04 February 2011

PAS cabar Najib kutuk Hosni Mubarak

1 Rabiul Awal 1432H.
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 4 Feb: PAS mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan pendirian terhadap Presiden Mesir Hosni Mubarak dan kerajaannya yang kini sedang berdepan penolakan rakyat di negara teluk itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini Najib dilihat mengambil sikap berkecuali biarpun keangkuhan Hosni Mubarak berundur telah membangkitkan penentangan rakyat negara itu sehingga negara lain termasuk Malaysia terpaksa bersusah membawa pulang rakyat masing-masing.

"Kita menuntut Najib menyatakan sikap yang jelas sama ada mahu mempertahankan Hosni Mubarak dan kerajaannya atau sebaliknya.

"Kita kecewa sehingga kini Najib tidak berani memberi tekanan kepada Hosni Mubarak," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya, Perdana Menteri sepatutnya malu apabila Tokoh Ma'al Hijrah Malaysia 2009, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi dengan begitu tegas menggesa Hosni Mubarak berundur dengan segera.

"Orang yang kita bagi anugerah pun boleh buat macam tu sedangkan dia tidak ada apa-apa kepentingan politik pun, malu la kita," ujarnya lagi.

Sebelum ini, al-Qaradawi yang juga Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, turut meminta Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau pergi secara paksaan.

Katanya, presiden Mesir itu perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali.

"Undurlah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir.

"Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak," katanya.

"Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, PAS dan seluruh rakyat negara ini ujar Mahfuz sedang menanti pendirian Najib dalam isu ini.

"Rakyat sedang menunggu Najib untuk mengutuk Mubarak yang enggan tunduk kepada tuntutan rakyat sendiri," katanya

Harakahdaily/-

MAS Dibenarkan Berlepas/Mendarat Di Lapangan Terbang Mesir dan Arab Saudi

1 Rabiul Awal 1432H.

JEDDAH: Malaysia Airlines (MAS) mendapat kebenaran pihak berkuasa Mesir dan Arab Saudi untuk berlepas dan mendarat di lapangan terbang kedua-dua negara itu sehingga Isnin depan untuk misi memindahkan pelajar dan warga Malaysia dari Mesir yang sedang bergolak.

"Kebenaran ini penting bagi melicinkan proses pemindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Kaherah, Mesir ke Jeddah," kata Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang.

Chef de Mission MAS itu berkata hubungan akrab MAS dengan pihak berkuasa lapangan terbang Arab Saudi dan Mesir adalah antara faktor penyumbang kepada kelancaran proses membawa keluar warga Malaysia di Kaherah.

"MAS memang mempunyai perjalanan ke Jeddah dan kita mempunyai sistem di situ.

Bagaimanapun di Kaherah, kita menjalin hubungan baik dengan EgyptAir yang turut membantu kita memperoleh kebenaran untuk mendarat dan berlepas.

"Sememangnya MAS boleh melakukan penerbangan ke mana sahaja tetapi apa yang penting ialah kebenaran untuk mendarat dan berlepas perlu ada," katanya kepada wartawan Malaysia yang meliputi misi tersebut di sini, Jumaat.

Mengakui misi ini agak mencabar, Mohd Nawawi bagaimanapun berkata MAS kerap berhubung dengan menara kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mendapatkan maklumat dan situasi terkini di Kaherah.

Kumpulan pertama 365 rakyat Malaysia termasuk seorang bayi berjaya dibawa keluar dari Kaherah dan tiba di Jeddah dengan pesawat Boeing 747 milik MAS.

Mohd Nawawi berkata penerbangan MAS membawa kumpulan pelajar dan warga Malaysia untuk hari ini bermula pada pukul 8 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) manakala penerbangan kedua pula bermula pada pukul 4 petang waktu tempatan (10 malam waktu Malaysia).

Dalam pada itu, beliau berkata MAS dan pihak berkuasa Malaysia sedang berbincang tentang urusan membawa pelajar dan warga Malaysia pulang terus ke tanah air dari Jeddah.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada keputusan dibuat mengenainya.

"Apa yang penting sekarang, kita akan sedaya upaya membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah," katanya.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak seminggu lalu, berpuluh ribu rakyat keluar ke jalan-jalan raya di Mesir mengadakan demonstrasi mendesak Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah negara itu selama 30 tahun, agar segera berundur.

Tunjuk perasaan berlaku di bandar-bandar besar termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura. -BERNAMA

Kumpulan Pertama 356 Pelajar Malaysia Di Mesir Selamat Tiba Di Jeddah

Sebahagian pelajar Malaysia kumpulan pertama seramai 356 yang di bawa dari Mesir dengan pesawat Malaysia Arilines (MAS) dan AirAsia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah pada Jumaat. Foto BERNAMA

1 Rabiul Awal 1432H.

JEDDAH: Kumpulan pertama pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir berjaya dibawa keluar dari Kaherah pada pukul 3 petang semalam waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) dan selamat tiba di sini.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 356 orang pelajar termasuk seorang bayi, berjaya dibawa keluar menerusi pesawat Boeing 747 milik Malaysia Airlines (MAS).

Naib Pengerusi Eksekutif Hubungan Luar MAS Kapten Datuk Mohd Nawawi Awang berkata MAS menggunakan pesawat itu bagi memaksimumkan jumlah pelajar dan rakyat Malaysia untuk dibawa keluar dari Kaherah ke Jeddah.

"Pesawat ini mampu ulang alik sebanyak tiga kali dalam sehari. Pun begitu, hari pertama kita tidaklah terlalu sukar (untuk mendarat di Kaherah) dan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, suasana ceria jelas terpancar di wajah pelajar-pelajar yang berjaya dibawa keluar dari Kaherah.

Ada antara mereka yang menangis, tertawa dan ada juga yang sibuk dengan telefon bimbit masing-masing menghubungi ibu bapa untuk memaklumkan keadaan terkini mereka.

Haslisah Khalil, 19, pelajar ijazah jurusan perubatan di Universiti Ainshams berkata, beliau bersyukur di atas keprihatinan kerajaan Malaysia yang mengambil inisiatif membawa mereka pulang.

"Gembiralah...sebab keadaan amat menakutkan saya walaupun telah diberikan perintah berkurung oleh pengurusan Rumah Negeri Selangor. Kami hanya boleh keluar selepas pukul 1 tengah hari. Itu pun dengan secepat mungkin.

"Perintah berkurung yang dikenakan ke atas kami bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari. Waktu itu kami manfaatkan membeli barangan asas seperti roti dan gula. Waktu itu juga, kami terpaksa berebut-rebut dengan wanita Arab," katanya yang kini berada di tahun satu jurusan tersebut.

Mohd Shauqi Ismail, 26, yang berasal dari Melaka berkata tindakan kerajaan membantu warganya dalam kesusahan termasuk di luar negara membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin dan bertanggungjawab.

"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini. Sama ada bantuan tiba menerusi kapal terbang ke, kapal ke, apa yang penting ialah keselamatan kita. Jadi kita tak kira apa pun yang datang selamatkan kita," katanya.

Pelajar tahun satu jurusan Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar itu turut ditemani isteri yang juga menuntut di univerisiti itu dan anaknya berusia dua tahun.

Kesemua pelajar tersebut kini ditempatkan sementara di asrama Tabung Haji di sini.

Pemindahan pelajar selain mengunakan pesawat milik MAS, ia juga turut mendapat kerjasama AirAsia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pada masa ini dianggarkan terdapat 14,000 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - BERNAMA

Ribuan berdemonstrasi kecam Mubarak, 8 ditangkap

1 Rabiul Awal 1432H.

Lapan orang dikatakan ditangkap selepas ribuan orang berkumpul hari ini di Kuala Lumpur, memprotes tindakan ganas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi pro-demokrasi di Mesir.

Wajuk-wakil kumpulan tersebut meminta peguam datang ke balai polis Dang Wangi, untuk membantu pembebasan mereka.
Laporan tidak jelas, tetapi Malaysiakini difahamkan Selepas solat Jumaat di Masjid Al-Shakireen Masjid di taman KLCC dan masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak, para jemaah berarak membawa kain rentang yang mengecam Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Dengan memanggilnya "Yasqut Mubarak" (Mubarak turun!) Dan "Yahya al-Sha`ab! "(hidup rakyat!), kedua-dua kumpulan tersebut berarak menuju ke Jalan Tun Razak.

Mereka menuju ke arah Kedutaan Amerika beberapa ratus meter dari masjid Tabung Haji di mana mereka berusaha untuk menyerahkan memorandum kepada pegawai kedutaan tersebut.

Menurut satu laporan, ketua polis Dang Wangi, ACP Mohd Zulkarnian Abdul Rahman berkata, kelapan-lapan mereka ditahan selepas gagal bersurai apabila diarahkan berbuat demikian.

Ada yang ditahan di dalam kompleks Tabung Haji. Sekurang-kurangnya tiga orang ditahan sewaktu mereka berarak dari Masjid Syakireen menuju ke kedutaan Amerika

Antara mereka yang berarak ke kedutaan Amerika ialah exco Dewan Pemuda PAS, Ridhuan Mohd Nor, yang menyerahkan memorandum bantahan kepada kedutaan Amerika yang menyokong kerajaan Mubarak.

Pemimpin lainnya termasuk ahli parlimen PAS Kubang Krian, Salahuddin Ayub; ahli jawatankuasa pusat PAS, Mohamad Sabu dan ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Malaysiakini/-

Krisis Mesir : AS campurtangan , bincang pelan pengunduran Mubarak

1 Rabiul Awal 1432H.

WASHINGTON: Amerika Syarikat nampaknya tidak capat berselindung dengan campur tangan dalam krisis politik di Mesir. Menurut suber dari AFT, pegawai-pegawai Amerika sedang berbicang dengan pegawai Mesir satu rancangan untuk Presiden Hosni Mubarak berundur serta merta dan melepaskan jawatan kepada kerajaan peralihan yang diterajui Naib Presiden, Omar Suleiman, lapor The New York Times.

Solat hajat di Masjid Negeri malam ini !


1 Rabiul Awal 1432H. MOD. Harakahdaily

SHAH ALAM, 4 Feb: Sekretariat isu pelajar Mesir kerajaan negeri Selangor akan mengadakan solat hajat malam ini di Masjid Negeri, Shah Alam.

Di samping itu, satu dialog juga akan diadakan bagi membincangkan isu ini sebaik sahaja selesai solat Maghrib.

Majlis ini bertujuan untuk memberikan penjelasan perkembangan yang berlaku di negara berkenaan dan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membantu pelajar negeri ini di sana.

Sehubungan itu, ibu bapa dan saudara mara pelajar Selangor di sana dijemput untuk menyertai majlis ini.

Semalam dua pegawai Pusat Zakat Selangor telah dihantar ke sana dengan menaiki kapal TUDM.

Pakatan: Najib perlu respons isu ‘Tanah Melayu’ Mahathir

1 Rabiul Awal 1432H.MOD
KUALA LUMPUR, 4 Feb — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa Datuk Seri Najib Razak agar respons kepada kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini.

Malah mereka juga mahu perdana menteri menyatakan pendiriannnya mengenai isu itu sama ada beliau turut menerima kenyataan Dr Mahathir atau berpandangan sebaliknya.

Wakil rakyat-wakil rakyat pembangkang yang dihubungi The Malaysian Insider berpendirian tegas kenyataan Dr Mahathir bercanggah dengan konsep 1 Malaysia sama sekali.

Pada satu wacana anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan Selasa lalu, Dr Mahathir (gambar) berkata, rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.

Bekas perdana menteri berkata nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Selain itu, Dr Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu Dr Mahathir menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigiran ke negara ini.

Oleh itu tegas Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS Datuk Mahfuz Omar, Najib tidak boleh berdiam diri dalam hal ini.

“Najib tidak boleh kekal berdiam diri dalam perkara, beliau perlu memberi respons kepada kenyataan Dr Mahathir.

“Penting untuk melihat apa pendirian yang hendak diambil oleh Najib, dan sama ada beliau bimbang dengan kesan sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pendirian Dr Mahathir itu,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Naib presiden PAS itu menarik perhatian, pemimpin-pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan bekas perdana menteri itu berakhir dengan kerjaya politik singkat memandangkan Dr Mahathir tidak boleh menerima kritikan.

Merujuk kepada serangan Dr Mahathir terhadap penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, Mahfuz mendakwa ahli politik veteran itu secara konsisten memperlihatkan bahawa beliau menentang dasar-dasar dibawa Najib seperti konsep 1 Malaysia.

Najib menggantikan Abdullah pada April 2009.

“Kita dengan jelas boleh melihat bahawa Dr Mahathir tidak gembira dengan Najib. Najib di sebelah lain telah gagal untuk memahamkan rakyat tentang konsep 1 Malaysia.

“Jika Dr Mahathir sendiri tidak boleh menerima atau memahaminya, bagaimana rakyat jelata boleh memahami perkara itu?” kata Mahfuz.

Oleh itu kata beliau, PR tidak mengiktiraf atau menyokong sebarang pandangan yang tidak menghormati hak kaum-kaum lain dan yang tidak menyumbang kepada proses pembinaan negara.

Setiausaha publisiti DAP kebangsaan Tony Pua pula melabelkan Dr Mahathir sebagai ‘supremacist’ dengan berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyokong pandangan bekas presiden Umno itu.

“Kemungkinan Najib dan Mahathir harus menunjukkan kepada rakyat Malaysia di mana adanya konsep ‘supremacist’ dalam Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh nenek moyang kita.

“Najib perlu menjelaskan bagaimana konsep 1 Malaysia beliau secocok dengan pandangan dibawa Dr Mahathir,” kata ahli Parlimen ini.

Dalam pada itu, penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, Dr Mahathir memperlihatkan “percanggahan” memandangkan beliau bukan sahaja bertindak bertentangan dengan konsep 1 Malaysia, tetapi juga gagasan “Bangsa Malaysia” yang diperkenalkan ketika era kepimpinannya.

“Apa yang beliau katakan itu penuh dengan percanggahan... ia bercanggah dengan gagasan Bangsa Malaysia (dibawa Dr Mahathir sendiri) dan juga 1 Malaysia,” kata ahli Parlimen veteran ini.

Kata beliau, Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan rakyat yang komited kepada negara, kesemua negara bekerja menerusi platform yang sama.

Malah pada wacana itu, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif.

“Apabila kita cakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Bagi Melayu ia bermakna menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.

“Bagi orang Cina dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu,” kata beliau.(MInsider)

Pelantikan Rektor KISDAR : Kerajaan Negeri hilang kredibiliti

1 Rabiul Awal 1432N.
Anak Watan Perak

Kerajaan Negeri Perak dilihat telah semakin hilang kredibiliti apabila terus menyambung kontrak Datuk Dr. Mohamed Yusuf Hussain sebagai Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. Penyambung kontrak tersebut merupakan kali ketiga selepas kontrak tersebut tamat pada bulan Oktober 2010.

Kali pertama kontrak itu disambung adalah selama 2 bulan iaitu sehingga 31 Disember 2010, selepas itu kontrak tersebut disambung lagi selama 1 bulan iaitu sehingga 31 Januari 2011. Maklumat terbaru menyebut bahawa kontrak tersebut disambung lagi bermula 1 Februari 2011 sehingga tempoh 6 bulan ke 1 tahun.

Kerajaan Negeri Perak dikatakan masih gagal untuk mencari Rektor baru yang dapat diterima oleh semua pihak yang tertentu. Perbalahan dan perbezaan pandangan diantara pihak-pihak tertentu di dalam Kerajaan Negeri dalam memilih Rektor baru menyebabkan khidmat Rektor lama diteruskan.

Beberapa orang calon Rektor telah dikemukakan tetapi Kerajaan Negeri masih gagal dan tiada kata sepakat untuk memilih seorang Rektor yang benar-benar layak dan mampu untuk menerajui Kolej Islam Darul Ridzuan. Kegagalan tersebut menggambarkan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah hilang kredibiliti dan keupayaan untuk mentadbir negeri.

Kerajaan Negeri Perak dilihat seolah-olah hilang pedoman apabila terus menyambung kontrak Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain yang mengalami masalah kesihatan yang serius. Masalah kesihatan Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain difahamkan bermula sejak tahun 2008 dan amat ketara sejak akhir-akhir ini.

Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain telah tidak hadir ke Kolej selama 3 bulan iaitu sejak bulam November 2010 kerana menjalani rawatan di beberapa pusat rawatan termasuk di IJN. Menurut sumber-sumber tertentu keadaan fizikal Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain semakin kurus, tidak bermaya, sentiasa kelihatan letih, berjalan perlu dipimpin dan mengalami masalah jantung yang serius menggambarkan bahawa beliau tidak berupaya lagi untuk menjalankan tugas sebagai Rektor dengan baik dan berkesan.

Bagaimana mungkin seorang yang sedang sakit dan lemah mampu untuk berfikir secara proaktif, merancang dan menjalankan tugas dengan baik. Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai kepincangan di dalam pengurusan dan pentadbiran Kolej. Situasi ini juga dikhuatiri akan memberi kesan dan melambatkan usaha yang sedang giat dilaksanakan untuk menaikkan taraf kolej ke Kolej Universiti.

Kerajaan Negeri Perak telah mengambil sikap memandang ringan terhadap isu Kolej Islam Darul Ridzuan. Sekiranya Kerajaan Negeri benar-benar serius ingin melihat Kolej Islam Darul Ridzuan terus maju dan membangun maka isu perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan perlu diselesaikan segera. Kerajaan Negeri perlu segera melantik Rektor baru yang benar-benar berkelayakan dan mampu memimpin dan mentadbir Kolej dengan bijaksana, professional dan agresif.

Rektor merupakan individu utama untuk menggerak dan membangunkan Kolej. Kegagalan Kerajaan Negeri melantik Rektor baru yang lebih berkeupayaan fizikal, mental dan intelektual boleh menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan dan masalah dalaman Kolej seterusnya membantutkan usaha menaik taraf Kolej. Sebagai satu-satunya institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri maka amat wajar Kerajaan Negeri memberi perhatian yang serius dan lebih terhadap Kolej Islam Darul Ridzuan. Dengan ini segala matlamat, visi dan misi Kolej dapat dicapai.

Kerajaan Negeri Perak juga dilihat telah hilang keupayaan untuk mentadbir negeri apabila gagal mendapat kata sepakat berhubung isu perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan. Kegagalan memilih seorang calon Rektor di antara beberapa calon yang ada membukti bahawa wujud pihak-pihak yang berkepentingan di dalam isu tersebut. Kemelut perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan telah berlarutan beberapa bulan.

YB Dato’ Hj Mohd Zaim Abu Hassan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan langsung tidak berperanan dalam kemelut ini dan beliau lebih selesa bertindak sebagai boneka semata-mata. YAB Menteri Besar Perak seolah-olah telah hilang kuasa untuk membuat keputusan dan menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. YAB Menteri Besar Perak amat lemah sehingga tidak berupaya untuk menyelesaikan kemelut perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan yang berlarutan sehingga beberapa bulan.

Bagaimana mungkin YAB Menteri Besar Perak dapat mentadbir Negeri Perak dengan baik sedangkan kemelut sekecil itupun tidak mampu untuk diselesaikan. Apakah benar YAB Menteri Besar Perak telah hilang kuasa ? Apakah benar wujud pihak lain yang lebih berkuasa di dalam Kerajaan Negeri Perak ? atau apakah benar wujud ‘de-facto leader’ di dalam Kerajaan Negeri Perak ? Jika benar, siapakah yang lebih berkuasa itu ? dan siapakah ‘de-facto leader itu ? YB Dato’ Seri Dr Abd Rahman Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mungkin tahu jawapannya ?

Mahathir sekular, Rakyat tidak faham Islam sebenar.



1 Rabiul Awal 1432H,
Mohd Hafez Sabri

IPOH, 3 Februari :-Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menyebut bahawa kenyataan Dr Mahathir ( Bekas Presiden UMNO ) baru-baru ini bahawa Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz ( Mursyidul AM PAS ) lebih teruk daripada Islam nasionalis, merupakan bukti jelas perjalanan yang ditempuh PAS sama seperti perjalanan Rasulullah SAW.

Tindakbalas yang diterima Tuan Guru Nik Abdul Aziz oleh seorang yang membenci dakwah beliau merupakan suatu perkara biasa dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW.

Beliau menegaskan ayat :

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin" (Surah Al-An'am: 112)

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata bahawa "Orang Melayu di sini pun tolak Islam, tolak Islam ambil kebangsaan lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Lee Kuan Yew cakap jangan pegang (Islam) kuat sangat, orang ini kata buang semua ambil kebangsaan". Kata-kata Tuan Guru ini kemudian membuatkan Dr Mahathir terasa bagaikan cacing kepanasan, jelas Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Memetik kata-kata Pesuruhjaya PAS Perak itu, “ Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Tuan Guru menyerang orang di dalam Malaysia dan bukannya Lee Kuan Yew. Padahal benarlah kata Tuan Guru itu kerana ancaman dari dalam negara sendiri adalah jauh lebih merbahaya daripada ancaman luaran”.

“ Adakah Dr Mahathir lupa bahawa sirah Rasulullah SAW membuktikan ancaman daripada puak munafiq lebih berbahaya berbanding ancaman daripada puak kafir? Hinggalah Allah SWT menyebut bahawa orang yang berpura-pura islam lebih teruk azabnya berbanding orang yang terus terang islam” soal beliau.

Ustaz Abu Bakar juga menasihatkan agar pemimpin UMNO dan Dr Mahathir khususnya melihat kembali ayat Al Quran berkenaan orang munafik dalam surah an-nisa’ ayat 145

"sesungguhnya orang munafiq itu, di tempat yang paling bawah sekali di dalam neraka" (surah an-nisa': 145)

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyanggah kata-katanya, Dr Mahathir apabila mantan presiden umno itu mengatakan bahawa islam telah banyak berkembang di bawah pemerintahan nasionalis.Kononnya kemajuan islam dikaitkan dengan kehebatan semangat kebangsaan Barisan Nasional.

“ Mahathir lupa yang bukan jasa UMNO islam semakin berkembang di Malaysia tetapi jasa orang yang menentang UMNO seperti Dr Burhanuddin Helmi, Prof Zulkifli Muhammad dan Ustaz Fadzil Noor. Mereka inilah yang menjadi pengimbang, "check and balance" kepada kerajaan sehingga kerajaan BN terpaksa mengamalkan islam” Tegas beliau

Menurut beliau, Inilah kewajipan yang mereka lakukan walaupun nyawa mereka diancam. Kalau hendak diikutkan nafsu BN, sudah lama islam dianggap kuno, tidak sesuai dan merugikan Negara.

Menurut Ustaz Abu Bakar Hussain lagi, Allah SWT telah menetapkan bahawa sejak dahulu lagi dunia ini menjadi medan pertempuran di antara yang hak dan yang batil. Pertempuran antara iman dan kufur. Rasulullah SAW. dahulu dituduh oleh puak Quraisy sebagai pemisah suami dan isteri, saudara mara dan bangsa qurasiy sendiri, hanya kerana baginda mengajak orang kaumnya untuk beriman kepada Allah SWT dan menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Hari ini orang menganggap PAS sebegitu pula. Padahal kita menyeru supaya bumi ini diperintah dengan adil utk kesalamatan dunia dan akhirat. Menjadi keyakinan kami bahawa jika rakyat Malaysia beriman dan bertaqwa, Allah SWT akan membantu kita

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menegaskan bahawa kini terbukti kebenaran perjuangan PAS adalah perjuangan Islam yang sebenar bukannya seperti umno yang bertopengkan Islam. Sebelum ini ada pemimpin PAS yang telah dipenjara, ada yang dihalau, ada yang dipanggil gila, ada yang dipanggil pemecah-belah masyarakat. Padalah semua ini adalah ujian sama yang dilalui Rasulullah SAW. Dari sini wujudlah rasa perjalanan yang gerakan islam PAS tempuhi, sama dengan perjalanan Rasulullah SAW.




Krisis Mesir: Sekurang-kurangnya 5 Terkorban


Pertembungan antara kumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Presiden Hosni Mubarak dan kumpulan anti kerajaan di Dataran Tahrir awal pagi Khamis. Foto AP
1 Rabiul Awal 1432H.

KAHERAH: Sekurang-kurangnya lima terkorban apabila penyokong Presiden Mesir, Hosni Mubarak melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan anti kerajaan yang berkumpul di Dataran Tahrir, di sini Khamis.

Dilaporkan ratusan penunjuk perasaan anti kerajaan mengalami kecederaan dalam pertembungan dengan kumpulan pro kerajaan sedang menunggu giliran untuk menerima rawatan kecemasan di Dataran Tahrir.

Dalam pertembungan semalam, tembakan senjata api berlarutan sehingga lebih daripada satu jam di sekitar kawasan demonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan pengumuman Mubarak yang hanya akan berundur pada September depan.

"Kami tidak akan meninggalkan tempat ini selagi Mubarak tidak berundur," kata seorang wanita yang dikenalpasti oleh Al Jazeera sebagai Mona Seif.

Menteri Kesihatan Mesir, Ahmad Samih Farid memberitahu televisyen kerajaan bahawa lima orang penunjuk perasaan disahkan terbunuh manakala 836 yang lain mengalami kecederaan.

Katanya kebanyakan korban adalah akibat daripada membaling batu dan serangan menggunakan besi dan kayu. Reuters

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

1 Rabiul Awal 1432H.

KUCHING: Kesemua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memberi laporan terperinci berhubung kawasan masing-masing, termasuk masalah dihadapi, semasa pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad ini.

Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengakui setiap kawasan DUN di Sarawak ada cabaran tersendiri namun ia telah diselesaikan dan akan dicari jalan penyelesaian memandangkan bukan semua masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata ADUN terbabit telah cuba memperoleh maklum balas mengenai pelbagai isu di kawasan masing-masing sejak setahun lalu melalui perbincangan dengan pemimpin peringkat akar umbi.

Taib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di ibu pejabat parti tersebut di sini Khamis.

Sementara itu, Perdana Menteri dijadual tiba di Miri pada Ahad ini dengan aturcara pertama beliau ialah mengadakan sesi perjumpaan dengan Adun Sarawak, manakala pada sebelah malam pula, beliau akan menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Dataran Kipas, Miri.

Ramai penganalis politik di sini meramalkan pertemuan dengan ADUN itu sebagai langkah terakhir Perdana Menteri untuk mengumpul maklumat bagi membuat keputusan sama ada mengadakan pilihan raya umum serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Sebelum ini, Taib dipetik berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak dengan pilihan raya umum ke-13.

Tempoh penggal kerajaan negeri sekarang akan berakhir pada Julai tahun ini.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak menang 63 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. mStar/-

Padam Hansard: Maruah DUN S'wak tergugat

1 Rabiul Awal 1432H.

Jika ada bahagian-bahagian dalam Hansard yang dipadamkan secara sengaja, ia akan mengaibkan reputasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Hansard adalah cetakan transkrip persidangan Parlimen dan DUN.

Menegaskan demikian, Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang
Khim berkata sejak penubuhan institusi Parlimen dan dewan undangan negeri di negara ini, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku .

Teng (kanan) mengulas insiden di DUN Sarawak di mana ADUN Pending, Violet Yong Wui Wui mendakwa sebahagian daripada ucapannya dalam persidangan dewan November lalu, tidak termasuk di dalam Hansard.

Yong telah menulis kepada Speaker DUN Sarawak, Datuk Awang Asfia Nasar mengenai perkara itu, tetapi beliau belum lagi menerima sebarang jawapan.

Menurut Yong, sebahagian daripada ucapannya menyentuh tentang keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan, telah dikeluarkan dari hansard.

Malaysiakini/-