16 January 2011

Tamparan untuk BN

12 Safar 1432H MOD..
Pakatan Rakyat berada dalam kedudukan yang lebih selesa jika dibandingkan dengan UMNO/BN pada masa ini. Ketika Pakatan menggembleng tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat melalui pelbagai program, UMNO/BN dilihat oleh rakyat hanya menjadi tukang cacat.
Mereka menidakkan kemampuan Pakatan. Mereka merendah-rendahkan kebolehan Pakatan. Mereka memperlekehkan usaha Pakatan. Namun demikian, kesemuanya dilakukan melalui salakan kosong di hadapan mikrofon. Maka jadilah kesemuanya sebagai propaganda yang kering dan usang.

Rakyat mahu melihat hujah kental dan mapan keluar dari mulut pemimpin UMNO/BN, bukannya tembakan dengan peluru kosong. Jika cara ini terus-terusan digunakan oleh UMNO/BN, imej mereka akan tercalar lebih teruk lagi. Mereka tidak akan mampu menipu rakyat yang majoritinya sudah bermaklumat. Orang kampung dan pedalaman yang masih ketinggalan dalam serba-serbi tergolong dalam kumpulan minoriti. Tiada gunanya berselindung di sebalik minoriti yang didaifkan itu. Besar kemungkinan UMNO/BN akan menggigit jari dalam PRU Ke-13 jika masih meneruskan strategi lapuk itu.

Rakyat tidak akan terima dakwaan UMNO/BN yang mengatakan Pakatan gagal mengotakan janji di negeri-negeri yang mereka kuasai. Hakikatnya para pemimpin UMNO/BN hidup bagai cacing kepanasan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Mereka kehilangan ruang untuk merampok harta rakyat seperti yang mereka lakukan semasa berkuasa dahulu. Hal ini berlaku kerana Pakatan memberi fokus kepada kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Ketiadaan rasuah dan penjimatan telah mengukuhkan kedudukan kewangan negeri kerana amanah dan keikhlasan menjadi tunggak kepada perkhidmatan yang diberikan. UMNO/BN terbukti tidak dapat melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai. Banyak kecacatan yang dilaporkan oleh badan-badan berwibawa tentang hal ini. Mereka sepatutnya berasa malu dengan kegagalan itu. Rakyat seharusnya sedar akan hal ini dan mengalih sokongan mereka kepada Pakatan.

Kini Pakatan dilihat sebagai pihak yang berhemah tinggi. ADUN KOMTAR telah memohon maaf kepada orang yang dikatakan menjadi mangsanya. Adakah Ismail Sabri Yaakob memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menipu mereka tentang harga RON 95 yang dijanjikan tidak naik itu? Adakah pemimpin UMNO Pulau Pinang memohon maaf kepada warga emas yang didakwa dapat duit judi tetapi wang yang dikutip tidak pun dikembalikan kepada kerajaan negeri?

UMNO/BN hanya pandai bersandiwara. Sandiwara mereka semakin lemau dan hancur setelah Pelan 100 Hari Pakatan Rakyat tidak mampu ditepis secara ilmiah. Rakyat tidak akan percaya kepada cakap kosong. Presiden UMNO ternyata penakut kerana enggan berbahas di pentas. Kalau takut, tidak payahlah bersusah-susah memperlekehkan pelan itu. Hasilkanlah pelan lain yang lebih canggih daripada pelan Pakatan itu dan berbahaslah di pentas seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di negara maju. Bukankah kita bercita-cita hendak menjadi negara maju selepas bankrap tahun 2019?

Tepuk dada tanya la hati dan minda masing2. Aku kat opis ramai yang sokong Umno/BN. Dan yang paling sedap aku nak habaq ramai mereka ni dah mula merungut pasai kos barang yg naik gila2..Last skali aku sound apa tau, "kalau rasa nak taraf idup kita ni berubah, kita pun kena ubah kerajaan yang tak pernah nak hargai kesusahan org2 macam kita"...haaa amik hangpa, tekedu makcik2 tu..tu pun masih nak sokong lagi. Dah la..cukup la...berubah la..bila lagi.....biaq kita tak kaya tapi kita buleh hidup senang dan tak bebankan sapa2..nie tak semua nak kena hutang,,,..abih camne nak rasa senang?? (By by Luna and Thatguy)

Taktik kotor ini mudah dihidu

12 Safar 1432H MOD..
Kenapa Ummi tak saman Azmin ?

SHAH ALAM 14 JAN: Kemunculan Ummi Hafilda Ali (adik Azmin Ali) yang mahu menyaman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bebarapa lagi tokoh politik dilihat hanya untuk mencari publisiti.

Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau yang lebih dikenali sebagai che'GuBard berkata tindakan Ummi yang menyaman pelbagai pihak tetapi tidak menyaman Azmin membuktikan Ummi sendiri tidak konsisten dalam dakwaannya.

"Dia saman Annwar, dia saman Kak Wan, dia saman Pas, dia saman Karpal Singh tapi saya tengok benda ini tak konsisten. Dalam isu Pas dia saman Pas, dia kata dia jumpa Mat Sabu, dalam perkara lain dia saman Anwar, saman Wan Azizah sebab mengetahui perkara sebenar tetapi dia tak saman Azmin jadi saya tengok Ummi sediri tidak konsisten," tegas beliau.


Beliau yang juga pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata persoalannya bukan berkisar kepada dakwaan Ummi tetapi mengapa perlu muncul pada masa di mana pilihanraya dijangkakan akan diadakan. "Persoalannya macam ini, dia melibatkan banyak pihak, isu saman in sebenarnya semua orang boleh saman sesiapa sahaja tetapi hakikatnya, kenapa sekarang? 'Timing' dan macam mana cara itu dibuat, disensasikan itu lebih penting," jelas beliau lagi.

Katanya, tindakan Ummi adalah sebahagian daripada permainan politik dengan Ummi sebagai salah satu daripada alat politik mereka yang berkepentingan dalan kejatuhan Anwar dari medan politik negara. "Kali itu pilihanraya Galas, muncul Rahimi, kali ini Tenang ini pula muncul Ummi Hafilda, ini semua benda biasa dan permainan biasa. Cuma harapan kita ialah rakyat jadi cerdik dan melihat perkara ini yang diulang-ulang merupakan satu pembohongan," kata che'GuBard.

Beliau menjelaskan keadaan ini sama seperti semasa kes Fitnah 1 Anwar pada tahun 1998 dan beliau mengesyki 'skrip lama' akan digunakan kembali kerana Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dilihat semakin takut dengan pembangunan Anwar.

"Skrip lama akan digunakan balik dan keputusan lama akan terjadi semula. Najib dalam keadaan terkapai-kapai untuk menyudahkan apa yang dia mulakan dalam kes fitnah 2 kali ini. Oleh itu saya cukup berkeyakinan ini semua berlaku kerana dalam keadaan pilihanraya yang terlalu hampir, ketakutan Najib kepada Anwar Ibrahim dan Najib nak menyudahkan skripnya terhadap Annwar Ibrahim," katanya lagi.

Chegubard seterusnya berkata Ummi hanya menyampaikan skrip yang diberi kepadanya dan jika dilihat kembali kes Fitnah 1, Ummi merupakan saksi utama tetapi tiada apapun pembuktian dibuat oleh Umi kecuali menarik publisiti dan memanipulasikan pelbagai isu.

"Ummi Hafilda boleh muncul kembali dan pemain-pemain lain pun mungkin boleh muncul lagi, dan terus mengukuhkan lagi 'political conspiracy' tapi mereka, mereka boleh kembali, datang, muncul buat sidang media dan sebagainya tetapi seperti yang saya sebut tadi saya rakyat telahpun membuat keputusan," kata beliau.

Katanya lagi, rakyat telahpun memberi penghakiman terhadap Anwar dengan memberikan kemenangan besar kepada Pakatan rakyat pimpinan Anwar, yang mana membuktikan bahawa rakyat menolak sebarang pertuduhan yang berniat jahat dan berunsur politik terhadap Anwar.

"Ummi Hafilda boleh ulang tayang, lagi kali ketiga dia nak datang ulang tayang pun tak ada masalah, sebab saya yakin rakyat telahpun membuat penghakiman terhadap Anwar," kata beliau lagi.

Cuma kali ini selain berdepan mereka kita perlu membuktikan dengan mandat sedikit yang diberikan oleh rakyat kita benar mampu melakukan apa yang kita sering cakapkan./chegubard.blogspot

Interlok - Keluarga risau diganggu

12 Safar 1432H MOD..
PETALING JAYA - Kehidupan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain kini lebih terhad bukan kerana kesihatannya tetapi risau akan keselamatan apabila kontroversi Interlok hangat diperkatakan.

Isterinya, Datin Siti Soroja Basri, 65, berkata, beliau dan anak-anak mengehadkan pergerakan suaminya terutamanya ketika waktu pagi kerana risau diganggu oleh mereka yang tidak berpuas hati terhadap isu ini.

Katanya, sebelum ini setiap pagi beliau akan membawa Abdullah ke halaman rumah membaca akhbar dan menghirup udara segar.
"Saya risau ada orang yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara yang tidak diingini berlaku, jadi lebih baik saya mengambil tindakan awal.

"Kesihatan beliau agak merosot sejak enam bulan kebelakangan ini, dia banyak menghabiskan masa di atas kerusi roda sahaja, bagaimanapun penglihatannya masih lagi jelas dan boleh mengingatinya sebarang isu," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum itu, beliau yang kelihatan agak lesu hanya mampu menjawab soalan kami dengan menggunakan tulisan tangan sahaja kerana mengalami masalah pendengaran kesukaran bercakap.

Siti Soroja berkata, sejak isu berkenaan diperkatakan kesihatan Abdullah agak menurun sedikit dan kelihatan gelisah hinggakan beliau terpaksa memberikan ubat tidur bagi menenangkan suaminya.

"Sehari selepas itu, keadaan beliau semakin pulih dan beliau kembali seperti sediakala.

"Ini berlaku apabila dia mendapat tahu bukunya itu dibakar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dia mengatakan setiap buku yang diterbitkan seolah-olah anak baru lahir, itulah menunjukkan betapa sayangnya beliau kepada penulisannya," katanya.

Ketika ditanya tindakan beliau perbuatan berkenaan, Siti Seroja berkata, kelebihan yang ada pada Abdullah adalah tidak menyimpan dendam walaupun pelbagai desakan dilakukan terhadapnya dan menganggap ini adalah ketentuan hidup. (Sinar Harian)

DUN Tenang - Calon PAS diumum hari ini

12 Safar 1432H MOD..
SENAI- “Calon yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bakal beri kejutan,” kata Pesuruhjaya Pas Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed , ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau bagaimanapun meminta semua pihak bersabar dan menantikan calon yang digembar-gemburkan untuk bertanding di kerusi itu.

Ketika ditanya mengenai calon yang terpilih itu, beliau berkata calon berkenaan merupakan seseorang yang dikenali di media massa.

Beliau berkata, pengumuman yang akan dibuat di pekan Labis turut akan dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dr Mahfodz juga enggan mengulas lanjut sama ada calon tersebut adalah wanita atau Ketua Penerangan Pas, Mazlan Aliman yang dikaitkan bagi bertanding di Tenang.

Difahamkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan hadir pada hari penamaan calon itu nanti.

Sementara itu, seramai 2,500 jentera petugas Pas telah mula berkampung di Tenang dan mereka juga akan diletakkan di kawasan pembuangan undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Sejak 8 Januari lepas, petugas-petugas Pas telah berkampung di Tenang dan membantu menggerakkan jentera parti bagi meraih undi,” katanya.

Menurutnya, setiap cawangan daerah dan negeri akan menghantar wakil bagi membantu melaksanakan tugasan seperti mengedar risalah, mengadakan ceramah dan bertemu pengundi dari rumah ke rumah.

“Selain petugas dari negeri Johor, negeri-negeri lain turut membantu seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

Sebanyak 12 Unit Peti Undi (UPU) terdapat di DUN Tenang dengan 200 orang akan di letakkan untuk menjaga setiap kawasan dari segi pengiraan dan keselamatan.

“Jumlah berkenaan kemungkinan besar akan meningkat pada penamaan calon dan tempoh meraih undi selepas itu,” katanya.

Beliau berkata, dengan bilangan petugas yang ramai, jentera parti dapat digerakkan lebih cepat dan setiap kawasan seperti Felda dapat ditembusi.

“Banyak kerja yang perlu dibuat dan bukannya asyik sibuk berceramah sahaja. Justeru lebih ramai petugas diperlukan bagi mendekati pengundi dengan cara ukhuwah,” katanya.

Beliau turut yakin monopoli Barisan Nasional atau UMNO di Felda dapat dipecahkan memandangkan pengundi terutamanya generasi kedua di situ lebih cenderung kepada Pas.

“Berdasarkan kepada pemerhatian dan setiap kali turun ke kawasan Felda seperti di Felda Cemplak, pengundi terutamanya generasi kedua Felda, memberikan respons baik kepada Pas,” katanya. (Sinar Harian)

Apabila wartawan ditutup mulut

12 Safar 1432H MOD
Presiden Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ), Hata Wahari, dilaporkan hari ini akan digantung dari kerjanya oleh majikannya, Utusan Malaysia, pada 17 Januari - iaitu ketika siasatan dalaman (domestic inquiry) akan dilaksanakan. Ini ekoran dari kritikan yang dilemparkan oleh Hata terhadap akhbar yang kontroversial itu sebaik saja menyandang jawatan pemimpin di NUJ itu.

Jika berita ini menyedihkan bagi rakan sekerja dan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kebebasan bersuara dan media, hal yang mengatakan beliau telah dikenakan perintah "kurung rumah" adalah lebih membimbangkan.
Ini kerana tindakan yang diambil oleh majikannya itu mirip perilaku pemerintah yang menghukum seseorang itu - yang mungkin dianggap penjenayah atau yang dicop sebagai ancaman negara - tidak boleh keluar dari persekitaran rumah selama waktu yang ditentukan.

Dengan kata lain, wartawan yang kritis dan berpaut kepada kod etika profesion kewartawanan telah dihukum seolah-olah dia telah melakukan suatu jenayah.

Jika kita mengimbas kembali apa yang Hata telah lakukan, beliau membuat teguran terhadap Utusan Malaysia bahawa akhbar itu telah hilang haluan sebagai sebuah akhbar arus perdana kerana telah bersikap "ekstremis" dari segi pendekatan yang diambil oleh editornya dan pemberitaan yang dilakukan, dan beliau bimbang ini boleh mencetuskan "keluh kesah" dalam kalangan rakyat yang berbilang etnik dan agama. Dan seterusnya beliau khuatir pendekatan ekstremis ini boleh mengakibatkan jualan dan pembacaan akhbar tersebut yang kian meleset.

Sebagai pemimpin sebuah kesatuan wartawan yang inginkan NUJ dan profesion wartawan disegani di Malaysia, Hata berhak untuk menyatakan pendirian beliau seikhlas mungkin walaupun ini boleh "menusuk kalbu" majikannya sendiri. Sudah tentunya ini satu perbuatan yang bukan mudah, tetapi perlu dilakukan demi maruah profesion wartawan dan prinsip kebebasan media dan demokrasi.

Kalau kita perlu peringatan di sini, kerjaya wartawan mempunyai tanggungjawab yang berat bukan sahaja terhadap dirinya sebagai seorang professional tetapi juga terhadap masyarakat umum. Wartawan, sekurang-kurangnya pada prinsipnya, harus komited terhadap kebenaran, keadilan dan kedamaian.

Kewartawanan bukanlah satu kerjaya yang menjanjikan gaji bulanan semata-mata sepertimana yang ada pada kerjaya lain. Ianya memerlukan komitmen mendalam yang kadang-kala mendedahkan diri wartawan berkenaan kepada bahaya (politik, ekonomi dan keganasan fizikal) dan dilema moral.

Dengan kata lain, tindakan yang diambil oleh Hata dan rakan-rakannya di NUJ perlu dihargai oleh warganegara Malaysia pada umumnya kerana ianya bersangkut-paut dengan persoalan etika profesion, keadilan, kebenaran dan hak kebebasan bersuara. Ini lebih-lebih lagi apabila masyarakat masakini menghadapi keadaan di mana kebenaran dan keadilan menjadi "binatang buruan" yang sukar dicari dan dicapai.

Itulah sebabnya, sepertimana yang telah diperhatikan oleh Hata, ramai rakyat di negara ini yang telah "berhijrah" dari media arus perdana ke media alternatif di Internet dalam usaha mereka mendapatkan berita dan maklumat yang kelihatan terdekat dengan kebenaran dan keadilan. Sesungguhnya, citarasa rakyat masakini rata-rata lebih canggih.

Dan perbuatan Hata (dan rakan seperjuangannya) untuk memperjuangkan profesionalisme kerjayanya dan juga kebebasan media menjadi lebih relevan lagi apabila ada usaha yang membayangkan keinginan pihak pemerintah yang cenderung untuk membendung kebebasan yang ditawarkan oleh Internet itu. Khususnya, Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini telah meluahkan "kebimbangan" tentang apa yang dianggap sebagai unsur-unsur tidak sihat dalam Internet yang kononnya boleh membawa rebah lebih-lebih lagi kepada anak-anak muda dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya, tindakan Hata ini mempunyai signifikannya yang ketara. Dalam keadaan dunia kewartawanan tanah air di mana wujudnya "wartawan wahyu", sikap dan tindakan yang diambil oleh wartawan seperti Hata mudah memisahkan dirinya dari kelompok wartawan ini. Malah, beliau dan rakan seperjuangan mudah dilihat seolah-olah mencapai status "hero" dalam dunia persuratkhabaran di Malaysia.

Sebilangan pemerhati media merasakan kemunculan pemimpin NUJ seperti Hata ini persis udara nyaman bertiup yang enak dihidu di tengah-tengah masyarakat yang dibelenggukan dengan kongkongan media dan wartawan hasil daripada undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi yang mencengkam kebebasan media dan bersuara.

Jika dipandang dari satu sudut, tindakan yang diambil oleh Utusan Malaysia terhadap Hata mempunyai ironinya kerana ini melibatkan sebuah organisasi media yang sepatutnya melindungi dan memperjuangkan kebebasan media dan anak buahnya. Tetapi bila dilihat dari sudut yang lain, tindakan akhbar ini harus dijangkakan kerana akhbar tersebut sudah lama berperanan sebagai sebuah lidah parti politik konservatif yang sudah tentunya mempunyai matlamat yang berlainan daripada akhbar arus perdana yang normal lagi bebas.

Tak kira apa sudut yang diambil, apa yang jelas ialah media dan wartawannya telah "dikurung". Turut merasakan impak "kurungan" ini ialah rakyat jelata yang dahagakan berita dan maklumat yang berguna kepada kehidupan seharian mereka dalam sebuah masyarakat yang dikatakan mengamal sistem demokrasi.

*Mustafa K Anuar adalah pembaca MerdekaReview yang prihatin terhadap persoalan kebebasan media tanah air. (Merdeka Review)

Blogger Pakatan, Tatap muka dan sedikit makanan pengalas perut sudah memadai.

11 Safar 1432H.
Cina islam.

Saya mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dengan kejayaan kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan Majlis Mesra Menteri Besar Kelantan Bersama Blogger Pakatan yang diadakan di Kuala Lumpur malam tadi.

Sebenarnya saya adalah antara orang yang sentiasa menunggu program seumpama ini bagi memastikan orang seperti kami yang duduk dihadapan komputer di mana sahaja kami berada dihargai bukan dengan kalimat yang tinggi menggunung namun sanggup dipanggil untuk bertatap muka dan diberikan sedikit makanan pengalas perut walaupun setahun sekali, itu rasa sudah memadai.

Sebab itu saya pernah mengeluarkan pandangan menyokong saudara blogger Milosuam bahawa blogger Pakatan Rakyat semacam tidak digembleng tenaga mereka secara terancang dan bersepadu untuk menghadapi gelombang blogger umno yang nampak terancang dan dirancang.

Sebenarnya bagi saya dunia seorang blogger tidak lepas dari sifat keikhlasan dan kejujuran semasa mengeluarkan berita, apa matlamat sebenar pemberitaan dan seperti yang dikatakan oleh Tok Guru malam tadi ada dosa dan pahala dan ada kaitan dengan syurga dan neraka serta ditanya kelak di akhirat dengan apa yang ditulis dalam blog masing-masing.

Kerana itu sentuhan kerajaan negeri Kelantan dalam pertemuan malam tadi sangat bernilai bagi seorang blogger. mereka bukan mahukan sanjungan, pujian, dan upah. Keiklasan mereka datang pada malam tadi dengan biaya poket sendiri dengan meninggalkan kerja masing-masing menuju ibu negara demi memenuhi jemputan dari kerajaan negeri Kelantan.

Tanpa disedari di sana ramai yang hadir boleh membuat tuntutan perjalanan dan sebagainya, namum kami para blogger sudah melupakan itu demi penghargaan yang lebih besar dari nilai wang ringgit. Yang penting hak dang tanggung jawab yang dilakukan oleh masing-masing mengikut kedudukan.

Bila ada pengumumnan mengenai program tersebut saya cepat-cepat mendaftar diri untuk hadir dan mengosongkan jadual yang lain yang diatur lebih awal. Apabila saya menerima jawapan dari email sdr. Tarmizi Mat Jam yang mendaftar kehadiran, saya rasa sangat berbangga dan tidak sabar untuk hadir bersama dan memastikan berada di Kuala Lumpur malam tadi walaupun saya sepatutunya sudah di China untuk urusan perniagaan.

Masa berjalan dengan cepat sekali, kerana itu saya sarankan perkara yang sama dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang lain dibawah Pakatan Rakyat. Kedah, Selangor dan Pulau Pinang mestilah melakukan program seumpama dilakukan kelantan malam tadi.

Walaupun cuma datang tanpa makan dan minum saya akan berusaha untuk hadir sekiranya mereka menganjurkan dalam masa terdekat. Kalaulah saya diiluar negara dan sibuk dengan jadual yang diatur lebih awal, saya akan susun kembali untuk pastikan dapat hadir bersama.

Selain bertemu pimpinan kerajaan negeri Kelantan, saya juga merasakan keseronokan bertemu dengan rakan-rakan media dan blogger sempena pertemuan malam tadi. Ternyata ia menjadi medan untuk merapatkan silaturrahim sesama kami dan dengan pimpinan.

Akhirnya, tidak ada satu perkara yang paling kami harapkan dari dunia blogger ini melainkan untuk melihat BN dan UMNO disungkurkan dalam PRK di Tenang dan PRU ke 13 akan datang. kami lah yang sedang mempertahankan Kerajaan Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dengan pemberitaan di dalam dunia blogger. oleh itu berilah sedikit kredit kepada kami sebagaimana yang dilakukan oleh Kelantan malam tadi.

Debat Najib-Anwar penting elak negara muflis

12 Safar 1432H MOD..
Oleh : Nik Nasri Nik Malek.
Janji 100 hari Pakatan Rakyat jika memerintah Malaysia tiba-tiba merungsingkan BN. Bagi Pakatan Rakyat, ia adalah janji realistik yang mampu dilakukan.

Najib pula mengatakan ia boleh membawa Malaysia bankrap. Melalui berita radio, saya dengar ucapan Najib (lebihkurang ayatnya): ‘Dalamasa 2 tahun laksanakan janji itu, Malaysia boleh bankrap macam Greece.’

Ayat ini sangat penting. Anwar dan PR kata tak muflis. Najib dan BN kata janji 100 hari boleh muflis. Tak mungkin kedua-duanya benar. Salah seorang berbohong. Tapi siapa?

Malaysia menuju muflis juga sangat penting. Ertinya kalau Pakatan Rakyat memerintah dan menunaikan janjinya itu, ucapan Najib itu mungkin menjadi kenyataan, iaitu Malaysia boleh bankrap dalamasa 2 tahun. Tapi dari fakta yang ada yang disiarkan dalam pelbagai media alternatif, termasuk ucapan terakhir Datuk Mustafa Ali dan Anwar di program Himpunan Kebangkitan Rakyat: PAS Ganti Umno, PR Ganti BN di Geliga, Kemaman pada hari Sabtu 15 Jan 2011 menunjukkan janji itu mampu ditunaikan dengan izin Allah.

Justru, apa penyelesaian terbaik? Ia tidak lain melainkan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar mesti diadakan. Di Amerika, UK dan beberapa negara lain, termasuk negara haram Israel, rasanya, boleh mengadakan debat antara pemimpin tertinggi parti.

Kalau begitu, mengapa Najib takut? Kalau sungguh rakyat tidak akan terpengaruh dengan janji kosong PR, mengapa tidak bersedia berdebat? Kalau janji PR boleh bawa negara muflis, di atas dasar mempertahankan negara dari muflis, maka sepatutnya Najib bersedia mempertahankan Malaysia dari menjadi muflis dengan sebab janji kosong PR itu?

Najib ada pakar ekonomi. Anwar ada pakar ekonomi. Masing-masing sediakan fakta dan angka. Bentangkan dalam debat itu. Apa takut? Najib kata debat tidak mendatangkan hasil. Siapa kata?

Atau takut kalah dengan janji ‘kosong’ PR itu. Kalau sungguh BN mendahulukan rakyat, Najib mesti bersedia berdebat dengan Anwar, dan biarkan rakyat yang menonton secara langsung dalam TV itu menjadi hakimnya. Masih takut? (HarakahDaily)

'Bimbang K'tan dirampas halang PAS laksana hudud'


12 Safar 1432H MOD..
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan keputusan kerajaan negeri tidak melaksakan hukum hudud kerana kebimbangan bahawa kerajaan persekutuan akan campur tangan dengan mengisytiharkan darurat untuk merampas pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak mahu perlembagaan negeri itu digantung sekali lagi seperti yang pernah dilakukan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada sekitar tahun 1969 dahulu.

"(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

"Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran... Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua," katanya sambil membaca kaedah fiqhiyyah bagi menyokong hujahnya.

"Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran... dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik," kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan facebook di Hotel Grand Season di ibu negara, malam semalam.

Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.
Ambil secupak

Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka "diambil secupak-secupak" sehingga habis.

"Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS," katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.

Katanya hal demikian berlaku kerana berkat doa dan dakwah yang dilakukan membuatkan bukan Islam berasa selesa dan tidak takut dengan ajaran Islam.

Nik Aziz yang juga pesuruhjaya PAS Kelantan berkata demikian ketika menjawab soalan penulis blog Azizi Abdullah yang mengutarakan soalan mendakwa semangat PAS untuk menegak undang-undang jenayah Islam itu dilihat "mengendur" selepas bersama Pakatan Rakyat.

Sebelum itu, exco Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan turut memberi respon terhadap soalan berkenaan dengan menegaskan bahawa undang-undang tersebut sudah diluluskan pada tahun 1993 dan belum dimansuhkan.

Bahkan ia juga telah mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana "ada halangan dan cabaran".

Katanya, pendirian kerajaan negeri pada ketika itu adalah memikirkan kemudaratan yang akan dihadapi kerajaan negeri itu sekiranya undang-undang itu dilaksanakan.

"Kalau laksana hukum hudud apakah, halangan dan cabarannya.(Oleh sebab itu) kita tak laksana (hukum hudud).

"Tetapi ia tetap dilaksanakan dalam bentuk yang lain," katanya yang juga seorang peguam.Takiyuddin berkata walaupun tidak dilaksanakan, tetapi undang-undang kecil yang lain dapat diimplimentasikan.

Royalti minyak

Sementara, exco kanan Datuk Husam Musa pula menafikan tanggapan penulis blog yang bahawa tiada perkembangan berhubung isu tuntutan royalti minyak.

Katanya, tuntutan tersebut didokong oleh semua pihak, dan kerajaan negeri memberi kepercayaan kepadanya untuk meneruskan permohonan tuntutan berkenaan.

"Ia bukan isu politik tetapi untuk menjaga amanah. Seperti mana yang disebut oleh Tok Guru, isu royalti adalah isu amanah, dan beliau adalah pemegang amanah, maka kita menuntut amanah itu bagi rakyat negeri Kelantan," katanya.

Sehubungan itu, Husam yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan mengajak semua penulis blog dan Facebook hadir ke Mahkamah Tinggi Perdagangan Kuala Lumpur berhubung permohonan kerajaan pusat untuk mencelah menjadi defendan bagi isu tuntutan royalti minyak.

"Kita bantah permohonan itu," katanya sambil menambah permohonan itu berlangsung pada 27 Januari ini.

"Kerajaan pusat mungkin rasa Petronas berseorangan atau rasa mereka memerlukan bapa kerana tak sanggup menghadapi (kerajaan negeri) Kelantan," katanya sinis.

Tambahnya, pendekatan lain oleh kerajaan negeri berhubung isu berkenaan akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Sebelum majlis dialog itu dimulakan, Nik Aziz menyampaikan sedikit ucapan ringkas yang mana beliau menasihatkan penulis blog dan Facebook supaya tidak menulis sesuatu "sesuka hati".

"Tulis baik, balasannya syurga. Tulis jahat, balasannya neraka," katanya sambil merujuk tulisan dalam blog yang mendakwa beliau dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke ICU, beberapa bulan lalu. (Malaysiakini)

PBB takut dengan PAS Sarawak.

11 Safar 1432H.
Kenyataan Media Pas Miri

Ulasan PAS terhadap kenyataan akhbar YB Daud

PAS Sarawak ingin membalas pandangan kepada naib presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman tentang PAS akan gagal untuk memenangi kerusi dalam pilihanraya Umum Sarawak nanti. Ini menujukan PBB takut dengan PAS untuk memenangi kerusi dalam majority kawasan Melayu Islam.Kita juga yakin bahawa PAS Insya-Allah dapat menawan kerusi dewan undangan negeri Sarawak dalam piliharaya nanti.

Hampir semua media tempatan yang dikawal oleh BN memberi gambaran buruk tentang PAS di Malaysia sebab itulah rakyat jadi keliru dan dapat gambaran buruk tentang PAS. PAS Sarawak juga mendapat sokongan dari orang Islam dan yang bukan Islam yang tinggal dalam kawasan bandar terutama sekali mereka yang dapat maklumat tentang PAS dari sumber media PAS. Kami percaya sekira media tempatan telus dan bebas dari kawalan BN, rakyat sudah pasti dapat gambaran yang jelas tentang perjuangan PAS.

Jangan memandang rendah terhadap keupayaan PAS Sarawak walaupun kami adalah minority dalam Pakatan Rakyat Sarawak tapi maktlamat kami adalah untuk menukar dan menjatuhkan kerajaan BN bersama Pakatan Rakyat hendaklah diteruskan. PAS dan Pakatan Sarawak percaya rakyat Sarawak sudah bersedia untuk mengubah dan menukar kerajaan BN yang ada sekarang jadi bagilah peluang pada PAS dan Pakatan untuk memerintah demi kesejahteraan dan pembangunan untuk semua. Kita mengalu-alu penyokong PBB dan BN untuk bersama PAS. PAS untuk semua.

Pas Kawasan Miri

Tahniah : PAS dan Kerajaan PR Selangor semakin positif.

11 Safar 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

TAHNIAH dan syabas kita ucapkan kepada YB Dr Hassan Ali selaku Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap Exco Agama Selangor. Ucapan ini saya ucapkan kepada beliau kerana beliau telah melaksanakan tugas dan amanahnya sebagai orang Islam, pemimpin PAS serta Exco yang bertanggungjawab menasihati Kerajaan Negeri Selangor terutamanya di dalam isu yang melibatkan Islam.

Meskipun kita sedar bahawa Kerajaan Negeri Selangor ditadbir oleh PR iaitu dari PKR, namun PAS sebagai salah satu sekutu PR mestilah turut memainkan peranannya. Di dalam isu di mana Majlis Perbandaran Subang Jaya telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras ianya telah mendapat sokongan kuat dari PAS Selangor. Walaupun larangan tersebut ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Ronnie Liu namun bagi saya isu tersebut belum berakhir.

Apa yang penting, PAS telah pun berperanan di Selangor. Ini bukti jelas bahawa PAS tidak membelakangkan dasar parti tersebut. Kita yakin, apa yang diminta oleh PAS dan kita semua akhirnya akan terlaksana walaupun mengambil sedikit masa. Buktinya, terbaru MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim telah meminta agar diadakan tabung khas dan jawatankuasa khas bagi mencari dana atau alternatif agar semua pekerja Islam yang masih bekerja di kedai penjualan arak di Selangor dapat ditugaskan ke tempat lain yang halal bagi mereka.

Ini satu pendekatan positif daripada tidak melakukan apa jua sepertimana kerajaan Umno/Bn memerintah. Pendekatan dakwah juga terus berjalan agar setiap umat Islam disedarkan tentang pencarian rezeki secara halal. Amat baik sekali jika semua negeri di bawah PR melakukan seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kita yakin, jika perbincangan dan dialog terus dilakukan di antara PAS dan Kerajaan Negeri maka apa yang terbaik akan dapat dihasilkan. Peraturan larangan bekerja di kedai penjualan arak mahupun judi kepada orang Islam sebenarnya tidak merugikan sesiapa. Justeru itu, sewajarnya Kerajaan Negeri Selangor menerima peraturan ini. Tahniah buat PAS Selangor./wfauzdin.blogspot.com

Bacaan selain azan di pembesar suara patut dihentikan.

11 Safar 1432H.
Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan –selain azan- yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan. Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi s.a.w. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan muslim dan lain-lain.

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi s.a.w sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi s.a.w, kata Abu Sa’id al-Khudri:

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

5. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

6. Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak