02 March 2011

Melayu Felda tak kisah Pahang bankrap

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEORANG rakan seperti yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerusi di Kerdau dan Merlimau. Alasannya kerana calon BN di Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad seorang ustaz. Ilmu agamannya dianggap setaraf dengan pemimpin PAS.

Manakala calon BN di Merlimau, Roslan Ahmad mempunyai keluarga besar dan dikenali ramai. Tanpa mengambil kira banyak isu yang membelit di kaki Umno dan Perdana Menteri, rakan tadi mempertahankan hujahnya.

Katanya, apa isu sekali pun dibangkit PAS dan Pakatan, orang Melayu Felda akan buat seperti pekak badak sahaja.

Mereka tidak kisah terhadap laporan Ketua Audit Negara mengenai hutang kerajaan BN Pahang sebanyak RM2.17 bilion. Mereka persyaitan Pahang mengalami defisit belanjawan 13 tahun berturut-turut.

Apa yang mereka mahukan harga getah kekal lebih RM8 sekilogram sekarang. Harga sawit juga melonjak tinggi. Hari ini ada pekebun yang mendapat RM10,000 sebulan.

”Buat apa susah-susah undi parti lain lagi,” ujar rakan tadi. Peneroka Felda di Kerdau nampaknya lebih terpesona dengan pengumuman Datuk Seri Najib Razak melulus peruntukan RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau.

Mereka tidak ambil kisah kalau Pahang bankrap atau tidak. Pengundi Melayu di Felda seperti lupa pekan itu tidak berubah biar pun sejak merdeka berada di bawah ketuanan Umno.

Masjid di Kerdau masih ada yang berdinding kayu. Kalau hendak dibandingkan dengan pekan Felda di Chiku, Gua Musang ia agak jauh berbeza. Begitu juga dengan pekan Paloh di bawah Kesedar.

Kerdau pekan lama

Kerdau masih lagi seperti pekan alakoboi. Tengok stesen kereta api dahulu lebih cantik berbanding sekarang. Jadi mengapa pengundi Melayu di Kerdau mahu mempertahankan status quo.

Lebih baik mereka pilih wakil rakyat yang berani bersuara membawa masalah mereka ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun). Hassanuddin Salim boleh lakukan sekiranya pengundi sepakat mahu perubahan. Beliau sudah lama dikenali rakyat di Kerdau.

Sudah dua pilihan raya beliau berusaha membawa paradigma baru buat rakyat di Kerdau, namun pengundi belum mampu tinggalkan Umno.

Dan kali ini pusingan ketiga Hassanuddin tampil dengan harapan pengundi Kerdau ada sedikit kesedaran baru.

Biar apa pun rakan yang rapat dengan Umno tadi melembutkan nada, PAS masih ada peluang kerana rakyat di akar umbi tidak kenal Ustaz Syed Ibra.

”Lagi pun kemunculannya kerana rapat dengan Datuk Seri Adnan Yaakub. Dia bertugas sebagai pegawai agama Menteri Besar.

”Namun dia bersikap elit sedikit. Cuma sekarang sahaja yang berlakon mesra dengan penduduk kerana mahu menarik simpati mereka,” ujar rakan itu.

Apa yang diceritakan rakan terbabit berlainan dengan cerita yang dipaparkan media saban hari. Laporan media memberi wajah baru kepada Syed Ibra dan Abang Ron di Merlimau.

Inilah peranan media harian berbahasa Melayu sekarang. Dahulu mereka diiktiraf kerana membawa suara menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Sekarang peranan media harian Melayu memastikan perjuangan Umno diterima orang Melayu.

Maka tidak hairanlah kalangan wartawan akhbar harian yang berpangkalan di Kota Bharu juga dikhabarkan mencari jalan bagi ’mengkuburkan’ kerajaan PAS.

Menjelang pilihan raya umum 2004, syarikat akhbar sama juga mencetus agenda serupa. Ada wartawan kanan yang dibawa khas ke Kelantan.

Hebatlah petugas syarikat akhbar terbabit. Kalau benarlah apa yang dikata, sahlah akhbar berkenaan merupakan satu unit daripada tubuh badan Umno.

Sedangkan sebelum ini kita hanya mendengar Umno dan parti kompenan BN yang mencipta agenda seperti itu.

Lainlah Harakah kerana permitnya dilulus Kementerian Dalam Negeri sebagai akhbar milik parti. Malah perkataan ’Untuk Ahli PAS Sahaja’ diwajibkan KDN.

Harakah dianggap seperti subversif oleh kerajaan BN. Buktinya kekerapan penerbitannya dipancung selepas undi Melayu berolak kepada Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999.

Ketika itu KDN pantau Harakah seolah-olah akhbar itu pembawa ajaran sesat. Penerbitan lapan kali sebulan cuma tinggal dua kali sahaja.

Nyonya baca Harakah

”Saya suka baca Harakah, ceritanya banyak betul,” tiba-tiba seorang wanita Cina meluahkan isi hatinya. Beliau ditemui ketika kebetulan datang membayar cukai bandar di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, dua minggu lalu.

Ketika ditanya mengapa tidak membaca akhbar berbahasa Cina, kata perempuan Cina itu, ada juga sekali sekala beli Sin Chew Jit Poh.

Nampaknya orang bukan Melayu lebih percayakan Harakah kerana akhbar harian katanya sama seperti sayap Umno.

Begitu juga beberapa agensi kerajaan milik pusat di negeri ini.

Kemas, Kesedar, Risda, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Kada dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) juga sama peranan dengan akhbar harian Melayu.

Masing-masing ada pelan bagaimana hendak lemaskan kerajaan PAS di Kelantan dan Pakatan Rakyat di negeri lain.

Kesedar tidak mampu sembunyikan lagi peranannya. Dua calon pilihan raya kecil di Kelantan pada tahun lepas dan 2009 ialah bekas pegawai Kesedar.

Tuan Aziz Tuan Mat, calon BN di Dun Manek Urai bekas pengurus kilang Kesedar. Begitu juga Abdul Aziz Yusof, bekas penyelia Kesedar di RPT Sungai Terah menjadi calon BN di Galas.

Pada hari mengundi pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009, Pemuda PAS Kuala Krai mendakwa pejabat Kesedar di Sungai Peria dijadikan tempat mengagihkan duit kepada penyokong BN.

Jelaslah sekarang sebutlah nama akhbar harian berbahasa Melayu yang ada di negara kita, semuanya siap sedia menjadi alat kepada Umno dan BN.

Sebuah akhbar lokal yang baru diterbit nampaknya cuba mempertahankan dasar kebebasan bersuara. Namun, riak-riak sikap bias pun sudah kelihatan.

Akhbar harian juga sudah menghambur peluru tabur kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Kalau sebelum 2008, sasaran lebih terarah kepada Kelantan sahaja, namun kini melencong pula ke Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Serangan propaganda mereka dipertingkatkan lagi sekarang. Bukan sekadar isu tertentu yang diulang tayang, sebaliknya peluru dihala terus kepada tubuh badan pemimpin PAS.

Tembakan mereka ke arah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Peluru murah yang mereka dapat termasuk daripada bekas pensyarah, Ustaz Noor Idris dan Ustaz Abdullah Sa’amah dari Pondok Geting, Tumpat.

Sekarang ada pula NGO yang dikenali sebagai Minda Pondok. Semuanya diperguna sebagai peluru bagi mencalar imej Menteri Besar Kelantan dan PAS.

Tidak terhenti setakat itu, malah wartawan kanan akhbar Melayu yang didatang ke Kelantan menunding pena ke arah Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Kadang-kadang agenda setting mereka menjadi bahan ketawa orang kampung.

Begitu juga dengan peperangan politik yang berlaku di Kerdau dan Merlimau sekarang. Media Melayu awal-awal lagi sudah julangkan Ustaz Syed Ibra dan Abang Ron.

Kalau begitu eloklah akhbar harian Melayu tulis di halaman depan seperti Harakah, Hanya Untuk Ahli Umno Sahaja.

Harakahdaily/-
Oleh : M Faqih.

Isteri, anak Mubarak disekat

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Kerajaan beku semua dana bekas Presiden Mesir serta keluarga

KAHERAH: Pihak berkuasa lapangan terbang Mesir menghalang isteri dan anak lelaki Hosni Mubarak daripada menaiki pesawat dari resort Laut Merah Sharm el-Sheikh beberapa jam sebelum pihak berkuasa mengeluarkan larangan kepada bekas presiden itu dan keluarganya untuk ke luar negara.

Pegawai lapangan terbang berkata, isteri Mubarak, Suzanne dan anak bongsu mereka, Gamal cuba menaiki pesawat peribadi di lapangan terbang di Sharm el-Sheikh kelmarin, tempat mereka menginap sejak Mubarak digulingkan pada 11 Februari.

Pihak berkuasa berkata anggota keluarga Mubarak itu diberitahu mereka tidak boleh keluar tanpa kebenaran khas.

Selepas insiden itu, pihak pendakwa raya Mesir membekukan semua dana Mubarak dan keluarganya serta melarang mereka ke luar negara. Tidak jelas sama ada halangan itu dibuat kerana cubaan Suzanne dan Gamal untuk meninggalkan Mesir.

Mubarak, 82, disyaki menutup sebelah mata berhubung dakwaan rasuah terhadap anggota keluarganya dan rakan niaga mereka.

Kebanyakan dakwaan salah laku itu tertumpu kepada kegiatan perniagaan dua anak bekas orang kuat Mesir itu, Alaa dan Gamal, termasuk isteri Gamal dan keluarganya.
Tidak seperti kebanyakan pemimpin Arab yang lain, Mubarak tidak banyak menunjuk-nunjuk kekayaan yang dihimpunya dalam hampir tiga dekad menjadi Presiden Mesir.
Antara harta paling menonjol dimiliki keluarga Mubarak ialah sebuah rumah Townhouse di daerah mewah Knightsbridge di London yang diletak di atas nama Gamal.

Gamal yang sebelum ini disebut-sebut akan menggantikan bapanya sebagai presiden dikelilingi ahli perniagaan kaya raya yang mengidamkan kuasa politik bagi memajukan perniagaan masing-masing.

Beberapa daripada ahli perniagaan itu kini ditahan dan berdepan dengan siasatan jenayah. – Agensi

INFO: Pergolakan di Mesir

Hosni Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari.

Pendakwa raya membekukan aset Mubarak, isterinya Suzanne dan dua anak mereka pada 20 Februari lalu.

Alaa dan Gamal didakwa memiliki simpanan berjuta-juta dolar dalam akaun
di National Bank of Egypt, sebuah bank dimiliki kerajaan.

Hampir 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan RM6 sehari.

Berita Harian/-

PRK DUN Merlimau : Premis Awam Turut Menjadi Tumpuan Kempen Politik BN

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MERLIMAU 2 MAC : Merlimau berbangga dengan sebuah masjid baru di tengah pekan tersebut dan seperti masjid-masjid lain di Malaysia, menaranya dilengkapi dengan pembesar suara.

Bagaimanapun, kini, bukan setakat azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sahaja yang boleh didengar dari Masjid as-Syuja'ah.

"Yahudi menguasai ekonomi di Amerika Syarikat kerana ia adalah negara mereka, dan di Malaysia, orangMelayu tidak menguasai ekonomi, tetapi sebaliknya mereka menguasai politik.

"Jadi, anda mesti menyokong parti yang melindungi dan mempertingkatkan martabat Melayu... Saya berharap rakyat akan membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya supaya martabat kita dapat dipertahankan," begitu antara yang disampaikan seorang penceramah sebelum masuk waktu solat Isyak pada hari Isnin lapor Malaysiakini.

Mungkin halus bunyinya tetapi mesej tersiratnya konsisten dengan risalah yang ditemui di sekitar kawasan pilihan raya kecil DUN Merlimau, bahawa mengundi Pakatan Rakyat adalah seperti memperjudikan masa depan orang Melayu di negara ini.

Manakala bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad - ketika berkempen di Permatang Pasir pada hari Isnin - pula berpesan: "Bila kita kalah (di satu kawasan), sangat sukar untuk menang kembali. Kami kalah Kelantan pada 1990 dan kami masih belum berjaya mendapatkannya kembali."

Oleh itu, jagalah Melaka baik-baik," kata beliau yang juga pengerusi Felda.

Begitu juga dengan satu risalah yang memuatkan keratan akhbar bertajuk Melayu hilang kuasa, bersebelahan gambar mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menangis, dengan judul "Anak cucu bagaimana?".

Manakala di satu majlis di SMK Dang Anum pada hari Isnin pula Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam meminta hadirin yang terdiri daripada pelajar berusia 15 tahun, ibu bapa dan guru mereka, mengangkat tangan jika mereka adalah pengundi di DUN Merlimau.

Dan bila mereka berbuat demikian, Mohd Ali berkata terdapat 311 guru yang mengundi di Merlimau), sambil menambah bahawa Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah menaikkan elaun mereka.

"Ada ubi ada batas lah kan," katanya memetik pepatah Melayu yang membawa bermaksud membalas budi.

Tv Selangor/-

Ro$mah cakap ada masalah bagi tahu dia, apa jadi aduan 3 wanita Penan kena rogol kepada Ro$mah?

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KL 2 Mac11: Pada Mac 2010, 3 orang wanita Sarawak telah menyerahkan petisyen dan Laporan Pasukan Petugas Penan secara peribadi kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mengenai hak wanita dan kanak-kanak Penan yang telah dianiayai dan menjadi mangsa rogol oleh pembalak tidak bertanggungjawab..

Mereka mengharapkan Rosmah dalam usaha untuk mendapatkan ihsan sokongannya selaku isteri PM Malaysia. Kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin seperti dilaporkan Harakahdaily.

Jelas, ujarnya respon Rosmah ketika itu bahawa beliau berjanji akan mengambil perhatian terhadap isu ini bersifat politik semata-mata, kerana sehingga kini setelah setahun tiada satu tindakan pun yang diambil oleh beliau bagi menyelesaikan masalah itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapakah peruntukan yang terlalu melampau, iaitu sebanyak RM24 juta boleh diluluskan buat Sidang Kemuncak “Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok” walhal masalah Penan ini tidak diselesaikan lagi.

Katanya, peruntukan RM24 juta yang dibazirkan itu mampu digunakan untuk membina lebih 50 buah sekolah di kampung-kampung luar bandar Sarawak dan mampu digunakan selama 20 tahun buat tujuan pendidikan kanak-kanak Sarawak.

“Sehubungan itu, saya mendesak agar segera disiasat ketelusan pengaliran kedua-dua dana ‘istimewa’ ini, dan menggesa agar peruntukan RM111 juta buat Permata dapat disalurkan sedikit buat Kumpulan Sokongan Penan untuk disalurkan buat pendidikan anak-anak Penan khasnya, dan anak-anak Sarawak amnya,” katanya.

Zurida yang juga Ahli Parlimen Ampang menyatakan demikian sebagai membalas kenyataan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam laporan “Rosmah: I don't look like a liar, do I? ” dalam portal Malaysiakini pada 27 Februari Ahad lalu. Beliau melihat sebagai suatu kenyataan membangga diri yang melampau.

Rosmah juga dilaporkan naik helikopter dalam kempen masuk hari kedua pilihan raya kecil Kerdau.

“Pagi ini memanglah saya pujuklah juga Datuk Najib, bolehkah saya tak pergi. Dia kata, 'ini negeri Pahang... Negeri I, you kena pergi.'

“Jadi sebagai isteri yang soleh, yang insya-Allah selalulah mengikut kata-kata suami, saya pun selalulah bersiap dan terus naik helikopter lagi datang ke sini,” kata Rosmah dalam ucapannya kepada kira-kira 200 penduduk Felda Jengka 25.

Sedangkan kes 3 orang wanita Sarawak telah menyerahkan petisyen setahun lalu masih belum diselesaikan. (IH)

Himpunan berita politik Pakatan Rakyat

Tinggal sehelai sepinggang

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT (U) – Dua keluarga nyaris maut melibatkan tiga rumah didiami mereka musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Lintang di sini, semalam.

Bagaimanapun, keluarga berkenaan sempat menyelamatkan diri dan beberapa barangan berharga termasuk pakaian, peralatan dapur dan barangan elektrik sebelum kediaman mereka ranap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Mohamad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, memandangkan api besar dan marak dengan pantas, pihaknya terpaksa mendapatkan bantuan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar.

“Seramai 10 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan lima daripadanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Kita menggunakan dua jentera dalam operasi memadamkan api yang menghanguskan tiga rumah ini.

“Ketika tiba di tempat kejadian, api sudah marak dan anggota bomba berusaha mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Mohamad berkata, api dapat dikawal pada jam 9.10 pagi dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 10.45 pagi.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian belum diketahui serta siasatan lanjut masih dijalankan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dengan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Sinar Harian/-

Anwar Dedah Syarikat Kroni Bolot RM23 Bilion Wang Petronas

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MERLIMAU 3 MAC : Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wang Petronas RM 23 bilion di bolot baru-baru ini oleh syarikat kroni, contoh terbaru yang menandakan amalan rasuah dan penyelewengan kuasa terus berlaku di bawah kerajaan pimpinan Najib Razak.

Justeru tidaklah menghairankan antara individu terkaya di Malaysia adalah adik Najib, Nazim Razak dan anak Tun Mahathir Mohamad, Mokhzani yang menerima habuan daripada Petronas, kata Ketua Pembangkang itu .

Anwar berkata Petronas baru-baru ini mengambil keputusan mengalihkan pelaburan RM23 bilion ringgit yang sepatutnya digunakan untuk mencari gali minyak di luar negara kepada tiga syarikat tempatan.

"Petronas ada kontrak RM23 Bilion, yang selalu dibelanja untuk mencari gali minyak di Sudan, Iran, Afrika, Iraq, dan lain-lain. Sejak Tan Sri Hasan Merican, diberhentikan, dan diganti dengan orang yang dipilih oleh Najib, dia bawa balik RM 23 bilion ini, " kata Anwar

"Ia tidak dilabur diluar negara tetapi di dalam. Di luar, kalau kita ada syarikat cari gali, Shell atau BP, . dia dapat minyak, kita kongsi. Tetapi 23 bilion yang baru diputuskan di dibawah Datuk Seri Najib adalah untuk ... 3 syarikat utama,' tambah Anwar. "

Anwar berkata antara syarikat yang menerima habuan itu adalah KENCANA, milik Datuk Mokhzani Tun Mahathir.

Anwar berkata demikian pada ceramah di Padang Serai Merlimau sempena pilihanraya kecil dewan undangan negeri pada hujung minggu ini.

Beliau yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat melahirkan rasa kesal kerana syarikat kroni pemimpin Umno dahulu dan sekarang terus diberikan kontrak berjuta-juta ringgit manakala rakyat dihimpit dengan kos sara diri yang semakin meningkat.

"Ramai tak ada kerja, anak muda gaji RM1,000 saja sebulan. Fikirlah anak-anak ini, nak makan juga, nak hantar anak sekolah, dan ada barang nak beli. Tetapi kamu nak fikir anak kamu (Mahathir) saja sebab apa? Saya marah sebab ini. (Jadi) saya akan lawan tetap lawan,"

Anwar memberitahu ratusan orang yang hadir bahawa kredibiliti Umno semakin merudum kerana kewibawaan pemimpin-pemimpin yang diamanahkan mengurus wang rakyat.

"Saya Menteri Kewangan 8 tahun, kalau saya nak punggah kekayaan, berbilion boleh dapat. Tengok menteri sebelum saya, Tun Daim (Zainuddin) berapa banyak kekayaan dia. Tengok menteri-menteri sekarang... rumah, KL, London, Florida," kata Anwar disambut tepukan dan sorakan hadirin.

Pada majlis ini Anwar meminta pengundi supaya tidak termakan dengah tohmanah pemimpin Umno BN dan media seperti Utusan Malaysia.

Sebaliknya mereka harus menilai rekod pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan sebagai perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh BN.

"Banding Melaka dengan Selangor. Selangor 50 tahun bawah Umno, banding apa yang diperolehi orang Melayu, Cina, India di Selangor sekarang. Tak ada bandingan. Kerajaan sekarang beri RM500 sebagai wang khairat, anak masuk universiti dapat RM1n000, lahir saja RM100 di beri" tambah beliau.

Tv Selangor/-

Pengasas Umno Jengka 25 masuk PAS

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 2 Mac: Bekas Ketua Umno yang juga Pengasas Umno Jengka 25 telah meninggalkan Umno dan menyertai PAS bersama 11 ahli Umno yang lain malam tadi.

Muzamil Mualip, yang juga Naib Pengerusi JKKR bersama 11 ahli Umno yang lain telah menyerahkan borang menyertai PAS kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumah beliau sendiri.

Majlis itu yang turut dihadiri beberapa wartawan dan pemimpin tertinggi PAS itu dipercayai bakal mencetuskan satu fenomena baru perkembangan PAS di Jengka 25, yang sebelum ini dianggap kubu kuat Umno.

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya Kecil Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan perkembangan ini sebagai satu tekanan terhadap Umno.

Dalam ucapan ringkas bagi mengalu-alukan penyertaan beliau, Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden PAS berharap penyertaan beliau bersama 11 ahli Umno yang lain akan memperkukuhkan perjuangan Islam di Jengka 25.

“Beliau yang sangat berpengaruh di Jengka 25 adalah pembantu khas kepada bekas Adun Kerdau Allahyarham Datuk Abdullah Kia,” tambah Tuan Ibrahim.

Harakahdaily/-

PRK DUN Merlimau : Proses Undi Pos Bermula Hari Ini

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN 2 MAC : Proses undi pos bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau bermula hari ini melibatkan 36 orang pengundi.

Pengurus pilihan raya Roslan Eusoff berkata mereka yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk empat anggota wanita mula mengundi di Pejabat Daerah dan Tanah Jasin pukul 11.30 pagi ini.

Katanya terdapat lima anggota polis tidak mengundi kerana bertugas di luar daerah dan SPR akan mengedarkan kertas undi kepada mereka melalui pos.

"Proses pengundian berjalan lancar," katanya ketika ditemui pemberita, disini.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau, Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Roslan dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, daripada BN pada 20 Januari lepas akibat serangan jantung.

Tv Selangor/-

1,086 Penjawat Awam Muflis Dan Dibelenggu Hutang

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 2 MAC : Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah keterhutangan yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Justeru Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahankepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu-isu berkaitan dengan hutangdan kebankrapan.

Beliau berkata ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta PerlindunganPemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah muladikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai BantuanGuaman untuk penjawat awam.

"Ahli-ahli Cuepacs yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun bolehmendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.

"Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum," katanya.

Tv Selangor/-

Dulu puja Bob Lokman, kini cuba hina pula

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Dewan Pemuda PAS kesal dengan tindakan Umno BN yang didakwa menggunakan media memburukkan selebriti dan komposer terkenal, Bob Lokman yang berkempen untuk Pakatan Rakyat.

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS, Firdaus Mohd Jaafar berkata, Umno BN dan media sewajarnya menghormati pendirian sesiapa sahaja untuk menyokong dan menyertai mana-mana parti politik.

Beliau mengulas laporan TV3 dalam Buletin 1.30 semalam yang didakwa cuba menghina Bob Lokman yang berceramah di pentas PAS dalam kempen PRK Kerdau.

Laporan tersebut antara lain menyebut PAS tidak serius dalam kempen di Kerdau sehingga menggunakan artis dan menyiarkan visual petikan Bob Lokman sedang menyanyikan sebuah lagu di ceramah PAS.

"Dulu TV3 puja Bob Lokman, tapi setelah dia masuk PAS, kita tengok mereka cuba hina pulak.

"Bob memang dalam bidang seni, jadi dia gunalah kebolehan dia untuk sedarkan rakyat kembali kepada kebenaran melalui cara seni, tapi TV3 tak siar penuh ucapan dia," katanya kepada Harakahdaily.

Bob Lokman menyertai PAS pada 19 Februari lalu ketika perogram Himpunan 30 Ribu Pemuda PAS, anjuran Dewan Pemuda PAS di Kedah.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan borang keahlian PAS kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.

Sejak berita Bob Lokman menyertai PAS tersebar secara meluas, beliau kini sering dijemput berceramah dalam program anjuran parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Kita harap Bob teruskan perjuangan, dan kita yakin ramai lagi artis akan berada di pentas Pakatan Rakyat pada masa akan datang," katanya.

Harakahdaily/-

Kumpulan Terakhir 18 Rakyat Malaysia Dari Libya Selamat Tiba

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEPANG 2 MAC : Kumpulan terakhir seramai 18 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Libya, selamat tiba di tanah air hari ini.

Mereka yang kebanyakannya bekerja di negara terbabit berlepas dari Rome, Itali pada pukul 12.20 tengah hari semalam dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH015, yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.26 pagi.

Sebelum ini mereka berada di Tunisia setelah terkandas di Tripoli, Libya, dan tiba di Rome melalui pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Mereka merupakan kumpulan ketiga rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanahair ekoran krisis yang sedang berlaku di Libya selepas 98 orang selamat tiba dua hari lepas dan lapan orang semalam.

Ketibaan kumpulan itu disambut gembira anggota keluarga masing-masing dan pihak pengurusan syarikat pekerja-pekerja tersebut, Ranhill Berhad yang setia menanti seawal pukul 5 pagi.

Rata-rata mereka yang ditemui berasa gembira dan bersyukur kerana selamat kembali ke tanah air setelah melalui pengalaman menakutkan dan sukar dilupakan ekoran rusuhan rakyat Libya terhadap pemimpin mereka.

Fairuz Abdullah, 28, yang baru bertugas di Libya selama enam bulan, berkata pengalaman melihat tindakan agresif askar negara itu memukul orang ramai yang berebut-rebut untuk masuk ke Lapangan Terbang Tripoli adalah paling mengejutkan.

Katanya ada di antara orang ramai yang mengalami kecederaan dan pengsan akibat dipukul kerana cuba memotong barisan semasa hendak memasuki lapangan terbang.

"Saya terpaksa menunggu sehingga tiga jam dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk sebelum dibenarkan masuk dan keadaan di kawasan itu memang sesak dan sukar dikawal," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada keadaan yang tidak diingini berlaku kepada kumpulan rakyat Malaysia dan menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia dalam menguruskan proses membawa pulang rakyatnya adalah yang terbaik dan berjalan lancar.

Tv Selangor/-

Saham Syarikat Penerbangan Turun Ekoran Kebimbangan Kenaikan Kos Bahan Api

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 2 MAC : Saham syarikat penerbangan Air Asia Bhd,dan MAS turun berikutan kebimbangan terhadap kos bahan api akan meningkat apabila harga minyak kekal di atas paras US$100 setong.

Sehingga jam 10.40 pagi, saham AirAsia turun 5.0 sen kepada RM2.51 manakala saham MAS turun 2.0 sen kepada RM1.84.

HwangDBS Vickers Research Sdn Bhd berkata ada kemungkinan pendapatan AirAsia dan MAS turut merosot jika bahan api jet melonjak kepada US$129 setong, iaitu 24 peratus lebih tinggi daripada unjuran US$104 setong masing-masing bagi tahun ini.

"Harga bahan api yang tinggi yang berterusan boleh mencetuskan kenaikan tambahan dan atau surcaj bahan api dan ini boleh memberi kesan faktor muatan,terutama sekali bagi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Kesan itu kemungkinan dikurangkan oleh langkah para pengembara beralih ke penerbangan jarak dekat yang lebih murah seperti yang dilihat pada separuh kedua 2008apabila Air Asia mencatatkan pertumbuhan 22 peratus tahun ke tahun di segi bilangan penumpang yang diangkut.

Tv Selangor/-

Presiden PAS arah solat ghaib untuk Erbakan

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 2 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta semua ahli PAS agar menunaikan solat jenazah ghaib untuk pemimpin gerakan Islam Turki yang meninggal baru-baru ini, Profesor Nechmuddin Erbakan.

Erbakan, yang disifatkan sebagai bapa kepada gerakan Islam sedunia termasuk Malaysia meninggal dunia Ahad lepas.

Sementara itu, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS telah diutuskan khas oleh Abdul Hadi untuk mewakili beliau ke majlis perkebumian Erbakan.

Syed Azman melaporkan, jutaan rakyat Turki serta perwakilan gerakan Islam dari seluruh dunia menyhertai majlis perkebumian mujahid agung itu.

Suasana di Masjid Al-Fateh di tengah-tengah kota Istanbul di selubungi rasa sayu dan sedih yang amat memilukan, lapor beliau.

Pemergian mujahid agong Nechmuddin Erbarkan di tangisi jutaan rakyat Turki serta umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

"Beliau pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita," tulis beliau dari sana.

Nechmuddin Erbarkan, seorang pejuang Islam yang gigih merupakan bapa perubahan gerakan Islam Turki yang telah merobah corak politik yang ada di Turki.

Beliau pernah di kenakan tahanan rumah, pernah keluar masuk penjara, pernah menjadi Perdana Menteri Turki dan juga amat gigih memperjuangkan reformasi politik di Turki.

Beliau juga amat di hormati di peringkat antarabangsa serta menjadi ’bapa’ kepada pimpinan gerakan Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Hubungan beliau yang amat rapat dengan pimpinan gerakan Islam menjadikan beliau sentiasa di rujuk dan menjadi contoh kepada gerakan Islam yang lain.

"Beliau juga mempunyai hubungan 'istimewa' dengan Presiden PAS, Datuk Sri Abdul Hadi Awang," tulis Syed Azman kepada Harakahdaily.

"Saya yang sempat hadir mewakili Presiden serta seluruh kepimpinan PAS di majlis perkebumian beliau, merasa amat pilu dan sayu apabila melihat hampir dua juta rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat hadir untuk sama-sama bersolat jenazah di masjid Al Fateh di tengah-tengah kota Istanbul.

"Semua pejabat dan jalan-jalan di tutup dan rakyat berpusu-pusu dri pagi lagi menuju ke Masjid Al Fateh.

Turut hadir adalah Presiden Turki Abdullah Gul dan Perdana Menteri Rechab Tayyib Erdogan. Kedua-dua mereka adalah merupakan anak murid kepada Sheikh Erbarkan," lapor beliau.

Pimpinan Gerakan Islam dari seluruh dunia juga turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mujadid Agong ini, antaranya, Sheikh Rachid Ghanoushi dari Tunisia, Mohammad Nazzal dari Hamas, Sheikh Mehdi Akiff dari Ikhwan Muslimin Mesir, Qadhi Hussien Ahmed dari Jamaat Islami Pakistan serta pimpinan gerakan Islam dari Moroko, Algeria, Sudan, England, Austria dan Afrika Selatan.

Selepas solat jenazah, beliau di kebumikan di perkuburan Negara yang terletak berdekatan dengan Masjid Al Fateh.

"Sayu dan pilu saya melihat ribuan rakyat yang menangis terisik-isik mengiringi pemergian mujahid agong ini," katanya.

Dari anak-anak kecik kepada yang tua semua bersedih dengan pemergian pimpinan agong mereka ini.
Sahabat-sahabat dari gerakan Islam juga tidak dapat menahan rasa sebak dan pilu mengiringi jenazah Mujahid Agong ini.

Inilah contoh Mujahid agong yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Airmata kesedihan membasahi semua pimpinan gerakan islam yang hadir dan pemergian beliau amat di rasai semua dan sukar di cari ganti.

"Selamat tinggal Mujahid Agong Nechmuddin Erbarkan," tulis Syed Azman dalam laporannya.

Harakahdaily/-

Kedegilan pemimpin Libya bakal buka pintu kepada penjajah Barat

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Apa yang diperlukan untuk memaksa Muammar Gaddafi melepaskan kuasanya?

Sedang saya menulis artikel ini pada 28 Februari 2011, media melaporkan Gaddafi sudah hilang kawalan ke atas kebanyakan wilayah di negaranya yang mempunyai 6.4 juta penduduk.

Kebangkitan rakyat menentang pemerintahannya selama 41 tahun merebak dengan cepat dari bandar kedua terbesar Libya, Benghazi ke pinggir ibu negara, Tripoli, iaitu benteng terakhir Gaddafi.

Tetapi jangankan hendak memenuhi tuntutan rakyatnya, pemimpin kuku besi yang pelik itu memilih untuk terus mencengkam kepada sisa terakhir kuasanya dengan menggunakan angkatan tentera, unit keselamatan khas, askar upahan dari pelbagai negara luar lain dan tentu sekali, ahli keluarganya.

Tindakan Gaddafi itu menyebabkan sebahagian besar pegawai kanan tentera, pegawai pentadbir kerajaan, anggota Kabinet dan diplomat memilih untuk berpaling tadah dan menyokong penunjuk perasaan.

Disebabkan tentera memilih untuk turut menentang, penunjuk perasaan kini mempunyai sumber senjata api sehingga menyebabkan pertempuran berdarah antara penyokong dan penentang Gaddafi di beberapa wilayah di Libya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 2,000 orang terbunuh dalam konflik yang dilihat sama seperti perang saudara ini.

Majlis Keselamatan PBB setuju sebulat suara untuk mengenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset ke atas Gaddafi dan kroninya.

Badan dunia itu turut mengenakan sekatan penjualan senjata api kepada Libya dan menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan siasatan dan dakwaan ke atas Gaddafi berikutan pembunuhan orang awam di negara itu.

Sekatan dan tindakan yang diusulkan PBB hanya menyasarkan rejim Gaddafi dan tidak akan memberi kesan buruk kepada penduduk Libya.

Namun jika langkah itu tidak berjaya, pemimpin-pemimpin negara lain yang diketahui mempunyai hubungan baik dengan Gaddafi perlu cuba memujuknya supaya menghentikan pembunuhan rakyat sendiri dan berundur daripada pemerintahan.

Presiden Venezuela, Hugo Chavez, Perdana Menteri Turki, Recep Erdogan, Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair adalah antara mereka yang mampu menasihati Gaddafi.

Gaddafi perlu diyakinkan jika beliau menurut permintaan rakyat secepat mungkin, beliau mungkin akan dikenang berikutan beberapa kejayaannya yang membanggakan semasa dua dekad pertama pemerintahannya.

Antaranya adalah penutupan markas udara besar milik tentera AS di Libya pada 1970, pemiliknegaraan minyak dan peranan penting yang dimainkannya dalam penyusunan semula Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (Opec) sehingga membolehkan badan itu menjadi kartel berkuasa dan mampu mencabar dominasi Barat terhadap industri minyak dunia.

Tetapi Gaddafi memilih untuk mengamalkan pemerintahan autokratik yang berkisar kepada kepentingannya sendiri.

Struktur kerajaan yang sistematik tidak wujud di bawah pemerintahan kuku besinya.

Mungkin inilah sebab mengapa Gaddafi suatu masa dulu berbangga bahawa Libya adalah masyarakat pertama dalam sejarah yang tidak memerlukan kerajaan.

Salah satu kesan daripada pendekatan Gaddafi itu adalah kekecohan yang berlaku di lapisan masyarakat yang berlainan, yang saya alami sendiri semasa berkunjung ke Tripoli pada April 1980 untuk menghadiri ceramah yang akhirnya tidak jadi.

Pemerintahan kuku besi Gaddafi membuka ruang kepada masalah rasuah kronik dan nepotisme.

Dengan kekayaan minyak di Libya, ketiadaan konsep kebertanggungjawapan serta ketelusan, tidak hairan lah pada awal 1990-an, keluarga Gaddafi menjadi lubuk kuasa dan setiap perjanjian perniagaan besar dalam dan luar negara perlu mendapat kelulusan salah seorang daripada anaknya.

Kepentingan perniagaan keluarga mungkin menjadi salah satu sebab mengapa Gaddafi sanggup bermatian mempertahan kuasanya.

Jika Gaddafi enggan berundur di sebalik sekatan PBB dan nasihat rakannya, apa pilihan lain yang ada?

Beberapa pemimpin Amerika Syarikat (AS) seperti John McCain, Joseph Lieberman dan Paul Wolfowitz mencadangkan campur tangan langsung tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Namun tindakan itu bukan sahaja tindakan bodoh tetapi juga berbahaya.

Tindakan ketenteraan oleh AS dan Eropah hanya akan menyingkap semula memori pahit mengenai dasar penjajahan Barat terhadap Libya.

Ianya hanya akan menguatkan lagi cengkaman Gaddafi dan menjejaskan kesahihan perjuangan golongan anti-Gaddafi.

Campur tangan tentera Nato akhirnya akan mengakibatkan penjajahan yang mempunyai impak memusnahkan terhadap kebangkitan di dunia Arab yang masih berterusan di rantau itu sehingga hari ini.

Selain itu, penduduk di rantau Timur Tengah akan melihat sikap hipokrit terang-terangan jika campur tangan itu dibenarkan.

Jika menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan, mengapa tiada satu pun kuasa Barat yang campur tangan bagi menyelamatkan rakyat Palestin di Gaza semasa Israel menyembelih penduduk tidak berdaya itu pada Januari 2009?

Jika AS dan Britain begitu terganggu dengan pembunuhan orang awam, mengapa mereka menyerang Iraq pada 2003 yang menyebabkan ratusan ribu penduduk Iraq tidak berdosa menjadi korban?

Sudah jelas, bukan nyawa penduduk Libya yang mahu diselamatkan golongan seperti McCain, Lieberman dan Wolfowitz.

Jika tindakan ketenteraan dipertimbang, ianya kerana kuasa besar Barat hanya menumpu kepada simpanan minyak di Libya.

Selepas Arab Saudi, Libya adalah pembekal minyak terbesar ke Eropah.

Pergolakan terbaru di Libya telah pun meningkatkan harga minyak dunia kepada AS$108 setong (RM328 setong).

Penganalisis industri itu khuatir jika aliran minyak dari Libya terhenti, harga komoditi itu akan mencecah AS$200 setong (RM607 setong).

Peningkatan ini akan menyebabkan kesan buruk kepada negara industri di Barat dan di seluruh dunia.

Selain itu, jika dibandingkan dengan negara pengeksport minyak lain, hanya 60 peratus kekayaan minyak Libya yang sudah dieksploitasi setakat ini.

Ini meningkatkan lagi daya tarikan untuk mereka yang mahu mengawal bekalan minyak untuk meneruskan penguasaan ke atas dunia.

Ini adalah salah satu sebab menarik - perlindungan terhadap kedaulatan negaranya sendiri - mengapa Gaddafi tidak patut berundur serta-merta.

Tetapi tentunya ia menjadi sesuatu yang ironik jika kedegilannya itu yang bakal menyebabkan dia secara tidak sengaja membuka pintu kepada penceroboh keji neo-kolonial.

Penduduk Libya dan dunia Arab, dan semua orang yang menghargai kebebasan dan kemerdekaan mereka tidak akan memaafkan Gaddafi.

* Dr Chandra Muzaffar adalah Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) dan
Profesor Pengajian Global di Universiti Sains Malaysia.

Sinar Harian/-

1Israel, 1Malaysia kebetulan, sindir Anwar

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN, 2 Mac: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan kepada pengundi PRK Dun Merlimau apabila mendedahkan salinan dokumen perjanjian antara Apco Worldwide dan kerajaan Israel yang ditandatangani pada 1991 yang merupakan bukti pertalian erat kedua-dua pihak.

Beliau turut membaca satu perenggan daripada perjanjian itu sebelum menyerahkan kepada jurugambar media tempatan yang berebut-rebut mahu merakam dokumen berkenaan.

"Tarikh dokumen ini bila? Tahun 1991. Apa berlaku pada 1999? Ehud Barrack (Perdana Menteri Israel) anjur kempen One Israel. Pada 2009 pula, (Datuk Seri) Najib (Razak) memperkenal Satu Malaysia.

"Pada 1999 juga, Ehud kemuka slogan ‘People First’, Najib pula ‘Rakyat Didahulukan’. Kemudian, Ehud buat klinik untuk rakyat Israel. Najib buat apa? Klinik Satu Malaysia.

"Ke-be-tu-lan," sindir Anwar dengan disambut sorakan kira-kira 3,000 hadiri yang memenuhi lokasi ceramah di Merlimau Pasir di sini, malam tadi.

Anwar pada Disember tahun lalu digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan selepas mendedahkan persamaan slogan One Israel dan Satu Malaysia dengan mengaitkan peranan Apco, tanpa diberi peluang membela diri.

Turut digantung ialah Mohamed Azmin Ali (PKR Gombak) R Sivarasa (PKR Subang), dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Kerajaan Malaysia sebelum ini, walaupun menafikan slogan Satu Malaysia hasil ilham Apco, mengaku membayar RM70 juta kepada firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu.

Antara pegawai kanan Apco ialah bekas Duta Israel ke Jerman, Shimon Stein yang berkhidmat dalam kerajaan Israel dan berperanan penting dalam pentadbiran dua bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Jimmy Carter, selain menjadi bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Jerusalem.

Pegawai kanan lain ialah Itamar Rabinovich, bekas duta Israel ke AS dan Ketua Perunding Israel dengan kerajaan Syria ketika Yitzak Rabin masih menguasai kerajaan Israel.

Selain bukti itu, Anwar pada ceramah berkenaan turut membawa salinan dokumen laporan Global Financial Integrity (GFI) yang menunjukkan aliran keluar wang haram dari Malaysia sebanyak RM888 bilion (AS$291 bilion) dalam tempoh sembilan tahun sejak 2000.
Beliau berkata, jumlah itu menyamai wang yang dilarikan dua diktator iaitu bekas Presiden Tunisa, Zainal Abidien Ben Ali mahupun bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas diguling rakyat negara masing-masing.

Anwar juga kesal kerana Umno BN sehingga kini berdiam diri tanpa membuat sebarang siasatan, jauh sekali mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Jika Pakatan Rakyat memerintah negara, kita akan menjalankan siasatan terperinci. Ini memalukan negara di mata dunia," katanya.

Laporan itu menunjukkan Malaysia berada di tangga kelima dari senarai panjang negara yang terlibat dalam pengaliran keluar wang secara salah seperti wang rasuah mahupun wang lari cukai.

Pada ceramah itu, Anwar turut mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga petrol sehari selepas menawan Putrajaya.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk calon PAS bagi Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani.

Harakahdaily/-

Anak diktator Afrika tempah kapal RM1.6b

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MALABO - Anak lelaki kepada Presiden Equatorial Guinea didakwa menempah sebuah kapal persiaran mewah bernilai jutaan dolar, sekali gus menjadi tanda tanya kepada masyarakat dunia, menurut media antarabangsa, kelmarin.

Teodorin Obiang, 41, yang hanya menerima gaji sebanyak AS$6,800 (RM20,700) sebulan sebagai Menteri Pertanian negara itu, dilaporkan menempah kapal mewah bernilai AS$380juta (RM1.6 bilion) itu daripada sebuah syarikat Jerman, Kusch Yacht.

Obiang juga mahu kapalnya dilengkapi dengan sebuah panggung wayang, restoran, bar dan kolam renang.

Namun, persoalan bagaimana beliau mampu membeli sebuah kapal mewah seperti itu mula timbul kerana harga kapal itu adalah hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding peruntukan tahunan untuk perubatan dan pendidikan penduduk di negara Afrika Barat yang miskin negara itu.

Pemerhati turut menuntut pentadbiran Amerika Syarikat supaya membekukan aset Obiang, termasuk sebuah rumah mewah bernilai AS$35 juta (RM106 juta) di Malibu, California, jet peribadi bernilai AS$33 juta (RM100 juta) dan beberapa kereta mewah miliknya atas dakwaan rasuah.

Sinar Harian/-

PAS beri jaminan khidmat terbaik

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 2 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan, PAS akan memberikan tekanan yang sewajarnya agar masalah rakyat di Kerdau diselesaikan dengan baik jika calonnya terpilih dalam pilihan raya kecil ini.

"Sebagai pembangkang, kita akan membuat desakan agar segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan baik.

"Jika kita sebagai kerajaan, kita akan laksanakan sebagaimana kita mentadbir Terengganu sebelum ini serta juga lain-lain negeri Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media khas di pekan Kerdau lewat petang semalam.

Turut serta di sidang media itu adalah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP yang ditugaskan khas di Kerdau.

Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk Kerdau adalah geran tanah yang mereka tidak perolehi walaupun mereka tinggal dan membuka tanah di kawasan itu sejak sekian lama.

"Semasa kami mentadbir Terengganu dahulu, 60,000 lot tanah berjaya kita keluarkan geran untuk penduduk Melayu serta juga Cina dan India.

"Antaranya untuk penduduk Kampung Baru Air Puteh, Kemaman.

"Ia tidak berjaya diselesaikan selama 40 tahun oleh kerajaan negeri sebelum itu, tetapi kita berjaya selesaikannya selama 4 tahun sahaja," kata Abdul Hadi yang menjadi Menter Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Dalam sidang medianya, Abdul Hadi berkata, PAS menyertai pilihan raya ini atas nama Pakatan Rakyat menawar calon yang terbaik untuk rakyat Kerdau.

"Kita bekerjasama atas dasar muafakat antara PAS, PKR dan DAP. Kami buat secara muafakat mencari titik persamaan untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

"Projek yang kami hendak buat digambarkan melalui Buku Jingga yang telah kita lancarkan," kata Abdul Hadi.

Beliau juga memberikan jaminan, Pakatan Rakyat akan bebas dari rasuah dan penyelewengan sebagaimana yang telah terbukti di empat buat negeri Pakatan dan Terengganu sebelum ini.

Beliau juga berkata, kerjasamaa antara parti dalam Pakatan Rakyat sangat baik namun ia tidak terserlah kerana kongkongan media yang dibuat oleh BN.

"Saya yakin, jika media bebas dan membuat laporan yang adil, kerjasama antara kita akan menyerlah kerana sememangnya itu yang berlaku," kata Abdul Hadi.

Harakahdaily/-

Pas dakwa BN langgar peraturan pilihan raya

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH - Dewan Pemuda Pas negeri akan membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya melanggar Akta Pilihan Raya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai janji dan peruntukan diberi oleh pemimpin BN, termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Perdana Menteri itu pernah menyatakan beliau hadir di DUN Kerdau bukan untuk membeli undi, tetapi untuk menawarkan pembangunan.

”Najib secara terang-terangan berkata, bahawa ‘Saya bukan hendak beli undi, tetapi kalau kamu sokong kami, saya akan tambah lagi peruntukan esok atau lusa”.

”Ini menunjukkan beliau cuba membeli rakyat dengan pelbagai imbuhan dan projek segera,” katanya dalam sidang media, semalam.

Tuan Ibrahim mendakwa, tindakan tersebut menyalahi peraturan pilihan raya.

”Perdana Menteri juga secara terbuka meluluskan peruntukan untuk Dewan Terbuka Kampung Seri Kerdau, Balai Bomba Sukarela dan kuil bernilai hampir RM650,000.

”Ini tidak termasuk hamper serta makanan yang diedarkan di Kampung Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas harap tindakan diambil oleh SPRM dan SPR kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan (Perjalanan) Pilihan Raya 1960.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di DUN Kerdau.

Projek berkenaan melihatkan kerja menaikkan taraf pam di loji air Batu Sawar dan mengganti paip dari Rumpun Makmur ke Kampung Kerai yang bernilai RM9.25 juta.

Beliau juga mengumumkan projek membina dewan terbuka yang mengandungi gelanggang serbaguna bagi masyarakat Cina di Kampung Sri Kerdau, bernilai RM400,000, membina kuil bagi masyarakat India (RM100,000) dan Balai Bomba sukarela (RM150,000).

Sinar Harian/-

PAS tentang campur tangan tentera PBB di Libya

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menentang sekeras-kerasnya cadangan campur tangan asing dalam bentuk ketenteraan, terutamanya di atas nama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan masalah di Libya.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan campur tangan pihak ketenteraan di atas nama Majlis Keselamatan itu sekalipun akan hanya membuka episod krisis perang yang tidak akan berkesudahan dan semakin menekan rakyat Libya.

Ini, katanya seperti mana campur tangan ketenteraan di Afghanistan dan Iraq yang belum menampakkan penyelesaiannya hingga kini, malah akan mewujudkan ketidakstabilan baru di negara Utara Afrika itu.

“Penyelesaian krisis di Libya boleh dirungkaikan dengan komitmen berterusan rakyat Libya untuk melakukan suatu perubahan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang menambah, dalam masa yang sama Pertubuhan Negara-Negara Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab juga mestilahmenunjukkan kewibawaan mereka dengan memainkan peranan sebagai perunding dalam isu tersebut untuk mengenakan tekanan terhadap Muammar Ghadafi supaya berundur.

Harakahdaily/-