 6.6 pada skala Richter melanda New Britian Region, iaitu salah sebuah pulau di Papau New Guinea, yang kira-kira 3,677 km dari Tenggara Kunak, Sabah.

Menurut jabatan itu, gempa bumi ini tidak mewujudkan ancaman tsunami kepada Malaysia.

Tv Selangor/-

Pengeluaran minyak Libya merosot tiga kali ganda

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TRIPOLI: Kadar pengeluaran minyak Libya kini menurun tiga kali ganda daripada 1.6 juta setong setiap hari kepada hanya 500,000 tong sejak tercetusnya konflik membabitkan pemerintahan Presiden Muammar Gaddafi.

Pengerusi dan juga Ketua Eksekutif (CEO) Perbadanan Kebangsaan Minyak Libya, Shukri Ghanem, berkata pengeluaran menurun secara drastik iaitu hanya setengah juta tong sehari ketika ini.
Sejak tiga minggu pergolakan berlaku di Libya menyaksikan tempat pengeluaran penting minyak di sebelah timur negara itu kini beralih kepada pemberontak.
Malah, pertempuran yang tercetus di bahagian tengah negara Mediterranean itu menyaksikan rangkaian paip minyak musnah dan terbakar.

Berita Harian/-

Siapa beri kelulusan kepada Ro$mah yang habiskan RM 134 ribu duit rakyat ?

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Rosmah Lawat Negara Luar Tanpa Kelulusan Kabinet?

KUALA LUMPUR : Lawatan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor ke tiga negara Timur Tengah dan Bangladesh baru-baru ini menelan belanja RM134 ribu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz.

Lawatan rasmi itu dibiayai dengan duit rakyat sungguhpun Rosmah tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Nazri , dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, tidak menyenaraikan isteri Perdana Menteri itu sebagai antara yang diberi kelulusan oleh Jemaah Menteri untuk melakukan lawatan berkenaan Januari lalu.

Yang diberikan kelulusan berkenaan adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Jalil, beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri BN serta beberapa pegawai kanan kerajaan, kata Nazri.

Menurut beliau, Rosmah melawat Riyadh, Arab Saudi, dari 6 hingga 10 Januari lalu untuk menyampaikan ucapan di seminar mengenai pengurusan kualiti pendidikan atas jemputan Timbalan Menteri Pelajaran negara itu.

Rosmah memberitahu pengundi di Kerdau baru-baru ini, beliau dijemput ke Arab Saudi kerana dianggap orang yang paling layak bagi menyampaikan ucaptama berkenaan.

Dari 16 ke 18 Januari pula, Rosmah melawat Muscat, Oman dengan alasan dijemput oleh Menteri Pembangunan Sosial, Oman sebelum ke Dhaka, Bangladesh.

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

MENENTANG LARANGAN JUDI DI KELANTAN - BEZA MCA DAN DAP, PAS DAN UMNO

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

APABILA Chua Soi Lek mengambil langkah untuk menyaman Kerajaan Negeri PAS Kelantan di dalam isu mengharamkan judi, terfikir pula oleh saya apa tindakan Umno selanjutnya? Kita tahu bahawa beberapa pemimpin DAP juga menentang tindakan Kerajaan Negeri PAS di bawah Tuan Guru Nik Aziz di dalam isu tersebut, tetapi tidak seorang pun pemimpin DAP yang menentang sehingga ke tahap mahu menyaman Kerajaan Negeri.

Itu beza MCA dan DAP walaupun mereka kebanyakan dari bangsa dan agama yang sama. Tetapi oleh kerana MCA berkawan dengan Umno, dan DAP pula berkawan dengan PAS maka itulah bezanya pendekatan mereka. Bukan susah untuk difahami mengapa mereka menentang tindakan Kerajaan Negeri Kelantan tersebut. Pertamanya, mereka Non Muslim dan sudah tentu mereka tidak tahu apa yang Islam mahu capai dengan langkah pengharaman tersebut. Keduanya, mereka berhujah dari segi Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada iaitu kebebasan kepada Non Muslim.

DAP walaupun menentang tetapi masih boleh Kerajaan Negeri runding dan beri kefahaman agar mereka faham aspek perlaksanaannya serta kesan dari larangan tersebut. Ertinya, DAP tidak menentang secara mutlak. Tuan Guru Nik Aziz juga telah membuat kenyataan untuk berjumpa dengan kepimpinan DAP agar mereka memahami tentang hukum ini kepada orang Islam. Berbeza dengan pemimpin MCA, mereka menentang secara mutlak iaitu bercadang untuk menyamannya tanpa meminta penjelasan atau keterangan terlebih dahulu daripada Kerajaan Negeri. Jika mahu ditafsirkan siapa `Kafir Harbi' di sini, saya tidak berani huraikan.

Langkah MCA ingin menyaman Kerajaan Negeri di dalam isu ini tidak ubah dengan cara Mahathir yang pernah mengutus surat kepada Kerajaan Negeri Kelantan dahulu agar tidak melaksanakan Hukum Hudud di negeri tersebut. Kedua-duanya sama iaitu menentang hukum Islam secara mutlak. Bezanya, Mahathir itu mengaku Islam dan Chua Soi Lek adalah Non Muslim. Sekeras-keras teguran dari DAP adalah dari Karpal Singh suatu ketika dahulu di mana beliau pernah berkata, 'langkah mayat saya dahulu jika mahu Hudud dilaksanakan'.

Di dalam konvensyen PR baru-baru ini, Karpal menyebut perkataannya itu adalah di luar konteks sebenar. Beliau mengambil pendirian terbaru bahawa DAP bersedia untuk berbincang dengan PAS berkaitan hukum Islam. Pendirian terbaru DAP ini tidak dihebahkan oleh media pencacai melainkan sering mengungkit kenyataan lama Pengerusi DAP tersebut. Oleh itu, tindakan Tuan Guru Nik Aziz yang sanggup berbincang dengan DAP di dalam isu ini adalah selaras dengan apa yang Karpal Singh suarakan.

Chua Soi Lek berani berbuat demikian kerana beliau beranggapan bahawa haramnya judi itu adalah kehendak PAS semata-mata, sedangkan itu bukan kehendak PAS tetapi itu adalah perintah Allah. Mengapa Chua Soi Lek tidak faham? Jawapannya mudah, kerana beliau berkawan dengan Umno dan Umno tidak memaklumkan kepadanya tentang hukum berjudi di dalam Islam.

Bahkan, Umno sebagai tunjang kerajaan pusat meluluskan lesen judi terbesar di genting dan pernah bercita-cita untuk melaksanakan judi bolasepak Piala dunia baru-baru ini. Oleh yang demikian, pemimpin di dalam MCA dan Gerakan atau MIC menganggap judi dibenarkan di dalam Islam kerana Umno sendiri redha dan pemimpin dan ahli Umno semuanya mengaku Islam. Pada fikiran Chua Soi Lek, jika Umno yang Islam kata boleh mengapa PAS yang Islam juga kata tidak boleh? Justeru itu, siapa yang menyesatkan siapa? Jangan nanti Chua Soi Lek mahu agar hubungan seks bebas atau oral seks dibenarkan kerana itu hak mereka yang Non Muslim.

Kepada Kerajaan Negeri Kelantan, teruskan usaha tersebut di dalam masa yang sama terangkan kepada mereka bahawa hukum Islam ini menjamin keharmonian semua. Biarlah Umno pula menerangkan kepada sekutu mereka dari MCA, Gerakan dan MIC tentang hukum berjudi di dalam Islam pada pandangan Umno. Adakah berjudi itu `halal' bila berlesen dan `haram' bila tidak berlesen, biarlah pemimpin Umno terangkan. Persoalannya, mampukah pemimpin Umno terangkan tentang Islam kepada sekutu mereka itu sedangkan isteri sendiri pun tidak tahu hukum menutup aurat.

WFAUZDIN NS

Kelayakan Olimpik: Malaysia seri dengan Pakistan namun mara pusingan kedua

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Malaysia sekadar seri 0-0 dengan Pakistan dalam perlawanan kedua pusingan pertama kelayakan Olimpik London 2012 di Stadium Punjab di Lahore, semalam (waktu Malaysia).

Namun, Malaysia layak ke pusingan kedua dengan agregat 2-0 selepas menang dalam perlawanan pertama di Stadium Shah Alam baru-baru ini.

Malaysia bermain secara berhati-hati kerana tidak mahu melakukan kesilapan kerana sekadar membawa kelebihan dua gol sahaja ke Lahore. Sepanjang perlawanan, Malaysia cuba bermain corak bertahan.

Pakistan yang memerlukan tiga gol untuk layak ke pusingan seterusnya terus mengasak kubu Malaysia, namun gagal untuk menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang cantik pada minit ke-31.

Pakistan yang mendominasi permainan dari awal babak perlawanan terus kempunan selepas ketua pasukannya, Jadeed Khan gagal menempatkan pasukannya di depan walaupun sudah berhampiran dengan gol Malaysia.

Di babak kedua, Malaysia gagal menyengat dan sekadar bermain corak bertahan sementara menerima asakan bertalu-talu Pakistan, namun tuan rumah gagal mencari gol sehingga tempoh perlawanan tamat.

WarkahDaily -