19 February 2011

Jika Umno bela Melayu kenapa perangi Kelantan

16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Hazayani Zakaria. SHAH ALAM, 19 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan serangan mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tindakan terdesak parti itu yang bimbang dengan pengaruh PAS terhadap rakyat.

Beliau mempersoal tindakan pemimpin Umno menyelar PAS yang berpakat dengan DAP demi kepentingan politik, sedangkan Umno sendiri memusuhi PAS sejak dahulu lagi.

'Riak-riak kemenangan (PAS) sudah hampir tiba, justeru mereka (Umno BN) perhebatkan serangan melalui pelbagai cara.

"Kita dituduh berpakat dengan DAP hanya untuk menang pilihan raya. Soalnya PAS sudah dimusuhi sejak sekian lama oleh Umno, sebelum PAS berpakat dengan DAP dan PKR lagi.

"Umno berusaha menjatuhkan PAS di Kelantan sejak hari pertama saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar lagi," kata beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa-Jaminan PAS, di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Menurut Nik Aziz juga, tiada salahnya jika PAS bermatlamat untuk memenangi pilihan raya kerana Umno BN sendiri dilihat menggunakan pelbagai cara untuk matlamat yang sama.

"Saya juga dituduh hanya ingin menang pilihan raya. Jika demikian apa salahnya menang pilihan raya?

“Bahkan Umno sendiri guna pelbagai cara tidak kira halal atau haram untuk menang pilihan raya," katanya di hadapan hampir 500 hadirin.

Tambah beliau lagi, Umno ternyata gagal membela nasib majoriti Melayu di negara ini apabila mereka sendiri yang menggagalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"Umno jaga Islam pun tidak, jaga Melayu jauh sekali. Ini dapat dibuktikan dengan fakta yang didedahkan bahawa tanah rezab Melayu di seluruh negara susut daripada 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar pada tahun 1990. Apakah ini satu pembelaan Umno terhadap orang Melayu?

"Dasar DEB digagalkan pemimpin Umno sendiri dan hanya mengkayakan kroni mereka sahaja," katanya.

Menteri Besar Kelantan itu juga mempersoal tindakan Umno BN yang mendakwa mereka pembela Melayu yang sejak dari dahulu lagi memusuhi Kelantan sedangkan majoriti rakyat Kelantan ialah orang Melayu.

"Jika benar Umno membela Melayu, untuk apa kami di Kelantan diperangi sedangkan majoriti pemimpin dan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam? soalnya.

Ujarnya lagi, PAS sebagai sebuah parti yang mencontohi pemerintahan Rasulullah SAW wujud bukan untuk memperjuangkan nasib Melayu sahaja, tetapi tidak sama sekali mengenepikan Melayu.

"Jika Rasulullah S.A.W. diutuskan ke dunia tidak dengan misi ketuanan Arab, begitu jugalah dengan PAS yang mencontohi Rasulullah, datang bukan dengan agenda memperjuangkan Melayu, tetapi tidak sesekali mengenepikan Melayu kerana Melayu bangsa domninan di negara ini.

"Namun PAS sering dtuduh mengenepikan Melayu dan seolah-olah orang Melayu akan mati tanpa Umno. Inilah yang sering ditanam dalam pemikiran rakyat," katanya.

Sementara itu, konvensyen hari ini diteruskan dengan pembentangan kertas kerja sehingga jam 5 petang ini.

Pasukan keselamatan Bahrain tembak penunjuk perasaan

16 Rabiulawal 1432H.

MANAMA: Pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan untuk hari kedua berturut-turut, menyebabkann sekurang-kurangnya 50 orang cedera ketika ribuan rakyat Bahrain berarak ke Dataran Mutiara dalam kebangkitan rakyat untuk memecahkan genggaman politik pemimpin negara itu.

Sekali lagi pihak berkuasa Bahrain menunjukkan mereka tidak teragak-agak menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang mahu menjatuhan kepemimpinan beraja.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama mengutuk penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Bahrain serta Libya dan Yaman di mana kekerasan dilaporkan. Seorang doktor Libya berkata, 35 penunjuk perasaan terbunuh di Benghazi semasa konfrontasi dengan pasukan keselamatan, manakala empat lagi terbunuh dan 48 lagi cedera selepas “Friday of Rage” di Yaman.

Gelombang kemarahan di dunia Arab berterusan selepas kejayaan di Tunisia dan Mesir di mana ribuan orang merayakan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak seminggu lalu. - AP

Bob Lokman isytihar Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda

16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Bob Lokman mengisytiharkan diri sebagai Ahli PAS di hadapan 30 ribu Pemuda PAS di Kota Sarang Semut, Kedah sebentar tadi. Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada DS Ustaz Azizan Razak, MB Kedah Darul Aman.

Majlis ini telah dihadiri lebih 30 ribu pemuda dari seluruh negari. Kontinjen Negeri Kedah lebih dari 7 ribu. Selain itu, negeri Terengganu Darul Iman dan Selangor Darul Ehsan berjaya menghantar ramai pemuda ke Himpunan ini.

Kesesakan jalanraya sepanjang lima kilometer di laluan ini dikawal dengan baik oleh para unit AMAL malaysia. Allah Akbar..!!!

Majlis bermula jam 9.00 pagi dengan perbarisan kontinjen dengan lagu Negaraku, lagu PAS dan lagu Amal. Ucapan Alu-aluan oleh Ketua Pemuda PAS, Ustaz Ahmad bin Yahya. Seterusnya ucapan oleh Pengarah Himpunan 30K. Ustaz Nasarudin Tantawi menyampaikan amanat untuk para pemuda agar berjuang dengan lebih gigih untuk menjana kemenangan.

Seterusnya ucapan perasmian oleh DS Ustaz Azizan Abdul Razak. Beliau begitu bersemangat dan gembira dengan himpunan yang besar begini. Dalam ucapannya beliau menyindir UMNO dengan katanya ‎'umno kini macam nyamuk kena ubat nyamuk, pening'. Selain beliau mengingatkan media agar tulis bagi betul ‎'Hari ini pemuda PAS berhimpun 30 ribu, tapi esok surat khabar tulis 300 sahaja"..

Laporan akan menyusul

PAS tak akan ketepikan nasib orang Melayu, jamin Nik Aziz


16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 19 Feb — Dilihat pendirian meredakan kebimbangan sesetengah pihak, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS tidak akan mengetepikan kepentingan dan nasib orang Melayu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya menerusi gandingan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat. Justeru jelas Mursyidul Am PAS itu, walaupun parti Islam itu tidak memberi keutamaan terhadap perjuangan bangsa namun ia bukan alasan untuk tidak mempertahankan orang Melayu yang merupakan masyarakat dominan negera ini.

“Islam tak jadikan agenda perjuangan Melayu sebagai keutamaan, adakah orang Melayu akan mundur tanpa bantuan Umno?

“Bagi PAS orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia),” kata beliau pada majlis perasmian Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di sini hari ini.

Kata Nik Aziz, sebagai masyarakat dominan sudah menjadi tanggungjawab mana-mana parti termasuk PAS untuk mempertahankan orang Melayu.

“Kaum yang paling dominan adalah orang Melayu, perlu diingatkan Islam adalah pemberian Allah s.w.t.

“Menurut Islam guna sekular sebagai ideologi bermaksud tolak Islam, Umno jaga Islam pun tidak... jaga Melayu pun tidak,” kata Menteri Besar Kelantan ini.

Nik Aziz berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal untuk membantu orang Melayu dan Bumiputera gagal kerana Umno-Barisan Nasional (BN).

“DEB untuk orang Melayu dan Bumiputera telah digagalkan pemimpin Umno.

“Ia satu pengkhianatan yang dilakukan secara sistematik oleh pemimpin BN dan tolak hak orang Cina, orang India, orang Iban dan orang Kadazan,” katanya.

Sebaliknya menurut Nik Aziz, DEB diwujudkan hanya untuk membantu kroni-kroni Umno-BN.

“Inikah ketuanan Melayu Umno?” soalnya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata konvensyen berteraskan Melayu ini diadakan bagi menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan sebelum ini.

“Untuk menjawab tuduhan-tuduhan liar, fitnah dan tohmahan, PAS mengadakan konvensyen hari ini sekali gus mendedahkan pengkhianatan yang dilakukan Umn-BN.

“Ia juga bertujuan untuk membentuk keyakinan orang Melayu dan Bumiputera bahawa PAS dan Pakatan Rakyat akan mempertahankan hak dan kepentingan mereka,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena

Guang Eng : Islam bukan hanya untuk Melayu !

16 Rabiulawal 1432H.
Cina Islam

SHAH ALAM, 19 Feb.:- Saya menafikan Islam hanya untuk melayu sahaja seperti kata umno dan saya serahkan kepada ulama PAS untuk katakan fahaman ini salah atau tidak. Demikian penegasan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guang Eng semasa berucap dalam Konvensyen Nasional Pengupayaan bangsa di Audioterium MBSA di sini hari ini.

Beliau juga menegaskan dalam Pakatan Rakyat pengupayaan semua bangsa sangat penting termasuk di Pulau Pinang. Istilah memartabatkan rakyat amat bermakna dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat..

Beliau juga melahirkan kekesalan bila pengunaan media massa untuk memburukkan kerajaan Pulau Pinang yang kononnya anti melayu seperti dalam isu perobohan gerai.

Guang Eng juga mendedahkan data di mana gerai melayu yang dirobohkan kawasan pulau hanya 18 pratus sahaja sedangkan bukan melayu 82 pratus. Katanya juga gerai yang dirobohkan kalau gerai atas jalan atau atas pokok kita kena robohkan untuk keselamatan.

Selain itu dia mendedahkan isu Taman Pelangi yamg digembar gemburkan dengan isu hanya gerai melayu sahaja yang dirobohkan sedangkan dari 22 gerai yang diambil tindakan pada fasa pertama, melayu 4, cina 3, india 1, bangsa lain iaitu Indonesia, Bangla, dan Thai 14.(64%). Aduan diterima dari orang tempatan dengan gelaran little hadyai, orang tempatan tidak sanggup tengok maksiat yang berlaku disitu.

Beliau mempersoalkan adakah dengan ambil tindakan kepada maksiat dianggap anti melayu. Sedangkan notis sudah lebih 3 tahun termasuk umno Batu Kawan yang minta dirobohkan. Bila kita ambil tindakan hentam kita balik, "macam istilah hantu pun dia , manusia pun dia."

Ketua menteri Pulau Pinang itu juga menjelaskan isu robohkan gerai cina, juga jadi isu sedangkan kita roboh sebab dia jual arak , tiba-tiba kena hentam juga dengan cina itu bertukar menjadi melayu dan tukar jantina jadi lelaki dalam berita.

Guang eng juga mengecam tindakan media Bn yang disifatkan "ini betul jahat" dengan menunjukkan gambar dia sedang sembelih lembu korban.

"Termasuk gambar terbaru saya pakai kopiah yang digunakan oleh MCA" katanya.

Beliau juga menegaskan Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah haramkan perarakan maulud malah diapun hadir.

"100 ringgit kepada warga mas, itu haram kerana kononnya duit judi, saya persoalkan yang keluarkan lesen judi adalah pemimpin BN, yang "haramkan" ialah lim guang eng, tetapi akhirnya saya yang kena hentam.

Dalam ucapannya Guang Eng menjelaskan bagaimana isu Portpolio hak ehwal bukan Islam, saya kena hentan teruk oleh Mukhriz. Sedangkan menurutnya ianya pernah dibuat oleh pemimpin umno di perak pada tahun 2009. Tetapi tidak di demo dan diselar kerana itu pemimpin umno buat.

Isu pemberian tender diisukan kerana yang dapat adalah orang melayu yang tidak diktiraf sebab bukannya kontraktor umno.

Menurutnya juga persoalannya bukan warna kulit tetapi kemahiran dan kemampuan seperti bidang kedoktoran, kejureteraan dan sebagainya.

"Dalam soal urustadbir yang penting ialah isu penyampaian, sekiranya penyampaian yang tidak baik kita tidak diterima oleh rakyat" sarannya.

"Saya hanya nak belajar dari Umar Abdul Aziz dan bukan saya mengaku sebagai Umar seperti yang diputar belit oleh pihak tertentu" katanya.

Selain itu Guang Eng melahirkan rasa kesal bila dikalangan melayu dia kata pas diperalatkan dap dan dikalangan cina mereka kata dap diperalatkan oleh pas.

"Yang penting kita kenal siapa kawan siapa lawan dan yang penting kawan selama-lamanya dan lawan selama-lamanya." katanya.

Guang Eng menyarankan supaya usaha PAS mesti lebih kerana MCA sedang berkerja kuat meracuni pemimkiran bukan melayu dalam media.

Selain itu sarannya penumpuan kepada usaha menjaga kebajian rakyat dan rakyat akan menerima kita.

Protes terus merebak di Asia Barat

16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
MANAMA 18 Feb. – Protes antikerajaan terus merebak di Asia Barat dan Afrika utara bagi menuntut pembaharuan politik, hari ini dengan beribu-ribu penunjuk perasaan meneruskan bantahan selepas sembahyang Jumaat bagi mendesak pemimpin di beberapa negara di rantau terbabit meletak jawatan.

Di BAHRAIN, beribu-ribu rakyat berhimpun di Manama hari ini menuntut kerajaan monarki di negara ini ditumbangkan ketika pengebumian salah seorang penunjuk perasaan yang terbunuh semalam, sehari selepas berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera sehingga memaksa pihak berkuasa Bahrain mengerahkan kereta kebal ditempatkan di jalan-jalan utama di negara ini.

Penunjuk perasaan mendesak Raja Hamad bin Isa Al Khalifa serta orang di sekelilingnya meletakkan jawatan dan seruan menumbangkan sistem monarki yang dipimpin golongan Sunah yang memegang jawatan utama kerajaan di Bahrain serta diskriminasi terhadap puak Syiah yang merupakan majoriti penduduk di negara kecil di Asia Barat ini.

“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan. Tuntutan kami sangat mudah, kami mahu keseluruhan kerajaan meletak jawatan,” kata pekerja kerajaan, Mohamed Ali, 40.

Di LIBYA, tentera ditempatkan di jalan-jalan raya di bandar Benghazi, bandar kedua terbesar di negara itu hari ini, selepas beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah tindakan pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 24 penunjuk perasaan semasa berlaku pertempuran dengan penunjuk perasaan.

Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan menerusi sumber dalamannya berkata, pasukan keselamatan negara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dalam satu tindakan keras ke atas penunjuk perasaan sejak kelmarin.

Sementara itu, menurut sebuah sumber hospital, seramai 14 orang lagi maut hari ini dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan antikerajaan di Benghazi, yang mengadakan tunjuk perasaan yang masuk hari ketujuh hari ini.

Sementara itu, pemimpin Libya, Muammar Ghadafi membuat rondaan berkereta di sekitar ibu negara Tripoli bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Di YEMEN, dua orang maut, manakala kira-kira 26 orang cedera parah hari ini apabila sebuah bom tangan di lontar ke arah kumpulan penunjuk perasaan antirejim di tengah bandar raya Taez, di utara ibu negara Sanaa.

Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan antirejim di bandar Aden semalam, mengorbankan tiga orang ketika lebih banyak protes dijangka berlaku di ibu negara Sanaa selepas solat Jumaat hari ini.

Seorang pegawai di Hospital Jumhuriah, Aden berkata, tiga mayat telah dihantar ke bilik mayat dan 19 orang lagi cedera dengan dua daripada mereka parah dan sedang menjalani pembedahan.

Polis dilaporkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun di kawasan kediaman Al-Mansura, Aden bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah Yemen selama 32 tahun.

Penunjuk perasaan melaungkan ‘Ali Berambus’ dan bertindak merosakkan kedai, membakar tayar dan meletakkan penghadang di jalan-jalan bagi menyekat lalu lintas, menurut koresponden AFP.

Di ALGIERS, seorang bekas pemimpin kanan rejim, Abdelhamid Mehri semalam mendesak perubahan politik segera dilaksanakan di Algeria menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika.

Mehri dalam suratnya menuduh rejim negara itu ‘tidak mampu menyelesaikan masalah negara yang semakin kusut dan kompleks dan tidak bersedia berhadapan cabaran masa depan yang lebih sukar dan serius’.

Di IRAN, keadaan berbeza berlaku apabila penunjuk perasaan pro-rejim berhimpun di jalan-jalan di kota Teheran selepas solat Jumaat hari ini bagi mengecam ‘pengkhianat’ yang ditujukan kepada ketua pembangkang, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi yang menentang pemerintahan ulama Iran.

Mereka berarak keluar dari Universiti Teheran selepas solat Jumaat dan menyertai kumpulan pro-rejim lain untuk mengutuk Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi. – Agensi

Nik Aziz : Islam datang bukan untuk perjuangan bangsa.

Ketibaan YAB Tuan Guru Mursyidul Am PAS didampingi oleh Naib Presiden PAS, Dato Mahfoz Omar dan Setiausaha Agung PAS, Dato HJ. Mustafa Ali di pentas utama untuk merasmi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa di MBSA pagi ini.
16 Rabiulawal 1432H.
Cina Islam.

SHAH ALAM, 19 Feb.:-Islam datang dalam keadaan bukan membawa agenda perjuangan bangsa sebagai agenda utama. Demikian antara penegasan oleh YAB Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan bangsa "Jaminan PAS" yang diadakan di Audiorium MBSA disini pagi ini.

Beliau juga menegaskan Allah menjadikan manusia berlainan bangsa dan rupa dan perbezaan jantina sehingga kita dapat mengenal isteri dan suami masing-masing.

"Jika Rasulullah datang dengan tidak membawa misi ketuanan Arab begitulah PAS datang dengan mencontohi perjuangan yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah " tegasnya.

Mursyidul Am juga menegaskan bagi PAS Melayu perlu diutamakan dalam dakwah kerana mereka yang tadahulu dari bangsa lain masuk Islam di tanah air ini. Melayu adalah kaum yang dominan untuk Islam di Malaysia walaupun Islam datang untuk semua bangsa lain.

"Hakikatnya umno jaga islam tidak dan islam jaub sekali menjaga Islam . Ini dibuktikan dengan susutnya tanah rizab Melayu, kegagalan DEB. malah tidak ada keraguan lagi pengkhianatan ini dalakukan dengan perancangan yang sistematik dengan kejasama yang baik dari umno.

Menurutnya juga slogan ketuanan melayu malah menakutkan orang lain kepada islam.

Nik Azizi juga menegaskan serangan terhadap PAS membuktikan kegerunan kepada PAS dan kegerunan PAS dapat menghilangkan kuasa mereka.

Menyentuh kejatuhan kerajaan Mesir beliau menyatakan "sekitanya di Mesir dapat dijatuhkan, maka saya optimis di Malaysia juga dapat dilakukan".

Nik Aziz juga mengatakan bahawa riak ketakutan mereka kepada PAS nampak sehingga dirinya dilebal sebagai seorang nasionalis oleh pihak tertentu.

"Ssya juga dituduh hanya mahu menang pilihanraya, jika demikian apa salah menang pilihanraya ?, malah kita masuk pilihanraya untuk menang." ucap Nik Aziz dengan sinis.

Beliau juga mengulangi tidak ada alasan jika benar UMNO berjuang untuk melayu kenapa Kelantan dinafikan kerana ditadbir oleh Melayu.

Tipu bank RM19 juta disiasat

16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Polis hari ini mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes penipuan berjumlah RM19 juta membabitkan sebuah bank tempatan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengesahkan kes itu memberitahu, siasatan dibuat meliputi pelbagai sudut sebaik sahaja polis menerima laporan daripada bank yang beroperasi di ibu negara itu.

"Benar apa yang dilaporkan Utusan Malaysia (hari ini). Polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu minggu lalu dan siasatan sedang dilakukan.

"Kita akan menyiasat kes ini dari segenap sudut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul anjuran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail turut mengesahkan bahawa siasatan akan dibuat sama ada terdapat penglibatan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam kes ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada polis telah menahan mana-mana individu atau memanggil pihak yang terlibat untuk memberi keterangan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang kononnya mahu membekalkan alat ganti pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dua syarikat terbabit sebelum ini mengemukakan permohonan kepada bank berkenaan untuk mendapatkan pinjaman korporat bagi membolehkan mereka membeli alat ganti pesawat itu.

Menurut sumber, bank tersebut tiada masalah untuk meluluskan pinjaman itu setelah yakin dengan maklumat dan dokumen yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak bank menyedari penipuan itu apabila gagal mengesan premis yang didakwa pejabat syarikat terbabit kerana ia tidak wujud, malah individu yang berurusan melakukan pinjaman juga gagal dihubungi.

Ismail ketika ditanya mengenai sejauh mana kes penipuan itu, enggan mengulas lanjut sebaliknya memberitahu, siasatan kes itu masih di peringkat awal.- Bernama

Media sosial tunggu waktu untuk meletup ... A

16 Rabiulawal 1432H [MOD]-
Ketika negara-negara lain, khususnya di dunia ketiga, terutama di Timur Tengah sekarang, berada dalam landasan yang betul bagi proses pendemokrasian, Malaysia mengambil langkah mundur ke belakang. Semasa indeks kebebasan akhbar kita -- seperti hasil kaji selidik Reporters without Borders dan Freedom House -- masih berada pada tahap yang memalukan dan mencatatkan kemerosotan dari tahun ke tahun, komitmen kerajaan terhadap autonomi ruang siber yang ditawarkan semasa pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1997 mula diceroboh.

Dalam suasana pengamal media tradisional terikat kuat dengan kekangan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, di samping menyedari beberapa laman web dan blog sudahpun menghadapi pelbagai bentuk tindakan intimidasi pemerintah, namun dunia internet kita masih boleh disifatkan bebas. Suara kritikan dan bangkangan, yang mula dicetuskan secara lantang semasa gerakan reformasi 1998, masih dapat digemakan dengan berkesan sekali melalui media baru ini.

Informasi yang dikawal ketat regim pemerintah pada akhir 1990-an itu telah bocor dan terdedah melalui kreativiti dan kesungguhan anak-anak muda yang begitu cepat menguasai teknologi maklumat terkini, terutama tentang program komputer yang kompleks. Kebanyakan penggeraknya melakukan penyamaran identiti sebenar, dengan persediaan menghadapi risiko tinggi, selain terpaksa menampung kos dari segi kewangan dan masa. Mereka yang tidak dikenali ini merupakan wira-wira baru yang secara tidak sedar sedang membentuk lanskap politik Malaysia yang berbeda sama sekali daripada era sebelumnya.

Secara tiba-tiba seorang individu "tidak ternama" boleh memegang kuasa mutlak di alam siber tanpa perlu melalui proses pemilihan yang lazim dipakai dalam struktur organisasi dan lapis-lapis masyarakat. Pandangan dan sikap politik seorang insan kerdil mampu membentuk opini awam jika ia mempunyai hujahan yang mantap dan bernas, serta diolah dengan pendekatan menarik. Seolah-olah kongkongan yang mencengkam dunia sebenar dapat dipecahkan dengan jayanya.

Sememangnya gelombang reformasi ketika itu telah merangsang penggunaan internet dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, termasuk di kalangan orang awam, apatah lagi penggerak masyarakat sivil dan komuniti politik. Kadar pertumbuhannya melonjak pada tahun 1998, 1999 dan 2000, dengan masing-masing mencatatkan peratusan 97.6%, 64.9% dan 148.4%. Kini pengguna internet di Malaysia melewati 19 juta jauh lebih banyak daripada jumlah pengundi berdaftar.

Pemerintahan Dr Mahathir Mohamad 1998-99 menghadapi tekanan yang cukup dahsyat dan teriakan "reformasi" Anwar Ibrahim yang diaibkan telah mendapat reaksi luar biasa. Biarpun internet hanya dihubungkan melalui dial-up dan belum menyeluruh penggunaannya, namun sambutan terhadap laman-laman web reformasi begitu memberangsangkan. Bahan-bahan (kebanyakannya sensasi dan terkini) internet dimuat-turun dengan penuh rasa ingin tahu bagi tujuan penyebaran segera secara manual untuk kelompok lebih luas. Lebih menakjubkan, keterangan di dalamnya mudah diterima tanpa saringan, meskipun fakta dan khayalan bercampur-baur.

Jelas sekali, internet cukup menyerlah sebagai alat mobilisasi bagi menggerakkan kesedaran rakyat, sekali gus meranapkan monopoli eksklusif media tradisi. Rakyat mudah mendapat maklumat terutama mengenai perhimpunan-perhimpunan awam proreformasi di sekitar Kuala Lumpur dan kisah sebenar yang cuba disembunyikan elit penguasa, seperti cerita mata lebam Anwar. Tiba-tiba saja Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, khususnya pada petang hujung minggu, menjadi meriah dengan aksi protes dan anak-anak muda tidak gerun lagi berdepan tembakan gas pemedih mata dan meriam air. Mereka mula mengenali belantan, cota, gari, brutaliti pihak polis dan manipulasi jahat media talibarut pemerintah.

Suasana baru itu menyemarakkan minat anak-anak muda untuk berpartisipasi -- menurut cara mereka -- dengan dunia politik yang selama ini tidak begitu dihiraukan. Selain memenuhi lapangan tunjuk perasaan, mengikuti ceramah dan mengedarkan risalah, berpusu-pusu mereka mendaftarkan diri sebagai pengundi, mungkin didorong niat "untuk mengajar BN dan Dr Mahathir" dalam pilihan raya umum terdekat. Malangnya, disebabkan proses pendaftaran terpaksa melalui prosedur yang lama-lembab, lebih 650,000 pengundi baru tidak dapat menunaikan hak mereka pada November 1999.

Kita tentu dapat membayangkan bagaimana resahnya Mahathir berdepan dengan kehebatan pengaruh internet dan dunia siber yang sebenarnya dirintis oleh beliau sendiri. Zaman rakyat menelan segala muntahan pemerintah sudah berakhir. Kematangan berpolitik mulai terserlah secara menyeluruh terutama di kalangan orang Melayu. Mereka sudah berani mempersoalkan daleh pemerintah yang sejak sekian lama memperbodohkan logika.

Melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) pelbagai sekatan dan hambatan dikenakan (beberapa penerbitan berbahasa Melayu seperti Detik, Wasilah dan Eksklusif diharamkan, manakala Harakah dikurangkan kekerapannya) tetapi kebebasan internet masih terpelihara. Mahathir belum bersedia untuk meracuni bibit-bibit yang disemainya sendiri atau beliau sedar kerumitan dunia maya masih boleh ditanganinya. Jika internet disekat, pelbagai risiko buruk, khususnya dari segi pelaburan asing, terpaksa ditanggungnya.

Rupanya pilihan raya umum 1999 tidak mencukupi untuk merealisasikan tuntutan reformasi seutuhnya. BN masih berkuasa dan memegang majoriti dua pertiga di Parlimen. Pembentukan Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, DAP, KeADILan dan PRM) hanya mampu meriuhkan sidang Dewan Rakyat (itu pun tanpa kelibat Lim Kit Siang dan Karpal Singh) selain PAS menguasai Terengganu. Pengundi bukan Melayu seperti tidak tersentuh langsung dengan perubahan lanskap politik yang mula terbentuk itu.

Abdullah Ahmad Badawi, pengganti Mahathir pada penghujung 2003, beberapa bulan sebelum PRU11, berjaya memukau rakyat dengan retorik politik yang mempesonakan. Jaminan pembaharuan yang dipakej dengan baik sebagai propaganda politik Abdullah telah "menjinakkan" suara protes. Internet semakin meluas penggunaannya, laman-laman baru muncul tetapi dilihat tidak lagi memainkan peranan yang besar bagi menarik sokongan rakyat kepada pembangkang.

Dalam masa sama, laman web yang begitu popular semasa Anwar dipenjarakan seperti kehilangan bisanya. Proses kemaskini bahan terabai, dan semakin berkurangan isu-isu penting, sensitif dan sensasi yang ditawarkan laman-laman berkenaan. Kerjasama dalam BA makin longgar. DAP kemudiannya meninggalkan BA. Tiada lagi "barisan alternatif" ataupun bayangan "kerajaan menanti". Ramai mempersoalkan, apakah elemen "politik baru" yang muncul bersama PRU10 pada 1998-99 begitu mudah menghilang, dan "politik lama" kembali bertakhta?

Dalam "kesedihan" (tetapi langsung tidak terkejut, malah sudah menduganya) menatap keputusan PRU11, saya tetap optimis tentang masa depan demokrasi di negara kita. Politik Malaysia, yang kian dipengaruhi faktor dinamika ruang siber, tidak mudah berpatah balik lagi. Realiti 2004 yang menyaksikan penguasaan kerusi BN di Parlimen melebih 90 peratus -- dan ini satu rekod -- sebenarnya bukan jaminan suara oposisi tidak mampu bangun lagi. Era politik Malaysia sudah berubah.

Suasana tertekan di zaman Dr Mahathir (1981-2003) menyebabkan rakyat mahu memberi peluang regim baru melakukan pembaharuan. Sekiranya amanah dan harapan besar rakyat itu "dikhianati", seperti ditunjukkan sepanjang 2004-2008, mereka mungkin bersedia untuk memutuskan "hukuman lebih tegas" buat elit pemerintah. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, dan juga agen risikannya, gagal mengesan "riak yang timbul di permukaan".

Apabila rakyat mudah akses dengan bahan berita, dan pihak pembekal maklumat (tidak lagi terhad kepada organisasi media, tetapi boleh dilakukan sesiapa saja melalui laman web, blog, dan media sosial) sentiasa mengemaskinikannya, manakala kewibawaan jurnalisme portal berita seperti Malaysiakini dan Harakahdaily terus meningkat, maka siapa pun yang memerintah, segalanya tidak mudah lagi. Aspek-aspek ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban akan sentiasa diperhatikan. Benar kata-kata Najib, zaman kerajaan mengetahui semuanya sudah berlalu.

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Mungkin di "waktu aman", riak dan kocakannya tidak ketara. Namun apabila pemerintah mulai menyeleweng, lupa diri, amalan rasuah dan pilih kasih berleluasa, khazanah negara dirampok secara terang-terangan, hak rakyat dinafikan, daya intelektualisme diperbodohkan, skandal kewangan merebak, jurang pendapatan kaya-miskin semakin dalam, anak muda sukar mendapat pekerjaaan walaupun berpendapatan tinggi, harga barangan keperluan harian memuncak, maka tunggulah kebangkitan yang menggerunkan!

Mungkin hari ini kandungan media sosial seperti Facebook dan blog anak-anak muda kita dipenuhi cerita-cerita remeh, personal serta tidak menyentuh "wilayah larangan" tetapi ia tetap berpotensi untuk menyalur dan mengembangkan keresahan, kebingungan, kegelisahan, kemarahan dan segala amukan perasaan sekiranya persekitaran mereka sudah berubah ataupun kesedaran politik semakin meningkat. Ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi idea dan mehamai rasa bagai tiada batasan.

Harus diingat, kita tidak perlu menunggu fenomena kelaparan, kebuluran atau tahap pengangguran yang tinggi untuk melihat dunia siber kita bergolak dan merakamkan kegelisahan-kebejatan sosial itu. Rakyat yang tangkas dan cerdas minda politiknya berupaya diyakinkan untuk melakukan perubahan bagi menikmati pembaharuan yang membawa manfaat bersama melalui peti undi. Dan inilah yang dibimbangi kerajaan.

Rakyat Malaysia di negara yang begitu makmur dan kaya ini (khazanah negara melimpah tetapi dipunggah rakus kroni suku-sakat) sepatutnya tidak menanggung bebanan hidup berganda jika pemerintahannya dibersihkan daripada segala perasuah yang tamak dan penzalim yang angkuh-bongkak. Angka-angka penyelewengan yang terbongkar tidak mudah ditutup lagi. Malah, melalui teknologi maklumat yang mampu menyembunyikan "tukang tiup wisel", orang dalam sendiri lebih terdorong membocorkannya. Dan segalanya sukar disembunyikan.


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengulas sanggahan pemimpin kerajaan bahawa negara kita sama sekali berbeda dengan suasana di Timur Tengah, menegaskan, walaupun Malaysia jauh lebih makmur berbanding Mesir, namun rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis. "Tidak puas hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya

Di permukaan nampak diam, tetapi jalinan mesej bertali arus di dunia internet mampu mengheret pemerintah korup ke alam kubur. Justeru, usah berdiam diri melihat gerak terancang penguasa bagi maksud mengawal kandungan ruang siber kita ... Menarik sekali ulasan sebuah harian terkemuka di Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak tersungkur: "Revolusi Facebook berjaya menumbangkan Mubarak dan simbol rejim pemerintahannya," lapor Al-Ahram, sambil menyifatkan laman sembang sosial itu sebagai "ibu pejabat majlis pemerintah revolusi." (HDaily)

Akta Mesin Cetak - Chua Soi Lek minta disemak semula

16 Rabiulawal 1432H [MOD]-
KUALA LUMPUR, 19 Feb — MCA menyarankan penubuhan sebuah panel bagi menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya Menteri Dalam Negeri tidak diberi kuasa mutlak atau budi bicara dalam melulus atau membatalkan permit penerbitan.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata panel itu harus menyemak semula akta itu bagi memastikan keadilan terhadap pemilik media yang melabur jutaan ringgit dalam membeli peralatan dan pembangunan sumber manusia.

“Panel tersebut juga perlu mencari jalan bagi memudahkan pelabur memperoleh permit untuk menerbit,” katanya dalam ucapan pada majlis Malam Media MCA dan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA malam tadi.

Dr Chua berkata beliau memahami kebimbangan di kalangan wartawan dan pemilik media berhubung dengan akta tersebut. Katanya media massa mempunyai peranan memelihara keamanan dan keselamatan negara dan berharap akhbar tidak sensasikan isu-isu semata-mata untuk melariskan jualan surat khabar masing-masing.

“Landskap media telah banyak berubah sejak 10 tahun lepas... selain surat khabar, hari ini media sosial menjadi lebih berpengaruh daripada media tradisional.

“Rakyat kini lebih terdedah kepada forum internet, blog, Twitter dan Facebook, kesemua media baru itu memberi lebih banyak peluang kepada orang untuk menabur fitnah dan menyebarkan maklumat palsu,” katanya.

Dr Chua percaya perlu wujud aliran bebas maklumat di internet tetapi rakyat tidak perlu mudah terpesong dengan mereka yang menabur fitnah kerana provokasi kecil menerusi media boleh menggagalkan agenda gagasan 1 Malaysia.

Katanya kewartawanan yang baik dapat membantu membina negara dan meningkatkan kehidupan rakyat dan oleh itu media Malaysia harus menyokong dasar kerajaan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dr Chua berpendapat media vernakular perlu berkecuali dari segi kaum dalam laporannya dan menggalakkan kepentingan semua rakyat Malaysia dan tidak tertumpu kepada kepentingan sesuatu komuniti sahaja.

Katanya media juga perlu memainkan peranan konstruktif dalam membina negara seperti mengkritik dan mendedahkan kesalahan kerajaan apabila ada kewajaran untuk dikritik.

Tetapi pada masa sama, media juga perlu bersedia menjelaskan dan mempertahankan tindakan dan dasar kerajaan yang baik serta menonjolkan pencapaian kerajaan semasa, katanya. — Bernama

PRK Kerdau, Merlimau serentak 6 Mac

15 Rabiul Awal 1432H.

KUCHING, 18 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, Pahang akan diadakan pada 6 Mac ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut memaklumkan bahawa tarikh penamaan calon PRK Kerdau pada 26 Februari.

Ini menjadikan PRK Kerdau dan Merlimau, Melaka diadakan serentak.

Pada 28 Januari lalu, SPR mengumumkan penamaan calon bagi PRK Merlimau ialah pada 26 Februari dan hari pengundian pula 6 Mac