11 February 2011

Panglima tentera Mesir dijangka buat 'pengumuman penting'

08 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH: Ketua angkatan tentera Mesir sebentar tadi dilaporkan memanggil satu mesyuarat tergempar dan difahamkan pihak tentera negara itu merancang mengeluarkan satu 'pengumuman penting' susulan pertemuan hari ini, kata agensi berita negara itu, MENA.

Ia adalah satu tindak balas terhadap penunjuk perasaan selepas Presiden Hosni Mubarak masih enggan melepaskan jawatannya dalam satu pengumuman yang disiarkan menerusi televisyen di negara terbabit.

MENA berkata, Ketua Komander dan Menteri Pertahanan Mesir, Panglima Tentera Darat Hussein Tantawi, mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Agung Angkatan Tentera Mesir.
Selepas mesyuarat itu, jawatankuasa berkenaan akan membuat satu pengumuman penting kepada rakyat Mesir.

SinarHarian/-

Jerebu di Pulau Pinang akibat pembakaran jerami

08 Rabiul Awal 1432 H.

GEORGE TOWN - Pulau Pinang dilanda jerebu sejak beberapa hari lalu yang dikatakan berpunca daripada aktiviti pembakaran jerami di beberapa kawasan sawah padi di negeri ini.

Pegawai di Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, Badlishah Ahmad berkata, keadaan jerebu semakin buruk dengan cuaca kering dan panas sejak seminggu lalu.

"Bagaimanapun jerebu di negeri ini hanya pada tahap sederhana dan tidak membimbangkan dan keadaan ini akan berubah apabila berlaku perubahan tiupan angin yang membentuk awan tebal dan hujan," katanya hari ini.

Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicatat di beberapa kawasan meningkat dengan bacaan antara 60 dan 75 hari ini berbanding bacaan antara 50 dan 65 semalam.

Bacaan IPU di Seberang Jaya hari ini adalah 75 dengan jarak penglihatan 5 km, Perai (63) (6km) dan Universiti Sains Malaysia (61) (7km).

Sinar Harian/-

Isa Samad Perlu Cermin Diri

08 Rabiul Awal 1432 H.

SHAH ALAM 10 FEB : Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid mahu Tan Sri Isa Samad mencerminkan dirinya sebelum mempertikaikan hak orang lain bagi membincangkan perlantikan seorang yang terbukti terpalit dengan rasuah dalam institusi penting di negara ini.

Isa Samad yang baru dilantik sebagai Pengerusi FELDA hari ini mempertikai kritikan Angggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara(NEAC) Zainal Aznam Yusof yang menyifatkan perlantikan itu sebagai hari sedih, kerana bekas Meteri Besar Negeri Sembailan itu terpalit dengan tuduhan rasuah.

Bagi Abdullah Sani perkara ini perlu dipertikai kerana ia membabitkan masa depan orang Melayu.

"Perlu dipertikaikan kerana ini masa depan orang Melayu yang khususnya bergantung sumber rezeki kepada kelapa sawit yang dikategorikan sebagai sumber kedua terbesar dalam negara.

"Persoalan untuk beliau mempertikaikan orang yang membincangkan soal itu boleh dianggap biadap dan ini telah melanggar etika demokrasi, bahawa orang boleh memberikan pandangan," kata Abdullah lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan berkata Isa jangan melihat teguran itu bersifat peribadi.

Menurut Wan Saiful, soalan yang diajukannya pada forum anjuran IDEAS itu kepada Zainal, adalah bersabit bagaimana individu yang bergelar ahli politik boleh dilantik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun malangnya ujar Wan Saiful, dalam konteks itu, Isa adalah orang yang menerima jawatan itu dan beliau sememangnya seorang pemimpin yang terpalit dengan salah laku rasuah yang membelit dirinya.

"Saya rasa pandangan itu mungkin diambil bukan dengan cara yang sepatutnya. Mungkin beliau ambil (pandangan) itu sebagai kritikan terhadap dia. Jadi yang saya hendak jelaskan ialah, kita bukan hendak mengkritik dia.

"Dalam hal ini saya harap Tan Sri Isa tidak ambil secara peribadi sebab kritikan itu bukan kritikan secara peribadi tetapi adalah kritikan dari sudut proses perlantikan beliau yang dibuat oleh orang lain, bukannya beliau yang melantik diri sendiri.

"Jadi rasanya target sebenar Datuk Zainal Aznam dan saya pada program yang sama, target kami adalah proses itu, bukan kepada Tan Sri itu sendiri," jelas Wan Saiful yang berada di New Delhi ketika dihubungi Tv Selangor hari ini.

Terdahulu, kemuraman pasaran saham yang menjadi tidak menentu dengan perlantikan Isa juga dipersetujui oleh ketua pegawai eksekutif, Maybank Investment, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Zainal pada forum itu menyifatkan keterlibatan Isa dengan beberapa siri rasuah adalah punca kebimbangan pasaran.

Isa terpalit dengan politik wang ketika pemilihan parti itu dan digantung jawatannya oleh lembaga disiplin Umno pada 2005.

Malah menurut Zainal, pembaharuan sebenar hanya boleh dicapai jika ada pengharaman menyeluruh pelantikan ahli politik mengetuai GLC.

Namun Isa yang mendengar pandangan pakar ekonomi ini pantas melenting kerana mungkin rasa tersindir dengan pendapat itu.

Tv Selangor/-

Pusat Darah Negara Perlu Darah Jenis 'A' Dan 'O'

08 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR 11 FEB: Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan antara 400 hingga 500 unit darah terutama jenis 'A' dan 'O' untuk menampung keperluan darah di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.

PDN dalam kenyataannya hari ini, berkata simpanan darah itu bagi menampung bekalan selepas musim perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah pada Mac ini.

"Simpanan darah ini amat diperlukan bagi rawatan kes seperti pemindahan organ, pesakit Thalasemia, Haemofolia, denggi berdarah dan sebagainya," kata kenyataan itu.

PDN juga akan beroperasi pada hari Maulidur Rasul yang jatuh pada Selasa ini, iaitu dari pukul 8 pagi hingga 4 petang.

Operasi pada hari-hari bekerja pula dilanjutkan sehingga pukul 8 malam dari pukul 7.30 pagi, dan hari Sabtu dari 7.30 pagi hingga 4 petang.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi PDN di talian 03-2695 5557 atau 03-2695 5558

Enam maut pesawat terhempas di Ireland

08 Rabiul Awal 1432 H.

BEBERAPA anggota jabatan bomba memeriksa pesawat yang terhempas di Lapangan Terbang Cork, selatan Ireland semalam.

DUBLIN - Sebuah pesawat penumpang terhempas dan terbakar semasa mendarat di Lapangan Terbang Cork, di selatan Ireland semalam dengan menyebabkan enam orang terbunuh manakala enam yang lain cedera, kata beberapa pegawai.

Nahas berlaku ketika pesawat berenjin kipas itu yang membawa 12 orang, cuba mendarat untuk kali ketiga dalam cuaca berkabus selepas ia bertolak dari Lapangan Terbang Belfast, di Ireland Utara.

"Saya boleh mengesahkan bahawa terdapat enam kemalangan jiwa dan enam lagi mangsa dirawat di hospital," kata jurucakap daerah Cork, Tom O'Sullivan.

Gambar-gambar yang dirakamkan beberapa saksi menunjukkan pesawat milik syarikat penerbangan Manx2 itu berada dalam keadaan terbalik dengan bahagian hadapannya hampir musnah sama sekali selepas kemalangan dahsyat tersebut.

Pihak Berkuasa Penerbangan Ireland pula memberitahu, pesawat jenis The Fairchild Metroliner SW4 berkenaan membawa 10 penumpang dan dua krew apabila ia terhempas dalam keadaan jarak penglihatan yang terhad.

"Terdapat api dan serpihan berselerakan di atas landasan," kata kenyataan pihak berkuasa tersebut.

Metro/-

Hosni Enggan Undur, Obama Kecewa, Mesir Bakal Meledak

08 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH 11 FEB: Keengganan Presiden Mesir Hosni Mubarak berundur dengan menolak tuntutan penunjuk perasaan terus menimbulkan ketegangan di negara yang bergolak itu.

Tunjuk perasaan kini masuk hari ke-17.

Hosni berkata beliau akan kekal menerajui negaranya sehingga pemilihan September ini.

Selepas itu, beliau akan menyerahkan sebahagian kuasa kepada naibnya Omar Suleiman tetapi tiada butiran diberikan.

“(Saya) tidak boleh dan tidak akan menerima arahan-arahan dari luar (supaya berundur),” katanya.

“Saya tidak akan berpisah dari tanah Mesir sehingga saya dikebumikan,” kata Hosni lagi.

Sejurus selepas ucapan Hosni, penunjuk-penunjuk perasaan menyambut ucapan Hosni dengan perasaan marah manakala pemimpin pembangkang utama pula menyifatkan pendirian terbaru presiden itu akan menyebabkan “Mesir meledak.”

Mereka yang menyertai demonstrasi tersentak dengan pendirian Hosni sambil melaungkan: “Pergi, pergi. pergi.”

Sesetengah penunjuk perasaan kelihatan menitiskan air mata manakala beberapa yang lain terkejut dengan ucapan itu.

Pemenang hadiah Nobel Keamanan Mohamed ElBaradei, yang dilihat sebagai pemimpin pembangkang utama di Mesir sekarang, meramalkan “Mesir akan meletup” kerana Hosni enggan tunduk kepada tuntutan rakyat.

Justeru, bekas ketua agensi nuklear antarabangsa ini meminta tentera campur tangan.

Sementara itu, rakan sejawatnya iaitu Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dilaporkan tidak gembira dengan pendirian terbaru Hosni.

Beliau mengeluarkan kenyataan segera selepas 17 minit Hosni menyatakan pandangannya.

Dalam satu kenyataan, Obama menegaskan kerajaan Mesir belum mengetengahkan laluan yang 'berwibawa, konkrit dan jelas' ke arah memulihkan demokrasi.

Menurut Obama “rakyat Mesir masih belum yakin bahawa kerajaan (mereka) serius mengenai peralihan tulen untuk (melaksanakan) demokrasi.”

“Rakyat Mesir telah dimaklumkan adanya satu peralihan kuasa, tetapi ia masih belum jelas sama ada peralihan ini segera dilaksanakan, bermakna atau mencukupi,” kata Obama.

Tv Selangor/-

Banjir Johor Semakin Baik

08 Rabiul Awal 1432 H.

JOHOR BAHARU 11 FEB: Keadaan banjir di Johor semakin baik dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan kini berkurang kepada 7,958 orang, demikian lapor portal rasmi negeri Johor.

Laporan di www.johordt.my. itu berkata sehingga pukul 8 pagi ini, seramai 459 orang telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini masih terdapat 37 pusat pemindahan dibuka meliputi daerahMuar, Batu Pahat, Ledang dan Segamat.

Batu Pahat kekal masih mencatatkan teramai dengan 5,384 orang daripada 1,179 keluarga, diikuti Ledang (1,180 orang daripada 231 keluarga), Muar (1,091 orang daripada 228 keluarga), dan Segamat (303 orang daripada 74 keluarga).

Jalan Pogoh Tekam Seksyen 1-Seksyen 3 (Chodan ke Tekam) di Segamat masih ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sedalam satu meter sepanjang satu kilometer.

Tv Selangor/-

Kuasa rakyat Mesir 'mimpi ngeri' Mubarak, AS

08 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh Nazri Abdullah.

KUALA LUMPUR, 11 Feb: PAS yakin kuasa rakyat Mesir yang berada di kemuncak pada waktu ini, mampu mengubah lanskap politik negara teluk itu dalam masa terdekat.

Biarpun Presiden Mesir, Hosni Mubarak dalam ucapannya yang disiar televisyen negara itu semalam sekali lagi memberikan harapan palsu kepada rakyatnya, namun bantahan berterusan dari rakyat sekurang-kurangnya telah menekan Mubarak dan menggugat pengaruh Amerika Syarikat.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, bantahan rakyat sejak 28 Januari lalu bagai mimpi ngeri kepada Amerika Syarikat sehingga kini mereka hilang arah.

Katanya, ianya boleh dibuktikan dengan beberapa kenyataan dari pemimpin negara barat itu yang dilihat 'flip-flop', ada ketikanya menggesa Mubarak kekal dan ada pula mahu presiden Mesir itu berundur segera.

"Saya yakin dengan kuasa rakyat Mesir dan Amerika sekarang sangat terkejut dengan fenomena kebangkitan besar-besaran rakyat Mesir ini.

"Mereka pun tidak dapat menentukan apa lagi yang akan berlaku.

"Saya percaya, Amerika tidak ada kekuatan lagi untuk mempertahan regim Mubarak yang ada ini," katanya.

Mubarak muncul melalui siaran televisyen seluruh negara dan berucap kepada rakyat yang membantahnya.

Rakyat yang sebelum ini diberitahu akan ada berita gembira tentang pengumuman pengunduran Mubarak, bagaimanapun kecewa apabila presiden yang dibantah itu memaklumkan akan terus berada di pejabat presiden sehingga pemilihan September depan.

Beliau juga memberitahu telah mengalihkan sebahagian kuasanya kepada Naib Presiden yang baru dilantik, Omar Suleiman dan mengarahkan perlembagaan negara itu dipinda.

Berita itu bagaimanapun ditolak rakyat yang mahu bukan sahaja Mubarak, tetapi seluruh kerajaan regim berundur segera tanpa syarat.

"Media cuba gambarkan rakyat hanya tolak Mubarak.

"Rakyat Mesir sebenarnya bukan hanya tolak Mubarak, tetapi seluruh aparatus kerajaan regim itu," kata Syed Azman lagi.

Mengulas himpunan besar-besaran rakyat Mesir selepas Jumaat hari ini beliau berkata, rakyat Mesir sebenarnya sudah nekad, tidak akan berundur ke belakang lagi, sama ada menang dalam tuntutan ini ataupun mati syahid.

Dijangkakan 20 juta rakyat Mesir akan berhimpun selepas solat Jumaat hari ini dan akan berarak ke Istana Mubarak di Abdeen, Kaherah.

Difahamkan, Istana Presiden tersebut adalah kawasan larangan dan tidak pernah ada mana-mana pihak dibenar masuk ke istana itu sejak sekian lama pemerintahan regim.

Harakahdaily/-

Tanggung sendiri kos

08 Rabiul Awal 1432 H.

SHAH ALAM – Kos kembali semula ke Mesir membabitkan pelajar yang dibawa pulang ke tanah air oleh kerajaan berikutan krisis politik negara itu, perlu ditanggung keluarga masing-masing. Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, kerajaan menerusi Ops Piramid menetapkan misi hanya untuk memindahkan dan membawa pulang mereka ke tanah air atas sebab keselamatan kerana itu tanggungjawab pemerintah.

"Tetapi untuk kembali semula ke Mesir, kenalah keluar belanja sendiri," katanya. Shahlan berkata, operasi membawa pulang semua rakyat Malaysia termasuk bukan pelajar yang masih berada di pusat transit di Jeddah, Arab Saudi akan diselesaikan selewatnya Ahad. Dalam pada itu, katanya, kerajaan akan sentiasa memantau keselamatan mereka yang masih berada Mesir dalam keadaan krisis politik negara itu masih belum pulih.

Menurutnya, kerajaan menghormati pendirian kumpulan berkenaan yang enggan keluar dihantar pulang ke tanah air berikutan kedudukan mereka yang jauh dari lokasi krisis. "Mereka ada sebab untuk membuat keputusan demikian.

Bagaimanapun kita harap mereka sentiasa jaga diri dan pihak kedutaan juga akan sentiasa memantau keadaan mereka. "Kumpulan itu juga jangan sesekali melakukan sesuatu yang boleh mengundang risiko," katanya. Shahlan berkata, antara alasan utama kumpulan itu ialah mereka mahu menamatkan pengajian yang dijadualkan berakhir bulan depan.

Sinar Harian/-

Ribuan pekerja mogok

08 Rabiul Awal 1432 H.

KAHERAH - Ribuan pekerja di seluru:h Mesir mogok, kelmarin, sekali gus membuka dimensi baru rusuhan di mana rakyat beralih kepada harta keluarga Presiden Hosni Mubarak sementara hampir setengah penduduk negara itu terpak:sa hidup dalam kemiskinan.

Mogok itu dilaporkan tercetus di pelbagai jenis sektor, antaranya pekerja kereta api dan bas, juruteknik di Terusan Suez, pekerja kilang pembuatan tekstil, baja dan minuman serta pekerja hospital.

Pada masa yang sama sekitar 8,000 penunjuk perasaan, kebanyakannya petani, membuat sekatan lebuh raya dan landasan kereta api ke Kaherah dari Assiut, menggunakan pokok palma yang dibakar.

Laporan menyatakan, rusuhan berlaku kerana penduduk tidak berpuas hati kerana kekurangan bekalan roti di daerah itu manakala ratusan lagi di bandar Terusan Suez membakar sebahagian ibu pejabat gabenor kerana kekurangan tempat tinggal.

Seorang pemimpin rusuhan, Kamal Abbas berkata, pekerja terdorong mengadakan mogok selepas mendengar berita mengenai harta keluarga Mubarak yang mencecah puluhan bilion dolar.

Laporan pemerhati menunjukkan, sekitar 40 peratus daripada 80 juta penduduk di negara itu kini hidup di bawah atau berhampiran garisan kemiskinan dengan hanya menerima upah sebanyak AS$2 (RM6) sehari.

Sinar Harian/-

30,000 pemuda PAS berhimpun di Alor Setar

08 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh Khairul Izwan.

KUALA LUMPUR, 11 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah bersiap sedia menjadi tuan rumah Himpunan 30 000 Pemuda PAS seluruh negara yang akan diadakan pada 19 Februari ini.

Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahya (gambar) ketika di hubungi Harakahdaily hari ini berkata, persiapan untuk menganjurkan himpunan tersebut telah dilakukan dengan baik.

"Kita (Pemuda PAS Kedah) dah buat beberapa persiapan dan sekarang hampir 70 peratus persiapan itu dah siap.

"Antaranya kita buat persiapan dari segi tempat berhimpun, dan kita juga membuat persiapan dari segi tempat tinggal peserta himpunan yang datang dari jauh. Makan minum juga kita sediakan untuk makan tengahari," ujar Ustaz Ahmad.

Menurut Ustaz Ahmad, Negeri Kedah di jadikan tuan rumah perhimpunan ini adalah sebagai isyarat bahawa Kedah mesti di pertahankan pada PRU-13 nanti.

Himpunan 30 000 Pemuda itu merupakan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat adalah untuk menyemarakkan semangat jihad pemuda dalam menghadapi PRU-13 serta menonjolkan kekuatan pemuda.

Himpunan tersebut akan diadakan di Kompleks PAS Negeri Kedah, Simpang Empat pada hari Sabtu, 19 Februari nanti menggunakan tema 'Masa Untuk Berubah'.

Pelbagai program telah dirangka untuk program ini untuk dijadikan pengisian.

Harakahdaily/-

Cadang calon Rosmah tidak masuk akal

08 Rabiul Awal 1432 H.

MERLIMAU – Tindakan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya meletakkan isterinya sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau adalah tidak masuk akal.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

“Ia jelas menunjukkan sikap tidak rasional pemimpin pembangkang terutama PKR yang sebenarnya hanya mahu menarik perhatian rakyat.

“Sebenarnya ini cara lapuk yang digunakannya dan pasti hanya membuatkan rakyat menyampah terhadap kepimpinan PKR sedia ada," katanya.

Menurutnya, sepatutnya Zuraida membawa idea dan usaha untuk membawa perubahan kepada Wanita PKR ke arah lebih positif.

"Saya harap, Zuraida menghentikan kenyataan yang tidak signifikan terhadap golongan wanita, sebaliknya berusaha membangunkan rakyat di kawasan beliau," katanya.

Sinar Harian/-

Ikhwan risau tentera ambil alih

08 Rabiul Awal 1432 H.

PENUNJUK perasaan ceria mendengar pengumuman tentera mengambil alih pemerintahan.
Anggap Hosni Mubarak bukan masalah tetapi keseluruhan pentadbiran

KAHERAH: Seorang pegawai kanan pembangkang terbesar Mesir, Ikhwanul Muslimin, menyuarakan kebimbangan dengan tindakan tentera Mesir mengambil alih pemerintahan dengan merampas kuasa.

“Ia nampaknya satu rampasan kuasa tentera. Saya bimbang. Masalahnya bukan presiden tetapi rejim yang memerintah,” kata Essam al-Erian.
Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), parti yang memerintah pula bersetuju supaya Mubarak berundur selepas penunjuk perasaan menuntutnya meletakkan jawatan.
“Saya jangka presiden akan memberi jawapan kepada tuntutan rakyat kerana apa yang penting bagi beliau ialah kestabilan negara. Jawatan tidak penting baginya,” kata Hossam Badrawi.

“Saya berpendapat, tindakan paling tepat ialah menghantar surat meminta Perlembagaan dipinda, meletak jawatan dan memberi kuasa kepada Naib Presiden serta meminta pilihan raya segera diadakan selepas pindaan diluluskan.
“Saya tidak fikir beliau akan tinggalkan negara. Beliau wira dan banyak melakukan kebaikan mahupun kesilapan,” katanya lagi.

Awalnya, Kerajaan Mesir memberi amaran tentera akan bertindak keras kepada penunjuk perasaan yang membantah Presiden Hosni Mubarak tetapi protes diteruskan dan diperhebatkan mogok pekerja pada hari ke-17 bantahan antikerajaan, semalam.
Penunjuk perasaan juga berkumpul sambil menjerit slogan bantahan di depan Parlimen, bangunan Kabinet dan Kementerian Kesihatan tidak jauh dari Dataran Tahrir selain menyekat Perdana Menteri, Ahmed Shafiq daripada tiba di pejabatnya.

“Mubarak, beritahu kami di mana kamu dapat AS$70 bllion (RM210 bilion),” laung berpuluh-puluh penunjuk perasaan di depan Kementerian Kesihatan, merujuk kepada laporan pemimpin itu mengumpul kekayaan besar sejak memerintah.

Laporan mengenai ramai penunjuk perasaan ditahan tentera dan didera turut luas tersebar. Ratusan penunjuk perasaan berarak ke parlimen dari tempat perhimpunan di Dataran Tahrir sehari selepas protes besar-besaran sejak kebangkitan bermula di seluruh negara.

Menteri Luar, Ahmed Abul Gheit memberi amaran, tentera masih tidak menyokong mana-mana pihak tetapi akan campur tangan jika protes terhadap pemerintahan 30 tahun Mubarak yang turut disokong Amerika Syarikat itu menjadi ganas.

“Jika kekacauan berlaku, pasukan bersenjata akan campur tangan, langkah yang mungkin membawa kepada situasi yang lebih bahaya,” lapor agensi berita MENA yang memetik temuramah Abul Gheit di saluran televisyen al-Arabiyah.

Kenyataan itu dibuat selepas Naib Presiden, Omar Suleiman memberi amaran rampasan kuasa kemungkinan berlaku jika peralihan kuasa secara aman gagal dilaksanakan. Abul Gheit turut menyelar Amerika kerana mahu pembaharuan segera.

“Amerika memaksa negara besar seperti Mesir ini mengambil tindakan segera sedangkan selama ini, Mesir berkawan baik dengannya,” katanya.

Penunjuk perasaan bagaimanapun tidak menunjukkan tanda untuk berundur dan ratusan ribu terus membanjiri Dataran Tahrir.
Sinar Harian/-

Nik Aziz rasmi Markas Induk PAS Merlimau esok

08 Rabiul Awal 1432 H.

JASIN, 11 Feb: Perasmian Markas Induk PAS PRK Merlimau di Taman Muhibbah, Merlimau oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijadualkan pagi ini ditunda pada jam 11.00 pagi esok (12 Februari).

Setiausaha Jabatan Pilihan raya Negeri Melaka, Bahiki Ismail berkata, lain-lain program yang melibatkan Tuan Guru termasuk menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina di Markaz PAS Merlimau pada 8.00 malam ini tidak berubah.

Tambahnya, Tuan Guru juga akan menyampaikan ceramah bermula jam 9.00 malam esok di As-Solihin Merlimau bersama-sama dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Harakahdaily/-

Pelajar ucap jutaan terima kasih

08 Rabiul Awal 1432 H.
Oleh Arfah Mawaddah .

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, dengan ini saya dan rakan-rakan adalah antara pelajar yang terlibat dalam proses pemindahan pelajar Mesir ke Malaysia ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada:

1. Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM)

2. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

3. Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM)

4. Lembaga Zakat Selangor (LZS)

5. Pesawat Penerbangan AirAsia (Mesir-Jeddah)

6. Saudi Arabian Airlines (SV838) Jeddah-Riyadh-Singapura

7. Staff Madinatul Hujjaj, Tabung Haji Malaysia, Jeddah, Arab Saudi

Serta semua rakyat Malaysia yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam operasi ini. Sesungguhnya berkat doa dan usaha kalianlah yang mempermudahkan perjalanan kami. Hanya Allah sahaja yang layak melimpahkan rahmat-Nya kepada kalian.

Akhir kata, bumi Mesir terlalu dekat di hati kami, doakan agar kami dapat meneruskan permusafiran ilmu di bumi barakah itu, kepada azhari/ah,doktor/ah, jadikan peluang ini untuk menabur khidmat kepada masyarakat kita atas nama Islam.

Semoga Malaysia akan menjadi negara yang menepati "baldatun tayyibaton, wa rabbun ghafur" amin.

Harakahdaily/-

Pelajar kembali dari Mesir perlu kemuka maklumat

08 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR - Semua pelajar universiti di Mesir yang kembali ke tanah air diminta mengemukakan maklumat peribadi kepada Bahagian Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi, segera.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi hari ini, antara maklumat yang perlu dikemukakan ialah nama, nombor kad pengenalan, nama universiti di Mesir, pengajian, tahun pengajian dan alamat serta talian telefon yang boleh dihubungi di Malaysia.

Maklumat peribadi itu boleh dikemukakan kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi di e-mel zarida@mohe.gov.my atau alwee@mohe.gov.my dengan kadar segera, menurut kenyataan itu.

Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Prof Madya Dr Zarida Hambali di talian 012-330 0651.

Kenyataan itu menyebut maklumat tersebut sangat diperlukan oleh kementerian untuk membuat penyelarasan bagi segala aktiviti berkaitan pelajar berkenaan.

Sinar Harian/-

Kempen moral pemuda Pas petanda awal pelaksanaan dasar negara Islam

08 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR - Langkah Pemuda Pas untuk menjalankan kempen membendung gejala tidak bermoral pada sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih Isnin ini adalah petanda awal pelaksanaan dasar negara Islam DAP-Pas-PKR, kata Pemuda MCA hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan negeri pimpinan DAP-Pas-PKR di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor perlu membuat pendirian berhubung kenyataan Ketua Pemuda Pas Nasrudin Hasan Tantawi mengenai perkara itu.

Nasrudin pada Selasa lalu berkata, Pemuda Pas akan melancarkan kempen membendung gejala tidak bermoral di keempat-empat negeri yang diperintah oleh gabungan ketiga-tiga parti itu sempena sambutan Hari Kekasih.

Sinar Harian/-