23 February 2011

Roslan Ahmad calon BN untuk PRK Merlimau

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN 23 Feb. - Pengurus Pembangunan Perniagaan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn. Bhd., Roslan Ahmad dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Merlimau 6 Mac ini.

Pemilihan Roslan, 44, yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 2,000 ahli dan pemimpin UMNO serta parti komponen BN di Bilik Gerakan BN Pekan Merlimau di sini hari ini.

366 hotel, resort seluruh negara disahkan halal

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA 23 Feb. - Sebanyak 366 hotel dan resort di seluruh negara telah menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 77 sijil dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala 289 lagi dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (Jain).

"Daripada 366 hotel dan resort tersebut, 273 buah iaitu 74.59 peratus adalah hotel bertaraf tiga hingga lima bintang, 53 buah atau 14.48 peratus bertaraf satu hingga dua bintang, manakala 40 buah iaitu 10.93 peratus hotel bajet yang ada perkhidmatan sajian dan resort yang ada perkhidmatan sajian tanpa penginapan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Jamil Khir sebelum itu menyampaikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Hotel Pullman dan Hotel Thistle.

Berdasarkan rekod, terdapat 1,574 hotel dan resort di negara ini yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, yang mana 412 adalah bertaraf tiga hingga lima bintang. - Bernama

Zairil Khir dilantik setiausaha politik Guan Eng

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan perlantikan Zairil Khir Johari sebagai setiausaha politiknya.

“Perlantikan ini akan berkuatkuasa dengan serta merta,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu, di sini hari ini.

Tambahnya, tugas Zairil adalah untuk membantunya dalam urusan politik sama ada dalam parti mahupun pada peringkat kebangsaan yang berpusat di Sekretariat DAP di Kuala Lumpur.

Katanya, Zairil mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang iaitu berkelulusan Sarjana dalam Pengajian Antarabangsa dan Diplomasi daripada School of Oriental and African Studies, University of London dan juga Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Sistem Maklumat.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Zairil merupakan usahawan dalam industri coklat tempatan, di mana beliau telah memperkenalkan teknologi percetakan penuh warna di atas coklat yang pertama di Malaysia.

“Saya yakin dengan pengalamannya yang luas dan pelbagai, Zairil akan memberi sumbangan yang positif kepada parti dalam perjuangan kita untuk menongkah arus demi mencapai matlamat kenegaraan yang adil dan saksama untuk setiap warga Malaysia,” ujarnya.

Zairil adalah anak bekas Menteri Pelajaran, Allahyarham Tan Sri Khir Joha.

Bekas Setiausaha Agung NUBE dipenjara 10 tahun

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TERKINI - K. Shanmugan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah dana persatuan tersebut itu pada 16 tahun lalu.

Hakim Azizah Mahamud membuat keputusan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut. - Bernama

Segera bertindak henti pembunuhan rakyat Libya

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia termasuk masyarakat antarabangsa tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh oleh pemerintahnya sendiri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, badan siasatan bebas perlu ditubuhkan bagi menyiasat pembunuhan ini untuk memberi keadilan kepada mangsa pembunuhan tentera dan polis Libya.

“Kepimpinan Libya yang menyekat hak rakyat selama puluhan tahun wajar melepaskan jawatan dan mengembalikan demokrasi tulen kepada rakyat.

“Dunia barat pula diseru supaya tidak memandang serong terhadap peranan gerakan Islam dalam melakukan perubahan secara demokrasi,”katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam pembunuhan ratusan rakyat Libya yang menyuarakan tuntutan hak mereka.

“Rakyat Libya yang tidak bersenjata telah turun menuntut hak mereka yang dinafikan selama puluhan tahun. Tindakan pihak keselamatan kerajaan di bawah pimpinan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menggunakan senjata berat terhadap rakyat yang menunjuk perasaan adalah tidak bertamadun.

“Masyarakat antarabangsa, yang mempertahankan hak asasi manusia, demokrasi dan perundangan antarabangsa wajar memberikan tekanan kepada kepimpinan negara itu agar menghentikan kezaliman itu,” katanya.

Abdul Hadi berkata, tindakan meminggirkan peranan gerakan Islam yang ingin bersama rakyat untuk melakukan perubahan secara demokrasi akan merumitkan lagi penyelesaian keamanan negara itu.

“Negara Barat diseru tidak mengamalkan sikap berat sebelah dalam mencadangkan penyelesaian kemelut di sana," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perkembangan politik di negara itu kini dalam keadaan kritikal ekoran pemerintahan secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri.

“Kita sedih dan memandang serius perkembangan politik yang sedang berlaku di Libya sekarang. Rakyat yang bangkit menentang pemerintah kuku besi berhadapan dengan tindak balas pihak berkuasa yang tidak berperikemanusiaan.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab, Anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) termasuk kerajaan Malaysia perlu segera menghentikan tindakan tidak perikemanusiaan ini,”katanya.

Sinar Harian/-

Menteri, diplomat Libya paling tadah

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GAMBAR penduduk di Benghazi yang terbunuh disiarkan dalam Facebook.
Bantah Gaddafi benar tentera mengganas

TRIPOLI: Meskipun pemimpin Libya, Muammar Gaddafi enggan akur kepada tekanan dalam dan luar negara, pemerintahannya ditafsirkan goyah berikutan penyokong setianya mula belot selepas diarahkan menembak rakyat yang menunjuk perasaan disusuli arahan supaya media kerajaan menafikannya.

Menteri Keadilan Libya, Mustapha Abdeljalil, membantah penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan disusuli laporan bahawa dua juruterbang pesawat pejuang berpangkat kolonel membawa pesawat Mirage F1 ke Malta dan belot selepas diarahkan menembak pembantah di Benghazi, kata sumber tentera Malta.
Di Stockholm, tiga kakitangan tempatan di Kedutaan Libya di Stockholm meletakkan jawatan sebagai membantah serangan terhadap orang ramai oleh pihak berkuasa Libya.
Di New Delhi, Duta Libya ke India, Ali al Essawi meletakkan jawatan dan mendesak masyarakat dunia menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan di negara itu.

Beliau melepaskan jawatannya kerana tidak setuju keganasan digunakan terhadap orang awam di negara itu.

Pegawai Kedutaan Libya di Beijing, Hussein El-Sadek El-Mesrati, turut meletakkan jawatan selepas melihat rakyat dibunuh menyifatkan Gaddafi sebagai ‘Hitler.’

“Saya mahu beritahu, tolong hentikan, permainan berakhir, keluar, pergi ke Israel. Rakyat kamu di Israel bukan orang Arab,” kata El-Mesrati yang tidak memberitahu kedudukannya ketika bersama-sama menyertai penunjuk perasaan di kedutaan Libya.
Duta Libya ke Amerika Syarikat, India, Malaysia, Indonesia dan Bangladesh turut mendesak Gaddafi meletak jawatan dan memprotes pembunuhan orang awam.

Di Kuala Lumpur, kedutaan Libya mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dikatakan tindakan tidak bertamadun Tripoli membunuh orang awam. Kira-kira 200 warga Libya di Malaysia mengadakan protes secara aman di kedutaan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, berkata beliau dapat bercakap dengan Gaddafi menerusi telefon selama 40 minit kelmarin dan mendesak beliau menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan.

Saksi di Tripoli melaporkan pembunuhan beramai-ramai berlaku di sesetengah kejiranan, bagaimanapun anak lelaki Gaddafi, Saif al-Islam menafikan laporan itu.

Warga asing sudah mula dikeluarkan dari negara itu, sumber keselamatan di Mesir berkata tentera dikerah untuk ditempatkan di sempadan Libya bagi memantau kemasukan pelarian.

Antara negara memulakan operasi membawa keluar warga mereka termasuk Jerman, Itali, Greece, Belanda, Turki, Amerika Syarikat, Yaman, Russia dan Norway.
Pertempuran senjata api berlaku sepanjang malam di Tripoli, apa bila penunjuk perasan menyerang stesen polis dan pejabat penyiaran kerajaan dan membakar bangunan awam.

Selain itu, landasan lapangan terbang Benghazi musnah dalam keganasan yang melanda Libya menyebabkan pesawat tidak dapat mendarat, kata Menteri Luar Mesir, Ahmed Aboul Gheit.

Berita Harian/-

Cubaan penulis upahan UMNO pecahbelah PR

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Sekali lagi penulis upahan Umno yang dibayar gajinya melalui Jasa (Jabatan Hal Ehwal Khas) Kementerian Penerangan Malaysia, Zainal Epi cuba memecahkan PAS dan PKR.

Kali ini dengan menulis berita kononnya PAS tidak akan bertanding di Kerdau, Pahang dan akan memberikan laluan kepada PKR.

Kononnya ada pemikiran PAS untuk memboikot pilihan raya kecil itu. Baca "PAS may give way to PKR in Kerdau" (PAS mungkin bagi jalan kepada PKR di Kerdau) dalam Free Malaysian Today.

Pada 19 Februari, beliau juga menulis dengan nada yang sama iaitu melagakan PAS dan PKR melalui tulisannya bertajuk "On the horns of a dilemma".

Dalam tulisan ini, wartawan berpengalaman tetapi diketepikan selepas akhbarnya, The Malay Mail diambil alih oleh satu pihak lain, mengatakan PAS akan memberikan tumpuan kepada Kerdau berbanding dengan Merlimau kerana peluangnya lebih besar.

Namun, tulis Zainal, PAS terpaksa berebut dengan PKR kerana parti itu juga mahu bertanding dalam pilihan raya kecil ini selepas terlepas Merlimau.

Sebelum ini, pada 15 Februari, beliau juga membuat berita yang senada iaitu 'PAS may stay out of Kerdau fray" (PAS mungkin akan tidak menyertai pertandingan di Kerdau).

Penulis ini membayangkan, PAS mungkin tidak menyertai pilihanraya ini jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya serentak dengan Merlimau.

Pada 12 Februari, Zainal juga menulis dengan nada yang sama

Dalam tulisan ini, beliau menggambarkan PKR pada awalnya mahu bertanding kerusi ini tetapi setelah membuat kajian lapangan, mereka mendapati akan kalah lalu membiarkan PAS bertanding di situ.

Semua tulisan ini membayangkan agenda sebenar penulis ini. Mungkin beliau berpengalaman sebagai wartawan tetapi nada tulisan beliau kini jauh benar dengan tulisan ketika beliau berada di zaman kegemilangannya dahulu.

Ketika bersama The Star, Zainal antara penulis yang disegani. Begitu juga ketika beliau bersama memulakan akhbar Harian Watan bersama bekas pengarang Harakah, Zin Mahmud.

Ketika itu, tulisan Zainal disegani oleh rakan dan musuh politik BN. Ini kerana, tulisan itu penuh dengan isi dan laporannya menepati apa yang berlaku di lapangan.

Namun, sejak kebelakangan ini, tulisan beliau umpama 'armchair reporter' sahaja. Duduk depan komputer, ketuk dan terhasillah tulisan 'maha hebat' itu.

Lihat sahaja ulasan beliau tentang Kerdau. Tidak berbangkit langsung PAS mahu melepaskan kerusi Kerdau itu kerana ia adalah kubu PAS. Mungkin PAS Pahang sekarang tidak kuat tetapi kerusi ini adalah antara yang terbaik di Pahang.

Mungkin ada faktor Suhaimi Said di kerusi ini yang menyebabkan ada yang terfikir PAS perlu memberikan peluang kepada PKR untuk bertanding. Namun, dari segi realitinya tidak begitu. PAS Pahang atau PAS Pusat sesekali tidak akan terfikir untuk menyerahkan kerusi itu kepada pihak lain.

Jadi dari mana sebenarnya maklumat kononnya PAS akan melepaskan kerusi itu. Mungkin dari Umno kerana bimbang untuk bertembung dengan PAS di situ tambah-tambah lagi apabila PAS Pahang kebelakangan ini sangat meningkat semangat juang mereka.- Cicit Mat Kilau

Kedah giat promosi 'Green Tourism' sebagai tarikan pelancongan baru

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 23 Feb: Usaha bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah dipergiatkan melalui pelbagai program yang telah direncanakan bagi mencapai matlamat menjadikan Kedah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang amat menarik.

Exco Pelancongan, S. Manikumar yang mengulas mengenai daya tarikan ini berkata, Kerajaan Negeri sedang giat mempromosikan 'Green Tourism' dimana tempat-tempat menarik yang mempunyai keindahan alam hijau dan juga flora serta fauna akan diketengahkan.

"Banyak tempat-tempat menarik seperti Ulu Muda, Lembah Bujang di Merbok, Sungei Sembeling dan juga Gunung Jerai mempunyai keindahan kehijauan alam yang mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong.

"Usaha sedang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mempromosikan keindahan dan tarikan ini kepada pelancong-pelancong luar negara seperti Singapura dan juga Thailand. 'Green Tourism' ini amat membantu pelancongan di Kedah. Oleh kerana itu ia perlu diketengahkan kepada pelancong kerana keindahan flora dan fauna yang begitu unik dipunyai oleh negeri Kedah," katanya.

Kata beliau, usaha terbaru itu juga bertujuan meluaskan tumpuan pelancongan di Kedah supaya tidak hanya tertumpu kepada Langkawi sahaja.

"Selain Langkawi, banyak lagi kawasan-kawasan pelancongan yang ada di negeri Kedah boleh dipromosikan sebagai destinasi pelancongan yang amat menarik. Jika di Thailand, agensi pelancongan yang ada di sana mempromosikan pusat pelancongan dalam negara.

"Maka itu, adalah tidak sukar bagi semua agensi pelancongan yang ada di Kedah mempromosikan pelancongan di tanah besar Kedah supaya ia setara dengan promosi pelancongan yang dilakukan di Langkawi bagi meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini, " ujarnya.

Harakahdaily/-

Ceramah Perdana bersama TGHH di Kerdau malam ini

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TEMERLOH, 23 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramah di Kampung Teluk Sentang, Kerdau malam ini.

Pegawai Media PAS Pahang, Hashim Abdullah berkata, ceramah bersama Presiden PAS itu adalah aktiviti biasa parti bagi memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap isu-isu semasa yang berlaku.

Ini, katanya dengan harapan rakyat memperoleh kesedaran yang tinggi untuk melakukan perubahan sama ada dalam pilihan raya kecil Dun Kerdau dan pilihan raya umum akan datang.

Bersama Ustaz Abdul Hadi ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Negeri Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim.

“Kami menyeru orang ramai terutamanya masyarakat setempat hadir beramai-ramai bagi mendapatkan penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlaku di samping dapat bersuai kenal dengan pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Malaysia, Turki mansuh visa

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
ANKARA, 23 Feb — Malaysia dan Turki bersetuju memansuhkan keperluan visa untuk membolehkan rakyat masing-masing membuat lawatan antara satu sama lain.

Ini diumumkan pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Turki, Recep Tayyip Erdogan, selepas pertemuan empat mata mereka diikuti perbincangan peringkat delegasi di Pejabat Perdana Menteri Turki itu di sini semalam.

“Ini adalah satu keputusan bersejarah dan penting yang pasti dapat meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” kata Najib.

Beliau berkata rakyat Malaysia dan Turki mempunyai banyak persamaan.

“Malahan, ada antara kita berasal daripada keturunan yang sama dan kita perlu mendalami warisan yang kita ada ini kerana ia mampu menjadi asas yang kuat dalam mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat kita,” katanya.

Erdogan pula mengumumkan bahawa Turki akan menganjurkan “Tahun Malaysia” tidak lama lagi bagi merapatkan hubungan di peringkat rakyat kedua-dua negara manakala Turkish Airlines akan mengadakan semula penerbangannya ke Kuala Lumpur.

Najib mengucapkan terima kasih kepada Erdogan berhubung persetujuan Turkish Airlines mengadakan semula penerbangan terus ke Malaysia itu dan berkata : “Kita akan mengkaji kemungkinan mengadakan lebih banyak penerbangan antara Kuala Lumpur dan Turki.”

Katanya beliau gembira kerana mendapat tahu bahawa lawatannya dinanti-nantikan di Turki memandangkan lawatan terakhir seumpamanya oleh seorang Perdana Menteri Malaysia adalah 28 tahun yang lepas, dan juga beliau gembira dapat memenuhi undangan Erdogan untuk membuat lawatan itu.

Najib menyifatkan perbincangannya dengan Erdogan dan rundingan di peringkat delegasi sebagai sangat mesra dan produktif yang akan meningkatkan hubungan dua hala ke arah mencapai satu tahap yang strategik.

“Untuk itu, kita sedang mengusahakan satu perjanjian untuk dimeterai menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata bahawa serentak dengan itu, Malaysia dan Turki bersetuju agar perjanjian perdagangan bebas (FTA) perlu juga ditandatangani.

Najib mengundang Erdogan melawat Malaysia penghujung tahun ini bagi menandatangani kedua-dua perjanjian itu yang akan membuka satu lembaran dan era baru dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Mengenai cadangan Erdogan agar jumlah dagangan Malaysia-Turki dipertingkatkan daripada US$2 bilion kepada US$5 bilion, Najib berkata angka US$5 bilion bukannya satu sasaran yang tidak boleh dicapai.

“Yang pasti ialah kita akan meningkatkan tahap perdagangan antara kedua-dua negara. Saya amat bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Erdogan,” katanya.

Najib berkata antara bidang yang dikenal pasti ialah industri automobil dan industri minyak dan gas.

Mengenai tunjuk perasaan dan bantahan rakyat terhadap pemimpin di beberapa negara Islam, Najib berkata satu-satunya jalan bagi menjamin kestabilan dalam dunia Islam ialah mengamalkan tadbir urus yang baik berdasarkan prinsip demokrasi yang disesuaikan dengan keperluan dan keadaan tertentu sesebuah negara.

“Yang penting ialah kita mendengar suara rakyat dan berikan mereka ruang untuk meluahkan aspirasi dan harapan mereka,” kata Perdana Menteri.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa menteri dan Anggota Parlimen, tiba pada Isnin untuk lawatan tiga hari.

Pada hari terakhir lawatannya esok, beliau dijadual menghadiri Perbincangan Meja Bulat Perniagaan Malaysia-Turki dan berucap pada persidangan Kemuliaan Insan di Istanbul. - Bernama

Banyak cara selesai kemelut, bukan guna peluru

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Libya bagi membantah kekejaman pemerintah negara itu membunuh rakyat sendiri berdemonstrasi anti kerajaan.

Penyerahan diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abd Rani diiringi Setiausaha, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Bendahari, Mohd Adram Musa, Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah, Suhaimi Abd Aziz dan yang lain.

Memorandum diserahkan kepada wakil kedutaan itu kira-kira jam 11.05 pagi di hadapan pintu masuk ke bangunan itu dengan dikawal anggota FRU.

Azman pada sidang media selepas itu berkata, pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam kerajaan pimpinan Muammar Gaddafi.

"Dewan Pemuda PAS melahirkan rasa sedih dengan kematian begitu ramai rakyat Libya akibat tindakan kerajaan mereka yang penyelesaian menggunakan cara keras.

"Kita yakin banyak lagi cara lain untuk menyelesaikan kemelut politik Libya selain menggunakan senjata api, peluru dan darah kepada rakyat negara itu," katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Gaddafi yang tidak akan tunduk kepada desakan rakyat dan sanggup membunuh peserta demonstrasi sebagai kenyataaan angkung dan sombong pemimpin itu.

Pada masa sama, satu kumpulan rakyat Libya turut mengadakan bantahan di luar bangunan kedutaan.

Kumpulan terdiri dari 100 orang itu melaungkan selogan 'Free Libya', 'Down Gaddafi', 'Gaddafi Go To Hell' sambil membawa gambar rakyat mereka yang terkorban dan pelbagai sepanduk menghentam kekejaman kerajaan negara mereka itu.

Sehingga hari ini dilaporkan lebih 500 orang telah terbunuh dalam bantahan anti kerajaan di negara itu.

Keadaan bertambah buruk selepas kumpulan anti kerajaan bertembung dengan kumpulan pro kerajaan.

Turut difahamkan, angka kematian akan terus meningkat ekoran tindakan kerajaan itu yang menggunakan bom dan peluru yang dilepaskan dari helikopter ke atas himpunan.

Gaddafi ketika bercakap di televisyen semalam menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan meskipun berhadapan dengan kebangkitan rakyat, secara besar-besaran yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Beliau dengan angkuh mendakwa pemuda yang menyertai demonstrasi itu sebagai sebagai “tikus dan askar upahan”, yang mahu menjadikan Libya sebagai negara Islam.

Sementara itu, PAS akan mengadakan himpunan aman di kedutaan sama selepas solat Jumaat, 25 Februari ini.

Himpunan anjuran Lajnah Antarabangsa PAS dengan kerjasama beberapa NGO itu akan diketuai Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohammad Sabu dan beberapa kepimpinan lain.

Harakahdaily/-
Oleh : Nazri Abdullah.

UPM diarah kekalkan status calon MPP, jangan sampai dilabel ‘macam Burma’


20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 23 Feb — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah mengarahkan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan status 33 calon dan menarik balik keputusan membatalkan kemenangan 10 pelajar — yang kesemuanya sebelum ini dilabel sebagai barisan Pro Mahasiswa.

Kesemua 33 calon Pro Mahasiswa, yang didakwa beraliran condong kepada politik pembangkang, dibatalkan kelayakan bertanding kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atas alasan berkempen secara berkumpulan.

Keputusan itu termasuklah mereka yang menang pilihan raya kampus itu.

Justeru, Saifuddin mahu pentadbiran UPM agar mengekalkan keputusan pilihan raya kampus seperti yang diumumkan kelmarin.

Pro Mahasiswa juga mencatatkan keputusan baik kali ini di beberapa universiti lain.

“Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, saya tida bersetuju dan saya cadangkan supaya kekalkan keputusan seperti keputusan pengundian.

“Jangan nanti orang anggap kita seperti Burma yang tak iktiraf Aung San Suu Kyi, jangan orang anggap kita seperti Palestin yang tak iktiraf kemenangan Hamas,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata tidak wajar pengurusan UPM membatalkan kelayakan Pro Mahasiswa kerana kumpulan itu tidak dapat membela diri ketika bantahan dibuat oleh kumpulan Pro Aspirasi.

“Pada saya perkara ini mudah sahaja, yang pertama siapa yang buat bantahan, apa alasan untuk bantahan dan adakah Pro Mahasiswa diberi keadilan untuk mempertahankan diri?

“Setahu saya (Pro) Aspirasi yang buat bantahan, alasan tanding berkumpulan dan Pro Mahasiswa tak diberi peluang untuk membela diri.

“UPM suruh mereka (Pro Mahasiswa) buat rayuan, tapi nak buat rayuan apa kalau nak pertahankan diri juga tidak boleh, macam mana nak buat rayuan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, jadi mengapa hanya Pro Mahasiswa yang dikenakan tindakan.

“Pro Aspirasi juga sebuah kumpulan, katakan kepada saya dan dunia adakah Pro Aspirasi bukan sebuah kumpulan,” kata Saifuddin.

Laporan The Malaysian Insider pagi tadi menyebut pembatalan kesemua calon Pro Mahasiswa dibuat melalui panggilan telefon dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) malam tadi.

Di UPM kumpulan Pro Aspirasi mempertahankan kemenangan apabila memperoleh kemenangan besar menewaskan Pro Mahasiswa.

Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum berbanding Pro Mahasiswa yang hanya mendapat 11 kerusi.

Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan termasuk sembilan kerusi umum dan barisan Pro Mahasiswa bertanding di 33 kerusi.

Usaha The Malaysian Insider mendapatkan pengesahan pengurusan UPM belum berhasil.

Dalam pada itu, kira-kira 40 ahli Pro Mahasiswa UPM mengambil langkah drastik dengan mengepung pusat pentadbiran universiti sebagai membantah tindakan membatalkan status mereka.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Mohd Ramzul Nasri Kamarusaman, pihaknya mahukan penjelasan dari pentadbiran UPM berhubung pembatalan calon Pro Mahasiswa itu.

“Sekarang kami sedang mengepung pentadbiran UPM dan memohon menjelas dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) berhubung pembatalan status calon Pro Mahasiswa yang bertanding.

“Kita hanya mahukan penjelasan dalam perkara ini, kenapa status kami dibatalkan? Apa yang saya tahu bantahan di buat oleh seorang ahli Aspirasi yang tewa (dalam pilihan raya kampus),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider sekitar pukul 11 pagi tadi (MInsider)

SPR sedia hadapi kemungkinan banjir semasa pilihan raya Sarawak

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia menghadapi kemungkinan banjir pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata SPR akan menggunakan pengalaman mengendalikan pilihan raya dalam keadaan banjir seperti yang ditempuhinya semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor, bulan lepas.

“Sudah pasti sebelum kami menetapkan tarikh pilihan raya, kami akan berhubung dengan Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan laporan ramalan cuaca, kemungkinan berlakunya banjir dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan sesi taklimat kepada 24 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 51 Penolong Pegawai Pengurus bagi kawasan Kalaka dan Balleh di sini.

Abdul Aziz berkata SPR, yang meluluskan peruntukan sejumlah RM45 juta bagi mengadakan pilihan raya negeri Sarawak kali ini, telah bersiap sedia dengan segala keperluan logistik bagi mengendalikan pilihan raya negeri.

“Kami akan menggunakan 24 helikopter, 4,124 kenderaan pacuan empat roda, 919 perahu panjang dan 63 bot laju berikutan negeri ini yang luas, kawasan petempatan yang berselerak dan rupa bumi tidak sekata,” katanya.

Beberapa kawasan pula begitu luas dengan ada kawasan menyamai keluasan Pahang.

“Ini merupakan cabaran-cabaran yang ada. Tetapi jika kita telah melakukan persiapan terbaik dan terperinci, kita boleh mengatasi masalah berkenaan,” katanya semasa berucap.

Abdul Aziz menasihatkan para pegawai dan petugas pilihan raya tidak berasa goyah dengan tugasan dan keadaan yang dihadapi kerana mereka diberi kuasa untuk mengawal keadaan sepenuhnya.

“Jika anda berasa perlu melakukan apa jua keputusan dengan segera, anda lakukannyalah mengikut prosedur suruhanjaya dan undang-undang,” katanya.

Selepas sesi taklimat di sini, sesi seumpamanya akan dilakukan di Miri bagi 15 Pegawai Pengurus dan 39 Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya. — Bernama

Al Fatihah : Ibu kepada SU Pemuda PAS Perak meninggal dunia

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Bonda kepada Setiausaha Pemuda PAS Perak, Dr Raja Iskandar baru meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

Dengan itu kami seluruh warga kerja Blog Cina Islam mengucapkan takziah kepada keluarga Raja Iskandar. Semuga roh almarhumah ditempat dikalangan orang terpuji.

Solat jenazah akan dilakukan esok pagi di masjid Ubudiyyah,Bukit Chandan.Kuala Kangsar.

Al Fatihah...

YB Drs. Khalil Idham Lim

2 pelajar maut serangan penunjuk perasaan di Yaman

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SANAA: Dua pelajar dilaporkan ditembak mati oleh penyokong kerajaan, manakala 11 lagi cedera dalam tunjuk perasaan di Sanaa University, malam tadi yang menuntut Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh berundur.

“Dua penunjuk perasaan terbunuh manakala 11 orang lagi cedera apabila sekumpulan penyokong regim kerajaan mengeluarkan senjata dan menembak rambang di pekarangan kampus Sanaa University,” kata seorang saksi.

Serangan itu berlaku pada lewat tengah malam.Polis dan penunjuk perasaan cuba menjejaki suspek terbabit tetapi berjaya meloloskan diri.

Ia adalah kejadian kematian pertama di ibu negara Yaman itu sejak tunjuk perasaan tercetus.

Sebelum ini, laporan yang dikeluarkan pasukan perubatan menunjukkan, 12 orang maut di Aden manakala berpuluh lagi cedera sejak orang awam keluar mengadakan demonstrasi pada 16 Februari lalu.

Berita Harian/-

Muhyiddin bimbang calon BN kalah di Kerdau


20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TEMERLOH 22 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pemimpin dan ahli Barisan Nasional (BN) supaya jangan terlalu yakin akan menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, jentera BN tidak boleh memandang rendah keupayaan parti lawan yang mungkin mampu menewaskan BN pada pilihan raya kecil itu.

''Dari segi perkiraan kasar, kira-kira 40 peratus pengundi di Kerdau merupakan ahli UMNO dan jika semua ahli parti keluar mengundi, BN sudah boleh menang.

''Jangan terlalu yakin untuk mencapai kemenangan walaupun mempunyai faktor yang boleh membawa kemenangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Dataran Seri Ketumbit, Kerdau di sini hari ini.

Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, dipilih mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau yang akan berlangsung 6 Mac ini.

Hadir sama pada majlis pengumuman itu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan para pemimpin parti komponen BN.

Kerusi DUN Kerdau kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, akibat penyakit jantung pada 12 Februari lalu.

Zaharuddin meninggal dunia selepas terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di rumahnya di Kerdau.

Pada pilihan raya umum lalu, Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Allahyarham memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan, meskipun kepimpinan Perdana Menteri semakin diterima, BN tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa terhadap rakyat.

"Pengundi ialah 'raja' jadi kita perlu layan kehendak mereka dengan sebaik-baiknya," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disampaikan oleh parti pembangkang terutama Pas.

Pembangkang jelasnya, tidak mempunyai sebarang agenda pembangunan sebaliknya hanya memutarbelitkan fakta sehingga menyebabkan rakyat terkeliru.-Bernama

Gaddafi perintah hancurkan pemberontak

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Presiden Libya, Muammar Gaddafi hari ini memerintahkan polis dan tentera menghancurkan rakyat yang cuba menggugat pemerintahannya selama 41 tahun dan memberi amaran penunjuk perasaan akan diperangi sehingga ke titisan darah terakhir.

Pada ucapannya di televisyen hari ini, Gaddafi menegaskan beliau akan terus kekal sebagai presiden Libya dan bersedia mati syahid bagi mempertahankan negaranya.

Sambil mendakwa pemerintahnnya juga disokong oleh rakyat, beliau mengarahkan polis dan tentera menghancurkan rakyat yang kian ramai berdemonstrasi. Setakat ini, angka korban meningkat kepada ratusan nyawa sejak lapan hari lalu.

Gaddafi memberi amaran bahawa pihak keselamatan akan menyelongkar dan menjejaki pemberontak ke 'setiap rumah dan setiap inci ruang' agar mereka menyerah diri atau berdepan dengan maut.

Beberapa jam kemudian, kerajaan Libya buat pertama kali mengeluarkan angka korban akibat kekacauan yang melanda di seluruh negara iaitu 300 terkorban iaitu 189 orang awam dan 111 lagi askar.

Jumlah kematian yang tertinggi ialah di Bandar Benghazi, yang terletak di timur negara itu yang membabitkan tercetusnya penentangan terbesar, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Libya.

Di Benghazi, 104 orang awam terbunuh manakala 10 lagi askar.

Malaysiakini/-

Libya kian meruncing


20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Semakin ramai penyokong setia rejim Muammar Gaddafi meletakkan jawatan dan juruterbang jet pejuang berpaling tadah selepas diarah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Duta Libya di Amerika Syarikat (AS), Bangladesh, India dan Indonesia mendesak Gaddafi undur dengan sebahagian daripada mereka meletak jawatan dan menyatakan mereka kini berkhidmat untuk rakyat dan bukannya kerajaan Libya.

Ulama terkemuka Qatar, Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan fatwa menyatakan mana-mana askar Libya yang berpeluang menembak mati Gaddafi hendaklah berbuat demikian ‘untuk membebaskan Libya’ daripada pemimpin veteran itu.FTP

Presiden PAS, Datuk Fauzi di Kerdau malam ini

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 23 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menyampaikan ceramah di Kampung Teluk Sentang, Kerdau malam ini.

Pegawai Media PAS Pahang, Hashim Abdullah berkata, ceramah bersama Presiden PAS itu adalah aktiviti biasa parti bagi memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap isu-isu semasa yang berlaku.

Ini, katanya dengan harapan rakyat memperoleh kesedaran yang tinggi untuk melakukan perubahan sama ada dalam pilihan raya kecil Dun Kerdau dan pilihan raya umum akan datang.

Bersama Ustaz Abdul Hadi ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PKR Negeri Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim.

“Kami menyeru orang ramai terutamanya masyarakat setempat hadir beramai-ramai bagi mendapatkan penjelasan tentang isu-isu semasa yang berlaku di samping dapat bersuai kenal dengan pimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya.

Harakahdaily/-

Pas tuntut proses pilihan raya kecil yang adil

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH – Pas Pahang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak proaktif dalam membanteras kegiatan rasuah supaya proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau berjalan baik.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Yusof Embong berkata, SPRM perlu membanteras segala penggunaan balai raya dan dewan orang ramai sebagai tempat berkempen oleh Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga digesa memandang serius kesalahan penggunaan balai raya dan dewan orang ramai kerana ia menjadi satu kesalahan kepada parti politik untuk berkempen.

“Pas Pahang juga mendesak SPR memastikan PRK DUN Kerdau bersih daripada penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen seperti yang berlaku di PRK Tenang baru-baru ini,” katanya pada sidang media di Markas Pas Kerdau, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Perhubungan Pas Pahang, Roslan Zainal; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed.

Yusof berkata, Pas Pahang meletakkan harapan tinggi bagi memenangi kerusi DUN Kerdau yang kosong berikutan kematian Allahyarham Zaharuddin Abu Kassim.

Menurutnya, Pas Pahang dengan kerjasama petugas Pas Negeri dan Pas Pusat akan turun membantu dan jika proses PRK berjalan lancar, perubahan akan berlaku.

“Isu utama yang dibangkitkan Pas ialah ketiadaan pembangunan sebenar di Kerdau walaupun selepas 53 tahun pemerintahan UMNO dan BN,” katanya.

Sinar Harian/-

Lawak jenaka Mahathir dan politik Ikhwan

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Untuk merampas kembali beberapa negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, selain mempastikan Putrajaya masih dalam genggaman, maka jentera Umno-BN tentunya ligat mencari dan mengusahakan jalan keluar. Usaha meraih sokongan dan simpati melalui kerja-kerja propaganda secara terbuka tidak dapat menyembunyikan komplot atau konspirasi lebih besar, yang terselindung daripada pengetahuan umum, malah sukar untuk dihidu.

Sejak merdeka, Umno gagal membuktikan keupayaannya untuk memenangi pilihan raya secara "anak jantan". Segala kemudahan dan perkakas kerajaan diperalatkan, manakala kekuatan pembangkang dilumpuhkan melalui pelbagai tindakan kekerasan dan penggunaan undang-undang. Jarang hujah saingan politiknya disanggah dengan argumen. Mereka berlindung di sebalik akta zalim seperti ISA, di samping mengamalkan rasuah politik dan menimbulkan budaya takut.

Apabila BN menghadapi kejutan dalam pilihan raya 1999, ekoran era Reformasi, apabila majoriti pengundi Melayu menunjukkan penentangan terbuka kepada Dr Mahathir Mohamad, ramai menyifatkan Umno bagai lembu nazak selepas disembelih, hanya menunggu maut menjemput. Saya cuba melihat di sebaliknya. Umno masih berkuasa penuh.Ia masih memegang majoriti dua pertiga. Kemudahan kerajaan termasuk institusi penting demokrasi, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terbuka untuk diperalatkannya.

Masakan Mahathir hanya menunggu takdir melihat Umno dibungkus sejarah dan beliau terlucut jawatan perdana menteri. Secara licik, perancangan dilakukan penuh strategik. Senarai pendaftaran pemilih dan proses persempadan semula kawasan Parlimen dijadikan tumpuan. Untuk mendapat kerjasama SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) misalnya bagi mewujudkan "pengundi hantu", adalah perkara mudah.

Pembangkang hanya mampu melahirkan rasa terkejut dengan penambahan mendadak jumlah pendaftaran pengundi baru di kawasan tertentu, khususnya Terengganu, tanpa menyedari ia satu grand design merampas balik negeri yang kaya dengan minyak itu.

PRU12 lebih buruk berbanding 1999. Mustahil strategis Umno (termasuk Apco) duduk diam atau "biasa-biasa sahaja" menghadapi PRU13 nanti. Benar, Najib cuba menjana pelbagai bentuk transformasi, namun di belakang tabir, saya yakin banyak "perancangan kotor" yang sedang berjalan secara cukup sulit. Dibimbangi kita hanya tersedar selepas pelan licik itu berjaya disempurnakan dalam pilihan raya nanti.

Pendedahan wartawan Saidah Hairan tentang operasi pertukaran alamat penduduk Sabah -- yang mendapat kerjasama sepenuhnya pejabat JPN di Shah Alam -- untuk mengundi di Selangor mungkin cebisan kecil daripada konspirasi lebih besar yang masih belum dapat dibongkar. Saidah berada di lokasi kejadian dan sempat berbual-bual dengan mereka yang terlibat.

Umno Selangor yang diterajui Najib Razak sendiri sedang meniti laluan "hidup atau mati". Apa jua akan dilakukannya bagi memastikan Umno dapat merampas Selangor dalam PRU13 sebelum kekuatan Pakatan Rakyat terasas lebih kukuh di negeri paling maju itu.

Ramai syak bahawa ada operasi lebih besar berkaitan senarai daftar pemilih, juga melibatkan kerjasama erat JPN dan SPR. Ia bukan sekadar mengagihkan pengundi ke lokasi lebih strategik berdasarkan kepentingan politik Umno, tetapi juga membabitkan warga asing yang mungkin diberikan kad pengenalan untuk kegunaan di hari mengundi. Proses penyamaran identiti dan mengundi lebih sekali bukan perkara baru di Malaysia.

Usaha membersihkan proses pilihan raya di negara ini masih meniti jalan-jalan penuh krikil ... Harakah mengalu-alukan informasi tentang konspirasi Umno ini jika anda mempunyai bahan bukti atau sumber cerita yang boleh kami lanjutkan.

II. Mahathir, Menteri Dalam Negeri yang paling lemah kuasanya?

Dr Mahathir Mohamad, 17 Feb lalu, berkata beliau sebenarnya mahu memansuhkan ISA ketika memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun. Bagaimanapun, dakwanya, usaha itu gagal kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak cadangan tersebut.

"ISA harus digunakan ikut keperluan tapi bila saya jadi perdana menteri saya mahu ia dimansuhkan tetapi polis menentang. Bila saya cadangkan usul itu, ia ditolak," katanya pada Forum Cabaran Semasa Demokrasi dan Perlembagaan ke Arah Pencapaian Wawasan 2020 di bangunan Parlimen. Sebelum ini, merujuk Ops Lalang 1987 yang melibatkan lebih 100 orang tokoh masyarakat dan penggantungan empat akhbar, Mahathir juga menyalahkan pihak polis.

Saya pelik mengapa Mahathir perlu menimbulkan isu ini dengan nada berbeda. Apakah Mahathir mahu menulis semula sejarah daripada kacamatanya sendiri, walaupun terpaksa melakukan pendustaan terang-terangan? Mungkinkah rasa bersalah bekas Perdana Menteri ini membuatkan beliau resah-gelisah sehingga sanggup berbicara apa sahaja menurut sedap hatinya?

Regim Mahathir memang penuh babak-babak kontroversial. Beliau diasak pelbagai masalah, sama ada dari dalam Umno, dengan raja-raja, pihak peguam, kesatuan sekerja, ulamak, hakim dan lama sebelum itu, dengan mahasiswa. Tidak sedikit korban yang gugur ekoran pertembungan itu. Paling menjolok mata, partinya sendiri, Umno, diharamkan atas kehendak beliau. Kebebasan institusi kehakiman musnah; tiga hakim Mahkamah Agung termasuk Ketua Hakim Negara dipecat melalui proses tribunal yang mengelirukan.

Khususnya selepas pemilihan presiden Umno 1987, yang menyaksikan beliau hampir tumpas kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Mahathir bertindak keras mengetatkan lagi akta zalim seperti Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan ISA. Elok ditekankan di sini, Mahathir juga sepanjang pemerintahannya melakukan siri pindaan perlembagaan bagi membataskan kuasa hakim dan mahkamah, sebaliknya memperuntukkan lebih kuasa kepada eksekutif, iaitu dirinya sendiri.

Saya masih ingat situasi cemas yang sengaja diwujudkan sekitar pertengahan 1987 membawa kepada hari gelita, 27 Oktober 1987. Kedudukan Mahathir memang terancam. Sentimen perkauman berkaitan isu sekolah Cina sengaja diapi-apikan. Anehnya, tokoh-tokoh politik Umno dan MCA yang galak menimbulkan rasa gelisah ketika itu, termasuk Najib Razak, tidak pula dikurung. Pimpinan PAS pula yang ditahan, antaranya Mohamad Sabu, Khalid Samad, Halim Arshat dan Mahfuz Omar.

Mahathir boleh saja mendapat sokongan bekas Ketua Polis Negara, Abd Hamid Omar atas dakwaannya bahawa inisiatif penahanan dimulakan oleh polis tetapi saya tidak mempercayainya, sekali gus beranggapan ia satu lagi "jenaka terbaik" Mahathir. Gerak itu mesti bermula dan dirancang oleh orang politik yang berkepentingan. Tiada pihak paling mendapat manfaat daripada Ops Lalang itu melainkan Mahathir.

Memang semasa mula menjadi PM, Mahathir membebaskan beberapa orang tahanan ISA. Najib juga meneladaninya. Tetapi apabila berdepan krisis, berikutan dasar dan pendekatan pemerintahannya yang menimbulkan banyak penentangan, Mahathir "akan menggunakan sebesar-besar senjata walaupun untuk memusnahkan musuh yang kecil".

Okey, kita terimalah dulu lawak Mahathir itu. Bersopan sungguh Mahathir dalam kerjanya, ya? Sentiasa mengutamakan pandangan pihak lain walaupun bercanggah dengan dirinya. Soalnya, kalaupun ISA tidak dapat dimansuhkan, mengapa pula Mahathir sentiasa memperketatkan akta itu dari masa ke semasa walaupun ancaman komunis bersenjata yang menjadi punca penggubalan ISA sudah berakhir? Berbanding tiga PM sebelumnya, Ops Lalang membabitkan paling ramai penahanan tokoh masyarakat berprofil tinggi.

Mengapa apabila berdepan permohonan habeas corpus Lim Kit Siang, salah seorang tahanan ISA 1987, dan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terpaksa melepaskannya, maka dengan segera dan tergesa-gesa Mahathir melakukan pindaan akta berkenaan apabila kes ditangguhkan. Hari ini pindaan dibahaskan di Dewan Rakyat, esok dibawa ke Dewan Negara dan kemudiannya pantas diwartakan. Apabila kes Kit Siang disambung perbicaraan, peluang beliau dibebaskan tertutup rapat disebabkan hakim telah menggunakan akta yang baru dipinda itu!

Begitu juga dengan kes penangkapan Karpal Singh, di bawah Ops Lalang. Pada 9 Mac 1988, Mahkamah Tinggi Ipoh membebaskannya disebabkan fakta pertuduhan pihak polis didapati tidak benar. Karpal didakwa memberi ucapan berbaur hasutan di satu lokasi sedangkan beliau berada di tempat lain ketika itu. Hanya beberapa jam selepas dibebaskan mahkamah, Karpal ditangkap semula. Pihak Peguam Negara kemudiannya membuat rayuan kepada Mahkamah Agung atas keputusan Mahkamah Tinggi.

"Jangan dok merapu lagilah Mahathir," SMS seorang kawan.

III. Gerak politik Ikhwan semasa Revolusi 1952 tersasar?

Ikhwan Muslimin -- walaupun selepas ditekan dan dianiayai selama lebih 60 tahun -- diakui gerakan paling tersusun, kuat dan berpengaruh di Mesir. Kini, selepas Hosni Mubarak tersungkur, bukan saja warga Mesir menanti langkah dan kebijaksanaan pemimpin Ikhwan, malah dunia sedang memerhatikannya penuh minat. Revolusi rakyat yang turut menganugerahkan ramai syuhada itu membawa harapan cukup besar bagi memastikan proses pembaharuan berjalan lancar.

Semasa saya mencari-cari catatan pengalaman demonstran di Medan Tahrir (disebabkan rasa kagum dengan kecekalan dan kehebatan mereka bertahan selama hampir 20 hari), saya disuakan dengan analisis menarik pakar Timur Tengah, Dr Mohammad Redzuan Othman tentang Ikhwan. Bagaimanapun perkembangan yang disorotnya itu bukan situasi terkini, tetapi bedah-siasat kegagalan Ikhwan dalam konflik politik di Mesir, antara tahun 1948-1954. Umumnya, artikel itu seperti menonjolkan banyak kelemahan Ikhwan tetapi saya berasakan ia penting untuk melihat sejauhmana pemimpinnya kini dapat memanfaatkan iktibar masa lalu, berdepan realiti kritikal hari ini.

Ikhwan ketika itu muncul sebagai organisasi yang paling mendapat sambutan rakyat dengan keahlian dua juta. Hinggakan apabila meletus perang di Palestin, Ikhwan merupakan satu-satunya organisasi yang berjaya menghantar sukarelawan terlatih untuk menentang Israel. Pasukan ini mendapat sanjungan kerana keberanian dan kehebatannya. Bagaimanapun, dengan pengalaman dan pemilikan senjata, Ikhwan terdedah kepada risiko besar terutama disebabkan tindakan segelintir anggotanya yang melakukan keganasan politik, di luar pengetahuan dan kawalan Hasan Al-Banna.

Berpunca daripada insiden "keganasan", Ikhwan diharamkan, dan 32 anggotanya ditangkap bersama sejumlah senjata. Al-Banna menegaskankan senjata itu untuk menentang Israel dan kewujudannya diketahui pemerintah. Pembunuhan Perdana Menteri, Nokrasyi Pasya, memburukkan lagi imej Ikhwan.

Selepas Al-Banna ditembak syahid pada 1949, Ikhwan bukan saja sukar menjadi pengganti sedinamik beliau, malah menghadapi masalah perebutan kuasa, yang mengakibatkan pengaruhnya semakin lemah. Hasan Al-Hudaibi, bagi pimpinan Ikhwan tertentu, bukan pengganti terbaik kerana dikira masih baru dalam jamaah dan bukan dari kalangan pengasas; perlantikannya mencetuskan perpecahan dalaman. Beliau berlatarbelakang perundangan, seorang yang bersikap sederhana, tenang dan lemah-lembut.

Mesir pula mencatat sejarah apabila Raja Farouk digulingkan dalam Revolusi Julai 1952, yang digerakkan sekumpulan pegawai tentera, Free Officers (diketuai Mohamed Neguib dan Gamal Abdul Nasser). Secara tidak langsung kemarahan rakyat kepada raja turut disumbangkan oleh Ikhwan. Free Officers dianggarkan hanya dianggotai 50 pegawai tentera, dengan hubungan yang longgar dan spontan.

Menyedari Ikhwan mempunyai pengaruh besar di kalangan rakyat serta mantap organisasinya, Free Officers sedaya upaya cuba mewujudkan kerjasama dan persefahaman, terutama di peringkat awal.

Sebagai tanda persahabatan, Free Officers memenuhi tuntutan Ikhwan, antaranya membuka kembali kes pembunuhan Al-Banna, membebaskan anggota yang ditahan, pembubaran polis rahsia dan pelantikan seorang penyokongnya, Kolonel Rashad Muhanna sebagai salah seorang menteri kabinet dalam kerajaan sementara.

Ikhwan nampak berpuas hati dan memberikan sokongan, tetapi pada masa sama Free Officers memperkukuhkan dominasinya dalam politik Mesir bagi membolot kuasa, selain berhasrat melakukan komplot jahat memusnahkan Ikhwan. Pada 14 Oktober 1952, Rashad MUhanna digugurkan daripada Majlis Revolusi disebabkan beliau lantang bersuara supaya dilaksanakan Perlembagaan Islam di Mesir.

Semasa Free Officers memperkukuhkan kedudukannya, Ikhwan pula dilanda krisis demi krisis. Dalam mesyuarat majlis syira pada 9 Disember 1953, beberapa tokoh penting Ikhwan dipecat keanggotaannya, seperti Muhammad Al-Ghazali dan Sayyid Sabiq. Nasser menyedari kewujudan krisis dalaman itu dan beliau mengambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin Ikhwan. Regim tentera juga berjaya menyusup masuk.

Perancangan rapi diatur bagi mengharamkan Ikhwan, dan hanya selepas satu setengah tahun sahaja selepas revolusi, ia diharamkan, manakala 450 anggotanya ditangkap termasuk semua ahli majlis syura dan Mursyidul Amnya, Hasan Al-Hudaibi.

Susulan itu, pada 26 Oktober 1954, "drama" pembunuhan Nasser dilakonkan apabila beberapa das tembakan dilepaskan ketika beliau memulakan ucapannya di Iskandariah. Penembaknya dikatakan seorang anggota pertubuhan bersenjata Ikhwan. Tiada yang cedera, cuma beberapa mentol lampu sahaja pecah.

Nasser meneruskan ucapan dan menonjolkan imejnya sebagai manusia yang mendapat perlindungan Allah daripada angkara "pengkhianat". Peristiwa itu digunakan regim tentera untuk menghapuskan Ikhwan. Sebelum subuh 27 Oktober 1954, lebih 7,000 penyokong dan pemimpin Ikhwan ditangkap. Tujuh pemimpinnya dihukum gantung dan tujuh lagi dipenjarakan seumur hidup.

Redzuan merumuskan, Ikhwan membuat beberapa perhitungan politik yang boleh dipertikai. Walaupun mempunyai pengaruh dan kekuatan tetapi Ikhwan tidak menggunakan kesempatan apabila sampai masanya dan kesempatan ini disebut pihak lain. Mereka tidak menggunakan tawar-menawar politik yang berkesan di peringkat awal ketika Free Officers masih lemah.

Inggeris juga melakukan sabotaj dalam perundingan dengan Ikhwan (sehingga dituduh membelot kepada negara) dan ini memberi tekanan lagi kepadanya. Kewibawaan Nasser, terutama dari segi imiginasi politiknya yang baik, berjaya menyingkirkan semua saingannya. Nasser bukan saja membunuh ramai pemimpin Ikhwan, malah memaksa mereka melarikan diri sehingga ke Eropah.

Kini, masa berubah. Gerak politik Ikhwan selepas Revolusi Rakyat Medan Tahrir tentu juga berbeda.

Harakahdaily/-
Oleh : Ahmad Lutfi Othman.

Jejambat runtuh di timur China

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEBUAH kereta polis diletakkan dekat sebuah jejambat yang runtuh di Shangyu, timur China kelmarin.

HANGZHOU - Sebahagian jejambat setinggi tujuh meter runtuh di Shangyu, wilayah Zhejiang di timur China kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, empat pemandu lori yang melalui jejambat itu terselamat semasa kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 pagi.

Keempat-empat pemandu itu dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan manakala pihak berkuasa melakukan siasatan mengenai runtuhan tersebut.

Kosmo/-

KENYATAAN MEDIA ADUN TITI SERONG

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Saya telah menerima surat rasmi dari SU DUN Perak bertarikh 7 Februari 2011 dan diminta hadir untuk memberi keterangan dalam sesi soal jawab kepada Jawatakuasa Hak dan Kebebasan Dewan pada 25 Februari pada jam 10.30 pagi di bilik mesyuarat jawatankuasa kira-kira wang negeri Perak Aras 2, Bangunan SUK Ipoh.

Saya dikehendaki memberi keterangan dalam sesi soal siasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan berhubung dengan isu bomoh yang saya bangkitkan pada Persidangan Ketiga , Mesyuarat Ketiga pada penggal ketiga Dewan Negeri Perak yang kedua belas pada 2 disember 2010. .

Saya dipanggil kerana dikaitkan dengan usul mengikut Perintah-perintah Tetap dibawah fasal 36(3)(b) ke atas diri saya kerana kerana sewaktu berbahas di DUN Perak telah membuat pendedahan bahawa terdapat pihak yang telah membawa masuk bomoh ke dalam DUN Perak sebelum sidang 7 mei 2009 yg menyaksikan kerusi speaker YB. V. Sivakumar dirampas dengan cara tidak demokratik dan melanggar undang-undang.

Dalam sidang DUN tersebut saya menyebut dengan bertanya kepada kerajaan adakah benar sebelum 7 Mei 2009 tindakan tidak bertanggungjawab dengan mengundang seorang bomoh masuk ke Dewan untuk dijampi dengan sesuatu jampi dan saya minta supaya pihak kerajaan untuk menyebut ADUN manakah yang membawa bomoh itu .

Apabila saya enggan mendedahkan nama adun berkenaan lalu saya dituduh berbohong dan diusulkan untuk disiasat oleh jawatankuasa berkenaan.
Dengan ini pada hari ini suka saya memberi beberapa kenyataan penting sepertimana berikut :
1. Setelah mempertimbangkan secara teliti dan terperinci , Saya dengan ini bersetuju untuk tidak hadir salam sesi soal jawab tersebut sepertimana tarikh , jam dan tempat yang disebutkan dalam surat yang telah dihantar kepada saya.

2.Keputusan ini dibuat setelah mendapati usul yang telah dikemukakan oleh ADUN Kamunting dalam sidang dewan mengenai perkara berkaitan adalah tidak sah dan terbatal apabila Speaker DUN Perak tidak mengembalikan usul itu kepada Dewan bagi mendapat sokongan sebelum memutuskan saya perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

3.Sebelum mendapat sokongan dari Ahli Dewan, Speaker terus mengumumkan “Dewan dengan ini terima usul Titi Serong akan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan” dan ini melanggar Perintah-perintah Tetap Dewan Perak Perkara 33:-

(1)Apabila sesuatu usul itu telah dicadang dan disokong, jika berkehendakkan disokong. Pengerusi hendaklah mengemukakan kepada Dewan atau Jawatankuasa sebagaimana kandungan usul itu, selepas itu masaalah itu bolehlah dibahaskan dan dan boleh tertakluk kepada peruntukan Perintah-perintah Tetap ini, diteruskan selagi ada ahli yang hendak berucap.

(2)Apabila tidak ada lagi ahli yang hendak berucap, maka Pengerusi hendaklah meminta keputusan Dewan atau Jawatankuasa itu hendaklah menyatakan keputusannya menurut peruntukan-peruntukan Perintah Tetap 45:-

“45. Tertakluk kepada peruntukan perenggan (4) Fasal III Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahagian 1. Dewan hendaklah mengambil keputusan mengikut pihak mana yang mendapat undi lebih dan jika sama banyak undi, Tuan Speaker atau sesiapa yang mempengerusikan mesyuarat hendaklah mengeluarkan undi pemutus tetapi ia tidak boleh mengundi di dalam keadaan lain

4.Keputusan saya ini dilakukan demi untuk menjaga kesucian DUN Perak dari melakukan sesuatu tindakan dan keputusan dengan melanggart undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

5.Saya tetap bertegas dengan mengatakan bahawa DUN Perak telah dimasuki bomoh sebelum 7 Mei 2009 dan Dewan Negeri Perak telah dijampi oleh bomoh tersebut.

Ipoh, 23 Februari 2011

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong.

Bau hangit sedarkan suri rumah

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA KURAU – Bau hangit yang disedari seorang suri rumah, di sini berjaya menyelamatkan dirinya dari kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Haji Amin, Tanjung Piandang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Ramzah Rosman, 53, sempat melarikan diri sebelum rumahnya hangus dijilat api.

Ramzah berkata, ketika kejadian, dia tinggal seorang diri di rumah itu, sementara suami dan tiga anaknya keluar atas urusan masing-masing.

“Saya sedang berehat di ruang tamu tingkat bawah rumah, apabila terhidu bau hangit saya terus meninjau ke tingkat atas sebelum melihat ada percikan api berlaku, dalam masa beberapa saat sahaja percikan itu mula menyambar ke beberapa bahagian dinding rumah menyebabkan api marak.

“Saya yang terkejut menjerit dan terus berlari keluar untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Tindakan pantas Ramzah yang memaklumkan kejadian kepada jiran menyebabkan beberapa penduduk kampung berkejar ke tempat kejadian untuk membantu memadam.

Bagaimanapun, usaha hampir 30 penduduk yang cuba memadam api menggunakan baldi melalui sumber air dari parit berhampiran tidak mendatangkan hasil apabila api mula marak.

Kejadian itu mengakibatkan semua peralatan rumah termasuk barangan perniagaan kedai runcit yang diusahakan keluarga berkenaan di tingkat bawah rumah, hangus.

Sinar Harian dimaklumkan, peralatan dan buku sekolah milik cucu keluarga betkenaan turut musnah dijilat api.

Suami Ramzah, Ismail Ali, 54, berkata, ketika kejadian, dia keluar ke Pekan Batu Lima untuk membeli keperluan kedai runcit.

Dia yang dimaklumkan penduduk kampung mengenai kejadian itu segera bergegas pulang ke rumah.

“Perasaan saya begitu terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kebakaran ini, namun apa boleh buat, ini sudah takdir, saya berterima kasih kepada semua pihak terutama penduduk kampung yang bertungkus lumus membantu memadam kebakaran,” katanya.

Ismail berkata, ia adalah kejadian pertama berlaku sejak mendiami rumah pusaka itu lebih 40 tahun lalu.

Tiga jentera dengan hampir 20 anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Parit Buntar dan Kuala Kurau bersama anggota bomba sukarela dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

Api berjaya di kawal kira-kira 30 minit kemudian.

Ismail berkata, buat masa ini, mereka menumpang sementara di kediaman ibu mertuanya yang terletak berhampiran rumah berkenaan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah Kerian, Pegawai Baitulmal dan Pejabat Agama Parit Buntar bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat tampil mengunjungi keluarga mangsa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad berkata, sumbangan RM1,000 telah diserahkan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban.

Bantuan lanjut, katanya, termasuk usaha mengadakan gotong-royong bagi membaik pulih rumah berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat ini.

Sinar Harian/-

Bob Lokman di Penang Harmoni 3 Mac

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 23 Feb: Bob Lokman akan bertandang ke program Penang Harmoni sepentas dengan dua Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Mahfuz Omar serta Ketua Wanita DAP, Choong Eng pada 3 Mac ini bertempat di Dewan Millenium di sini.

Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Zulkiply Ishak menyifatkan, kunjungan Bob Lokman menyerikan lagi majlis kerana beliau seorang selebriti terkenal.

Baru-baru ini beliau melakukan kejutan sempena Perhimpunan 30 ribu pemuda yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut apabila menyerahkan borang keahlian PAS kepada Menteri Besar Kedah merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Kehadiran Bob Lokman pastinya menyerikan lagi suasana Penang Harmoni 2 itu nanti kerana selain daripada mendapat info terkini perkembangan politik dalam dan luar negara pengunjung juga berkesempatan bertemu dan bertanya khabar Bob Lokman, " terangnya.

Sekali lagi beliau yang juga pengarah program ingin memberitahu kepada semua peniaga diminta mendaftar segera nama dan hasil jualan kepada Jawatankuasa bahagian gerai, Saudara Ridwan di talian 0134362559.

Program selama 10 hari itu akan berlangsung dari 25 Februari hingga 6 Mac bermula petang sehingga tengah malam.

Harakahdaily/-

Gaddafi berdegil, dakwa demonstrasi mahu tukar Libya negara Islam

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
TRIPOLI, 23 Feb — Pemimpin Libya Muammar Gaddafi menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan meskipun berhadapan dengan kebangkitan rakyat, secara besar-besaran yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, terhadap kepimpinan beliau. Cara beliau menangani kebangkitan sejak beberapa lalu juga mendapat kritikan Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Saya tidak akan meninggalkan tanah ini (negara ini), saya akan mati di sini sebagai pejuang,” kata beliau menerusi televisyen kerajaan malam tadi.

Dalam ucapan yang digambarkan sebagai merewang dan enggan tunduk kepada desakan demonstrasi, Muammar yang memerintah negaranya sejak lebih empat dekad lalu mempersalahkan golongan muda dan melabelkan penunjuk perasaan sebagai “tikus dan askar upahan”, yang mahu menjadikan Libya sebagai negara Islam.

Sebaliknya Muammar meminta rakyatnya turun ke jalan hari ini untuk menunjukkan sokongan mereka kepada beliau.

Beliau juga meminta rakyatnya supaya “membersihkan Libya dari rumah ke rumah” melainkan penunjuk perasaan menyerah diri.

Hampir 500 orang dikatakan sudah terbunuh dalam demonstrasi yang bermula lebih seminggu lalu.

Muammar muncul buat kali kedua dalam 24 jam untuk memberikan ucapan menerusi televisyen semalam.

Dalam laporan berasingan Reuters pula menyebut Liga Arab telah menggantung delegasi Libya daripada menyertai aktiviti pertubuhan itu yang berpejabat di Kaherah.

Bagaimanapun ia tidak memberikan sebarang butiran berhubung keputusan itu, yang dibuat ekoran tindakan keras kerajaan Libya ke atas demonstrasi.

Tentera Libya didakwa menyerang dan mengebom banyak lokasi kelmarin.

Stesen TV Al Jazeera pula melaporkan Menteri Dalam Negerinya Abdel Fattah Younes al Abidi telah mengumumkan keputusannya membelot kerajaan pimpinan Muammar dan menyokong “revolusi 17 Februari”.

Stesen itu menyiarkan video amatur di mana Abdel Fattah duduk di atas meja dan membacakan satu kenyataan yang turut menggesa tentera Libya menyertai rakyat dan “tuntutan sahih” mereka.

Beberapa diplomat yang berada di negara asing turut mengumumkan peletakan jawatan mereka sejak beberapa hari lalu membantah tindakan kepimpinan Muammar menghadapi tunjuk perasaan. — Reuters

Pro-M UPM bantah calon mereka menang dibatalkan

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Feb: 50 aktivis Pro-M UPM terpaksa bersengkang mata sejak awal malam tadi, bagi mengadakan perhimpunan untuk membantah keputusan Jawatankuasa Pelaksana PRK yang membatalkan kemenangan semua calon mereka.

Mereka bersama 11 calon mereka mula berkumpul di hadapan pejabat pentadbiran UPM sejak jam 10.30 malam tadi, sejurus selepas dimaklumkan pembatalan kemenangan calon-calon mereka oleh Ketua Unit Tindakan Tatatertib Hal Ehwal Pelajar (Hep) UPM, Noraihan Noordin jam 9.30 malam tadi.

Jurucakap Majlis Politik Nasional (MPN) Gamis, Shukri Kamarudin menjelaskan, pembatalan kemenangan mereka itu dimaklumkan oleh Noraihan kepada semua calon Pro-M menerusi telefon, atas alasan disebabkan mereka menyertai PRK secara berkumpulan.

Menurut beliau, pada hal pihak lawan mereka, Aspirasi, juga menyertai PRK secara berkumpulan, tetapi anehnya semua kemenangan calon Aspirasi tidak pula dibatalkan.

Katanya, keputusan tersebut amat mengejutkan dan ia tentunya tidak boleh diterima sekali-kali oleh mereka, sehingga menyebabkan mereka terpaksa berkumpul di hadapan pejabat pentadbiran UPM sehingga saat ini, bagi menyampaikan bantahan rasmi kepada pihak pentadbiran universiti itu.

"Sehubungan itu, saya telah menghubungi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sekitar jam 12.30 malam tadi untuk menyatakan bantahan kami kepadanya.

"Datuk Saifuddin sendiri juga amat terkejut dan berasa aneh dengan pembatalan kemenangan calon-calon Pro-M itu. Beliau turut berjanji akan menyelesaikan perkara itu kerana ia merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika menghubungi Harakahdaily hari ini.

Setelah menunggu sekian lama, mereka baru berpeluang untuk mengadakan perbincangan dan menyampaikan bantahan kepada pihak pentadbiran UPM, setelah Naib Canselor UPM, Datuk Ir Radin Umar tiba sekitar jam 8.00 pagi tadi.

"Sebaik Datuk Ir Radin tiba, kami terus menyerbunya dan Datuk Ir Radin bersetuju untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan kami dengan diwakili calon-calon Pro-M di biliknya sekejap lagi," jelasnya.

Pembatalan kemenangan calon-calon Pro-M itu melibatkan 9 kerusi Fakulti dan 2 kerusi Umum yang ditandingi mereka, dengan mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pelaksana PRK dan pihak pentadbiran UPM sendiri.

Kini bilangan aktivis Pro-M yang mengikuti perhimpunan itu semakin bertambah. Dari hanya 50 orang, kini bilangan mereka sudah meningkat ke angka 100 orang dan bilangan itu dijangka akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

"Yang kami tuntut hanyalah keadilan. Kenapa seteruk ini diskriminasi yang dilakukan terhadap kami, tetapi kepada pihak Aspirasi tidak pula dibatalkan kemenangannya?" katanya.

Harakahdaily/-

Fatwa Ghadaffi halal dibunuh

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

"Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada Stesen TV Al-Jazeera Dr. Yusuf Al-Qaradawi (gambar kiri ) mewajibkan agar Gaddafi dibunuh dan ianya adalah jihad. Fatwa terbaru beliau ini dikeluarkan rentetan daripada laporan yang menyatakan bahawa Gaddafi melancarkan serangan dengan menggunakan jet pejuang untuk untuk mengebom mereka yang terlibat dalam demontrasi yang berterusan di Libya sekarang.

Syeikh al-Qaradawi berkata :وقال القرضاوي " أصدر الآن فتوى بقتل القذافي. أي ضابط أو جندي أو أي شخص يتمكن من أن يطلق عليه رصاصة فليفعل، ليريح الليبيين والأمة من شر هذا الرجل المجنون وظلمه". وأضاف "لا يجوز لأي ضابط أن يطيع هذا الرجل في المعصية والظلم والبغي على العباد.

maksudnya :
"Aku mengeluarkan fatwa sekarang supaya Gaddafi dibunuh ! Barangsiapa samada pegawai tentera, atau tentera biasa atau mana-mana individu yang mempunyai peluang untuk membunuhnya .. maka janganlah teragak-agak untuk membunuhnya! ianya adalah semata-mata untuk menyelamatkan rakyat Libya daripada kejahatan dan kezaliman lelaki yang gila ini! "...beliau seterusnya menambah " Haram kepada pegawai dan askar biasa untuk mentaati lelaki ini (Gaddafi) dalam perkara yang maksiat, kezaliman dan kerakusan terhadap rakyatnya sendir!"

Jangan biarkan Libya bunuh rakyat sendiri

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 22 Feb: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh membiarkan rakyat Libya terus dibunuh oleh pemerintahnya sendiri.

Sehubungan itu, PKR juga mendesak Kerajaan Malaysia yang menganggotai PBB, NAM dan OIC supaya berperanan tegas dalam menangani isu-isu seperti itu.

Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pihaknya menuntut pemerintah Libya segera menghentikan tindakan zalim membunuh rakyat secara beramai-ramai.

Katanya, PKR yakin bahawa rakyat Libya berupaya menentukan nasib mereka sendiri tanpa campur tangan mana-mana pihak yang berkepentingan.

PKR juga, ujarnya menyeru seluruh lapisan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera bagi menghentikan pelbagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Parti Keadilan Rakyat berasa amat sedih dan memandang serius perkembangan politik yang sedang berlaku di Libya sekarang ini,” ujarnya dalam kenyataan ang dikeluarkan di sini.

Tambahnya, rakyat yang bangkit menentang pemerintah kuku besi berhadapan dengan tindak balas pihak berkuasa yang tidak berperikemanusiaan.

Jelas sekali, tegasnya pemerintah Libya secara terbuka telah mengisytiharkan perang terhadap rakyatnya sendiri.

Justeru, PKR ingin menzahirkan sokongan terhadap rakyat mana-mana negara sekalipun yang bangkit menyatakan bantahan mereka terhadap pemerintah yang zalim.

“Kebebasan bersuara merupakan hak asasi rakyat.

“Pemerintah bertanggungjawab memastikan bahawa hak yang dijamin masyarakat antarabangsa ini dihormati dan dilaksanakan,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Kerdau: Media cuba lagakan Pakatan Rakyat

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUANTAN, 23 Feb: Pakatan Rakyat Pahang telah mengadakan mesyuarat pada 21 Februari lalu telah mengeluarkan kenyataan muafakat Pakatan Rakyat untuk PAS meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Rakyat Pahang.

Mesyuarat yang dipengerusikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga telah membentuk jawatankuasa bersama bagi menghadapi pilihanraya kecil (PRK) Kerdau.

Kenyataan muafakat PR Pahang sekaligus menidakkan laporan sesetengah media yang cuba melagakan parti komponen Pakatan Rakyat dengan mengatakan bahawa PKR berminat untuk meletakkan calon mereka sekadar mainan media semata-mata.

Mesyuarat tersebut juga telah merangka strategi bersama bagi menghadapi PRK kali ini di mana DAP, PKR dan DHPP telah diberi tugasan bagi menjayakan gerak kerja PRK Kerdau.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Jawatankuasa Kuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu akan hadir pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS bagi pilihanraya kecil Dun Kerdau yang akan diadakan pada 24 Februari ini.

Majlis Pengistiharan Calon di Darul Hikmah, Kerdau yang bermula jam 9.00 malam akan turut dihadiri oleh pimpinan PKR dan DAP.

Harakahdaily/-

SISTEM PENDIDIKAN NEGARA PERLUKAN REFORMASI SEGERA: PESURUHJAYA PAS PERAK

20 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SISTEM PENDIDIKAN NEGARA PERLUKAN REFORMASI SEGERA: PESURUHJAYA PAS PERAK
Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain berpendapat pendidikan yang diperlukan di Malaysia bukan yang bersifat persaingan merebut gred tertinggi atau pensijilan yang cemerlang semata-mata, Pendidikan juga bukan jenis mengejar kecemerlangan akademik yang keterlaluan.

Menurut beliau, kerajaan Malaysia hanya berpura-pura dalam pendidikan yang bertaraf dunia. Mengujudkan Universiti yang hanya bermegah dengan budaya ghairah kepada sijil bukan teruja untuk menghayati ilmu.Melahirkan remaja yang tidak punya idealisme melainkan hanya untuk mengejar kerjaya mudah. Mencetuskan generasi pelajar yang tidak punya kepedulian kepada keadaan masyarakat .

Pendidikan yang mengeluarkan generasi tempang akhlaq dan lesu jatidiri. Pendidikan yang mengujudkan pengajaran dan pembelajaran sebagai suatu yang membebankan bukan suatu yang mengembirakan.

Beliau menyatakan, pendidikan yang kita perlukan ialah sebuah pendidikan yang membina manusia sebaiknya dari segenap segi samada ilmu , emosi , akhlaq dan kemahiran.

Malaysia memerlukan, pendidikan yang mampu membentuk remaja yang berupaya dari sudut ketrampilan diri, matang dari segi emosi dan berfikir serta bersedia berhadapan dengan cabaran semasa. Kita mahu pendidikan yang melahirkan kanak-kanak dan remaja yang sihat mental , cergas fizikal , kukuh rohani dan matang emosi, jelas beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyeru agar reformasi dalam pendidikan perlu dilakukan, reformasi pendidikan yang membina potensi insan untuk mencapai kecemerlangan yang menyeluruh sebagai khalifah yang bertanggungjawab dan mengamalkan gaya hidup yang berintegriti dan bermoral mulia.

Beliau menyatakan PAS sentiasa bekerja untuk membina warga pendidik yang membina teladan dalam sahsiah dan penuntut yang menyerap teladan sehingga menjadi insan mithali dalam berilmu dan beramal.

Memetik ucapan beliau, “ Kita mahu mengujudkan institusi pendidikan tinggi yang melahirkan graduan lepasan universiti yang menjadi pengkritik sosial yang sihat yang mengutamakan kebajikan masyarakat , keadilan sosial , integriti kepimpinan yang murni dan keluhuran moral masyarakat”.

“ Kita mahu mengujudkan universiti yang menjadi tapak berkembang intelektual kritikal , terhimpunnya ilmuan yang merasa bebas untuk mempersoalkan institusi berkuasa tanpa bimbang dimangsakan”.

Oleh : mohd hafez sabri.

Kerajaan negeri tanggung kos

19 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Kerajaan-kerajaan negeri di minta menanggung kos perbelanjaan penghantaran semula pelajar ke Mesir.

Ini diputuskan dalam mesyuarat Ketua-ketua Menteri dan Menteri Besar, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) menanggung kos tersebut dengan menggunakan mana-mana dana kerajaan negeri atau baitulmal.

“Saya berharap dengan dana di peringkat negeri ini digunakan, tiada lagi tohmahan atau tuduhan siapa bersalah dan sebagainya.

“Ini bukan masa untuk bincang soal parti politik kerana kerana pelajar ini bukan mewakili mana-mana pihak. Mereka adalah golongan yang perlu dibantu,” katanya ketika berucap dalam majlis silaturahim bersama pelajar Mesir tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.

Jamil Khir berkata, semua pihak perlu mengetepikan soal kepentingan politik, sebaliknya menumpukan perhatian mengenai masalah penghantaran pulang pelajar Malaysia untuk meneruskan pengajian.

Menurutnya, semua ketua menteri dan menteri besar yang hadir pada mesyuarat tersebut telah bersetuju untuk menanggung kos penghantaran pulang semula pelajar terbabit.

“Bagi pelajar yang berasal daripada Wilayah Persekutuan, kos penghantaran semula pelajar akan ditanggung oleh MAIWP, termasuk memberi wang saku sebanyak RM500 setiap seorang.

“Saya, selaku Pengerusi MAIWP, turut mengumumkan bahawa dana baitulmal akan digunakan untuk kos penghantaran semula anak Wilayah Persekutuan pulang ke Mesir iaitu seramai kira-kira 400 pelajar,” katanya

Beliau, yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), berkata untuk mendapatkan maklumat mengenai penghantaran pulang secara percuma, para pelajar tersebut perlu menghubungi MAIWP atau melayari laman portal Jakim di www.islam.gov.my.

“Mereka boleh mendaftar nama dan butiran peribadi melalui talian manakala bagi pelajar yang berasal dari Wilayah Persekutuan mereka boleh hadir atau menelefon terus ke MAIWP untuk urusan tiket dan sebagainya.

“Pelajar-pelajar dikehendaki mendaftar kepada MAIWP segera untuk mengemaskinikan maklumat dan tanggungan kos dapat dilakukan dengan melayari www.islam.gov.my,” katanya. katanya.

Menurutnya, setakat ini Selangor dan Pulau Pinang turut bersetuju cadangan kos penghantaran semula.

“Sekiranya tiada negeri yang tidak memberi bantuan kewangan kos tersebut, Kerajaan Persekutuan akan membantu dapatkan sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau badan-badan korporat,” katanya.

Mengenai tarikh kepulangan pelajar ke Mesir, katanya, segalanya bergantung kepada pemantauan yang dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara.

Sinar Harian/-