17 February 2011

Jejantas: Surat terbuka Nurul Izzah kepada Datuk Bandar KL

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Nurul Izzah.

Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad Bin Ismail

Datuk Bandar Kuala Lumpur

Tingkat 27, Menara DBKL 1

Jalan Raja Laut

50350 Kuala Lumpur

Assalamualaikum w.b.t Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad ,

PENJELASAN BERKENAAN DENGAN PROJEK JEJANTAS YANG MENGHUBUNGKAN PUSAT KONVENSYEN KL DAN HOTEL IMPIANA KLCC

Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.

Buat pengetahuan pihak Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad, saya telah melawat projek Jejantas yang menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Hotel Impiana KLCC, yang telah membawa saya kepada persoalan-persoalan berikut:

1. Merujuk kepada laporan Bernama (terbitan The Star bertarikh 8hb September 2010), yang menyatakan, “Petronas telah menyumbangkan RM100 juta kepada pembangunan kemudahan dua-fasa ini yang menyokong usaha kerajaan bagi menggalak dan merangsang pertumbuhan industri pelancongan. KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCC), sebuah subsidiari milikan-penuh Petronas telah ditugas mengurus peruntukan tersebut bersama DBKL sebagai penyelaras projek utama untuk laluan pejalan kaki di KL.”;

Adakah DBKL dikecualikan dari meluluskan reka bentuk projek tersebut? Dan jikalau ya, megapakah Sunway Construction Sdn Bhd telah dilantik untuk meneruskan projek jejantas (fasa kedua) dan adakah tender terbuka dilaksanakan sebelum mereka dipilih?


2. Merujuk kepada laporan The Star bertarikh 9 Februari, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail dan ketua pegawai eksekutif KLCC (Holdings) Sdn Bhd telah “menandatangani surat perjanjian untuk penyerahan jejantas ini dari KLCCH ke DBKL.”; 


Berapakah kos penyelenggaraan kemudahan ini (dan juga jejantas fasa kedua) pada tahun-tahun akan datang, dan siapa yang akan menanggung beban penyelenggaraan tersebut?

Saya amat berharap agar Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad dapat memberikan respon segera di atas persoalan dan permasalahan yang saya bangkitkan di dalam projek jejantas ini.

Segala kerjasama daripada pihak Yang Berbahagia Datuk Seri Ahmad Fuad, saya dahului dengan ucapan terima kasih dan mudah-mudahan segala kerja kita diberkati Allah S.W.T..

“Bersama Menegakkan Keadilan”

Sebuah Harapan Kepada Pilihan Raya Kecil DUN Merlimau

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : DR. RAJIEE HADI.

SEORANG anak jati Merlimau di perantauan memberitahu saya bahawa beliau turut merasakan dengung gendang pilihan raya kecil (PRK) kian bergema di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka. Yang menang akan dituntut melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Setiap omong-omong kosong akan dinilai rakyat dari semasa ke semasa.

Sehubungan ini, kita akan menyaksikan beberapa peruntukan dan bajet pembangunan mengejut akan mencurah-curah datang; terutamanya fenomena mahu menambat hati pengundi bukan Melayu, pengundi atas pagar dan pengundi yang pandai bermain silap mata.
Apa yang kita tidak mahu, pihak yang menaburkan projek jangan terpedaya dengan kelicikan pengundi minoriti yang muncul secara tiba-tiba menangguk di air keruh. Keadilan bukanlah bermakna konsep kesamarataan tetapi keadilan hendaklah kena pada tempatnya.

Kita tidak mahu, masjid Kampung Simpang Pantai yang berusia hampir 100 tahun terbiar reput kerana dimamah usia. Kita juga tidak mahu sekolah agama rakyat yang masih berdinding kayu akan rebah menyembah bumi. Dan kita juga tidak mahu sepanjang jalan antara pekan Merlimau ke bandar Jasin, keadaannya bergelap pada malam hari dan membahayakan penggunanya.

lnilah senario yang patut difokuskan dan antara permintaan penduduk DUN Merlimau untuk kesejahteraan mereka. Usahlah mewawarkan berlebih-lebihan bantuan pembinaan dan penyediaan tapak SJK Tamil yang kelak menikam diri sendiri. Walhal anak-anak kaum lndia yang sekitar ratusan sahaja; biarlah dibantu mengikut peruntukan yang sederhana berdasarkan atas keperluan.

Kita tidak mahu projek jutaan ringgit yang ditaburkan akan lebih terarah kronisme dan korupsi. Kita tahu dan sedia akur dalam apa jua PRK usaha menambat hati pengundi menjadi agenda utama. Namun kita tidak mahu umpama 'ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan'.

Justeru adalah lebih baik kempen dan janji diberikan untuk kesejahteraan rakyat yang menghadapi beban kenaikan harga barangan, minyak dan desakan hidup. Dan berusaha memberi jaminan kepada ribuan graduan menganggur mengisi peluang-peluang pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta.

Dan tidak lupa memfokuskan usaha membela nasib anak-anak Melayu/lslam dan bumiputera selaras dengan hak-hak mereka dalam Perlembagaan Persekutuan. Apatah lagi lebih 60 peratus pengundi Merlimau terdiri pengundi Melayu/lslam.

Seperkara yang harus diingat, dalam sibuk-sibuk projek ditaburkan dan tender-tender mula dirangka, pernahkah para pemimpin Melayu /lslam dan bumiputera memikirkan sejenak betapa anak-anak pribumi di menara ganding terpaksa mengikat perut kerana wang pinjaman PTPTN terpaksa ditolak dengan bayaran yuran dan sewa asrama IPT yang mahal sekarang?

Apakah ini kesan dasar penswastaan yang menolak kebajikan rakyat? Jawapannya ada di tangan rakyat. Ketahuilah bahawa dengan wang pinjaman PTPTN yang berbaki kecil itulah digunakan oleh para pelajar yang tidak berkemampuan untuk perbelanjaan makan minum dan buku-buku yang tidak mencukupi.

Apalah salahnya memberi biasiswa kepada semua pelajar bumiputera IPTA dengan beberapa syarat sebagai dorongan motivasi kerana kejayaan mereka mengangkat maruah agama dan bangsa. Pada mulanya ramai antara kita tidak percaya akan keluhan para pelajar di IPT sekarang dan menuduh mereka tidak mahu berdikari.

Tetapi apabila saya sendiri meneliti bayaran-bayaran caj yang dikenakan oleh lPT sekarang, barulah saya akur akan penderitaan mereka. Harapan mereka walau tanpa biasiswa pun, paling kurang jika bayaran asrama dihapuskan atau diminimumkan cajnya sudah memadai.
Ketahuilah anak-anak bumiputera bakal di kelilingi beban hutang dan tekanan hidup pada masa mendatang. Bahkan mereka juga menghadapi pelbagai cabaran kehidupan era ICT ini sama ada yang terpaksa diterima atau ditolak.

lnilah salah satu bahagian episod kehidupan yang tidak pernah pun disentuh dalam PRK! ltu belum lagi masalah keruntuhan akhlak anak-anak remaja Melayu-lslam. Apakah ini kerana para pemimpin kini terlalu banyak politiking. Sebenarnya banyak masalah besar lagi di hadapan kehidupan kita!

Kemarahan Arab kini berpusat di Bahrain

14 Rabiul Awal 1432 H.

MANAMA - Selepas Tunisia dan Mesir, penunjuk perasaan antikerajaan di Bahrain pula memenuhi sebuah dataran di ibu negara itu, semalam, pada hari ketiga protes ganas yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut.

Penduduk negara itu menuntut Perdana Menteri, Sheikh Khalifa bin Salman al-Khalifa berundur selepas memegang jawatan itu selama empat dekad bermula semasa kemerdekaan Bahrain pada 1971.

Orang ramai juga enggan bersurai walaupun selepas pemimpin negara itu memohon maaf atas kematian dua penunjuk perasaan yang ditembak oleh polis.

Selain itu, terdapat laporan awal mengenai jaringan internet di Bahrain mula disekat oleh kerajaan bagi menghalang penunjuk perasaan menganjurkan protes, sama seperti yang berlaku di Mesir, akhir bulan lalu.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Bulatan Mutiara di Manama yang berfungsi serupa dengan Dataran Tahrir di Kaherah, Mesir sebagai pusat protes.

Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al-Khalifa mengucapkan takziah atas kematian dua penduduk negara itu dan berjanji akan menyiasat pembunuhan mereka, Selasa lalu.

Sementara itu, Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangan berhubung protes di Bahrain, iaitu sekutu kuat Washington.

Ribuan penduduk Bahrain mula memenuhi jalan raya di negara kecil itu sejak Isnin lalu selepas mendapat inspirasi daripada kejayaan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir.

Sinar Harian/-

Mahkamah tetapkan 28 Februari keputusan kes Aminul Rashid

14 Rabiul Awal 1432 H.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh keputusan di akhir kes perbicaraan kematian Aminul Rashid Amzah. Hakim Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, pagi tadi.

Sinar Harian/-

Hanya 3 Melayu antara 20 individu terkaya di M'sia

14 Rabiul Awal 1432 H.

Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu terkaya di Malaysia meningkat 30 peratus disebabkan oleh pasaran saham yang aktif dan pengembangan ekonomi negara, lapor majalah perniagaan
Malaysian Business.

Menurut majalah terbitan 16 Februari itu, jumlah kekayaan terkumpul mereka pada 21 Januari tahun ini RM206.27 bilion berbanding RM156.7 bilion setahun lalu.

Peningkatan itu selaras dengan kenaikan 20 peratus di FBM KLCI.

Jumlah bilionaire bagi tahun ini juga meningkat iaitu 27 orang - lima lebih ramai berbanding tahun lalu.

Daripada 20 individu terkaya itu, hanya tiga adalah golongan bumiputera.

Mereka adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary Foundation yang menerajui Kumpulan DRB-Hicom. Beliau menduduki tangga ketujuh dengan kekayaan RM8.84 bilion.

Di tangga kesebelas adalah Tan Sri Azman Hashim daripada Kumpulan Arab-Malaysian dengan kekayaan RM3.9 bilion manakala anak mantan perdana menteri, Datuk Mokhzani Mahathir (kanan) dari Kenchana Petroleum di tangga ke-19 dengan RM1.6 bilion.

Terus mendahului senarai itu adalah Tan Sri Robert Kuok, dengan kekayaan RM50.04 bilion manakala Tan Sri T Ananda Krishnan di tangga kedua dengan RM45.78 bilion.

Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank pula naik ke tangga ketiga dengan kekayaan diramalkan pada RM12.77 bilion. Tempat keempat adalah pemilik IOI Corporation Bhd - Tan Sri Lee Shin Cheng dengan kekayaan RM12.74 bilion.

Kedudukan Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting kekal pada tangga kelima pada nilaiRM10.89 bilion manakala pemilik Kumpulan Hong Leong - Tan Sri Quek Leng Chan menduduki tangga keenam pada RM10.75 bilion.

Malaysiakini/-

Semakan keputusan kes Beng Hock 23 Mei

14 Rabiul Awal 1432 H.

SHAH ALAM, 17 Feb: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh pendengaran semakan kehakiman terhadap keputusan terbuka Mahkamah Koroner membabitkan kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan demikian berikutan permohonan oleh pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad.

Peguam Karpal Singh yang mewakili keluarga Teoh pada pagi ini tidak mengemukakan sebarang bantahan selepas Mohtarudin menetapkan tarikh itu.

Di luar mahkamah, Karpal memberitahu pemberita bahawa pendengaran semakan keputusan koroner itu adalah berlainan daripada siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Diraja mengenai punca kematian Teoh.

Beliau berkata sepatutnya siasatan Suruhanjaya Diraja tidak berjalan serentak dengan semakan kehakiman berkenaan.

Semakan kehakiman itu dibuat oleh Pejabat Peguam Negara yang tidak berpuas hati dengan penghakiman keputusan terbuka yang dibuat pada 5 Januari lalu.

Koroner Azmil Muntapha Abas dalam penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009 memutuskan punca kematian pembantu politik itu bukan kerana bunuh diri mahupun dibunuh.

Sementara itu, anggota suruhanjaya berkenaan melawat tempat Teoh ditemui mati di Plaza Masalam, dekat sini pagi tadi.

Pengerusinya Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan empat anggota lain tiba di bangunan itu pada 9.50 pagi.

Ini merupakan lawatan pertama anggota suruhanjaya ke lokasi kejadian sejak ia memulakan prosidingnya Isnin lalu.

Anggota lain suruhanjaya ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan serta Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Harakahdaily/-

Semoga Mahathir dapat hidayah

14 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat hidayah Allah SWT.

“Saya tidak berhasrat setakat ini untuk mengulas jawapan Tun Mahathir terhadap saya seperti yang tersiar di muka hadapan akhbar Utusan pada hari ini,” tulis beliau yang juga Menteri Besar Kelantan di laman Twitter.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Mahathir berkata, tujuan hidup Mursyidul Am PAS itu hanyalah untuk memenangi pilihan raya dan kemudian menjadi pemerintah bersama DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, Nik Abdul Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam Umno, dalam masa sama bersedia bekerjasama dengan syaitan menjayakan perjuangannya.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga sanggup bekerjasama dengan pihak yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS di samping mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya umat Islam melonggarkan pegangan mereka terhadap ajaran Islam.

‘‘Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya di dalam pilihan raya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah tetapi kemenangan dalam pilihan raya.

‘‘Orang Umno beragama Islam. Walaupun bagi Nik Abdul Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS namun dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli Umno dan ahli PAS juga adalah orang Islam,’’ ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian di dalam entri terbarunya bertajuk ‘Jawapan Kepada Nik Aziz’ di blognya http://chedet.co.cc/chedetblog hari ini.

“Cukuplah saya berkata, saya simpati dengan beliau, semoga beliau mendapat hidayah Allah SWT,” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Harakahdaily/-

NGO jadikan jatuhkan BN agenda bersama

14 Rabiul Awal 1432 H.

PETALING JAYA, 17 Feb: Berpuluh-puluh NGO di Malaysia mencapai kata sepakat semalam untuk menjadikan agenda menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 13 ini sebagai agenda bersama mereka.

Kata sepakat itu dicapai dalam pertemuan tertutup mereka di sebuah hotel dekat sini bersama para pemimpin Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan juga DAP.

PAS katanya diwakili oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, PKR oleh Setiausaha Agungnya, Saifudin Nasution Ismail manakala DAP diwakili oleh Ketua Pemudanya, Anthony Loke.

Menurut sumber, pertemuan tertutup itu dibuat atas jemputan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Ia telah dihadiri oleh pelbagai NGO di Malaysia bagi membincangkan peranan Kuasa Ketiga (Third Force) dalam politik negara ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak membincangkan peranan Kuasa Ketiga di samping BN dan Pakatan Rakyat dalam politik Malaysia.

Ia dipelopori oleh Raja Petra Kamarudin melalui laman webnya Malaysia Today bersama dengan apa yang dinamakan sebagai Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM)

MCLM telah dilancarkan oleh beliau dan rakan-rakannya pada 30 Oktober tahun lalu.

Manurut sumber, persidangan mejabulat semalam cuba membincangkan peranan Kuasa Ketiga.

Sumber itu berkata, selepas berbincang, mereka mencapai kata sepakat paranan mereka yang utama sebenarnya adalah menjatuhkan BN bukannya memecahkan Pakatan Rakyat.

Ini kerana, para NGO ini bimbang kalau-kalau kekeliruan berlaku di kalangan rakyat jika isu Kuasa Ketiga ini diperbesarkan sedangkan kewujudan kuasa atau pun power base mereka pun dipertikaikan.

Harakahdaily/-

Pilihan raya Mesir dalam tempoh enam bulan

14 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Angkatan tentera Mesir mula merangka jadual peralihan kuasa kepada kerajaan yang akan dipilih rakyat dan menegaskan institusi itu tidak mahu mentadbir politik di negara yang diperintah secara kuku besi selama enam dekad.

Tentera Mesir yang dipuji kerana membantu revolusi kekal aman kini berada di bawah tekanan supaya membentuk kerajaan demokrasi baru selain masalah subsidi dan gaji pekerja.

Perarakan menuntut demokrasi di Mesir hampir tamat selepas bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletak jawatan, Jumaat lalu, tetapi ribuan pekerja bank, kilang, syarikat minyak dan kerajaan melancarkan mogok minggu ini.

"Majlis Tertinggi Tentera berharap dapat memindahkan kuasa kepada kerajaan baru yang dipilih rakyat secara adil dan aman dalam tempoh enam bulan dari sekarang," menurut kenyataan pasukan tentera, kelmarin.

Satu jawatankuasa yang diketuai oleh seorang hakim bebas ditubuhkan dan diberikan tempoh 10 hari untuk menggariskan pembaharuan yang perlu dibuat kepada perlembagaan negara itu sebelum pungutan suara rakyat diadakan.

Sinar Harian/-

Pas minta tolak jahiliah moden

14 Rabiul Awal 1432 H.

SENAI – Umat Islam diminta memulakan tekad baru sempena sambutan Maulidur Rasul, dengan menolak jahiliah moden.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jahiliah moden itu adalah pemimpin yang jadikan rakyat hamba.

Jahiliah moden, katanya, adalah mereka yang menentukan harta negara berlegar sesama mereka sahaja, yang terlibat dengan rasuah dan zalim.

Beliau berkata umat Islam perlu mengamalkan perjuangan Islam sebenarnya, iaitu yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam perutusannya sempena sambutan Maulidur Rasul semalam. Abdul Hadi umat Islam perlu ikuti teladan Rasulullah yang diutus Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.

“Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam,” katanya.

Abdul Hadi berkata, jasa besar Rasulullah adalah membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhamba, dijajah, dizalimi dan menzalimi sesama manusia di mana manusia yang merdeka mempunyai hak untuk dihormati.

Katanya, kejayaan besar penjajah barat pula ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam di zaman baginda.

"Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.

"Politik Islam terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas baginda, yang membuktikan sesuatu kaum, khususnya Arab, tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.

“Rasulullah telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

Teladan inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat,” katanya.

Sinar Harian/-

Kompaun : Makin Lambat, Makin Tinggi Bayar

14 Rabiulawal 1432H [MOD]-
PUTRAJAYA 17 FEB : Mulai 1 Mac ini, pengguna jalan raya akan berhadapan dengan kadar kompaun baru saman kesalahan lalu lintas berikutan penyusunan semula kesalahan lalu lintas, yang dipersetujui Kabinet semalam.

Kadar kompaun baru itu akan dikenakan kepada empat kategori kesalahan berbanding tiga kategori sebelum ini dengan kompaun minimum sebanyak RM40 dan maksimum RM300 bagi kelas kenderaan jenis motosikal 250cc dan ke bawah; dan kelas semua jenis kenderaan lain.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha (gambar) berkata kadar kompaun baru itu ditetapkan mengikut kelas kenderaan; tahap keseriusan dan jenis kesalahan.

“Ia juga akan menyaksikan nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun berdasarkan kepada prinsip ‘The More You Delay, The More You Pay’ (Makin Lewat, Makin Banyak Perlu Dibayar)”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina di kementeriannya di sini, semalam.

Tempoh pembayaran dibahagi kepada tiga peringkat iaitu pembayaran pada hari pertama hingga hari ke-15, pada hari 16 hingga hari ke-30 dan pada hari ke-31 hingga hari ke-60.

Bagi saman-saman yang tidak diselesaikan selepas hari ke-60, saman-saman itu akan didaftarkan sebagai kes di mahkamah.

Kong berkata kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan mana-mana kesalahan lalu lintas secara berulang.

“Kompaun berganda itu melibatkan kesalahan dalam kategori pertama, kedua dan ketiga atau kombinasi daripada mana-mana kesalahan daripada kategori tersebut sebanyak tiga kali atau lebih dalam tempoh dua bulan daripada tarikh melakukan kesalahan pertama,” jelasnya.

Kong berkata kadar kompaun bagi kategori pertama dikekalkan maksimum RM300 kerana ia melibatkan kesalahan-kesalahan yang menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan dengan perkhidmatan teksi.

Kadar sama dikenakan kepada kesalahan memandu melebihi daripada had laju, gagal mematuhi peraturan lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, mengekori kenderaan dengan rapat, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Kesalahan tersebut adalah serius dan perlu dikenakan kompaun yang lebih tinggi, berbanding dengan kesalahan-kesalahan kecil lain dan ia melibatkan semua jenis kenderaan termasuk motosikal,” kata menteri itu.

Bagi kategori-kategori yang lain, kadar kompaun adalah berdasarkan tempoh pembayaran dan mengikut tahap keseriusan sesuatu kesalahan.

Kong berkata kerajaan memberi pertimbangan kepada penunggang motosikal di bawah 250cc di mana mereka diberi kadar kompaun lebih rendah berbanding dengan lain-lain kenderaan kecuali bagi kesalahan kategori pertama.

Antara lain, Kong berkata Orang Kena Saman (OKS) tidak dikenakan mata demerit di bawah Sistem KEJARA sekiranya mereka menyelesaikan saman tertunggak dalam tiga bulan.

Kong berkata kadar kompaun baru dipersetujui oleh semua pihak berkepentingan termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan agensi-agensi berkaitan.

“Ia akan diselaraskan oleh semua agensi penguatkuasa termasuk Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Mesyuarat yang diadakan bagi penyusunan semula kesalahan-kesalahan lalu lintas turut melibatkan Badan-badan Bukan Kerajaaan (NGO) dan syarikat insurans, katanya. -BERNAMA

Ibu Mohamad Sabu meninggal dunia

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Mohd Sabri Said.

TASEK GELUGOR, 17 Feb: Ibu kepada AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, Halijah Mat, 91, meninggal dunia pada jam 1.30 pagi tadi di kediamannya di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor, Seberang Perai.

Menurut Mohamad, ibunya meninggal kerana sakit tua dan pernah diserang angin ahmar sebanyak tiga kali sebelum ini.

Kali terakhir serangan angin ahmar ialah pada minggu lalu dan dimasukkan ke hospital swasta di Bukit Mertajam.

Allahyarhamuha meninggalkan tujuh orang anak iaitu Fatimah, Abdullah, Zainab, Sofiah, Mohamad, Kasim dan Zaleha.

Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid Padang Menora dan dikebumikan selepas Zohor nanti di Tanah Perkuburan Islam di tempat yang sama.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Ustaz Khalid Man ketika dihubungi berharap Haji Mohamad dan keluarganya bersabar terhadap dugaan yang diterimanya.

Semoga rohnya tambah beliau, senantiasa dilimpahi rahmat dan diletakan bersama orang-orang yang beriman.

Harakahdaily/-

365 maut sepanjang demonstrasi selama 18 hari di Mesir


14 Rabiulawal 1432H [MOD]-

KAHERAH 17 Feb. - Sekurang-kurangnya 365 orang terkorban dalam insiden tunjuk perasaan yang yang berlaku selama 18 hari sejak 25 Januari lalu, menurut kementerian kesihatan Mesir hari ini.

Itu adalah jumlah menyeluruh pertama yang diberikan oleh kerajaan dalam pemberontakan yang menggulingkan pemimpin lama Hosni Mubarak.

Menterinya, Ahmed Sameh Farid berkata jumlah tersebut hanya bilangan awal orang awam yang terbunuh dan tidak termasuk polis dan tahanan. - Agensi

10 Waktu Mustajab Untuk Berdoa

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Ustaz Zahazan.

Anda sentiasa berdoa tapi masih tak dimakbul kan lagi? Kenapa? Mungkin juga sebab anda berdoa tak kena pada tempat @ masanya.

Berikut ini saya kongsikan info mengenai 10 waktu yang paling sesuai atau waktu yang paling mustajab untuk kita berdoa.

Mudah-mudahan, bila kita berdoa waktu yang mustajab ini, doa kita akan mudah di makbul kan oleh Allah Ta’ala. InsyaAllah.

10 Waktu Mustajab Untuk Berdoa

1. Ketika hujan.

2. Hendak memulakan solat dan selepas solat.

3. Ketika menghadapi musuh dalam peperangan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Berdoalah saat doa itu diperkenankan Allah iaitu pada saat bertemu tentera-tentera (berperang), ketika hendak mendirikan sembahyang dan ketika turunnya hujan.”

(Hadis mursal yang diriwayatkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Azkar)

4. Antara azan dan iqamat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak ditolak doa yang dimohonkan antara azan dan iqamat.” (Riwayat al-Tirmizi)

5. Ketika iktidal yang akhir dalam solat.

6. Ketika sujud dalam solat.

7. Ketika khatam al-Quran (30 juzuk).

8. Sepanjang malam, terutamanya pada sepertiga yang akhir dan pada waktu sahur.

9. Sepanjang hari Jumaat.

Kerana mengharapkan bertemu dengan saat ijabah (saat diperkenankan doa) yang terletak antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.

10. Antara waktu Zuhur dan Asar dan antara Asar dan Maghrib.

Kerajaan ‘ala Mubarak’ tidak akan gugur kes saya, dakwa Anwar

TERKINI
14 Rabiulawal 1432H.[MOD]-
GOMBAK, 17 Feb — Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya tidak mungkin akan digugurkan walaupun wujud bukti baru menunjukkan tiada unsur penetrasi sebagaimana didedahkan di mahkamah semalam.

Ini kerana menurut Anwar, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menjurus kepada corak pemerintahan bekas presiden Mesir Hosni Mubarak, yang akan “mengorbankan” sesiapa sahaja demi kepentingan sendiri.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, bukti terbaru yang muncul berdasarkan kandungan laporan awal proforma, yang diberitahu di mahkamah semalam, jelas membuktikan beliau tidak terlibat tuduhan liwat ke atas bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ketika perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, laporan awal menunjukkan Saiful ada memaklumkan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa Anwar telah “cuba” untuk meliwatnya dan tiada penetrasi.

Dr Khairul Hakim, salah seorang doktor HKL yang memeriksa Saiful mengakui bahawa laporan proforma menyebut Saiful ada memberitahu doktor-doktor pada 28 Jun 2008 tentang adanya cubaan untuk meliwatnya dan seks oral tetapi bukan penetrasi yang sebenar.

“Tapi saya didakwa meliwat bukan cubaan meliwat, dunia mana pun kes seperti ini sudah dibuang,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat yang mengulangi kesnya harus ditarik balik.

“Tapi dalam kes (Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) ala Mubarak tidak boleh,” kata Anwar pada majlis pelancaran Kempen Penerangan Bantah Saman Ekor di sini malam tadi.

Ekoran bukti baru itu, Anwar mahu tuduhan liwat terhadapnya digugurkan.

Ini kali kedua Anwar berhadapan dengan kes liwat dan beliau seringkali mendakwa tuduhan ke atasnya bermotifkan politik.

Perbicaraan disambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh berhujah bahawa penemuan bukti baru itu menunjukkan tuduhan ke atas anak guamannya tidak berasas.

Semalam, Karpal berkata hanya Peguam Negara yang ada kuasa untuk menarik balik tuduhan ke atas anak guamannya.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula mendakwa langkah kerajaan menswastakan saman ekor melalui Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik (AES) adalah untuk menampung perbelanjaan Umno-Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata pelaksanaan sistem AES yang diserahkan kepada dua syarikat iaitu Commerical Circle (M) Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd akan memberikan satu tekanan kepada rakyat.

“Saya berkeyakinan dua syarikat ini mempunyai kaitan dengan Umno-BN dan sudah pasti hasil keuntungan yang akan diperoleh nanti akan diberikan kepada parti ini, sudah pasti keuntungan yang berjuta ringgit ini pasti ada pihak yang dapat keuntungan.

“Sudah tentu ada habuan yang akan dibayar kepada Umno-BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, sebab itu kita bantah saman ekor dan bantah penswastaan saman ekor,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu.

Tambah Mahfuz, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai dua syarikat yang diberikan kuasa untuk melaksanakan AES itu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan kerajaan pimpinan Najib terpaksa bergantung kepada hasil wang saman ekor berbanding hasil negara.

“Kerajaan sekarang begitu kejar rakyat sampai ke lubang cacing semata-mata untuk cekik darah rakyat untuk menampung perbelanjaan negara.

“Hasil negara sudah tidak mencukupi kerana ia hilang begitu sahaja disebabkan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku,” katanya.

Sesi penerangan tersebut akan menjelajah ke seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada mangsa saman ekor.

Sebelum ini PAS telah melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang diketuai Mahfuz dalam usaha membela nasib rakyat yang menjadi mangsa saman ekor.

Anwar pula berkata langkah terbaru Umno-BN itu menunjukkan mereka semakin terdesak untuk menambah perbelanjaan negara.

“Ini salah satu cara kerajaan untuk memperkayakan syarikat yang ada kaitan dengan Umno-BN, dalam pilihan raya umum ke-13 nanti Umno-BN pasti tumbang sebab itu masa sekarang mereka rompak habis-habisan,” katanya.

Turut hadir sama Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.(MInsider)

Kampung Bakam masih mundur, Mana janji Adun BN?

14 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh : Norhadie Sahari.

Kerajaan bangunkan Tamu Bakam dalam RMK-10

MIRI: Tamu Bakam yang juga dikenali sebagai Bakam Point bakal
dibangunkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di kawasan
perkampungan nelayan Bakam bagi merancakkan lagi ekonomi dan sosial
masyarakatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Aidan Wing berkata
perkampungan nelayan di Bakam itu juga bakal dijadikan kampung angkat
oleh Persatuan Melanau Miri (PMM) bagi merealisasikan hasrat tersebut.
“Kita sekarang memberi fokus untuk memajukan Bakam sebagai pintu masuk
bagi kawasan Lambir berikutan kedudukannya yang strategik dalam
memajukan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat,” katanya pada
majlis Hari Keluarga PMM semalam, Aidan menjelaskan, Bakam Point
berkenaan bakal dibina di tapak sedia ada dan dijangka meningkatkan
lagi sumber pendapatan penduduk yang kebanyakan bekerja sendiri
sebagai nelayan dan petani.

Menurutnya, Tamu Bakam akan dibina di atas
sebidang tanah berkeluasan 0.86 ekar dengan kos pembinaan dianggarkan
berjumlah RM400,000. “Kita juga telah memohon peruntukan berjumlah
RM4.9 juta daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
bagi memperkembangkan sector ekonomi penduduk Lambir terutamanya di
Bakam,” tambahnya.

Sehubungan itu, Tamu Bakam kelak bakal menjadi simbol ekonomi penduduk Lambir, seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat berpendapatan tinggi. Dalam majlis yang sama, beliau juga menyarankan supaya ibu bapa mengutamakan
pendidikan anak-anak mereka kerana mereka juga bakal menerajui
kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Pendidikan adalah penting pada masa ini kerana kerajaan memerlukan guna tenaga kerja berkemahiran dan berpengetahuan untuk membangunkan Koridor Tenaga
Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.

Menurutnya, pada tahun 2030,kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 2.3 juta pekerja berkemahiran dan berpengetahuan untuk diserapkan dalam SCORE.

Ulasan Dari PAS Miri

Mengulas kenyataan yang dibuat oleh Adun Lambir pada tahun lalu (2010)
untuk memberi fokus untuk memajukan Bakam sebagai pintu masuk bagi
kawasan Lambir berikutan kedudukannya yang strategik dalam memajukan
dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat. Kita dapati Kampung
Bakam masih lagi terpinggir dari arus pembangunan.

Kampung Bakam adalah sebuah perkampungan yang berhampiran dengan pantai laut cina
selatan, kebanyakan penduduknya bekerja sebagai petani dan juga nalayan. Kampung Bakam jarak perjalanan ke bandaraya Miri lebih kurang setengah jam ke pusat Bandar.

Jalan masuk ke dalam kampung Bakam terlalu sempit dan tidak sesuai untuk kenderaan besar. Sudah hampir bertahun-tahun lamanya penduduk kampung Bakam memohon jalan yang lebih luas dan bertar kedalam kampung tetapi sehingga kini hanya ada
sebahagian kecil sahaja ada jalan bertar itu pun sempit dan kecil
hanya sesuai untuk motorsikal saja dan jalan yang terdapat diluar atau
sekitar jalan kampung pun separuh bertar, Apabila masuk kedalam
pendalaman sedikit jalan masih teruk seperti yang terdapat dalam
gambar ini.


Jalan berlumpur dan becak apabila waktu hujan. Sukar bagi petani atau
perkebun menjalankan aktiviti pertanian serta membawa hasil kebun
mereka ke Bandar.

Bukan saja itu masih ada lagi rumah penduduk yang belum mendapat
bakalan air bersih dan masih menggunakan air perigi dan juga bakalan
api elektrik pun belum semua yang dapat menikmatinya disebabkan kos
pemasangan yang terlalu mahal buat keluarga yang miskin.

Kita memohon agar pihak yang berkenaan jangan hanya pandai berjanji
tetapi tidak dapat melaksanakan janji mereka apabila tiba waktu janji
tersebut dinanti-nantikan oleh penduduk kampung sampai sekarang pun
tidak kelihatan. PAS dan PAKATAN Rakyat sangat perihatin tentang nasib
penduduk kampung yang sudah lama ketinggalan dalam arus pembangunan.
Selama ini nasib penduduk kampung terabai tanpa dipedulikan oleh Adun
yang berkenaan kecuali apabila musim pilihanraya barulah muncul muka
pemimpin Bn merayu undi dari penduduk kampung.

Mereka akan berjanji seperti biasa kepada penduduk dimana akan diberi peruntukan kemudahan asas serta naik taraf jalan di kampung tersebut tetapi bila habis
pilihanraya semuanya tinggal janji saja. Penduduk kampung dengan penuh
kesabaran menunggu bila lagi kampung mereka akan dinaik tarafkan.

Begitulah nasib penduduk dan rakyat Sarawak yang setia dengan BN.
Mereka hanya dijadikan alat untuk meraih undi dan mereka tidak dapat
apa yang mereka hajati kerana hanya segelintir saja yang ada kepentingan dengan pemimpin BN saja yang akan mendapat hasil tersebut.

Kita selalu mendengar BN berjanji memberi peruntukan yang
berbilion-bilion ringgit untuk kemudahan asas rakyat tetapi siapa yang
dapat hasil tersebut adakah rakyat atau pemimpin BN? Kita mohon agar
peruntukan tersebut hendaklah disalurkan dengan segera tanpa sebarang
alasan lagi kerana apa yang penduduk mahu adalah kemudahan asas
bukannya janji-janji kosong saja.

Tepuk dada tanya iman masing-masing semasa mengundi kelak fikirlah
baik2 sebelum menyesal di kemudian hari. Kita sudah memberi peluang
kepada BN memerintah hampir 50 tahun di Sarawak tetapi rakyat Sarawak
tetap masih ramai yang hidup dalam kemiskinan. Ubahlah sekarang demi
kesejahteraan ummah. Kita adalah tuan yang sebenarnya bukannya wakil
rakyat.

Kerana kitalah yang menentukan siapa yang layak menjadi wakil
kita dalam Dun atau parlimen. Jadi kita ingatkan wakil rakyat
janganlah sombong dan menyalahgunakan kuasa apabila sudah dilantik
jadi wakil rakyat. Laksanakan tugas kamu dengan adil dan amanah demi
kebajikan rakyat semua tanpa mengira agama,bangsa dan fahaman politik
masing-masing.

Kalau kamu sudah tidak mampu melaksanakan tugas dan
amanah kamu bagilah peluang pula pada PAS dan PAKATAN Rakyat untuk
memerintah, Isya-Allah pasti ada perubahan yang lebih baik untuk
rakyat semua.

MPKB-BRI jelaskan tuduhan lindungi premis maksiat

14 Rabiul Awal 1432H.
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 16 Feb: Tuduhan kononnya Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) melindungi premis maksiat termasuk sarang pelacuran oleh media masa termasuk blog peribadi pihak tertentu bertujuan untuk memburukkan imej Pihak Berkuasa Tempatan.

Ianya juga bertujuan untuk memburukkan imej kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sehingga mendakwa MPKB-BRI bersekongkol dengan pihak yang tidak bermoral itu.

Ketua Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Ustaz Ropein Hassan, berkata pihaknya mengadakan operasi hampir setiap malam khususnya di kawasan yang disyaki berlakunya perkara terbabit.

Menurutnya, bukan itu sahaja pihaknya turut mengadakan operasi bersepadu dengan Jabatan Halehwal Agama Islam, Imigresen dan polis bila difikirkan perlu.

“Jadi tidak timbul pihak MPKB hanya berdiam diri apa lagi bersekongkol kerana kita sejak sekian lamanya mengadakan operasi demi operasi untuk menghalang tindakan ini termasuk penjualan toto sebagaimana yang didakwa.

“Apa yang dilaporkan oleh pihak media tidak benar sama sekali dan ianya bertujuan untuk memburukkan imej MPKB-BRI terutama kerajaan negeri sendiri,” ujarnya.

Pada masa yang sama, tambahnya pihaknya juga sedang mempergiatkan rondaan khususnya di premis perniagaan bagi memastikan peniaga wanita menutup aurat.

“Tindakan akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi syarat MPKB-BRI,” ujarnya ketika dihubungi. Harakahdaily/-

Ceramah Maulidur Rasul,

14 Rabiul Awal 1432H.

ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim akan menyampaikan ceramah Sempena Maulidur Rasul di Mesjid al Muhsinin Kg. Raja Sg. Petani, Kedah pada 18 Feb ini. Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

10 Individu Terkaya Di Dunia.

14 Rabiul Awal 1432H.
No. 1--- Carlos Slim Helu & Keluarga

Nilai Kekayaan : USD 53.5 bilion ( RM 169.06 bilion )
Sumber kekayaan : Telekomunikasi
Umur : 70 Tahun
Warganegara : Mexico


No. 2 --- William Gates III

Kekayaan : USD 53 bilion ( RM 167.48 bilion )
Sumber pendapatan : Microsoft
Umur : 54 tahun
Warganegara : Amerika Syarikat

No 3 --- Warren Buffett

Jumlah kekayaan : USD 47 bilion ( RM 148.52 bilion )
Sumber kekayaan : Berkshire Hathaway (Pelaburan)
Umur : 79 tahun
Warganegara : Amerika Syarikat

No. 4 --- Mukesh Ambani

Jumlah kekayaan : USD 29 bilion ( RM 91.64 bilion )
Sumber kekayaan : Petrokimia, minyak & gas
Umur : 52 tahun
Warganegara : India

No. 5 --- Lakshmi Mittal

Jumlah kekayaan : USD 28.7 bilion ( RM 90.692 )
Sumber kekayaan : Baja
Umur : 59
Warganegara : India

No. 6 --- Lawrence Ellison

Jumlah kekayaan : USD 28 bilion ( RM 88.48 bilion )
Sumber kekayaan : Oracle
Umur : 65 tahun
Warganegara : Amerika Syarikat

No. 7 --- Bernard Arnault

Jumlah kekayaan : USD 27.5 bilion ( RM 86.9 bilion )
Sumber kekayaan : LVMH (Louis Vutton)
Umur : 61 tahun
Warganegara : Perancis

No. 8 --- Eike Batista

Jumlah kekayaan : USD 27 bilion ( RM 85.32 bilion )
Sumber kekayaan : Perlombongan, Minyak
Umur : 53
Warganegara : Brazil

No. 9 --- Amancio Ortega

Jumlah kekayaan : USD 25 bilion ( RM 79 bilion )
Sumber kekayaan : Zara ( Fashion, Pelaburan )
Umur : 74
warganegara : Sepanyol

No. 10 --- Karl Albrecht

Jumlah kekayaan : USD 23.5 bilion (RM 51.7 Bilion)
Sumber kekayaan : Aldi (peruncitan)
Umur : 90 tahun
Warganegara : Jerman