25 February 2011

Liputan Terkini LIVE dari DUN Kerdau dan Merlimau

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Liputan terkini dari DUN Merlimau dan DUN Kerdau di Blog Cina Islam(Utama), albanjari Online dan Ajijoi blogspot. Liputan seawal jam 7 pagi bersama 7 krew CI (Cina Islam) yang akan bersiaran LIVE. InsyaAllah..

Nasib saya diketahui pada sidang DUN akan datang.

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Keputusan membabitkan saya dan seorang ADUN BN lain yang dipanggil untuk menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan negeri hari ini hanya akan diketahui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang. Demikian antara kenyataan Ganesan dalam satu sidang media selepas sesi soal jawab Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Saya yang dihadapkan berikutan membangkitkan isu bomoh pada Sidang DUN Disember lalu tidak hadir kerana jelas sebagaimana kenyataan saya sebelum ini berulangkali bahawa usul yang dikemukakan untuk mengheretnya ke jawatankuasa tersebut adalah tidak sah.

Hari ini juga saya telah membantah ugutan yang dilakukan Ganesan kepada saya dalam keadaan dia sepatutnya menilai alasan yang saya berikan untuk tidak hadir.

Manakala Datuk Hasbullah Osman (BN-Temenggor) pula hadir untuk memberi keterangan kira-kira sejam ekoran fitnahnya terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Speaker DUN Perak, Datuk R. Ganesan berkata, meskipun keputusan telah diambil selepas dibincang dan diteliti oleh jawatankuasa itu hari ini, namun ia perlu dibentang pada Sidang DUN yang dijangka berlangsung pada penghujung Mac atau awal April ini.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil berikutan mematuhi Peraturan Perintah Tetap DUN Perak Perkara 77(2) yang mengatakan bahawa sebarang keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa itu hendaklah dibentangkan ke dalam dewan sebelum ia dibahaskan dan dilakukan pengundian.

“Kedua-dua ADUN ini akan datang pada Sidang DUN nanti seperti biasa dan tidak semestinya mereka harus diminta keluar dari dewan. Katanya lagi dalam kenyataan Ganesan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi soal jawab Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Antara ahli jawatankuasa tersebut yang hadir ialah Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib (BN-Slim), Datuk Nasarudin Hashim (BN-Bota) dan Datuk Rusnah Kassim (BN-Ulu Kinta).

Dua lagi ahli jawatankuasa itu yang tidak menghadirkan diri ialah Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi) dan Nolee Ashilin Datuk Mohamed Radzi (BN-Tualang Sekah).

Anehnya dalam satu kenyataannnya Ganesan berkata, keputusan yang dicapai oleh jawatankuasa tersebut pada hari ini adalah sah kerana cukup korum meskipun ia dibuat tanpa kehadiran saya.

Pesawat TUDM Dibenar Mendarat Di Tripoli Untuk Bawa Keluar Rakyat Malaysia

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 FEB : Pesawat C-130 milik Tentera Udara DirajaMalaysia (TUDM) dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli,Libya malam tadi bagi membawa pulang 190 rakyat Malaysia di negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata pesawat tersebut yang kini berada di Rome, Itali akan berlepas pada pukul 3 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Tripoli pada pukul 5.30 petang waktu tempatan (12 malam waktu Malaysia).

Pesawat itu akan membuat satu perjalanan sahaja untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Libya ke Rome, Itali, katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia berkenaan akan dibawa pulang ke negara inidari Itali.Katanya kerajaan tidak akan menggunakan pesawat sewa khas dari Eropah untuk memindahkan 190 rakyat Malaysia seperti diumumkan sebelum ini.

Rancangan untuk menyewa pesawat khas dari Eropah itu dibuat kerana sebelum ini kerajaan Libya tidak membenarkan pesawat tentera negara asing memasuki ruang udara negara itu, katanya.

Keadaan Libya bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.

Tv Selangor/-

Kelantan hapus levi terhadap KAFA

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Feb : Bagi menyokong perkembangan sukan di Kelantan terutamanya dalam bidang bola sepak, kerajaan Kelantan telah membuat keputusan untuk menghapuskan levi hiburan terhadap Persatuan Bolasepak Kelantan ( KAFA ) dan KAFA dijangka akan memperolehi tambahan pendapatan melebihi RM300 ribu bagi tahun ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Abdul Fattah Mahmood keputusan tersebut telah dipersersetuji kerajaan dalam mesyuarat exco dan ia adalah bagi menampung pendapatan KAFA dan ia juga sebagai satu sumbangan kerajaan dalam asas pmbangunan sukan bola sepak di negeri ini.

Abdul Fattah ditemui selepas menghadiri mesyuarat exco yang diadakan di rumah Sri Kelantan Kuala Lumpur kelmarin.

“Pihak kerajaan berharap sangat agar dengan adanya penghapusan levi ini, KAFA akan mendapat pendapatan tambahan dan ini juga adalah satu lagi langkah kerajaan membantu KAFA dalam meningkatkan mutu pasukan Kelantan meneruskan perjuangan dalam tahun 2011 ini.” Ujar beliau.

Beliau juga berkata penghapusan levi ini adalah juga sebagai sumbangan kerajaan Kelantan dan tidak timbul lagi soal kerajaan tidak membantu KAFA dalam meningkatkan mutu bolasepak Kelantan.

Levi atau cukai hiburan dibawah enakmen cukai hiburan 1953 telah nenetapkan sejumlah 5 peratus terhadap mana-mana jenis pertandingan sukan melibatkan binatang atau manusia.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Nor Yahya.

Discovery Berlepas Untuk Misi Terakhir

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

CAPE CANAVERAL (FLORIDA) 25 FEB : Kapal angkasa Discovery berlepas ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) hari ini untuk menjalankan misi terakhirnya dengan membawa enam angkasawan.

Kapal angkasa yang paling banyak melakukan misi ke angkasa lepas itu kini sedang menuju ke ISS selepas empat bulan ditangguhkan berikutan mengalami masalah pada tangki minyaknya.Ia adalah misi ke-39 Discovery dan ia adalah kapal pertama daripada tiga kapal angkasa yang ditamatkan perkhidmatannya.

Lebih 10,000 orang menyaksikan perjalanan terakhir ini di pusat pelancarannya di Florida dan ini tidak termasuk mereka yang berada di luar kawasan sekitar pusat pelancaran itu.

Jalan raya menuju ke Pusat Angkasa Lepas Kennedy juga sesak dengan kenderaan.

Discovery dijadual tiba di ISS, esok.

Tv Selangor/-

Kedutaan Malaysia Di Libya Ditutup Sementara

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 FEB : Kedutaan Malaysia di Libya ditutup sementara berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu.

Duta Malaysia ke Libya Mohd Zulkephli Mohd Noor, isteri beliau dan warga kedutaan adalah antara 127 rakyat Malaysia yang diterbangkan keluar dari negara itu hari ini.

"Buat sementara kedutaan kita di Tripoli ditutup kerana keadaan keselamatan yang tidak mengizinkan," kata seorang pegawai Wisma Putra ketika dihubungi.

Seramai 127 rakyat Malaysia yang terperangkap di Libya berjaya dikeluarkan dari negara itu dan diterbangkan melalui sebuah pesawat sewa khas yang mendarat di Tunis, Tunisia, kira-kira 11.30 pagi (waktu Malaysia), hari ini.

Mereka dijangka diterbangkan ke Rom, Itali sebelum pulang ke Malaysia melalui pesawat MAS.

Difahamkan lima daripada tujuh pelajar Malaysia di Libya enggan pulang.

Keadaan Libya bergolak sejak seminggu lepas berikutan tunjuk perasaan rakyat negara itu yang mendesak pemimpinnya Muammar Gaddafi meletak jawatan.

Tv Selangor/-









PAS Letak Calon Berpengalaman

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH 25 FEB: Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim hari ini diumumkan sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Pencalonan Hassanudin dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di hadapan kira-kira 2,000 penyokong parti itu di Markas Induk PAS Kerdau di sini malam tadi.

Pengarah pilihan raya kecil PAS bagi DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam sidang media, menyifatkan Hassanuddin, 43, sebagai calon terbaik parti itu.

Hassanuddin merupakan bekas calon bagi DUN Lanchang pada pilihan raya umum 2004 dan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.

“Beliau lebih dikenali di DUN Kerdau dan saya percaya rakyat akan memberikan undi kepadanya,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dan Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Hassanuddin berkata beliau akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Kerdau sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Di JASIN, Melaka, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka, Yuhaizat Abdullah, dipilih sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Pengumuman dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Merlimau, dekat sini.

Yuhaizat Abdullah, 38, diumumkan sebagai bakal calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau malam ini.

Yuhaizat, 38, seorang ahli perniagaan, berkata pemilihan beliau sebagai wakil golongan muda dan berharap pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepadanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan serentak pada 6 Mac manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Pada pilihan raya Umum 2008, Zaharuddin dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, daripada BN meninggal dunia pada 20 Januari lalu kerana diserang sakit jantung.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

Tv Selangor/-

Pelajar Kelantan pulang ke Mesir akan dibayai kerajaan negeri

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Feb : Pelajar Kelantan yang pulang baru –baru ini dari Mesir dan telah berdaftar dengan kerajaan negeri akan dihantar semula ke sana apabila keadaan telah mengizinkan bagi meneruskan pembelajaran.

Melalui keputusan mesyuarat exco kelmarin, Kerajaan Kelantan juga bersetuju untuk menanggung kos penerbangan pulang pelajar-peljar tersebut.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub, ia juga adalah sebagai menunaikan tanggungjawab sosial kerajaan dalam membantu keluarga pelajar untuk membiayai tiket ke sana.

“ Kerajaan telah bersetuju untuk membiayai penerbangan ke sana dan mereka tidak akan diberi wang tunai” ujar beliau.

Datuk Ahmad juga berkata sehingga kini seramai 1281 pelajar Kelantan di sana telah mendaftar dan mereka ini akan dibiayai penerbangan ke Mesir melibatkan kos lebih RM2juta

Sementara itu kerajaan lain dalam Pakatan Rakyat juga telah mengambil langkah yang sama untuk memastikan pelajar negeri masing-masing dapat meneruskan pembelajaran mereka apabila keadaan mengizinkan nanti.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Nor Yahya .

Takziah kepada keluarga Hajjah Ilani

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TAKZIAH dan simpati yang tidak terhingga buat waris dan keluarga Datuk Ilani Ishak, anggota Exco Wanita Umno yang meninggal kerana penyakit kanser.

Ilani seorang peguam yang mudah didekati. Dia seorang anggota Umno yang ada peranannya dalam perkembangan Muslimat PAS terlibat secara langsung dalam politik pilihan raya.

Ilani seorang yang setia kepada partinya, tetapi seorang Umno mazhab Tengku Razaleigh. Dia bersama Tengku Razaleigh pernah terkeluar dari Umno dan bersamanya juga kembali dalam Umno.

Dia pernah menjadi anggota Parlimen Kota Bharu tetapi tidak pernah menjadi wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional. BN tidak pernah mencalonkannya. Ilanilah yang mengalahkan Tengku Ahmad Rithaudeen, seorang menteri kanan BN dengan majoriti undi yang besar dalam tahun 1990.

Tengku Rithaudeen adalah tokoh Umno yang dapat menembusi kubu PAS memenangi Pilihan Raya Umum 1969. Ilani baru kali pertama menjadi calon. Dia berjaya mengakhiri politik Ku Din.

Pemberontak Umno ini tidak disokong oleh orang Umno, tetapi dia disokong oleh pengundi PAS Kota Bharu. Apabila dia kembali ke pangkuan Umno, dia kekal sebagai orang kuat Wanita Umno saja.

Saya kenal rapat dengan Ilani semasa dia menjadi ketua Wanita Semangat 46 yang bekerjasama dengan PAS dalam gagasan Perduan Ummah. Dia seorang ahli politik yang bekerja keras untuk menjadi calon.

Politik PAS masa itu tidak menampilkan Muslimat sebagai calon. Paling akhir PAS meletakkan calon Muslimat ialah dalam PRU 1969, Ustazah Salmah Sheikh Hussein menentang Datin Fatimah Hashim di Kubang Pasu.

Bagaimana Ilani mahu menyertai pilihan raya kalau PAS tidak tertarik dengan calon wanita? Rata-rata pemimpin Semangat 46 berpandangan orang PAS tidak akan mengundi calon wanita.

Ilani mahu menjadi calon dan Wanita Semangat 46 bersemangat supaya ketuanya diberi tempat. Pada Tengku Razaleigh kalau wanita hendak menjadi calon mewakili Angkatan Perpaduan Ummah, maka tempatnya bukan di Kelantan tetapi di tempat PAS tidak kuat.

Ilani bertemu dengan Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu.

Dia mengemukakan pandangannya kepada Ustaz Fadzil bahawa Wanita Semangat 46 bekerja keras untuk memenangi pilihan raya. Mereka mahu dia bertanding, tempatnya ialah di Kelantan. Tetapi kalau PAS tidak bersetuju calon wanita, maka semangat wanita yang menyokongnya akan tawar. Mereka tidak akan bekerja kuat. Bagaimana hendak menang?

Ustaz Fadzil memahami masalah yang dihadapi oleh Ilani. Realiti politik yang ikut memenangkan calon masa itu ialah kuatnya Wanita Umno bekerja. Ustaz Fadzil simpati kepada Ilani dan boleh menerima pandangannya.

Tetapi masalahnya ialah apa pula pandangan ketua PAS Kota Bharu, Ustaz Mawardi Ahmad. Dia seorang ulama yang konservatif. Adakah dia boleh menerima calon wanita di kawasannya.

Kata Ustaz Fadzil kepada Ilani, dia tidak ada masalah untuk menerima Ilani menjadi calon tetapi adakah Ustaz Mawardi bersetuju.

Kata Ilani, dia sudah bertemu dengan Ustaz Mawardi. Ustaz Mawardi tidak ada masalah.

Ustaz Fadzil pun memberitahunya, kalau Ustaz Mawardi tidak bermasalah, maka dia pun tidak bermasalah lagi.

Dalam perbincangan bagi menentukan calon antara PAS dan Semangat 46, Tengku Razaleigh memberitahu Ilani, dia tidak boleh bertanding kerana PAS tidak mengundi calon wanita.

Kata Ustaz Fadzil pada Tengku Razaleigh, ‘Bagi dia bertanding.’

Maka Ilani pun bertanding menentang Ku Din. Penyokong PAS Kota Bharu termasuk tenaga Muslimatnya bekerja kuat memberi sokongan kepada Ilani dan mereka melupakan tentang Ilani pernah menjadi orang kuat Wanita Umno.

Semangat 46 meletakkan dua calon wanita di Kelantan. Kedua-duanya menang dan Barisan Nasional kalah semua kerusi di Kelantan. Tahun itu – 1990 – PAS merampas kembali Kelantan dari Umno dan Tok Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

PAS tidak meletakkan calon Muslimat. Selepas perkembangan itu PAS mengambil langkah menampilkan semua calon Muslimat. Tidak ditolak bahawa penampilan Ilani membuka semula ruang bagi PAS dan Muslimatnya dan dia membantu PAS berkuasa semula di Kelantan. Tetapi dukacita Ilani tidak bersama seterusnya parti kerajaan Kelantan kerana dia kembali semula ke dalam Umno.

Setelah tamat penggalnya Ilani tidak lagi menjadi wakil rakyat.

Moga-moga rohnya dicucuri rahmat.

Harakahdaily/-
Oleh : Subky Latif.

Saksi Ke- 7 Terima Arahan KP JKM

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 FEB: Ketua Unit Paterniti DNA Jabatan Kimia Malaysia (JKM), Nor Aidora Saedon memberitahu mahkamah beliau menerima arahan daripada bekas Ketua Pengarah JKM, pada 17 Julai 2008 untuk mengendalikan ujian DNA.

"Beliau (DG) berkata telah berbincang dengan ketua jabatan dan berkata ini adalah kes berprofile tinggi yang harus saya uruskan," jelas beliau kepada peguambela Ram Karpal Singh.

Nor Aidora menjelaskan pada hari tersebut DSP Jude Blacious Periere hadir ke pejabatnya di Petaling Jaya menyerahkan empat sampel disyaki bahan bukti kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun beliau tidak ingat sekiranya ada individu menemani DSP Jude ketika hadir ke pejabat JKM.

Saksi ke 7 itu menambah, beliau tahu bahawa ujian tersebut akan dibandingkan dengan laporan analisis DNA oleh pakar forensik, Dr Seah Lay Hong yang berada di Amerika Syarikat ketika itu.

Ram Karpal seterusnya bertanya sekiranya prosedur JKM mengambil kira kemerosotan kualiti sampel (bukti) DNA yang dianalisis.

Nor Aidora berkata "Jika kita dapat mengesan profile DNA lengkap, kami tidak kira sebarang penurunan kualiti sebab ia tidak memberi kesan kepada keputusan DNA (lengkap)," jelasnya.

Tv Selangor/-

16 cedera dalam serangan udara Israel

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BAITULMAQDIS - Sekurang-kurangnya 16 cedera manakala dua cedera parah dalam serangan udara terbaru yang dilancarkan tentera Zionis, semalam.

Wartawan Press TV melaporkan, beberapa pesawat pejuang rejim Zionis melakukan serangan udara di Genting Gaza, sejak kelmarin.

Kereta kebal milik tentera Israel turut melancarkan serangan terhadap sekumpulan penduduk di Bandar Gaza dan mencederakan tiga ahli kumpulan Pergerakan Jihad Islam.

Saksi turut menyaksikan dua letupan besar semasa pesawat pejuang F-16 dan helikopter Apache milik Israel berlegar-legar di ruang udara.

Sementara itu, pejuang Hamas bertindak memindahkan semua pos keselamatan, balai polis dan bangunan kerajaan kerana menjangkakan serangan susulan akan berlaku.

Sinar Harian/-

Yuhaizad bukti PAS hargai golongan muda

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN, 25 Feb: Calon PAS di Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah menyifatkan pemilihan beliau untuk mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun berkenaan sebagai penghargaan kepada sumbangan golongan muda.

Yuhaizad, 38 berkata, pemilihan berkenaan menunjukkan kesungguhan PAS mengiktiraf golongan muda sebagai penyumbang dalam perubahan lanskap politik Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Pengisytiharan calon ini bukan milik saya tapi satu manifestasi keprihatinan PAS yang mengiktiraf sumbangan semua pihak baik lelaki mahupun perempuan dan merupakan penghargaan yang sangat bermakna bagi pemuda di seluruh Malaysia.

"Ini juga kemuncak kepada keadilan dan pembelaan tanpa mengira usia selari dengan tuntutan Islam terhadap pemuda serta generasi muda selaku rakan kongsi dalam pembanguanan politik serta pentadbiran negara yang sangat berpengaruh," katanya dalam ucapan sulung selepas diumumkan sebagai calon di Markas Solihin, dekat sini malam tadi.

Justeru, beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk bersama-samanya membawa perubahan dalam poltik Melaka yang masih terkongkong di bawah Umno BN.

"Selaku insan yang diamanahkan menjadi calon saya dengan penuh rendah diri merakam rasa terharu seterusnya memohon kerjasama daripada semua pihak untuk menyokong PAS yang mewakili Pakatan Rakyat untuk kita sama-sama merealisasikan hasrat membawa perubahan politik di Melak," katanya yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri.

Menurutnya juga, PRK Merlimau ini merupakan ujian besar bagi menguji tahap pencapaian PAS di negeri itu sebelum menghadapi pilihan raya umum.

"PRK Merlimau ini ujian yang sangat getir bagi PAS negeri Melaka dan Pakatan Rakyat kerana ini merupakan PRK pertama di Melaka dalam tempoh 15 tahun selepas PRK Bukit Asahan pada tahun 1996 yang ditandingi PAS," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

Ganesan : “Jangan ingat kuasanya terlalu besar “ – Adun Titi Serong

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Merujuk kepada laporan muka hadapan akhbar Sinar Harian hari ini, “Amaran Speaker” berhubung isu bomoh masuk dewan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim ketika dihubungi melalui telefon hari ini tetap kekal
mempertahankan tindakannya untuk tidak hadir ke sesi soal jawab Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan pada pagi ini demi untuk menjaga kesucian Dewan Negeri Perak.

Di dalam Laporan akhbar hari ini Ganesan
turut menyatakan bahawa sesi soal jawab itu akan tetap diteruskan pada jam 10 pagi ini dipejabatnya.

Mengulas amaran Ganesan , bahawa tindakan tegas akan diambil kepada beliau jika gagal hadir, Adun Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak , didalam twitternya mengesa agar Ganesan tidak perlulah membuat ugutan dan amaran seperti itu,

ini kerana kedudukan Ganesan sebagai Speaker yang dipertikaikan wajar dikaji dengan serius kerana sepanjang sidang yang lepas dia sentiasa dan semudahnya melanggar undang undang termasuk dalam kes usul kepada saya.

“ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa usul untuk membawa saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan adalah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya kerana ianya tidak mengikut peraturan.

Khalil bimbang jika sekiranya Ganesan masih berada dikerusi speaker sekarang, lebih banyak kesilapan yang akan berlaku dan ini akan terus mencemarkan Dewan Negeri Perak.

Beliau juga mencadangkan agar BN mengkaji balik kedudukan Ganesan sebagai Speaker DUN Perak.

"BN juga mesti mengkaji dengn serius kedudukan Datuk Ganesan kerana sepanjang sidang yangg lepas dia sentiasa dan semudahnya melanggar undang-undang"

Dengan nada lebih keras beliau mendesak Ganesan untuk meletakkan jawatan.

"Saya nasihatkan dia supaya segera berundur demi menjaga kesucian dewan dari terus dikendalikan oleh speaker yg tidak layak" Tegasnya

Ketika mengakhiri ulasan di twitternya pagi ini, Drs. Khalil Idham Lim turut mengingatkan Ganesan agar tidak terlalu angkuh dan sombong, terhadap kuasanya sebagai speaker Dewan, kerana amaran dan ugutan seperti itu bukan menimbulkan kegerunan kepada beliau dan Adun-Adun Pakatan Rakyat.

"Saya juga ingin tegaskan bahawa saya dan ADUN PR lain bukan budak hingusan yg semudahnya boleh diugut oleh Ganesan" Katanya

Keganasan rejim Libya didedah

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Gaddafi izin tentera tembak sesuka hati

PARIS: Seramai 2,000 orang terbunuh di Libya selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi mengizinkan anggota keselamatan mengganas bagi menghentikan protes antipemerintah, kata seorang menteri kanan Itali dan bekas pegawai kanan Tripoli.

Ini didedahkan oleh duta hak asasi Perancis, Francois Zimeray dalam wawancara dengan agensi berita.

“Kekacauan dan pertumpahan darah itu umpama pengusiran pengikut Nabi Musa oleh Firaun,” kata Menteri Luar Itali, Franco Frattini sambil meramalkan beribu-ribu warga Libya akan lari ke negaranya.

Awalnya, angka korban itu didedahkan oleh ketua protokol Muammar Gaddafi, Nouri el-Mismari, sambil menambah lebih 600 daripada mangsa terbunuh di Tripoli.

Mismari yang berkunjung ke Perancis lewat tahun lalu atas alasan kesihatan, berkata pemberontakan itu setakat ini menyebabkan ‘lebih 1,000 orang maut di seluruh Libya’ namun tidak menjelaskan sumber anggaran.

Selasa lalu, rejim Libya berkata, 300 orang terkorban dalam bantahan, namun Persekutuan Hak Asasi Antarabangsa (IFHR) pula melaporkan sekurang-kurangnya 640 orang maut.

“Keadaan ini amat serius, rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun. Ini adalah kebangkitan menamatkan pemerintahan Gaddafi. Malah, sokongan kepada Gaddafi tidak sampai lima peratus,” kata Mismari.
Anggota puak yang menyokongnya tidak ‘berjuang untuk Gaddafi tetapi untuk diri mereka,’ tambahnya.

Mismari juga mendakwa, askar upahan yang melakukan pembunuhan terhadap rakyat Libya secara besar-besaran.

“Mereka tembak membabi buta sementara tentera udara tidak akan menembak rakyat,” katanya lagi.

“Gaddafi amat bertuah jika mati. Jika tidak, rakyat mahukan beliau dibicarakan seperti Saddam Hussein.”

Rejim Gaddafi kehilangan kawasan meluas di timur Libya terhadap pemberontakan itu, ia muncul kelmarin ketika Barat bersiap sedia untuk mengeluarkan rakyatnya secara besar-besaran daripada ‘pertumpahan darah’ di negara Afrika Utara itu.

Katanya, Gaddafi memakai baju kalis peluru di sebalik pakaiannya dan alat perlindungan di bawah serbannya ketika berucap di televisyen Selasa lalu apabila beliau mengarahkan pasukan keselamatan menyuraikan pemberontakan.

Berita Harian/-

PAS kecam pengkritik Tengku Zafrul

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Feb: PAS mengecam sikap para pemimpin Umno dan NGO yang meminta dua tokoh korporat yang mengecam perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda agar meletakkan jawatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, para pemimpin Umno perlu hormati pandangan berbeza dari mereka yang bertanggungjawab dalam pembangunan negara.

Ini kerana, beliau yakin kenyataan-kenyataan mereka ini berdasarkan kepada kajian yang berpaksi kepada fakta yang sebenar.

Mustafa mengulas laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia, yang berturut-turut hari melaporkan kenyataan agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Invensment Bank Berhad, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) ekoran kritikannya terhadap perlantikan Isa.

Bagi Tengku Zafrul, perlantikan Isa yang mempunyai rekod rasuah dan disahkan oleh Umno sendiri telah memberikan kesan tidak baik kepada dunia perniagaan di Malaysia.

Kenyataan Tengku Zafrul juga dikongsi oleh Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd. Yusof.

Hari ini, Utusan menyiarkan kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee yang mengecam kenyataan Tengku Zafrul yang disifatkan Ketua Umno itu sebagai memperlekeh perlantikan Isa oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Felda.

Semalam akhbar Umno ini juga melaporkan kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzil yang mendesak Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar agar bertindak ke atas Tengku Zafrul.

Selain menyiarkan berita, akhbar ini juga menyiarkan surat pembaca yang mengkritik Tengku Zafrul untuk menekan tokoh korporat itu.

"Pandangan ini adalah contoh yang terbaik daripada orang yang tahu tentang hal ehwal ini. Pandangan yang meminta orang berbeza pandangan dengan kerajaan letak jawatan adalah satu pandangan yang tidak matang dan lojik yang gambarkan sikap pemimpi parti yang memerintah yang tidak boleh ditegur walaupun silap," kata Mustafa mengulas laporan itu.

Menurut Mustafa, bukan mereka berdua sahaja yang tidak bersetuju dengan perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda, bahkan ia dikongsi oleh pelbagai pihak.

"Pandangan ini bukan dia seorang sahaja bahkan ramai di kalangan tokoh korperat dan juga pemimpin politik kerana track rekod Isa yang dipertikaikan dari sudut intergritinya.."

"Siapa yang tak tahu ...dalam Umno dia dipecat dari jawatan Naib Presiden kerana melakukan politik wang atau rasuah politik dalam parti itu sendiri...dia sepatutnya di siasat oleh SPRM tetapi terlepas begitu sahaja."

"Tokoh yang terbukti integritinya terjejas, macamana hendak memimpin sebuah konglomerat besar macam Felda," kata Mustafa.

Menurut Mustafa, kalau Tengku Zafrul berkata ia beri salah persepsi kepada dunia korperat dan antarabangsa, ia mempunyai asas yang kukuh dalam busines dan dunia perniagaan, "apa yang nak marah kat dia," kata Mustafa.

Harakahdaily/-

Hasutan melampau warnai Kerdau

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 25 Feb: PAS menyifatkan penerbitan dan penyebaran risalah bertajuk Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan oleh pihak tertentu merupakan hasutan melampau terdapat PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau.

Pengarah Pilihan raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyebaran risalah itu jelas menunjukkan bahawa pihak lawan amat takut dengan program 100 Hari Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

Sehubungan itu, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung hasutan melampau terhadap PAS dan Pakatan Rakyat seperti yang terkandung dalam risalah yang mengandungi beberapa helaian itu.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Kerdau, dekat sini, pagi ini.

Harakahdaily/-

Jurujual ditetak, dilanggar

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PEGAWAI perubatan memeriksa keadaan jurujual yang parah ditetak di Taman Tunas Manja 5, Kuantan, petang kelmarin.
Tangan kanan hampir putus dalam serangan bermotif dendam

KUANTAN: Seorang jurujual parah selepas tangan kanannya hampir putus ditetak dua lelaki menggunakan parang, selain mangsa turut dilanggar dengan kereta ketika cuba menyelamatkan diri, di Taman Tunas Manja 5, Lorong Air Putih di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa berusia 33 tahun diserang dua lelaki terbabit di hadapan rumahnya dengan kejadian dipercayai bermotifkan dendam.
Difahamkan, dua suspek terbabit datang ke rumah mangsa menaiki kereta Proton Gen2 dan bertindak menyerang mangsa sebaik keluar daripada kenderaan itu.
Mangsa yang tergamam cuba melindungi dirinya ketika ditetak menyebabkan tangan kanannya hampir putus dan dalam kesakitan, mangsa lari menyelamatkan dirinya.

Bagaimanapun, tidak sampai 80 meter berlari, mangsa dilanggar dua lelaki terbabit dari arah belakang menyebabkannya rebah sebelum seorang daripada lelaki berkenaan bertindak keluar dari kenderaan dan menetak pula kaki mangsa.

Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, beliau yang dalam perjalanan ke Semambu, di sini kebetulan terserempak dengan mangsa yang sedang berlari sambil meraung meminta pertolongan.

“Mangsa berlari ke arah saya, namun seketika kemudian sebuah kereta melanggarnya sebelum seorang lelaki keluar dan menetaknya.
“Ketika itu, saya berada kira-kira 10 meter dari mangsa dan penyerang terbabit yang menyedari kehadiran saya kemudian masuk semula ke dalam kenderaan sebelum beredar,” katanya.

Beliau kemudian membantu mangsa dan menghubungi polis sebelum ambulans tiba dan membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan segera.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, mengesahkan menerima laporan kes itu dan kini menyiasat punca sebenar serangan terhadap mangsa yang bekerja di sebuah premis makanan sejuk beku di Semambu.

Berita Harian/-

113 mayat ditemui akibat gempa di Christchurch

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

CHRISTCHURCH: Polis New Zealand hari ini mengesahkan selepas tiga hari gempa bumi 6.3 mangnitud melanda Christchurch, sebanyak 113 mayat sudah ditemui.

"Kami menemui 113 orang yang terkorban," kata Ketua Polis Daerah, Dave Cliff memberitahu pemberita.
"Mayat berkenaan sedang diuruskan oleh kakitangan kami," katanya.

Berita Harian/-

Himpunan Bersih sekali lagi

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN, 25 Feb: Pakatan Rakyat memberi peluang kepada BN untuk mengubah kelamahan mereka dan tidak mustahil himpunan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) akan berulang bagi menuntut pilihan raya yang adil.

"Kita mahu BN membetulkan kelemahan-kelamahan ini. Kita masuk pilihan raya kecil sebab nak tengok sejauh mana BN membuat perubahan.

"Kalau BN tak mahu buat perubahan, bila umur panjang dia nyanyuk dan akan jatuh akhirnya. Kami masih memberi peluang kepada BN untuk membuat perubahan dalam demokrasi.

"PAS akan mencadangkan satu himpunan Bersih sekali lagi untuk mendesak kerajaan membuat perubahan ke arah demokrasi dan pilihan raya yang adil," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita di Majlis Pengisytiharan Calon PRK Dun Merlimau di Markas Solihin, dekat sini, malam tadi.

Mengenai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau, beliau berkata PAS yakin dengan kebolehan calonnya, Yuhaizad Abdullah untuk membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka khususnya mewakili orang muda.

Katanya, berkata, PAS meletakkan calon muda kerana sebahagian pengundi merupakan generasi muda.

"Anda semua sudah dengar kebolehan Yuhaizad berpidato. Kita yakin Yuhaizad boleh berhujah membawa suara PAS dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

"PAS mencalonkan orang muda kerana sebahagian pengundi baru ialah pengundi muda," kata beliau Yuhaizad, 38, merupakan anak tempatan dan memegang amanah sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri.

Abdul Hadi juga berkata, PAS optimis merampas kerusi Merlimau dari BN sekiranya pilihan raya dilaksanakan secara adil dengan memberikan ruang kepada rakyat untuk mengakses maklumat secara menyeluruh.

"Tak mustahil kita boleh menang. Kita pernah menang, kita pernah kalah dan kita boleh menang. Cuma kita harap pilihan raya itu mesti adil, bukan sahaja adil dari segi mengundi tapi dari laporan media.

"Harapan untuk menang ada kerana kita telah berjaya mengubah undi daripada 2004 dengan menurunkan seribu undi BN pada 2008," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.

Terdahulu, berucap di hadapan lebih 6,000 penyokong Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata, PAS menyertai pilihan raya kecil untuk mengajak rakyat membuat perubahan melalui demokrasi yang sebenar.

"Pakatan rakyat menyertai pilihan raya kecil untuk mengajak rakyat membuat perubahan melalui pilihan raya dan kita mahu pilihan raya diadakan dengan adil. Kita beri peluang kepada BN yang memerintah negara ini yang bertanggungjawab memimpin negara supaya memodenkan demokrasi kerana masa sudah berubah dan demokrasi mesti direformasikan," katanya.

Menurut beliau, rakyat berhak menegur dan menukar pemerintah yang dilihat sudah pincang dari segi pentadbiran melalui pilihan raya bagi memastikan kesejahteraan negara.

"Demokrasi adalah mahkamah rakyat melalui pilihan raya untuk memlih kerajaan yang sihat kerana tidak ada ketua negara yang hidup selama-lamanya. Bila sampai umur dia mati dan tidak ada parti yang boleh memerintah selama-lamanya," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

PKR, DAP jamin beri komitmen penuh

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 25 Feb: PKR dan DAP menyatakan sokongan penuh kepada calon taruhan PAS pada pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, Hassanuddin Salim yang diumum malam tadi.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang turut berucap pada majlis pengisytiharan calon di Kompleks PAS Kerdau memberi jaminan, jentera dari parti itu akan turun berkampung di sini bagi membantu memenangkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Saya bagi pihak PKR memberi jaminan dan janji kami kepada PAS.

"Insya Allah seluruh jentera parti keadilan rakyat akan berkampung dalam Dun Kerdau ini," katanya.

Selain Azmin, pimpinan PKR lain yang hadir termasuklah Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh dan bekas timbalan presiden, Senator Dr Syed Husin Ali.

"Tidak ada sebab Kerdau tidak boleh bertukar tangan dari Umno kepada Pakatan Rakyat.

"Saya percaya pengundi Kerdau juga sudah bersedia untuk membawa perubahan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Manakala wakil DAP pula diwakili Timbalan Pengerusi Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw.

Bagaimanapun, beliau tidak sempat berucap malam tadi ekoran hujan lebat dan memberikan laluan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengumumkan calon.

Calon PAS, Hassanuddin yang dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh pernah bertanding di Dun Kerdau pada pilihan raya umum lalu.

Beliau adalah Ketua Penerangan PAS Pahang yang berkelulusan Diploma Ukur dari UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hassanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

Beliau yang mempunyai pengalaman dalam industri dan ukur selama 15 tahun juga aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Manakala di satu lagi majlis sama di Melaka, PAS mengumumkan Yuhaizad Abdullah, 38, sebagai calon pada PRK Dun Merlimau yang mewakili Pakatan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon dan 6 Mac sebagai hari pembuangan undi bagi kedua-dua PRK tersebut.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah.