18 January 2011

Sultan beri perkenan sidang DUN Selangor

14 Safar 1432H.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberikan perkenan baginda untuk persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor diadakan pada 24 Jan ini.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini mengesahkan baginda telah menandatangani perisytiharan pada 14 Jan lalu untuk persidangan itu diadakan selepas mendapat permohonan daripada pihak Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata bahawa persidangan itu adalah untuk meminda Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Ketiga-tiga jawatan itu sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 oleh Tun Dr Mahathir Mohammad yang menjadi perdana menteri yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan.

Rambut remaja Sikh dikacip, ibu bapanya berang

14 Safar 1432H.
Oleh : Andrew Ong.

Ibu bapa seorang remaja Sikh yang menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berang apabila anaknya sedar dari tidur pada Ahad lalu dan mendapati rambutnya yang sepanjang hampir semeter telah dikacip.

Mengikut agama Sikh, memotong rambut atau disebut “kesh” dengan tegasnya dilarang.

Bapa kepada remaja itu, Surinderpal Singh, 47, berkata dia dan isterinya menjadi ntidak keruan dan kini tidak mahu anaknya itu menyambung latihan berkenaan.

"Dia trauma dengan kejadian itu. Esok, perkara lebih buruk mungkin berlaku,” kata Surinderpal ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Anaknya, yang namanya dirahsiakan oleh ibu-bapa berkenaan berkata kejadian berkenaan berlaaku pada Sabtu lalu ketika mereka berlatih sepanjang hari. Akibat kepenatan, dia begitu lena sepanjang malam tersebut.

Menurut laporan polis, remaja itu, beliau menyedari sesuatu tidaak kena apabila pada sebelah pagi, ketika menyikat rambutnya dan dengan segera menghubungi bapanya.

"Dia sedar, dia tidak lagi boleh membuat simpul,” kata Surinderpal, yang kebetulan adalah sami di sebuah kuil Sikh di Jalan Gurdwara, Ipoh.

Rambut budak itu pada asalnya mencecah sehingga paras punggung tetapi kini hanya pada paras dadanya.

Dia juga tidak tahu siapa yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu dan gagal menjumpai sebarang rambutnya yang dipotong itu mahupun alat yang digunakan bagi mengacipnya.
Keberatan benarkan cuti

Menurut Surinderpal dia dan isterinya terus bergegas ke kem latihan Seri Impian di Sungai Bakap, Pulau Pinang untuk berjumpa dengan anak mereka pada hari yang sama.

Di kem itu, mereka menunggu hampir sejam untuk berjumpa dengan komanden yang tidak berada di lokasi tersebut memandangkan Ahad adalah hari rehatnya.

Semasa perjumpaan itu, komandan berkenaan dilaporkan berkata semua pelatih dilarang membawa gunting atau pemetik kuku. Katanya kemungkinan peralatan yang digunakan bagi memotong rambut remaja tersebut dibawa oleh ibu bapa mereka pada pertemuan dengan anak-anak mereka pada pertemuan hujung minggu.

Komanden itu berjanji akan menyiasat tetapi hanya membenarkan remaja itu bercuti sehingga 23 Januari ini, walaupun pada awalnya beliau agak keberatan memberikan kebenaran.

Surinderpal berkata apa yang dialami anaknya itu ibarat mimpi ngeri dan mahu jaminan keselamatan jika remaja itu dikendaki pulang semula untuk latihannya.

"Saya hilang keyakinan dengan pihak berkuasa kem. Saya bimbang anak saya akan dicederakan pula... Rambut anak saaya disimpan 18 tahun. Dalam dua minggu, semuanya hilang.

"Beliau amat terkejut. Kita sebagai ibu bapa juga terkejut, Kita dalam dilema sekarang.

"Hari ini, ia berlaku ke atas anak saya. Ia boleh berlaku lagi ke atas anak-anak berlainan agama. Bolehkah pihak berkuasa yakinkan ibu bapa bahawa kem latihan ini selamat?” soalnya.

Pemuda PAS Selangor sokong saranan Nik Aziz

14 Safar 1432H.
Oleh : Aziz Muda .

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPS) menyokong penuh cadangan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan satu pertemuan antara tokoh-tokoh pelbagai agama di negara ini bagi membuat rumusan mengenai judi, arak, zina dan juga pergaulan bebas.

Pertemuan seperti itu amat penting bagi membolehkan semua pihak memahami hak masing-masing dalam melaksanakan ajaran agama mereka, terutama hak umat Islam dalam mengamalkan ajaran Islam.

Ketua DPPS, Ustaz Hasbullah Mohd Redzwan (gambar) menegaskan, dengan pertemuan seperti itu, umat Islam akan lebih berpeluang menjelaskan kepada mereka yang bukan Islam tentang hak umat Islam yang wajib mengelakkan diri dari sebarang maksiat.

Menurut beliau, antara yang perlu dijelaskan kepada yang bukan Islam termasuk kewajipan umat Islam untuk tidak melibatkan diri dengan sebarang perkara yang melibatkan judi, arak, zina dan pergaulan bebas seperti yang disebutkan oleh Tun Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Cadangan dan pandangan Tuan Guru Nik Aziz itu sememang cadangan dan pandangan yang baik. Jadi, kita sokong sepenuhnya cadangan dan pandangan Tuan Guru Nik Aziz itu bagi membolehkan semua pihak faham tentang kewajipan umat Islam untuk membebaskan diri dari perkara-perkara mungkar," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Menurut beliau, pertemuan seperti itu merupakan sesuatu yang penting bagi membolehkan semua pihak memberikan pandang bersama ke arah menghormati pengamalan agama masing-masing.

"Dengan pertemuan seperti itu, semua perkara yang kusut dapat diselesaikan dengan baik dan dalam suasana aman, bagi membolehkan semua pihak dapat mengamalkan agama masing-masing dengan baik dalam suasana kehidupan yang harmoni," jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau berharap agar semua pihak tidak mengeruhkan suasana yang timbul dengan membuat kenyataan-kenyataan mengikut perasaan, sedangkan semua perkara boleh diselesaikan dengan baik jika disusuli dengan tindakan yang betul.

Tuan Guru Nik Aziz hari ini mencadangkan agar diadakan satu pertemuan antara tokoh-tokoh pelbagai agama di negara ini bagi membuat rumusan mengenai judi, arak, zina dan juga pergaulan bebas seperti yang dilaporkan Harakahdaily.

Cadangan tersebut dibuat ekoran perbezaan pendapat tentang kedudukan pekerja Islam bekerja di premis-premis arak di Selangor.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu membantah keputusan melarang umat Islam bekerja di premis-premis menjual alkohol sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Ekoran itu, beliau mengarahkan agar MPSJ menarik balik larangan tersebut yang dikuatkuasakan baru-baru ini, bagi mengelakkan umat Islam kehilangan mata pencarian.

Tindakan beliau ternyata bertentangan dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang melarang umat Islam bekerja di premis berkenaan.

PR Perak Sokong Pertemuan Antara Agama

14 Safar 1432H.Oleh : Hafizi Pauzi.

PARIT BUNTAR, 18 Jan : Hasrat Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat mengadakan pertemuan antara sesama tokoh-tokoh pelbagai agama di negara ini bagi membuat rumusan mengenai judi, arak, zina dan juga pergaulan bebas disokong baik oleh Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Hasrat ini adalah suatu yang amat dialu-alukan, bersesuaian dengan keperluan semasa, supaya ia dapat mencetus kefahaman yang sahih tentang agama yang ada di Malaysia terutama apabila membabitkan pengamalannya ketika masyarakat antara agama ini berada dalam komuniti yang sama.

“Pertemuan umpama dialog ini akan menjadi titik tolak kepada kefahaman Islam yang betul di kalangan bukan Islam dan ini amat baik jika diteruskan,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil dham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya lagi yang juga ADUN Titi Serong, pertemuan ini bukan sahaja punyai impak setempat seperti yang pernah dianjurkan oleh NGO dan juga persatuan-persatuan keagamaan, akan tetapi ia punyai impak nasional.

Isu ini perlu kepada pembetulan yang drastik, dan Menteri Besar Kelantan telah mengambil langkah yang tepat pada masanya.

Tambahnya pada masa sekarang ini memang sedang wujud pihak yang amat memusuhi keharmonian masyarakat terhadap kefahaman Islam yang menyeluruh.

“Umno BN lah yang dimaksudkan, merekalah yang sedang menjalankan kerja jijik ini, mereka ialah musuh kepada faham Islam syumul di kalangan masyarakat Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu YB Khalil Idham Lim menyaran supaya pertemuan ini dipercepatkan penganjurannya, bahkan ia perlu diuar-uarkan kepada pimpinan tertinggi agama di tanah air, kemudian sebarkan maklumat ini kepada seluruh rakyat tentang perkara sebenar yang telah melanda, salah faham dalam kalangan masyarakat perlu dibendung.

“Dengan pertemuan itu diharapkan Umno BN tidak lagi menggunakan sentimen agama sebagai bahan hasutan mereka terhadap rakyat,” jelasnya.

Justeru, rakyat mesti mengubah kerajaan yang sedia ada kerana sememangnya Umno BN adalah musuh kepada ilmu yang sahih untuk rakyat Malaysia dan PRU13 adalah masa yang paling sesuai untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat mentadbir Malaysia yang dicintai. Katanya lagi.

Nasib generasi ke 2 Felda yang terpinggir

14 Safar 1432H.
Oleh : Mohamad Shah, Mohd Nahar dan Abd. Halim Abdullah.

LABIS, 18 Jan: Walaupun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan Felda, Datuk Ahmad Maslan sentiasa mewar-warkan bahawa tiada generasi ke 2 Felda yang dipinggirkan, namun realitinya tidak begitu.

Di Felda Tenang, ramai generasi kedua Felda yang terus terpinggir bahkan dipinggirkan oleh ajensi di bawah Felda sendiri.

Zanariah binti Jaffar, 43, adalah generasi ke 2 Felda, namun beliau hanya mampu menghuni rumah usang di Felda Tenang bersama suaminya, Hasson bin Susik, 52 di samping anak mereka yang berusia sembilan tahun.

Suami beliau yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat GLC, dengan pendapatan sekitar RM800.00 sebulan agak sukar menyara keluarga dengan keadaan harga barang yang semakin mahal.

Tiga tahun yang lalu, mereka pernah didatangi pegawai untuk mengambil gambar rumah mereka bagi diberikan bantuan, tetapi malangnya sehingga kini belum ada satu pun bantuan diberikan atau tindakan susulan, ujarnya.

Perkara ini boleh dirujuk kepada Tabung Pinjaman Perumahan Peneroka (TPPP) dengan kadar pinjaman bagi seorang peneroka yang layak adalah minimum RM10,000 dan maksimum RM40,000.00.

Antara syarat-syarat yang mesti dipenuhi :

i) Terbuka pada peneroka yang berumur tidak melebihi 70 tahun semasa permohonan dibuat. Perlu mempunyai 2 orang penjamin yang berpendapatan tetap (salah seorang mestilah terdiri daripada anak atau waris kadim pemohon).

Bagi pinjaman yang tidak melebihi RM15,000.00, gaji penjamin mestilah tidak kurang RM500.00 sebulan.Manakala pinjaman yang melebihi RM15,000.00, gaji penjamin mestilah tidak kurang dari RM800 sebulan.

ii) Tidak mempunyai rekod tatatertib dengan Felda

iii) Peneroka mesti menghantar semua hasil ke kilang Felda atau melaksanakan tanam semula bersama Felda.

Berdasarkan temubual kami, beliau adalah peminjam yang layak dan memenuhi syarat-syarat tersebut, tetapi sehingga kini rumah beliau masih ditahap yang sedia ada, sejak dari kehadiran pegawai yang mengambil gambar 3 tahun yang lalu hinggalah kini.

Di samping generasi ke 2 Felda yang tidak terbela di sini, Felda Tenang jauh terkebelakang berbanding kawasan-kawasan Felda yang lain hatta di Johor sendiri.

"Cuba bandingkan Felda Tenang dengan Felda Taib Andak misalnya. Felda Tenang, Chempelak dan Chempelak Barat jauh tertinggal ke belakang, " kata Pengerusi Anak (Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan), Mazlan Aliman.

Beliau yakin, jika dibiarkan begini berterusan, nescaya mereka akan terus terpinggir.

"Saya yakin, jika penduduk Tenang memberi peluang kepada Cikgu Mala untuk mewakili mereka melalui pilihan raya kecil ini, nasib mereka akan berubah. Ini kerana, kerajaan negeri dan pusat akan berebut-rebut untuk membantu mereka kerana bimbang jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Namun jika BN kekal di sini, jangan harap kerajaan negeri dan pusat memberi perhatian," kata Mazlan yang juga anak seorang peneroka Felda.

Arak : Enakmen Jenayah Syariah sudah ada untuk halang orang Islam terlibat

13 Safar 1432H.
Oleh :Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Jan : isu yang berkaitan dengan larangan umat Islam bekerja di premis yang menjual arak sengaja diperbesarkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab khususnya pemimpin UMNO. Demikian seperti yang dijelaskan oleh ADUN Titi Serong semasa ditemui di sini.

“Seksyen 18 (2) enakmen itu menyebut: mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau mempersoalkan mengenai peranan pemimpin UMNO yang kononnya berjuang Islam sedangkan undang-undang yang sedia berkaitan dengan arak mereka tidak faham.

Kenyataan Drs. Khalil merujuk kepada kenyataan Noh Omar yang menuding jari kepada exco Kerajaan SelangorN Roeny Liu.

"Saya tidak hairan kalau ada bukan Islam tidak faham dan tidak tahu mengenai undang-undang jenayah syariah yang sedia, sedangkan pemimpin UMNO ramai yabg tidak faham" kata Khalil

Tambahnya, Isu ini telah diekploitasi Umno BN untuk dijadikan bahan menipu rakyat bahawa PAS dan DAP tidak sehaluan.

BN cuba untuk menutup pekung mereka, merekalah yang dahulu membuka peluang dosa bagi umat Islam mengumpul dosa dengan himpitan kewangan yang mendesak mereka yang muslim berkerja di premis yang ada menjual minuman keras tersebut.

Dalam pada itu beliau menjelaskan lagi di negeri Perak sendiri memang ada peruntukkan enakmen tersebut terhadap umat Islam di negeri ini.

Di dalam enakmen 3 tahun 1992, diperuntukkan di dalam enakmen jenayah (syariah) 1992, pada bahagian vi - kesalahan berhubungan dengan maruah diri Seksyen 60. Dalam tajuk membuat, menjual dan sebagainya., minuman yang memabukkan.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, di dalam enakmen itu juga menyebut bahawa mana-mana orang yang membuat, menjual, menghadiah, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

BN sengaja cuba membangkitkan isu ini walhal ia sudah diketahui rakyat tentang siapakah pemberi lesen arak terbesar di kilang arak yang berada di Shah Alam, rakyat juga tahu siapakah yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi terbesar di Genting, bahkan pernah bercita-cita untuk meluluskan lesen judi Bolasepak Piala Dunia yang lalu.

“Penarikan arahan tersebut cuma bersifat teknikal, BN cuma membuka perlakuan maksiat mereka sendiri dan rakyat perlu menilai BN, beri peluang Pakatan Rakyat meneruskan legasi membela imej Islam di malaysia pada PRU13, kata Khalil Idham Lim yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

“BN langsung tidak seimbang apabila mereka BN beria-ia cuba menjuarai isu ini di media mereka, dalam masa yang sama tidak ikhlas memperjuangkan Islam yang dimuliakan sebagaimana dalam Al-Quran,” jelasnya..

Premis arak: Umno mahu kutip untung, bukan ikhlas dengan Islam

14 Safar 1432H [MOD]..
MENGULAS tindakan YB Ronnie Liu yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan tempatan yang mengarahkan MPSJ menarik balik larangan terhadap orang Islam bekerja di premis menjual arak, kita patut bersyukur kerana PAS Selangor bertindak ke hadapan di dalam menangani isu ini. Tindakan segera PAS Selangor sama sekali menutup mulut pemimpin Umno Selangor untuk mempolitikkan isu ini kerana Umno sudah kita kenali tidak pernah ikhlas di dalam memperjuangkan Islam.

Semua tahu dan maklum, siapakah pemberi lesen arak terbesar di kilang arak di Shah Alam. Kita juga tahu siapakah yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi terbesar di Genting, bahkan pernah bercita-cita untuk meluluskan lesen judi Bolasepak Piala Dunia yang lalu. Kita tidak lupa siapakah yang terlibat di dalam penganjuran Festival Busana Islam yang mendedahkan tubuh badan itu di mana isteri Presiden Umno memainkan peranan penting penganjurannya.

Tangan siapakah yang menulis surat kepada Kerajaan Negeri Kelantan suatu ketika dahulu yang memberi amaran agar Kerajaan Negeri di bawah PAS itu tidak melaksanakan Hukum Hudud? Apa pemimpin Umno mahu jawab dengan isu ini? Di mana keikhlasan mereka? Mengapa Umno masih redha dengan akta zalim ISA sekiranya mereka ikhlas dengan perjuangan Islam?

Kesemua persoalan di atas tidak akan dapat dijawab oleh mana-mana pemimpin Umno termasuk Senator Jamil Khir bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera itu. Jamil Khir hanya terdaya menegur YB Ronnie Liu di dalam isu teknikal seperti menarik balik larangan orang-orang Islam bekerja di premis arak yang hangat diperkatakan sekarang. Kerana apa? Kerana ada kepentingan politik Umno di situ.

Mengapa saya sebut bahawa isu larangan yang ditarik baik itu merupakan soal teknikal? Seperti yang dijelaskan oleh YB Ronnie Liu, beliau minta larangan itu ditarik balik kerana pihak MPSJ tidak memaklumkan kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu. Memang keputusan MPSJ itu baik untuk kepentingan umat Islam, tetapi tentu lebih baik jika ianya dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri terlebih dahulu kerana MPSJ adalah di bawah Kerajaan Negeri. Seandainya ia dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri dan Exco ini membantahnya, maka kita tidak teragak-agak akan menentang habis-habisan YB Ronnie Liu.

Apa pun alasan YB Ronnie Liu, Islam sama sekali tidak membenarkan umatnya bersubahat dengan pekerjaan yang diharamkan itu. Jika bersubahat pun diharamkan oleh Islam, apatah lagi mereka yang membenarkan arak ini dikilangkan secara besar-besaran. Mengapa Jamil Khir tidak terfikir yang ini? Mengapa Noh Omar tidak menyalak hal ini? Ini adalah kerana mereka berdua tahu tangan siapa yang punya angkara.

Saya tabik dengan kebijaksanaan MB Selangor di dalam hal ini. Tan Sri Khalid menyatakan beliau akan berbincang dengan YB Ronnie Liu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hassan Ali dan semua Pegawai Majlis Perbandaran/Tempatan untuk mengatasi permasalahan ini. Harus diingat, mereka telah bekerja di premis arak sudah lama sebelum PR memerintah lagi.

Ini satu perkembangan baik oleh Kerajaan PR dan tidak mudah untuk merealisasikannya tanpa ada perancangan. Justeru itu, bagi menyelamatkan umat Islam yang mencari makan di tempat haram seperti itu, tentunya perancangan perlu dibuat dan inilah yang sedang dilakukan oleh MB Selangor. Di zaman mereka memerintah, isu ini tidak timbul kerana mereka tidak langsung prihatin kepada kebajikan umat Islam di negeri tersebut.

Inilah hikmahnya bila PAS berada di dalam PR. Tidak timbul isu DAP anti Islam kerana pemimpin DAP itu tidak memahami banyak perkara tentang hukum Islam. Apabila PAS tampil ke depan di dalam isu ini, maka ianya akan dapat membantu Kerajaan Negeri di samping memberi pengetahuan kepada pemimpin-pemimpin DAP terhadap Islam. Inilah bezanya Umno dengan PAS, PKR dan DAP. Hendak harapkan Umno? Untuk selesaikan masalah azan pun mereka terkemut-kemut. (HarakahDaily)

KEMENTAH, Spratly dan Ketelusan

14 Safar 1432H [MOD]..

Sekiranya kita mengkaji Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), kita akan mendapati laporan mereka tertumpu kepada empat projek yang diperuntukkan kepada KEMENTAH dan lima projek untuk Kementerian Dalam Negeri untuk diaudit.

Kesimpulan mudah yang boleh dibuat atas laporan tersebut - seperti ianya mengalami masalah dalam pemantauan dan pelan yang rumit, mengakibatkan semua projek yang diaudit berlaku penyelewengan dan kelemahan yang boleh dielakkan pada peringkat awal. Seperti yang kita sedia maklum, semua kementerian persekutuan mempunyai Unit Audit Dalam yang berperanan memantau projek-projek, tetapi perkara-perkara yang diumumkan di dalam Laporan Ketua Audit seolah-olah menunjukkan Unit tersebut tidak berprestasi baik, seperti sedang bercuti di sebuah pulau terpencil. Bermula daripada itu, pihak yang menelaah Laporan tersebut akan bertanya-tanya, adakah Unit ini mempunyai daya saing dalam perkara tersebut?

Pada muka surat ke-423 laporan tersebut, Ketua Audit Negara mencadangkan supaya mewujudkan Independent Review Panel bagi projek-projek besar yang kosnya melebihi RM100 juta untuk membuat penilaian bebas untuk KEMENTAH. Cadangan tersebut sebenarnya telah dibuat dua tahun dulu tetapi ditolak oleh kerajaan, dan ia mengitar semula cadangan-cadangan tersebut dan mengharapkan pucuk pimpinan kementerian yang baru mempertimbangkan semula cadangan mereka ini (dalam menubuhkan panel).

Fungsi panel ini dipertikaikan kewibawaan mereka dalam menyumbang ke arah kebaikan sesebuah kementerian. Adakah panel ini mempunyai kerjasama erat dengan Kementerian dalam memperolehi segala macam rahsia rasmi kementerian, khususnya Kementerian Pertahanan yang tidak dapat diakses mahupun di kalangan Ahli Parlimen sendiri?

Panel ini dicadangkan oleh Public Accounts Committee (PAC) agar segala maklumat dapat dipantau dan dikawalselia tetapi cadangan tersebut yang diusulkan sejak tahun 2008 ditolak. Perkara ini penting kerana KEMENTAH didapati menggunakan perolehan yang amat tinggi berbanding dengan kementerian yang lain dan orang awam, khususnya pembayar cukai tidak mengetahuinya. Ini bermakna, Ketua Audit Negara mempunyai masalah dalam mengaudit KEMENTAH.

Menteri Pertahanan pernah mengulas bahawa belanjawan KEMENTAH akan dikurangkan sehingga RM9 billion pada tahun 2011, tapi angka-angka yang ditunjukkan dalam laporan belanjawan memaparkan pandangan yang langsung berlainan; belanjawan KEMENTAH 2011 mencecah RM13.8 billion, di mana tahun 2010 cuma mempunyai RM 11 billion sahaja. Belanjawan pembangunan pada tahun 2011 ialah RM3.29 billion, manakala tahun 2010 cuma ada RM 1.9 billion. Ini bermakna kementerian mungkin akan melaksanakan projek perolehan besar pada 2011. Mengapakah Menteri sengaja menyatakan angka-angka yang lebih rendah daripada peruntukan sebenar?

Difahamkan tentera darat telah memutuskan penggunaan sistem peluru berpandu jarak dekat FN-6, menggantikan sistem Starburst dalam RMK 10. Ini adalah penting tetapi maklumat sedemikian juga tidak dibenarkan diketahui umum. Peluru berpandu yang kita sedang gunakan, Starbust adalah teknologi yang dicipta pada tahun 1980-an dan sudah luput kematangannya. Cadangan tersebut amat baik bagi kepentingan KEMENTAH dan Negara. Tetapi yang menjadi persoalannya, apakah harga yang dibeli dan ditawarkan oleh China sebagai negara pengeluar? Ini juga, bagi pendapat KEMENTAH menjadi kerahsiaan umum.

Pernah apabila senarai-senarai perolehan kelengkapan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh diminta di Parlimen, ianya ditolak, apakah alasan ini ditolak? Sekiranya senarai perolehan RMK 9 yang sama telah diumumkan dalam dewan parlimen pada tahun 2009, mengapakah senarai RMK10 tidak boleh diumumkan? Adakah secara tiba-tiba selepas tahun 2009, perolehan kelengkapan Kementerian menjadi rahsia rasmi? Adakah pecahan jenis, fungsi, bilangan dan peruntukan perolehan setiap jenis kelengkapan ketenteraan tidak boleh diketahui umum?

Bermulalah persoalan kredibiliti KEMENTAH pula dipertikaikan pula. Senarai ini langsung sama-sekali tidak menyentuh sebarang rahsia kerana pengumuman senarai perolehan pertahanan adalah perbuatan yang biasa dan digalakkan di dalam negera demokrasi. Seperti juga Dasar Pertahanan Negara dan kertas putih pertahanan perlu diumumkan secepat mungkin. Sehingga kini, dokumen tersebut menjadi rahsia kerajaan.

Spratly

Salah satu lagi isu yang menjadi persoalan kita, terutama sekali mereka yang ingin mengetahui mengenai hubungan dan persetujuan Asean, isu Spratly sehingga sekarang menjadi tanda tanya dan banyak persoalan yang tidak dapat diperolehi daripada Kerajaan khususnya KEMENTAH itu sendiri, selain daripada Kementerian Luar.

Spratly sehingga kini menjadi rebutan di antara Malaysia, Vietnam, Brunei Darussalam, Filipina, Thailand dan China. Beberapa faktor kepulauan Spratly ini menjadi rebutan banyak negara jiran kerana kandungan isi lautnya yang kaya dengan petroleum dan gas. Buat masa sekarang, Malaysia mengaut 80% daripada hasil galian dari kepulauan tersebut. Justeru, menjaga kepentingan kepulauan tersebut menjadi tanggungjawab KEMENTAH.

Malah, Amerika Syarikat juga diperlihatkan giat dalam campur tangan dalam isu pertikaian Spratly dan beberapa kali menyuarakan sokongan agar ASEAN bergabung sama untuk menentang China. Namun, sekali lagi masalah ketelusan timbul di sini. Rakyat masih tidak mengetahui hasil perbincangan yang sekian lama dialami ini. Persoalan ini juga termasuk pendirian Malaysia terhadap cadangan pembangunan bersama di rantau tersebut. Kementerian Luar Negeri pula sering berbelok-belok ketika persoalan Spratly ini dibangkitkan.

Isu berhubung tuntutan ke atas pulau-pulau, terumbu dan kawasan maritim ini ditangani berasaskan kpeada semangat dan aspirasi yang terkandung dalam Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC) yang ditandatangani oleh negara-negara ASEAN dan Republik Rakyat China pada 4 November 2002. Melalui Deklarasi ini, pihak-pihak yang mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan bertekad untuk menyelesaikan pertelingkahan dan perbalahan berhubung tuntutan wilayah maritim bertindih di Laut China Selatan secara damai melalui jalan perundingan tanpa menggunakan kekerasan atau pun ugutan.

Dalam masa yang sama, usaha-usaha juga diambil bagi membina keyakinan (confidence building) di antara negara-negara yang terlibat. Dalam hal ini, sukacita saya ingin memaklumkan perbincangan sedang dijalankan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kerjasama di bawah kerangka DOC bagi mengingkatkan keyakinan dan mengelakkan ketegangan di kawasan Laut China Selatan.

Beginilah jawapan yang dijawab oleh Menteri Luar Negeri pada 28 Julai 2010 ketika ditanya mengenai isu Sratly:

"Malaysia sentiasa peka dengan isu-isu yang melibatkan tuntutan bertindih ke atas pulau-pulau dan wilayah Malaysia. Usaha-usaha sentiasa dilaksanakan demi mengukuhkan tuntutan Malaysia ke atas ciri-ciri geografi di kawasan maritim berkenaan. Malaysia percaya penyelesaian kepada isu tuntutan bertindih boleh dicapai melalui perbincangan secara damai tanpa menggunakan kekerasan. Dalam hal ini, Malaysia sentiasa mewujudkan rundingan dua hala dengan negara jirannya bagi membataskan sempadan di kawasan di mana belum ada lagi perjanjian sempadan maritim. Malaysia berpendirian bahawa tuntutan bertindih wajar diselesaikan secara rundingan dua hala dan rujukan kepada pihak ketiga seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Tribunal Timbang Tara adalah merupakan opsyen terakhir di dalam mencapai penyelesaian.

Dalam masa yang sama, Malaysia juga sentiasa mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku. Pada masa ini, Malaysia berpandangan bahawa isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan wajar diselesaikan secara dua hala atau pelbagai hala dan hanya melibatkan negara-negara yang mempunyai tuntutan bertindih. Pada masa ini, tidak ada sebarang cadangan daripada mana-mana negara ASEAN yang mempunyai tuntutan bertindih untuk bergabung sebagai satu entiti dan beruding dengan Republik Rakyat China".

Jawapannya berjela tetapi masih tidak menjawab persoalan yang dibangkitkan.

*Faisal Mustaffa ialah penulis bebas. (Merdeka Review)

Persempadan semula: Mungkin tidak ada, kata SPR

14 Safar 1432H.
Oleh : S Pathmawathy.

Hanya tinggal dua bulan lagi sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti memutuskan sama ada hendak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Bagaimanapun, melihat kepada keadaan politik, ia mungkin tidak ada,
kata pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Di tengah-tengah khabar angin mengenai kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan, ada pihak yang bimbang terhadap kemungkinan taktik licik BN untuk mengekalkan kedudukannya bagi terus berkuasa.

Abdul Aziz memberitahu, persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri dan parlimen merupakan salah satu daripada tiga tanggungjawab SPR.

"Ini ditetapkan dalam Perkara 113 (2) perlembagaan persekutuan... SPR akan melakukan semakan dalam tempoh tidak kurang dari lapan tahun selepas siap semakan terdahulu.

"Yang terakhir disiapkan pada 21 Mac 2003. Persempadanan semula seterusnya hanya boleh dilakukan selepas 21 Mac tahun ini," kata Abdul Aziz dalam wawancara dengan Malaysiakini.

"SPR tidak boleh mengadakan semakan sebelum (tarikh) itu, kita hanya boleh membuat apa-apa cadangan selepas 21 Mac... tarikh mula tidak semestinya pada hari berikutnya.

"Ia boleh bermula selepas itu, tetapi kita harus melihat kemampuan dan tenaga kerja kita," tegasnya.

Mendepani 2011, bersediakah kita?

14 Safar 1432H.
Oleh : Ihsan Fadhli Che Min.

Saat artikel ini ditulis, 2010 berbaki kurang sepurnama. 2010 bakal melabuhkan tirai dengan seribu suka duka yang telah dipotretkan dalam helaian memori hidup kita. 2011 pula bakal menyelak tabir baru kepada penduduk dunia. Hidangannya pasti lebih mengejutkan berbanding dengan apa yang telah dihidangkan pada 2010. Menu baru yang punyai pelbagau rencah dan rasa.

Pada asasnya, beberapa kebimbangan timbul hasil penyelidikan dan analisa ringkas yang saya buat sepanjang tempoh 2010. Kebimbangan yang ditimbulkan ini bukanlah bertujuan untuk menakut-nakutkan kita. Bahkan supaya kita lebih sedar dan bersedia untuk mengambil sikap yang tepat selaku mahasiswa yang mempunyai minda kelas pertama.

Perkembangan Isu keagamaan dan Cabaran kepada Islam

Perkembangan isu berkaitan dengan syariah dan akidah semakin bercambah. Isu-isu seperti penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim, penubuhan sekolah hamil, konsert artis lucah dan gay, judi sukan, penyertaan bukan Islam ke dalam parti Islam dan sebagainya memerlukan cerdik pandai yang realistik dalam memberi pandangan malah kritikan.

Prosedur perubatan yang kontemporari juga memerlukan pakar syariah untuk memberikan satu garis panduan yang patuh syariah. Periuk kewangan dan perbankan Islam juga kembali menghangat. Lava-lava isu semakin memuntah dari gunung intitusi yang baru berusia 20 tahun.

Harus disedari bahawa, perbuatan mengkritik itu bukanlah bermakna penentangan, bahkan kritikan itu menjadi lambang bahawa kita sedang menghulurkan tangan memberi bantuan.

“Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik".

Dalam tempoh getir ini, pemergiaan ulama’ besar dunia yang telah banyak memberi jasa amat menyedihkan kita. Pemergian mereka seakan tidak lagi berganti. Lebih menyedihkan, pandangan sebahagian ulama’ mukhlisin yang masih berbaki selamat bernafas melalui badan berautoriti seperti Majlis Fatwa yang cuba menjadi penyelamat keadaan tidak diendah oleh pihak yang terlibat.

Kita, selaku generasi penerus tradisi ilmu Islam pastinya perlu menghulurkan tangan untuk menyelesaikan pandemik ini. Proses tegur perlu dikahwinkan dengan elemen ‘ubah.’ Untuk mengubah, generasi mudalah yang lebih layak dan lebih bersemangat untuk melakukan perubahan.

Hedonisme

Generasi muda hari ini melambangkan negara di masa depan. Rata-rata generasi muda hari ini sudah bermaklumat. Informasi dan maklumat yang singgah di minda anak muda menyebabkan mereka lebih sedar dan segar.

Kesedaran anak muda mampu merubah dunia. Kesedaran Mus'ab Bin Umair mampu mewujudkan negara Islam pertama, Madinah. Justeru, ada pihak yang bimbang dengan transformasi dan perubahan anak muda. Mereka bimbang anak-anak muda akan menjatuhkan mereka dari kerusi-kerusi empuk yang mereka duduki sekarang. Justeru, hedonisme ditabur untuk memabukkan anak muda.

Hedonisme akan menjadikan manusia kebas maksiat, kebas dosa dan kebas azab malah kalis teguran mahupun nasihat. Peringatan yang diberikan tidak akan didendahkan. Isu-isu sekeliling pastinya tidak diambil berat.

Inilah hasil yang diimpikan oleh para orientalis dan para sekularis. Umat Islam hilang sensitiviti keagamaan seterusnya hilang ketuanan Islam. Apabila hilangnya ketuanan Islam maka timbullah sejuta kerosakan.

Budaya hedonisme yang kian membarah di kalangan generasi muda. Bahkan pandemik ini telah pun merebak dan menjangkiti generasi pertengahan. Fanomena ini boleh jadi semakin membarah dan merebak lebih luas dengan pemangkin Hub Hiburan yang telah dicadangkan oleh Memanda Perdana Menteri.

Hiburan melampau-lampau dihidangkan kepada rakyat Malaysia. 80% rancangan di kaca tv adalah berbentuk hiburan yang tidak memberikan apa-apa pelajaran mahupun pengajaran. Penagihan dadah dan ganja semakin meruncing. Statistik pembuangan bayi yang dilaporkan amat menggerunkan.

Kes buang bayi antara kes yang paling hebat didebatkan pada 2010. Respon yang diterima dari banyak pihak pula bercanggah antara satu sama lain menjadikan isu ini semakin rumit.

Sebelah pihak melihat mereka adalah golongan bermasalah dan punca masalah. Manakala Melaka melihat mereka sebagai mangsa keadaan lalu menubuhkan Sekolah hamil yang boleh jadi berperanan sebagai pusat pemulihan.

Sejauhmanakah kesannya dalam membendung gejala yang maha buruk ini? Ataupun ianya menjadi penyokong moral kepada para pesalah untuk terus bergaul bebas tanpa menghiraukan batas syariat dan risiko yang bakal ditanggung? Hakikatnya, kitalah yang akan menanggung beban ini kelak.

Jalan keluarnya bagaimana? Pastinya, tidak mudah jalan itu ditemui. Namun, saya cukup tertarik dengan cadangan untuk memudahkan proses perkahwinan demi membendung gejala yang amat teruk ini. Bukankah kembali kepada ajaran Allah itu adalah jalan keluar yang terbaik…?

Ekonomi

Kenaikan harga minyak pula bakal melambungtinggikan harga barangan runcit di pasaran harian. Harga barang keperluan harian pastinya cepat meningkat naik hasil kenaikan harga cecair emas tersebut. Kenaikan ini kebiasaannya mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi terutamanya di kalangan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah. Hasilnya, inflasi mungkin akan terjadi dan seterusnya, mengakibatkan kestabilan ekonomi Negara juga akan terjejas.

Ketidakstabilan ekonomi Negara akan memberi kesan langsung kepada kita, mahasiswa yang sedang menuntut. Kesan langsung yang seharusnya menjadikan kita lebih peka dan teliti lantas pandai pula mengabil sikap yang selayaknya.

Bajet kewangan yang kebiasaannya dibekalkan mungkin akan ditarik balik atau dikurangkan dari kebiasaannya. Kesan langsung lebih mudah dirasai oleh persatuan zon dan MPPMJ yang sumber kewangannya hampir 90% dari perbendaharaan Negara Malaysia melalui Jabatan Penuntut Malaysia.

Selain itu, imej negara di peringkat antarabangsa juga akan turut terjejas. Kehadiran pelabur berkemungkinan akan berkurangan dan terus berkala dengan kurangnya juga peluang pekerjaan.

Indeks FDI [Foreign Direct Investment] menjadi indikator yang baik untuk dirujuk. Hutang tanggungan Negara yang dibebankan ke atas kita semakin hari semakin bertambah.

Ironisnya, dalam kesempitan begini, masih ada manusia yang sanggup mengambil kesempatan. Projek Maha Mega seperti Menara Warisan yang dilancarkan bakal menelan duit Negara berbilion ringgit.

Projek Istana Negara juga dilihat merugikan dana Negara yang seharusnya dilaburkan kepada perkara yang lebih penting dan bermanfaat. Kita semacam ketinggalan puluhan tahun kebelakang. Ketika Negara besar dunia sedang bersiap sedia berlumba-lumba untuk mendominasi teknologi kimia, biologi dan bio kimia,

kita pula masih terkial-kial melaburkan billion ringgit untuk menonjolkan kemewahan fizik dan fizikal yang hanya indah di mata. Ketika Amerika Syarikat merobohkan bangunan World Trade Center untuk dijadikan modal pusingan dalam usaha menguasai kimia, biologi dan bio kimia, kita pula melaburkan berbilion ringgit untuk mengejar fizikal Menara Warisan.

Sirah Nabi Yusuf mengajar kita, bahawa kedayusan Perdana Menteri Mesir pada waktu itu dan dominasi FLOM [First Lady Of Mesir] yang kita kenali sebagai Zulaikha dalam urusan pentadbiran baginda telah membawa banyak masalah kepada Negara. Pengurusan kewangan menjadi tempang, rakyat dihimpit kemiskinan melampau. Namun,

kualiti Qawiyy dan Ameen yang ada pada Yusuf Alayhissalam mampu menyelamatkan Mesir dari terus bankrap bahkan berubah menjadi Negara berkebajikan kerana mampu membantu rakyatnya yang susah dengan membekalkan gandum dan bijirin secara percuma.

Persoalannya, di Malaysia, apakah kita tak punyai seorang warganegara yang berkualiti Yusuf atau si Yusuf itu pernah bersuara, namun suaranya tenggelam tidak [mahu] didengari? Saya pernah terbaca akan model ekonomi hebat seperti Mazhab Malazi dan Konsep Maliziah yang mana pembina dan pemulanya adalah warganegara Malaysia. Saya juga pernah terdengar akan kospen Madinabank yang pernah dibentangkan di Malaysia suatu ketika dahulu.

Moga masih ada di Malaysia, insan yang mempunyai kualiti Yusuf Alayhissalam. Moga dengan kehadiran watak Yusuf, ETP [Economic Transformation Programme] yang salah satu isinya adalah hasrat menjadikan Malaysia sebagai HUB HIBURAN dikuburkan dengan segera.

Pertahanan dan Keselamatan

Ugut bunuh dan statistik kes bunuh juga amat menggerunkan. Cara teknik pembunuhan semakin rumit dan kompleks, seakan adaptasi dari Drama CSI di Fox Movies. Kes kehilangan dan lari rumah juga membimbangkan ramai pihak. Graf kes rompakan dan kecurian malah ragut mendaki tinggi ke puncak papan tanda.

Kementerian Pertahanan Malaysia pula dibom dengan isu kehilangan Enjit Jet. Sebelum itu, isu kapal selam yang hilang fungsi setelah jutaan ringgit dilaburkan masih belum dijawab dengan konsisten.

Keselamatan umat Islam juga telah semakin terancam. Isu-isu negatif seperti isu JI dan militan kembali dihidupkan. Isu JI yang dicanangkan hampir sedekad lalu telah hampir melumpuhkan institusi pengajian agama di Malaysia. Moga ianya tidak berulang lagi pada tahun yang mendatang.

Apabila berbicara soal keamanan dan keselamatan, maka kita juga seharusnya teranggil untuk turut menilik graf keselamatan umat Islam dunia. 31 Mei 2010 menyaksikan Israel sekali lagi dengan rakus meneguk darah aktivis keamanan yang sedang dalam perjalan ke Pelabuhan Gaza untuk menyampaikan bantuan misi kemanusiaan.

Saya secara peribadi, berpendapat bahawa, ketiadaan militansi di kalangan umat Islamlah menyebabkan Israel dan musuh Islam cukup mudah memijak-mijak maruah kita. Agama Islam dihina dan direndah-rendahkan.

Karikatur menghina Rasulullah dilukis dan disebarkan. Hari membakar Al-Quran dicadangkan. Namun, perkataan ‘militan’ kini telahpun dinegatifkan penggunaannya. Sebaliknya, zina yang buruk ditukar istilahnya kepada hubungan luar nikah yang semacam halal saja bunyinya.

Justeru, kalau anda telah menyembelih miltansi umat Islam, maka tak perlulah menunjuk simpati dan bermuka-muka sebagai hero untuk membela umat Islam.

Di mana posisi kita…?

Justeru, posisi pelajar syariah secara khususnya dan pelajar timur tengah secara umumnya adalah posisi penyelamat. Kita tidak seharusnya keliru, terkeliru dan dikeliru lantas tertukar posisi sehingga terpaksa diselamatkan.

Terlampau ramai ummat diluar sana yang perlu kita selamatkan, sehingga kita tidak lagi layak untuk berfantasi dengan falsafah kosong dan berpura-pura lemah tak berdaya lalu meminta-minta untuk diselamatkan.

Kita tidak seharusnya lagi menjadi generasi yang dicucuk hidungnya. Tidak patut bagi kita untuk hanya mengikuti jejak langkah generasi terdahulu. Jalan yang mereka lalui bukanlah syariat yang wajib kita ikuti. Bahkan, seharusnya, minda kita sentiasa sedar dan segar untuk menjawab seribu persoalan hanya dengan satu kalimah, “ Kami Boleh!”

Kita boleh kerana kita pemuda yang mempunyai nilai kepemudaan. Kita boleh kerana kita punyai jatidiri yang jitu, mantap dan terpuji.

Lim Guan Eng: Amalan rasuah BN hanya boleh diatasi dengan kemenangan PR

14 Safar 1432H [MOD]..

Kerajaan Barisan Nasional telah mengumumkan 19 lagi projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion, RM36 bilion pendapatan negara kasar dan mewujudkan 35,000 pekerjaan baharu untuk menjadikan Malaysian sebagai negara berpendapatan tinggi. Dengan kata lain RM 67 bilion diperlukan untuk mewujudkan 35,000 pekerjaan baru ataupun hampir RM2 juta untuk setiap satu pekerjaan baru.

Adakah RM2 juta diperlukan untuk wujudkan satu pekerjaan baru? Ia memang satu rekod. Jumlah besar RM2 juta untuk setiap satu pekerjaan baru menunjukkan ketirisan ekonomi dalam bentuk amalan rasuah dan penyelewengan kewangan yang hanya boleh diatasi dengan kemenangan PR dalam pilihanraya besar akan datang. Jelas yang akan bankrapkan Negara bukanlah Program 100 Hari PR tetapi amalan rasuah dalam BN.

Sebaliknya Program 100 Hari PR akan selamatkan negara dengan pulihkan ekonomi negara. Jangan lupa bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala sendiri yang telahpun menyatakan bahawa Malaysia mungkin bankrap pada tahun 2019.

BN mungkin lupa dengan projek mega ini tidak ada kena-mengena dengan masalah rakyat biasa yang berpendapatan rendah. Malaysia mengalami Gini coefficient ataupun ketidakadilan perbezaan pendapatan di antara yang kaya dan miskin yang paling tinggi di Asia Tenggara. Kumpulan termiskin golongan bawah 40% penduduk hanya memiliki 14.3% pendapatan negara sedangkan golongan atas 20% memiliki 50% pendapatan Negara. Dengan kata lain lebih 10 juta rakyat Malaysia dalam golongan bawah 40% penduduk menerima purata pendapatan RM1,500 sebulan.

Golongan ini yang akan dibantu oleh Program 100 Hari PR yang di antara lain manambahkan insentif kepada anggota kerajaan tertentu, bantu peneroka FELDA, wang penghargaan warga emas RM1,000 setiap tahun, wifi percuma untuk semua pekan di seluruh Malaysia, menghapuskan tol lebuhraya dan juga mengurangkan harga minyak untuk orang miskin.

PR bukan cakap sesuka hati kerana telahpun dilaksanakan di negeri di bawah pemerintahan PR. Sungguhpun banyak program telah dijalankan oleh kerajaan negeri yang di bawah PR, tidak ada satu negeri pun yang bankrap. Sebaliknya ia lebih kukuh seperti Pulau Pinang yang telah dipuji dua tahun berturut-turut oleh Lapuran Ketua Audit Negara 2008 dan 2009. Malah Pulau Pinang dianggap sebagai mempunyai prestasi terbaik di negara pada 2009.

Dengan lebihan bajet paling besar dalam sejarah Pulau Pinang sebanyak RM 88 juta pada 2008 dan RM 77 juta pada 2009, pelbagai program dijalankan di antaranya:

* Membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan
* Peruntukan pendidikan tahunan kepada sekolah agama rakyat, sekolah mubaligh, sekolah cina dan tamil sebanyak RM 11.3 juta pada tahun 2010.
* Rebat air RM100 setiap keluarga sederhana rendah dan bawah sebanyak RM 17 juta pada 2008-9

Program penghargaan warga emas sebanyak RM20 juta setahun dengan pembayaran RM100 setiap tahun kepada yang lebih 60 thaun dan wang pengurusan jenazah RM1,000 kepada waris. Program ini akan diperluaskan kepada OKU dan ibu tunggal tahun ini.

Semua program pro-rakyat tidak pernah dilaksanakan zaman BN memerintah selama 51 tahun tetapi dapat dibuat dalam tiga tahun PR memerintah. Wang penjimatan daripada urustadbir CAT dan program anti-rasuah yang dipuji oleh Transparency International membolehkan "dividen" anti-rasuah dalam bentuk program di atas dibayar dan dilaksanakan.

Ketirisan ekoran penyelewengan kewangan dan amalan rasuah setahun melibatkan sekurang-kurangnya RM 28 bilion setiap tahun dalam kerajaan Persekutuan. Bila ketirisan dihapuskan banyak program menfaatkan rakyat boleh dibuat seperti wifi percuma dan penghapusan tol. Oleh itu banyak program 100 hari PR seperti membayar RM1,000 setiap tahun kepada warga emas melebihi 60 tahun boleh dilaksanakan. Dengan 2.1 juta warga emas, pembayaran RM1,000 setahun hanya melibatkan RM2.1 bilion setahun yang tak sampai 10% RM 28 bilion. Ada baki lagi. Inilah yang harus dikongsi bersama dengan rakyat di bawah dasar ekonomi berjiwa rakyat PR.

*Ucapan oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Kawasan Bagan dalam Majlis Tertutup Bengkel Pilihanraya Kebangsaan DAP Di Kuala Lumpur pada 16 Januari 2011


(*) sumber Merdeka Review

Pilihan raya kecil DUN Tenang penentu tarikh PRU13

14 Safar 1432H [MOD]..

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipercayai akan memutuskan tarikh untuk mengadakan pilihan raya umum tergempar berdasarkan pada majoriti yang bakal direkodkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang hujung bulan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Najib meletakkan sasaran majoriti 5,000 undi di kubu kuat Umno itu sebelum memutuskan sama ada perlu memanggil pilihan raya umum ke-13 tahun ini ataupun sebaliknya.

Najib (gambar) yang juga pengerusi BN akan melawat kawasan Tenang hari ini menjelang hari penamaan calon pada 22 Januari.

BN akan mengumumkan nama calonnya esok.

Hari pengundian pilihan raya kecil yang ke-14 itu ialah 30 Januari.

Ia pilihan raya kecil yang pertama di Johor sejak pilihan raya umum Mac 2008 dan yang pertama sejak lebih satu dekad di negeri selatan itu.

Najib mahu Umno-BN mengulangi majoriti yang diperoleh ketika pilihan raya umum 2004 di mana calonnya memperoleh 5,517 undi.

Calon BN mempertahankan kerusi itu pada 8 Mac 2008 dengan majoriti 2,492 undi.

“Tenang akan digunakan sebagai kayu ukur. Jika Umno boleh menang dengan majoriti 5,000 hingga 6,000 undi maka kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan Jun ini.

“Jika Umno gagal untuk mencapai sasaran itu, maka pilihan raya kemungkinan akan dianjakkan ke suku keempat tahun ini ataupun awal tahun depan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Pakatan Rakyat melihat pilihan raya kecil Tenang akan menjadi ujian bagi keyakinan ke atas Najib sama ada beliau boleh menerajui negara di bawah perikatan BN, kata seterunya.

Malah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat juga mengakui bahawa bagi mereka menawan kerusi Tenang secara realistik agak sukar tetapi jika dapat mengurangkan majoriti BN, bermakna ia akan mencerminkan populariti Najib sebagai perdana menteri.

Satu kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan bahawa kadar populariti Najib di Semenanjung Malaysia masih kekal tinggi walaupun ia merosot sedikit daripada 72 peratus Mei lalu kepada 69 peratus akhir 2010.

Pungutan suara itu menunjukkan 74 peratus orang Melayu, 54 peratus Cina dan 85 peratus orang India berpuas hati dengan prestasi Najib.

The Malaysian Insider juga difahamkan bahawa kegagalan dalam pilihan raya kecil Tenang juga kemungkinan akan membawa kepada rombakan Kabinet.

“Perdana menteri merasakan Kabinet perlu diperkukuhkan jika BN tidak dapat mencapai sasaran 5,000 undi.

“Jika ini berlaku, maka rombakan dijangkakan bulan depan. Bagaimanapun enam menteri NKRA tidak akan terjejas,” kata satu sumber.

Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (pelajaran), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (pencegahan jenayah), Datuk Seri Nazri Aziz (rasuah), Datuk Seri Shahrizat Jalil (standard kehidupan), Datuk Seri Shafie Apdal (infrastruktur) dan Datuk Seri Kong Cho Ha (pengangkutan awam).

Difahamkan Najib sedang mempertimbangkan kedudukan Datuk Seri Rais Yatim dalam Kabinet meskipun beliau sudah pun menafikan dakwaan insiden rogol bekas pembantu rumahnya.

Juga wujud spekulasi bahawa Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kemungkinan ditawarkan jawatan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri susulan pengumuman bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Rembau Julai depan.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa beliau akan memperuntukkan RM20 juta bagi projek-projek gololongan muda, antara inisiatif Khairy yang dikemukakan susulan Makmal Pemuda BN tahun lalu.(Malaysian Insider)

Nik Aziz cadang dialog bincang judi, arak, zina

14 Safar 1432H.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat mencadangkan supaya diadakan majlis pertemuan dan dialog antara agama bagi merumuskan pandangan agama-agama berhubung pelbagai masalah sosial.

Menurutnya, isu meliputi masalah judi, arak dan zina, termasuk pergaulan bebas boleh dianjurkan oleh mana-mana badan bebas.

"Ini bagi memberikan gambaran kepada masyarakat Malaysia bahawa bukan hanya Islam yang mengharamkan ketiga-ketiga perkata tersebut," katanya.

Sebelum ini, katanya, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nik Aziz juga berkata larangan yang diperkenalkan di Subang Jaya, Selangor itu adalah wajar.

"Di dalam hal ini, secara asasnya saya berpendapat bahawa orang-orang Islam sewajarnya

tidak dibenarkan untuk bekerja di premis-premis sedemikian yang jelas menyediakan

makanan/minuman diharamkan oleh Allah swt," katanya yang juga mursyidul am PAS.

Isu alkohol: Terpulang pada JAIS, kata MB

14 Safar 1432H.
Oleh : Hazlan Zakaria.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pengendalian isu pekerja Islam menyajikan minuman keras adalah di tangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bukan di bawah bidangkuasa pihak berkuasa tempatan.

"JAIS boleh menguatkuasa tetapi ke atas individu, bukan ke atas premisnya.

"Dan jika JAIS mahu meminta bantuan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan penguatkuasaan, mereka boleh (berbuat demikian)," kata Khalid kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan yang dipertua majlis tempatan dan datuk bandar di Selangor.

Ini, katanya, kerana JAIS mendapat kuasa penguatkuasaan ke atas orang Islam melalui Enakmen Kesalahan Syariah 1995.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai peruntukan tersebut.

Di bawah undang-undang Syariah, ia menjadi satu kesalahan bagi orang Islam, bukan sahaja minum arak tetapi juga menyajinya.

Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai kuasa seperti itu kerana pada masa ini, ianya tidak jelas sama ada ia boleh menggabungkan enakmen tersebut ke dalam undang-undang kecil mereka.

Khalid menjelaskan bahawa syarat tersebut untuk dalam pelesenan 170 premis hiburan di Subang Jaya oleh MPSJ, bukan larangan ke atas pekerja beragama Islam tetapi hanya satu 'nasihat' kepada pemilik premis untuk berhenti menggaji oang Islam.

"Ini selaras dengan dasar negeri untuk melihat pengurangan pekerja Islam di sektor berkaitan dengan alkohol," kata Khalid.

Oleh itu, katanya, 13 tempat hiburan yang masih menggaji sekitar 140 pekerja Islam, masih boleh memperbaharui lesen mereka.

YB Teo Nie Ching lancar Facebook PAS Batu


14 Safar 1432H.
Tarmizi Mohd Jam

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching telah melancarkan Facebook PAS Batu ketika berceramah bersama bekas Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu baru-baru ini, di Dataran Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Teo telah diberi penghormatan oleh PAS Kawasan Batu memotong reben sebagai simbolik pelancaran laman sosial PAS Batu yang dikenali "PAS Batu".

Kepada ahli dan penyokong PAS Kawasan Batu dan daripada kawasan lain seluruh negara, anda boleh klik pada "suka" untuk menyertai kumpulan ini. Cari kata laluan "PAS Batu" pada laman Facebook anda.

Turut serta pada malam itu, Yang DiPertua, Ishak Surin, Timbalannya, Shuhaimi Abdul Rahman, Naibnya, Tarmizi Mohd Jam, Setiausaha, Ismail Yahya, Bendahari, Rosden Yassin, Ketua Penerangan, Jamhur Nawawi serta Ketua Dewan Muslimat, Salbiah Abdul Wahab. Lebih 1,000 hadir menikmati deklamasi sajak oleh penyajak tersohor, Pyan Habib "Bapaku Seorang Y.B".

Premis arak: Umno mahu kutip untung, bukan ikhlas dengan Islam

14 Safar 1432H.
Oleh : http://wfauzdin.blogspot.com

MENGULAS tindakan YB Ronnie Liu yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan tempatan yang mengarahkan MPSJ menarik balik larangan terhadap orang Islam bekerja di premis menjual arak, kita patut bersyukur kerana PAS Selangor bertindak ke hadapan di dalam menangani isu ini.

Tindakan segera PAS Selangor sama sekali menutup mulut pemimpin Umno Selangor untuk mempolitikkan isu ini kerana Umno sudah kita kenali tidak pernah ikhlas di dalam memperjuangkan Islam.

Semua tahu dan maklum, siapakah pemberi lesen arak terbesar di kilang arak di Shah Alam. Kita juga tahu siapakah yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi terbesar di Genting, bahkan pernah bercita-cita untuk meluluskan lesen judi Bolasepak Piala Dunia yang lalu.

Kita tidak lupa siapakah yang terlibat di dalam penganjuran Festival Busana Islam yang mendedahkan tubuh badan itu di mana isteri Presiden Umno memainkan peranan penting penganjurannya.

Tangan siapakah yang menulis surat kepada Kerajaan Negeri Kelantan suatu ketika dahulu yang memberi amaran agar Kerajaan Negeri di bawah PAS itu tidak melaksanakan Hukum Hudud? Apa pemimpin Umno mahu jawab dengan isu ini? Di mana keikhlasan mereka? Mengapa Umno masih redha dengan akta zalim ISA sekiranya mereka ikhlas dengan perjuangan Islam?

Kesemua persoalan di atas tidak akan dapat dijawab oleh mana-mana pemimpin Umno termasuk Senator Jamil Khir bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera itu. Jamil Khir hanya terdaya menegur YB Ronnie Liu di dalam isu teknikal seperti menarik balik larangan orang-orang Islam bekerja di premis arak yang hangat diperkatakan sekarang. Kerana apa? Kerana ada kepentingan politik Umno di situ.

Mengapa saya sebut bahawa isu larangan yang ditarik baik itu merupakan soal teknikal? Seperti yang dijelaskan oleh YB Ronnie Liu, beliau minta larangan itu ditarik balik kerana pihak MPSJ tidak memaklumkan kepada Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Memang keputusan MPSJ itu baik untuk kepentingan umat Islam, tetapi tentu lebih baik jika ianya dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri terlebih dahulu kerana MPSJ adalah di bawah Kerajaan Negeri. Seandainya ia dibawa ke pengetahuan Kerajaan Negeri dan Exco ini membantahnya, maka kita tidak teragak-agak akan menentang habis-habisan YB Ronnie Liu.

Apa pun alasan YB Ronnie Liu, Islam sama sekali tidak membenarkan umatnya bersubahat dengan pekerjaan yang diharamkan itu. Jika bersubahat pun diharamkan oleh Islam, apatah lagi mereka yang membenarkan arak ini dikilangkan secara besar-besaran. Mengapa Jamil Khir tidak terfikir yang ini? Mengapa Noh Omar tidak menyalak hal ini? Ini adalah kerana mereka berdua tahu tangan siapa yang punya angkara.

Saya tabik dengan kebijaksanaan MB Selangor di dalam hal ini. Tan Sri Khalid menyatakan beliau akan berbincang dengan YB Ronnie Liu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hassan Ali dan semua Pegawai Majlis Perbandaran/Tempatan untuk mengatasi permasalahan ini. Harus diingat, mereka telah bekerja di premis arak sudah lama sebelum PR memerintah lagi.

Ini satu perkembangan baik oleh Kerajaan PR dan tidak mudah untuk merealisasikannya tanpa ada perancangan. Justeru itu, bagi menyelamatkan umat Islam yang mencari makan di tempat haram seperti itu, tentunya perancangan perlu dibuat dan inilah yang sedang dilakukan oleh MB Selangor. Di zaman mereka memerintah, isu ini tidak timbul kerana mereka tidak langsung prihatin kepada kebajikan umat Islam di negeri tersebut.

Inilah hikmahnya bila PAS berada di dalam PR. Tidak timbul isu DAP anti Islam kerana pemimpin DAP itu tidak memahami banyak perkara tentang hukum Islam. Apabila PAS tampil ke depan di dalam isu ini, maka ianya akan dapat membantu Kerajaan Negeri di samping memberi pengetahuan kepada pemimpin-pemimpin DAP terhadap Islam. Inilah bezanya Umno dengan PAS, PKR dan DAP. Hendak harapkan Umno? Untuk selesaikan masalah azan pun mereka terkemut-kemut.

Nik Aziz cadang pertemuan tokoh pelbagai agama

14 Safar 1432H.

KOTA BHARU, 17 Jan: PAS mencadangkan satu pertemuan antara tokoh-tokoh pelbagai agama di negara ini bagi membuat rumusan mengenai judi, arak, zina dan juga pergaulan bebas.

Ini bagi memberikan gambaran kepada masyarakat Malaysia bahawa bukan hanya Islam yang mengharamkan ketiga-ketiga perkara tersebut, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Cadangan ini dibuat beliau ekoran perbezaan pendapat tentang kedudukan pekerja Islam bekerja di premis-premis arak di Selangor.

"Saya mengikuti dengan dekat isu larangan terhadap orang Islam untuk bekerja di premis-premis arak di Selangor seperti yang dilaporkan oleh media massa baru-baru ini.

"Di dalam hal ini secara asasnya saya berpendapat bahawa orang-orang Islam sewajarnya tidak dibenarkan untuk bekerja di premis-premis sedemikian yang jelas menyediakan makanan / minuman diharamkan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan.

Exco Selangor

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu membantah keputusan melarang umat Islam bekerja di premis-premis menjual alkohol sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Ekoran itu, beliau mengarahkan agar MPSJ menarik balik larangan tersebut yang dikuatkuasakan baru-baru ini.

Pada 14 Januari lalu, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor bercadang menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan menjual minuman keras.

Jelas Khalid, empat ahli exco negeri iaitu Hasan, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail — diminta menubuhkan sebuah sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan penubuhan tabung berkenaan.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan atas sebab ekonomi.

Katanya, kerajaan negeri menghormati pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang melarang umat Islam bekerja di premis berkenaan.

“Pada masa sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat,” katanya.

Khalid dijangka akan mengadakan pertemuan dengan semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan hari ini bagi mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen itu dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Keluarga Presiden Tunia Larikan 1.5 Tan Emas


14 Safar 1432H.

Paris: Saudara mara bekas Presiden Tunisia yang digulingkan, Zine al Abidine Ben Ali dikatakan keluar dari negara itu dengan 1.5 tan emas, lapor akhbar Le Monde yang memetik sumber risikan Perancis.

Emas seberat 1.5 tan dilaporkan mencapai nilai AS$65 juta (RM194.6 juta) dalam pasaran terbuka.

Pejabat Presiden Nicolas Sarkozy sudah diberikan taklimat oleh pasukan perisikan Perancis bahawa isteri kedua Ben Ali, Leila Trabelsi, mengeluarkan jongkong emas daripada bank pusat Tunisia minggu lalu.

Gabenor bank menolak permintaannya tetapi terpaksa mengalah selepas mendapat tekanan dari Ben Ali sendiri, menurut laporan itu.

Ben Ali dan Leila sudah keluar dari Tunisia selepas gelombang protes jalanan dan kemarahan yang memuncak rakyat terhadap keluarga pemimpin itu yang didakwa menyalahgunakan sumber negara. Bagaimanapun, Bank Pusat Tunisia menafikan laporan berkenaan.

“Simpanan emas dalam bank pusat ini tidak disentuh dalam beberapa hari lalu. Begitu juga wang tunai. Negara ini mempunyai peraturan ketat,” kata seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan.

Di TUNIS, Perdana Menteri Tunisia berjanji akan mengumumkan kerajaan campuran baru untuk mengekalkan momentum kemajuan politik bagi mematahkan protes dan melemahkan pasukan bersenjata yang berpihak kepada bekas presiden.

Pasukan khas Tunisia bertempur dengan pasukan pengawal bersenjata bekas presiden di istana presiden kelmarin, selepas dua hari presiden yang memerintah negara itu selama 23 tahun Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Mohamed Ghannouchi berjanji tindakan pantas akan diambil bagi mengisi kekosongan itu.

“Esok (semalam) kami akan mengumumkan kerajaan baru yang bakal membuka sejarah baru dalam sejarah Tunisia,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Tiga pemimpin pembangkang dijangka akan dilantik dalam kerajaan campuran itu, kata dua sumber yang rapat dengan penubuhan kerajaan baru itu. Tetapi, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri dalam pentadbiran lama dikekalkan.

Sementara pasukan yang setia kepada kepimpinan Ben Ali bertempur dengan tentera di istana presiden, dua lelaki bersenjata di bumbung berdekatan bank pusat terbunuh apabila ditembak dari helikopter. Kereta perisai turut diletakkan di kawasan ibu negara, Tunis dan tentera mengawal bangunan awam. – AFP/Reuters

Salahkah besarkan payu dara? TV 3 sekali lagi di kritik.

RANCANGAN bual bicara WHI di TV3 membincangkan tajuk Salahkah besarkan payu dara? yang mengundang rasa kurang selesa penonton.

14 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR – Segmen bertajuk Salahkah besarkan payu dara? yang disiarkan dalam program Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 pada pukul 12 tengah hari semalam mengundang reaksi kurang senang pelbagai pihak di negara ini.

TV 3 sekali lagi dilihat membuat satu kesalahan yang besar dan serius dengan menyentuh sensitivity penonton dengan rancangan yang saya anggap "kurang ajar" itu.

Tinjauan di laman peminat rasmi program WHI TV3 di Facebook juga mendapati ramai yang tidak bersetuju topik itu dibincangkan secara terbuka.

Antaranya memberi komen "Tu la masaallah negara islam spatutnya topik2 isu begini tk blh dibincangkn scara umum coz memalu or mengaibkn kaum hawa yg ada perasaan malu tpi skrg dh jdi sbliknya.klu blh pkir tu smua sblum bnda2 mcm nie jdi isu or topik umum @ apa pkiran budak2 bwh umur yg mendngar psti sdkit sbnyk nk thu @ ada keinginan yg lain kn.emmm pham2 la yea.(trlalu sensitif)"

Paparan visual yang memfokuskan kepada bentuk payu dara model-model yang lengkap berpakaian dalam laporan segmen tersebut juga dianggap tidak sesuai kerana ia ditonton oleh segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Aksi nakal jurukamera TV3 yang didakwa sengaja memfokuskan kepada payu dara pengacara dan tetamu jemputan semasa segmen itu juga dikecam mwenurut satu berita yang disiarkan oleh akhbar kosmo.

Sebelum ini TV dikecam hebat dengan Iklan Raya sehingga mereka menarik balik iklan yang dianggap tidak sesuai dengan Islam serta mendapat bantahan banyak pihak.