24 February 2011

Risalah rasis: PERKASA buat laporan polis

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Melaka, hari ini membuat laporan polis ekoran pengedaran risalah yang didakwa memfitnah pertubuhan itu dan berbaur hasutan.

Laporan itu dibuat yang dipertua PERKASA Melaka, Abdul Rahim Osman di balai polis Merlimau kira-kira jam 1.30 petang tadi

Menurutnya, risalah tersebut bermotifkan politik dan bertujuan menghasut serta membangkitkan kemarahan kaum bukan Melayu, khususnya Cina.

"Kami mendapati risalah yang diedarkan ini berbaur hasutan dan membangkitkan provokasi dengan menggunakan nama PERKASA.

"Ia dikesan diedarkan di taman-taman perumahan sekitar Merlimau pada malam semalam," katanya ketika ditemui di Perkarangan Balai Polis Merlimau hari ini.

Abdul Rahim berkata, PERKASA menafikan sekeras-kerasnya terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penerbitan, pengeluaran, percetakan dan pengedaran atau penyebaran risalah berkenaan kepada umum, khasnya pengundi di dalam DUN Merlimau.

"Kami PERKASA tidak pernah berkempen untuk mana-mana parti politik dan menyifatkan tindakan itu sebagai tindak balas yang tidak bertanggungjawab selepas ceramah yang diadakan pertubuhan ini tiga hari lalu di kampung Pengkalan Samak.

"Kami adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak pernah menafikan sumbangan kaum Tiong Hwa dalam pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata, PERKASA tidak pernah mengajar ahli untuk bersifat perkauman, malah mengajak orang Melayu bersama-sama mempertahankan perlembagaan negara dan hak-hak mereka.

"PERKASA sentiasa mengamalkan sikap berbaik-baik kepada semua pihak dan menyeru ke arah keharmonian kaum-kaum yang terdapat di negara ini.

"Antara lokasi yang kami kesan dipercayai berlakunya pengedaran risalah terbabit termasuk di sekitar Taman Muhibbah, Taman Merlimau Baru, Taman Debunga, Taman Seri dan Taman Pasir," katanya.

Tiga hari lalu, PERKASA menganjurkan Program Perdana PERKASA bertajuk 'Membongkar Rahsia Pengkhianat Melayu' di perkarangan rumah seorang penduduk berhampiran Makam Tun Teja, Kampung Pengkalan Samak.

Berucap di ceramah tersebut ialah beberapa penceramah termasuk, Presiden PERKASA Malaysia, Datuk Paduka Ibrahim Ali, Ketua Penerangan PERKASA, Ruslan Kasim dan Ketua Wira PERKASA Malaysia, Arman Abu Hanafiah.

Kerajaan 'janji' kekalkan harga RON95 dan diesel

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 24 Feb — Kerajaan mengekalkan harga semasa bagi RON95 pada RM1.90 dan diesel pada RM1.80 meskipun harga minyak dunia semakin meningkat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata berikutan itu kerajaan sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk mencari alternatif bagi menampung peningkatan itu.

“Kerajaan akan mengekalkan harga semasa, dan melihat opsyen atau alternative lain walaupun tanggungan kerajaan bertambah.

“Setakat ini boleh tahan, untuk tidak naikan harga RON95 dan diesel,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan kewangan 2010 Bank Rakyat di sini.

Beliau berkata peruntukan bajet untuk subsidi tahun ini sebanyak RM10.3 bilion dan jika trend itu berterusan, ia akan mencecah RM14 bilion.

Subsidi RM10.3 bilion itu termasuk petroleum, RON95, diesel, gas LPG, gula, beras dan minyak masak.

Disember lepas, harga RON95 dan diesel masing-masing meningkat lima sen kepada RM1.90 dan RM1.80 seliter.

Antara altenatif yang sedang dikaji ialah menyemak semula kuota petrol dan diesel yang diterima oleh pihak-pihak tertentu, katanya kepada pemberita.

Ditanya bila kedua-dua kementerian akan memuktamadkan perbincangan itu, Ismail Sabri (gambar) berkata ia akan dicapai secepat mungkin.

“Ia tidak akan mengambil masa yang panjang. Lebih lama diambil, lebih banyak subsidi akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata harga barangan makanan juga meningkat, terutama produk import yang menyebabkan negara sebagai pengimport, perlu menanganinya.

Mengulas sama ada harga barangan subsidi lain akan meningkat memandangkan harga bahan api tidak dinaikkan, Ismail Sabri berkata “kita tidak bercadang untuk menaikkan subsidi barangan lain”.

“Mulai 1 Feb, subsidi untuk semua pengilang makanan dan minuman manis yang menggunakan gula sebanyak 500 metrik ton sebulan, dihentikan.

“Kerajaan dapat menjimatkan sebanyak RM128 juta,” katanya memberi contoh tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menjimatkan peruntukan subsidi. — Bernama

Gaduh di UPM: Saifuddin temui dua kumpulan mahasiswa

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
PUTRAJAYA 24 Feb. - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menemui dua kumpulan mahasiswa Universiti Putra Malaysia ekoran pergaduhan yang berlaku semalam berhubung pilihan raya kampus.

"Dalam kedua-dua pertemuan yang berasingan itu, saya menekankan pilihan raya kampus seharusnya dijadikan medan terbaik untuk memberikan pendidikan politik dan demokrasi kepada mahasiswa.

"Pendidikan politik dan demokrasi ini seharusnya merintis ke arah amalan demokrasi yang lebih matang di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kekecohan itu berlaku apabila sekumpulan 200 pelajar pro-Mahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) membatalkan kemenangan 11 calonnya.

Demonstrasi yang bertujuan meminta penjelasan daripada Timbalan Naib Canselor HEP UPM kemudian menjadi tidak terkawal, mengakibatkan pintu kaca untuk ke bangunan pentadbiran HEP itu pecah dirempuh dalam keadaan kelam-kabut dan berasak-asak.

Tiga kakitangan UPM termasuk dua pengawal keselamatannya cedera di tangan manakala beberapa pelajar mengalami kecederaan ringan. - Bernama

Teguran Nik Aziz persoal Islam saya tuduhan serius, kata Mahathir

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] - TERKINI
Tun Dr Mahathir Mohamad bertanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berapa banyak bukti yang Murysidul Am PAS itu perlukan untuk mendakwa beliau dan Umno adalah “kafir.”

Malah pada masa yang sama Dr Mahathir berkata tindakan Nik Aziz menidakkan keislamannya juga “satu tuduhan amat serius.”

“Apa lagi bukti yang dikehendaki oleh Nik Aziz yang dia telah mengkafir saya dan Umno kerana kami nasionalis yang tidak sokong PAS,” kata bekas perdana menteri dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Tulisan Dr Mahathir (gambar) itu menjawab kenyataan Nik Aziz bertanya apa bukti dia mengkafir Umno baru-baru ini.

“Kepada soalannya, dia sendiri menjawab, “tolak agama ambil nasionalis, apa nama kerja ini. Jadi nasionalis Umno didakwa oleh Nik Aziz menolak agama. Dan, dia bertanya, ‘apa nama kerja ini’.”

“Tolak agama bermakna kafir. Jadi Nik Aziz tuduh Umno kafir,” katanya lagi.

Kata Dr Mahathir, Nik Aziz menuduh beliau “fikir agama ini sembahyang, puasa, nikah kahwin, tengok anak bulan, itu sahaja agama saya.”

“Memang pun bagi saya semua ini adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Apa dianya yang saya tolak berkenaan agama dengan menjadi seorang nasionalis? Ini tidak diterangkan,” kata beliau lagi.

“Tetapi sebelumnya dia mendakwa ‘sokong PAS ertinya sokong Islam’. Kita jadi Islam setelah mengucap dua kalimah syahadah – ‘Tiada Tuhan (yang disembah) melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasul Allah’,” kata beliau yang juga bekas presiden Umno.

Beliau seterusnya bertanya apakah Nik Aziz berpendapat hanya setelah mengucap “sokong PAS” baru jadi Islam dan sebelum itu kafir.

“Ini juga bermakna Nik Aziz mengkafirkan saya. Tidak ada pengertian lain dengan dakwaan Umno tolak Islam selain daripada mendakwa Umno adalah kafir,” kata Dr Mahathir yang terlibat dalam ‘perang’ kenyataan menerusi blog dan facebook masing-masing sejak bulan ini.

Malah Dr Mahathir berkata, Nik Aziz juga membandingkan dirinya dengan malaikat yang menegur Nabi.

“Saya bukan Nabi dan Nik Aziz bukan malaikat. Nik Aziz dan saya hanya manusia biasa dan ahli politik,” katanya sambil menambah, teguran ahli politik kerana kepentingan politiknya tidak sama dengan teguran malaikat.

Malah kata Dr Mahathir, teguran Nik Aziz menidakkan keislamannya adalah satu teguran dan “lebih tepat lagi satu tuduhan yang amat serius.”

“Apakah ada orang Islam yang tidak melenting jika sesiapa mengkafirkannya? Apakah Nik Aziz tidak akan melenting jika saya kata dia sudah kafir? Belum saya kata itu pun Nik Aziz sudah melenting,” katanya.

Berkenaan dengan Nik Aziz dan PAS memperkenalkan Islam kepada DAP, kata Dr Mahathir, bukti menunjukkan PAS yang telah dipengaruhi DAP.

“Lihat sahaja tindakan biadap terhadap Sultan dan Raja Muda Perak oleh ahli PAS, berguling-guling atas jalan menghalang kereta Raja.

“Sebelum berbaik dengan DAP ahli PAS lebih berpegang kepada budaya Melayu.Kerana mahu sokong DAP ahli PAS mengenepikan Kemelayuan mereka. Dan, sekarang tuntutan untuk mendirikan negara Islam pun sudah tidak didengari lagi,” katanya lagi.

Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan selepas negeri itu jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya umum 1990 iaitu pilihan raya umum ketiga bagi Dr Mahathir selepas menjadi perdana menteri keempat.

Kini PAS bergandingan dengan DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat.(MInsider)

‘Telefon bimbit boleh jejas aktiviti sel otak’

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Metabolisme glukos meningkat di bahagian hampir antena

CHICAGO: Tempoh 50 minit untuk bercakap menerusi telefon bimbit yang dilekapkan di telinga, sudah cukup bagi menukar aktiviti sel otak yang paling hampir dengan antenanya.

Bagaimanapun, saintis di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), berkata sama ada keadaan ini akan menyebabkan sebarang kerosakan belum dapat dipastikan.
Ia juga dijangka tidak dapat menyelesaikan kebimbangan dan andaian bahawa penggunaan telefon bimbit mempunyai kaitan dengan penyakit barah otak.

“Apa yang dapat kami lihat ialah metabolisme glukos meningkat di dalam otak seseorang yang terdedah dengan telefon bimbit dan paling ketara di bahagian yang paling hampir dengan antena telefon bimbit itu,” kata pakar NIH, Dr Nora Volkow. Penyelidikan beliau diterbitkan di Jurnal Persatuan Perubatan Amerika.

Kajian yang dijalankan bertujuan mengenal pasti reaksi otak terhadap medan elektromagnetik yang berpunca daripada isyarat telefon tanpa wayar.

Volkow berkata, beliau terkejut dengan bukti bahawa radiasi elektromagnetik yang lemah dari telefon bimbit boleh menjejaskan aktiviti otak, tetapi kajian itu tidak memberi jawapan sama ada penggunaan telefon bimbit menyebabkan barah.

“Kajian itu tidak memberi petunjuk sedemikian. Apa yang dilakukan kajian ini ialah untuk menunjukkan bahawa otak manusia adalah sensitif kepada radiasi elektromagnetik akibat penggunaan telefon bimbit.
Penggunaan telefon bimbit meningkat secara dramatik sejak peranti itu diperkenalkan pada awal hingga pertengahan 1980-an dan kini 5 bilion telefon bimbit digunakan di seluruh dunia.

Sesetengah kajian menga-itkan penggunaan telefon bimbit dengan peningkatan penyakit barah otak tetapi kajian yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak dapat memberi keputusan muktamad.

Pasukan Volkow membuat kajian ke atas 47 orang yang menjalani imbasan ketika telefon bimbit digunakan selama 50 minit, manakala satu kumpulan lagi diimbas ketika telefon bimbit dimatikan.

Berita Harian/-

Mansuh Darurat, selamatkan penduduk Estet Batu

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Kerajaan digesa supaya memansuhkan undang-undang Kuasa Darurat yang telah tidak digunakan sebaik-baiknya bahkan secara zalim ke atas rakyat miskin.

Menurut Naib Presiden PKR, N Suredran pihaknya terkejut dengan tindakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah sekali lagi terpaksa menggunakan Kuasa Darurat untuk mengusir penduduk Estet Batu yang miskin dari tanah mereka.

Pihak DBKL telah mengeluarkan notis kepada pemilik tanah di bawah Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969: Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan 1969) supaya mengosongkan rumah dan meninggalkan tanah mereka.

Pihak DBKL juga mengarahkan penduduk supaya merobohkan rumah-rumah mereka sendiri sebelum meninggalkan tanah tersebut. Arahan ini perlu dilaksanakan menjelang minggu depan.

Kuasa-kuasa Darurat sebelum ini digunakan sewaktu menghadapi situasi darurat selepas rusuhan 13 Mei 1969; dan bukannya dalam isu berkaitan tanah dalam tahun 2011.

Ini bukan kali pertama peruntukan Darurat digunakan oleh pihak berkuasa untuk mengusir rakyat dari tanah mereka, kata Surendran dalam kenyataannya.

Katanya, sejak sekian lama, kuasa luar biasa di dalam peruntukan ini telah digunakan oleh pihak berkuasa yang menyokong pemaju kaya dan menzalimi rakyat miskin yang berjuang untuk mencari rezeki.

"Kenapa pihak berkuasa perlu campur tangan dalam pertikaian yang melibatkan rakyat yang memiliki tanah dengan pemaju yang sewajarnya diselesaikan melalui rundingan atau proses perundangan di mahkamah?" katanya.

Bagi beliau yang juga seorang peguam, masanya telah tiba agar semua peruntukan Kuasa Darurat dan undang-undang yang bersifat jahat dimansuhkan.

Beberapa undang-undang Darurat yang dibuat antara 1964 dan 1977 tetap berlaku, termasuk undang-undang tahun 1964 bertujuan untuk menangani konfrontasi dengan Indonesia dan undang-undang Mei 1969 selepas rusuhan Mei 13.

Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969: Peraturan-Peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan-Setinggan 1969) hanya salah satu daripada 92 ordinan yang digubal dibawah Perisytiharan Darurat 1969.

Bagi beliau, kewujudan dan penggunaan undang-undang Darurat jelas sekali melanggar norma-norma antarabangsa.

Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik 1966 (ICCPR) menyatakan bahawa undang-undang Darurat hanya boleh digunakan jika ianya 'benar-benar diperlukan bergantung kepada tahap situasi’.

Apa yang pasti, isu tanah penduduk Estet Batu pada masa ini tidak termasuk di dalam kategori tersebut, tegasnya.

"Kami terkesan dengan laporan berita bahawa kabinet Algeria baru saja mengumumkan pemansuhan undang-undang Darurat yang telah dilaksanakan selama 19 tahun di negara itu dan memulihkan semula kebebasan politik negara itu," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, undang-undang Darurat Malaysia yang berusia lebih setengah abad bukan saja tidak dimansuhkan bahkan diperkuat dengan beberapa perubahan dan penambahan-penambahan tertentu.

"Ini merupakan sesuatu yang memalukan ditambah pula dengan kecenderungan kerajaan yang suka membandingkan tahap pentadbiran mereka dengan beberapa pemerintahan diktator di Afrika Utara yang terburuk.

"Kami menyeru kepada kerajaan supaya tidak menggunakan undang-undang luar biasa dan tidak adil ini terhadap rakyat biasa di Estet Batu yang bekerja keras mencari rezeki.

"Kami juga menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk memansuhkan peisytiharan dan undang-undang Darurat yang hingga ke hari ini masih menghantui dan menekan rakyat di negara ini," katanya.

Harakahdaily/-

Usaha menyelamat diteruskan

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

CHRISTCHURCH 23 Feb. – Pekerja penyelamat New Zealand hari ini meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan berpandukan suara tangisan serta bunyi ketukan, ketika angka korban akibat gempa bumi di negara ini meningkat kepada 75 orang.

Pasukan penyelamat juga terpaksa memotong tangan atau kaki sebahagian daripada 120 mangsa bagi mengeluarkan mereka yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan, selepas gempa sekuat 6.3 pada skala Richter semalam meruntuhkan kebanyakan struktur bangunan di bandar kedua terbesar New Zealand ini.

Usaha mencari dan menyelamat turut dilakukan menggunakan tangan, bantuan anjing pengesan dan jentera berat ekoran masa yang semakin suntuk bagi mengeluarkan mangsa selepas 24 jam bencana itu berlaku.

Perdana Menteri, John Key turut mengisytiharkan perintah darurat di New Zealand ketika beratus-ratus tentera, polis dan pekerja penyelamat termasuk dari negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dikerah ke Christchurch.

Sebahagian daripada 350,000 penduduk bandar tersebut kini tinggal sehelai sepinggang dengan kebanyakan kawasan kini tidak mendapat bekalan air minum yang mencukupi serta bekalan elektrik dan talian telefon terputus.

Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker berkata, seramai 300 mangsa masih disenaraikan sebagai hilang, sementara pihak berkuasa kini telah mengecam 55 mayat dengan 20 yang lain masih belum dikenal pasti identiti mereka.

“Mayat bergelimpangan di jalan-jalan raya. Ada yang terperangkap di dalam kereta dan dihempap runtuhan bangunan,” kata komander polis, Russell Gibson kepada Radio New Zealand.

Pekerja penyelamat hari ini berjaya mengeluarkan 15 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah bangunan pejabat enam tingkat yang runtuh akibat gempa bumi semalam.

“Kami berjaya mengeluarkan mereka hidup-hidup dan kami akan mencari lebih ramai mangsa yang mungkin masih hidup,” kata jurucakap jabatan bomba kepada sebuah stesen radio.

Seorang lagi mangsa, Ann Bodkin juga berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan Pyne Gould Guinness, di sini, selepas terperangkap lebih 24 jam.

Utusan Malaysia/-

Gamis seru peminjam PTPTN dan MARA serta pertemuan

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyambut baik usaha yang dilakukan Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan menganjurkan satu majlis pertemuan dengan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Himpunan yang dijadualkan bermula jam 2 petang pada 26hb Februari 2011 iaitu hari Sabtu ini, di Dewan Semantan Perdana, Hotel Sri Malaysia, Temerloh, Pahang.

Menurut Ketua Penerangan Gamis, Mohd Yusof Hadhari, “ ini merupakan pertemuan yang ditunggu-tunggu bagi mahasiswa khususnya yang mendapat pinjaman PTPTN dan juga MARA. Pelbagai masalah yang dilontarkan pihak mahasiswa yang mengalami masalah dengan proses pembayaran semula pinjaman, tetapi lontaran suara itu tidak sampai sepenuhnya kepada pihak berwajib”

“Apa yang kita harapkan, ini bukan sahaja pertemuan untuk merungkai dan mendengar masalah peminjam, tetapi juga pertemuan yang sedikit sebanyak menjawab persoalan serta masalah yang dihadapi oleh para peminjam PTPTN dan MARA,” ujarnya lagi.

Gamis menyeru mahasiswa khususnya yang meminjam PTPTN dan MARA supaya luangkan sedikit masa untuk turun bersama mendengar dan bersama lontarkan pandangan serta pendapat untuk dirumuskan berkaitan masalah-masalah yang dihadapi dan akan diserahkan kepada pihak kerajaan dalam sidang parlimen akan datang.

Sejak kebelangan ini, para graduan universiti di negara ini yang baru mula memasuki alam pekerjaan menghadapi satu dilema baru apabila PTPTN dan MARA mengejar mereka untuk mendapatkan balik bayaran pinjaman pelajaran mereka.

Ana antara mereka yang disekat dari membuat perjalanan keluar negara akibat dari kegagalan membayar balik pinjaman ini.

"Kami bukan tidak mahu bayar. Bayangkan, gaji kami RM1,600 sebulan. Duduk di KL. Duit sewa rumah, makan, minyak motor ...semua tak lepas. PTPTN mintak bayar sekurang-kurangnya RM300 sebulan melalui potongan gaji, mana kami mampu bang," rungut seorang kakitangan kerajaan yang baru memasuki alam pekerjaan.

Harakahdaily/-

Kenyataan Media : Bantahan tajuk "ADUN DEGIL" akhbar Sinar Harian.

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Merujuk kepada tajuk berita akhbar Sinar Harian hari ini (Gambar), saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih diatas laporan muka hadapan yang telah diberikan kepada Sidang Media yang telah dibuat kelmarin berhubung isu ‘tolak sesi soal jawab jawatankuasa hak dan Kebebasan Dewan’.

Namun saya memberi beberapa kenyataan seperti dibawah :

1. Saya membantah penggunaan perkataan ‘Adun Degil’ sebagai tajuk utama akhbar Sinar Harian. Ini kerana penggunaan perkataan ‘degil’ itu sangat merubah sepenuhnya kandungan asal alasan saya bersetuju untuk tidak hadir ke sesi soal jawab JK Hak dan Kebebasan Dewan.

2. Saya memohon supaya pihak akhbar Sinar Harian agar menarik semula penggunaan perkataan “Adun Degil’ itu kerana perkataan ‘degil’ yang digunakan itu secara tidak langsung menjatuhkan reputasi dan imej saya sebagai Adun kawasan Titi Serong yang menggambarkan keputusan yang saya buat bukan dengan alasan yang kukuh dan munasabah..

3. Saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa keputusan untuk saya tidak hadir ke sesi soal jawab JK Hak dan Kebebasan Dewan adalah keputusan yang dibuat bagi menjaga kesucian DUN Perak daripada melanggar undang-undang serta peraturan sedia ada.

4. Saya juga menegaskan di sini bahawa sekirannya usul yang dibawa oleh Adun-Adun Barisan Nasional berhubung ‘bomoh masuk dewan’ itu menepati peraturan dan undang-undang Dewan, dan dilakukan keputusan oleh Speaker DUN Perak dengan menepati undang-undang maka tidak ada alasan untuk saya tidak hadir ke sesi soal jawab JK Hak dan Kebebasan Dewan itu .

5. Secara insaf dan sedar ingin saya mengulanginya disini bahawa ‘bomoh masuk dewan’ dalam Sidang DUN Perak itu sememangnya berlaku dan saya bertanggunjawab sepenuhnya dengan kenyataan saya sebelum ini.

Drs. Khalil Idham Lim Abdullah
ADUN Titi Serong

Menteri, jeneral Libya letak jawatan

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MUAMMAR Gaddafi berucap menerusi televisyen, kelmarin.
Gaddafi semakin tertekan selepas bertindak ganas ke atas rakyat

TRIPOLI: Pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin tertekan semalam berikutan peletakan jawatan beberapa pegawai kanan, termasuk Menteri Dalam Negeri, Abdel Fattah Younes al-Abidi yang dianggap nombor dua di Libya.

Al-Abidi mengumumkan langkahnya untuk menyokong penunjuk perasaan ketika laporan menyatakan sehingga 1,000 orang terbunuh sejak bantahan tercetus 17 Februari lalu.
Sementara itu, penunjuk perasaan dengan bantuan anggota tentera yang berpaling tadah mendakwa menguasai bahagian timur Libya.

Malah mereka mendakwa selepas seminggu bantahan tercetus Gaddafi kini hanya menguasai wilayah tertentu termasuk sebahagian ibu negara Tripoli dan bandar selatan Sabha.

Menurut perangkaan kerajaan hampir 300 orang terbunuh ketika pasukan keselamatan dengan ganas menyuraikan penunjuk perasaan. Namun menteri luar Itali Franco Frattini berkata di Rom laporan yang menyatakan kematian mungkin mencecah 1,000 orang boleh dipercayai berikutan serangan udara turut dilancarkan terhadap penunjuk perasaan.

Bekas negara penjajah Libya itu bimbang jika rejim Gaddafi berjaya ditumbangkan, sehingga 300,000 rakyat Libya mungkin akan lari ke Itali.

Selain Al-Abidi, ramai lagi jeneral kanan termasuk Jeneral Mahmud, pegawai pemerintah di Tripoli dan timur Libya berpaling tadah.

Menurut laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) Gaddafi kini hanya mendapat sokongan daripada kelompok kecil yang rapat dengannya tetapi agak jelas beliau tidak akan menyerah kalah tanpa melawan habis-habisan.

Sementara itu, beberapa negara Eropah dilaporkan sudah mula membawa keluar warga masing-masing dari Libya.

Perancis, Turki dan Russia adalah antara negara yang sudah menghantar pesawat masing-masing bagi membawa keluar rakyat mereka yang terperangkap.

Britain pula menghantar kapal perangnya, HMS Cumberland ke pesisir pantai Libya bagi membantu operasi membawa keluar rakyatnya.

Amerika Syarikat, China dan India juga dilaporkan sedang membuat persiapan membawa pulang rakyat masing-masing keluar dari negara bergolak itu.

Berita Harian/-

AKSB nafi tekanan air punca kebakaran gagal dikawal

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 24 Feb: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) semalam menafikan kebakaran di kuarters Pasukan Gerak Am 8, Pengkalan Chepa Sabtu lalu akibat tekanan bekalan air yang rendah.

Siasatan terperinci oleh Unit Operasi Jajahan Kota Bharu (Timur) dibuat berikutan dakwaan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin, terdapat masaalah bekalan air hingga perkara itu tidak dapat dikawal.

Pengurus Besar AKSB, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh, dalam kenyataan medianya berkata, hasil siasatan tekanan air pada pili bomba berdekatan Institut Latihan Perindustrian Pengkalan Chepa dan paip utama AKSB yang mengagihkan bekalan air ke kuarters tersebut pada 10 hingga 15 meter.

“Ianya bersamaan 12 hingga 18 meter tinggi dan ianya menunjukkan bekalan serta tekanan air utama AKSB dalam keadaan baik,”ujarnya.

Menurutnya lagi, kedudukan pili bomba yang paling hampir terletak di SMK Pengkalan Chepa, iaitu kira-kira 300 meter, manakala pili bomba di hadapan ILP kira-kira 400 meter dari kuarters PGA.

Sambungnya lagi, paip utama yang masuk ke kawasan kuarters bersaiz empat inci dan merupakan paip asbestos cement yang lama serta uzur.

“Penghuni juga turut mendakwa berkemungkinan bekalan air tidak mencukupi berpunca dari sistem paip dalaman kuarters yang lama serta tidak ditukar.

“Akibatnya ia akan menjadi tekanan air yang rendah ketika itu,”ujarnya lagi.

Suhaimi seterusnya berkata, setiap penyelenggaraan pili bomba di bawah tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat, manakala AKSB hanya bertindak sebagai pembekal bekalan air sahaja.

Harakahdaily/-
Oleh : Rizal Tahir.

Khaled Nordin bergeser dengan Saifudin?

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Semacam ada pergeseran berlaku antara Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin dengan timbalannya Datuk Saifudin Abdullah ekoran pilihan raya kampus.

Ia mula dikesan apabila Khaled melalui Twitternya menulis, "Perjuangan yang menjijikan jika berasas kepada penipuan, kepalsuan dan rekaan. Ia berbau politik pembangkang".

Namun tidak diketahui kepada siapakah mesej itu ditujukan.

Ekoran Twitter ini, Saifudin menghantar mesej khas kepada Khaled juga melalui Twitter yang berbungi, "Saifuddin Abdullah @ khalednordin Dato, siapa yg jijik tu?"

Selepas mesej itu, Khaled menjawabnya melalui Twitter berbunyi, "MohamedKhaled Nordin: Sesetengah orang suka huru hara, silap2 bole jadi hero."

Namun tidak diketahui apakah ianya ditujukan kepada Saifudin atau tidak.

Ekoran itu, Saifudin telah menghantar dua mesej melalui Twitternya, iaitu "Bagaimana dengan TNC HEP tak nak jumpa mahasiswa?" dan "Pandangan saya tentang kes UPM dilapor oleh Msianinsider. Cuma pembetulan sikit, saya "tak arah", saya "beri pandangan".

Sebelum ini Harakahdaily melaporkan desakan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) agar Khaled meletakkan jawatan ekoran kegagalannya menangani masalah demokrasi kampus yang semakin kritikal berkaitan perjalanan pilihan raya kampus (PRK).

Desakan itu juga kerana kegagalan Khaled menyahut cabaran mahasiswa untuk berdialog secara terbuka mengenai isu-isu mahasiswa.

Gamis sebaliknya mahu timbalan beliau Saifuddin Abdullah menggantikan Khaled mengetuai kementerian berkenaan kerana dilihat lebih bersifat terbuka terhadap suara mahasiswa.

Gamis juga mengambil serius kegagalan Khaled berhadapan dengan tuntutan mahasiswa sebelum ini.

Memorandum Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhubung salah guna kuasa pihak universiti dalam pilihan raya kampus pada Januari tahun lalu tidak dilayan.

Harakahdaily/-

Lima awak-awak tempatan ditahan kerana cuba seludup diesel

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KANGAR: Lima awak-awak tempatan ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) ketika cuba menyeludup keluar 2,000 liter diesel dengan dua bot ke negara jiran di perairan Kuala Perlis, semalam.

Dua awak-awak berumur 27 dan 47 tahun ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika dari pantai Kuala Perlis pada jam 2.35 petang dan dua jam selepas itu tiga awak-awak berumur antara 23 dan 64 tahun ditahan di 2.5 batu nautika dari Pantai Kuala Perlis.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi Kapten (Maritim ) Abdul Rahim Abdullah berkata, pihaknya merampas 2,000 liter bersubsidi, masing-masing 1,000 liter daripada setiap bot itu.

"Kami percaya diesel yang dibawa dalam kedua-dua bot yang diubahsuai itu adalah untuk diseludup dan ketika dikesan kedua-dua bot itu menuju ke perairan sempadan," katanya.

Beliau berkata mereka yang ditahan itu diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan lanjut.

Metro/-

Mahkamah arah Adun Lenggeng bayar RM18,000

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEREMBAN, 24 Feb: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini mengarahkan Adun Lenggeng, Mustafa Salim membayar sebanyak RM18,000 kepada seorang imam masjid ekoran tindakannya mengeluarkan satu surat yang dikira bersifat fitnah.

Dalam perbicaraan yang ditetapkan hari ini Adun Lenggeng tersebut dengan tanpa pengakuan liabiliti bersetuju membayar imam tersebut.

Pada 12 September 2008 imam tersebut Sungai Machang Hilir, Haji Baharudin Jalu memfailkan saman fitnah ke atas Adun berkenaan atas dakwaan memfitnah beliau melalui surat Adun tersebut kepada pegawai agama Islam, pejabat Agama Islam daerah Seremban bertarikh 16 Juali 2007.

Surat itu juga disalinkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, mantan Adun lenggeng dan Setiausaha JKKK Kampung Sungai Machang.

Dalam surat tersebut antara lain Adun lenggeng tersebut menulis:

"Saya difahamkan bahawa Haji Baharudin bin Jalu yang merupakan imam (ketua pakatan pemecah masyarakat kampung)...

"Di kesempatan ini Haji Baharudin Jalu sebagai manusia rakus dan bodoh sombong bertindak melulu untuk mencapai matlamat nafsu dia terutama kewangan."

Dalam penyata pembelaannya sebelum ini, Adun tersebut menafikan beliau ada mengeluarkan surat tersebut.

Dalam perbicaraan hari ini, imam tersebut diwakili Mohamed Hanipa Maidin (gambar) manakala Adun Lenggeng itu diwakili Encik Rafizi.

Harakahdaily/-

Khuatir penyakit bawaan air merebak

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEBUAH bangunan musnah akibat gempa bumi di bandar Lyttelton dekat Christchurch, New Zealand kelmarin.

KUALA LUMPUR - Pelajar Malaysia kini terdedah kepada wabak penyakit bawaan air berikutan bencana gempa bumi yang melanda Christchurch, New Zealand kelmarin.

Risiko itu amat tinggi sekiranya mereka meminum air yang dibekalkan oleh pihak berkuasa tanpa memasaknya terlebih dahulu.

Berikutan itu, arahan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa supaya memasak terlebih dahulu air yang hendak diminum kerana ia dibimbangi sudah tercemar.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Canterbury, Muhammad Shahrul Samad, 22, berkata, arahan catuan air juga telah dikeluarkan kerana dikhuatiri bekalan air sedia ada tidak mampu menampung kegunaan harian penduduk.

Kosmo/-

Kes Bunuh Sosilawati Dipindah Ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BANTING 24 FEB : Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes bekas peguam N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya yang didakwa membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 24 Mac ini untuk sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 13 Okt tahun lepas, Pathmanabhan, 41, T.Thilaiyagan, 19, R.Matan, 20,dan R.Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank NoorhishamMohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati,Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat disini pada 30 Ogos tahun lepas.

Pada 21 Februari lepas, dua lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 20, dan U.Suresh,27, dihukum penjara 20 tahun kerana melupuskan mayat jutawan kosmetik itu dan tiga yang lain.

Tv Selangor/-

Gadafi semakin tertekan, tentangan rakyat kian brutal

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Lebih banyak bandar yang jatuh ketangan para demonstran walupun diancam akan ditentang keras oleh Muammar Gaddafi.

Muammar Gaddafi, telah dilaporkan kehilangan kawalan bandar yang lebih banyak apabila protes anti-kerajaan terus melanda negara Afrika walaupun Gaddafi mengeluarkan ancaman brutal.

Demonstran di Misurata, Rabu mereka telah merampas kota barat dari kawalan kerajaan. Dalam sebuah pernyataan di internet, pegawai tentera ditempatkan di bandar menjanjikan "sokongan penuh bagi para demonstran".

Sebahagian besar negara di bahagian timur juga tampaknya dikendalikan oleh para demonstran, dan seorang koresponden Al Jazeera, melaporkan dari bandar Tobruk, 140km dari sempadan Mesir, bahawa tidak ada kehadiran pasukan keselamatan.

"Dari apa yang saya lihat, orang-orang Libya timur yang berkuasa," kata Hoda Abdel-Hamid, wartawan kami.

Beliau berkata tidak ada pegawai mengawal sempadan ketika pasukan Al Jazeera menyeberang ke Libya.

Rakyat yang berkuasa

"Semua di sepanjang sempadan, kami tidak melihat satu polis, kami tidak melihat satu askar dan orang-orang di sini mengatakan kepada kami bahawa mereka semua melarikan diri atau bersembunyi dan bahawa rakyat yang sekarang berkuasa, yang bermakna jalan dari sempadan, Tobruk, dan kemudian semua jalan sampai ke Benghazi.

Para pengunjuk rasa tampaknya telah mengambil alih bandar timur Tobruk [Reuters]

"Keadaan agak tenang di Bayda dan Beghazi. Bagaimanapun, 'militia' berkeliaran, terutama di malam hari. Mereka sebagai laki-laki Afrika, berbahasa Perancis mungkin dari Chad. "

Mejar Jeneral Suleiman Mahmoud, komander pasukan bersenjata di Tobruk, mengatakan kepada Al Jazeera bahawa pasukan yang dipimpin oleh dirinya telah mengalihkan kesetiaan."Kami berada di sebelah rakyat," katanya.

Benghazi, bandar kedua terbesar di Libya, adalah tempat pertama rakyat bangkit memberontak melawan pemerintahan Gaddafi seminggu yang lalu. Pemberontakan ini telah merebak ke bandar-bandar lain walaupun pihak keselamatan berusaha untuk memadamkan rusuhan.(AlHussyen)

Malaysia Atasi Pakistan 2 - 0, Bekalan Selesa Ke Lahore

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
SHAH ALAM 24 FEB : Malaysia membawa bekal sedikit selesa ke Lahore selepas menumpaskan Pakistan 2-0 pada perlawanan pertemuan pertama pusingan pertama kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Mohd Irfan Fazail muncul wira negara apabila masing-masing menjaringkan gol seawal minit ketiga dan keempat waktu tambahan separuh masa pertama.

Perlawanan timbal balik pertemuan kedua akan berlangsung di Stadium Punjab, Lahore pada 9 Mac depan.

Beraksi di depan 7,000 penyokong, skuad Olimpik negara yang bermula garang tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama menerusi sepakan luar kotak penalti oleh pemain tengah Wan Zaharulnizam, yang berpunca daripada sepakan sudut oleh Mohamad Fandi Othman seawal minit ketiga, menewaskan penjaga gol Pakistan Yousof Ejaz Butt.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kecoh apabila pemain Pakistan, Ansar Abbas diperintah keluar padang oleh pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man apabila sengaja menyiku muka Khairul Fahmi Che Mat ketika penjaga gol Malaysia itu menangkap kemas bola pada waktu kecederaan separuh masa pertama.

Skuad anak didik Ong Kim Swee nyata mengambil peluang daripada skuad Pakistan yang bermain 10 orang apabila Mohd Irfan tidak mensia-siakan hantaran lintang sebelah kiri gawang gol lawan oleh Wan Zaharulnizam pada waktu tambahan separuh masa pertama bagi menghukum kelemahan barisan pertahanan Pakistan sebelum wisel ditiup.

Tersentak dengan dua jaringan tersebut, jurulatih Pakistan Tariq Lutfi membuat sedikit pertukaran pada separuh masa kedua, dengan menggantikan Yousof, yang bermain untuk sebuah kelab di Denmark, dengan penjaga gol kedua, Muhammad bagi memperkemas gawang gol.

Malaysia yang mengawal permainan, hampir menjaringkan gol seterusnya apabila mendapat beberapa peluang menarik di depan gawang gol Pakistan, namun Muhammad bijak menangkis serangan bertali arus pasukan tuan rumah.

Skuad negara bawah 23 tahun terus menggandakan asakan demi mencari jaringan gol, namun kekebalan gawang gol Pakistan pada babak kedua nyata menutup peluang skuad negara hingga tamat permainan.

Malaysia pernah beraksi di pusingan akhir Sukan Olimpik Munich 1972, iaitu 39 tahun lalu, dan lapan tahun kemudian, negara sekali lagi melakar sejarah apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, namun tidak mengambil bahagian atas faktor politik (iaitu membantah pencerobohan Soviet Union terhadap Afganistan).(TVS)

Royalti Minyak : 22 Mac Ditetap Dengar Permohonan Kerajaan Pusat Jadi Pencelah

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 24 FEB : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 Mac ini untuk mendengar permohonan kerajaan Pusat untuk menjadi pencelah dalam kes saman kerajaan negeri Kelantan supaya Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) membayar tunggakan royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri Kelantan.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut di kamar beliau hari ini pada prosiding pengurusan kes buat kali pertama selepas saman itu difailkan oleh plaintif pada 30 Ogos tahun lalu.

Saman tersebut difailkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tv Selangor/-

Ketua jawatankuasa antara agama kebangsaan meninggal dunia

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 24 FEB : Ketua jawatankuasa antara agama kebangsaan Datuk Ilani Isahak yang bertarung kerana kanser meninggal dunia di sini awal pagi ini.

Bekas ahli Parlimen Kota Baru itu yang sepatutnya genap 58 tahun bulan depan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Ia disahkan oleh abangnya Dr Amir Farid.

"Kami kehilangan seorang pejuang keharmonian yang disayangi pemimpin kesemua agama," kata Dr Amir menerusi teks SMS lapor The Malaysian Insider.

Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama ditubuhkan tahun lalu dan kerajaan melantik Ilani sebagai ketuanya. (TVS)

Gempa : Rakyat Malaysia Di Wellington Turut Merasa Bahang

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 23 FEB : Rakyat Malaysia di ibu negara New Zealand,Wellington, turut merasakan bahang selepas gempa bumi melanda Christchurch di South Island, dengan magnitud 6.3 semalam.

Mohamad Ali Morad, 51, yang isterinya merupakan pelajar PhD di Victoria University, Wellington (VUW), berkata beliau perlu berwaspada terutama pada waktu kecemasan sebagaimana dinasihatkan oleh Pertahanan Awam New Zealand.

"Saya terpaksa berwaspada selama 24 jam. Bersama tiga orang anak dan isteri,kadang kala kami tidur di ruang rehat bagi memudahkan kami menyelamatkan diri," katanya dalam temubual menerusi telefon dengan Bernama.

Mohamad Ali, yang telah tinggal di Wellington sejak tiga tahun lepas, berkata antara lain setiap keluarga dikehendaki bersiap sedia dengan bekalan makanan untuk seminggu, di rumah dan dalam kereta sebelum bantuan dari pihak berkuasa tiba.

Beliau berkata beliau terpaksa menyediakan sekurang-kurangnya enam liter air untuk setiap orang dalam keluarga, beras mengikut keperluan, lampu suluh dan bateri dan juga radio transistor bagi mendapatkan maklumat terbaru mengenai sebarang kejadian.

Mohamad Ali, yang tinggal di Johnsonville, sebuah kawasan bukit pinggir kota di Wellington, berkata setiap keluarga dinasihatkan menyediakan selimut, dapur gas mudah alih, mee segera dan biskut untuk kegunaan semasa kecemasan.

"Jika kami tinggal di rumah semasa gempa, kami dinasihatkan berlindung dibawah meja makan kerana ia merupakan tempat paling selamat berbanding tempat-tempat lain," katanya.

Seorang pakar seismologi menyebut kemungkinan gempa bumi lebih besar melanda Wellington.

Dilaporkan pakar seismologi menjangkakan kejutan gempa sekuat gempa bermagnitud 6.3 hari ini akan menyusuli gempa bermagnitud 7.1 yang melanda Canterbury pada 4 September tahun lepas, tetapi percaya ia akan melanda lebih awal.

Pakar seismologi Australia Kevin McCue, pengarah Pusat Seismologi Australia,berkata aktiviti geologi mustahil dapat diramalkan, "tetapi ia mirip berlaku secara berbendung".

Pelajar lulusan siswazah tajaan Universiti Tekonologi Mara (UiTM) Saidatul Akmar Ismail, 38, berkata beliau sentiasa mendapat maklumat terbaru dari media cetak dan elektronik tempatan, serta dari kalangan rakyat Malaysia di ibu negara itu.

Saidatul Akmar dari VUW yang tinggal di Karori, kira-kira 4km dari Wellington, berkata pihak berkuasa tempatan menasihatkan penduduk supaya pergi ke pusat perhimpunan terdekat jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku sebelum bantuan dapat diberikan.

Saidatul Akmar berkata Karori Kindergarten yang terletak di seberang jalan depan rumahnya adalah pusat terdekat.

Angka kematian yang disahkan dalam gempa bumi bermagnitud 6.3 Selasa lepas ialah 75, dengan 300 orang dilaporkan hilang.

Gempa itu yang paling teruk melanda New Zealand sejak gegaran bermagnitud 7.8 yang mengorbankan 256 orang di wilayah Hawke's Bay pada 1931.

Gegaran Sept tahun lepas bermagnitud 7.1 memusnahkan 100,000 rumah tetapi tiada nyawa terkorban.

New Zealand terletak pada "Gegelang Api Pasifik", satu kawasan seismik dan volkanik luas yang menganjur dari Chile ke Jepun di sebelahnya dan ke Indonesia di sebelah lagi.

Tv Selangor/-

Pintu pejabat TNC UPM pecah dirempuh pelajar

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Pintu kaca bangunan pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menempatkan pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan, pecah selepas dirempuh sekumpulan mahasiswa pro-M petang ini.

Mereka bertindak demikian selepas Dr Mohd Fauzi enggan memberikan penjelasan mengapa kemenangan calon mereka dalam pilihan raya kampus itu kelmarin dibatalkan. Difahamkan mereka berkumpul di bangunan selama 19 jam - sejak jam 10 malam tadi.

Tengahari tadi, pentadbiran universiti menarik balik pembatalan kemenangan 11 calon pro-M selepas menolak tiga bantahan kerana "tidak berasas disebabkan di luar skop pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM 2011 dan kesalahan teknikal".

Menurut sumber universiti, dalam kejadian tersebut, seramai enam, orang-masing-masing tiga daripada pelajar dan pengawal keselamatan - cedera ringan terkena serpihan kaca pintu tersebut.

Kejadian tolak menolak itu berlaku selama 15 minit bermula jam 3.30 petang.

Susulan daripada insiden tersebut dan selepas keadaan kembali tenang, TNC HEP memanggil beberapa wakil pelajar untuk berbincang mengenai tuntutan mereka kira-kira jam 4.15 petang.

Menurut sumber, dalam pertemuan dengan pelajar selama 35 minit di pejabat Dr Fauzi, keputusan dicapai untuk mengadakan perbincangan lanjutan dengannya pagi esok.

"TNC akan berbincang dengan wakil pro-M dan mendengar keputusan tuntutan mereka," kata sumber sambil yang menambah, keadaan mulai tenang jam 5 petang selepas kebanyakan kumpulan tersebut bersurai.

Bagaimanapun, sumber itu tidak mengetahui butiran masa dan tempat perbincangan lanjut itu.

Sementara itu, menurut sumber pelajar, mereka merempuh pintu berkenaan selepas Dr Mohd Fauzi diberi masa untuk memberi penjelasan berhubung pembatalan kemenangan calon mereka. Bagaimanapun Dr Mohd Fauzi enggan berbuat demikian.

Kata sumber itu lagi, tindakan itu diambil selepas kumpulan pro-M mengadakan sidang media di luar bangunan berkenaan berhubung pembatalan kemenangan calon mereka.

Sewaktu berlaku insiden tolak menolak itu, kira-kira 150 penyokong kumpulan pro-M berada di bangunan berkenaan, tambah sumber itu lagi.

Seramai 10 pengawal keselamatan berada di pintu masuk berkenaan untuk mengawal keadaan sewaktu insiden itu berlaku.

Malaysiakini/-

Lebih 1,000 maut di Libya

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PARIS: Keganasan yang tercetus di Libya didakwa sudah meragut lebih 1,000 nyawa dengan 600 orang daripadanya di ibu negara, Tripoli, kata Nouri el-Mismari, bekas ketua protokol kepada Presiden Muammar Gaddafi, semalam.

Mismari, yang tinggal di Perancis hujung tahun lalu kerana masalah kesihatan berkata, keadaan kekacauan akibat kemarahan orang ramai kepada regim itu jauh lebih teruk dengan lebih 1,000 nyawa terkorban.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan asas merujuk kepada anggaran angka kematian yang diberikannya itu.

Selasa lalu, pemerintah Libya buat pertama kali mendedahkan seramai 300 rakyatnya terbunuh dalam tunjuk perasaan yang tercetus lebih seminggu lalu tetapi Persekutuan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi (IFHR) semalam menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 640 orang maut.

“Ini amat, amat serius. Rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun Gaddafi ini," kata Mismari.

“Ini adalah penamat kepada Muammar Gaddafi. Beliau langsung tidak memperoleh lima peratus sokongan rakyat negaranya," katanya.

Mismari berkata, apa yang menyedihkan regim Gaddafi menembak bebas penunjuk perasaan dan tidak sepatutnya tentera udara dibenar melepaskan tembakan dari pesawat.
Beliau berkata, Gaddafi akan bernasib baik sekiranya dia terbunuh atau rakyat negara itu akan mendakwanya di mahkamah seperti Saddam Hussein.

Tv Selangor/-

Isteri makin kecewa, suami masih berdrama !

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
IPOH 23 Feb. - "Hanya saya, dia dan keluarga kedua-dua belah pihak yang tahu perkara sebenar. Biarlah apa yang dia mahu katakan sedangkan Allah yang lebih mengetahui."

Itu luahan isteri kepada juruteknik yang mendakwa ditetak menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Taman Pinji Ria, Pengkalan dekat sini pada Jumaat lalu.

Dalam nada sebak, wanita yang tidak mahu identitinya didedahkan memberitahu, dia mendapat sokongan penuh daripada keluarga mertua untuk tampil membersihkan kembali namanya yang tercemar akibat tuduhan suaminya.

Namun katanya, dia masih belum bersedia untuk tampil menceritakan hal sebenar dan meminta diberikan masa untuk menenangkan fikiran.

Wanita yang berusia 24 tahun itu juga memberitahu, dia kini berada di sebuah kampung dan telah diberikan cuti oleh majikannya bermula semalam sehingga Ahad depan.

"Saya belum bersedia namun saya akan ceritakan semuanya apabila sampai masanya. Saya minta beri saya ruang untuk menenangkan fikiran dahulu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini sebelum talian diputuskan dan dia gagal dihubungi kemudiannya.

Semalam, Ahmad Khusairi Abdul Rahim, 31, mendakwa dia dicederakan oleh isterinya yang merupakan seorang jururawat di sebuah hospital di sini dengan menggunakan pisau pemotong daging akibat sikap cemburu melampau wanita itu.

Akibat kecederaan itu, juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) itu, terpaksa menerima 15 jahitan dan putus tiga urat lengan kiri sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

Wanita itu yang enggan mendedahkan lokasinya berkata, dia akan tampil bersama bukti-bukti bagi memberitahu semua pihak bahawa dia tidak bersalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihak polis masih lagi menunggu untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripada kedua-dua pihak bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, ia berikutan kenyataan Ahmad Khusairi di akhbar yang masih sayangkan isterinya sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua belah pihak tersebut ingin meneruskan kes berkenaan.

"Kadangkala ada kes yang melibatkan masalah rumah tangga sebegini, ia hanya dilaporkan kepada polis sebagai amaran kepada pasangan masing-masing," katanya.

Namun begitu, beliau mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Saman Traffik - Bayar Sekarang !

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
PUTRAJAYA 23 Feb. - Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.

Statistik turut menunjukkan bahawa hanya 35 saman DBKL dijelaskan dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan sikap orang ramai yang selalu mengabaikan saman pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan tidak akan menangguhkan tempoh pembayaran saman, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran secepat mungkin dan jangan menunggu sehingga hari terakhir.

"Mereka boleh membayar secara dalam talian, di kaunter agensi atau melalui 688 buah pejabat pos seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Solah berkata, JPJ, polis dan DBKL telah bersetuju dan bersedia melaksanakan kadar kompaun baru mulai 1 Mac seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

"Kadar kompaun lama bagaimanapun masih terpakai untuk saman-saman yang dikeluarkan sebelum 1 Mac.

"Untuk saman PBT, buat masa ini hanya DBKL yang terlibat dengan kadar kompaun baru tetapi ia akan diperluaskan ke lebih banyak tempat selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, pesalah trafik yang menerima saman daripada PBT termasuk DBKL buat masa ini tidak akan disenaraihitamkan walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan membenarkan tindakan tegas itu diambil.

"Hanya penerima saman polis dan JPJ yang akan disenaraihitamkan pada peringkat ini.

"Kita bagaimanapun dalam proses untuk pastikan saman lain (termasuk daripada DBKL) akan disenaraihitamkan pada masa depan apabila mekanisme dan sistem komputer yang lengkap disediakan," katanya.

Sebahagian pengeluaran minyak Libya terhenti

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
PARIS 24 Feb. - Sebanyak satu per empat daripada keseluruhan pengeluaran minyak Libya telah dihentikan ketika demonstrasi bantahan di negara itu berterusan mengakibatkan syarikat-syarikat minyak memberi amaran akan berlaku pemotongan pengeluaran bahan tenaga tersebut di negara pengeluar ketiga minyak di Afrika.

Syarikat minyak seperti Total, Repsol, Eni dan BASF juga serta OMV dari Australia menyatakan mereka akan menurun atau menghentikan pengeluaran di Libya.

Kenyataan terbaru itu menunjukkan peningkatan impak ke atas pengeluaran minyak dari Libya yang menghasilkan minyak berkualiti tinggi sebanyak 1.6 juta tong per hari atau dua peratus daripada pengeluaran minyak dunia. - Reuters

Pesawat Khas ambil rakyat Malaysia dari Libya

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Kerajaan akan menggunakan pesawat sewa khas dari Eropah untuk memindahkan 190 rakyat Malaysia yang merayu supaya dibawa pulang dari Libya yang dilanda pergolakan, selepas kerajaan negara itu enggan membenarkan pesawat tentera masuk.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab memberitahu Bernama Rabu malam bahawa kerajaan Libya telah membuka ruang udara selama 48 jam untuk membenarkan usaha memindahkan warga asing.

“Bagaimanapun kami tidak boleh menggunakan pesawat C-130 (gambar atas) Tentera Udara Diraja Malaysia. Kami kini meneliti pilihan kedua, iaitu menggunakan pesawat sewa khas dari sebuah negara Eropah yang lebih dekat dengan Libya,” katanya.

Mohamed Thajudeen berkata sebaik sahaja butirannya diperincikan, pesawat sewa khas itu akan berlepas ke Tripoli untuk membawa keluar rakyat Malaysia dan menerbangkan mereka ke Rome.

“Malaysia Airlines mengadakan penerbangan berjadual dari Rome yang boleh digunakan untuk membawa mereka pulang. Pada masa yang sama, pesawat C-130 yang ketika ini berada di Slovakia akan terbang ke Rome dan diletakkan dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap TUDM, sebuah lagi pesawat milik TUDM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga di Pangkalan TUDM Subang dan bersedia untuk membantu operasi membawa pulang rakyat Malaysia di Libya sekiranya perlu.

Libya kini dilanda pergolakan sejak seminggu lepas ekoran tunjuk perasaan rakyat negara itu terhadap pemimpin mereka, Muammar Gaddafi.

Pesawat Khas Untuk Pindahkan Rakyat Malaysia Dari Libya

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 24 FEB : Kerajaan akan menggunakan pesawat sewa khas dari Eropah untuk memindahkan 190 rakyat Malaysia yang merayu supaya dibawa pulang dari Libya yang sedang dilanda pergolakan, selepas kerajaan negara itu enggan membenarkan pesawat tentera masuk.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab memberitahu Bernama malam tadi bahawa kerajaan Libya telah membuka ruang udara selama 48 jam untuk membenarkan usaha memindahkan warga asing.

"Bagaimanapun kami tidak boleh menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia. Kami kini meneliti pilihan kedua, iaitu menggunakan pesawat sewa khas dari sebuah negara Eropah yang lebih dekat dengan Libya," katanya.

Mohamed Thajudeen berkata sebaik sahaja butirannya diperincikan, pesawat sewa khas itu akan berlepas ke Tripoli untuk membawa keluar rakyat Malaysia dan menerbangkan mereka ke Rome.

"Malaysia Airlines mengadakan penerbangan berjadual dari Rome yang boleh digunakan untuk membawa mereka pulang. Pada masa yang sama, pesawat C-130 yang ketika ini berada di Slovakia akan terbang ke Rome dan diletakkan dalam keadaan siap siaga," katanya.

Libya kini dilanda pergolakan sejak seminggu lepas ekoran tunjuk perasaan rakyat negara itu terhadap pemimpin mereka, Muammar Gaddafi.

Tv Selangor/-

Beras atas jalan lagi utama dari nyawa

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.

Gambar: AHMAD ROZLIN yang dirawat di HRPB, Ipoh semalam menceritakan kekecewaannya dibiarkan selama sejam atas jalan oleh orang ramai.

Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.

Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis. -hm

Kerajaan Negeri PR Setuju Bentuk Mekanisme Bersama Sebar Berita

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -


KELANA JAYA 24 FEB: Kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengumumkan akan membentuk satu mekanisme bersama bagi menyalurkan berita berkenaan dasar-dasar positif yang dilaksanakan oleh kerajaan PR di negeri-negeri tersebut.

Dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khaid Ibrahim berkata mekanisme ini juga akan digunakan bagi menyalurkan informasi kepada media massa yang jelas tidak mendapat maklumat yang jitu berkenaan perlaksanaan program-program berbentuk kerakyatan.

"Kerajaan PR juga bersetuju bagi membentuk satu mekanisme bersama untuk menyalurkan berita antara negeri-negeri PR disamping memberikan penerangan kepada media massa berkenaan dasar positif yang diamalkan di negeri-negeri PR," jelas beliau.

Beliau yang berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat antara menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri PR turut menyatakan kerajaan-kerajaan negeri PR juga telah bersetuju meneruskan komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepertimana telah dipersetujui dalam Resolusi Shah Alam yang dimeterai semasa Konvensyen Menteri Besar dan Ketua Menteri PR lalu.

Dalam memastikan perjalanan lancar program-program PR, kesemua kerajaan negeri PR bersetuju untuk mengekalkan sekretariat bersama dengan memberikan penekanan terhadap lima sektor iaitu pelaburan, kerajaan tempatan, pengurusan, pengurusan sumber air serta pertanian dan pelancongan.

Khalid seterusnya menyatakan kerajaan PR akan memanfaatkan sumbangan dana RM10 juta oleh kerajaan PR Selangor bagi meningkatkan lagi jumlah pelaburan di negeri-negeri di bawah PR berbanding jumlah pelaburan yang lemah di negeri-negeri yang berada di bawah kawalan Umno-BN.

"Kita juga mengiktiraf usaha cemerlang yang dibuat oleh kesemua negeri PR selama ini sehingga mencatat kadar tertinggi pelabur asing," kata beliau lagi.

Tv Selangor/-